ads

Isnin, 19 Disember 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ain Tidak Serik Dikecam Kerana Gambar Seksi

Posted: 19 Dec 2011 10:52 PM PST

Ain bakal muncul dalam filem Satu Malam Kubur Berasap.

PETALING JAYA: Gara-gara penyebaran gambar seksinya, pelakon baru, Nurul Ain Nordin (Ain) akui ada pihak yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong dirinya di laman sosial Facebook.

Biarpun gambar tersebut memberikan kesan kepada Ain, namun dia menerima respons yang menunjukkan ada juga peminatnya yang akan menonton filem yang dikaitkan dengan kontroversi itu yang berjudul Satu Malam Kubur Berasap.

"Semuanya bergantung kepada penonton kerana ada yang ingin menonton filem itu disebabkan ceritanya dan bukan kerana gambar seksi itu semata-mata.

"Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, gambar itu hanya diambil dan disunting untuk dimuatkan pada poster bagi mempromosikan filem tersebut.

Ain bergandingan dengan Along Raja Lawak dalam Satu Malam Kubur Berasap.

"Tetapi ada pihak yang menyalahgunakan gambar itu dengan menyebarkan gambar asal," katanya yang pernah muncul dalam filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Bagaimanapun, Ain tidak menyalahkan pihak produksi apabila gambar tersebut tersebar.

"Saya tiada masalah dengan pihak produksi dan tidak menuduh mana-mana pihak," katanya yang pertama kali memegang watak utama melalui filem ini.

Biarpun dikecam, Ain tidak serik untuk tampil dengan imej seksi jika diminta dalam filem atau drama yang ditawarkan kelak.

"Saya akan melihat kepada tawaran dan sejauh mana saya diminta berpenampilan seksi. Jika saya rasa boleh lakukan, saya akan terima. Bagaimanapun, saya tetap akan menjaga sensitiviti masyarakat agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

"Saya perlu belajar daripada kesilapan. Tetapi pada saya seksi itu subjektif," ujarnya.

Ain melakonkan watak seorang wanita bernama Siti yang telah meninggal dunia setelah menjadi mangsa rogol. Roh Siti mula mengganggu ketenteraman penduduk di Kampung Angan Tak Sudah bagi menuntut bela di atas kematiannya.

Suatu Malam Kubur Berasap, turut membariskan lima alumni Raja Lawak iaitu Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz, pelakon Zach Diamond, Ruminah Sidek, Zami Ismail dan Accapan.

Filem arahan Ernie Chen ini akan ditayangkan di pawagam mulai 22 Disember ini di seluruh pawagam di negara ini.

Misha Berlakon Bukan Kerana Kerjaya Nyanyian Merudum

Posted: 19 Dec 2011 10:51 PM PST

Misha Omar

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Misha Omar, 29, berkata pembabitannya secara aktif dalam bidang lakonan sejak kebelakangan ini bukan disebabkan oleh karier nyanyian yang semakin merudum, seperti dakwaan segelintir pihak.

Sebaliknya, Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, berkata keputusan untuk mengembangkan bakat ke bidang lakonan adalah bertitik-tolak daripada keinginannya sendiri yang mahu mengimbangi kedua-dua cabang seni itu.

"Sebenarnya, saya mahu mencipta profil sebagai anak seni yang berkebolehan dalam bidang nyanyian dan lakonan. Memandangkan peluang itu sudah terbuka, mengapa tidak saya mencuba?

"Namun, itu tidak bermakna karier nyanyian saya berdepan kejatuhan atau merudum. Selepas lapan tahun menceburi bidang ini, karier nyanyian saya sudah berada pada tahapnya sendiri. Saya selesa dengan kedudukan itu," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Misha berkata kecenderungan untuk mendalami bidang lakonan khususnya cabang teater didorong oleh kepercayaan dan sokongan orang-orang terdekat yang mempercayai bakatnya.

"Ramai orang terdekat yang menyedarkan saya akan bakat dan potensi dalam bidang lakonan termasuklah guru lakonan juga pengarah teater, Rosminah Tahir.

"Mengapa harus saya bazirkan peluang dan kepercayaan itu? Sebab itu, saya akui aktif berlakon dalam beberapa produksi teater kebelakangan ini.

"Jadual nyanyian masih berjalan dengan baik dan padat, di mana hampir setiap minggu saya memenuhi pelbagai undangan nyanyian di majlis-majlis tertentu dan korporat," katanya.

Aksi terbaru Misha pada pementasan Monolog Solo: Gadis Yatim karya Rosminah Tahir pada Festival Monodrama di Istana Budaya, minggu lalu.

Ditanya tentang populariti dan kerjaya nyanyian yang dilihat kurang menyerlah, Misha berkata pada kedudukannya hari ini, senario berkenaan adalah sesuatu yang normal dan berlaku pada mana-mana artis senior.

"Pada kedudukan hari ini, saya tidak perlu lagi gusar untuk sentiasa berada di depan, menghiasi akhbar atau majalah. Hakikatnya, kita tidak perlu sentiasa berada di depan untuk menunjukkan kepada khalayak bahawa kita masih aktif.

"Saya lihat keadaan ini juga berlaku pada kebanyakan penyanyi senior lain di mana mereka terus aktif tetapi tidak perlu terlalu menonjol.

"Sudah tiba masanya saya memperoleh ilmu dalam cabang seni yang lain pula. Kini, saya gembira dan puasa kerana telah mencuba pelbagai bidang seni termasuk nyanyian, pengacaraan dan berlakon," katanya.

Penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta ini turut mengakui akan muncul dengan album terbaru pada suku pertama tahun depan.

Selain filem Gerak Khas The Movie 2 dan Main-Main Cinta, Misha pernah membintangi teater muzikal Gamat (2008), Uda & Dara (2010), Muzikal Tun Mahathir 1 & 2 (2010, 2011), Mak Dara Nyonya (2011) dan terbaru, Monolog Solo: Gadis Yatim.

Noh (Hujan) Bintangi Filem Kedua Arahan Namawee

Posted: 19 Dec 2011 10:50 PM PST

Noh (Hujan)

PETALING JAYA: Buat pertama kali, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh bakal beraksi mempertaruhkan bakat lakonannya menerusi filem kedua pengarah sensasi, Namawee, berjudul Hantu Gangster.

Kata Namawee, dia begitu teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan vokalis tersebut dan menganggap ia satu penghargaan besar buat dirinya kerana sudi menerima tawaran menjayakan filem yang diterbitkan oleh Fred Chong itu.

"Saya selalu kagum dengan kehebatan karya muzik Hujan. Saya percaya, kemunculan Noh pasti ditunggu-tunggu ramai kerana filem ini merupakan penglibatannya yang pertama ke layar perak.

"Menarik lagi, Hujan juga akan tampil dengan sebuah lagu tema Hantu Gangster," katanya.

Filem komedi seram ini mengisahkan tentang tiga kumpulan gengster dari latar belakang budaya yang berbeza, berganding bahu dalam mempertahankan keluarga mereka, melalui bantuan seorang pencuri.

Selain Noh, filem tersebut turut dibintangi oleh Diana Danielle, Farid Kamil, Dato David Arumugam, Datuk Jalaluddin Hassan, Reshmonu, Amber Chia, Taijuddin Bakar, Dennis Lau dan beberapa pelakon tambahan.

Namawee bersama barisan krew dan pelakon 'Hantu Gangster'.

"Kejayaan filem Nasi Lemak 2.0 membuatkan saya bersemangat untuk kekalkan konsep kepelbagaian kaum dari segi plot cerita dan dialog buat Hantu Gangster.

"Untuk menampakkan kelainan, saya menjemput beberapa bintang filem dan pemuzik terkenal dalam industri hiburan untuk menyertai filem terbaru ini yang sudah pun memulakan penggambarannya di Klang semalam (Isnin).

"Banyak juga masa yang dihabiskan bagi mengkaji latar belakang setiap pelakon terutamanya yang baru dengan mereka khas watak-watak unik untuk mereka dalam filem ini. David Arumugam juga menyumbangkan suara untuk lagu "soundtrack" filem ini," katanya.

Sebelum ini, Namawee berjaya memecahkan tradisi perfileman Cina apabila filem pertamanya, Nasi Lemak 2.0 mendapat kutipan lebih daripada RM7 juta namun dia gagal mendapat skim rebat cukai kerajaan kerana tidak melalui Skim Wajib Tayang.

Filem itu baru-baru ini ditayangkan di acara berprestij Film Festival Antarabangsa Golden Horse, Taipei dan ditayangkan di Singapura.

"Kami telah menerima jemputan dari beberapa festival filem termasuk Jepun, HongKong dan Eropah. Bagaimanapun, saya teringin sangat menyertai Festival Filem Malaysia (FFM) di masa akan datang.

"Harap-harap, selepas tayangan Hantu Gangster yang dijangka pada bulan Ogos tahun depan, filem ini akan dicalonkan dalam FFM.

"Semoga Finas atau pihak berkuasa yang berkaitan dapat memberi lebih banyak sokongan pada kali ini, kerana Hantu Gangster juga mempunyai mesej positif kepada masyarakat Malaysia," tegasnya.

Angah (Raja Lawak) Timba Pengalaman Kunyah Cacing

Posted: 19 Dec 2011 10:50 PM PST

Angah dan pengarah filem Satu Malam Kubur Berasap, Ernie Chen.

PETALING JAYA: Pelawak Iskandarshah Hashim atau lebih dikenali sebagai Angah Raja Lawak akui menghadapi banyak cabaran sewaktu berlakon dalam filem Satu Malam Kubur Berasap.

Menurutnya, antara cabaran tersebut adalah melakonkan watak penghidap 'Fei Mao', iaitu seakan-akan budak lembam fikiran selain memerlukan dia mengunyah cacing dan tidur di dalam liang lahad.

"Saya rasa letih apabila terpaksa menghinggut bahu dan bertutur seperti penghidap penyakit "Fei Mao".

"Selain itu saya sanggup mencabar diri untuk mengunyah sepinggan cacing hidup sebelum memuntahkannya semula.

"Bukan itu sahaja, saya juga menghadapi cabaran untuk tidur selama tiga hingga empat jam di dalam liang lahad. Waktu itu macam-macam perasaan yang menyelubungi diri saya," kata Angah selepas tayangan media filem Satu Malam Kubur Berasap di Cathay Cineleisure, Damansara, e@curve baru-baru ini.

Para pelakon filem Satu Malam Kubur Berasap.

Walaupun melakonkan watak pemuda lurus bendul bernama Atan, namun pada Angah karakter yang dibawakan oleh Atan mampu mengundang tawa kepada penonton.

"Saya puas melakonkan watak Atan walaupun saya tidak perlu berjenaka seperti yang ditonton dalam filem-filem lakonan saya sebelum ini," katanya yang telah melakonkan 10 buah filem.

Antara filem baru lakonannya yang belum ditayangkan adalah Adnan Sempit 2, Hantu Dalam Botol Kicap, Nongkrong, Seram Sejuk, Jidin Sengal, Taikun dan Laki-Laki.

Angah akui bersyukur selepas melakonkan watak utama dalam filem Alamak Toyol, terbitan Metrowealth (MIG) yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memegang watak utama dalam filem-filem lain.

Dalam perkembangan lain, Angah turut teruja dengan kertas cadangan program televisyen yang dibuat untuk dirinya dan Along Raja Lawak.

"Setakat ini, saya dimaklumkan pihak Astro telah menyiapkan kertas cadangan untuk membuat program Slim Bam yang dihoskan oleh saya dan Along.

"Program itu mempunyai konsep seperti Macam-Macam Aznil dan kami akan mengendalikan "game show" melibatkan penonton," katanya.

Pada 26 Disember ini juga, Angah dan Along turut digandingkan dalam sebuah filem yang berkonsepkan seperti filem Home Alone.

"Saya dan Along banyak kali digandingkan bersama-sama. Mungkin mereka nampak saya dan Along ada keserasian seperti dalam Alamak Toyol," ujarnya lagi.

Konsert 'Loudspeaker' Bikin Dira Tertekan

Posted: 19 Dec 2011 10:47 PM PST

Dira gembira menerima sokongan sepenuhnya daripada suami bagi menjayakan konsert Loudspeaker.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar mengakui tertekan menguruskan persiapan konsert Loudspeaker Y2K11 yang dianjurkan syarikat abangnya, Muhd Idi Iskandar iaitu Red Garage Group Sdn Bhd (RGGSB).

Ia akan berlangsung pada 25 Disember ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Konsert berkenaan akan menampilkan empat ikon rock seperti Wings, XPDC, Azlan & The Typewriter dan Faizal Tahir

Dira berkata, tanggungjawabnya sebagai Pengarah Pengiklanan dan Promosi RGGSB membuatkan jadualnya begitu padat sejak sebulan lalu dan bersyukur kerana suaminya, Mohd Helmi Mohd Yusof banyak memberi sokongan terhadapnya.

"Saya mengaku agak tertekan tetapi taklah teruk sangat. Sejak sebulan lalu kehidupan saya dah macam 'roller coster'. Tapi saya bersyukur kerana suami tidak mengeluh dan merungut. Bahkan dia turut memberi semangat apatah lagi dia pun turut terbabit secara langsung memastikan kelancaran konsert ini.

"Apa yang membuatkan saya terlampau sibuk kerana komitmen saya sebagai seorang pelakon dan pengacara Melodi di TV3. Sesiapa yang berada di tempat saya pasti berdebar dan pening kepala," selorohnya.

Tambah pelakon ini, dia gembira kerana tiket konsert berkenaan sudah terjual sekitar 70 peratus selepas membuat promosi berterusan termasuk sokongan daripada pihak media, hebahan di laman Facebook, Twitter dan Youtube serta promosi di jalanan.

"Kami yakin dengan sokongan peminat terhadap empat ikon rock yang dipertaruhkan.. Dengan satu harga tiket RM77 (berdiri), mereka boleh menonton empat bintang rock sekali gus. Memang kami lebih banyak mempromosikan tiket RM77 untuk generasi muda.

"Tiket berharga RM222 (VIP) pula lebih kepada mereka yang mahu gaya yang lebih eksklusif. Atau dalam erti kata lain untuk generasi lama yang menjadi pengikut setia kumpulan Wings dan XPDC contohnya. Tetapi kalau ada generasi muda yang mahu, kita masih boleh menjualnya," kata Dira.

Urusan pembelian tiket boleh dilakukan dengan melayari www.tickethotline.com.my atau menghubungi talian, 03-7725 1177. Ia juga boleh dibeli di stesen minyak Petronas terpilih.

Ditanya bagaimana perasaan suami saat Dira begitu komited memastikan perjalanan menjelang konsert ini, Dira tidak melihat tanggungjawab sebagai isteri diabaikan.

"Ikutkan memang banyak perkara yang kami kongsi persamaan. Selain suka menunggang motosikal berkuasa tinggi, kami juga antara penggemar muzik rock. Alhamdulillah, dia sangat okey. Malah dia suka melihat saya melunaskan kerja sampai habis.

"Tanggung jawab sebagai isteri diteruskan macam biasa. Kami sudah faham dengan perangai masing-masing dan saling menyokong. Selagi tahu batas-batas dan percaya kepada diri, insya-Allah kami boleh melaluinya sebaik mungkin. Amin," katanya.

Sementara itu, bersempena dengan konsert tersebut, RGGSB turut mengadakan Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2011 di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada 23 dan 24 Disember ini.

KLBW 2011 yang terbuka untuk orang ramai secara percuma itu merupakan acara tahunan sejak 2008. Seperti tahun terdahulu, acara permotoran yang turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia ini mencipta kejayaannya yang tersendiri.

Hobi pelik bekas madu

Posted: 19 Dec 2011 10:21 PM PST

ADU...Elina (kiri) menceritakan derita yang dilaluinya dengan wartawan Harian Metro.
ADU...Elina (kiri) menceritakan derita yang dilaluinya dengan wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: Dia cuma mahu mendapatkan nafkah untuk menampung kehidupan dua anak yang masih kecil, namun permintaan itu dikenakan syarat gila oleh bekas suami yang rakus memintanya terlebih dulu menyerahkan tubuh sebagai balasan.

Sedar dirinya terperangkap dosa zina, Elina, 39, pernah cuba menolak permintaan bekas suami, tapi akhirnya mengalah apabila lelaki durjana itu bertindak kasar dengan memecahkan pintu rumah dan mengugut mahu menyimbah asid ke wajahnya.

Tanpa sedikit rasa malu dan bersalah, bekas suami juga memaksa Elina menghalau dua anak lelaki mereka berusia satu dan empat tahun keluar rumah buat sementara waktu bagi membolehkan mereka melakukan hubungan seks sebelum wanita malang itu diberi 'nafkah' sekadar RM50.

Elina berkata, itulah penderitaan yang dilaluinya selama setahun lalu setiap kali ingin meminta wang saraan dua anak hasil perkahwinan dengan bekas suaminya sejak mereka bercerai penghujung 2010."Derita saya bukan sekadar hari ini, tapi bermula sejak dipaksa bekas suami menjadi isteri kedua secara senyap-senyap dengan alasan saya sudah banyak menghabiskan duitnya," katanya.

Cabar diri

Posted: 19 Dec 2011 10:19 PM PST

Zarina Zainoordin
Zarina Zainoordin
Ingin rakam single dangdut

BERILAH apa saja kepada artis kelahiran Johor ini - menyanyi, menari, berlakon mahupun beraksi di depan kamera - semuanya akan ditunaikan sepenuh hati. Tiada istilah malu pada dirinya apabila membabitkan soal kerja, dan sentiasa ditemani keyakinan menebal dalam diri.Ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hip beberapa hari lalu, sekali lagi keyakinan dan kesungguhan artis serba boleh ini terserlah. Bukan sekadar bersikap ceria sepanjang sesi terbabit, malah dia cuba memberikan gaya terbaik untuk memuaskan hati semua pihak terbabit. Sikapnya itu cukup menyenangkan hati dan harus dipuji.
Ada saja ideanya yang dikeluarkan ketika gambar dirakam jurugambar Berita Harian, dan sesekali dia cuba mencari mood dengan bercakap seorang diri. Itulah Zarina Zainoordin, wanita jelita berusia 27 tahun yang bakatnya mula diserlahkan menerusi program realiti Akademi Fantasi musim kedua, pada 2004.

Di sebalik wajahnya yang penuh kelembutan, harus diakui sifatnya agak berbeza kerana figura ini cukup gemar mencabar diri bagi memberikan sesuatu yang terbaik dalam kerjayanya.

Lihat saja kesediaannya dirinya bergambar di atas dua tong dengan mengenakan sepasang kasut tinggi, semata-mata mahu memberikan gaya berbeza buat tatapan peminat dan pembaca Hip.

"Saya seorang yang lasak dan suka mencabar diri. Saya mahu memberikan yang terbaik kepada kerjaya saya dan mahu mencuba apa saja dalam bidang seni.
"Sesiapa yang tidak mengenali saya sepenuhnya tidak tahu yang saya ialah gadis lasak, berani dan sentiasa mahu tampil berbeza," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Berbicara soal kerjaya, Zarina berkata, setelah bertuah memenangi kategori dangdut pada konsert reunion lalu, dia terus terbuka hati untuk melihat irama itu sebagai sebahagian daripada genre muzik pilihannya selepas ini.

"Sebaik saja menang, saya terfikir ia disebabkan peminat mahu saya menyanyikan genre seperti itu. Jadi saya mengambil peluang yang ada untuk melancarkan single yang berirama dangdut tidak lama lagi.

"Saya mahu keluarkan single terlebih dulu. Jika mendapat sambutan baik, ia mungkin akan disusuli album mini yang yang memuatkan lima atau enam lagu," katanya yang akan menggunakan modal sendiri bagi menghasilkan album terbabit, selain bekerjasama dengan beberapa rakan yang berpengalaman dalam bidang itu.

Katanya, sebagai artis, dia bukan saja mahu menjadi penyanyi, tetapi juga seorang penghibur yang diingati. Malah, dia enggan dikenali sekadar untuk beberapa tahun, sebaliknya biarlah kekal di sanubari peminat buat selama-lama.

"Ramai yang ingat, saya sudah tidak mahu menyanyi, tetapi sangkaan itu sebenarnya tidak betul sama sekali. Nyanyian ialah minat utama saya sejak dulu lagi. Bidang lakonan tidak sesekali membuatkan saya lupa pada dunia muzik, dan saya sendiri ingin terus aktif menyanyi sampai bila-bila," katanya yang tidak habis-habis memuji sentuhan jurusolek, Syafieq Ayman, yang membuatkan wajahnya lebih cantik.

Naik pelamin tahun depan

KAHWIN? Ketika frasa tunggal ini disogok kepada empunya diri, dia berhenti bercakap sebentar. Mungkin memikirkan ayat terbaik menerangkan apa yang diperlukan dirinya sebelum melangkah ke gerbang bahagia.

"Saya akan berkahwin dan ia pasti berlaku dalam hidup saya. Saya mahu berkahwin kerana tidak sabar untuk melihat wajah anak sendiri. Jika melihat anak buah, saya akan termenung dan mula berfikir, pada usia 27 tahun, saya masih tidak mempunyai waris daripada rahim saya sendiri. Ketika itu saya berdoa semoga Allah menyusun yang terbaik untuk diri saya.

"Jika tiada aral melintang, tahun depan saya mahu menamatkan segala-galanya. Sudah cukup rasanya saya hidup bersendiri dan kini saya sudah bersedia untuk berumahtangga. Cari duit banyak mana sekali pun, saya rasa kita tidak gembira jika tidak memiliki keluarga sendiri," katanya jujur.

Tanpa berdolak dalik, Zarina menjelaskan, dia kini berpacaran dengan seorang jejaka berusia 30 tahun. Hubungan bersama lelaki bukan daripada warga seni itu sudah berlangsung selama lima tahun.

"Jika ada jodoh dengan si dia, saya akan terus menerima pinangan keluarganya dan berkahwin. Setakat ini, hanya dia yang memahami diri saya dan tahan dengan sikap keras hati saya ini.

"Saya bukan jenis gadis lembut yang suka bersolek dan sentiasa kelihatan cantik. Saya kasar dan lasak orangnya, dan dia memahami diri saya seperti itu," katanya tersenyum sambil memberitahu, hubungan mereka direstui kedua belah pihak dan dia sendiri sudah beberapa kali menziarahi rumah bakal mentuanya.

Berpegang kepada falsafah diri iaitu jangan sesekali mencampurkan urusan kerja dengan emosi diri, Zarina berharap dapat memiliki suami yang dapat membimbing dirinya sebaik mungkin.

"Saya minta kepada Tuhan supaya kurniakan suami yang beriman, yang mengajak saya solat dan membaca al-Quran lebih fasih daripada diri saya," katanya.

Berbaju kurung di Melbourne

SEMENTARA itu, bercerita mengenai pengalaman kali pertama berlakon di luar negara, iaitu di Melbourne, Australia, baru-baru ini, Zarina mengakui ia pengalaman cukup manis. Pengalaman itu dikecapi ketika menjayakan penggambaran drama Dingin Lavenda siaran TV3.

"Selain gembira dapat berlakon dengan pelakon seperti Eira Syazira, ada juga yang pahitnya apabila saya demam ketika berada di sana. Bayangkanlah, orang lain bersiap sedia bawa stokin dan baju sejuk, tetapi saya tidak bawa dan hanya dengan berpakaian baju kurung sepanjang sesi penggambaran berlangsung. Tetapi, demam macam mana pun, tugas yang dipikul harus ditunaikan.

"Bukan saya saja, kru produksi juga ada yang diserang selsema dan ia berjangkit dari seorang ke seorang yang lain," katanya yang menjalani penggambaran selama sembilan hari di negara kanggaru itu.

Dalam drama berkenaan, Zarina memegang watak Murni, perempuan kampung yang melanjutkan pelajaran di Australia. Hampir 70 peratus lokasi penggambaran adalah di Melbourne, termasuk di ladang lavender, manakala selebihnya di negara ini.

"Bekerja dengan pengarah Amy Maziah agak berbeza. Jika di luar set, dia seorang yang baik tetapi di dalam set, wajahnya berubah menjadi tegas. Saya suka caranya bekerja dan memberi arahan kepada pelakon. Hasil kerjayanya juga tampak berbeza dan dia memang layak bergelar pengarah," katanya.

Selain dirinya dan Eira, Dingin Lavenda turut dilakonkan Faralyna Idris, Salleh Mahfooz dan Azlee Khairi. Ia diterbitkan Layar Consult Sdn Bhd hasil skrip tulisan Zabidi Mohamed.

Dengarnya...: Perang Adlin, Chef Wan?

Posted: 19 Dec 2011 10:17 PM PST

ANTARA persembahan Adlin Aman Ramlie dalam Maharaja Lawak Mega manakala gambar kecil, Chef Wan.
ANTARA persembahan Adlin Aman Ramlie dalam Maharaja Lawak Mega manakala gambar kecil, Chef Wan.
NAMPAK marah betul Adlin Aman Ramlie kepada juri Maharaja Lawak Mega, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan disebabkan komen lanjutan kenapa dan mengapa dia tersingkir dari pertandingan itu di laman Facebooknya (FB).

Dalam coretan ketua tukang masa glamour tersohor itu, ada juga diselitkan mengenai sikap Adlin yang menyindir juri menerusi bahan lawaknya.Panjang jugalah penerangan Wan dalam ruangan berkenaan. Sebagai membalas 'kupasan' berkenaan, Adlin mengambil pendekatan sama, namun lebih panas apabila mengumumkan FB akan menjadi medan pertempuran maya buat mereka berdua. Ia dilakukan akuinya sebagai tindakan mempertahankan diri daripada 'serangan' Chef Wan.
Membawa ayat demi ayat yang digunakan Adlin itu kita sudah dapat menjangka ia ditulis ketika sedang emosional atau mengikut perasaan. Masa tengah panas kata orang. Cuma Cik Normah pelik dengan tindakan pelakon, aktivis teater, pengarah yang sudah kerap diundang menjadi juri termasuk Akademi Fantasia. Sanggup dia meletakkan tahapnya seperti budak baru mengenal dunia hiburan sehingga cepat melatah tatkala dicuit. Sedangkan, dia mengeluarkan kata-kata pedas pada orang lain, tak apa pula. Tak ada pun orang nak ambil hati pada Adlin kecuali kalau cakapnya memang melampau atau kasar sangat.

Bagi Cik Normah tak salah dia mahu membalas komen terbabit tetapi biarlah secara bijak. Orang akan lebih menghormatinya sebagai anak seni yang punya kredibiliti malah Cik Normah yakin Chef Wan juga akan tabik. Ini tidak, siap melancarkan perang lagi. Kalau pun perbuatan Chef Wan mengupas segala perihal pertandingan itu terutama berkaitan dirinya di laman peribadi sendiri dilihat kurang profesional, cuba berhemah sedikit tatkala menanganinya.

Bukan dia tidak pernah duduk di kerusi juri atau kurang biasa menggunakan ayat pedih telinga kepada calon. Jadi terimalah semua tu dengan hati terbuka. Begitu juga komen juri, anggap saja ia pengisian untuk kebaikan diri. Cik Normah faham Adlin bengang sebab Chef Wan membawa perihal pertandingan hingga ke luar gelanggang sepatutnya.

Cik Normah tak mahu menyebelahi sesiapa kerana perbuatan Chef Wan mengulas perihal sikap Adlin di laman sembang juga kurang wajar. Apa pun sudah-sudahlah. Harap-harap selepas ini mereka dapat membuang yang keruh, ambil yang jernih.

Pop yeh yeh, irama 60-an berbeza

Posted: 19 Dec 2011 10:16 PM PST

BARISAN artis yang bakal menjayakan Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh pada 20 Januari.
BARISAN artis yang bakal menjayakan Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh pada 20 Januari.
Lirik ringkas, dekat dengan kehidupan manusia jadi rahsia diterima peminat

SEBUT saja lagu Tak Mengapa pasti kita terbayangkan wajah serius penyanyi popular era pop yeh yeh, Datuk A Rahman Hassan, menyanyikan lagu malar segar itu sambil menggoyang-goyangkan sedikit bahu dan melenggokkan kepalanya. Gaya persembahan itu memang sinonim dengan dirinya dan diingati peminat sampai sekarang.Bukan sekadar gaya nyanyiannya yang menjadi ingatan, malah cara berpakaian penyanyi ini juga menjadi ikutan ramai, terutama remaja dan belia yang sama-sama 'dewasa' bersama lagu dendangannya, seperti Perpaduan Hidup. Semoga Berjaya dan Jejaka Idaman. Malah, ada remaja ketika itu sanggup mencuri identiti A Rahman untuk memikat anak dara yang menggilai bakat seni itu, dek penangan lagu berhantunya.
Bertemu empunya diri pada Sidang Media Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh, baru-baru ini, A Rahman sempat mengimbau kembali zaman kegemilangan dirinya serta barisan kumpulan gitar rancak (kugiran) pada era itu.

Katanya, irama pop yeh yeh pernah mati satu ketika dulu dengan kedatangan lagu era 70-an, yang antara lain melonjakkan nama besar seperti Hail Amir, Uji Rashid dan D J Dave.

"Lagu irama pop yeh yeh pernah mati selama 15 tahun, tetapi dengan berbekalkan semangat yang ada, ia bangkit kembali sehingga diingati sampai kini.

"Saya mahu tekankan di sini bahawa irama yang kami bawa adalah pop yeh yeh dan bukannya irama 60-an. Kedua-duanya berbeza. Irama 60-an dibawa artis seperti Allahyarham Rafeah Buang dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais. Ini kerana lagu pop yeh yeh lebih menjurus kepada irama yang didendangkan artis barat seperti The Beatles, Shadow dan Rolling Stones. Ia irama yang sangat rancak dan bertenaga," katanya sambil memberitahu, irama berkenaan melonjak naik kerana dibantu pihak media serta Radio Televisyen Malaysia (RTM), melalui siaran radio milik mereka.
Berkongsi rahsia irama itu cepat diterima masyarakat dan segar sepanjang zaman, dia memberitahu, lirik lagu pop yeh yeh terlalu ringkas dan dekat dengan kehidupan manusia.

"Peminat masih mahu irama yang kami perjuangkan selama ini dan saya tidak pernah menyalahkan media ketika pop yeh yeh mengalami zaman kejatuhan. Ini kerana pernah satu ketika media datang membantu kami dengan mengeluarkan cerita satu persatu penyanyi era berkenaan. Saya sangat berterima kasih dan berharap sokongan yang sama dapat terus diberikan," katanya.

Gembira kerana lagu mereka bukan saja diminati golongan dewasa bahkan remaja, A Rahman berkata, amat mudah untuk mengenali irama mereka kerana melodinya menggabungkan antara tiga gitar, dram dan organ.

"Tiga instrumen itu sangat penting. Jika tiada, maka rosaklah lagu pop yeh yeh. Kadang-kadang ada kugiran yang menggunakan organ atau sekarang dipanggil keyboard," katanya yang menyanyikan lagu Semoga Berjaya pada sidang media itu dengan penuh bertenaga.

Persembahan bersama rakan lama

BERCERITA mengenai dirinya yang kekal sihat dan bertenaga, A Rahman berkata, ia adalah anugerah daripada Tuhan. Dia juga tidak terlalu menjaga suara seperti penyanyi yang lain.

"Syukur suara saya masih seperti dulu. Saya tidak amalkan apa-apa dan makan apa saja yang saya diinginkan. Mungkin ia anugerah Tuhan dan saya menghargainya sebaik mungkin," kata bapa kepada pelakon serba boleh, Khir Rahman ini.

Kata lagi, dia kini menjadi Pengerusi Kelab Kebajikan Artis Pop Yeh Yeh dan setakat ini kelab itu diperkuatkan 30 keahlian, termasuk di Singapura.

"Kami akan menjalankan pelbagai aktiviti bersama, dalam bidang nyanyian dan sebagainya. Menjadi harapan saya agar kami yang terbabit dalam industri ini sentiasa diingati dan lagu kami terus diminati," katanya bersungguh-sungguh.

Sementara itu, berbicara soal konsert yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 20 Januari depan, penyanyi ini berkata tentunya dia amat gembira apabila diundang oleh penganjur dan Istana Budaya untuk mengadakan persembahan bersama rakan lama.

Selain dirinya dan isteri, Datin Azizah Muhamad, bersama Orkes Nirwana, artis dan kumpulan lain yang akan mewarnai konsert itu ialah The Singlap Five, Datuk Jeffrydin, A Halim & D' Fiction, J Sham & The Wanderers, A Rahman Onn & The Strangers dan Datuk L Ramlie (Orkes Teruna Ria).

"Lagipun, istimewanya konsert ini apabila kami membuat persembahan di Istana Budaya, satu tempat yang berprestij, selain tampil dengan kumpulan kugiran lama seperti Orkes Teruna Ria, Orkes Nirwana serta The Wanderers," katanya sambil memberitahu lebih 20 lagu akan dinyanyikan mereka pada konsert berkenaan.

Tiket konsert berharga antara RM60 hingga RM320 boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz atau hubungi talian 017-2211608 untuk pertanyaan.

PETRONAS tamat taja Ariff Alfian

Posted: 19 Dec 2011 10:13 PM PST

KUALA LUMPUR: PETRONAS menamatkan penajaan Ariff Alfian Rosli, bekas pelajar yang didakwa berkahwin dengan pasangan sejenis di Dublin, Ireland, berdasarkan keputusan dan pencapaian akademik tidak memuaskan yang melanggar syarat perjanjian pinjaman.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Jabatan Perhubungan Media, Bahagian Hal-Ehwal Korporat Kumpulan PETRONAS, syarikat itu memutuskan sedemikian pada Januari 2009.PETRONAS sekali gus mengesahkan Ariff Alfian adalah bekas pelajar tajaannya di bawah skim Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah Petronas bermula September 2001 untuk mengikuti kursus A-Level dan seterusnya melanjutkan pengajian peringkat ijazah perubatan di United Kingdom.
"Setelah menamatkan kursus A-Level, Ariff Alfian memohon dan diterima memasuki University College Dublin. Sepanjang tempoh pengajian di Dublin, Ariff Alfian tidak pernah menghadiri sesi perbincangan berkala dengan Penasihat Pelajar PETRONAS dan tidak membalas sebarang emel serta panggilan telefon walaupun banyak usaha dibuat untuk berhubung dengan beliau.

"PETRONAS sudah mengadakan beberapa perbincangan berkaitan perkembangan akademik dan penajaan beliau dengan bapa beliau, Rosli Haron. Salah satu perbincangan ini bertempat di Dublin dan dihadiri sendiri oleh Ariff Alfian dan bapanya," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, Pegawai Penasihat Pelajar PETRONAS sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Dublin apabila menyedari Ariff Alfian tidak pulang ke Malaysia selepas penajaannya ditamatkan, kerana bimbang terhadap keselamatan dan status beliau di Ireland.

Pada Mei 2009, PETRONAS mengeluarkan notis tuntutan bayaran balik pinjaman berkenaan kepada Ariff Alfian dan penjaminnya mengikut peraturan serta syarat perjanjian yang sudah ditetapkan dan juga dipersetujui oleh kesemua pihak.
"Sehubungan itu, perbincangan juga sudah diadakan dengan penjamin pada pertengahan tahun ini mengenai pembayaran balik pinjaman berkenaan. Sehingga kini, PETRONAS masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai perkara itu, walaupun surat peringatan sudah dihantar pada 6 Disember lalu.

"Adalah penting bagi PETRONAS menerima pembayaran balik pinjaman ini untuk dimasukkan semula ke dalam dana penajaan pengajian tinggi bagi keperluan bakal pelajar tajaan PETRONAS pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.

Tidak akan sorok hal kahwin

Posted: 19 Dec 2011 10:08 PM PST


FASHA Sandha akan mengumumkan tentang perkahwinannya apabila tiba waktu yang sesuai nanti.


BUTIR bicaranya diatur satu persatu. Barangkali jelitawan ini tidak mahu lagi kata-katanya disalah erti dan menjadi permainan pihak tertentu yang tidak senang dengan dirinya.

Apatah lagi apabila soalan yang diajukan kepadanya adalah tentang soal perkahwinan yang dikatakan akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Di alam maya sudah heboh membicarakan isu perkahwinan Fasha Sandha. Lebih-lebih lagi apabila beberapa keping gambar dirinya yang sedang mencuba gaun pengantin sudah tersebar.

Tidak cukup dengan itu, angin sepoi-sepoi bahasa juga mula bertiup apabila Fasha dan kekasihnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai dikatakan memilih Jakarta, Indonesia sebagai lokasi untuk memeterai cinta mereka pada bulan Februari depan.

Lalu, apabila bertemu dengan si cantik manis ini, peluang itu diambil untuk bertanyakan kebenaran di sebalik khabar angin yang sedang bertiup kencang tatkala ini.

Hanya melemparkan senyuman manis, Fasha nampaknya lebih selesa mengunci rapat mulutnya sebagai tanda untuk tidak mahu bercerita lanjut tentang perkahwinannya.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tidak mahu menjaja cerita tentang perkahwinan saya berlebih-lebihan selagi masanya belum tiba.

"Ini adalah tentang soal jodoh. Kita sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi di kemudian hari. Seandainya saya terus mencanang tentang cerita kahwin saya tetapi jika ada sesuatu yang terjadi, saya juga yang akan menanggung akibatnya.

"Jadi, adalah lebih baik untuk saya menunggu masa yang sesuai untuk menghebahkan kepada umum. Saya sama sekali tidak akan menyorokkan hal perkahwinan saya kepada umum. Itu janji saya," kata Fasha dalam nada sedikit tegas namun penuh diplomasi sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem Penanggal di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyentuh tentang hari perkahwinannya yang dikatakan akan berlangsung pada bulan Februari pula, Fasha dengan pantas memberitahu perkara itu tidak mungkin akan berlaku.

Ini kerana katanya, ketika itu dia akan berada di Paris, Perancis selama 10 hari bagi menyempurnakan penggambaran drama bersiri terbaru lakonannya, Seindah Sakura bersama Fahrin Ahmad.

Bersedia

Mengulas lanjut tentang perkahwinannya juga, satu yang pasti kata pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu, dia tidak akan membuat sidang akhbar khas seperti artis lain untuk mengumumkan hari perkahwinannya.

"Seperti mana yang saya jelaskan tadi, saya tidak akan sesekali menyorokkan perkahwinan saya dan saya akan pastikan semua media akan mendapat berita itu dengan adil dan saksama.

"Itu juga antara faktor mengapa saya tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang perkahwinan saya kerana tidak mahu ada yang berkecil hati.

"Bagaimanakah caranya untuk saya membuat pengumuman nanti, semuanya masih belum saya fikirkan. Doakan yang terbaik untuk saya," kata pelakon drama bersiri Natasha, Chinta dan Cinta Elysa ini sambil tersenyum manis.

Menyentuh tentang kesediaannya untuk menjadi seorang isteri dan ibu, Fasha dengan penuh terbuka memberitahu dia sememangnya sudah bersedia ke arah itu.

Malah, aktres berusia 27 tahun itu juga bersedia untuk melepaskan kariernya sebagai seorang pelakon demi menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

"Saya memang sudah lama bersedia. Apabila sudah bergelar isteri nanti, saya mahu menjaga rumah tangga, fokus kepada keluarga dan perniagaan.

"Kalau berlakon pun, saya akan memilih projek yang terbaik sahaja. Dalam konteks ini, saya mengagumi dan mahu menjadi seperti Datin Sofia Jane yang bijak membahagikan masanya untuk keluarga dan kerjaya seni," ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu penuh bersungguh.

Sebagai langkah persediaan, dia merancang dan menanam impian untuk melebarkan lagi sayap perniagaannya, Chinta Hair Salon & Beauty dengan membuka cawangan kedua.

Memandangkan peminatnya cukup ramai di negeri kelahirannya, berkemungkinan besar Fasha akan memilih lokasi tersebut untuk membuka cawangan salon kecantikannya itu.

Bercerita tentang sambutan terhadap Chinta Hair Salon & Beauty yang sudah hampir setahun beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Fasha melahirkan rasa syukurnya dengan kunjungan pelanggan yang tidak pernah putus.

"Saya juga sendiri turun padang mengunjungi salon saya sekurang-kurangnya empat kali seminggu baik sebelum atau selepas penggambaran.

"Ini penting buat saya untuk mendapat maklum balas daripada pelanggan dan peminat secara terus demi kebaikan perniagaan saya juga.

"Bukan itu sahaja, dengan adanya saya di salon, ia juga memberi peluang untuk saya bertemu dengan peminat. Inilah juga masanya untuk mereka beramah mesra dan mengambil gambar bersama saya.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan sambutan dan rezeki yang diberikan kepada saya menerusi salon ini," kata anak kedua daripada empat beradik ini lagi.

Semakin memilih

Hampir sedekad melayari lautan seni sebagai seorang aktres, bukan sedikit cabaran yang harus dilalui Fasha.

Seringkali juga lakonan dan lontaran suaranya dipersenda masyarakat, tetapi Fasha yang mula dikenali menerusi filem Black Maria (2003) ini lebih selesa melihatnya dari sisi positif.

Begitu juga dengan kisah panas dan kontroversi yang tidak pernah berenggang dengan Fasha sejak menjadi pelakon, namun baginya, itu adalah pengalaman yang semakin mematangkan dirinya.

"Pada awal pembabitan saya dalam bidang lakonan, semuanya adalah untuk mencari peluang dan mencuba nasib. Alhamdulillah, nasib memang menyebelahi saya apabila saya didatangi dengan tawaran berlakon yang tidak pernah putus.

"Semakin saya dewasa dengan pengalaman yang saya perolehi sepanjang perjalanan saya dalam dunia seni, saya melihat saya semakin matang dalam apa jua yang saya lakukan.

"Begitu juga dengan soal tawaran di mana saya semakin selektif dan memilih kerana saya mahu meluaskan lagi bakat lakonan saya. Enggan menjadi pelakon stereotaip, saya cuba mencari watak dan skrip yang dapat mencabar diri saya," kata aktres filem Berlari Ke Langit, Cicakman dan Anak Halal ini lagi.

Mengenali Fasha, dia antara pelakon yang terkenal dengan disiplinnya lalu tidak hairan mengapa dia terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama tempatan.

Tidak mahu dilabelkan sebagai tamak, setinggi mana pun darjat popularitinya, Fasha memberitahu dia masih lagi selesa untuk menerima satu tawaran sahaja dalam satu-satu masa.

Izreen Bertunang 1 Januari 2012

Posted: 19 Dec 2011 10:07 PM PST

Izreen Asminda

Setelah mengharungi kisah kontroversi cinta dengan Johan As'ari, akhirnya pelakon berbakat Izreen Azminda mengambil keputusan untuk bertunang dengan jejaka pilihannya, seorang jurukamera yang dikenali dengan nama Muhamad Riza. Majlis akan berlangsung pada 1 Januari 2012 nanti bertempat di kampung halaman Izreen sendiri di Alor Setar, Kedah.

Ketika dihubungi MH Online, Izreen tidak menafikan tentang perkara tersebut;

"Memang betul kami akan bertunang pada tarikh tersebut dan majlis akan diadakan di Alor Setar, Kedah. Saya tidak akan menyembunyikannya dan berniat untuk menghantar pesanan SMS menjemput wartawan ke majlis ini kelak."

Kisah cinta mereka bermula di lokasi penggambaran drama bersiri 'Tentang Dhia'. Walau bagaimanapun, Izreen tidak mahu berkongsi wajah jejaka pilihannya kepada umum sehinggalah tiba hari pertunangan kelak.

Miera Liyana Jenguk Shahz di HUKM

Posted: 19 Dec 2011 10:05 PM PST

Miera Liyana

Baru-baru ini MH mahu mengadakan sesi fotografi bersama Shahz Jaszle. Namun aktor tersebut khabarnya dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan. MH Online menghubungi kekasihnya, Miera Liyana sebentar tadi untuk mengesahkan mengenai berita tersebut.

"Alhamdulillah, Shahz hanya berada di wad HUKM selama sehari sahaja. Saya bersama keluarga sempat melawat Shahz yang ketika itu disyaki menghidap penyakit batu karang. Namun, syukur semuanya okay sahaja," jelas Miera Liyana kepada MH Online.

Ditanya mengenai perkembangan hubungan cinta dua selebriti ini, Miera atau lebih mesra dengan panggilan Nana memberitahu bahawa mereka ada merancang untuk bertunang tahun hadapan namun ia masih terlalu awal untuk mengesahkan hal tersebut.

Abby Abadi Komen Kenyataan Zul Masih Sayangkannya

Posted: 19 Dec 2011 10:03 PM PST

Abby Abadi

Sabtu lalu, sebuah akhbar online ada menyiarkan kenyataan aktor Zul Ariffin yang masih sayangkan Abby Abadi iaitu bekas kekasihnya meskipun kini mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan cinta.

MH Online menghubungi Abby dan bertanyakan hal tersebut. Dan ini penjelasan Abby;

"Bila baca kenyataan Zul saya sangat terharu dan sedih. Tipu jika saya katakan saya tidak sayangkan dia. Malah saya terlalu sayangkannya. Tetapi, apa yang saya boleh katakan, perbuatan dan percakapannya tidak seiring.

"Kenapa saya berkata sedemikian, ini kerana setiap apa yang berlaku sehingga ke hari ini tidak ada apa-apa tindakan langsung daripadanya untuk pulihkan keadaan dalam hubungan kami. Takkan saya mahu terus menunggu.

"Sepanjang tiga tahun kami bersama banyak perkara yang dikongsi . Ibaratnya, kalau boleh kami tidak mahu dipisahkan. Saya tahu yang dia sayangkan saya, tapi takkan hanya cakap sahaja. Sebelum ini pun, sudah beberapa kali saya cuba untuk selamatkan hubungan kami."

Ditanyakan sama ada Zul pernah menghubungi atau berbalas SMS kepadanya selepas berlaku perpisahan seperti yang dinyatakan, dengan ringkas Abby menjawab;

"Itu saya tidak mahu komen."

Suhaila Pertikai Kenyataan Jimmy Shanley

Posted: 19 Dec 2011 10:01 PM PST

Jimmy

Selepas membuat tuntutan kembali taat terhadap isterinya, Suhaila, gagal, Jimmy Shanley sekali lagi ke mahkamah untuk membuat penjelasan berhubung pergolakan rumah tangga mereka.

Seperti yang Jimmy maklumkan kepada mahkamah, isterinya itu masih ketagih judi dan merokok walaupun berjanji untuk meninggalkan tabiat itu selepas berkahwin.

Malah Jimmy juga mendakwa Suhaila pernah melakukan pertaruhan di Internet ketika berada di rumah keluarganya di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh.

Selain itu, hal ini diburukkan dengan sikap Suhaila yang suka melayan Facebook dan pesanan ringkas Blackberry (BBM) tanpa menghiraukan Jimmy dengan menganggap melayan kawan-kawan lebih penting daripada melayan suami.

MH Online menghubungi Suhaila bagi mendapatkan komen berkenaan perkara yang didedahkan Jimmy di mahkamah.

Melalui ibunya, Datin Muniroh, Suhaila menyatakan menerusi kiriman SMS berbunyi;

"Saya tidak mahu mengaibkan Jimmy. Walaupun banyak perkara yang dapat saya keluarkan untuk mengaibkanya. Kerana buruk baik pun, dia pernah bertahta di hati saya dan kini menjadi bapa anak saya."

Dan berikut pesanan Datin Muniroh iaitu ibu mentua Jimmy;

"Mahkamah bukan pentas untuk Jimmy mengaibkan isterinya jika dia benar-benar sayangkan rumah tangganya. Bagi seorang muslim yang berpegang pada ajaran Islam, dia tidak akan membuka aib orang lain lebih-lebih lagi aib isterinya."

Fenomena syok sendiri' cemari industri seni

Posted: 19 Dec 2011 10:00 PM PST

idris

Industri seni terutamanya perfileman tanah air, perlu melakukan transformasi dalam mengetengahkan bakat yang ada agar ia tidak terus lesu atau dihidupkan muka sama sepanjang masa.

Disaluti rasuah, kronisme hatta dicemari politik kotor sekali pun, mereka yang sering melabel diri sebagai pejuang seni atau anak seni perlu bersatu dalam mengangkat martabat industri ini ke tempat sewajarnya.

Fenomena 'syok sendiri' atau merasa 'diri aku hebat' dan perbuatan melobi sesetengah pihak hanya membunuh lebih ramai bakat yang ada untuk terus berkembang dan tidak mati hanya kerana kekangan pihak tertentu yang bersikap pentingkan diri sendiri.

Benar atau tidak, banyak terbukti ada di kalangan mereka berjaya mencipta nama, biarpun tanpa bakat. Semua isu ini dikongsi bersama lebih 400 penuntut dan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Selangor (Unisel), di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Perbahasan, perkongsian pengalaman dan sesi soal jawab yang dibuka kepada penuntut menjadikan program dilihat sebagai 'pembuka mata' semua yang hadir supaya mengenali dan memahami industri seni apabila tajuk: Ke Manakah Bakat Hendak Ku Bawa, dipilih fokus utama perbincangan.

Menampilkan Pengacara TV Alhijrah yang juga pakar motivasi, Amin Idris sebagai moderator, bersama barisan panel jemputan Khir Rahman (Pelakon, Pengarah, Penyanyi dan Penggiat Seni), Kamal Sabran (Pengiat Seni dan Penyelidik) dan Kamal Ariffin (Pensyarah Bebas) sesi dialog ini dilihat membantu penuntut membuka mata tentang perkara ini.

Ketahui bakat, elak kepentingan sendiri - Khir

Bagi penggiat seni seperti Khir Rahman, bakat kurniaan tidak ternilai. Bagaimanapun, bakat ini perlulah digunakan sebaik mungkin dan harus kena dengan situasi agar tidak berlakunya 'syok sendiri'.

Menurut Khir, segelintir individu tidak tahu apa itu bakat. Malah ada antara mereka mengakui mempunyai 'bakat' sebaliknya tidak.

"Kita ambil sahaja contoh di kalangan masyarakat sekeliling. Saya percaya ini berlaku kerana daripada pemerhatian dan pengalaman saya, ramai tidak tahu apa mereka ada. Misalnya, kita dikurniakan bakat untuk mengajar, tetapi tidak mempraktikkannya sebaliknya cuba menjadi seorang penyanyi. Sedangkan kita tidak ada bakat itu.

"Kemudiannya, kita mempunyai bakat berlakon, tetapi gara-gara tidak tahu bagaimana hendak mengetengahkannya kita pendam dan 'menjadi' orang lain pula. Begitu juga hari ini, bakat menyampaikan sesuatu perkara juga perlu ada supaya pendengar mendapat ilmu yang disampaikan," katanya.

Khir menegaskan, golongan syok sendiri inilah yang menghalang industri seni daripada berkembang pesat. Lebih teruk, jika ia melibatkan kronisme dan politik kotor demi menaikkan nama seseorang yang dipilih. Sebagai mengambil contoh, pelakon tidak berbakat, diberi watak besar, padahal ia tidak menjamin keberkesanan filem atau drama.

"Inilah penyakit dalam industri. Orang betul-betul berbakat tidak diberi peluang, sedangkan yang tidak berbakat dengan mudahnya diberi peluang atas dasar kepentingan sendiri," katanya.

Khir berkata, bakat turut dipengaruhi paras rupa untuk seseorang itu mencipta nama dengan mudah dalam industri seni. Sudah menjadi lumrah manusia suka melihat sesuatu yang cantik. Namun bakat haruslah seiring.

"Memang benar, paras rupa menarik sering dijadikan sebab bagaimana segelintir individu itu boleh berjaya dalam kerjaya mereka. Misalnya, jika kita memilih pelakon untuk sesebuah filem. Kita lebih senang mencari pelakon cantik dan kacak bukan kerana bakat mereka.

"Ini membuatkan industri seni kekurangan pelakon berbakat. Mereka dipilih hanya kerana rupa mereka boleh dijual sahaja. Bagi saya apa yang di­tampilkan dan bakat perlu berjalan sekali. Bukan bersandarkan rupa semata-mata," katanya.

Khir turut mengulas persoalan mengenai bakat dan bayaran yang dikatakan tidak setimpal pada hari ini. Jelas Khir, ia bukanlah perkara baru dalam industri seni, bahkan di segenap bidang lain sekalipun.

"Kalau nak fikirkan soal gaji, semua orang ada cerita tersendiri. Tetapi yang penting, kita sendiri harus berikan yang terbaik dalam tugas yang diamanahkan terlebih dahulu. Sehingga sampai satu tahap nanti, apabila bakat kita itu sudah dipandang, kita pasti diberi penghargaan setimpal. Situasi seperti akan berlaku di mana-mana bidang saja," katanya yang menyarankan agar seluruh penggiat seni bersatu agar dapat mengatasi kemelut yang tiada kesudahan ini.

Berkongsi pengalamannya dalam bidang seni, Khir yang merupakan graduan perfileman daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), ini memberitahu nasibnya lebih baik kerana dilahirkan daripada keluarga berdarah seni.

Pengarah Dalam Botol ini berkata, sejak kecil lagi, dia didedahkan dengan dunia seni yang menarik minatnya menyertai bidang ini.

"Apabila menyedari bakat saya timbul sedikit demi sedikit tatkala berada di usia 16 tahun, saya tidak mensia-siakannya. Bahkan bakat saya dipandang pelbagai pihak sehingga membawa saya ke dunia lakonan dengan memegang watak utama pada usia 18 tahun. Sejak itu saya mendapat perhatian dan diberi peluang melakonkan pelbagai watak.

"Bagaimanapun, kerana perkembangan industri agak merosot sekitar 1997 dan 1998, saya kembali menyambung pelajaran dan kemudiannya menjinakkan diri dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, teater dan juga nyanyian. Saya yakin ini bakat saya kerana ada 'orang' di luar sana yang melihat dan membawa bakat ini pergi lebih jauh," katanya.

Khir menegaskan, masyarakat khasnya, pelajar perlu berani mengete-ngahkan bakat yang ada dalam diri mereka tanpa ada rasa malu atau sangsi.
Bakat, ilmu seiring

- Kamal Ariffin

Bagi Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Unisel, Kamal Ariffin, walau sehebat mana bakat kita, ia perlu seiring ilmu pengetahuan.

Bahkan, tanpa ilmu kita tidak pasti bakat yang ada gunakan dengan betul kerana tidak mempunyai petunjuk dan hala tuju yang tepat. Bersandarkan pengalamannya, Kamal berkata, bakat tanpa ilmu juga perkara yang sia-sia.

"Ada kalanya kerana berfikir kita mempunyai bakat, kita merasa kita mampu melakukan banyak perkara. Kita menjadi sombong sedangkan tidak semestinya bakat kita dilihat orang lain.

"Saya sendiri pernah membawa diri ke London kerana merasa bakat saya berguna di sana. Sebaliknya, saya tidak sedar bahawa mereka di sana pula kagum dengan bakat yang ada dengan kita di sini. Kita cuba menjadi mereka, tetapi mereka cuba menjadi kita.
"Namun, masih banyak yang kita perlu pelajari. Pengetahuan sangat penting kerana ia digunakan setiap masa," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai bakat, jelasnya, apa yang penting tanggungjawab individu itu terhadap bakat mereka.

"Secara tidak langsung kita mempu­nyai banyak bakat termasuklah menyampaikan idea hebat.

"Tetapi kita tidak membawanya ke tengah kerana kurang rasa tanggungjawab. Seperti di negara lain, apa sahaja yang dirasakan menjadi 'bakat' dan boleh dijual mereka akan membawanya ke hadapan," katanya.

Usah bergantung kepada dana - Kamal Sabran

Tidak banyak memberi ulasan, penggiat seni dan penyelidik, Kamal Sabran, punya cara tersendiri mengetengahkan karyanya. Menurut Kamal, industri seni banyak cabarannya dan dia tidak mengharapkan dana semata-mata. Sebaliknya, dia lebih selesa berdikari dan menggunakan wang sendiri.

"Inilah cara saya. Dan ia satu bakat yang baik memandangkan saya sentiasa berusaha menggunakan kreativiti sendiri membawa karya ke tengah.

"Saya tidak pernah mengharap pada dana. Walau pun negara kita mempunyai dana bagi penggiat seni, tetapi saya gemar memastikan hasil kerja saya menggunakan duit sendiri.

"Bergantung kepada skrip, saya membawanya untuk mengumpul krew-krew yang mahu bekerja dengan saya," katanya.

Nilai bakat tidak terhingga - Amin Idris

Hampir dua jam perbahasan, banyak pengalaman dan ilmu dapat dikongsi. Meskipun masih ada persoalan tidak mampu dijawab, namun tidak bermakna sesi dialog ini gagal mencapai matlamat.

Bagi moderator program, Amin Idris, bakat, ilmu, usaha dan tuah perlu seiring. Mungkin ada memandang bakat lebih daripada paras rupa. Ada kalanya, biar pun bakat dikurniakan tidak sebagus mana, tetapi tuah dan nasib lebih menyebelahi mereka.

Menurut Amin, bakat dikurniakan harus dimanfaatkan dengan baik.

Alexander tanpa U-Kiss

Posted: 19 Dec 2011 10:00 PM PST

korean

Jika dahulu, negara pernah dilanda demam muzik Bollywood, namun kini, genre muzik K-Pop mula mendapat tempat di negara ini.

K-Pop bukan hanya terkenal di Malaysia sahaja, malah genre muzik itu diterima baik hampir semua negara di rantau Asia.

Mempunyai kelompok peminat tersendiri, artis K-Pop selalunya datang bersama pakej lengkap; berbekalkan muka keanak-anakan dan diiringi tarian lincah setiap kali membuat persembahan.

Penyanyi Korea Selatan, Alexander atau nama sebenarnya Alexander Lee Eusebio, 23, juga tidak lari daripada memiliki pakej disebutkan.

Penyanyi yang dahulunya pernah menganggotai kumpulan K-Pop terkenal, U-Kiss ini kian berani mengorak langkah bergerak secara solo bagi meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

Anak kelahiran Hong Kong ini juga baru sahaja selesai mengadakan aktiviti promosi di Jepun dan Malaysia bagi memperkenalkan single terbarunya, Bad Girl kepada peminat yang ternanti-nanti kemunculan solonya, selepas keluar daripada U-Kiss pada Mac lalu.

Mengakui terasa janggal bergerak secara solo, Alexander sedar dia harus meneruskan perjuangan kariernya memandangkan itulah impiannya sejak kecil.

"Secara jujurnya, saya masih belum dapat membiasakan diri bergerak secara solo memandangkan sebelum ini kesemua persembahan dibuat secara berkumpulan bersama dengan U-Kiss. Secara tidak langsung, dengan bergerak secara solo ini juga membuatkan saya terasa rindu dan teringat kenangan bersama mereka.

"Namun, begitu, saya harus kuat dan yakin dengan jalan pilihan ini. Saya pasti, tidak lama lagi saya akan dapat membiasakan diri," katanya di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Kedatangannya ke Malaysia adalah bagi membuat persembahan sempena Alexander Live in KL Solo Showcase 2011 di Cheras Leisure Mall, Ahad lalu dan sebagai artis jemputan untuk Konsert Star Live 2011.

Bercerita mengenai pengalamannya bergerak secara solo, Alexander pernah tersalah koreografi semasa membuat persembahan di Jepun, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, saya cepat tersedar akan kesalahan itu dan berjaya menanganinya. Nasib baiklah, setiap persembahan saya diiringi penari latar, jadi saya tidaklah keseorangan semasa membuat persembahan pentas," katanya.

'Anak emas' keluarga

Biarpun selalu sibuk memenuhi undangan nyanyian, namun perkara itu tidak menghalangnya untuk terus berhubung dengan keluarga.

Mempunyai keluarga yang memahami akan minatnya dalam bidang nyanyian, Alexander cukup bertuah apabila sentiasa mendapat sokongan daripada mereka.

Anak bongsu ini juga sering meminta nasihat dan berkongsi masalah dengan kakaknya, Victoria yang hanya tua dua tahun daripadanya.

"Saya tidak mempunyai ramai rakan baik. Namun setiap kali ada masalah, saya pasti akan bercerita dengan ibu, ayah atau kakak saya bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.

"Memandangkan kami hanya dua beradik sahaja (saya dan Victoria), maka hubungan yang terjalin antara kami sangat akrab," katanya.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, penyanyi berketinggian 182 cm ini mengakui sehingga kini dia masih belum mempunyai teman wanita.

Menurutnya, masa yang ada hanya diperuntukkan untuk memenuhi aktiviti promosi dan undangan nyanyian selain menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Saya masih belum mempunyai teman wanita kerana tiada masa untuk mencari. Sekiranya ada, saya pasti teman wanita saya kecewa kerana saya sangat sibuk dengan karier saya sendiri. Tunggulah sehingga pendapatan dan karier saya stabil dulu," katanya sambil memberitahu inginkan wanita yang boleh memahami dan menyokong dirinya, berdikari dan matang.

Ingin berlakon

Selain tertumpu kepada bidang nyanyian, Alexander turut memasang hasrat untuk berlakon di dalam drama Korea.

Penyanyi yang boleh bercakap dalam tujuh bahasa ini; Inggeris, Mandarin, Portugis, Jepun, Korea, Kantonis dan Spanish turut meminati pelakon Korea, Seo Ji Sub dan meletakkan harapan untuk berlakon di dalam pelbagai bahasa.

"Saya ada juga terfikir untuk berlakon tapi mungkin dalam tahun depan. Selain drama Korea, saya teringin untuk berlakon dalam bahasa lain seperti drama Taiwan ataupun Malaysia," katanya secara berseloroh.

Penyanyi berketurunan separuh Korea dan separuh Cina ini juga turut menyimpan hasrat untuk berkhidmat dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Penyanyi yang pernah membesar di Macau ini berkata, impian itu dibuat memandangkan terdapat diskriminasi kaum di sesetengah negara di rantau Asia ini.

"Isu perkauman adalah isu yang sensitif. Tidak semua negara boleh menerima kaum lain dengan baik di tempatnya.

"Melihat akan hal itu, saya sering menyimpan hasrat untuk bekerja dalam PBB bagi memperjuangkan hak mereka," katanya yang ingin mewakili Macau jika berkhidmat dalam PBB.

Nikah tanpa restu orang tua?

Posted: 19 Dec 2011 09:59 PM PST

shandy

Pelakon Shandy Aulia, mengejutkan peminatnya, apabila berkahwin secara rahsia dengan jejaka bernama David Herbowo, di Bali, pada 12 Disember lalu. Tidak menunggu lama, bintang filem Apa Ertinya Cinta, ini mengadakan sidang media bagi memperkenalkan suaminya itu.

Menurut Shandy, dia bukannya sengaja mahu merahsiakan perkahwinannya.

"Maaf karena beberapa hari ini saya sibuk dan tidak berkesempatan memberikan khabar bahagia. Lagipun saya kepenatan dan perlukan istirahat.

"Pernikahan kami berlangsung di gereja dan hanya dihadiri keluarga dan rakan-rakan terdekat," katanya yang pernah putus cinta dengan Dave Laksono.

Mengimbau perkenalan mereka, Shandy berkata, mereka saling mengenali sekitar tahun lalu, setelah diperkenalkan oleh seorang teman. Selama perkenalan, dia berasa selesa dan serasi bersama David dan nekad untuk hidup bersama.

Namun di sebalik pernikahan mereka, tersebar berita hubungan mereka sebenarnya tidak mendapat restu bapa Shandy. Malah bapanya, Kiemas Yusuf Effendi, juga tidak hadir ketika perkahwinan
mereka berlangsung dan sehingga kini kecewa dengan keputusan Shandy yang membelakangkan orang tuanya. Bagaimanapun, baik Shandy mahupun suaminya, menafikan perkara itu dengan penuh tanda tanya.

"Kalau tanpa izin orang tua itu tidak benar. Permohonan kami pada orang tua ada, diterima atau tidak, tidak boleh dipaksa dan biar Tuhan yang buka jalan, semoga indah pada waktunya," katanya.

Jelas Shandy, dia juga belum berkesempatan pulang ke rumah keluarganya. Namun sebagai anak, dia akan mengunjungi rumah orang tuanya bersama suaminya itu.

"Ya itu (kunjungan) pasti berlaku. Saya sangat sayang dan menghargai ayah. Hubungan kami sebagai keluarga tidak akan terputus sampai bila-bila," katanya.

Agnes Monica kini 2 juta pengikut

Posted: 19 Dec 2011 09:57 PM PST

agnes

KEJAYAAN Agnes Monica sebagai pelakon, penyanyi dan juga penghibur, tidak dinafi kan lagi. Malah jumlah peminatnya semakin meningkat, sekali gus mengukuhkan lagi nama Agnes sebagai antara artis Indonesia terbaik ketika ini.

Bukan sekadar omongan kosong, buktinya, jumlah pengikutnya menerusi laman sosial miliknya, Twitter, mencecah sehingga lebih dua juta. Jumlah ini pastinya lebih meningkat dari masa ke semasa, mandangkan Agnes, punya pelbagai strategi untuk karier seninya.

Akaun Twitter yang bernama @agnezmo itu, didaftar sendiri Agnes pada 25 Mei 2009 dan pada Ogos lalu, akaunnya itu berjaya mencapai satu juta pengikut. Hanya tiga bulan selepas itu, Agnes berjaya memperoleh lagi sejuta pengikut. Taniah buat Agnes!

Maxis perkenal iPhone 4S

Posted: 19 Dec 2011 09:56 PM PST

Maxis perkenal iPhone 4S

Peneraju penyedia telekomunikasi bersepadu negara, Maxis Bhd (Maxis), melancarkan iPhone 4S serentak di beberapa negeri, termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, Maxis berbesar hati membawakan model terkini iPhone 4S bagi membawakan satu penga­laman baru kepada pelanggan.

"Maxis mempunyai rangkaian data terbesar dan telah memperkenalkan aplikasi eksklusif yang dibangunkan khas untuk iPhone 4S yang akan memperkayakan pengalaman pelanggan," katanya.

Di bawah pelan iPhone 4S yang baru ini didatangkan dengan aplikasi yang dibangunkan oleh Maxis, termasuk aplikasi Perkhidmatan Pelanggan Maxis yang pertama yang terdapat pada iPhone.

Dengan aplikasi ini, pelanggan Maxis boleh mengakses akaun mereka dan maklumat bil dengan mudah, melanggan atau membatalkan langganan kepada perkhidma­tan­ tambah nilai serta menghubungi Khidmat Pelanggan Maxis menggunakan saluran pilihan mengikut keselesaan mereka.

iPhone 4S boleh didapati di semua Pusat Maxis dan Rakan Eksklusif Maxis (Maxis Exclusive Partners- MEPS) di seluruh negara bermula bulan ini.

Hotel Tune buka cawangan ke-14

Posted: 19 Dec 2011 09:56 PM PST

Hotel Tune buka cawangan ke-14

Pengendali rangkaian hotel bajet, Tune Hotels Group (Tune Hotels), mengukuhkan lagi kedudukan perniagaannya dengan membuka cawangan pertama Hotel Tune di Hat Yai, sekali gus menjadi cawangan ke-14 di peringkat global.

Hotel Tune Hat Yai meliputi 148 bilik terdiri daripada 93 bilik kelamin dan 54 bilik bujang, yang terletak di pusat bandar Hat Yai.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mark Lankester berkata, kejadian banjir besar yang melanda Thailand merupakan situasi sukar yang dialami ketika pelancaran. Namun, Tune yakin dapat menjadi peneraju dan penyumbang aktif kepada ekonomi Thailand dengan menarik lebih ramai pelancong.

"Ini berikutan respons menggalakkan daripada pelanggan untuk promosi bilik ketika pembukaan hotel ini awal bulan lalu.

"Dengan sokongan pelanggan, kami yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung ke pulau ini pada masa akan datang," katanya.

Selain Hat Yai, Tune Hotel turut akan membuka beberapa lagi cawangan baru di Pattaya, Asoke dan Patong, Thailand menjelang 2012.

Konsep kerja dari rumah

Posted: 19 Dec 2011 09:52 PM PST

Konsep kerja dari rumah

Produktiviti syarikat-syarikat Malaysia boleh ditingkatkan lagi dengan memilih menggunakan tablet.

Pengarah Jualan Serantau (Asean) SonicWall Inc, Ang Chye Hin berkata, pada masa ini beberapa syarikat mengamalkan konsep bekerja dari rumah dan sekiranya tablet digunakan berbanding komputer riba, tempat kerja boleh dipelbagaikan.

"Ini akan meningkatkan produktiviti syarikat kerana pekerja akan mempunyai akses ke pejabat pada bila-bila masa dan di mana jua," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau berkata, penghantaran peranti mudah alih akan mengatasi penghantaran komputer peribadi dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun dan pekerja di ekonomi membangun dan maju, akan bergerak daripada peranti IT atau yang diuruskan seperti Blackberry kepada peranti iPhones, iPads, Android atau Symbian.

"Pertumbuhan tablet akan terus meningkat. Inilah fenomena pada masa ini di negara-negara Asean, terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand.

"Menjelang 2015, tablet bersedia untuk menguasai 23 peratus daripada keseluruhan jualan PC. Saya rasa ia amat baik jika syarikat Malaysia boleh merebut peluang ini," katanya.

Sementara itu, Chye Hin berkata, membawa maklumat sulit dan rahsia berkaitan syarikat dan pengguna di tablet, amat rapuh dan berbahaya.

Sehubungan itu, katanya, SonicWall, sebuah syarikat penyedia rumusan keselamatan Internet antarabangsa telah melancarkan SonicWall Mobile Connect.

Menurutnya, produk itu menyediakan tahap akses rangkaian yang selamat ke sumber-sumber korporat daripada peranti iPhone, iPad dan iPod Touch.

"Ia juga mempunyai kawalan dasar yang disatukan bagi membataskan akses daripada sistem operasi mudah alih Apple dan iOS.

"Selain itu, produk itu akan digunakan untuk melaksanakan pelindungan malware, kawalan dan pengurusan jalur lebar," katanya.

Eclimo, DPMM lahir usahawan Bumiputera

Posted: 19 Dec 2011 09:51 PM PST

Eclimo, DPMM lahir usahawan Bumiputera

Pengilang e-Skuter dan e-Motosikal eksklusif pertama Malaysia, Eclimo Sdn Bhd (Eclimo), menjalinkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bagi melahirkan satu program keusahawanan untuk pengedar motosikal Eclimo.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dennis Chuah berkata, DPMM akan membangunkan 10 peruncit terdiri daripada kalangan Bumiputera yang akan menjual, memberi perkhidmatan dan menyediakan aksesori kepada pelanggan motosikal Eclimo.

"Menerusi program itu, setiap peruncit akan memperoleh sekurang-kurangnya RM800,000 bagi setiap tahun dan turut mewujudkan perkembangan baru dalam industri automotif elektrik," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelantikan Nexus Technepruner Sdn Bhd sebagai Peniaga Utama Eclimo.

Menurutnya, syarikat itu menjangka menjual sehingga 20,000 unit motosikal tahun depan atau menguasai kira-kira 4.0 peratus daripada pasaran motosikal negara.

Katanya, Eclimo akan turut memasarkan model baharu, iaitu ES11 pada Januari depan dan satu lagi model baru, EB25 yang masih pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dijangka dapat dipasarkan pada Jun 2012.

Dennis berkata, Eclimo menawarkan cara pembayaran mudah bagi yang berminat untuk memiliki e-skuter berkuasa bateri dengan memohon mastercard melalui Hong Leong Bank dan pembayaran dibuat menerusi mastercard sebanyak RM199 sebulan untuk tempoh 60 bulan atau lima tahun.

Suri rumah jana pendapatan

Posted: 19 Dec 2011 09:47 PM PST

Suri rumah jana pendapatan

JELUTONG – Berbekalkan kemahiran yang ada, dua suri rumah menyertai Kolej Komuniti di sini mampu memperoleh pendapatan mencecah RM2,000 sebulan.

Rupiah Azmi, 45, berkata, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tiada pendapatan sendiri.

Menurutnya, namun hidupnya berubah setelah mula menyertai bengkel kemahiran kecantikan yang dianjurkan Kolej Komuniti di Bayan Baru.

"Daripada saya tidak membuat apa-apa di rumah dan tidak mempunyai pendapatan, saya menggunakan peluang untuk belajar kemahiran kecantikan dan kini saya sudah ada kerja sendiri.

"Kalau rajin dan usaha pasti ada hasil. Suri rumah di luar sana juga mampu memperoleh pendapatan sendiri walau tiada pengalaman, yang penting kemahiran dan semangat," katanya.

Mazni Razak, 42, dari Teluk Bahang pula berkata, suri rumah seharusnya memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan bagi membina nasib keluarga.

Menurutnya, dahulu dia bekerja, namun tidak mempunyai masa untuk menguruskan keluarga dengan baik.

"Apabila ada kemahiran sebegini, saya sudah mampu menguruskan jadual kerja dengan anak dengan mengikut masa sendiri, bukannya diaturkan oleh orang lain.

"Saya amat berbangga kerana sudah mempunyai kemahiran bagi perkhidmatan mencuci wajah dan kecantikan yang dipelajari melalui Kolej Komuniti Bayan Baru," katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar Kolej Komuniti Bayan Baru, Suraya Kamaruddin berkata, bengkel kemahiran bagi pembelajaran sepanjang hayat itu terbuka kepada orang ramai berumur 16 hingga 70 tahun.

Menurutnya, dia mula bertugas untuk mengajar kemahiran kecantikan bermula April 2011.

"Ia mendapat sambutan menggalakkan dan kira-kira 200 pelajar sudah tamat pembelajaran. Tidak semestinya kita perlu ada kedai salun atau spa, baru boleh berjaya.

"Hanya dengan menggunakan peralatan yang ada, pelajar saya sudah mampu bergerak sendiri dan menjana pendapatan mereka melalui kemahiran yang dipelajari," katanya.

Tidak membiarkan pelajarnya bersendirian selepas tamat belajar, Suraya akan sentiasa membuat pemantauan secara berterusan.

Zoo Malam tarikan baru

Posted: 19 Dec 2011 09:43 PM PST

Zoo

KUANTAN - Zoo Malam di Mini Zoo Teruntum akan menjadi tarikan baru di bandar ini, selain memberi pilihan kepada pengunjung terutama pelancong luar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob berkata, mini zoo itu merupakan lokasi ketiga yang melalui penjenamaan semula selepas Terminal Makmur dan Arked Sentral.
Menurutnya, bermula tahun depan, pihaknya akan menaik taraf mini zoo itu dengan beberapa kemudahan baru seperti gelanggang 'go kart', 'flying fox' dan persembahan binatang iaitu ular serta buaya dilakukan sendiri kakitangan MPK terlatih.
"Semua perubahan itu bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini. Selain pengisian aktiviti, aspek keceriaan turut diberi tumpuan.
"Malah, usaha ini adalah sebahagian daripada persediaan Kuantan menjadi tuan rumah untuk Sukma tahun depan," katanya pada Majlis Perasmian Zoo Malam di Mini Zoo Teruntum, di sini.
Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail itu turut dihadiri seramai 1,000 pengunjung yang teruja melihat keunikan Zoo Malam berkenaan.
Pada majlis itu, persembahan ular dilakukan kakitangan MPK berjaya membuatkan pengunjung terpegun.
Pengunjung, Nor Hasila Ismail, 28, berkata, dia bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menikmati suasana Zoo Malam.
Katanya, aktiviti menarik yang disediakan di mini zoo itu mampu memberi pengalaman baru kepada pengunjung kerana mereka berpeluang melihat pelbagai haiwan terutama persembahan ular.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved