Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Teater dunia Stephanie, Aaron
- Mariah Carey tayang anak
- Cabaran vokal tanpa suara
- Zamri, Hafizh dijana Moriwaki
- Torres julang Chelsea
- Gaddafi akhirnya mati ditembak
- Bon Jovi buka restoran amal
- Babun buka pintu kereta larikan barang
- Penurap bata hasilkan model jet pejuang
- Hembus nafas ke dalam mulut anjing
- Teknik yoga udara semakin diminati
- Fenomena Law Kana Bainana
- 50 tahun melawan mitos pil kontraseptif
- Riang sambil bimbing pembelajaran
- Photomarathon membidik foto terbaik
- Don't Know Much teksi juara
Posted: 20 Oct 2011 06:37 PM PDT
WALAUPUN ramai yang menganggap teater The Secret Life Of Nora (NORA) adalah teater berbahasa Inggeris disebabkan oleh judulnya begitu, namun hakikatnya pementasan yang diterbitkan di bawah pihak produksi Enfiniti Vision Media milik Datin Seri Tiara Jacquelina ini sebenarnya menggunakan 70 peratus bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu sendiri. Walaupun diselit seorang pelakon yang berdialog di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya yang memegang watak perisik dari luar negara, ejen Roger Foss, namun kesemua pelakon lain yang ada menggunakan bahasa Melayu. Bagi dua watak pembantu yang agak menyerlah dalam NORA iaitu Stephanie Van Driesen yang memegang watak Betty dan Aaron Khaled sebagai Sharif, rasa teruja berlakon menerusi teater berskala besar dan di bawah produksi Tiara sendiri menyebabkan mereka menerima tawaran yang diberi. "Apabila saya mendengar tentang teater ini, terus terlintas di fikiran bagi mencuba nasib untuk bekerja di bawah Tiara. Itu merupakan tujuan utama saya terima tawaran ini kerana saya ingin merasai sendiri bagaimana bekerja dengan produksi yang sememangnya gah membawa pentas teater dalam industri hiburan tempatan," bicara Stepahie yang merupakan kacukan Cina, Thailand dan Belanda. Begitu juga keterujaan yang diluahkan oleh jejaka yang memegang watak pembantu kanan kepada Aznil Nawawi sebagai Mr. J Heart ini. "Saya menerima tawaran ini kerana memang sudah lama saya ingin bekerja bersama produksi Tiara. Kali ini, mungkin tuah saya kerana setelah tamat belajar di luar negara dan kembali di sini, kebetulan Tiara muncul dengan teater ini. Saya akui ia seperti mimpi menjadi kenyataan apabila saya ditawarkan untuk berlakon sebagai Sharif," tutur Aaron yang menganggap Tiara sanggup mengambil risiko walaupun dirinya masih baharu di dalam industri teater. Berbicara mengenai watak pula, Stephanie, 27, yang memegang watak Betty iaitu merupakan seorang yang pemalu dan rakan baik kepada watak utama ejen Nora (lakonan Tiara) yang juga dianggap sebagai kakaknya sendiri.
Membesar dengan melihat Nora mengejar cita-cita ingin menjadi bintang, Betty juga menyimpan perasaan ingin menjadi seperti Nora, namun disebabkan dirinya yang pemalu, dia hanya memendam hasrat itu. Bagi Aaron pula, watak Sharif merupakan seorang pembantu yang setia kepada Mr. J Heart yang dilakonkan oleh Aznil. Berperwatakan antagonis, Sharif bertindak sebagai pelapor kepada Mr. J tentang apa yang berlaku di dunia luar. Selain itu, dia juga sering berada di belakang Mr. J walau apa pun terjadi. Namun begitu, walaupun mereka sudah biasa dengan pementasan teater, kali ini ia berbeza. Bagi kedua anak muda yang jarang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka, penggunaan 90 peratus watak mereka yang menggunakan bahasa Melayu sedikit menyukarkan kedua anak campuran ini. Cabaran dialog bahasa Melayu Menurut Stephanie, cabaran terbesar bagi dirinya bukanlah mengenai nyanyian mahupun lakonan tapi, untuk fasih berdialog dan mengaplikasikan pelat Melayu di dalam percakapan merupakan kesukaran bagi diri yang memang sering bertutur di dalam bahasa Inggeris. Namun, cabaran itu ditempuhi dengan penuh sabar kerana minat yang mendalam dan mencuba sebaik mungkin untuk berikan yang terbaik buat penonton yang hadir. "Walaupun pada mulanya agak sukar, namun penolong pengarah, Chedd Eddie Yusof banyak memberi tunjuk ajar untuk saya fasih berbahasa Melayu. "Saya memang mencuba sebaik yang mungkin untuk mendapatkan pelat Melayu dan itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus mencuba kerana saya sebenarnya sangat gembira melakukan ia," tuturnya yang berkelulusan Ijazah dalam Teater Muzikal, LASALLE College of The Arts, Singapura ini. ![]() PEMENTASAN NORA merupakan buah tangan terbaharu daripada produksi Tiara Jacquelina. Tambah wanita bersuara manja ini, apabila pertama kali mengetahui perlu berdialog di dalam bahasa Melayu, terdetik rasa malu dan segan di dalam diri kerana pada mulanya, pelatnya kedengaran seperti orang Cina atau masih kedengaran seperti orang Inggeris. Walaupun faham apa yang ditutur orang namun, kepayahan itu hadir ketika ingin kedengaran seperti Melayu. Lain pula cerita Aaron yang sememangnya sudah punya darah kacukan Melayu. Mengaplikasi bahasa Melayu dalam pertuturan bukanlah perkara yang sukar buat empunya diri. Namun, cabaran itu hadir tatkala ingin berbicara ayat-ayat bunga serta penghayatannya. "Walaupun saya banyak terlibat di dalam pementasan teater tapi ini kali pertama saya perlu berdialog dalam bahasa Melayu. "Pada mulanya agak kelam- kabut juga kerana bahasa di dalam skrip yang diberi bukannya bahasa harian atau bahasa rojak yang sering digunakan. "Ia menggunakan metafora dan saya perlu benar-benar memahaminya kerana jika tidak, mesej yang ingin disampaikan mungkin tidak berkesan," katanya yang mana dia banyak menonton filem-filem Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan. Pementasan teater NORA telah dipentaskan bermula 29 September hingga 16 Oktober di Istana Budaya. Teater yang mengisahkan tentang perjalanan hidup penuh glamor seorang penari kelab, Nora berubah menjadi seorang perisik. Selain Tiara, Aznil, Stephanie dan Aaron, antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan teater ini termasuklah Ryan Silverman sebagai ejen Roger Foss, Adibah Noor (Khatijah) dan Tony Eusoff (Agen Farouk). | |||
Posted: 20 Oct 2011 06:37 PM PDT ![]() MARIAH dan suami berbahagia dengan kelahiran anak kembarnya ini. PASANGAN Mariah Carey dan Nick Cannon buat pertama kalinya menayang anak kembar mereka, Monroe dan Moroccan kepada umum dalam sebuah wawancara televisyen bersama pengacara terkenal, Barbara Walters. Menurut akhbar Daily Mail, wawancara tersebut berlangsung di kediaman Carey dan Cannon di New York baru-baru ini. Dalam wawancara yang akan ditayangkan itu, wajah bayi kembar Carey sengaja tidak didedahkan. Namun, Carey dilihat menggendong bayi perempuan, Monroe yang mengenakan gaun berwarna putih, sementara Nick pula menggendong bayi lelaki, Moroccan yang mengenakan blazer berwarna coklat muda. Psangan selebriti itu membahaskan banyak hal, terutama mengenai peranan baharu mereka sebagai ibu dan bapa. Mereka juga memberitahu si kembar sudah diberikan nama panggilan Roc dan Roe. Selain berbicara soal anak, WaBarbara juga mengajukan beberapa pertanyaan peribadi kepada Mariah. Dia bertanya apakah Mariah mempercayai suaminya selama tiga tahun ini dan Mariah menjawab: "Kadang-kadang!" Nick yang berada di sampingnya kelihatan cuba memprotes dalam canda. | |||
Posted: 20 Oct 2011 06:35 PM PDT ![]() BERJAYA. Empat peserta pertama iaitu Epiit, Asmidar, Mafa dan Boby meloloskan diri menerusi bakat mereka untuk minggu pertama Vokal Bukan Sekadar Rupa. RANCANGAN realiti televisyen terbaharu TV 3, Vokal Bukan Sekadar Rupa dilihat mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan kebanyakan realiti tv nyanyian yang pernah dihasilkan sebelum ini. Sudah memulakan tirai konsert yang pertama pada 16 Oktober lalu, rancangan tersebut menampilkan 10 peserta yang memiliki kekuatan dari segi vokal berbanding paras rupa. Untuk konsert sulung yang diadakan di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral, Shah Alam, buat permulaan lima orang peserta telah bersaing bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya. Antara yang bersaing seperti Norhasmidar Ahmad (Asmidar), Mafarikha Md. Akhir (Mafa), Muhd. Fakhrullah Mohd. Yusoff (Epiit), Mohd. Janizam Jamaluddin (Boby) dan Azmarul Azuan Harun (Azmarul). Selain itu, para peserta turut diadili dua orang juri tetap yang akan mengadili para peserta sehingga minggu terakhir iaitu komposer Azmeer dan Erra Fazira serta Datuk Siti Nurhaliza selaku juri jemputan. Menariknya tentang rancangan tersebut, para peserta terlebih dahulu akan menyanyi di sebalik tirai tanpa dapat dilihat dan ketiga-tiga orang juri akan mengundi sama ada peserta berkenaan layak ataupun tersingkir. Namun begitu, hanya empat orang peserta yang berjaya pada persembahan minggu pertama dan tuah ternyata tidak menyebelahi Fakhrullah apabila tersingkir lebih awal setelah tidak mendapat undian daripada ketiga-tiga orang juri. Biarpun tampil dengan persembahan yang mantap ketika menyampaikan lagu berjudul Bila Cinta nyanyian asal Filianti Vlee, ternyata ia belum dapat memikat hati para juri sehingga mereka terpaksa mengundinya keluar. Ketika ditemui selepas acara berakhir, Fakhrullah yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah tersingkir awal menyatakan dia sudah buat yang terbaik dan memberi sepenuh tumpuan ketika membuat persembahan. ![]() TELITI. Juri tetap yang terdiri daripada komposer Azmeer (kiri) dan Erra Fazira selain daripada juri jemputan Datuk Siti Nurhaliza untuk menilai bakat para peserta. "Saya sendiri sebenarnya kurang pasti dengan penyingkiran ini dan merasakan ia bukanlah disebabkan dengan pemilihan lagu. Mungkin ada beberapa kesilapan yang dilakukan ketika membuat persembahan tanpa saya sedari. "Walaupun agak sedih apabila gagal ke peringkat seterusnya, namun saya tetap menerima dengan hati yang terbuka. Malah, layak sehingga ke peringkat ini juga sudah begitu memuaskan hati saya," ujarnya yang kerap menghadiri sesi ujibakat rancangan realiti sebelum ini. Mengulas mengenai penyingkiran Fakrullah, salah seorang juri tetap iaitu Azmeer menjelaskan, antara salah satu sebab peserta tersebut tidak dapat meneruskan saingan adalah disebabkan kesilapan yang dilakukan ketika korus. Jelasnya, pada peringkat awal penyanyi berkenaan dapat menyanyikan dengan baik, tetapi dia seolah-olah kehilangan arah pada pertengahan nyanyian sehingga hilang tumpuan. "Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan kesemua peserta yang dapat menyanyi dengan baik. Namun, kami perlu menjadi lebih tegas kerana ini bukanlah sesi uji bakat lagi. "Sebagai juri kami merasakan sebarang kesilapan seharusnya perlu dielakkan dan ini yang terjadi kepada Fakhrullah apabila dia telah melakukan kesilapan sehingga dia terpaksa disingkirkan," ujarnya. Seorang lagi juri tetap, Erra Fazira memberitahu bahawa kesemua peserta ternyata memiliki vokal yang cukup mantap dan mahukan mereka supaya lebih bersedia untuk saingan yang seterusnya. "Kalau boleh saya mahu setiap persembahan para peserta akan ada peningkatan setiap minggu selepas ini. Sebagai seorang juri tetap, saya akan curahkan segala pengalaman yang ada sebagai galakan kepada mereka," ujarnya. Pada minggu kedua, seramai lima orang peserta iaitu Fakhrul Nizam Fauzi (Fakhrul), Fazdrul Aswad Fauzi (Aswad), Airulazwan Abd. Rahman (Boy), Irsa Sahabuddin (Irsa) dan Siti Nur Aishah (Adeq) akan merebut tempat untuk saingan seterusnya. Bermula pada minggu ketiga, kesemua peserta yang berjaya akan dikumpulkan dan format pemarkahan akan dikira menerusi 50 peratus markah daripada juri tetap dan 50 peratus lagi adalah melalui undian para penonton. Selain itu, mereka juga akan dibimbing oleh beberapa individu yang dilantik seperti Faizal Uzir (Penasihat Vokal), Adzwa (Penasihat Persembahan), Prof. Madya Md. Izzuddin (Penasihat Motivasi) dan Simran Latif (Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan). | |||
Posted: 20 Oct 2011 06:34 PM PDT ![]() JENTERA Moriwaki yang akan menjadi sandaran dua pelumba negara pada saingan Moto2 di Sepang penghujung minggu ini. BUAT julung kalinya, pasukan Pet- ronas Malaysia akan mempamerkan jentera Moriwaki Moto2 yang akan digunakan oleh kedua-dua pelumba negara, Mohd. Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah pada saingan MotoGP Grand Prix Malaysia pada majlis memperkenalkan jentera tersebut di Kuala Lumpur City Center (KLCC) hari ini. Petronas merupakan penaja utama tetapi pasukan tersebut turut di sokong oleh Moriwaki Engineering, Boon Siew Honda, Hong Leong Yamaha Motor, Two Wheels Motor Racing (TWMR), Astro Arena, Litar Antarabangsa Sepang, Persatuan Automobil Malay- sia (AAM), Racing Boy, Uma Racing, Shoei, MotoDotMania dan Dunlop. Zamri, 28 tahun, akan menggu- nakan jentera no. 87, manakala Hafizh, 17 tahun dengan jentera no. 86. Bakat kedua-dua pelumba ini diasah melalui penglibatan mereka pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas dan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas. Walaupun tahun 2011 merupakan tahun kedua Malaysia mendapat tiket wildcard dalam kelas Moto2, Pengarah Promosi TW- MR, Ron Hogg berkata, ia tidak akan tercapai tanpa penglibatan semua pihak yang berada dalam industri sukan pemotoran. Beliau berkata: "Kita semua harus berganding bahu dan sama-sama bekerja keras memandangkan program ini bukan penglibatan satu pihak sahaja. "Ia membabitkan seluruh industri terdiri daripada pengeluar-pengeluar berbeza, pelbagai penaja, pasukan-pasukan dan pelumba- pelumba untuk mencapai matlamat yang sama iaitu untuk menye- diakan pendedahan secukupnya kepada pelumba dan pasukan sebelum mereka beralih ke tahap yang lebih tinggi." "Dengan pengalaman yang diperoleh ketika beraksi di peringkat MotoGP ini, ia akan membantu kita untuk meningkatkan lagi tahap perlumbaan di Malaysia bukan sahaja dalam kalangan pelum- ba-pelumba, malah pasukan, juru- tera perlumbaan, kru, penaja dan lain-lain." Ditanya tentang sasaran untuk kedua-dua pelumba dan bagaimana dia melihat kemampuan program ini terus berkembang pada masa hadapan, beliau berkata: "Melihat kepada persaingan sengit dalam kelas Moto2 ini, kami berharap kedua-duanya, Zamri dan Hafizh dapat melakukan catatan masa sepusingan yang baik dan terus menunjukkan peningkatan sepanjang perlumbaan itu kelak." "Untuk masa hadapan, sudah tentu kami mahu terus melakar kejayaan demi kejayaan tetapi pada masa yang sama, kami berharap lebih ramai penaja akan bekerjasama dan melabur demi menyokong industri sukan pemotoran tanah air. "Memang menjadi harapan kami untuk melihat lebih ramai pelumba dapat beraksi di peringkat antarabangsa tanpa memikirkan berapa lama mereka dapat mengekalkan karier perlumbaan. "Petronas telah mengubah industri pemotoran negara dan pada ketika ini kami juga memerlukan lebih banyak sokongan dari pihak lain untuk memajukan lagi sukan pemotoran dan menjadikan ia yang terbaik," kata Hogg. | |||
Posted: 20 Oct 2011 06:33 PM PDT ![]() TORRES (kiri) meledak dua gol bagi membantu Chelsea meraih kemenangan besar ke atas Genk kelmarin. LONDON - Penyerang Chelsea, Fernando Torres tampil dengan aksi bertenaga ketika mereka menewaskan Genk pada saingan peringkat Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara kelmarin. Torres yang turut mendapat sokongan daripada David Luiz membuktikan bahawa dia masih tergolong dalam senarai penyerang paling berwibawa di Eropah. Pasangan Chelsea itu menampilkan keserasian yang menakjubkan ketika membantu The Blues menewaskan Genk 5-0 di Stamford Bridge. Torres berjaya menamatkan kemarau jaringan di pentas Eropah dengan meledak dua gol, namun pengurus Chelsea, Andres Villas-Boas belum mahu memuji prestasi yang dipamerkan penyerang dari Sepanyol itu. "Kejayaan kami bukan bergantung kepada seorang individu tetapi ia adalah hasil daripada persembahan berpasukan. "Hari ini (kelmarin) Tor- res berada pada prestasi terbaik dan dia semakin bijak menyambar peluang. Apa pun, kejayaan kami adalah hasil kerja keras daripada semua pemain." Selain Torres, turut berada dalam senarai penjaring termasuk Raul Mei- reles, Branislav Ivanovic dan pemain gantian, Salo- mon Kalou. Kemenangan tersebut merupakan kejayaan terbesar Chelsea di Stamford Bridge dalam kejohanan Eropah dan kini mereka mendahului kedudukan dalam Kumpulan E. "Saya puas hati dengan prestasi kami, bukan sahaja cara kami bermain tetapi komitmen daripada semua rakan sepasukan. "Dua gol awal meletakkan kami dalam kedudukan yang sangat selesa dan dua lagi sebelum separuh masa sudah menampakkan hasil daripada kerja keras kami sepanjang perlawanan tersebut. "Apa yang lebih penting, kami harus memikirkan untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Bulan ini akan menjadi penentu buat kami sama ada kami berpeluang menjulang trofi atau sebaliknya," ujarnya. | |||
Gaddafi akhirnya mati ditembak Posted: 20 Oct 2011 06:32 PM PDT
SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam. Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu. "Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala," kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters. NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu. "Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati," tambahnya. Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam. Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan. NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu. Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut. NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi. Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi. Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans. Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: "Jangan tembak, jangan tembak." Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya. Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut. Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh. "Dia sudah pun mati," katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera. Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC. "Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan," kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi. Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata. Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya. Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak. Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte. Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli. Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh. Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi. ![]() SEORANG penyokong Muammar Gaddafi ditangkap oleh para pejuang antipemimpin itu di tengah Sirte semalam.- Reuters Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi. Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi. Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera. Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya. Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran. Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar. Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: "Ya, itu adalah betul." Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya. Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada. Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh. Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam. Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu. Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969. Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya. Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu. Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa. Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi. Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan. | |||
Posted: 20 Oct 2011 06:31 PM PDT ![]() BEBERAPA pekerja bergambar dengan Bon Jovi (tengah) di restoran miliknya kelmarin.- AP RED BANK, Amerika Syarikat (AS) – Bintang rock, Jon Bon Jovi dan isteri mengambil peluang melakukan kebajikan dengan membuka sebuah restoran amal di AS. Dikenali sebagai The Soul Kitchen, restoran berkonsep bayar apa yang anda mampu itu beroperasi di bekas sebuah premis kecantikan di sini, tengah negeri New Jersey kelmarin. Restoran berkenaan menyediakan hidangan berkualiti kepada golongan kurang berkemampuan dan sebagai balasan, mereka digalakkan menghulurkan bantuan sebagai sukarelawan dalam projek-projek komuniti. Pelanggan yang ingin membayar pula boleh meninggalkan wang di dalam sampul yang disediakan di setiap meja premis itu menurut kemampuan masing-masing. Tiada senarai harga disertakan dalam menu The Soul Kitchen. "Saya membuat keputusan membuka restoran ini apabila mendapat tahu bahawa seorang dalam setiap enam orang di AS tidur dalam kelaparan," kata Bon Jovi. Bon Jovi ialah penyanyi kumpulan rock Bon Jovi yang popular dengan lagu-lagu seperti Runaway, You Give Love A Bad Name dan Livin On A Prayer. | |||
Babun buka pintu kereta larikan barang Posted: 20 Oct 2011 06:30 PM PDT ![]() BABUN itu melarikan diri dengan membawa sebuah beg manakala Hendrik Raven mengelakkan diri daripada dirempuh haiwan tersebut. CAPE TOWN, Afrika Selatan - Seekor babun membuka pintu dan melarikan beberapa barang dari sebuah kereta di pinggir Cape Town, Afrika Selatan kelmarin. Babun itu yang merupakan sejenis beruk besar dilihat mengendong seekor anaknya semasa dia melarikan barang dari kereta milik Hendrik Raven. Raven hanya memerhatikan gelagat babun itu tanpa melakukan sebarang tindak balas. Babun itu melarikan makanan dan beg yang terdapat dalam kereta tersebut. Sejumlah pekerja diupah sebagai pemantau babun bagi menghalang haiwan berkenaan memasuki kereta, rumah dan menyelongkar tong sampah. Kumpulan pekerja itu menghabiskan masa dengan mengikuti pergerakan haiwan berkenaan di Semenanjung Cape untuk memastikan babun tidak berkelakuan tidak menyenangkan. Para pelancong juga dinasihatkan supaya tidak memberikan makanan kepada haiwan itu. Babun merupakan spesies yang dilindungi oleh undang-undang Afrika Selatan tetapi sikap haiwan itu yang mencari makan telah mencetuskan konflik dengan penduduk. | |||
Penurap bata hasilkan model jet pejuang Posted: 20 Oct 2011 06:29 PM PDT ![]() Gyorgy Lanczendolfer berdiri di depan pintu pagar rumahnya yang mengandungi dua model jet pejuang. BUDAPEST - Seorang penurap bata, Gyorgy Lanczendolfer membuat beberapa model jet pejuang di Barsonyos, 90 kilometer ke barat Budapest, Hungary. Dia menggunakan barang lusuh untuk membuat jet-jet pejuang itu. Penurap bata itu memiliki bengkelnya sendiri untuk menghasilkan model jet berkenaan. Pekarangan rumahnya itu dipenuhi dengan model jet pejuang tersebut termasuk model MIG-19 buatan Rusia dan Spitfire yang digunakan tentera Britain dalam Perang Dunia Kedua. | |||
Hembus nafas ke dalam mulut anjing Posted: 20 Oct 2011 06:28 PM PDT ![]() JARED THOMPSON (kiri) dan Jamie Giese (kanan) memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke hidung seekor anjing di Wausau, Amerika Syarikat pada Selasa lalu. WAUSAU, Amerika Syarikat - Dua anggota bomba di sini memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke hidung seekor anjing yang berusia tujuh tahun pada Selasa lalu. Anggota bomba itu, Jared Thompson dan Jamie Giese memberikan bantuan pernafasan itu selepas haiwan tersedut asap dalam kebakaran yang berlaku di rumah tuannya. Haiwan itu dikatakan tidak bernafas semasa ia dibawa keluar oleh kedua-dua ahli bomba tersebut. Anjing itu kemudian diberikan bantuan pernafasan melalui oksigen sebelum ia dihantar ke dua buah hospital haiwan untuk mendapatkan rawatan. Tindakan kedua-dua anggota bomba tersebut menyebabkan anjing itu masih hidup. Ketika kejadian, haiwan itu terperangkap di dalam rumah tuannya. Tuannya tidak berada di rumah kerana mereka keluar ke bandar semasa kebakaran berlaku. | |||
Teknik yoga udara semakin diminati Posted: 20 Oct 2011 06:27 PM PDT
MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Teknik yoga antigraviti semakin digemari orang ramai sekali gus merupakan trend senaman terbaharu di AS. Yoga udara dipraktikkan dengan menggunakan buaian sutera sebagai sokongan lembut pada badan sekali gus membolehkan pengamalnya melakukan pelbagai gerakan sukar seperti tergantung di udara dalam keadaan terbalik. Ramai pengamal senaman itu memberitahu badan mereka terasa lebih ringan semasa melakukan gerakan tersebut dan ia dapat membantu mengurangkan tekanan pada sendi-sendi badan. Senaman antigraviti itu diasaskan oleh seorang pereka tari teater Broadway yang juga pakar gimnastik Christopher Harrison pada 1999. | |||
Posted: 20 Oct 2011 06:09 PM PDT
SEBIJI buah epal yang masak ranum dilihat berada di atas lantai sebuah pasar raya di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Beberapa orang yang lalu lalang berhampiran tempat jualan buah-buahan dan sayur segar itu langsung tidak mengendahkannya. Kemudian, apabila seorang wanita muda berjubah hitam lengkap berpurdah melalui kawasan tersebut, dia pantas mengangkat buah epal yang berada di lantai lalu diletakkan semula di tempat asalnya. Tindakan wanita itu ternyata mengundang sekuntum senyuman buat seorang lelaki yang bersembunyi sambil memerhatikan situasi tersebut melalui kamera tersembunyi di satu sudut pasar raya itu. Tanpa menunggu lebih lama, lelaki yang mempunyai lesung pipit di pipi itu bergerak untuk menemui wanita tersebut. Ucapan tahniah tidak lekang diucapkan kerana kelakuan baik yang ditunjukkan wanita berkenaan. "Terima kasih saudari kerana mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang sudah pasti tidak akan suka seandainya nikmat atau rezeki dibiarkan terjatuh di lantai begitu sahaja. "Soalan saya, seandainya Rasulullah SAW ada di hadapan saudari selama seminit, apakah yang mahu saudari ucapkan kepada Baginda?" demikian pertanyaan yang dilontar pengacara berkenaan sekali gus menusuk hingga ke lubuk hati paling dalam bagi sesiapa yang mendengarnya. Tiada jawapan yang keluar dari bibir wanita itu melainkan mutiara jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Sejurus menghela nafas, dia pantas mengungkapkan: "Ia satu soalan yang sukar. Duduk bersama Baginda adalah impian semua orang. Andainya ia berlaku, saya ingin meminta kepadanya agar membawa saya jauh dari dunia ini." Itu antara pengisian rancangan televisyen bertajuk Law Kana Bainana (Andai Rasulullah SAW Bersama Kita) yang dicetuskan oleh Ahmad Al Shugairi, 38, merangkap pengacara untuk program yang menjadi fenomena di Semenanjung Tanah Arab dan di serata dunia. Program berbentuk dakwah itu bertujuan mengajak umat manusia untuk mengenali keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam. Terbahagi kepada beberapa segmen, ternyata program itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutama bagi golongan muda yang semakin melupakan keagungan insan bernama Muhammad bin Abdullah itu. Bagaimanapun, inisiatif yang diambil Ahmad bagi menerbitkan rancangan sedemikian membuktikan bahawa sebenarnya segala amalan dan sunnah Nabi SAW masih menjadi ikutan serta pegangan sebahagian umat Islam di dunia ini. Antara segmen yang terdapat dalam rancangan itu seperti rakaman kamera tersembunyi untuk mengetahui tindakan seseorang individu dalam pelbagai situasi, temu bual dengan pelbagai tokoh dalam bidang tertentu termasuk yang bukan Islam mengenai pandangan mereka terhadap Nabi SAW dan penceritaan sirah-sirah Nabawiyah secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada penonton. ![]() POPULARITI Ahmad menyebabkan dia sentiasa menjadi tumpuan lensa wartawan. Pintu hati terbuka Ironinya, Ahmad sendiri mengakui bahawa dia bukanlah seorang sheikh atau pendakwah yang memiliki ilmu agama yang luas dalam mengajak manusia mengenali Rasulullah SAW. Namun, rasa cinta yang menggunung tinggi terhadap Baginda SAW merupakan faktor utama dia berbuat demikian. "Saya bukan seorang sheikh. Tetapi, apabila mula belajar untuk mengenali ketokohan Rasul Junjungan, saya terus jatuh cinta kepada Baginda dan berusaha mempelajari sirah-sirah yang menceritakan tentang keistimewaan Nabi Muhammad SAW," ujar Ahmad ketika ditemu bual oleh akhbar The New York Times pada tahun 2009. Menyingkap latar belakang Ahmad yang berasal dari Arab Saudi, dia pernah melalui zaman gelap sebagai seorang anak muda yang lalai daripada melakukan tuntutan agama. Dilahirkan pada tahun 1973 dalam sebuah keluarga kosmopolitan yang kaya, Ahmad kemudian melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Long Beach, California pada usia 17 tahun. Bertitik tolak dari situlah, dia mula mengabaikan suruhan agama seperti tidak bersolat dan tidak berpuasa. Sama seperti anak muda lain, Ahmad lebih gemar menghabiskan masa dengan acara hiburan dan keseronokan. Merokok, berseronok dengan wanita dan meminum arak antara perilaku negatif yang pernah dilakukan pemuda itu. ![]() AHMAD turun ke padang sendiri untuk rakaman dengan orang ramai. Cuma, apabila mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 22 tahun, Ahmad berusaha menjalani kehidupan menurut ajaran Islam yang sebenar. Dia turut menyesali kehidupan bebas yang dilalui ketika remaja. Rentetan itu, Ahmad bertindak kembali ke Arab Saudi di samping mahu menguruskan perniagaan milik bapanya. Namun, isterinya tidak mahu mengikut corak hidup Ahmad yang mula berubah ke arah lebih Islamik dan ia membuatkan pasangan itu mengakhiri perkahwinan mereka dengan perceraian. Di sana, Ahmad mula belajar dengan seorang ulama bernama, Adnan al-Zahrani yang mendedahkan kepadanya tentang idea bahawa kekuatan Islam datang daripada kepelbagaian dan keterbukaan dengan cara-cara pemikiran yang baharu. Buat kali pertama, Ahmad menemui satu cara untuk mengimbangi gelodak jiwanya yang berperang dengan kehidupan sendiri di Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Di Jeddah, Ahmad kemudian membuka sebuah kafe yang dinamakan Al-Andalusia untuk golongan muda mempelajari lebih lanjut tentang Islam menerusi koleksi buku-buku Islamik yang disediakan di kafe tersebut. Sebelum menerbitkan rancangan Law Kana Bainana, Ahmad telah berjaya menarik perhatian dan menjadi inspirasi kepada ribuan pemuda pemudi di tanah Arab melalui program televisyen bertajuk Khawater (Pemikiran) sejak tahun 2004 hingga 2010. Rancangan tersebut memberi tumpuan tentang bagaimana kehidupan Muslim pada masa dahulu dan zaman sekarang. Ia kemudian diiktiraf sebagai program paling berjaya di dunia Arab yang disiarkan sepanjang bulan Ramadan pada setiap tahun. ![]() LOGO rancangan Law Kana Bainana yang menjadi fenomena di Tanah Arab. "Orang Islam dahulu kala merupakan cendiakawan dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, astronomi dan matematik. Justeru, kita harus bangkit kembali untuk memastikan kegemilangan Islam akan terus berkekalan pada masa akan datang," tutur Ahmad kepada Rahima al-Balushi, wartawan akhbar Times of Oman. Bagi wartawan The New York Times, Robert F. Worth yang pernah menemu bual Ahmad, dia menganggap lelaki itu seorang bintang generasi baharu yang dikenali sebagai sheikh satelit. "Menerusi beberapa rancangan televisyen yang diterbitkannya, Ahmad banyak membantu masyarakat dunia dalam meningkatkan pemahaman sebenar terhadap Islam yang sering dipandang serong. "Pendekatan dakwah yang digunakan Ahmad sangat berhemah dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang didekatinya," kata Robert. | |||
50 tahun melawan mitos pil kontraseptif Posted: 20 Oct 2011 05:03 PM PDT
SEBUT sahaja pil perancang pasti ada sahaja konotasi negatif terhadap pil itu di minda sesiapa yang mendengarnya. Pil perancang atau nama lainnya pil kontraseptif oral mula diperkenalkan 50 tahun dahulu membolehkan wanita dan pasangan masing-masing mengawal kehamilan sekali gus mengelakkan kehamilan tidak dirancang. Sebelum tercetus revolusi farmaseutikal sehingga terciptanya pil itu, pelbagai cara dilakukan bagi mengelakkan kehamilan. Di Mesir, tercatat di lembaran manuskrip papirus mengenai cara mengelakkan kehamilan iaitu dengan memasukkan pelbagai bahan ke dalam vagina untuk mencegah kehamilan. Ada di antara bahan tersebut diperbuat daripada najis buaya. Ahli falsafah Yunani, Aristotle pula ada menerangkan kaedah pencegahan kehamilan dengan mencampurkan minyak zaitun dan madu disapu pada bahagian serviks bagi mengelakkan sperma menembusinya. Kehamilan terancang Itu merupakan sebahagian daripada cara-cara kuno untuk mengelakkan kehamilan. Kini, lebih 100 juta wanita di seluruh dunia mengaplikasikan kontraseptif oral dengan mengambil pil pencegahan kehamilan. Pengambilan pil itu merupakan pilihan terbaik jika dibandingkan dengan kaedah kuno malah, ia dipercayai boleh membantu menangani isu kehamilan tidak dirancang. Tidak keterlaluan jika dikatakan pil itu mampu mengurangkan kes pembuangan bayi di negara ini. Sebelum adanya pil itu, kadar kelahiran sangat tinggi sehingga ada di antara anak-anak ini terabai, tidak mendapat perhatian secukupnya malah, tidak ke sekolah memandangkan ibu bapa tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Menariknya pil itu bukan sahaja berfungsi untuk merancang kehamilan malah, ia memberi perlindungan terhadap kesihatan wanita. Pakar dan Pensyarah Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Helena Lim memberitahu, penggunaan pil perancang dapat membantu mengurangkan kematian maternal. ![]() MASIH ramai wanita yang malu untuk berbincang atau mengakui mengambil pil perancang. "Ia juga dapat mengelakkan kehamilan tidak dirancang serta kehamilan berisiko tinggi serta mengurangkan kes pengguguran tidak selamat. "Malah, ia mampu melindungi wanita daripada penyakit seperti kanser ovari dan endometrium," katanya ketika memberikan ceramah kesihatan bertajuk 50 Tahun Penggunaan Pil baru-baru ini. Tambahnya, wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan akan hidup lebih lama dan kadar kematian rendah daripada pelbagai penyakit termasuk sakit jantung dan semua jenis kanser. "Pengambilan pil ini juga dapat meningkatkan kualiti hidup wanita kerana dengan perancangan keluarga yang efektif, kesihatan mereka lebih baik, lebih banyak tenaga untuk pembangunan diri, karier dan aktiviti komuniti. "Selain mencegah kehamilan, pil ini juga memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti hidup wanita kerana ia mampu mengurangkan simptom prahaid, mengurangkan pendarahan haid yang banyak dan merawat masalah jerawat," ujarnya. Mitos pil perancang Kemasukan kontrasepsi merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan kepuasan hidup bagi 450,000 wanita di 12 buah negara Eropah (1975-1998) kerana ia meningkatkan pelaburan terhadap pendidikan, kebarangkalian untuk bekerja dan paras pendapatan yang juga meningkat. Pil pencegah kehamilan telah berkembang sejak mula diperkenalkan 50 tahun lalu dengan menampilkan dos yang lebih rendah, lebih inovatif selain memberikan manfaat bukan sahaja kepada wanita demi peningkatan kualiti hidup mereka. "Banyak persepsi salah dan mitos terhadap pil ini dalam kalangan masyarakat terutamanya wanita dan kesemua tanggapan tersebut melabelkan pil ini mendatangkan keburukan terhadap kesihatan wanita.
"Mitos yang paling popular menyatakan pil kontraseptif ini menyebabkan kanser walhal fakta yang sebenarnya adalah sebaliknya kerana ia melindungi wanita daripada mendapat kanser ovari dan kanser uterus," katanya. Helena turut memberitahu, bahawa pil kontraseptif bukan sahaja digunakan untuk mencegah kehamilan malah, efektif bagi mengurangkan kesakitan ketika haid, senggugut dan simptom sindrom sebelum haid (PMS). Selain itu, ia mampu mengurangkan risiko mendapat anemia (keadaan yang sering berlaku terhadap wanita yang mengalami pendarahan yang banyak ketika haid) malah, dapat melindungi wanita daripada kehamilan ektopia, osteoporosis, sista ovari dan kanser ovari. "Tidak semua pil kontraseptif ini sama. Pelbagai jenis pil kontraseptif untuk wanita boleh didapati di pasaran dan setiap daripadanya mempunyai kebaikan serta fungsi yang berbeza. "Adalah penting bagi seseorang wanita sebelum membuat keputusan untuk mengambil pil ini mendapatkan nasihat doktor supaya pil yang diambil sesuai dengan keperluan dan tahap kesihatan mereka," jelasnya. | |||
Riang sambil bimbing pembelajaran Posted: 20 Oct 2011 05:02 PM PDT ![]() AKTIVITI riadah semestinya mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak ini. WAJAH-WAJAH kanak-kanak kecil disleksia serta-merta kelihatan berseri-seri penuh keriangan apabila kakitangan Procter & Gamble Malaysia (P&G) melawat mereka dengan membawa pelbagai buah tangan yang enak dan menarik. Sebagai sebahagian dari inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, kakitangan P&G telah mengadakan lawatan ke pusat pemulihan Persatuan Disleksia Malaysia yang terletak di Titiwangsa. Pusat tersebut menyediakan khidmat pembelajaran pemulihan kepada lebih 30 orang kanak-kanak disleksia berumur di antara enam tahun hingga 15 tahun. Objektif lawatan tersebut adalah untuk membolehkan kakitangan P&G mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masalah disleksia yang dialami oleh berjuta-juta kanak-kanak dan keluarga mereka di seluruh dunia. Mereka juga turut sama-sama berkongsi kegembiraan dengan kanak-kanak dan tenaga pengajar dengan pelbagai aktiviti selain memberikan sumbangan berupa wang ringgit. "Sejak lebih sedekad yang lalu, P&G melalui program tanggungjawab sosial korporatnya Open Minds, telah menyentuh kehidupan lebih 7,000 kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran. "Hari ini, terbukti bahawa kami sangat komited untuk membantu meningkatkan mutu kehidupan kanak-kanak ini. Kami komited untuk meneruskan usaha ini pada masa hadapan," kata Pengarah Jualan P&G Malaysia, Swadheen Sharma. Swadheen turut sama melawat pusat tersebut berserta 20 lagi kakitangan P&G yang lain. Mereka disambut mesra oleh tenaga pengajar dan kanak-kanak di pusat tersebut. Acara lawatan itu turut dimuatkan dengan pelbagai permainan untuk kanak-kanak dan juga jamuan sarapan pagi yang enak dan sihat, sesi bercerita, serta aktiviti menanam pokok untuk mencantikkan kawasan pusat tersebut. ![]() Sariah (berdiri dua dari kanan) menerima replika cek bernilai RM161,167.87 dari Swadheen (berdiri dua dari kiri) dan Mun Hao (kanan) sambil disaksikan Pengurus Besar Dagangan Guardian Malaysia, Soon Ai Lan (tengah) dan Ketua Perhubungan Luar P&G Malaysia dan Singapura, Zulhaimi Abdul Hamid (paling kiri). Interaksi Setiap daripada mereka sangat gembira kerana dapat menjalankan pelbagai aktiviti bersama-sama sambil berinteraksi dengan orang baharu. "Selain daripada pembelajaran holistik di pusat tersebut, kanak-kanak ini turut dididik dari aspek kerohanian dan psikologi untuk membantu kanak-kanak ini, seiring moto Live, Learn and Thrive. "Sumbangan kami tidaklah seberapa tetapi kami harap kunjungan kami dapat membantu kanak-kanak ini memulakan kehidupan yang lebih bermakna," kata Swadheen. Presiden Persatuan Disleksia Malaysia (PDM), Sariah Amirin melahirkan rasa bersyukur dan penghargaan beliau kepada P&G atas segala sumbangan untuk mencantikkan pusat tersebut dengan bunga-bungaan pelbagai warna. "Kanak-kanak ini sememangnya sangat gembira dan ia boleh dilihat daripada senyuman di wajah mereka. "Saya gembira kerana ada organisasi korporat seperti P&G yang mengambil berat tentang kebajikan kanak-kanak ini. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang tidak bermotifkan keuntungan, kami amat memerlukan sokongan dan ihsan orang ramai serta badan korporat," kata Sariah. Dalam usaha mewujudkan kesedaran tentang pentingnya intervensi awal di dalam disleksia, P&G juga telah berkolaborasi dengan pasar raya besar Giant dan Guardian di seluruh negara melalui kempen pelanggan The Gift of Learning sepanjang bulan Mei. Kempen tersebut telah berjaya meraih dana melalui jualan produk-produk terpilih P&G yang bertujuan untuk menyediakan pembelajaran pemulihan percuma kepada kanak-kanak disleksia di pusat-pusat Persatuan Disleksia Malaysia di seluruh negara. Pada 22 Julai lalu, kempen tersebut telah mengumumkan kejayaan mengumpulkan sebanyak RM161,167.87 pada tahun ini untuk PDM. Sumbangan tersebut telah diterima pihak PDM daripada Swadheen dan Pengarah Pemasaran, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., yang merupakan pemilik Giant, Ho Mun Hao. ![]() Hubungan kasih sayang antara orang yang baru saja dikenali membolehkan kanak-kanak ini berlatih skil interpersonal mereka. "Giant senantiasa berusaha untuk menjadikan pasar raya kami sebahagian daripada masyarakat sejak 67 tahun beroperasi. "Sesungguhnya, rangkaian kami bukan sahaja mampu untuk menyediakan pilihan yang banyak, nilai hebat dan harga rendah, malah turut menyokong dan membantu usaha murni yang dilakukan seperti kempen The Gift of Learning," kata Mun Hao. Tambahnya, pihak Giant berbangga kerana dapat turut sama dalam kempen yang sangat bermakna bagi meraih dana bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran. Sama seperti Giant, farmasi Guardian iaitu rangkaian kedai kesihatan dan kecantikan turut menyertai kempen tersebut. Guardian telah lama terlibat dalam aktiviti yang menyokong kasih sayang, pembangunan dan kebajikan komuniti tempatan. Ia juga menyokong program yang membantu golongan yang memerlukan bantuan terutama wanita dan kanak-kanak. Program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat global P&G yang memberi fokus terhadap usaha kemanusiaan jenama P&G, kakitangan dan asas korporat dalam meningkatkan taraf hidup kanak-kanak istimewa yang memerlukan bantuan semenjak bayi sehingga berumur 13 tahun. Di Malaysia, Open Minds meneruskan fokus untuk membantu dan meningkatkan kualiti masa depan kanak-kanak istimewa ini dengan menyediakan pembelajaran khusus dan kemudahan yang diperlukan agar mereka dapat menjalani hidup, belajar dan meraih kejayaan. | |||
Photomarathon membidik foto terbaik Posted: 20 Oct 2011 05:01 PM PDT
SUASANA pada pagi Sabtu lalu di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur sangat berbeza daripada hari-hari biasa. Lautan orang ramai yang berpakaian warna merah sambil memegang kamera mendominasi ruang legar dan siar kaki serta di ruang pintu masuk menghadap Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Mereka ialah sebahagian daripada lebih 1,300 orang peserta acara Photomarathon Canon Malaysia kali kelima yang sejak pukul 7 pagi sudahpun menunggu untuk memulakan lumba maraton unik itu. Tidak perlu berlari sehingga puluhan kilometer, Photomarathon dibahagikan kepada tiga bahagian dengan tema yang berbeza. Para peserta wajib menghasilkan foto yang tepat, sesuai dan berkualiti dalam masa yang ditetapkan. Tema adalah rahsia dan hanya diberitahu saat pelepasan peserta iaitu pukul 9 pagi, 2 petang serta 4 petang. Pertandingan tersebut berakhir pada pukul 6 petang dengan setiap peserta harus menghantar sendiri foto penyertaan mereka. Para peserta terdiri daripada pengguna kamera daripada pelbagai tahap kemahiran iaitu daripada jurugambar profesional sehingga kepada individu-individu yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang fotografi. Kumpul pengalaman Bagi jurugambar amatur, langkah menyertai pertandingan seumpama itu bukan semata-mata untuk mendapatkan hadiah apatah lagi mahu menyaingi jurugambar profesional. Menurut Zulkarnain Hafiz, 26, dia menganggap pertandingan sebegitu sebagai sebuah platform untuk dia mengembangkan ilmu pengetahuan dan rangkaian kenalan dalam bidang fotografi. "Ia bermula sebagai hobi untuk melegakan tekanan bekerja tetapi lama-kelamaan menjadi pekerjaan sampingan pula. Paling sukar adalah belajar seting kamera secara manual," ujarnya yang memiliki kamera Canon model EOS 50D. Disebabkan oleh perkara tersebut, Zulkarnain yang pertama kali menyertai Photomarathon itu berharap dapat menajamkan skil membidik foto daripada peserta lain sepanjang pertandingan berlangsung. Sementara itu, jejaka dari Klang, Selangor, Chan Kok Beng pula sanggup bangun awal pagi hanya untuk menyertai Photomarathon tersebut. Baru lebih kurang setahun serius dalam mendalami ilmu fotografi, dia hadir berseorangan ke perlumbaan tersebut. "Hanya minat yang mendorong saya datang ke sini. Ia akan memberi pendedahan yang luas kepada saya kerana pertandingan ini melibatkan jurugambar profesional sama ada sebagai peserta atau hakim," katanya ketika ditemui sedang menunggu saat pelepasan peserta. ![]() ANTARA gelagat peserta acara yang menghangatkan ibu negara baru-baru ini. Dia yang meminati foto-foto berbentuk landskap dan potret mengakui bahawa bidang fotografi sangat mahal kerana menggunakan peralatan yang moden dan terkini bagi hasil yang baik. Jadi, Kok Beng ada membuat kerja-kerja sampingan seperti mengambil foto perkahwinan dan potret sama ada luar rumah atau dalam studio. Lain pula kisahnya dengan seorang eksekutif jualan, Defney Chong Yu Wan, 33, yang juga pada mulanya berjinak-jinak dengan hobi mengambil gambar selepas sering mengikuti suaminya. Suaminya, Clavenn Choo Chin Kiat, 34, sudah tujuh tahun terlibat dengan hobi tersebut dan sering mengikuti pertandingan-pertandingan seperti itu, cuma bagi Photomarathon Canon pada tahun ini, dia menyertainya buat kali pertama. "Pertandingan seperti ini amat bagus kerana dapat merapatkan hubungan sesama kami selain bagi pendedahan kepada individu seperti saya," ujarnya ringkas ketika ditemui di samping suaminya. Amal Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Photomarathon Canon kali ini lebih bermakna apabila pihak Canon diwakili oleh Presiden Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Melvyn Ho menyerahkan sekeping cek bernilai RM25,960 kepada Yayasan Penyelidikan Barah Payudara Kebangsaan (NBCRF). "Bersempena bulan kesedaran kanser payudara pada bulan Oktober ini, pihak Canon mengambil keputusan untuk menyerahkan semua bayaran penyertaan sebanyak RM20 kepada pihak persatuan sebagai tanda sokongan," kata Melvyn. Pada acara tersebut, cek telah diserahkan kepada Penaung NBCRF, Datin Seri Akmal Abdul Salam sebelum acara pelepasan peserta dilakukan. Tambah Melvyn, aktiviti kemasyarakatan seperti yang dilakukan pada tahun ini pasti akan berterusan pada tahun-tahun akan datang. Selain itu, gerai-gerai mencetak gambar dengan menggunakan pencetak Pixma Canon turut diadakan dan setiap keping foto akan dikenakan bayaran sebanyak RM10. Hasil kutipan akan terus didermakan kepada NBCRF. Sebuah pameran foto bertajuk Canon Signature Gallery turut diadakan dari 19 hingga 23 Oktober di ruang legar Pavilion. Antara foto-foto yang dipamerkan adalah hasil kerja Zainal Abdul Halim, Peter Tan, Harry Woo dan Ng Kok Leong selain 10 keping gambar terbaik daripada peserta Photomarathon. Seramai 10 orang pengadil akan mengadili peserta Photomarathon Canon pada tahun ini seperti jurugambar Reuter, Zainal Abdul Halim, bekas Ketua Jurugambar Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar dan Editor Foto The Star Publications, Ng Kok Leong. Pemenang hanya akan diketahui pada 22 Oktober ini di Laman Tengah Pavilion pada pukul 11 pagi. | |||
Posted: 20 Oct 2011 04:45 PM PDT ![]() PERTANDINGAN mencari harta karun menggunakan teksi antara idea sangat unik dalam merapatkan pemandu teksi dengan pengguna. PERLUMBAAN mencari harta karun teksi bertema Having Fun With Sunlight yang dianjurkan oleh Sunlight Taxi berakhir dengan kejayaan apabila lebih 300 pemandu teksi dan orang ramai mengambil bahagian. Malah, mereka sanggup meredah hujan di sekitar Lembah Klang semata-mata untuk mengumpul harta karun demi keseronokan dan misi kebajikan di samping mahu merebut hadiah utama bernilai RM2,000. Bagaimanapun, di sebalik semangat dan kesungguhan yang dipamerkan setiap peserta, akhirnya pasukan Don't Know Much dimahkotakan sebagai juara pencarian tersebut. Secara umum, terdapat 49 pasukan yang telah mengambil bahagian dalam acara julung-julung kali diadakan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000. Ketika ditemui sambil bergurau, pasukan Don't Know Much berkata, mereka mungkin tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai selok-belok pencarian harta karun tetapi, mereka sedar pentingnya setia kawan dan semangat kerja berpasukan. Tiga kawan lama, Mohd. Md. Taib, Ahmad Zarmilan Mohamad dan Ahmad Iznie, masing-masing pernah menyertai dan memenangi perlumbaan mencari harta karun sebelum ini, tetapi ini adalah kali pertama mereka mengambil bahagian bersama-sama sebagai satu pasukan untuk memenangi hadiah utama. "Daripada pengalaman lalu, kami memang menduga akan menduduki tempat dalam lima kumpulan teratas, tetapi kami terkejut apabila diumumkan sebagai juara. "Perlumbaan ini memang menyeronokkan, unik dan meninggalkan kenangan manis. Buat pertama kali, kami tidak perlu memandu dalam perlumbaan mencari harta karun, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pemandu teksi untuk membawa kami. ![]() WEI YEE (kanan) memberikan barangan makanan yang dijumpai peserta mencari harta karun kepada penghuni Rumah Hope. "Malah, kami menghabiskan banyak masa berkomunikasi dengan pemandu teksi kami. Pengalaman ini membuka mata dan menyedarkan kami betapa mencabarnya tugas sebagai seorang pemandu teksi yang terpaksa dilalui setiap hari," kata Mohd. sambil tersenyum. Niat murni Perlumbaan mencari harta karun itu juga bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sunlight Taxi dan Magnum sebagai penaja utama, KK Supermart sebagai penaja perak dan Fotokem sebagai penaja gangsa, melawat Rumah Hope iaitu rumah perlindungan untuk kanak-kanak terabai dan teraniaya selepas perlumbaan untuk mendermakan semua harta karun yang dikumpulkan kepada rumah tersebut. Tidak ketinggalan, Sunlight Taxi juga menyumbangkan RM500 setiap bulan kepada Rumah Hope untuk kos petrol mereka. Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Azhar Ahmad yang melepaskan peserta, menyifatkan perlumbaan mencari harta karun teksi yang julung-julung kali diadakan itu sebagai satu usaha yang menyeronokkan dan bermakna untuk merapatkan jurang antara pemandu teksi dan orang ramai. Teknologi canggih Malah, ia juga merupakan satu cara untuk menaikkan semangat pemandu teksi yang sentiasa berusaha menambah pendapatan untuk hidup yang lebih selesa. ![]() AZHAR (empat dari kanan) melepaskan lebih 49 buah teksi dalam pertandingan mencari harta karun. "Hingga kini terdapat 37,000 pemandu teksi berdaftar di Lembah Klang. Nisbah ini adalah 3.5 kali lebih tinggi berbanding pemandu teksi di New York. "Bagaimanapun, pendapatan pemandu teksi di New York adalah lebih tinggi daripada pemandu tempatan yang mendapat 30 peratus daripada hasil mereka bagi masa yang dihabiskan di jalan raya, manakala pemandu teksi di New York meraih lebih daripada 60 peratus daripada hasil pendapatan mereka. "Bila kita meneliti perbandingan ini, kita akan dapati perbezaannya terletak pada teknologi canggih. Di New York, pemandu teksi menggunakan perkhidmatan GPS untuk membolehkan orang ramai membuat panggilan ke pusat panggilan untuk mendapatkan khidmat teksi. "Ini membolehkan waktu 'pusing balik' yang lebih singkat dan menjana lebih pendapatan untuk pemandu teksi," kata Azhar sambil melahirkan rasa gembira apabila mengetahui bahawa Sunlight Taxi telah mengambil langkah untuk menggunakan sistem GPS dalam teksi mereka bagi menambah pendapatan pemandu teksi. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sunlight, Choi Wei Yee berkata, pihaknya berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak program pendidikan dan latihan untuk pemandu mereka pada tahun hadapan. Untuk maklumat lanjut mengenai Sunlight Taxi boleh menghubungi talian 1300-800-222 (CAB) atau buat tempahan dalam talian melalui laman web www.sunlighttaxi.com. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan