ads

Jumaat, 6 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Diana Danielle Terkejut Spekulasi Nikah Farid

Posted: 06 Jan 2012 07:15 PM PST

Diana Danielle

PETALING JAYA: Pelakon jelita Diana Danielle Danny Beeson, 21, menafikan bakal berkahwin pada tahun ini dengan kekasihnya, Farid Kamil, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Diana berkata, dia dan Farid terkejut dengan spekulasi tersebut kerana mereka belum merancang sebarang perkahwinan dalam masa terdekat.

"Macam manalah gosip itu boleh timbul dan saya rasa ia bukan isu yang penting untuk dihebahkan kerana kami tidak merancang untuk berkahwin.

"Lagipun saya masih muda dan banyak perkara yang perlu diberi fokus pada tahun ini. Alhamdulillah kami masih selesa dengan perhubungan cinta ini dan biarlah masa menentukan sejauh mana perhubungan ini boleh pergi," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Difahamkan, pasangan selebriti ini dikhabarkan sudah memulakan perbincangan asas tentang niat untuk mendirikan rumah tangga.

Diana Danille dan Farid Kamil

Malah mereka juga sudah bersedia bergelar suami isteri pada tahun ini walaupun usia Diana masih muda.

Dalam pada itu dia juga sedang sibuk dengan penggambaran filem Hantu Gangster, arahan Namawee.

"Rasa seronok sangat bekerja dengan Namawee. Tambah pula dia mengingatkan saya kepada Afdlin Shauki.

"Walaupun dia pernah mencetuskan kontroversi yang membabitkan hal negara, biarlah ia berlalu kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada kesilapan.

"Kalau boleh saya mahu lihat kerja yang dilakukannya sekarang dan akan datang. Dia mempunyai idea yang sangat bagus dalam mengangkat masyarakat Malaysia melalui setiap filem yang dihasilkannya," ujar Diana.

Selain itu, pada tahun ini Diana bakal muncul sebanyak empat buah filem lakonannya seperti Azazil, Spilt Gravy On Rice dan Jiwa Taiko.

Malah anak kacukan Melayu-Inggeris ini juga akan memberi fokus kepada pembikinan muzik pula di mana dia ingin muncul dengan sebuah lagu berkonsepkan soul dan Jazz.

Zarina Anjoulie Jadi Wanita 'Gedik'

Posted: 06 Jan 2012 07:13 PM PST

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah tidak pernah merasakan ada penerbit filem atau drama di negara ini cuba mengeksploitasi dirinya gara-gara cerita panas yang melandanya.

Zarina berkata, setiap tawaran berlakon yang diterima adalah keputusannya sendiri asalkan watak yang diberikan bersesuaian.

"Seperti drama muzikal Kampus, walaupun watak saya sebagai wanita gedik, saya terima kerana belum pernah memegang peranan sebegitu.

"Tidak timbul isu saya dieksploitasi kerana nama 'Zarina' itu telah sinonim dengan 'seksi' dan 'nakal'. Saya langsung tiada masalah dengan perkara itu," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media drama muzikal Kampus di sini, Khamis.

Tambahnya, dia percaya setiap tawaran yang diberikan kepadanya adalah kerana kepercayaan penerbit dan pengarah filem terhadap bakat yang dimiliki dan bukan kerana cerita kurang enak tentangnya.

Dalam pada itu, Zarina berkata, dia tidak mahu lagi memikirkan mengenai cakap-cakap buruk yang dilemparkan kepadanya kerana dia berazam untuk terus fokus dengan kerjaya dan pelajaran.

Ujarnya, dia sudah terbiasa dengan tohmahan masyarakat terhadapnya dan tidak perlu membuktikan apa-apa kepada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

"Saya bekerja atau tidak rasanya tidak perlu lagi hendak digembar-gemburkan kepada masyarakat. Saya lebih senang dengan bersikap "low-profile".

"Lagi banyak bercakap akan ada sahaja orang mempertikaikan saya, jadi lebih baik berdiam diri dan buat perkara yang tidak mengganggu orang lain," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan dirinya, Zarina berkata, dia sedikit sibuk dengan pelajaran dalam bidang undang-undang di sebuah koleh swasta di ibu negara.

Zarina berkata, dia akan mengambil tawaran berlaku hanya ketika bercuti panjang.

"Saya akan cuti semester dalam masa terdekat ini dan akan menjalani penggambaran filem Khon Malay dan Ular terbitan KRU Studios.

"Selain itu juga terdapat beberapa projek drama seperti Kampus dan beberapa lagi. Saya juga sedang menanti filem Taiko untuk ditayangkan," ujarnya.

Nabil, Kencana Devi Tidak Gugat Halim Othman

Posted: 06 Jan 2012 07:11 PM PST

Kini Halim Othman mengendalikan Breakfast@Suria bersama Kencana Devi dan Nabil.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Halim Othman, tidak merasakan dirinya sebagai 'DJ senior' akan tergugat dengan kehadiran dua pelawak Nabil (Raja Lawak) dan Kencana Devi yang akan bersamanya mengendalikan segmen Breakfast@ Suria.

Halim yang menjadi 'kapten' dalam segmen itu berkata, kehebatan dua penyampai baru berkenaan dalam berlawak memberikan satu cabaran buat dirinya dengan bakat masing-masing, segmen pagi tersebut akan menjadi lebih menarik.

"Saya tidak berasa tergugat langsung dengan kehadiran mereka sebaliknya gembira kerana dapat mengendalikan segmen ini dengan dua orang yang berbakat besar.

"Setakat ini saya suka dengan personaliti Nabil yang jelas di mana dia seorang yang jujur dan kelakar. Begitu juga dengan Kencana, dia hebat berkata-kata. Cuma saya harap apa yang dipersembahkan nanti seimbang," katanya.

Halim ditemui pada sidang akhbar program Seria FM 2012 serta memperkenalkan penyampai radio baru Nabil dan Kencana.

Barisan penyampai radio Suria FM

Tambahnya, dia berharap Nabil dan Kencana dapat membezakan antara melawak di televisyen dan radio kerana impak sesebuah lawak yang dibuat begitu kuat kepada pendengar.

"Dalam pada itu, tanggungjawab kami bukan sekadar membuat lawak setiap pagi tetapi memberi informasi berkaitan dengan hal-hal isu semasa.

"Kiranya, saya membuka sesebuah topik lalu mereka yang akan kembangkan dengan bakat lawak yang dimiliki masing-masing," ujarnya

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, pemilihan dua penyampai radio daripada pelawak bukan sekadar mengikut trend tetapi ia merupakan satu permintaan para pendengar yang inginkan komedi untuk segmen pagi.

"Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kami, elemen komedi perlu ada dalam pengisian setiap segmen lebih-lebih lagi pada waktu pagi. Sebagai contoh, pendengar memerlukan lawak jenaka di saat mereka melalui kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke kerja.

"Bagaimanapun, pihak kami tidak memberikan lawak-lawak kosong, sebaliknya ia akan diisi dengan hal isu-isu semasa," katanya.

Selain Breakfast@ Suria (bermula 5 pagi hingga 10 pagi), segmen kendalian Myra dan Zizi menerusi Menu Ceria Suria akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Mengisi segmen Santai Pejabat Di Suria (1 tengah hari hingga 4 petang) pula menyaksikan keletah Bob Ringgo, diikuti pula Ceria Petang Di Suria bersama Linda Onn (4 petang hingga 8 malam).

Manakala Tyzo akan mengendalikan Citra Muzik Di Suria bermula pada pukul 8 malam hingga 11 malam dan segmen kegemaran ramai, Suria Cinta kendalian DJ Lin pula bermula pada pukul 11 malam hingga 2 pagi.

Nasib Beribu Sesalan di tangan juri

Posted: 06 Jan 2012 07:09 PM PST

pix_middle
TIGA SUARA...mara sebagai finalis AJL26.
TIGA SUARA...mara sebagai finalis AJL26.

KUASA wanita. Awalnya kemunculan gabungan hebat Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah menerusi album Tiga Suara seakan-akan tidak dipedulikan peminat seni tanah air. Walaupun album ini menjanjikan kelainan, fenomena ini dianggap biasa kerana sesuatu konsep baru biasanya lambat diterima dengan drastik oleh peminat.

Akan tetapi tuah menyebelahi mereka apabila lagu Beribu Sesalan dipilih menjadi lagu tema drama Anissa yang disiarkan menerusi slot Samarinda, TV3.

Secara mendadak populariti lagu ini meningkat naik membuatkan tiga wanita ini menjadi sebutan dan kegilaan peminat. Daripada golongan kanak-kanak membawa kepada dewasa, masing-masing menyukai lagu berkonsep balada ciptaan Kevin Chin dan lirik Tinta ini.

Rentetan itu, kejayaan demi kejayaan mula dikecapi trio unik ini. Bermula dengan kemenangan dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Anugerah Industri Muzik 18 (AIM 18), Beribu Sesalan terus unggul apabila berjaya melangkah masuk sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-26 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 29 Januari ini.


Secara kebetulan pada peringkat Separuh Akhir Pertama Muzik-Muzik 26 lalu, mereka muncul sebagai peserta terakhir dan mendapat tepukan paling bergemuruh daripada penonton di studio Sri Pentas, Shah Alam.


Untuk final ini kelak, menerusi cabutan undi yang dibuat baru-baru ini, Tiga Suara sekali lagi muncul sebagai peserta penutup dan tentunya Stadium Putra akan bergemuruh dengan sorakan penonton.

Perhatian dan harapan besar peminat untuk menyaksikan Tiga Suara muncul juara sememangnya menjadi tekanan kepada 3 Suara. Bagaimanapun kata Ning, AJL26 akan dilaluinya dengan tenang. Pada masa sama, dia teruja kerana sudah lama tidak bergelar finalis AJL.

"Saya rasa bertuah kerana dapat bekerja dengan komposer baru yang menghasilkan lagu menarik ini. Sudah lama saya tidak bertanding selepas pernah mara dengan Lagu Awan Yang Terpilu pada AJL20. Pasti selepas ini saya akan menyanyikan lagu konsep balada kerana remaja sekarang sukakan lagu begini. Insya-Allah kami akan sambung hasilkan album konsep Tiga Suara dengan lagu lain pula.

"Alhamdulillah lagu ini hebat apabila jualan untuk nada dering berada di tangga kedua selepas lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain). Selepas ini Tiga Suara akan tampil dengan single ketiga berjudul Semua Isi Hatimu. Pada saya lagu balada memang irama yang biasa di telinga peminat, tapi saya takkan tinggalkan lagu rancak kerana dengan lagu ini saya juga dapat peminat baru," katanya.

Jelas Ning, ketika rakaman di studio, mereka masing-masing menyanyi keseluruhan lagu ini seperti diminta komposer. Selepas proses adunan suara, barulah mereka tahu bahagian yang dipecahkan oleh komposer. Bagi mereka agihan vokal untuk lagu itu adalah yang terbaik dan tidak seharusnya wujud api cemburu.

"Alhamdulillah pilihan komposer ternyata tepat. Memang rezeki Shila kerana menerusi album ini dia dikenali. Saya dan Jac pula pernah dikatakan bersaing siapa hebat, tapi menerusi kerjasama dalam Tiga Suara, tanggapan ini ternyata tidak betul. Kami boleh menyanyi lagu ini secara solo dan saya pernah nyanyi pada konsert saya sendiri, baru-baru ini.

"Namun, saya sedar peminat nak tengok kami muncul menyanyikan lagu Beribu Sesalan bersama tapi agak sukar dilakukan. Justeru kami mungkin menganjurkan satu persembahan sempena Minggu Setiausaha pada April nanti. Dalam pada itu saya juga akan meneruskan siri Konsert Ning di seluruh negara mungkin selepas Tahun Baru Cina.

"Ia akan diadakan di Melaka, Pulau Pinang, Kuantan serta Sabah dan Sarawak. Di sana (Sabah & Sarawak) konsert ini akan berlangsung di beberapa lokasi. Konsert ini akan dikenakan bayaran berpatutan. Insya-Allah akan ada penaja menaja konsert ini selepas membaca kesungguhan saya menerusi liputan pihak media pada konsert lalu," katanya.

Tanggungjawab Jac pula dikatakan agak besar kerana selain Beribu Sesalan, dia juga akan menyampaikan lagu Sedetik Lebih menggantikan tempat Anuar Zain. Namun, baginya tumpuan terhadap kedua-dua lagu ini tetap sama.

"Tidak dinafikan perasaan saya sangat gementar biarpun sudah berpengalaman bertanding. Saya lega kerana giliran persembahan untuk Sedetik Lebih adalah kedua manakala Beribu Sesalan pula terakhir. Ada banyak masa untuk saya tarik nafas sebelum naik pentas semula. Fokus saya untuk kedua-dua lagu ini tetap sama tanpa ada lebih atau kurang.

"Saya akan pastikan buat yang terbaik untuk kedua-duanya. Untuk final, konsep Tiga Suara akan dikekalkan kerana ia sesuatu yang lain dan diterima peminat. Saya tidak pernah fikirkan persaingan sesama sendiri kerana masing-masing ada keistimewaan. Ning punya suara klasikal pop. Begitu juga dengan Shila yang ada cara sendiri. Apabila ada warna dalam vokal, barulah lagu ini jadi menarik," katanya.

Sebelum ini, Shila Amzah hanya melihat dari jauh finalis yang bertanding dalam AJL. Siapa sangka menerusi lagu Beribu Sesalan, dia berpeluang beraksi di pentas yang gah serta menjadi tumpuan ramai ini. Gadis berusia 22 tahun ini bersyukur kerana mimpinya menjadi kenyataan.

"Saya selalu ikuti perkembangan AJL sejak ayah jadi pengacara sehinggalah saya meningkat dewasa. Tidak dinafikan perasaan teringin untuk beraksi di AJL memang ada. Saya rasa sangat teruja untuk bertanding di pentas final pada 29 Januari ini tapi saya tak mahu meninggi diri kerana sedar cabaran finalis lain juga hebat-hebat.

"Walaupun gementar, timbul perasaan seronok kerana saya akan bersama Kak Ning dan Kak Jac setiap kali di atas pentas. Terbabit dalam Tiga Suara adalah satu pengalaman indah. Sebelum ini saya tidak begitu rapat dengan mereka, tapi sekarang kami makin akrab dan banyak benda baru saya belajar daripada mereka," katanya.

Aktiviti seni Shila yang muncul dengan single berjudul Patah Seribu hujung tahun lalu bertambah rancak apabila single keduanya bakal dikeluarkan pada Mac ini. Peminat kini boleh menyaksikan muzik video Patah Seribu menerusi Internet. Dalam masa sama, telemovie berjudul Patah Seribu turut akan ditayangkan menerusi Astro mulai Februari ini.

Drama 'Kampus' Dicedok Daripada Siri 'Glee'

Posted: 06 Jan 2012 07:08 PM PST

Pengarah drama muzikal Kampus, Yusmal Ghazali.

KUALA LUMPUR: Drama muzikal terbaru, Kampus yang bakal disiarkan mulai Sabtu ini adalah idea daripada siri popular Amerika Syarikat, Glee.

Ia akan disiarkan pada Sabtu (malam ini) pukul 8.30 malam menerusi saluran iTV (Astro 180).

Pengarahnya, Yusmal Ghazali berkata, dia mendapat ilham untuk menerbitkan drama berkenaan selepas menyaksikan siri itu dua tahun lalu.

"Saya tergerak hati untuk menerbitkan siri ini apabila menonton Glee bersama isteri dan kami mula menghasilkan sinopsis sebelum menghantarnya ke RTM untuk diteliti.

"Alhamdulillah RTM suka dengan idea kami yang berbeza daripada Glee dan kami diarahkan supaya menghasilkan sebanyak 26 episod untuk siaran di iTV," ujarnya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama tersebut di sini, pada Khamis.

Yusmal berkata, walaupun idea asal dicedok daripada siri popular Amerika Syarikat itu, namun banyak perubahan telah dilakukan mengikut kesesuaian dan cita rasa penonton tempatan.

Ujarnya, Kampus yang menjalani penggambaran di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengupas kehidupan penuntut kolej dengan memasukkan elemen kehidupan seharian mereka sebagai latar utama.

"Ini adalah salah satu cabaran kepada saya untuk memastikan latar dan tema Kampus adalah berbeza daripada Glee.

"Atas dasar itu juga saya mengambil latar kolej dan jalan cerita yang lebih dekat dengan kehidupan seharian penuntut kolej," ujarnya.

Bagaimanapun Yusmal berkata, dia sudah sedia menerima kritikan daripada penonton yang akan membandingkan hasil kerjanya dengan drama muzikal lain.

Sementara itu, Yusmal memberitahu, Kampus bakal menampilkan 68 buah lagu sepanjang 26 episod siarannya dan pemilihan lagu adalah cabaran terbesar buatnya.

Selain lagu yang sedang popular di kalangan anak muda, lagu-lagu lama yang bersifat "evergreen" juga turut diselitkan.

Barisan pelakon yang menjayakan drama muzikal Kampus.

"Bukan senang untuk memilih lagu kerana skrip perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum dapat memutuskan lagu apa yang sesuai.

Bagaimanapun pelbagai perbincangan telah dibuat dan kami yakin 68 buah lagu itu akan disukai oleh penonton.

Antara lagu yang menjadi pilihan adalah seperti Seksis (Anita Sarawak), Bila Cinta (Mila), Layar Impian (Ella), Bebas (Kool) dan Gemilang(Jaclyn Victor)

Kampus bakal menampilkan Diddy Hirdy, Faralyna Idris, Aishah Hoo, Shark Radzuan, Najua P. Ramlee, Atie Abu Bakar dan Azhar Sulaiman.

Nenek Sahkan Justin Timberlake & Jessica Biel Bertunang

Posted: 06 Jan 2012 07:07 PM PST

Justin Timberlake.

SEJAK beberapa hari lalu, agak sukar untuk mendapatkan penjelasan daripada Justin Timberlake mengenai khabar angin pertunangannya dengan Jessica Biel.

Justeru itu pihak media Hollywood mencari pelbagai cara untuk mendapatkan berita yang sah dan portal Radaronline.com berjaya mengorek rahsia pasangan tersebut.

Nenek kepada Justin telah mengesahkan berita berkenaan dan memberitahu cucunya itu telah melamar Biel di tempat peranginan Gunung Jackson, Wyoming, Amerika Syarikat.

"Benar, mereka telah pun bertunang ketika sambutan Krismas tahun lalu dan Biel memiliki wajah dan perwatakan yang sangat manis.

"Malah Biel sangat jujur dan keluarga kami amat menyukainya. Dan ya, kami menerima perhubungan ini dan berdoa semoga mereka akan berkahwin secepat mungkin.," katanya.

Nenek Justin turut membocorkan rahsia bahawa cucu kesayangannya masih lagi belum mempunyai tarikh pernikahan yang sesuai tetapi hari bahagia itu akan berlangsung di Memphis atau Colorado.

"Justin telah menelefon saya tentang berita gembira itu cuma dia enggan membesar-besarkannya kepada umum. Saya rasa inilah masa yang paling sesuai untuknya mendirikan rumah tangga," ujarnya.

'Rolling In The Deep' Paling Popular Di Radio

Posted: 06 Jan 2012 07:05 PM PST

Adele.

TAHUN 2011 sememangnya milik penyanyi bersuara lunak, Adele.

Selepas dinobatkan sebagai artis pertama yang mampu meraih penjualan album melebihi lima juta unit sejak 2004 di Amerika Syarikat, penyanyi kelahiran Britian ini mengukir satu lagi sejarah.

Lagu Rolling in The Deep turut dinamakan sebagai lagu paling banyak diputarkan di radio sepanjang tahun 2011.

Berdasarkan hasil kajian daripada Nielsen BDS, lagu tersebut telah dimainkan sebanyak 658,000 kali oleh radio-radio Amerika sepanjang 2011.

Manakala lagu Give Me Everything nyanyian Pitbull berada di tangga kedua dengan jumlah 620,000.

Dalam pada itu, penyanyi Katy Perry mencipta sejarah tersendiri apabila tiga buah lagunya, ET (4), Firework (5), dan Last Friday Night (TGIF) (10) tersenarai dalam top 10 lagu paling popular di Amerika.

Berikut adalah senarai 10 lagu paling popular di Amerika Syarikat sepanjang 2011:

1. Adele - Rolling In The Deep (658,000)

2. Pitbull - Give Me Everything (620,000)

3. LMFAO - Party Rock Anthem (571,000)

4. Katy Perry - ET (526,000)

5. Katy Perry - Firework (509,000)

6. Pink - Fucking Perfect (501,000)

7. Bruno Mars - Grenade (483,000)

8. Maroon 5 - Moves Like Jagger (465,000)

9. Black Eyed Peas - Just Can't Get Enough (457,000)

10. Katy Perry - Last Friday Night (TGIF) (450,000).

Dendam cinta ditolak

Posted: 06 Jan 2012 07:03 PM PST

DITAHAN...suspek yang menikam teman wanitanya menggunakan pisau pemotong sayur (gambar kecil).
DITAHAN...suspek yang menikam teman wanitanya menggunakan pisau pemotong sayur (gambar kecil).

MELAKA: "Kalau aku tak dapat kau, aku pastikan orang lain pun tak dapat." Itu kata seorang lelaki sebelum menikam kekasihnya dengan sebilah pisau selepas mereka bertengkar berikutan mangsa tidak mahu lagi meneruskan percintaan mereka.

Kejadian berlaku berhampiran tempat letak kereta sebuah restoran berhadapan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Akibat dua tikaman oleh teman lelakinya itu, mangsa, Norzila Alismadi, 22, yang bekerja sebagai juruwang restoran makanan segera, cedera parah di perut serta rusuk kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka (HM).

Suspek yang bekerja sebagai penarik kereta dikatakan nekad menikam Norzila menggunakan pisau pemotong sayur kerana cemburu selepas wanita itu berkawan dengan lelaki lain serta mahu memutuskan hubungan mereka yang dijalin sejak lapan bulan lalu.


"Sebelum itu dia (suspek) tanya betul saya tak nak dia lagi? Saya kata kalau hendak pun, dia kena bekerja dan saya minta dia cari perempuan lain. Dia kemudian berkata kalau dia tak dapat saya, dia akan pastikan orang lain pun tak dapat.

Umpan populariti artis

Posted: 06 Jan 2012 07:02 PM PST

IDENTITI...antara logo kumpulan kongsi gelap dikenal pasti polis.
IDENTITI...antara logo kumpulan kongsi gelap dikenal pasti polis.

KUALA LUMPUR: Kumpulan kongsi gelap seperti geng Double Seven (77), 36, 08, 04 dan 108 dikesan turut menggunakan populariti golongan artis tanah air sebagai tarikan merekrut ahli baru.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan siasatan pihaknya mendapati golongan artis digunakan untuk membuat persembahan dalam sesuatu program yang dianjurkan mereka.

"Mereka menyebarkan maklumat kepada golongan sasaran kononnya menganjurkan konsert mini tertutup dan hanya orang tertentu akan dijemput.

"Pada masa sama ahli kumpulan kongsi gelap yang senior mengatakan ada artis popular yang hadir ke majlis itu, sama ada penyanyi atau pelakon bukan saja akan membuat persembahan malah artis itu itu juga kononnya ahli kumpulan mereka," katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, taktik digunakan geng kongsi gelap terbabit disifatkan berkesan kerana pembabitan artis dalam aktiviti dianjurkan mereka memang berjaya menarik kehadiran ramai terutama golongan remaja.

Tugas besar pereka muda negara

Posted: 06 Jan 2012 07:00 PM PST

MOTIF BUNGA...bunga sering menjadi tema pilihan.
MOTIF BUNGA...bunga sering menjadi tema pilihan.

PADA masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap, tetapi kini kain batik diusahakan menggunakan peralatan moden.

Peredaran masa turut mendorong ramai pereka muda yang memperjuang dan mempertahankan warisan batik ini serta menggunakan teknik terkini dalam pembuatannya.

  • Foto

    TELITI...mencanting dahulu elemen batik di atas kain sebelum diwarnakan menggunakan teknik semburan udara.

  • Foto

    APLIKASI TEKNIK...semburan udara menyerlahkan batik Rafizi.

  • Foto

    BERBEZA...lakaran dan pakaian sebenar batik semburan udara bermotifkan kemboja.

  • Foto

    BERBEZA...lakaran dan pakaian sebenar batik semburan udara bermotifkan kemboja.

Pereka muda, Rafizi Shari, 23, yang mendapat tempat kedua dalam Piala Seri Endon 2011, antara pereka muda dalam pembuatan batik menggunakan aplikasi semburan udara (air brush) dalam hasil karyanya.

"Saya melakukan kajian selama setahun sebelum menggunakan teknik semburan udara dalam pembuatan batik kerana nilai tradisional pada batik perlu dititikberatkan.


"Sebelum menggunakan teknik itu, saya perlu memastikan hasil diperoleh bukan saja bernilai daripada segi warna dan motifnya malah turut merangkumi nilai estetika yang tinggi," katanya.


Rafizi yang menggunakan teknik semburan udara dalam pembuatan batik berbangga kerana tekniknya diiktiraf pakar dalam pertandingan Piala Seri Endon 2011.

Minat Rafizi dalam pembuatan batik bermula ketika mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun lalu apabila dia melakukan tugasan itu atas tuntutan projek dan arahan guru.

"Semasa mengumpul material untuk melunaskan projek pada waktu itu, saya mula sedar batik banyak menggunakan motif tumbuhan dan alam sekitar dalam penghasilan coraknya.

"Saya mula tertarik dengan penghasilan batik kerana sumber idea untuk menghasilkan karyanya mudah dan boleh didapati di mana saja.

"Namun seperti penghasilan karya seni yang lain, seseorang itu memerlukan daya pemikiran kreatif untuk menghasilkan karya yang bagus," katanya.

Rafizi yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Terengganu, berkata sebagai seorang pereka muda dia sentiasa berusaha menarik minat rakan seusianya untuk bersama menghargai warisan batik.

Walaupun dia tahu ia tugasan yang sukar, Rafizi optimis mampu melakukannya dan percaya reka corak batik berjaya menarik perhatian golongan muda.

"Batik kini mendapat perhatian daripada pereka dalam dan luar negara. Ramai artis dan pereka dunia kini mula menggunakan batik dalam rekaan mereka.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mempertahankannya dan mungkin juga menggunakan pakaian yang mempunyai motif rekaan batik.

"Tugas sebagai pereka muda adalah memperbaharui rekaan sedia ada agar lebih sesuai pada zaman kini," katanya.

Rafizi sentiasa mengingatkan dirinya dan pelajar supaya menjadikan batik sebagai identiti dan seni Melayu.

Identiti itu mesti dipertahankan agar masyarakat di seluruh dunia cenderung mengenal Malaysia dan budaya negara ini melalui batik.

Sebagai pereka, Rafizi perlu sentiasa mempunyai idea dan tidak boleh kehilangan ilham. Motif yang menarik dalam rekaan batik Rafizi ialah penggunaan motif bunga dalam setiap karyanya.

"Bunga selalu menjadi tema dalam batik saya. Jika dilihat gelagat orang bercinta, bunga dan manusia tidak dapat dipisahkan. Identiti bunga itu sendiri cantik sama ada daripada segi fizikal dan warna bunga itu.

"Dalam karya terbaru saya, bunga kemboja menjadi pilihan," katanya.

Tugas sebagai seorang pensyarah tidak sedikit pun menghalang Rafizi untuk berkarya kerana baginya, untuk menghasilkan batik dia hanya perlu tempat yang lapang dan selesa.

"Masa untuk menghasilkan batik berbeza mengikut rekaan asal. Rekaan yang mudah dan ringkas dapat disiapkan dalam kuantiti yang banyak dalam sehari (sekurang-kurangnya lapan meter).

"Berbeza dengan rekaan yang agak rumit, ia memerlukan masa lebih untuk disiapkan," katanya.

Menurutnya, sebagai pereka, tempat untuk mendapatkan ilham bergantung kepada setiap individu. Baginya, dia lebih suka berada di persekitaran yang ramai orang serta mudah mendapat bahan seperti kedai buku dan majalah.

"Untuk menghasilkan karya dalam cantingan batik, saya sentiasa pergi ke taman untuk melihat reaksi manusia, alam semula jadi dan interaksi antara kedua-dua aspek berkenaan.

"Setiap warna, motif, cantingan dan corak yang digunakan perlu membawa makna yang mendalam, bukan saja kepada pereka malah orang yang melihatnya," katanya.

Rafizi yang turut meminati bidang rekaan baju berkata, cabaran paling besar adalah untuk menyuntik elemen batik dalam rekaan baju.

Setiap rekaan batik Rafizi berbeza untuk setiap baju, bertujuan memperlihatkan kepelbagaian dalam koleksi.

Menurutnya, setiap pereka mempunyai idea tersendiri dan menjadi kebanggaan apabila rekaan itu menjadi trend dan diikuti pereka batik yang lain.

"Pereka baju selalunya mementingkan material kain dan warna. Sebagai seorang pereka baju dan memperjuangkan seni kreatif batik, cabaran saya adalah untuk memastikan baju yang direka tidak terlalu sarat dengan motif dan corak batik.

"Malah saya juga perlu mengetahui saiz model yang bakal memperagakan pakaian saya supaya dia mampu menghidupkan setiap tumbuhan yang terdapat dalam rekaan pakaian berkenaan," katanya.

Berbicara mengenai masa hadapan, Rafizi mahu rekaan batiknya ini dikenali di seluruh Malaysia dan di peringkat antarabangsa sekali gus berharap dapat menjadikan minatnya itu sebagai sumber pendapatan.

"Saya selalu memegang prinsip roh, berangan-angan dahulu nanti jasadnya ikut, tetapi angan-angan tanpa usaha hanyalah kerja sia-sia," katanya.

Kulit, tulang harimau dalam kotak pos

Posted: 06 Jan 2012 06:59 PM PST

PEGAWAI kastam Thailand menunjukkan kulit dan tulang harimau yang dirampas dalam empat kotak, semalam.
PEGAWAI kastam Thailand menunjukkan kulit dan tulang harimau yang dirampas dalam empat kotak, semalam.

BANGKOK: Pegawai Kastam Thailand semalam merampas empat kotak mengandungi kulit dan tulang harimau yang diseludup bernilai beribu-ribu dollar yang dihantar melalui pos, dipercayai untuk dijadikan dekorasi hiasan dalaman.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Thailand, Somchai Poolsawasdi berkata, bahagian badan lain harimau yang ditemui awal minggu ini, dipercayai datang dari Indonesia dan mungkin akan dihantar ke China.

"Ada empat kotak dan setiap kotak mengandungi satu kulit harimau, tulang dan tengkorak. Setiap kotak itu beratnya lima kilogram," katanya.

Katanya, kesemua kotak itu dipercayai dihantar oleh kumpulan penyeludup melalui Mae Sai di utara Thai land dan sampai ke pejabat pos besar di Bangkok, di mana pegawai Kastam menerima maklumat itu.


"Cara mereka memproses harimau ini, saya rasa ia adalah untuk perabot ataupun hiasan," katanya.


Kumpulan antipenyeludupan, Freeland, berkata, bahagian harimau itu bernilai kira-kira AS$60,000 (RM 188,760).

Yoon Eun Hye hampir buta

Posted: 06 Jan 2012 06:57 PM PST

  • Foto

  • Foto

Gara-gara jadi kebencian peminat, masa depan bekas anggota Baby V.O.X hampir musnah

KARIER seninya yang bermula pada usia mentah - 15 tahun bersama kumpulan Baby V.O.X membuatkan Yoon Eun Hye kurang menyerlah kerana sering dibayangi empat anggota lain. Eun Hye juga acap menjadi mangsa ketidakpuasan hati kumpulan peminat yang cemburu dengan kejayaan Baby V.O.X yang memuncak populariti menerusi album ketiga mereka, Come Come Come pada 1999.
Kemuncak ketidakpuasan hati itu nyaris memusnahkan masa depan Eun Hye apabila mata kanannya ditembak dengan pistol air mengandungi campuran kicap dan cuka yang hampir membuat dia buta. Sempat menghasilkan empat album sebelum mengalihkan minatnya kepada lakonan, gadis kelahiran Seoul, Korea Selatan pada 3 Oktober 1984 ini terus menjadi mangsa kebencian peminat.
Kehadirannya dalam bidang lakonan disambut dingin, malah ramai yang terkejut apabila dia diberikan peranan utama dalam drama Goong, lantas menjadikan Eun Hye sebagai sasaran cemuhan.

Terkilan dengan situasi terpaksa dilaluinya, Eun Hye hampir menolak tawaran itu namun dipujuk bekas ketua kumpulan Baby V.O.X, Shim Eun Jin supaya tidak tunduk kepada tekanan daripada mereka yang membencinya.

Selepas membuktikan bakatnya menerusi drama itu, Eun Hye mula disayangi dan mereka yang dulu membenci datang memohon maaf serta menyatakan kekaguman dengan kekentalan jiwanya.

"Mungkin kerana masih muda, 16 tahun ketika itu menyebabkan saya keliru bagaimana berurusan dengan orang ramai. Saya sering tertekan bimbang dimarahi kepada perkara yang saya sendiri tidak tahu di mana salah dan silapnya. Keadaan bertambah sulit apabila saya semakin dibebani tanggungjawab mengubah saya menjadi seorang yang teliti.
"Ramai bertanya apakah saya seorang yang mementingkan kesempurnaan? Ia mungkin kerana saya belajar daripada pengalaman lalu.

Keyakinan itu hanya datang apabila saya mampu mengawal semua kerja saya," kata Eun Hye yang menjadi sebutan di Asia selepas melakonkan watak utama dalam Princess Hours pada 2006.

Sering disalah erti dengan imej keanak-anakan yang membentuk dirinya di mata peminat, Eun Hye menjelaskan, kecenderungannya terhadap seni banyak dipengaruhi kedua-dua orang tuanya.


Bintang termuda raih gelaran

MERENDAH diri, Eun Hye mengakui tidak pernah menyedari dia memiliki bakat lakonan kerana berasakan kehadirannya dalam bidang itu sekadar tuah.

"Saya bukan yang terbaik tetapi saya sentiasa mencuba untuk memperbaiki kekurangan diri," katanya yang pernah berdepan cabaran getir ketika mula bertapak sebagai pelakon.

Enggan tunduk kepada tekanan umum, Eun Hye mengambil cabaran untuk membuktikan kemampuannya apabila menerima tawaran watak utama dalam drama ketiganya, The 1st Shop of Prince Coffee. Menemui penonton di layar kaca pada Julai 2007, drama itu menerima sambutan hangat penonton sekali gus melonjakkan Eun Hye sebagai aktres yang menerima bayaran tertinggi.

Penerimaan hebat penonton meletakkan Eun Hye dalam senarai pelakon kelas A di Korea Selatan menyertai nama besar lain seperti Bae Yong-joon, Kwon Sang Woo, Ko Hyun Jung dan Song Il Kook. Eun Hye juga melakar sejarah sebagai bintang termuda merangkul gelaran Aktres Terbaik pada Anugerah Seni PaekSang Ke-44, mengenepikan aktres senior iaitu Kim Hee Ae dan Park Jin Hee.

Susulan kejayaan itu turut menyaksikan kegemilangan karier lakonan Eun Hye yang diiktiraf sebagai pelakon wanita termuda memenangi Aktres Terbaik di Grime Awards 2006 dan Aktres Cemerlang di MBC Drama Award 2007.

Sering menangis

LEBIH 12 tahun mengabdikan dirinya dalam bidang seni, mengakui malu kerana tidak berdepan siri latihan yang ketat dan panjang ketika memulakan langkahnya sebagai penyanyi dulu.

"Saya tidak malu kerana pernah bergelar penyanyi tetapi malu disebabkan kekurangan diri sendiri. Saya tidak cantik, malah gagal menyanyi dan menari dengan baik tetapi masih mahu muncul di pentas. Menonton semua video permulaan karier saya membuatkan saya kecewa. Lebih mendukacitakan apabila saya menjadi penyanyi tetapi tidak boleh menyanyi," katanya.

Barangkali disebabkan itu, label penyanyi yang beralih menjadi pelakon sentiasa mengekori langkah Eun Hye membuatkan dia sering tertanya-tanya mengenai kemampuan sebenarnya.

"Saya berdepan kesukaran terutama ketika berdepan dengan isu sebutan yang terus menghantui. Saya sering menangis kerana mengalami tekanan berat hanya disebabkan kekurangan itu.

"Saya gagal menyempurnakan walaupun satu ayat ketika berkomunikasi dengan teman rapat. Ia membingungkan saya, apakah saya mampu meneruskan karier lakonan jika masalah ini berterusan," katanya.


Rindu berlakon filem

SEMANGAT kental yang dimilikinya membuatkan Eun Hye percaya tiada yang mustahil di dunia ini. Sebagai mana dia yakin untuk memulakan karier lakonan, Eun Hye menukar kelemahan itu menjadi kekuatan yang membentuk keistimewaannya. Biarpun mempunyai keghairahan yang tinggi dalam bidang lakonan, namun tidak banyak produksi yang dibintanginya.

Dalam tempoh lima tahun, Eun Hye membintangi tidak sampai 10 produksi televisyen iaitu The Vineyard Man dan Goong (2006), The 1st Shop of Coffee Prince (2007), My Fair Lady (2009) Personal Preference (2010) dan Lie To Me (2011).

Enggan terus berdepan dengan kritikan yang memberikannya cabaran besar membuatkan Eun Hye mengambil masa lima tahun sebelum kembali ke layar perak menerusi My Black Mini Dress, tahun lalu.

"Tiada siapa yang tahu saya sebenarnya terlalu rindu untuk berlakon filem. Namun saya takut. Bagaimana jika filem itu gagal, apakah saya hanya akan berlakon drama selepas itu?

"Saya mahu menjadi yang terbaik, namun disebabkan kemampuan terbatas memaksa saya menahan keinginan untuk berlakon filem," katanya.


PROFIL

Nama: Yoon Eun Hye
Profesion: Aktres, penyanyi dan model
Tarikh Lahir: 13 Oktober 1984
Tempat Lahir: Seoul, Korea Selatan
Tinggi: 168sm
Berat: 48kg
Zodiak: Libra
Drama: Lie to Me (2011); Personal Preference (2010);
Take Care of the Young Lady (2009); The 1st Shop of Coffee Prince (2007); The Vineyard Man dan Goong (2006)
Filem: My Black Mini Dress (2011) dan The Legend of Seven Cutter / Escaping From Charisma (2006).

Mesti Tonton: Konflik emosi ketua keluarga

Posted: 06 Jan 2012 06:56 PM PST

  • Foto

  • Foto

  • Foto

INFO

Filem: The Beaver
Genre: DramaPengarah: Jodie FosterPelakon: Mel Gibson (Walter Black), Jodie Foster (Meredith Black), Anton Yelchin (Porter Black), Jennifer Lawrence (Norah), Cherry Jones (Vice President) dan Riley Thomas Stewart (Henry Black)
Tayangan: Mulai 5 Januari 2012

DIA berada di kemuncak kerjaya apabila mengepalai sebuah syarikat pengeluar mainan terkemuka. Kehidupan peribadi secara lahiriah juga kelihatan bahagia, punya isteri serta dua anak lelaki yang bekerja dari rumah mereka berbentuk roller coster.

Namun, tekanan mental dan penyakit imsonia, selain perniagaan merudum dan diminta pindah keluar oleh isterinya, Meredith (Foster), membuatkan kehidupan seorang ketua pegawai eksekutif bernama Walter Black (Gibson) semakin kucar kacir hingga membawa kepada cubaan membunuh diri.

Usianya masih panjang tetapi kehadiran patung yang dikutip dari tong sampah mengubah suasana apabila Walter mula membina keyakinan diri selepas mula berinteraksi dengan teman baru dipanggil Beaver. Walaupun ramai pelik melihatnya berbicara menerusi patung dikatakan antara terapi doktor psikiatrik, banyak perubahan berlaku apabila dia lebih bermotivasi, bersemangat dan berkeyakinan.
Hasil jualan produk mainan baru yang mengambil inspirasi Beaver naik mendadak, hubungan dengan isteri dan anak bongsunya, Henry kembali akrab, cuma masih wujud rasa dingin antaranya dengan Porter, anak sulung yang tidak menyenangi kehadirannya semula di rumah mereka.

Mengikuti semula perjalanan kronologi kisah bertunjangkan kekeluargaan ini, jelas mengangkat emosi seorang ketua keluarga yang cuba mencari jalan keluar daripada tekanan dengan mencipta karakter berlawanan daripada keadaannya.
Gibson yang pernah berpasangan dengan Foster pada 1994 menerusi filem Maverick tidak mampu disangkal keupayaannya dalam menonjolkan kecelaruan emosi yang sarat duka dan kekeliruan.

Biar akhirnya segala-galanya seakan kembali kepada normal selepas 'kemunculan' Beaver, isterinya masih tidak dapat menerima hakikat Walter perlu menggunakan boneka sebagai terapi hingga suatu hari terbongkar rahsia sebenarnya ia atas kemahuannya sendiri, bukan atas nasihat psikiatrik.

Namun, biar terserlah jurang antara mereka, sebagai darah daging, Foster bijak mencuri babak untuk menunjukkan persamaan sikap serta perwatakan masing-masing sekali pun hubungan Walter dan Porter sangat dingin.

Sebagai remaja, Porter juga tidak dapat lagi daripada jatuh cinta malah secara tidak disedari dia yang bijak dalam pelajaran juga sukar menerima tekanan seperti bapanya apabila teman sekolah, Norah, mula menjauhkan diri sekali gus membuatkannya lebih suka menyendiri.

Barangkali ramai yang menganggap filem ini tidak jauh berbeza daripada drama kekeluargaan lain - kepincangan, perbalahan ideologi serta kurang kasih sayang yang membawa perpecahan antara mereka.

Hakikatnya The Beaver tampil bersama garapan satu persatu persoalan yang dicantum secara kemas, cuma mungkin dalam kisah ini hubungan dingin antara bapa dan anaknya tidak dikupas lebih mendalam selain permulaan babak pembukaan sedikit meleret.

Babak paling menyentuh naluri ialah saat Walter berbalah dengan Beaver hingga dia memotong tangannya sendiri semata-mata mahu membuang makhluk itu daripada kehidupannya.

Keputusan penuh emosi itu terpaksa diambil selepas dia merasakan Beaver tidak menyenanginya kembali kepada keluarga dan untuk 'keluar', dia perlu melakukan pengorbanan besar.

Harga emas dijangka naik RM5,662 seauns

Posted: 06 Jan 2012 06:55 PM PST

HARGA emas dijangka kekal di paras tinggi tahun ini apabila bank pusat global dijangka akan terus membeli logam berharga itu yang dianggap selamat ketika keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kata OCBC Bank.

Ia berkata, komoditi itu kemungkinan meningkat naik kepada AS$1,800 (RM5,662) seauns menjelang akhir tahun apabila bank-bank pusat mengumpul emas bagi mempelbagaikan rizab masing-masing.
Dalam laporan penyelidikan Prospek Komoditi 2012 bank itu, OCBC berkata, pembelian emas yang dibuat oleh bank-bank pusat tahun lalu adalah tujuh kali lebih tinggi berbanding 2010.
Langkah itu menyebabkan berlaku aliran peningkatan bagi logam berharga itu apabila jongkong emas dianggap sebagai penyimpanan nilai bagi pelabur dan pihak berkuasa global.

"Kini, kami melihat harga emas semasa sekitar AS$1,600 seaun sebagai agak wajar," kata bank itu.

Emas, katanya, telah mencatatkan prestasi cemerlang, meningkat hampir 20 peratus, bagi gabungan kadar pertumbuhan tahunan, bagi tempoh 10 tahun lalu.

OCBC percaya aliran itu akan berterusan tahun ini kerana kenaikan harga emas didorong oleh persekitaran kadar faedah sebenar negatif apabila bank-bank pusat dijangka menurunkan kadar faedah atau mengekalkannya pada paras terendah untuk menyokong pertumbuhan.
Buat masa ini, emas masih dicadangkan sebagai komoditi yang selamat, kata bank itu.

Memetik kaji selidik Bloomberg baru-baru ini, bank itu berkata daripada 26 peniaga, 70 peratus masih yakin dengan kedudukan harga emas yang tinggi disebabkan keperluan untuk melindungi aset.

5,000 artifak Titanic dilelong

Posted: 06 Jan 2012 06:54 PM PST

MATA wang dolar dan sekeping syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic adalah antara barangan yang akan dilelong 11 April ini. Gambar kecil jam poket kepunyaan penumpang kelas tiga kapal Titanic dikenali William Hanry Allen dipamerkan pada pra tonton di New York kelmarin.
MATA wang dolar dan sekeping syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic adalah antara barangan yang akan dilelong 11 April ini. Gambar kecil jam poket kepunyaan penumpang kelas tiga kapal Titanic dikenali William Hanry Allen dipamerkan pada pra tonton di New York kelmarin.
Jualan dijangka raih RM595 juta

NEW YORK: Lima ribu artifak yang ditemui dari kapal Titanic yang terkubur di Lautan Atlantik termasuk kepingan badan kapal itu seberat 17 tan, hingga pinggan mangkuk yang pernah digunakan untuk penumpang kelas pertama, akan dilelong di sini 100 tahun selepas kapal itu karam.
Koleksi tidak pernah dikumpul sebelum ini akan dilelong dalam satu sesi jualan oleh firma lelongan Guernsey's Auctioneers pada 11 April ini, genap 100 tahun selepas pelayaran pertama Titanic ke bandaraya ini yang menjadi destinasi sebenar kapal itu apabila ia tenggelam selepas terlanggar bongkah ais di luar Newfoundland.
Guernsey's menyifatkan lelongan itu sebagai "bersejarah" dan berkata ia adalah "pertama dan satu-satunya objek lelongan yang diselamatkan dari tapak kapal karam Titanic sedalam empat kilometer di dasar laut."

Pelelong menganggarkan barangan itu akan dijual dengan harga AS$189 juta (RM594.59 juta).

Barangan itu, beberapa yang dipamerkan kelmarin, mengingatkan kembali kisah mengerikan membabitkan1,500 penumpang yang maut apabila kapal White Star yang sepatutnya tidak boleh tenggelam, belayar keluar dari Southampton, England, karam.

Presiden Guernsey's, Arlen Ettinger, berkata koleksi itu perlu kekal sebagai satu lot tunggal untuk "menggambarkan memori kapal hebat" dan "supaya generasi akan datang sentiasa mempunyai peluang melihatnya."
Pusat lelongan berkata jualan itu "bergantung kepada perjanjian dan syarat tertentu bagi memastikan koleksi itu akan dikekalkan dengan baik dan boleh dipamerkan kepada orang awam."

Ia termasuk kit bercukur hinggalah mainan kanak-kanak, paip tembakau dan butang tembaga pada seragam biru laut tentera dipakai Kapten Edward Smith dan pegawainya.

Gambaran kehidupan glamor di atas kapal terserlah dengan adanya barangan seperti botol kristal dari kabin kelas pertama, lampu hiasan yang pecah dari A la Carte Restaurant, pinggan mangkuk perak dan tembikar biru emas.

Tinggalan bahagian kapal yang masih berfungsi juga berada dalam blok lelongan. Kompas dipantau pegawai pemerhati bilik kawalan turut dijual bersama lampu, tiga wisel gangsa dari saluran dan sebuah loceng.

Antara objek paling menarik perhatian adalah megafon yang dijaga dengan baik. Pelelong berkata ia mungkin yang digunakan kapten ketika beliau mengarahkan pengosongan ke dalam bot penyelamat dan memberi arahan terakhirnya:
"Tinggalkan kapal."

Naib presiden Koleksi Titanic dan seorang pengumpul, Alex Klingelhofer berkata Titanic melangkaui imaginasi dunia sebagai sebagai sebuah "bandar terapung" dan kapal "impian dan harapan." Kapal yang boleh memuatkan 2,200 penumpang, ia adalah objek bergerak terbesar pernah dibina ketika itu.

Apabila kapal itu karam, " ia menjadi insiden paling tragik dalam abad ke-20 dan terus diingati hingga sekarang," katanya.

Barangan itu ditemui dalam beberapa siri ekspedisi sejak 1987 oleh sebuah syarikat digelar RMS Titanic, anak syarikat Premier Exhibitions, yang menubuhkan muzium dan pameran lain.

Ketua syarikat penyelidikan dasar laut, Paul-Henry Nargeolet, , mengingati penemuan itu pada 1987. Apabila pasukan dalam kapal selam khas menyaksikan bangkai kapal: "Kami tidak terpegun selama 10 minit."

Mereka melihat "bahagian paling cantik kapal itu, ia mudah untuk membayangkan penumpang yang tinggal di dalamnya."

Premier Exhibitions berkata ia berhasrat untuk menyalurkan bahagian hasil jualan dijana lelongan itu kepada Tabung Amanah Pemuliharaan Titanic, sebuah dana kebajikan diwujudkan syarikat untuk pemuliharaan akan datang dan penyelenggaraan artifak dikeluarkan dari bangkai kapal.

Ibu tunggal ditawar RM1,000

Posted: 06 Jan 2012 06:52 PM PST

pix_gal0
Syarikat penapis air bantu raih pendapatan melalui Pakej Penyayang

KUALA LUMPUR: Syarikat korporat yang mengeluarkan penapis air Diamond bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk ibu tunggal melalui Pakej Penyayang dengan pendapatan tetap RM1,000 sebulan.
Timbalan Menterinya, Datuk Heng Seai Kie, berkata usaha sama dengan syarikat korporat itu kali pertama dilakukan sejajar Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kementerian untuk menggalakkan lebih ramai wanita memiliki kerjaya sendiri.
"Kementerian menyasarkan 55 peratus tenaga kerja di kalangan wanita dalam sektor kerajaan dan swasta dapat dicapai menjelang 2015 sedangkan peratusan terkini hanya 46.4 peratus saja.

"Pembabitan wanita terutama di kalangan ibu tunggal dalam pasaran kerja diharap dapat membantu mereka menstabilkan ekonomi keluarga, selain menjana pendapatan sampingan untuk sara hidup harian," katanya pada sidang media Projek Penyayang, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nature Environment Product Sdn Bhd, Tong Siew Bee dan Pengarah Eksekutifnya, K C See.

Heng berkata, melalui Pakej Penyayang itu, ibu tunggal yang layak akan diberi latihan menyelenggara penapis air Diamond sebelum menjalankan khidmat selenggara mengikut senarai pelanggan sedia ada.
"Tidak perlu mencari pelanggan baru kerana tugas mereka hanya menyelenggara alat penapis saja, malah bagi memudahkan pergerakan, syarikat akan memastikan lokasi pelanggan perlu ditemui hanya di sekitar tempat tinggal peserta saja.

"Harapan kita ingin membantu ibu tunggal mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

"Bagaimanapun, peserta perlu mencapai sasaran ditetapkan Diamond iaitu 50 mata sebulan bersamaan bonus RM300 dan seterusnya dibayar RM26 bagi setiap mata tambahan yang berjaya diperoleh mereka," katanya.

Katanya, ibu tunggal berminat boleh menghadiri temu duga terbuka yang dijalankan pada Rabu depan di 10 lokasi terpilih atau hubungi 03-8947 3333 dan layari laman web www.diamondhomespring.com/singlemothers untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Penipu Macau kaut RM10 bilion

Posted: 06 Jan 2012 06:49 PM PST

ANGGOTA sindiket yang ditahan dalam serbuan di Lorong Kinta, Georgetown, semalam.
ANGGOTA sindiket yang ditahan dalam serbuan di Lorong Kinta, Georgetown, semalam.
Sindiket rakyat asing menyamar polis, pegawai bank tumpas

GEORGETOWN: Modus operasi mereka adalah menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai bank. Anggota sindiket itu kemudian menghubungi mangsa di China kononnya akaun bank atau kad kredit mereka diceroboh dan wang dalam akaun akan dicuri jika tidak dipindahkan ke dalam akaun lain.
Akibat bimbang wang mereka hilang begitu saja, mangsa mengikut arahan memindahkan wang ke dalam akaun pihak ketiga yang sebenarnya dimiliki anggota sindiket penipuan itu.
Dalam masa sebulan, sindiket yang dikenali sebagai Penipu Macau kerana diketuai seorang warga Taiwan dan dianggotai warga China serta rakyat tempatan itu menipu ramai mangsa yang menyebabkan mereka kerugian sehingga RM10 bilion sejak beroperasi dari dua lokasi di Pulau Pinang.

Namun, kegiatan mereka ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan di Lorong Kinta dan Jalan Pantai Molek, Tanjung Tokong oleh pasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Pulau Pinang, di sini pada jam 10 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata dalam serbuan itu, polis menahan 32 warga asing berusia 18 hingga 40 tahun terdiri daripada 16 wanita dan 16 lelaki serta lima warga tempatan, iaitu dua wanita dan tiga lelaki.

"Modus operandi mereka dengan membuat panggilan kepada mangsa secara rambang dan memberitahu kononnya menghadapi masalah bank atau kad kredit.
"Setiap ahli sindiket dipercayai memberi satu nombor telefon kepada mangsa kononnya sebagai wakil bank dan mereka akan meminta mangsa melakukan transaksi pemindahan wang," katanya di lokasi serbuan di Lorong Kinta di sini.

Beliau berkata, lokasi berkenaan dijadikan pusat membuat panggilan kerana polis menemui beberapa peralatan komunikasi, termasuk komputer riba, modem, penyambung panggilan, telefon dan telefon bimbit.

"Kami sedang mengesan dalang sebenar sindiket itu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun atau tidak melebihi 10 tahun atau sebatan atau denda," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, seorang siswazah Universiti Shanghai yang ditipu menyertai sindiket itu berkata dia hanya menyedari diperdaya selepas bekerja dengan mereka.

Menurut mangsa, tugasnya hanya menjawab panggilan telefon setiap hari mengikut skrip yang disediakan sindiket itu dan bekerja dari 7 pagi hingga 7 malam tanpa dibenarkan keluar serta belum menerima gaji.

"Saya diperkenalkan menerusi seorang kawan untuk bekerja dengan tawaran gaji lumayan sebagai penyambut tetamu serta disediakan tempat tinggal.

"Bagaimanapun, selepas menyertai mereka, saya tidak boleh berhenti dan pulang kerana pasport disimpan sindiket itu," kata wanita berusia 24 tahun dari Xiamen, China itu.


Myra minat kumpul kad

Posted: 06 Jan 2012 06:48 PM PST


Myra bersama koleksi kad kegemarannya, duit syiling 50 sen serta dua keping duit syiling perak edisi khas Michael Jordan.


SIAPA sangka bermula sekadar suka-suka, penyampai radio Suria FM, Amirah Sakhia Samsuddin sudah mempunyai ratusan koleksi kad daripada karakter Marvel Comics dan juga siri televisyen X-Files.

Menurut gadis yang mesra disapa Myra itu, minat mengumpul koleksi kad berkenaan dipupuk sejak berusia lapan tahun kerana dia cuba untuk menyaingi abangnya.

"Memandangkan kami hanya ada dua beradik, saya sentiasa ingin menyaingi apa sahaja yang dilakukan abang dan dari situlah bermulalah pengumpulan koleksi kad saya.

"Malah saya sanggup menyimpan duit semata-mata ingin mengumpulkan semua koleksi kad tersebut sehinggakan ada di kalangan kawan-kawan di sekolah yang cemburu apabila melihat koleksi kad kesayangan saya ini," kata pengendali segmen Menu Ceria Suria ini.

Tambah Myra, kepuasan memiliki set koleksi kad adalah tidak ternilai apatah lagi jika memiliki kad edisi khas sesuatu keluaran tersebut.

"Saya pernah mempunyai kad karakter Marvel Comics lutsinar keluaran khas. Tapi saya telah menjualnya.

"Saya juga turut menyimpan ratusan duit syiling 50 sen yang diberikan oleh ibu kepada saya untuk dijadikan koleksi peribadi dan mungkin akan diwariskan kepada anak-anak saya apabila sudah berkahwin kelak.

"Di samping itu saya juga mempunyai koleksi dua syiling perak edisi khas Michael Jordan dan ia masih tersimpan dengan baik hingga kini," katanya sambil menyusun kad koleksinya.

Berkongsi cerita, Myra meberitahu dia pernah mengutus surat kepada pelakon Hollywood, David Duchovny.

"Saya sememangnya sangat menyukai lakonan Duchovny. Setiap watak dibawakannya memberi kesan kepada saya tambah-tambah lagi melalui siri X-Files yang menjadi siri kegemaran saya.

"Tapi sehingga kini, Duchovny tidak pernah membalas surat yang saya kirimkan itu," katanya sambil tergelak besar.

Dari hotel ke awangan

Posted: 06 Jan 2012 06:47 PM PST


STEW Ekor Asam Pedas dan Ikan Kod Pes Miso merupakan antara hidangan istimewa Chef Zain.


NAMUN di sebalik keseronokan dan keenakan pelbagai sajian yang boleh didapati di restoran tersebut, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana tukang masak Restoran Atmosphere 360 menyediakan juadah kepada pengunjung.

Pada minggu ini, Gaya Chef membawa pembaca ke dapur restoran tertinggi di Malaysia yang gah berada di puncak Menara Kuala Lumpur pada ketinggian 282 meter.

Dapur tersebut diketuai oleh Chef Eksekutif, Mohd. Zain Othman yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang perhotelan dan masakan. Beliau sempat berkongsi pengalaman bersama S3 ketika ditemui, baru-baru ini.

Berbekalkan minat yang mendalam, setelah menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, beliau mengikuti kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam bidang Katering dan Perhotelan selama enam bulan.

Dengan sijil tersebut yang diperolehinya selepas menamatkan pengajian, beliau mula bertugas di bahagian dapur dari hotel tiga bintang sehingga kini berada di awangan.

Sebagai salah seorang pakar masakan, beliau sebenarnya mula terlibat dalam bidang tersebut sejak dari kecil.

Chef Zain berkata, minat memasak timbul sejak beliau di bangku sekolah lagi.

"Sejak kecil lagi, saya selalu mengikut kedua ibu bapa saya berniaga kuih-muih di pasar malam. Dari situ, secara tidak sedar minat saya semakin bertambah untuk menceburi bidang masakan.

"Namun demikian, saya tidak berminat untuk menghasilkan kuih-muih tetapi saya lebih berminat untuk memasak hidangan utama," jelasnya.

Menurutnya, perbezaan berada di dapur hotel lima bintang dengan dapur di awangan tidak banyak.

Namun dari segi cabaran, berada di awangan amat mencabar kerana kesemua sajian yang disediakan kepada pengunjung baik makan tengah hari ataupun makan malam perlu dimasak di dapur yang terletak di bahagian bawah Menara Kuala Lumpur.

"Selaku chef di Atmosphere 360, kami berhadapan dengan cabaran memasak kerana kami hanya dibenarkan masak di dapur yang terletak di bahagian bawah.

"Selepas siap, kami perlu membawa sajian tersebut naik ke atas menara dengan menggunakan lif dan masakan itu juga perlu dipastikan masih panas dan segar.

"Selain itu, kaedah masakan juga berbeza kerana kami hanya dibenarkan memasak menggunakan dapur elektrik.

"Dari segi kepuasan, memasak menggunakan dapur gas lebih pantas tetapi memasak menggunakan dapur elektrik lebih mencabar kemampuan para chef ," katanya.

Beliau berkata, kesemua juadah yang terdapat di Atmosphere 360 disedia berdasarkan kualiti, bukannya kuantiti makanan.

Hidangan yang boleh didapati di Atmosphere 360 ialah seperti juadah buffet dan masakan ala-carte berharga daripada RM88 hingga RM198.

Jika pengunjung ingin menikmati suatu hidangan yang lebih istimewa, maka pesanlah hidangan signature dishes yang keenakannya a sukar untuk dilupakan.

Minat berfesyen dorong Erul buka butik pakaian

Posted: 06 Jan 2012 06:46 PM PST


AK Design milik Erul yang semakin mendapat tempat di hati penggemar fesyen dan peminatnya.


SUDAHPUN beroperasi sejak pertengahan tahun lepas, menurut Erul butik pakaian yang dinamakan AK Design ini merupakan usahanya bersama ahli keluarga.

"Sebenarnya saya memang lahir di dalam sebuah keluarga yang suka berniaga.

"Dan pembukaan butik ini juga merupakan usaha saya bersama ayah serta adik beradik saya yang lain," katanya ketika ditemui di butiknya yang terletak Axis Atrium, Ampang, Kuala Lumpur.

Mengakui bukan mudah untuk bergelar penghibur dan usahawan pada masa yang sama, Erul amat bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang amat memahami jadual kerjanya.

"Memandangkan perniagaan ini baru saya bermula, saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil pekerja lagi.

"Bagaimanapun kesibukan saya tidaklah sampai menganggu waktu operasi ini kerana ahli keluarga saya yang lain juga banyak membantu menguruskan butik ini memandangkan saya sering berada di luar kawasan," katanya.

Tidak menafikan kehadiran di dalam bidang seni sentiasa membantu perniagaanya, menurut Erul kebanyakan peminatnya kini banyak menjadikannya sebagai ikon fesyen.

"Tidak dinafikan menjadi peserta Akademi Fantasia banyak membantu perniagaan saya kini, kerana peminat mula berminat dengan pilihan fesyen di butik saya kini.

"Walaupun pulangan perniagaan ini lebih lumayan dari karier sebagai penyanyi, namun ingin saya tekankan di sini bahawa minat di dalam bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan saya," jelasnya.

Menurut jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini, dalam memastikan pakaian di butiknya sentiasa menepati fesyen terkini dia akan mengambil masa meneliti setiap fesyen terbaru melalui majalah atau Internet.

"Fesyen akan sentiasa berubah mengikut peredaran masa, untuk itu saya akan memastikan saya mempunyai informasi yang tepat mengenai fesyen terkini.

"Selalunya saya akan ke China sekurang-kurangnya tiga kali setahun untuk membeli stok pakaian serta aksesori di sana," katanya.

Menanam impian untuk mengembangkan perniagaanya ini sehingga mempunyai jenama baju sendiri, Erul berharap suatu hari nanti dia mampu mereka fesyen pilihannya sendiri.

"Saya di dalam perancangan untuk mereka fesyen pilihan saya sendiri tahun hadapan.

"Rasanya ia tidak akan mendatangkan masalah buat saya kerana saya memang mempunyai kemahiran untuk mereka corak pada pakaian," katanya.

Muncul dengan single kedua

Baru sahaja keluar dengan single kedua yang yang bertajuk Anroid, Erul berharap agar peminatnya dapat terus menyokong kerjaya seninya yang masih muda ini.

"Apa yang saya harapkan adalah agar peminat saya sentiasa merestui perjalanan seni saya yang masih awal ini.

"Semoga dengan kemunculan Anroid dapat menambahkan kepercayaan mereka di luar saya tentang keupayaan saya," katanya.

Masih tidak mahu di kenali sebagai pelakon, menurut Erul dia ada menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolaknya buat masa ini.

"Saya ada menerima beberapa tawaran berlakon, namun saya terpaksa menolaknya.

"Bukan apa saya tidak mahu terlalu tamak menerima pelbagai tawaran buat masa ini, lebih baik rasanya saya memberikan tumpuan dahulu untuk membina kerjaya nyanyian saya," katanya ketika mengakhiri perbualan pada petang itu.

Impian murni Fairuz

Posted: 06 Jan 2012 06:46 PM PST


ELLIE Xie (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Fairuz Abdul Haleem Shah (tengah) sambil diperhatikan para tetamu khas yang hadir pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan SK-II Miracle Maker yang berlangsung di pusat beli-belah Sunway Pyramid di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SEBAGAI guru seni, jiwanya memang halus, rasa tanggung jawab serta kasihnya kepada kanak-kanak tidak pernah luntur.

Malah makin menebal, apatah lagi apabila melihat kebanyakan kanak-kanak serta remaja hari ini terlibat dengan pelbagai masalah berkaitan emosi dan konflik dalam diri.

Impian murni Fairuz Abd. Haleem Shah itu telah melayakkannya terpilih sebagai pemenang utama daripada ribuan penyertaan untuk pertandingan SK-II Miracle Maker.

Fairuz tidak menyangka pembelian set SK-II pada awal Disember lalu telah memberikannya peluang untuk memasuki pertandingan tersebut.

"Peruntukan RM10,000 ini akan disalurkan kepada kelas terapi saya yang akan membantu para pelajar mengenali diri, meluahkan emosi dengan cara baik menerusi terapi seni," katanya yang ditemui sebelum majlis penyampaian hadiah tersebut bertempat di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Fairuz, terapi menerusi seni di negara ini masih belum meluas. Ia memang ada tetapi ia tidak khusus dan masih tidak mempunyai modul yang sebenar.

"Saya akan wujudkan satu ruang untuk terapi seni dan jika ditakdirkan satu hari nanti, akan ada satu pusat yang mana kanak-kanak dan remaja ini boleh pergi sekali gus menjadikan mereka golongan pelapis yang tahu matlamat diri dan kehidupan mereka," ujarnya yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang terapi seni dari La Trobe University, Australia.

Menurut Fairuz lagi, apa yang diimpikan ini memang satu perkara yang baru, namun dengan pelaksanaannya nanti, ia bakal meletakkan Malaysia di mata dunia.

"Kebanyakan ibu bapa masih melihat seni sebagai satu subjek yang tidak penting di sekolah. Padahal mereka tidak tahu seni sebenarnya membangunkan otak kiri dan kanan seseorang. Lebih menarik, seni merupakan medium luahan secara positif," jelas anak kedua dari tiga beradik ini.

Sementara itu, ibu Fairuz, Sharifah Delia Syed Zainal Abidin, 58, berkata, anaknya merupakan pengguna SK-II sejak dua tahun yang lalu.

"Sebelum ini, kulit anak saya memang amat sensitif, berminyak dan banyak jerawat. Sejak menggunakan Miracle Water, kulit Fairuz lebih lembap dan tona kulitnya juga seimbang secara natural," katanya.

Hadiah telah disampaikan oleh ketua pegawai eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie.

Tekanan putus tunang

Posted: 06 Jan 2012 06:45 PM PST

SAYA Azilah (bukan nama sebenar) berusia 22 tahun. Saya ingin memohon pandangan dan nasihat daripada Puan berkaitan konflik dan tekanan yang saya alami sekarang ini. Saya sebenarnya baru putus tunang kira-kira lima bulan yang lalu. Sikap tunang yang tiada komitmen dan curang di belakang saya membuatkan saya tekad untuk memutuskan pertunangan ini, walaupun tarikh kami akan disatukan tidak lama lagi.

Walaupun kenyataan ini sangat perit untuk saya telan tetapi saya yakin inilah yang terbaik kerana saya tidak mahu dibohongi lagi. Saat saya bersedih, tidak terurus dan kecewa, hadir seseorang yang sudi mendengar permasalahan saya ini. Hubungan kenalan lama yang hanya bermula dengan sapaan di facebook membuatkan hati terhibur dan hilang seketika dengan ribut yang sedang melanda.

Baru-baru ini, beliau ada menyuarakan isi hatinya pada saya tetapi saya sendiri tidak pasti apakah sebenarnya yang saya mahu daripada persahabatan ini. Secara jujur, pengalaman meletakkan kesetiaan yang tinggi akhirnya dikhianati membuatkan saya takut untuk memulakan cinta kembali walaupun terkadang terdetik juga di hati ingin bahagia dan dicintai. Tolong saya Puan, apakah yang harus saya lakukan.

Azilah

Pasir Gudang

TERIMA kasih Azilah kerana sudi berkongsi masalah dan menghantar e-mel kepada saya. Bertemu dan berpisah adalah adat di dalam kehidupan ini, cuma yang membezakannya di mana, bila dan bagaimana. Begitu jugalah rencana kehidupan Azilah untuk 2011 yang lalu di mana Azilah diuji dengan perpisahan dan putus tunang. Sememangnya tidak mudah untuk melewati pengalaman dilukai , dikhianati dan disakiti apatah lagi apabila kepercayaan, kesetiaan dan harapan yang diletakkan cukup tinggi. Namun Azilah yakinlah di sebalik kesuraman perjalanan yang ditempuhi ini sebenarnya terselindung seribu hikmah yang sangat berharga daripada Ilahi. Pastinya ada pengajaran yang sangat bermakna yang mampu untuk Azilah kutip di sebalik ujian ini.

Ketahuilah Azilah, sesungguhnya Allah itu tidak membebani hambanya melampaui kemampuan diri hambanya. Cara yang terbaik untuk bangkit, sembuh dan kembali bahagia sebenarnya cukup mudah iaitu pertama Azilah perlu mulai dengan memaafkan bekas tunang Azilah yang telah mengkhianati Azilah. Seringkali ramai di kalangan kita yang terlepas pandang sesungguhnya kunci kebahagiaan diri yang cukup mudah adalah memaafkan.

Insya-Allah dengan jalan kemaafan, Azilah akan temui kekuatan diri yang lebih hebat dan luar biasa. Kemampuan untuk memaafkan secara tidak langsung mampu menerobos sempadan diri yang selama ini Azilah sendiri yang membataskannya, hanya gara-gara larut di dalam kekecewaan. Bukankah tidak adil untuk insan yang begitu istimewa seperti Azilah yang hidupnya diuntukkan bermuram durja, kecewa dan marah untuk episod silam yang sudahpun menjadi sejarah.

Dan yang lebih utama dari itu juga seharusnya Azilah sendiri turut belajar dan berusaha untuk Azilah memaafkan diri Azilah sendiri kerana kealpaan, kelalaian, kepercayaan, kesetiaan dan kenaifan yang Azilah sandarkan dalam hubungan tersebut dikhianati. Malah sebagai Muslim, pastinya jadikanlah Allah SWT tempat sebaik-baik untuk mengadu, meminta pertolongan dan meletakkan sandaran cinta kerana Dialah Tuhan Yang Satu, cukup hebat mentadbir alam dan isi kandungannya. Mudah-mudahan segala kesedihan dan kedukaan dapat dilupuskan dengan mudah, harmoni dan bahagia.

Insya-Allah lebih pantas Azilah sembuh, reda, sabar dan ikhlas melewati ujian kekecewaan ini, insya-Allah lebih cepat juga akan dihadirkan pengganti yang mampu mengisi kekosongan hati. Sesungguhnya Allah itu tidak pernah zalim. Lihat sahaja kehebatan kasih Allah yang berada di sekeliling Azilah, keluarga dan sahabat yang selalu ada di sisi mendoa dan mengharapkan kebaikan, kesejahteraan, kesembuhan dan kebahagiaan Azilah. Mudah-mudahan dengan doa mereka yang ikhlas ini juga, Azilah akan bertemu suami impian yang diharap-harapkan. Insya-Allah barulah lebih bermakna kehidupan yang dijalani, nak dapatkan yang terbaik pastinya perlu lalui ujian.

Dan kali ini sebelum membuat keputusan rujuk Allah dengan istikharah, mudah-mudahan pimpinan Allah akan menunjukkan yang terbaik untuk Azilah.

Semoga berbahagia, terhibur dan bersyukur atas perhatian dan kasih Allah!

Salam Rahmat

Permainan warna Roger Vivier

Posted: 06 Jan 2012 06:41 PM PST


KOLEKSI kasut Roger Vivier tampil dengan warna-warna terang pada tahun ini.


KASUT merupakan teman baik setiap wanita, kasut tumit tinggi pula memberikan ketinggian yang segera tanpa perlu pembedahan memasukkan tulang besi di antara sendi. Namun sebelum memilih kasut, pastikan anda menyemak destinasi anda terdahulu. Gagal memastikan perkara ini membuatkan destinasi anda menjadi satu igauan ngeri buat anda. Jangan kerana kecantikan kasut itu membuatkan anda menjadi 'mangsa' pada pilihan anda sendiri.

Bagi yang tidak pernah mendengar tentang jenama Roger Vivier ini sedikit informasi menarik tentang jenama ini untuk dikongsi.

Roger Vivier, adalah jenama kasut mewah yang diasaskan di Perancis. Apabila menyebut perkataan mewah, maka harganya sudah tentu tidak perlu dimaklumkan lagi. Antara orang kenamaan antarabangsa yang pernah memiliki dan menggayakannya termasuk mendiang Elizabeth Taylor dan John Lennon. Malah kasut Roger Vivier juga pernah menjadi kasut termahal di dunia. Ia pernah dimiliki oleh Puteri Soraya, isteri kedua dari Shah Iran, Mohammad Reza Pahlevi, pada 1962. Modelnya cukup sederhana, berupa kitten heels berwarna perak.

Terbaru Roger Vivier melancarkan koleksi terkininya sempena tahun 2012. Apa yang dipersembahkan kali ini memang cukup menarik dengan penggunaan warna-warna terang dan mencuri tumpuan. Sebut saja warna apa - merah, biru, kuning, hijau, merah jambu terang semuanya ada dalam koleksi Roger Vivier kali ini. Justeru ia amat menepati kehendak penggemar kasut dan beg tangan atau clutch yang berani dan mahu tampil dengan imej berbeza untuk tahun baru ini.

Apa pun pastinya jenama ini menjanjikan keselesaan buat pemakainya. Bukan itu sahaja, jika anda rasakan beg tangan kelihatan biasa dan anda ingin kelihatan lebih mewah dengan clutch, pilihlah clucth Roger Vivier yang sememangnya mempunyai kelasnya yang tersendiri. Tips memilih clutch jangan semberono pula, pastikan clutch anda cukup besar untuk semua keperluan anda, termasuk telefon bimbit, dompet, kaca mata, keperluan alat solekan asas (pengilat bibir, maskara, celak mata dan bedak asas adalah paling banyak yang anda perlukan). Jika anda membawa lebih daripada itu, tinggalkan sahaja clutch di rumah dan sebaiknya bawalah saja beg tangan.

Roger Vivier juga tidak ketinggalan memperkenalkan koleksi aksesori dari jenamanya yang terdiri daripada coker, gelang dan juga rantai. Malah bagi yang mahukan tali pinggang sebagai pelengkap gaya boleh dapatkan tali pinggang daripada koleksi terkini ini yang juga ditawarkan dalam warna-warna menarik.

Wilayah hijau mempesonakan

Posted: 06 Jan 2012 06:40 PM PST


PETUGAS Taman Warisan Pertanian sedang memberikan penerangan mengenai cara-cara penanaman anak pokok dengan betul selain taman tersebut mempamerkan tanaman-tanaman Malaysia tradisional seperti padi, getah, koko, buah-buahan tropika dan pokok kelapa sawit.


BIARPUN lebih sinonim sebagai pusat pentadbiran negara, usaha telah dijalankan dengan giat untuk mempromosikan ia sebagai destinasi pelancongan bukan saja untuk rakyat tempatan bahkan pelancong luar negara.

Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia ke Putrajaya anjuran Gaya Travel selama tiga hari dua malam.

Sebelum menyertai program itu, Putrajaya bukanlah tempat yang asing bagi penulis malah kunjungan ke situ tidak terhitung dek jari, semuanya atas urusan rasmi.

Namun perspektif penulis terhadap Putrajaya berubah selepas dibawa melihat hampir ke seluruh ceruk Putrajaya.

Destinasi ini bukan hanya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang menitikberatkan persekitaran hijau, mendamaikan dan sejahtera, malah begitu banyak destinasi yang mampu menggamit kunjungan pelancong yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.

Daripada kawasan yang sebahagian besarnya merupakan ladang getah dan kelapa sawit itu, Putrajaya bertukar wajah menjadi salah satu destinasi pelancongan yang digemari ramai termasuk pelancong asing.

Berkonsepkan Bandar Warisan Islam, Putrajaya seolah-olah membawa pengunjung ke syurga dunia yang dihiasi taman nan indah, deruan air mengalir tanpa menjejaskan habitat semula jadi hidupan flora dan fauna.

'Tak kenal maka tak cinta' - setiap destinasi yang ditawarkan di Putrajaya merupakan salah satu kawasan paling sesuai untuk bercuti bersama keluarga serta orang tersayang terutama mereka yang ingin melupakan sejenak kesibukan kerja dan kesesakan di kota.

Dengan segala kemudahan awam yang disediakan, pengunjung tidak perlu terkejar-kejar untuk mengunjungi setiap lokasi menarik di Putrajaya apatah lagi setiap daripada lokasi itu berdekatan di antara satu sama lain.

Panorama waktu malam bandar tersebut pastinya memukau mereka yang sukakan kehidupan di kota raya .

Putrajaya akan dipenuhi cahaya neon pelbagai warna di segenap penjuru taman-taman, landskap di dataran dan jalan-jalan utama di samping tasik.

Sebagai melengkapkan kemudahan infrastruktur, sembilan jambatan dibina antaranya, Jambatan Seri Saujana, Seri Wawasan dan Seri Gemilang bertujuan menghubungkan kawasan 'pulau' yang dipisahkan olah tasik berkeluasan 400 hektar.

Seni bina jambatan-jambatan itu diilhamkan melalui reka bentuk jambatan terkenal di seluruh dunia seperti Jambatan Putra seakan-akan Jambatan Khaju di Isfahan, Iran.

Tidak cukup dengan itu, Putrajaya kini dihiasi 12 taman rekreasi yang dibuka kepada orang awam untuk pelbagai tujuan rekreasi dan aktiviti kekeluargaan.

Antaranya, Taman Botani, Taman Wetland, Taman Wawasan, Taman Cabaran, Taman Warisan Pertanian, Taman Rimba Alam dan Taman Putra Perdana.

Bagi kemudahan sebahagian penduduk dan pengunjung yang majoritinya beragama Islam, masjid seperti Masjid Putra dan masjid kedua di Putrajaya, Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) mampu menampung sehingga 20,000 jemaah.

Kedua-dua masjid ini dilengkapi dengan dewan solat utama, tiga unit kuarters dua tingkat, 10 unit kedai, dewan orang ramai dan kemudahan WiFi.

Seni bina Islam yang ditampilkan cukup halus dan cantik memadai untuk membuatkan sesiapa saja yang pertama kali menjejakkan kaki ke masjid tersebut akan terpukau.

Apatah lagi ia dilatari dengan pemandangan tasik yang indah dan mendamaikan.

Malah untuk melihat Putrajaya lebih dekat, dicadangkan setiap pengunjung menyusuri tasik dengan menaiki Cruise Tasik.

Ini kerana, dengan menggunakan jalan air itu, pengunjung mampu mengembara dan menyaksikan hampir seluruh panorama pembangunan Putrajaya yang berprestij dan mengagumkan.

Seni bina setiap bangunan pasti mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya di samping merakamkan detik bersejarah yang mana setiap sudutnya memberikan imej terbaik.

Kamar ‘baru’ Grand BlueWave

Posted: 06 Jan 2012 06:39 PM PST


KAMAR di aras korporat menampakkan ciri-ciri eksklusif.


SELEPAS 11 tahun penubuhannya, Hotel Grand BlueWave di Shah Alam kini menampilkan pembaharuan dengan memberi nafas baru pada 341 ruang kamarnya.

Dengan rekaan dalaman hasil paduan moden kontemporari yang bertemakan 'gelombang', ia nyata mencipta suasana mewah penuh ketenangan kepada pelanggan.

Setiap aras bermula dari tingkat lima sehingga tingkat 19 diberikan sentuhan berlainan menerusi kontra warna tertentu melatari 280 bilik deluxe, 59 bilik suite, sebuah eksekutif suite dan sebuah presidential suite.

Kesemuanya dibahagikan mengikut empat kelompok atau penanda iaitu aras kumpulan (tingkat 5 hingga 9), aras korporat (tingkat 10 hingga 16), aras wanita (tingkat 17) serta aras BlueWave Club (tingkat 18 dan 19).

Apa yang menariknya adalah rekaan dalaman kertas dinding, perabot dan bantal beradu mini yang diolah begitu bergaya, sekali gus menjadi titik tumpu mewakili setiap kelompok aras.

Aras kumpulan mengetengahkan kesegaran warna hijau daun, aras korporat dengan motif coklat perang tanah manakala warna merah hati didedikasikan untuk aras wanita. Warna biru laut pula menghiasi aras BlueWave Club.

Ubah suai yang dilakukan bertambah menarik dengan suasana panorama indah 'masjid biru' yang begitu sinonim dan terkenal di Shah Alam. Masjid itu jelas dapat dilihat dari satu sudut sisi hotel.

Ditambah ruang yang luas, ia memberii kelebihan utama kepada pelanggan yang menginap dan secara tidak langsung membangkitkan suasana nyaman serta eksklusif kepada mereka, di samping penyediaan bilik khas bebas rokok.

Pengurus hotel ini, Mohd Ghazali Sayed Ibrahim memberitahu, ubah suai reka bentuk dalaman kamar hotel ini telah dibuat secara terperinci dengan mengambil kira kesesuaian dan keperluan semasa.

"Setelah hampir 11 tahun kami menawarkan khidmat hospitaliti bertaraf lima bintang di tengah bandar raya Shah Alam, maka langkah pengubahsuaian ini dilakukan sebagai tanda komitmen kami kepada pelanggan untuk memberi hanya yang terbaik.

"Kos pengubahsuaian setiap kamar menelan belanja sejumlah RM9 juta bermula April dan siap sepenuhnya pada September tahun lalu. Selain itu, pada suku tahun pertama tahun ini, kami bercadang untuk mengubah suai hiasan dalaman Restoran Agehan Japanese, Borak-Borak, Semarak Cafe dan Tung Yuen Chinese," ujar beliau sempena lawatan khas media baru-baru ini.

Tambah beliau, pemilihan konsep ini hasil diskusi bersama pakar hiasan dalaman dan dijangka mampu menarik perhatian lebih ramai pelanggan, sekali gus terus unggul sebagai hotel pilihan nombor satu di bandar raya Kota Anggerik ini.

"Bersama wajah baru dan ketelusan pasukan kami menawarkan khidmat memenuhi kepuasan dan cita rasa pelanggan, Hotel Grand BlueWave Shah Alam berasa bangga untuk berkongsi khidmat serta pengalaman hospitaliti antarabangsa dalam kondisi yang selesa," jelas beliau.

Harga yang ditawarkan kepada pelanggan bermula daripada RM450++ untuk bilik deluxe, RM650++ untuk deluxe suite, RM550++ untuk bilik eksklusif deluxe dan RM750 untuk bilik eksklusif deluxe suite.

Bagi aras eksklusif iaitu Aras BlueWave Club, harga bermula daripada RM700++ untuk bilik deluxe manakala RM850++ untuk bilik suite.

Semua bilik dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti talian IDD, akses internet berkelajuan tinggi, port data, televisyen satelit, rangkaian sistem telefon, bar mini, kemudahan membuat kopi dan teh serta kotak selamat peribadi dalam bilik.

Paling istimewa adalah aras wanita yang direka khusus hanya untuk pelanggan wanita di tingkat 17, manakala di tingkat 18 aras BlueWave Club pula tersedia sebuah lounge persendirian.

Terdapat empat ruang makan untuk dipilih pelanggan sama ada Semarak Cafe, Restoran Tung Yuen (hidangan Cina), Restoran Agehan (hidangan Jepun) atau Borak-Borak.

Dewan konvensyen dan bilik seminar dilengkapi dengan peralatan audio dan visual berserta teknologi canggih pula mampu memuatkan kira-kira 1,500 peserta atau tetamu jemputan.

Manakala dewan banquet boleh memuatkan kira-kira 500 tetamu dan para jemputan serta 11 bilik mesyuarat boleh dipenuhi sehingga 200 peserta.

Selain itu, kemudahan seperti gimnasium, kolam renang dan pusat spa juga tersedia di tingkat empat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved