Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Bukti Si Tanggang pernah hidup
- Tidak boleh seluk poket
- Punan pertama jadi pegawai
- 11 tahun keliling dunia
- Rendah lemak dan bebas kolesterol
- Cita rasa sepanjang zaman
- Pencarian Gadis Simply Pretty Avon
- Tugas unik polis Westports
Bukti Si Tanggang pernah hidup Posted: 16 Oct 2011 09:24 PM PDT ![]() BATU Malin Kundang berbentuk manusia di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat menarik ribuan pelancong setiap tahun. KISAH seorang lelaki disumpah menjadi batu oleh ibunya begitu popular dalam masyarakat Melayu Nusantara. Di Malaysia, lelaki itu dikenali sebagai Si Tanggang manakala dia dipanggil Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei. Menurut mitosnya, Si Tanggang ialah seorang pemuda miskin yang merantau mengikut sebuah kapal bagi mencari kekayaan. Malangnya, selepas kaya dia berubah menjadi sombong dan langsung tidak menjenguk ibunya walaupun semasa kapalnya berlabuh di kampung ibunya. Lebih menyedihkan, si ibu yang datang ke kapal tersebut untuk mencari Si Tanggang telah dihalau oleh anaknya itu. Si Tanggang yang telah memperisterikan seorang wanita cantik dikatakan berbuat begitu kerana malu mempunyai ibu yang miskin. Disebabkan kecewa, si ibu telah menyumpah Si Tanggang menjadi batu. Apa yang menarik, batu yang didakwa sebagai Si Tanggang itu boleh ditemui di sebuah gua di Batu Caves, Selangor. Batu berbentuk manusia juga ada terdampar di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera, Indonesia manakala di Brunei, ia terletak di tepi laut Jong Batu. Darah Si Tanggang Gua Gelap di Batu Caves dikatakan menjadi tempat mengalirnya darah Si Tanggang. "Anda dapat melihat sendiri seakan-akan darah mengalir di celah batu dan lantai gua ini. Adunan air dan batu berwarna merah seperti menguatkan mitos Si Tanggang. "Kesan ini wujud sejak gua ini ditemui pada tahun 1889," ujar warden Gua Gelap, Batu Caves, Hadrian Sanie, 42, sambil menunjukkan batu berwarna merah seperti darah beku manusia. Hadrian telah bekerja sebagai pemandu pelancong Gua Gelap sejak lima tahun lalu. Kisah Si Tanggang itu diceritakan dari mulut ke mulut sejak dahulu lagi. "Ramai juga pelancong yang memasuki gua bertanyakan perkara yang sama. Malah mereka takut untuk memegang air dan batu tersebut," kata Handrian. Tetapi terdapat penjelasan tentang perkara itu mengikut ilmu geologi. ![]() GUA Gelap tempat Si Tanggang dan kapalnya disumpah menjadi batu. Profesor Mohd. Shafeea Leman, 53, Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia (KWGM) mempunyai jawapannya. "Proses semula jadi di gua itu sendiri mengakibatkan fenomena itu berlaku. Aliran air yang mengandungi besi oksida menyebabkan batu itu berwarna oren. "Kemudian oksigen menukarkan pula batu itu kepada warna merah. Ia bukan darah tetapi kesan perubahan kimia batu itu," ujarnya. Di Pantai Air Manis pula, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kota Padang, Sumatera, terdapat batu Si Tanggang dan kesan kapalnya. Batu itu kelihatan seperti seseorang sedang meniarap di celah-celah serpihan kapal yang pecah. Batu yang dikatakan telah dibentuk semula itu kini masih menjadi tarikan pelancongan di situ. Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, kisah Si Tanggang amat dekat dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Katanya, kisah Si Tanggang itu mungkin benar berikutan penemuan batu berbentuk manusia dan kapal di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. "Malangnya, tiada dokumen rasmi yang mengesahkan kejadian itu walaupun pada masa itu tamadun manusia sudah berkembang. "Dengan adanya cerita mengenai kapal dan perdagangan yang melibatkan Si Tanggang menunjukkan ketamadunan manusia telah berkembang di nusantara ketika itu," katanya kepada Jurnal. Ramlah memberitahu, kisah Si Tanggang hanya diceritakan secara lisan dan mungkin perjalanan ceritanya berbeza kerana ada penambahan daripada versi asal. "Ia kemudian dimasukkan unsur komersial seperti magis bagi mencantikkan lagi cerita. "Lagipun versi kisah Si Tanggang di ketiga-tiga negara ini hampir sama. Ini agak pelik. Bagaimana seorang individu atau satu kejadian boleh berlaku di tiga lokasi?" katanya.
Ujar Ramlah, persamaan versi kisah Si Tanggang ialah perjalanan ceritanya banyak berkisar mengenai laut atau sungai, aktiviti perniagaan dan perkampungan nelayan, selain cerita derhaka si anak kepada si ibu. Bukti saintifik Ramlah turut menyebut, konsep pembalasan dosa dalam Islam bukan di akhirat sahaja tetapi juga di dunia seperti yang cuba digambarkan dalam kisah Si Tanggang. Bagi pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, kebenaran kisah Si Tanggang boleh dibuktikan dengan melakukan ujian saintifik ke atas batu berbentuk manusia yang didakwa sebagai kesan sumpahan lelaki itu. "Para pengkaji sejarah boleh menguji batu-batuan di ketiga-tiga lokasi bagi menentukan usianya. "Selepas itu, kita bandingkan usia batu itu dengan usia cerita lisan yang diceritakan dari mulut ke mulut sejak berzaman lalu itu," terang Ali. Katanya, dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil. "Walaupun tidak seratus-peratus tepat, proses hakisan yang disebabkan faktor semula jadi seperti angin dan air boleh membentuk objek seperti manusia, haiwan atau benda tertentu. "Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia," katanya. | |||||
Posted: 16 Oct 2011 09:24 PM PDT
DENGAN kuku sepanjang 606 sentimeter (sm), Chris 'The Dutchess' Walton kini memegang rekod sebagai pemilik kuku terpanjang di dunia. Ia mengambil masa selama 18 tahun untuk tumbuh dan mungkin memerlukan rawatan manicure paling mahal di dunia. Penyanyi dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berusia 45 tahun itu mencatat nama dalam Guinness Book of Records dengan ukuran kuku tangan kiri sepanjang 309 sm dan 297 sm bagi tangan kanan. "Ia sebahagian daripada tubuh kita," kata Walton. Sementara dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya tanpa kuku yang panjang, ramai yang tertanya-tanya apa yang boleh dilakukannya dengan kuku sepanjang itu? Menurut Walton, dia boleh melakukan semua perkara termasuk memandu kereta, membeli-belah dan membuat kerja rumah. Ya, semua perkara kecuali menyeluk poket seluarnya. "Perkara paling susah bagi saya ialah untuk menyeluk poket. Yang lain saya boleh buat sendiri - memandu, pergi ke pasar raya dan membersihkan rumah walaupun kadang-kadang wayar vakum akan berbelit pada kuku saya," ujarnya. Pakaian Satu lagi aktiviti yang tidak dapat dilakukannya ialah berenang. "Saya tidak berenang bukan disebabkan kuku tetapi masalah rambut," akui Walton. Dalam satu interviu dengan akhbar Huffington Post di New York, Walton menunjukkan cara dia menggunakan telefon bimbit iaitu dengan menekan butangnya menggunakan buku jari bagi menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Walton memberitahu, dia sentiasa memikirkan mengenai kukunya sejak 18 tahun lalu. Dia juga terpaksa mengubahsuai pakaiannya khususnya membuang semua kelim tangan dan menggantikannya dengan zip. Jadi dia tidak perlu menyarungkan tangan pada lengan baju sebaliknya cukup dengan mengenakan baju ke badan dan tangannya sebelum mengemaskannya dengan zip.
Ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada tiga cucu itu berkata, dia tidak membela kuku sebagai hobi sebaliknya ia hanya satu kebetulan. "Saya tidak membiarkannya panjang semata-mata untuk memasuki rekod Guinness," katanya. "Satu hari saya berhenti memotong kuku kerana saya mahu lihat bagaimana rupanya jika panjang," tambahnya. Walton berkata, dia tidak mempunyai diet khusus untuk kuku atau mengambil vitamin dan suplemen tertentu. Dia cuma gemar mengunyah gula-gula, katanya. Dia bagaimanapun begitu menjaga kukunya dengan menjalani rawatan manicure sebulan sekali. Apabila ditanya berapa botol cecair pengilat kuku digunakan dalam setiap rawatannya, Walton memberitahu: "Ia bergantung pada jenama dan bagaimana ia berfungsi." Walton turut digelar 'Edward Scissorhands' sebenar iaitu lelaki bertangan gunting lakonan Johnny Depp dalam filem tahun 1990 dengan tajuk yang sama itu. Kemalangan "Saya pasti memotongnya suatu hari nanti tetapi saya sudah biasa hidup berkuku panjang. Seperti juga kaki, bukan senang untuk saya membuangnya begitu sahaja," ujar Walton. Pemegang rekod kuku terpanjang sebelum ini ialah seorang nenek dari Salt Lake City, Utah, AS, Lee Redmond. Redmond tidak pernah memotong kukunya selama 30 tahun iaitu sejak tahun 1979. Malangnya, semua kukunya patah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan pada tahun 2009. Nama Redmond disenaraikan dalam Guinness Book of World Records pada tahun 2008 dengan panjang keseluruhan kukunya ialah 848 sm. Kuku terpanjang, di ibu jari kanan, ialah sepanjang 87 sm. Redmond yang suatu ketika dibayar setinggi AS$100,000 (RM300,000) untuk muncul dalam rancangan televisyen secara langsung, sekarang telah kehilangan mahkota kebanggaannya. Pada tahun 2006, dia dilaporkan bersedia memotong kuku bagi membolehkannya menjaga suaminya yang menghidap Alzheimer. Bagaimanapun, dia mengubah fikiran dengan berkata kuku itu tidak mengganggu kerja-kerja hariannya. Menurut Redmond, dia menjaga kukunya setiap hari, melumurnya dengan minyak zaitun dan membersihkannya dengan berus gigi. Dia juga pernah ditanya bagaimana dia menggunakan tandas dan bilik mandi, Redmond menjawab: "Dengan sangat berhati-hati." | |||||
Posted: 16 Oct 2011 09:23 PM PDT
FELICIA Alow kelihatan teruja bercerita tentang bahasa ibundanya, bahasa Punan. "Nu denge maksudnya apa khabar, nu ngaro no ertinya apa nama kamu manakala piru umun no berapa umur kamu. "Oh ya, jangan lupa sebutkan tupu koman si setiap kali tiba waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Ayat itu bermaksud awak sudah makankah?" kata Felicia, anak kelahiran Rumah Panjang Nyipa di Kampung Kuala Pandan, daerah kecil Sebauh dalam Bahagian Bintulu, Sarawak. Kampung di tepi Batang Kemena, anak Sungai Rajang itu terletak kira-kira 40 minit menaiki kereta dari bandar Bintulu. Felicia, 28, merupakan anak Punan pertama yang menjawat jawatan bertaraf penguasa di Jabatan Imigresen. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pas Penggajian jabatan itu, Felicia bakal ditempatkan di Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memiliki bangunan serba moden. "Suasananya tentu sahaja jauh berbeza dengan penempatan masyarakat Punan yang sinonim dengan hutan dan sungai," beritahu Felicia. Gadis lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kelihatan segak dalam persalinan seragam putih Jabatan Imigresen. Berwajah manis, kulit Felicia putih bak telur dikupas. "Orang selalu salah sangka bila mengatakan saya seorang gadis Cina. Sebenarnya kebanyakan orang Punan memiliki ciri fizikal seperti saya," katanya ketawa. Dia ditemui di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di Port Dickson, Negeri Sembilan semasa mengikuti kursus induksi selama tiga minggu baru-baru ini. Menurut Felicia, etnik Punan Sarawak yang berjumlah 50,000 orang adalah berbeza daripada kaum Penan walaupun kedua-duanya merupakan penghuni tebing sungai-sungai di negeri itu. "Penduduk Sarawak sendiri seperti di Miri dan Kuching masih ramai yang keliru tentang kaum Punan sedangkan kami sudah hampir 300 tahun menghuni tebing sungai berkenaan," kata Felicia. Hutan Felicia anak keenam daripada lapan beradik. Katanya, walaupun suatu masa dulu memiliki anak yang ramai merupakan satu kebiasaan masyarakat Punan, generasi baharu kaum itu selesa mempunyai dua atau tiga orang anak sahaja. ![]() FELICIA, gadis Punan yang pemalu, kini berazam menjadi pegawai Imigresen yang dihormati. "Setakat ini tuai rumah panjang di kampung saya memiliki paling ramai anak iaitu 10 orang," katanya. Dari segi geografi, majoriti penempatan etnik Punan bertumpu di kawasan berhampiran bukit dan sungai. Aktiviti penduduk ialah berburu, mencari tumbuhan dan sayur di hutan selain menangkap ikan di sungai. "Kegiatan menanam padi diusahakan oleh setiap keluarga rumah panjang. "Malah, masyarakat Iban dan Melanau yang tinggal berjiran dengan kampung saya turut menanam padi," katanya sambil memberitahu, aktiviti berburu sudah berkurangan sekarang. "Tidak seperti kira-kira 25 tahun lalu yang menyaksikan pemburuan dilakukan secara meluas," ujarnya. Oleh kerana kedudukan kampungnya berjiran dengan kaum Melanau dan Iban, Felicia dapat mempelajari bahasa kaum itu melalui kawan-kawannya. "Apabila berjumpa kawan Melanau, saya suka meniru cara mereka bercakap. Saya juga cuba berbahasa Iban semasa bertemu kawan-kawan Iban," ujar Felicia yang menambah, bahasa Iban diajar di sekolahnya. Felicia turut bercerita mengenai tarian su'ei dan makanan kegemarannya, teleguk. "Tarian itu sedikit pelik tetapi merupakan satu tradisi kaum Punan. Teleguk pula ialah sejenis pulut yang dibungkus menggunakan daun palas sebelum dikukus," katanya. Dia juga masih dapat mengingati wajah penduduk kampung yang bertelinga panjang kerana memakai subang yang besar dan berat. "Saya masih berpeluang melihat suasana seperti itu. Di kampung saya masih terdapat tiga wanita yang mempunyai telinga begitu. "Bagaimanapun, tiada orang muda yang mahu mengikut tradisi itu lagi. Mungkin zaman sudah berubah," ujarnya.
Moden Kata Felicia, etnik Punan terbahagi kepada Punan Pedan, Bah dan Biau. Tiada perbezaan antara ketiga-tiga puak tersebut. Boleh dikatakan semua penempatan mereka bertumpu di kawasan berbukit dan berhampiran sungai. Dia menambah, kini perkampungan Punan agak moden. "Rumah panjang sudah diubah suai dengan berlantaikan simen tetapi masih mengekalkan binaan kayu bagi dinding rumah. "Jalan masuk ke kampung saya juga telah diturap dengan tar manakala kemudahan elektrik banyak mengubah suasana perkampungan itu. "Dahulu, kami hanya menggunakan generator yang dihidupkan dari pukul 6 petang hingga 12 malam," ceritanya. Sebagai sebahagian daripada kaum Dayak, terdapat juga orang Punan yang mahir dalam perubatan tradisional khususnya yang bercampur unsur mistik. "Mereka menggunakan kuasa tertentu untuk menyembuhkan penyakit," katanya. Menurut Felicia, dalam satu upacara yang unik, tubuh pesakit termasuk mata akan ditutup sepenuhnya menggunakan kain sarung. "Pesakit akan dibaringkan di atas sebuah tempat khas di kawasan lapang sebelum beberapa orang menari mengelilingi pesakit berkenaan sambil membaca mantera dan memukul gendang. "Kali terakhir ritual itu dibuat ialah pada lapan tahun lalu. Sekarang, dukun wanita itu sudah tua dan belum ada siapa yang mewarisi ilmunya," katanya. Mendaftar masuk di UPM, Serdang, Selangor, bererti kali pertama juga dia menjejakkan kaki ke ibu kota Kuala Lumpur. "Saya sememangnya tidak pernah datang ke Kuala Lumpur sebelum itu. "Ia sebuah kota yang sesak tetapi begitu mengujakan. Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan tempat untuk saya mempelajari banyak perkara baharu setiap hari," katanya. ![]() PENEMPATAN seperti ini masih boleh ditemui walaupun generasi baharu lebih suka menetap di bandar. Sebelum bertugas di Jabatan Imigresen, Felicia pernah bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di Bintulu. selama enam bulan iaitu sejurus selepas dia menggenggam ijazah pada tahun 2006. Selepas itu, beliau bekerja di Pejabat Daerah Tatau, juga selama enam bulan. Dia sempat menjadi guru sandaran di SMK Simanggang, Sri Aman selama lebih setahun. "Kerjaya sebagai pegawai Imigresen merupakan kerjaya yang membanggakan walaupun cita-cita saya dahulu ialah untuk bergelar pensyarah. Saya akan menjalankan tugas saya dengan penuh yakin," kata gadis ini bersemangat. Di luar pakaian seragamnya, Felicia merupakan seorang penggemar sejarah selain pandai melukis. "Ketika di sekolah, Sejarah adalah mata pelajaran kesukaan saya. Saya gemar membaca kisah penjajahan keluarga James Brooke di Sarawak. Sekarang, saluran dokumentari History di Astro pula menjadi pilihan saya," ujarnya. | |||||
Posted: 16 Oct 2011 09:22 PM PDT ![]() BELIVEAU bersama kereta sorong roda tiga yang menemaninya sepanjang perjalanan selama 11 tahun itu. SEORANG lelaki Montreal berusia 56 tahun yang mencari penyelesaian kepada tekanan pertengahan umur dengan mengelilingi dunia selama 11 tahun, kini kembali dengan wajah ceria selepas menemui impiannya. Kelihatan sedikit kurus dan kepala yang mula ditumbuhi uban, Jean Beliveau berjalan menolak kereta sorong tiga rodanya yang membawa beg tidur, pakaian dan ubat-ubatan ketika ditemui AFP kira-kira 290 kilometer di barat Montreal, Kanada. Berjalan dengan pantas, dia kembali dengan keadaan sihat dan sampai di Montreal pada 16 Oktober selepas menyusuri pantai utara Lake Ontorio dan melepasi ibu negara iaitu Ottawa. Dia berhenti hanya untuk makan. Beliveau menggambarkan pengembaraannya sebagai manusia asing yang penuh keterujaan serta menemui kegembiraan dan ketenangan daripada kebebasan itu. Kecewa dengan bisnes Dia juga tidak tahu di mana dia harus tidur setiap malam, tidak bergantung kepada sesiapa dan hanya sedikit wang di dalam poket. Tetapi, dia tidak bimbang dengan kekurangan itu kerana dia sudah terbiasa selepas memilih jalan itu 11 tahun lalu dan dapat melaluinya dengan baik. Di Montreal, dia akan kembali kepangkuan teman wanitanya, Luce Archambault yang menyokong pengembaraan luar biasanya malah, membuat sebuah laman web mengenai maklumat lengkap perjalanannya di wwwalk.org. Beliveau meninggalkan Montreal pada hari lahirnya yang ke-45 iaitu pada 18 Ogos tahun 2000 selepas perniagaan kecilnya mengalami kegagalan. Dia membuat keputusan untuk mengelilingi dunia dan cuba untuk melarikan diri daripada episod sedih kehidupannya. Archambault dan dua anak daripada perkahwinan terdahulunya tidak pernah memaksanya pulang. "Ia pengalaman yang hebat," kata anak lelakinya, Thomas Eric yang berusia 20 tahun pada masa itu. ![]() PENGEMBARAAN yang bermula sebagai cubaan melarikan diri kemudian berakhir dengan tujuan murni mempromosikan keamanan. Beliveau merentasi Atlanta dan Georgia sebelum memperlahankan langkah untuk perjalanan yang menjadi pengembaraan mengelilingi dunia tanpa gangguan dengan 75,000 kilometer merentasi 64 negara. Pada satu tahap, Archambault menggalakkannya untuk menggunakan pengembaraan itu untuk mempromosikan keamanan dan menolak keganasan untuk kebaikan kanak-kanak sebagai sokongan kepada proklamasi UNESCO. Tiba-tiba, sesuatu yang bermula sebagai cubaan melarikan diri daripada kehidupan yang mengecewakan mempunyai tujuannya. Tidur bawah jambatan Selama 11 tahun, dia berjalan merentasi padang pasir dan pergunungan. Dia jatuh cinta selama sembilan hari di Mexico, memakai serban dan menyimpan janggut di Sudan, makan serangga di Afrika, anjing di Korea Selatan dan ular di China serta diiringi pasukan askar di Filipina. Beliveau pernah jatuh sakit di Algeria, dirompak sekali oleh dua lelaki mabuk di Afrika Selatan dan ditahan sekali di Ethiopia tanpa sebab kukuh. Namun, dia dibebaskan keesokan harinya. Di Ethiopia jugalah dia pernah hampir berputus asa dan ingin kembali ke rumah. Dia berasa sungguh sunyi tetapi, Archambault yang berada di Montreal meyakinkannya untuk meneruskan perjalanan. "Selain makan dan mempunyai tempat berlindung, lelaki perlu berasa dimiliki," kata Beliveau. Akhirnya, dia terpesona dengan simpati orang ramai yang ditemuinya sepanjang pengembaraan itu. Beliveau hanya tidur di bawah jambatan dan rumah-rumah perlindungan untuk gelandangan, tetapi sering juga dia diajak makan dan tidur di rumah orang yang terpesona dengan kisahnya.
Dia meninggalkan Montreal dengan hanya CAN$4,000 (RM12,114) di dalam poketnya dan mendapat bantuan kewangan setiap tahun daripada Archambault yang sentiasa berhubung dengannya menggunakan perkhidmatan telefon online Skype. Beliveau juga bergantung kepada kemurahan hari orang asing yang ditemuinya. Hari ini, dia sememangnya tidak berduit, tetapi berasakan bahawa dia kaya dengan pengalaman. "Saya pergi tanpa ada apa-apa, tetapi saya kembali dengan kekayaan ilmu dan pemahaman," katanya. Beliveau berkata, dia mahu menulis sebuah buku dan memberi syarahan mengenai pengalamannya serta menghargai keharmonian sesama manusia. Bagi Archambault, apa yang dilalui mereka adalah kisah cinta yang berakhir bahagia. "Saya adalah Penelope dan dia adalah Ulysses," kata Archambault yang terbang untuk menyertai Beliveau di mana sahaja dia berada untuk menyambut Krismas bersama setiap tahun, tetapi lega apabila dia akhirnya sudah kembali. | |||||
Rendah lemak dan bebas kolesterol Posted: 16 Oct 2011 08:39 PM PDT
LAZIMNYA air bandung yang menjadi penghilang dahaga ketika terik mentari dibancuh dengan susu cair, susu pekat mahupun susu segar. Namun, pernahkah anda mendengar atau menikmati sendiri air berwarna merah jambu itu yang dibancuh dengan menggunakan santan sawit? Ya, santan sawit. Mendengar nama santan sawit sahaja sudah kedengaran pelik apatah lagi, membayangkan minuman tersebut dibancuh dengan santan yang lazimnya dijadikan ramuan untuk menyediakan lauk-pauk seperti gulai masak lemak cili api, rendang, kari dan sebagainya. Itu yang bermain di benak fikiran penulis saat mahu meneguk minuman tersebut ketika berkunjung ke Karnival Usahawan Desa 2011 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Laman 1Malaysia, Presint 2 Putrajaya yang berlangsung pada 21 hingga 25 September baru-baru ini. Dengan perasaan penuh skeptikal bercampur dengan naluri ingin tahu, penulis teragak-agak membuat sedutan pertama dan akhirnya berjaya menghabiskan minuman tersebut. Rasanya boleh tahan! Tidak berhenti di situ, penulis kemudian mencuba cendol santan sawit. Ternyata, rasa enak kedua-dua minuman tersebut membuang jauh rasa ragu yang singgah di kotak fikiran pada mulanya. Tak kenal, maka tak cinta! Rasa keterujaan tersebut membuatkan penulis mahu mengupas lebih lanjut mengenai inovasi santan sawit hasil penemuan sekumpulan pengkaji yang berjaya menemukan pengganti hampir kepada santan kelapa. Teknik penyemburan kering Umum mengetahui bahawa buah kelapa sawit yang diperah dapat menghasilkan minyak masak, namun Ketua Penyelidik Bahagian Pemakanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Zaida Zainal berjaya tampil dengan formula yang membolehkan santan dihasilkan melalui bahan mentah yang sama. Inovasi itu bermula apabila Zaida dan pasukannya berjaya menghasilkan santan sawit serbuk dengan teknik penyemburan kering pada tahun 1998. Kemudian kajian yang sama diteruskan sehingga terhasillah santan sawit dalam bentuk cecair. Santan sawit itu kemudian dikomersialkan oleh Premium Food Corporation Sdn. Bhd. (PFC) pada bulan September 2010 bermula di Lembah Klang kemudian menyebarluas pasarannya ke selatan, utara dan timur Semenanjung, Pengarah Urusan PFC, Jasri Mohd. Rashid memberitahu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi meluaskan pasaran produk santan sawit dengan label Khalis keluaran PFC.
"Secara asasnya kita melakukan sesuatu yang baik kepada golongan masyarakat dengan memberikan alternatif terhadap mereka yang tidak makan santan kelapa tetapi, mahu menikmati makanan yang sedap dan sihat. "Kita bukan sahaja memberikan alternatif ini buat pengguna yang menitikberatkan soal kesihatan malah, kepada mereka yang berniaga kerana produk ini bukan sahaja menyihatkan malah, ia menjimatkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini. Tambahnya, penggunaan santan sawit sangat menjimatkan kos berbanding santan kelapa kerana penggunaannya adalah separuh daripada biasa. "Makanan yang dimasak menggunakan santan sawit juga tidak mudah rosak atau basi jika ia tidak dimasukkan ke dalam peti sejuk atau dipanaskan pada keesokan harinya. "Peniaga pula tidak perlu membeli santan setiap hari bagi mengurangkan kos kerana jangka hayat santan sawit ini boleh tahan sehingga tiga bulan tanpa pengawet apabila disimpan pada suhu di bawah 5 darjah Celsius," ujarnya. Lelaki yang pernah menimba pengalaman dengan syarikat gergasi, Nestle Malaysia lebih 10 tahun itu mendapat formula tersebut daripada MPOB yakin dengan potensi santan sawit yang menjadi alternatif kepada santan kelapa. Banyak usaha yang dicurahkan bagi membuka minda dan mengubah persepsi salah masyarakat mengenai kebaikan produk santan sawit Khalis sehingga pihaknya melakukan pelbagai ujian rasa kepada orang ramai. "Bukan mudah untuk mengubah pemikiran masyarakat yang mengaitkan sawit dengan minyak masak sahaja. Pada awalnya ramai yang sukar menerima bahawa sawit juga mampu menghasilkan santan dan digunakan dalam masakan serta minuman. "Pertama kali mereka mendengar mengenai produk ini, mereka akan skeptikal. 'Eh, betul ke? boleh ke? sedap ke?' Jadi, bagi meyakinkan mereka, kami membuat sampel seperti air bandung, cendol, kari, masak lemak dan sebagainya untuk mereka merasainya sendiri. Ternyata mereka boleh menerimanya malah, ada yang mengatakan rasa masakan lebih enak berbanding santan biasa," katanya. Jasri memberitahu, minyak sawit daripada gred yang terpilih melalui proses penapisan, pengemulsi dan penstabilan bagi menghasilkan santan sawit berkualiti. Malah, PFC telah memperoleh sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta pengiktirafan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Santan sawit tersebut dihasilkan daripada sawit terpilih mempunyai kandungan asid lemak yang amat rendah dan tanpa kolesterol. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kandungan nutrien yang tinggi, kaya dengan vitamin A dan E semula jadi baik untuk penglihatan, melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko sakit jantung serta baik untuk kulit. "Biasanya ada sesetengah orang sejurus lepas makan cendol akan rasa mual atau mengantuk selepas menikmati nasi lemak tetapi apabila santan sawit digunakan dalam kedua-dua hidangan ini, rasa mual dan mengantuk itu tiada. "Malah ujian rasa yang dilakukan kepada orang ramai mendapati mereka tidak dapat mengesan perbezaan rasa antara santan sawit dan santan kelapa," jelasnya sambil memberitahu PFC memasarkan 30 tan metrik santan sawit sebulan. Sungguhpun giat menjalankan promosi, masih ramai yang tidak menyedari mengenai kewujudan santan sawit yang mempunyai potensi sebagai alternatif kepada santan kelapa. "Penggunaan santan sawit belum cukup meluas lagi. Ramai pengguna tidak tahu mengenainya. Oleh sebab itu, kami amat memerlukan ejen untuk menggerakkan produk ini di pasaran kerana ruangnya cukup luas. "Produk ini masih perlu dikembangkan secara agresif. Buat masa ini produk ini boleh didapati di Pasar raya Besar Giant dan Mydin. Kami juga merancang untuk memasuki pasaran operator makanan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi," katanya. Buat masa ini katanya, pengeluaran produk santan sawit Khalis berdasarkan permintaan walaupun mampu mengeluarkan 18 tan metrik sehari. Kolesterol terkawal Dalam pada itu, seorang wanita berusia 63 tahun dari Tapah, Perak, Junaidah Abdul Latif sangat menggemari masakan berasaskan santan. Namun sejajar dengan peningkatan usianya, doktor tidak menggalakkan mengambil masakan bersantan bagi mengelakkan masalah kesihatan. "Sebelum ini mak cik memang ada masalah kolesterol tinggi namun, sejak menggantikan penggunaan santan kelapa kepada santan sawit dalam masakan, paras kolesterol dalam darah mak cik normal. "Sejak menggunakan santan sawit ini, tidak lagi perlu berpantang makan masakan berlemak. Santan ini bukan sahaja rendah lemak malah, tiada kolesterol dan masakan juga enak," katanya yang kemudian mengambil inisiatif menjadi ejen pengedar setelah empat bulan menjadi pengguna santan sawit. Junaidah menambah, masakan yang menggunakan santan sawit lebih enak dan dari segi rasa tiada perbezaan cuma ia lebih sihat dan menjimatkan. "Kalau santan kelapa kita gunakan sekilo dalam sesuatu masakan apabila kita gantikan dengan santan sawit separuh daripada penggunaan sahaja yang diperlukan. "Cara memasaknya juga mudah namun berbeza sedikit. Jika masa lemak dan kari, semua ramuan perlu dimasak dengan air terlebih dahulu dan kemudian dimasukkan santan hingga mendidih. Tidak perlu mengacau dan tunggu kerana ia tidak akan pecah minyak seperti masak menggunakan santan kelapa," jelasnya. Keghairahannya memperkenalkan santan sawit kepada warga Tapah membuatkan Junaidah mendapat jolokan Junaidah SS (santan sawit). "Mak cik mengedarkan produk santan sawit Khalis ini di kedai-kedai runcit, pasar mini dan pasar raya di sekitar Tapah. Ia dijual pada harga RM7.50 bagi pek 1 liter dan RM4.50 untuk pek 400 mililiter. "Santan ini juga turut digunakan oleh anak saudara mak cik yang kini mengusahakan restoran di Tapah dan ia ternyata jimat selain dapat menjamu pelanggan dengan hidangan yang sihat dan sedap," katanya sambil memberitahu santan sawit tidak boleh dibekukan. | |||||
Posted: 16 Oct 2011 08:35 PM PDT
PADA tahun 1979, siri televisyen Amerika Syarikat, The Dukes of Hazzard yang disiarkan di saluran CBS menjadi antara siri televisyen yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi. Menariknya, siri drama genre komedi yang dibintangi barisan pelakon Tom Wopat, John Schneider dan Catherine Bach itu bukan sekadar hiburan harian malah, mendorong para penonton berfesyen. Gara-gara kekerapan pelakonnya menyarungkan kemeja bercorak kotak, jejaka tempatan di sana telah terpengaruh dan 'berebut' untuk memiliki kemeja fesyen tersebut. Namun yang pasti, fesyen kemeja berkotak tidak hanya popular pada era 1970-an, sebaliknya ia dianggap fesyen sepanjang zaman yang tidak pernah pupus. Malah, kelompok pereka fesyen dan pengeluar pakaian sentiasa berusaha menghasilkan koleksi kemeja berkotak mengikut peredaran fesyen semasa. Menurut pereka muda yang semakin meningkat naik dalam industri fesyen tempatan, Mohammad Zarrieff, 23, sama seperti seluar kaki kembang (bell bottom), kemeja berkotak antara item fesyen yang diminati sepanjang zaman. Kemunculan kepelbagaian pakaian rekaan dan potongan moden sedikitpun tidak menjejaskan jualan kemeja fabrik kotak. Bahkan, fesyen itu sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan jejaka tempatan memandangkan mereka lebih cenderung menggayakan kemeja konsep berkotak dan polos berbanding kemeja cetakan flora. "Sebab itu, kemeja berkotak sama ada warna gelap, terang atau lembut merupakan koleksi pakaian utama yang perlu ada dalam almari personal lelaki. Lagipun, kemeja berkotak bukan saja selesa dan tampak ringkas dipakai sewaktu bersantai malah ia serasi dipadankan bersama seluar jean, khaki, seluar bermuda ataupun seluar korduroi. "Namun begitu kemeja berkotak tidak sesuai dipakai ketika menghadiri majlis formal dan ke pejabat. Jika diperhalusi, etika pakaian di pejabat perlu formal kerana ia melibatkan sisi profesionalisme.
"Lazimnya, kemeja polos atau berjalur pilihan pakaian pejabat yang paling ideal," terang Mohammad Zarrieff atau Zaf ketika diminta mengulas tentang fenomena fesyen kemeja berkotak di Malaysia. Walaubagaimanapun, Zaf yang turut aktif menghasilkan koleksi pakaian jejaka menyifatkan mereka yang bekerja dalam bidang seni, fesyen, hiburan dan kecantikan berpeluang menyarungkan kemeja berkotak sewaktu bertugas. Disebabkan dunia kerja tersebut tidak mempunyai garis panduan pemakaian yang terlampau serius, maka ia bebas digayakan asalkan tidak mengundang reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan rakan sekerja. Remaja Korea Menyentuh mengenai fesyen kemeja kotak di peringkat antarabangsa, berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di Universiti Middlesex, London, graduan Ijazah Rekaan Fesyen itu menyatakan, majoriti jejaka British meminati pakaian konsep kotak. Selain dipakai bersama seluar jean, kemeja kotak turut dipadankan dengan seluar pendek dan selipar. Tidak ketinggalan ia sering digayakan bersama baju-T polos. "Boleh dikatakan setiap hari jejaka di sana menyarungkan pakaian berasaskan fabrik berkotak. Tidak kiralah sama ada keluar membeli-belah, kuliah mahupun bersantai bersama teman. Malah, selebriti antarabangsa juga meminati kemeja berkotak kerana ia menyuntik mood penampilan yang santai, ringkas dan ranggi. ![]() HIMPUNAN kasut pelbagai warna di Bonk's ideal digayakan bersama kemeja fabrik kotak. "Tambah menarik, mereka juga berani dan bijak bereksperimen dengan seluar, jaket dan baju-T konsep berkotak mengikut kesesuaian tempat dan keadaan," jelas Zaf kepada Stailo. Pereka berketinggian 178 sentimeter itu turut berkongsi cerita pengalaman bercuti di Thailand dan Korea juga mendapati lelaki di sana tidak ketinggalan menggilakan kemeja berkotak berbanding kemeja konsep jalur atau polos. Bagi mereka, kemeja berkotak memiliki keistimewaan yang unik dan membantu mengelakkan penampilan yang membosankan. Buktinya, lihat saja gaya kumpulan Super Junior dan SNSD dalam persalinan fabrik berkotak jenama SPAO, koleksi musim panas/luruh. Ringkasnya, fesyen pakaian konsep kotak yang menjadi kegilaan jejaka tempatan terutamanya golongan muda mencipta populariti di Malaysia sekitar tahun 1970-an. Kemunculan fesyen yang pernah sinonim dengan kumpulan hippies, skin head dan punk itu di sini secara tidak langsung membawa perubahan besar pada industri fesyen tempatan. Namun, gelombang fesyen tersebut surut seketika selama beberapa era tetapi hit kembali pada tahun 1990 sehingga menenggelamkan stail pakaian motif flora dan corak abstrak. Kemeja berkotak Bonk's Menyedari fenomena pakaian stail kotak di Malaysia semakin memberangsangkan, butik Bonk's yang memulakan operasi awal tahun ini cenderung menawarkan koleksi pakaian berkenaan.
Buktinya, di setiap sudut butik Bonk's yang beroperasi di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur itu sarat dengan kemeja berkotak pelbagai warna dan rekaan. Menurut Pengurus Pemasaran Bonk's Kuala Lumpur, Mohd. Wafi Mohd. Shari, kebanyakan kemeja konsep kotak diimport khas dari Korea, China dan Bangkok kerana ketiga-tiga negara tersebut menghasilkan kemeja berkotak yang berkualiti dan tahan lasak. "Dari segi material, Bonk's menawarkan kemeja yang diperbuat daripada fabrik kapas dan linen memandangkan ia ideal dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap. Lagipun material ini memberi keselesaan kepada si pemakai dan mudah dijaga serta dicuci. "Biasanya kumpulan remaja yang berusia antara 15 hingga 25 tahun, menggemari kemeja kotak besar dan warna terang kerana inginkan penampilan nampak segar. Sementara itu, jejaka berusia 40 tahun ke atas pula mula cenderung membeli kemeja kotak kecil. Mereka enggan kelihatan menonjol di depan orang ramai," tutur Mohd. Wafi yang turut menjual koleksi blaus dan kemeja berkotak buat golongan wanita. | |||||
Pencarian Gadis Simply Pretty Avon Posted: 16 Oct 2011 08:34 PM PDT
BUAT julung kalinya, jenama kosmetik dan kecantikan popular di Malaysia, Avon melancarkan kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 sepanjang bulan Oktober ini. Kempen yang menawarkan hadiah wang tunai dan produk Avon tersebut mencari golongan wanita berwajah manis dan ceria hasil rias solekan menawan terutamanya menggunakan koleksi kosmetik terbaharu Avon, Simply Pretty. Selain itu, barisan juri profesional turut menilai peserta dari aspek penampilan, aksi di depan lensa kamera dan fotogenik. Kriteria berkenaan seiring dengan hadiah kempen yang memberi peluang kepada tiga orang pemenang utama muncul dalam risalah Avon. Menurut Pengurus Perhubungan Awam Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd., Elaine Aisyah Abdullah, kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 diperkenalkan serentak dengan pelancaran koleksi mekap Simply Pretty yang disasarkan buat golongan remaja, pelajar dan wanita yang baru memasuki dunia pekerjaan. "Rangkaian produk terbaharu ini bukan saja hadir dalam pelbagai item dan warna malah, ia dijual pada harga yang berpatutan. Ia ideal digunakan oleh kumpulan pelajar dan pekerja baharu yang ingin tampil ceria dan menawan tanpa perlu berbelanja tinggi bagi membeli alat mekap. ![]() SUDUT jualan produk Avon sempena pelancaran produk Simply Pretty. "Produk Simply Pretty yang diperbuat daripada adunan ekstrak semula jadi bertindak menjaga kesihatan kulit dan membantu menyuntik penampilan wajah ceria dan mempesona," terang Elaine mengenai produk Simply Pretty yang terdiri daripada bedak asas, pemerah pipi, pembayang mata, maskara dan pensil mata. Ini termasuklah salap bibir, pengilat dan pensil bibir. Sesi transisi Sempena pelancaran produk Simply Pretty sekali gus kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 yang dimulakan awal Oktober lalu, kempen itu dimeriahkan dengan kaunter jualan produk Avon, sudut solekan dan sesi fotografi. Selepas membeli produk Simply Pretty bernilai RM40, peserta perlu menjalani sesi transisi solekan kendalian barisan jurusolek profesional Avon, sebelum melakukan sesi fotografi. Hasil foto terbaik dicetak untuk dinilai para juri dan markah turut diambil kira berdasarkan jumlah 'likes' di gambar peserta yang dipaparkan dalam laman sosial facebook: www.fac book.com/AvonMy . Dalam pada itu, salah seorang peserta kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011, Aizam Razali, 20, menyifatkan pertandingan itu bukan saja memberi peluang kepada wanita mempelajari teknik solekan yang betul daripada jurusolek Avon malah, secara tidak langsung meningkat keyakinan diri peserta.
"Sebelum ini saya kurang selesa untuk menyertai pertandingan seperti ini kerana perlu beraksi di depan lensa kamera, apatah lagi ia dianjurkan di tempat yang terbuka. Namun, kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu saya mengumpul keberanian dan membuang rasa malu. "Paling mengujakan selepas wajah disolek, rasa malu itu hilang sedikit demi sedikit memandangkan mood ceria mula menguasai diri. Bagi saya produk Simply Pretty sememangnya ideal buat remaja kerana ia hadir dalam rona ceria dan terang," jelas Aizam yang tampil manis dengan calitan pembayang mata palet ungu dan olesan gincu bibir rona pic. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak dapat hadir pada acara Simply Pretty di Berjaya Times Square, anda masih berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan tersebut dengan cara membeli barangan Simply Pretty bernilai RM40 dan dan menghantar resit pembelian dan gambar ke marketing.my@avon.com. | |||||
Posted: 16 Oct 2011 08:31 PM PDT
PENDUDUK Pulau Indah di Klang Utara tahu pihak yang mereka harus hubungi jika berlaku kecemasan. Panggilan kecemasan itu pasti sampai kepada pihak Polis Pelabuhan Westports. Diwujudkan di bawah Akta Polis 1994, tanggungjawab utama pasukan dengan kekuatan 196 anggota itu adalah untuk menjamin segala aspek keselamatan di premis pelabuhan itu. Bagaimanapun, sebagai antara unit pasukan polis bantuan terbesar di negara ini, ia turut membantu keperluan kawalan dan keselamatan penduduk pulau sehinggakan ia adakalanya melayan panggilan kecemasan daripada penduduk di luar kawasan tugas. Tidak seperti unit polis bantuan lain, Polis Westports mengendalikan aliran trafik pada waktu puncak, memadamkan kebakaran, mengendalikan khidmat ambulans, menangani ancaman material berbahaya (hazmat), mengendalikan usaha menyelamat di bawah air dan mengekalkan kedalaman serta keselamatan laluan air di pelabuhan. Bebanan kerja tambahan itu sedikitpun tidak menjejaskan keberkesanan pasukan itu dalam memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam mencegah jenayah. "Sejak ditubuhkan pada 1994, unit ini berjaya menyelesaikan antara 20 hingga 25 kes jenayah indeks setiap tahun. Polis Westports mencatatkan kadar penyelesaian jenayah yang mengagumkan iaitu sebanyak 90 peratus pada 2010," kata Ketua Polis Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop. Jenayah indeks adalah jenayah yang dilaporkan kerap berlaku. Ia digunakan oleh Polis Diraja Malaysia sebagai kayu pengukur dalam menentukan kadar jenayah negara. Jenayah indeks terbahagi kepada dua kategori iaitu jenayah ganas dan jenayah harta. Prestasi membanggakan ini menyebabkan Polis Westports mengambil alih tugas menjaga segala aspek keselamatan di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) daripada Polis Klang Selatan. Ketua Polis Selangor pada masa itu ialah Tan Sri Ismail Omar (kini Ketua Polis Negara) juga pernah meminta Ketua Polis, Bomba dan Penyelamat Westports, T. Tamil Selvan, untuk memberi taklimat kepada 22 ketua daerah polis di negeri itu tentang penguatkuasaan undang-undang yang cekap. Ciri unik Polis Westports adalah satu pasukan yang unik kerana ia mempunyai kuasa untuk menyiasat, menangkap, menyoal siasat dan mendakwa pesalah bagi kesalahan yang dilakukan di Pulau Indah. Para pegawai boleh mengumpul bukti dan membuat tangkapan walaupun mereka yang melakukan kesalahan melarikan diri jauh ke tempat lain. Tiada unit polis bantuan yang lain memiliki kuasa seluas itu. ![]() KES yang melibatkan ancaman material berbahaya turut menjadi kendalian polis Westports. Ia juga adalah satu-satunya pasukan polis pelabuhan yang dilengkapi sistem membuat laporan polis (PRS) secara online iaitu menghubungkan pusat kawalan pasukan itu terus ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Unit itu turut mengadakan taklimat dan seminar secara berjadual mengenai prosedur keselamatan pelabuhan, mengadakan latihan dalam mengumpul bukti, menyiasat, prosedur menangkap dan mendakwa dan juga menjalankan sesi perbicaraan olok-olok di pusat latihannya di Pulau Indah. Sesi-sesi pendedahan seperti itu turut disertai anggota polis pelabuhan lain dan agensi lain pelabuhan. Anggota terlatih Banyak kali anggota polis bantuan Westports membuktikan kelebihan dan dedikasi dalam menyediakan standard perkhidmatan yang terbaik. Lebih mengejutkan, menurut Ketua khidmat Korporat Westports, Mejar (B) V. Manisegaran, kira-kira 90 peratus kakitangan Westports tidak pernah menjejakkan kaki di pelabuhan itu sebelumnya. Mereka mula mendalami kerja mereka di Westports. "Kakitangan baharu disediakan dengan latihan menyeluruh yang sesuai dengan tugas mereka sebelum dibenarkan untuk melaporkan diri di tempat kerja masing-masing," katanya. Berbekalkan pengalaman kerja lebih 25 tahun dengan PDRM, Ketua Unit, Tamil Selvan tidak asing dengan tugas penguatkuasaan undang-undang. Beliau menyelaraskan modul-modul latihan bagi lelaki dan wanita di bawah jagaannya. Buat masa ini, terdapat lapan anggota wanita dalam pasukan itu. Para pengajar dari PDRM, bomba, dan angkatan tentera dijemput secara berjadual untuk menjalankan sesi latihan. Rekrut-rekrut juga dihantar menjalani latihan bersama PDRM dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, untuk menimba pengalaman bernilai dan meningkatkan keyakinan diri. Muka-muka baharu menjalani latihan dalaman selama empat setengah bulan di Pusat Latihan Polis Pelabuhan Westports. Mereka kemudian melapor diri di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur bagi program latihan intensif selama sembilan minggu diikuti penempatan selama dua minggu di pelbagai jabatan PDRM. Rekrut-rekrut juga perlu menjalani dril lasak selama satu setengah bulan dalam melawan kebakaran, pengurusan hazmat, rawatan kecemasan dan gerakan menyelamat di bangunan tinggi, ruang terhad, kapal, laut serta di dasar laut. Semua latihan itu dikendalikan oleh anggota bomba, tentera laut dan pasukan SMART. Selepas menamatkan latihan, setiap anggota pasukan sudah bersiap sedia untuk bertindak semasa kecemasan selain terbabit dalam usaha menyelamat dan mencegah. Pengiktirafan antarabangsa Westports turut menjadi anggota Inisiatif Keselamatan Kontainer Amerika Syarikat dan Inisiatif Pematuhan Pelabuhan Mega. Polis pelabuhan turut dilatih dalam teknik antikeganasan dan pengesanan radioaktif.
Dalam mengiktiraf kemahiran itu, Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut Amerika Syarikat (NCIS) telah mengesahkan Westports sebagai sebuah 'Pelabuhan Selamat' untuk kapal perang Amerika Syarikat berlabuh. Selain itu, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat juga memperakui Westports sebagai mematuhi inisiatif Pakatan Kastam-Perdagangan Menentang Keganasan (C-TPAT) selepas audit bebas dilakukan oleh dua pegawainya. Ini bermakna langkah-langkah keselamatan di Westports memenuhi keperluan kerajaan Amerika Syarikat. Ia adalah pelabuhan keempat di bawah Hutchinson Port Holdings (HPH) daripada lebih 50 pelabuhan dalam kumpulan itu yang telah diaudit melalui program C-TPAT. Para pegawai CBP begitu kagum dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil dan mencatatkan sembilan Amalan Terbaik di Westports dalam laporan mereka. Melihatkan kepada laporan memberangsangkan itu, kumpulan HPH seterusnya melantik Mej (B) V. Manisegaran sebagai pegawai keselamatan serantau untuk menangani hal-hal berkaitan keselamatan di kesemua pelabuhan Asia kecuali China dan Hong Kong. Bersama reputasi yang disegani itu, tidaklah mengejutkan bahawa pasukan tersebut menjadi ikon industri yang patut dicontohi pihak pengurusan pelabuhan dan unit polis bantuan lain di negara ini. Khidmat dihargai Untuk mencegah jenayah dan mengekang tingkah laku tidak baik, Polis Westports telah menempatkan 22 kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik di seluruh pulau. Unit tersebut juga mengendalikan kawalan 24 jam dan tujuh hari seminggu di empat buah kampung yang terletak di pulau itu. "Kawalan ketat mengekang tingkah laku kurang baik – khasnya dalam kalangan muda-mudi tempatan. Penduduk kampung menghargainya kerana ia membolehkan mereka berasa selamat," jelas Penghulu Pulau Indah, Mohd. Halil Selamat. Hairani Salip, yang mengusahakan kedai runcit di pulau itu, turut berterima kasih kepada pasukan polis Westports kerana perkhidmatan yang dihulurkan. "Tindak balas pantas mereka membantu memadamkan kebakaran di rumah saya suatu masa dahulu juga mengelakkan kemusnahan yang lebih besar," katanya. Penyelaras Khidmat Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Mohan Chitran juga memandang tinggi kemampuan polis Westports. "Kesemua mereka berkebolehan dalam bertindak menghadapi kecemasan dan rawatan awal terhadap trauma. Ini sesuatu yang penting dalam sektor khidmat perubatan kecemasan (EMS) dan perkongsian sinergi adalah aset besar bagi hospital," kata Mohan. Penduduk Pulau Indah boleh tidur lena pada malam hari kerana mengetahui polis Westports sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan. Boleh saja dirumuskan, Pasukan polis Westports boleh diibaratkan 'Pembanteras Jenayah dengan Pelbagai Tugas di Pulau Indah'. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan