ads

Selasa, 18 Oktober 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Terjebak akibat kurang perhatian

Posted: 18 Oct 2011 08:19 PM PDT


Para peserta Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. (ESQ) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia, khusyuk mendengar amanat yang disampaikan oleh salah seorang penceramah.


"SAYA menjadi liar dan terjebak dengan pelbagai masalah sosial kerana tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa malah selepas mereka mengetahui kegiatan saya, mereka tetap begitu (tidak ambil peduli)," ujar Sham (bukan nama sebenar), salah seorang peserta remaja Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah kenyataan mengatakan mereka tidak mendapat perhatian keluarga turut disuarakan empat lagi peserta program tersebut.

Walaupun hanya lima peserta program yang ditemu bual, ternyata alasan utama kenapa mereka terjebak dengan masalah sosial adalah disebabkan kurangnya perhatian daripada ibu bapa.

Apa yang menyedihkan, rokok menjadi teman setia kepada kelima-lima remaja tersebut seawal usia 13 tahun lagi.

Daripada lima remaja tersebut, empat daripadanya merupakan remaja lelaki.

Hasil daripada sembang-sembang dengan keempat-empat remaja itu juga mendapati melepak, minum arak, mencuri, meragut, menyamun, mengambil dadah dan bertukar perempuan adalah aktiviti harian mereka tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Malah mereka bangga dengan apa yang dilakukan dan sedikit pun tidak takut sekiranya mereka ditangkap.

Sham yang turut berkongsi cerita dengan penulis sebenarnya merupakan seorang pelajar yang pandai tetapi kerana menurutkan kata hati dia akhirnya kecundang.

Tersilap langkah

Akibat tersilap langkah, Sham yang diberi pendidikan agama secukupnya oleh keluarga akhirnya terpesong jauh dari landasan.

Bukan setakat meneguk 'air kencing setan' bagai meneguk air putih, dia yang kini telah kembali ke pangkal jalan menyedari apa yang dilakukan selama ini, semuanya tidak berfaedah dan tidak ke mana.

"Saya merupakan bekas pelajar tahfiz dan akibat daripada tidak tahan dugaan dan apabila tinggalkan al-Quran, saya tidak boleh kawal diri dan tidak jumpa kekuatan diri.

"Itu adalah peringkat pertama perubahan diri saya dan seawal usia 14 tahun saya sudah pandai mabuk dan ambil dadah.

"Masa tu tak fikir apa malah makin seronok, tetapi apabila makin dewasa dan berfikir jauh sebenarnya baru tahu semua ini tidak ke mana-mana dan bila buat jahat pun sudah tidak rasa apa-apa lagi," katanya.

Walaupun hari ini Sham boleh dikatakan hampir pulih daripada dihantui kenangan silam, tetapi masih ada satu perkara yang membuatkan dirinya menyesal tidak sudah.

Menurut Sham, semasa zaman 'jahilnya', dia pernah membuntingkan anak dara orang dan dia berazam ingin menebus kesalahannya dengan menjadi seorang yang bertanggungjawab.

Tersalah pilih kawan

Dalam pada itu, Awie (bukan nama sebenar) yang kini masih merupakan pelajar sekolah menengah di sekitar ibu kota amat bersyukur kerana dirinya tidak terlalu lama terpesong daripada landasan sebenar.

Ini kerana menurutnya, dia cepat disedarkan oleh rakan-rakannya malah dia amat berterima kasih kepada mereka.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Awie menyatakan bahawa dia tersalah memilih kawan.

Akibat daripada itu dia mula menjadi liar dengan melakukan kegiatan menyamun, bergaduh dan juga terlibat dengan perempuan.

Malah rentetan daripada itu juga dia hampir-hampir menjadi hamba dadah.

"Segala-galanya bermula ketika saya berusia 15 tahun dan alhamdulillah apa yang berlaku tidak berpanjangan kerana kini saya telah disedarkan oleh rakan-rakan yang sayangkan diri saya.

"Tetapi boleh dikatakan sepanjang setahun menjalani kehidupan seperti seorang gangster ia banyak memberi pengalaman hidup.

"Usah ditanya sama ada saya menyesal atau tidak kerana sudah pasti jawapannya menyesal yang teramat sangat," tambahnya.

Katanya lagi, selain dibantu rakan-rakan untuk kembali ke pangkal jalan, dia turut bermimpi mengenai kematian.

Rentetan daripada peristiwa itulah, Awie tanpa menoleh ke belakang telah menyahut tawaran rakan-rakan untuk menyertai program yang anjurkan oleh ESQ ini.

Dikuasai arak

Seorang lagi anak muda yang ditemui, Wan (bukan nama sebenar) turut menyesali apa yang telah berlaku kepada dirinya sebelum ini.

Hanya disebabkan mempunyai masalah keluarga, dia tanpa berfikir panjang telah terjebak dengan pelbagai masalah sosial.

Seawal usia 14 tahun, Wan telah mula pandai menghisap rokok dan meminum arak.

Bukan itu sahaja malah sepanjang dia bergelar remaja yang bermasalah, keluar malam merupakan rutin harian dan tidak ketinggalan berkepit serta melakukan seks bebas dengan pelbagai wanita.

"Apa yang saya buat serta segala aktiviti harian saya, keluarga tahu malah mereka diam sahaja.

"Apa yang dicari adalah keseronokan dan masa itu sudah tidak fikir apa-apa lagi, yang penting apa dikehendaki masa itu mesti dapat," katanya jujur.

Kini, setelah menyedari apa yang dilakukan hanyalah membuang masa, Wan mengambil keputusan untuk keluar daripada kelompok tersebut dan membaiki diri.

Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, Wan mengharapkan terbaik buat dirinya untuk bekalan di masa hadapan.

Akibat hasutan

Cerita yang dikongsi Man (bukan nama sebenar) bersama penulis tidak jauh bezanya dengan cerita-cerita Sham, Awie dan Wan.

Ini kerana penglibatannya dengan gejala sosial juga adalah hasutan daripada rakan-rakan sendiri.

Begitupun, Man tidak pernah menyalahkan rakan-rakan kerana menurutnya pokok pangkal diri sendiri.

"Apa yang terjadi kepada saya memang hasutan rakan-rakan tetapi saya tidak sekali-kali menyalahkan mereka.

"Kerana pokok pangkalnya diri saya sendiri dan saya boleh katakan 'tidak' kepada mereka tetapi saya dengan rela hati mengikut ajakan mereka.

"Yang pasti saya cukup menyesali dengan apa yang terjadi dan berharap dengan perubahan diri setakat ini akan terus berkekalan dan menjadi masyarakat yang berguna untuk negara," katanya sebak.

Hari ini dengan menyambung pelajaran di salah sebuah kolej di utara tanah air, Man mengharapkan yang terbaik buat dirinya.

Malah program ESQ tersebut merupakan kursus motivasi kedua yang dihadirinya.

Ini semua adalah untuk menambah ilmu pengetahuan selain menyediakan diri dengan perkara-perkara asas yang telah lama ditinggalkan.

Bagi Mona (bukan nama sebenar) pula, walaupun dilabelkan sebagai seorang remaja yang bermasalah tetapi dia masih tahu batas-batas agama.

Katanya, dia hanya seorang remaja liar yang suka keluar malam, melepak dan hisap rokok.

Tidak lebih daripada itu, Mona memberitahu semuanya berlaku akibat masalah keluarga.

"Saya sebenarnya anak angkat kepada keluarga yang membela saya sekarang ini.

"Saya merupakan anak bongsu. Akibat daripada masalah keluarga serta tiada perhatian daripada mereka, saya mula memberontak," katanya sambil bersyukur kerana ditawarkan untuk mengikut kursus yang dianjurkan oleh ESQ baru-baru ini.

Begitupun baik Mona, Sham, Awie, Wan dan Man mereka kini sepakat untuk memperbaiki diri malah ingin menjadi remaja yang berguna dan boleh dibanggakan negara.

Maka tidak hairan ketika ditemui masing-masing memberitahu agar cerita mereka ini seharusnya dijadikan pengalaman kepada remaja-remaja di luar sana untuk berubah.

Bukan itu sahaja malah mereka juga berpendapat tiada faedah serta manfaat yang diperoleh selain daripada keseronokan yang hanya bersifat sementara.

ESQ bawa remaja ke pangkal jalan

Posted: 18 Oct 2011 08:18 PM PDT

PROGRAM Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. (ESQ) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat satu lagi jalan penyelesaian kepada gejala sosial golongan remaja.

Pengarah Besar ESQ, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut yang diadakan untuk kali kedua adalah bertujuan membantu dan membimbing golongan remaja serta anak muda yang bermasalah kembali ke pangkal jalan.

Tambah beliau lagi, program kali ini merupakan program latihan untuk remaja mensasarkan mereka yang berusia 14 hingga 24 tahun.

"Program ini merupakan program kali kedua diadakan selepas yang pertama pada Jun lalu.

"Ia merupakan program untuk mencetus kesedaran terutama dalam memulihkan semula pembentukan karakter golongan remaja ini.

"Dalam program ini, tumpuan yang istimewa diberikan kepada mereka yang hard core dan apa yang diharapkan agar pengisian dalam program ini akan berjaya mencetus kesedaran dari hati mereka sendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, untuk mendapat keberkesanan selepas program, pihaknya dan PPIM akan saling berhubung bagi memastikan kumpulan itu dapat memulihkan diri sepenuhnya.

Malah jika dilihat keputusan yang diperoleh daripada tinjauan, sebanyak 97 peratus perubahan telah berlaku kepada para peserta program tersebut.

Sementara itu, menurut Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Hashnoel Murshim Hashim, inilah kali kedua pihaknya bekerjasama dengan ESQ dalam usaha memberi kesedaran kepada para remaja yang mempunyai masalah sosial.

Ini kerana selain ingin kembalikan mereka ke pangkal jalan, mereka juga berharap agar jumlah kes-kes yang melibatkan gejala sosial di kalangan remaja akan menurun.

"Mengikut statistik 2010, setiap 17 minit anak luar nikah akan dilahirkan dan dalam sehari 19 orang Melayu membunuh diri.

"Manakala di Malaysia terdapat lebih 400 ribu minah dan mat rempit serta bagi kelahiran anak sumbang mahram adalah sebanyak 150,000.

"Bukan itu sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM550 juta untuk memberi makanan kepada banduan dan juga penagih dadah setiap tahun," ujarnya.

Jelasnya lagi, statistik tersebut adalah satu beban kepada negara dan program yang diadakan bersama-sama ESQ merupakan salah satu program untuk meringankan beban negara.

Oleh itu, Hashnoel berharap agar semua permasalahan ini dapat diselesaikan secara bersama dan penganjuran program-program sedemikian merupakan salah satu caranya.

Ini juga menurutnya, merupakan tanggungjawab semua dan jangan tuding jari pada mana-mana pihak malah.

Secara umumnya, tiada siapa mampu memberi jawapan tepat kepada persoalan mengapa anak-anak remaja hari ini semakin runtuh akhlaknya kerana yang pasti akhlak remaja-remaja ini semakin rosak dan liar.

Dalam pada itu ESQ memerlukan sumbangan berbentuk dana dan sumbangan kewangan daripada insan-insan mahupun sektor-sektor korporat untuk meneruskan segala usaha dalam menjalankan pelbagai latihan yang diperlukan untuk golongan remaja ataupun aktiviti-aktiviti berbentuk kerohanian lain.

Izyan buka galeri tropika mewah

Posted: 18 Oct 2011 08:17 PM PDT


Izyan mendapat kepercayaan pelanggan bagi menyiapkan hiasan dalaman berkonsep rumah tropika.


KEDIAMAN yang berkonsep menjadi pilihan bagi golongan yang tidak berkira dalam berbelanja untuk menghias rumah.

Suatu ketika konsep Bali menjadi kegilaan, sebelum beralih kepada gaya zen, oriental, moden, kontemporari dan sebagainya.

Terkini konsep tropika yang menyamai gaya resort mampu memberikan ketenangan dan kedamaian kepada penghuninya sebaik melangkah masuk.

Daripada ruang dalam rumah termasuk ruang tamu, bilik tidur, ruang makan, dapur sehingga ke laman akan dihiasi dan ditanami dengan pokok-pokok menghijau dan bunga-bunga jenis tropika seperti bermacam jenis haleconia.

Bagi sesebuah rumah yang berkonsep tropika perlu ada lima deria, iaitu memandang, mendengar, bau, menyentuh dan rasa.

Demikian kata Pengarah Urusan yang juga pemilik Tropical Lifestyles Home & Living Gallery, Izyan Salleh,semasa ditemui di galerinya ini yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Galeri ini yang boleh dikunjungi melalui temujanji membekalkan keseluruhan perabot dan perhiasan rumah gaya tropika daripada ruang dalaman hingga luaran bagi sesebuah rumah yang berkonsep sedemikian.

''Galeri ini bukan sahaja menjual barangan perhiasan atau perabot untuk rumah konsep tropika malah pelanggan boleh berbincang jika mereka berkeinginan untuk membuat sebuah rumah sedemikian.

''Kami menyediakan perunding, arkitek dan pereka hiasan dalaman sendiri di mana pelanggan boleh bertanya atau berbincang tentang konsep yang dikehendaki.

"Sebab itu kami hanya menerima tiga kumpulan pelanggan dalam sehari, iaitu pagi, petang dan malam kerana perbincangan ini biasanya mengambil masa berjam-jam dan kami mahu pelanggan selesa tanpa gangguan orang lain.

''Pelanggan yang datang akan berasa seperti di rumah tropika kerana terdapat bermacam-macam barangan khusus untuk konsep tersebu di galeri ini.

"Selain itu mereka akan dilayan seperti vip dan kami akan menghidangkan teh bersama makanan ringan, makan tengah hari atau makan malam.

''Mereka boleh merasai sendiri produk contoh seperti kerusi yang boleh mereka duduk untuk mengetahui keselesaannya, lampu-lampu yang cantik, perhiasan kayu, pinggan mangkuk berkualiti tinggi dan apa sahaja yang pelanggan inginkan,'' kata Izyan yang turut dibantu oleh bapanya Salleh Samad seorang ahli perniagaan yang telah banyak menimba pengalaman di seluruh dunia.

Tambah gadis penerus legasi perniagaan keluarga ini lagi, golongan yang datang terdiri daripada golongan vip dan jutawan yang tidak selesa membeli barangan rumah di tempat-tempat yang terbuka dan dilihat oleh ramai orang.

Izyan, 27, menambah, biasanya golongan kerabat raja, vip atau jutawan yang datang akan memintanya membuatkan rumah mereka dengan konsep tropika atau resort.

Kos untuk rumah seperti ini katanya, menelan perbelanjaan di antara tiga hingga lima juta ringgit termasuk tanah dan barangan untuk setiap ruang.

Terdapat juga pelanggan yang menjadi kaya-raya pada usia muda dan inginkan sebuah rumah tropika tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak menggayakan konsep ini.

Izyan bersama bapanya akan membimbing pelanggan ini daripada cara makan yang betul, penggunaan sudu, garpu dan sebagainya, pemilihan pakaian, kasut dan sebagainya.

''Projek untuk menyiapkan rumah tropika ini dilakukan oleh kumpulan pekerja kami yang mengambil masa di antara satu setengah hingga dua tahun.

''Daripada jenis-jenis batu, kayu, perhiasan, jubin, dan sebagainya diimport dari negara luar supaya disesuaikan dengan sebuah rumah tropika seperti dari Thailand, Vietnam, Bali, China, India, Myanmar dan Itali.

"Namun ada juga sesetengah barangan yang dari Malaysia sendiri. Pendek kata galeri ini boleh diibaratkan sebagai pusat sehenti untuk rumah tropika yang diimpikan.

''Kebiasaannya pemilik rumah akan mengupah arkitek, pereka hiasan dalaman dan kontraktor berbeza untuk menyiapkan rumah mereka namun di sini pemilik tidak perlu risau kerana serahkan segalanya pada kami dan tunggu sahaja rumah mereka siap,'' ujar pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) ini.

Jika berminat dengan cenderahati dan rumah tropikal, boleh berhubung dengan Izyan di 012-2514090.

Empat segi, bulat ilham Chantum

Posted: 18 Oct 2011 08:16 PM PDT


Rekaan unik yang elegan lambang kepada kemewahan.


DIILHAMKAN daripada kajian yang dibuat terhadap simbol-simbol dunia fizikal dan rohani, Selberan mengeluarkan koleksi terbaru barang kemas yang menunjukkan perlambangan bagi bulatan dan empat segi.

Dinamakan Koleksi Chantum, bulatan merupakan simbol sejagat purba di dunia rohani yang membawa pengertian perpaduan dan keutuhan, sementara bentuk empat segi berbeza mewakili kekukuhan dunia fizikal melalui sifat-sifat simetri.

Simbol empat segi juga menegaskan dan menggalakkan keseimbangan manakala bulatan mewakili sifat tenaga yang tidak terhingga serta kekayaan alam semesta.

Koleksi Chantum menggabungkan potongan berlian round brilliant dan square princess dalam bingkai emas bulat dan empat segi bagi mencerminkan sinergi dan keseimbangan dalam setiap barang kemas.

Koleksi Chantum yang terdiri daripada set lengkap loket, cincin, anting-anting dan gelang atau didatangkan secara berasingan seperti hanya gelang, cincin atau loket, banyak bermain dengan bentuk empat segi dan bulatan yang tampak ringkas namun unik.

Disemat dengan emas putih 18 karat, setiap reka bentuk mempunyai tanda emas kuning bagi menyerlahkan bentuk yang berbeza dan gambaran yang mengagumkan.

Selberan merupakan syarikat barang kemas terkemuka di Malaysia yang menawarkan pelbagai rangkaian barang kemas yang bergaya, indah dan tersendiri.

Sebagai salah satu daripada jenama barang kemas yang diyakini, Selberan dikenali kerana nilai-nilai 4C yang tersendiri, iaitu kemahiran bertukang, kreativiti, kredibiliti dan keyakinan.

Virtouse Drama yang dramatik

Posted: 18 Oct 2011 08:13 PM PDT


Zamri Zainol (kanan) bersama penyanyi terkenal, Atilia menunjukkan maskara terbaru Virtouse Drama.


SESETENGAH wanita yang tegar menggunakan solekan akan mengatakan bahawa mereka tidak boleh terlepas daripada mengenakan maskara.

Ini kerana maskara memainkan peranan yang penting dalam memberikan penampilan dramatik pada wajah mereka.

Namun bagi sesetengah wanita pula menyifatkan pemakaian maskara agak remeh terutama bagi wanita Islam yang bekerja apabila mereka hendak menunaikan solat keran sifat maskara yang sememeh merumitkan pencucian.

Melalui inovasi demi inovasi yang telah dibangunkan oleh Lancome, akhirnya lahir satu produk maskara yang menepati tujuan tersebut.

Maskara yang diberi nama Virtouse Drama ini diformulasi menggunakan latek yang mana amat sesuai dengan cuaca Asia.

Menurut jururunding solekan yang juga artis Lancome, Zamri Zainol, maskara yang comot terhasil apabila bercampur dengan air.

Bagaimanapun Virtouse Drama telah diuji walau setelah digosok ia tidak akan comot.

"Maka sebab itulah pemakaiannya disarankan kerana apabila hendak mencucinya ketika mengambil wuduk mereka hanya perlu menggunakan air biasa dan tolak maskara ke luar. Maskara akan keluar dalam bentuk kepingan dan tidak comotkan keliling mata," ujarnya.

Zamri yang turut mendemonstrasikan pemakaian maskara terbaru Lancome ini berkata, ia satu maskara yang sesuai untuk wanita yang sibuk pada masa kini.

"Tidak perlu menggunakan curler (pelentik bulu mata) bagi membentuk bulu mata lentik.

"Selepas maskara kering boleh melentikkan bulu mata dengan jari sahaja. Bahan lilin yang ada dalam ramuan Virtouse Drama ini membuatkan bulu mata amat mudah dilentikkan dan yang paling penting ia tidak mencomotkan mata," jelasnya lagi.

Salah satu tips pemakaian maskara yang disarankan oleh Zamri ialah jangan pam maskara berkali-kali kerana ia akan menyebabkan udara masuk ke dalam maskara dan sekali gus menjejaskan kualitinya.

Sementara itu, bagi penyanyi, Atilia yang mencuba maskara ini berkata, dia kini tidak memerlukan bulu mata palsu untuk setiap kali persembahannya.

"Mudah untuk melentikkan bulu mata sendiri hanya guna jari sahaja," katanya.

Untuk mencuba sendiri kelainan Virtouse Drama, pelanggan disarankan ke kaunter Lancome yang terletak dalam pusat membeli belah utama di seluruh negara.

Pasukan simpanan imbangi ATM

Posted: 18 Oct 2011 08:11 PM PDT


Pasukan simpanan TUDM turut menjalani latihan menembak bagi mempersiapkan diri dengan sebarang kemungkinan.


KEUPAYAAN pertahanan negara tidak seharusnya diletakkan pada bahu angkatan tentera semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungjawab bersama setiap warganegara sekiranya negara ini diancam musuh.

Struktur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini adalah memadai dengan kekuatan angkatan tetap berskala kecil tetapi mampu diperkukuhkan oleh keseimbangan pasukan simpanan yang mampu dikerah untuk berkhidmat sepenuh masa sekiranya negara menghadapi situasi darurat atau peperangan.

Sejarah telah membuktikan bahawa Pasukan Simpanan ATM telah memainkan peranan yang signifikan dalam menguatkan keupayaan pertahanan negara.

Pasukan simpanan telah berganding bahu dan bekerjasama dengan angkatan tetap untuk memerangi musuh semasa pengisytiharan darurat serta konfrontasi Indonesia dan Malaysia.

Ia telah terbukti apabila hampir 180,000 sukarelawan tampil mempertahankan negara semasa menghadapi konfrontasi tersebut.

Peranan

Seperti pasukan simpanan tentera negara lain di seluruh dunia, peranan yang diamanahkan kepada Pasukan Simpanan ATM termasuklah;

l Membantu-ganti angkatan tetap menggandakan paras kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan kepentingan strategik ketika darurat atau peperangan.

l Membantu angkatan tetap dalam operasi keselamatan dalam negeri dengan bersedia untuk dikerahkan dan diatur gerak apabila keadaan memerlukan.

l Bersedia membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menghadapi bencana alam atau lain-lain kecemasan.

Komponen

Pasukan Simpanan ATM terdiri daripada dua komponen iaitu simpanan tetap dan simpanan sukarela.

Pasukan simpanan tetap dikenali sebagai reservists dan terdiri daripada anggota angkatan tetap yang berhenti, meletakkan jawatan, tamat atau bersara daripada perkhidmatan.

Mereka diwajibkan berkhidmat sebagai anggota simpanan di dalam perkhidmatan masing-masing mulai dari tarikh berhenti untuk jangka masa lima tahun bagi pegawai, manakala anggota lain-lain pangkat sehingga mencapai umur 50 tahun atau yang mana terdahulu.

Sementara itu, pasukan simpanan sukarela pula dikenali sebagai volunteers terbuka kepada setiap warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai secara sukarela setelah memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

Pasukan simpanan ATM juga dikenali sebagai Askar Wataniah bagi Tentera Darat selain Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tugas untuk membangun, melatih dan menyelenggarakan pasukan simpanan ATM terletak pada bahu perkhidmatan masing-masing. Struktur organisasi pula, diatur mengikut peranan dan keperluan perkhidmatan.

Pembangunan karier individu diurus berdasarkan kepada latar belakang akademik dan profesional sukarelawan. Pada ketika ini, ATM mempunyai seramai 60,000 anggota sukarelawan di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun memberitahu, kementerian menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan mempunyai kompeni Askar Wataniah (AW) masing-masing sebelum akhir tahun ini.

ATM perlu tingkatkan profesionalisme

Posted: 18 Oct 2011 08:10 PM PDT


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat pada Majlis Santapan Beradat Sempena Hari ATM ke-78 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Jumaat lalu. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (kanan). - BERNAMA


WARGA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru meningkatkan tahap profesionalisme mereka dan meletakkan kepentingan perkhidmatan sebagai perisai negara mengatasi segalanya demi masa depan rakyat serta negara.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika berucap pada Perbarisan Hari ATM ke-78 baru-baru ini menekankan kepentingan warga ATM memperkukuhkan institusi bermaruah itu.

Beliau juga menggesa anggotanya meningkatkan lagi tahap profesionalisme mereka serta menyuburkan iltizam untuk memacu kemajuan organisasi ke satu tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan anggota ATM supaya tidak leka dengan suasana aman yang dikecapi negara ketika ini, sebaliknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan cabaran yang mungkin berlaku.

"Isu-isu semasa yang wujud, walau sekecil zarah pun boleh meledak sekiranya tidak ditangani dengan baik. Sebagai sebuah ketumbukan yang berwibawa, setiap anggota juga perlu sentiasa peka kepada perkembangan geostrategik serantau dan global.

"Sebarang perubahan dan perkembangan hendaklah dipantau dengan teliti supaya kita sentiasa mendapat maklumat terkini serta berada di hadapan dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan," katanya.

Menurut Zulkifeli, ATM tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.

Justeru, katanya, ATM akan terus mempertingkatkan keupayaan anggotanya demi merealisasikan pelaksanaan pelan pembangunan strategik ke arah mengekalkan kedaulatan serta keselamatan negara.

"Saya menyeru supaya semua jabatan, perkhidmatan dan anggota dalam ATM mempertingkatkan tahap pengoperasian modal insan, aset serta doktrin mereka supaya segalanya berada pada tahap kesiapsiagaan yang tertinggi.

"Ini membolehkan setiap anggota melaksanakan tugas serta fungsi mereka dengan sebaiknya ketika diperlukan nanti," jelasnya.

Dalam ucapannya, Zulkifeli juga menekankan kepentingan ATM melipat gandakan sumbangan mereka terhadap usaha kerajaan untuk membangunkan negara bangsa.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial organisasi tersebut yang perlu dilunaskan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

"Ketika ini, ATM sedang giat melaksanakan agenda negara menerusi inisiatif-inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan yang lain.

"Sebagai contoh, ATM telah membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak semula anggotanya supaya mereka dapat melaksanakan tugas memerangi jenayah dan seterusnya dapat mengurangkan kadar berlakunya jenayah.

"Selain itu, ATM juga menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara melalui inisiatif pusat pemulihan pemasyarakatan dalam usaha pemulihan komuniti yang memberi manfaat kepada negara. ATM turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan bekalan air, membaiki dan membina rumah untuk masyarakat di kawasan luar bandar," ujarnya.

Bagaimanapun, penglibatan ATM dalam inisiatif-inisiatif tersebut yang bertujuan membangunkan negara, organisasi berkenaan tidak pernah mengabaikan tugasan hakiki mereka iaitu mempertahankan kedaulatan negara.

Bahkan menurut Zulkifeli, menerusi inisiatif-inisiatif di bawah NBOS, ATM dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan agensi kerajaan yang lain seterusnya memberi manfaat kepada rakyat serta negara.

"ATM akan terus dibangunkan menjadi sebuah ketumbukan perang yang efektif. Ia akan dilaksanakan secara berterusan walaupun menuntut penggunaan tenaga, masa serta kos yang agak besar.

"Di samping itu, ATM juga akan terus meningkatkan kerjasama serantau menerusi mekanisme yang sedia wujud dan yang akan diwujudkan bagi mengatasi ancaman bukan tradisional seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan wang dan aktiviti pelanunan yang mempengaruhi tahap keselamatan rantau ini," katanya.

Penglibatan ATM pada peringkat global pula tidak perlu dipertikaikan lagi berdasarkan pada penyertaan mereka dalam pelbagai misi kemanusiaan dan keamanan sama ada di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau peraturan bilateral dan multilateral yang lain.

Zulkifeli berkata, setakat ini, terdapat hampir 1,000 anggota ATM sedang berkhidmat dalam misi di peringkat antarabangsa.

Katanya, penglibatan ATM dalam beberapa misi seperti di Lebanon amat disanjung tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

'Kami sudah seperti adik-beradik'

Posted: 18 Oct 2011 08:09 PM PDT


SEPANJANG di Los Angeles, Bront Palarae sempat berjumpa dengan Ka Hoe (kanan).


HAMPIR seminggu di bumi Los Angeles (LA), California, Amerika Syarikat, baru-baru ini, penulis begitu asyik memerhatikan gelagat dua pelakon muda ini.

Ke mana sahaja mereka pergi tetap berdua. Ibarat belangkas yang amat sukar dipisahkan.

Cuma sesekali akan disertai oleh aktor popular masa kini, Shaheizy Sam dan juga pengarah drama terkenal yang merupakan sahabat baik Bront Palarae dan Sharifah Amani iaitu Shahrul Ezad Mohamedin.

Canda dan tawa Bront dan Sharifah Amani sememangnya menarik perhatian delegasi Malaysia yang ke LA atas urusan lawatan sambil belajar untuk meraikan pemenang Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010).

Sehinggakan Bront dan Sharifah Amani sanggup melepaskan waktu untuk membeli-belah yang telah diperuntukkan selama dua hari lalu membuat rancangan mereka sendiri.

Seperti kata Bront dan Sharifah Amani, mereka bukannya kaki shopping seperti mana ahli rombongan lain yang sememangnya menunggu waktu untuk membeli-belah di Camarillo Premium Outlets dan Desert Hills Premium Outlets.

Keakraban dan hubungan mereka yang begitu rapat itu membuatkan penulis berasa kagum dengan menyelami hubungan yang terjalin antara Bront dan Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani itu.

Sempat juga penulis mencuri masa Bront dalam lawatan itu untuk bertanyakan tentang hubungannya dengan Nani yang seperti adik-beradik itu.

"Saya memang tidak nafikan hubungan saya dengan Nani memang rapat. Seperti mana yang anda katakan itu, benar, saya dan Nani sudah seperti adik-beradik.

"Apatah lagi, saya perlu memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ibu Nani, Fatimah Abu Bakar yang meminta saya untuk menjaga puteri kesayangannya di sepanjang di LA ini.

"Jadi, apa yang anda perhatikan sepanjang lawatan ini, itu adalah keluhuran dan kejujuran kasih sayang kami yang bukan sahaja sebagai sahabat tetapi adik-beradik," jelas Bront tanpa selindung.

Rapat

Menyingkap sejarah, Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin memberitahu dia mengenali pelakon kecil molek itu menerusi kakak Nani, Sharifah Aleya sewaktu di sekolah menengah.

Daripada situ, hubungan mereka mula terjalin dan mereka menjadi lebih rapat selepas membintangi beberapa buah drama bersiri antaranya Rona Roni Makaroni dan Sindarela serta filem 1957 Hati Malaya.

Menyambung bicara, aktor tinggi lampai berusia 33 tahun itu turut memberitahu dia dan Nani memiliki keserasian lalu mereka berkongsi cita rasa yang hampir serupa terutama tentang filem.

Kerana itu kata Bront, di kala ahli rombongan lain sibuk dengan aktiviti membeli-belah, dia dan Nani lebih selesa mencari haluan sendiri dengan mengelilingi bandar raya LA.

Salah satu tempat menarik yang sempat dilawati adalah Griffith Observatory di Griffith Park, Mount Hollywood yang pernah menjadi lokasi dalam filem klasik lakonan James Dean, Rebel Without A Cause.

"Untuk saya, apabila tiba di tempat seperti LA, adalah lebih baik jika peluang itu diambil untuk melawat tempat bersejarah seperti itu kerana kita tidak tahu bila kita akan ke sini lagi.

"Bukan itu sahaja, saya dan Nani juga telah melawat Yuna di Downtown Los Angeles dan menghabiskan masa dengannya di kafe berhampiran kediamannya.

"Menariknya, ketika itu juga penggambaran siri CSI sedang dilakukan. Sempatlah juga kami merasai pengalaman melihat sendiri penggambaran siri popular itu," kata bekas pengacara program hiburan Beat TV ini sambil ketawa kecil.

Pengalaman

Sepanjang berada LA yang diberi jolokan kota perfileman dunia itu, Bront ternyata kagum dengan kecanggihan teknologi yang terdapat di Universal Studios dan Warner Bros. Studios.

Daripada kunjungannya ke dua buah studio terkemuka itu, aktor itu dapat menyimpulkan bahawa Hollywood tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata dalam setiap penerbitan filem dan televisyen.

"Sebaliknya, mereka mengimbangi antara nilai komersial dan estetika dalam setiap penghasilan produk mereka.

"Tiada lain yang mampu saya katakan melainkan terima kasih kepada pihak TV3 kerana lahir dengan idea seperti ini.

"Selain berseronok, saya percaya sebagai seorang anak seni, kami mendapat sesuatu yang berharga daripada lawatan ini," jelas Bront yang berpeluang ke LA atas tiket kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Filem Terbaik ASK 2010 menerusi filem Belukar.

Nani teruja di LA

MENGALIH perbualan kepada si kecil molek ini, Nani yang sememangnya memiliki perwatakan ceria itu melahirkan rasa bertuah apabila dapat menjejakkan kaki ke LA untuk pertama kalinya.

Tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada TV3 terutama ketua delegasi, Pengurus Perhubungan Awam dan Acara TV3, Muhammad Aziz dan Penganalisa Jenama Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Asyraf Hamdi Dusuki, Nani menyifatkan lawatannya ke LA umpama percutian yang menyeronokkan.

Di LA jugalah, kata Nani, peluang itu diambil untuk meluangkan masa bersama Bront, Shaheizy Sam dan Shahrul Ezad yang merupakan sahabat baiknya di dalam industri.

"Kami memang sentiasa sibuk dengan agenda masing-masing. Jadi, apabila dapat bercuti seperti ini, secara tidak langsung kami sendiri dapat beramah-mesra dan bertanyakan khabar.

"Saya juga gembira kerana mereka semua dapat turut serta dalam lawatan ini dan apa yang boleh saya katakan ia telah membuka mata saya seluas-luasnya dalam pelbagai aspek," luah Nani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik ASK 2010 menerusi filem Muallaf ini tanpa selindung.

Mengulas tentang hubungannya dengan Bront pula, Nani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini dengan pantas memberitahu, dia memang cukup selesa berdampingan dengan aktor yang dianggapnya sebagai seorang abang itu.

Borong buku

Sementelah adik-beradiknya semua perempuan, kata Nani, kehadiran Bront disifatkan sebagai penerang kehidupannya apabila banyak perkara yang boleh dikongsi bersama.

"Bront bukan sahaja seorang sahabat tetapi abang yang menjaga adiknya dengan baik. Kami saling berkongsi pandangan dalam pelbagai perkara yang kami bincangkan terutama filem.

"Kerana itu, kami banyak menghabiskan masa bersama dan membeli buku-buku tentang filem yang susah didapati di Malaysia.

"Bukannya saya menolak atau sengaja tidak mahu turut serta dalam aktiviti membeli-belah dengan anggota rombongan yang lain tetapi saya mahu menikmati peluang ini dengan sebaik mungkin.

"Saya memang suka membeli-belah tetapi kepuasan itu lebih dapat dirasai seandainya saya dapat melakukan aktiviti yang kena dengan jiwa saya," ujar Nani yang telah memborong lebih daripada 10 buah buku tentang filem dan novel.

Bangga

Daripada penjelasannya itu, barulah dapat disimpulkan mengapa Nani lebih selesa menghabiskan masa yang lama di kedai buku popular seperti Barnes & Noble bersama Bront.

Sempat juga Nani berbisik kepada penulis bahawa dia tidak membawa wang yang banyak ke LA iaitu sebanyak AS$300 sahaja.

Selain dapat berjumpa dengan Yuna, aktres genit berusia 25 tahun itu juga melahirkan rasa gembiranya apabila dapat meluangkan masa dengan salah seorang anak didik Allahyarham Yasmin Ahmad iaitu Howard Hon Ka Hoe atau lebih kenali sebagai Ka Hoe.

Mungkin ada yang terlupa, Ka Hoe diperkenalkan menerusi filem Talentime oleh arwah Yasmin pada tahun 2008.

Kata Nani, dia cukup berbangga dengan Ka Hoe yang sudah setengah tahun mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam bidang perfileman di LA.

"Saya gembira kerana semua anak-anak arwah Mak (panggilan untuk Yasmin) berjaya dalam bidang masing-masing. Mendengar Ka Hoe bercerita tentang pelajaran dan pengalamannya di LA, saya pasti arwah Mak juga akan tumpang gembira dengan kejayaannya," kata Nani yang mula dikenali menerusi filem Sepet ini tenang.

Rasa Halal mudahkan pelancong

Posted: 18 Oct 2011 08:08 PM PDT


ERLLAND Kok (dua dari kiri) dan Nurjannah Mohd. Salleh (empat dari kiri) bersama krew Rasa Halal yang menjalani penggambaran di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini.


MATANG dalam melakukan tugasan dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada krew adalah antara faktor kenapa Farah Diana Anuar, 26, terus dikekalkan sebagai pengacara program Rasa Halal yang memasuki musim keenam.

Penulis yang turut berada di lokasi penggambaran bersama Farah Diana atau Farah Akademi Fantasia musim kedua (AF2) di Maesa Elephant Camp, Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini, dapat melihat cara penyanyi itu bekerja.

Farah tidak mengambil masa yang panjang atau melakukan rakaman berulang-ulang kali untuk satu syot kerana dia sudah tahu apa yang perlu diungkap di hadapan kamera.

Biarpun penulis skrip, Sheril Aida Ibrahim memberi skrip kepadanya di saat akhir kerana lokasi sering berubah, namun Farah pantas memahami dan menyampaikannya dengan mudah dan lancar.

Dari situ membuktikan yang Farah semakin cekap serta berkeyakinan ketika menyampaikan segala informasi yang dikumpul oleh penulis skrip dan sekali gus, tidak menyusahkan pengarah, Faizul Hisham.

Berdasarkan faktor itulah, penerbit program, Erlland Kok dari E-Style Sdn. Bhd., juga berpuas hati dengan hasil kerja Farah.

"Kita nampak perubahan Farah dari dulu hingga kini sewaktu mengacara. Waktu awal-awal program, banyak perkara yang perlu dibetulkan. Sekarang ini, cakap sahaja, Farah sudah tahu apa nak dibuat.

"Selain itu, Farah juga bukanlah artis yang bermasalah. Dia pandai membawa diri dan sering bertanya serta berkongsi idea dengan krew," katanya.

Menurut Erlland, musim ini Farah akan mengajak penonton menjelajah dan mencari makanan halal di sekitar Laos, Vietnam dan Chiang Mai, Thailand dengan judul Rasa Halal Thailand dan Rasa Halal Laos.

Katanya, program yang bermula sejak 2008 itu telah melakukan penggambaran di Xian, Taiwan, Hong Kong, Kemboja dan Vietnam itu akan mula bersiaran untuk musim baru, di Saluran Oasis 106, setiap Selasa, 7.30 malam, mulai 6 Disember ini.

Sementara itu, Nurjannah Mohd. Salleh dari Bahagian Perolehan Astro Oasis yang turut bersama krew berkata, musim keenam program berkenaan turut disuntik kelainan.

Katanya, program berbentuk travelodge itu semakin digemari ramai dari masa ke semasa dan sebab itu jugalah, pengisian program tersebut sentiasa dikemas kini.

"Kalau dulu, program ini lebih memberi fokus pada masakan halal yang terdapat di negara luar. Sekarang ini, selain menampilkan menu masakan halal, turut ditonjolkan kebudayaan dan komuniti setempat.

"Sebenarnya tanpa disedari program ini sering dijadikan panduan oleh pelancong tempatan setiap kali mereka ke luar negara. Contohnya, apabila ditonjol tempat masakan halal, mudahlah untuk mereka mencari lokasi bila berada di negara berkenaan," katanya.

Aizat angkat martabat artis muda

Posted: 18 Oct 2011 08:07 PM PDT


Susunan muzik yang baik malam itu nyata memberi kelebihan kepada penyanyi muda ini.


BUKAN calang-calang penyanyi yang mampu mengadakan konsert diiringi kumpulan pemuzik orkestra dari Dewan Filharmonik Petronas Kuala Lumpur. Namun, itulah kejayaan terbesar yang dicipta oleh penyanyi muda, Muhammad Aizat Amdan.

Beraksi di pentas yang sama dan pernah menghimpunkan nama-nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid serta Ramli Sarip, Aizat bertuah kerana dalam meniti karier seninya, dia diberikan peluang itu.

Untuk makluman, sebelum Aizat, Yuna ialah penyanyi muda yang diberikan penghormatan untuk beraksi di pentas seni berprestij tersebut.

Jika direnung semula, Aizat jauh lebih bersinar bintangnya jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang sama-sama menyertai program realiti televisyen, Akademi Fantasia.

Biarpun nama Aizat tidak dijulang sebagai juara dalam program realiti itu, namun rezekinya dalam bidang seni suara telah tercatat.

Maka sepanjang lima tahun dalam industri, Aizat telah menghasilkan dua album iaitu Percubaan Pertama pada (2008) dan Urusan Aizat Amdan (2010).

Berbalik kepada kisah Aizat di pentas Dewan Filharmonik Petronas, pada mulanya dia kelihatan agak gugup ketika memulakan persembahan.

Mungkin faktor kali pertama beraksi di pentas keramat itu menjadikan dirinya agak terkejut melihat kehadiran peminat yang memenuhi setiap ruang tempat duduk dalam dewan tersebut.

Berpakaian agak ringkas pada malam itu, beberapa kali Aizat seperti hilang arah ketika cuba berseloroh dengan hadirin yang hadir.

Daripada pengamatan penulis, lebih baik Aizat menyanyi daripada berkomunikasi kerana skil komunikasi Aizat perlu banyak diperbaiki.

Menampilkan 14 buah lagu termasuk sebuah lagu baru bertajuk Jerrypah, susunan muzik terbaik nyata memberi kelebihan kepada persembahan Aizat pada malam itu.

Selain itu, persembahan Aizat terselamat apabila dia pandai menyenaraikan pemilihan lagu-lagu yang sudah pun mempunyai kekuatannya tersendiri dan mesra telinga.

Hampir keseluruhan hadirin yang duduk dalam dewan itu terhibur dengan persembahan dan vokal Aizat yang mantap.

Gimik klise, di akhir persembahan, Aizat seolah-olah mahu meninggalkan pentas tetapi kembali semula dengan satu lagu, Hadapi Dengan Senyuman yang dipopularkan oleh kumpulan Dewa, sebagai finale persembahan.

Sindrom artis popular

Posted: 18 Oct 2011 08:06 PM PDT

RAMAI artis seperti penyanyi, pemuzik dan pelakon yang terpaksa melalui pelbagai kepayahan untuk popular dalam bidang hiburan di negara ini. Popular bukan setakat di mata masyarakat tetapi mereka juga senang untuk memperolehi pendapatan yang lumayan dalam masa singkat.

Biasanya dengan menyanyi satu atau dua lagu dalam sesuatu persembahan, seseorang penyanyi popular menerima bayaran RM5,000 dan ke atas. Malah, jangan terkejut pada persembahan tidak sampai satu jam, ada yang memperolehi pendapatan sehingga RM30,000.

Semua itu diraih sewaktu mereka sedang popular. Justeru, ramai artis yang rambang mata dan seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk menggunakan peluang tersebut. Paling teruk, timbul pula sifat tamak sehingga ramai di antara mereka lupa daratan. Itu adalah antara sindrom artis yang sedang popular di negara ini.

Kemewahan segera itu menyebabkan mereka lupa diri. Kalau dulu tidak pernah menikmati hidup mewah, maka sekarang ini adalah masanya mereka merasai semua itu.

Namun, ramai yang lupa untuk merenung seketika masa tua mereka. Artis antara golongan pekerja yang tidak mempunyai Skim Wang Simpanan Pekerja. Ini bermakna, mereka tiada jaminan kewangan apabila tua kelak. Begitu juga dengan skim insurans atau perubatan.

Sayangnya, segala kekurangan itu pula seakan-akan tidak menyedarkan mereka. Banyak kali berita artis veteran atau yang kurang bernasib baik menagih simpati kerana mereka tidak mampu lagi berkarya disiarkan melalui pelbagai medium media massa. Namun, ia hanya tinggal berita.

Senario yang sedang berlaku itu semacam suatu trend dalam bidang hiburan di negara ini. Setiap kali ada artis baru yang nama mereka sedang melonjak, sindrom itulah yang sering menimpa mereka. Terbaru sindrom itu menimpa kumpulan lawak Sepah.

Sepah kini bukan sahaja hanya dianggotai oleh Mamat, malah dua anggotanya iaitu Jep dan Shuib turut menubuhkan kumpulan baru yang dikenali sebagai Sepahtu. Bukan mahu mencari salah mahupun menyebelahi mana-mana pihak tetapi ramai yang boleh melihat permasalahan mereka.

Dalam keadaan dihimpit populariti yang menjulang, ditambah lagi dengan poket yang sentiasa penuh, sukar untuk mendepani situasi tersebut.

Masalah itu sedikit sebanyak mempengaruhi disiplin dan tahap profesionalisme kerjaya mereka.

Sepah yang menjuarai pertandingan Maharaja Lawak dengan menggondol hadiah wang tunai RM350,000 tetapi berpecah baru-baru ini. Sejak era kegemilangan Senario pada awal tahun 1990-an mereka belum ada pengganti.

Tanpa kekuatan tiga tonggak dalam kumpulan itu, mereka sukar bergerak jauh melainkan mereka mampu menjadi pelawak solo serba boleh seperti Datuk Jamali Shadat.

Perkara itu seharusnya disedari semua artis dan pelbagai langkah juga harus dilakukan bagi mengatasinya termasuklah daripada golongan pakar.

Misalnya dengan berjumpa dengan pakar psikologi bagi mendapatkan nasihat bagi menguruskan kecelaruan minda dan perubahan sikap kerana faktor sekeliling.

Namun, biasanya artis popular lebih gemar menggunakan khidmat pembantu peribadi. Golongan ini lebih kepada menguruskan jadual persembahan ataupun menguruskan hal-hal peribadi artis-artis terbabit.

Amat merugikan buat artis yang menghidap sindrom berkaitan perubahan sikap, disiplin dan kurangnya pengetahuan dalam menguruskan kerjaya mereka.

Ini kerana populariti seseorang artis tidak selalu berada di puncak kejayaan. Apabila sampai ketikanya, mereka akan kehilangan semua itu termasuklah tidak popular kerana dimamah usia.

Menu Rakyat sedap, berkualiti

Posted: 18 Oct 2011 08:04 PM PDT


NAJIB Tun Razak bersama para pelanggan yang makan tengah hari menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika berkunjung ke premis Program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Ukhwah, Lorong Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) dan Yang Dipertua Ukhwah, Datuk Rahim Baba (dua, kanan).


KUALA LUMPUR 18 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.

Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengiringi Perdana Menteri, berkata, kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.

Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.

"Saya rasa Perdana Menteri sangat gembira di mana hari ini, beliau dapat merasa sendiri apa yang rakyat rasa dan makan setiap hari dan ini menunjukkan beliau prihatin dengan apa yang dimakan dan dirasa rakyat," kata Ismail Sabri.

Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ismail Sabri berkata, program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.

Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Menurut Ismail Sabri, bagi kemudahan orang ramai, senarai kesemua restoran yang mengambil bahagian dalam program itu akan diiklankan di akhbar esok.

Beliau berkata, kementerian berharap lebih banyak restoran menyertai program itu yang mensyaratkan semua menu harus mempunyai kombinasi diet seimbang seperti nasi, lauk, sayur dan minuman.

Isu warga Afrika meruncing

Posted: 18 Oct 2011 07:59 PM PDT


PELAJAR warga Afrika berjalan dekat sebuah kolej swasta di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


* Masalah jenayah dan sosial yang ditimbulkan warga Afrika di negara ini bukanlah sesuatu yang baru malah kini semakin meruncing dan memerlukan tindakan drastik kerajaan untuk mengatasinya.

* Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebahagian besar warga Afrika khususnya yang terlibat dalam jenayah komersial dan narkotik yang ditahan adalah pelajar kolej swasta.

* Statistik imigresen menunjukkan 29,000 pelajar warga Afrika berdaftar secara sah di kolej-kolej swasta di seluruh negara namun jumlahnya disyaki berlipat kali ganda jika mengambilkira mereka yang tinggal melebihi masa.

* Setakat ini masalah kebanjiran warga Afrika yang melibatkan bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi yang bertanggungjawab terhadap kemasukan pelajar manakala Jabatan Imigresen mengeluarkan pelekat pas pelajar, dilihat masih gagal dikawal.

Tidak mahu dibayangi Stacy

Posted: 18 Oct 2011 07:59 PM PDT

Sekali pandang, pakej yang dimiliki pendatang baru ini tidak ubah seperti juara Akademi Fantasia (AF6) yang kini popular dengan lagu Kisah Dongeng, Stacy.

Namun, apabila Zass bertanyakan hal itu, pemilik nama, Brenda Anura Lundo Jamin, atau lebih mesra disapa Brenda, 18, ini dengan pantasnya menafikannya. Malah anak jati negeri di bawah bayu ini, tidak mahu disamakan dengan Stacy.

"Kalau dari segi fizikal, kami tak sama langsung. Tapi kalau dari segi konsep muzik yang diperjuangkan, mungkin sama kerana saya memang berminat dengan muzik Pop Dance.

"Apa pun saya harap janganlah samakan saya dengan Stacy. Saya mahukan identiti saya sendiri. Kalau dari awal lagi saya dilabelkan sepertinya, sudah pasti pendengar tidak berminat untuk mendengar lagu saya," katanya bakal muncul dengan single pertama, Mulut Longkang.

Mengenai single terbaru, Brenda di bawah Erama Production, memberitahu, walaupun tajuk lagu itu agak daring, namun banyak unsur nasihat yang diselitkan untuk pendengar.

"Kami memang sengaja pilih tajuk lagu yang unik agar mudah menarik perhatian peminat. Lagu ini dicipta Syeikh Qalam dan Jasnie Mohd Yaakob sangat serasi dengan jiwa saya. Lagu ini sudah pun dimainkan di radio dan menerima sambutan baik di kalangan peminat," kata Brenda yang sebelum ini pernah memiliki album duet bersama S Welly.



Menyanyi di sekolah

Sejak di bangku sekolah lagi, Brenda sudah cenderung dengan nyanyian, malah turut mendapat sokongan padu daripada ibu bapanya.

Dia juga banyak menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan juga negeri. Lebih membanggakan Brenda merupakan juara Suara Emas Peringkat Negeri Sabah, tahun lalu.

"Saya menerima tawaran daripada Erama Production dan terpaksa menangguhkan dulu pelajaran.

"Kami sekeluarga dah berbincang. Saya akan fokus dulu dalam nyanyian dan barulah sambung belajar," katanya yang terpaksa menolak tawaran belajar di Kolej Matrikulasi, Sabah.

Bagi merealisasikan cita-citanya, Brenda bertekad untuk kerja keras dalam nyanyian dan berharap kemunculannya diterima peminat muzik.

"Saya tidak sangka, impian untuk menjadi penyanyi akhirnya muncul dengan cepat sekali. Ia seperti mimpi indah untuk saya. Tapi saya tetap perlukan sokongan peminat," katanya yang pernah membintangi drama kenegerian Sabah, Ongkukus as Keningau.



Ingin cipta nama di luar negara

Jika sebelum ini namanya sudah dikenali di Sabah, kini Brenda optimis mencipta nama di seluruh negara.

Enam bulan di Kuala Lumpur, Brenda berharap dirinya diterima secara baik untuk mewarnai industri muzik bersama penyanyi yang sedia ada.

"Ramai rakan-rakan dari sini (Sabah), berjaya mencipta nama setelah ke Kuala Lumpur. Lagipun di sinilah tempat karyawan muzik berkumpul.

"Fokus saya bukan sahaja di Malaysia, kalau boleh saya nak melangkah ke luar negara.

"Ia adalah impian saya. Apa yang penting, saya harus pikat hati pendengar sebelum melangkah ke negara lain," katanya yang turut aktif berlakon.

Pierre kecewa Al Hijab gagal capai sasaran

Posted: 18 Oct 2011 07:20 PM PDT

Entah mana silapnya, filem genre seram, Al Hijab, gagal mencapai kutipan yang memberangsangkan, walaupun mendapat pujian menggunung daripada pencinta filem.

Sejak ditayangkan pada 6 Oktober sehingga Ahad lalu, Al Hijab hanya berjaya mengutip RM2 juta dan jumlah itu jauh ketinggalan berbanding filem Hantu Bonceng yang meraih RM8.5 juta.

Pengarahnya, Pierre yang dihubungi semalam, tidak menyembunyikan rasa kecewanya kerana filem itu adalah hasil garapan terbaiknya.

"Saya memang kecewa kerana Al Hijab tidak mencapai sasaran saya iaitu RM4 juta. Namun, saya masih bersyukur kerana kutipan itu tidak merugikan saya.

"Mungkin rezeki saya kurang baik dalam karya kali ini.

"Kutipan sesebuah filem bergantung kepada rezeki dan nasib. Walaupun jalan cerita bagus, kalau nasib tidak menyebelahi, filem itu mampu setakat itu sahaja," luah Pierre.

Bagaimanapun, anak teruna pelakon veteran, Khatijah Tan ini berharap filem terbitan, Empat Semudra, itu dapat meraih keuntungan menerusi Astro First.

"Saya mengharapkan tayangan di Astro First dapat membantu menaikkan lagi kutipan tersebut. Lagipun, kini baru hampir dua minggu tayangan. Jika masih ada penonton selepas ini, mungkin tayangan di panggung akan disambung ke satu atau dua minggu lagi," katanya yang menafikan lambakan filem seram menjadi punca kegagalan filemnya.

Tidak mudah berputus asa, Pierre bakal muncul dengan dua filem cinta, Aku Kau Dia dan Chantek.

"Saya juga bakal mengarahkan filem aksi pertama bersama Metrowealth. Ia masih dalam perbincangan dan Insya-Allah akan menjalani penggambaran tidak lama lagi," kata Pierre.

Proton komersial kereta elektrik menjelang 2013

Posted: 18 Oct 2011 07:19 PM PDT



Proton Holdings Bhd merancang mengkomersialkan kenderaan elektriknya pada 2013, bagi menam-pung permintaan yang semakin meningkat untuk kereta elektrik sepe-nuhnya di Malaysia.

Pengarahnya, Datuk Zainuddin Che Din berkata, kenderaan berkenaan kini dalam peringkat ujian.

"Pada masa ini, kami sudah menyerahkan tiga unit Proton Saga EV dan lima unit Proton Exora Range Extender EV kepada kerajaan untuk ujian.

"Dalam proses pengkomersialan kenderaan, kami merancang menyediakan sekurang-kurangnya 200 Range Extenders dan 150 Proton Saga EV kepada kerajaan menjelang akhir tahun depan," katanya.

Zainuddin berkata, kereta berkenaan akan dijual pada harga yang kompetitif dengan nilai wang apabila dikomersialkan kelak.

Harga Proton Saga EV dijangkakan RM70,000 dan Proton Exora Range kira-kira RM100,000.

"Harga itu lebih rendah dan kompetitif bagi kereta elektrik penuh dalam negara," katanya yang juga Pengarah Projek Jabatan Teknologi Hijau Proton.

Beliau berkata, bagi menampung keperluan kereta elektrik sebaik dikomersialkan kelak, Proton dan kerajaan kini menyediakan mekanisme bagi membangunkan infrastruktur pusat mengecaj kenderaan elektrik.

"Pada peringkat awal, stesen berkenaan akan didirikan di Putrajaya, Cyberjaya dan lokasi utama di Kuala Lumpur.

"Pada masa ini, beberapa stesen sudah disediakan di pejabatKerajaan," katanya.

Zainuddin berkata, kerajaan mungkin membina 100 hingga 150 stesen.

Syabas meterai perjanjian pinjaman RM110 juta

Posted: 18 Oct 2011 07:18 PM PDT



Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, anak syarikat milik 70 peratus Puncak Niaga Holdings Bhd memeterai perjanjian kemudahan pinjaman RM110 juta dan surat ikatan penyerahan hak dengan kerajaan.

Syarikat itu berkata, RM95 juta daripada kemudahan itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal bagi penggantian paip lama di 14 kawasan kritikal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Manakala bakinya akan digunakan untuk menaik taraf sistem bekalan air bagi menyalurkan 65 juta liter sehari air bersih dari Takungan Air Sungai Bernam di Sabak Bernam," katanya kepada Bursa Malaysia.

PKS Malaysia digesa daftar cap dagang

Posted: 18 Oct 2011 07:17 PM PDT



Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) digesa mendaftar dengan Sistem Protokol Madrid, yang menyediakan perlindungan di lebih 80 negara, menerusi satu permohonan dalam satu bahasa dan satu mata wang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKS Malaysia boleh menggunakan sistem ini untuk meluaskan produk dan perkhidmatan di peringkat tempatan dan antarabangsa pada kos pendaftaran dan penyelenggaraan yang rendah.

"Pengharmonian syarat rasmi dan struktur yuran yang disediakan oleh sistem Madrid mengurangkan yuran pendaftaran antarabangsa, sekali gus menggalakkan lebih ramai pemilik cap dagang tempatan di Malaysia dan luar negara untuk mendaftar," katanya.

Sistem Madrid menawarkan perlindungan cap dagang menerusi permohonan tunggal dengan Biro Antarabangsa (pejabat negara) dalam satu bahasa (Bahasa Inggeris, Perancis atau Sepanyol) menerusi satu set yuran.

Ismail Sabri berkata, Malaysia berusaha memenuhi protokol itu menjelang 2013.

"Kementerian kini dalam proses meminda pelbagai perundangan IP seperti Akta Paten dan Akta Reka Bentuk Perusahaan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2012, manakala pindaan Akta Hak Cipta diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini," katanya pada pelancaran Seminar Kebangsaan Mengeri Protokol Madrid di Kuala Lumpur.

Pasaran modal Islam lebih global

Posted: 18 Oct 2011 07:16 PM PDT



Pengantarabangsaan yang lebih besar akan menjadi unsur utama pasaran modal Islam memandangkan ia akan merencanakan kemajuan seterusnya pada dekad akan datang.

Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr Nik Ramlah Mahmood berkata, ia memberi peluang kepada Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab bagi aktiviti pasaran modal Islam.

Beliau menegaskan pertumbuhan dalam beberapa bidang kuasa dan penyertaan industri yang mengamalkan kewa-ngan Islam menjadi faktor utama dalam merangsang lebih banyak urus niaga dan aktiviti rentas sempadan.

"Jadi akan terus membangunkan standard dan garis panduan oleh organisasi antarabangsa, seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI)," katanya dalam ucaptama pada Forum Penerbit & Pelabur Asia IFN di sini.

Nik Ramlah berkata, penyelarasan yang lebih luas dalam keputusan dan interpretasi syariah juga akan menyediakan platform yang lebih biasa bagi peserta industri untuk beroperasi di seluruh bidang kuasa

"Pasaran baru, integrasi dipertingkatkan dan liberalisasi ekonomi serta pasaran kewangan adalah tema yang akan membantu untuk terus memacu pengantarabangsaan pasaran modal Islam," katanya.

Menurutnya, usaha bersama semua pihak berkepentingan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran modal Islam.

"Kita telah menyaksikan peningkatan tahap aktiviti rentas sempadan melibatkan produk dan perkhidmatan Pasaran Modal Islam (ICM) sejak kebelakangan ini.

"Peningkatan jumlah dan pelbagai aktiviti rentas sempadan yang serupa dijangka boleh tampil lebih penting dalam persekitaran pasaran modal Islam," katanya.

Samsung optimis capai agihan pasaran

Posted: 18 Oct 2011 07:15 PM PDT



Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd optimis dapat meningkatkan agihan pasaran kepada 15 peratus dalam segmen kamera pegun digital menjelang akhir tahun ini, seiring dengan pengenalan barisan terkini produk pengimejan digitalnya.

Pengarah urusannya, Kwon Jae Hoon berkata, Samsung yakin dapat mencapai sasaran agihan pasaran berdasarkan kajian dan ramalan, mereka menganggarkan pasaran kamera sistem kompak akan mencapai pertumbuhan global kira-kira 300 peratus pada tahun ini.

Menurutnya, barisan produk pengimejan digital yang diperkenalkan adalah model baru untuk separuh tahun kedua tahun ini iaitu model kompak premium Samsung MultiView MV800, NX200, WB750, ST96 dan Kamkorder SMX-F700.

"Samsung sentiasa berusaha memperkenalkan produk terbaik bagi memenuhi keperluan pelanggan. Matlamat kami adalah untuk sentiasa menjadi tonggak hadapan dalam inovasi kamera sistem kompak dan kompak digital.

"Kami yakin pengenalan produk baru ini dapat memacu matlamat kami untuk mencapai 15 peratus pasaran kamera pegun digital di Malaysia menjelang akhir tahu ini, sekali gus memenuhi sasaran pertumbuhan jualan lebih 35 peratus," katanya semasa pelancaran barisan produk pengimejan digital Samsung di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemasaran Unit Bisnes Pengimejan Digital Samsung Malaysia Electronics, Julian Thean dan Pengarah Jualan & Pemasaran Pengimejan Digital Samsung Malaysia Electronics, Hur Jin Hoe.

Penalti naik 5 kali ganda

Posted: 18 Oct 2011 07:14 PM PDT

MEREKA yang didapati bersalah membuang sisa toksik seperti dalam kes di Batu Pahat, Johor ini bakal dikenakan hukuman lima kali ganda lebih berat tahun depan. – Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU – Kerajaan akan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini dengan mengenakan penalti jauh lebih berat kepada pesalah baik individu atau syarikat.

Di bawah cadangan pindaan itu, penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM500,000.

Antara kesalahan di bawah seksyen tersebut ialah pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan pembukaan tanah secara haram.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pindaan itu akan dibentang ke Kabinet minggu depan sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac 2012.

Katanya, ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan projek yang melanggar peraturan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Ini bukti kita serius dan mencegah sebarang bentuk kemusnahan yang berpunca daripada pencemaran alam," tegas beliau selepas merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Kebangsaan 2011 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Kad kredit palsu serendah RM15

Posted: 18 Oct 2011 07:13 PM PDT


TAJUDIN (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Keghairahan seorang pemilik perniagaan percetakan dan seorang pekerjanya mencetak kad-kad kredit palsu bagi kegunaan sindiket antarabangsa berakhir dengan mereka ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di Bandar Puteri, Pelabuhan Klang di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, polis turut merampas 3,246 keping kad kredit palsu yang siap diproses. Turut dirampas beberapa mesin atau alat yang digunakan untuk memproses kad kredit.

Sindiket tersebut antara lain memalsukan kad-kad kredit milik City Bank, HSBC Bank, Standard Chartered Bank, American Express, Hua Nan Comercial Bank, China Merchants Bank, Axis Bank dan The Royal Bank of Scotland.

Jumlah semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Tajudin Mohd. Isa berkata, dua suspek berusia 44 dan 21 tahun itu menyembunyikan kegiatan mereka dengan berselindung di sebalik syarikat percetakan yang diusahakan secara sah.

Syarikat percetakan itu telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

"Syarikat itu mencetak pelbagai jenis kad seperti kad keahlian kelab, kad institusi pengajian tinggi dan kad-kad syarikat.

"Namun kerana tamak untuk mendapat untung lebih, tauke syarikat dan seorang pekerjanya turut mengambil tempahan untuk memproses kad-kad kredit palsu," kata beliau sambil memberitahu kegiatan salah itu dipercayai baru beroperasi lima bulan lalu.

Bercerita mengenai modus operandi dua suspek itu, Tajudin berkata, suspek dipercayai menerima tempahan daripada ahli sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang menyertakan jenis-jenis kad kredit palsu yang dikehendaki.

Kebanyakan ahli sindiket itu membabitkan warga asing.

"Setiap kad kredit yang siap diproses dijual pada harga serendah RM15 sekeping dan kualiti pada setiap kad menyerupai kad-kad kredit tulen," kata beliau.

Tiga sindiket tipu RM1.9 juta tumpas

Posted: 18 Oct 2011 07:12 PM PDT




IPOH – Polis Perak menumpaskan tiga sindiket membabitkan penipuan wang melalui Internet, penipuan bomoh Cina dan kes penipuan antarabangsa 'Macau Scam' yang melibatkan kerugian RM1.9 juta kepada mangsa di negeri itu.

Dalam kes pertama, polis menumpaskan sindiket penipuan wang melalui Internet yang didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya 15 ahli kumpulan penjenayah itu di Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan (gambar) berkata, kumpulan itu mula beroperasi awal tahun ini dan terlibat dalam 44 kes dilaporkan di Perak dengan kerugian berjumlah RM847,149.

"Mereka yang ditangkap masing-masing 12 lelaki Nigeria, dua wanita tempatan dan seorang wanita Singapura yang kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun," kata beliau pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini semalam.

Kesemua suspek ditahan minggu lalu di Selangor dan masih direman.

Shukri menjelaskan, modus operandi sindiket itu adalah dengan berkenalan dengan mangsa wanita tempatan melalui laman sosial seperti Facebook, tagged.com. dan selepas persahabatan terjalin, sindiket memaklumkan mangsa akan dikirimkan bungkusan yang mengandungi wang tunai atau barangan kemas.

77 kes cerai setiap hari

Posted: 18 Oct 2011 07:12 PM PDT


PENYANYI Kumpulan OAG, Mohd. Radhi Razali adalah antara senarai pasangan yang bercerai tahun lalu selepas mengambil keputusan untuk berpisah dengan Shazlin Sharif selepas lima tahun berkahwin.


KUALA LUMPUR – Masalah keruntuhan institusi keluarga Islam di negara ini semakin menjadi-jadi apabila rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati, sebanyak 28,035 pasangan bercerai sepanjang tahun lalu.

Statistik itu bermakna, secara purata 77 kes perceraian sehari atau tiga kes bagi setiap jam didaftarkan di Malaysia berbanding 135,548 pasangan yang berkahwin tahun lalu.

Angka itu mencatatkan peningkatan 144 kes berbanding 27,891 pasangan yang bercerai sepanjang tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika dihubungi semalam mengakui, sekali pandang jumlah kes perceraian pasangan Islam cukup tinggi dan membimbangkan.

Katanya, kebanyakan daripada perceraian itu berlaku selepas pasangan terbabit gagal mencapai persefahaman yang sepatutnya wujud di antara suami isteri.

Beliau bagaimanapun berpendapat, walaupun kes perceraian ditegah dalam Islam, ada pihak mungkin melihatnya dari perspektif yang berbeza.

"Sekali pandang bilangan kes perceraian memang tinggi tetapi kita juga perlu melihatnya daripada sudut lebih positif.

Peniaga usah kaut untung campur daging kambing dengan lembu

Posted: 18 Oct 2011 07:11 PM PDT


GUNA SELAN (tengah) melihat daging kambing yang dijual di Pasar Chowrasta di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang memberi amaran kepada peniaga di negeri ini agar tidak mencampurkan daging kambing dengan daging lembu atau daging kambing import untuk memperdaya pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, M. Guna Selan berkata, pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai berhubung tindakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlebihan dengan mencampurkan daging-daging berkenaan.

Katanya, daging kambing tempatan berharga antara RM33 dan RM35 sekilogram manakala harga daging kambing import ialah antara RM24 dan RM25 sekilogram.

"Kita harap peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan dengan mencampurkan daging-daging berkenaan menjelang perayaan Deepavali ini memandangkan permintaan bagi daging kambing meningkat," katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Chowrasta di sini semalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved