ads

Khamis, 18 Ogos 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kashmir menagih keamanan

Posted: 18 Aug 2011 07:20 PM PDT



KASHMIR kini melalui detik-detik yang tenang sejak lapan tahun lalu selepas termeterainya gencatan senjata di antara India dan Pakistan.

Bagi penduduknya, keadaan itu membolehkan mereka membina semula kediaman dan menanam padi di wilayah yang mempunyai ketumbukan tentera paling ramai di dunia berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Namun, bagi tentera yang berkawal di wilayah pertikaian itu, keamanan yang dikecapi bersifat sementara dan boleh berubah pada bila-bila masa.

"Saya tidak menganggap hubungan yang terjalin di sempadan ini sebagai satu kemesraan. Kami menganggapnya sebagai satu hubungan profesional," kata seorang pegawai dari Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF), yang enggan mendedahkan identitinya.

Ketika ini kedua-dua negara cuba memulakan proses damai dan memutuskan bagaimana mahu membuka semula sempadan bagi meneruskan aktiviti perdagangan dan pelancongan. Ia sedikit-sebanyak dapat mengendurkan ketegangan seperti yang berlaku di Suchetgarh sebelum ini.

Pada Jun lalu, ketegangan memuncak di kawasan itu selepas seorang tentera BSF maut, dipercayai dilakukan oleh penembak tepat tentera Pakistan.

Bagaimanapun, unit renjer Pakistan menafikan penglibatan mereka dan mendakwa kemungkinan ia dilakukan oleh orang dalam.

Sebagai tindak balas, tentera India telah melepaskan tembakan dan disusuli kejadian berbalas tembak antara tentera kedua-dua negara yang berlangsung hampir satu jam.

Kejadian itu nyata bertentangan polisi ketenteraan yang telah dipersetujui membabitkan Garisan Kawalan di Kashmir. Namun, kejadian yang sama sering berlaku hampir saban hari berikutan ketegangan hubungan antara kedua-duanya sebelum gencatan senjata pada November 2003.

Mengurangkan kawalan

Sejak itu, keamanan mula dicapai di kawasan sempadan bermula di Suchetgarh, dataran kering di wilayah Jammu dan sehinggalah ke Kashmir.

"Situasi kami belum sampai ke tahap berjaga-jaga, namun kami tidak boleh mengurangkan kawalan yang dilakukan. Tidak sesekali, walaupun untuk seketika," kata seorang pegawai, yang duduk di sebuah khemah kira-kira 100 meter dari kawasan sempadan yang ditanda dengan dua pagar tinggi dengan kibaran bendera di atasnya.

Kedua-dua pagar sempadan yang ditanda warna biru di sebelah India dan hijau di sebelah Pakistan sentiasa ditutup.

Ia hanya dibuka ketika komander kedua-dua negara menyeberang ke sempadan untuk bertemu dalam mesyuarat atau ketika kehadiran anggota Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dibentuk selepas perang di Kashmir tamat pada tahun 1947 hingga 1948.

Seorang tentera BSF dilihat merentasi kawasan kubu di atas sebuah bangunan yang dibina ketika era kolonial dahulu. Bangunan itu pernah berfungsi sebagai pusat kastam untuk kereta api barang yang tiba dari bandar Sialkot di Pakistan, tidak jauh dari sempadan.

Pos kawalan itu menawarkan perlindungan kepada kubu-kubu lain di kawasan tinggi tidak jauh dari garisan sempadan bagi menghalang pencerobohan militan-militan yang berjuang menentang pemerintahan India di Kashmir.


KEHADIRAN tentera berjaya mengurangkan ancaman militan dan serangan terhadap pelancong asing.


Di belakangnya, terdapat dua lapisan pagar berduri setinggi tiga hingga empat meter dengan wayar konsertina.

Kerajaan India membinanya di kawasan sempadan sejauh 2,900 kilometer bermula dari Kashmir sehingga ke Gujerat yang bertindak sebagai kawasan pertahanan kedua.

Pagar elektrik yang dipasang disambungkan dengan rangkaian sensor, peranti pengimejan terma dan penggera.

Kerajaan India mendakwa ia berjaya mengurangkan pencerobohan militan-militan ke Kashmir kepada sifar sejak pemberontakan bermula pada tahun 1989.

"Pagar itu tidak dapat menghalang tindakan penceroboh. Tetapi, ia mampu memperlahankan tindakan mereka dan memberi masa kepada tentera kami untuk bertindak balas," kata Swaran Lal, ketua kampung Suratgarh yang mengetuai usaha orang awam untuk menjadi pemerhati di kawasan sempadan.

Gencatan senjata yang dicapai sebelum ini telah berjaya membuka sempadan tetapi ia agak terbatas.

Pada tahun 2008, kedua-dua negara bersetuju membenarkan perdagangan dalam jumlah yang terhad dan perjalanan di antara wilayah yang dikuasai, berikutan desakan penduduk yang sering menganggap mereka terperangkap dalam pertelingkahan yang berlaku.

Perdagangan di sempadan

Perdagangan yang dijalankan terhad kepada 21 barangan, dilakukan secara kecil-kecilan, dihalang oleh fakta bahawa ia hanya boleh dilakukan melalui sistem barter memandangkan kedua-dua kerajaan tidak mengiktiraf mata wang masing-masing, walaupun mata wang dari negara lain di Kashmir.

Kedua-duanya bimbang penerimaan terhadap langkah-langkah itu akan menjejaskan tuntutan terhadap keseluruhan wilayah berkenaan.

Pedagang-pedagang menjalankan perniagaan mengikut kaedah mereka, pertukaran barangan dengan menggunakan formula tersendiri dengan membandingkan nilai di antara mata wang India dan Pakistan.

Namun, pembukaan laluan perdagangan itu dilihat mampu memecahkan kebuntuan terhadap konflik sejak 60 tahun lalu di Kashmir.


SEORANG lelaki Muslim Kashmir sibuk memasak roti parata iaitu salah satu menu yang terkenal di Srinagar.


"Kesan psikologi melalui pembukaan sempadan ini memberi impak besar," kata Shakeel Qalandar, bekas presiden Persekutuan Persekutuan Industries Kashmir.

"Selama lebih lima dekad, hanya laluan di sebelah selatan India sahaja yang dibuka. Sekarang pintu sempadan telah dibuka untuk menyatukan kembali Kashmir."

Usaha meredakan ketegangan di sempadan melalui perdagangan dan kebenaran perjalanan merupakan asas kepada draf pelan tindakan 2007 yang dipersetujui secara rahsia sebelum ini, namun situasinya tampak sukar berikutan penglibatan kedua-dua pemerintah dalam konflik dalaman.

Bulan lalu, menteri luar kedua-dua negara bersetuju meningkatkan jumlah hari perdagangan di Kashmir daripada dua hari kepada empat minggu dan memendekkan tempoh permohonan bagi perjalanan merentasi sempadan kepada 45 hari berbanding tiga hingga empat bulan sebelum ini.

"Banyak lagi usaha yang boleh dilakukan di Kashmir, namun keboleh percayaan masih tipis.

"Mereka telah mengambil dua langkah ke hadapan dan secara senyap-senyap mengambil langkah ke belakang pula," kata Arjimand Husain Talin, pakar bebas mengenai pembangunan Kashmir yang berpangkalan di bandar musim sejuk Srinagar.

Gembira masih ada yang peduli

Posted: 18 Aug 2011 07:19 PM PDT



RUANG legar aras bawah gedung beli-belah Suria KLCC pada petang itu padat dengan kehadiran 90 orang anak-anak kurang bernasib baik dari tiga buah rumah perlindungan.

Tujuan kedatangan mereka itu bukan sekadar memenuhi jemputan berbuka puasa. Sebenarnya, ada sesuatu yang lebih menarik untuk mereka bawa pulang.

Walau mungkin kedengaran klise, saban tahun pasti ada artis-artis tempatan turun padang menyertai sesebuah organisasi untuk bersama-sama berkorban masa membeli-belah dengan anak-anak kurang bernasib baik tersebut.

Pengisian program seperti itu tentunya hanya dapat diukur melalui keikhlasan dan keinginan sejati mereka. Kalaupun dapat diukur, momen mereka memimpin tangan anak-anak itu ketika mencuba dan memilih pakaian baharu sudah dapat dinilai dengan mata kasar.

Tiga rumah perlindungan yang mengambil bahagian pada hari itu adalah Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Rumah Titian Kasih dan Yayasan Chow Kit.

Mereka dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan kemudian diletakkan di bawah pengawasan individu yang terdiri daripada empat selebriti tempatan serta 40 kakitangan Suria KLCC.

Barisan artis seperti Zizan Nin, Juliana Ibrahim, Tia Ibrahim dan Ixora Chern semestinya menimbulkan keterujaan bagi anak-anak tersebut kerana dapat bergaul mesra dengan figura-figura dunia hiburan dan modeling tersebut.

Dengan wang tajaan perseorangan sebanyak RM150 sumbangan Suria KLCC, setiap daripada mereka menerima pakaian dan kasut yang dibeli bersama di gedung Parkson dan Bata.

Gelagat dan telatah mereka memilih pakaian begitu mencuit hati semua yang ada pada saat itu, Begitu juga perasaan Zizan Nin yang membawa dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lima tahun membeli-belah bersamanya.

"Walaupun penyertaan saya dan rakan artis lain tidak seberapa, tapi ia sedikit sebanyak dapat memberi sinar harapan kepada mereka untuk turut sama gembira menyambut hari lebaran.

"Mereka tidak bernasib baik seperti kanak-kanak lain kerana tiada saudara-mara mahu membawa mereka membeli pakaian baharu. Jadi, ini antara inisiatif untuk kita menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Aktiviti seperti ini wajar diteruskan dan tidak hanya dilakukan pada musim perayaan malah perlu diadakan pada hari-hari biasa," ujar pelakon berusia 38 tahun itu.

Variasi telatah

Mendukung anak kecil bernama Abu Sufian menerbitkan perasaan luar biasa dalam diri Zizan. Baginya, kanak-kanak lain begitu bertuah kerana tidak perlu mengharungi keperitan hidup seperti anak tersebut.

Walaupun ada di antara mereka menunjukkan sikap agresif dan kenakalan yang luar biasa, ia sebenarnya bukan disengajakan kerana beberapa orang daripada mereka mempunyai masalah disleksia serta hiperaktif.

Pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang akur sahaja dengan pilihan yang diberikan, ada yang hanya mahu pakaian mengikut cita rasa sendiri, dan ada juga yang langsung tidak mahu apa-apa!

Biar apapun karakter yang ditunjukkan anak-anak itu, mereka tidak diherdik atau dimarahi kerana hari itu merupakan hari istimewa buat mereka. Pendek kata, mereka dilayan bak anak raja.

Pilihan mereka juga berbeza-beza. Tidak semua mahukan baju Melayu atau baju kurung kerana ada antara mereka yang menginginkan baju kemeja dan jean.

Bercakap tentang kasut pula, gedung Bata pada petang itu meriah dengan aksi anak-anak berkenaan memilih sepatu yang sepadan dengan saiz mereka.

Dalam kesibukan memilih, mereka juga turut berkejar-kejaran hingga menjadikan suasana tambah meriah dan jauh berbeza daripada keadaan hari-hari biasa.

Tempoh dua jam berlegar-legar sekitar pusat beli-belah itu cukup membuatkan anak-anak itu tersenyum puas dengan barangan yang mereka perolehi.

Perasaan gembira


ZIZAN leka melayan kerenah dua orang kanak-kanak yang di bawah pengawasannya dalam program di Suria KLCC baru-baru ini.


Seorang remaja daripada Rumah Titian Kasih, Mohd. Shafrie Nordin, 17, menyuarakan rasa gembiranya kerana dapat meluangkan masa bersama selebriti tempatan membeli persiapan hari raya.

"Bukan senang dapat jumpa artis. Saya rasa bertuah dan bersyukur sangat kerana diberi peluang sebegini kerana ia setidak-tidaknya menunjukkan bahawa masih ada orang yang prihatin terhadap nasib kami," tuturnya yang telah dua tahun menjadi penghuni di rumah perlindungan tersebut.

Ketika ditanya tentang saudara-maranya yang lain, Shafrie jujur mengatakan hidupnya kini ibarat sebatang kara. Begitupun, dia mendakwa hidupnya tidak lagi keseorangan dengan kehadiran ahli keluarga baharu di Titian Kasih.

Berbeza pula dengan Faizal Lestari Syapril, 17, dari Yayasan Chow Kit. Nasibnya mungkin kedengaran baik kerana masih memiliki keluarga, akan tetapi dia yang membesar di sekitar kawasan Chow Kit sudah cukup menggambarkan dunia yang dilalui remaja tersebut.

Masih belajar di sebuah sekolah di Titiwangsa, Faizal juga berasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan golongan artis serta kakitangan Suria KLCC yang sanggup turun padang bersama-sama mereka.

"Sokongan mereka terhadap kami semua amat bermakna. Walaupun tidak lama, kenangan ini akan diingati sampai bila-bila," katanya yang hadir bersama 15 penghuni lain rumah perlindungan tersebut.

Selepas keletihan membeli-belah, anak-anak itu dihiburkan pula dengan nyanyian Dina Nadzir yang bijak berinteraksi dengan penonton-penonton ciliknya itu.

Bukan itu sahaja, mereka turut diberi peluang menyaksikan persembahan tarian-tarian tradisional tempatan seperti Asyik, Ayak-Ayak, Canggung dan Endang.

Acara seterusnya sudah tentu majlis berbuka puasa yang sememangnya dinanti-nantikan. Pihak pengurusan Restoran Imperial Chakri Palace yang terletak di tingkat empat gedung beli -belah itu berbesar hati menyambut mereka dengan juadah iftar lazat.

Dalam masa yang singkat, jalinan kemesraan antara anak-anak itu dengan kesemua artis dan petugas Suria KLCC tersebut mengalir tanpa dipaksa. Ia ibarat ikatan persaudaraan yang tidak memerlukan penjelasan ilmiah.

Momen itu menunjukkan bahawa kasih sayang sesama manusia tidak dibina atas dasar simpati semata-mata.

Kejujuran dan keterbukaan hati juga menjamin perhubungan tersebut untuk bercambah lalu membentuk suasana paling manis untuk dikenang.

Memori Lebaran Suria KLCC

Posted: 18 Aug 2011 07:19 PM PDT


JULIANA menyuapkan makanan kepada salah seorang anak rumah perlindungan yang di bawah perhatiannya sempena program seharian itu.


DALAM kesibukan masyarakat membeli-belah sempena menyambut kehadiran Syawal tidak lama lagi, komitmen sosial seperti sumbangan kepada anak-anak kurang bernasib baik juga perlu diberi perhatian.

Perayaan sepatutnya membawa erti penyatuan dan perkongsian sesama manusia, iaitu masing-masing perlu diberi peluang untuk merasai keseronokan berhari raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brian menjelaskan, majlis yang dianjurkan itu merupakan tradisi syarikat mereka setiap tahun yang bertujuan memberi kegembiraan kepada golongan memerlukan.

"Ia bukan hanya acara untuk menyambut Aidilfitri malah mendidik orang ramai dan kakitangan kami sendiri agar menghayati erti sebenar bulan Ramadan.

"Adakala kita alpa dengan kesenangan yang dimiliki hingga kebajikan golongan seperti mereka terabai begitu sahaja," ujar Andrew dalam ucapan perasmian promosi Memori Lebaran Suria KLCC.

Menyelak lembaran promosi yang diuar-uarkan itu, Andrew memberitahu, pengunjung yang membelanjakan RM150 ke atas di Suria KLCC akan menerima satu pek sampul duit raya manakala mereka yang berbelanja RM500 ke atas pula akan diberi satu pinggan porselin keluaran khas hari raya.

Promosi yang berjalan bermula 5 Ogos lalu akan berterusan sehingga 4 September nanti. Mereka yang membelanjakan RM3,000 ke atas pada hari Sabtu dan Ahad akan menerima satu botol minyak wangi jenama CK One secara percuma.

Berita baik untuk pemegang kad kredit CIMB kerana pelbagai ganjaran menanti anda apabila berbelanja di Suria KLCC dengan amaun perbelanjaan RM3,000 ke atas.

Sambil membeli-belah, pengunjung Suria KLCC juga akan dapat merasakan sendiri suasana hari raya dengan hiasan rumah kampung di tengah-tengah aras bawah bangunan itu selain lampu-lampu berwarna-warni yang pastinya melahirkan keterujaan untuk sesi fotografi.

Ibu hamil wajib qada puasa

Posted: 18 Aug 2011 07:18 PM PDT


IBU hamil sering bimbang pada kesan berpuasa ke atas bayi yang dikandungnya. – Gambar hiasan


APAKAH hukum seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan kerana khuatir memudaratkan diri dan anak dalam kandungannya?

JAWAPAN:

Hukum bagi perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadan kerana khuatir memudaratkan diri dan anak dalam kandungannya adalah seperti berikut:

a) Bagi yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya ia meninggalkan puasa kerana takut ditimpa mudarat pada dirinya sendiri, wajiblah ke atasnya qada dan tidak wajib fidyah.

b) Sekiranya ia berbuka kerana membimbangi bayi yang berada dalam kandungan atau bayi yang disusukannya ditimpa mudarat, pendapat paling jelas dalam mazhab Syafie ialah wajib qada dan fidyah.

Ini adalah berdasarkan kepada satu riwayat daripada Anas Bin Malik Al-Ka'bi berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah meringankan bagi musafir dalam ibadat puasa dan separuh dari solat dan bagi wanita hamil dan menyusui (ia meringankan) puasa."

Kesimpulannya, jelaslah hadis di atas merupakan dalil bagi wanita yang sedang hamil atau menyusui dibolehkan berbuka puasa.

Guna ubat penitis mata sewaktu berpuasa

SAYA memakai kanta lekap pada bulan puasa dan menggunakan ubat penitis mata bagi mengelakkan mata menjadi kering. Adakah batal puasa saya?

JAWAPAN:

Mengikut mazhab Syafie dan Ibn Munzir, tidak batal puasa seseorang yang menitiskan sesuatu ke dalam mata sama ada rasanya boleh dirasai di halkum atau tidak.

Ini kerana mata bukanlah lubang rongga yang berhubung dengan halkum. Pendapat ini juga dipegang oleh Abu Hanifah, Ata', Hassan, Al-Nakhaie dan Al-Auzaie.

Daging segar MeatWorks

Posted: 18 Aug 2011 07:17 PM PDT

SELAIN daging lembu pengunjung juga berpeluang menikmati spageti, salad dan sebagainya.


MEMASUKI ruang utama restoran tiga tingkat itu umpama menerjah ke suatu dimensi berbeza yang penuh elegan tetapi penuh dengan ciri-ciri klasik. Dekorasi sangkar yang digantung di siling membuatkan pemandangan lebih berseri enak diserikan lagi dengan bingkai-bingkai gambar menghiasi ruang-ruang dinding restoran berusia tiga tahun itu.

Suasana restoran milik The Real Food Company itu sahaja sudah cukup membuatkan pengunjung berasa tenang ketika menikmati iftar.

Sesuai dengan namanya, MeatWorks yang terletak di Solaris Mont Kiara itu mempertaruhkan menu keistimewaan mereka sempena Ramadan ini iaitu daging lembu.

Menggunakan lembu dari Australia yang diternak di ladang sendiri di Gemas, Negeri Sembilan, kualiti daging-daging lembu di Meatworks dijamin berkualiti tinggi.

Kelembutan daging-daging lembu seperti batang pinang, tulang rusuk, sirloin dan lain-lain yang dimasak sederhana pasti membangkitkan selera anda terutama kepada penggemar daging.

"Ini merupakan kali pertama kita mengadakan bufet Ramadan dan fokus kepada daging lembu.

"Pengunjung akan berpuas hati dengan mutu daging kami kerana di sini kita tidak terlalu memerap daging tersebut kerana mahu mengekalkan jusnya," ujar Yusry Anuar, 35, chef yang bertugas di restoran itu.

Pada harga RM89++ bagi dewasa dan potongan 50 peratus untuk kanak-kanak yang bawah 12 tahun, pengunjung berpeluang menikmati daging-daging yang kebiasaannya dibeli pada harga yang mencecah hingga ratusan ringgit.

Apa yang menguntungkan, hanya pada harga serendah itu, pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis daging lembu di samping menu-menu lain.

Setelah puas menikmati daging, jangan lupa merasai juadah-juadah lain seperti spageti, roti pita, salad, sate dan pelbagai lagi menu yang ditukar setiap hari bagi memberikan pilihan kepada orang ramai.

Merawat rambut bak teratai di air

Posted: 18 Aug 2011 07:16 PM PDT


SEBAHAGIAN daripada pengguna awal sempena majlis pelancaran produk penjagaan rambut terbaharu Avon.


DENGAN mengambil inspirasi alam semula jadi melalui pemerhatian rapi, Avon telah menemui satu keunikan ajaib daripada sejenis tumbuhan air yang unik dan biasanya hidup di permukaan air tenang.

Tumbuhan itu ialah pokok teratai yang sering dijadikan penambah seri bagi melengkapkan taman impian dan kolam hiasan oleh penggemar landskap.

Daunnya yang lebar berbentuk bundar ataupun bujur dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding tumbuhan lain.

Permukaan daunnya tidak mengandungi lapisan lilin tetapi ia mempunyai partikel halus yang menyebabkan air yang jatuh ke atasnya membentuk seperti butiran air dan tidak meresap terus ke dalam daun.

Cirinya yang boleh hidup di dalam air namun mampu mengekang air daripada menyerap di bahagian tertentu sekali gus memberi ilham kepada Avon. Jenama itu kini memperkenalkan produk rawatan bagi mengelak rambut menggerbang dan kekal terurus.

Pengurus Jenama dan Komunikasi Avon Malaysia, Noorashikin Selamat berkata, pada harga serendah RM11.90, rumusan produk itu berperanan mengunci lembapan dari dalam agar rambut tidak mudah mengerbang dan hasilnya tahan sehingga tiga kali cucian.

Selain membentuk lutsinar pada rambut, ia juga berperanan merawat dan menyimpan lembapan semula jadi pada rambut agar lebih lembut, halus dan tidak kusut.


PRODUK rawatan terbaharu ini membantu penggunanya mendapatkan rambut yang lebih sihat dan terurus.


Menurutnya, hasil kajian memberangsangkan oleh pakar saintis di Pusat Kajian dan Pembangunan Avon, Suffern New York itu membolehkan Avon memperkenalkan rangkaian produk Advance Techniques dengan teknologi eksklusif Lotus Shield.

Lotus Shield membantu mengekalkan lembapan rambut seterusnya mengelakkan kerosakan pada rambut akibat cuaca lembap atau panas.

"Avon dengan bangganya mempersembahkan wajah baharu dengan formulasi terkini Advance Techniques. Dengan teknologi terunggul dan pembungkusan yang menawan, rangkaian baharu ini dicipta untuk memberikan hasil yang terbaik dalam kaedah penjagaan rambut," katanya.

Mengulas lanjut mengenai salah satu rangkaian produk Advance Techniques iaitu Frizz Control, ia dicipta khusus bagi membebaskan pengguna wanita daripada masalah rambut mengerbang

"Frizz Control mengandungi salutan mikrosfera hidrofobik dan silikon pelicin. Ia merupakan produk pertama seumpamanya yang dicipta sedemikian sekali gus mampu menghindar rambut jadi tidak terurus," jelasnya.

Tambah Noorashikin, Frizz Control merupakan rawatan tanpa bilas dan boleh dipakai terus ke atas rambut seterusnya menjadi penghadang ringan untuk menentang rambut kusut.

Sementara itu, rambut licin menggoda dapat dimiliki dengan menggunakan produk Straight & Sleek yang mengandungi teknologi pengunci hidra Avon bagi membantu melicinkan rambut-rambut liar, agar ia menjadi 90 peratus lebih licin dengan sentuhan hidrasi selembut satin.

Sempena pelancaran rangkaian Advance Tehcniques, Avon turut menawarkan hadiah lumayan sebanyak RM70,000 untuk dimenangi. Anda cuma perlu membeli satu Advance Techniques Frizz Control, Lotus Shield Treatment 60 mililiter atau beli dua barangan Advance Techniques untuk mendapatkan borang penyertaan. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Ogos 2011.

Sementara itu, pada Oktober 2011 Avon akan tampil dengan produk rangkaian Styling yang sesuai bagi mereka yang gemarkan penggayaan rambut bak selebriti pujaan. Ia melindung rambut daripada dirosakkan bahang alat penggayaan untuk kemasan yang sempurna.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved