Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Rabecca gementar beraya di rumah mertua
- Siapa layak dapat al-qadr?
- Inovasi mudahkan berzakat
- Dahsyatnya murka Allah
- Keutamaan berzakat dalam Ramadan
- Chef Azhar pernah bertugas di 38 hotel
- Togok ekspresif kebebasan
- Kepuasan dalam bergaya
- Miss Glamor milik Muthita
- ‘Tak sangka Najman deejay’
- Suriani idam genggam ijazah PhD
- Beraksi sebagai pakar coklat
- Intekma hidang selera warisan
- Penuhi selera dengan masak lemak Negeri Sembilan
- Tunjuk Laut Resort indah
- Tarikan i-City memikat hati
- Ekspedisi solo jelajah Antartika
- Flying fox di Pulau Perhentian
- Nasi kerabu pilihan Aina
- Abby buat persiapan awal
- Waheeda selesa di belakang tabir
- Gitar sentiasa di sisi Man Kidal
- Copperfield mengaku ada anak luar nikah
- Adele cari jejaka kelakar
- Populariti Super Junior meningkat
Rabecca gementar beraya di rumah mertua Posted: 19 Aug 2011 08:53 PM PDT Pertama kali menyambut hari raya selepas bergelar isteri, pelakon Rabecca Al Islam terpaksa akur mengikut suaminya pulang ke kampung halaman di Sarawak. Mengakui agak gementar untuk beraya di tempat orang, jelas Rabecca dia sama sekali tidak pernah meninggalkan keluarga sewaktu berhari raya sebelum ini. "Memang gementar juga, maklumlah ini pertama kali saya beraya tanpa ibu, ayah dan adik beradik yang lain. Saya akan beraya di Sarawak sehingga hari raya kelima, selepas itu baru pulang di rumah keluarga di Johor Bahru. "Saya pasti rindukan masakan emak terutama soto ayam, tapi nampak gayanya terpaksalah lupakan dahulu. "Untuk hari raya ni, kami dah buat beberpa persiapan, untuk hari raya pertama kami akan pakai pakaian sedondon warna perang, hari kedua warna krim dan hari ketiga warna kelabu. "Cara mertua saya berhari raya tidak sama seperti kita di semanjung. Hari pertama, kedua dan ketiga raya, rumah mertua kebiasaannya akan dipenuhi dengan jemputan yang terdiri daripada anak yatim dan orang-orang yang kurang bernasib baik, jadi tugas sana disana hanya menyambut kedatangan tetamu,"jelas Rebecca. Mengandung Baru saja mengalami keguguran pada dua bulan yang lepas, jelas Rabecca, sehingga kini dia masih belum lagi mengalami tanda-tanda kehamilan. "Masih belum ada apa-apa lagi, saya pun tidak merancang apa-apa, jika ada nanti adalah, saya tidak mahu berharap yang berlebihan. "Saya masih menunggu, jika ada saya akan umumkan pada semua,"jelasnya. ![]() Rabecca pertama kali beraya bersama suami
Mengakui agak gementar untuk beraya di tempat orang, jelas Rabecca dia sama sekali tidak pernah meninggalkan keluarga sewaktu berhari raya sebelum ini.
"Memang gementar juga, maklumlah ini pertama kali saya beraya tanpa ibu, ayah dan adik beradik yang lain. Saya akan beraya di Sarawak sehingga hari raya kelima, selepas itu baru pulang di rumah keluarga di Johor Bahru. "Saya pasti rindukan masakan emak terutama soto ayam, tapi nampak gayanya terpaksalah lupakan dahulu. "Untuk hari raya ni, kami dah buat beberpa persiapan, untuk hari raya pertama kami akan pakai pakaian sedondon warna perang, hari kedua warna krim dan hari ketiga warna kelabu. "Cara mertua saya berhari raya tidak sama seperti kita di semanjung. Hari pertama, kedua dan ketiga raya, rumah mertua kebiasaannya akan dipenuhi dengan jemputan yang terdiri daripada anak yatim dan orang-orang yang kurang bernasib baik, jadi tugas sana disana hanya menyambut kedatangan tetamu,"jelas Rebecca.
Mengandung Baru saja mengalami keguguran pada dua bulan yang lepas, jelas Rabecca, sehingga kini dia masih belum lagi mengalami tanda-tanda kehamilan. "Masih belum ada apa-apa lagi, saya pun tidak merancang apa-apa, jika ada nanti adalah, saya tidak mahu berharap yang berlebihan. "Saya masih menunggu, jika ada saya akan umumkan pada semua,"jelasnya. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:52 PM PDT ![]() Umat islam perlu mencari malam al-qadr melalui pengisian berqiamullail dan ibadat yang lain. UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah". (riwayat Ibnu Majah). Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim). Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: "Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad)." Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah. Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja. Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya. Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya. Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan. Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya. Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih." Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)." Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu. Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:50 PM PDT ![]() Meskipun telah ada kemudahan moden dari segi pembayaran zakat namun kaedah tradisional masih mendapat tempat di kalangan segelintir umat Islam. - Gambar hiasan SEORANG teman baru-baru ini memberitahu penulis yang dia hanya mengambil masa tidak sampai dua minit untuk menunaikan zakat fitrah. Siap boleh dapat resit sekali. "Tak sampai dua minit? Cepatnya!" Tambah mengejutkan pembayaran tersebut dilakukan ketika teman itu terlantar atas katil hospital, memandangkan dia baru selesai pembedahan apendiks. Spontan penulis bertanya: "Bayar macam mana?" Agak terkejut juga bila diberitahu yang dia menggunakan kaedah terkini iaitu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Malu alah dibuatnya, tetapi memandangkan urusan membayar zakat fitrah itu dilakukan oleh suami, jadi kuranglah merah di pipi. Lumrahnya, umat Islam di negara kita ini tiap kali tibanya Ramadan dan sebelum menjelangnya Syawal akan berpusu-pusu menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sama ada di kaunter-kaunter zakat atau menerusi amil-amil yang dilantik oleh institusi zakat. Justeru, kelibat orang ramai yang terpaksa beratur panjang di masjid, pusat-pusat membeli belah dan lobi-lobi pejabat merupakan senario biasa ketika itu. Tetapi dengan perkembangan teknologi, cara kita menunaikan ibadat zakat juga turut berubah. Salah sebuah agensi zakat tersohor yang tidak terlepas daripada transformasi dalam operasi kutipan dan agaihan zakatnya iala Lembaga Zakat Selangor (LZS). Dalam aspek kutipan, pelbagai inovasi diterokai sehingga menjadikan urusan pembayaran zakat begitu mudah akses sehingga ke hujung jari. Perubahan zaman menyaksikan pengurusan zakat turut berubah. Ia bukan sahaja mengubah corak kutipan zakat dan pelbagai inovasi bayaran, bahkan turut meliputi perkembangan agihan zakat. "Di LZS, di samping ada 24 buah kaunter rasmi zakat di seluruh Selangor dan ini tidak termasuk kaunter bergerak, pelbagai kaedah moden turut disediakan untuk berzakat. "Objektifnya hanya satu, supaya orang mudah menunaikan zakat serta memastikan tiada lagi terdengar pelbagai rungutan dalam melaksanakan rukun Islam ini serta menyelamatkan umat Islam daripada api neraka," kata Timbalan Pengurus Besar Kutipan L ZS, Adibah Abdul Wahab. Katanya, sekarang pembayar zakat tidak lagi terikat dengan kaedah pembayaran secara tradisonal. Ini kerana skop kemudahan perkhidmatan pembayaran zakat telah diperluaskan sejajar dengan perkembangan semasa dan kecanggihan teknologi komunikasi. Katanya lagi, kini dengan melalui capaian Internet, kewajipan berzakat boleh dilaksanakan waima di mana sahaja dan pada bila-bila masa. "Sejak LZS ditubuhkan iaitu pada tahun 1995, memang salah satu tujuan pengkorporatan agensi zakat adalah untuk meningkatkan kecekapan institusi zakat. Jadi, untuk itu pada masa itu dikenali sebagai Pusat Zakat Selangor (PZS) telah mengorak langkah dengan mencari inovasi baru dengan meningkatkan keberkesanan kutipan zakat. "Inovasi baru yang dimulakan oleh LZS ialah pembayaran zakat melalui potongan gaji atau dikenali sebagai Skim Berkat dengan pelantikan ejen-ejen bank sebagai ejen kutipan zakat. "Sungguhpun kita tidak dapat mengelakkan segelintir golongan yang masih memilik kaedah tradisional dalam membuat pembayaran zakat di kaunter-kaunter tetapi telah nampak penerimaan serta minat orang ramai beralih membuat pembayaran zakat secara potongan gaji atau alternatif lain yang disediakan oleh LZS," kata Adibah dalam wawancara eksklusif bersama Mega, Utusan Malaysia baru-baru ini. Melihat sejarahnya tambah Adibah, LZS mula melantik Bank Pertanian (kini, Agro Bank) sebagai ejen kutipan zakat bermula 1995. Kemudiannya, mereka sediakan kemudahan pembayaran zakat melalui perbankan telefon pada tahun 1999. Pun begitu, setelah diperkenalkan perbankan Internet, sambutan terhadap perkhidmatan perbankan telefon nampak sedikit penurunannya di mana diperkenalkan e-dagang. Pada 2002, LZS memulakan pembayaran zakat melalui kad debit dan kad kredit Islamik yang dipelopori oleh Bank Islam. Pada tahun yang sama juga LZS telah memulakan perbankan Internet, dimulai dengan Maybank2u dan sehinggalah kini telah ada 12 buah bank kesemuanya. Tujuh daripadanya menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah. "Pembayar hanya perlu melayari portal bank tersebut dan ikuti langkah yang tertera untuk menunaikan zakat. Begitu juga bagi pembayar yang memilik kaedah bayaran menerusi mesin pengeluaran wang automatik (mesin ATM). Begitu juga ada sebanyak 113 cawangan pejabat pos untuk membayar zakat, selain khidmat pembayaran melalui portal Kerajaan Malaysia atau myBayar. "Selain pembayaran bank melalui portal-portal ini, LZS maju setapak lagi dengan memperkenalkan pembayaran zakat melalui kaedah Financial Process Exchange (FPX) di portal LZS iaitu www.e-zakat.com.my. yang bermula pada 1 April 2006," kata Adibah. Menurutnya, had minimum adalah RM10 bagi setiap pembayaran dan bayaran maksimum bergantung kepada had yang ditetapkan oleh bank. Proses pengeluaran resit bayaran zakat akan dilakukan dalam tempoh 14 hari waktu bekerja. "Bermula 2008 pula LZS meneruskan komitmen pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Prabayar dan Pasca Bayar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Celcom dan Maxis. Bayarannya akan dikreditkan terus ke akaun pembayar zakat (pasca bayar) atau dipotong terus daripada akaun prabayar (prepaid) mereka. "Menariknya, penggunaan kemudahan ini adalah percuma," kata Adibah. Oleh itu katanya, tidak ada alasan lagi kepada mereka yang telah mencukupi syaratnya untuk tidak menunaikan zakat. Menyentuh aspek keselamatan wang zakat ulas Adibah, LZS sentiasa memastikan keselamatan wang zakat yang ditunaikan sentiasa terjamin. "Keseluruhan pembayaran terkumpul akan dimasukkan ke akaun LZS kerana ejen kutipan telah diberi pentauliahan secara sah oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). "Selain itu, dalam memorandum perjanjian (MoA) antara LZS dengan pihak ejen yang dilantik turut menyatakan berkenaan keselamatan yang dijanjikan. "Ini bermakna pihak yang terlibat wajib mematuhi dan bertanggungjawab berdasarkan kepada perjanjian yang telah dimeterai. "Sekiranya berlaku sebaliknya, tindakan undang-undang akan diambil. Pada masa sama, jaminan tertakluk kepada beberapa peringkat yang melibatkan antaranya; pengawasan dan ketelusan-Prinsip Muraqabah," katan Adibah. Menjelaskan kelebihan yang diperoleh jika berurusan melalui ejen kutipan kata Adibah, mempelbagaikan kemudahan pembayaran kepada pembayar-pembayar zakat, menyediakan kaedah alternatif kepada pembayar zakat untuk keselesaan mereka. Ia sesuai dengan perkembangan semasa, menjadikan pembayaran zakat semudah pembayaran bil utiliti dan meningkatkan keselesaan orang ramai untuk tampil menunaikan kewajipan berzakat, sekali gus dapat meningkatkan agihan zakat kepada lapan asnaf yang wajib. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:49 PM PDT ALLAH SWT menyebut tentang api neraka yang menyala-nyala disediakan khas untuk orang kafir dengan menyifatkan neraka itu dengan gambaran yang terlalu takut kepadanya, sehinggakan kanak-kanak menjadi beruban. Seterusnya Allah meneruskan khabar-Nya dengan menakut-nakutkan dan mengancam mereka bahawa mereka tidak akan selamat daripada seksaan yang menimpa mereka di dunia sebagaimana yang telah menimpa orang yang mendustakan para rasul sebelum mereka. Contoh seksaan: Bumi yang bergoncang kuat, ribut taufan yang membinasakan tanaman dan ternakan, sehinggakan tidak ada lagi orang yang tertinggal dan menyalakan api. Kemudian, Allah SWT memberikan pelbagai contoh ujian dan cubaan yang telah menimpa umat sebelum mereka kepada mereka. Kaum Thamud dibinasakan dengan panahan petir yang memusnahkan mereka. Kaum Ad dibinasakan dengan angin yang amat sejuk dan kencang yang dikenakan kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus menerus. Firaun dan kaumnya pula dibinasakan dengan cara ditenggelamkan ke Laut Merah. Seterusnya Allah SWT menarik perhatian mereka ke arah kudrat-Nya yang memaksa dan kurniaan-Nya yang besar terhadap sekelian hamba-Nya. Mereka diminta melihat burung yang kadang-kadang mengembangkan sayapnya di udara dan kadang-kadang mengatupkannya kerana dimudah dan diajarkan oleh Allah SWT apa yang diperlukannya. Firman Allah SWT: Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? Ibn Abbas berkata: "Adakah kamu merasa aman azab Allah yang menguasai seluruh langit." Muqatil berkata: "Ia memberi maksud bagaimana bumi yang di bawah akan dinaikkan ke atas untuk mengikut kamu." Ibn Kathir berkata: "Allah bersifat Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya. Dan Dia mampu untuk menyeksa mereka dengan sebab kekufuran mereka dan juga maksiat yang telah dilakukan oleh mereka. Akan tetapi kerana sifat rahmat dan kasih sayang-Nya terhadap makhluk maka Dia memaafkannya atau menangguhkan seksaan agar mereka bertaubat." Al-Sabuni berkata: "Adakah kamu merasa aman dan selamat hai masyarakat yang ingkar perintah Tuhan-Mu yang bersifat Maha Tinggi lagi Agung daripada hukumannya yang boleh meranapkan kamu di dunia ini sehingga ke dalam bumi selepas ia menjadikan kamu menguasai penjuru bumi untuk berjalan, berkelana dan mencari rezeki." Firman Allah SWT: Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku? Al-Sabuni berkata: "Apakah kamu merasa aman daripada hukuman Allah Yang Maha Tinggi lagi perkasa dimana Dia boleh menghantar batu, merejam kamu daripada langit sebagaimana dilakukannya kepada kaum Luth dan tentera bergajah." Maka ketika itu kamu pasti mengetahui secara nyata dan jelasnya azab Allah SWT bagaimana peringatan yang Aku memberi ancaman kepada kamu dan telah menghukum golongan pendusta. Ini merupakan satu ancaman dan amaran yang amat keras. Ibn Kathir menyebut: "Allah berkuasa mengutuskan ribut taufan dan angin yang kencang berserta dengannya batu-batu kerikil yang akan memusnahkan kamu." Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul-Nya). Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku. Ibn Kathir berkata: "Di mana terdapatnya mereka yang telah ingkar di kalangan umat-umat yang terdahulu sedangkan hukuman-Ku amat dahsyat." Al-Sabuni berpendapat: "Orang-orang kafir pada zaman dahulu telah mengingkari rasul-rasul mereka. Ini seperti kaum Nuh, kaum 'Ad, Kaum Samud dan seumpamanya. Mereka semua mengingkari kepada utusan Allah. Ini merupakan satu bentuk menghiburkan Rasulullah SAW dengan apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin." Ingatlah apa yang diberi amaran terhadap mereka, pasti akan terkena ke atas mereka jika mereka tidak mengambil iktibar dan peringatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. | ||
Keutamaan berzakat dalam Ramadan Posted: 19 Aug 2011 08:47 PM PDT Soalan Jawapan Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia sehingga dapat lagi bertemu dengan tetamu istimewa, iaitu Ramadan al-Mubarak ini. Mudah-mudahan kita dapat mentransformasi diri menjadi manusia bertakwa setelah menjalani kursus fizikal dan disiplin rohani selama sebulan penuh di madrasah Ramadan. Menyentuh mengenai ibadah zakat fitrah dan zakat harta, maka Ramadan memang waktunya bagi umat Islam menunaikan zakat fitrah. Ibnu Umar r.a pernah meriwayatkan: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum. (riwayat Imam Muslim) Namun begitu, ulama khilaf bilakah waktu yang paling utama atau menjadi wajib menunaikannya. Sama ada di awal Ramadan, pertengahan mahu pun sejurus sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Maka dalam hal ini, fuqaha telah membahagikan waktu pembayaran zakat fitrah kepada empat segmen. Iaitu harus yang bermula dari awal Ramadan, menjadi wajib sebelum menunaikan solat Aidilfitri, makruh seandainya dikeluarkan selepas solat dan haram selepas terbenam matahari satu Syawal. Bagi hikmahnya pula, Ibnu Abbas r.a berkata (maksudnya): "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah dengan tujuan untuk menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan juga sebagai bantuan kepada fakir dan miskin." (riwayat Abu Daud) Oleh itu, bagaimana pula statusnya zakat harta? Jika Ramadan bulan khusus menunaikan fitrah, maka apakah zakat harta lebih baik ditunaikan pada bulan-bulan yang lain? Maka, demi menjelaskan hal ini, sukacita dinyatakan bahawa zakat harta itu hukum asalnya tertakluk kepada haul. Iaitu tempoh matang terhadap pemilikan harta. Jika haulnya pada bulan Zulhijjah, maka saat itulah baharu datangnya waktu wajib mengeluarkannya sebagai zakat dan inilah waktu paling utama. Selama belum cukup masanya, maka ia dianggap harus mendahulukan zakatnya. Samalah kesnya jika kita mahu menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan, ia dianggap waktu yang harus. Pun begitu, kita memang dianjurkan agar mengambil kesempatan Ramadan sebagai medan melipatgandakan sedekah, termasuklah zakat. Ini sesuai dengan tindakan nabi SAW sendiri yang memperbanyakkan sedekahnya pada bulan Ramadan. Bahkan nabi menyatakan: "Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan Ramadan." (riwayat at-Termizi) Ramadan memang bulan keberkatan yang menjanjikan pahala berkali ganda dalam segala jenis amalan. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah bahawa nabi pernah menyatakan dalam sebuah hadis yang panjang, iaitu setiap amalan sunat diganjari pahala wajib dan setiap satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya jika dilakukan di dalam bulan Ramadan. Ulama hadis ada yang menyatakan hadis ini daif. Namun ia masih boleh dijadikan motivasi dalam beramal. Maka, kita umat Islam wajar merenggut faedah bersedekah pada bulan Ramadan dengan melebarkannya kepada zakat harta, yakni tidak sekadar zakat fitrah semata. Bayangkan, jika kita menunaikan zakat pendapatan RM1,000 pada bulan Ramadan, maka di sisi Allah SWT kita sebenarnya telah mendapat pahala berzakat RM70,000! Untuk itu, sungguh pun haul kita mungkin belum sampai pada Ramadan ini, namun kita boleh sahaja menunaikannya lebih awal demi merebut gandaan pahala ini. Bahkan daripada aspek fiqh zakat, proses mengawalkan haul zakat ini adalah diharuskan oleh Rasulullah SAW, justeru memang sudah pernah berlaku pada zaman baginda. Saiyidina Ali kwj menyatakan, Abbas bin Abdul Mutallib dikhabarkan pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempercepatkan haul zakatnya, lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan keizinan kepadanya. (Mafhum hadis riwayat Abu Daud) Kesimpulannya, kita hendaklah merebut segala ganjaran pahala yang begitu besar yang telah pun disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan dengan melakukan pelbagai sedekah sunat, seperti menaja majlis berbuka puasa, juga menunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat fitrah dan tidak sesekali melupakan zakat harta di sisinya. Mudah-mudahan, puasa kita diterima Allah dan zakat kita juga digandakan pahala yang melimpah-ruah. Wallahua'lam. | ||
Chef Azhar pernah bertugas di 38 hotel Posted: 19 Aug 2011 08:47 PM PDT
JIKA bercerita mengenai tempat kerja, ada di antara kita pernah bertugas di beberapa buah syarikat. Tetapi Chef yang ditemui S3 minggu ini pernah bertugas di 38 buah hotel sejak menceburi bidang masakan dan perhotelan. Berkongsi pengalaman dengan pembaca setia, minggu ini Gaya Chef membawa pembaca bertemu dengan Chef Eksekutif, Azharuddin Md. Isa dari Hotel De Palma Inn, Shah Alam. Azharuddin atau lebih mudah dipanggil sebagai Chef Azhar berkata, kesemua hotel itu meninggalkan kenangan dan pengalaman yang tersendiri. "Saya masuk ke bidang ini kerana nampak kerjaya sebagai chef cerah masa depannya. Banyak keistimewaannya kerana seseorang itu boleh mempelajari teknik pemakanan, memperbaiki diri sendiri dan mampu bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat," katanya. Chef Azhar mula menceburi bidang tersebut sejak tahun 1984 sebagai pembantu tukang masak. Setelah hampir 27 tahun bertugas, beliau kini berpengalaman luas, tidak kira dari segi masakan mahu pun operasi harian. Sebagai Chef Eksekutif, cabaran beliau kini lebih kepada bidang pengurusan dan menentukan menu masakan yang bakal disajikan kepada pelanggan. Ketika ditujukan soalan mengenai mengapa beliau suka lompat ke sana dan ke mari dalam bidang ini, jawapan yang diberikan amat mudah iaitu ingin mencari pengalaman di pelbagai tempat. "Jika kita hanya bekerja di satu tempat sahaja, mungkin kita akan mudah berasa bosan. "Sebab itu, saya selalu lompat tempat kerja apabila menerima tawaran yang lebih baik dan situasi ini biasa untuk chef yang ingin mencari pengalaman yang lebih mencabar kemampuan diri sendiri," jelas Chef Azhar. Beliau berkata, dalam 38 hotel yang pernah beliau bertugas itu, ia turut termasuk hotel-hotel dalam dan luar negara di Hong Kong, Vietnam, Jepun, Taiwan, New Zealand dan Timur Tengah. "Bagi saya, bila kita bekerja di banyak tempat sudah tentu kita mempunyai ramai kenalan. Malah kata orang-orang tua, biar kita cari kawan jangan kita cari lawan, sebab nanti kita sendiri yang rugi. "Saya juga suka bekerja dengan bangsa asing sebab secara tidak langsung kita boleh pelajari cara kehidupan mereka, masakan dan disiplin mereka. "Secara tidak langsung juga, kita boleh memperbaiki kelemahan diri dan belajar resipi-resipi yang sudah tentu tidak pernah kita cuba sebelum ini," ujar Chef Azhar. Menurutnya, ketika berada di bahagian dapur, kebolehan memasak atau kemahiran amat penting. "Bidang masakan ini juga berkait rapat dengan seni kulinari. Sebab itu, bukan mudah untuk menjadi seorang chef yang berkemahiran tinggi. "Sebagai chef yang baik, mereka perlu mengetahui semua jenis masakan bukan hanya khusus kepada satu jenis masakan sahaja. "Macam saya, saya bermula dari pembantu tukang masak sehingga kepada Kitchen Artis dan saya banyak hasilkan kerja-kerja mengukir bongkah ais," kata Chef Azhar. Tambahnya, beliau pernah mengalami kemalangan ketika sedang mengukir bongkah ais tersebut. "Pada 1998, saya diberikan tanggungjawab untuk menyiapkan 44 blok bongkah ais dalam masa seminggu. Oleh kerana masa yang diberikan agak suntuk, kami cuba sedaya upaya untuk menyiapkan kerja tersebut dengan mengukir pelbagai bentuk seperti rama-rama, bunga, burung helang dan pelbagai lagi secepat yang mungkin. "Sedang leka mengukir, sebuah bongkah ais terjatuh ke atas tangan saya. Nasib saya baik kerana tangan saya hanya bengkak dan cedera ringan sahaja," jelasnya. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:46 PM PDT ![]() EFFENDI biasanya meluahkan masa untuk berkarya sekitar pukul empat hingga enam petang setiap hari. SESEKALI terdengar bunyi burung berkicauan yang turut bersama menyambut kedatangan pagi pastinya mengusik kalbu. Walaupun adegan tersebut hanya rekaan semata-mata, namun perwatakan manusia dan burung boleh dikatakan banyak persamaan di antara satu sama lain. Contohnya boleh dilihat dari segi kedua-duanya ingin terbang bebas ke mana sahaja yang dikehendaki secara solo atau berkumpulan. Melihatkan persamaan tersebut, Ahmad Effendi Zahari mencalitkannya dalam siri karya bertajuk Togok yang menjadikan burung sebagai subjek utama luahan jiwa beliau. Togok juga digabungkan dengan keindahan seni abstrak dan prinsip-prinsip kemodenan bagi menghasilkan luahan yang sedang bergolak di dalam diri anak muda itu. Bercirikan falsafah dan erti kebebasan sejagat seperti mana yang dilaung-laungkan oleh mereka yang mahukan kedamaian dan kebebasan, Effendi berharap agar karyanya ini diterima ramai. Malah beliau secara tidak langsung berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan metafora kiasan atau sindiran yang amat berbeza dengan karya-karya sebelumnya seperti siri Landskap Alam Semula Jadi, Phenommistikal, Fobia, Sekilas, Status dan Tandus. Dalam siri kerjanya yang ketujuh itu, Effendi menggambarkan burung-burung yang sedang menari di atas dahan dan terbang bebas di kawasan sekelilingnya. Keringkasan yang tersirat dalam kandungan karyanya itu membawa maksud yang tersendiri, bergantung kepada gaya pemikiran bebas. Selain itu, Effendi juga berani mendalami subjek baharu yang menekankan kepada penggunaan elemen kisah dongeng dan kisah zaman Nabi yang dikaitkan dengan burung. Contohnya seperti gambaran burung Undan yang membawa maksud kedatangan pendatang asing ke Malaysia dan burung-burung pemangsa seperti burung helang atau hering yang membawa maksud simbolik sebagai orang yang tamak dalam mengejar cita-cita tanpa mengira batasan. Effendi Zahari berkata, dalam kehidupan ini, manusia juga diibaratkan seperti burung. "Manusia dan burung, masing-masing berhijrah dan mencari rezeki pada waktu pagi dan pulang ke rumah atau sarang pada waktu senja," katanya ketika ditemui S3 di Studio Bimasakti, 27, Jalan Platinum 7/53, Seksyen 7, Shah Alam. Beliau berkata, kisah mengenai burung banyak diceritakan dalam cerita-cerita dongeng Melayu lama seperti Si Bangau, Si Gagak Dengan Merak, Burung Pipit Dengan Enggang dan juga kisah kecerdikan Si Gagak Dengan Jug Air. Katanya, dalam kontek Islam juga, kisah-kisah burung juga dikaitkan dengan cerita-cerita pengalaman hidup Nabi-Nabi zaman dahulu antaranya seperti kisah kematian anak Nabi Adam. Dalam kisah tersebut, seekor burung gagak telah menunjukkan cara-cara untuk menanam mayat dan juga kisah Burung Hud-Hud dan Ababil. "Sebab itu, saya rakamkan kisah-kisah mengenai burung di atas kanvas dengan gaya ciptaan yang berbeza dari segi pemilihan warna yang disesuaikan mengikut maksud yang tersendiri. "Tema dan mesej yang ingin disampaikan juga dilukiskan dalam bentuk harmoni mengikut kehendak alam sejagat. "Ini kerana, bagi saya manusia mempunyai banyak persamaan dengan watak burung yang mahukan ketenangan dan kedamaian tanpa gangguan dan ancaman," jelasnya. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:45 PM PDT
PERSIAPAN raya bagi kaum Hawa tidak hanya terhad kepada menyediakan baju baharu, malah ia turut merangkumi pelbagai aksesori lain seperti kasut, beg tangan, beg duit dan sebagainya. Jika anda lihat hari ini, terdapat pelbagai pilihan daripada pelbagai jenama untuk 'memeriahkan' lagi pagi Syawal anda. Salah satu jenama yang turut menyediakan koleksi hari raya ialah Alfio Raldo dan AR. Untuk koleksi Alfio Raldo, begitu banyak pilihan fesyen eksklusif yang boleh disuai padankan di pagi hari raya nanti. Koleksi yang begitu klasik dan elegan ini sesuai digayakan untuk semua acara. Ia bukan sahaja sungguh anggun, malah menarik dengan adunan warna mewah dan klasik. Semua koleksi raya Alfio Raldo adalah pilihan fesyen yang dinanti-nantikan kerana koleksi-koleksi yang ditampilkan bukan sahaja direka untuk disuai padankan untuk baju kurung di pagi raya, malah ia juga boleh dipakai ke semua acara seperti rumah terbuka, majlis rasmi dan juga acara santai. Kasut yang menjadi fesyen terkini seperti wedges, tumit tinggi, sandal, sneakers dan loafers pasti membuatkan anda berasa lebih yakin dengan ayunan langkah penuh bergaya. Tidak dilupakan juga adalah pilihan untuk beg tangan, tote bag, handheld dan juga koleksi eksklusif dompet yang hebat untuk dipadankan dengan tas tangan. Harga tidak menjadi ukuran kerana koleksi yang begitu menawan dengan buatan yang begitu teliti akan membuatkan anda berasa amat dihargai. Kualiti produk Alfio Raldo tidak boleh disangkal lagi kerana ia bukan sahaja diperhalusi dengan jahitan yang amat sempurna, malah ia diperbuat daripada kulit yang bermutu tinggi. Setiap barangan yang dihasilkan akan diperhalusi supaya ia menepati kualiti yang dikehendaki oleh jenama Alfio Raldo. Berlainan pula dengan himpunan koleksi AR. Ini kerana ia mengetengahkan warna-warna segar seperti kuning, merah jambu, biru dan hijau sekali gus kelihatan begitu sempurna digayakan mengikut tema. Dengan koleksi ini, anda akan nampak lebih ceria, riang dan berasa lebih remaja di samping memperoleh semangat baru menyambut hari raya. Dengan koleksi terbaharu ini juga, sudah pasti gaya anda lebih menyakinkan. Misalnya, warna merah, ia bukan sahaja boleh dipakai untuk majlis-majlis tertentu tetapi koleksi AR yang terbaharu ini menyakinkan si pemakai untuk bergaya ke semua jenis acara. Kepuasan dalam bergaya pasti akan terpancar pada wajah dengan padanan baju, kasut dan juga beg tangan daripada koleksi AR ini. Tidak perlu mencari pereka gaya untuk memadankan kasut dan beg tangan kerana koleksi AR menyediakan semuanya. Hanya pilih padanan yang diingini, anda pasti akan menjadi tumpuan. Selain itu, jenama ini kelihatan sungguh teratur dengan padanan kasut dan beg tangan mengikut warna, corak dan acara. Setiap koleksi yang ditampilkan nampak eksklusif dengan gaya ranggi dan menawan. Selain menawarkan harga yang berpatutan, jenama AR juga menampilkan koleksi yang segar dan menawan. Kini, anda akan mendapat lebih banyak pilihan menarik untuk dipakai ke pejabat, majlis rasmi atau membeli-belah, selain menonton wayang. Warna-warna ceria ini pasti akan menarik perhatian sesiapa yang memandang terutamanya si jejaka di luar sana. Sungguh teratur dengan gaya yang mempesona, keyakinan pasti akan lebih terserlah dengan koleksi Alfio Raldo dan AR. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:44 PM PDT
MENCARI wanita cantik dan bijak bukanlah satu kerja mudah, tambahan pula perlu memiliki pakej menarik termasuk mempunyai pendidikan tinggi, perwatakan cantik serta serba serbi berkebolehan. Namun sudah menjadi rezeki Muthita Santipatee, 23, apabila dia dipilih menjadi Miss Glamor dalam pencarian wanita cantik dan bijak. Dia mengalahkan para peserta lain termasuk dari Malaysia, Singapura, Laos dan beberapa negara lain. Anak gadis dari Thailand ini merupakan salah seorang daripada 23 peserta yang menyertai Miss Chinese Cosmos Southeast Asia 2011. Dalam pertandingan itu, Muthita berpeluang menggayakan barang kemas Tomei. Pelajar tahun akhir di sebuah universiti di Thailand ini memberitahu, dia tidak menyangka dapat melayakkan diri ke peringkat akhir, apatah lagi terpilih sebagai Miss Glamor. "Saya memang tidak sangka boleh terpilih, lagipun ramai lagi peserta lain yang layak,'' ujarnya penuh bangga. Menurutnya, pada peringkat awal, dia seronok dapat menyertai pertandingan ini, namun apabila melihat ramai wanita cantik menyertainya, ia membuatkan dirinya berasa bimbang. "Saya pernah terfikir untuk menarik diri tetapi memandangkan saya datang dari jauh, jadi saya berfikir panjang sebelum membuat keputusan,'' ujarnya yang mengambil jurusan Ekonomi. Sementara itu, penganjur Miss Chinese Cosmos Southeast Asia, Carrie Lee Sze Kei memberitahu, pertandingan ini terbuka kepada gadis berusia 18 hingga 28 tahun yang mempunyai perwatakan menarik dan berkebolehan untuk berhadapan dengan orang luar. Malah, peserta juga perlu memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya di peringkat diploma untuk menyertainya. "Dalam program tersebut, peserta bukan sahaja diberi peluang menggayakan barang kemas tetapi juga diuji dengan soalan-soalan yang mencabar minda oleh para juri,'' ujarnya. Beliau yang merupakan pemenang Miss Chinese Cosmos 2004 memberitahu, semua itu penting kerana cantik sahaja tidak cukup, sebaliknya memerlukan kebolehan dalam bidang lain. "Untuk kali ini, pihaknya turut meletakkan syarat supaya peserta yang terlibat mestilah berkebolehan dalam serba serbi, berkeyakinan, mempunyai perwatakan menarik serta memiliki ketinggian tidak kurang 165 sentimeter, selain tidak pernah hamil,'' ujarnya lagi. Katanya lagi, dalam peraduan ini pemenang akan dibawa ke Hong Kong untuk melayakkan diri ke peringkat antarabangsa yang akan berlangsung pada Oktober ini. Malah peserta yang menang juga berpeluang untuk membawa pulang wang tunai Hong Kong Dollar (HKD) 120,000 (RM45,752). Sementara itu, Pengurus Pemasaran Tomei, Christine Lim pula memberitahu, peraduan ini merupakan tajaan kali ketiga Tomei sejak diadakan pada 2003. "Dalam program ini, peserta berpeluang menggayakan koleksi barang kemas Tomei yang eksklusif dengan gaya tersendiri,'' ujarnya. Katanya lagi, penajaan koleksi barangan Tomei ini bukan sahaja untuk mencari wanita cantik tetapi juga bertujuan mengkomersialkan lagi rekaan eksklusif barangan Tomei. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:43 PM PDT
PERKENALAN yang diatur oleh seorang sepupu akhirnya memberi sinar kebahagiaan rumah tangga buat penyampai radio terkenal Sinar FM, Najman Mohamed. Dari satu majlis makan-makan bertempat di sebuah restoran kek terkenal di Johor Bahru, Najman, 41, jatuh cinta pandang pertama dengan bakal suri hidupnya, Hawa Atan, 39. "Sekali terpandang wajahnya, hati saya sudah terdetik bahawa dialah yang bakal menjadi isteri saya. Gerak hati saya kuat mengatakan bahawa wanita yang saya lihat itu adalah suri hidup saya satu hari nanti," jelas Najman yang ditemui S2 di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini. Menurut Najman, pada pertemuan pertama tersebut mereka hanya berbual kosong sehinggalah ke pertemuan kedua, juga di sebuah restoran di Johor Bahru. "Waktu itu memang banyak yang kami bualkan dan kali ini saya pastikan saya mendapatkan nombor telefonnya. Umpama kecil tapak tangan nyiru ditadahkan, permintaan saya disambut baik oleh Hawa," jelas Najman yang pada asalnya berkawan dengan sepupu Hawa. Bagi Hawa pula memang dia tidak menyangka sama sekali bahawa dalam ramai-ramai kawan yang ada pada majlis makan-makan itu, Najman boleh terpikat kepadanya. Selepas itu, barulah dia tahu bahawa sepupunya memang sengaja merancang strategi untuk menjodohkan dia dan Najman. "Kiriman SMS (khidmat pesanan ringkas) abang yang pertama membuatkan saya terharu dan terkejut. Dia memang seorang yang prihatin dan mengambil berat walau perkara kecil sekali pun," ujarnya. Hawa pula pada ketika itu bukanlah jenis yang setia mendengar satu stesen radio sahaja. Mana-mana stesen radio memainkan lagu yang digemarinya, itulah yang akan menjadi pilihannya. Justeru memang Hawa tidak begitu mengenali siapa penyampai radio termasuk Najman. "Kadang kala sahaja saya mendengar radio, itupun stesen radio Era. Memang waktu saya kenal dia, saya tak tahu pun bahawa dia penyampai radio terkenal. "Tetapi selepas saya diberitahu bahawa dia ialah seorang deejay pada tahun 2007, saya terus dengar Sinar FM sahaja," ujar Hawa yang juga seorang pengusaha kantin di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru. Tidak perlu mengambil masa lama, Najman akhirnya melamar Hawa untuk menjadi isterinya dan pada tarikh 8 Ogos 2009, mereka diijabkabulkan. Najman tidak menafikan ibu bapa serta ahli keluarganya amat merestui perhubungan mereka. Bagi mereka berdua pula walaupun perkenalan tersebut mengambil masa yang singkat, namun masing-masing mempunyai gerak hati bahawa mereka dijodohkan untuk satu sama lain. "Minat kami berdua memang banyak yang tidak sama, sebagai contoh saya suka memancing, isteri pula tak minat. Tetapi itu semua bukan alasan untuk tidak mendapat keserasian. "Tambahan pula, kami tidak duduk bersama, isteri saya masih di Johor dan saya pula di Kuala Lumpur. Setiap minggu, jika saya tiada urusan di Sinar saya akan ke Johor, begitulah juga jika saya ada di Kuala Lumpur dan isteri bercuti, maka dia akan ke Kuala Lumpur," jelas Najman yang popular dengan tagline 'mantap beb...' Sepanjang Ramadan ini, Hawa berpuasa bersama suami di Kuala Lumpur dan setiap hari dia akan menyediakan juadah bersahur serta berbuka kerana Najman memang tidak suka makan di luar rumah. "Memandangkan kami menjalin perhubungan jarak jauh, hanya telefon menjadi penghubung. Saya memang tidak suka menaip SMS, telefon yang paling mudah," ujar Najman sambil mengerling ke arah isterinya. Sementara itu, Hawa menambah bahawa Najman akan menelefonnya sekali setiap setengah jam. "Pada perhubungan jarak jauh ini, kepercayaan memang perlu. Kalau berhadapan dengan konflik kami lebih suka berbincang, paling penting untuk bermuhasabah diri, kalau terlalu tegang saya akan keluar sebentar supaya ia tidak bertambah tegang," jelas Najman. Untuk menceriakan suasana rumah tangga, Najman pasti akan mengambil cuti panjang setiap tiga bulan sekali. "Kerja sebagai penyampai radio ini perlu banyak mencari idea baru dan saya akan bercuti untuk menyegarkan minda,"ujarnya. | ||
Suriani idam genggam ijazah PhD Posted: 19 Aug 2011 08:42 PM PDT
CITA-cita yang membara untuk mencapai impian dan disertai pula minat yang mendalam untuk memilikinya akan mendorong seseorang itu sanggup menghadapi apa juga halangan mendatang. Biarpun bermacam-macam dugaan dan ujian datang menimpa, seseorang itu pasti akan cuba menempuhnya dengan tabah serta tidak akan sesekali menyerah kalah. Prinsip untuk berjaya itu dikongsi bersama oleh seorang pelajar ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Suriani Ismail yang bercita-cita menggenggam segulung ijazah doktor falsafah (PhD). Gadis manis berusia 26 tahun itu tidak pernah menganggap segala ujian dan kesusahan yang dialaminya ketika belajar boleh melunturkan semangat juangnya dalam mengejar ilmu. "Sebagai pelajar program ijazah sarjana, kita pasti tidak akan terlepas dengan bermacam-macam dugaan untuk menyiapkan tugasan dan tesis sebagai pelengkap pengajian masing-masing. "Contohnya apabila kita terpaksa berhadapan dengan kegagalan untuk mendapatkan kembali soalan tinjauan daripada responden untuk penyelidikan setelah bersusah payah menghasilkannya," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini. Suriani yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mengakui perasaan tertekan ketika belajar merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Biarpun begitu, dia berkata, perasaan tertekan itu perlu diurus dan diatasi dengan bijak agar tidak mengganggu tumpuan untuk meneruskan pengajian. "Apabila saya berasa tertekan ketika belajar, saya akan mencari tempat yang tenang untuk melupakan segala masalah yang dihadapi. "Salah satu tempatnya adalah di taman-taman di sekitar Putrajaya yang menyajikan pemandangan landskap tumbuhan hijau, selain dapat menikmati kicauan burung yang menenangkan jiwa," katanya. Suriani yang gemar membaca apa sahaja bahan bermanfaat menyifatkan tempat yang tenang memudahkan fikiran menjana sebarang idea baru untuk tesisnya. Dia kini sedang berusaha untuk menumpukan perhatian menyiapkan tesis bagi ijazah sarjananya yang sudah berada di peringkat akhir. Selepas tamat pengajian ijazah sarjana itu nanti, Suriani mahu meneruskan cita-cita menyambung pengajian di peringkat PhD di universiti yang sama untuk merealisasikan impian yang terbuku sejak sekian lama. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:42 PM PDT ![]() Chef Guillaumme Lejeune menunjukkan hasil kreativiti yang dihasilkan daripada coklat. SESIAPA saja pasti terliur apabila membayangkan kelazatan rasa coklat. Coklat yang sedap sememang cukup rasa lebih-lebih lagi jika ia dihasilkan dengan tangan yang disertai dengan perasaan penuh kasih sayang dan belaian manja. Malah coklat buatan tangan yang dibuat sendiri di rumah kini semakin popular di Malaysia. Ada yang menjadikannya sebagai hobi untuk hidangan keluarga, dan ada yang melakukannya sebagai kerjaya. "Sekarang ini, kita berhadapan dengan lebih banyak aliran kerjaya, dan menjadi seorang pembuat coklat bukan lagi sesuatu yang mustahil yang hanya boleh dicapai oleh mereka yang mengembara ke luar negara. "Akademi Seni Pastri Malaysia komited untuk mempersiapkan pembuat coklat yang sedia beraksi di pentas antarabangsa dengan segala peralatan kami yang lengkap. "Kami mendedahkan pelajar dan menggalakkan lebih ramai orang mempelajari lebih banyak ilmu menjadi pembuat coklat termasuk menjemput pakar-pakar pembuat coklat mengendalikan kursus di akademi ini," kata Chef Guilaumme Lejeune, Pengarah Kajian Pastri, Akademi Seni Pastri Malaysia. Pakar pembuat coklat, Jean Marie Auboine baru-baru ini telah menjadi tamu di akademi itu untuk menganjurkan suatu bengkel khas mengenai barang pameran dan arca coklat serta mendemonstrasikan pelbagai teknik dan kemahiran dalam membuat Chocolate Bon Bon, pralin dan halwa gula. Auboine ialah pakar pembuat coklat dan Chef Pastri Eksekutif di Bellagio Resort and Casione di Las Vegas, Amerika Syarikat Para pelajar diajar cara mengadun dan membentuk coklat serta diperkenalkan kepada pelbagai inti coklat seperti karamel dan nougat lembut. Teknik-teknik lain seperti membuat trufel, pralin, pate de fruit dan kerja-kerja dengan helaian bertekstur serta helaian pindahan (textured sheet and transfer sheets) juga diajar, selain membuat arca dan membentuk barang pameran coklat yang menarik. "Selain menawarkan program coklat di akademi ini, kami juga telah membuka Studio, iaitu bilik pameran dalaman kami yang memberi tumpuan kepada menyediakan bahan-bahan berkualiti untuk chocolatier dan penggemar pastri," tambah Lejeune. Akademi Seni Pastri Malaysia juga turut menyediakan pelbagai kelengkapan untuk pembuat coklat seperti mesin pengadun, acuan dan ramuan-ramuan berkualiti. Produk-produk terbabit didatangkan dari Chocolate World, Aeroshield, Bakels, Callebaut dan Cocoa Berry. Kursus coklat seterusnya (Tahap 1) akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos 2011 (Jumaat dan Sabtu). Para peserta akan mempelajari teknik-teknik asas dalam pembuatan coklat, serta 6 jenis coklat. Yuran ialah RM500. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.academyofpastryartsmalaysia.com. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:31 PM PDT ![]() Pelbagai sajian lazat yang di disediakan oleh chef-chef berkebolehan di Intekma Resort and Convention Centre. INTEKMA Resort and Convention Centre (IRCC) kali ini menghidangkan bufet Ramadan ala kampung dengan bertemakan masakan Melayu Selera Warisan Ibunda. Hidangan yang disediakan cukup menarik untuk umat Islam berbuka puasa. Bagi pengunjung yang belum pernah merasai kelazatan hidangan masakan di Intekma Resort, berbuka puasa di resort ini pasti memberikan pengalaman berbeza dan tidak merugikan. Ini kerana, Intekma merupakan antara hotel yang terkenal dengan masakannya di sekitar Shah Alam, Selangor. Untuk Ramadan kali ini, lebih 50 hidangan disajikan setiap hari bagi memenuhi cita rasa pengunjung. Bagi bufet Ramadan kali ini, harga yang di tawarkan adalah RM47 seorang bagi dewasa manakala RM32 seorang bagi kanak-kanak. Bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas pula hanya RM42. Menariknya, harga istimewa pada kadar hanya RM39 seorang ditawarkan dari 27 hingga 29 Ogos di Pendeta Coffee House. Menyajikan hidangan istimewa ala kampung hasil tangan chef-chef berkebolehan dari dapur Intekma, pelbagai hidangan menarik diketengahkan. Antaranya nasi beriani dan kari kepala ikan, ayam tandoori, gulai kawah, ikan masin masak lemak nenas, daging rendang tok, udang tempoyak, sup ekor asam pedas, aneka bubur lambuk, kambing panggang serta tidak ketinggalan murtabak istimewa Intekma. Murtabak itu disajikan khas hanya pada bulan puasa sahaja. Artis Rosma AF, juga bakal memeriahkan suasana menghiburkan para tetamu pada sepanjang bulan Ramadan. Selain itu, sepanjang bulan Ramadan ia turut menyediakan kaunter zakat untuk kemudahan pengunjung melaksanakan tanggungjawab. Tempat letak keretanya pula percuma dan surau boleh memuatkan 100 orang jemaah dalam satu masa bagi menunaikan solat Tarawih. Tidak ketinggalan segmen tazkirah oleh penceramah-penceramah yang di undang khas dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada setiap hujung minggu. Untuk tempahan, sila hubungi 03 - 5522 5000/5001/5009/5029 | ||
Penuhi selera dengan masak lemak Negeri Sembilan Posted: 19 Aug 2011 08:30 PM PDT
MEMANG agak sukar untuk memenuhi selera orang ramai apatah lagi mencari kelainan untuk berbuka puasa secara beramai-ramai mahu pun seisi keluarga. Kadang kala ada yang merungut, hidangan yang disajikan tidak memenuhi selera. Ia akan dianggap tidak setimpal dengan bayaran mahal yang dikenakan seperti di hotel-hotel. Sekiranya itu menjadi persoalan yang sering membelenggu diri anda, Restoran Rakyat di Jalan Medan Rahang, Seremban, Negeri Sembilan adalah jawapan terbaik buat anda kerana ia menyajikan pelbagai hidangan lazat. Dengan tema masakan kampung selera Negeri Sembilan, ia bukan sahaja menyelerakan malah berbaloi dengan nilai wang poket anda. Semua makanan yang terdapat di dalam menu pasti memikat selera anda, lebih-lebih lagi buat penggemar masakan kampung. Sebut sahaja apa yang anda inginkan mengenai lauk-pauk kampung seperti masakan tradisi Negeri Sembilan iaitu daging salai masak lemak cili padi, ayam masak lemak cili padi dan aneka jenis masakan asam pedas. Semua itu terhidang di hadapan anda dengan bayaran hanya RM23 untuk dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak. Sempena Ramadan kali ini, sebanyak 100 jenis juadah menanti pelanggan yang singgah berbuka di restoran ini yang memulakan operasinya sejak tahun lalu. Pemilik Restoran Rakyat, Aslam Nawabdin berkata, selain masakan tradisional Negeri Sembilan, masakan lain seperti gulai perut dan ikan sembilang berlada juga disajikan untuk memenuhi selera pengunjung. "Tidak ketinggalan, kami juga menyediakan makanan Barat seperti lamb chop dan chicken chop bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan sajian sedemikian. "Di restoran ini, kami lebih menitikberatkan soal kualiti demi menjaga mutu dan rasa setiap jenis masakan," katanya ketika ditemui S2. Mengetengahkan konsep restoran harga patut, lokasi ini boleh memuatkan sehingga 500 pelanggan pada satu-satu masa dengan beberapa khemah turut disediakan. "Kami juga menyediakan kemudahan ruang solat bagi pengunjung untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah," ujarnya. Mengenai sambutan terhadap restoran yang terletak di Pt 3102, Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) ini, Aslam berkata, sambutan diterimanya cukup menggalakkan. Aslam yang telah berkecimpung dalam dunia masakan selama 15 tahun memberitahu, restoran ini juga dibuka pada bulan-bulan lain dengan menawarkan pelbagai hidangan sarapan termasuk roti canai, nasi lemak, capati dan sebagainya. "Pada hari baisa, ia dibuka dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, Isnin hingga Khamis manakala Sabtu dan Ahad, ia dibuka pada pukul 7 pagi hingga 5 petang. Restoran ini tutup pada hari Jumaat," tambahnya. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:29 PM PDT
PANTAINYA yang landai dengan pasir yang berwarna kuning keemasan pasti menggamit kunjungan pelancong untuk menikmati keindahan alam semula jadi di Tunjuk Laut Resort, Tanjung Leman di Johor. Walaupun terpaksa merentasi perjalanan yang agak jauh dan memenatkan iaitu kira-kira dua jam memandu dari bandar raya Johor Bahru, namun sebaik sahaja tiba, mata pasti terpaku menyaksikan keindahan pantai yang 'dibaluti' warna jingga senja, sekali gus terus memadamkan rasa penat yang bersarang. Malah, sebaik sahaja mendaftar masuk, ramai pengunjung yang tidak sabar-sabar mahu menikmati kejernihan air laut yang membiru. Pengakuan jurugambar Utusan Malaysia, Raja Jaafar Ali bahawa kunjungan ke Tunjuk Laut Resort pasti berbaloi dan memberi kenangan indah ternyata benar. Bagi peminat fotografi, peluang merakamkan panorama indah semasa senja dan terbitnya matahari tidak akan dilupakan. Terdetik di dalam hati, rugi kalau pengunjung yang datang menginap di sini tidak menyaksikan saat matahari terbit yang sememangnya bukan mudah untuk dilihat jika berada di bandar-bandar besar. Itulah kelebihan pantai Tunjuk Laut Resort yang terletak di Tanjung Leman berhadapan dengan Laut Cina Selatan. Selain menyaksikan keindahan matahari terbit, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti riadah yang bersifat kekeluargaan. Di sini, pengunjung boleh merasai aktiviti lasak dengan mendaki bukit setinggi kira-kira 100 meter bersama keluarga yang dijamin selamat. Dengan menggunakan tali yang disediakan untuk mendaki, kanak-kanak seawal usia tiga tahun pun boleh merasai keseronokannya sambil menguji stamina dengan dibantu oleh ibu bapa. Apa yang menariknya semasa mendaki, pengunjung dapat melihat pelbagai spesies tumbuhan hutan antaranya Tongkat Ali dan periuk kera. Setibanya di puncak bukit, sambil menghirup udara pagi yang nyaman, para pengunjung dapat melihat panorama indah dari puncak bukit termasuk beberapa buah pulau berhampiran. Antara pulau-pulau yang jelas kelihatan adalah Pulau Sibu, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus dan Pulau Tinggi. Orang ramai yang ingin menginap di sini boleh memilih beberapa calet yang disediakan iaitu enam bilik standard, 14 deluxe dan sebuah bilik eksekutif serta empat calet keluarga berdasarkan kemampuan masing-masing. Bayaran satu malam bagi bilik standard hanya RM110 pada hari biasa dan RM130 bagi bilik deluxe dan RM200 bagi bilik eksekutif serta RM300 bagi calet keluarga. Kawasan perkhemahan turut disediakan oleh pihak pengurusan bagi memenuhi keperluan mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan dan santai. Bayaran RM10 dikenakan bagi setiap orang untuk menyewa tapak khemah. Kaki pancing pula boleh melepaskan 'gian' sepuas-puasnya sama ada dengan menyewa bot atau mencuba nasib di jeti yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan. Bagi mereka yang gemar bersukan, padang permainan seperti bola tampar pantai dan bola sepak pantai disediakan untuk para pengunjung. Jadi, jika anda mencari lokasi sesuai untuk berehat, Tunjuk Laut Resort mungkin salah satu destinasi yang sesuai untuk dikunjungi. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:27 PM PDT ![]() KAWASAN persekitaran yang dilimpahi cahaya berwarna warni daripada lampu pokok-pokok hiasan mewujudkan suasana santai yang sesuai untuk seisi keluarga di taman tema i-City Shah Alam. "MELUANGKAN masa bersama keluarga tidak semestinya mengikut waktu-waktu tertentu". Itulah pandangan salah seorang pengunjung taman tema i-City di Shah Alam, Selangor, Maizan Raihan, 32, meskipun kehadirannya sudah melewati lewat malam. Baginya, waktu untuk bersama keluarga tidak seharusnya dibazirkan kerana ia waktu yang amat bermakna, lebih-lebih lagi pada malam minggu setelah sibuk bekerja pada hari-hari sebelumnya. Menetap di Taman Medan, Petaling Jaya, beliau menyatakan, ini kali pertama beliau menjejakkan kakinya di taman tema berkenaan. Sebelum ini, beliau hanya mendengar cerita tentangnya daripada rakan-rakan. "Jadi, saya fikir kenapa tidak saya datang ke sini untuk meluangkan masa bersama keluarga pada waktu malam. Lagipun, di sini ada tarikan tersendiri," katanya. Apa yang dinyatakan Maizan adalah satu pandangan yang mungkin mewakili majoriti pengunjung di taman tema berkenaan pada waktu malam yang rata-ratanya datang bersama keluarga untuk meluangkan masa bersama. Mengambil kira keadaan persekitaran dan aktiviti yang ditawarkan di taman tema itu, tidak hairan ia menjadi lokasi pilihan bagi orang ramai untuk menghabiskan masa serta berhibur bersama keluarga sehingga awal pagi. Ini kerana, i-City dilihat menawarkan pelbagai aktiviti permainan serta hiburan yang meliputi pelbagai peringkat umur antaranya taman salji atau Snowalk yang memberi pengalaman musim sejuk seperti di negara-negara empat musim kepada pengunjung. Dengan keluasan 1,393.5 meter persegi (15,000 kaki persegi) itu, Snowalk menjadi pilihan utama pengunjung bersama seisi keluarga kerana ia menyediakan pemandangan indah, selain beberapa jenis permainan menarik. i-City yang dibuka setiap hari sehingga pukul 1 pagi pada hari bekerja dan pukul 2 pagi pada hujung minggu turut menawarkan aktiviti permainan yang berkonsepkan taman ria (fun fair) seperti permainan memancing itik getah, membaling gelang dan sebagainya. Malah, waktu malam di taman tema i-City tidak begitu terasa apabila pengunjung ditawarkan pertunjukan lampu LED yang direka khas dengan teknologi lampu digital terkini yang ditingkatkan dengan elemen kristal untuk memberi kesan berkilau dan kesan tiga dimensi (3D). Seorang pelancong dari Arab Saudi, Fahad Talal, 27, memberitahu kehadirannya lewat malam ke taman tema itu merupakan satu pengalaman baharu buatnya yang berada di negara ini. Ketika ditemu bual, beliau baharu berada di Malaysia selama lima hari daripada 14 hari tempoh percutiannya di sini. Katanya, beliau bersama keluarganya berkunjung ke Malaysia setelah mendapat maklumat mengenai tempat-tempat menarik termasuk untuk aktiviti malam menerusi ejen pelancongan di negaranya. "Sebab itulah, saya datang ke sini (i-City). Saya nak keluarga merasai sendiri tarikan dan keseronokan aktiviti yang diadakan pada waktu malam di Malaysia. "Kami gembira dengan suasana yang dinikmati di negara ini. Saya boleh mencari pelbagai aktiviti yang saya suka, tidak kira waktu di sini. "Pada mulanya, saya ingat Malaysia tidak banyak menyediakan aktiviti malam dan kalau ada pun hanya di kawasan tertentu sahaja. "Namun jangkaan saya meleset, sebenarnya Malaysia banyak tempat menarik untuk beriadah bersama keluarga," ujarnya. | ||
Ekspedisi solo jelajah Antartika Posted: 19 Aug 2011 08:27 PM PDT
SELEPAS berjaya mengibarkan 10,000 Jalur Gemilang di lereng Gunung Kalapathar, Banjaran Himalaya, Nepal pada Mei 2010, anak muda yang gigih ini bakal menakluk benua tersejuk di dunia, Antartika pada Disember 2012. Percubaan itu akan dilakukan menerusi projek Ekspedisi Solo Malaysia – Antartika 2012 (ESMA 2012) pada 12 hingga 27 Disember 2012 di South Shetland Islands, Antartika. Harapan rakyat Malaysia untuk menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di benua itu terletak sepenuhnya di bahu Muhamad Nur Azrul Che Zabani, 32, seorang Pegawai Tadbir yang kini bertugas di Majlis Sukan Negara. Menurutnya, tujuan utama ekspedisi itu adalah untuk mengutip derma bagi pesakit jantung terutamanya kanak-kanak. "Hasil sumbangan tajaan sempena projek ini nanti akan diserahkan kepada Institut Jantung Negara," katanya dalam satu kenyataan kepada S3. Beliau bersungguh-sungguh ingin menjayakan ekspedisi ini kerana simpati melihat kanak-kanak kecil yang mengalami kompilasi jantung. "Nak menderma pakai duit poket sendiri tak mampu. Dengan menggunakan pengalaman yang luas dalam bidang rekreasi dan dunia pendakian, saya mendapat idea untuk melaksanakan Ekspedisi Solo Malaysia – Antartika 2012 ini. "Hasil daripada tajaan dan sumbangan itu nanti, sebahagiannya saya akan salurkan untuk mereka. Sekurang-kurangnya saya dapat melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk mereka," tambahnya Dalam ekspedisi Antartika itu, beliau akan membawa dan mengibarkan 5,000 Jalur Gemilang di benua paling selatan itu. Biarpun misi ini dianggap mustahil, namun mesej dan amanah penting yang dibawanya itu diharap dapat membuatkan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan. "Untuk berada di benua Antartika, ia menuntut saya melakukan persiapan yang rapi dari segi fizikal dan mental, terutamanya apabila 'bermain' dengan suhu yang boleh mencecah -40 darjah celsius pada waktu malam dan -10 darjah celsius pada sebelah siang. "Sudah tentu suhu yang ekstrem itu bakal menguji kekuatan mental dan fizikal saya," ujarnya. Bagi menggalas misi nasional ini beliau akan memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menaungi program tersebut. "Saya akan menggunakan pengalaman sebanyak enam kali menakluk Banjaran Himalaya dan Everest Base Camp sebagai bekalan di Antartika kelak," katanya. Selain itu, Muhamad Nur Azrul juga akan melakukan kajian ilmiah dan mengumpul data-data saintifik berhubung kesan psikologi, emosi dan ketahanan mental dan fizikal manusia apabila melakukan sesuatu kerja dan aktiviti di dalam suhu ekstrem secara bersendirian dengan menjadikan dirinya sebagai subjek kajian. "Saya akan berada di South Shetland Islands di benua Antartika bagi tujuan tersebut," ujarnya. Menurutnya, dia juga telah mendapat kelulusan bertulis daripada Agensi yang akan menguruskan beliau di Antartika kelak. Pada perkembangan yang sama, Muhamad Nur Azrul berkata, projek ESMA 2012 ini memerlukan bantuan kewangan sejumlah RM395,000 daripada pihak korporat, swasta mahupun individu. "Saya memohon kepada semua warga korporat dan swasta untuk bersama-sama saya menderma kepada mereka yang memerlukan di IJN," katanya mengharap. Untuk pertanyaan, bolehlah hubungi beliau di talian 019-3784644. | ||
Flying fox di Pulau Perhentian Posted: 19 Aug 2011 08:26 PM PDT ![]() FLYING fox merupakan daya tarikan terbaharu di Pulau Perhentian. BANYAK aktiviti riadah boleh dilakukan di Pulau Perhentian, Terengganu. Selam skuba, snorkeling, jelajah hutan, bersantai dan melihat penyu antara aktiviti yang sering dilakukan apabila berada di pantai dan pulau. Yang pasti, apa yang dilakukan di Pulau Perhentian, juga terdapat di pulau-pulau lain seperti Tioman, Redang, Tenggol, Kapas, Mabul dan Lang Tengah. Namun, jangan terkejut jika anda berkunjung semula ke Pulau Perhentian kerana kini terdapat satu daya tarikan terbaharu iaitu aktiviti 'flying fox'. Tarikan terbaharu ini mungkin satu-satunya sahaja yang terdapat di situ berbanding dengan pulau-pulau lain. Flying fox yang terdapat di penginapan D'Lagoon di Pulau Perhentian Kecil itu sering mendapat perhatian pengunjung sejak ia dipasang lebih sebulan lalu. Apa yang menarik, pengunjung yang menginap di D'Lagoon tidak dikenakan bayaran apabila mencuba aktiviti berkenaan. Flying fox itu yang dipasang pada ketinggian 15 meter dengan jarak 120 meter, begitu menyeronokkan kepada sesiapa sahaja yang mencubanya. Mereka yang melakukan aktiviti flying fox berkenaan pasti berasa kagum kerana dapat merasai suasana yang berbeza. Apa tidaknya, bermula di kawasan hutan dan berbatu, flying fox tersebut melalui kawasan pesisir pantai dengan pemandangan laut dan bukit dan seterusnya mendarat di atas pasir di tepian pantai berhadapan D'Lagoon. Anda juga jangan terkejut, kerana cubaan kali pertama melakukan flying fox akan membawa kepada keinginan untuk mencubanya kali kedua. Inilah antara perasaan mereka yang mencubanya setelah dapat melihat keindahan apabila 'terbang' bersama flying fox di D'Lagoon. Bagi yang ingin mencubanya, kakitangan D'Lagoon terlebih dahulu akan memastikan tali untuk aktiviti flying fox tersebut selamat digunakan sebelum membenarkan pengunjung mencubanya. Mungkin ada yang tertanya apakah flying fox di D'Lagoon itu selamat? Yang pasti, pemasangan tali itu mengutamakan ciri-ciri keselamatan. Pengusaha D'Lagoon sendiri yang merupakan bekas pegawai tentera selama 10 tahun, menggunakan pengalaman serta kemahirannya untuk memastikan flying fox itu selamat. Malah, apabila ditanya, pengusaha D'Lagoon itu memberitahu, antara latihan yang dilalui semasa dalam pasukan tentera ialah melakukan flying fox. Sehubungan itu, beliau menggunakan pengalaman semasa dalam tentera itu untuk mewujudkan aktiviti flying fox bagi membolehkan pengunjung merasai keunikan aktiviti berkenaan. Tarikan terbaharu di Pulau Perhentian itu secara tidak langsung berjaya menarik kehadiran pengunjung yang mahukan kelainan apabila berada di pulau berkenaan. Bagi mereka yang ingin mencuba flying fox selain aktiviti skuba, treking, snorkeling dan bersantai di Pulau Perhentian, boleh menghubungi pengusaha D'Lagoon di talian 012-9850678. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:25 PM PDT ![]() AINA Suzaily bersama rakan sekerjanya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang terletak di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. MEMILIKI raut wajah yang lembut berserta rambut hitam ikal yang menghurai melepasi bahu, pasti membuatkan ramai anak muda tertawan dengan keayuan milik pembaca berita kelahiran program realiti Penyampai Ikon, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun lalu. Ditambah pula apabila sepasang baju kurung disarungkan ke sosok tubuhnya, Aina Suzaily Mohd. Zailanny, 21, atau mesra disapa sebagai Aina ini terus menyerlahkan aura gadis Timur yang dimilikinya selama ini. Bagi Aina yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan ini, dia tidak akan melepaskan peluang menikmati nasi kerabu sebagai juadah berbuka puasa. Melebihi dua dekad sebagai anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu, nasi kerabu menjadi juadah kegemarannya sekeluarga di samping makanan tradisi lain seperti nasi dagang, kuih akok, tahi itik, jala mas dan sebagainya. Menurut pembaca slot laporan berita utama, Berita Nasional yang disiarkan pada pukul 8 malam di TV1 itu, dia tidak mampu untuk menterjemahkan melalui kata-kata mengapa menu tersebut menjadi pilihannya. "Cuma yang saya tahu, nasi kerabu ini sememangnya sedap dengan pelbagai pilihan lauk pauk yang disediakan untuk dimakan bersamanya. "Tambahan pula, bermacam-macam ulam dijadikan rencah untuk membuat menu ini. Jadi, ia adalah sajian berkhasiat yang sesuai untuk dimakan," katanya yang juga merupakan pengacara program Paparazzi terbitan KRU Studios yang disiarkan di saluran online KRU TV. Selain itu, tambah Aina, jika mempunyai kelapangan, dia akan membuat sendiri juadah tersebut di rumahnya. Itu pun, ujar Aina, sekiranya ada permintaan daripada rakan-rakannya dan makan beramai-ramai di rumahnya. "Jika saya seorang sahaja, memang saya tidak akan memasaknya kerana resipi ini memerlukan lebih daripada dua orang untuk menikmatinya. "Kalau masak nasi untuk dimakan seorang, rasa macam tidak seronok dan tidak berbaloi," jelas Aina. Bercakap mengenai minuman pula, kata Aina, minuman yang sesuai apabila memakan nasi kerabu ialah air kelapa sejuk. " Apabila dua resipi ini disatukan, tidak mampu untuk saya gambarkan betapa nikmatnya. "Memakan nasi kerabu ketika berbuka dengan meminum air kelapa sejuk memberikan kesegaran selepas sehari berlapar," kata Aina membayangkan betapa enaknya menikmati menu kegemarannya itu. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:23 PM PDT ![]() ABBY memilih baju Melayu untuk putera tunggalnya. DALAM menanti kehadiran Syawal yang bakal disambut 10 hari lagi, pasti ramai di kalangan kita yang mula kelam kabut untuk membuat persiapan terakhir bagi menyambut tibanya hari lebaran. Lantas, sudah pasti gedung-gedung tekstil dan pusat membeli-belah kini menjadi pilihan utama orang ramai untuk mendapatkan persalinan sempena Syawal nanti. Malah keriangan tatkala dihadiahkan pakaian baru pasti sukar disembunyikan oleh si kecil yang begitu teruja untuk menyambut hari raya. Justeru itu, baru-baru ini, S3 berpeluang mengikut dramatis dan ibu tunggal, Arbaiyah Abdul Manan, 34, atau lebih dikenali Abby Abadi berkunjung ke Jusco, Wangsa Maju, Kuala Lumpur bersama dengan tiga orang permata hatinya. Kegembiraan dan keseronokan jelas terpancar pada wajah ketiga-tiga anak Abby iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3, yang bebas menjelajah ke segenap bahagian kanak-kanak mencari baju yang berkenan di hati mereka. Bagaikan orang dewasa, ketiga-tiga cahaya mata Abby itu dengan sendirinya mencapai dan memilih baju yang mereka idamkan. "Begitulah mereka, kadang-kadang naik letih melayan telatah mereka yang suka ke sana dan ke mari mencari apa yang diingini. "Bayangkanlah tiga orang, seorang ke sana, seorang ke sini, sampai tidak larat untuk saya mengejar mereka. "Sebab itulah selalunya kalau mahu membawa mereka keluar, saya akan pastikan ada yang menemani seperti ibu, ayah atau abang saya," jelasnya. Selain itu, dalam leka melayan kerenah anak-anaknya, Abby sempat bercerita tentang persiapan rayanya. Katanya, menyediakan pakaian raya untuk anak-anaknya adalah satu kewajipan yang harus di lakukan setiap tahun. Baginya, keutamaannya dalam menyambut hari lebaran adalah untuk melihat anak-anaknya gembira dan seronok. "Bila sudah ada anak-anak, merekalah keutamaan yang perlu didahulukan dalam membuat persiapan raya. "Biarlah mereka gembira dan seronok menyambut hari raya, sebagai ibu sudah tentu kita gembira apabila melihat anak-anak tersenyum riang," ujar aktres yang sinonim dengan watak Inspektor Aleeza dalam drama bersiri Gerak Khas itu. Meneruskan bicaranya, Abby dengan ramah memberitahu, bahawa dia selalunya akan membuat persiapan awal dalam membelikan persalinan baru untuk anak-anaknya sempena hari raya. "Saya selalu membuat persediaan awal dengan membeli semua keperluan terutamanya pakaian untuk anak-anak terlebih dahulu. "Malah ada kalanya sebelum puasa lagi saya sudah mula membeli baju raya anak-anak. "Lagipun, bagi saya membuat persiapan awal lebih baik kerana di saat akhir pasti ramai yang berpusu-pusu di pusat membeli-belah. "Namun biasanya di hujung-hujung Ramadan ini, saya biasanya hanya membeli apa yang tertinggal seperti kasut, songkok dan sampin untuk abang (panggilan untuk anak sulungnya)," jelas Abby lagi. Kongsi Abby lagi, dalam menyambut hari raya, dia gemar menggunakan tema warna untuk digayakan bersama dengan anak-anaknya. Baginya dengan cara itu, ia dapat merapat dan mengeratkan lagi pertalian keluarga antara dia dan anak-anaknya. Selain itu apabila menyentuh mengenai fesyen, Abby tidak menafikan anak-anaknya sudah pandai bergaya biar pun masih lagi hijau dalam meniti kehidupan. Kata Abby, anak-anaknya terutama kedua-dua puterinya pandai berfesyen. "Tengok sahaja kecil, tetapi selera mereka dah macam orang dewasa dan cita rasa mereka ini kadangkala mengalahkan kita. "Macam Baby (panggilan untuk anak bongsunya) dia suka sangat kasut tumit tinggi sehingga inginkan kasut itu sebagai kasut rayanya. "Disebabkan suka kasut bertumit tinggi sampai kasut saya dipakainya dan yang tidak boleh tahan, siap bergaya naik tangga lagi. "Kita yang tengok ini, takut sekiranya dia jatuh tapi dia dengan selamba sahaja," kata Abby yang sibuk melayan kerenah anak-anaknya memilih kasut. | ||
Waheeda selesa di belakang tabir Posted: 19 Aug 2011 08:23 PM PDT
APABILA penyanyi dan pelakon Waheeda dikatakanbersara dari bidang seni, ramai peminatnya yang terkejut. Kejutan paling ketara apabila dua tahun kebelakangan ini, penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu muncul di khalayak ramai dengan berpurdah. Dengan berpurdah dan hanya kelihatan matanya sahaja, para peminat, malah wartawan yang sering menemu bualnya juga kurang mengenali wanita itu. Adakah penyanyi berusia 33 tahun itu sudah hilang minat pada dunia seni dan mahu melupakan bidang yang pernah diceburinya itu? Soalan itu dijawab ringkas tetapi penuh makna olehnya yang mula terbabit dalam bidang nyanyian dan lakonan sejak awal tahun 2003. "Saya masih minat bidang seni tetapi lebih senang di belakang tabir sahaja. Ini kerana suami saya, Akhil Hayy masih merupakan penyanyi walaupun menyanyikan lagu-lagu nasyid," komennya. Pada pertemuan di Kajang, Selangor sempena ulang tahun Akhil Network yang pertama itu, Waheeda atau lebih mesra dengan panggilan Wawa tidak banyak bercakap. Bagaimana pun penyanyi yang pernah popular dengan lagu-lagu genre world music itu begitu sopan berbicara termasuklah sewaktu sesi fotografi bersama S3 diadakan pada malam itu. Pada majlis yang diadakan selepas berbuka puasa itu, Waheeda yang pada mulanya agak keberatan untuk diambil gambarnya, tetapi dengan ditemani oleh suaminya, dia akur dengan permintaan media massa. Jelas penyanyi yang pernah menghasilkan tiga buah album berjudul Wassini, Binafsa dan Melodi Alahan, hidupnya kini semakin selesa sebagai suri rumah sepenuh masa. Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Akhil Hayy yang juga seorang penyanyi, pendakwah bebas dan usahawan lebih senang berada di sisi suaminya menjalankan kerja-kerja di belakang tabir. "Saya tinggal di rumah sahaja. Sesekali ada juga ikut temankan suami berceramah di merata-rata tempat," ulasnya ringkas apabila diajukan tentang aktiviti sehariannya kebelakangan ini. Waheeda atau Nor Wahidah Abdul Wahab yang bernikah dengan Akhil pada 16 Ogos 2009 memang banyak berubah sejak kebelakangan ini bukan sahaja daripada segi penampilan imejnya. Malah, tutur kata dan pergaulan sosialnya juga cukup dibatasinya agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bekas artis di bawah naungan syarikat MIG Records milik David Teo ini juga seolah-olah mengucapkan selamat tinggal pada bidang lakonan yang pernah diceburinya suatu ketika dulu. "Cukuplah setakat itu," ujarnya ringkas sambil ditemani anak tirinya, Siti Nur Maisarah, 14, iaitu anak sulung Akhil hasil perkahwinannya yang terdahulu. Pendirian bekas selebriti yang dilahirkan pada 23 September 1978 ini cukup tegas kerana dengan imej berpurdah, memang mustahil dia kembali ke pentas lakonan. Bagaimanapun, dia yang pernah berlakon dalam filem seperti Jutawan Fakir, I Know What You Did Last Raya, Anak Mami dan 7 Perhentian ini jelas tidak menyesal meninggalkan dunia seni yang pernah diceburinya. Waheeda yang kini juga berkaca mata telah memilih jalan hidupnya sendiri dan berharap ia tidak dijadikan isu dengan penampilan tersebut. | ||
Gitar sentiasa di sisi Man Kidal Posted: 19 Aug 2011 08:18 PM PDT ![]() MAN Kidal mendukung cucunya, Mohd. Adam sambil melihat isterinya, Norlaila Yusof membuat tat nanas di kediaman mereka di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. GITAR boleh dikatakan sebahagian daripada kehidupan seharian Man Kidal. Ini kerana, sejak berusia 10 tahun lagi anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini sudah mula bermain gitar. Malah, sejak lebih 27 tahun lalu hingga pada usianya kini mencecah 48 tahun, gitar tidak pernah lekang daripada hidupnya. Pemain gitar adalah kerjayanya sejak dahulu hingga kini. Menurut pemegang nama penuh Rahman Mahmood ini, minat dan kebolehannya bermain gitar menyebabkannya berada pada kedudukan hari ini. Gitar memang sebati dengan dirinya. Sambil memetik gitar jenis Fender, salah satu gitar dalam koleksinya, Man berkata, dengan instrumen itulah dia mencipta lagu untuknya sendiri dan penyanyi lain. "Semasa bermain gitar terutamanya di rumah, ilham banyak datang. Saya gunakannya bukan sahaja untuk mencipta lagu sendiri atau kumpulan Lefthanded semata-mata. "Sebaliknya, banyak juga lagu ciptaan saya yang saya beri untuk penyanyi lain. Tanpa gitar saya rasa susah untuk bekerja. Tanpa gitar juga siapalah Man Kidal," katanya. Pada pertemuan di kediamannya di Kondominium Armanee, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, sebagai pemuzik tetap, masanya banyak dihabiskan di rumah. Di kediaman dua tingkat yang mempunyai empat bilik tidur itu, disediakan sebuah bilik khas buat gitaris ini berlatih yang menempatkan lima daripada hampir 20 gitar miliknya. Gitaris yang pernah mendapat jolokan Ritchie Blackmore Malaysia kerana dikatakan menyerupai pemain gitar Deep Purple, banyak menghabiskan masanya di bilik tersebut. "Banyak ilham timbul dalam bilik ini. Dalam bilik inilah saya bermain gitar dan mencipta lagu. Saya banyak membuat susunan muzik untuk artis-artis baharu termasuklah Firdaus dan Nadeera. "Dua artis itu bernaung di bawah syarikat rakaman saya, Man Kidal Entertainment Sdn. Bhd. Ini salah satu cara saya mengembangkan kerjaya dalam bidang ini," ujarnya. Belum bergelar jutawan, tetapi bapa kepada Mohd. Shefflee, 28; Farah, 27; dan Norshahera, 16, boleh berbangga dengan kejayaannya setakat ini. Dia antara 10 gitaris handalan di negara ini. Biar pun terkenal dengan petikan gitarnya di pentas persembahan, namun di rumah Man Kidal sama seperti suami, bapa atau datuk lain yang bertanggungjawab dan penyayang. Selain sentiasa dengan gitar-gitar kesayangannya, gitaris kumpulan Lefthanded ini juga tidak jemu melayan empat cucunya sewaktu bersantai di rumah. "Cucu-cucu saya memang selalu datang ke rumah saya. Adakalanya isteri saya, Norlaila Yusof, 48, tolong menjaga mereka. Kalau isteri saya sibuk membuat kuih, saya akan menjaga mereka. "Ini kerana, sejak 18 tahun lalu isteri saya menjual kuih raya Almond London dan tat nanas terutamanya sewaktu musim Hari Raya Aidilfitri. Saya memang rapat dengan cucu-cucu saya. "Itu adalah antara aktiviti sampingan kami pada masa lapang di rumah. Selain itu, isteri saya paling banyak membantu menguruskan kerjaya saya selama ini," kata gitaris kidal ini. Meskipun sudah bergelar datuk kepada empat cucu dan bergelumang dalam bidang muzik hampir 30 tahun, namun kepuasan belum terpancar di wajahnya. Sebaliknya, Man Kidal yang tidak pernah memotong pendek rambutnya sejak bergelar artis mendapati kariernya dalam bidang muzik semakin sibuk dan mencabar. "Saya rasa semakin tua usia saya semakin sibuk kerjaya saya. Bagi saya itu adalah cabaran. Pada masa sama menunjukkan rezeki saya dalam bidang ini belum putus-putus lagi. "Saya bukan sahaja masih mendapat tawaran mengadakan persembahan di Malaysia tetapi juga luar negara. Saya pernah dijemput bermain gitar sehingga ke Australia dan China. "Beberapa tahun lalu, saya pernah mengadakan persembahan selama tiga bulan di beberapa bandar di Jerman antaranya Frankfurt dan Dusseldorf sambil ditemani isteri saya," katanya. | ||
Copperfield mengaku ada anak luar nikah Posted: 19 Aug 2011 08:16 PM PDT
LOS ANGELES – Ahli silap mata, David Copperfield yang terkenal dengan teknik silap mata memukau ilusi penonton termasuk melenyapkan beberapa bangunan terkenal dunia, baru-baru ini membuat satu lagi kejutan. Beliau mendedahkan bahawa beliau kini bergelar bapa kepada seorang bayi perempuan, iaitu anak luar nikah yang kini berusia setahun hasil hubungan dengan kekasihnya, supermodel, Chloe Gosselin. Buat kali pertamanya, ahli silap mata berusia 54 tahun itu dikesan bersama Chloe dan anak perempuan mereka yang diberi nama Sky melancong di New York, Bahamas dan Las Vegas pada bulan lalu. "David kini perlu melupakan hasrat untuk melenyapkan mercu tanda Statue of Liberty. "Sebaliknya dia perlu berfikir bagaimana untuk 'melenyapkan' lampin pakai buang anaknya," kata satu sumber kepada akhbar Daily Mail. Pasangan tersebut mula bercinta sejak tiga tahun lalu melalui perkenalan yang diuruskan sahabat mereka. | ||
Posted: 19 Aug 2011 08:14 PM PDT
LONDON – Penyanyi Adele (gambar) mengakui dia sedang mencari cinta dan jejaka idamannya yang boleh membuat dia ketawa tanpa mempedulikan rupa paras lelaki tersebut. Penyanyi British yang berusia 23 tahun itu berkata, beliau tidak mengambil berat terhadap penampilan atau kekayaan seseorang lelaki, malah hanya berharap agar mereka boleh berjenaka dan menggembirakannya. "Saya minat lelaki yang suka berjenaka, saya benar-benar tidak peduli tentang penampilan fizikal mereka. "Saiz badan tidak penting, saya suka semua asalkan mereka boleh membuat saya ketawa." kata Adele. Tambahnya, beliau juga minat dan mengagumi lelaki yang boleh memasak serta memberi inspirasi kepadanya. | ||
Populariti Super Junior meningkat Posted: 19 Aug 2011 08:12 PM PDT ![]() SUPER JUNIOR SEOUL – Populariti kumpulan K-Pop terkenal Korea Selatan, Super Junior semakin meningkat apabila jualan album kelima mereka yang berjudul Mr. Simple melebihi 100,000 unit sejak dilancarkan dua minggu lalu. Jualan album yang memberangsangkan itu membolehkan kumpulan tersebut berada pada kedudukan kedua dalam carta Soribada dan keempat pada carta Melon and Bugs. Rentak tari dan lantunan suara memukau merupakan satu faktor kejayaan penjualan album tersebut, malah video klip mereka ditonton lebih 6.7 juta penonton menerusi laman web YouTube. Kemasyhuran berganda menjadi milik Super Junior apabila album Mr. Simple berada pada tempat pertama rancangan muzik M.net's, M! Countdown dan Music Bank. Kumpulan yang terdiri daripada 13 anak muda itu mula mencipta nama pada 2005 menerusi album pertama SuperJunior05 dan kini mempunyai lima buah album termasuk Mr. Simple. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan