ads

Ahad, 1 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Jadi Duta 'Avon', Neelofa Terima Tawaran Berbaloi

Posted: 01 Jan 2012 09:14 PM PST

Neelofa

PETALING JAYA: Pelakon jelita dan berbakat besar, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, mengakui telah menerima tawaran yang agak berbaloi untuk menjadi duta produk barangan kosmetik dan perhiasan wanita Avon dengan mengikat kontrak selama setahun.

Neelofa, 23, yang enggan mendedahkan jumlah kontraknya itu berkata, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mempromosikan produk tersebut dan gembira kerana meletakkan namanya sebaris dengan selebriti ternama lain yang pernah menjadi duta Avon sebelum ini seperti Wardina, Rozita Che Wan dan Fazura.

"Alhamdulillah, saya telah menandatangani kontrak pada bulan Disember lalu dan ia akan dilancarkan pada 18 Januari ini.

"Mereka juga menawarkan harga yang boleh dikira berbaloi, mengikut kesesuaian pencapaian saya sepanjang setahun bergelar selebriti. Ada juga saya tanya kenapa saya yang dipilih? Kata pihak Avon, mereka mahu saya membawa jenama Avon dengan cara yang tersendiri di samping melihat daripada aspek wajah komersial," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Tambah Neelofa, menerusi tanggungjawabnya sebagai duta barangan kosmetik Avon, pelakon itu ingin mengubah persepsi golongan remaja yang menganggap produk tersebut hanya digunakan untuk golongan dewasa sahaja.

"Saya enggan menjadi duta sesebuah produk tanpa sebarang hasil. Justeru, perkara pertama yang akan dilakukan ialah, menarik minat pembeli di kalangan remaja seperti saya.

"Mereka selalu menganggap Avon hanya untuk wanita matang tetapi sebenarnya tidak. Ia amat sesuai dengan wajah muda mereka.

"Dalam pada itu, saya juga mahu menggalakkan remaja mengenakan solekan setiap kali keluar rumah agar wajah mereka tidak kelihatan comot. Solekan nipis seperti mengenakan maskara dan pemerah pipi pun sudah memadai," ujarnya.

Pelakon ini juga menegaskan bahawa golongan muda tidak perlu memakai solekan yang tebal seperti yang dilihatnya pada masa kini kerana bimbang wajah mereka akan terjejas.

Sementara itu, Neelofa bersyukur, tahun 2012 bakal menemukan para penonton dengan hasil kerja lakonannya menerusi filem "Azura 2012"; "Lemak Kampung Santan"; "Taiko" dan "SAM".

Malah, kemunculan pertama Neelofa sebagai pengacara Nona yang disiarkan di TV3 pada Ahad menggembirakannya selepas menerima renspons positif daripada peminat-peminat program wanita tersebut.

"Saya gembira sangat apabila sebanyak 80 peratus orang memberikan respons yang baik. Diakui, banyak penambahbaikan yang perlu saya lakukan terutamanya tentang cara percakapan saya yang dikatakan agak laju.

"Kini, saya perlu menunggu reaksi peminat bagi filem "Azura 2012" pula. InsyaAllah, mereka akan menerima lakonan saya itu dengan baik," katanya yang bakal memulakan penggambaran drama arahan Erma Fatima, Dejavu Di Kinabalu tidak lama lagi.

Tutup buku lama

Posted: 01 Jan 2012 09:13 PM PST

pix_gal0
WAJAHNYA jauh matang dari usia sebenarnya yang akan menginjak 17 tahun tidak lama lagi.

Namun sifat keanak-anakan masih menebal dalam diri gadis bernama Ainur Syakina Azman atau nama lebih dikenali Nur Eina ini.
Anak saudara kepada penyanyi Juliza Adlizan itu pernah mencetuskan kontroversi di awal kemunculannya apabila kecoh kisah pertelingkahannya dengan salah seorang pelakon yang turut menjayakan filem Ratu The Movie terbitan Line Clear Motion Pictures.
Kata gadis remaja yang belajar di sekolah di Subang, dia masih lagi fobia dengan apa yang berlaku.

Lantaran peristiwa itu, Eina fobia untuk terikat dengan sesiapa.
Langkahnya hampir terhenti apabila periuk nasinya turut terkena tempias gara-gara produser tidak berani menanggung risiko mengambilnya. Mereka bimbang kesilapan sama berulang.

"Tidak dinafikan gara-gara kontroversi itu, banyak tawaran yang terhalang. Bagaimanapun Rashid Sibir menjadi penerbit pertama yang berani mengambil saya berlakon sehinggalah ke hari ini.
"Abang Rashid seorang yang cukup positif. Katanya kalau asyik memikirkan kontroversi, sampai bila-bila seseorang itu takkan ke mana. Lagipun ada juga artis yang banyak kontroversi tetapi mereka masih mendapat banyak tawaran. Rezeki, katanya kuasa Allah, takkanlah hanya disebabkan kontroversi tidak seberapa, saya tidak boleh bekerja dengan penerbit lain.

"Alhamdulillah sejak abang Rashid membuka pintu kepada saya, semakin banyak pula tawaran yang diterima termasuklah filem. Saya bakal muncul dengan filem kedua berjudul Sesuatu Yang Tertinggal tidak lama lagi," katanya yang memegang watak pelajar sekolah yang nakal bernama Bella untuk filem arahan Asrull Hisyam itu.

Menurut Eina, pengalaman membintangi filem yang turut dibarisi Zahiril Adzim, Sara Ali dan Shira Ayub itu cukup bermakna apabila dia berpeluang menimba ilmu lakonan daripada Zahiril yang ternyata tidak lokek berkongsi ilmu.

"Walaupun tidak digandingkan dengan Zahiril dalam filem ini, saya tetap seronok kerana dia sudi berkongsi ilmu lakonannya dengan memberi panduan atau tips berguna kepada saya.

"Biarpun peranan saya dalam filem ini tidak besar, watak Bella lebih menonjol jika dibandingkan dengan filem Ratu. Dalam filem itu, saya membawakan watak baik. Kebetulan filem itu membariskan ramai pelakon, peluang dikenali tipis berbanding dalam filem kedua ini," kata Eina yang sudah membintangi drama Lima Jingga, Pucuk Muda Kerabu Taugeh, Mistik Alam Hitam, Demi Masa dan Jatuh Cinta.

Selain cintanya pada dunia lakonan, Eina turut mewarisi bakat dimiliki ahli keluarganya dalam dunia nyanyian. Gadis yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) ini juga akan muncul dengan lagu single hasil ciptaan Adnan Abu Hassan berjudul Bahagia Bersama antara Januari atau Februari nanti.

Walaupun bersaudara dengan Juliza, namun kata Eina, dia mengasah vokal dengan bantuan ibunya kerana ibu saudaranya agak sibuk. Disebabkan bakal menduduki SPM, Eina turut memperlahankan aktiviti lakonan, namun pada waktu terluang akan memberikan tumpuan pada nyanyian kerana aktiviti itu tidak terlalu mengganggu pelajarannya.

"Tetapi saya terpaksa menukar rutin itu kerana perlu menghadiri kelas tambahan sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan. Semakin saya ingin memperlahankan aktiviti lakonan, semakin banyak pula tawaran diterima. Namun terpaksa tolak, cuma pada hujung minggu saya akan tumpukan pada bidang nyanyian pula.

"Bidang nyanyian tidak memerlukan saya berada di lokasi terlalu lama. Selepas menyanyi, saya boleh terus pulang. Jadi ibu mencadangkan supaya saya tumpukan pada nyanyian buat sementara waktu," katanya.

Ash dan Sherry Merlis Selamat Diijabkabulkan

Posted: 01 Jan 2012 09:11 PM PST

Ash dan Sherry kini sah bergelar suami isteri.

PETALING JAYA: Selepas enam bulan bercinta, akhirnya vokalis kumpulan Gabba Gabba iaitu Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid, akhirnya sah bergelar suami kepada pelakon Sherry Merlis, pada pagi Ahad.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur dan tiada sebarang majlis persandingan dilakukan untuk kedua-dua belah pihak.

Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Sherry iaitu Wan Zainal Abidin kira-kira pukul 10 pagi dengan disaksikan oleh 100 orang tetamu.

Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan sejumlah wang hantaran yang dirahsiakan dan mas kahwin berjumlah RM200 beserta tiga dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, cincin dan manisan.

Ia dibalas lima dulang hantaran oleh pihak perempuan yang terdiri daripada sirih junjung, sebuah kitab Al-Quran, manisan, cincin dan kek.

Menurut Ash, 29, dia bersyukur kerana akhirnya pernikahan mereka berjalan dengan lancar dan berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat.

"Saya berdoa hubungan kami kekal selamanya. memandangkan ini merupakan perkahwinan kedua saya dan Sherry, kami memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang resepsi, sebaliknya hanya majlis nikah diikuti dengan jamuan kecil-kecilan.

"Walaupun jarak usia kami agak jauh, Alhamdulillah, masing-masing boleh memahami sesama sendiri. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Sherry ialah keperibadiannya dan paling penting, matanya," kata Ash yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Tambah Ash, selain mengusahakan syarikat rakamannya sendiri, Babugusto Records, dia dan Sherry turut merancang untuk membuka sebuah perniagaan produksi.

Pada majlis nikah itu, pasangan merpati sejoli itu mengenakan busana rekaan Lagenda Dan Rizal inspiration manakal wajah Sherry disolek oleh Asmara Andaman.

Pasangan ini mula berkenalan apabila sama-sama terlibat dalam produksi drama Cita dan Cinta, arahan Azma Aizal Yusoof yang diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd.

Sebelum ini Ash pernah mendirikan rumahtangga dengan pengacara Melodi, Khaidirah Abu Zahar atau Dira, 28, dan telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Tengku Anggun Deandra, 3.

Begitu juga dengan Sherry, 40, yang pernah berumah tangga sebelum ini dan memiliki dua orang anak iaitu Habib Daniel, 18, dan Harith Daniel, 17, hasil perkahwinannya dengan Esma Daniel.

Azlan (The Typewritter) Seronok Bergelar Ayah

Posted: 01 Jan 2012 09:10 PM PST

Anak perempuan Lan diberi nama Laurra Lutfea.

PETALING JAYA: Penyanyi Azlan (The Typewritter) kini sudah bergelar ayah selepas isterinya, Normala Hassan,selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 9.03 malam, 28 Disember 2011.

Bayi sulung yang diberikan nama Laurra Lutfea itu dilahirkan secara normal di Hospital Lourdes, Sentul, dengan berat 2.8 kilogram.

Menurut Azlan, 29, atau Lan, sejak melihat 'keseksaan' isterinya melahirkan Lutfea, barulah dia sedar pengorbanan seorang ibu begitu besar nilainya.

"Saya bersyukur kerana isteri boleh bergerak dengan selesa selepas sembilan bulan mengandungkan anak perempuan kami. Cuma selepas sehari bersalin, dia sakit demam panas pula.

"Sepanjang empat hari bergelar bapa, perasaan seronok untuk menjaga Lutfea membuak-buak. Ini pun dah berapa malam saya tak cukup tidur," selorohnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Bagaimapun, tambah Lan, dia enggan Lutfea mengikut jejak langkahnya menjadi seorang penyanyi mahupun pelakon apabila dewasa kelak.

Ujar Lan lagi, dia ingin anaknya itu dididik supaya meminati profesion lain tetapi terpaksa akur jika kerjaya muzik nanti menjadi pilihannya.

"Saya harap, dengan latar belakang keluarga saya yang kuat agama, mereka dapat membantu saya dan isteri mendidik Lutfea.

"Saya percaya, personaliti, karakter dan minat seseorang itu datang daripada asuhan ibu bapa mereka sejak kecil. Semoga kami dapat membimbingnya ke arah yang betul, Insya-Allah," tegasnya.

Lan atau nama sebenarnya Norazlan Rosle dan Normala, 29, telah diijabkabulkan pada 2 Januari 2011 di Surau Al-Munir, Batu 14, Hulu Langat.

2012: Elizabeth Hurley dan Shane Warne Diramal Berpisah

Posted: 01 Jan 2012 09:09 PM PST

Elizabeth Hurley dan Shane Warne

TAHUN lalu, nama pasangan Katy Perry dan Russel Brand diramalkan bercerai pada tahun 2012 dan nampaknya, mereka melalui 'fasa' penceraian tersebut sedikit awal.

Justeru itu, pasangan seterusnya iaitu Elizabeth Hurley dan Shane Warne pula diramalkan bakal berpisah pada tahun ini.

Walaupun pasangan tersebut belum berkahwin, namun para 'peramal' masih lagi menyenaraikan nama mereka dalam taruhan 'pasangan selebriti yang bakal berpisah 2012'.

Menurut laman portal contactMusic.com, nama mereka disenaraikan di bawah nama katy dan Russell dan sebab itu, Hurley dan Warne yang bakal menyusul untuk berpisah.

Bukan sahaja Hurley dan Warne yang disenaraikan, bahkan pasangan Jason Orange dan Catherine Tate turut disenaraikan dalam taruhan tersebut.

Lebih mengejutkan, nama pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie juga ditaruhkan namun, ramalan perpisahan itu mungkin dalam masa setahun lagi.

Begitu juga dengan Beyonce dan Jay-Z, mereka turut berada dalam taruhan 'pasangan selebriti yang bakal berpisah 2012'.

Buat pasangan Putera William dan Kate Middleton, mereka mungkin bakal memiliki seorang cahaya mata atau mungkin kembar!

Rihanna dan Chris Brown Kembali Mesra Di Twitter

Posted: 01 Jan 2012 09:07 PM PST

Rihanna dan Chris pernah dikatakan pasangan cinta yang romantik pada tiga tahun dulu.

NAMPAKNYA, peminat-peminat setia Rihanna kembali berang dengannya apabila melihat dia saling berbalas-balas mesej menerusi laman Twitter dengan bekas kekasihnya, Chris Brown.

Setelah tiga tahun berpisah gara-gara keganasan Chris yang kerap memukul penyanyi kelahiran Barbados itu, nampaknya kedua-dua mereka kembali berhubungan apabila kerap melawati akaun Twitter masing-masing.

Kemesraan mereka jelas dilihat apabila Cris meluahkan rasa cinta kepada bekas kekasihnya itu dengan mengatakan, "Love U more than U know!" pada 29 Disember lalu.

Malah Rihanna memberi respons baik dengan membalas dia turut mempunyai perasaan sama terhadap penyanyi lagu 'Next To You' itu dengan menghantar entri "And we on da same page... (For the most part). I'll always love u #1LOVE."

Chris dan Rihanna mula kembali rapat menerusi laman Twitter pada Mei tahunl alu dan hal tersebut membuatkan para peminat Rihanna bengang dengannya.

Lantas Rihanna menjelaskan mereka sekadar berhubungan dengan menghantar entri Twitter, "Ini cuma di Twitter, bukan di altar, tenang saja!".

Jangan ada agenda tersembunyi

Posted: 01 Jan 2012 09:05 PM PST

pix_middle

SEPANJANG tahun lalu, ramai bintang baru dalam lakonan muncul, namun ia sekali-kali tidak pernah menggugat kehebatan Eja.

Pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin ini jelas membuktikan bakat dan pesonanya tetap hebat apabila menang dua gelaran Aktres Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 dan juga Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem seram Janin.

  • Foto

  • Foto

    CEMERLANG...Eja rangkul gelaran Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 (atas) dan Anugerah Skrin 2011.

Melihat kejayaan berganda itu, tidak salah dikatakan Eja pelakon wanita paling cemerlang dalam dunia hiburan Malaysia pada tahun lalu.

Pada usia 39 tahun dan 15 tahun berjuang tanpa kenal jemu, Eja akhirnya merangkul trofi kemanisan tanpa bersandarkan paras rupa atau terjebak dengan publisiti murahan. Sememangnya dia boleh dijadikan contoh.


Ketika ditemui Rap, baru-baru ini, Eja akui bukan kerja mudah untuk bertahan dalam bidang seni tanah air."Sebaik saja kita keluar rumah, dari hujung rambut hingga hujung kaki kita akan diperhatikan orang. Setiap perlakuan dan tindakan kita perlulah dijaga. Kita juga perlu berbaik dengan semua orang dan janganlah mencari musuh dalam bidang seni ini.

"Terus terang, saya tidak ada ramai kawan rapat dalam bidang seni kerana selepas habis penggambaran di lokasi, saya kena terus balik rumah untuk bersama suami dan anak. Itulah saja 'privacy' yang masih saya ada iaitu apabila bersama keluarga," katanya yang selalu nampak cantik.

Kata Eja, rahsia kejayaan menjadi anak seni yang berjaya adalah melakukan kerja dengan ikhlas dan jangan ada agenda tersembunyi.

"Kalau seseorang itu masuk dalam bidang seni ini sekadar menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mencari jalan pintas glamor atau menjerat golongan kenamaan, ia pasti tidak akan kekal lama.

"Kalau begitu niatnya ia tidak akan ke mana kerana orang itu tidak akan fokus lagi kepada kerjayanya. Ia hanya akan memakan diri," ujarnya.

"Saya sedar kerjaya lakonan perlukan pengorbanan yang tinggi. Kita juga jangan lekas jemu.

"Saya memang seorang yang degil dan berani untuk mencuba sesuatu yang baru terutama untuk peningkatan dalam karier lakonan. Suami memang faham dengan sifat degil saya itu.

"Saya juga tidak pernah kenal erti putus asa. Semuanya kerana cinta yang begitu mendalam dalam bidang seni serta sudah sebati dalam diri saya.

"Apapun, sejak menjadi ibu, saya perlu bijak bahagikan masa supaya rumah tangga tidak

terabai. Saya bertuah kerana suami saya cukup memahami isterinya yang bekerja 16 jam sehari ini," katanya yang bersuamikan Mohd Silahuddin Jamaluddin.

Sebelum ini, Eja pernah mengungguli kategori Pelakon TV/VCD Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2004 (ABPBH2004); Pelakon Wanita Pilihan menerusi filem Bilut (FFM 2006) dan Pelakon Drama Berunsur Islam TV Wanita Terbaik (Anugerah Media Islam Negara 2008).

Ternyata, rezeki ibu kepada Nur Eishal ini semakin melimpah sejak menang anugerah yang menjadi idaman semua anak wayang. Berbanding dulu, kini, dalam tempoh sebulan, dia dapat tawaran berlakon tiga filem sekali gus.

"Ia anugerah kelima buat saya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni. 2011 juga tahun bersejarah buat saya. Saya kembali berlakon pada Ogos 2010," katanya.

Apapun, Eja menafikan dia berlakon kerana mengejar anugerah semata-mata.

"Bagi saya, setiap produksi yang saya buat, saya akan beri 100 peratus komitmen. Apa yang penting, kita ikhlas, sabar dan bersungguh-sungguh.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, kejayaan akan datang juga satu hari nanti. Kemenangan tidak akan datang dengan jalan mudah," katanya.

Menang anugerah juga bukan bermaksud Eja sudah boleh 'demand' atau letak harga.

"Tak perlulah nak 'demand'. Selama ini pun saya bersyukur dengan bayaran yang saya terima, cukup untuk makan minum dan pakai," katanya ringkas.

Namun, kata Eja, perlulah diingat kerana kejayaan bagi seseorang anak seni itu turut disokong dengan bantuan orang lain yang terbabit di sekeliling individu itu.


Kenapa Eja nak jumpa Ogy?

WALAUPUN sudah menang anugerah besar, Eja tetap menganggap dirinya masih serba kekurangan dan ingin terus menimba ilmu lakonan.

Justeru dia tidak berfikir dua kali apabila mendengar kelas lakonan yang yang dianjurkan aktres handalan, Fauziah Ahmad Daud (Ogy).

"Menang anugerah juga bukan bermaksud kita sudah terbaik dalam semua aspek. Apabila kita ke kelas lakonan, ia akan tentu menambah lagi ilmu sedia ada dan lakonan kita boleh diperbaiki lagi. Apa yang dipelajari boleh digunakan dalam projek lakonan akan datang.

"Saya percaya, pelakon juga perlu ada ilmu dalam misi untuk menjadi pelakon yang hebat sekali gus menaikkan kualiti produk seni tempatan.

"Jadi apabila Kak Ogy beritahu dia akan anjur kelas lakonan tahun depan (2012), saya terus bersetuju kerana ingin menimba ilmu dengan pelakon hebat sepertinya," kata Eja.

Dalam pada itu, duta produk Go Cell ini turut terkilan tidak dapat kerja dengan seorang lagi bintang berkaliber, Ellie Suriaty yang baru mengarah filem genre seram, Penanggal terbitan Astro Shaw dan Grand Brilliance Sdn Bhd. Ellie juga seorang tenaga pengajar lakonan dan pernah membantu aspek lakonan Maya Karin dan Lisa Surihani bagi filem Ombak Rindu.

"Saya sudah dapat skrip untuk watak Sharifah Zahrah dalam filem itu tapi sayangnya tidak dapat berlakon kerana ada masalah pertembungan jadual penggambaran. Watak itu kini dilakonkan Fasha Sandha. Saya ingin sangat bekerja dengan Ellie kerana dia ada ilmu lakonan yang baik.

"Apabila mendengar Ellie melangkah setapak lagi untuk mengarah filem, saya memang teringin bekerja dengannya.

"Selain itu, saya ingin bekerja dengan pengarah filem yang kreatif seperti Zarina Abdullah yang berjaya menonjolkan Natasha Hudson dalam filem Chermin. Saya juga sudah lama tidak dengar cerita Zarina selepas filem Chermin? Apa yang dia lakukan sekarang? kata Eja.

Menyentuh kedatangan Tahun Baru 2012, Eja mengharapkan yang lebih baik buat kerjaya seninya.

"Saya sentiasa menunggu watak yang sesuai dengan usia saya sekarang. Watak remaja atau gadis pakai seragam sekolah tentu tidak sesuai lagi dengan saya.

"Kalau di Hollywood, bintang filem senior seperti Judi Dench dan Robert Redford masih lagi bawa watak utama tetapi watak itu kena dicipta khas buat usia mereka," katanya.

Dalam pada itu, peminat juga berpeluang menonton lakonan Eja pada tahun ini menerusi siri baru 13 episod, Tulus Meniti Takdir arahan dan skrip Rina Khan terbitan Layar Viana Sdn Bhd serta Masih Membara Cintaku.


7 mengenai Eja

  • Warna yang paling tak digemari?
    Biru

  • Alahan kepada?
    Ubat batuk

  • Pasar basah paling digemari?
    Pasar Malam Bangsar Baru

  • Saiz kasut anda?
    Saiz 38

  • Filem terakhir ditonton?
    Puss In Boots

  • Makanan kegemaran suami?
    Daging kentang goreng berlada

  • Destinasi pelancongan tempatan paling disukai?
    Pulau Tioman.
  • Pisau dalam beg kekasih

    Posted: 01 Jan 2012 09:03 PM PST

    SIASAT...pasangan kekasih yang ditahan. Gambar kecil, senjata berbahaya yang dirampas polis.
    SIASAT...pasangan kekasih yang ditahan. Gambar kecil, senjata berbahaya yang dirampas polis.
    pix_topright

    KUALA LUMPUR: Dua pisau lipat dan seutas rantai besi berukuran 104 sentimeter yang disimpan di dalam beg tangan dan motosikal membawa malang kepada sepasang kekasih yang dicekup ketika sambutan tahun baru 2011 di Jalan Ipoh, di sini, awal pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pasangan berkenaan sedang leka bergembira di kawasan belakang sebuah stesen minyak di kawasan itu bersama beberapa pasangan kekasih lain.


    Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata pasangan terbabit yang berusia 20-an ditahan sepasukan anggota Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur yang menjalankan pemeriksaan Ops Samseng Jalan Raya di kawasan itu.

    Menurutnya, ketika pemeriksaan, pasangan itu berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan badan ke atas mereka menemui senjata berbahaya iaitu sebilah pisau berukuran 11 sentimeter di dalam beg tangan milik pasangan wanita.


    "Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang pasangan itu pula membawa kepada penemuan sebuah pisau lipat berukuran 20 sentimeter dan seutas rantai besi berukuran 104 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.


    "Selepas disoal siasat, pasangan itu mendakwa senjata berbahaya itu bukan milik mereka. Bagaimanapun mereka ditahan dan dibawa ke balai," katanya.

    Beliau berkata, mereka ditahan di Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

    Didera kerana enggan melacur

    Posted: 01 Jan 2012 09:01 PM PST

    MANGSA DERA...keadaan Sahar ketika dia diselamatkan dari rumah keluarga mentuanya.
    MANGSA DERA...keadaan Sahar ketika dia diselamatkan dari rumah keluarga mentuanya.

    KABUL: Seorang remaja teruk didera, dibelasah dan dikurung dalam tandas oleh keluarga suaminya selama lima bulan kerana enggan menjadi pelacur.

    Ketika diselamatkan dari sebuah rumah di wilayah Baghlan minggu lalu, Sahar Gul, 15, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


    Media semalam melaporkan, Sahar bernasib baik kerana jiran terdengar dia menangis dan mengerang kesakitan di rumah berkenaan.

    Menurut polis, keluarga ipar Sahar mencabut kuku dan rambut mangsa, selain menguncinya dalam tandas gelap bilik bawah tanah selama lima bulan.


    Sepanjang tempoh itu, kata polis, Sahar hanya diberikan sedikit makanan dan minuman.


    Untuk menambah seksaan, Sahar juga dicucuh dengan puntung rokok serta mengepit dagingnya dengan playar.

    Walaupun terlalu lemah, Sahar mampu menceritakan pengalamannya kepada media.


    Kata Sahar, antara yang paling kuat mendera ialah ibu mentuanya.

    Pemeriksaan kesihatan menunjukkan, mangsa mengalami kecederaan fizikal dan mental, serta memerlukan beberapa minggu untuk pulih.


    Pegawai kerajaan di Baghlan, Rahima Zafiri, berkata Sahar berasal dari wilayah Badakhshan dan baru kahwin tujuh bulan lalu.


    "Dia dipaksa keluarga suaminya menjadi pelacur untuk mendapat wang," katanya.


    Walaupun dirawat di hospital di Kabul, Sahar mungkin terpaksa dipindahkan ke India untuk rawatan lanjut.


    Menteri Kesihatan, Suraya Dalil, berkata Sahar adalah satu daripada kes paling serius berlaku terhadap wanita Afghanistan.


    Sementara itu, polis Baghlan berkata, ibu mentua dan ipar Sahar berjaya ditahan, manakala suami dan bapa mentuanya sempat melarikan diri.

    Usah elak berbincang topik tabu

    Posted: 01 Jan 2012 09:00 PM PST

    pix_middle

    CEPAT betul masa berlalu, pejam celik sudah masuk tahun baru. Ini bermakna bertambah setahun lagi umur kita dan tanpa disedari, anak kita juga mula menjengah usia remaja.

    Pun begitu kebanyakan ibu masih berasa kurang selesa untuk bercakap mengenai akil baligh dengan anak terutama anak perempuan walaupun tahu ia sangat penting. Biasanya perkara ini hanya dibincangkan apabila anak datang haid.

    • Foto

      INTERAKSI...topik akil baligh perlu dimasukkan dalam perbualan harian secara tidak formal.

    • Foto

      INTERAKSI...topik akil baligh perlu dimasukkan dalam perbualan harian secara tidak formal.

    Soal jawab bersama Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Nik Hazlina Nik Hussin, diharap dapat membantu meningkatkan pengetahuan anda mengenai perkara ini supaya anda boleh berkongsi ilmu dengan anak gadis atau sekurang-kurangnya menjawab persoalan yang berkaitan dengan akil baligh.

    Bilakah masa terbaik untuk bercakap dengan anak mengenai akil baligh?Lebih cepat ia dibincangkan, lebih baik. Akil baligh yang juga dirujuk sebagai perubahan seksual sekunder yang membabitkan pembesaran payudara, pertumbuhan bulu di ketiak dan di kawasan genitalia (kemaluan), peningkatan ketinggian dan juga kedatangan haid (menstruasi) tidak berlaku secara serentak pada semua gadis.


    Ia biasanya berlaku seawal umur lapan tahun, tetapi ada juga gadis yang lewat baligh iaitu pada usia 14 tahun. Walaupun tidak nampak perubahan luaran yang ketara, sebenarnya seseorang gadis sedang menjalani perubahan fisiologi, endokrin serta anatomi dalaman lain. Inilah sebabnya ibu disarankan untuk belajar dan memahami bagaimana serta mengapa perubahan ini berlaku. Malah berdasarkan perubahan ini juga kedatangan haid boleh dijangka.

    Mungkin perubahan pertama bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar. Kawasan yang gelap di sekeliling puting mula membengkak, bentuk payudara akan lebih bulat serta menjadi padat dan berat. Mungkin juga seseorang gadis berasa tidak selesa pada kedua-dua ataupun sebelah payudara.

    Namun, tidak perlu runsing kerana ini adalah normal untuk peringkat awal perkembangan. Kematangan hormon juga akan menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis di mana ovarinya kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan (ovulasi). Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

    Secara kesimpulannya, perbincangan tidak formal berkenaan perkembangan seseorang anak gadis itu sepatutnya bermula pada peringkat yang lebih awal lagi, mungkin seawal umur tujuh atau lapan tahun. Maksudnya, perbincangan ini dimasukkan dalam perbualan harian bersama anak gadis dari semasa ke semasa dan bukanlah selepas mereka mengalami haid yang pertama.


    Bagaimana hendak memulakan perbualan mengenai topik ini?

    Topik akil baligh ini perlu dimasukkan dalam perbualan harian secara tidak formal. Anda boleh berbual mengenainya ketika sedang melakukan aktiviti bersama anak gadis.

    Mungkin seseorang ibu dan anak gadisnya akan merasa agak kekok jika perbualan berkenaan dilakukan secara formal. Perbualan mengenai topik ini mungkin boleh dimulakan dengan menggunakan pemerhatian daripada orang di sekeliling, contohnya saudara sepupu perempuan, anak perempuan yang lebih tua atau rakan sebaya mereka.

    Seseorang ibu tidak sepatutnya mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah yang paling berhak untuk memberikan pemahaman jelas kepada anak gadis anda. Ini kerana ia membabitkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi, malah keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi ibu perlu berada di sisi anak dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri.

    Pada masa sama, anda akan melihat perubahan emosi anak. Ada sesetengah ibu bapa tidak faham mengapa anak mereka mula berubah 'perangai'. Jangan bimbang, ia adalah disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula seawal umur 10 hingga 12 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.

    Usah mengelak daripada berkomunikasi dengan anak remaja mengenai topik tabu yang anda anggap tidak wajar dibincangkan. Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik intim seperti seks, pergaulan dan kontrasepsi (pencegahan kehamilan).

    Komunikasi terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga. Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.

    Memberikan ruang kepada anak gadis kita berbicara dengan ibu mengenai seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks. Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada anak kesayangan anda membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka. Tiada apa yang hendak dimalukan. Ibu dan anak adalah perempuan, jadi perbincangan seharusnya lebih mudah.


    Adakah topik ini boleh dibincangkan secara berkumpulan (bersama anak perempuan yang lain) atau bersendirian?

    Ada sesetengah ibu berpendapat ia lebih baik dibincangkan secara bersendirian untuk mengelakkan rasa malu.

    Boleh berbincang secara berkumpulan atau bersendirian, tertakluk kepada perangai dan sikap seseorang anak gadis anda. Ada anak gadis yang suka menyendiri dan mudah malu dan ada yang boleh menerimanya secara terbuka. Bagi anak gadis yang pemalu, eloklah berbincang dan memberi penerangan secara bersendirian.

    Bagi anak gadis yang berperangai sebaliknya pula mungkin tidak kisah kalau perkara sebegitu diperbincangkan secara berkumpulan. Pada pendapat saya, perbincangan secara berkumpulan mungkin lebih praktikal kalau ia dijalankan di sekolah bersama guru dan bukannya di rumah bersama ibu. Perbincangan bersama seseorang ibu sepatutnya tidak formal.


    Apakah perkara yang perlu dimasukkan dalam perbualan mengenai akil baligh ini?

    Peringkat akil baligh boleh mengakibatkan seseorang remaja menjadi tidak keruan. Ada pelbagai perubahan yang menghantui pemikiran mereka seperti kemahuan seks, perhubungan intim dan perubahan fizikal.

    Sebagai ibu, amatlah penting untuk kita juga ketahui masalah berkenaan supaya kita dapat membantu merungkaikan kemusykilan anak. Apa yang hendak dibincangkan itu sering kali berhadapan dengan kesukaran bagaimana dan di mana untuk memulakannya. Ibu atau bapa akan berhadapan dengan dilema untuk mengungkapkan kata-kata yang sesuai supaya anak-anak remaja mereka tahu mengenai isu seks dan hubungan intim.

    Sukar untuk mengetahui dengan tepat bila seorang anak gadis akan mengalami haid pertamanya. Kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 10 hingga 12 tahun. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

    Berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit. Bagaimanapun, anak gadis ini mungkin perlu mendapatkan rujukan doktor jika kedatangan haid masih tidak teratur, bercelaru dan juga selalu menyakitkan selepas dua tahun.

    Seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid di dalam diari ataupun kalendar dan catatkan sebarang masalah ataupun kesakitan semasa haid. Dengan cara begini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya akan datang dan juga julat di antara dua peristiwa haid berdekatan.

    Lazimnya julat darah haid adalah di antara 25 hari hingga 35 hari. Namun usah risau jika julat haid berbeza-beza dan hari pertama haid juga mungkin cepat atau lewat berbanding bulan sebelumnya kerana ia adalah perkara biasa.

    Untuk mereka yang sudah berkahwin pula, biasanya kelewatan haid dikaitkan dengan kemungkinan mengandung, bergantung kepada tempoh lewat datang haid. Lebih baik sekiranya perancangan awal disediakan sebelum datangnya haid seperti menyimpan tuala wanita di dalam beg sekolah.

    Perlu diingat tuala wanita ini perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang terkumpul mungkin menjadi tempat pembiakan yang baik untuk bakteria. Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak. Penggunaan tuala wanita yang diletakkan bau haruman juga tidak digalakkan kerana mungkin menyebabkan berlakunya keradangan pada kulit sekitar kemaluan.

    Ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran haid (dismenorea). Mungkin juga kesakitan itu merebak ke bahagian belakang (seperti mereka yang sakit bersalin).

    Ada juga keluhan seperti sakit kepala, pening, kekerapan buang air besar, loya dan muntah. Jangan runsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal kehadiran haid. Untuk menghilang masalah serta keluhan ini, anak gadis ini boleh mengambil pil penahan sakit seperti NSAIDs, contohnya ibubrofen ataupun naproxen sodium, bersenam dan meletakkan pemanas seperti bertungku di bahagian bawah abdomen.

    Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya dia belum datang haid pada usia 15 tahun, kehadiran haid yang tidak teratur, julat di antara sebelum dan selepas haid kurang daripada 21 hari ataupun melebihi 45 hari, julat haid berlaku selama 90 hari (tiga bulan) walaupun hanya untuk satu kitaran (bukan disebabkan mengandung), kehadiran darah haid melebihi tujuh hari dan sekiranya jumlah pendarahan terlampau banyak sehinggakan tuala wanita perlu ditukar setiap satu hingga dua jam.

    Banyak perubahan daripada segi emosi dan juga fizikal akan berlaku pada anak gadis anda. Nasihatkan mereka supaya menjaga pemakanan supaya berat badan ideal dapat dikekalkan. Bersenam serta beriadah mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan serta kesakitan ketika datang haid. Amalkan senaman untuk mengukuhkan jisim tulang, menguatkan otot dan juga mengurangkan kekejangan semasa datang haid.

    Akil baligh juga menyebabkan kelenjar di bawah kulit mengeluarkan sebum dan dengan kehadiran sebum yang banyak boleh menyekat lubang-lubang halus menyebabkan berlakunya jerawat. Membasuh muka dengan air ataupun bahan pencuci muka dengan kerap dapat mengurangkan kehadiran sebum di muka dan seterusnya dapat mengurangkan kehadiran jerawat di muka. Jangan biarkan jerawat berlarutan di muka kerana penyembuhan jerawat mungkin meninggalkan parut yang berkekalan.


    Apakah perubahan fizikal dan emosi yang berlaku semasa atau selepas baligh?

    Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa adalah sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.

    Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya. Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak mengorak langkah pertama menjadi seorang wanita.

    Anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi.

    Bermulanya menjadi seorang gadis, langkah pertama yang perlu difahami ialah perubahan hormon apabila mereka mendapat haid pertama di sebalik perkembangan fizikal yang semakin menonjol.

    Penekanan terhadap pendidikan berterusan serta persoalan mengenai isu seks dan perubahan fizikal hidup seorang gadis itu sepatutnya tidak terhenti setakat itu saja. Anak perempuan anda akan menjadi gadis remaja yang mana biologinya tidak lagi seperti kanak-kanak.

    Apabila dimatangkan dengan pelbagai maklumat, mereka boleh memahami dan dapat menimbang tara sebarang implikasi dalam tindakan serta bijak memilih dalam bertindak melindungi diri sendiri daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

    Usah jadikan budaya masyarakat Asia yang konservatif dalam membicarakan isu ini sebagai penghalang menyampaikan maklumat kepada anak gadis anda. Lebih baik anda yang memecahkan budaya daripada dia mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan atau sumber lain.

    Sebagai remaja, keinginan untuk mencuba sesuatu yang dianggap 'baru' sangat tinggi, terutamanya melakukan hubungan seks - tanpa berfikir apa yang akan terjadi selepas itu. Inilah sebabnya pengetahuan adalah cara yang terbaik bagi 'menjaga' anak-anak perempuan dari sebarang insiden yang tidak diingini.


    Bilakah masanya untuk memperkenalkan baju dalam (coli) kepada anak gadis?

    Bagi seseorang ibu yang sentiasa prihatin, rasanya perkara ini tidak menjadi masalah yang besar. Kebanyakan anak gadis akan mula mengalami pembesaran payudara dalam lingkungan umur lapan hingga 10 tahun. Pembesaran itu menjadi lebih ketara pada usia 10 hingga 12 tahun. Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkannya kepada anak.


    Jika anak malu untuk menyatakan perubahan pada dirinya, apakah soalan yang boleh ditanya oleh ibu supaya perubahan ini difahami dengan lebih jelas?

    Kebanyakan anak gadis yang di usia awal baligh agak malu untuk bertanya berkenaan penggunaan coli. Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab ibu memberi perhatian dan memahami setiap perubahan yang dialami oleh anak-anak gadis mereka.

    Jika perubahan sudah ada, maka anda hendaklah membelikan coli atau membawa anak gadis anda ke pusat membeli belah. Jangan sesekali menyuruh bapanya membelikan atau menyuruh bapanya membawakan mereka ke pusat membeli belah. Mereka amat sensitif dan malu untuk berkongsi perubahan ini dengan lelaki walaupun lelaki berkenaan adalah bapa sendiri.


    Adakah benar kejahilan membuatkan ramai gadis terlalu berani untuk mengadakan hubungan seks tanpa tahu kesannya sehingga melahirkan anak luar nikah?

    Menjadi seorang ibu atau bapa adalah satu cabaran hidup yang terbesar. Tetapi ibu bapa kepada remaja belasan tahun mungkin mempunyai tugas yang paling sukar di antara ibu bapa lain. Zaman remaja adalah satu perjalanan daripada zaman kanak-kanak menuju dewasa, daripada bergantung hampir sepenuhnya pada pandangan orang lain kepada bagaimana membuat keputusan yang bertanggungjawab secara berdikari.

    Ia boleh jadi satu peralihan yang sukar bagi remaja itu sendiri dan juga ibu bapa mereka, terutamanya dalam masyarakat di mana orang muda setiap hari berhadapan dengan risiko serius yang berkaitan dengan seks, keganasan, penyalahgunaan dadah, alkohol, merokok dan gagal dalam pelajaran - risiko yang biasanya adalah berkaitan antara satu sama lain. Oleh kerana pelbagai risiko yang dihadapi oleh remaja berkait rapat antara satu sama lain, begitu jugalah jalan penyelesaiannya.

    Ramai ibu bapa percaya pengaruh mereka terhadap anak sudah lupus sebaik saja mereka mencecah zaman remaja. Rakan dan media nampaknya lebih berkuasa. Tetapi kajian dan pengalaman menunjukkan dengan jelas: ibu bapa adalah penting dalam kehidupan remaja. Remaja belasan tahun memerlukan sokongan, panduan, dan perhatian daripada ibu bapa mereka seperti kanak-kanak juga. Remaja sendiri mengatakan bahawa mereka mahu mendengar apakah cabaran yang dihadapi orang dewasa, walaupun mereka tidak selalunya berlagak seperti demikian.

    Ibu bapa memainkan peranan dalam mengembangkan bakat dan kemahiran anak-anak serta memandu mereka ke arah pembesaran yang sihat. Ibu bapa juga boleh membentuk komuniti di mana anak-anak mereka membesar. Nasihat terbaik bagi ibu bapa adalah sama: teruslah mempunyai hubungan yang rapat dengan anak remaja anda. Idea di bawah boleh membantu ibu bapa membuat perubahan dalam kehidupan anak remaja mereka.


    Luangkan masa untuk bersama anak

    Lebih baik jika anda boleh terbabit sama dalam aktiviti mereka. Anda boleh berkongsi pengalaman kerana ia dapat membina hubungan yang rapat dan mesra. Makan bersama sekerap mungkin. Waktu makan adalah peluang terbaik untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Gunakan masa yang ada untuk berbual, bukannya berbalah. Membaca, menonton televisyen atau wayang, bersukan, melayari internet bersama-sama dan ajak anak untuk terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan.


    Bantu anak mendapatkan keyakinan diri

    Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh, bukannya diberi. Berikan anak-anak anda peluang untuk belajar kemahiran tertentu. Pujilah mereka atas tugas yang diselesaikan dengan baik, galakkan perkara positif dan tekankan perkara yang dilakukan dengan baik oleh anak anda.

    Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara untuk memperbaiki diri; jangan mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik, bukannya ketakutan atau keaiban.

    Bantulah anak anda mengenal pasti kelebihan, bakat dan minat mereka. Galakkan mereka terbabit dalam kerja sukarela, menjadi ahli kumpulan belia, kesenian atau sukan. Ini akan membuatkan mereka merasa satu pencapaian, menghubungkan mereka dengan kawan yang positif dan pemimpin dalam kalangan orang dewasa dan juga memenuhkan jadual harian mereka.


    Bantu anak memahami bagaimana pilihan hari ini boleh mempengaruhi keseluruhan kehidupan mereka.

    Perkenalkan anak dengan orang yang berjaya dalam komuniti dan terangkan apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan. Remaja yang mempunyai matlamat jangka panjang dalam pelajaran atau pekerjaan kurang berkemungkinan untuk merosakkan masa depan dengan membabitkan diri dalam perkara tidak sihat.


    Beritahu anak bahawa anda sangat menghargai pendidikan

    Babitkan diri dalam pendidikan anak-anak anda dan biarkan mereka tahu bahawa ia sangat penting bagi anda. Terangkan kepada anak bagaimana pelajaran akan membantu mereka pada masa hadapan. Kegagalan dalam pelajaran biasanya adalah tanda-tanda masalah lain. Jika anda mendapati pelajarannya merosot, berbincanglah dengan mereka dan dengan guru-gurunya dengan segera.


    Dekati sekolah anak

    Ibu bapa sering berhubungan dengan sekolah anak-anak semasa mereka di sekolah rendah, tetapi mula menjauh apabila mereka semakin membesar. Sebaiknya langkah ini diteruskan hingga ke sekolah menengah dengan menyertai Persatuan Ibu Bapa, menawarkan khidmat menjadi tutor, mentor atau penceramah, menghadiri majlis di sekolah anak. Jika anda tidak hadir, anak anda adalah orang yang pertama menyedarinya.


    Tahu di mana anak berada dan apa yang mereka lakukan

    Buat peraturan yang jelas bagi anak-anak anda mengenai apa yang boleh mereka lakukan dan dengan siapa mereka boleh meluangkan masa dan terangkan kepada mereka mengapa peraturan ini penting. Tetapkan masa untuk balik ke rumah dan jangan benarkan mereka menghadiri parti tanpa ditemani orang dewasa.

    Berusaha lebih sedikit untuk mengetahui di mana anak berada pada hari minggu dan selepas waktu sekolah, memandangkan ini adalah waktu 'zon bahaya' kerana ia adalah peluang untuk anak terbabit dalam kegiatan berisiko tinggi.


    Kenali rakan anak dan keluarga mereka

    Rakan mempunyai pengaruh kuat terhadap satu sama lain. Jemput mereka datang ke rumah dan berbual-bual dengan mereka secara terbuka.


    Terangkan dengan jelas nilai dan kelakuan yang anda harapkan

    Berkomunikasi dengan anak-anak mengenai isu-isu yang sukar adalah lebih mudah jika anda sebagai ibu bapa jelas mengenai perasaan sendiri.

    Kebanyakan ibu bapa bimbang dilihat sebagai seorang yang hipokrit, terutamanya jika mereka sendiri terbabit dalam perkara kurang sihat semasa remaja. Kebanyakan remaja mempunyai 'radar hipokrit' yang baik. Mereka biasanya cukup sofistikated untuk menyedari bahawa dalam dunia moden yang penuh dengan bahaya seperti Aids, senjata automatik dan bahaya-bahaya lain, standard yang baru adalah perlu.


    Jadilah contoh yang baik

    Jadilah contoh harian yang terbaik berkaitan dengan nilai-nilai dan standard yang anda harapkan. Tunjukkan kasih sayang, kejujuran, disiplin dan keterbukaan yang anda harapkan daripada anak-anak anda. Jangan jadi ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus.


    Beri perhatian kepada anak sebelum mereka mendapat masalah

    Program sokongan bagi remaja yang bermasalah adalah baik, tetapi semua kanak-kanak dan remaja dapat memperoleh kebaikan daripada galakan, perhatian dan sokongan. Jangan memfokuskan perhatian kepada mereka hanya apabila ada masalah. Biarkan anak-anak anda tahu bahawa anda berbangga dengan mereka, walaupun kadang kala ia kelihatan seperti bukannya satu perkara yang besar.


    Perhatikan tanda yang menunjukkan anak perlukan bantuan

    Perhatikan tanda-tanda penyalahgunaan dadah dan alkohol, kegagalan dalam pelajaran, kemurungan dan keganasan. Berikut adalah beberapa klu yang boleh anda perhatikan: banyak masa diluangkan bersendirian dan mengasingkan diri dari keluarga dan rakan-rakan, perubahan yang mendadak dalam prestasi di sekolah, perubahan kelakuan dan pertukaran emosi yang drastik, tidak berminat mempunyai hobi atau beraktiviti sosial atau rekreasi, dan perubahan pilihan rakan-rakan atau mengasingkan diri daripada kawan-kawan lama. Jangan takut untuk masuk campur dan mendapatkan bantuan dari luar. Kebanyakan komuniti mempunyai sumber-sumber bagi membantu ibu bapa membantu anak-anak mereka.


    Tahu apa yang ditonton, dibaca dan didengar oleh anak

    Adalah tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk menapis bahan yang sampai kepada anak-anak anda. Remaja pun memerlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan. Tonton televisyen atau dengar muzik bersama anak-anak anda dan bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media.


    Babitkan diri dalam komuniti

    Ibu bapa boleh membuat perubahan dalam kehidupan anak, tetapi ibu bapa tidak boleh menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

    Lebih banyak sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap perkembangan positif remaja, lebih mudah bagi anda menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu bapa. Galakkan pihak sekolah dan organisasi-organisasi lain untuk mengendalikan dan menjalankan kampus yang bebas rokok dan dadah.

    Ambil bahagian dalam organisasi-organisasi komuniti yang mempromosikan polisi untuk membantu kanak-kanak dan remaja, seperti menghalang penjualan rokok kepada kanak-kanak atau mengurangkan keganasan dalam masyarakat. Pergilah kedai-kedai yang mempromosikan pilihan-pilihan yang sihat bagi remaja. Bantulah remaja lain dalam masyarakat anda dengan menjadi mentor mereka atau mengambil remaja bekerja di tempat kerja anda.

    Beri saingan di peringkat global

    Posted: 01 Jan 2012 08:51 PM PST

    WAJAH ANAK BANGSA...pelbagai perubahan dilaksanakan bagi  melahirkan pelajar cemerlang sahsiah diri dan akademik sekali gus melonjakkan lagi prestasi dunia pendidikan negara termasuk peningkatan kredibiliti guru.
    WAJAH ANAK BANGSA...pelbagai perubahan dilaksanakan bagi melahirkan pelajar cemerlang sahsiah diri dan akademik sekali gus melonjakkan lagi prestasi dunia pendidikan negara termasuk peningkatan kredibiliti guru.

    MESKIPUN masih awal untuk menjangka peristiwa yang mewarnai dunia pendidikan negara sepanjang 2012, masyarakat mengharapkan ia mampu membawa sinar lebih baik demi menjana usaha bersepadu pembangunan negara.

    Biarpun tahun lalu ada beberapa isu kontroversi, institusi pendidikan negara masih relevan dan positif.

    • Foto

      BANTUAN...pemberian wang bantuan persekolahan RM100 sebagai tanda prihatin kerajaan untuk meringankan bebanan ibu bapa.

    • Foto

      MUKTAMAD...isu PPSMI akhirnya menemui titik noktah apabila kerajaan muktamad dengan keputusan tidak lagi menggunakannya sekali gus menamatkan kontroversi yang melanda.

    • Foto

      FASA BARU...golongan mahasiswa juga tidak ketinggalan menikmati pembaharuan dunia pendidikan sekali gus menjadi pemangkin kesinambungan dunia pendidikan tinggi untuk masa depan.

    Pastinya, wacana dunia pendidikan berharap institusi pengajian tinggi mampu melonjakkan pencapaiannya melahirkan ahli akademik berwibawa manakala graduannya lebih cemerlang untuk mencipta nama sebaris dengan institusi ternama dunia.

    Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata dunia pendidikan perlu melakukan anjakan paradigma lebih positif dan konsisten untuk memasuki satu frasa baru yang mencabar.


    Dengan meletakkan sasaran agar institusi pengajian tinggi mampu bersaing lebih hebat dalam bentuk akademik dan penyelidikan, beliau berkata institusi perlu melipatganda�kan usaha mencapai wawasan ditetapkan.


    "Dalam mengemudi dunia pendidikan tinggi hari ini, banyak perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi ini terus gagah dan memberi persaingan kepada institusi di peringkat global.

    "Ia bukan mudah, namun boleh dilakukan dengan kesungguhan dan iltizam tinggi malah sejarah juga membuktikan institusi tempatan mampu melahirkan pakar akademik serta hasil penyelidikan berwibawa," katanya.

    Institusi pengajian juga bakal berdepan cabaran sengit terutama memenuhi harapan masyarakat meng�hasilkan hasil produk berkualiti, menepati piawaian antarabangsa dan paling utama tersenarai dalam kedudukan prestij dunia.

    Beliau mengharapkan hasrat mewujudkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial menjadi kenyataan bagi mengangkat taraf institusi lain setara lima universiti penyelidikan sedia ada.

    Bagi mahasiswa, mereka pasti mengharapkan tahun baru membawa anjakan lebih dinamik selepas tahun lalu dipenuhi beberapa insiden memalukan terutama membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AuKu).

    Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin, berkata mereka mengharapkan isu sensitif dan salah faham itu selesai bagi memberi peluang menonjolkan kewibawaan sebagai bakal pemimpin.

    Menurutnya, pindaan AuKu juga bakal membawa perubahan besar terhadap dunia pendidikan negara kerana universiti serta mahasiswa bakal melangkah ke frasa lebih terbuka dalam menangani isu politik.

    "Sebelum ini, universiti menjadi tempat larangan keras berpolitik bagi mahasiswa, namun dengan pindaan itu, ia satu pembaharuan yang baik.

    "Bagaimanapun, pindahan itu diharap tidak menjadikan mahasiswa cenderung keterlaluan terhadap politik hingga melupakan tanggungjawab sebenar," katanya.

    Beliau turut menjangka kerajaan mengambil langkah proaktif sebagai jaminan institusi pengajian tinggi tidak tercemar dengan pengaruh dan budaya politik luar.

    "Keseluruhannya, kami mengharapkan dunia pendidikan tinggi tidak lagi tercemar dengan insiden memalukan yang bukan saja boleh menggugat kewibawaan jati diri serta institusi selain mengikis persepsi negatif dilemparkan," katanya.

    Manakala sektor pendidikan sekolah juga menjangkakan institusi pendidikan akan menjadi lebih komprehensif dengan pelbagai pelaksanaan dasar yang menekankan peranan guru sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar.

    Guru sekolah di ibu kota, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata pendekatan mesra pelajar yang dibangunkan merangkumi aspek fizikal dan mental dapat mencungkil potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum, antaranya melalui pengenalan 'Satu Murid Satu Sukan'.

    Menurutnya, keseimbangan itu menjadi wadah terbaik membentuk peribadi dan
    jati diri generasi muda selain memberi peluang guru memperkasakan kemahiran mendidik.

    "Meskipun dunia pendidikan sering dibayangi polemik terutama isu berkaitan guru, itu bukan alasan kami tidak mampu memberikan yang terbaik kepada pelajar.

    "Kami berharap pengorbanan ini mendapat perhatian pihak terbabit dengan pemberian insentif tertentu bagi menaikkan lagi semangat guru dan mengiktiraf pengorbanan mereka," katanya

    Sepanjang tahun lalu, pelbagai rentetan peristiwa mewarnai perjalanan dunia pendidikan negara dengan polemik serta kejutan tersendiri.

    Antara pendekatan paling 'mengejutkan' ialah bantuan RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi meringankan bebanan ibu bapa selain pemansuhan yuran sekolah.

    Ini menjadikan Malaysia negara pencipta sejarah di kalangan negara Asean melaksanakan pendekatan berkenaan.

    Golongan mahasiswa juga memperoleh habuan sama apabila menerima bantuan baucar RM200 untuk diagihkan kepada pelajar yang layak untuk tempoh tiga bulan dari 1 Januari sehingga 31 Mac depan.

    Isu percanggahan mengenai kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menemui noktah akhirnya apabila kerajaan muktamad menamatkannya dengan pengumuman pada 4 November lalu.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021.

    Biarpun ada segelintir pihak beranggapan ia masih relevan terutama dalam memartabatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) menggantikan PPSMI adalah kekal.

    Manakala antara catatan kontroversi yang menjadi bualan panas ialah pindaan seksyen 15 AuKu yang dianggap segelintir pihak sebagai 'kemenangan peribadi' kepada mahasiswa.

    Mahkamah Rayuan pada 31 November lalu memutuskan peruntukan dalam AuKu yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam serta luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

    Ummi kikis memori

    Posted: 01 Jan 2012 08:50 PM PST

    pix_gal0
    Ummi Nazeera akui dua tahun belajar di Melbourne banyak merubah diri

    LAMARAN saat akhir untuk merakam wajahnya dalam satu sesi fotografi eksklusif disambut Ummi Nazeera tanpa banyak soalan biarpun terpaksa dilakukan dalam situasi sedikit tergesa-gesa. Ini kerana pada petang hari sama, Ummi terpaksa bergegas kembali ke Kuala Kangsar, Perak untuk menyelesaikan baki penggambaran filem terbaru lakonannya, Penanggal arahan Ellie Suriaty.

    Dilihat sedikit kekok kerana lebih setengah tahun tidak beraksi untuk sesi fotografi, Ummi berusaha memenuhi setiap permintaan jurugambar biarpun ada ketika dia sendiri kurang selesa. Pesona raut wajah Melayu asli yang dimiliki gadis berusia 21 tahun yang mempunyai nama lengkap, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin membuatkan dirinya masih dihujani tawaran meskipun sejak dua tahun lalu dia memilih untuk meninggalkan dunia lakonan dan kembali bergelar penuntut.
    "Melupakan seketika lakonan ketika nama mula menjadi sebutan dan berhijrah ke Melbourne, Australia adalah keputusan terbaik pernah dilakukan dalam hidup saya.
    "Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat. Alhamdulillah, meskipun sudah dua tahun tidak beraksi di depan kamera, nama saya masih diingati dan itu cukup membuatkan saya terharu," katanya yang agak berhati-hati tatkala membuka bicara.

    Masih memusatkan perbualan sekitar profil peribadinya, Ummi menolak penghijrahannya ke Melbourne didorong perasaan kecewa apabila cinta yang dijalin bersama seorang aktor musnah di pertengahan jalan. Memohon supaya episod hitam itu tidak kembali diungkit, Ummi berkata, pemergiannya ke Melbourne adalah atas kemahuannya sendiri dan bukan kerana desakan atau paksaan sesiapa.

    Ummi juga berharap, khalayak tidak melihat penghijrahannya itu dari sudut negatif kerana keputusan itu dibuat selepas menimbang segala baik dan buruk.

    "Awalnya saya sendiri sulit untuk menyesuaikan diri di sana. Selama ini segala keperluan saya disediakan, saya tidak perlu memberatkan kepala memikirkan hal remeh. Tetapi di Melbourne, semua keistimewaan itu hilang sekelip mata. Saya terpaksa menguruskan segala hal sendirian tanpa bantuan sesiapa. Baru saya sedar diri ini ada gunanya.
    "Melbourne banyak mengubah siapa saya. Bumi asing itu mengajar saya membuat pilihan, menggunakan akal yang diberikan Allah untuk membezakan apa yang baik dan sebaliknya.

    "Alhamdulillah kerana saya dipertemukan dengan mereka yang membawa ke arah kebaikan. Seperkara yang jelas, saya tidak lagi terlalu sensitif.

    "Dulu hal kecil boleh membawa rajuk berpanjangan tetapi hari ini, saya sudah boleh menutup mata. Saya melalui proses kematangan dengan pantas, membuatkan saya selesa dengan diri sendiri dan lebih tahu apa terbaik untuk masa depan," katanya.

    Masih berbelah bagi sama ada mahu terus menetap di sana atau kembali ke Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Ummi mengakui tidak mudah untuk kembali bergelar pelajar.

    Semester pertama dia berdepan cabaran terhebat apatah lagi ketika itu, Ummi masih dalam proses menyesuaikan diri selepas tiga tahun meninggalkan alam persekolahan.

    "Mujur saya menerima sokongan daripada mereka yang ingin lihat saya maju dalam hidup. Selepas dua tahun saya sudah betah menjalani kehidupan baru di sana. Pelajaran juga baik. Melihat keputusan peperiksaan saya baik, mama akhirnya memberi izin untuk saya berlakon. Itu janji saya dengan mama.

    "Sebelum ini bukan tiada tawaran untuk saya kembali berlakon. Cuma ketika itu hati belum terbuka, malah saya sendiri bimbang jika terlalu ghairah berlakon akhirnya minat untuk belajar hilang," katanya.

    Tertekan bawa watak Murni

    LAKONAN terakhir Ummi di layar perak sebelum ke Melbourne ialah menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Namun, Hikayat Merong Mahawangsa yang menemui penonton di pawagam Mac lalu turut membantu Ummi untuk terus bertakhta dalam ingatan peminat filem Melayu.

    "Saya cuma mengikut arus. Kebetulan tawaran membintangi Penanggal datang tepat pada masanya. Membaca keseluruhan skrip membuatkan saya sulit untuk menolak watak Murni, tambahan pula filem ini diarahkan Ellie Suriaty. Dia ialah antara satu sebab mengapa saya menerima tawaran ini, selain watak Murni itu sendiri yang memiliki kekuatan tersendiri.

    "Setiap kali di lokasi, saya berdepan situasi berat dan menekan perasaan tetapi selesai berlakon setiap babak, saya menemui kepuasan yang sukar diungkapkan dengan perkataan," kata anak kelahiran Kuala Lumpur pada 20 Ogos 1990 itu.

    Dia mengakui hatinya diburu debaran luar biasa sebelum melangkah ke lokasi Penanggal. Selepas dua tahun 'meninggalkan' dunia lakonan, Ummi berusaha keras menyerap watak Murni dalam dirinya supaya lakonannya menyerlah apabila Penanggal memasuki pawagam kelak.

    "Lakonan perlu dilakukan seikhlas hati. Saya tidak boleh menipu kerana kak Ellie seorang yang begitu teliti dalam setiap sudut ketika di lokasi.

    Watak Murni membuat saya kembali jatuh cinta kepada lakonan, malah menatap helaian demi helaian skrip yang berada di tangan membuat saya terpanggil untuk mencuba tanpa sedikit pun terdetik perasaan ragu.

    "Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan kerana cinta saya masih di sini. Tetapi saya juga tidak akan korbankan masa depan hanya kerana terlalu mengikut kata hati," katanya.

    Sempat menjentik dengan soalan nakal, Ummi agak malu-malu mengakui kekosongan hatinya kembali terisi dengan kehadiran jejaka Melayu yang baru saja menamatkan pengajiannya di Melbourne. Bagaimanapun, Ummi selesa memberitahu hubungan mereka tidak lebih sekadar teman rapat kerana masih terlalu awal untuk membawa keakraban yang terjalin itu ke fasa serius.

    "Tak perlulah bertanya soalan ini. Cukup saya beritahu memang saya rapat dengan jejaka itu dan selebihnya, biar ia menjadi rahsia kami berdua. Saya tidak mahu perkara ini terlalu digembar-gemburkan. Apa dapat saya katakan, dia banyak mendorong saya ke arah kebaikan. Cukup setakat itu," kata Ummi seraya memohon isu peribadinya tidak terlalu diperbesarkan hingga menenggelamkan keikhlasannya kembali ke landasan seni.

    Sambutan aneh 2012

    Posted: 01 Jan 2012 08:45 PM PST

    pix_gal0
    HARI INI, bermula tahun baru 2012 dan penduduk seluruh dunia keluar beramai-ramai menyambutnya dengan gembira. Seperti tahun sebelumnya, acara sambutan tahun baru dan parti dianjurkan di kediaman, kelab, hotel dan restoran mewah.

    Pertunjukan bunga api dan upacara melepaskan belon serta burung merpati adalah cara biasa yang dilakukan setiap kali sambutan tahun baru.
    Dalam kemeriahan menyambut tahun baru, ada beberapa acara pelik yang menjadi tradisi setiap kali tibanya tahun baru tiba.

    Aroma ikan bakar tepi pantai

    Posted: 01 Jan 2012 08:45 PM PST


    HABSAH (kiri) dan Sahri bersama antara masakan kegemaran pengunjung restoran itu.


    KE MANA anda pada cuti tahun baru hari ini? Jika anda tidak ada rancangan ke mana-mana, apa kata keluar makan bersama keluarga mahupun rakan di tempat yang agak istimewa.

    Sekiranya anda ingin menjamu selera sambil menikmati hembusan bayu dan deruan ombak, Pantai Bagan Lalang di Selangor, menjanjikan ketenangan walaupun ia tidak jauh dari hiruk-pikuk kota.

    Terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur, Restoran Senandung Malam Ikan Bakar Wak Sehab, Bagan Lalang, menyajikan makanan laut yang pasti membuatkan anda terliur.

    Masakannya setaraf restoran eksklusif di bandar besar maka tidak hairanlah ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menikmati keenakan dan kesegaran makanan laut.

    Restoran yang mula beroperasi dari pukul 5 petang hingga 1 pagi itu menyediakan hampir 20 jenis makanan laut seperti ikan jenahak, siakap, kembung, selar, senangin, sotong, udang, retak seribu, pepahat dan bermacam-macam lagi.

    Menurut pengurus restoran, Mohd. Sahri Mohamad Sehab, 25, pelanggan hanya perlu memilih jenis makanan laut segar yang disediakan, timbang dan terus memesan jenis masakan yang diingini.

    Siakap bakar, retak seribu dan pepahat masak masam manis bertelur, kerapu putih masak berlada, jenahak tiga rasa, siakap bakar dan sotong goreng tepung antara jenis masakan yang paling digemari.

    Bermula dengan sebuah gerai kecil 16 tahun lalu, terang Sahri, restoran yang diuruskan oleh keluarganya itu menyediakan makanan laut segar dipilih khas oleh bapanya Mohamad Sehab Ngadino yang berpengalaman bekerja sebagai nelayan suatu ketika dulu.

    Tidak pasti antara kemanisan makanan laut yang masih segar itu ataupun masakan yang cukup rempah ratusnya, keenakannya sukar digambarkan.

    Habsah Mohamad Sehab, 33, yang mengetuai bahagian masakan berkata, Restoran Senandung Malam Ikan Bakar Wak Sehab sedikit berbeza dengan kebanyakan restoran ikan bakar lain terutama di bandar kerana ia masih mengekalkan cara masakan orang Melayu.

    "Istimewanya pada sambal kicap yang digunakan untuk dicicah ikan bakar mahupun sotong goreng tepung kerana ia adalah resipi ibu saya," katanya yang turut sama menguruskan restoran keluarga.

    Rasa masam, manis dan pedas daripada resipi ringkas iaitu kicap yang dicampur dengan lada, gula dan air limau nipis menggantikan asam jawa itu melengkapkan rasa segar ikan bakar.

    Selain makanan laut, restoran yang dikenali ramai dari mulut ke mulut itu turut menyediakan hidangan panas seperti nasi goreng dan nasi lemak.

    Terkesan ayat power

    Posted: 01 Jan 2012 08:44 PM PST

    ENTAH mengapa, hati saya tersentuh apabila membaca kisah isteri kedua, berbanding cerita-cerita lain yang sering saya ikuti di ruangan ini. Lantas jiwa saya melonjak untuk menjawab cerita Norsalimah minggu lalu,'' ujar Noraminah dalam e-melnya.

    Menurutnya, dia cukup terkesan membaca ayat power; ''Percayalah soal jodoh, rezeki dan maut itu ketentuan Allah jua. Tak percayakah, ada gadis baik dijodohkan dengan lelaki pembunuh, pengedar atau penagih dadah, kaki minum, kaki judi, pencuri dan sebagainya. Adakah wanita itu memintanya?''

    "Ayat sebegini memang biasa saya dengar," tambah Noraminah.

    Baginya, kalangan masyarakat memang ada yang suka menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri. Kalau tidak mengaitkan dengan takdir Allah, mereka akan salahkan sesama manusia.

    ''Sudah jodoh, nak buat macam mana?' Maknanya 100 peratus tindakan yang mereka buat itu adalah atas kehendak dan ketentuan Allah. Mereka langsung tidak ada pilihan!

    "Amboi! senangnya menyalahkan orang untuk melepaskan diri sendiri!

    ''Sedangkan soal mencari jodoh ini Allah telah pun memberi kita panduan antaranya; ''Carilah pasangan yang beriman dan sekufu.'' Maknanya Allah bukan tentukan takdir kita 100peratus. Allah ada beri kita hak untuk membuat pilihan atau memilih. Jadi, siapa suruh awak kahwin dengan lelaki pembunuh, penagih dadah, kaki judi, penganggur, pembuli, peliwat, pemalas, termasuk suami orang? " soalnya.

    Noraminah turut mengingatkan ungkapan; "Yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk daripada kita sendiri?''

    ''Memang Allah menghalalkan poligami bagi lelaki, tetapi Allah sertakan juga syarat-syarat untuk berpoligami. Sebab itu Nabi Muhammad SAW sendiri tidak sanggup memadukan Saidatina Khadijah semasa hayatnya.

    "Hanya selepas wafat isterinya itu barulah baginda berpoligami, itu pun atas beberapa sebab. Sebagai manusia, isteri-isteri baginda juga tidak dapat lari daripada sifat-sifat fitrah manusia walaupun baginda telah berlaku adil. Mereka tetap saling mencemburui, inikan pula wanita biasa.

    ''Dengan yang demikian Norsalimah, janganlah anda suka menyalahkan isteri pertama yang enggan dipoligamikan walaupun suami berkemampuan zahir batin apatah lagi jika si suami tidak berkemampuan.

    ''Kita tidak boleh nafikan sudah menjadi lumrah dan fitrah manusia mempunyai sifat tamak lebih-lebih lagi dalam bab kasih sayang. Bayangkan anak-anak kecil pun marah jika permainan kesayangannya diambil orang,'' katanya membela isteri pertama.

    Sutinah dalam e-melnya pula memberitahu banyak kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini menjadi teladan dan inspirasi dalam memperbaiki kekurangan dan kelemahan dirinya.

    ''Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya mengambil iktibar terhadap apa juga yang berlaku di sekeliling kehidupan.

    ''Pada pandangan saya, tak kira isteri nombor berapa sekali pun, setiap makhluk Allah sudah pasti mempunyai segala macam perasaan dan emosi. Ada yang reda, ada yang suka salahkan orang kerana terasa tergugat dan demi menjaga maruah sendiri.

    ''Sepatutnya sebagai makhluk Allah, kita buka mata dan tanya diri kita sendiri, adakah kita reda menerima ujian Allah, tabah dan berusaha untuk memperbaiki diri atas kekurangan kita. Kalau kita asyik salahkan orang, sampai bila pun kita tak akan temui ketenangan.

    ''Memang adatlah kalau hati kita terguris apabila hak milik kita selama ini diambil atau terpaksa dikongsi dengan orang lain.

    ''Namun kita perlu tenang. Sebenarnya tidak ada gunanya isteri-isteri bergaduh, bertempik, menjerit atau menyerang sesama sendiri kerana berebut suami.

    ''Andai sudah tidak ada persefahaman lagi, kita carilah jalan terbaik. Jika bercerai itu jadi jalan terbaik untuk anda, maka bercerailah. Jadi ibu tunggal pun ada hikmahnya. Allah SWT maha mengetahui segala-galanya.

    ''Memang Allah sudah takdirkan apa yang terjadi kepada kita namun, Allah beri kita akal untuk fikirkan yang mana baik dan yang mana buruk.

    "Setiap doa orang yang teraniaya, Allah akan makbulkan. Janganlah kita membalas perbuatan jahat orang terhadap kita. Serahkan kepada Allah untuk membalasnya.

    "Belajarlah untuk reda dengan apa yang berlaku,'' ujar Sutinah menutup e-melnya untuk kita renungkan bersama secara mendalam.

    Gerhana di jiwa

    Posted: 01 Jan 2012 08:43 PM PST

    ABANG, Wai tengok sejak kebelakangan ni sikap abang dah berubah." Meluncur juga kata-kata itu dari kedua-dua bibir Wairah. Sudah berhari-hari dia memendam perasaan, sesekali dia turut menyimpan prasangka.

    "Awak ni dah buang tabiat ke, berubah apa saya ni?" cepat sahaja Zahar membalas pertanyaan Wairah isterinya itu.

    "Kita dah sebelas tahun hidup sebumbung bang. Sedikit sebanyak Wai dah masak dengan sikap abang. Kebelakangan ni Wai tengok abang banyak berdiam diri, selalu balik lewat, sembahyang pun tak lagi berjemaah di madrasah, abang sanggup naik keretapi ke Kuala Geris, semata-mata nak solat di sana, kenapa bang?" Tukas Wairah, ingin tahu.

    "Awak jangan bimbanglah Wai, awak tak buat salah apa-apa pada saya. Saya solat berjemaah di Kuala Geris sebab di sana lebih afdal!" Balas Zahar, hujung bicaranya seolah-olah ingin mematikan topik perbualan yang dimulai isterinya itu.

    Bunyi siren tren shuttle di depan stesen segera mematikan perbualan mereka. Tren 3 koc tersebut akan bertolak bila-bila masa saja menuju destinasi terakhir di Wakaf Bharu.

    Kalau tidak kerana kekangan kerja di Kilang Papan Timuran milik Tauke Tong Seng, setiap hari dia menaiki tren pukul dua petang itu untuk berjemaah zuhur di surau Tuan Guru Mahbood di Kuala Geris.

    Perjalanan dari Kampung Kemubu mengambil masa lebih dua puluh minit kerana tren akan berhenti agak lama di pekan Dabong, mengambil pelajar dan guru di sekolah menengah dan rendah di situ sebelum melewati Bukit Abu dan Slow Temiang.

    "Abang dengar kamu masuk kumpulan tarekat?" Zahar sedikit tersentak mendengar pertanyaan abang iparnya Zafri, sewaktu menebang pisang berangan tidak jauh di kawasan belakang rumahnya petang kelmarin.

    "Salahkah saya masuk tarekat bang?" spontan Zahar melontar soalan semula kepada Zafri.

    "Masuk tarekat tak salah, tapi kena tengok juga tarekat yang bagaimana, termasuk bentuk ajaran yang diamalkan," balas Zafri sambil membetulkan ketayap coklat di kepalanya.

    "Saya ingin menjadi orang Islam sejati dan taat bang. Saya ingin mengenal Tuhan," tukas Zahar

    "Jadi, orang-orang di Kerubu tidak mengenal Tuhan? Jemaah di madrasah di sini bukan orang Islam sejatikah?"

    "Kalau di luar saja Islam, Islam celup namanya tu bang," tambah Zahar sinis.

    "Astaghfirullahalazim Zahar, apa kau cakap ni. Sebab tulah kau pun dah lama tak datang berjemaah di madrasah kita tu. Siapa kita yang jahil ni nak bercakap pasal Islam tak Islamnya orang lain, soal akidah ni bukan soal main-main kau tahu!" Suara Zafri mula meninggi.

    "Sudahlah bang, saya nak bawa balik pisang ni ke rumah, petang ni nak Kuala Geris, mungkin sehari dua, mengadap Tuan Guru," Zahar dengan nada selamba meminta izin untuk beredar, dia membetulkan serban lusuh yang melilit kepalanya.

    "Hah eloklah tu, pergi dua tiga hari kau tinggalkan pisang tu saja untuk makan isteri kau tiga beranak. Wairah cakap dengan aku dah lama kau bagi nafkah. Makan minum pun kau dah tak hiraukan sangat," balas Zafri menyindir.

    Sejurus tiba, Zahar berehat seketika di kerusi batu di sebelah kiri stesen. Dia melepas lelah seketika sebelum meneruskan langkah ke pondok Tuan Guru Mahbood yang terletak di pinggir sungai ke kampung Jena. Agak-agak dalam 10 minit juga dia akan berjalan kaki ke sana.

    Tenang

    Zahar puas. Dia lebih tenang setelah menyertai tarekat al-Mahbood. Dulu walaupun selalu berjemaah dan mendengar tok guru mengajar di madrasah di Kemubu, jiwanya tetap resah. Pendeknya ibadat seharian seolah-olah tidak masuk ke sanubarinya.

    Dia tak dapat kepuasan. Mutakhir ini sejak berdepan dengan Tuan Guru Mahbood, dadanya makin lapang, walaupun dia hanya bersolat zuhur dan subuh secara niat sahaja.

    Kelakuan solat tidak begitu penting kata Tuan Guru Mahbood. Ketulusan dalam hati dengan menyebut lafaz niat itu lebih utama., barulah terbit keikhlasan dan ketenangan untuk lebih dekat dengan Tuhan.

    "Bang, Wai tak kisah kalau abang nak masuk tarekat mana pun, asalkan baik untuk perbaiki hidup kita. Tapi abang jangan sisihkan Wai dan anak-anak kita tu bang," suara Wairah perlahan saja, dia tenang berdepan dengan suaminya itu.

    "Lain macam saja awak ni. Apa tak cukup nafkah yang saya bagi selama ini?" soal Zahar, ekor matanya menajam ke arah isterinya itu.

    "Abang, sekarang ni abang jarang bertanya saya tentang barang-barang dapur. Belanja sekolah Nina pun abang jarang-jarang bagi. Faizul tu dah dua kali telefon nakkan duit bang.." Wairah tidak mampu berdiam diri lagi, dia sudah tidak mampu.

    "Duduk asrama pun tak cukup-cukup duit lagi? Saya tak ada duit sekarang ni, awak pinjamlah dulu dengan abang tu, nanti saya bayar kemudian."

    "Mudahnya abang cakap, abang Zafri tu pun bukannya orang berada juga bang. Lagipun dia tu anak ramai."

    "Tak ada, memang abang tak ada duit sekarang. Duit gaji bulan ni pun dah habis," ujar Zahar.

    "Dah habis? Abang buat belanja apa? Bulan lepas pun abang tak bagi satu sen pun pada Wai," tanya Wairah penuh kehairanan. Pelbagai prasangka tumbuh di benaknya, ke mana suaminya membelanjakan duit gajinya?

    "Banyak belanja masa abang ikut rombongan Tuan Guru buka cawangan di Gerik minggu lepas." Jawab Zahar tenang, seolah-olah tidak merasa sedikitpun rasa bersalah terhadap keluarga sendiri.

    Wairah terkedu. Benarlah sangkaannya selama ini, betullah kata Makcik Mek, peraih keretapi yang memberitahunya pasal abang Zahar. Makcik Mek ramai kenal orang di Kuala Geris, sanak saudaranya ramai di situ. Dia tahu sedikit sebanyak berkenaan tarekat yang bertapak di situ yang turut disertai suaminya itu.

    Sudah masuk dua bulan Zahar menyertai tarekat Al-Mahbood. Dua tiga orang penduduk Jena sudah berjaya dibawa masuk Zahar ke dalam tarekat suci tersebut.

    "Kamu bertiga mesti kena masuk Islam dengan keyakinan, kenali Tuhan dengan serapat-rapatnya, ingat ayat Quran, sesiapa yang tidak kenal Tuhannya, dia akan kenal dirinya. Ingat tu," ujarnya kepada Jidin, Mat Arsyad dan Suliman yang bersetuju menggenapkan keanggotaan ketiga puluh tiga, tiga puluh empat dan ketiga puluh lima tarekat yang baru berusia hampir enam bulan di negeri ini.

    Syarat keanggotaan amat mudah sekali. Tuan Guru hanya perlukan dua helai kain pelikat, semangkuk pulut kuning beserta ayam kampung panggang, tiga sikat pisang emas dan pengeras sebanyak RM44 setengah.

    Setiap ahli baru juga dengan rela hati dimestikan meminum air pembersih yang telah didoakan Tuan Guru.

    Selebihnya, apabila sudah diajar beberapa jenis zikir, niat dua solat tanpa pergerakan fizikal dan doa-doa tertentu, setiap anggota juga perlu membuat jamuan kenduri ayam kampung dan kambing jantan untuk semua ahli sebagai tanda permuafakatan dan akujanji.

    "Seelok-eloknya ramaikan lagi anggota kita. Biar semua kenal apa itu Islam sebenar. Jangan biarkan orang-orang di luar sana hidup dalam kegelapan..." ujar Tuan Guru Mahbood sebaik selesai majlis jamuan meraikan keanggotaan tiga pemuda dari kampung Jena bulan sudah.

    Barangkali kerana metod begitulah, tarekat al-Mahbood berkembang biak hingga ke daerah ini setelah mula tumbuhnya di sebuah negeri sebelah utara. Manisnya bicara berserta pendekatan tarekat yang mudah dari segi perlakuan menyebabkan insan yang lemah iman dan sentiasa memayahkan diri untuk hidup beragama, akan mudah beralih kepada tarekat demikian.

    Wairah terus makan hati dengan sikap Zahar. Suaminya kini bukan lagi Zahar yang pernah dikenalinya 12 tahun lalu. Bukan lagi seorang suami yang begitu bertanggungjawab, bukan lagi ayah yang penyayang kepada dua orang anaknya.

    Dakwah

    Sebenarnya, dia sendiri tidak ambil kisah apabila suaminya terbabit dengan Tarekat al-Mahbood. Apa yang dia faham ianya sekadar salah satu dari bidang dakwah dalam menggali lubuk-lubuk ilmu agama.

    Namun, sebaik beberapa kali tauke Tong Seng datang mencari suaminya di rumah kerana selalu sahaja ponteng kerja, Wairah mula tidak sedap hati. Di lubuk hatinya terbit pelbagai musykil. Orang yang semakin dekat dengan agama, sebaik-baiknya akan cuba memenuhi segala tuntutan hidup duniawi dan ukhrawi secara seimbang, getus hatinya.

    Rasa pelik Wairah makin melalang di dada bila di sendiri dapat merasakan perubahan berlaku dalam kelakuan ibadat suaminya itu. Zahar adalah seorang taat beribadat walau dalam sesibuk mana sekalipun. Namun, mutakhir ini Wairah hanya melihat suaminya itu hanya bersolat zuhur dan asar sahaja tanpa menyempurnakan tiga lagi tuntutan fardu itu.

    Wairah yakin Jimanlah orang bertanggungjawab memperkenalkan tarekat al-Mahbood kepada suaminya itu. Jiman hanyalah pekerja bengkel membaiki motosikal di pekan Kabong, walaupun pernah menjadi penuntut di salah sebuah IPT di utara tanah air.

    Dia gagal mendapat ijazah kerana terlibat serius dengan sejenis ilmu persilatan batin yang menyebabkannya gagal dalam pengajian.

    'Anak siapa ni bang?" perlakuan Zahar makin aneh apabila membawa seorang budak perempuan balik ke rumah pada petang Khamis itu. Wairah cukup kaget dan terkesima, hati dan jiwanya makin dibelit temali resah dan hairan.

    'Ini anak saudara Jiman, anak yatim budak ni. Tuan Guru sudah memberi tanggungjawab pada abang untuk jaga budak ni dengan sebaik-baiknya..." ujar Jiman teragak-agak.

    "Jaga dia?. Tapi kenapa abang? Bukankah Jiman lebih berhak?" Tanya Wairah hairan.

    "Nama dia Ismah, Wai, dia......."

    "Kenapa dengan budak ni bang?" potong Wairah.

    "Dia.. dia madu awak!"

    "Hah?" tangkai jantungnya bagai dipanah petir jantan. Bagai ada kerikil bergerigis yang terdampan di kerongkongnya, membuatkan Wairah termanggu dan terkedu beberapa ketika. Diam.

    " Bang, kalau abang nak ikut tarekat apa sekalipun Wai tak kisah. Tapi abang jangan libatkan orang lain dalam hidup keluarga kita. " Nada suara Wairah perlahan saja, namun bauran sebak mula menyentap akar nubarinya.

    "Dia sudah sah jadi isteri kedua saya. Awak kena terima dia sebagai madu awak. Tuan Guru yang telah menikahkan kami secara batin dengan berwalikan Allah..." balas Zahar. Wajahnya tenang saja seolah-olah tidak ada sesuatu yang hal yang pelik dan ganjil yang telah berlaku dalam hidupnya.

    Wairah tidak dapat menahan gelora sebak di dada. Lidanya kelu untuk terus menutur bicara. Dia tak pernah menyangka sampai ke tahap itu suaminya itu bertindak.

    "Zahar ni sudah melampau Wairah. Tak guna otakkah dia untuk berfikir dengan waras? Takkan dia tak tahu benda-benda macam tu melanggar syariat?" Kata Zafri sebaik mendengar rintihan adiknya lewat pagi itu.

    "Tak tahulah bang, otak saya ni dah buntu. Saya kesian pada budak Ismah tu, budak tu tak apa-apa lagi pasal perkahwinan ni bang." Ujar Wairah.

    "Makin melampau Zahar ni. Kamu tahu minggu lepas dia telah malukan Haji Bahar, imam masjid kita tu hah."

    "Malukan Pak Imam?" tukas Wairah, ada getaran kuat bergempa dari dalam dadanya.

    "Ada pulak dia kata orang-orang kampung kita masih ramai tak faham dan tak kenal Islam sejati, buat sambutan Maulud, buat ceramah Isra' Mikraj yang tidak ada dalam Islam. Aku tak tahu apa yang dia belajar dengan tarekatnya tu." Sambung Zafri dengan nada geram.

    Pagi Sabtu itu membawa berita ngeri. Berita Jiman yang maut dilanggar keretapi di Bukit Abu, sebuah perkampungan terpencil terletak lebih kurang 12 kilometer dari Kampung Kuala Geris mula heboh, bukan sahaja di seluruh kampung Kuala Geris, malah banyak kedai kopi di kampung Kemubu galak bercerita tentang kematian Jiman itu.

    "Kesian Jiman tu bang. Abang bawalah Ismah balik ke sana." ujar Wairah.

    Tanpa anggukkan atau mengiyakan kata-kata isterinya, Zahar terus membatu sambil bertongkat dagu di tepi jendela.

    Dia memikirkan tentang kematian Jiman. Bukan kerana otak Jiman yang berhamburan di atas landasan kerana tempurung kepala yang pecah atau kerana bahunya penyek, tetapi kerana beberapa longgokkan besar kabel Telekom berada tidak jauh dari tempat kejadian berlaku, di tangan mayat Jiman, masih berbelit dawai kabel yang sudah dibuang penebatnya.

    Pada sebelah petangnya, sepasukan van dari Jabatan Hal Ehwal Agama muncul di kampung kerubu. Sebelum sempat Zahar melangkah kaki meninggalkan rumah, dua anggota polis dan beberapa orang pegawai agama telah menahan Zahar atas kesalahan menjual pil-pil kuda di dalam keretapi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah Kabong selain terbabit dengan ajaran sesat.

    Ketika menghantar Ismah ke stesen Keretapi Kemubu, dalam situasi sebak kerana dihadapkan dengan jutaan kedukaan dan musibah, dia masih cuba mengukir senyum untuk segera memacak doa agar tiada lagi gerhana yang menjengah jiwanya!

    Seperti dalam kapal angkasa

    Posted: 01 Jan 2012 08:41 PM PST


    SUSUN atur ruang bufet yang ringkas dan futuristik.


    SEBAIK saja keluar dari lif yang membawa tetamu ke restoran yang berada pada ketinggian 282 meter itu, kilauan bintang di siling menyambut kami seolah-olah menara itu tidak berbumbung.

    Melangkah masuk ke dalam Restoran Atmosphere 360 yang gah berada di puncak Menara Kuala Lumpur itu melalui laluan yang direka sama seperti rekaan dalaman kapal angkasa yang sering dilihat di dalam filem fiksyen, terasa bagai berada dalam dimensi dunia yang amat berbeza.

    Penuh dengan hiasan lampu-lampu kecil berselerakan di siling dan dinding dengan kemasan jubin lantai yang gelap berkelip-kelip, pengunjung pasti berasa seperti di ruang angkasa.

    Juraian candelier bertukar-tukar warna membuat perasaan bagai terawang manakala panorama Kuala Lumpur waktu malam melengkapkan pemandangan langit yang indah.

    Semuanya membuatkan pengunjung merasa puas kerana bukan sahaja dapat menjamu mata bahkan merasai pengalaman menarik menikmati hidangan di restoran antara tertinggi di dunia.

    Bersantap di awangan

    Pengarah Urusan Atmosphere 360, Datuk Mohd. Sabri Mohd Nadzir berkata, restoran itu baru diubah suai khas untuk memberikan pengalaman istimewa kepada pelanggan menikmati hidangan seolah-olah berada di angkasa.

    "Semasa proses mereka bentuk pelbagai idea yang dikeluarkan saya serta empat orang pemegang saham yang lain dan kami akhirnya sepakat untuk menggunakan konsep seperti berada di dalam kapal angkasa kerana faktor kedudukan restoran itu yang tinggi.

    "Kami menggabungkan keistimewaan Menara Kuala Lumpur itu sendiri iaitu pemandangan Kuala Lumpur dari kedudukan tertinggi dengan hiasan dalaman yang mengetengahkan konsep kapal angkasa.

    "Sebaik saja pelanggan melangkah keluar dari lif, mereka sudah disambut dengan suasana seperti di galaksi dengan 'gugusan bintang' berada di siling dan laluan masuk seperti kapal angkasa.

    "Cahaya lampu optik gentian digunakan di siling berlatarkan cahaya biru gelap bagi memberi ilusi bintang yang bergemerlapan umpama restoran itu tidak berbumbung.

    "Kami turut banyak menggunakan warna seperti biru gelap dan ungu untuk cahaya lampu kontra dengan cahaya putih bagi menampakkan suasana seperti orbit.

    "Menariknya lagi, dinding Atmosphere 360 turut turut dihiasi dengan imej-imej galaksi yang dibeli khas dari NASA dengan bantuan seorang profesor dalam bidang astronomi.

    "Pelanggan yang datang bukan saja dapat menikmati hidangan yang lazat serta melihat suasana yang indah, mereka juga dapat memperolehi informasi tentang cakerawala," katanya yang juga merupakan seorang arkitek.

    Katanya, restoran itu menghabiskan putaran 360 darjah dalam tempoh sejam dan ia juga pencetus kepada nama restoran tersebut, Atmosphere 360.

    Konsep minimal

    Menurut Mohd. Sabri, restoran yang mula beroperasi sejak Oktober lalu diambil alih oleh Asian Kitchen Sdn. Bhd. dan pasukannya mengambil masa enam minggu saja untuk mereka bentuk kembali, meruntuhkan rekaan lama dan membina hampir keseluruhan restoran tertinggi di Asia Tenggara itu.

    Hampir 100 peratus restoran itu diubah-suai daripada restoran asal daripada karpet, dinding, lantai hingga ke perabot dalam tempoh yang singkat.

    Pemilihan kerusi, meja dan sofa yang moden dan ringkas pula dibuat untuk disesuaikan dengan konsep fine dining serta memberi keselesaan kepada pelanggan.

    Gaya minimum itu juga dibuat atas dasar konsep kapal angkasa yang bersifat futuristik.

    Dilihat di satu sudut yang dijadikan ruangan menunggu, pemilik restoran yang baru mula beroperasi tiga bulan meletakkan sebuah teleskop dan sebuah piano putih yang eksklusif di sudut yang lain.

    Restoran tersebut turut banyak bermain dengan cahaya dan gelas lutsinar.

    Karpet yang membaluti lantai restoran itu turut dipilih dengan teliti. Berlatar warna jingga dengan motif bulatan umpama planet, menambahkan nilai eksklusif restoran tersebut serta sesuai dengan konsepnya.

    Tidak cukup dengan itu, tandas turut diberikan sentuhan futuristik seperti penggunaan sinki yang ringkas dan menggunakan sistem penderiaan.

    Restoran berputar Atmosphere 360 ini dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 11 malam.

    Lima tahun tiada anak

    Posted: 01 Jan 2012 08:40 PM PST


    Endometriosis dikatakan punca wanita sukar mengandung atau ketidaksuburan.


    SOALAN:
    Assalamualaikum, Saya inginkan penerangan secara mendalam berkaitan dengan endometrosis. Untuk pengetahuan Prof., saya telah berkahwin selama lima tahun dan masih belum dikurniakan dengan cahaya mata.

    Baru-baru ini saya ada membuat pemeriksaan doktor pakar sakit puan dan telah disahkan mempunyai sakit endometrosis dan perlu menjalani pembedahan bagi memberi peluang saya mengandung.Terima kasih.

    Jawapan

    Terima kasih di atas soalan yang diutarakan pada minggu ini. Saya memahami dan juga bersimpati akan masalah yang dialami oleh Puan. Insya Allah banyak bersabar dan juga berdoa semoga sembuh dari masalah endometriosis dan suatu hari nanti Puan berjaya dikurniakan cahaya mata. Seperti mana permintaan Puan, saya akan menceritakan berkenaan penyakit endometriosis secara mendalam.

    Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, 'dalam', dan metra, 'rahim'. Ia membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita.

    Pada setiap bulan ketika wanita mengalami kitaran haid, mereka akan kehilangan darah yang terdiri daripada tisu-tisu endometrium. Lapisan endometrium yang terletak di tempat yang sepatutnya, iaitu tempat normal keadaannya di dalam rahim, ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada seseorang wanita tersebut. Bagi wanita yang sihat tubuh badannya, lapisan endometrium akan gugur dan keluar melalui faraj. Sekiranya ia gugur, ia akan gugur sebagai darah haid sebagaimana setiap wanita mengalaminya pada setiap bulan.

    Tetapi, bagi pengidap endometriosis, tisu-tisu endometrium yang terletak di luar rahim atau kawasan sekitar sistem reproduksi wanita, iaitu secara abnormal, ketika tisu-tisu endometrium itu gugur, ia tidak dapat keluar dari kawasan pelvis tersebut kerana tiada laluan keluar selain daripada faraj. Justeru itu, pendarahan dalaman akan berlaku di ruangan pelvis. Ini mengakibatkan proses penguraian darah berlaku hasil daripada tisu-tisu endometrium yang tertanggal yang menyebabkan keradangan pada kawasan sekitarnya. Wanita yang mengidap penyakit endometriosis ini akan merasai kesakitan dan tisu-tisu parut mulai terbentuk akibat keradangan tersebut. Kebiasaannya, tisu-tisu endometrium yang abnormal sering ditemui di kawasan ruangan pelvis yang merangkumi kilang telur (ovari), dinding salur Fallopio, usus kecil, pada bahagian otot rahim, belakang rahim, pangkal faraj, kawasan pundi kencing, ligamen di rahim dan dinding abdomen. Ada juga kes endometriosis yang berlaku pada kulit, paru-paru, diafragma (paru-paru), dan otak tetapi kes ini berlaku sangat jarang terjadi.

    Simptom utama endometriosis adalah kesakitan ketika haid (senggugut) yang teruk dan berulang-ulang. Kesakitan yang dialami tidak semestinya berkait rapat dengan tahap endometriosis yang teruk.

    Rawatan

    Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kombinasi kedua-duanya. Walau bagaimanapun pesakit harus sedar bahawa proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan berlaku sepanjang hidup. Jadi risiko untuk mendapat penyakit ini berulang adalah tinggi. Rawatan ubat sahaja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit tetapi tidak akan menghalang endometriosis dari merebak.

    Dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan pembedahan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu-tisu yang baru terjadi akan dibakar dengan mengunakan alat khas.

    Namun rawatan secara pembedahan juga tidak menjamin bahawa kawasan endometriosis atau simptom endometriosis tidak akan berulang kembali.

    Kaedah pembedahan membolehkan doktor membetulkan kedudukan rahim jika kedudukan asal rahim berubah. Setelah ia diperbetulkan, bahagian pelvik serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan bahan kimia yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika salur Fallopio tersumbat, keadaan ini juga boleh diperbetulkan ketika pembedahan.

    Pembedahan yang dilakukan termasuklah secara ablasi endometrium, pembuangan sista (sistektomi) dan akhir sekali pembuangan rahim (histerektomi) jika perawatan endometriosis gagal secara ubat-ubatan, rawatan hormon dan juga selepas sistektomi.

    Menabung sebelum 'terlalu lewat'

    Posted: 01 Jan 2012 08:38 PM PST

    KETIKA berusia 33 tahun, anda merasakan dunia ini milik anda. Atau mungkin tidak.

    Anda berasa seolah-olah berada di persada kehidupan. Apa tidaknya? Anda kini pada usia di mana anda bebas memilih bagaimana untuk membelanjakan duit, membeli segala yang diingini dan menelusuri apa jua gaya hidup yang terlintas di fikiran.

    Anda telah pun memiliki kereta idaman, rumah impian dan baru saja mendirikan singgahsana dengan gadis tercinta. Anda juga baru saja kembali daripada berbulan madu di Bali.

    Bila terasa ingin berlibur dan bersantai bersama teman-teman, anda boleh saja ke kafe paling trendy dan makan malam di restoran mewah. Merancang untuk melancong ke luar negara adalah satu kebiasaan kerana apalah erti hidup kalau tidak dinikmati.

    Anda berasa sungguh bahagia di saat ini, tiada apa yang merisaukan hati. Anda masih lagi muda dan banyak detik kebahagiaan yang menanti. Anda sewajarnya berhak untuk menikmati segala pendapatan yang diperolehi. Jadi anda beranggapan 'belanja dulu, simpan kemudian'. Tapi anda tak tahu 'kemudian' itu mungkin menjadi terlalu lewat satu hari nanti.

    Muda dan bijaksana

    Inilah situasi yang menjadi lumrah hidup. Ketika sibuk memenuhi segala komitmen, menyimpan untuk persaraan adalah perkara paling bawah sekali. Bukan anda seorang saja yang menghadapi situasi begini. Dalam kajian terkini, lebih daripada separuh pekerja di Malaysia tidak bersedia untuk bersara sementara mereka yang bersedia, hanya mula merancang selepas usia 40 tahun.

    Dalam kita menyusuri liku-liku kehidupan ini, ada baiknya kita jadikan sabda junjungan sebagai pedoman, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati."

    (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

    Justeru, lebih baik lewat daripada tak ada langsung. Memulakannya seawal mungkin memberikan perbezaan yang ketara terhadap dana persaraan anda. Berikut ialah kisah rekaan bagaimana dua orang sahabat yang baru tamat belajar, membuat keputusan kewangan yang berbeza, menjalani kehidupan mereka.

    Kelebihan anda: Potensi pulangan pelaburan yang lumayan

    Mat dan Ibrahim tamat universiti ketika berusia 22 tahun. Kedua-duanya memulakan kerjaya mereka dan memperolehi pendapatan RM 40,000 setahun. Mat amat memahami betapa pentingnya untuk menyimpan sejak muda dan melabur RM250 sebulan untuk pelan persaraan yang berpotensi meraih kadar pulangan 5 peratus purata setahun sebaik sahaja mula bekerja. Sebelas tahun berlalu, Mat menamatkan sumbangan persaraannya kerana beliau telah membina jumlah terkumpul sebanyak RM78,501.89. Simpanan ini mencukupi untuk berpotensi berkembang sekitar atau sekurang-kurangnya RM400,000 ketika bersara. Tambahan RM250 kini boleh disalurkan untuk membantunya mencapai perancangan yang lain seperti membeli rumah, menambah simpanan lain atau untuk dana pendidikan anak-anaknya.

    Sebaliknya, Ibrahim yang tidak begitu peka dengan keperluan telah menangguhkan simpanan persaraan sehingga 10 tahun kemudian. Beliau juga sebenarnya boleh menyimpan RM250 sebulan, tapi kini terpaksa meneruskan simpanan sehinggalah bersara untuk mencapai matlamatnya.

    Apakah perbezaan dalam jumlah persaraan mereka? Mat yang menyumbang RM33,000 dan berpotensi memiliki sejumlah RM 387,532.06 pada usia 65 tahun. Ibrahim pula yang menyumbang RM66,000 atau lebih, berpotensi untuk memiliki jumlah yang lebih rendah iaitu RM251,349.65. Senario ini membuktikan kenapa anda perlu mula menyimpan seawal mungkin untuk persaraan. Memang benarlah kata-kata pujangga lama, "sikit-skit, lama-lama jadi bukit". Lebih panjang jarak masa yang kita miliki, lebih sedikit sumbangan kita untuk mencapai amaun terkumpul (dengan andaian kadar pulangan adalah sama keseluruhannya).

    Prinsipnya tetap sama. Bayar untuk diri anda terlebih dahulu. Hanya dengan satu langkah menyimpan sebahagian kecil daripada pendapatan untuk persaraan boleh memberikan perbezaan yang ketara. Dengan perancangan yang baik seawal mungkin, anda pasti dapat menghadapi persaraan dengan penuh keyakinan dan kenikmatan.

    Mengecapi kenikmatan hari-hari selepas waktu persaraan anda bermula hanya dengan langkah kecil. Berbincanglah dengan Pembimbing Kewangan kami mengenai HSBC Amanah Advance untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan persaraan terbaru daripada HSBC Amanah.

    Cara Norzehan sambut 2012

    Posted: 01 Jan 2012 08:37 PM PST




    Bekas pelajar Sains Kesetiausahaan ini tidak melepaskan peluang apabila ditawarkan kerja sambilan sebagai model. Mahu membahagikan masa secara bijak, Norzehan seronok menambah duit poket walaupun sibuk dengan jadual kerjanya.

    Meminati gaya retro dan moden, dia juga amat meminati solekan dan busana.

    "Saya minat membeli-belah khususnya baju-baju terkini. Saya juga suka menyolek wajah. Pendek kata, saya amat menitikberatkan tentang penampilan dan kecantikan," jelasnya yang berdebar menunggu ketibaan 2012.

    Di sebalik keghairahan remaja menyambut tahun baru, Norzehan lebih selesa duduk di rumah bersama keluarga.

    "Setiap kali tiba tahun baru, sudah pasti saya berazam untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya sama ada hal peribadi ataupun kerjaya. Saya pernah lepak dengan kawan-kawan malam tahun baru tetapi tidak menganggapnya satu kemestian setiap tahun. Sebagai orang muda, masa bersama keluarga adalah penting dan sambutan itu biarlah sederhana," ujarnya yang gemar berenang.

    Berkongsi rahsia penjagaan diri, Norzehan mengamalkan rutin ringkas termasuk membasuh muka sebelum tidur sejak awal remaja lagi.

    Baginya sebagai wanita, kesihatan diri perlu diutamakan supaya bukan setakar tampil cantik bahkan cergas, ceria dan cerdik.

    Barang kemas Alicia

    Posted: 01 Jan 2012 08:36 PM PST


    ANTARA koleksi kegemaran Alicia.


    PEMBERIAN hadiah seutas rantai vintaj daripada seorang rakan pena yang berada di Peru iaitu Muna, lapan tahun lalu terus membuatkan Alicia Chan jatuh cinta dengan barang kemas vintaj luar negara.

    Koleksinya semakin bertambah apabila dia sering bertukar-tukar hadiah terutamanya barang kemas dengan rakan penanya yang lain di Amerika Syarikat (AS), Kimberly Lawrance yang dikenalinya hampir 20 tahun.

    Klasik, unik dan eksklusif – itu pandangan wanita berusia 36 tahun ini terhadap reka bentuk barang kemas yang dikaguminya.

    Sejak itu, dia semakin serius dengan minatnya mengumpul barang kemas vintaj dari luar negara. Bermula dengan hobi, kini ia juga menjadi antara sumber pendapatannya.

    Pemilik laman butik online www.jewelrina.com ini berminat mengetahui budaya negara lain terutamanya fesyen pakaian dan barang kemas mereka sejak kecil lagi.

    "Saya mula berkawan dengan rakan pena dari pelbagai negara seperti AS, Amerika Selatan dan Eropah sejak 15 tahun lalu dan masih berhubung hingga sekarang.

    "Ketika itu, saya menghadiahkan mereka barangan tempatan seperti rantai manik yang dibeli di Jalan Petaling dan mereka membalasnya dengan rantai dan beg dari negara mereka.

    "Barang kemas vintaj dari luar negara terutamanya AS amat berbeza kerana kerja tangan yang halus dan unik, tahan lama dan ia tidak mengoksida walaupun sudah berpuluh-puluh tahun," katanya sambil memperagakan koleksinya di OB Couture di Tropicana City Mall.

    Terang Chan, fokus minatnya adalah pada barang kemas vintaj yang tidak pernah dipakai lagi dan kebanyakan koleksinya diperoleh daripada Kimberly yang mendapatkannya dari stok kedai barang kemas ibu saudaranya di sana yang telah ditutup.

    Barang kemas berusia lebih 70 tahun menjadi antara koleksi kesayangan daripada kira-kira 600 barang kemas vintaj dari 1940-an hingga 1980-an yang dimilikinya.

    Ralit menyusun koleksi vintaj kesayangannya, Alicia menerangkan usia barang kemas yang kelihatan seperti baru itu boleh diketahui daripada manik, reka bentuk dan klipnya.

    Dia turut menyimpan beberapa katalog lama barang kemas tersebut.

    Gaya rambut super hero

    Posted: 01 Jan 2012 08:35 PM PST


    Ji eun (Secreret)


    WATAK-WATAK seperti Superman, Green Lantern, Batman, Wonder Woman , Hawk Girl dan The Joker sememangnya digilai ramai.

    Inspirasi watak hero ini menjadi trend fesyen yang semakin popular. Tidak ketinggalan, gaya selebriti Korea dan adaptasi majalah Manga dari Jepun.

    Watak-watak mereka 'dijelmakan' hidup menerusi cerita-cerita animasi dan 'live-action' melalui komik, wayang gambar, siri televisyen dan sebagainya yang memikat peminat.

    Sehinggakan ada kalangan peminat watak-watak ini menjadi ikon fesyen antarabangsa.

    Tidak ketinggalan, fesyen rambut terbaru turut mengambil super hero sebagai ilham dandanan terbaru.

    Selain watak super hero, gaya artis antarabangsa seperti Lady Gaga, Justin Bieber, selebriti K-Pop dan gaya tahun 1920-an dijangka terus popular sepanjang 2012 ini.

    Antarabangsa

    Baru-baru ini, L'Oreal Professionnel dengan kerjasama pereka fesyen dan pendandan rambut antarabangsa, Charlie Le Mindu muncul buat kali pertama di Minggu Fesyen Paris dengan pelbagai konsep rambut super hero, gaya Lady Gaga dan retro.

    Meminati gaya rambut berombak, beralun dan sanggul, Charlie menggunakan produk L'Oreal Professionnel iaitu Bad Mud dan Super Dust untuk mencipta gaya rambut daripada watak super hero seperti Catwoman dan Wonderwoman. Hasilnya, penampilan wanita lebih moden dan seksi.

    Justeru, anda tidak perlu takut menukar gaya rambut kerana anda boleh menyerlahkan personaliti anda.

    Musim ini turut menonjolkan kewanitaan dan romantik menerusi bentuk dandanan rambut yang diserlahkan dengan warna gelap wain merah, biru, tembaga dan coklat gelap. Rambut pula dibiarkan panjang dan berlapis serta ikal beralun.

    Ilham futuristik pilihan 2012

    Posted: 01 Jan 2012 08:32 PM PST


    Fesyen yang ditampilkan MaxMara ini dianggap futuristik.


    KONTEMPORARI dan moden. Ini gaya sepanjang tahun lalu. Kebanyakannya menampilkan sentuhan moden dan klasik. Misalnya gaya klasik atau 60-an diberi nafas baru kepada potongan moden dan warna yang lebih berani seperti merah samar, merah atau biru terang.

    Namun warna-warna seperti hitam, emas, coklat atau kelabu masih menjadi pilihan peminat fesyen. Bagaimana dengan gaya tahun 2012?

    Pasti lebih elegan dan eksklusif. Mengintai fesyen antarabangsa, sudah pasti tema musim panas membuka tirai tahun ini. Jika akhir tahun tampil dengan koleksi musim sejuk seperti kot, pakaian berbulu dan jaket, awal tahun pula menampilkan fesyen futuristik.

    Menyerlah

    Berbeza dengan tahun sebelum ini, kebanyakan koleksi musim sejuk tampil dengan warna-warna yang lebih menyerlah seperti merah atau kuning. Dahulu, pilihan banyak terhad kepada warna lazim seperti hitam sehingga tidak nampak kepelbagaian jenama tersebut.

    Sebaliknya, musim panas pula menampilkan warna yang sederhana seperti emas dan biru kehijauan. Kebanyakan pakaian menggunakan fabrik kapas atau jersi kerana kain yang lembut sesuai untuk cuaca panas. Bagi penggemar warna ceria dan rekaan baju bercorak, feminin dan tenang merupakan inspirasi tahun baru. Kebanyakan fesyen bakal mengetengahkan elemen seksi dan elegan. Manakala koleksi kasut masih menampilkan gaya popular seperti wedges, pump dan tumit tinggi. Selain beg tote dan hobo, beg kepit menjadi pilihan untuk gaya sederhana.

    100 murid terima bantuan persekolahan 2012

    Posted: 01 Jan 2012 08:31 PM PST


    SEBAHAGIAN daripada murid-murid sekolah gembira selepas menerima bantuan persekolahan sumbangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Bukit Bendera di Pulau Pinang, kelmarin.


    PULAU PINANG 1 Jan. - Seramai 100 murid dari keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan persekolahan daripada Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Bukit Bendera.

    Mereka yang terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Tahun Enam itu menerima pakaian sekolah dan alat tulis sebagai persiapan menjelang musim baru persekolahan Rabu ini.

    Ketua Puteri Bahagian Bukit Bendera, Haslina Abdul Rashid berkata, pemberian sedemikian diharap dapat menyemarakkan semangat kanak-kanak tersebut untuk ke sekolah.

    "Kami berharap agar kanak-kanak ini dapat menjalani sesi persekolahan dengan baik di samping membantu meringankan beban ibu bapa mereka kerana ada di kalangan keluarga mereka terdiri daripada ibu tunggal.

    "Pemilihan ini tidak menyeluruh, namun kami di Bahagian Bukit Bendera akan berusaha bagi membantu mereka yang belum menerima bantuan persekolahan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

    Sementara itu, seorang ibu tunggal, Rozelinawati Ramlan, 34 berkata, dia terharu dengan sumbangan tersebut kerana ia ternyata meringankan kos sara hidup keluarganya.

    Carian terhangat Google 2011

    Posted: 01 Jan 2012 08:30 PM PST

    ENJIN carian terkemuka, Google baru-baru ini mengeluarkan senarai Zeitgeist tahunan untuk Malaysia bagi terma carian terhangat di google.com.my sepanjang tahun ini.

    Senarai tersebut memberikan pandangan sepintas lalu berkenaan apa yang dicari oleh rakyat negara ini meliputi acara, detik-detik menarik, dan trend baru yang membuat kita terpesona sepanjang tahun 2011 ini.

    Pada tahun ini, senarai carian yang meningkat dengan pantas menunjukkan bahawa selain daripada rangkaian sosial dan juga bermain AngryBirds, rakyat Malaysia juga amat gemar untuk bergelak-tawa.

    Mereka juga mencari rancangan realiti televisyen (TV) Maharaja Lawak menduduki tangga ketiga.

    Apabila dilihat pada carian berkaitan rancangan TV, rakyat Malaysia amat gemarkan program realiti seperti America's Next Top Model (ANTM) X Factor USA dan American Idol 2011 merupakan antara carian rancangan TV popular sepanjang tahun ini.

    'Tonton' dan 'Apa Itu' 'PPVRIP' turut tersenarai sebagai carian popular, menunjukkan rakyat Malaysia mula memfokuskan terhadap TV atas-talian.

    Pengguna di negara ini juga meminati teknologi turut menyumbang kepada trend carian sepanjang tahun.

    Gajet yang dilancarkan dan yang sekadar ura-ura sahaja memegang empat kedudukan tertinggi daripada 10 carian yang meningkat naik dengan pantas pada tahun ini, iaitu iPhone 5, iPad 2, Samsung Galaxy dan Android.

    Dalam bertanyakan soalan berkaitan teknologi, pengguna Malaysia bertanyakan "Apakah itu..." untuk mengetahui lebih lanjut mengenai 'iPad', 'hacking' dan 'jailbreak'.

    Penyanyi dan penulis lagu - Bruno Mars yang melawat Malaysia Apri lalu mendahului pada senarai carian berkaitan orang yang meningkat naik dengan pantas bersama-sama dengan tiga bintang muzik antarabangsa iaitu Avril Lavigne, Rihanna dan juga Justin Bieber turut menjadi imej yang paling banyak dicari pada tahun ini.

    Pengguna Malaysia juga turut menggunakan carian imej dalam mengetahui berkaitan bagaimana basikal dengan gear tetap kelihatan apabila fixie mula menjadi budaya baru.

    Selain itu, terma yang carian imej popular yang lain adalah Domo-kun - maskot berbulu dari stesen televisyen Jepun, NHK.

    Selebriti YouTube, Cikgu Shida yang membuat segerak suara untuk lagu-lagu tempatan dan juga antarabangsa menjadi rakyat Malaysia yang memperlihatkan peningkatan dengan pantas pada tahun ini.

    Selain beliau, rakyat tempatan lain yang turut menyertai senarai tersebut termasuk penulis blog remaja, Fatin Liyana dan Haniz Zalikha, ahli politik Anwar Ibrahim, ulama Ustaz Kazim, dan pereka bentuk muslimah - Hana Tajima yang membawa gelombang baru pada fesyen bertudung di negara ini.

    Apabila ingin melancong, rakyat Malaysia kekal dengan apa yang mereka sedia kenali pantai dan bandar besar.

    Carian untuk Su Mei Island, Maldives dan Caribbean seimbang dengan carian berkaitan Hong Kong, Taipei dan New York.

    Disneyland juga merupakan carian popular di kalangan pengguna apabila kedua-dua carian Disneylands Paris dan Hong Kong menjadi carian destinasi antarabangsa popular pada tahun 2011.

    Jurucakap Google, Zeffri Yusof berkata, Zeitgiest penghujung tahun daripada Google merupakan salah satu ukuran budaya menunjukkan apakah yang menjadikan kita teruja, tertanya-tanya, dan ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

    Dari pemimpin, selebriti, hal ehwal semasa sehingga, sukan dan segalanya, trend carian memperlihatkan apakah yang difikirkan dan berada dalam minda rakyat Malaysia

    "Zeitgeist dalam bahasa Jerman bermakna semangat masa melalui eksplorasi berbilion terma carian yang diterima setiap tahun.

    "Trend terhangat sepanjang tahun 2011, kami juga menyediakan beberapa aplikasi memberikan informasi mendalam untuk carian global, mengikut negara, dan juga trend carian tahun-tahun lepas dan sekarang,'' katanya.

    Aplikasi Google Zeitgeist tidak digunakan sama sekali untuk mengenali seseorang pengguna kerana ia dikumpulkan tanpa identiti, dan dihimpunkan bilangan berdasarkan berapa kerap sesuatu terma atau kata kunci itu dilakukan carian.

    'Paling popular' merupakan terma carian yang digunakan paling banyak dalam carian, manakala 'meningkat naik paling pantas' merupakan terma carian yang memperlihatkan peningkatan carian paling cepat dari jumlah carian sepanjang tahun.

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

    Copyright 2010 All Rights Reserved