Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Neelofa ratu kontroversi?
- Terima durian runtuh RM18 juta
- PLUS terbit sukuk RM30.6 bilion
- Graduan MSU tampung kekurangan doktor
- Sampah: Penduduk tagih janji
- Sindiket curi lori RM1 juta tumpas
- Warga emas kurung gadis
- Mface guna populariti artis
- Sama Tapi Tak Serupa
- Chong Wei 'benam' Lin Dan
- N. Sembilan sudah buktikan
- Duit syiling tahun 1793 dilelong RM4.34 juta
- Detik serangan harimau bintang
- Pemimpin Korea Utara dipuji genius
- Stephen Hawking sambut ulang tahun ke-70
- Pembangunan di pulau buatan berjalan lancar di Dubai
- Kapal kargo terputus dua
- Ribuan lihat seekor itik Asia di California
- Kebangkitan masyarakat gunung
- Memulihara manuskrip purba
- Imej berontak gadis pelik
- Epilog jejaka ringkas
- Peranan pereka fesyen
- Semangat kembali ke sekolah
- Yusry-Lisa ubah lokasi nikah
Posted: 08 Jan 2012 10:31 PM PST Karier dan kontroversi buat pelakon dan pengacara, Neelofa bergerak seiring sejak di awal kemunculannya dalam bidang seni. Bagaimanapun, kontroversi itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus mengharungi sepak terajang industri ini. Bermula dengan gosip cinta bersama VIP, seterusnya pelakon filem Azura ini dikaitkan dengan hero filem sama, Shahz Jaszle sehingga menjadi punca perpisahan aktor itu dengan bekas kekasihnya, Maria Farida. Malah Neelofa turut dikaitkan dengan pelakon Tahajjud Cinta, Fazura yang mendakwa Neelofa cuba untuk merampas kekasihnya. Tidak memandang perkara itu sebagai masalah besar, pemenang Dewi Remaja 2010/2011 yang lebih mesra disapa Lofa ini tidak menafikan bahawa kontroversi yang timbul sedikit sebanyak menaikkan namanya dalam industri hiburan. "Saya mengakui perkara itu, tetapi tidak bersetuju jika ada yang mengatakan saya hanya bersandarkan pada kontroversi semata-mata. Bagi saya, kontroversi ini ada buruk baiknya bergantung kepada artis itu. "Untuk berada lebih lama dalam industri, bakat perlu ada. Kontroversi yang melanda hanya sementara sahaja. Jadi, saya tidak mahu berada di dalam kelompok yang mengharapkan kontroversi sahaja. "Saya berharap masyarakat menilai saya melalui bakat yang saya ada. Berikan ruang untuk saya mempamerkan kebolehan yang saya ada, jangan nilai saya berdasarkan desas-desus yang timbul tanpa sahih itu," katanya yang kini bakal menjalani penggambaran drama terbaru arahan Eirma Fatima, Dejavu Di Kinabalu. Minat Nona sejak bangku sekolah Lebih manis lagi, lembaran 2012 menjadi tahun bertuah buat Lofa kerana dipilih mengacarakan program Nona di saluran TV3, bersama penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana. Akui Lofa, tawaran hebat seperti itu sememangnya ditunggu-tunggu kerana selain menguji pengetahuannya mengenai selok-belok dunia pengacara, Nona juga rancangan diminatinya sebelum ini. "Saya memang minat rancangan Nona sejak saya di bangku sekolah lagi. Ketika itu, pengacaranya ialah Normala Shamsudin dan saya tidak pernah menyangka, saya berpeluang berada di posisi Normala. Saya sangat teruja. "Nona memberi seribu satu pengalaman untuk saya. Banyak pengalaman baru yang ditimba. Menerusi Nona, saya dapat kenal ramai orang dari pelbagai golongan. Banyak perubahan dan penambahbaikan yang telah saya lalukan seperti mengubah cara percakapan saya yang dikatakan lebih laju. "Walaupun masih baru, saya yakin, Nona dapat membantu saya untuk membina semangat kepada diri sendiri untuk lebih berjaya dan menghargai kehidupan kita," katanya yang berharap agar karier seninya berjalan lebih lancar tahun ini. Dilantik duta Avon Selain bakal muncul dalam filem karya Aziz M Osman, Azura, Februari ini, Lofa turut menerima tawaran menjadi duta produk barangan kosmetik dan perhiasan wanita, Avon. Menurut Lofa, kontrak selama setahun telah ditandatangani pada Disember lalu dan bakal dilancarkan 18 Januari ini. "Saya bersyukur sangat kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk mempromosikan produk Avon. Saya bersetuju untuk jadi duta Avon kerana produk ini terbukti bagus dan bukan hanya untuk wanita berusia sahaja, malah sesuai untuk wajah muda. "Saya rasa gagal menjadi duta sekiranya saya tidak membuktikan hasil produk tersebut. Jadi, objektif saya sebagai duta adalah untuk menarik minat golongan remaja untuk mencuba produk ini. "Pemilihan saya sebagai duta Avon kerana pihak Avon mahu saya membawa jenama ini mengikut cara tersendiri," katanya yang bakal muncul menerusi filem Lemak Kampung Santan, Taiko dan SAM. | |||
Terima durian runtuh RM18 juta Posted: 08 Jan 2012 06:17 PM PST KUALA TERENGGANU - Seramai 137 penduduk di empat buat kampung dekat sini menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri membayar wang pampasan sebanyak RM18.11 juta ekoran pengambilan balik tanah milik mereka bagi tujuan projek pembinaan jambatan dan jalan. Projek pembinaan itu melibatkan jalan sejauh sembilan kilometer menghubungkan Kampung Bukit Guntong, Tepu ke Kampung Teluk Pasu. Antara kampung yang terlibat daripada projek yang dimulakan sejak tahun 2010 itu ialah Kampung Jeram, Kampung Banggol Donas, Kampung Kubang Jela dan Kampung Teluk Pasu. Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, Omar Mat berkata, daripada 137 cek yang dikeluarkan, tiga belas daripadanya melibatkan pampasan kediaman dan selebihnya lot tanah yang diambil. "Bagaimanapun, bayaran pampasan untuk projek fasa dua yang masih berbaki 65 lot itu masih belum diselesaikan. "Kelewatan itu berpunca daripada kes-kes seperti siasatan semula status tanah, pampasan rumah, struktur binaan serta proses mengenal pasti waris," katanya pada majlis pembayaran pampasan di sini semalam. Omar berkata, projek bernilai RM229 juta itu memberi manfaat kepada penduduk kerana ia menghubungkan kawasan berkenaan dengan bandar Kuala Terengganu menerusi projek Jambatan Sakti berdekatan Muzium Negeri tidak lama lagi. Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM14 juta kepada 76 pemilik lot tanah untuk projek sama fasa satu antara Kampung Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong. "Pemilik 13 buah rumah yang dirobohkan turut diberi keistimewaan memilih tapak baharu bernilai RM70,000 satu lot di kampung asal mereka," ujarnya. Sementara itu, seorang penduduk, Abd. Halim Mat Hussin, 43, yang menerima pampasan sebanyak RM532,700 bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri. "Rasa sedih bila tanah didiami sejak kecil diambil, namun kami terima pampasan yang setimpal bagi tujuan itu," katanya. | |||
PLUS terbit sukuk RM30.6 bilion Posted: 08 Jan 2012 06:15 PM PST KUALA LUMPUR - Projek Lebuhraya Usahasama Bhd. (PLUS Bhd.) akan menerbitkan sukuk bernilai RM30.6 bilion yang akan menjadi sukuk global terbesar dan terbitan tunggal bon terbesar di Malaysia setakat ini. Terbitan sukuk yang dijadualkan pada 12 Januari ini merupakan susulan penswastaan PLUS Expressways Bhd. (PEB) yang merupakan salah satu program penswastaan terbesar di Malaysia dan penyusunan semula konsesi tol di bawah PEB dan Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB). Perjanjian konsesi lebuh raya ini juga akan diletakkan di bawah PLUS Bhd. anak syarikat milik penuh PLUS Malaysia Sdn. Bhd., iaitu jentera pelaburan UEM Group Bhd. yang memegang 51 peratus kepentingan manakala bakinya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris berkata, hasil daripada terbitan sukuk ini akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembelian aset, liabiliti, perniagaan, akujanji dan hak-hak lima konsesi tol. Tol terbabit ialah Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Bhd., Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd., Konsortium Lebuh Raya Butterworth-Kulim Sdn. Bhd., Linkedua (Malaysia) Bhd., dan PBSB. Menurut Izzaddin, hasil ini juga akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, modal kerja dan keperluan pembiayaan am yang lain. "Kejayaan dan permintaan yang kukuh terhadap terbitan sukuk ini jelas menunjukkan keteguhan dan kecairan pasaran tempatan. Ia juga merupakan petunjuk keyakinan pelabur terhadap operasi dan aset PLUS. "Bukan sahaja kita berjaya mengeluarkan salah satu sukuk terbesar di dunia tetapi kita juga dapat memainkan peranan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam pasaran modal Islam antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab kewangan Islam," katanya. Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis menandatangani perjanjian bagi penubuhan dan terbitan sukuk berkenaan di sini baru-baru ini. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak; Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd., Kok Tuck Cheong serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. CIMB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai Penasihat Kewangan, Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Pengurus Utama Bersama untuk urus niaga berkenaan. | |||
Graduan MSU tampung kekurangan doktor Posted: 08 Jan 2012 06:11 PM PST SHAH ALAM - Graduan sulung program perubatan dan pembedahan Universiti Sains Pengurusan (MSU) diharap dapat menampung masalah kekurangan doktor dan pakar perubatan negara, titah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun. Baginda yang juga Canselor MSU turut bertitah agar semua 60 graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) itu dapat mencurahkan khidmat dengan profesional, memelihara etika dan bersifat ikhlas dalam membantu menjaga kesejahteraan kesihatan setiap lapisan masyarakat di negara ini. "Sesungguhnya beta berasa amat bangga kerana pada hari ini (semalam), MSU telah berjaya melahirkan graduan sulung program perubatan dengan International Medical School (IMS) MSU di kampus Bangalore India. "Beta percaya, ini merupakan pencapaian yang sangat cemerlang buat MSU kerana kelahiran doktor-doktor perubatan ini," titah baginda sempena Majlis Konvokesyen ke-10 MSU di sini semalam. Tuanku Haminah turut melahirkan rasa puas hati dengan kecemerlangan MSU sejak 30 tahun lalu apabila bermula daripada sebuah kolej sehingga menjadi sebuah universiti yang membangun. Sementara itu, tujuh pasangan suami isteri adalah antara 60 graduan sulung kursus perubatan yang menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen semalam. Mereka menamatkan pengajian lima tahun dalam bidang (MBBS) di International Medical School di Bangalore, India. Seorang daripada mereka, Muhammad Fairuz Shah Abd. Karim, turut mencipta kejayaan berganda apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor. Muhammad Fairuz, 25, yang juga pemimpin pelajar ketika menuntut di Bangalore, berkata, kejayaan itu lebih manis apabila turut dikongsi dengan isterinya, Syazwana Mohd. Zaki. | |||
Posted: 08 Jan 2012 06:08 PM PST IPOH – Lebih 6,000 penduduk di tujuh penempatan di Tanjung Rambutan di sini menggesa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menunaikan janji lima tahun lalu untuk memindahkan Tapak Pelupusan Sampah Bercham ke tempat lain. Penduduk yang tidak sanggup lagi dengan pencemaran udara sudah hilang sabar apabila janji MBI untuk menghentikan operasi tapak pelupusan berkenaan pada penghujung Disember lalu tidak dikotakan. Taman terbabit termasuklah Taman Jothi, Taman Berjaya, Taman Berjaya Baru, Kampung Lim Tan, Kampung Tersusun Batu 8 dan Bandar Baru Putra, Taman Indah. Seorang penduduk, Abdul Razak Mohamad, 65, berkata, pencemaran semakin ketara apabila MBI tidak lagi mengambus sampah dengan tanah sebaliknya timbunan sampah semakin menggunung dan menjijikkan. "Apa yang mendukacitakan MBI sendiri mengetahui tapak pelupusan sampah ini sangat tercemar dan ia diakui sendiri oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya. Tapak Pelupusan Sampah Bercham merupakan satu-satunya tempat pembuangan sampah di situ dan menerima sebanyak 650 juta metrik sampah sehari. | |||
Sindiket curi lori RM1 juta tumpas Posted: 08 Jan 2012 06:08 PM PST BAGAN SERAI - Kerisauan pemandu di daerah Kerian di sini mengenai kecurian lori sejak tiga bulan lalu berakhir apabila polis menahan empat lelaki bergelar Geng Maday Rabu lalu. Suspek-suspek berusia lingkungan 20 dan 40-an tersebut ditahan bersama 11 buah lori yang dicuri di sekitar daerah ini dan Nibong Tebal, Pulau Pinang sejak Oktober lalu. Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mohd. Fauzi Nayan berkata, kesemua suspek itu ditahan selepas pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani kejadian tersebut. Katanya, polis menerima enam laporan mengenai kehilangan lori di sekitar daerah Kerian sejak tiga bulan lalu termasuk yang terbaharu di Taman Pekan Baru, Parit Buntar dekat sini pada 2 Januari lalu. "Risikan polis membawa kepada penahanan empat anggota sindiket terbabit yang dipercayai turut mencuri sekurang-kurangnya lima lori di Nibong Tebal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Tambahnya, soal siasat kemudian menemui lori yang dilaporkan hilang 2 Januari lalu di kawasan Jalan Kuala Kangsar, Ipoh kira-kira 120 kilometer dari sini tiga hari kemudian. Menurut Mohd. Fauzi, siasatan awal mendapati kesemua lori yang ditemui itu dalam proses untuk dileraikan sebelum komponennya seperti enjin, tayar, stering, rim, kotak gear dan ekzos bernilai lebih RM1 juta hendak dijual di beberapa pusat pengumpulan barangan lusuh di sekitar Ipoh. "Modus operandi Geng Maday ialah mencuri lori yang diletakkan di tepi-tepi jalan pada waktu malam dan awal pagi dengan mencantum wayar untuk menghidupkan enjin lori," katanya. Ujar Mohd. Fauzi, suspek menerima bayaran sebanyak RM3,000 bagi setiap lori yang dicuri dan polis sedang menjejaki seorang dalang sindiket berusia 58 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. | |||
Posted: 08 Jan 2012 06:03 PM PST KOTA BHARU – Kegiatan terkutuk seorang warga emas berusia 61 tahun yang menjadikan seorang wanita Indonesia sebagai alat untuk memuaskan nafsunya sejak enam bulan lalu memakan diri apabila dia ditahan di sebuah pondok di kawasan perkuburan terbiar di Jalan Kubur Kuda di sini. Suspek yang telah berkahwin itu ditahan Rabu lalu selepas gadis berusia 24 tahun tersebut membuat laporan polis. Difahamkan, kawasan perkuburan itu tidak lagi digunakan dan suspek menggunakan dua buah pondok di situ untuk memperkosanya. Sebelum merogol, suspek dikatakan akan memakan ubat kuat. Episod duka mangsa berlaku apabila dia dibawa pulang ke rumah suspek di Jalan Limau Manis di sini yang terletak kira-kira 500 meter dari pondok tersebut selepas dia ditemui di pejabat imigresen di Jalan Telipot di sini, Jun tahun lalu. Mangsa pergi ke pejabat pihak berkuasa itu untuk meminta pertolongan selepas dia lari dari majikannya di Wakaf Baru. Sebaik tiba di pejabat itu, kakitangan jabatan itu telah pulang. Suspek yang merupakan pengutip kotak kemudian menawarkan tempat tinggal kepada gadis itu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd. Rafar (gambar kecil) berkata, suspek kemudian mengugut mangsa supaya tidak keluar rumah bagi mengelakkan dikesan jiran-jiran dan pihak berkuasa. Katanya, isteri suspek yang tidak mengesyaki apa-apa membiarkan suaminya membawa keluar mangsa pada waktu malam kononnya bagi membantu mencari kotak. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:59 PM PST
SEIRING dengan perkembangan teknologi yang berlaku pada masa ini, penggunaan laman sosial dilihat sebagai medium utama serta menjadi alat komunikasi yang paling popular. Bermula dengan era MySpace dan Friendster, kini laman sosial yang menjadi pilihan ramai adalah Facebook dan Twitter dengan pengguna yang sudah mencecah jutaan orang tanpa mengenal usia. Laman sosial Facebook misalnya yang kini sudah memiliki sehingga 500 juta pengguna di seluruh dunia sehingga menjadikan pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai antara manusia yang terkaya di dunia. Melihat kepada perkembangan yang luar biasa itu, kini muncul pula laman sosial terbaharu ciptaan anak tempatan iaitu Mface yang diasaskan dan dipengerusikan oleh seorang pengacara popular iaitu Datuk AC Mizal. Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengacara berkenaan berkesempatan untuk menjelaskan tentang laman sosial yang dihasilkannya itu. Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit tentang laman sosial ini? DATUK AC MIZAL: Mface adalah sebuah laman sosial terbaharu dengan konsepnya yang hampir sama dengan kebanyakan laman sosial yang lain. Apa yang membezakannya cuma reka bentuk paparan laman antara sesuatu laman web itu. Namun, saya yakin Mface yang bermaksud Malaysian Face ini mampu menjadi tarikan kepada para pengguna di negara ini. Bagaimana boleh timbul idea untuk menghasilkan Mface? Sebenarnya idea ini mula ditimbulkan bersama seorang individu iaitu Tedy Teow yang juga rakan kongsi dan pengasas bersama laman sosial Mface. Saya akui kewujudan laman sosial ini adalah ilham daripada laman Facebook yang mana fungsinya pengguna boleh mengemaskini status, maklumat terkini dan gambar dengan orang ramai. Dengar kata anda turut mengundang 60 orang artis untuk menjayakan Mface ini? Inilah satu lagi kelainan yang cuba dilakukan untuk membezakannya dengan laman sosial yang lain. Apa yang ingin saya tekankan, 60 orang artis yang saya undang ini adalah pemilik bersama serta rakan kongsi kepada Mface. Setiap artis yang diundang, secara automatik mereka akan diberikan sebanyak 100,000 unit syer. Jika pengguna Mface nanti sudah mencecah satu juta pengguna, ia akan disenaraikan di bursa saham Malaysia. Bagaimana pemilihan artis ini dilakukan? Kebanyakan artis yang terpilih adalah terdiri daripada rakan-rakan yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini serta artis yang mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Antara artis-artis tersebut seperti Afdlin Shauki, Zizan Razak, Amyza Adnan, Ezlynn, Linda Rafar dan Diana Rafar, Kumpulan Forteen, Serina Redzuan, Azza Elite dan ramai lagi. Selain menggunakan populariti mereka untuk menjayakan Mface ini, saya juga memang berhasrat untuk membantu mereka menambahkan sumber pendapatan. Sekiranya laman sosial ini disenaraikan nanti, sudah tentu mereka mempunyai pendapatan sampingan berdasarkan setiap syer yang mereka miliki itu. Apa pula kelebihan yang pengguna dapat sekiranya mereka mendaftarkan diri dengan Mface? Untuk mendaftarkan diri sebagai pengguna Mface, sesiapa sahaja boleh mendaftar di laman sesawang www.mface.me tanpa dikenakan sebarang bayaran. Apa yang menariknya, kepada mereka yang aktif menggunakan laman sosial ini mereka diberi markah-markah tertentu. Kemudian pada setiap minggu seorang pengguna yang mendapat markah tertinggi berpeluang untuk memenangi hadiah iPad 2. Ia adalah salah satu promosi yang kami jalankan dan akan berterusan selama tempoh enam bulan. Bagaimana dengan tahap keselamatan untuk laman sosial ini? Sememangnya pihak kami mahukan Mface bersih daripada segala unsur-unsur yang kurang baik seperti menggunakannya untuk memaki dan mengaibkan orang atau perkara yang membabitkan politik. Buat masa ini, kami mempunyai beberapa orang petugas yang akan sentiasa membuat pemantauan sebagai langkah keselamatan. Sekiranya ada pengguna meletakkan status yang tidak sepatutnya, secara automatik status tersebut akan terus dipadamkan. Adakah Mface mampu untuk menjana sumber pendapatannya sendiri? Dalam kebanyakan laman sosial yang ada, penjenamaan adalah yang paling menjadi keutamaan. Dengan jenama yang kuat sudah tentu ia akan meningkatkan lagi jumlah 'traffic volume' yang menunjukkan sosial tersebut sering digunakan dan dilawati. Untuk sumber pendapatan, semuanya kini bergantung kepada syarikat yang mahu mengiklankan produk-produk mereka menerusi Mface. Semakin ramai yang guna Mface, tidak mustahil iklan yang diperoleh menjadi semakin meningkat. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:57 PM PST
MENDENGAR lontaran dan lenggok suara Diandra Aljunaidi, 20, tatkala dia berbicara tanpa melihat pada wajahnya pasti ramai yang menyamakan artis pertama yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Yuna iaitu Yuna Room Records (YRR) persis seperti Yuna. Namun, tatkala melihat wajah gadis indie yang disunting pemilik sebenar nama Yunalis Zarai, 26, atau Yuna sebaik menyaksikan persembahan secara langsung gadis itu di gig Moonshine kendalian penyanyi Reza Salleh, tiada langsung menunjukkan persamaan dengan Yuna. Jauh sekali apabila mendengar lagu yang didendangkannya. Biarpun Diandra kini dikenali sebagai anak didik Yuna, jangan sesekali samakan diri mereka kerana mereka adalah dua insan seni yang berbeza. Masing-masing mempunyai kekuatan dari segi vokal mahupun dalam kreativiti menghasilkan lagu. Cuma muzik yang dibawa mereka menjadikan mereka sama tapi tak serupa. "Saya sudah kenal Diandra lama sejak dia mengadakan persembahan di gig lagi. Dia sangat berbakat dan dia juga pandai menghasilkan lagu. Sayang kalau dibiarkan begitu sahaja kerana dia mempunyai aura istimewa. Apabila saya lihat Diandra, dia seperti saya pada lima tahun lalu yang menghasilkan pelbagai lagu tetapi tidak tahu bagaimana mahu perkenalkan karya tersebut kepada umum dan akhirnya memilih YouTube sebagai medium perantara. Dia juga sudah punyai peminat sendiri. Disebabkan itu, saya memilih Diandra bernaung sebagai artis pertama di bawah Yuna Room Records," katanya yang baharu dua bulan lalu menandatangani perjanjian bersama Diandra. Pinta Yuna, agar tiada lagi yang menyamakan diri mereka dan lagu-lagu ciptaan mereka kerana masing-masing punyai konsep muzik yang berbeza. "Muzik lahir daripada kreativiti masing-masing. Seperti sebelum ini ada yang menyamakan saya dengan Najwa Latif dan kini Diandra pula. Kami sebenarnya berbeza. Memang kami bawa lagu yang agak serupa iaitu santai tapi muzik kami berbeza termasuklah cara nyanyian kami. "Mungkin persepsi peminat akan berubah apabila mereka hayati lagu-lagu milik Diandra yang kini sudah berada di pasaran," ungkapnya lagi yang tidak mahu peminat keliru dengan kehadiran Diandra dalam dunia hiburan. Malah, pengambilan Diandra sebagai artis naungan pertama Yuna Room Records adalah permulaan dalam mengembangkan perniagaan syarikat saya itu," tuturnya tatkala ditemui pada Majlis Pelancaran Album Yuna & Diandra Arjunaidi di Holding Room, Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tidak hanya memperkenalkan artis pertama syarikat rakamannya, Yuna juga turut melancarkan album keduanya khas buat peminat di Malaysia. Tiru Jawab Diandra pula, sebelum menerima pelawaan Yuna dia sudah terfikir mungkin akan ada orang yang akan samakan mereka. Sememangnya dia mengakui menjadikan Yuna sebagai inspirasi tetapi tidak bermakna dia meniru kekasih kepada Qi itu dalam menghasilkan lagu dan juga meniru trademark Yuna yang memetik gitar ketika menyanyi. Menganggap kata-kata orang bahawa dirinya sama seperti Yuna sebagai satu pujian, namun dalam masa yang sama menegaskan dia mempunyai muzik dan gaya nyanyian yang jauh berbeza dengan Yuna. "Saya sudah menghasilkan lagu-lagu yang kini dimuatkan dalam album baharu saya sejak berumur 14 tahun lagi. Lagu You merupakan karya pertama yang saya hasilkan. Mengenai gitar pula saya memang selesa menghasilkan lagu sambil memetik gitar. Gitar yang ada juga bukan milik saya tetapi milik ayah saya. Di rumah terdapat dua alat muzik iaitu piano dan gitar. Kakak lebih cenderung bermain piano sebaliknya saya lebih selesa menggunakan gitar," tuturnya. Sekadar ingin berkongsi lagu yang dicipta dengan semua orang dan ingin melihat sejauh mana kemampuannya, Diandra turut memuat turun lagu miliknya di YouTube. Ternyata, kelunakan suara dan lagu yang dihasilkan Diandra yang dimuat turun di dalam YouTube mendapat perhatian penyanyi Reza Salleh. Reza menghubungi Diandra dan bertanyakan padanya seandainya dia mahu untuk beraksi dan membuat persembahan secara langsung di khalayak ramai. Bertitik tolak daripada itu, Diandra mula mengadakan persembahan di khalayak ramai bermula pada tahun 2008. "Umpama mimpi jadi kenyataan, saya menerima tawaran Reza dan membuat persembahan di depan orang ramai pada acara muzik yang mengetengahkan bakat-bakat tempatan iaitu Moonshine. "Sejak itu, banyak tawaran persembahan yang diterima termasuk mengadakan persembahan di kelab seperti Laundry Bar, No Black Tie, Klue Magazine's Urbanscapes 2010 & 2011, menjadi artis pembuka tirai untuk Konsert Secondhand Serenade 2011, Karnival Suara Kami 2011, Konsert Earth Hour 2011 dan banyak lagi. "Perkenalan saya dengan Yuna juga bermula pada acara Moonshine dan pada November lalu dia menawarkan saya untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya," akuinya yang bersyukur kerana akhirnya bakatnya berjaya dinilai ramai pihak termasuk Yuna. Diandra juga mengaku pernah menerima tawaran daripada satu syarikat dua tahun lalu namun menerima pelawaan Yuna kali ini kerana merasakan masanya untuk menceburi bidang muzik sebenar sudah tiba. "Yuna yang tawarkan saya untuk menjadi artis pertama di bawah syarikatnya. Bila Yuna tawar saya terus terima. Siapa yang mahu lepaskan peluang baik seperti ini. Memang ada sebuah syarikat melamar saya dua tahun lalu tetapi masa itu saya belum bersedia untuk menjadi artis," ujarnya yang turut tidak terlepas dengan gosip biarpun baru setahun jagung dalam industri hiburan. Seksi Ramai yang mengata penampilannya agak seksi berbanding usinya yang baru menjangkau 20 tahun. Ditanya mengenai hal itu, kata Diandra yang juga merupakan cucu kepada Datuk Rosnani Jamil dan Datuk Jamil Sulong itu, dia mengaku ramai yang tidak menyukai imejnya tetapi dia merasa selesa dengan apa yang dipakainya. "Ramai yang tidak suka dengan imej saya dan mengatakan saya seksi. Imej saya sebenarnya ringkas dan tidaklah terlalu seksi. Saya pakai apa yang saya rasakan selesa. Memang saya akui imej juga memainkan peranan penting dalam industri hiburan namun saya punya pendirian sendiri yang tidak mahu mengikut arahan memakai apa yang saya tidak suka," katanya. Beralih mengenai album pertamanya yang memuatkan sebanyak tujuh buah lagu, Diandra yang pernah membintangi drama bersiri Gemilang dan Sakura itu mengaku hanya menghasilkan sebuah lagu Melayu iaitu Angkasa. Lagu lain yang turut berada di dalam album pertamanya adalah Things We Don't Say, Remember, Happy, Entitled, White Lines dan You. Ujarnya, itu merupakan percubaannya dalam menghasilkan lagu Melayu kerana kesemua lagu ciptaannya merupakan lagu bahasa Inggeris. "Saya lebih selesa menghasilkan dan menyanyi lagu bahasa Inggeris berbanding Melayu. Memang teruklah sebab saya tak begitu fasih bahasa Melayu disebabkan itu saya tidak yakin untuk menulis lirik dan menghasilkan lagu Melayu. Tetapi saya akan belajar dan lebih banyak menghasilkan lagu Melayu pada masa akan datang. "Mungkin saya kurang fasih berbahasa Melayu kerana di rumah kami sering bertutur dalam bahasa Inggeris. Ibu merupakan orang Cina dan bapa pula berasal dari Indonesia," ungkapnya. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:54 PM PST
AKHIRNYA, badi dan mimpi buruk jaguh perseorangan negara apabila bertemu Lin Dan lenyap di gelanggang Korea. Semalam, takhta juara pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea kembali ke genggaman pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei setelah mengalahkan seteru utamanya, Lin Dan. Dengan keputusan 12-21, 21-18, 21-14, Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan jaguh dari China itu pada final acara perseorangan lelaki. Kejayaan pemain berusia 29 tahun di Gimnasium Olimpik Seoul, Korea itu menyaksikan dia membawa pulang ganjaran bernilai AS$75,000 (RM235,875). Lin Dan yang menang selesa 12-21 di set pertama tidak kekal lama apabila Chong Wei menemui rentak untuk 'mendiamkan' jagoan dari China itu dengan mengheretnya ke perlawanan ke set penentuan yang mengambil masa satu jam 16 minit. Nyata, reaksi positif yang ditunjukkan dan semangat untuk membalas dendam yang membara, memberi impak ke atas kejayaannya untuk menumbangkan Lin Dan. Sejak awal lagi, bahang pertembungan antara dua musuh tradisi ini amat terasa dalam keduanya mencari kemenangan dengan menjelangnya Sukan Olimpik Julai nanti. Justeru, dengan gelaran juara pada awal tahun 2012, ia dilihat bukan saja membangkitkan semangat juara dunia itu dalam pemburuan pingat emasnya di Sukan Olimpik 2012 malah sebagai peringatan kepada jaguh-jaguh China lain termasuk Chen Long. Malah, rekod perlawanan yang konsisten memperlihatkan Chong Wei masih mempunyai sentuhan berbisa untuk membenam pemain-pemain dari China yang selama ini sering menjadi halangan kepadanya. Ini termasuklah skrip ulangan yang ditempuhi Chong Wei tahun lalu apabila terpaksa bertarung hebat untuk menewaskan bintang dari China, Du Pengyu dalam aksi separuh akhir kelmarin. Sementara itu, Lin Dan, juara dunia empat kali yang menewaskan Chong Wei dalam empat daripada lima pertemuan sepanjang 2011, terlebih dahulu menunjukkan jalan keluar kepada pemain Jepun, Sho Sasaki dalam perlawanan separuh akhir kelmarin. Dalam pada itu, bagi kategori beregu lelaki pula, pemain tuan rumah, Jae Sung Jung-Yong Dae Lee tumpas kepada pemain China, Chai Yun dan Fu Haifeng dengan keputusan 18-21 21-17 21-19. Bagi perseorangan wanita, peserta China, Wang Shixiang mudah menumpaskan rakan senegara, Jiang Yanjioa 21-12 21-17. Peserta China terus gah apabila meraih kejuaraan dalam kategori beregu wanita dengan kejayaan Tian Qing-ZhaoYunlei 21-18 21-13 ke atas Jung Eun Ha-Ming Jung Kim dari Korea. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:53 PM PST BUKAN sekadar jadi juara tetapi bijak bermain psikologi. Barangkali itulah antara keistimewaan yang ada dalam pasukan Negeri Sembilan. Manakan tidak, setiap kali turun dalam aksi perlawanan penting, Negeri Sembilan sering kali melabelkan pasukan mereka adalah team underdog. Tidak mahu mendabik dada sebelum menang, sebaliknya menghormati pasukan lawan. Buktinya, Kelantan yang mendapat jolokan Gergasi Pantai Timur tumbang 1-2 kepada Negeri Sembilan bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menyatakan The Red Warriors adalah pasukan pilihan termasuk pilihan beberapa jurulatih Liga Super. Malah, di atas kertas, Kelantan memiliki kelebihan dengan adanya pemain bertaraf bintang seperti Norshahrul Idlan Talaha yang menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-22 dan dibantu Indra Putra Mahuddin, kapten pasukan, Mohd. Badri Radzhi serta Nor Fahan Mohammad. "Kelantan memang pasukan pilihan. Semua orang tahu Negeri Sembilan hilang beberapa star kerana berhijrah ke pasukan lain dan ditambah isu pemain import hingga kita ada seorang sahaja pemain import. "Dengan mengenepikan masalah yang berlaku, kita bentuk sebuah pasukan dengan menilai kelebihan yang ada pada setiap pemain sebelum mengadun strategi dan taktikal. Alhamdulillah, mereka berjaya menterjemahkannya - mendakap Piala Sumbangsih," kata Mohd. Azraai. Ujarnya, biarpun ketiadaan pemain senior seperti Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim, strategi meletak pemain muda yang baharu untuk memikul tanggungjawab membuktikan mereka begitu komitmen dalam perlawanan. Kejayaan Negeri Sembilan menjulang Piala Sumbangsih bersama Mohd. Azraai membukti sentuhan jurulatih tersebut memiliki 'resepinya' tersendiri membentuk pemain baharu selepas kehilangan beberapa tonggak utama pasukan. Bisa jurulatih itu jelas tidak disia-siakan awang import Negeri Sembilan, Jean-Emmananuel Effa Owona dari Cameroon apabila menjaringkan gol penyamaan dan gol kekecewaan penyokong Kelantan pada minit ke-31 dan 63. "Sebelum ini kita telah menguji Effa Owona dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, prestasinya cukup baik dan dalam perlawanan semalam (kelmarin) dia telah membuktikan kemampuannya hingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. "Beberapa pemain muda yang baharu juga harus diberi pujian kerana bukan mudah untuk pemain muda bangkit daripada ketinggalan, apalagi menentang Kelantan yang dibarisi pemain berpengalaman tetapi mereka membuktikan sebaliknya," katanya. Sementara itu, Norhafiz Zamani Misbah yang diberi kepercayaan menggalas peranan kapten mengganti Mohd. Shukor berkata, dia secara peribadi melahirkan rasa gembira kerana kali pertama menjuarai piala berkenaan selepas percubaan bersama Negeri Sembilan pada tahun 2004 gagal. "Sejujurnya kita mahu menang tetapi Kelantan dibarisi pemain hebat dan dihormati sebagai pasukan pilihan. "Kita diakui pada 15 minit permainan bermula apabila pemain Negeri Sembilan (pemain muda) belum mendapat rentak sebenar. Selepas itu, baharu kita bangkit menyusun strategi dan gembira apabila keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat," jelasnya. Katanya, kemenangan itu akan menjadi pembakar semangat dan moral buat semua pemain bagi musim baru Liga Super 2012. Sudah tentu, Negeri Sembilan yang baharu menjulang Piala Malaysia ditambah juara Piala Sumbangsih memberi isyarat awal kepada pasukan dalam Liga Super musim ini agar tidak mengambil mudah kehadiran tenaga muda dan awang import, Effa Owona. | |||
Duit syiling tahun 1793 dilelong RM4.34 juta Posted: 08 Jan 2012 05:52 PM PST
ORLANDO, Amerika Syarikat (AS) - Satu keping duit syiling satu sen (RM0.03) pada tahun 1793 dilelong pada harga AS$1.38 juta (RM4.34 juta) pada satu lelongan di Florida. Seorang kakitangan firma Heritage Auctions, James Halperin memberitahu kelmarin bahawa nama orang yang membelinya tidak didedahkan tetapi dia merupakan seorang pengumpul duit. Duit tersebut dibuat di Mint di Philadelphia pada 1793 iaitu tahun pertama AS menghasilkan duitnya sendiri. Salah seorang pemilik awal duit tersebut ialah seorang ahli perbankan dari Baltimore, Louis E. Eliasberg, Sr. Eliasberg diberi nama jolokan raja duit syiling sebelum kematiannya pada 1976. Dia menyimpan koleksi yang mengandungi sekurang-kurangnya satu keping contoh duit syiling yang telah dikeluarkan oleh kilang syiling AS, Unites States Mint. | |||
Detik serangan harimau bintang Posted: 08 Jan 2012 05:51 PM PST
NEW DELHI - Seekor harimau bintang mencakar empat orang selepas haiwan itu sesat di Silphukhuri di Guwahati, timur laut India, menurut beberapa laporan semalam. Insiden itu yang berlaku kelmarin apabila harimau tersebut memasuki sebuah rumah dan mula menyerang sejumlah penduduk di sebuah kawasan yang sibuk. "Kami berasa terkejut apabila melihat seekor harimau bintang berada di dalam rumah dan kemudian haiwan berkenaan mula menyerang," kata seornag saksi, Nipu Das kepada agensi berita IANS. Orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik semasa insiden berkenaan berlaku. Bagaimanapun, harimau itu kemudian ditembak dengan ubat pelali oleh satu pasukan hidupan liar. Haiwan itu kemudian dihantar ke sebuah zoo. Pihak berkuasa menyatakan haiwan itu datang dari sebuah hutan di pinggir Guwahati. Pemusnahan hutan di sekitar bandar-bandar di India telah menyebabkan sejumlah haiwan liar keluar dari habitat asal dan menyerang manusia. Kejadian yang sama telah dilaporkan berlaku di Jammu dan Kashmir, Uttar Pradesh serta Haryana sejak beebrapa bulan lalu. | |||
Pemimpin Korea Utara dipuji genius Posted: 08 Jan 2012 05:49 PM PST SEOUL - Korea Utara semalam memuji pemimpin muda baharunya, Kim Jong-un kelmarin dengan gelaran "genius antara genius" di dalam sebuah filem ketenteraan yang disiarkan pada hari lahirnya dan merupakan pujian pertama sejak beliau mengambil alih pemerintahan selepas kematian bapanya. Dokumentari itu mengisahkan kemuliaan Jong-un dan antara imej yang disiarkan ialah dia berada dalam sebuah kereta kebal dan memberi arahan kepada pasukan tentera bermeriam, tentera laut dan pasukan unit udara manakala anggota-anggota tentera mengalu-alukan pemimpin tentera tersebut. Filem itu juga memuji Jong-un dan antara skripnya adalah: "Yang dihormati, Kim Jong-un yang sangat mahir dalam strategi ketenteraan serta memimpin pasukan tentera dengan sangat baik." Askar-askar kemudian melompat kegembiraan melihat Jong-un. Parti Komunis Korea Utara telah mengiktiraf Jong-un, yang dipercayai berusia lewat 20-an sebagai pengganti yang hebat kepada bapa beliau, Kim Jong-il, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 17 Disember lalu. | |||
Stephen Hawking sambut ulang tahun ke-70 Posted: 08 Jan 2012 05:48 PM PST CAMBRIDGE - Saintis Britain yang terkenal, Stephen Hawking menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 semalam. Pakar-pakar sebelum ini meramalkan dia akan meninggal dunia lebih awal kerana menghidap penyakit motor saraf. Hawking disahkan menghidap penyakit itu semasa dia berumur 21 tahun. Ketika itu, dia diberikan masa hanya lima tahun untuk hidup. Walaupun, dia menghabiskan banyak masa duduk di atas kerusi roda dan tidak mampu bercakap dengan sempurna, teori fiziknya mengenai rahsia dunia telah menjadikannya seorang yang popular. Hawking bercakap dengan bantuan sebuah komputer. Bagi meraikan ulang tahun kelahirannya, dia akan berucap kepada rakan-rakan dan kakitangan di Universiti Cambridge. Pada 1974, semasa berumur 32 tahun, Hawking menjadi salah seorang felo termuda dalam Persatuan Diraja. Lima tahun kemudian, dia menjadi Profesor Lucasian Matematik di Universiti Cambridge yang pernah dipegang oleh Issac Newton. Bukunya yang terkenal ialah A Brief History of Time. | |||
Pembangunan di pulau buatan berjalan lancar di Dubai Posted: 08 Jan 2012 05:28 PM PST DUBAI - Kerja-kerja pembinaan di pulau buatan manusia yang terletak di luar pantai Jumeirah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berjalan dengan lancar. Sejumlah pulau buatan manusia itu mempunyai 300 pulau tiruan yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu, rumah peribadi, hartanah, resort impian dan komuniti. Ia dimajukan oleh syarikat pembinaan, Nakheel Properties. Menurut syarikat itu, pulau pertama akan dibuka dalam tempoh terdekat dengan pelancaran Kelab Pantai Pulau Dunia. Resort itu pada mulanya dijangka dibuka pada suku keempat 2011 tetapi kerja-kerja pembinaan projek tersebut ditangguhkan menyebabkan ia lewat disiapkan. Resort eksklusif di pulau itu memerlukan seseorang ahli membayar sebanyak AS$10,890 (RM34,249) selama setahun. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:28 PM PST WELLINGTON - Sebuah kapal kargo yang mencetuskan bencana pencemaran maritim kerana terkandas di Terumbu Astrolabe di luar perairan Pulau Utara, New Zealand tiga bulan lalu akhirnya terputus dua dalam satu kejadian ribut semalam. Badan kapal yang bernama Rena itu terputus dua yang berjauhan di antara 20 hingga 30 meter selepas dibadai ombak setinggi tujuh meter. Minyak mula mengalir keluar dari kapal itu yang terkandas di terumbu tersebut sejak 5 Oktober tahun lalu. Ia merupakan baki minyak yang terdapat dalam kapal tersebut selepas 350 tan minyak bocor dari Rena yang menyebabkan 1,300 burung mati. Kapten kapal itu dari Filipina dan pegawai kedua kapal itu telah ditangkap dan berdepan dengan pelbagai dakwaan kerana menyebabkan ia terkandas dan mencetuskan bahaya kepada alam sekitar. | |||
Ribuan lihat seekor itik Asia di California Posted: 08 Jan 2012 05:24 PM PST FRESNO, Amerika Syarikat (AS) - Seekor itik yang hanya dapat dilihat di Asia menjadi tumpuan para peminat burung dari seluruh AS dan Kanada di di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Colusa di Lembah Tengah, California. Beberapa pegawai hidupan liar menyatakan, seekor itik jantan itu yang kerap dilihat di China dilihat buat kali pertama di kawasan tersebut pada 8 Disember lalu. Seorang pegawai itu, Lora Haller berkata, sejak itu, ribuan peminat burung telah melihat itik tersebut. Terdapat sedikit laporan mengenai kelibat haiwan itu di California iaitu pada 1969 di daerah Orange dan di daerah Lassen pada 2002 dan 2003. Menurut Haller, setakat ini tidak diketahui bagaimana itik tersebut boleh berada di California sama ada ia datang dari Asia atau terlepas dari sebuah zoo persendirian. Namun, burung tersebut kelihatan liar, katanya. Itik selebriti itu mempunyai bulu berwarna perak dan hijau di kepalanya. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:22 PM PST
KAMI tergamam. Lereng-lereng Gunung Merapi yang menjadi kebanggaan warga Yogyakarta, Indonesia diselaputi debu. Wajah wilayah itu sudah menjadi seperti sebuah lautan abu. Tiada apa yang ada di bahu kiri dan kanan jalan kecuali batuan besar berwarna hitam kelabu. Ibarat kata rakan penulis, batuan yang berselerak di segenap sudut jalan seolah-olah menggambarkan ia seperti 'dicampak' dari langit. Ya, penulis merasakan seperti 'terperangkap' dalam dunia hitam putih biarpun hampir sudah setahun ia berlalu. Sesungguhnya, muntahan isi perut dan semburan awan panas Merapi telah mengubah atmosfera wilayah itu menjadi tandus dan kering. "Dulu, sepanjang jalan di sini terdapat banyak rumah namun, selepas Merapi meletus, tiada apa-apa yang tinggal kecuali rangka rumah dan beberapa batang pokok," kata pemandu pelancong kami, Ardi, 40-an, yang tiba-tiba menyergah lamunan kami yang sedang larut memerhati keadaan sekeliling dari dalam van dipandunya. Seawal perjalanan, anak jati Yogyakarta yang bersusuk sederhana itu berat untuk berkata-kata. Apabila dia bersuara, penulis percaya dari lubuk hatinya yang terdalam, dia menyimpan satu kisah duka tentang Gunung Merapi. Penulis lantas bertanya tetapi, Ardi sedikit pun tidak bertindak balas. Penulis kemudian menoleh ke arahnya. Ternyata, ada raut kepiluan di wajah Ardi. Melihat keadaan itu, niat tadi terus dilupakan. Seketika kemudian, dengan nada serak-serak basah Ardi berkata: "Maaf, sehingga kini saya tak tahu di manakah saudara-mara saya, adakah mereka sudah hidup atau mati? Nafas saya hampir terhenti ketika itu. Tragedi itu bukan momokan. Ia seolah-olah sedang membunuh jiwa saya secara perlahan-lahan." Ardi terus merintih. Hatinya bagaikan sedang menjerit. Kami memberinya ruang waktu untuk meluahkan rasa yang terpendam. Pada perenggan terakhir, dia menitiskan air mata. Kami yang terbuai dengan cerita sedihnya, kaku seketika. Ya, bukan sahaja Ardi tetapi, perasaan lelaki itu turut dikongsi dengan ribuan penduduk yang tinggal berdekatan dengan gunung yang berketinggian 2,968 meter (m) itu. Letusan Gunung Merapi yang menghamburkan debu dan awan panas pada 26 Oktober 2010 sememangnya telah mengejutkan seluruh alam semesta. Penangan gunung yang telah meletus sebanyak 69 kali semenjak tahun 1548 bukan calang-calang. Kalau tidak, masakan ia mendapat jolokan sebagai 'gunung berapi dekad ini'. Akibat amukan gunung berapi aktif di Indonesia itu, 353 mangsa menemui ajal termasuk menghentikan denyut nadi seorang wartawan, Yuniawan Wajyu Nughroho yang berkhidmat di Vivanews.com. Bagaimanapun, yang paling menggamit perhatian umum ialah cara jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan menghembuskan nafasnya. Kematian 'perwira' yang dipuja di Jawa Tengah itu mencetuskan kegemparan apabila jenazahnya dijumpai dalam keadaan bersujud. Jual VCD Sudah hampir setahun lebih peristiwa ngeri itu berlalu. Sebenarnya, mengikut perancangan asal, penulis bersama rakan-rakan lain ke kota pelancongan, Yogyakarta semata-mata untuk bertemu setelah sekian lama tidak bersua. Bagaimanapun, penceritaan salah seorang pekerja hotel di sana tentang keadaan terkini gunung itu telah menyalakan ghairah kami untuk ke sana. Jarak dari bandar Yogyakarta ke kawasan Gunung Merapi kira-kira 40 kilometer (km). Justeru, kami memutuskan untuk mendapatkan khidmat pemandu pelancong, Ardi. Kami dibawa melewati kesan Merapi di kaki gunung terlebih dulu. Sulit untuk penulis menggambarkan bagaimana wilayah itu. Namun, cuaca yang mencecah hampir 38 darjah Celsius ketika itu mendorong penulis berfikir bahawa Yogyakarta umpama baru dilanda perang yang dahsyat. Kediaman hampir lenyap, yang bertahan cuma beberapa pokok kelapa yang boleh dihitung dengan jari. Terdapat dusun buah-buahan di zon itu sebelum ini. Namun kata Ardi, ia telah menjadi rata dek lahar, lumpur dan batu-batu yang dimuntahkan oleh Merapi. Ribuan manusia yang sebelum ini melayari hidup dengan penuh kegirangan di kampung-kampung di kaki gunung sudah lari entah ke mana. Wilayah itu begitu sugul. Kami mengecilkan langkah. Ardi pula mengasingkan diri. Dia dilihat seperti sedang bertafakur. Nampaknya, musibah yang berlaku telah membangkitkan keberangan penghuni di sana. Ia dapat digambarkan dengan luahan perkataan 'korupsi pembawa bencana' yang terpampang di dinding tinggalan runtuhan bangunan. "Ibu, belilah VCD (cakera padat video) Mbah Maridjan ini, dia sudah meninggal tapi kenangan Mbah ada dalam VCD ini," kata seorang wanita yang tiba-tiba muncul di hadapan kami seraya memegang VCD bertajuk Dahsyatnya Erupsi Merapi Lahar Dingin 2010-2011. Kata rakan penulis, Inggried Dwi Wedhaswary, kebanyakan penghuni yang tinggal sehelai sepinggang terpaksa menggunakan pendekatan seperti itu demi kelangsungan hidup. Bangkit
Jejak kami diteruskan ke puncak Gunung Merapi. Angin langsung tidak menyapa. Itu semua kerana tumbuhan hijau yang tumbuh melata dan hidup subur sebelum ini sudah hilang dari pandangan. Kesungguhan penghuni kaki gunung itu menyebabkan penulis mengakui mereka menemui semangat baharu untuk meneruskan hidup. Mereka tidak terus-menerus meratapi kesedihan. Setiap penghuni mempunyai iltizam yang sungguh luar biasa. "Mengapa tidak kami bangunkan kawasan ini, sebelum ini gunung ini sudah terkenal dalam kalangan pendaki dan selepas ia meletup, ia makin popular dan kami boleh mencari rezeki dengan itu. "Kami berbangga untuk menonjolkan kepada dunia bahawa kami adalah penghuni gunung berapi teraktif di dunia yang berusia lebih 400,000 tahun," kata seorang penduduk yang terselamat, Aden, 31. Kami diminta membayar yuran RM1 oleh penduduk yang dilantik sebelum menuju ke puncak. Kutipan tiket kata Aden, adalah untuk memenuhkan dana Jasa Pengelolaan Wisata Alam Erupsi Merapi 2010. Jika berhasrat untuk melihat lebih dekat puncak dan tapak bekas rumah Mbah Maridjan pula, pengunjung perlu membayar RM7 untuk mendapatkan perkhidmatan motosikal. Ada yang lebih menarik perhatian di sana. Penduduk dilihat bertungkus lumus menyiapkan sebuah masjid bagi menggantikan Masjid Al Amien yang musnah akibat letusan. Untuk mengenang mangsa korban pula, penduduk membangunkan sebuah galeri menempatkan gambar-gambar mangsa yang terkorban. Ya, ada wajah kegembiraan dalam kalangan penjaja apabila mereka dikerumuni dengan ramai pelancong. "Kisah sedih ini tidak akan hilang begitu saja. Kami yang masih menetap di lereng gunung ini bukan bererti menyerah diri untuk mati. Kita bertekad untuk mendengar kata pemerintah sekiranya ditakdirkan berlaku sekali lagi bencana," kata Aden yang memboncengkan penulis ke rumah Mbah Maridjan. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:21 PM PST
MANUSKRIP-MANUSKRIP purba 'dilayan' umpama menjaga pesakit-pesakit di hospital lima bintang di Institut Buku Patologi yang terletak di Itali. Institut itu merupakan lokasi paling tersohor dalam menyimpan dan mengumpul khazanah dan tinggalan manuskrip yang kadangkala tidak dapat dibeli dengan wang. Katakan apa sahaja, daripada segulung skrol yang dinamakan Dead Sea Scrolls hinggalah senaskhah al-Quran yang dikatakan tertua di dunia tersimpan rapi di institut itu. "Lihat betapa lelaki miskin ini merana," kata Ketua Jabatan Kimia, institut itu, Marina Bicchierie ketika dia sedang asyik menguji tahap pengoksidaan sebuah projek terbaharunya. Pada masa yang sama, Bicchierie juga khusyuk meneliti carta analisis saintifik sepucuk surat terakhir hasil tulisan Aldo Moro. Moro ialah bekas Perdana Menteri Itali yang diculik dan dibunuh oleh parti sayap kiri dan juga militan di Itali, Red Brigades pada tahun 1978. Sebenarnya, Institut Buku Patalogi yang didirikan di tengah-tengah pusat bandar Rom itu telah ditubuhkan sejak tahun 1938 lagi. Penubuhannya bermatlamatkan untuk memelihara dan mengekalkan bahan-bahan arkib di seluruh pelosok dunia. Makmal pusat itu terletak di sebuah lokasi strategik iaitu di sebalik sebuah taman yang berdinding. "Institusi ini merupakan sebuah pusat yang paling berdisiplin di dunia," kata Bicchierie. Sebagai pusat penyimpanan material-material purba, ruangnya dipenuhi dengan buku-buku yang 'dicemari' dengan pelbagai penyakit. Khazanah bernilai Salah satu daripada simpanan yang begitu bernilai ialah sebuah buku berlubang yang saiznya sebesar penumbuk. Buku itu beritahu Bicchierie, telah dimakan oleh anai-anai. Namun, terdapat andaian dan teka-teki lain di sebalik 'paras rupa' buku itu. Antara pendapat yang dikemukakan oleh sesetengah pihak ialah lubang itu terjadi disebabkan oleh tembakan peluru yang disasarkan pada Zaman Pertempuran Monte Carlo yang meletus ketika kehangatan Perang Dunia kedua. Mengulas lanjut mengenai Institut Buku Patologi yang menjadi kebanggaan Rome itu kata Bicchierie, ia telah menjadi pusat sehenti paling utama dalam mendapatkan rujukan buku dan bahan arkib yang dikembali dan dipulihkan semula di Itali. Kakitangan institut itu sentiasa sibuk dan tidak menang tangan. Terkini, mereka sedang menjalankan kaji selidik dan pemulihan terhadap manuskrip al-Quran yang dijumpai di Sanaa, Yemen. Serpihan-serpihan naskhah suci itu harus disatukan secara berhati-hati. Hasil kajian awal mendapati, al-Quran itu adalah tinggalan manusia sekitar abad kelapan lalu. Daripada banyak penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar institusi itu, mereka menemui satu penemuan yang pelik. Cerita Ketua Jabatan Biologi institut itu, Flavia Pinzari, pakar-pakar di sana dikatakan berminat untuk mendermakan darah mereka setelah hasil eksperimen mereka mendapati sebotol dakwat dengan darah manusia telah digunakan ke atas skrol yang dikenali sebagai Dead Sea Scrolls. Kaedah itu disifatkan sebagai satu idea yang bernas lagi berkesan kerana ia berjaya membantu menstabilkan warna ke atas skrol berkenaan. "Namun, masalah utama yang saya dapati ialah apabila material itu terdedah dengan air, haba, debu dan serangga," kata Pinzari. Projek itu dikatakan memakan masa yang agak lama untuk diselesaikan. Ia akan menjadi lebih teruk jika terdapat campur tangan daripada pihak tertentu. Kumpulan pakar "Susulan kejadian banjir di Tuscany baru-baru ini, institusi kami telah dipanggil oleh pihak berkuasa tempatan untuk membantu mereka menyelamatkan bahan-bahan arkib yang telah rosak akibat banjir. "Kita telah mohon kepada mereka membekukan setiap material supaya ia dapat mengelak dakwat daripada terus cair dan mengelak pembiakan mikroorganisma. Dengan cara itu, kita akan mengewap buku-buku daripada terus musnah akibat air," jelas Pinzari. Sesungguhnya, Institut Buku Patologi itu sangat berwibawa. Mereka yang berkhidmat di sini bukan orang sebarangan. Sebaliknya, menyatukan ramai saintis, pakar-pakar kesusasteraan serta pekerja-pekerja mahir yang mempunyai kemahiran unggul dalam mengendalikan buku-buku tradisional atau lama. Buku-buku jenis itu bukan mudah untuk dipulihkan. Setiap daripada pakar mempunyai kepakaran mengikat buku daripada terus dimamah usia. Kumpulan pakar itu juga menggunakan mikroskop x-ray dalam setiap kerja-kerja mereka. Namun, pada masa yang sama mereka masih konvensional apabila masih mengguna pakai peralatan seperti penyepit, mesin pencetakan lama dan jentera khas yang dapat mengesan kertas atau manuskrip palsu. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:20 PM PST
BERMODALKAN skirt kembang ala bakul dengan lapisan renda beropol, rekaan pelik itu diserlahkan lagi dengan solekan luar biasa yang terpalit pada wajah gadis berimejkan stail Lolita. Dua dekad lalu, Lolita hanya dikategorikan sebagai fesyen jalanan. Hari ini, ia berevolusi dengan kewujudan beberapa jenis stail Lolita. Sweet Lolita, Classic Lolita, Punk Lolita, Wa Qi Lolita, Dandy Lolita dan Gothic Lolita merupakan antara kategori yang terkandung dalam cabang fesyen Jepun itu. Seorang gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Mina mendedahkan bahawa dirinya sebagai pengikut imej Black Lolita, yang sedikit berbeza dengan penampilan pengikut Lolita ortodoks. Gadis dari Tokyo itu memberitahu, Black Lolita membawa imej suram serta mengetengahkan gabungan stail Sweet Lolita dan Gothic Lolita. "Sweet Lolita banyak menggunakan fabrik berbulu termasuk haiwan yang diawet dan telinga arnab palsu. Gothic Lolita pula lebih menegaskan kepada penggunaan reben hitam, renda, mutiara dan satin.
"Walaupun inspirasi kedua-dua stail itu dicampurkan bagi membentuk ideologi Black Lolita, kami masih mengekalkan penampilan asas Lolita iaitu skirt kembang besar," jelas Mina yang mengatakan terdapat juga Classic Lolita yang berimej lebih matang. Meski berbeza daripada segi penampilan, persamaan kesemua stail Lolita bagaimanapun, masih ketara pada ciri keasliannya yang membawa mesej seksual dan burlesque. "Gadis Jepun sukakan benda comel, tetapi pada masa yang sama, mereka turut tertarik kepada elemen-elemen yang sedikit mengganggu," jelas seorang pereka kostum Lolita, Maiko Fujii. Menerusi ilham terbaharu beliau, Fujii mengupas karakter fantasi Snow White, sebagai medium utama rekaan pakaian dalam wanita versi Black Lolita. Mengimbau sejenak sejarah kewujudan stail tersebut, nama Lolita itu sebenarnya dipinjam daripada novel Vladimir Nabokov. Ia berkisar tentang obsesi seorang lelaki usia pertengahan terhadap seorang budak perempuan berusia 12 tahun bernama Lolita. Interpretasi fesyen Karakter Lolita itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam dunia realiti dan diangkat sebagai interpretasi fesyen dengan penekanan kepada imej keanak-anakan dan cerita dongeng. Berdasarkan adaptasi itu, Fujii mendapati Snow White sebagai subjek sempurna bagi menggambarkan imej Black Lolita yang agak bercelaru. Bagi menyampaikan takrifan Snow White, iaitu fantasi kanak-kanak yang mengimpikan perkahwinan dengan seorang putera, Fujii menciptakan kamisol sifon merah gelap dan stoking hitam panjang paras lutut buat Snow White versi Black Lolita. "Persepsi orang ramai sudah tentu tertumpu pada kesan negatif terhadap remaja perempuan Jepun. Namun, disebabkan mereka mudah terpesona dengan sesuatu yang dilarang dan dahsyat, ia tidak pernah berhenti berkembang," jelas Fujii yang menuntut di Sekolah Rekaan Vantan, Tokyo. Profesor madya sosiologi fesyen di Universiti Bunka Gakuen, Norinao Tanaka melihat stail Lolita sebagai manifestasi unik tentang tahap psikologi remaja Jepun. "Stail Lolita secara amnya mewakili dunia kanak-kanak, saat seorang perempuan belum mengecapi alam baligh," kata Tanaka. Menurutnya, mereka hidup dalam dunia ciptaan mereka sendiri yang dipenuhi dengan unsur comel, manja dan tidak matang. Ia seperti mesej yang memberitahu bahawa mereka enggan memasuki alam dewasa. Fesyen yang dibawa pengikut Lolita juga ibarat pembebasan diri terhadap personaliti yang dibawa mereka. Selain itu, ia juga satu ekspresi pemberontakan dalam menentang sesetengah stail yang dihadkan kepada umur-umur tertentu. Keterbatasan usia Fujii yang kini selesa memakai skirt pendek ringkas dan baju T menyatakan, pada umur 25 tahun, beliau telah berasa agak tua untuk memakai kostum Lolita yang direkanya. Sementara itu, Kanami Naoi, pelajar fesyen di sebuah sekolah seni reka pula memberitahu, stail Lolita amat mirip dengan boneka dan disebabkan itu, ia agak sukar buat wanita berusia mengenakannya. "Ia bergantung kepada siapa yang memakainya, mungkin 30 tahun terlalu tua. Saya rasa mereka yang berumur 25 tahun masih boleh tampil dengan imej Lolita," jelas Naoi. Berbeza pula dengan Imari Sato, 18, yang bersifat lebih terbuka: "Saya rasa umur bukan masalah asalkan ia membuatkan si pemakai selesa dan gembira." Mula dipentaskan pada Minggu Fesyen Jepun dua tahun lalu, gaya Lolita kian mendapat tempat di hati pencinta fesyen Negara Matahari Terbit itu. "Lolita merupakan trend terkini dalam dunia fesyen Jepun. Ia kini menjadi pendahulu kepada semua jenis fesyen yang wujud di negara ini. "Saya rasa ia mampu bertahan sampai bila-bila dalam kelompok fesyen tersendiri di Jepun," luah Pengarah Pertubuhan Minggu Fesyen Jepun, Akiko Shinoda. Kartun Lolita Pengaruh fesyen Lolita dapat dilihat menerusi penciptaan beberapa karakter dalam siri animasi kartun Jepun. Watak dalam sebilangan komik dan permainan video juga negara itu juga ditonjolkan dengan imej Lolita. Kartun popular, Pokemon mewujudkan tiga jenis haiwan pokemon yang disuntik elemen Lolita. Gothita, Gothorita dan Gothitelle diciptakan berdasarkan pengaruh Gothic Lolita dalam industri fesyen Jepun. Selain itu, siri animasi Death Note, Paradise Kiss dan Gosick turut mempamerkan beberapa karakter yang menggayakan fesyen Lolita. Permainan video seperti Tekken 6 juga mempunyai watak gadis Lolita. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:19 PM PST
KONSEP ringkas, ringan dan lembut menjadi kayu ukur dominan dalam persalinan terbaharu Emporio Armani. Rekaan ringkas diangkat sebagai gaya moden terkini dalam konteks fesyen lelaki. Garisan pada pakaian -pakaian tersebut kemas serta dibentuk dengan rapi. Jaket menjadi bintang untuk koleksi kali ini. Sempit pada bahagian bahu ataupun betul-betul mengikut lenturan tubuh badan tersendiri, jaket jenama Itali itu didatangkan dengan satu butang melebihi paras dada. Celana jenama di bawah rangkaian Giorgio Armani itu juga dihasilkan mengikut potongan kaki dengan kemasan jahitan berganda yang berakhir pada buku lali. Konsistensi ciri ringan pada fabrik yang digunakan ditekankan dengan aplikasi teknik lapisan sekali gus memberi kombinasi luar dugaan. Jaket dan kot trenc umpamanya, merupakan material serupa diperbuat daripada krep atau sutera yang tipikal dengan Emporio Armani. Penggunaan warna neutral pada kedua-dua pakaian itu berjaya mewujudkan efek pudar. Kesemua pakaian kali ini mendapat kemasan yang sama walaupun material berbeza termasuklah baju kait, kulit dan aksesori. Signatur konsep ringkas itu juga dapat dilihat pada baju-baju berlapis. Ia dipotong dalam bentuk baju T dan digabungkan dengan ciri baju blouson pendek mengikut fabrik bersesuaian. Dipersembahkan dalam palet warna neutral seperti biru, perak dan perang, pilihan rona-rona tersebut menguatkan lagi sentimen ringkas yang dibawa kali ini. Penggemar warna hitam jua tidak perlu gusar kerana ia turut disediakan dalam rekaan terbaharu itu cuma terhad kepada celana dan jaket sahaja. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:18 PM PST
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini sebahagian besar remaja tempatan teruja menonton program realiti fesyen, Project Runway yang telah masuk musim kesembilan di Amerika Syarikat (AS). Kecenderungan menonton siri televisyen yang memaparkan rencah kehidupan dan di sebalik tabir kesibukan kelompok pereka fesyen telah mendorong remaja kita memasang impian dan bercita-cita untuk bergelar pereka fesyen yang tersohor. Namun begitu, tidak dinafikan segelintir daripada mereka masih samar -samar tentang fungsi pereka fesyen secara menyeluruh. Kadangkala mereka tertanya-tanya sendiri, mengapakah mereka teruja dan obses pada dunia fesyen ini? Kita tertarik pada dunia fesyen, bukan hanya sebagai satu ekspresi individualiti diri dengan cara berpakaian, tetapi juga sebagai satu kaedah ekspresi kreatif melalui rekaan. Fashion is a constant search for the new. It's hungry and ruthless. Tetapi sememangnya kebolehan dan peluang untuk mereka cipta pakaian amat menyeronokkan dan memberikan kepuasan. Konstruksi pakaian Pereka fesyen bukan hanya duduk di meja dan melakar rekaan gaun yang cantik. Sebaliknya mereka perlu membuat penyelidikan, mendapatkan inspirasi dalam membina tema sealiran trend terkini. Seterusnya mencari dan memilih fabrik yang sesuai serta menghasilkan koleksi rekaan hebat berdasarkan fabrik tersebut. Pereka yang baik faham akan ciri-ciri dan sifat sesuatu fabrik dan mengetahui pakaian yang sesuai dengan kain itu. Kefahaman tentang teknik konstruksi pakaian juga penting dalam rekaan fesyen. Apabila mereka mencipta sesuatu himpunan, pereka harus fikirkan mereka menciptanya untuk siapa, jenis kain dan pakaian mengikut musim dan pada masa yang sama perlu bijak dalam aspek rangka promosi dan pemasaran koleksi fesyen masing-masing. Pereka fesyen hanya salah satu daripada pelbagai pekerjaan yang wujud dalam industri fesyen. Perlu diingat, bukan semua individu yang mencintai fesyen mempunyai kebolehan untuk menjadi pereka fesyen berbakat. Fokus Ramai antara individu kreatif yang meminati dunia fesyen menjadi pembeli fesyen tegar, ejen menjual pakaian, penulis fesyen, jurugambar, penata gaya ataupun pelukis ilustrasi. Kesemua profesion memainkan peranan yang penting di atas kejayaan seseorang pereka fesyen. The Oxford English Dictionary mendefinisikan fesyen sebagai budaya atau gaya popular masa kini, terutamanya dalam rekaan pakaian. Pada dasarnya, fesyen bermakna sesuatu gaya yang terkini ataupun up to date dan diakui subjektif serta bergantung pada banyak faktor. Pameran, filem dan muzik boleh mempengaruhi cita rasa sesuatu yang dianggap fashionable pada satu-satu masa. Bagi pereka fesyen, adalah penting untuk memperkembangkan kesedaran tentang cita rasa dan gaya anda tersendiri. Bukan semua individu mempunyai kebolehan dan kecenderungan atau kemahuan untuk mereka pakaian yang tidak konvensional. Sebilangan pereka lebih fokus menghasilkan rekaan yang punyai konsep understatement atau fokus pada perincian pada sesuatu pakaian. Sebilangan lain pula lebih selesa mereka rekaan konvensional. Sememangnya, amat penting untuk seseorang pereka mengetahui kepakaran dan kemampuan yang dimilikinya dalam bidang fesyen, namun begitu ia tidak bermaksud yang anda perlu takut untuk bereksperimentasi dalam menghasilkan rekaan. Kadangkala proses mengenali diri sendiri mengambil sedikit waktu dan tempoh ini selalunya diharungi semasa belajar di universiti, kolej, institusi ataupun sekolah fesyen. Apapun, nasib anda sebagai pereka fesyen terletak di tangan industri dan juga pembeli fesyen untuk membuat pilihan. Perlu diingatkan, tidak semua pembeli menyukai rekaan anda, sememangnya akan ada mereka yang tidak menyukainya langsung. Sama ada mereka suka atau mereka benci. Ini perkara lumrah dalam industri yang begitu subjektif dan kadangkala agak mengelirukan, tetapi lambat-laun anda akan belajar untuk mengharungi segala kritikan. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:12 PM PST MESKIPUN hampir dua jam jenuh mencari arah ke Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah, Meru, Klang penulis sedikit pun tidak mendengus. Melihat wajah anak-anak yatim itu menerbitkan rasa penuh kesyahduan. Kata seorang kanak-kanak yang enggan menyebut namanya sendiri, dia belum ada beg, alat tulis dan buku lagi. Ujarnya sambil menyorok mukanya di sebalik kerusi: "Ayah dan mak dah jumpa Tuhan, tiada siapa yang nak belikan untuk kita." Konsonan kata-kata yang diaturnya secara spontan begitu menghiris kalbu. Raut wajahnya yang mendamaikan membuatkan penulis ingin mendakap erat dirinya. Namun, dia terus lari dan hilang daripada pandangan. Sememangnya cerita di sebalik rumah anak-anak yatim lazimnya terkait dengan kisah dan momen yang meruntun jiwa. Ya, bila difikirkan semula, takdir dan ketentuan kehidupan kita ditulis oleh-Nya. Berada di sana untuk satu tempoh yang singkat, menemukan penulis dengan Ansar Ghasang, 18. Bahtera kehidupan Ansar meniti jalan yang cukup berliku dan sinikal. Dia kehilangan ayah tercinta sejak dia masih kecil. Dunianya menjadi semakin gelap-gelita apabila ibu tersayang menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu. Ansar buntu. Di relung fikirannya terbayangkan bagaimana dia harus meneruskan kelangsungan kehidupan yang penuh ranjau ini? Lebih-lebih lagi ketika itu, dia masih berusia 13 tahun. Tiga orang adiknya masih kecil-kecil lagi. Langit tidak selalunya mendung. Pertemuan Ansar bersama Hasnah Bahari dari Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah bagaikan satu rahmat kepadanya. "Lepas jumpa ustazah Hasnah, kami dijaga sebaiknya, makan, minum, pakai semua dia yang jaga, Alhamdullillah," kata calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan nada suara penuh tertib. Bantuan YSM Pada hari pertemuan itu, Ansar tampak ceria. Dia senyum meleret setelah menerima sumbangan berupa beg sekolah dan alat tulis dari Yayasan Sayang Mutiara (YSM). "Ya, ada yang masih prihatin dengan nasib kami, syukur bukan saya sahaja malah, anak-anak di rumah ini juga akan ke sekolah dengan hati yang girang. Betul, setiap apa yang berlaku pasti ada rahmatnya, terima kasih kepada YSM," kata Ansar berbicara matang. Kanak-kanak lain seperti Zulkifli Zulinasar, 8; Nurin Rohadatul Rasidi, 11; dan kanak-kanak kurang upaya Norsyamira Ramzi, 11 turut gembira dengan pemberian itu. Kata mereka, sumbangan itu membolehkan mereka belajar dengan sempurna. Bersempena dengan bermulanya detik persekolahan di tahun baharu, YSM bertindak menyumbang kelengkapan sekolah kepada 125 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah. Semua sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Ahmad Kemin. Program tahunan YSM Menurut Pegawai Operasinya, Mohd. Awee Sidek, YSM yang ditubuhkan pada tahun 2009 adalah bertujuan untuk mengurus dan menyelaraskan aktiviti kebajikan selain memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan pembangunan masyarakat. "Ini (sumbangan di Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah) adalah kesinambungan daripada Program Jom Ke Sekolah anjuran YSM selepas daerah Johor Bharu, sebenarnya kerja-kerja kebajikan kita tak terbatas setakat di Johor sahaja tetapi, melewati ke tempat-tempat lain juga," katanya. Menariknya lagi tentang YSM, yayasan ini pada setiap tahun akan menganjurkan program tahunan menghargai pelajar luar bandar yang cemerlang pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Pelajar-pelajar tersebut akan dipilih di 10 daerah dalam negeri Johor dan bagi merealisasikannya, YSM bekerjasama erat dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor," jelasnya lagi. Dalam pada itu, selaku Pengerusi YSM, Ahmad berkata, besarlah harapan pihaknya agar sumbangan itu akan membakar lagi semangat penghuni rumah itu untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. | |||
Posted: 08 Jan 2012 05:55 AM PST
CYBERJAYA - Pasangan selebriti, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim telah mengubah lokasi majlis pernikahan mereka pada 23 Februari ini daripada cadangan awal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya ke Hotel Marriot Putrajaya. Lisa menjelaskan, perubahan lokasi itu yang dibuat selepas berbincang dengan keluarga Yusry bagi mengelakkan majlis tersebut mengganggu jemaah di masjid berkenaan. "Kami mengadakan majlis pernikahan selepas Asar. Jadi, kami bimbang mengganggu orang yang datang solat Asar di masjid itu. Majlis pernikahan yang berlangsung juga kemungkinan akan berlanjutan ke waktu Maghrib. "Saya juga fikir bagi pihak keluarga Yusry, keluarga saya dan rakan-rakan perempuan yang mungkin tidak dapat memasuki masjid atas faktor uzur," kata Lisa ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon filem Ular terbitan KRU Studios di pejabat KRU Studios di sini semalam. Menurutnya, majlis resepsi perkahwinan tetap diadakan di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari. Menyentuh persiapan perkahwinan, Lisa berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar. "Malah, kami juga sudah menjalankan ujian HIV baru-baru ini selain mengikuti kursus kahwin pada 9 dan 10 Januari ini. "Untuk temankan Lisa, Yusry sanggup menghadiri kursus kahwin sekali lagi, "katanya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan