ads

Jumaat, 30 Disember 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kami hanya kawan rapat: Zain Saidin

Posted: 30 Dec 2011 08:11 PM PST

ZR

Biarpun beberapa kali menafikan hubungan cinta yang terjalin. Namun baru-baru ini, cerita Zain Saidin menemani aktres cantik, Rozita Che Wan dan anak-anak bercuti ke Genting Highland, Pahang, tersebar luas.

Menerusi sebuah portal hiburan, beberapa peminat melaporkan melihatkan kelibat Zain dan Rozita di kota keriangan itu pada Isnin lalu.
Zain yang dihubungi Zass tidak menafikan menemani Rozita, namun tetap menegaskan bahawa mereka berdua hanya berkawan rapat.
"Rozita mahu membawa anak-anaknya berjalan sempena musim cuti persekolahan. Rozita mengakui dia tidak berapa cekap memandu di kawasan berbukit dan mengajak saya untuk turut serta.
"Kebetulan saya tiada penggambaran dan jadual kosong, jadi saya bersetuju untuk menemaninya memandangkan kami berkawan rapat," jelasnya.
Zain berkata, hubungannya di antara dia pelakon drama Kiah Pekasam itu hanya berlandaskan seorang kawan. Malah Zain juga enggan mengambil pusing tanggapan orang lain mengenai hubungan mereka.
"Selagi gosip-gosip ini tidak mengganggu hidup dan kerjaya, saya tidak kisah. Tetapi sekiranya cerita ini melebihi daripada apa yang sepatutnya sehingga boleh memburukkan reputasi kami, saya tidak akan berdiam diri," katanya.
Bagaimanapun, Rozita tidak dapat dihubungi Zass bagi mengulas lebih lanjut percutian dan hubungannya bersama aktor kacak itu.

Tarantella serah tindakan lanjut kepada Astro

Posted: 30 Dec 2011 07:00 PM PST

youtube

Penayangan filem Ombak Rindu di laman You Tube tanpa kebenaran pihak produksi, Taranttela Pictures Sdn Bhd hampir selesai apabila Tarantella berjaya menutup filem itu sejak tengah malam semalam.

Menurut Penerbit Penyelaran Tarantella Pictures, Jailani Abdul Ghani, pihaknya menyerahkan kepada pihak pengurusan Astro untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap pihak yang bertanggungjawab memuat naik filem berkenaan.
"Buat masa ini, filem Ombak Rindu sedang ditayangkan di Astro dan terpulang pada budi bicara mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya. Selain di You Tube, pihak kami juga telah dilaporkan bahawa filem ini telah pun dijual menerusi DVD cetak rompak.
"Setakat ini kami hanya menunggu keputusan daripada pihak pengurusan Astro untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Zass, semalam.
Sementara itu, pihak Astro ketika dihubungi masih lagi belum dapat memberi sebarang respons berkaitan isu muat naik filem tersebut kerana individu yang bertanggungjawab menyelesaikannya perkara itu kini berada di luar negara.
Ombak Rindu arahan Osman Ali yang ditayangkan pada 1 Disember lalu, mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat industri tempatan.

Papa I Love You Satukan Zalif, Mia dan Lisa

Posted: 30 Dec 2011 06:59 PM PST

papa

Pengorbanan hidup seorang bapa tunggal bukanlah isu atau topik baru yang mewarnai penceritaan filem mahupun drama tempatan. Pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki pada 2009 pernah tampil dengan karya diberi nama, Papadom,
Di Hollywood pula, jalan cerita memaparkan hubungan bapa dan anak juga pernah dijayakan Will Smith dan anak kandungnya, Jaden menerusi The Pursuit of Happyness pada 2006.
Kini, MIG Production Sdn Bhd tampil dengan kisah kekeluargaan menerusi Papa I Love You yang diarahkan oleh Hashim Rejab dan sudah menemui penonton di pawagam semenjak 29 Disember lalu.
Mencari keunikan filem Papa I Love You, barangkali keberanian David Teo selaku produser apabila memilih pendatang baru, Zalif mendukung watak Bahar sebagai teraju utama di samping Lisa Surihani dan Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan (Mia), 6.
Lazimnya, kisah sebegini bersandarkan pada nama besar aktor yang dihormati bagi menarik perhatian penonton seperti Shaheizy Sam bersama Lisa dan Mia Sara dalam Sekali Lagi.
Zalif atau nama sebenar, Wan Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 26, berkata setelah melihat keseluruhan filem berkenaan, dia berpuas hati dengan lakonannya kerana berasakan sudah memberikan lakonan yang terbaik.
"Papa I Love You merupakan filem pertama saya membawa watak utama. Sewaktu David menawarkan filem ini kepada saya, saya memang rasa terkejut dan berasakan ia adalah satu peluang yang tidak mungkin saya sia-siakan.
"Pada masa sama, tipulah kalau saya tidak bimbang akan risikonya. Namun, saya percaya kejayaan atau kegagalan sesebuah filem bukan pelakon sebagai penyebab semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek.
"Malah, saya juga mendapat maklum balas dari laman sosial Facebook dan Twitter mengenai lakonan saya dan rata-rata berpuas hati selepas melihat filem berkenaan," katanya.
Watak Bahar cabar Zalif
Zalif yang juga mesra disapa dengan nama, Pooh mengakui filem ini turut mendatangkan cabaran tersendiri kerana dia perlu membawa watak sebagai bapa tunggal yang mempunyai seorang anak. Pada ironinya, Zalif belum pernah melalui pengalaman menjadi seorang bapa.
Katanya, pada hari pertama dan kedua penggambaran, dia sedikit kecewa kerana tidak dapat mendekati Mia. Namun Zalif cuba mengorek rahsia daripada Sein dan ibunya untuk mengetahui cara memikat kanak-kanak.
"Memang ia cabaran berat buat pelakon baru seperti saya yang belum cukup pengalaman. Nampak macam mudah tetapi buat saya, ia satu cabaran dan tugas berat. Saya belum berkahwin, apatah lagi melalui pengalaman bergelar ayah.
"Malah saya juga menonton filem The Pursuit of Happyness untuk menghayati watak Bahar ini. Selain itu, saya turut lakukan sedikit kajian dengan mendapatkan pandangan daripada Sein Ruffedge yang pernah berlakon dengan Mia dan Lisa menerusi drama Adamaya.
"Malah saya juga turut meminta pandangan ibu saya dan dia mencadangkan agar saya memberi coklat dan anak patung buat Mia. Alhamdulillah usaha saya itu berhasil apabila sedikit demi sedikit Mia boleh menerima saya dan saya boleh memegang serta memeluknya," katanya yang sehingga kini dipanggil Papa Pooh oleh Mia.
Zalif berkata Lisa juga banyak membantunya bagi mewujudkan keserasian dan juga menampilkan lakonan yang berkesan.

"Bagi saya, cabaran paling berat adalah babak saya berpegang tangan dengan Lisa kerana ketika itu saya memang berdebar-debar. Tetapi Lisa banyak mengajar saya sekali gus membantu membuang rasa debar itu," katanya.
Mahu kekalkan tubuh comel
Menyentuh mengenai karier seninya Zalif berkata, dia bakal tampil dalam filem Hantu Botol Kicap, 7 Petala Cinta, Ajinamoto, Budak Pailang dan Ajiboy selepas ini.
Biarpun masih baru, profil kariernya sudah boleh dibanggakan kerana sehingga kini Zalif sudah berlakon dalam tujuh buah filem. Meskipun berbadan comel, Zalif membuktikan masih ada tempat buat pelakon sepertinya menempa nama dalam bidang seni.
"Buat masa ini saya belum ada perancangan untuk menurunkan berat badan saya kerana saya memang selesa dengan bentuk badan saya. Saya tahu di Malaysia orang memang lihat rupa paras.
"Tetapi saya yakin orang berbadan comel seperti saya juga ada tempat di dalam industri dan individu seperti Angah Raja Lawak, Afdlin Shauki sudah membuktikan bahawa mereka juga boleh membawa apa sahaja watak biarpun berbadan besar," katanya optimis.
Di sebalik perwatakan Elly
Sementara itu, pelakon cantik Lisa Suriani mengakui karya ini amat dekat dengan diri Lisa kerana ia memaparkan hubungan baik antara bapa dan anak perempuan sebagaimana keakraban dirinya dengan arwah bapanya, Mohamed Mahbob.
Katanya, dia memilih untuk terbabit dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang memaparkan kasih sayang di antara bapa dan anak perempuan. Bagaimanapun, terdapat dua situasi yang digambarkan iaitu hubungan baik Bahar dan Mia sementara dirinya sebagai Elly berdepan masalah dengan bapanya, Datuk Kudin watak dimainkan Zaidi Omar.
"Saya sepatutnya memanggil abang Zaidi Omar dengan gelaran, papa tetapi saya meminta izin kepada pengarah untuk memanggilnya daddy kerana itu panggilan saya buat arwah.
"Kebetulan abang Zaidi Omar berkulit cerah dan bermata kecil sama seperti daddy. Terkadang saya berasakan dia seperti bapa saya kerana terdapat banyak persamaan.
"Di alam realiti, hubungan saya dengan arwah daddy sangat baik, sebaliknya dalam Papa I Love You, saya sering terikat dengan babak pertengkaran dengan daddy saya. Salah satunya, saya mengacukan pisau kepadanya. Itu adalah sesuatu yang sukar untuk saya lakukan. Saya sakit hati apabila perlu berbuat demikian," katanya.
Pernah menang Pelakon Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan Pelakon Wanita Terbaik FFM23, Lisa berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan Zalif kerana percaya keserasian itu perlu diwujudkan sebagaimana keserasian yang diwujudkan bersama pasangan layarnya sebelum ini, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.
"Bagi saya setiap naskhah yang saya lakonkan adalah buku baru dan pengalaman baru buat saya. Saya tidak meletakkan diri saya sebagai pelakon senior atau sebagainya. Tetapi saya sama-sama duduk dengan Zalif dan berbincang untuk mewujudkan keserasian," katanya yang bakal memasuki set penggambaran filem Ular terbitan KRU Studios bulan depan.
Mula lakukan persiapan
Mengusik tentang persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung kurang dua bulan lagi, Lisa mengakui sudah mula untuk melakukan persiapan. Namun masih belum ada perbincangan dibuat memandangkan dia dan Yusry agak sibuk buat masa sekarang.
"Setakat ini kami hanya tempah lokasi majlis pernikahan dan resepsi saja. Tentang persiapan lain, masih belum dibincangkan lagi. Tema dan konsep perkahwinan juga belum ditentukan sebab kami masih belum duduk berbincang mengenai perkara ini.
"Ada juga pihak yang menawarkan tajaan tetapi kami masih belum beri kata putus. Lagipun, kami tidak terlalu inginkan itu dan ini. Bagi kami, asalkan majlis berjalan dengan lancar, itu sudah mencukupi. Setakat ini, kedua-dua pihak bekerjasama untuk melaksanakan majlis tersebut," katanya.
Mia perlahan karier seni
Sementara itu, pelakon cilik Mia Sara bakal melangkah ke tahun satu pada 2012 ini akan mula memperlahankan karier seninya.
Menurut bapanya, Ridhuan yang menjawab soalan bagi pihak Mia, meskipun karier seninya berjalan dengan baik sekarang, dia terpaksa utamakan pendidikan anak ketiganya itu.
"Selain sibuk mempromosikan Papa I Love You, Mia juga sedang menjalani penggambaran Cinta Buat Emelda yang akan bersiaran di slot Aksia, TV3 pada Februari nanti.
"Pada Januari ini pula, Mia akan mula melangkah ke sekolah rendah dan demi kebaikannya, karier lakonannya mungkin akan diperlahankan sedikit.
"Tetapi tidaklah sampai berhenti berlakon kerana bukan mudah Mia dapat sampai ke tahap yang dicapai sekarang. Jadi selagi dia boleh kekalkan kariernya, saya akan cuba membahagikan masa yang terbaik buatnya," katanya.
Menyentuh lakonan Mia dalam filem ini, Ridhuan berkata, filem ini mempunyai sedikit kelainan berbanding lakonan Mia sebelum ini kerana dia perlu menghayati watak sebagai anak yatim.
"Bagi memastikan dia benar-benar menjiwai watak, saya dan pengarah dengan bantuan pelakon banyak memberi keterangan padanya. Syukur Mia mudah faham," katanya.

Kembang produk melalui Foodtrails

Posted: 30 Dec 2011 06:30 PM PST

Kembang produk melalui Foodtrails

SEREMBAN – Bagi mengembangkan promosi produk pelancongan, setiap negeri bakal mengelolakan Foodtrails yang mana kaedah ini merupakan satu cara promosi melalui makanan.

Pengarah Tourisme Malaysia (TM) Negeri Sembilan, Hishamuddin Mustafa berkata, Negeri Sembilan bakal mengelolakan program ­seumpama ini dalam masa terdekat.

Menurutnya, kunjungan beberapa agensi pelancongan dan wakil ­media negeri ke Terengganu, baru-baru ini disifatkan sebagai usaha ­berterusan yang dilaksanakan oleh TM negeri untuk terus mengembangkan promosi produk pelancongan masing-masing.

"Kunjungan yang turut diwakili oleh pegawai dari TM Negeri Sembilan bakal meneruskan ­kesinambungan impak kerancakan sektor pelancongan bagi kedua-dua negeri ini khususnya.

"Semua peserta yang terlibat akan dibawa untuk mengenal dan menikmati kelazatan serta keunikan makanan di negeri Adat Perpatih ini," katanya.

Hishamuddin berkata, selain ­fokus kepada mempromosikan produk pelancongan melalui kunjungan ini juga sebagai pendekatan untuk memastikan penggerak sektor pelancongan negeri memperoleh seberapa banyak ilmu untuk dimanfaatkan ­dalam bidang masing-masing bagi sama-sama menjayakan sektor ini.

"Bagi Tourisme Malaysia sendiri, kami sebagai 'front liner' atau runners yang memberikan maklumat kepada pelancong mengenai pelbagai ­mak­lumat perlu memiliki pengetahuan lengkap dan melalui usaha ­seumpama ini dapat memenuhi ­kehendak itu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa Terengganu Monsoon Foodtrails, baru-baru ini.

Katanya, pastinya kunjungan ke Terengganu itu mempunyai strategi tertentu, selain melihat cara mereka menguruskan Foodtrails, mereka juga mempromosikan pelbagai pakej yang ditawarkan ke negeri ini.

"Kita mahu meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri Adat Perpatih ini, sekali gus mencapai ­sasaran 4 juta pelancong tahun ­hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah TM Terengganu Mohd Nasir Kushairi berkata, pelancongan berasaskan makanan diiktiraf sebagai cabang penting dalam industri pelancongan yang semakin mendapat perhatian orang ramai.

"Terengganu Monsoon Foodtrails adalah salah satu program di bawah 'Fabulous Food 1 Malaysia' dan ­program ini adalah julung kali ­diadakan di negeri ini.

"Melalui kepelbagaian makanan dan keunikan selain kelazatannya, ia mampu menarik perhatian ­ pelancong untuk datang berkunjung ke ­lokasi yang menyediakan hidangan tersebut," katanya.

Peserta Terengganu Monsoon Foodtrails dibawa lebih dekat untuk mengenal kepelbagaian jenis ­makanan Terengganu seperti kuih akok, nganang, lok lik dan satar.

Selain itu peserta juga diberikan peluang untuk mencuba sendiri membuat beberapa jenis makanan tradisional Terengganu seperti ­keropok lekor, ketupat sotong dan nasi dagang.

Rozana mati angkara samun

Posted: 30 Dec 2011 06:29 PM PST


TIGA lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Rozana berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Selayang, Gombak semalam.


KUALA LUMPUR – Kes pembunuhan seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditemui mati dengan 15 tikaman minggu lalu memasuki episod baharu apabila polis dapat menahan tiga lelaki semalam bagi membantu siasatan kes yang bermotifkan samun itu.

Suspek-suspek berusia di antara 19 dan 22 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Lembah Pantai di sini manakala seorang lagi suspek diberkas di Kampung Dato' Keramat.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke rumah Rozana untuk menyamun wang serta barangan peribadi mangsa pada hari kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu hanya dua daripada suspek naik ke rumah mangsa manakala seorang lagi menunggu di bawah.

"Maklumat yang kita dapat mengatakan salah seorang suspek berumur 19 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa bercadang mencuri wang serta komputer riba mangsa untuk dijual kepada rakannya yang berusia 22 tahun. Jenayah itu hendak dilakukan ketika mangsa sedang tidur.

"Bagaimanapun, mangsa yang tersedar cuba menghalang perbuatan teman lelakinya sebelum berlaku pergaduhan. Keadaan kemudian menjadi tegang menyebabkan salah seorang suspek menikam mangsa bertubi-tubi dengan pisau," katanya.

Penari tiang kian terdesak

Posted: 30 Dec 2011 06:26 PM PST

ANGGOTA polis menahan seorang GRO yang cuba melarikan diri selepas menyedari kelab malamnya diserbu.


KUALA LUMPUR - Penari-penari tiang berunsur seks di kelab malam di sekitar Lembah Klang mungkin boleh memikirkan 'kerjaya' lain ekoran pihak berkuasa secara berterusan menyerbu premis-premis tersebut selepas pendedahan Kosmo! mengenai kegiatan itu di Pandan Perdana, Ampang Jaya Khamis lalu.

Terbaharu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menggempur sebuah pub di Taman Maluri di sini yang turut menyajikan tarian tiang berunsur seks kepada pengunjung pada pukul 1.45 pagi.

Dalam serbuan itu, polis menahan seramai 55 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) tempatan yang disyaki pelayan dan penari tiang berpakaian seksi berusia di antara 17 dan 40 tahun. Mereka ditugaskan untuk melakukan aksi mengghairahkan di pub itu.

Turut ditahan ialah 65 pelanggan termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun sebelum dibebaskan sebaik polis berpuas hati dengan keterangan masing-masing.

Seperti di kelab malam di Pandan Perdana, pelanggan di pub berkenaan yang berminat dengan mana-mana penari boleh membeli kalungan bunga, mahkota atau jubah khas pada harga di antara RM20 dan RM1,000 untuk diberikan kepada gadis-gadis yang berkenan di hati.

Layanan istimewa pula menanti pelanggan yang memberikan tiga barang itu kepada penari.

Modus operandi tersebut kelihatan hampir sama di setiap premis yang menawarkan perkhidmatan gadis penari tiang dan ia mendapat sambutan hangat pengunjung.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa berkata, pub tersebut beroperasi sejak tiga tahun lalu dan disyaki turut menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Majlis Bahasa Inggeris ditubuh tahun depan

Posted: 30 Dec 2011 06:26 PM PST


MUHYIDDIN (tengah) berbual dengan beberapa pelajar semasa melawat SMK Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pada masa ini hanya terdapat satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian bahasa Inggeris pelajar yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

"Bila kita kata pelajar itu pandai bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya. Jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.

"Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan bahawa pencapaian bahasa Inggeris yang dicapai oleh sekolah-sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail di sini semalam.

Ahli perniagaan didakwa tipu NFC RM1.755 juta

Posted: 30 Dec 2011 06:24 PM PST


WAJAH Shamsubahrin ketika keluar
dari Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur
semalam.


KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu Pengarah National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail (gambar kecil), membabitkan jumlah RM1.755 juta.

Beliau membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain petang semalam.

Ahmad Zamzani membenarkan Shamsubahrin, 45, dari Bukit Jelutong, Shah Alam, diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn. Bhd. itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Pengarah NFC itu menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Didera ibu angkat

Posted: 30 Dec 2011 06:23 PM PST


KESAN lebam yang terdapat pada perut mangsa (gambar kecil) ketika ditemui di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai didera ibu angkatnya sejak empat bulan lalu berakhir apabila dia diselamatkan polis Rabu lepas.

Perkara itu terbongkar selepas seorang jiran membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk diperiksa selepas mendapati badan dan mata kiri kanak-kanak itu lebam-lebam. Lebih tragis kemaluan kanak-kanak itu mempunyai kesan torehan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditinggalkan ibu angkatnya untuk dijaga oleh jiran di Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar di sini pada pukul 4.30 petang Rabu lalu.

Katanya, wanita itu meninggalkan mangsa sementara di situ kononnya kerana hendak ke Kelantan.

"Jiran mangsa yang berusia 39 tahun kemudian terperanjat apabila menemui kesan lebam dan torehan pada badan mangsa ketika hendak memandikannya sebelum membawanya ke hospital.

"Polis kini mencari ibu angkat mangsa berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak," katanya.

Peraturan baharu tahun 2012

Posted: 30 Dec 2011 06:17 PM PST


PENGGUNA jalan raya yang gagal mematuhi arahan pemakaian tali pinggang keledar belakang akan dikenakan kompaun RM300 mulai tahun 2012. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang merupakan antara peraturan baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.

Pengguna jalan raya yang gagal mematuhinya akan dikenakan kompaun RM300.

Selain itu, arahan penyeragaman logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 ini.

Selain itu, pelaksanaan kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang memperoleh gaji bulanan kurang daripada RM5,000 yang juga mula berkuat kuasa.

Ekoran Bajet 2012 pula, seramai 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi tempatan dan pelajar sekolah menengah akan menerima baucar buku RM200 mulai Januari ini.

Daripada aspek pendidikan, mulai tahun 2012, Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bakal dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah.

Bermula 1 Januari juga, kerajaan bersetuju melakukan pengumuman dalam bahasa Tamil disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Terbang Tambang Murah.

18 penduduk rugi

Posted: 30 Dec 2011 06:14 PM PST


NAIN menunjukkan televisyen dan kipas angin yang rosak ekoran arus elektrik berlebihan di rumahnya di Kampung Merbau 9, Pedas semalam.


REMBAU – Seramai 18 penduduk di Kampung Merbau 9, Pedas dekat sini mengalami kerugian selepas pelbagai barangan milik mereka rosak ekoran kejadian arus elektrik berlebihan pada 25 Disember lalu.

Antara barangan tersebut termasuklah televisyen, mesin basuh, peti sejuk, kipas angin, radio dan lampu.

Seorang penduduk, Haziah Muhamad, 40, mendakwa, dia menyedari kejadian itu kira-kira pukul 3 petang apabila kipas siling di rumahnya berputar dengan laju secara tiba-tiba serta mengeluarkan bunyi berdengung.

"Tidak lama selepas itu saya mendengar bunyi letupan kecil diikuti beberapa peralatan di rumah saya berhenti berfungsi dan mengeluarkan asap serta bau hangit.

"Saya anggarkan kerugian mencecah ribuan ringgit kerana peralatan elektrik seperti televisyen, kipas, lampu dan mesin basuh rosak dan tidak boleh digunakan lagi," katanya di sini semalam.

Suri rumah itu berkata, dia kemudian dimaklumkan bahawa beberapa jirannya turut mengalami nasib yang sama.

Konsert Ambang 2012 di Dataran Merdeka

Posted: 30 Dec 2011 06:13 PM PST


Najwa


KUALA LUMPUR - Institusi perbankan terkemuka, AmBank Group (AmBank) akan menganjurkan sambutan tahun baharu 2012 di sini malam ini.

Sambutan yang dikenali sebagai Konsert Ambang 2012 itu akan diadakan di Dataran Merdeka di sini bermula pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Pengunjung konsert akan dihiburkan dengan pertunjukan bunga api tepat jam 12 tengah malam sebagai menandakan ketibaan tahun baharu.

Konsert itu bakal menampilkan barisan artis popular seperti Datuk M. Nasir, Mizz Nina, Jamal Abdillah, Awie, Faizal Tahir, Hujan One Nation Emcees, Hillary Ng, Malique, Najwa Latiff, Desiree Tan dan Sabhi Saddi.

Majlis yang sama dijangka turut dihadiri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik dan Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim

Ia akan disiarkan secara langsung di TV2 bermula jam 9.30 malam sehingga 1 pagi.

Kontroversi seni

Posted: 30 Dec 2011 06:12 PM PST


FOTO kontroversi Nabila bersama lelaki misteri.


Nakal Nabila Huda - TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya. Peribahasa itu mengena tepat pada Nabila Huda, puteri kepada rocker Amy Search. Nabila mengejutkan khalayak menerusi tuntutan cerai daripada suaminya setelah tiga tahun berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Selang beberapa ketika, Nabila muncul dengan kontroversi panas menerusi penyebaran foto bercium bersama lelaki yang didakwa seorang pengajar ilmu selam ketika sedang bercuti di Pulau Tioman bersama rakan-rakannya. Bukan itu saja, foto itu memaparkan keadaan Nabila beraksi liar dengan memakai bikini.

Nabila pada awalnya enggan mengulas, namun tampil dalam sebuah program hiburan dan meluahkan segala yang berlaku termasuk rasa kesalnya dan permohonan maaf secara terbuka kepada semua peminatnya.

Sebagai bapa, Amy Search juga terkejut dengan tindakan anaknya itu dan hanya mampu menasihati agar lebih bersopan. Kata orang, sebagai seorang selebriti, setiap perkara yang dibikin akan diperhatikan orang sekeliling.

Fenomena hiburan

Posted: 30 Dec 2011 06:11 PM PST



Karisma Aaron Aziz - WANITA mana yang tidak penasaran dengan aura aktor kacak, Aaron Aziz, sementelah watak romantis yang dimainkan dalam drama rantaian Nora Elena sebagai Seth Tan ini telah melonjakkan namanya dengan cukup tinggi sebagai aktor yang wajib diberi perhatian pada tahun ini dan 2012.

Dilahirkan di Singapura dan kini sudah menjadi warganegara Malaysia, catatan karier Aaron bertambah cemerlang dengan deretan filem dan keberkesanan lakonannya dalam naskhah-naskhah seperti KL Gangster dan terbaru, filem Ombak Rindu yang mencecah kutipan lebih RM11 juta!.

Karier Aaron dijangka akan semakin cerah saat kalander 2012 apabila dia juga kini menjadi pilihan banyak produk yang mahukan dirinya menjadi duta. Apabila seseorang artis sudah layak menjadi duta, itu bermakna mereka memang sudah cukup kuat dalam industri seni tempatan.

Anekdot dunia

Posted: 30 Dec 2011 06:09 PM PST




Ariel Peterpen dipenjara - NAMA Ariel Peterpan cukup hangat sepanjang 2010 kerana kes video lucahnya bersama beberapa wanita jelita termasuk selebriti terkenal Indonesia seperti Cut Tari dan Luna Maya. Selepas perbicaraan, pada 31 Januari 2011, Ariel dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan dan denda sebanyak RM87,852. Ia hukuman yang lebih ringan berbanding yang diajukan sebelum ini.

Bieber tonton perlawanan bola keranjang NBA

Posted: 30 Dec 2011 06:08 PM PST

JUSTIN BIEBER duduk di barisan depan penonton semasa dia menyaksikan perlawanan bola keranjang di Pusat Udara Kanada, Toronto pada Rabu lalu.


TORONTO, Kanada - Penyanyi remaja berusia 17 tahun dari Kanada, Justin Bieber menonton perlawanan bola keranjang antara pasukan Toronto Raptors dan Indiana Pacers di sini pada Rabu lalu.

Dia memakai pakaian berlengan panjang, topi berwarna biru, seluar panjang dan sepasang kasut gelap semasa menonton perlawanan tersebut.

Bieber merupakan penyokong pasukan Toronto Raptors.

Dia yang merupakan kekasih penyanyi Amerika Syarikat, Selena Gomez, 19, turut menyaksikan pasukan sorak Toronto Raptors membuat persembahan di Pusat Udara Kanada.

Bieber duduk di barisan depan penonton semasa dia menonton persembahan pasukan sorak tersebut yang berpakain skirt pendek berwarna merah.

Namun, pasukan kegemaran Bieber itu tewas kepada Indiana Pacers dengan mata 90-85 dalam perlawanan anjuran Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan NBA.

Kapal selam Rusia terbakar

Posted: 30 Dec 2011 06:08 PM PST


ASAP menjulang tinggi dari sebuah kapal selam nuklear Yekaterinburg yang terbakar di sebuah limbungan di wilayah Murmansk, Rusia kelmarin.


MOSCOW - Tentera Rusia menyatakan sejumlah kru sebuah kapal selam nuklear yang terbakar masih berada di dalam kapal selam berkenaan manakala tujuh lagi dihantar ke hospital selepas terhidu asap beracun.

Kementerian Pertahanan Rusia memberitahu, tiada kebocoran radiasi dalam kebakaran yang berlaku kelmarin di sebuah limbungan kapal di wilayah Murmansk.

Ketika kejadian, kapal selam terbabit, Yekaterinburg ditempatkan di sebuah limbungan kering di lokasi berkenaan.

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu semalam.

Pihak tentera dalam satu kenyataan memberitahu, api bermula di sebuah perancah kayu di limbungan berkenaan sebelum merebak ke bahagian badan kapal selam tersebut.

Menurut kenyataan sama, reaktor kapal selam nuklear Yekaterinburg telah dimatikan manakala 16 buah peluru berpandu nuklear telah dikeluarkan sebelum ia dibaikpulih di limbungan itu.

Pada 18 Ogos 2000, kapal selam nuklear Rusia, Kursk tenggelam di Laut Barents selepas berlaku letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran pada sistem bahan api yang merebak ke tempat simpanan peluru torpedo kapal selam berkenaan.

Semua 118 kru kapal selam sepanjang 154 meter dengan berat sekitar 16 tan itu terbunuh dalam insiden tersebut.

40 buah kenderaan berlanggar

Posted: 30 Dec 2011 06:07 PM PST


SEJUMLAH kenderaan yang terlibat dalam nahas di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans kelmarin.


NEW ORLEANS, Amerika Syarikat - Dua lelaki mati dan 61 lagi cedera kelmarin menjelang subuh dalam nahas yang melibatkan 40 buah kenderaan, kata polis.

Nahas yang turut melibatkan kereta dan van itu berlaku ketika pemandu memandu dalam keadaan kabus tebal yang membataskan penglihatan di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans.

Menurut beberapa orang yang melalui tempat kejadian, mereka mendengar mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut meminta pertolongan.

"Anda baru mendengar semua bentuk panggilan dan orang ramai menjerit meminta pertolongan," kata seorang pemandu trak tunda, Wesley Ratcliff kepada stesen televisyen tempatan WWL-TV.

Menurutnya, dalam tempoh 13 tahun kerjayanya bertindak balas dengan nahas, kemalangan tersebut adalah yang paling buruk pernah dilihatnya.

Seorang jurucakap polis, Garry Flot tidak bercakap mengenai kemungkinan punca nahas.

Menurutnya, seorang mangsa yang mati itu merupakan pemandu sebuah trak pikap.

Dia berkata, seorang lagi mangsa yang mati ialah seorang penumpang sebuah trak pikap lain yang berusia 54 tahun.

Beberapa pemandu yang melalui lebuh raya itu ketika nahas menyatakan, mereka tiba-tiba berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat cahaya lampu kereta.

"Saya berpendapat ia kabus tetapi suami saya menganggap ia merupakan asap," kata seorang saksi, Stacie Williams kepada stesen televisyen WWL-TV.

Festival meriam buluh di Pulau Mindanao

Posted: 30 Dec 2011 06:02 PM PST


ORANG ramai mengelilingi replika meriam buluh Howitzer di Festival Meriam Buluh di Bandar Kidapawan, Mindanao semalam.


BANDAR KIDAPAWAN, Filipina - Sebuah replika meriam diperbuat daripada buluh mencuri tumpuan para pengunjung di Festival Meriam Buluh yang berlangsung di sini, Pulau Mindanao semalam.

Diadakan pada setiap tahun, festival berkenaan merupakan sebahagian kempen pemerintah untuk mencegah orang ramai daripada terlibat dengan aktiviti membakar mercun yang boleh membahayakan mereka semasa musim cuti perayaan Krismas di Filipina.

Pelbagai jenis meriam buluh dipamerkan pada festival berkenaan.

Filipina mempunyai musim cuti Krismas terpanjang di dunia.

Anak gajah enggan ditimbang

Posted: 30 Dec 2011 05:59 PM PST


SEORANG pekerja menarik belalai anak gajah itu supaya haiwan itu berdiri di atas alat penimbang di Zoo Wuppertal, Jerman kelmarin.


WUPPERTAL, Jerman - Dua keping gambar menunjukkan seorang pekerja menarik belalai seekor anak gajah untuk memujuk haiwan itu menaiki sebuah alat penimbang di Zoo Wuppertal, di sini kelmarin.

Pekerja berkenaan menarik belalai anak gajah bernama Uli itu untuk merekodkan berat haiwan tersebut dalam prosedur rutin di zoo berkenaan.

Namun, Uli yang ketakutan enggan memberi kerjasama apabila haiwan tersebut meundukkan kepalanya bagi mengelak ia ditarik ke atas penimbang tersebut.

Anak gajah itu kemudian akhirnya berdiri di atas penimbang tersebut dengan seorang kakitangan membelai kepala haiwan tersebut.

Berseronok dalam kedinginan salji

Posted: 30 Dec 2011 05:58 PM PST



BAYANGKAN gaya hidup masyarakat kota metropolitan dan desa yang tidak terkejar-kejar lantaran rentak harian yang diperlahankan mood bercuti dan suhu dingin. Begitu juga dengan suasana romantis saat berehat di hadapan ruang pendiangan api, menikmati makanan hangat yang lazat, bermain salji dan menaiki kenderaan luncur salji.

Biarpun tenaga fizikal dan rasa teruja itu dipengaruhi keinginan santai berehat dan bermalas-malasan, itu tidak bermakna musim sejuk ini hanya membataskan anda di dalam kediaman. Bagi yang berkemampuan dari segi kewangan dan bersemangat kembara, musim ini juga menjadi momen terbaik untuk menghabiskan waktu bersama keluarga dan insan tersayang di destinasi bermusim sejuk.

Lokasi yang mungkin termasuk dalam senarai percutian sehingga Februari tahun hadapan tentunya resort ski popular. Kalau ramai pelibur di negara beriklim sejuk membuat keputusan untuk ke destinasi tropika yang mataharinya terus memancar terik, pasti ramai dalam kalangan kita yang mahu juga menikmati keseronokan dalam musim salji.

Karnival Musim Salji Quebec

Semenjak aura kehidupan Perancis membentuk koloni di Quebec, masyarakatnya menjalankan tradisi tahunan meraikan kulinari dan kebersamaan. Di wilayah istimewa Kanada itu, sebuah karnival musim sejuk yang meriah dianjurkan setiap tahun sejak tahun 1824.

Sentiasa melaksanakan pengisian baharu untuk menambah tarikannya, festival tersebut kali ini bakal berlangsung dari 27 Januari hingga 12 Februari 2012. Sesuai untuk dikunjungi semua lapisan usia, antara aktiviti yang dapat disaksikan dan disertai adalah mandian hangat, perarakan malam, luncur salji, fusbol, pertandingan mengarca salji, persembahan hiburan serta bermain ski.

Quebec sememangnya destinasi musim sejuk yang ditunggu-tunggu! Oh ya, kalau datang berdua dengan si dia tersayang, bolehlah menuju ke Ice Palace kerana di situ janji kesetiaan dan kasih sayang dapat diperbaharui bersaksikan seni bina fantasi yang dibuat secara keseluruhan daripada bongkah ais.

Kehangatan onsen


Para pelancong teruja menaiki kereta luncur salji yang ditarik oleh rusa kutub di wilayah Lapland dekat utara Finland.


Onsen bermaksud kolam air hangat dalam bahasa Jepun, namun istilah itu juga merujuk kepada premis mandian umum dan rumah penginapan yang terletak berdekatan dengan punca air semula jadi tersebut.

Jepun terletak dalam zon gunung berapi aktif, maka terdapat ribuan onsen di seluruh pulau tersebut. Secara tradisinya, ia menjadi tumpuan orang awam untuk membersihkan diri, namun kini tarikan onsen telah menjadi magnet pelancongan di Negara Matahari Terbit itu terutamanya dalam kalangan pelancong dari luar negara.

Bergantung kepada pilihan masing-masing, pengunjung boleh mencuba mandian onsen di ruang terbuka (rotenburo) atau mandian di premis tertutup. Sebagai cadangan untuk pasangan romantis, mereka boleh memilih untuk menginap di bilik hotel yang mempunyai akses peribadi ke ruang onsen yang privasi.

Onsen yang terletak di kawasan kampung juga adalah disyorkan kerana ia menawarkan pengalaman ideal bagi mengisi momen santai sekali gus melenyapkan stres akibat kesibukan gaya hidup urban.

Festival Sirap Maple

Pilihan destinasi ini adalah untuk mereka yang mahu meraikan musim sejuk dalam kelazatan dan kemanisan. Sirap maple dari wilayah timur laut Amerika Syarikat, New England. Negeri-negeri terlibat seperti Vermont, Massachusetts dan New Hampshire menjadi tuan rumah kepada banyak acara yang berkait rapat dengan industri pengeluaran sirap maple mereka.

Terkenal ke serata dunia, produk kebanggaan mereka itu terasa lebih enak jika dirasa apabila berada di festival berkenaan, berbanding mendapatkannya di para-para pasar raya. Pengunjung boleh terus merasai kesegaran dan kemanisan sirap maple yang dituang terus ke atas salji lantas menjadi gula-gula beku.

Pengunjung yang datang berpasangan dipelawa untuk mengikuti aktiviti dalam pakej bersiar-siar Sirap Maple New England. Antara pengisiannya adalah lawatan ke ladang pembuatan gula maple, Santuari Hidupan Liar Moose Hill, Muzium Maple Vermont atau Parker's Maple Barn di Mason.


SIRAP maple dibotolkan secara langsung dan dijual kepada pengunjung sempena Festival Sirap Maple New England.


Safari rusa kutub

Pernahkah anda melihat singa, kuda belang dan gajah di safari Afrika? Jika pernah, cuba fikirkan kelainan dengan mengikuti ekspedisi safari berbeza sempena musim sejuk ini di Lapland - sebuah kawasan terpencil di penghujung utara negara Sweden dan Finland.

Pastikan tubuh dibaluti pakaian panas yang tebal apabila mahu menuju ke destinasi istimewa ini. Dalam kereta salji yang ditarik rusa kutub yang jinak, dakaplah insan tersayang masing-masing saat ia merentasi landskap yang diselaputi keputihan salji.

Jika bercadang untuk tinggal di Lapland lebih lama, aktiviti safari rusa kutub boleh digabungkan dengan aktiviti musim sejuk yang lain seperti melawat lokasi melihat Cahaya Utara (aurora borealis) yang indah di hamparan langit luas. Sebuah penginapan unik bernama Ice Hotel di perkampungan Jukkasjärvi di Sweden juga menawarkan pengalaman inap desa yang menarik.

Pasar Krismas

Jerman sangat terkenal dengan pasar Krismas. Dikenali dengan nama Christkindlmarkt atau Weihnachtsmarkt, lokasi pasar sentral di Nürnberg merupakan salah satu daripada pasar paling tua dan tradisional di negara itu.

Tahun ini, pasar popular itu dibuka dari 25 November hingga 24 Disember. Sepanjang tempoh itu, orang ramai akan bersesak di rangkaian lorong yang dibentuk daripada susunan banyak pondok jualan dan gerai.

Pelbagai jenis barangan ditawarkan - daripada aksesori perhiasan diri, barangan rumah hinggalah kepada dekorasi Natal dan masakan tempatan. Terdapat gerai-gerai khusus yang mempamerkan dekorasi Krismas yang tipikal seperti figura dan arca yang diukir secara langsung daripada bongkah kayu. Bagi yang ingin merasa hidangan, bolehlah mencicip GermanLebkuchen, iaitu roti halia bersama kopi panas.

Spa termal


SEORANG pengendali kereta luncur salji sedang memperkemas ikatan pada rusa kutub peliharaannya.


Ketika musim panas, Slovenia menjadi destinasi terkenal buat pelibur yang mahu menikmati pengalaman rawatan spa dan mandian. trend itu didorong oleh tawaran harga yang rendah berbanding banyak lokasi di keseluruhan Eropah.

Dalam musim sejuk pula, aktiviti itu masih boleh disertai tetapi sebaik-baiknya ia dilakukan di dalam premis. Terdapat banyak pusat spa kesihatan termal untuk dipilih. Sama ada berehat-rehat dalam buih jakuzi atau 'menyerahkan' tubuh kepada kepakaran tukang urut yang melegakan urat serta otot, semua itu bakal menjanjikan kepuasan.

Kemudian, akhiri sesi bersiar-siar dengan menikmati secawan teh atau coklat hangat di bilik penginapan sambil menyaksikan emping halus salji yang turun dari jendela kaca. Sesiapapun pasti kembali dari percutian tersebut dengan kedamaian dan kesegaran minda, fizikal dan emosi.

Kota romantis pengunci cinta

Posted: 30 Dec 2011 05:53 PM PST


JUTAAN mangga terdapat di sekitar Menara Seoul yang menjadi lambang penyatuan cinta.


MENDAPAT tugasan untuk menyertai rombongan pelancongan ke negara 'ginseng' ini pada 25 November hingga 30 November anjuran QS Travel, ia bagaikan mimpi buat penulis. Perasaan pastinya teruja untuk melihat sendiri apa yang ada di negara yang mana artis-artisnya menjadi igauan anak remaja Malaysia.

Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea pada jam 6 pagi yang ketika itu bersuhu 5 darjah celcius, penulis seperti tidak percaya sudah berada di bumi Seoul.

Menyertai lebih 50 orang peserta rombongan, kami disambut baik oleh pemandu pelancong yang dikendalikan oleh QS Travel Sdn Bhd dan Ziarah Sutera Holdings, iaitu Sue Yen dan Daniel.

Membawa seribu satu perasaan berikutan ini kali pertama penulis menjejakkan kaki di Korea, maka segala perkara mahu dirakam menerusi lensa kamera, sehinggakan cuaca yang sejuk langsung tidak diendahkan.

Menyelusuri jalan raya di kota Korea itu, ia sebenarnya membuatkan hati penulis kagum!

Bandar raya itu terlalu bersih. Malahan, tiada langsung sampah yang berterbangan di bumi Korea, bahkan tiada tong-tong sampah disediakan di tepi-tepi jalan ataupun di hadapan deretan kedai.

Orang Korea gemar blind date

Memulakan langkah pertama di Korea dengan melawat Seoul Tower di Namsan Mountain, pusat kota Seoul, Korea Selatan, ia merupakan sebuah lokasi yang dijadikan tempat untuk warga Korea 'mengunci' cinta mereka agar terus utuh dan berkekalan.


MENARA Seoul menawarkan pemandangan sekitar bandar raya itu dari ketinggian 236 meter.


Di sini terdapat berjuta jenis kunci dan mangga, yang telah ditinggalkan oleh ribuan pasangan muda-mudi yang sedang hangat bercinta sejak ia dipopularkan mulai tahun 1990-an lagi.

Jadi tidak hairanlah jika dikatakan masyarakat Korea sangat romantis bila menyentuh bab cinta kerana mereka sendiri membina satu kubu cinta setinggi menara Seoul.

Menurut Sue Yen, permulaan cinta remaja Korea kebiasaannya bermula dengan blind date yang diatur oleh mereka untuk bertemu dengan lelaki yang serasi.

Bagaikan sudah menjadi tradisi, acara perjumpaan blind date sememangnya dinantikan oleh anak-anak remaja di sini.

Walaupun tidak ramai yang berjaya sepenuhnya mencari cinta dengan cara sebegini, namun mereka tetap mahu mencuba setiap kali berada di sekolah menengah.

Kubu cinta Winter Sonata

Keesokan harinya, rombongan kami dibawa ke Pulau Nami, sebuah pulau yang cukup terkenal selepas penggambaran drama bersiri Winter Sonata, sebuah drama Korea yang mendapat sambutan hangat di Malaysia sekitar tahun 2002

Pulau tanpa penduduk itu terletak di tengah-tengah Sungai Han dan ia yang berfungsi semata-mata bagi tujuan pelancongan dikatakan milik orang perseorangan.

Melihat kekacakan Bae Yong Jun dan kejelitaan Choi Ji Woo yang membawakan watak Kang Joon-sang dan Jun Yu-jin dalam drama Winter Sonata itu, penulis tercari-cari jua kelibat-kelibat wajah sebegitu di sana, namun ternyata bukanlah mudah.

Setiba di Pelabuhan Gapyeong, perjalanan perlu diteruskan menaiki feri menyeberangi Sungai Han yang mengambil masa kira-kira lima minit. Ferinya amat unik apabila dihiasi bendera negara-negara di dunia yang pelbagai rupa dan corak.


PENULIS sempat mencuba pakaian tradisional dipanggil hanbok.


Kibaran bendera pelbagai negara itu sesuai dengan slogan pulau berkenaan, kita semua bersaudara.

Bagi penulis, kunjungan ke pulau kecil itu sewaktu ia belum dilitupi salji kurang menyeronokkan kerana persekitarannya hampir sama seperti kebanyakan pulau lain.

Khabarnya waktu terbaik dan paling romantis situ ialah pada musim bunga kerana keindahannya lebih terserlah.

Pulau Nami boleh dikatakan 'kosong' kerana tarikan ke sana hanyalah disebabkan drama bersiri itu dan kisah percintaannya. Di sini pengunjung boleh memilih menaiki kereta api, kereta atau basikal untuk meneroka keindahan persekitaran.

Antara ginseng dan batu jed

Seperti masyarakat China, rakyat Korea juga sangat mempercayai kehebatan ginseng.

Cuma bagi kita masyarakat Melayu, ginseng bukanlah berada dalam senarai utama penawar kesihatan.

Jadi ketika dibawa melawat ke sebuah kilang penghasilan ginseng, maka tidak ramai yang berminat untuk membelinya, melihat pada harganya yang mencecah ribuan ringgit sudah tentu ia semakin melunturkan semangat kami.

Selepas melawat kedai dan kilang ginseng, kami semua dibawa melawat ke sebuah kedai menjual batu jed.

Ketika di sini, apa yang penulis nampak hampir semua pelancong yang menyertai rombongan kami mengambil peluang memborong batu-batu jed yang sudah dijadikan rantai, cincin dan gelang.

Biarpun harganya tinggi, namun rata-rata mereka sanggup mengeluarkan kad kredit masing-masing untuk memiliki barangan kemas itu.

Sebelum bertolak pulang, kami dibawa membeli-belah di Dongdaemum Market, memandangkan kunjungan kami berlangsung pada musim sejuk, maka kebanyakan kedai-kedai di Dongdaemum hanya menjual barangan untuk musim sejuk sahaja.


KEINDAHAN Pulau Nami dipaparkan penuh pesona dalam drama bersiri Winter Sonata.


Di sini penulis dapat melihat sendiri kegigihan golongan sederhana di Korea mencari rezeki, biarpun ramai yang mengatakan masyarakat Korea tidak pandai berbahasa Inggeris dan sukar untuk melayan tetamu dari negara lain namun, sebenarnya mereka mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian pelancong.

Hanya mengucapkan salam perkenalan annyung haseyo, ia sebenarnya sudah cukup membuatkan mereka tersenyum mesra. Apatah lagi, apabila kita menggunakan ungkapan yang sedikit nakal seperti saranghae (saya cinta kamu) ataupun jungmal chohayo (saya suka kamu), ia makin memudahkan kita untuk mendapatkan harga yang murah.

Apa yang pasti perjalanan ke Korea sungguh menghiburkan, biarpun penulis hadir sebagai memenuhi tugasan yang diberikan oleh ketua dan tidak mempunyai tempoh persediaan yang lama sebelum berangkat, namun syukur segala-galanya di sana berlangsung dengan baik.

Buat kota Korea dan semua yang telah memberikan kerjasama di sana, gamsa hamida (terima kasih) penulis ucapkan!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved