ads

Isnin, 26 Disember 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ini tidak adil!

Posted: 26 Dec 2011 08:19 PM PST

  • Foto

  • Foto

Bengang dianggap tidak berdisiplin

ARTIKEL bertajuk Jue Aziz tidak berdisiplin? yang disiarkan dalam Hip pada Khamis lalu benar-benar menyentap perasaan pelakon ini.Ia sangat mengejutkan dirinya. Dakwaan sebagai pelakon tidak berdisiplin benar-benar mengecewakan.
Menatap setiap baris ayat yang tertera pada artikel itu, ternyata mengguris perasaan Jue Aziz atau nama sebenarnya Juliana Aziz.

Sukar untuk digambarkan betapa sakitnya hati selepas membaca dakwaan penerbit teater Se-Merah Padi iaitu Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno yang mendakwa dia sebagai pelakon yang bermasalah kerana sering ponteng daripada sesi latihan pementasan itu.

Jue mendakwa, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pelakon teater itu kerana setiap kali diminta hadir ke sesi latihan, dia pasti muncul.
Kenyataan Jue ini menimbulkan persoalan. Siapa sebenarnya yang berkata benar? Kalau betul hadir menjalani latihan dengan penuh disiplin mengikut jadual ditetapkan, mengapa pula Keno sebagai penerbit dan krew lain mengadu dia sering ponteng?
Apapun Jue Aziz tetap mempertahankan dirinya dengan menafikan dia tidak komitmen atau menunjukkan kesungguhan terhadap teater itu. Menganggap dirinya sebagai tidak mahu membuat kecoh, Jue juga cuba mengaitkan beberapa pelakon lain dalam teater itu yang didakwanya tidak hadir menjalani latihan seperti yang dijadualkan.

Malahan Jue juga mendakwa tidak sepatutnya dianggap sebagai pelakon tidak berdisiplin hanya kerana tidak hadir membuat latihan selama empat hari. Namun begitu, dia tidak pula memberi alasan mengapa tidak hadir untuk latihan selama tempoh itu.

"Selama ini saya hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu membuat kecoh. Namun selepas membaca kenyataan Keno yang mengatakan saya sebagai artis tidak berdisiplin, itu yang membuatkan saya bersuara mempertahankan diri saya. Saya tidak pernah mengabaikan komitmen saya sebagai pelakon teater itu.

"Takkanlah hanya kerana saya tak datang empat hari, saya terus didakwa sebagai tidak berdisiplin dan menyusahkan produksi. Saya tak datang latihan adalah disebabkan masalah kesihatan dan saya ada memaklumkan mereka mengenai ketidakhadiran saya itu pada mereka.

"Apabila tiba-tiba muncul berita mengatakan tidak memberi komitmen sepenuhnya, ponteng sesi latihan, itu yang membuatkan saya marah. Mengapa orang lain yang tidak datang latihan berhari-hari dan memberikan alasan tidak masuk akal, tidak dicanangkan kepada wartawan?

"Apa tujuan mereka berbuat begitu? Di depan saya cakap lain, belakang macam-macam dia tuduh saya? Sungguh tidak profesional," luah Jue ketika dihubungi Hip Jumaat lalu.

Menurut pelakon drama bersiri Nilapura ini, seboleh mungkin dia tidak mahu menyusahkan atau memburukkan mana-mana pihak. Namun, terasa sia-sia apa yang dilakukannya selama ini apabila susu yang diberi, tuba yang dibalas.

"Tak perlu nak pertikaikan komitmen saya. Sewaktu awal-awal sesi latihan dulu, saya adalah antara pelakon yang kerap datang latihan. Bagi saya itu adalah penting untuk memahami watak dan menimbulkan keserasian.

"Namun apa yang berlaku adalah, saya tidak dapat memberikan sepenuh perhatian dan fokus pada watak disebabkan sesi latihan sering berlangsung tanpa pelakon yang lengkap.

"Bila perkara seperti itu kerap berlaku, siapa yang patut dipersalahkan? Janganlah hanya kerana saya tak datang latihan, terus hendak menuding jari ke arah saya? Terasa seperti dianiaya apabila pihak produksi memperlakukan saya sebegitu," jelasnya lagi.

Tegas Jue lagi, jangan ingat dia sebagai pelakon baru, produksi boleh buat apa saja termasuk meletakkan kesalahan orang lain di bahunya.

"Bila pelakon buat silap, cepat saja mereka nak hebahkan pada wartawam.Tapi produksi sendiri yang kelam kabut dan pengurusan yang tidak profesional, tidak pula mereka cerita," kata Jue.

Sepanjang perbualan menerusi telefon, Jue kedengaran sering batuk-batuk kecil menandakan dia memang tidak sihat.

Ditanya mengenai pelakon Arbaiah Ahmad Nadzri atau Abby Nadzri yang dikatakan bakal menggantikannya dalam pementasan itu, Jue memberitahu dia sendiri tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

"Itu juga satu persoalan buat saya kerana saya sendiri tidak tahu status saya. Adakah saya yang akan berlakon dalam pementasan itu ataupun digantikan dengan orang lain kerana sepanjang latihan di Istana Budaya, saya lihat Abby yang banyak berlatih dan saya disuruh duduk di depan pentas menyaksikan mereka berlatih," katanya lagi.

Selain Jue yang sepatutnya memegang watak Dara, teater yang memulakan pementasannya sejak malam Sabtu lalu turut membariskan pelakon seperti Khir Rahman, Fauzi Nawawi , Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.

Teater yang sebahagiannya diadaptasi daripada filem Semerah Padi karya Tan Sri P Ramlee itu diarahkan oleh Rosdeen Suboh ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 31 Disember depan.

Juara milik Asmidar

Posted: 26 Dec 2011 08:17 PM PST

  • Foto

    Asmidar dinobatkan Juara Konsert Akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa.

  • Foto

    Juri Konsert Akhir Volak Bukan Sekadar Rupa, dari kiri, Erra Fazira, Azmeer dan Ziana Zain.

Dicabar sengit oleh Mafa sebelum berjaya meraih RM50,000

PERTARUNGAN antara dua finalis program Vokal Bukan Sekadar Rupa pada Ahad lalu, memberikan tamparan hebat kepada juri program dalam memilih juara.Namun, kelebihan serta nada tersendiri yang dicipta peserta dari Kuala Lumpur, Norhasmidar Ahmad mendendangkan lagu ciptaan Ajai, Biar Sampai Ke Bintang, 'membunuh' kelebihan lawannya, Mafarikha Md Akhir sehinggakan kesemua juri sepakat mengatakan lagu itu cukup sempurna dinyanyikan.
Sepakat dinobatkan sebagai juara program oleh barisan juri dan undian SMS dengan membawa wang tunai berjumlah RM50,000, pelajar ASWARA itu kerap kali dipuji melambung oleh juri seperti Azmeer dan Ziana Zain yang mengatakan kekuatan Asmidar terletak pada kawalan pernafasannya yang sangat baik walaupun mereka tidak menafikan peserta yang dikenali sebagai Mafa lebih baik dari segi nada suara. Keputusan akhir yang menyaksikan Asmidar mendapat 73 peratus undian sms dan juri, manakala lawannya mendapat 53 peratus.

Berterusan mengasak regu lawannya, Asmidar turut membuktikan dia layak memenangi program itu apabila dapat menyampaikan lagu pilihan Mafa, Hurt milik Christina Agueilera, dengan gaya tersendirinya sehingga Azmeer menoktahkan bahawa dia adalah penyanyi yang dicari selama ini pada segmen ketiga iaitu Battle.

Istimewanya juga apabila Mafa turut mencabar kembali Asmidar dengan membuktikan dia mampu menyanyikan lagu Datuk Ahmad Kilau, Laksamana Raja Di Laut dengan lenggok suara yang memikat Ziana Zain dan Erra Fazira.
Lagu lain yang dimeriahkan kedua finalis itu pada segmen pertama adalah My Way, Jangan Tinggal Daku, Tiba, Siapa Dia serta Aksi Suara.
Menariknya lagi, gandingan pengacara program, Faizal Ismail serta Adibah Noor menyampaikan lagu Moves Like Jagger mendapat tempat di hati penonton pada malam itu apabila nyanyian itu dilahirkan secara bersahaja.

Walaupun tidak dinafikan persaingan merebut juara pada malam itu cukup tegang, kemenangan yang dinobatkan kepada wanita berusia 25 tahun itu tepat kerana Mafa dilihat tidak begitu menyerlah ketika menyanyikan lagu Tiba hasil sentuhan komposer terkenal Audi Mok. Malahan ketiga-tiga juri sepakat mengatakan lagu itu kurang menyengat dan Azmeer pula berasakan lagu itu belum diberikan justifikasi sedalam-dalamnya oleh Mafa.

Sementara itu, Asmidar ketika ditemui pada sidang media itu, berkata, dia berharap laluan seni suaranya selepas ini akan berterusan memihak kepadanya.

"Pertandingan sangat sengit terutama pada segmen battle. Saya dapat menyanyikan lagu pilihan tetapi dalam masa yang sama menyanyikan lagu yang dicabar Mafa. Sebenarnya daripada latihan lagi saya sudah rasa tercabar melihatkan bakat Mafa.

"Ada yang Mafa ada, saya tidak ada yang mana suaranya nyaring serta bijak meletakkan bunga lagu di tempat yang betul selain bertenaga," katanya yang masih tidak mempunyai arah di mana mahu menggunakan wang hadiah yang diterimanya itu.

"Mungkin digunakan untuk menghasilkan single atau album selepas ini," katanya yang turut melahirkan rasa untuk bekerjasama dengan komposer seperti Audi Mok.

Manakala Mafa yang ditemui tidak dapat menafikan sesekali perasaan hampa menerjah ke ruang hatinya kerana gagal merebut gelaran juara pada program itu namun redha atas ketentuan itu.

"Saya perlu percaya pada rezeki. Tidak semestinya saya tidak mendapat juara, saya tidak akan berjaya dan paling utama saya sudah buktikan pada umum bahawa orang badan besar macam saya juga boleh menyanyi dengan baik.

"Ya saya mengaku ada melakukan kesilapan ketika menyanyikan lagu baru disebabkan masalah kawalan pernafasan dan masih belum biasa dengan lagu itu. Mungkin kekuatan lagu itu masih belum dapat dicari saya sebagai penyanyi tetapi saya sudah buat yang terbaik," katanya.

Belum tinggalkan Hot, Fly FM

Posted: 26 Dec 2011 08:11 PM PST

pix_middle

UMUM mengetahui, dua wanita jelita ini penyampai radio. Seorang bertugas di stesen bahasa Melayu popular, Hot FM dan seorang lagi di stesen radio Inggeris, Fly FM. Namun, program bual bicara Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9, menyatukan mereka.

Sempena tahun baru 2012 dan berkuat kuasa 1 Januari nanti, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leeya, 28, dan Hani Farhana Mohd Hatim atau Hunny Madu, 27, akan muncul sebagai pengacara NLKO baru yang disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

  • Foto

    SHARIFAH ALEYA...akui dia sangat meminati bidang pengacaraan.

  • Foto

    HUNNY MADU...penuhi hasrat nenek untuk mengacarakan NLKO.

Ketika ditemui pada sesi fotografi diadakan baru-baru ini, Leeya dan Hunny mengakui mereka sangat teruja dan berbesar hati apabila mendapat lamaran daripada TV9 untuk mengacarakan program NLKO yang menemui penonton dari jam 8 hingga 10 pagi itu.

Leeya berkata, dia tidak keberatan memikul tanggungjawab sebagai hos kerana cukup meminati bidang pengacaraan. Katanya, agak lama juga tidak mendapat peluang diidamkan itu dan apabila diperoleh, takkan mahu dilepaskan pula.


"Jika sebelum ini, saya terpaksa mengundur diri daripada pengacaraan atas sebab tak dapat dielakkan, kini, saya akan pastikan buat yang terbaik. Ditambah lagi, saya sangat selesa dengan pengacaraan dan hanya perlu bijak sesuaikan diri.


"Biarpun ada perasaan gementar untuk muncul 1 Januari nanti, saya sedikit tenang dengan adanya AG yang turut menjadi pengacara di NLKO. Saya yakin AG akan membantu dan penyertaan dalam NLKO mungkin kerana inilah masanya.

"Lagipun, saya seorang yang suka belajar dan menimba pengalaman baru. Barangkali, kemunculan saya juga bertepatan dengan cita rasa dan gaya baru yang diketengahkan program ini. NLKO juga tidak terlalu formal dan sesuai dengan diri saya," katanya.

Menurut ibu kepada dua anak ini, dia juga yakin mampu membahagikan masa dengan baik antara karier sebagai penyampai radio dan pengacara. Ini kerana, Leeya kini turut aktif berlakon semula dan baru selesai menjayakan drama Karma untuk TV9.

Katanya, lakonan juga sebati dengan jiwanya dan atas sebab itu dia tidak mampu menolak. Menurut Leeya, dia juga bukan seorang pelakon yang memandang pada bayaran. Jelasnya, dia boleh bekerjasama dengan mana-mana pengarah atas dasar kepercayaan.

"Saya seronok berlakon dan teringin sangat untuk berlakon filem jika diberi peluang. Malah, saya juga suka buat apa saja kerja demi rezeki. Saya seorang yang suka bekerja kerana saya cintakan kerja saya. Oleh itu, saya takkan menolak rezeki yang datang.

"Apapun, berlakon dalam Karma adalah pengalaman yang indah. Produksi di bawah Erma Fatima ini cukup menyeronokkan kerana kami semua umpama keluarga. Biarpun, tak kenal rapat, masing-masing boleh jalin hubungan yang baik," katanya.

Menyentuh soal gandingan bersama Hunny Madu, ujar Leeya kombinasi mereka mungkin sesuai. Katanya, Hunny juga memiliki bakat tersendiri dalam pengacaraan. Cuma, bagaimana agaknya penerimaan penonton terhadap kemunculan mereka berdua?


Hunny sudah dua tahun tak mengacara

KEPETAHAN Hunny Madu ketika berbicara tidak perlu disangkal. Ini kerana, wanita tinggi lampai itu bukan saja mahir berbahasa Inggeris, tetapi dia juga boleh berbahasa Melayu dengan baik. Asal-usul nyata tidak dilupakan Hunny yang ramah menyusun kata.

Menyentuh pembabitannya dalam NLKO, Hunny berkata semuanya berlaku secara kebetulan selepas dua tahun meninggalkan 8TV Quickie. Katanya, dia muncul dalam NLKO untuk mempromosikan album sulung, Pulau Janji dan tidak sangka dilamar Penerbit Eksekutif, Wan Sabariah Sheikh Ali.

"Beliau (Wan Sabariah) meminta saya menghadiri uji bakat untuk pengacara wanita baru NLKO. Saya pula tiada masalah untuk menerima dan apa salahnya mencuba nasib. Saya datang ke uji bakat diadakan itu hanya sekadar untuk mencuba saja.

"Tak sangka diterima dan apabila dimaklum pada keluarga, nenek saya memberikan sokongan penuh. Nenek minta saya menerima kerana NLKO adalah program yang bagus dan dia juga selalu menontonnya. Jadi, saya harap nenek lebih gembira.

"Apapun, semoga saya tidak kekok untuk bergandingan dengan pengacara lain seperti Sharifah Nor, Farah Diana Anuar, AG, Fizo Omar dan Lokman. Saya akan cuba sebaik mungkin terutama dalam menyampaikan isu semasa yang berlaku," katanya.

Menurut Hunny, sebagai persediaan dia kini bersiap sedia mengisi pengetahuannya dengan pelbagai pengetahuan am dan isu semasa. Katanya, dia akan pastikan ilmu pengacaraan dimiliki mencukupi supaya apa yang disampaikan asli dan tidak kelihatan stereotaip.

"Sebelum ini, saya sudah terbiasa dengan penyampaian dalam bahasa Inggeris. Jadi, memandangkan NLKO dalam bahasa Malaysia, maka saya fikir persediaan yang lebih sangat penting. Bagi saya, persediaan melampau itu membawa kebaikan.

"Selain itu, saya juga selesa dapat melakukan penyampaian yang bersahaja. Malah, apa yang diharapkan pada kemunculan pertama nanti, semuanya berjalan lancar. Semoga tiada perkataan yang tersekat atau tersasul ketika bersiaran langsung," katanya.

Menyentuh mengenai keluarga, Hunny berkata dia juga mengharapkan 2012 akan mengeratkan lagi hubungan bersama suami dengan kehadiran cahaya mata. Ujarnya, dia tidak pernah merancang memiliki anak, tetapi hingga kini masih tiada rezeki.

Kata Hunny lagi, suaminya sangat mengharapkan kehadiran zuriat. Namun, apa boleh buat kerana semua ini ketentuan Tuhan. Bagaimanapun, katanya, suami seorang yang sangat memahami dan turut memberi sokongan terhadap karier diceburinya.


PROFIL

NAMA: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid
PANGGILAN KOMERSIAL: Leeya
TARIKH LAHIR: 27 April 1983
UMUR: 28 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyampai radio Hot FM, pelakon, pengacara
KELUARGA: Anak sulung
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Muhammad Ashraf Aasimudin (Ashraf)
ANAK: Aza Ameena, Asha Ameena, 2 tahun (kembar)
SIRI TV: The Breakfast Show (ntv7), Nasi Lemak Kopi O (TV9)
FILEM: Idola, Diari Romeo, Trauma, Mukhsin dan Man Laksa


PROFIL

NAMA: Hani Farhana Mohd Hatim
PANGGILAN KOMERSIAL: Hunny Madu
TARIKH LAHIR: 1 April 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyampai radio Fly FM, pengacara, pencipta lagu dan penyanyi
KELUARGA: Anak kedua
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Khairul Azhar Abdul Wahid
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dan Kewartawanan
ALBUM: Pulau Janji
PROGRAM TV: 8TV Quickie (8TV), Nasi Lemak Kopi O (TV9)

Ceroboh rumah berkhalwat

Posted: 26 Dec 2011 08:09 PM PST

CEKUP...pasangan kekasih ditahan selepas dipercayai berkhalwat dalam sebuah bilik di rumah orang.
CEKUP...pasangan kekasih ditahan selepas dipercayai berkhalwat dalam sebuah bilik di rumah orang.

ALOR GAJAH: Seorang wanita yang juga isteri orang ditemui dalam keadaan mengaibkan apabila berpelukan dalam telanjang bulat dengan teman lelakinya dalam bilik di sebuah rumah Kampung Baru Lendu, Alor Gajah, pagi kelmarin.

Lebih memalukan apabila kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu disedari pemilik rumah berkenaan, Sutini Hamzah, 61, bersama anak lelakinya, Ainol Adnan, 38, yang datang ke rumah itu selepas dimaklumkan jiran mengenai tindakan sepasang kekasih tidak dikenali menginap di rumah mereka tanpa kebenaran.

Ainol ketika ditemui berkata, sebaik dia dan ibunya tiba di rumah itu, mereka mendapati pintu pagar depan, tingkap dan pintu utama rumah terbuka luas seperti sudah lama ditinggalkan.

Katanya, dia memberi salam sebanyak tiga kali, namun tidak bersahut sebelum masuk ke dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu untuk melakukan pemeriksaan, namun mendapati tiada sebarang kesan rumah itu diceroboh."Bagaimanapun, apabila saya dan ibu masuk ke bilik terakhir, kami terkejut apabila terserempak sepasang kekasih bertelanjang bulat dalam keadaan berpelukan nyenyak tidur seperti orang kepenatan."Gelagat mereka sedang berpelukan intim di atas katil amat mengaibkan, malah mereka tidak sedar kehadiran kami," katanya.

Erra Fazira, Suami Tiada Masalah

Posted: 26 Dec 2011 08:07 PM PST

Erra Fazira

PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira, 37, menjelaskan, ketiadaan suaminya bersama dalam majlis-majlis tertentu bukanlah bererti mereka sedang menghadapi masalah rumah tangga seperti mana yang diperkatakan sesetengah pihak.

Kata Erra, dia tidak perlu menjadi seperti sesetengah selebriti lain yang sering membawa pasangan masing-masing untuk ke sesebuah acara sebaliknya dia perlu menjaga perasaan suami yang tidak gemar menjadi perhatian umum.

"Ada orang selesa jika kita kerap membawa pasangan ke acara hiburan dan ada kalanya pula mereka tidak suka. Jadi saya tidak boleh nak ikut kehendak semua. Bagi pihak saya pula, terpulang kepada Emran untuk mengikut saya atau tidak.

"Mengenai perhubungan kami pula, tidak perlulah saya hendak hebohkan kepada umum. Biarlah rahsia. Lebih-lebih lagi untuk azam 2012 saya ingin memberi fokus lebih kepada kerjaya," kata ibu kepada Engku Aleesya, 2.

Tambah Erra lagi, tahun 2012 juga bakal memperlihatkan dirinya kembali aktif di pentas nyanyian selepas hampir dua tahun dia tidak beraksi.

Erra di samping suami dan anak tercinta.

Malah pelakon drama Kelas Kau Maria ini berkata dia juga sedang memikirkan tentang beberapa tawaran menjadi duta produk.

Dalam pada itu, Erra juga bersyukur pada usia yang hampir mencecah 40 tahun ini, dia masih lagi menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga membuatkan dia terpaksa memilih mengikut kesesuaian watak.

"Saya percaya, jadual kerjaya yang padat ini mesti ada sesuatu yang dirancang Allah S.W.T. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

"Ini kerana apabila saya merancang sesuatu, perkara lain pula yang muncul. Apa-apa pun, saya anggap ia sebagai rezeki buat keluarga," ujarnya.

Aqasha Berkorban Masa Demi Anak, Isteri

Posted: 26 Dec 2011 08:06 PM PST

Aqasha seronok menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.

PETALING JAYA: Sejak bergelar bapa dan ketua keluarga, pelakon dan penyanyi Aqasha akui tanggungjawabnya semakin besar.

Dia akan cuba melunaskan tanggungjawab tersebut sebaiknya sehingga sanggup berkorban masa daripada melakukan rutin sosial selepas kelahiran Alehandra Ahmad lebih tiga bulan lalu.

"Selepas selesai kerja, terus saya akan berkejar pulang ke rumah dan terpaksa melupakan niat untuk pergi berkaraoke dan berbual dengan kawan-kawan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Takkan saya nak biarkan isteri, Baizura menguruskan anak seorang diri. Jadi sebagai suami saya perlu membantunya.

Aqasha dan Ayu Raudhah bergandingan menerusi drama Gemersik Kalbu.

"Bagaimanapun, saya seronok menjadi bapa kerana saya lebih mengenali diri-sendiri dan karakter anak," katanya ketika ditemui di pelancaran drama Gemersik Kalbu di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Menurut Aqasha, nama Alehandra dipilih memandangkan dia meminati Alexander yang bermaksud 'pejuang bangsa' dan nama Ahmad bermaksud 'yang terpuji'.

"Saya tidak mahu jika saya meletakkan nama Alexander nanti orang ingat saya mengagung-agungkan nama orang barat. Jadi sebab itu saya menukarnya kepada Alehandra.

"Saya berharap anak saya mempunyai budi pekerti yang elok kelak," katanya lagi.

Bercerita tentang tugasnya sebagai bapa, Aqasha tidak kekok untuk mengendalikan anaknya seperti menukar lampin, membuat susu dan menjaga anak.

"Saya mahu anak membesar depan mata saya. Jadi, sebab itu saya tidak mahu orang lain menjaga anak kami. Tetapi sekiranya saya dan isteri sama-sama sibuk, kami akan menghantar Alehandra ke rumah ibu saya untuk dijaga sementara," ujarnya yang memegang watak Sufian dalam Gemersik Kalbu di samping Ayu Raudhah.

Drama tersebut merupakan drama adaptasi dari novel Gemersik Kalbu yang ditulis oleh Anis Ayuni.

Bagaimanapun, Aqasha cuba tidak membaca novel tersebut kerana tidak mahu ada bayangan sendiri apabila memasuki set penggambaran drama arahan Heykal Hanafiah itu.

Selain itu, biarpun dalam drama itu Aqasha perlu melakukan babak romantik dengan Ayu, namun mereka saling profesional dan menganggap babak yang dilakonkan tidak keterlaluan.

Aqasha turut menyanyikan lagu Obsesiku yang turut dimuatkan dalam drama ini. Lagu tersebut merupakan lagu ciptaan Aqasha sepenuhnya.

Gemersik Kalbu akan mula bersiaran pada 2 Januari depan, setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.

Zain Saidin Sangkal Rancang Gosip Cinta Untuk Popular

Posted: 26 Dec 2011 08:05 PM PST

Zain Saidin

KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Zain Saidin, 27, (Zain) menolak pandangan yang mendakwa gosip hubungan cintanya dengan aktres Rozita Che Wan adalah strategi yang sengaja dirancang untuk melonjakkan popularitinya.

Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin berkata persepsi liar itu adalah tidak berasas dan dia tidak pernah terfikir mengenai pendekatan sedemikian untuk meraih publisiti dengan mudah.

"Saya tidak pernah menggunakan sebarang strategi untuk popular dan tidak pernah terfikir untuk mengada-adakan cerita saya mempunyai hubungan dengan Rozita Che Wan untuk meraih publisiti.

"Secara kebetulan sahaja saya dikaitkan dengan dia dan nampaknya gosip itu terus diperkatakan sehingga hari ini," katanya.

Zain berkata pada hakikatnya dia sudah mula dikenali sebelum gosip hubungannya dengan aktres Kiah Pekasam itu diperkatakan lagi. Justeru, katanya tidak timbul isu kononnya dia sengaja merancang strategi tersebut untuk cepat dikenali.

"Gosip adalah asam garam dunia artis. Walaupun sudah beberapa kali saya jelaskan bahawa kami hanya berkawan biasa, cerita itu terus diperkatakan. Jadi, saya terima sahaja gosip itu dengan hati terbuka," katanya.

Bagaimanapun, Zain tidak menyangkal sejak gosip itu hangat diperkatakan, rezekinya dalam bidang lakonan semakin bertambah.

Ia sekali gus membuktikan bahawa gosip itu turut membantu dalam mengembangkan jenamanya sebagai pendatang baru.

"Saya tidak nafikan bahawa memang gosip saya dan Rozita turut memainkan peranan dalam perkembangan kerjaya saya.

"Memang benar, sejak gosip itu tersebar rezeki dalam lakonan juga semakin berkembang," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru, adik kepada penyanyi Sasha Saidin ini berkata dia kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan baju-T untuk lelaki dan perempuan secara dalam talian.

Kata Zain, perniagaan baju-T berjenama ZPT Design itu diusahakan sejak dua bulan itu dan kesemua rekaannya diilhamkan olehnya sendiri. Ia dijual pada harga RM39.90 sepasang.

"Selain pilihan rekaan yang ditawarkan, pembeli juga boleh menghasilkan rekaan sendiri pada baju-T mereka. Mereka cuma perlu tambah RM10 sahaja daripada harga baju. Buat masa ini, kaedah penghantaran adalah secara pos atau boleh diambil di tempat-tempat tertentu," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook Zain Saidin di http://www.facebook.com/pages/Zain-Saidin/252092863304.

SOROTAN 2011: Kes Penceraian Artis Menurun

Posted: 26 Dec 2011 08:04 PM PST

PETALING JAYA: Tahun lalu lebih daripada 10 pasangan artis tempatan telah melalui kenangan pahit apabila rumah tangga yang dibina tidak kekal lama.

Untuk tahun ini jumlah penceraian melibatkan selebriti sedikit kurang dan ini telah menunjukkan satu tanda positif buat artis yang telah mendirikan rumah tangga sekali gus mengubah persepsi masyarakat mengenai dunia mereka.

mStar Online mengimbau kembali beberapa kes keruntuhan rumah tangga melibatkan artis tempatan sepanjang 2011

1. Aishah Diceraikan Menerusi SMS

Keretakan rumah tangga penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini membuka tirai penceraian artis tanah air pada 2011 apabila Aishah dan suaminya berpisah selepas 13 bulan hidup bersama.

Punca keretakan perkahwinan kali ketiganya itu bagaimanapun dirahsiakan oleh penyanyi itu dan hanya memberitahu diceraikan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 19 Mei lalu.

Aishah sebelum itu memcetuskan kontroversi apabila dilaporkan memilih untuk berkahwin di Narathiwat, Thailand pada 30 April 2010 selepas seminggu berkenalan dengan Faizal Sazali Zulkifli.

Terkini, Aishah memberitahu perceraian itu telah menyebabkan hubungannya dengan anak-anaknya, Arman, 17 dan Azhad 11, menjadi semakin rapat selain dapat menyemai kasih sayang yang mendalam kepada mereka.

2. Zul Huzaimy Cerai Talak Dua

Isteri kepada pelakon popular Zul Huzaimy, 33, Nor Dalilah Muhammad, 29 mengesahkan mereka sudah bercerai talak dua dan didaftarkan pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang, Selangor.

Menurut Dalilah sebelum itu, mereka pernah mengalami konflik pada hujung tahun 2009 dan masing-masing telah menetapkan syarat untuk berbaik semula selepas kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, jodoh antara mereka tidak panjang, perancangan itu tidak menjadi dan berpisah sekali lagi secara baik.

Gosip keretakan rumah tangga Zul Huzaimy sudah kedengaran sejak tahun lalu tapi pelakon itu enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata ia adalah kisah peribadi yang tak perlu dihebohkan.

3. Drama Penceraian Joey-Noraini

Mendakwa Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud melafazkan cerai kerana mempunyai hubungan dengan pelakon dan penyanyi kumpulan Elite, Norwati Sadali atau Watie, akhirnya penceraian Joey dan Noraini Mohammad Nasir sah pada 18 Ogos lalu.

Namun pelbagai tohmahan dan kontroversi berlaku sepanjang prosiding berlangsung dengan kedua-dua belah pihak memberi kenyataan balas yang turut mengheret Watie dalam keretakan rumah tangga mereka.

Tidak hanya di mahkamah pelbagai kenyataan akhbar juga telah menjadikan kes berkenaan mendapat liputan ramai.

4. Saida Tebus Talak, Sah Cerai Talak Satu

Penyanyi, Saida sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu, selepas menebus talak dengan bayaran sebanyak RM1,000 kepada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri.

Walaupun menerima bayaran tersebut, Mohd Ghazali yang merupakan seorang ahli perniagaan tetap enggan melafazkan lafaz cerai dan menyerahkan seorang pegawai mahkamah, yang merupakan wakil hakam (penimbang tara) yang dilantik untuk berbuat demikian.

Mohd Ghazali, 41, turut menyifatkan dirinya sebagai seorang suami yang dayus jika menuruti permintaan Saida atau nama sebenarnya Siti Norsaida Tarudin, 35, untuk diceraikan.

Ghazali bagaimanapun akur dengan permintaan Saida dan melafazkan cerai pada hari yang sama. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Mashitah, 5 sepanjang perkahwinan mereka selama 15 tahun itu.

5. Nabila-Eddy Cerai Talak Satu

Kunjungan pelakon Nabila Huda ke Pejabat Kadi Bahagian Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Zaidy Zailani segera dihidu oleh pihak media.

Alasan tidak dapat lagi hidup bersama dengan suaminya itu, pasangan yang dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Keisha Laila, setahun 7 bulan itu akhirnya bercerai pada 10 November lalu secara baik.

Sejurus penceraian tersebut, Nabila yang juga anak kepada penyanyi, Amy Search menjadi tajuk utama akhbar apabila gambarnya bercium bersama seorang lelaki tidak dikenali mendapat kecaman daripada ramai pihak.

Tidak cukup dengan itu, Nabila menghambur kata-kata pedas kepada bekas suaminya mengenai perangai sebenar lelaki yang dinikahinya pada tahun 2008 itu.

Sajian Program Hangat Hujung Tahun Di TV3

Posted: 26 Dec 2011 08:03 PM PST

PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan Tahun Baru yang kian hampir, TV3 mengambil peluang untuk menghiburkan penonton setianya dengan pelbagai aneka rancangan menarik.

Raikan sambutan Tahun Baru dengan sajian istimewa pelbagai genre dan sesuai untuk tontonan semua peringkat umur menerusi rangkaian filem-filem hebat seperti Wanted, Slumdog Millionaire. dan 3 Idiots.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton telefilem terbaru seperti Aduh Sayang dan Jatuh Cinta serta imbas kembali kisah sensasi dan gosip panas dalam industri hiburan menerusi Melodi Terhangat, Fuhhh! Terbaik dan program majalah berita, Gelombang 2011.

Melodi Terhangat(Selasa, 27 Disember, 6.00 petang)

Ikuti 10 kontroversi yang menjadi bualan hangat sepanjang tahun 2011! Antaranya kisah dua pelakon jelita, Fasha Sandha dan Nora Danish, pelakon dan pengarah drama "Asmara", Faezah Elai dan Heykal Hanafiah, cinta Shahz Jaszle dan Maria Farida serta perang Twitter Azwan Ali.

Fuhhh! Terbaik (Selasa, 27 Disember, 11.00 malam)

Episod khas ini akan mengimbas kembali fesyen-fesyen artis tanah air pada majlis-majlis anugerah seperti Anugerah Juara Lagu 25, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Skrin 2011.

Selain itu, muzik video terbaik untuk tahun 2011 dan aktiviti tanggungjawab sosial artis turut dipaparkan.

Menerusi Fuhhh! Terbaik ini juga, penonton dapat menyaksikan rumah Awal Ashaari diselongkar oleh wartawan-wartawan Fuhhh!

3 Idiots(Selasa, 28 Disember, 10.00 malam)

Farhan Qureshi, Raju Rastogi dan Rancho merupakan pelajar kejuruteraan dan berkongsi kediaman di Kolej Kejuruteraan Imperial.

Farhan mengambil jurusan ini kerana permintaan ayahnya sedangkan dia mahu menjadi jurugambar. Raju pula bertekad untuk mengubah nasib keluarganya dan Rancho kerana kegilaannya terhadap mesin-mesin.

Suatu hari, Racho jatuh cinta dengan seorang pelajar perubatan, Pia ketika Racho, Farhan dan Raju memecah masuk ke majlis perkahwinan kakak Pia untuk mendapatkan makanan percuma.

Dekan universiti, Viru, melabelkan Racho dan kawan-kawannya sebagai "bodoh" dan cuba memecah-belahkan persahabatan mereka.

Pelakon: Aamir Khan, Kareena Kapoor, Boman Irani, Sharman Joshi, Madhavan, Omi Vaidya, Mona Singh.

Mega Movie: Wanted(Jumaat, 30 Disember, 10.00 malam)

Wesley Allan Gibson, seorang kerani yang melalui rutin hidup yang membosankan. Wesley selalu dihina oleh bosnya manakala kekasihnya curang di pejabat.

Suatu hari, Wesley bertemu dengan seorang wanita misteri bernama Fox yang menyampaikan berita bahawa ayahnya merupakan seorang pembunuh profesional dari kumpulan "Fraternity" dan telah dibunuh oleh Cross, yang membelot kumpulan "Fraternity".

Wesley menyedari dia mempunyai kebolehan terpendam dan membuat keputusan untuk menyertai kumpulan yang diketuai oleh Sloan.

Pelakon: James McAvoy, Morgan Freeman, Angelina Jolie, Terence Stamp, Common, Kristen Hager, Marc Warren.

Gelombang 2011(Sabtu, 31 Disember, 5.00 petang)

Gelombang 2011 mengupas pelbagai cerita dalam dan luar negara yang paling mendominasi tajuk utama sepanjang tahun 2011.

Daripada agenda politik ke kancah sukan sehinggalah perkembangan ekonomi ke perihal sosial.

Antara yang dipaparkan; tsunami Jepun, tragedi tanah runtuh di Madrasah Al-Taqwa, kemelut negara Arab, perkahwinan DiRaja Putera William dan Kate Middleton, peletakan jawatan oleh Misbun Sidek dan kejayaan kontinjen Malaysia di Sukan SEA.

Cerekarama: Aduh Sayang(31 Disember, 9.00 malam)

Aduh Sayang berkisar tentang Nani dan Shidi, pasangan suami isteri yang dikurniakan dua cahaya mata, Fateha, 4 tahun dan Fayyad, 3 tahun.

Sejak mendapat cahaya mata, Nani dan Shidi sering keletihan dan tidak bermaya ke pejabat. Kadang kala ketegangan antara mereka tercetus.

Keadaan ini disedari oleh ibu bapa mereka, Latiff dan Ros. Oleh itu, mereka mencadangkan agar Fateha dan Fayyad ditinggalkan bersama mereka selama seminggu supaya mereka boleh berehat.

Pelakon: Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Rahim Omar, Fatimah Abu Bakar.

Istimewa Maher Zain (1 Januari 2012, 6.00 petang)

Kenali Maher Zain secara lebih dekat lagi melalui temu bual eksklusif dan ikuti persembahan istimewa beliau ketika Konsert Maher Zain di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Jatuh Cinta(1 Januari 2012, 9.00 malam)

Manisah tinggal bersama ibu bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah dan hidup secara sederhana.

Dia sentiasa membantu keluarganya untuk menyara hidup. Badrul, pengasas syarikat terkenal merupakan seorang duda yang tinggal dengan anak perempuannya bernama Tasha.

Pelakon: Fahrin Ahmad, Eina Azman, Eyka Farhana, Hanez Suraya, Mohammad Hanis, Shukri Yahaya, Idris Mat Diah, Liza Abdullah.

Barbie Princess Charm School (2 Januari 2012, 9.00 pagi)

Barbie sebagai Blair Willows, seorang gadis yang setia menjaga ibu dan adiknya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan.

Bagi mengubah nasib keluarganya, Blair membuat keputusan drastik menyertai Princess Charm School dengan harapan dapat menjadi Kerabat DiRaja suatu hari nanti.

Pelakon: Diana Kaarina, Morwenna Banks, Nicole Oliver, Brittney Wilson, Ali Liebert, Shannon Chan-Kent.

Slumdog Millionaire(2 Januari 2012, 5.00 petang)

Mengisahkan tentang Jamal Malik, berusia 18 tahun, anak yatim berasal dari kawasan miskin di Mumbai yang bakal melalui perubahan terbesar di dalam hidupnya.

Seluruh negara sedang menonton keajaiban Jamal yang hanya perlu menjawab satu sahaja soalan lagi sebelum memenangi 20 juta rupees di dalam rancangan "Who Who Wants To Be A Millionaire?".

Seluruh negara dikejutkan dengan penahanan Jamal kerana didakwa menipu. Jamal terdesak untuk membuktikan dia tidak bersalah, dia mula menceritakan kaitan setiap soalan yang ditanya dengan kisah silamnya.

Pelakon: Dev Patel, Saurabh Shukla, Anil Kapoor, Rajendranath Zutshi, Jeneva Talwar, Freida Pinto.

Pearl Screen: Armour Of God (2 Januari 2012, 10.00 malam)

Jackie pernah bersama Alan dan Laura di dalam sebuah kumpulan muzik sebelum dia dibuang.

Namun, Alan kembali mencari Jackie untuk meminta bantuan selepas Laura diculik.

Jackie mencuri salah satu pedang lagenda yang terkenal dengan nama "Perisai Tuhan" (Armour of God) dari sekumpulan puak Afrika. Dapatkah Jackie menyelamatkan Laura dari kumpulan pemuja syaitan tersebut?

Pelakon: Jackie Chan, Alan Tam, Rosamund Kwan, Lola Forner, Bozidar Smiljanic, Ken Boyle.

Sleeq Kagum Berduet Dengan Ramlah Ram

Posted: 26 Dec 2011 08:02 PM PST

Sleeq dianggotai oleh Syarif (kiri) dan Alif.

PETALING JAYA: Kumpulan Sleeq dari Singapura yang dianggotai oleh Alif Abdullah, 22, dan Ahmad Syarifullah Ahmad, 22, tidak percaya apabila di undang berduet dengan penyanyi Ramlah Ram menerusi lagu Sesaat Kau Datang.

Mereka menyifatkan gabungan dengan penyanyi terkenal dari negara ini sebagai suatu kelainan dan unik.

"Sebab itu kami tidak mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran ini. Selepas dihubungi, dalam beberapa minit selepas itu terus kami memberikan persetujuan.

"Alhamdulillah, akhirnya projek ini menjadi," kata Sleeq semasa sidang media Sesaat Kau Datang di samping Ramlah Ram di Hotel Quality, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertama kali muncul dengan single Cun Saja, Sleeq tidak teragak-agak untuk kembali bekerjasama dengan Ramlah sekiranya berpeluang lagi selepas ini.

Selain itu, sekiranya ada kesempatan lain, mereka juga teringin untuk berduet dengan penyanyi Najwa Latiff dan Malique.

Sleeq sudah tiga tahun bernaung di bawah syarikat produksi milik pelakon Aaron Aziz di Singapura. Bagaimanapun, mereka tidak berputus asa untuk memasuki pasaran negara ini.

Alif dan Syarif mempunyai hubungan saudara dan sedang mengikuti program Khidmat Negara di Singapura sehingga Mei tahun depan.

Ain Nordin Amalkan Petua Tradisional

Posted: 26 Dec 2011 07:53 PM PST

SEJAK berusia 20 tahun, pelakon baru bernama Nurul Ain Nordin (Ain), 23, (gambar) sudah mula mengamalkan jamu yang dibuat sendiri oleh ibunya.

Menurut Ain yang muncul dalam filem Suatu Malam Kubur Berasap, jamu dalam bentuk minuman itu dibuat dengan menggunakan campuran air, halia, sirih, kunyit, asam jawa, asam keping dan gula batu.

"Bahan-bahan itu perlu dikisar, dimasak dan ditapis sebelum diminum. Saya mula mengamalkan jamu ini sejak belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Ia berkhasiat untuk memberikan tenaga, membuang angin dalam badan dan menghilangkan bau badan," katanya kepada OopStarz!.

Selain itu, Ain yang ceria dan peramah ini gemar melakukan urutan badan di sebuah pusat kecantikan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Saya akan pergi mengurut seminggu sekali untuk menghilangkan rasa lenguh di badan selepas penat bekerja.

"Saya juga melakukan aktivit di sauna untuk mengurangkan toksin dalam badan selain merasakan badan saya semakin berisi," ujarnya lagi.

Air beras

Walaupun tidak perlu melakukan banyak rawatan untuk kulit mukanya yang tidak bermasalah, Ain mengamalkan membasuh muka dengan air beras setiap hari.

"Saya membasuh muka dengan air beras untuk melembapkan muka serta mengurangkan jerawat. Setiap kali masak nasi, saya akan mengambil air basuhan beras itu dan menyapu di muka.

"Selepas itu, jangan bilas dengan air biasa sebaliknya biarkan air itu kering," cerita Ain yang tidak gemar membuat rawatan muka di pusat kecantikan.

Jelas Ain yang pernah dikaitkan dengan gambar kontroversinya, dia pernah melalui pengalaman tidak tahan menanggung kesakitan di muka apabila melakukan rawatan sebelum ini.

"Kulit muka saya dipicit dengan benda tajam dan waktu itu saya rasa sangat pedih pada bahagian muka. Sejak daripada itu, saya terus fobia untuk melakukan rawatan muka lagi sebaliknya melakukan rawatan sendiri di rumah," ujarnya.

Untuk mendapatkan petua rambut lebat, Ain sering mengelap hujung rambutnya yang panjang mengurai selepas membasuh tangan.

"Selepas makan, saya akan membasuh tangan dengan bersih dan terus mengelap rambut dengan menggunakan saki-baki air yang masih basah di tangan.

"Mak cik saya di kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pernah berkongsi petua ini untuk melebatkan rambut.

"Memang sejak saya amalkan bermula zaman persekolahan sehingga sekarang, rambut saya agak lebat.

"Disebabkan rambut saya panjang, saya perlu rajin ke salun untuk melakukan rawatan rambut dan kadangkala saya akan membuat masker rambut sendiri di rumah," kata graduan Diploma Teknologi Kreatif Artistik Perfileman dari UiTM Shah Alam ini.

Jika ada kelapangan, anak kedua dari tiga beradik ini akan berendam dalam kolam air panas untuk menstabilkan tekanan darah dan membuang toksik dalam badan.

Menyentuh sedikit tentang perjalanan karier Ain, dia bakal membintangi sebuah lagi filem baru yang masih dalam proses perbincangan dan dijangka bakal bergelar duta air mineral Spritzer tidak lama lagi.

Yusry & Lisa mahu majlis perkahwinan yang sederhana

Posted: 26 Dec 2011 07:50 PM PST

Selepas sekian lama menanti, akhirnya pasangan popular Yusry Abd. Halim dan Lisa Surihani telah mengumumkan mereka bakal diijabkabulkan pada majlis pernikahan di Masjid Tuanku Jaafar, Putrajaya pada 23 Februari 2012 selepas solat Asar. Majlis persandingan pula akan diadakan pada 26 Februari 2012 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) .

Bercerita tentang majlis perkahwinan mereka, Yusry memberitahu bahawa dia tak mahu ada pihak yang akan melabelkan perkahwinan mereka nanti sebagai 'wedding of the year' kerana merpati dua sejoli ini hanya mahu sekadar majlis yang sederhana dan ringkas sahaja.

"Tentang tajaan, kami tak menolak jika ada pihak yang berniat ingin menaja perkahwinan kami nanti. Kalau ada pihak yang ingin menaja, Alhamdulillah.

"Tapi apa yang penting kami tak mahu ia menjadi satu pertunjukan kerana ini adalah perkahwinan. Kami terbuka asalkan sesuai dengan konsep yang simple dan elegent.

"Kami mahukan perkahwinan yang sederhana saja. Lisa sendiri tak mahu majlis perkahwinan kami nanti terlalu mewah dan bermegah kerana apa yang penting baginya adalah semasa kami dinikahkan nanti," ujar Yusry semasa sidang media pengumuman tarikh pernikahan dan persandingan mereka di Hotel Marriot Putrajaya.

Ditanyakan pula tentang sama ada Yusry akan membenarkan Lisa meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas mereka mengikat ikatan, Yusry memberitahu dia tak kisah dan tak menghalang Lisa untuk bekerja atau pun duduk dirumah nanti.

"Dalam hubungan dan juga perkahwinan, kita harus terima seadanya pasangan kita. Saya mengenali Lisa sebagai seorang pelakon dan saya terima dia sebagai seorang pelakon.

"Jadi, saya tidak boleh menghalang dan tidak menjadi masalah untuk saya jika dia ingin teruskan kerjayanya sebagai seorang pelakon selepas kami mendirikan rumahtangga nanti.

Sementara itu, Lisa pula memberitahu yang dia ada berbincang soal perkara ini dengan Yusry dan Yusry tak mempunyai sebarang masalah jika dia ingin tetap berlakon walaupun sudah berkahwin nanti.

"Yusry amat memahami minat dan kerjaya saya sebagai seorang pelakon. Iyalah, dia pun seorang pengarah dan orang dalam industri ini.

"Selepas bergelar isteri nanti, saya masih akan berlakon dan meneruskan kerjaya yang saya cintai ini kerana saya langsung tak pernah terfikir untuk berhenti bila berkahwin nanti," kata Lisa yang popular menerusi watak Mila dalam filem Ombak Rindu.

Al-Quran bongkar rahsia pembinaan piramid

Posted: 26 Dec 2011 07:48 PM PST


Pembongkaran misteri piramid adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

Tanah liat

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.

Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

Ikon pelancongan Kuala Lumpur

Posted: 26 Dec 2011 07:47 PM PST


LANDSKAP yang menarik.


SAMA seperti sebuah istana Melayu yang cantik dan mempesona pandangan mata, begitulah juga Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur yang berdiri megah di tengah-tengah ibu kota.

Mengambil seni reka tradisional sebagai simbol dan inspirasi pada jenamanya, Royal Chulan bukanlah satu jenama asing bagi kebanyakan pelancong yang menuntut penginapan yang selesa dan terbaik.

Apatah lagi hotel itu berdiri di lokasi strategik di Jalan Conlay yang menjadi destinasi titik pertemuan budaya, makanan, beli-belah dan bisnes. Ini sekali gus menjadikan Royal Chulan sebagai sebuah hotel terbaik untuk melihat variasi 'wajah' Kuala Lumpur.

Hotel ini menggembirakan hati tetamunya dengan menawarkan keselesaan dan dekorasi kontemporari yang pelbagai tekstur daripada hasil seni kayu.

Unik

Segalanya nampak sempurna kerana dekorasi yang ditampilkan sangat unik dan mewah.

Melangkah masuk ke pintu gerbang hotel yang terletak di Kuala Lumpur tidak akan terbayang tata hias dalamannya sangat menarik.

Berbeza dengan tempat penginapan lain, hotel ini menerapkan unsur atau keindahan seni bina Melayu.

Gaya moden menjadi pilihan utama setiap bilik yang berlatarkan warna alam semula jadi seperti coklat.

Apa istimewanya bilik ini? Setiap bilik mempunyai ruang yang luas dengan katil yang cukup selesa. Sebuah televisyen dan kerusi rehat yang ringkas.

Warna dinding dan kebanyakan perabot juga menenangkan jiwa dengan pemilihan warna yang sejuk dan harmoni.

Landskap

Tidak ketinggalan, landskap hotel itu dipenuhi dengan keunikan tumbuhan tropikal.

Sambil berehat melihat pemandangan taman, pengunjung dapat menyaksikan keindahan tumbuh-tumbuhan yang cantik dan disusun indah.

Air jernih kolam yang dibina antara elemen tercantik landskap Royal Chulan.

Santai tetapi mengkagumkan kerana gabungan moden dan tradisional berjaya menampilkan keindahan suasana sekeliling hotel .

Singgah di kafe Warisan, pengunjung akan memulakan sarapan pagi sambil menikmati hampir 500 hidangan.

Pengarah Makanan dan Minuman Hotel Royal Chulan, Azrule Datuk Aziz memilih perabot meja dan kerusi moden untuk memberikan suasana eksklusif kepada pengunjung.

Pilihan makanan Melayu menjadi keutamaan selain hidangan antarabangsa yang lain.

Tidak keterlaluan jika penulis menggambarkan hotel ini sebagai syurga makanan.

Kebanyakan pengunjung ingin kembali ke hotel ini untuk menikmati kelazatan sajian menu. Jika dilihat dari segi dekorasi bilik, mahupun kemudahan lain seperti kolam, kita mungkin menemuinya di hotel lain.

Namun setiap pengunjung ke hotel ini tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan kenangan berlatarkan tata hias yang cantik.

Landskap semula jadi dan dekorasi dalaman hotel yang moden menjadikan Royal Chulan sebagai ikon baru pelancongan Kuala Lumpur.

Simpan,simpan sayang 2011

Posted: 26 Dec 2011 07:46 PM PST




RUANGAN Oh Koleksiku menyaksikan pelbagai hobi dan koleksi menarik rakyat Malaysia yang ditemui sepanjang 2011 ini.

Ada yang mengabadikan minat yang mendalam terhadap artis pujaan seperti Datuk Syarifah Aini dan Elvis Presley dengan mengumpul segala artikel, barangan, baju yang berkaitan dengan artis pujaan mereka.

Ada juga yang fanatik terhadap watak-watak kartun yang diikuti sejak dari kecil seperti Transformer, Hello Kitty, Doraemon, The Masked Rider, Naruto dan bermacam-macam lagi sehingga sanggup mengikat perut demi memenuhi ruang bilik mereka dengan produk kegilaan mereka itu.

Malah, ramai juga yang sanggup menjelajah pelosok kampung untuk mendapatkan barang-barang antik yang makin pupus dan turut ke serata dunia untuk memburu barangan-barangan unik mewakili setiap negara.

Berikut adalah antara koleksi yang menarik pernah dipaparkan oleh Oh Koleksiku sepanjang tahun ini.

Barangan rock Barat

EFFENDI Zahari meminati muzik rock terutamanya dari Barat seperti legenda genre country, Alan Jackson dan Garth Brooks sejak berbelas tahun lalu dan membuat keputusan terus mengabadikan minatnya itu sehingga sekarang dengan membina personaliti menyerupai rocker pada zaman itu.

Lelaki berusia 31 tahun mempunyai pelbagai koleksi yang terdiri daripada baju T, jaket, kasut, aksesori, tali pinggang, sapu tangan, cakera padat video (VCD), cakera padat (CD) dan seluar jean yang mengutamakan kriteria klasik.

Tidak kisah dipandang pelik saat menggayakan Stail vintaj dan barangan kulit setiap kali melangkah kelur dari rumah, dia selesa dengan personaliti ciptaannya iaitu menyukai satu gaya yang sederhana dan tidak berubah mengikut masa dan cara klasik yang dipertahankan itu telah sebati dan cukup selesa untuk diketengahkan.

Disebabkan minatnya yang mendalam itu, ada barangan yang diminati ditempah. Ke merata ceruk termasuk ke luar negara, dia sanggup berhabis duit untuk mendapatkan barangan yang diminatinya itu.

Inilah jawapan isteri kedua

Posted: 26 Dec 2011 07:45 PM PST

SETIAP kali cerita tentang poligami disiarkan di ruangan ini, dada saya terasa sakit, benci dan meluat.

''Terus terang saya katakan cukup-cukuplah mengumpat isteri kedua. Seperti kisah minggu lalu, konon si suami banyak hutang semata-mata nak kahwin lagi. Jangan cepat mengecap orang berhutang kerana nak poligami, kerana mereka bukan buat keputusan sekelip mata untuk berkahwin. Mungkin kerana ada masalah keluarga yang lain, demikian tegas, Norsalimah dalam e-melnya kepada penulis.

''Memang kaum wanita tak suka dengar cerita suami berpoligami, malah bila ada janda atau anak dara duduk sebelah rumah pun mereka tak suka, takut suami kena kebas. Sebenarnya bukan semua wanita suka berkahwin dengan suami orang. Tetapi sebagai orang Islam kita kena bermuhasabah diri, ingat pada Allah, setiap ketentuan yang datang adalah kerana-Nya, jua bukan sesuka hati suami dan wanita terlibat.

''Anda sedarlah bukan semua lelaki suka berpoligami, ia hanya berlaku pada segelintir individu sahaja dan mungkin mewakili minoriti dalam masyarakat. Jadi mengapa mesti kita kaum wanita buat heboh bila suami hendak berpoligami?

''Tambah menghairankan saya mengapa isteri pertama sahaja di sanjung seratus peratus, konon dikatakan isteri yang teraniaya, sedangkan isteri kedua dan seterusnya di pandang serong. Pernahkah kita bertanya suami yang berkahwin baru adakah hidupnya selama ini bahagia, atau terabai dan teraniaya? Sebab itu dia mengorak langkah mencari kebahagiaan untuk kali keduanya. Adakah tindakannya itu salah?

''Seperkara lagi pembaca harus faham, poligami bukan budaya atau amalan semua lelaki, hanya lelaki yang Allah pilih sahaja yang dapat melaluinya. Kerana ada orang berani bercakap pasal poligami dan ingin berkahwin, tetapi tidak pernah dapat. Sebab itu saya katakan poligami untuk lelaki pilihan dan wanita yang sabar saja.

''Pembaca juga harus faham dimadukan pun bukan pilihan utama dan menjadi cita-cita semua kaum wanita. Lebih tegas bukan semua wanita mahupun gadis suka dan rela dipoligamikan.

''Jika difikirkan secara mendalam poligami itu banyak kebaikannya jika tidak manakan Allah halalkan sebagaimana tercatat dalam al-Quran. Malah Allah jadikan Nabi Muhamad SAW sebagai contoh berpoligami supaya jelas kepada manusia menjalaninya.

''Cuma yang terlihat dan menjadi buruk adalah disebabkan oleh pengamalnya, sudah pastilah para suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti seharusnya, dan mereka telah menyalahgunakan kebenaran yang telah diberikan. Merekalah yang telah membuat persepsi buruk masyarakat khususnya para isteri takut dipoligamikan.

Berkemampuan

''Tetapi sekiranya suami tadi berkemampuan dan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan ditakdirkan dia hendak berpoligami mengapa harus di tentang oleh isteri dan anak-anaknya, mahupun ibunya.

''Alasan isteri kerana tidak mahu berkongsi suami dan menjadikan suaminya milik dia 100% pada saya itu adalah salah. Alasan pihak keluarga bimbang dia tidak boleh menyara hidup anak-anak dan isterinya terdahulu itu adalah tidak berasas sama sekali.

''Saya yang turut terlibat sebagai isteri kedua dan mana-mana isteri ketiga dan seterusnya, merasa amat terguris hati apabila kami dicap sebagai perampas suami orang, perempuan jahat, perempuan jalang dan sebagainya. Kami juga manusia dan ada perasaan.

''Saya ingin menekankan definisi perampas dalam konteks poligami, namun saya bukan berat sebelah kerana jadi isteri kedua, tetapi kita timbangkan definisi ini secara terbuka. Jika suami anda mampu zahir dan batin, bertanggungjawab dan berkeinginan untuk berpoligami mengapa isteri pertama dan anak-anaknya membantah? Bantah akan burukkan lagi keadaan.

''Dan anda juga harus ingat tidak semua hajat para suami ingin berpoligami dipermudahkan oleh Allah, hanya suami terpilih sahaja yang akan diuji oleh-Nya. Sepatutnya si isteri meminta suami tidak mengabaikan hidupnya dan anak-anak. Jika perasaan suami tidak diguris, pasti dia akan lebih bertimbang rasa kepada keluarganya.

''Adalah amat kejam jika isteri pertama mendesak suaminya supaya menceraikan isteri barunya. Lainlah kalau isteri baru meminta suami menceraikan isteri pertamanya. Maka isteri kedua jenis ini memang layak dipanggil perampas, kejam kerana merobohkan rumahtangga orang lain.

''Saya juga merasa amat kecewa jika poligami turut dirosakkan dengan ugutan seorang ibu yang tidak mahu mengaku anaknya, selagi si anak tidak menceraikan isteri keduanya. Bukankah doa ibu itu amat mustajab.

''Percayalah soal jodoh, rezeki dan maut itu memang ketentuan Allah. Tak percaya mengapa ada gadis baik dijodohkan dengan lelaki pembunuh, pengedar atau penagih dadah, kaki judi, kaki minum, pencuri dan sebagainya? Adakah wanita itu memintanya?

''Kepada isteri yang bermadu tak kira yang pertama, kedua atau seterusnya bermuhasabah diri banyak-banyak, cuba lihat hidup di dunia ini hanya sementara.

''Fikirkanlah kenapa isteri pertama dipilih Allah dam bakal mendapat Payung Emas di syurga? Kepada kaum suami yang diizinkan Allah berpoligami dan cuba buat yang terbaik, jangan jadikan nawaitu berpoligami untuk memuaskan nafsu dan dunia sahaja.

''Tanggungjawab suami adalah sebagai khalifah kecil dalam institusi kekeluargaan, dan jangan sesekali menjadikan kelebihan yang Allah berikan itu sebagai tiket untuk mempergunakan isteri.'' Itu permintaan Norsalimah kepada isteri pertama dan suami yang berpoligami.

Fesyen wanita tercantik

Posted: 26 Dec 2011 07:44 PM PST


MASIH berjaya menampilkan fesyen terbaik walaupun hanya menggayakan baju berbulu, skaf bandana dan seluar jeans yang sederhana.


TAHUN 2011 menjadi tahun paling manis buat Jennifer Lynn Lopez atau popular dengan gelaran J.Lo apabila diiktiraf Wanita Tercantik Di Dunia anjuran majalah People iaitu majalah mingguan di Amerika Syarikat ( AS).

J.Lo bukan saja obses pada aspek penjagaan wajah dan bentuk badan, pada masa yang sama dia bijak berfesyen dalam apa jua acara dan tempat.

Mendapat khidmat nasihat pereka fesyen terkenal, Roberto Cavalli, J.Lo sentiasa menggayakan pakaian yang bersesuaian dengan bentuk badan, tema acara dan siri jelajah konsertnya.

Wanita yang mula berlakon pada usia 16 tahun ini juga menitikberatkan penampilan apabila keluar rumah, kombinasi aksesori, tas tangan dan sepatu mengikut busana pilihan.

J.Lo boleh disifatkan antara selebriti yang bijak menyerlahkan busana pereka di depan khalayak.

Ternyata majalah People membuat pilihan tepat kerana wanita ini berjaya memberi impak yang hebat setiap kali menggayakan fesyen. Melihat gayanya yang cukup sederhana ketika menghadiri karpet merah Golden Globes misalnya, sesiapa sahaja akan tertarik dengan busana putih yang dipakainya.

Bahkan penampilannya dalam siri American Idol dengan gaun asimetri hijau Lanvin baru-baru ini jelas mencuri tumpuan. Pendek kata, artis yang masih 'laku' di Hollywood ini tetap kelihatan anggun dan cantik dalam apa jua gaya fesyen.

Festival Seni eratkan sekolah dan IPT

Posted: 26 Dec 2011 07:40 PM PST


Para pelajar tingkatan lima Sekolah Seni Malaysia Johor Bahru mengadakan Persembahan Kesenian bertemakan 'Nostalgia... ada yang lama, ada yang baru' pada Festival Mutiara Seni 2011 di UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


Penganjuran Festival Mutiara Seni (FMS) dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha jalinan hubungan antara pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini selaras dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Buktinya, penganjuran FMS oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM ini melibatkan jalinan usaha sama Sekolah Seni Malaysia (SSM) Johor Bahru dan SSM Kuching dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebagai tuan rumah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar kecil) berkata, usaha penganjuran festival ini adalah bertepatan dengan saranan kerajaan untuk merapatkan jaringan industri antara peringkat sekolah dengan IPT tempatan.

"Sesungguhnya penganjuran FMS ini adalah penting serta memberi makna besar dalam usaha membudayakan kreativiti dan inovasi dalam bidang kesenian, sebagai komitmen berterusan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita," katanya pada majlis kemuncak festival itu di UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

FMS 2011 bermula dengan acara pembukaan iaitu Pameran Seni Visual yang mempamerkan hasil karya atau pameran terakhir pelajar tingkatan lima sekolah seni ini selamam berada di sekolah berkenaan.

Festival itu turut dimeriahkan dengan Persembahan Kesenian yang bertemakan "Nostalgia.. ada yang lama, ada yang baru" yang merupakan acara kemuncak festival selama empat hari itu.

Menurut Ka Siong, FMS dirancang bagi memberi peluang kepada semua pelajar mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari secara formal atau sebaliknya semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas

"Saya berharap program sebegini dapat membuka ruang dan peluang kepada semua pelajar Sekolah Seni Malaysia menyahut cabaran dan membuktikan kepada semua pihak bahawa ilmu yang ditimba memberikan satu gambaran menyeluruh tentang proses P&P yang diterima oleh mereka adalah luas, berkesan dan boleh dipertontonkan kepada umum mengikut peredaran masa," jelasnya.

Selain itu katanya, tema festival tersebut dilihat bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, supaya para pelajar dapat melakukan anjakan paradigma pemikiran kepada produktiviti diiringi dengan kreativiti dan inovasi agar kekal relevan dalam persaingan di peringkat global kelak.

"Bagi menyahut seruan, peluang yang ini perlu diambil perhatian yang serius oleh semua pelajar bagi melengkapkan lagi kemahiran kesenian mereka dari sudut teori dan praktikal agar dapat dipraktikkan secara efektif dan efisien dalam program mega seumpama ini.

"Diharap agar usaha murni FMS tahun ini akan terus menempa kecemerlangan bagi meningkatkan sistem pendidikan ke tahap terbaik dan seterusnya menjadikan pendidikan di Malaysia disanjung tinggi oleh masyarakat kerana hasil kerja yang cemerlang berasaskan inovasi dan kreativiti," ujar beliau.

Program ini kemudian diakhiri dengan Majlis Graduasi pelajar-pelajar tingkatan lima yang telah menamatkan persekolahan yang juga sebagai pengiktirafan terakhir buat mereka yang merupakan perintis Sekolah Seni Malaysia.

Klinik Bijak Matematik mantapkan penguasaan murid

Posted: 26 Dec 2011 07:39 PM PST


Zullaili Harun (kiri) bergambar bersama ibu bapa dan para peserta Klinik BIjak Matematik Adap Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Klinik Bijak Matematik ADaP Utusan Malaysia berjaya meningkatkan kebolehan murid menguasai kemahiran asas subje k itu.

Program anjuran Unit Pendidikan Utusan Malaysia dengan kerjasama EZ-Math itu diadakan dalam dua sesi melibatkan murid tahap satu pada hari pertama dan murid tahap dua pada hari berikutnya.

Pengasas EZ-Math, Zullaili Harun berkata, penganjuran Klinik Bijak Matematik bertujuan meningkatkan kebolehan murid-murid dalam fakta asas matematik seperti menguasai sifir, tambah, tolak, darab dan bahagi.

"Melalui teknik EZ-Math yang diperkenalkan, murid-murid akan mampu menjawab soalan secara spontan dan tidak lagi perlu mengira menggunakan jari.

"Teknik asas yang diperkenalkan semasa klinik ini akan membantu murid-murid untuk mengira dengan lebih cepat seterusnya membolehkan mereka menguasai apa yang diajar oleh guru semasa di dalam kelas," katanya selepas tamat klinik itu di Pusat Latihan Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu disertai 80 murid berusia lapan hingga 12 tahun dari sekolah-sekolah rendah sekitar Lembah Klang.

Tambah Zulalaili, teknik yang diperkenalkan amat mudah dan ia boleh terus dikuasai oleh para peserta dalam tempoh tidak sampai satu hari.

"Para peserta diberikan ujian selepas tamat klinik tersebut dan keputusan ujian itu menunjukkan kesemua peserta mampu menguasai teknik tersebut namun ia perlu dipraktikkan di rumah agar teknik itu dapat terus dimantapkan.

"Ibu bapa para peserta turut diberikan taklimat untuk membimbing anak mereka mengamalkan teknik EZ-Math semasa di rumah," jelasnya.

Kepada pihak sekolah, organisasi atau syarikat yang berminat untuk menganjurkan program Klinik Bijak Matematik ini, bolehlah menghubungi Encik Fauzi Hamdan di talian 019-5716282 atau Puan Farnida (016-2338954) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Azmil bantu pelajar jadi pemuzik

Posted: 26 Dec 2011 07:38 PM PST


Mohd. Azmil Mohd. Razman (depan) bersama kumpulan Mailbox dan Treasure Box mengadakan latihan sebagai persediaan untuk mengadakan persembahan amal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Bekas graduan Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia, Mohd. Azmil Mohd. Razman, 26, bukanlah nama besar dalam industri muzik negara, namun cita-citanya untuk menubuhkan sebuah kumpulan orkestra amat dikagumi.

Hanya bersandarkan pengalamannya sebagai guru muzik sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati di sini, hasratnya untuk menubuhkan kumpulan orkestra itu semakin membara apabila berjaya mengesan beberapa pelajar yang berbakat.

''Saya mahu menubuhkan kumpulan orkestra itu kerana mahu membuktikan kepada ibu bapa bahawa bermain alat muzik adalah aktiviti yang baik kerana ia boleh menajamkan minda pelajar dan membentuk disiplin mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.

Pelajar lulusan seni bina itu yang merancang menyambung pengajian peringkat sarjana berkata, hasrat menubuhkan kumpulan orkestra tersebut timbul selepas beliau ditugaskan untuk menguruskan persembahan Konsert 1Malaysia di sekolah berkenaan.

Katanya, setelah menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Wangsa Melawati, beliau kemudian dipindahkan ke SMK Taman Setiawangsa di sini.

"Setelah bertugas di tempat baru, saya mengemukakan kertas cadangan untuk menubuhkan kumpulan muzik di sekolah ini.

"Cadangan saya itu diterima baik oleh pihak pengurusan sekolah dan saya mula mengumpulkan beberapa pelajar yang mahir dan minat bermain alat muzik," katanya yang mahir bermain piano, gitar dan dram kerana pernah mengikuti kelas muzik ketika bersekolah dulu.

Beliau yang mengajar subjek Bahasa Melayu, Sains dan Matematik berkata, usaha menubuhkan kumpulan orkestra tersebut menjadi mudah apabila dia mengesan tiga beradik yang mahir bermain alat muzik melalui sesi uji bakat yang diadakan di sekolah berkenaan.

Ekoran itu, katanya, dia menubuhkan kumpulan Mailbox yang turut dianggotai tiga beradik tersebut iaitu Erisyal Haqeem Mohammad Kamil, 17, Sissy Imann, 16, dan Demy Jazmine, 14.

Mohd. Azmil berkata, pada masa yang sama, dia juga mengumpulkan seberapa ramai pelajar yang berminat dengan muzik bagi membentuk sebuah kumpulan orkestra.

"Dalam kelas muzik yang dikendalikan, saya cuba mengasah dan mencungkil bakat pelajar sekolah itu. Ternyata ramai daripada mereka berbakat dan akhirnya seramai 15 pelajar telah dipilih," jelasnya.

Menurutnya, bagi membentuk sebuah kumpulan menyerupai orkestra, anggota Mailbox telah disatukan bersama 15 pelajar lain untuk membentuk sebuah lagi kumpulan iaitu Treasure Box.

Bagaimanapun, jelasnya, impian untuk melihat sebuah orkestra yang lengkap dengan keanggotaan minimum seramai 30 orang, belum dapat direalisasikan.

Katanya, ketiadaan bajet untuk membeli alat muzik adalah kekangan utama yang dihadapinya.

"Disebabkan itu, buat julung kalinya, Treasure Box akan membuat persembahan amal untuk meraih sumbangan bagi memperluaskan usaha ini selain memberi pendedahan kepada pelajar terlibat.

"Wang sumbangan yang diperoleh akan dijana untuk meningkatkan tahap kemahiran pelajar terlibat memandangkan ada antara mereka yang tidak mengetahui perihal muzik tetapi berminat untuk menyelaminya," tambah beliau.

Mereka yang berminat untuk memberi sokongan kepada usaha murni Mohd. Azmil itu boleh mengikuti K-Club Melawati esok.

Mohd. Azmil mengharapkan, persembahan itu berjaya mendapat sambutan ramai dan mampu merealisasikan impian pelajar berkenaan menjadi pemuzik.

1,769 pelajar terima sumbangan RM170,000

Posted: 26 Dec 2011 07:37 PM PST


IKMAL Hisham Abdul Aziz (barisan depan, tengah) bersama pelajar cemerlang PMR 2011 menunjukkan tanda bagus selepas penyampaian sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, semalam.


TANAH MERAH 24 Dis. - UMNO Tanah Merah hari ini menyampaikan sumbangan bernilai RM170,000 kepada 1,769 pelajar dalam satu majlis di sini.

Mereka yang menerima sumbangan berkenaan terdiri daripada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, matrikulasi dan diploma.

Majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah I itu disempurnakan Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Penerima sumbangan itu juga merangkumi pelajar cemerlang di sekolah menengah Arab di bawah kelolaan agensi Kerajaan Pas Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, sumbangan tersebut adalah untuk menyuntik semangat pelajar di kawasan Parlimen tersebut supaya meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.

"Apa yang UMNO lakukan adalah untuk memberi perangsang kepada ibu bapa yang selama ini berharap anak-anak mereka berusaha gigih mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

"Kita juga berharap ibu bapa terus memantau anak-anak bagi memastikan kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap para pelajar dari kawasan itu yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara supaya menyertai Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (Permata) bagi memudahkan bantuan disalurkan.

"Saya berasa amat bangga kerana selepas 10 tahun memantau dan membantu untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan, pelajar terlibat datang kembali untuk menyumbangkan idea dan pendapat bagi membangunkan kampung masing-masing,'' ujarnya.

Konsert amal kumpul dana kebajikan

Posted: 26 Dec 2011 07:35 PM PST


Kumpulan Pelajar The Nose turut membuat persembahan pada majlis pra-Malam Tabung Amal Mengubah Destini Anak Bangsa dan Program Ekspresasi Remaja 2011 di UiTM baru-baru ini.


Malam Konsert Tabung Amal Mengubah Destini Anak Bangsa dan Program Ekspresasi Remaja 2011 membuka peluang kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyumbang kepada dana kebajikan pelajar bagi membantu mahasiswa yang memerlukan bantuan.

Program anjuran Kelab Fasilitator Pelajar (UiTM) dengan kerjasama stesen televisyen TV9 itu berjaya mengumpul RM3,500 melalui jualan tiket.

Pengarah Projek Ekspresasi Remaja, Zainatun Adilah Zainal Abidin berkata, objektif utama penganjuran konsert amal itu untuk mengumpul dana tabung kebajikan UiTM.

"Ia juga bertujuan meningkatkan sumbangan dalam memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar yang kesempitan ketika mengikuti pengajian selain meningkatkan kemahiran kepimpinan di kalangan ahli jawatan kuasa penganjuran.

"Melalui program amal ini dengan jalinan kerjasama TV9 juga memberi pendedahan dan penanda aras kepada mahasiswa UiTM untuk mengekspresikan diri mereka melalui muzik dan aktiviti sihat seperti keusahawanan dan ilmiah," katanya.

Malam konsert amal itu turut membabitkan penganjuran karnival yang menampilkan gerai-gerai jualan pelajar keusahawanan UiTM, pertandingan pencarian model Safiyya, pertunjukan fesyen pakaian dan pertandingan Guitar Hero dan pencarian bakat Jam Session serta seminar kepimpinan.

Selain itu, majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kumpulan artis tanah air, antaranya kumpulan Oh Chentaku, Bunkface dan Hujan.

Zainatun Adilah berkata, konsert amal yang lebih berbentuk keilmuan dan kekeluargaan itu mendapat sambutan hebat daripada pelajar UiTM.

"Program yang mendapat sokongan Kementerian Pengajian Tinggi ini diharap akan meningkatkan usaha dan motivasi Kelab Fasilitator dalam menganjurkan program-program yang dapat memberi manfaat kepada genre baru mahasiswa UiTM,"katanya.

Persidangan tingkatkan profesionalisme

Posted: 26 Dec 2011 07:35 PM PST


SEBAHAGIAN daripada pelajar antarabangsa yang menyertai persidangan PKPA 2011 di Universiti Taylor, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Persidangan Kepimpinan Pelajar Antarabangsa 2011 (PKPA 2011) anjuran Universiti Taylor mampu mempertingkatkan profesionalisme kepimpinan pelajar dalam sektor pengajian tinggi di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Morshidi Sirat berkata, persidangan itu menampilkan beberapa pembentangan kertas kerja berkualiti yang memberi pendedahan kepada para pelajar antarabangsa.

"KPT yakin persidangan ini akan membuka minda dan memberi pendedahan baru kepada pelajar antarabangsa dalam meningkatkan daya kepimpinan mereka.

"Mereka juga boleh menimba ilmu dan berkongsi pandangan tentang pembangunan kepimpinan di negara ini samping meningkatkan kefahaman tentang pengetahuan silang budaya antara negara bagi meningkatkan kecemerlangan kepimpinan," katanya.

Kira-kira 150 pelajar antarabangsa dari 40 buah negara, kakitangan pentadbiran, akademik dan sokongan daripada 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan menyertai persidangan itu.

Persidangan selama dua hari bertemakan, Kemajuan Penting: Kefahaman Silang Budaya dan Membina Kecekapan bagi Kepimpinan Global dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Taylor dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dr. Morshidi berkata, antara fokus utama persidangan itu adalah dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pengurusan modal insan.

"Ia menjadi inspirasi kepada pelajar untuk meluaskan spektrum kepimpinan, dengan mengetengahkan kepelbagaian dan kefahaman antara budaya," katanya.

Program kesihatan UKM dapat sambutan

Posted: 26 Dec 2011 07:33 PM PST


SEBAHAGIAN daripada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang terlibat menjayakan Program Kesedaran Kesihatan dan Kemasyarakatan di Kampung Sepat, Kuantan Pahang baru-baru ini.


Seramai 40 pelajar kursus Persatuan Bulan Sabit Merah II Program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Pusat Kegiatan Masyarakat (KEMAS) di Kampung Sepat, Kuantan Pahang baru-baru ini.

Program sehari yang bertemakan Kesedaran Kesihatan dan Kemasyarakatan itu bertujuan menjalinkan silaturahim bersama penduduk kampung serta memberikan bantuan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan.

Program julung-julung kali diadakan ini merupakan anjuran bersama pihak KEMAS, Jawatan Kuasa Kampung Sepat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pergigian Kuantan Pahang.

Antara aktiviti yang diadakan ialah bantuan sumbangan terutamanya kepada warga miskin, ibu tunggal serta Orang Kelainan Upaya (OKU), , pertandingan sepak raga, pertandingan memasak, pertandingan mewarna dan cabutan bertuah.

Bantuan sumbangan yang disalurkan adalah hasil sumbangan yang telah diberikan oleh agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan swasta serta individu.

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, susu, tepung, milo, biskut dan juga ubat-ubatan yang disumbangkan oleh ADUN Inderapura kawasan Parlimen Kuantan.

Telefon pintar untuk remaja

Posted: 26 Dec 2011 07:30 PM PST


FUNGSI pada telefon pintar Samsung Galaxy W juga tidak kurang hebatnya dalam melengkapkan keperluan komunikasi pengguna moden.


JENAMA Galaxy bagi produk telefon pintar dan komputer tablet daripada Samsung terus mendapat tempat di hati penggemar gajet negara ini.

Selain model sedia ada, syarikat teknologi tersebut baru-baru ini memperkenalkan dua lagi model telefon bimbit pintar terbaru untuk portfolio yang sama.

Samsung Galaxy W dan Samsung Galaxy Y hadir bagi melengkapkan keperluan komunikasi golongan muda yang sentiasa mencari gajet bergaya, segar serta mempunyai fungsi lengkap.

Kedua-duanya disempurnakan bersama reka bentuk dan kemasan cukup menarik selain dilengkapi prestasi komunikasi mobiliti unggul.

Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd., Kwon Jae Hoon berkata, pihaknya sentiasa komited mencari kelainan dalam setiap produk yang dihasilkan menerusi aktiviti kajian inovasi secara berterusan.

"Tujuan inovasi ini adalah untuk memberi peluang kepada setiap peringkat pengguna mengaplikasi telefon bimbit pintar secara lebih ideal.

"Apa yang unik mengenai model-model ini, kedua-duanya dibangunkan hasil gabungan idea sasaran pengguna profesional dan juga remaja.

"Menerusi pendekatan itu, kami yakin dan percaya ia mampu mewujudkan fenomena kejayaan baru untuk rangkaian produk Galaxy Samsung,'' katanya.

Untuk Samsung Galaxy W, ia dilengkapi spesifikasi teknologi yang cukup menarik di mana ia disokong oleh pemproses berkuasa 1.4GHz, sistem operasi Android Gingerbread 2.3 serta sambungan rangkaian HSDPA 14.4 Mbps.

Bagi fungsi paparan, model berkenaan tersedia dengan skrin sentuh TFT-LCD 3.7 inci sesuai untuk pelaksanaan aktiviti permainan video, pelayaran web dan tontonan video.

Tidak cukup dengan itu, ia turut dilengkapi aplikasi Samsung Game dan Music Hubs sebagai pelengkap aktiviti hiburan selain aplikasi Kies Air untuk membantu pengguna menjejak telefon mereka sekiranya disalah letak.

Sementara bagi model Samsung Galaxy Y, keunikannya ditampilkan pada pilihan warna-warna ceria seperti putih mutiara, oren, merah jambu, silver dan hitam untuk penutup belakang telefon itu.

Model kompak dengan ketebalan hanya 11.5 milimeter (mm) itu turut dipacu antaramuka TouchWiz untuk tawaran pengalaman operasi intuitif yang ringkas dan lancar.

Daripada segi saiz pula, ia selesa untuk genggaman di tapak tangan dan sesuai dimuatkan di poket menjadikannya sesuai dibawa ke mana-mana untuk keperluan hiburan pengguna.

Samsung Galaxy W dan Samsung Galaxy Y telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan masing-masing dijual pada harga RM999 dan RM499.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www. samsung.com/my.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved