ads

Jumaat, 23 Disember 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Fida Sudah Temui Pengganti Mamat (Sepah)

Posted: 23 Dec 2011 06:42 PM PST

Fida Ibrahim

KUALA LUMPUR: Selepas putus cinta dengan pelawak Mamat (Sepah), pelakon Rafidah Ibrahim, 25, (Fida) mengakui sudah menemui pengganti dan kini sedang menjalin hubungan dengan seorang usahawan yang dikenali sebagai 'S'.

Fida berkata walaupun dia sudah mengenali lelaki berusia 30-an itu kira-kira satu tahun setengah yang lalu, mereka hanya mula rapat selepas dia berpisah dengan Mamat pada awal Oktober lepas.

"Kalau diikutkan saya sudah mengenali 'S' sebelum berkawan dengan Mamat lagi. Namun, hubungan kami sebelum ini terjalin atas dasar rakan niaga sahaja.

'S' muncul dan kami menjadi rapat selepas hubungan saya berakhir dengan Mamat," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Fida berkata dia tertarik kepada 'S' kerana kematangan dan cara pemikirannya yang banyak memberikan dorongan tentang dunia perniagaan dan kehidupan pada masa hadapan.

"Apa yang menarik tentang 'S' adalah kematangannya dalam membuat keputusan dan dia banyak mengajar saya untuk memikirkan tentang perancangan masa depan dan dunia perniagaan.

"Namun hubungan kami masih terlalu baru, tidak sampai enam bulan pun, jadi berilah ruang dan masa untuk kami lebih saling mengenali," katanya.

Diusik tentang harapan yang pernah disuarakannya sebelum ini untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan, Fida berkata perkara itu memang menjadi impiannya namun dia hanya mampu berserah kepada Tuhan bagi menentukan jodoh yang terbaik.

"Memang saya pernah bercakap mengenai harapan untuk melangkah ke alam perkahwinan jika bertemu dengan jodoh yang terbaik.

"Pada tahun depan, usia saya pun akan mencecah 26 tahun tapi soal jodoh adalah ketentuan Allah, saya hanya mampu berserah," katanya.

Ditanya adakah dia masih berkawan dengan Mamat, Fida berkata dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang atau mengenangkan semula insiden yang mencalarkan nama baik dan maruahnya.

"Bagi saya perkara yang lepas, biarlah berlalu. Kami tidak lagi berhubung, lagi pun ketika kami berdepan konflik tersebut, saya tidak melihat kesungguhannya untuk meleraikan kekusutan yang berlaku.

"Biarlah saya jalani hidup hari ini dengan pengalaman baru. Saya doakan yang terbaik untuk apa sahaja perkara yang dilakukannya," katanya.

Hubungan Mamat dan Fida berakhir selepas pelawak tersebut dengan secara tidak sengaja telah memuat naik gambar Fida yang menampakkan sebahagian rambutnya ke akaun Facebook miliknya, sekali gus mengakibatkan gambar tersebut tersebar luas di Internet.

Mamat dalam satu kenyataannya sebelum ini kesal dengan kesilapan itu kerana telah mencemar nama baik Fida yang tidak pernah mendedahkan rambutnya di khalayak.

Anuar Zain Promosi Album Ke Singapura

Posted: 23 Dec 2011 06:41 PM PST

Anuar Zain

PETALING JAYA: Penyanyi popular Anuar Zain bakal mengadakan persembahan di Singapura pada Isnin dan Selasa depan sebagai salah satu usaha promosi album terbarunya iaitu "Anuar Zain".

Sepanjang dua hari, pelbagai aktiviti bersama peminat akan dijalankan dengan kerjasama antara Universal Music Malaysia dan Singapura.

Anuar akan mengadakan persembahan dan sesi bertemu peminat di beberapa kawasan, selain mengambil kesempatan tersebut mengumpul dana untuk mengisi tabung Masjid Hajjah Rahimabi, Kebun Limau, Singapura.

Selain itu, penyanyi lagu "Cinta Harus Memiliki" ini akan muncul secara langsung di televisyen Singapura menerusi saluran Suria. Manakala di beberapa buah radio seperti radio Ria 897 FM dan radio Warna 94.2FM.

'Suatu Malam Kubur Berasap' Kutip RM580 Ribu

Posted: 23 Dec 2011 06:41 PM PST

Angah Raja Lawak membintangi filem Suatu Malam Kubur Berasap.

PETALING JAYA: Filem komedi seram Suatu Malam Kubur Berasap telah berjaya mengutip RM580,000 sejak ditayangkan di 61 pawagam tempatan bermula 22 Disember lalu.

Menurut pengarahnya, Ernie Chen, kebanyakan penonton yang telah menonton filem itu memberikan respons yang positif.

"Saya sangat teruja dan mengucapkan terima kasih kepada semua penonton yang menonton filem "Suatu Malam Kubur Berasap" serta pihak media yang membantu mempromosikan filem ini.

"Seperti yang saya katakan, objektif filem ini adalah untuk menghiburkan penonton dan saya mendapati kebanyakan peminat di laman Facebook Suatu Malam Kubur Berasap mengatakan filem ini menghiburkan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ain Nordin melakonkan watak Siti dalam Suatu Malam Kubur Berasap.

Melihat kepada sambutan penonton, Ernie menyasarkan filem ini untuk mendapat setanding atau melebihi kutipan filem komedi seram Hantu Bonceng iaitu RM8.53 juta.

"Pada hari pertama filem ini ditayangkan, saya mendapati kebanyakan pawagam yang menayangkan filem ini penuh.

"Bagaimanapun, saya memerlukan sokongan daripada penonton untuk mencapai sasaran kutipan melebihi RM8 juta," katanya lagi.

Filem ini dilakonkan oleh Angah Raja Lawak, Along Raja Lawak, Ruminah Sidek, Zach Diamond, Azrul Raja Lawak dan pelakon baru, Ain Nordin.

'Mai Chek Mai' Gandingan Pelakon Lama & Baru

Posted: 23 Dec 2011 06:24 PM PST

PETALING JAYA: Sitkom terbaru terbitan RTM iaitu Mai Chek Mai bakal menggabungkan ramai pelakon lama dan baru.

Pengarah sitkom tersebut, Asri Alias berkata, perkara itu dilakukan bagi memberi ruang kepada pelapis baru untuk menimba pengalaman daripada pelakon lebih senior bergandingan dalam sebuah projek.

"Mai Chek Mai adalah sebuah sitkom komedi yang dirakamkan secara langsung di hadapan penonton dan ia adalah cabaran buat pelakon baru ini selain dapat belajar daripada mereka yang lebih senior mengenai teknik dan persediaan sebelum ke set.

"Saya bagaimanapun berpuas hati dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka sepanjang penggambaran tersebut," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran sitkom itu di sini, Khamis.

Siri 13 episod itu bakal ditayangkan pada setiap Rabu bermula 4 Januari depan di saluran TV1.

Mai Chek Mai menggandingkan pelakon seperti Khatijah Tan, Ebby yus, Ilya Buang dan Ramasundram sebagai peneraju utama selain Zarina Mohd Nor, Mira Amnas dan Livonia Ricky daripada program "Pilih Kasih 2".

Dalam pada itu, Asri berkata, sitkom yang dirakamkan di Auditorium Taman budaya, Alor Setar, Kedah itu berkonsepkan 1Malaysia dan cetusan idea asal adalah daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Asri berkata, Rais menginginkan sebuah sitkom dengan dialek Kedah diterbitkan dengan memasukkan pelbagai elemen bersesuaian dengan konsep 1Malaysia.

"Manisnya mengenai sitkom ini adalah walaupun ia bertunjangkan dengan konsep 1Malaysia ia juga turut memaparkan kepelbagaian etnik dan dialek masyarakat Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Asri berkata, Mai Chek Mai telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton di negeri Kedah sepanjang rakaman 13 episod di sana.

Ujarnya, pihak RTM juga dalam perancangan untuk menerbitkan musim kedua program itu tahun hadapan.

Padah cinta Awang Hitam

Posted: 23 Dec 2011 06:21 PM PST

KESAL...Huda menceritakan pengalamannya kepada wartawan Harian Metro.
KESAL...Huda menceritakan pengalamannya kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: Awalnya, mereka disogok kemewahan termasuk kereta, wang RM1,000 seminggu dan tinggal di kondominium mewah, namun di penghujungnya mereka dilayan seperti hamba seks, aksi lucah dirakam, diugut, dipukul, dikurung serta hampir terjebak kegiatan jenayah.

Itu pengalaman dua wanita Melayu mahu dikenali sebagai Huda, 28 dan Amy, 27 yang menjalin hubungan dengan lelaki warga Afrika dan kini menempuh hidup penuh kesukaran selepas ditinggalkan.

Huda, pelajar kolej swasta di ibu kota, berkata dia bercinta dan tinggal serumah dengan James, 30, selama tiga tahun selepas mereka berkenalan ketika menuntut di sebuah kolej swasta.

Menurutnya, pada awal perhubungan James sangat mengambil berat dan memberinya pelbagai kemewahan menyebabkan dia lupa segala tanggungjawabnya sebagai pelajar dan umat Islam."Sepanjang bercinta, semua perbelanjaan pengajian dan peribadi saya ditanggung James, malah dia turut memberikan wang tambang teksi untuk saya ke kuliah setiap hari.

Din Kudung didakwa lagi

Posted: 23 Dec 2011 06:18 PM PST

DIDAKWA...Jayanudin @ Din Kudung dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
DIDAKWA...Jayanudin @ Din Kudung dibawa keluar dari mahkamah, semalam.

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas enam tuduhan menipu seorang wanita membabitkan wang bernilai lebih RM23,000 berkaitan satu pelaburan emas di sekitar daerah ini, empat bulan lalu.

Mohamad Jayanudin Kasmin, 40, atau dikenali juga sebagai 'Din Kudung' yang memakai baju lokap jingga dan berseluar ungu tenang ketika tiga pertuduhan awal dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Haslina Basarudin.


Tertuduh yang juga bapa kepada empat anak dan berasal dari Melaka itu kemudian membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Jayanudin didakwa menipu Roslina Hassan untuk mempercayai terdapat pelaburan emas dan secara tidak jujur mendorong wanita itu memasukkan wang tunai RM4,000 ke dalam akaun bank diberikannya.


Perbuatan berkenaan dilakukan di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 17 Ogos lalu.


Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa turut melakukan perbuatan itu membabitkan RM5,000 dan RM3,700 di lokasi, waktu dan tarikh sama.Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhidayah Mohd Nawawi.Haslina membenarkan kos ikat jamin RM21,000 ditawarkan pendakwaan bagi semua pertuduhan dikurangkan kepada RM15,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan tarikh sebutan kes 25 Januari depan. Bagi tiga pertuduhan lain di mahkamah berasingan, Jayanudin didakwa turut menipu wanita sama menggunakan cara sama membabitkan RM10,890 di lokasi, waktu dan tarikh sama.


Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh dan meminta dibicarakan.


Mahkamah membenarkan kos ikat jamin RM15,000 ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli dikurangkan kepada RM10,500.


Sebutan semula kes ditetapkan 31 Januari depan. Muka depan akhbar ini Rabu lalu melaporkan lelaki berusia 40 tahun itu diburu berikutan kes tipu di Nilai, dekat sini, Oktober lalu membabitkan RM200,000.


Penjenayah 'kasanova' kembali aktif menipu wanita membabitkan ratusan ribu ringgit biarpun pernah meringkuk dua tahun dalam penjara, ditahan polis di depan pusat hiburan di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, petang Selasa lalu.


Lelaki cacat di tangan itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di hadapan premis hiburan jam 5 petang.

Simbolik pemberian hadiah

Posted: 23 Dec 2011 06:14 PM PST

pix_middle

BUKAN sekadar bertukar hadiah dan cenderahati, makan malam sekeluarga dan sambutan untuk menjengah tahun baru, Krismas juga diraikan bagi mengangkat simbolik menghargai kasih sayang serta persahabatan dalam konteks yang lebih luas.

Hakikatnya, ia diraikan sebagai satu upacara perayaan namun jika diukur dan diteliti dari perspektif lain khususnya di Malaysia, Krismas adalah satu tarikh untuk berkumpul bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selain mengundang rasa sayang antara sahabat.

  • Foto

    HARI ISTIMEWA...bagi Hansen Krismas hari untuk hargai kasih sayang dalam keluarga manakala bagi Megan, Krismas peluang terbaik bertemu semua rakan.

  • Foto

  • Foto

Petang minggu lalu, empat anak muda juga selebriti televisyen 8TV dan ntv7 datang berkumpul di studio bagi berkongsi cerita mereka menyambut kedatangan Krismas baik dari sudut selebriti mahupun insan serumpun yang turut menyambutnya.

Pengacara program bual bicara santai, 8TV Quickie, Ryan Matjeraie dan Megan Tan umpamanya lebih menyifatkan Krismas sebagai satu hari yang memberikan mereka berdua peluang terbaik bertemu semua rakan dan duduk berkumpul bersama keluarga di rumah.Dua lagi penyampai program The Breakfast Show dan Bella di ntv7, Hansen Lee dan Lisa Wong melihat sambutan Krismas satu ruang istimewa untuk menghargai kasih sayang sesama keluarga.Jelas wajah jelita penyampai Bella sejak setahun lalu itu, Lisa yang berkahwin dengan jejaka Inggeris, Neil Ford sejak enam tahun lalu, Krismas adalah satu perayaan yang wajib diraikan dengan penuh kemeriahan.


"Krismas memang satu sambutan wajib dalam kalendar perkahwinan saya kerana ini saja peluang yang ada buat saya dan suami untuk berhimpun bersama sanak-saudara dan teman rapat. Kebiasaannya kami menyambutnya di England bersama keluarga mentua kerana suasananya lebih meriah. Mana tidaknya, ibu mentua saya akan memasak dan semua sanak-saudara berkumpul.

"Namun tahun ini nampaknya saya dan suami menyambut Krismas di sini saja memandangkan komitmen kerja dan tanggungjawab yang terlalu banyak membuatkan masing-masing tidak sempat bercuti panjang. Bagaimanapun, kami berdua akan tetap menyambutnya secara sederhana dan menjemput keluarga terdekat untuk makan malam bersama," katanya yang sudah empat kali menyambut Krismas di England sebelum ini.

Tambah Lisa lagi yang sebelum ini pernah menjadi pengantara di saluran antarabangsa ESPN, Krismas juga adalah hari yang penuh dengan cetusan muzik dan rasa ikhlas.

"Budaya bertukar-tukar hadiah dan memasang pokok Krismas bagai satu tradisi. Namun yang lebih penting rasa ikhlas di sebalik pemberian itu yang menjadi keistimewaan sebenar Krismas.

"Jujurnya ketika ini, saya sendiri berdebar-debar dan tidak sabar untuk membuka hadiah Krismas saya esok. Jika saya menerima banyak hadiah daripada teman dan suami, itu mungkin membuktikan saya disayangi ramai," katanya lagi.

Penyampai The Breakfast Show yang juga seorang peragawan popular, Hansen Lee menyifatkan tradisi bertukar hadiah adalah kayu ukur untuk menilai kepekaan seseorang terhadap insan yang disayangi selain menilai sejauh mana keikhlasannya.

"Jika saya ingin memberi seseorang itu hadiah sempena Krismas, pastinya saya perlu melihat keperluan atau apa yang ingin sekali dimilikinya. Itu adalah kayu ukur agar apa yang dibeli itu berguna dan bukan sekadar ingin memberi. Umpamanya saya sendiri, saya sudah menyiapkan beberapa hadiah istimewa untuk diberikan kepada keluarga dan teman yang rapat dengan saya.

"Semua hadiah itu saya beli mengikut keperluan mereka dan apa yang mereka inginkan. Begitu juga dengan saya, apa yang akan saya terima nanti pastinya sesuatu yang pernah saya cakap ingin miliki. Lantas saya boleh melihat sejauh mana kepekaan mereka," katanya berjenaka.

Bagaimanapun, tambah Hansen, dia sudah merancang untuk menjamu keluarga dan teman rapatnya pada malam Krismas nanti memandangkan keesokan harinya anak kacukan Cina dan Indonesia ini diberi cuti.

Bagi dua anak muda yang mengendalikan program bual bicara 8TV Quickie, Ryan dan Megan, Krismas adalah sesuatu yang diraikan setiap hari sepanjang tahun kerana program kendalian mereka bagaikan sambutan Hari Natal dengan pelbagai hadiah diberikan kepada penonton setiap kali mereka bersiaran.

"Memberi pelbagai hadiah dan peluang menarik kepada penonton memang tugas kami di konti. Konsep 8TV Quickie sudah menjadikan kami berdua seperti Santa Claus kerana tidak henti-henti menghadiahkan penonton dengan 1,001 hadiah menarik. Lantas kami berdua merancang untuk membuat sesuatu yang berbeza buat penonton sempena Krismas kali ini," kata Ryan, kacukan Irish, Cina dan Iban yang hampir setahun mengendalikan 8TV Quickie.

Selain itu, Ryan yang juga graduan Industri Kreatif dari Universiti Edith Cowan di Australia tidak sabar untuk bertemu sanak-saudara dan teman lama kerana jika tiada cuti pada hari Krismas, semuanya terikat dengan jadual harian yang padat.

"Esok saya akan pastikan duduk lepak lama bersama keluarga dan teman. Ini saja peluang yang ada untuk kami bertukar cerita dan berkongsi pengalaman bersama kerana masing-masing begitu sibuk hingga sukar bertemu.

"Bagaimanapun, agenda utama adalah makan malam bersama keluarga serta membuat kejutan kepada mereka dengan memberi hadiah istimewa," katanya tersenyum.

Megan Tan yang kini berusia 23 tahun melihat perayaan ini dari perspektif berlainan. Meskipun tidak menganut agama Kristian dan meraikan Krismas secara amnya, namun perayaan itu akan disambut juga kerana ramai kenalan dan ahli keluarganya yang menyambutnya, esok.

Menurutnya, tidak sekadar meletak fokus pada hadiah, hiasan pokok Krismas, Santa Claus dan warna-warni lampu, Krismas juga adalah masa terbaik untuk seseorang itu membuat kebajikan dan kerja amal.

"Saya memang bergerak aktif dalam kerja amal dan kebajikan. Justeru, saya rasa Krismas masa terbaik buat saya melakukan kerja amal dengan membantu golongan yang memerlukan. Itu sudah memberikan saya kepuasan selain meraikan bersama keluarga dan teman," katanya.

Beralun cantik pada tubuh

Posted: 23 Dec 2011 06:10 PM PST

BERNARD...ibu sumber inspirasi.
BERNARD...ibu sumber inspirasi.

TUMPUAN yang terpaku pada setiap helaian padanan yang tersarung pada tubuh tinggi lampai peragawati yang berjalan di pentas peragaan, jelas membuktikan rekaan kali ini menampilkan perbezaan serta keistimewaan tersendiri.

Hebat dan menyerlah. Ini mungkin kata-kata yang tidak terungkap tatkala menyoroti helaian pertama rekaan pereka tersohor antarabangsa, Datuk Bernard Chandran ketika pertunjukan Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2011 yang berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

  • Foto

    KONTEMPORARI...keistimewaan Bernard pada jahitan serta lipatan pada baju yang memberikan gaya memukau.

  • Foto

    POLOS...padanan polos tampak ringkas namun memukau menerusi potongan yang unik.

  • Foto

    BERGAYA...ilham musim bunga dan panas diperindahkan pada fabrik bercorak yang ringkas dan menawan.

  • Foto

    UNIK...kekemasan pada rekaan Bernard pada pemilihan fabrik serta lipatan kain yang memberikan gaya menawan.

  • Foto

    GAYA 50-an...gaya skirt pendek inspirasi daripada ibu Bernard sendiri.

  • Foto

    FABRIK HEBAT...menggunakan fabrik sutera satin pada padanan gaun membuatkannya beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Mengimbas kenangan silam, himpunan musim bunga dan panas 2012 yang ditampilkan adalah inspirasi dari era 50-an yang menjadi nadi kepada penggayaan glamor ibunya sendiri.

Menurut Bernard, ibu menjadi ikon fesyen serta ilham menzahirkan lakaran. Dia sentiasa kelihatan cantik dan berusaha ke arah itu dengan menghasilkan pakaian sendiri."Untuk rekaan fesyen musim ini, saya memberikan penghormatan kepada ibu saya.Saya mendapati apa yang saya lalui ini adalah melalui dia. Ilham fesyen 50-an datang apabila melihat ibu bergaya serta berusaha untuk kelihatan anggun dan cantik setiap masa.


"Disebabkan pakaian agak terhad pada masa itu, ibu berusaha menjahit pakaian sendiri dan memastikan orang di sekelilingnya turut kelihatan cantik.
Kreativiti serta keghairahan ibu memberi inspirasi dan ilham kepada saya untuk berusaha dengan lebih baik, menghasilkan pelbagai rekaan yang disukai setiap wanita," kata Bernard.

Gemerlapan koleksi musim bunga dan panas direka secara penuh sederhana, namun memukau menerusi gaya geometri yang dapat dilihat pada setiap sudut potongan.
Lengkungan jahitan pada bahagian leher baju menggunakan teknik luar biasa kemudian diadaptasi kepada era moden mencerminkan keupayaan pereka yang bukan saja bijak, malah berani menghasilkan sesuatu yang baru.

Bagi Bernard, setiap helaian fabrik adalah kanvas bagi melahirkan idea serta pentas mencipta sesuatu rekaan. Apa saja yang dihasilkan adalah seni dan semestinya indah untuk dipaparkan.

Selain mengambil tema geometri, keupayaan pereka yang kerap kali mengadakan pertunjukan di luar negara ini adalah berani bermain dengan struktur lipatan serta memberi inovasi baru pada skirt, gaun, blaus serta jaket yang diberi nafas baru, sekali gus menambah kecanggihan gaya 50-an.

Pendekatan digunakan sentiasa memikat hati wanita menerusi setiap padanan Bernard memilih fabrik jersi digabungkan dengan kapas dan sutera satin bagi memastikan setiap busana beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Menariknya apabila tambahan perincian manik serta sulaman tangan bagi memberikan impak menawan serta kesan lebih menyerlah. Untuk warna musim bunga dan panas, sudah pasti pemilihan palet lengkap bermula dengan kelabu, perak, emas, hijau, biru, krim dan hijau epal menjadi dasar kepada setiap rona.

Menurut Bernard, setiap warna memainkan peranan penting bagi menyerlahkan gaya 50-an kepada lebih kontemporari sesuai peredaran semasa.

"Sebagai pereka, apa yang penting adalah berani mencipta pelbagai gaya, berani mengambil risiko dan lakukan sedikit perubahan pada rekaan dan sudah pasti rekaan anda akan dipandang indah serta diingati sepanjang zaman," katanya.

SPNB yakin siap 10,000 RMR

Posted: 23 Dec 2011 06:09 PM PST

AHMAD Husni  melihat reka bentuk baru RMR sambil mendengar penerangan oleh  Idris (kanan)  yang turut disertai Kamarul (kiri) dan Adinan   di Ibu Pejabat SPNB, Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD Husni melihat reka bentuk baru RMR sambil mendengar penerangan oleh Idris (kanan) yang turut disertai Kamarul (kiri) dan Adinan di Ibu Pejabat SPNB, Kuala Lumpur, semalam.
Jumlah 4 kali ganda lebih tinggi berbanding 2,500 unit dibina setahun

SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) yakin dapat menyiapkan 10,000 unit rumah di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) tahun depan, sekali gus menyerahkan kepada pembeli tepat pada masanya hasil sokongan institusi kewangan.Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa.
Pengerusinya, Datuk Idris Haron, berkata jumlah itu adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding 2,500 unit rumah dibina setahun di bawah program RMR sebelum ini sejak lapan tahun lalu.

"Kami berhasrat mempercepatkan pembinaan projek berkenaan memandangkan terdapat kira-kira 42,000 permohonan di bawah program itu. Sejak lapan tahun lalu, SPNB menyiap dan menyerahkan kira-kira 17,000 unit rumah RMR," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman untuk program RMR antara SPNB dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, SPNB diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh manakala BSN diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning. Ia disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
SPNB menerima mandat daripada kerajaan pada Bajet 2012 untuk membina 10,000 unit rumah di bawah program RMR dengan peruntukan sebanyak RM200 juta diberikan dalam bentuk subsidi.

Setiap unit rumah di bawah program RMR adalah bernilai RM65,000 yang mana kerajaan akan memberikan subsidi bernilai RM20,000 kepada pembeli.

Kos keseluruhan pembinaan projek itu tahun depan bernilai RM650 juta, justeru SPNB kini bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menampung peruntukan tambahan RM450 juta bagi membina semua rumah terbabit.

Khazanah beli firma hospital terbesar Turki

Posted: 23 Dec 2011 06:07 PM PST

SEBUAH daripada 14  hospital yang dikendalikan Acibadem  di Turki.
SEBUAH daripada 14 hospital yang dikendalikan Acibadem di Turki.
Ambil alih 75 peratus ekuiti Acibadem bernilai RM3.9b

KHAZANAH Nasional Bhd mengembangkan lagi pelaburannya dalam pasaran penjagaan kesihatan antarabangsa dengan mengambilalih 75 peratus kepentingan dalam pengendali rangkaian hospital terbesar Turki, Acibadem Saglik Yatirimlari Holding AS (ASYH) dalam satu janji niaga yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.9 bilion.Pengambilalihan itu dibuatnya menerusi Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd (IHH) yang mana ia memiliki 70 peratus kepentingan, serta sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuhnya, Bagan Lalang Ventures Sdn Bhd.
IHH semalam memeterai perjanjian bagi membeli 60 peratus dalam modal saham diperbesarkan dalam ASYH.

Bagan Lalang Ventures pula turut melabur dengan membeli 15 peratus kepentingan, menjadikan pegangan tidak langsung Khazanah dalam syarikat Turki itu berjumlah 75 peratus.

Baki 25 peratus lagi akan dipegang pengasas Acibadem Saglik Hizmetleri ve Ticaret AS (Acibadem), Mehmet Ali Aydinlar dan keluarganya.

ASYH menguasai 92 peratus kepentingan dalam Acibadem, iaitu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terbesar di Turki.
IHH dalam kenyataannya mengumumkan pemeteraian perjanjian itu semalam berkata, pengambilalihan itu meletakkan nilai keseluruhan saham Kelas A dan Kelas B Acibadem AS$1.68 bilion (RM5.320 bilion).

Katanya, pengambilalihan yang akan dibayar sebahagiannya secara tunai dan penerbitan saham baru IHH itu akan turut menyaksikan keluarga Aydinlar dan Abraaj Capital muncul sebagai pemegang saham dalam IHH.

Syarikat itu berkata, majlis memeterai perjanjian yang diadakan semalam adalah susulan pemeteraian terma pada 30 September lalu dan adalah satu lagi pencapaian buat IHH dalam mengambilalih sebuah lagi penyedia penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

Acibadem turut membuat pengumuman rasmi di Bursa Saham Istanbul berhubung pengambilalihan yang tertakluk kepada kelulusan badan kawal selia republik itu.

Mengikut kenyataan IHH itu, Deutsche Bank bertindak sebagai penasihat tunggal pengambilalihan berkenaan. Perincian lanjut pengambilalihan, katanya akan diumumkan apabila transaksi menjadi tidak bersyarat.

Acibadem yang memiliki aset berkualiti merentas Turki, Eropah Tengah dan Eropah Timur menyediakan tapak pasaran yang baik buat Khazanah. Ia kini mengendalikan 14 hospital besar dan lapan pusat perubatan dengan menggajikan 2,000 doktor dan 11,000 pekerja.

Menerusi anak syarikatnya, ia turut menyediakan spektrum terbesar perkhidmatan makmal termasuk klinikal, makmal patologi dan penyelidikan sel, selain reka bentuk, pembinaan serta menyediakan kelengkapan hospital di Turki dan juga di luar negara.

Yusry & Lisa umum nak kahwin?

Posted: 23 Dec 2011 06:06 PM PST

Penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU dan pasangannya pelakon cantik berbakat Lisa Surihani akan membuat pengumuman istimewa kepada media pagi esok.

Apakah dia pengumuman itu? Pastinya mereka akan membuat pengumuman pasal perancangan pernikahan. Cerita pasal hubungan mereka bukan lagi rahsia. Hanya menunggu pengumuman rasmi sahaja. Tak tahulah kut-kut pengumuman pasal filem mereka.

Semoga dijauhi cabaran menjelang hari bahagia.

Majlis tersebut akan diadakan di sebuah hotel di Putrajaya pada pukul 10.30 pagi esok. Kalau benar ia pasal perancangan pernikahan mereka, pasti akan disambut baik oleh peminat. Selain dapat restu keluarga, hubungan mereka juga disenangi peminat.

Mangga Online juga tumpang gembira. Baik Yusry atau Lisa tidak pernah menafikan menjalin hubungan istimewa, tapi bila bercakap pasal perancangan perkahwinan, mereka mahu mendahulukan keluarga.

Tidak lama dulu kecoh bila ada media yang menyiarkan laporan kononnya Yusry membuat pengakuan merancang mengahwini Lisa pada tahun depan.

Tapi pihak KRU kemudiannya membuat penafian mengatakan perkara itu timbul kerana salah tafsiran. Apatah lagi pada masa itu keluarga kedua-dua belah pihak belum membuat sebarang keputusan.

Kepada peminat Lisa dan Yusry tunggulah pengumumannya esok. Dijangkakan mereka akan membuat pengumuman tarikh perkahwinan yang dirancang tahun depan. Tunggu ya. Mangga Online akan segera menyiarkan berita terkini selepas pengumuman pasalnya dibuat.

Kuasai al-Quran dalam 14 hari

Posted: 23 Dec 2011 06:05 PM PST


KEM Tahsin al-Quran mendedahkan peserta dengan suasana kehidupan Islam dengan mengamalkan sunah Rasulullah.


SETELAH hampir 11 bulan menahan penat dan lelah berulang alik ke sekolah serta bertungkus lumus 'mengadap' buku untuk menghadapi peperiksaan, cuti sekolah merupakan saat yang pastinya paling ditunggu-tunggu para pelajar.

Musim cuti merupakan tempoh yang paling sesuai untuk melepaskan segala keletihan dan tekanan yang telah dilalui di sekolah.

Sehinggakan, terdapat segelintir pelajar yang sentiasa menghitung hari dan mengeluh apabila melihat sesi persekolahan baru semakin hampir.

Namun, bagaimana pula golongan tersebut menggunakan tempoh cuti yang panjang itu?

Adakah dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat atau sebaliknya?

Adakah sekadar bermain bersama rakan-rakan, menghabiskan masa dengan berkurung dalam bilik bermain komputer dan permainan video ataupun sekadar mengisi masa dengan tidur sepanjang hari?

Apa yang dibimbangi, masa yang terluang itu digunakan dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti bergaul bersama kumpulan yang tidak bermoral, terpengaruh dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kesan negatif.

Tetapi sebenarnya bagaimana si anak menghabiskan masa cuti mereka terletak di tangan ibu bapa sendiri.

Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai acuan yang mencorakkan masa depan anak-anak mereka, sama ada ke arah yang baik atau sebaliknya.

Oleh itu, masa yang terluang itu perlulah dimanfaatkan oleh ibu bapa dengan sebaiknya bagi membentuk peribadi anak-anak dengan aktiviti yang membina dan bermotivasi.

Pelbagai perancangan boleh direncanakan oleh ibu bapa kepada anak-anak sepanjang cuti sekolah antaranya menghantar anak ke kem cuti sekolah.

Sejak pertengahan tahun 90-an lagi kem musim cuti telah mula bergiat aktif oleh pelbagai organisasi kerajaan mahupun swasta dengan menyediakan pelbagai jenis pendekatan yang sesuai untuk penerimaan individu.

Benarlah seperti yang dikata, hidayah Allah itu ada di mana sahaja dengan apa juga keadaan. Kem cuti sekolah juga ternyata mampu memberikan kesan positif kepada peserta dalam mencorakkan gaya hidup mereka positif.

Penganjur program motivasi, Mohd. Nasir Rustam al-Hafiz berkata, ibu bapa pada masa kini ramai yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga terlupa tanggungjawab kepada keluarga dan anak-anak.

Katanya lagi, perkara itu membuatkan anak-anak merasakan mereka kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa sehingga mendorong mereka terjebak dengan aktiviti kurang sihat.

Oleh itu jelasnya, dengan menyertai aktiviti kem musim panas yang dibimbing oleh fasilitator yang berpengalaman, sedikit sebanyak peserta merasakan bahawa mereka sentiasa diawasi dan diambil perhatian.

Secara tidak langsung peserta mudah untuk menerima apa yang dipelajari selepas mendapat kepercayaan daripada fasilitator masing-masing.

Mohd. Nasir yang juga pengetua Tahsin Al-Quran Training Centre itu berkata, pihaknya menggunakan pendekatan ala madrasah.

Kursus selama 14 hari yang dianjurkannya diyakini mampu memberikan perubahan dan sesuatu yang baru kepada peserta.

"Pendekatan yang kita lakukan dalam kursus ini adalah menggunakan kaedah sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah iaitu menjadikan al-Quran sebagai asas panduan dalam menyelesaikan segala masalah.

"Apabila kita menghidupkan suasana kehidupan ala madrasah dengan memfokuskan pengisian program kepada bacaan al-Quran, secara tidak langsung mukjizat yang terdapat dalam setiap ayat al-Quran itu mampu mengubah dan menyelinap masuk ke dalam diri seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, baru-baru ini.

Seramai 130 peserta dari seluruh negara termasuk Singapura menyertai kem tersebut.

Antara pengisian yang diadakan termasuk cabaran aktiviti luar dan permainan sukaneka untuk mempersiapkan peserta dengan kekuatan dari segi mental dan fizikal seperti fying fox, berakit, sukaneka dan sebagainya.

Ujarnya, mengambil risiko menganjurkan kem paling lama yang belum pernah dilakukan penganjur lain. Kursus ala tahfiz menjamin satu pengajaran baru kepada peserta.

"Kami percaya, untuk membentuk peribadi seseorang bukan perkara yang mudah dan memerlukan masa yang agak panjang.

"Oleh itu, kita cuba mengambil risiko menganjurkan kem yang panjang iaitu selama 14 hari untuk memastikan objektif utama kursus tercapai melalui perubahan peserta," kata Mohd. Nasir.

2 minggu hafal 9 juzuk

Posted: 23 Dec 2011 06:04 PM PST


Mukjizat Al-Quran merupakan sumber ketenangan sebenar.


Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis jelas menunjukkan kepada kita ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang membaca al-Quran dan menghayatinya.

Ramai yang beranggapan ketenangan boleh dicari dan mudah diperolehi seperti menikmati keindahan semulajadi atau melawati kawasan yang indah dengan suasana yang permai.

Namun, sejauh mana ketenangan itu dikecapi dan berkekalan dalam diri seseorang, atau ia hanya bersifat sementara.

Pendakwah bebas, Asni Mansor berkata, ketenangan sebenar adalah apabila seseorang itu dapat menikmati nikmat hidup tanpa dibelenggu perasaan keluh kesah.

Seseorang itu belum dikatakan mendapat ketenangan sebenar jika sentiasa resah dan tidak tenteram memikirkan masalah harian walaupun memiliki pelbagai kemewahan dan kesenangan dunia.

Beliau berkata, salah satu kaedah untuk mengecapi ketenangan itu adalah dengan mempelajari, membaca dan menghayati al-Quran.

"Jiwa manusia memerlukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai penyucian jiwa. Oleh itu, mukjizat al-Quran merupakan sumber ketenangan sebenar yang mampu dikecapi oleh setiap insan.

"Tanpa ketenangan jiwa maka akan mengakibatkan berlakunya pelbagai keruntuhan akhlak, perkembangan gejala sosial dan perbuatan tidak sihat dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda," katanya ketika ditemui di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, baru-baru ini.

Beliau berkata, pendidikan al-Quran perlu diterapkan oleh setiap kanak-kanak bagi mendidik mereka menjadi generasi al-Quran pada masa depan.

Tambahnya, setelah hampir 11 bulan murid diberikan dengan pelbagai pendedahan ilmu akademik, maka sedikit ruang perlu disediakan bagi memenuhi hati dan fikiran dengan santapan nurani iaitu menggunakan ayat suci al-Quran.

"Hati dan jiwa kita juga memerlukan sesuatu sebagai landasan penyucian rohani yang dapat memberikan ketenangan. Dengan menghayati kalam Allah itu, secara tidak langsung mampu membersihkan sifat buruk seseorang dan mengubah sikap mereka kepada lebih baik," katanya.

Seorang peserta kem Tahsin al-Quran, Adib Fikri Jamil, 17, berkata, timbul satu perasaan dalam dirinya yang sebelum ini belum pernah dirasakan apabila dapat memberi fokus sepenuhnya kepada al-Quran.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, tetapi apa yang mampu saya katakan adalah jiwa saya terasa tenang dan gembira apabila mengikuti kem ini yang menekankan pendekatan ala madrasah.

"Tidak sangka, kelapangan jiwa dan fikiran yang dianugerahkan ini membuatkan saya mampu menghafal hampir sembilan juzuk selama dua minggu berada di kem Tahsin al-Quran ini," katanya.

Anak pertama daripada empat adik beradik itu bercita-cita untuk menjadi tukang masak profesional yang mengamalkan prinsip al-Quran dalam perniagaan dan masakan.

Bagi peserta dari Singapura, Afiq Prasanto, 10, menyertai kem bermatlamatkan penguasaan al-Quran menanamkan minatnya untuk mempelajari dan mengkaji al-Quran dengan lebih mendalam.

"Jika sebelum ini saya jarang membaca al-Quran kecuali pada masa tertentu seperti di sekolah atau masa mengaji sahaja, tetapi dengan menyertai kem al-Quran, saya bertekad untuk mempelajari dan mengkaji ayat-ayat al-Quran dengan mendalam.

"Ini kerana saya ingin mengetahui segala rahsia al-Quran yang belum ditemui pada masa ini. Walaupun pada mulanya saya menolak untuk menyertai kem ini, tetapi akhirnya saya sungguh tertarik dan gembira," katanya.

Anak muda yang peramah itu menanamkan niat untuk memartabatkan pengajian al-Quran di Singapura dan mengembangkan dakwah Islam agar lebih meluas diamalkan di seluruh negara kelahirannya itu.

Sementara itu, bagi Azrina Hidayah Azhar, 11, dia ingin menyambung kursus dan tidak mahu meninggalkan kem kerana terlalu gembira walaupun sedih kali pertama menjejak kaki di kem tersebut.

"Saya selalu menangis sendirian dan meminta untuk dihantar pulang pada minggu pertama berada di kem ini. Saya sangat sedih berjauhan dengan keluarga.

"Bagaimanapun, lama kelamaan perasaan itu hilang sedikit-sedikit kerana terlalu seronok mendapat ramai kawan baru, mempelajari al-Quran serta pengalaman baru di sini," katanya yang telah menyertai kem tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut.

Anak pertama daripada dua orang adik beradik itu telah menghabiskan (khatam) bacaan al-Quran sebanyak enam kali pada tahun ini dengan meluangkan banyak masa dalam kem Tahsin al-Quran.

Nurul Asyiqin Rasidi, 16, berkata, dia ingin membuktikan perubahan yang terbaik kepada ibu bapanya dan menjadi contoh kepada keluarga.

"Dengan menyertai kem ini, kini saya tahu kepentingan menunaikan solat, membaca al-Quran dan mengamalkan sunah Nabi SAW.

"Walaupun kita hanya berlumba-lumba mengejar dunia, tetapi ia belum menjamin kejayaan kita jika tidak disertai dengan persiapan rohani dan memohon pertolongan daripada Allah SWT," katanya.

Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan itu bersyukur kerana pilihan keluarganya menghantar mengikuti kem tersebut merupakan pilihan terbaik yang mampu pelbagai memberikan input positif kepadanya.

Azab pasti datang

Posted: 23 Dec 2011 06:03 PM PST

SURAH ini diturunkan selepas surah al-Haqqah dan sebagai penyempurna gambaran tentang keadaan Hari Kiamat dan azab neraka. Surah ini dikatakan sebagai surah makiyah dengan ijmak ulama.

Firman Allah SWT: Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa. Orang-orang kafir, yang tidak seorangpun dapat menolaknya. (al-Maarij: 1-2)

Ahli tafsir berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Nadir Ibn al-Haris ketka berkata: Ya Allah, jika ini yang dibawa oleh Muhammad, adalah benar disisi-Mu, maka turunkan ke atas kami balasan hujan daripada batu. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Ibnu Abbas dan Mujahid. Ada pendapat lain menyatakan ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal. Inilah pendapat al-Rabi' Ibnu Anas.

Berkenaan dengan yang meminta dan berdoa. Di sini ada tiga pendapat:

* Berdoa supaya dikenakan bala azab sebagai tanda mengejek.

* Berdoa supaya Allah menimpakan azab pada dirinya.

* Berdoa supaya azab benar-benar berlaku dan terjadi.

Al-Maghari berkata: Seorang peminta telah meminta kedatangan azab yang pasti berlaku, meskipun ia diminta atau tidak diminta (ia tetap akan berlaku). Ini disebabkan azab itu pasti menimpa orang kafir di akhirat kelak dan tidak ada seorang pun yang berdaya menghalang kedatangan azab tersebut.

Firman Allah SWT: (yang datang) dari Allah, yang mempunyai tempat-tempat naik. (al-Maarij: 3)

Ibnu Kathir berkata: Azab yang pasti berlaku kepada orang kafir daripada Allah. Adapun perkataan zi al-ma'arij ada beberapa tafsiran:

* Allah yang bersifat Maha Tinggi kedudukan dan kelebihan. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Tangga-tangga langit. Inilah pendapat Mujahid.

* Allah mempunyai banyak kelebihan dan nikmat. Inilah pendapat Qatadah.

Syed Qutub berkata: Surah ini menceritakan ada orang yang meminta ditimpakan azab dengan segera kemudian menjelaskan bahawa azab ini memang tetap berlaku dari satu segi ia telah ditetapkan dalam perencanaan Allah SWT. Dari segi yang lain, ia sudah hampir berlaku dan tiada siapa mampu menolak dan menghalangnya. Oleh itu, orang yang meminta supaya azab disegerakan merupakan orang yang malang sama ada individu atau berkumpulan.

Azab ketika itu disediakan kepada seluruh orang kafir termasuk orang yang meminta azab disegerakan. Hari itu berlaku dengan perintah Allah Yang Maha Besar. Di dalam surah yang lain menceritakannya.

Firman Allah SWT: Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (al-Maarij: 4)

Berkenaan dengan 50,000 tahun ia merupakan masa pada hari Kiamat. Dan ia cukup panjang dan lama bagi orang kafir.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibnu Abbas berkenaan kadar masa ini. Lantas jawabnya: Ia merupakan dua hari yang Allah sebut kedua-duanya dan aku tidak suka untuk menyebut dalam kitab Allah apa yang tidak aku ketahui.

Syed Qutub berkata: Menurut pendapat yang terkuat, maksud kata-kata hari yang disebutkan dalam ayat ialah hari Kiamat kerana susunan ayat itu sendiri menentukan maksud tersebut.

Pada hari tersebut, para malaikat dan Jibril akan naik menghadap Allah SWT. Maksud kata-kata al-ruh pula menurut pendapat yang sama, iaitu Jibril kerana beliau juga dinamakan dalam surah-surah yang lain. Beliau disebut khusus selepas para malaikat kerana kedudukannya yang istimewa.

Demikianlah juga istiadat para malaikat menghadap Allah SWT dan menunjukkan betapa istimewanya hari tersebut. Kita tidak dituntut untuk mengetahui tugasan yang penting pada hari tersebut, bagaimana caranya malaikat naik bertemu Allah SWT kerana semuanya urusan alam ghaib dan tidak mungkin kita mengetahuinya.

Firman Allah SWT: Maka Bersabarlah kamu dengan sabar yang baik. Sesungguhnya mereka memandang siksaaan itu jauh (mustahil). Sedangkan kami memandangnya dekat (mungkin terjadi). Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak. (al-Maarij: 5-8)

Ibnu al-Jauzi berkata: Bersabarlah atas pendustaan mereka terhadapmu dan ayat ini dikatakan diturunkan sebelum ayat diperintahkan memerangi mereka kemudian dinasahkannya.

Ibnu Kathir berkata: Berlakunya azab dan Kiamat pada sangkaan orang kafir amat jauh dan hampir mustahil berlaku sedangkan orang yang beriman yakin bahawa kiamat amat hampir berlaku kecuali waktunya tidak diketahui hanya Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan). (al-Maarij: 9)

Al-Maghari berkata: Gunung-ganang hancur lebur, tidak tegak berdiri, gambarannya seperti bulu-bulu yang berterbangan ketika ditiup angin. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Hasan: Gunung-ganang itu bergerak bersama angin, kemudian menjadi hancur seperti pasir dan pada saat itu seolah-olah bulu yang berterbangan kemudian hancur berkecai sehingga menjadi debu-debu yang bertebaran.

Firman Allah SWT: Dan tidak ada seorang teman akrabpun menanyakan temannya. Sedang mereka saling memandang. Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, Dan isterinya dan saudaranya, Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. (al-Maarij: 10-14)

Kebanyakan ulama berpendapat pada ketika itu seseorang kerabat tidak bertanya tentang kerabatnya walaupun bertemu kerana masing-masing bimbang hal mereka sendiri. Ini kerana rasa gerun dan takut keadaan suasana tersebut. Inilah pendapat Muqatil.

Syed Qutub berkata: Manusia pada hari tersebut sibuk dengan masalah masing-masing. Mereka tiada masa memikirkan masalah orang lain. Kedahsyatan malapetaka Kiamat itu memutuskan segala perhubungan dan memenjarakan setiap orang dengan halnya yang tersendiri. Mereka tidak menghiraukan sesiapa walaupun ternampak sahabat karib. Kesusahan dan ketakutan menyelubungi semua orang.

Bagaimana pula orang yang bersalah? Seluruh perasaannya diselubungi ketakutan dan dia bercita-cita menebuskan dirinya daripada diazab dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara maranya yang selalu memberi perlindungan kepadanya dan kerana terlalu ingin menyelamatkan diri dia berangan-angan menebuskan dirinya dengan seluruh penghuni bumi.

Itulah gambaran yang terharu dan mendesak dalam melepaskan diri dari seksaan. Semuanya tertulis dalam pengungkapan ayat al-Quran yang sangat menarik untuk dihayati bersama.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama), serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya. (al-Maarij: 15-18)

Berkenaan dengan perkataan laza, ada beberapa pendapat:

* Al-Farra' berkata: Perkataan laza merupakan salah satu nama neraka jahanam yang demikian kerana mereka diheretnya.

* Ibn al-Anbari berkata: Dinamakan demikian kerana kepanasan dan sifat membuaknya.

* Ada pendapat menyatakan pada bahasa dengan nyalaan yang benar-benar hebat.

Sedangkan tafsiran berkenaan dengan kulit yang disiat ada empat pendapat:

* Kulit kepala. Inilah pendapat Mujahid.

* Kulit dan rupa wajah yang cantik. Inilah pendapat al-Hasan dan Abu al-'Aliyah.

* Tumit dan kaki. Inilah pendapat Ibn Jubair.

* Segala anggota seperti dua tangan, dua kaki dan kepala. Inilah pendapat al-Farra' dan al-Zajjaj.

Al-Maghari berkata: Tebusan itu tidak akan diterima meskipun dia membawa seluruh penghuni bumi atau membawa harta yang paling berharga, walaupun emas sepenuh bumi. Begitu juga jika dia membawa anaknya yang merupakan cahaya hatinya di dunia, atau membawa isteri dan keluarganya.

Syed Qutub berkata: Neraka itu memanggil mereka sebagaimana mereka pernah dipanggil di dunia untuk menerima hidayah Allah tetapi berpaling daripada panggilan itu. Akan tetapi apabila mereka dipanggil api neraka ketika itu tidak berupaya dan berdaya menidakkannya. Mereka tidak menghiraukan dakwah kerana sibuk dengan urusan dunia mengumpul harta tetapi hari yang dijanjikan dan neraka yang memanggil mereka, maka ketika itu tidak terdaya dan ada harapan untuk menidakkan kerana ia telah terpilih merasai azab yang telah dijelaskan oleh Allah SWT.

Api ini dapat menarik penghuni neraka yang telah diciptakan Allah SWT untuknya antara para penghuni padang al-Mahsyar (tempat berkumpul). Sememangnya telah ditakdirkan bahawa penghuni neraka ketika di dunia dahulu mengerjakan pekerjaan penghuni neraka. Mereka mengotorkan diri apabila berdusta dengan hati mereka. Kemudian meninggalkan amalan yang dilakukan dengan anggota badan malah mereka mengumpul harta dan menyimpannya tetapi mereka tidak menunaikan hak Allah SWT dan mereka pula disibukkan dengan harta itu sehingga lalai mengerjakan kewajipan-Nya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh, seterusnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya dan selamat daripada neraka-Nya. Amin.

Norlina, Roslan berbakti untuk anak-anak HIV

Posted: 23 Dec 2011 06:01 PM PST


ROSLAN Zakaria dan Norlina Alawi.


KATA orang, rumah tangga akan lebih bahagia apabila dikurniakan dengan cahaya mata. Namun berapa ramaikah? Seorang, dua orang atau tiga orang?

Bagaimana pula jika anda dikurniakan dengan tujuh orang anak kandung dan 33 orang anak angkat? Masih bahagiakah?

Namun, itulah sebenarnya kebahagiaan berumah tangga bagi pasangan Norlina Alawi dan Leftenan Kolonel Roslan Zakaria.

Norlina telah memulakan kebajikan membela nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS sejak tahun 2001.

Pada peringkat awalnya, beliau telah memberi perlindungan kepada seorang wanita berumur 23 tahun yang hamil tujuh bulan yang disahkan menghidap HIV positif. Wanita tersebut kemudian telah melahirkan anak lelaki.

Di atas naluri keibuan, Norlina tekad mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan seterusnya menjadikan anak susuan beliau.

Kasih sayang dan sifat keibuan yang mendalam terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS yang terbiar, beliau telah menubuhkan Pusat Perlindungan Pernim Berhad.

Norlina dan suami yang ditemui di kediaman mereka, Mahligai Qaseh di Kampung Cheras Baru ternyata cukup bahagia dan gembira dengan kehadiran anak-anak yang diamanahkan kepada mereka.

Norlina, 40, yang merupakan pengasas dan Yang Dipertua Pernim (Persatuan Kebajikan Anak kepada Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia) menamakan keluarga mereka sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad.

Berasal dari Kluang, Johor, Norlina berkata, pada peringkat awal, suaminya nampak kekok dengan keadaan rumah mereka apabila didiami ramai kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat dan tiga orang cucu mengikut undang-undang yang sah.

''Mula-mula dahulu dia (suami) marah-marah juga bila rumah berselerak dan bising bila balik kerja. Tetapi lama-lama dia dah faham dan sekarang dia pula yang akan berkejar-kejar dan bergurau senda dengan anak-anak di sini yang kami anggap sebagai anak sendiri.

''Bukan itu saja, malah dia pula yang akan bersama-sama menolong mengemas rumah, membasuh pinggan dan sebagainya,'' ujar Norlina yang telah 22 tahun mendirikan rumahtangga bersama Roslan, 46.

Perkahwinan Norlina dan Roslan dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Noor Emylia Erna, 20; Nur Aini, 18; Nur Syaheera, 16; Noor Nadia Nabila, 14; Muhammad Ridhwan, 12; Nur Elisa Sofea, sembilan tahun dan Muhammad Fitri, lima tahun.

Menurut Norlina, perkenalan dengan suaminya tidak lama, iaitu hanya seminggu sebelum mereka mengambil keputusan mendirikan rumahtangga. Mereka bertunang selama tiga bulan sebelum dinikahkan.

Dalam keluarga, kesemua adik beradiknya seramai sembilan orang diasuh dengan ketat oleh ibu bapa yang amat menitik beratkan pelajaran agama.

Norlina tidak boleh bebas keluar rumah. Hidup diatur oleh keluarga dan tidak boleh keluar malam. Justeru apabila ada lelaki yang ingin berkawan dengannya, mereka perlu bertunang terlebih dahulu.

Walaupun tidak berkawan lama dengan suaminya sebelum berkahwin, Norlina berkata, rumahtangga mereka aman bahagia hingga ke hari ini dan insya-Allah hingga ke akhir hayat.

''Suami saya seorang yang amat memahami dan bertimbang rasa. Walaupun dia suka bertelagah dan mengkritik, namun akhirnya dia akan mengalah.

''Dahulu semasa mula-mula kenal, dia seorang yang berbeza. Pendiam dan tidak banyak cakap. Sekarang dia 'sporting' dan banyak bercakap,'' ujar Norlina lagi.

Sementara itu, menurut Roslan pula, beliau tertarik kepada Norlina pada pandangan pertama. Oleh itu, beliau tidak menunggu lama dan menganggap itulah jodohnya.

Menurutnya, supaya sesebuah rumahtangga itu aman, suami haruslah melaksanakan tanggungjawabnya pada rumahtangga seperti menyediakan segala keperluan, berbuat baik kepada isteri dan anak-anak, bertolak ansur dan memahami.

''Elakkan sifat mengongkong kerana kita harus mempunyai sifat percaya kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

''Jika berlaku pergaduhan atau debat, salah seorang harus mengalah. Biasanya sayalah yang mengalah.

''Sekarang fokus saya adalah pada anak-anak tidak kira anak kandung atau anak angkat supaya mereka berjaya di dalam pelajaran, menjadi manusia sempurna untuk agama, bangsa dan negara,'' katanya yang mahukan anak-anak menjadikan beliau dan isteri sebagai idola untuk rumahtangga bahagia.

Tak hormat suami, isteri ingin hidup bebas

Posted: 23 Dec 2011 06:00 PM PST

KEBAHAGIAAN bukan hak milik insan yang abadi, ia boleh berubah menjadi penderitaan jika tidak kena cara dan haluan yang dibawa dalam mengharungi kehidupan.

Bahagia dan derita adalah lumrah bagi seseorang manusia kerana ia menguji sejauh mana kesabaran dan keikhlasan seseorang itu dalam mencari kebahagiaan untuk dirinya. Begitu juga dalam rumah tangga, ujian yang datang adalah untuk menguji kejujuran dan keikhlasan tersebut agar manusia belajar untuk mengerti tentang hidup.

Usia muda contohnya tidak akan membawa bahagia seperti yang diingini pasangan suami isteri jika hubungan itu tidak disertakan dengan ketelusan dan rasa tanggungjawab untuk menghadapi hidup terutama pengantin remaja.

Begitulah mukadimah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah pasangan pengantin muda yang menghadapi masalah setelah setahun hidup bersama lantaran tidak ada keserasian walaupun bercinta sejak di sekolah menengah.

Arif (bukan nama sebenar) dan Anita (juga bukan nama sebenar) bernikah atas dasar cinta sama cinta. Pada mulanya pernikahan mereka ditentang keluarga kerana usia yang teramat muda tetapi kerana tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini, mereka akhirnya dinikahkan.

Apa yang terjadi selepas itu? Kita ikuti kisah seterusnya yang diceritakan oleh Arif kepada saya menerusi panggilan telefonnya. Begini kisah Arif.

"Saya berusia 22 tahun dan isteri Anita (bukan nama sebenar), 19 tahun. Kami bercinta sejak di tingkatan satu. Hubungan kami diketahui keluarga sejak awal perkenalan. Walaupun mereka membantah kami tidak peduli.

"Dek kerana leka bercinta akhirnya kami gagal dalam peperiksaan SPM kerana keputusannya hanya cukup makan sahaja. Dengan kelulusan itu, apa yang boleh kami lakukan. Syukur saya dapat kerja sebagai jurujual dan Anita pula menjadi pekerja di salon.

"Dengan pendapatan RM1,000 sebulan, saya yakin boleh menyara kehidupan kami berdua. Seperti pasangan suami isteri lain, saya gembira dan bahagia dapat hidup bersama Anita walaupun gaji tidak berapa.

"Setiap hari kami ke tempat kerja bersama dengan menunggang motosikal yang saya beli selepas dapat kerja. Nasib baik saya menumpang tinggal di rumah ibu bapa saya, jadi ringanlah sikit beban perbelanjaan rumah kami.

"Walaupun Anita mendesak untuk tinggal berasingan dan menyewa di tempat lain, saya memujuknya supaya bersabar kerana pendapatan yang belum stabil.

"Masuk bulan ketiga perkahwinan kami, keadaan merubah segalanya. Anita mula buat perangai dan tidak mahu mendengar cakap saya lagi. Dia selalu marah-marah dan menengking saya walaupun di hadapan ibu bapa saya.

"Dia mula mendesak saya supaya membeli kereta kerana tidak larat lagi hendak membonceng motosikal . Anita juga mula cemburukan saya yang selalu balik lewat kerana kerja lebih masa untuk menambah pendapatan kami.

"Setiap kali saya cuba memberi penjelasan, dia mengamuk dan menjerit-jerit tidak mahu mendengar. Sekali dua saya boleh terima tetapi apabila setiap hari diserang begitu, sebagai suami saya marah juga.

"Dia juga sudah pandai melawan cakap saya dan tidak hormatkan saya sebagai suami. Sekali dua saya boleh sabar, apabila setiap kali diserang dan diherdik, tentu kesabaran saya juga hilang.

"Saya malu dengan ibu bapa dan adik beradik saya kerana setiap kali kami bertengkar mereka mendengar dan menggeleng kepala. Ibu bapa saya kata, perangai macam budak-budak, tidak matang dan tidak ada rasa hormat kepada mentua.

"Saya minta maaf kepada ibu bapa saya setiap kali kami bertengkar. Tapi sampai bila. Mentua saya apabila diberitahu tentang perangai anak mereka hanya rileks saja dan minta saya bersabar.

"Mereka memulangkan paku buah keras kepada saya kerana hendak juga bernikah dulu, sedangkan saya tahu Anita tidak matang. Kepada siapa lagi saya hendak mengadu.

"Sekarang keadaan makin kalut. Anita tidak mahu lagi tinggal bersama ibu bapa saya. Dia mahu kami berpindah dan menyewa di tempat lain. Mahu tidak mahu saya terpaksa ikut kerana mahu menjaga hubungan kami.

"Setelah mencari di merata-rata, saya akhirnya dapat sebuah rumah flat dengan bayaran sewa RM200 sebulan, hanya ada satu bilik tetapi saya bersyukur kerana ia sesuai untuk kami berdua.

"Saya harapkan apabila tinggal berasingan dengan keluarga, Anita akan berubah tetapi perangainya semakin menjadi-jadi. Dia langsung tidak hormatkan saya sebagai suami. Tanggungjawab sebagai isteri langsung tidak ada. Makan minum, pakai saya tidak terurus, semuanya saya buat sendiri.

"Sikap Anita juga berubah, daripada lemah lembut menjadi panas baran, kasar dan sentiasa tinggi suara dengan saya. Tapi saya masih bersabar dan mendoakan agar dia akan berubah sikap dan menjadi isteri seperti yang saya harap-harapkan.

"Dua bulan saya bersabar dan berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan tetapi sayangnya sehingga usia perkahwinan kami masuk tujuh bulan, Anita tetap macam itu juga malah semakin teruk.

"Setiap hari dia balik lewat malam. Pergi kerja diambil kawan-kawannya yang tidak berkahwin. Dia lupa statusnya sebagai isteri dan tanggungjawabnya terhadap saya. Bila saya tegur, dia mengamuk dan marah-marah, dua tiga hari tidak balik rumah.

"Sikapnya menjadikan saya hilang sabar. Saya cuba berbaik-baik dengan dia tetapi dia sebaliknya. Saya kesal kerana dia berubah yang amat sangat setelah menjadi isteri saya.

"Satu hari kami bertengkar, saya hilang sabar apabila Anita minta dia dilepaskan dengan alasan tidak sanggup lagi hidup bersama saya. Dia mahu bebas kerana mahu bersama kawan-kawannya yang belum berkahwin.

"Saya amat terkejut dengan permintaannya tetapi masih boleh mengawal perasaan. Saya beritahu ibu bapa saya dan mentua akan tindakan Anita. Saya jelaskan segala-galanya kepada mereka. Tentang selama ini Anita tidak hormatkan saya, tidak mendengar kata saya dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada saya.

"Ibu bapa dan mentua terkejut dengan cerita saya kerana tidak menduga Anita akan bertindak seperti itu. Saya terpaksa bercerita kerana perangai Anita semakin teruk. Saya bimbang dia akan hanyut dengan kawan-kawannya yang belum ada tanggungjawab.

"Biarpun dia selalu mendesak saya tetap akan bersabar. Saya berharap satu hari nanti Anita akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ibu bapa dan mentua menasihati saya supaya bersabar dan berdoa.

"Walaupun saya baru berusia 22 tahun tapi saya boleh berfikir dengan waras. Saya telah berikrar akan menjaga rumah tangga saya setelah menikahi Anita dulu. Saya berjanji kepada ibu bapa dan mentua akan menjaga Anita dengan baik dan melahirkan zuriat untuk mereka.

"Saya yakin saya boleh menjadi suami dan bapa yang baik dalam usia yang muda. Saya hanya berdoa agar isteri saya akan berubah dan insaf akan perbuatannya.

"Satu hari, Anita mengikut kawan-kawannya ke sebuah pusat karaoke tanpa pengetahuan saya. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dia tumpang terlibat dalam kemalangan. Anita cedera teruk, kaki kanannya patah dan tangannya luka-luka.

"Sebaik mendengar khabar saya bergegas ke hospital, Anita menangis melihat saya dan memeluk saya dengan erat sambil memohon maaf. Dia menangis teresak-esak dan tidak mahu melepaskan saya selagi saya tidak mengampunkan dosa-dosanya. Dia berjanji tidak akan melawan cakap saya lagi dan akan berubah menjadi isteri yang taat.

"Sebagai suami tentu saya gembira kerana dia telah sedar kesilapannya. Doa saya semoga dia akan berubah terus dan menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak kami.

"Saya amat terharu apabila Anita setuju untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia juga mahu kembali tinggal bersama keluarga saya kerana tidak mahu membebankan saya untuk membayar sewa rumah kami.

"Saya amat gembira kerana keluarga masih sudi menerima isteri saya walaupun pelbagai kerenahnya sebelum ini menyakitkan hati mereka. Saya tahu ibu bapa dan adik beradik saya sayang kepada Anita kerana mereka telah mengenalinya sejak kami mula berkawan .

"Saya juga ingin menasihati golongan remaja yang ingin mendirikan rumah tangga dalam usia muda supaya berfikir banyak kali. Pastikan anda cukup matang dan ada mata pencarian tetap untuk menyara isteri dan keluarga.

"Jangan hanya nak kahwin kerana cinta sebab cinta tidak boleh memberi apa-apa jika tidak ada tolak ansur, hormat menghormati dan kasih sayang.

"Saya juga mengaku silap kerana bernikah di usia muda tetapi saya tidak boleh berpatah balik. Saya ada amanah dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sepanjang hidup saya ini. Saya berdoa agar saya diberi kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi hidup yang mendatang.

"Saya berjanji akan menjaga Anita dan membimbingnya ke jalan Allah supaya dia menjadi isteri dan ibu solehah. Semoga Allah makbulkan hajat saya,'' kata Arif menamatkan ceritanya.

Begitulah kisah Arif, dalam usia muda dia boleh berfikir secara dewasa, matang dan penuh rasa tanggungjawab. Saya berharap rumah tangga Arif dan Anita akan bahagia selepas ini.

Syabas kepada Anita kerana telah sedar akan kesilapannya dan kembali menjadi isteri yang baik di sisi suami. Mudah-mudahan tindakan Anita akan menjadi contoh kepada remaja perempuan lain yang berada dalam situasi yang sama.

Ingatlah, rumah tangga adalah amanah dan tanggungjawab, tidak boleh dibuat main-main tetapi perlu dilaksana dengan rasa tanggungjawab dan penuh keinsafan.

Kepada Arif dan Anita, semoga anda berdoa dirahmati Allah dan dilindungi dari segala bahaya dan dikurniakan zuriat dengan secepat mungkin kerana itulah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri.

Menutup catatan, pesanan telus saya, kebahagiaan tidak semestinya perlu dizahirkan dengan ketawa kerana ada kalanya air mata juga boleh menceritakan tentang kebahagiaan.

Untuk penggemar ketam, udang galah

Posted: 23 Dec 2011 05:58 PM PST


Mi kari ketam amat menyelerakan.


MELIHAT cara penyediaannya sudah cukup membuatkan anda tidak sabar menantikan menu yang dipesan.

Dihidangkan panas-panas dalam mangkuk. Ditambah pula dengan aroma yang menusuk hidung, perut tiba-tiba menjadi lapar minta diisi.

Bukan itu sahaja, 'kelibat' seekor ketam ataupun udang galah dalam sajian membuatkan anda semakin tidak sabar untuk menikmatinya.

Hanya menyajikan yang segar dan berkualiti kepada pengunjung, Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur sememangnya dapat memenuhi selera penggemar ketam dan juga udang galah.

Menurut pemiliknya, Ubaidah Makmum, 27, sejak beroperasi Julai tahun lalu, restorannya hanya menyediakan makanan berasaskan ketam dan juga udang galah.

Mempertaruhkan menu seperti mi kari ketam, bihun sup ketam, nasi goreng ketam, ketam masak cili, ketam masak lada hitam serta mi kari udang galah, ia membuatkan restoran mereka sering menjadi tumpuan pengunjung.

"Di sini kami menyediakan hidangan segar yang berasaskan ketam dan juga udang galah.

"Untuk menu ketam, terdapat pelbagai pilihan untuk pengunjung manakala untuk udang galah pula hanya disediakan mi kari udang galah," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 11, Jalan Zikron B7/B, Kompleks Anjung 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Ubaidah berkata, memandangkan ketam menjadi menu utama restorannya, dia sentiasa memastikan ketam yang diperoleh segar.

Tambahnya lagi, pihaknya menggunakan dua spesies ketam iaitu ketam bunga dan ketam nipah yang diambil daripada pembekal di sekitar Lembah Klang manakala udang galah dihantar terus dari Sabah.

Menurut Ubaidah, mereka amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan sehingga kini perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih ketam mengikut saiz sama ada kecil, sederhana dan besar, sudah pasti harga yang ditawarkan juga mengikut harga pasaran semasa.

"Harga ketam bermula dari RM3 hingga RM18 dan ia bergantung kepada saiz.

"Manakala udang galah yang bermula dari RM11 hingga RM18 adalah mengikut berat yang ditimbang.

"Insya-Allah, harga yang dibayar pelanggan berbaloi dengan kemanisan serta kepadatan isi baik ketam mahupun udang galah," katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur beroperasi dari pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam manakala untuk hari Jumaat ia akan mula beroperasi pada pukul 5 petang hingga 10 malam.

Jadi, bagi penggemar ketam dan udang galah sekitar Lembah Klang, sekiranya teringin untuk menikmati kari atau sup ketam dan tidak ketinggalan kari udang galah, apa kata kunjungi Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur hari ini.

Cita rasa snek bergoreng

Posted: 23 Dec 2011 05:56 PM PST


Gulungan tuna bergoreng.


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca ruangan ini. Memang tidak boleh dinafikan snek bergoreng sangat diminati oleh penduduk Malaysia. Pergilah ke serata negeri di negara ini. Pasti produk bergoreng mudah dibeli di gerai-gerai tertutup atau terbuka.

Kuih-muih yang bergoreng seperti cucur dan pisang goreng antara yang menjadi pilihan kerana ia ringkas dan sangat sesuai diambil pada waktu sarapan atau minum petang.

Malah produk makanan daripada luar seperti donut turut diterima oleh masyarakat di sini.

Tidak cukup dengan kuih-muih produk snek seperti kentang goreng nugget, bebola dan sosej turut mendapat tempat di hati kita.

Ada juga sesetengah makanan bergoreng yang sesuai untuk hidangan makanan utama seperti ayam dan ikan goreng.

Mengapakah makanan bergoreng begitu mendapat pilihan? Secara peribadi saya boleh katakan bahawa kebanyakannya memberikan rasa yang rangup dan gorengannya yang keperangan menyumbang kepada rasanya yang enak.

Jadi, sudah pastilah lemak minyak gorengan penyebab utama makanan itu menjadi lebih sedap. Makanan yang digoreng akan membuatkan ia menjadi kekuningan keemasan. Ini membuatkan warna makanan lebih menarik dan menyerlah untuk dijamah.

Walaubagaimanapun beberapa panduan perlu anda ketahui supaya makanan yang bergoreng itu menjadi sedap.

Pertamanya makanan bergoreng perlulah digoreng menggunakan minyak yang baru kerana minyak yang masih segar menghasilkan makanan terbaik.

Teknik menggoreng juga perlu diberi perhatian! Kawalan api turut mempengaruhi di mana suhu minyak yang dipanaskan jangan terlalu panas.

Minyak yang anda panaskan untuk menggoreng itu perlulah betul-betul panas iaitu sekitar 1600 darjah celsius kerana jika ia tidak panas dengan secukupnya akan menyebabkan makanan yang anda goreng itu menyerap terlalu banyak minyak dan tempoh yang lama terendam itu juga akan menyebabkan makanan anda kurang rangup dan tidak berasa enak.

Sesiapa yang menikmati makanan yang digoreng dengan minyak yang tidak panas pasti akan berasa terlalu berminyak.

Jika minyak terlalu panas pula makanan yang digoreng akan menjadi hangus di luar tetapi di dalamnya pula masih tidak masak.

Anda perlu mengetahui berapa banyak minyak yang perlu anda gunakan untuk menggoreng sesuatu makanan.

Anda perlu pastikan kerana ada sesetengah makanan yang digoreng mestilah terendam sepenuhnya dan ada sesetengahnya cukup terendam separuh bahagian. Masa menggoreng juga turut menyumbang kepada menghasilkan gorengan yang enak dan bagus.

Jadi nasihat saya agar anda boleh meneliti jenis-jenis makanan yang ingin anda goreng sama ada ia perlu minyak yang banyak atau tidak. Di samping itu juga adakah makanan itu perlu digoreng dengan lama atau tidak.

Teknik lain yang tidak kurang penting adalah anda perlu membalik-balikkan makanan itu supaya ia masak dengan sekata. Anda perlu membalikkan makanan itu setelah sebelah bahagiannya telah menjadi perang.

Kemudian makanan bergoreng perlulah ditapis dengan melapikkannya dengan tuala kertas yang menyerap minyak. Ini dilakukan supaya minyak yang terlekat pada makanan dapat dikurangkan. Jadi apa kata anda cuba resipi makanan bergoreng pada minggu ini.

Koleksi beg, kasut Carlo Rino 2012

Posted: 23 Dec 2011 05:56 PM PST


Himpunan koleksi musim luruh dan sejuk Carlo Rino.


DUNIA fesyen tanah air tidak pernah sunyi daripada penampilan baru pelbagai koleksi dari jenama-jenama terkenal.

Terbaru, salah satu jenama yang makin pantas berkembang di Asia, Carlo Rino kini tampil dengan koleksi terbaru sempena musim luruh/sejuk 2011/2012 dengan produk yang pasti mampu memikat hati wanita.

Masih mengekalkan ciri-ciri moden, elegan dan beridentiti, koleksi ini terdiri daripada produk yang merangkumi beg serta tas tangan dan kasut beranian wanita kini yang tidak lagi konservatif dalam bab berfesyen.

Menyarung koleksi musim luruh/sejuk Carlo Rino kali ini, ternyata ia sememangnya dihasilkan mengikut cita rasa anak muda dan pasti tidak mengecewakan penggemarnya.

Tetapi ini tidak bermakna ia tidak sesuai untuk orang berumur, malah turut diselitkan koleksi untuk mereka yang inginkan kelainan dalam penampilan harian.

Saban tahun, Carlo Rino yang diasaskan oleh warga Itali iaitu Carlo Pollini dan Rino Luiza sekitar tahun 1986 itu tidak pernah menghampakan pencinta fesyen tempatan.

Ia sentiasa menampilkan rekaan dan potongan produk yang cantik sekali gus menjadi koleksi wajib buat wanita Malaysia.

Selain sesuai digayakan ketika bersantai atau menghadiri majlis formal, himpunan kasut dan beg tangan jenama Carlo Rino juga menarik untuk diperagakan ke majlis minum petang mahupun melancong bersama teman.

Boleh dikatakan ia sesuai digayakan sepanjang masa tanpa mengira tempat kerana Carlo Rino sememangnya merupakan satu jenama yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada si pemakai untuk bergaya.

Walau apa pun alasannya, tidak salah kalau sesekali mencuba kelainan agar dapat mempelbagaikan imej mengikut situasi dan acara yang mereka hadiri.

Unggul dengan Sendayu Tinggi

Posted: 23 Dec 2011 05:54 PM PST


Wajah Zulaiha selepas rawatan.


SEMPENA kedatangan tahun baru 2012, tentu ramai yang tampil dengan azam baru. Ada juga yang tekad untuk mencapai azam tahun sebelumnya yang belum tercapai.

Bagi golongan wanita, tentu ada yang berazam untuk tampil lebih menawan dan lebih jelita sempena kehadiran tahun baru ini.

Wajah yang jelita dan menawan bukan sahaja membantu daripada segi penampilan tetapi turut meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai.

Bagi pengeluar produk kecantikan dan kesihatan terkemuka Sendayu Tinggi (ST) azamnya untuk tahun baru 2012 ialah membantu golongan wanita di negara ini tampil lebih jelita dan ceria.

Menurut pengasasnya, Rozita Ibrahim, sudah menjadi falsafah syarikat itu sejak di awal penubuhan kira-kira 15 tahun untuk berkongsi apa juga rahsia kecantikan dan kejelitaan dengan setiap rakyat Malaysia.

"Ini kerana ia akan membantu meningkatkan keyakinan diri seseorang wanita," katanya.

Untuk itu sempena tahun baru ini ST komited dengan barisan produknya seperti Nosygone, Golden Herb Soap, Lucidum, Zeodari Soap dan Soothing Creem.

Produk lain yang dapat membantu masalah yang dihadapi golongan wanita ialah Acne Deep Toner, Lucimax, krim muka, Cocoa Collagen Shake, Face Mask dan ST Beauty.

Ini terbukti apabila pengguna sendiri mengakui akan keberkesanan produk-produk tersebut.

Bagi pelajar Universiti Sains Malaysia,Mohamad Rais, 23, produk ST telah berjaya menghapuskan masalah jerawat di mukanya.

Katanya, dia menggunakan produk Nosygone (RM34), Golden Herbs Soap (RM15), Lucidum (RM29.50), Zeodari Soap (RM15), Soothing Cream (RM46), Acne Deep Toner (RM39) dan Face Cream (RM28).

"Muka berjerawat buat saya hilang keyakinan diri dan sering bersendiri. Setelah kakak saya mengesyorkan mencuba produk ST berbentuk herba dalaman Nosygone, Lucimax dan Golden Herbs Soap jerawat di muka mula surut.

"Demi mendapatkan wajah yang diidamkan, saya berazam mengikut segala pantang larang demi kebaikan diri. Selepas tiga bulan wajah saya kembali licin dan halus bebas jerawat," katanya.

Bagi Zulaiha, 33, yang bertugas sebagai pramugari, produk Golden Herbs Soap, Soothing Cream, Face Mask, Zeodari Soap, Lucimax, D'Folia, Cocoa Collagen Shake dan ST Beauty yang digunakan turut membantu mengatasi masalah di wajahnya.

"Kesan menggunakan produk pengelupasan menjadikan kulit saya kelihatan gelap, bertompok serta berjerawat. Saya rasa malu sangat nak berdepan dengan orang ramai. Kerja saya pula selalu bertemu dengan pelanggan.

"Selepas menggunakan Golden Herbs Soap, Soothing Cream dan Face Mask masalah jerawat dan kulit berminyak mula berkurang.

"Bukan itu sahaja untuk penjagaan badan, Zeodari Soap dijadikan produk wajib saya setiap hari. Hampir sebulan, produk ini memberi kesan yang memuaskan. Alhamdullilah akhirnya saya diterima sebagai seorang pramugari. kerjaya ini memerlukan saya sentiasa tampil menarik, cantik dan sihat," katanya.

Junaidah, 30, pula memberitahu, ketika mula menggunakan Oily & Acne Series jerawat keluar dengan banyak sekali.

"Saya fikir produk ini tidak berkesan. Tapi saya masih meneruskan penggunaannya. Alangkah gembiranya saya selepas dua minggu, jerawat saya mula sembuh. Kini saya rasa sangat berpuas hati dengan kulit saya," katanya.

Nurhaslina Jusoh buktikan anak petani mampu cemerlang

Posted: 23 Dec 2011 05:53 PM PST


Nurhaslina bersama bapanya, Jusoh menunjukkan keputusan 8A diraihnya dalam PMR 2011 di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 22 Dis. - Menjadi sebahagian daripada 144 pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Pengkalan Chepa bukanlah semudah disangka dan ia memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi.

Itulah yang dibuktikan oleh anak seorang petani dari Pasir Puteh, Nurhaslina Jusoh, 15, apabila mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Kejayaan tersebut membuktikan latar belakang keluarga bukan suatu halangan, sebaliknya mencetuskan kesedaran mendalam kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membela nasib keluarga melalui kecemerlangan akademik.

"Sebab itulah saya tiada pilihan, selain belajar bersungguh-sungguh. Saya bertekad membantu ayah kelak tetapi saya mesti bermula dengan kecemerlangan dalam pelajaran.

"Alhamdulillah, harapan ayah hendak melihat saya berjaya dalam PMR tercapai. Insya-Allah saya akan teruskan kesungguhan dalam peperiksaan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolahnya dekat sini hari ini.

Berkongsi resipi kejayaan, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, tumpuan sepenuhnya semasa pembelajaran dalam kelas dan kaedah ulang kaji secara bersistematik serta solat hajat secara berterusan merupakan kunci kejayaan dirinya.

"Bagi saya, fokus dalam kelas cukup penting kerana ia akan memastikan apa yang diajar oleh guru dapat difahami atau tidak bagi memudahkan proses mengulang kaji pelajaran.

"Selain itu faktor kejayaan mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dan kakak sulung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading menjadi azimat untuk mengulangi kejayaan tersebut," ujarnya

Nurhaslina memberitahu, kejayaannya dalam PMR bukan kegembiraan peribadi sebaliknya turut dikongsi dengan adik-adiknya yang kini mendapat motivasi bahawa latar belakang keluarga mereka tidak boleh dijadikan penghalang untuk berjaya.

ADaP bantu 103 calon MRSM Serting berjaya dalam PMR

Posted: 23 Dec 2011 05:52 PM PST


Bangga Pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Batrisyia Aiman yang memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) menunjukkan slip keputusan bersama ibunya, Datin Rosnizan Abd. Aziz di sekolah berkenaan, di Seremban, semalam. Batrisyia Aiman adalah anak kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Aminuddin Hanafiah.


JEMPOL 22 Dis. - Pengunaan Sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) keluaran Utusan Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting dekat sini, nyata membantu calon Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ia terbukti memberi impak apabila 103 daripada 138 calon maktab berkenaan mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 8A dalam peperiksaan itu yang diumumkan hari ini.

Pengetuanya, Suhaimin Omar berkata, selain usaha gigih dari pihak sekolah, akhbar ini turut membantu meningkatkan mutu pelajaran sehinggakan kami mendapat keputusan yang membanggakan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

''Ia amat berbeza dari tahun lepas apabila hanya 87 daripada 149 mendapat 8A. Malah apa yang menggembirakan pihak kami pencapaian gred purata meningkat sebanyak 1.04 berbanding 1.09 tahun lalu, ia meletakkan kami di tahap yang membanggakan.

''Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu kita memperoleh 99.3 peratus manakala semua calon mendapat A dalam mata pelajaran Matematik. Ini juga merupakan tahun ketiga pelajar di sini lulus sepenuhnya dalam mata pelajaran Matematik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suhaimin turut menjelaskan, berdasarkan keberkesanan akhbar ini dalam menambah pencapaian pelajar cemerlang di maktab ini, pihaknya akan terus menggunakan akhbar ini sebagai satu medium utama sepanjang pembelajaran di kelas.

''Kita melihat penggunaan ADaP ini memberikan impak positif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran para pelajar yang mana hasilnya kita dapat perolehi hari ini.

''Malah kita berhasrat untuk terus melanggan akhbar Utusan Malaysia kerana ia ternyata memberikan impak positif terhadap keputusan PMR," jelasnya.

Makanan segera berasas sayuran

Posted: 23 Dec 2011 05:51 PM PST


Che Abdullah Abu Bakar (kanan) melawat gerai pelajar UniSZA yang menghasilkan produk mereka, Purpellicious Nuget diperbuat daripada ubi keledek di Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Jangan terkejut kalau selepas ini makanan segera seperti burger, sosej dan sandwic tidak lagi diperbuat daripada daging atau ikan seperti lazimnya.

Sebaliknya ia dihasilkan produk berasaskan sayuran seperti ubi keledek, hampas kelapa, ubi kentang dan sayuran lain yang rasanya lebih enak selain menjamin kesihatan penggemarnya daripada terkena pelbagai penyakit kronik khususnya barah dan obesiti.

Produk makanan segera dengan ramuan baharu itu dicipta hasil kreativiti pelajar Fakulti Teknologi Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Dekan fakulti itu, Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar berkata, makanan seumpama itu dihasilkan daripada bahan mentah berupa sayuran tempatan yang bersih daripada sebarang campuran yang boleh memudaratkan sehingga mengundang penyakit.

Beliau menjelaskan, makanan berasaskan sayuran itu juga mengandungi kadar serat tinggi yang boleh membantu pengguna dari segi kesihatan.

"Peringkat awal, kita adakan pertandingan hari ini yang disertai enam kumpulan pelajar dari Fakulti Teknologi Makanan UniSZA yang menghidangkan produk makanan segera berasaskan sayuran.

"Kita percaya, makanan seperti ini mempunyai potensi digemari ramai yang bukan saja sedap dan enak dimakan malah lebih selamat," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Produk Makanan 2011/2012 di Kampus Kota UniSZA di sini, semalam.

Beliau memberitahu, pihaknya bersedia memain peranan untuk membuat pembaikan kualiti makanan seumpama itu sebelum menembusi pasaran tempatan.

Mengenai pertandingan tersebut, jelasnya, ia diadakan buat kali kedua selepas mula diperkenalkan tahun lalu yang disertai para pelajar fakulti berkenaan.

"Daripada kumpulan yang bertanding, satu kumpulan akan dipilih untuk menyertai pertandingan dwi-tahunan antara universiti tempatan iaitu Malaysia Institute of Food Technology (MIFT) tahun depan dengan UniSZA menjadi tuan rumah," katanya.

Kata Che Abdullah, pada pertandingan serupa tahun lalu, UniSZA muncul naib johan manakala johan disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketiga.

Dalam pada itu, pada pertandingan semalam, kumpulan Spot yang menampilkan produk sweet potato sausage muncul johan diikuti Cocoron (naib johan) dan Viggie (ketiga).

Kumpulan Cocoran mempertandingkan produk coconut fiber macaroon manakala kumpulan Viggie dengan vegetarian burger.

MTD sasar maktab terbaik ASEAN

Posted: 23 Dec 2011 05:45 PM PST


AHMAD Zahid Hamidi memeriksa perbarisan pada Upacara Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Dis. – Maktab Tentera Diraja (MTD) disasarkan menjadi maktab tentera terbaik di ASEAN dalam masa beberapa tahun lagi ekoran pembinaan bangunan dan kemudahan baru serta pemindahan sekolah itu pada 2014.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan bangunan serta kemudahan baru MTD di kawasan berdekatan dengan premis sedia ada itu juga memungkinkan MTD muncul sebagai salah sebuah maktab tentera terbaik di dunia.

"Saya juga merasakan bahawa MTD harus digemilangkan semula menjadi sekolah berasrama penuh yang mempunyai fasiliti terbaik dan melahirkan insan-insan terpilih dalam bidang akademik, sukan, kepimpinan dan kokurikulum.

"Yang penting ialah tentang moto maktab iaitu Berkhidmat Memimpin atau Serve to Lead, insya-Allah, saya mahu melihat majoriti alumni MTD bukan sahaja mengetuai organisasi ketenteraan tetapi satu hari nanti akan memimpin negara dan menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Upacara Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Dua tahun lalu, Ahmad Zahid mengumumkan pembinaan bangunan baru MTD bernilai RM85 juta yang akan didirikan kira-kira 1.5 kilometer dari tapak sedia ada.

Dalam pada itu, perbarisan tahunan MTD kali ini menyaksikan Chan Jun Kwan muncul sebagai pelajar Cina kedua mendapat anugerah tertinggi maktab berkenaan iaitu Anugerah Komandan 2011.

UTM cipta rekod lukis logo guna sarung telur

Posted: 23 Dec 2011 05:41 PM PST


Nor' Aini Wahab menyerahkan sijil Malaysia Book Of Records kepada Marzuki Khalid selepas berjaya menghasilkan logo terbesar di UTM Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 22 Dis. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi lukisan logo terbesar menggunakan bekas sarung telur terpakai di sini hari ini.

Lukisan tertera logo Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), UTM, penganjur projek, Greenvo PES dan syarikat cat Sequoia itu dihasilkan 107 penuntut UTM yang menggelarkan diri mereka Generasi Hijau.

Usaha untuk mencipta rekod sebagai lukisan logo terbesar menggunakan bekas sarung telur terpakai itu mengambil masa 12 hari bermula 8 Disember lalu dan berjaya menghasilkan lukisan dengan ukuran 60 x 6 meter.

Penyempurnaan pemasangan bagi melengkapkan lukisan logo tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KeTTHA, Nor' Aini Wahab dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Marzuki Khalid.

Menurut pengarah projek tersebut, Chong Wei Hoong, idea untuk mencipta rekod seumpama itu dibuat sempena perasmian Majls Generasi Hijau iaitu projek hijau pertama seumpamanya di negara ini.

"Projek itu dijalankan sejajar usaha kerajaan untuk menuju negara hijau dengan mempromosikan pelbagai cara, antaranya penjimatan tenaga dan barangan mesra alam," katanya.

Beliau berkata, projek tersebut merupakan anjuran syarikat yang mempromosikan penggunaan bahan mesra alam, Greenvo PES dengan kerjasama KeTTHA dan UTM menjadi lokasi pertama untuk menjalankan projek itu.

Pada program yang dianjurkan selama tiga hari itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan, antaranya pameran hijau yang disertai pelbagai syarikat tempatan dan luar negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved