ads

Ahad, 14 Ogos 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Elak jaja cerita peribadi

Posted: 14 Aug 2011 10:59 PM PDT

SOLO...belum fikir cari pengganti.
SOLO...belum fikir cari pengganti.
PUAS...kali pertama buat lagu raya.
PUAS...kali pertama buat lagu raya.

LUPAKAN saja kontroversi yang pernah melanda dirinya kerana dia hanya insan biasa yang mempunyai kelemahan dan kekura�ngannya sama seperti orang lain.

Bukan saja kontroversi, dia juga ingin me�ngelak daripada terlalu banyak menjaja cerita peribadi hingga peminat terlupa perkembangan karier seni yang diceburinya, sejak 11 tahun lalu.

Selepas menyepi seketika dari persada hiburan, penyanyi yang juga pemenang tempat ketiga, Malaysian Idol musim kedua, Farah Asyikin kembali lagi untuk menyemarakkan persada seni tanah air.

Dalam pertemuan dengan Rap pada sesi fotografi khas, sempena Ramadan di Studio Balai Berita, Bangsar, baru-baru, pemilik nama sebenar, Farah Asyikin Zukkifli, 32, mengakui dia memang tidak suka dikenali ramai dengan cerita peribadinya semata-mata.


"Saya sedar, ada artis kita yang dikenali dengan cerita peribadi dan kontroversi berbanding perkembangan karier seni mereka. Sebagai artis, saya akui saya memang tidak dapat mengelak bercerita soal peribadi kerana dunia artis memang sentiasa mendapat perhatian orang."Begitu juga dengan imej seksi. Sebenarnya, saya ingin lari daripada imej itu tapi nampaknya orang masih label saya sebagai artis yang seksi walaupun saya memakai baju yang sopan seperti baju kurung. Justeru, saya biarkan saja apa tanggapan orang pada saya sekarang," katanya.

Berkongsi cerita mengenai Ramadan pula, kata Farah, tahun ini, dia pastikan mempunyai lebih banyak masa berbuka dan bersahur bersama keluarganya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

"Setakat ini, saya sudah� dapat beberapa kali berbuka puasa bersama keluarga di rumah. Ia memang mengeratkan hubungan kekeluargaan sedia ada.

"Antara juadah berbuka kegemaran saya ialah Ayam Panggang, Air Mata Kucing dan kuih Bingka Ubi yang juga air tangan emak yang memang pandai memasak lauk-pauk.

"Selain itu, saya juga sempat menunaikan solat sunat Tarawih bersama adik di masjid berhampiran kediaman kami di Taman Tun Dr Ismail," katanya. Lebaran yang juga hari kemenangan umat Islam turut diraikan secara sederhana oleh Farah dan keluarganya.

"Persiapan raya kami juga sangat sederhana saja sama ada baju mahupun juadah hari raya. Selalunya, saya beli baju kurung yang sudah siap pada saat akhir dan kuih raya kegemaran yang pasti terhidang di meja pada pagi raya ialah Coklat Chips.

"Saya juga beli kuih dari kawan-kawan yang juga rakan artis iaitu Elyana yang menjual coklat. Saya juga selalu buat persiapan pada saat-saat akhir.

"Seperti tahun sebelum�nya, saya akan beraya bersama keluarga di ibu negara.
Terus terang, saya tidak berasa sunyi walaupun tiada teman istimewa di sisi kerana saya berasal dari keluarga yang besar. Pada masa sama, saya juga mempunyai nenek sebelah emak di Seremban dan mungkin nenek akan beraya bersama kami di Kuala Lumpur," katanya.

Ditanya soal pengganti pula, Farah mengakui, dia masih belum mempunyai teman istimewa bagi mengisi kekosongan hatinya lagi.

"Hati saya masih belum terbuka untuk bercinta mahupun berkahwin lagi. Saya memang mempunyai ramai kawan tapi semuanya tidak lebih daripada itu. Buat masa ini, biarlah fokus saya pada karier nyanyian dulu kerana saya juga perlu memikirkan masa depan," katanya.



Bernaung di bawah MC Voices & Stars Sdn Bhd


BAGI memastikan karier seninya lebih teratur, Farah kini bernaung di bawah payung pengurusan baru, MC Voices & Stars Sdn Bhd, sejak dua bulan lalu. Ia ditubuhkan bersama rakan kongsinya yang juga pemilik syarikat, Datuk Bernie
Cheah.

"Sebelum ini, saya hanya bergerak sendiri dan berbeza kini karier seni lebih teratur kerana ada pengurusan yang mengatur semuanya.

"Saya pula betul-betul ingin buat 'comeback' dan mengurangkan daripada bercerita terlalu banyak cerita peribadi lagi. Pihak pengurusan juga yang bertanggung-jawab menjaga imej saya dari hujung rambut hingga hujung kaki sekarang," katanya.

Mengenai perkembangan karier seni pula, Farah yang mengungguli anugerah Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 bakal merakamkan lagu raya ciptaan komposer Taja (Meet Uncle Hussain) tidak lama lagi.

"Sebenarnya sudah lama saya nak buat lagu raya tapi baru sekarang ia menjadi
kenyataan. Ini juga kali pertama, saya buat lagu raya sepanjang berkecimpung
dalam bidang seni tempatan. Taja sendiri yang berminat buat lagu raya untuk saya. Liriknya pula ciptaan Tun Teja yang juga pengurus Taja. "Sebelum buat lagu raya, kami berbincang terlebih dulu mengenai konsepnya kerana saya suka konsep retro dan moden sikit. Insya-Allah, jika berjalan lancar, lagu raya ini akan dirakamkan di studio minggu ini," katanya.

Sebagai penyanyi, Farah berharap, lagu raya baru itu akan menjadi 'evergreen' seperti lagu lamanya yang masih meniti di bibir peminat sampai hari ini iaitu lagu Kembali Lagi Di Sisimu yang masih diputarkan di stesen radio tempatan sampai hari ini.

"Selain itu, saya juga bercadang memberi nafas baru pada lagu Kembali Lagi Di Sisimu. Saya juga buat susunan vokal yang lain kerana dulu suara saya masih kebudak-budakan lagi.

"Saya juga merancang untuk jual lagu ini secara 'download' nanti. Dari segi album penuh pula, saya merancang buat single demi single terlebih dulu dan selepas itu barulah bikin album penuh pula," katanya.



PROFIL:

NAMA SEBENAR: Farah Asyikin Zulkifli
TARIKH LAHIR: 11 November 1979
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi
STATUS: Solo
PENDIDIKAN: Diploma Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti LimKokWing
ALBUM: Bebas (1999) dan 1000 Penipuan (2007)
PENCAPAIAN: Salem Cool Planet (1999), tempat ketiga Malaysian Idol 2 (2005), tempat kelima One In A Million (2006) dan Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008

Siti Nordiana buka hati untuk lelaki

Posted: 14 Aug 2011 10:57 PM PDT

Siti Nordiana mementingkan kepuasan Rayyan dalam segala hal

Pejam celik sudah tiga tahun penyanyi yang popular dengan lagu, Cinta Hanya Sandaran ini melayari kehidupan sebagai ibu tunggal setelah berpisah dengan suaminya, Faizal Yusof pada Ogos 2009 yang lalu.

Mengunci hati daripada menerima kehadiran mana-mana lelaki dalam hidupnya, Siti Nordiana sebenarnya tidak mahu berbagi kasih bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaei yang kini berusia tiga tahun. Namun, sampai bila ibu muda ini dapat menjalani kehidupan sendirian dan selama mana Rayyan harus membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.

Bertemu Siti Nordiana di majlis rakaman Melodi Raya baru-baru ini, dia mengakui sudah bersedia untuk membuka hatinya pada lelaki-lelaki diluar sana. Mengakui sudah beberapa kali mencuba, Siti Nordiana bersikap terbuka dalam memilih calon suami yang sesuai untuk dirinya itu.

"Insya-Allah, untuk cari pengganti itu ada juga difikirkan, tetapi seharusnya orang itu boleh menerima saya dan Rayyan sebaik mungkin. Saya sentiasa mencuba, dan masih mencari, malah sekarang ini pun saya sedang berkawan baik dengan beberapa orang lelaki.

"Dalam berkawan, saya melihat cara mereka melayan saya dan Rayyan, sama ada dia benar-benar ikhlas ataupun tidak. Saya lebih utamakan keselesaan Rayyan, dan tidak boleh hanya mengikut hati saya sahaja.

"Secara zahirnya, memang sukar untuk saya memastikan sama ada orang itu ikhlas atau tidak bersama Rayyan, namun ada kalanya, gerak hati saya ini banyak membantu. Saya tidak begitu memilih dalam mencari pasangan, yang penting sekali lelaki itu ada pegangan agama yang kuat dan mempunyai hubungan yang baik bersama Rayyan,"jelas Siti Nordiana.

Raya

Menjelang hari raya nanti, jelas Siti Nordiana dia akan pulang ke kampung asalnya Sendayan. Namun, hingga ke saat ini, dia masih belum membuat sebarang persiapan raya lagi.

"Sekarang ini saya sibuk dengan jemputan-jemputan majlis berbuka puasa dan masih belum berpeluang membeli belah pakaian raya untuk diri dan anak. Saya akan bercuti lama pada hari raya ini untuk menyertai keluarga disana menziarahi rumah-rumah saudara yang jauh,"jelasnya lagi.

Hubungan Awi Rafael dan Shila dihalang ND Lala?

Posted: 14 Aug 2011 10:55 PM PDT

Awi Rafael popular dengan lagu Pulanglah

Mula dikenali menerusi single pertamanya, Pulanglah, nama Awi Rafael seakan singgah dan kekal dalam kotak fikiran peminat-peminat muzik di Malaysia.

Lahir di Singapura, graduan jurusan Undang-undang dan Psikologi ini semakin mendapat perhatian setelah dia dikatakan menjalinkan hubungan cinta bersama anak kepada penyanyi dan ahli perniagaan popular, ND Lala.

Kelihatan mesra bersama Shila Hamzah, kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan ada hubungan yang melibatkan hati terjalin antara mereka, dan kemesraan yang timbul hanya berlandaskan hubungan sebagai seorang rakan seperjuangan sahaja.

Namun yang tidak sedap di dengar, ada cerita yang mengatakan khabar angin tentang hubungan cinta mereka ini menjadi hangat selepas ND Lala, bapa kepada Shila tidak gemar dengan gosip yang melanda anaknya itu. Memarahi Shila apabila mengetahui berita ini, ND Lala juga dikatakan tidak bersetuju dengan hubungan yang terjalin antara Shila dan Awi Rafael.

Bertemu Awi Rafael, dia menjelaskan ada mendengar cerita sebegini sebelum ini, namun, sekiranya perkara ini benar, dia berharap ND Lala faham bahawa perkara ini semua bukannya datang daripadanya.

"Saya harap Shila faham, begitu juga dengan bapanya, ini semua bukan datang daripada saya, malah sejak dahulu lagi saya sudah mengaku tiada sebarang hubungan antara saya dan Shila.

"Bagi saya ini hanya salah faham, saya berkawan dengan ramai orang, tetapi kerap dikaitkan dengan Shila, dan ia mula mencetuskan kontroversi.

Awi rafael pulang beraya di Pontian, Johor

"Mungkin dulu saya bercakap main-main, tapi kini setegasnya saya beritahu, tiada apa-apa hubungan antara saya dan Shila sejak dahulu lagi.

"Saya tidak pernah bertemu ND Lala, apatah lagi menegurnya, jadi saya tidak pasti perkara ini benar ataupun tidak. Yang jelas, mungkin mereka salah faham tentang hubungan yang terjalin antara saya dan Shila,"jelas Awi.

Mengakui pernah rapat bersama Shila, Awi Rafael bagaimanapun menafikan mahu menumpang populariti gadis itu di Malaysia ini.

"Saya timbul kerana lagu Pulanglah, bukan kerana gosip bersama Shila, jadi tidak mungkin saya mahu menumpang popularitinya disini.

"Sekarang ini pun saya sedang sibuk mempromosikan single kedua saya, dan selama ini saya bekerja keras untuk menaikkan nama saya sendiri tanpa bergantung pada orang lain,"jelasnya lagi.

Pulang Pontian

Biarpun lahir di Singapura, Awi tetap akan beraya di Pontian, iaitu kampung ibunya.

"Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, saya akan beraya di Pontian terlebih dahulu sebelum pulang ke Singapura. Pontian adalah kampung ibu saya, manakala bapa saya berada di Indonesia,"jelas Awi.

Debu beraya di Turki

Posted: 14 Aug 2011 10:52 PM PDT

Kumpulan muzik berteraskan lagu-lagu keislaman mendapat tawaran yang lebat sepanjang bulan Ramadan ini. Kalau ada majlis yang memerlukan sedikit hiburan, kumpulan nasyidlah yang dilihat sesuai dengan temanya.

Bukan sahaja tawaran mengadakan persembahan di dalam negara, malah mereka juga dapat tawaran mengadakan persembahan di luar negara. Kumpulan nasyid yang dibarisi keluarga, Debu dari Indonesia misalnya hampir sebulan berpuasa di Turki.

Mereka sekarang sedang mengadakan siri persembahan menjelajah Turki sejak minggu kedua Ramadan lalu dan dijangka berakhir sehari selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Semuanya tak menjadi masalah atau mendatangkan kerinduan kerana kumpulan itu dibarisi anggota keluarga mereka. Mereka berasal dari Amerika Syarikat dan dibawa berhijrah ke Indonesia oleh bapa mereka, seorang pendakwah.

"Kami akan berpuasa dan menyambut Hari Lebaran di Turki," kata penyanyi utamanya Mustaffa Daood kepada Mangga Online sehari sebelum mereka berangkat ke sana. Mustaffa memberitahu menerusi khidmat BBM.

Sebelum berangkat ke Turki kumpulan yang baru muncul dengan album baru itu turut bersama-sama menjayakan program Kembali Berdakwah Live di stesen antv bersama-sama artis lain antaranya Rhoma Irama, Ridho Rhoma, Ikke Nurjannah, Nelly Agustine, kumpulan Tabina 186 dan beberapa artis lain.

Akan pasarkan album di Malaysia

Debu juga pernah mendapat tempat di pasaran Malaysia menerusi album mereka yang terdahulu. Mereka juga merancang memasarkan album baru di Malaysia selepas ini.

"Kami memang ada perancangan untuk memasarkan album baru di Malaysia. Tengoklah sama ada memasarkan album yang sama sebagaimana yang sedang dipasarkan di Indonesia ataupun merakam lagu baru khusus untuk pasaran Malaysia.

"Kami mencipta dan menerbitkan sendiri lagu-lagu kami, jadi tak ada masalah untuk menghasilkan album khusus untuk pasaran di Malaysia. Kami lebih senang menghasilkan lagu yang sesuai untuk peminat di tempat album kami di pasarkan," kata Mustaffa.

Meski sudah beberapa tahun album mereka tidak masuk ke Malaysia, namun hakikatnya kumpulan Debu masih sarat dengan aktiviti di negara tempat bereka bertapak, Indonesia serta di negara-negara lain.

Cinta kilat Faezah Elai

Posted: 14 Aug 2011 10:52 PM PDT


HANYA tinggal beberapa minggu sahaja lagi, Faezah Elai akan bergelar isteri.


BARANGKALI pelakon cantik ini boleh menarik nafas lega apabila kisah cintanya dengan pengarah drama, Heykal Hanafiah sudah diketahui umum.

Mungkin hubungan antara Faezah Elai dan Heykal bukanlah satu cerita baru kerana memandangkan sebelum ini, industri hiburan sudah pun digegarkan dengan kisah cinta mereka.

Lebih-lebih lagi apabila Faezah dipersalahkan kerana dikatakan menjadi orang ketiga runtuhnya istana cinta Heykal dengan isterinya.

Biarpun sebelum ini puas menafikan cerita tersebut sehingga mengheretnya ke kancah kontroversi, namun bagi Faezah, dia mempunyai justifikasi sendiri.

Selepas lama mengunci mulut dalam memberikan pengesahan berhubung kisah tersebut, akhirnya dengan penuh terbuka Faezah mengumumkan dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan Heykal.

Mungkin akan ada tanggapan serong dan memandang Faezah dengan penuh sinis gara-gara menjalinkan hubungan dengan seorang duda.

Namun, dia lebih selesa untuk berfikiran positif dan tidak akan melayan sebarang cerita remeh yang cuba hendak memperlekehkan dirinya.

"Kalau ada orang yang masih mahu melabelkan saya dengan pelbagai panggilan negatif hanya kerana saya akan berkahwin dengan duda, saya tidak boleh kata apa.

"Masing-masing ada hak untuk berkata apa sahaja. Tetapi hakikatnya, semua yang telah berlaku, hanya saya dan Allah sahaja yang tahu. Saya tidak boleh menutup mulut semua orang.

"Apa yang pasti, saya bukan perampas suami orang," kata Faezah dalam nada sedikit tegas namun penuh diplomasi sewaktu ditemui usai majlis pelancaran filem Tanda Putera di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Jika tiada aral melintang, majlis pernikahan mereka akan berlangsung pada 9 September ini di Pulau Pinang manakala resepsi pula pada 3 Disember.

Mengulas lanjut tentang kisah cintanya dengan Heykal, Faezah atau nama sebenarnya Noorfaezah Md. Elai memberitahu, bukan dia tidak mahu berkongsi cerita dengan pihak media sebelum ini.

Tetapi, katanya, dia perlu menjaga hati banyak pihak dan menghormati permintaan bakal ibu mertuanya sebelum benar-benar bersedia untuk mengumumkan perkahwinannya.

"Apabila semua perancangan sudah berjalan lancar dan kad perkahwinan kami sudah siap dicetak, barulah ibu Heykal memberi lampu hijau untuk menghebahkan kepada umum.

"Lagipun, selepas apa yang berlaku, adalah lebih baik untuk kami mendiamkan diri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman.

"Ibunya juga ada berkata biarlah saya seorang sahaja yang mengecapi dunia glamor dan biarkan selebihnya berada di kedudukan yang sepatutnya," ujarnya panjang lebar.

Dalam bicaranya pada rembang senja yang cukup dingin itu, dia membuka segala yang terbuku di relung hatinya apabila memperkatakan tentang hubungannya dengan Heykal yang berusia 38 tahun itu.

Dia cukup sedar akan pandangan masyarakat terhadap dirinya yang dikatakan tergamak melukai perasaan kaum sejenisnya sehingga meruntuhkan mahligai cinta demi mengejar cinta seorang lelaki bergelar suami.

Namun bagi aktres yang mula dikenali menerusi filem Otai ini lagi, dia langsung tidak gentar dengan kata-kata nista masyarakat yang dilemparkan kepadanya.

Malah, dengan penuh tegas Faezah menjelaskan, dia hanya mula rapat dengan Heykal selepas lelaki itu bercerai dan bukannya sewaktu dia masih lagi suami orang ketika penggambaran drama bersiri Asmara seperti mana yang heboh diperkatakan.

"Sekali lagi saya ingin katakan, masalah rumah tangga Heykal bukanlah berpunca daripada saya dan perkara yang banyak diperkatakan tentang saya itu juga sebenarnya tidak pernah berlaku.

"Saya sendiri tidak faham mengapa saya yang dijadikan sasaran oleh pihak tertentu sehingga saya dikatakan sebagai perampas walhal ia tidak benar sama sekali.

"Selepas kontroversi itu timbul, saya sendiri mengajak Heykal untuk berjumpa dengan ditemani ibu bapa saya bagi menyelesaikan segala kemelut yang berlaku.

"Mungkin juga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku sehingga menyebabkan kami menjadi semakin rapat. Kami berbicara tentang banyak perkara dan daripada situ, saya mula mengenali hati budinya. Malah, bibit cinta antara kami juga mula terbit ketika itu," jelas wanita berusia 29 tahun ini yang memberitahu dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mengenang segala kisah pahit yang berlaku.

Tambah Faezah yang juga pernah membintangi filem Cun! dan Senjakala ini lagi, hubungannya dengan Heykal sememangnya terjalin dalam masa yang cukup singkat apabila mula rapat sejak bulan Mac lalu.

Barangkali juga dengan pengumuman yang dilakukan oleh Faezah itu membuatkan ramai jejaka bujang di luar sana terpaksa putih mata untuk mendapatkan cinta sejati daripada wanita yang cukup ramah ini.

Faezah turut ditanya tentang keistimewaan Heykal sehingga berjaya membuka hatinya untuk menerima lamaran lelaki yang turut berasal dari Pulau Pinang itu.

"He's more than a man (Dia lebih daripada seorang lelaki). Itu sahaja yang mampu saya katakan tentang Heykal," katanya sambil mengukir senyum yang menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Dayana hiburkan anak yatim

Posted: 14 Aug 2011 10:51 PM PDT


Dayana Amerda menghiburkan anak-anak yatim di majlis berbuka puasa baru-baru ini.


BIARPUN usianya masih lagi mentah, juara Idola Kecil 2, Dayana Amerda menunjukkan rasa prihatinnya apabila meluangkan masa dengan menghiburkan mereka yang kurang bernasib baik.

Walaupun baru berusia 12 tahun, Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd. Amerullah, mampu membuatkan anak-anak yatim dari Mahat Tahfiz al-Quran & Rumah Anak-Anak Yatim Al-Sagaff, Selayang, Selangor terhibur dengan persembahannya.

Mendendangkan lagu dari album sulungnya yang dilancarkan pada Jun lalu, Dayana kelihatan seperti penyanyi profesional.

Bagaimanapun, jelas Dayana, dia sebenarnya terharu apabila diberi peluang untuk bersama meraikan anak-anak yatim berkenaan.

Baginya, dalam menyambut dan meraikan kehadiran Ramadan yang penuh berkat ini, masyarakat tidak seharusnya melupakan mereka yang kurang berkemampuan.

"Saya gembira kerana diberi peluang ini untuk saya bersama-sama meraikan rakan-rakan yang kurang bernasib baik.

"Lagipun adalah lebih bermakna apabila kita dapat menyambut kehadiran Ramadan ini bersama dengan saudara seagama sendiri.

"Selain itu, saya juga rasa ini adalah cara terbaik untuk mendekati mereka agar mereka juga dapat menyambut Ramadan sama seperti kita," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Hotel The Saujana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah anak sulung dari tiga beradik itu lagi, dia teruja apabila diberi peluang untuk bersama menjamu selera menikmati juadah berbuka puasa bersama dengan anak-anak yatim berkenaan.

"Bukan selalu dapat bersama dengan mereka dan saya bertuah kerana diberi peluang ini. Saya harap selepas ini mereka akan diundang lagi," jelasnya.

Pengurus Keselamatan hotel berkenaan, Hamidun Ismail berkata, aktiviti meraikan anak-anak yatim itu telah menjadi acara tahunan Hotel The Saujana dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial.

Tambahnya, setiap tahun di bulan Ramadan, pihaknya akan membawa anak-anak yang kurang bernasib baik untuk bersama menyambut bulan yang penuh berkat itu.

"Rutin ini sememangnya telah menjadi aktiviti tahunan kami di mana kami akan mencari rumah-rumah anak yatim yang memenuhi kriteria yang telah ditentukan.

"Oleh itu, apabila berjumpa rumah kebajikan yang menepati apa yang kami gariskan, mereka akan kami bawa untuk bersama menikmati juadah berbuka di hotel.

"Selain daripada itu, kami juga akan menghulurkan bantuan mengikut keperluan mereka agar dapat meringankan kesusahan yang mereka tanggung," katanya.

Tambah Hamidun, majlis itu sepatutnya turut dihadiri oleh penyanyi popular tanah air, Fauziah Latiff atau Jee.

"Mengikut perancangan awal, Jee dan Dayana akan berkongsi pentas untuk menghiburkan anak-anak yatim ini.

"Bagaimanapun, di saat akhir, Jee tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Walau apa pun kami bersyukur kerana apa yang kami rancang tetap berjalan dengan baik dan anak-anak ini dapat diraikan," ujarnya.

Sahur, berbuka dalam gelap

Posted: 14 Aug 2011 10:50 PM PDT


Zizan dan Hani sememangnya menginginkan zuriat.


INGATKAN masa bersahur sahaja elektrik tiada, rupa-rupanya berbuka pun dalam gelap juga." Itulah kata yang terucap apabila Zizan Nin menceritakan pengalamannya berpuasa pada hari pertama tahun ini kepada Hits baru-baru ini.

Menurut Zizan, pengalaman berpuasa di rumah mertuanya di Ampang gara-gara bekalan elektrik terputus, pastinya akan sentiasa menjadi kenangan dia dan isterinya, Fazilah Hani Harun, setiap kali Ramadan tiba.

Selain itu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini juga sangat berharap akan dapat menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

"Saya dan isteri sedang berusaha ke arah itu. Saya tidak nafikan, ketika ini kami agak sibuk dengan karier masing-masing.

"Jadi, jika tiada halangan, kami akan berbulan madu ke Vietnam atau Kemboja pada bulan Oktober ini," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Aquila Emas ditemani isterinya di Hotel Federal Kuala Lumpur.

Kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi juga bakal membuka lembaran kepadanya apabila Zizan bakal memperkenalkan label baju Melayu menggunakan namanya sendiri.

"Buat masa sekarang, saya akan letakkan 30helai baju Melayu di butik K-Maria, di Kota Damansara.

"Harga yang ditawarkan pula sekitar RM220 hingga RM300," ujarnya sambil tersenyum.

Pelakon yang baru selesai menjalani penggambaran filem Tanda Putera ini juga sempat berkongsi pengalamannya beraya ketika menuntut di Universiti De Monfort, Leicester, England dalam jurusan perniagaan dan kewangan.

"Seingat saya, kejadian itu berlaku pada pagi raya pertama ketika saya masih belajar di tahun akhir pada tahun 1987.

"Pagi itu kami memasak sambil bergembira menyambut raya tetapi tiba-tiba kami terbau hangit. Rupa-rupanya dapur rumah kami terbakar.

"Kelam kabut jadinya apabila tengok dapur sudah terbakar sehinggakan penggera keselamatan pun berbunyi. Jiran-jiran pun bising disebabkan perkara itu," cerita Zizan sambil ketawa kecil tatkala menyingkap nostalgia beraya di luar negara.

Frank Welker pelakon terkaya di dunia

Posted: 14 Aug 2011 10:50 PM PDT




LOS ANGELES 14 Ogos - Frank Welker (gambar) mungkin tidak dikenali ramai tetapi dia merupakan pelakon yang meraih pendapatan tertinggi di Hollywood sejak 1980 berjumlah AS$6 bilion (RM18 bilion) melalui 95 buah filem, lapor akhbar The Guardian.

Welker berjaya mengenepikan pelakon hebat, Samuel L. Jackson yang memperolehi AS$5.2 bilion (RM15.6 bilion) daripada 85 buah filem yang dibintanginya.

Tom Hanks pula berada di tempat ketiga apabila meraih pendapatan sebanyak AS$4.4 bilion (RM13.2 bilion) untuk 44 buah filem lakonannya.

Walaupun kurang dikenali, Welker sebenarnya adalah orang penting dalam industri perfileman Hollywood kerana dia merupakan penyumbang suara untuk pelbagai watak dalam filem-filem Hollywood.

Terbaru, Welker menyumbang suara bagi watak kucing Azrael di dalam filem Smurf dan turut menyumbang suara bagi keenam-enam penguin di dalam filem Mr. Popper's Penguins.

Antara watak yang paling terkenal pernah dibawanya menggunakan suaranya ialah bagi watak Megatron dan Soundwave dalam filem-filem Transformers.

Dia turut menyumbang suara bagi watak Fred dan Scooby dalam filem dan drama Scooby-Doo serta pelbagai watak lain di dalam dunia hiburan Hollywood.

Cara kerjanya yang profesional mampu menyampaikan setiap watak seperti yang dimahukan oleh pengarah tanpa perlu mengulang rakaman banyak kali membuatkan dia digelar raja penyumbang suara.

Coldplay edar album baru

Posted: 14 Aug 2011 10:49 PM PDT




NEW YORK 14 Ogos - Kumpulan rock Britain, Coldplay akan mula mengedarkan album studio kelima mereka mulai 25 Oktober ini di Amerika Syarikat (AS) diikuti di negara-negara lain keesokan harinya.

Kumpulan tersebut mendedahkan di dalam laman web rasmi mereka bahawa kulit album itu bercorak seni pop grafiti dan berjudul, Mylo Xyloto tetapi tidak menerangkan maksud tajuk album itu.

Single terbaru album itu, September, akan mula didengarkan pada 12 September ini sesudah lagu Every Teardrop Is A Waterfall yang dikeluarkan pada Jun yang lalu.

Penyanyi utama, Chris Martin memberitahu Billboard, album yang diterbitkan bersama Brian Eno itu amat berbeza dengan muzik-muzik masa kini.

"Saya rasa banyak lagi yang perlu kami buktikan kepada diri sendiri.

"Tiada sebab untuk tidak meneruskan cubaan kami itu," katanya.

Album kelima kumpulan Coldplay yang akan dikeluarkan dalam format digital, CD dan vinil itu merupakan susulan kepada album mereka sebelum itu pada 2008, Viva La Vida yang berjya dijual sebanyak 2.8 juta unit di AS.

Tidak mahu gelojoh

Posted: 14 Aug 2011 10:46 PM PDT

  • Foto

  • Foto

Kemampuan Mas kian dihargai penerbit, pengarah

SEBENARNYA kita ramai bakat baru dan muda yang diketengahkan oleh syarikat penerbitan drama atau filem.
Sebahagian besar daripada mereka cukup bertuah kerana mendapat pendedahan dan publisiti sewajarnya daripada media. Ini untuk memastikan kehadiran bakat muda ini boleh digilap dan seterusnya memberikan hasil terbaik.
Jika dulu rumah saya tidak dikunjungi peminat, kini sebaik raya menjelang adalah juga peminat yang menjengah untuk beraya bersama. - Mas Muharni, pelakon.
Menariknya mereka hadir dengan latar belakang pendidikan berbeza. Kesedaran terhadap pentingnya pendidikan membuatkan artis baru hari ini mampu seimbangkan antara kerjaya seni dengan pelajaran.

Seorang daripada bakat baru yang yang mempunyai pakej tersendiri ditambah pula mempunyai pendidikan dalam seni persembahan menjadi bonus untuk gadis yang punyai nama indah, Mas Normuharni Sheikhah Mohd Satar dalam menghayun langkah seninya sebaik mungkin.

Kehadiran Ramadan yang suci ini juga membawa rahmat kepada gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini apabila rezeki pada bulan puasa menjengah pintu kerjayanya sebagai pelakon.

Lebih dikenali sebagai Mas Muharni, gadis berusia 25 tahun disunting oleh Profesor Dr Hatta Azad Khan untuk digandingkan dengan Zul Huzaimy dalam filem Wayang.
Selepas itu, dia dilamar oleh Ahmad Idham untuk beraksi dalam filem Jangan Pandang Belakang. Begitu juga dengan filem Mantra.

Kini, dia perlahan-lahan membina nama sebagai bintang TV pula menerusi kemunculannya dalam deretan drama atau telefilem.

Publisiti dan cerita glamor mengenai Mas Muharni tidak sehebat beberapa bintang baru yang lebih cantik, tetapi bakat mereka belum benar-benar diuji.

Namun, mas Muharni pula dianggap agak bertuah kerana dia sering diberikan peranan utama yang selalunya agak berat dan mencabar kemampuan sebenar dirinya.

Ini jelas sekali, karyawan seni seperti produser dan pengarah sudah membuka mata untuk benar-benar melihat kelebihan yang ada pada empunya diri yang lebih selesa dipanggil Mas.

"Saya baru menjalani penggambaran telefilem Sujudku Di Sejadah. Saya membawakan watak wanita bertudung yang berperwatakan baik.

"Malangnya saya ditipu dan akhirnya menjadi seorang pelacur dan watak yang dibawakan ini memang berat juga untuk dibawa. Drama ini memerlukan penghayatan yang tinggi. Saya kena banyak menangis untuk menjiwai karakter Khatijah atau Khaty, anak kepada seorang wanita yang bongkak," katanya.

Istimewanya, telefilem menarik ini turut membariskan pelakon berpengalaman dan berbakat besar Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Razali Hussain.
Hakikatnya, Mas mengakui telefilem Sujud Di Sejadah ini adalah drama lakonannya yang paling mencabar setakat ini.

Katanya, bagi menjiwai watak sebagai wanita yang sudah ternoda, Mas membuat rujukan dengan menonton lakonan Lisdawati dalam drama Anak-Anak Lorong yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Dilahirkan pada tahun 1986, Mas juga memberitahu, sebagai pelakon, dia perlu menerima semua watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan misinya adalah memberikan yang terbaik supaya ia menjadi seperti yang dikehendaki pengarah.

Kena bijak main emosi

Berlakon drama yang berkisarkan kehidupan hitam seorang wanita, Mas mengakui dia perlu bijak bermain dengan emosi dalaman dan berhadapan dengan tekanan perasaan yang dialami watak sebaik mungkin.

"Sebagai pelakon yang masih baru, ada juga rasa gugup ketika berlakon dengan Fauziah Nawi yang menjadi ibu Khaty, tetapi apabila sudah biasa saya akhirnya mendapat apa yang diperlukan bagi melengkapi antara satu sama lain," kata Mas.

Selain Sujudku Di Sejadah, Mas Muharni juga muncul dalam drama Siti Mariam untuk stesen TV Al-Hijrah dengan membawa watak gadis kampung yang bekerja sebagai penoreh getah bernama Rohani.

"Dalam drama ini saya turut berlakon bersama Yatt Hamzah dan sempena Ramadan ini saya berlakon sebagai anak yang kehilangan ayah berjudul Kelong Kasih yang akan disiarkan pada 28 Ogos nanti," katanya.

Drama lain yang menjadi rezekinya adalah watak pembantu dalam drama Suara Banduan dan Rebah Di Hujung Taubat arahan Feroz Khan sambil memberitahu Ramadan yang membuka tirainya kali ini cukup bermakna kepada kerjaya seninya dan dia begitu sibuk dengan beberapa penggambaran telefilem dan drama bersiri pada Ramadan ini.

Kisah Syawal Mas sama seperti kisah insan lain apabila menggunakan saat yang dinanti itu sebaik mungkin bersama keluarga tersayang dan sempena Syawal yang menjelang tiba, dia tidak terkecuali membuat persiapan diri dan membeli pakaian raya.

Seperti biasa saya akan pulang ke Kedah. Sudah menjadi kebiasaan bagi kami berkumpul di pagi raya dan menghidangkan juadah seperti ketupat, rendang dan kuih-muih selain bersalam-salaman pada pagi istimewa itu," katanya.

Sudah hampir empat tahun beraya sebagai artis, Mas Muharni berkata, selepas bergelar artis sambutan rayanya agak berbeza daripada Syawal sebelumnya.

"Jika dulu rumah saya tidak dikunjungi peminat, kini sebaik raya menjelang adalah juga peminat yang menjengah untuk beraya bersama. Kanak-kanak pun ada yang mahu datang beraya dan seperti biasa saya sediakan duit raya untuk mereka," katanya.

Antara hidangan yang paling digemari adalah ketupat palas dan rendang daging yang dihidangkan keluarganya.

"Saya tidak masak, tetapi selalu ditugaskan menjaga anak buah ketika ibu berada di dapur menyediakan hidangan untuk kami sekeluarga dan ia pengalaman yang cukup menyeronokkan

LTAT bakal tawar minimum RM5.20

Posted: 14 Aug 2011 10:45 PM PDT

ESSO dan Mobil mempunyai 560 stesen di seluruh negara.
ESSO dan Mobil mempunyai 560 stesen di seluruh negara.
Ambil alih mantap operasi ESSO

LEMBAGA Tabung Amanah Tentera (LTAT) dijangka mengemukakan cadangan tawaran pembelian 65 peratus ekuiti dalam ESSO Malaysia Bhd pada harga sekurang-kurangnya RM5.20 sesaham atau secara keseluruhannya bernilai hampir RM1 bilion.
Sumber industri berkata, cadangan pengambilalihan ekuiti anak syarikat gergasi minyak dan gas berpangkalan di Amerika Syarikat, Exxonmobil International Holdings Inc (ExxonMobil) dibuat untuk memantapkan lagi operasi peruncitan minyak dalam kumpulan LTAT, yang kini dikendalikan oleh Boustead Holdings Bhd (Boustead) menerusi rangkaian BHPetrol (BHP).
Harga minimum tawaran iaitu RM5.20 sesaham itu juga adalah kira-kira 23 peratus lebih tinggi daripada harga penutup kaunter ESSO Malaysia di Bursa Malaysia pada Jumaat lalu iaitu RM4.23 sesaham.

Pegawai sebuah bank pelaburan berkata, mengikut skim urus niaga yang kompleks itu, LTAT akan membeli kepentingan berkenaan daripada ExxonMobil, syarikat gergasi minyak dan gas berpangkalan di Amerika Syarikat.

LTAT kemudian akan menjual semula loji penapisan ESSO kepada ExxonMobil dan menggunakan pendapatan daripada jualan itu untuk membuat pembayaran dividen khas.

"Janji niaga itu dirumus sedemikian untuk membolehkan Exxon Mobil keluar daripada perniagaan peruncitan petroleum tetapi kekal dalam perniagaan lain termasuk penapisan minyak," kata pegawai itu lagi.
Pada April lalu, Boustead, yang dikuasai LTAT, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata kumpulan itu tidak menolak sebarang kemungkinan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) mana-mana syarikat sektor minyak dan gas.

Konglomerat itu berkata, langkah itu akan dipertimbangkan jika ia dapat mencipta peluang pertumbuhan baru asalkan pada harga dan syarat yang wajar.

Bagaimanapun, Berita Harian difahamkan, cadangan urus niaga itu, pada peringkat ini, tidak akan membabitkan Boustead kerana dibuat pada peringkat LTAT.

Ia susulan proses urus niaga yang agak kompleks yang perlu dilaksanakan kerana ExxonMobil hanya mahu menjual rangkaian stesen minyak di negara ini, namun sebaliknya berhasrat meningkatkan segmen pelaburan lain dalam aktiviti minyak dan gas di Malaysia.

Januari lalu, ExxonMobil mengumumkan akan membelanjakan sehingga RM10 bilion untuk menaik taraf dan membina kemudahan dan loji minyak dan gas di negara ini.

"Pelaburan Exxon Mobil akan mewujudkan bekalan tambahan dalam sektor tenaga dan perindustrian Malaysia sekali gus akan merangsang pertumbuhan organik dalam sektor gas asli," kata Pengarah Sistem Tenaga dan Kuasa di Frost & Sullivan, Subramananya Bettadapura.

Perbelanjaan modal Exxon Mobil dalam sektor minyak dan gas itu juga merangkumi projek yang sudah dilaksanakan sebelum ini termasuk Projek Pembangunan Telok, di luar pesisir Sarawak.

Berita Harian difahamkan cadang pengambilalihan kepentingan dalam ESSO Malaysia itu juga sudah mendapat restu kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan berharap syarikat tempatan dipilih menguasai ESSO yang mahu keluar daripada perniagaan runcit petroleum di negara ini.

ESSO Malaysia menerusi rangkaian stesen minyak ESSO dan Mobil mempunyai 560 stesen di seluruh negara, jauh mengekori dua pengendali stesen minyak utama tempatan iaitu Shell dan PETRONAS dengan masing-masing memiliki lebih 900 stesen.

Sementara itu, Boustead, yang sebelum ini mengambil alih stesen British Petroleum (BP) di negara ini, setakat ini memiliki 330 stesen minyak.

Pancing wang derma masjid

Posted: 14 Aug 2011 10:42 PM PDT

  • Foto

    HASHIM menunjukkan tabung masjid yang menjadi sasaran pencuri.

  • Foto

    Gambar CCTV suspek yang dipercayai mencuri wang dalam tabung Masjid Taman Perling.

Tabung Ramadan sumbangan jemaah jadi sasaran pencuri

JOHOR BAHRU: Tabung Sedekah Ramadan di Masjid Taman Perling di sini, tidak terkecuali daripada menjadi sasaran mudah pencuri yang tergamak cuba memecahkan peti berisi wang tunai hasil sumbangan jemaah itu.
Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat lalu, dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ketika cuba memecahkan sebuah daripada lebih 10 peti sumbangan yang ditempatkan di sekitar masjid.
Kehadiran mereka yang mencurigakan itu apabila tergamak memasuki masjid dengan memakai kasut, disedari beberapa anggota polis yang kebetulan singgah di sebuah gerai burger berdekatan. Langkah anggota polis mendekati untuk membuat pemeriksaan menyebabkan dua pemuda itu melarikan diri.

Namun tindakan mereka lari secara meninggalkan sebuah motosikal di laman masjid itu menyebabkan seorang daripada suspek berhasil ditahan polis kelmarin selepas mengesan berdasarkan nombor pendaftaran, manakala seorang lagi rakan suspek sedang diburu.

Usaha pencuri melarikan wang daripada tabung masjid berkenaan bukan baru, sebaliknya sudah dua kali berlaku tahun ini iaitu pada Mei dan Jun lalu yang turut dirakam menerusi CCTV yang dipasang.

Selain cuba memecah mangga kunci, ada di antara pencuri terbabit menggunakan taktik memancing secara melekatkan gam pada hujung lidi penyapu sebelum dihulurkan ke dalam tabung berkenaan dengan harapan dapat melekatkan wang kertas di dalamnya.
Setiausaha Masjid Taman Perling, Hashim Sulaiman, berkata beliau tidak menyangka penjenayah sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang tanpa mengira hukum agama.

"Kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, adalah kes ketiga tabung masjid dipecahkan tahun ini. Ia dipercayai dilakukan selepas waktu solat Isyak hingga Subuh kerana ketika tiada jemaah dalam masjid.

"Sebelum ini ada pencuri menggunakan taktik pancing dengan membalut gam pada hujung lidi penyapu dan mengambil wang derma tanpa memecahkan tabung berkenaan.
"Walaupun jumlah yang mampu diperoleh mereka tidak seberapa, tetapi ia memberi kesan kepada kami selaku ahli jawatankuasa masjid kerana wang itu sumbangan orang ramai untuk tujuan baik, tetapi disalah guna pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui semalam.

Hashim berkata, pencuri dipercayai mengambil kesempatan terhadap kelonggaran keselamatan masjid terbabit yang tidak berkunci pada waktu malam untuk melakukan jenayah.

"Ruang masjid ini tidak berkunci kerana kami mahu memberi kemudahan kepada musafir yang ingin menumpang pada waktu malam. Namun, ada individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kelonggaran ini," katanya.

Hashim berkata, selain memasang enam CCTV di sekitar kawasan masjid terbabit, pihaknya akan berusaha meningkatkan lagi rondaan kawasan sekitarnya pada sebelah malam dan awal pagi dalam usaha mengelak kejadian berulang.

CGC prihatin, rai golongan OKU

Posted: 14 Aug 2011 10:41 PM PDT



Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) penjamin kredit bagi perusahaan kecil dan sederhana, menyambut ketibaan Ramadan dengan menjadi tuan rumah meraikan golongan orang kelainan upaya (OKU) dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puncak Jalinan Kasih, Batang Kali, Selangor.

Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, program begini telah menjadi tradisi CGC iaitu berbuka puasa dan solat jemaah bersama golongan kurang bernasib baik.

"Acara tahunan majlis berbuka puasa ini memberi peluang kami meluangkan masa dengan golongan kurang bernasib baik dan membantu menanam kesedaran terhadap tanggungjawab kami kepada insan memerlukan.

"Kami harap sumbangan tidak seberapa ini dapat mengurangkan beban mereka dan mendatangkan keceriaan pada musim perayaan ini," katanya.

Di samping menyediakan majlis makan malam dan moreh, CGC turut memberi sumbangan tunai berjumlah RM8,300 kepada badan Pemulihan Dalam Komuniti, Puncak Jalinan Kasih yang diperoleh daripada sumbangan ikhlas syarikat dan juga warga kerja CGC.

Majlis penyerahan cek disempurnakan oleh Wan Azhar sendiri dengan menyerahkannya kepada Pengerusi, Puncak Jalinan Kasih, Othman Said.

KPTM KL lancar program YES

Posted: 14 Aug 2011 10:41 PM PDT



Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuala Lumpur melancarkan pusat inkubator atau kiosk usahawan Young Entrepreneur Square (YES), bertujuan mewujudkan persekitaran usahawan dalam kalangan warga KPTM khususnya penuntut.

Projek yang dilaksanakan awal Julai lalu, adalah program usaha sama antara Hal Ehwal Pelajar dan Hal Ehwal Akademi KPTM KL yang dapat membuka peluang kepada penuntut dalam usaha memberi pendedahan terhadap bidang keusahawanan.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihak KPTM menetapkan keusahawanan sebagai salah satu Pelan Strategik KPTM 2011 hingga 2015 di mana ia menyasarkan 10 peratus graduan yang tamat pengajian akan menjadi usahawan.

"Antara pendekatan dan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri penuntut di KPTM ini adalah untuk menerapkan unsur-unsur keusahawanan.

"Jika unsur itu ada dalam diri ia akan menjadi nilai tambah kepada seseorang itu apabila keluar kelak," katanya pada majlis pelancaran Program YES di Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Mohd Rosdi Ismail; Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn BHd, Datuk Ameer Ali Mydin; dan Pengasas Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Yunus.

Sohaimi berharap selepas pelancaran program ini, kegiatan usahawan akan menjadi lebih rancak dan lebih ramai penuntut menunjukkan minat untuk menceburi bidang perniagaan di dalam mahupun di luar kolej.

Sementara itu, pusat inkubator ini akan bertindak sebagai pusat sehenti untuk mengkoordinasi kegiatan inkubator seluruh KPTM di samping menjadi pusat pembayaran bil utiliti dan bil telekomunikasi selain kemudahan jualan produk telekomunikasi daripada syarikat Telco Malaysia terpilih.

Maybank TreatsFair catat rekod sendiri

Posted: 14 Aug 2011 10:38 PM PDT



Maybank TreatsFair 2011, ekspo tebus mata ganjaran terbesar negara, mencatat rekod tersendiri apabila menyaksikan penebusan mata ganjaran, melebihi 1 bilion sepanjang tempoh berlangsung 21 hingga 24 Julai lalu.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Bahagian Kad, Kekayaan dan Pembayaran Maybank, B Ravintharan berkata, ekspo kali ketujuh itu, menyaksikan jumlah penebusan mata ganjaran meningkat lebih 30 peratus kepada 1.05 bilion berbanding hanya 798,000 mata ditebus pada penganjuran sama tahun lalu.

"Maybank TreatsFair 2011 mendapat maklum balas menggalakkan daripada pelanggan dan ini membuktikan program ini semakin popular di kalangan pemegang kad Maybank, sambutan diberikan ini lebih hebat daripada apa yang kami sasarkan," katanya.

Menurutnya, penganjuran TreatsFair 2011 bukan sahaja berjaya menarik lebih ramai pengunjung dan meningkat 25 peratus berbanding tahun lalu.

Sepanjang acara itu juga, lebih 1,500 kad baru didaftarkan meningkat kepada 48 peratus dan 1,502 penukaran kad Visa debit baru diterima, naik sebanyak 87 peratus.

Fida jawab isu peluk dan cinta Mamat

Posted: 14 Aug 2011 10:37 PM PDT



KEBIASAANNYA artis yang menutup aurat jarang dilihat tampil di dalam kaca televisyen melakukan adegan berpelukan mahupun berpegangan tangan. Namun, bagi pendatang baru industri lakonan, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk sejak awal dia memasuki industri ini beberapa tahun lalu.

Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3.

Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi.

"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat sedih.

"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami berpelukan, namun pada hakikatnya tidak. Tapi bila perkara-perkara sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpuri itu yang mengatakan semua ini dipelajari dari kesilapan lalu.

Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah. Katanya, sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah.

Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur beberapa kali dan pernah juga dimarahi.


FIDA dan Mamat sudah berkawan rapat sejak enam bulan lalu.


Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu tidak memeluknya erat.

"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa.

"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas," jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.

Apa yang pasti, jika pernah mengenali dan berjumpa dengan juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini, dia agak terbuka jika dibanding dengan aktres muda muslimah yang lain. Fida tidak kisah untuk bersalaman dan bergambar rapat bersama lelaki.

Menjawab persoalan tersebut, Fida yang ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini menjelaskan, pada pendapat dirinya, apabila seseorang menghulurkan tangan untuk bersalaman, jika kita menolak ia ibarat mengaibkan lelaki itu di hadapan orang ramai yang terlihat.

"Memang perkara seperti itu tidak patut berlaku, namun bagi pendapat Fida, banyak lagi perkara lain yang kita perlu ikut dan rasanya ini bukanlah perkara besar.

"Ini kerana, banyak lagi perkara berat yang kita perlu dititikberatkan. Cuma, jika perkara sebegini berlaku, janganlah kita terlalu ingin menjaga maruah dan tatasusila sehingga mengaibkan orang lain," ujar Fida jujur mengakui perkara yang dilakukannya.


FIDA dan Mamat kelihatan intim sepanjang rakaman program Melodi Raya baru-baru ini.


Serius dengan Mamat

Cerita cinta Fida dan Mamat dari Kumpulan Sepah bukanlah perkara baharu yang perlu disorokkan lagi. Walaupun begitu, kisah percintaan mereka masih kabur dan tidak begitu jelas memandangkan kedua-duanya tidak memberikan jawapan yang pasti sebelum ini dan hanya gambar dan khabar angin yang tersiar dalam laman web.

Namun, baru-baru ini, Mamat sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia mahu merisik Fida untuk dijadikan isteri. Namun, bagi Fida, seperti perjalanan kariernya yang masih baharu, begitu juga perhubungannya bersama Mamat.

Ujarnya, tempoh enam bulan merupakan tempoh yang masih segar dalam sesebuah perhubungan dan mereka berdua telah mengambil kata sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.

"Saya akui dia lelaki yang paling rapat dengan saya setakat ini. Tapi kami ingin kenal dengan lebih dekat lagi. Fida tertarik dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh Mamat.

"Oleh itu, Fida beri peluang kepada dirinya dan diri Fida sendiri ruang untuk mengenali diri masing-masing. Sebelum ini juga, Fida tidak pernah dikaitkan dengan sesiapa," tutur Fida sambil tersenyum manis saat berbicara mengenai kisah cintanya.

Katanya dia tertarik dengan Mamat kerana walaupun perangainya yang mungkin gila-gila, namun dia punyai satu bahagian lain yang menampilkan ciri-ciri kemelayuan.

Diambil sebagai contoh, semasa membuat promosi filem terbaharu mereka, Fida tertarik dengan tandatangan yang diturunkan oleh Mamat yang dtulis dalam tulisan jawi. Pertama kali terlihat seorang artis berbuat begitu, hatinya terus terpaut meminati jejaka tinggi lampai itu.

Ana Dahlia, Nazri menuju bahagia

Posted: 14 Aug 2011 10:36 PM PDT


ANA DAHLIA dan Nazri mengaku serasi bersama selepas mereka diperkenalkan oleh adik Nazri iaitu Serina yang merupakan teman baik Ana.


HADIR sedondon memakai busana Melayu berwarna biru, jalan beriringan dan duduk bersama dengan keletah cukup mesra sewaktu hadir ke rakaman Melodi Raya 2011 pada minggu lalu, ia tidak dapat menyembunyikan getar cinta antara pelakon Ana Dahlia dengan Chef Nazri.

Walaupun tidak menterjemah ia secara terang-terangan, namun bahasa tubuh dan keintiman mereka telah menjawab segalanya.

Sewaktu ditemu bual, Ana asyik tertawa sementara Nazri yang merupakan anak chef tersohor Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan juga tersenyum lebar.

Sesekali mereka berlaga jawapan yang diberikan, mungkin tidak menduga akan 'ditembak' dengan soalan-soalan tentang hubungan mereka.

Misalnya menjawab soalan tentang adakah Nazri sudah pernah bertemu keluarga Ana, pelakon itu menggeleng, sementara Nazri secara spontan terus memberitahu dia pernah bertemu keluarga Ana.

Pertembungan beberapa jawapan akhirnya membuat pasangan tersebut membuka serba sedikit kisah cinta mereka yang baru ingin bermula.

Akui Ana yang namanya melonjak naik selepas menjadi finalis program realiti televisyen Pilih Kasih, dia dan Nazri kini akrab dan sedang dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Hubungan mereka juga baru melewati usia enam bulan dan ada banyak keserasian yang perlu dipupuk bersama agar ia menjadi benih cinta yang boleh disemai sehingga mereka bersatu.

"Selain sedang mengenali hati budi masing-masing, kami juga sebenarnya mempunyai minat yang sama. Saya suka memasak, dia pula suka makan, dan kadang-kadang dia memasak, saya pula yang makan," ujar Nazri pula sambil Ana di sebelah mengangguk setuju.


ANA DAHLIA sedang membuka hatinya kepada anak Chef Wan, Chef Nazri.


Tambah Nazri lagi, perkenalan mereka terjadi secara tidak sengaja yang dibuka oleh adiknya, Serina. Entah macam mana, hatinya terus terpaut untuk mengenali Ana. Bagi chef muda tersebut, Ana memiliki ciri-ciri keibuan yang sangat tebal selain lembut dan ceria.

Memberitahu Ana adalah wanita kedua yang dibawa bertemu bapanya, sambil ketawa Nazri berkata: "Papa berkenan dengan Ana. Saya lagilah berkenan."

Diusik jika sudah berkenan mengapa perlu menunggu lebih lama, Nazri hanya tersenyum sementara Ana kelihatan malu-malu.

Ia kemudian disambut Ana: "Kami rasa tak salah untuk kami terus berkawan dahulu dan mengenali hati budi masing-masing.

"Jika ada jodoh di bulan baik ini, apa salahnya. Nazri adalah seorang pendengar yang setia dan lelaki yang baik."

Bercerita tentang proses cinta mereka, kata pasangan itu, kesibukan kerja masing-masing membataskan mereka untuk selalu bertemu.

Justeru, mereka menggunakan kecanggihan teknologi masa kini untuk terus saling berhubung dan jika mempunyai masa terluang, mereka akan bertemu untuk keluar makan bersama.

Ditanya tentang kebarangkalian mereka akan saling mengunjungi kediaman keluarga masing-masing sempena Syawal nanti, ujar Ana dan Nazri, ia belum diputuskan lagi. Jika punya kesempatan, Nazri tidak menolak untuk menziarahi Ana di kampungnya di Taiping, Perak.

Sementara itu, Ana memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah komedi berjudul Pusing Raya pada Syawal nanti.

"Sekarang ini saya sedang sibuk dengan penggambaran Periuk Hangus dan selepas Aidilfitri nanti saya akan kembali ke lokasi untuk menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Metro Skuad," katanya yang bersyukur rezeki berlakon masih tidak putus buatnya.

Cinta songsang Lambert-Koskinen

Posted: 14 Aug 2011 10:35 PM PDT


ADAM LAMBERT bersama kekasihnya, Sauli Koskinen.


CUKUP terkenal sebagai seorang penyanyi yang lahir dari program realiti televisyen American Idol, Adam Lambert baru-baru ini membuat kenyataan bahawa dia kadang kala berhadapan dengan masalah mengenai orientasi seksnya.

Mengaku dirinya gay, bagaimanapun ujar Lambert, ia adalah kenyataan yang paling sukar diterima apabila dia menyedari berminat dengan kaum sejenis pada usia yang masih muda.

Ia kemudian bertambah sukar apabila dia tiba-tiba popular dan kebanyakan media lebih membahas tentang isu orientasi seksnya berbanding kerjayanya.

"Sesekali saya terasa ia (isu gay) agak menarik apabila ramai yang mahu mengambil tahu tentangnya. Mereka seperti teruja dengan orientasi seks saya.

"Kadang-kadang saya berasa lucu apabila ada media dan beberapa pihak yang cuba mensensasikan isu saya, tapi saya faham bahawa ini adalah sebahagian daripada dunia hiburan," ujarnya kepada OK! Weekly.

Ujarnya lagi, dia memahami sebagai seorang selebriti, seluruh kehidupannya akan terdedah, bagaimanapun dia seboleh mungkin mahu menjalani percintaan dengan pasangannya, Sauli Koskinen dengan sederhana dan tidak mendapat publisiti meluas.

"Saya sedang enak dilamun cinta dan itu cukup membahagiakan saya. Dalam masa yang sama, cinta banyak membantu saya melahirkan karya yang lebih baik," katanya kepada tabloid tersebut.

Jual martabak, kuih 10 biji RM1

Posted: 14 Aug 2011 10:33 PM PDT


SHAHIDA Abdullah (kanan) melayan pelanggan yang mahu membeli martabak di gerai bapanya di bazar Ramadan Stadium Darulaman, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kebiasaan- nya kuih-muih dijual pada harga RM1 untuk tiga biji manakala martabak pula dijual RM2 untuk satu keping di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini.

Berbeza dengan bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darulaman di sini, orang ramai sekitar bandar raya ini berpeluang menikmati pelbagai jenis kuihmuih seperti karipap, masalodeh, keria, buah melaka, cucur jagung dan cucur badak yang dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.

Nurhayati Ahmad, 49, yang berniaga di bazar Ramadan itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia menjual kuih-muih bersaiz mini pada harga RM1 untuk 10 biji sepertimana arwah ayahnya lakukan dahulu.

"Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak berniaga perlu bagi orang puas hati, buat kuih mesti kena sedap dan jangan terlalu memikirkan keuntungan sahaja," katanya kepada Bernama.

Nurhayati berkata, walaupun sekarang harga bahan mentah sudah naik, tetapi dia tetap mengekalkan harga RM1 itu walaupun keuntungan yang dia dapat tidak semewah dahulu.

"Saya rasa puas jika semua kuih yang saya jual itu habis dan mereka (pembeli) yang beli kuih saya akan datang lagi pada hari lain dan itu menunjukkan mereka puas hati dengan kuih yang saya jual," kata Nurhayati yang dibantu oleh anak serta menantu.

Dua bulan tiada air

Posted: 14 Aug 2011 10:32 PM PDT


YOKE LAN (tengah) dan Su Kuan menunjukkan masalah bekalan air yang dihadapi sambil diperhatikan oleh Nadchatiram di Taman Taynton, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Sejak siap dibina enam tahun lalu, penduduk di 38 unit rumah di Taman Taynton, Cheras terpaksa bergantung kepada air yang dibekalkan oleh pemaju gara-gara ketiadaan sijil layak menduduki (CF).

Nasib mereka bertambah malang apabila bekalan tersebut dipotong oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) selepas pemaju didakwa membekalkan air secara tidak sah dan gagal menjelaskan bil air menyebabkan penduduk terputus bekalan sejak dua bulan lalu.

Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Cheras, John Hon Su Kuan, berkata, akibat masalah itu, kira-kira 190 orang penduduk hidup dalam kesulitan dan terpaksa mengharap bekalan dari rumah jiran di fasa perumahan lama.

"Syabas dikatakan terpaksa memotong bekalan air kerana pemaju juga gagal menjelaskan bil air tertunggak yang mencecah RM8,000," katanya pada sidang akhbar yang dihadiri 20 orang penduduk di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Yeoh Lee King, 52, kecewa dengan tindakan pemaju yang seolah-olah memperdaya penduduk dan melewat-lewatkan permohonan mendapatkan CF.

5,000 penghuni PPR dibantu

Posted: 14 Aug 2011 10:31 PM PDT


RAJA NONG CHIK (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Mohd. Ramli di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 keluarga yang menyewa di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Lembah Pantai di sini bakal menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan di bawah Program 1Sumbangan 1Keluarga.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, program tersebut bertujuan untuk meringankan beban penduduk terbabit dalam menghadapi tekanan kenaikan harga barang terutamanya makanan.

"Diharap sumbangan yang sedikit ini akan memberi manfaat kepada mereka dalam menghadapi kenaikan harga barang terutamanya kepada umat Islam dalam menghadapi sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya di sini semalam.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 500 keluarga di flat PPR Sri Pahang yang turut dihadiri isterinya, Datin Nafeesah Nong Chik dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Pahang, Md. Hisham Md. Hashim.

Pengedar dadah degil ditembak mati

Posted: 14 Aug 2011 10:29 PM PDT


Abdul Rasyid (dua dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas daripada kumpulan pengedar dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Kajang semalam.


KAJANG – Seorang penjenayah yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditembak mati selepas dia enggan menyerah diri walaupun polis menghabiskan masa selama tiga jam untuk memujuknya supaya menyerah diri di sebuah rumah di pangsapuri Flora Taman Impian Balakong di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1 hingga pukul 4 pagi itu, suspek ditemui mati dalam sebuah bilik di rumah tempat dia bersembunyi.

Sebelum kejadian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rasyid Abdul Wahab berkata, polis menyerbu sebuah rumah kos rendah di tingkat bawah dan menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri yang berada di dalam rumah itu.

Dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita melarikan diri dengan masuk ke dalam sebuah bilik.

"Polis kemudian memujuk pasangan itu supaya menyerah diri sebelum insiden berbalas tembak antara polis dan suspek yang berdegil enggan menyerah diri dari dalam bilik," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, selepas kira-kira 20 minit berada dalam bilik itu, suspek wanita kemudian keluar menyerah diri.

"Suspek lelaki terus enggan menyerah diri dan dalam kejadian berbalas tembak lebih dua jam, suspek itu kemudian ditemui mati dalam bilik tersebut," kata beliau.

Sekat laman sesawang fitnah

Posted: 14 Aug 2011 10:28 PM PDT


Salah seorang pengguna melayari laman sesawang yang memfitnah produk halal keluaran tempatan.


KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang bimbang dengan fenomena penyebaran maklumat palsu mengenai status halal produk di negara ini menerusi Internet meminta pihak berkuasa segera menyekatnya.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak menyekat laman sesawang terbabit kerana ia jelas berunsur fitnah.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dikenakan ke atas pengendali laman sesawang yang tidak bertanggungjawab itu kerana ia juga bertujuan menjatuhkan perniagaan orang lain.

"Mereka tahu orang Islam memang sensitif dengan isu halal dan dengan menggunakan isu itu, mereka berharap pengguna akan memboikot produk syarikat terbabit sekali gus menyebabkan bisnes jatuh," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang meminta orang ramai menghentikan tindakan menyebarkan pelbagai maklumat salah mengenai status halal sesuatu produk, jenama atau perkhidmatan khususnya menerusi Internet.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Halimah Mohd. Yusof berkata, banyak maklumat yang disebarkan menerusi laman sosial Facebook, twitter dan blog adalah isu lama yang mula timbul seawal tahun 2005 dan ada di antaranya sudah diselesaikan.

Antara produk dan perkhidmatan yang menjadi sasaran ialah rangkaian barangan kosmetik SimplySiti, Starbuck dan Secret Recipe sehingga menyebabkan imej dan perniagaan pengusaha terjejas.

Harga tiga jenis bawang turut dikawal

Posted: 14 Aug 2011 10:27 PM PDT

HARGA bawang besar, bawang putih dan bawang merah akan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri 2011. – Gambar hiasan


BERA – Tiga lagi barangan keperluan iaitu bawang merah, bawang putih dan bawang besar disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri 2011, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Barang yang disenaraikan sebelum ini ialah daging lembu tempatan, daging lembu import, telur gred A, B dan C, ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kerbau tempatan, daging kerbau import, kobis bulat import, cili merah, tomato, kelapa parut, kacang tanah import, ikan kembung dan kentang.

Ismail Sabri berkata, barangan tersebut disenaraikan kerana ia dilihat akan menjadi keutamaan kepada orang ramai semasa musim perayaan nanti.

"Kawalan harga barang itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu iaitu bermula dari 22 Ogos hingga 5 September 2011," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada warga emas dan di rancangan Felda Rentam, Bera di sini semalam.

Menurut beliau, kerajaan juga memberi jaminan bahawa barangan keperluan sempena sambutan Aidilfitri nanti mencukupi dan semua pemborong telah diminta memastikan barangan seperti bekalan ayam, daging, kelapa serta minyak masak mencukupi di pasaran.

4 maut pentas runtuh kerana angin

Posted: 14 Aug 2011 10:26 PM PDT

ORANG ramai melihat bumbung pentas yang runtuh akibat tiupan angin kencang di Indianapolis, Indiana kelmarin.


INDIANAPOLIS - Seramai empat orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 40 cedera apabila sebuah pentas runtuh akibat tiupan angin kencang pada satu pameran kelmarin.

Kejadian itu berlaku beberapa minit sebelum bintang muzik country, Sugarland membuat persembahan dan sejam selepas penyanyi Sarah Barielles beraksi.

"Empat kematian dan 40 orang yang cedera dihantar ke hospital tempatan. Jumlah yang kritikal tidak diketahui," kata Jabatan Keselamatan Awam Indianapolis menerusi mesej di laman Twitter.

Satu video amatur yang disiarkan di laman YouTube menunjukkan angin kencang meruntuhkan pentas tersebut manakala orang ramai menjerit ketakutan.


SEORANG penyanyi, Sarah Barielles membuat persembahan sejam sebelum pentas runtuh di Indianapolis, Indiana kelmarin.


Saksi-saksi memberitahu, hujan turun selepas angin kencang.

"Mungkin puluhan orang yang cedera telah pun dipindahkan," kata pengkritik muzik untuk Indianapolis Star, David Lindquist dalam satu mesej di Twitter.

Beberapa saksi berkata, orang ramai turut membantu mencari mangsa-mangsa yang terselamat di kawasan runtuhan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved