ads

Sabtu, 13 Ogos 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Bersara sajalah Shahir

Posted: 13 Aug 2011 10:06 PM PDT




PERKEMBANGAN terbaru tentang penyanyi Shahir yang dikatakan mahu 'pencen' awal dari dunia seni popular menarik untuk dikupas.

Saya berharap mereka yang selama ini banyak berhabis wang untuk mengundi Shahir sebagai juara Akademi Fantasia, janganlah marahkan dia pula apabila penyanyi itu dikatakan mahu mengambil keputusan untuk bersara awal.

Kalau marah tu, 'buruk siku' sangat namanya, betul tak?

Walaupun belum ada komen daripada tuan punya badan sendiri, tindak tanduk Shahir yang menyepi dan tidak endahkan media, peminat dan syarikat rakamannya sendiri, bagaikan membenarkan keputusan itu.

Berada di puncak popular pada ketika ini, tiba-tiba menghilang, sukar dikesan, susah ditemubual dan bersembunyi berbulan-bulan, itu bukan petanda yang baik bagi seorang artis popular seperti Shahir.

Kali terakhir Shahir muncul bertemu peminat ialah dalam Konsert Pancaindera di Melaka pada awal Jun lalu. Selepas itu, lesap terus tanpa berita.

Banyak majlis hiburan, majlis berbuka puasa Astro pada Selasa lalu pun, Shahir langsung tak muncul, apa sudah jadi?

Bukan maksud saya artis perlu melayan media setiap masa dan ketika, saya akui ada masanya mereka pun perlukan waktu untuk bersendiri, tetapi cara yang dipilih Shahir ketika ini lain benar.

Memang nampak sangat dia macam sudah tidak 'kuasa' untuk terus menjadi penyanyi walaupun khabarnya tawaran persembahan banyak mendatang.

Terbaru, khabarnya Shahir tidak sanggup lagi terus berada di landasan popular. Kalau tak salah, dia dikatakan mahu menceburi dunia dakwah dan berjuang melalui landasan keagamaan pula. Mana satu yang betul, tak dapat dipastikan sebab tuan badan tidak mahu bertemu langsung dengan orang media. SMS saya juga tidak dibalas Shahir.

Apa juga kemelut yang berlaku kepada juara AF yang kacak itu sekaligus membuktikan rancangan realiti tidak banyak membantu industri hiburan bergerak jauh ke depan.

Setakat ini juara AF yang betul-betul boleh dikatakan berjaya, sudah tentu Mawi. Stacy juga boleh dianggap berjaya selepas Mawi, mana lagi yang lain? Kalau 9 kali penganjuran, hanya melahirkan satu atau dua jaguh, mana bagusnya rancangan berkenaan?

Barangkali juga Shahir baru tersedar yang selama ini dia banyak diberikan mimpi-mimpi palsu semata-mata. Dimomokkan keindahan dunia artis sebelum ini, Shahir barangkali baru tersedar bahawa itu semua hanyalah dusta semata-mata.

Jadi, setelah berhadapan dengan realiti dunia hiburan sebenar di Malaysia, Shahir tidak sanggup untuk terus bertahan.

Saya percaya antara yang membuatkan artis yang punya kelulusan pelajaran macam Shahir kecewa adalah kerana pendapatan yang tidak setimpal dengan populariti.

Artis kita memang nampak gah, gilang gemilang, malah ada yang memandu kereta mewah ke hulu ke hilir. Realitinya, banyak yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Dunia seni di negara ini terlalu banyak retorik dan tidak menjamin masa depan yang gemilang.

Malah, penyanyi senior seperti Ziana Zain sendiri pernah memberitahu, untuk membeli sebuah rumah Semi D sekalipun, tidak ramai artis kita yang mampu.

Kalau itu jalan yang Shahir pilih, siapalah kita untuk menafikannya. Syarikat rakaman pun perlulah faham kalau 'hati' seseorang artis itu sudah tidak berapa ikhlas untuk berjuang di arena.

Cuma, perlulah berterus terang dan usah bermain tarik tali sehingga menyusahkan pihak lain. Shahir yang saya kenali, orangnya sangat baik, bercakap pun sangat lemah lembut dan tidak menyombong diri.

Malah, dia adalah seorang artis muda yang tahu apa yang dia inginkan dalam kerjaya.

Kalau dia memilih untuk bersara lebih awal, kita sama-sama doakan semoga dia berjaya dan bertemu dengan bahagia yang dia idam-idamkan.

Betul ke ini Apex?

Posted: 13 Aug 2011 10:05 PM PDT




KALAU tengok sekali imbas macam penjaga gol pasukan Harimau Malaya yang kacak tu. Sekali lagi tengok macam bukan.

Bila Joyah perhati betul-betul memang macam Khairul Fahmi Che Mat atau nama popularnya Apex yang memang tengah panas dengan cerita putus tunang.

Joyah pun tak tahu mana datangnya gambar ni. Tapi bila Joyah terima sahaja gambar ini rupa-rupanya semua blog-blog hiburan dan bukan hiburan dah main isu ini.

Ramai yang kata itu memang Apex dan gambar itu memang diambil ketika sedang bercuti ke Universal Studio Singapura baru-baru ini.

Jadi adakah ini orang ketiga yang dimaksudkan itu? Adakah ini yang menjadi punca kepada putusnya ikatan pertunangan antara Apex dan Elia beberapa minggu lalu.

Entahlah, Joyah pun tak ada jawapan untuk diberikan kepada semua yang membaca. Tapi apa yang boleh Joyah katakan, tak payahlah nak mengeruhkan lagi keadaan yang dah sedia keruh tu. Kesian mereka kan.

Cuma pesan Joyah kepada Apex, kalau sudah tak mahu, putuskan dengan cara baik-baik, bukannya buat kenyataan di akhbar. Sehingga Joyah menulis berita ini, khabarnya keluarga Apex belum bertemu dengan keluarga Elia untuk memutuskan pertunangan secara rasmi. Macam mana tu?

Salma tenggelam timbul

Posted: 13 Aug 2011 10:04 PM PDT


Salma


SEBENARNYA ramai yang merungut pada Syed bila mula bercerita perihal juara Mentor musim kelima yang seorang ini. Bukan ada cerita yang tak baik pun pasal Salma, cuma sejak akhir-akhir ini nama Salma macam dah tenggelam timbul sahaja.

Kalau ada yang mengikuti perkembangan dunia seni tarik suara ni, mesti ramai yang lebih kenal Iqa berbanding dengan Salma. Maklumlah, sejak 'tamat belajar' dahulu Iqa terus disunting oleh syarikat rakaman KRU.

Jadi mungkin rezeki Iqa lebih sedikit daripada Salma terutama dari segi publisiti dan kekerapan membuat persembahan pentas. Itu bukan kayu ukur sebenarnya tetapi cukup untuk meletakkan di mana aras seseorang artis itu.

Syed ada juga dengar cerita yang Salma ini semakin sukar untuk dicari memandangkan ada sahaja masalah bila nak buat temujanji dengan mana-mana orang.

Iyalah kalau bergerak sendirian, segala-gala nak kena urus sendiri. Kalau ada ada pengurus tak apa juga, boleh mereka urus termasuklah hal-hal pengangkutan dan lain-lain lagi.

Apa yang membuatkan Syed hairan kenapa Salma mahu bergerak sendiri? Bukankah perkara itu merumitkan orang baru macam dia? Dan dengar cerita lagi sebelum ini Salma ada berjumpa dengan beberapa pengurus hebat tanah air.

Boleh kata tak ada jodoh untuk mereka bekerjasama walau sudah ada perbincangan di buat. Pada Syed itu memang satu perkara yang rugi. Kalau lihat pada beberapa pengurus tersebut, semuanya berjaya membentuk artis jagaan mereka bertaraf bintang besar.

Tidak ada siapa yang mahu paksa Salma terima orang tu atau orang ni. Cuma Syed tertanya-tanya Salma dah tahu ke sepak terajang industri kita ni? Syed takut Salma tenggelam tak timbul-timbul walau ada bakat yang cukup besar.

Kalau tak ada tindakan proaktif yang dilakukan oleh Salma, tak mustahil peminat yang mengundi dia pun akan lupa padanya. Ini baru permulaan, masih jauh perjalanan anda ya. Syed harap Salma tak kecil hati dengan teguran ikhlas Syed ni.

Syed: Jangan tenggelam tak timbul-timbul sudah.

Tony Eusoff berputih mata

Posted: 13 Aug 2011 10:04 PM PDT


Tony Eusoff


BUKAN hendak cakap pasal warna kulitnya yang sememangnya sudah putih melepak. Tetapi kita nak menyorot cerita mengenai kejadian malang yang menimpa aktor kelahiran Kuching, Sarawak ini. Siapa lagi kalau bukan Tony Eusoff, 34.

Difahamkan, Tony terpaksa berputih mata setelah wang di dalam salah satu akaun bank miliknya telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Dengar cerita banyak juga jumlah duit yang dikebas oleh si pencuri itu. Adalah dalam RM8,000.

Wow... memang raya sakanlah nampaknya penjenayah itu.

Bukan apa, ingatkan dalam bulan Ramadan yang mulia ini setiap dari kita, tak kisahlah walau berlainan bangsa sekali pun, akan berbuat baik sesama insan.

Tolong-menolong, hormat-menghormati dan berbudi antara satu sama lain.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Hendak tak hendak, Tony sebagai mangsa jugalah yang terpaksa menanggung sengsaranya akibat insiden itu.

Jom ikuti luahan hati Tony mengenai insiden tersebut bersama wartawan SITI ATHIRAH DZULKIFLY.

Dengar cerita Tony baru sahaja kehilangan sejumlah wang. Macam mana boleh lesap sekelip mata tu?

Semuanya gara-gara saya tercicir dompet pada malam Jumaat baru-baru ini. Saya pun tak perasan bila dompet tu tercicir. Selepas habis latihan teater Nora Zain, saya keluar makan malam berdekatan kawasan rumah saya di Bandar Manjalara, Kepong kira-kira pada pukul 10 malam. Rasanya dompet tu tercicir semasa saya pulang dari tempat makan.

Bila baru perasan dompet dah tak `wujud'?

Biasalah dah balik penat apa yang saya fikir hanyalah nak mandi dan kemudian tidur. Esoknya masa saya nak pergi kerja baru perasan dompet dah tak ada. Terus saya hubungi semua bank untuk menutup semua akaun saya serta-merta.

Habis kalau tutup semua, macam mana pula RM8,000 boleh lesap?

Tak tahu nak cakap macam mana, tapi saya rasa si penjenayah tu sudah berjaya meneka nombor pin kad bank saya sebelum mengeluarkan duit yang ada. Saya pun tak sangka dia berjaya teka nombor itu. Hasil siasatan dengan bantuan pihak bank, saya dapat tahu individu tersebut sudah buat pengeluaran wang tunai dari akaun saya sebanyak dua kali. Pada waktu malam kejadian dan pagi keesokan harinya.

Memang cuai. Tony sudah buat laporan polis?

Perkara jenayah macam ini tak akanlah saya nak lambat-lambatkan membuat laporan. Selepas dapat kesan aktiviti pengeluaran itu, saya terus buat laporan di balai polis. Tapi sampai sekarang saya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang progres daripada pihak polis. Selain itu, memandangkan kesemua dokumen penting terutama kad pengenalan turut lesap, saya pun tak ada pilihan lain melainkan pergi membuat yang baru. Tak fasal-fasal saya terpaksa mengorbankan masa untuk menguruskan hal-hal ini sedangkan saya sibuk menjalani latihan teater.

Iyalah, dah memang terang-terang kecuaian datang dari Tony sendiri, jadi hendak tak hendak kena jugalah uruskan semua itu betul tak?

Memang saya akui pada awalnya memang salah saya. Tapi masalahnya sekarang, saya juga ada rasa terkilan. Terutamanya terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bank-bank. Bila jadi begini, barulah saya tahu betapa susahnya nak pertahankan hak kita sebagai mangsa walau kes ini nampak kecil.

CCTV pula yang salahkah?

Bukan begitu. Tapi saya sedang pertikaikan sejauh mana CCTV yang ada di seluruh bank di Malaysia ini berfungsi. Rupanya tak semua mangsa kes dapat melihat rakaman semula CCTV dan ini memang mengecewakan saya. Memanglah saya dah buat permohonan untuk tujuan itu, tapi proses permohonan bukan sehari dua. Tapi mengambil masa sampai beberapa minggu.

Memanglah. Bukanlah semua perkara kena ikut prosedur. Tony kenalah sabar sikit.

Memang saya boleh sabar, tapi kalau awak nak tahu, walau permohonan dah diluluskan, kita nak tengok CCTV tu perlu dipantau bersama oleh pihak polis. Itu belum tentu lagi pihak polis bersetuju hendak buat proses tu. Kalau mereka tak mahu, saya pun tak boleh buat apa. Entahlah, saya pun dah tanya pada pihak bank dan secara am mereka katakan jarang sekali kes begini dapat diselesaikan. Kebanyakannya tergantung kerana hal-hal begini. Akhirnya duit lesap macam tu sahaja.

Kecewa benar nampaknya.

Saya cuma mahu menegakkan hak saya. Bukan apa, ini juga untuk kebaikan masyarakat bersama. Kita perlu tahu hak kita sebagai mangsa. Sampai sekarang saya asyik terfikir, apa gunanya mereka pasang CCTV tu kalau fungsinya tak ada? Tak akan untuk tayang sahaja di premis? Patutnya, pihak berkuasa perlu membuat siasatan dengan telus tak kiralah kes itu kecil atau besar. Kalau berterusan macam ni, sampai bila-bila pun tak akan ada jalan penyelesaian.

Jadi apa pengajaran yang Tony dapat daripada insiden ini?

Sentiasa berhati-hati dan janganlah nak letak harapan sangat pada sesuatu kes yang belum tentu ada jalan resolusinya. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa. Jangan ingat saya ini artis, saya hidup mewah. Walhal, orang tak tahu, kita ni bekerja teruk untuk mencari rezeki sama sahaja macam orang lain.

Macam mana pula dengan penjenayah yang ambil duit Tony tu?

Saya pun tak boleh hendak tuduh sesiapa. Memang nasib malang nak menimpa. Nak buat macam mana. Tapi, kepada si penjenayah tu, saya harap semoga dia `berbahagialah'. Jangan ingat dia boleh hidup aman dengan mengambil kesempatan ke atas orang lain. Sekarang saya pun tak ada mood untuk ke mana-mana. Nampaknya, saya pun kena puasalah bulan ini.

Dugaan Ramadan Siti Nurhaliza

Posted: 13 Aug 2011 10:03 PM PDT


Siti Nurhaliza


CUKUP terkesan apabila menghadapi tuduhan yang amat berat, penyanyi kesayangan Malaysia ini menganggap itu merupakan ujian getir buatnya sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini.

Tidak pernah terlintas isu 'berus bulu babi' akan menjadi besar, siapa sebenarnya yang tahu cerita yang berlaku di sebaliknya? Tidak ada siapa yang dapat meneka gelodak hati Datuk Siti Nurhaliza ketika ini.

Di sebalik senyuman yang tak pernah putus-putus terukir di bibir mulusnya, hatinya cukup risau dengan persepsi orang ramai terhadap produk SimplySiti yang cukup hangat mendapat sambutan.

Inilah yang dinamakan ujian. Ujian yang melengkapkan frasa hidup orang-orang yang berjaya seperti dirinya. Cuma apa yang membezakannya adalah besar atau kecilnya size cabaran itu.

"Siti tak tahu macam mana isu ini boleh timbul. Siti juga tak tahu macam mana surat itu boleh keluar di blog-blog sampaikan heboh kononnya produk SimplySiti menggunakan berus bulu daripada bahan terlarang.

"Sejujurnya Siti sedih dan kecewa dengan apa yang dah berlaku. Berus itu bukan berus produk kami tetapi berus yang terlibat di dalam kerja pembersihan di kawasan kilang.

"Kerja-kerja menyamak dan penyucian menurut syarak telah pun dilakukan bagi memastikan tidak ada apa-apa langsung yang tidak suci terdapat di dalam premis kilang tersebut lagi sebelum proses pembuatan produk dilakukan di kilang tersebut.

"Siti sudah pun mengeluarkan kenyataan mengenai hal tersebut. Dan beberapa hari lalu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun telah membuat kenyataan berhubung kontroversi yang melanda ini.

"Memang Siti berterima kasih pada Jakim yang banyak membantu kami membersihkan semula nama SimplySiti. Cuma apa yang Siti risau bila peminat dan pembeli masih lagi ragu-ragu pada produk.

"Bukan semua orang sudah membaca kenyataan Jakim tu. Jadi Siti kena terus menguar-uarkan hal ini agar semua orang tahu yang produk kami halal seperti mana yang dituntut oleh syarak," kata penyanyi asal Pahang lagi.

SimplySiti disabotaj?

TIDAK pernah terfikir isu ini akan berlarutan sehingga menjejaskan semua pihak, ramai yang mula menganggap ada isu lain yang berlaku di belakang kes berus bulu babi.

Pancaindera banyak menerima komen daripada beberapa pihak luar yang menyatakan keraguan mereka dalam isu ini. Keraguan bukan dalam hal halal atau haram tetapi bagaimana surat tersebut boleh terdedah kepada umum.

Yang menariknya, bukan sekadar isi kandungan surat yang menjadi perhatian ramai tetapi yang tersebar bersama adalah surat yang asli sehingga menampakkan seluruh butir-butir yang tercatat.

Lantas ramai yang membuat andaian SimplySiti sudah disabotaj. Bagaimana maklumat yang cukup sulit itu boleh tersebar dan siapa pula yang menjadi dalang kepada masalah tersebut?

Ramai juga berandaian jualan SimplySiti yang naik mendadak cukup 'melemaskan' pesaing-pesaing yang lain sehingga berlakunya hal demikian. Lantas ini adalah jalan pintas untuk menyekat produk berkenaan daripada terus menjadi perhatian ramai.

Biarpun perkara itu masih hanya andaian, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu Siti lebih banyak mencari jalan selamat untuk tidak membuat kenyataan berkaitan hal itu.

"Saya tidak mahu komen isu sabotaj atau apa juga hal lain. Ini memang di luar pengetahuan Siti dan tak perlu nak tunding jari cari yang berniat jahat.

"Banyak perkara yang kami (syarikat) terlepas pandang soal-soal yang sensitif ini. Jadi bila isu berus ini timbul ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepada Siti sendiri tentang soal ini.

"Memang itu menjejaskan imej SimplySiti dan imej Siti sendiri. Soal halal haram ini memang cukup sensitif bagi kebanyakan orang kita. Tapi setidak-tidaknya kita berusaha untuk membuktikan yang SimplySiti serius dalam soal halal.

"Jadi Siti anggap hal ini dah selesai memandangkan Jakim sendiri telah mengeluarkan kenyataan yang produk kami halal tanpa sebarang masalah seperti mana didakwa.

"Siti tak ada masalah dengan pihak Jakim. Kita ikut apa sahaja prosedur yang mereka mahu dan kalau boleh biarlah kerjasama antara kami terus berpanjangan dan erat.

"Cuma satu Siti minta, tolong sebarkan maklumat yang tepat," katanya penuh makna.

Program Ramadan

MELEWATI minggu kedua dalam bulan Ramadan, sudah banyak aktiviti yang dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia. Dalam bulan yang cukup dinantikan ini sudah pasti seluruh umat Islam mahu menggandakan amalan berbanding bulan yang lain.

Cukup teruja melewati Ramadan yang hanya tiba setahun sekali, Siti juga tidak lupa beramal untuk bekalan 'masa hadapan'.

Cerita penyanyi Aku Cinta Padamu itu, walaupun sibuk dengan urusan tugas mengemudi bisnes yang cukup pesat itu, dia sendiri banyak menerima undangan pentas sempena program hari raya nanti.

Dia yang baru sahaja selesai menjayakan beberapa program televisyen menyifatkan Ramadan kali ini cukup mencabar dan sibuk dengan pelbagai program yang telah diatur selama ini.

Namun pada 7 Ogos yang lalu, Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sempat bersama dengan penduduk di Masjid Al-Khalidiah Kampung Permatang Pasir, Kedah.

Dalam majlis penyerahan wang zakat dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan itu, Siti cukup gembira kerana dengan bantuan yang tidak seberapa itu mampu memberikan senyuman pada mereka yang menerima.

"Ini merupakan tanggungjawab Siti untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Tradisi ini sudah lama dan Siti gembira kerana kami sekeluarga dapat berjumpa dan berbuka puasa bersama saudara, sahabat handai dan orang sekitar.

"Alhamdulillah tahun ini Siti masih berpeluang untuk mengerjakan umrah bersama ahli jemaah yang lain. Ini memang pengalaman yang sangat mengujakan Siti untuk Ramadan kali ini.

"Siti mohon untuk diberi kesempatan beribadah dengan tenang nanti. Mungkin ini dapat mendekatkan diri Siti dengan Allah dan meringankan dugaan yang Siti hadapi selama ini,"

jelasnya yang akan menyambut ketibaan Syawal di kampung sebelah suaminya.

Hanya pada hari raya ketiga barulah dia akan pulang ke Kuala Lipis, Pahang bagi merai hari lebaran.

Kata Siti lagi, dia pasti akan mengunjungi kubur arwah bapanya terlebih dahulu sebelum bergembira bersama sanak-saudara yang lain.

Dalam nada yang cukup gembira, kata si jantung hati Malaysia ini lagi dia berdebar menantikan kemunculan album Inggeris pertamanya pada bulan September nanti.

Segala-galanya hampir selesai, itu menambah lagi rasa gembira memandangkan ramai yang memberikan reaksi positif terhadap lagi Falling In Love yang sudah diputar di corong-corong radio.

"Memang album Inggeris ini Siti idam-idamkan sejak awal menjadi penyanyi dan sekarang baru jadi kenyataan.

"Kalau kita tak cabar diri sendiri, sampai bila-bila pun kita tak akan berjaya. Kalau boleh biarlah sambutan album ini pun sama seperti album balada sebelum ini," jelasnya.

Arrora mengaku sudah janda

Posted: 13 Aug 2011 10:02 PM PDT


Arrora


PENDATANG baru yang kini hangat dengan single nyanyiannya yang berjudul Ahmad, Arrora Salwa tampil dengan pelbagai kisah kurang enak.

Antaranya Arrora dikatakan enggan mengaku mengenai dirinya yang berstatus janda sejak muncul pada pertengahan tahun lepas. Walhal ramai yang sudah tahu mengenai perkahwinan lampaunya.

Namun, apabila ditanya, dia sering menafikan perkara itu selain mengaku dirinya masih solo.

Aih Arrora...kenapa agaknya boleh jadi begini ya? Apa hina sangatkah status janda sampai awak malu nak mengaku?

Hanya empunya diri sahaja yang mampu menjawab. Dan apabila bersemuka dengan Pancaindera, wanita berusia 26 tahun ini punya penjelasannya yang tersendiri.

"Memang saya pernah berkahwin. Perkahwinan selama lima tahun itu dibina ketika saya berusia 19 tahun.

"Sebenarnya saya tak pernah bohong mengenainya. Memang saya janda tapi saya tiada anak dan komitmen berkaitan," katanya membuka cerita sebenar.

Menurut Arrora, dia tidak berniat menyembunyikan status sebaliknya dia tidak mahu terus mengingati kisah lapuk rumah tangga yang gagal.

Alasan bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal ini, apa yang diperolehi dan dikecapi sepanjang perkahwinannya dengan bekas suami yang juga merupakan anggota polis sebelum ini tidak seindah dengan apa yang diimpikan.

"Memang ia dibina atas dasar cinta, tapi lama-lama rasa tu dah hilang. Untuk pengetahuan, dia juga merupakan orang Johor, sama seperti saya.

"Sebelum berpisah, kami ada berbincang, tapi nampaknya tak ada jalan penyelesaian dan kami buat keputusan untuk berpisah secara baik pada 26 Julai lalu," katanya.

Sudah jadi Diva ke?

Dalam pertemuan tempoh hari, Arrora juga meluahkan isi hatinya mengenai pandangan serong segelintir pihak yang menuduh dirinya berlagak diva walau masih baru dalam industri.

Apalagi bila tiba soal bayaran. Pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bayaran RM500 untuk sekali mengadakan persembahan tidak berbaloi dengan usahanya sebagai seorang penyanyi, Arrora tentunya dikecam hebat oleh orang-orang industri sendiri.

Bukan apa, kalau nak difikirkan, Datuk Siti Nurhaliza dulu pun pernah menerima bayaran sebegitu tetapi tak pernah sekali pun dia merungut mengenainya.

Tahu-tahu sahaja Arrora mengeluarkan kenyataan 'berani' begitu. Hadiah untuk tindakan itu tak lain tak bukan tentulah kritikan orang ramai yang mendakwa Arrora masih cetek ilmu dalam bidang ini.

Pun begitu, Arrora punya alasan sendiri. Katanya, kenyataan itu telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak sehingga akhirnya menimbulkan salah faham.

Menurutnya, apa yang dia cuba sampaikan mempunyai kaitan dengan beberapa kenyataan daripada pihak tertentu yang gemar menabur fitnah dan mengata dirinya sebagai seorang diva.

"Maksud saya, kalau saya ni diva, tak mungkin saya terima bayaran menyanyi pun cuma RM500 paling minima. Mereka kata saya diva, di mana letaknya diva itu?

"Macam-macam tuduhan mereka lempar pada saya termasuklah menuduh saya ada masalah sikap. Bagi saya, apa yang dilemparkan itu adalah kenyataan berunsur hasutan.

"Sebagai bekas anggota polis, sudah tentu saya dididik dengan disiplin yang ketat. Logiknya, saya tak mungkin akan jadi manusia yang suka buat perangai.

"Saya malah meletakkan komitmen yang tinggi setiap kali saya buat kerja sebab saya tahu, bidang ini bukan satu cabang yang mudah," katanya mempertahankan diri.

Industri muzik makin nazak – Jay Jay

Posted: 13 Aug 2011 10:02 PM PDT


Jay Jay


PENYANYI Jay Jay membayangkan negara kita bakal menjejak Singapura yang mengalami kejatuhan zaman industri seni Melayu satu masa nanti. Malapetaka ini pasti berlaku berdasarkan pemerhatiannya yang merasai sendiri kemerosotan idea dan penghasilan kerja kreatif sejak kebelakangan ini.

"Kita tak mahu jadi macam Singapura atau Brunei yang mengimport lagu dari luar. Singapura misalnya adalah pusat kesenian Melayu yang cukup terkenal di rantau ini satu ketika dahulu.

"Semua orang tahu Studio Jalan Ampas cukup berkembang pesat dengan pemasaran, rakaman dan penerbitan aktiviti kesenian.

"Tapi apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Kita tak nak industri muzik Malaysia mengalami masalah yang sama. Jadi seperti industri muzik Cina di Malaysia yang terpaksa mengimport lagu dari negara China dan Taiwan," hujah penyanyi kumpulan Carefree tatkala mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Mengulas tentang 'ramalan' penghibur yang sudah mengabdikan diri dalam industri muzik sejak 31 tahun yang lalu ini, dia memberitahu kemunduran industri muzik tanah air berdasarkan kekurangan penghasilan lagu baru terbaik.

"Dahulu, kita ada banyak lagu kuat yang masih malar segar sehingga hari ini. Contohnya lagu Issabella atau Srikandi Cintamu. Setiap lagu dicipta dan diukur mengikut lenggok suara penyanyi tertentu.

"Contohnya Datuk Ahmad Nawab dan M. Nasir. Mereka akan cipta lagu yang dikhususkan untuk penyanyi tertentu sahaja sebab mereka dah kaji latar belakang suara penyanyi itu.

"Maknanya, tidak akan berlaku jual beli lagu kepada penyanyi lain andai lagu itu tidak dinyanyikan olehnya," dedahnya lagi.

Ditanya apa kriteria utama yang membezakan penyanyi sezaman Jay Jay dengan hari ini, lelaki ini ada jawapannya.

"Bakat menyanyi di Malaysia ini berlambak. Semua orang boleh menyanyi. Tapi bagaimana pula dengan akar pada sesebuah penghasilan produk lagu itu.

"Adakah penyanyi sekarang punya keseimbangan tahap disiplin, emosi dan jiwa seperti mana orang dahulu. Nilaikan sendiri etiket kerja orang lama dengan sekarang dalam menghasilkan sesebuah karya agung itu. Cukup jauh berbeza," kesalnya.

Mengajukan persoalan kemungkinan hubung kait gaya hidup dan teknologi sekarang mempengaruhi cara kerja generasi pemuzik sekarang, lelaki ini tidak menafikan.

"Artis perlu bersyukur dengan senario negara kita yang pesat membangun. Banyak acara korporat yang sentiasa menjemput artis setiap masa. Pentas ballroom adalah perkara biasa.

"Sebab itu, mereka 'malas' nak bekerja lebih. Nyanyi sikit, dapat duit dan terus pulang. Mereka tak rasa bagaimana jerit perit orang dahulu sewaktu memperjuangkan lagu mereka," katanya.

Mengulas persoalan terdapat punca lain yang menyebabkan industri muzik negara semakin tandus, Jay Jay punya alasan tersendiri.

"Teknologi kita terlalu cepat berkembang. Tapi ada tak bagus. Contohnya, Indonesia menapis teknologi yang digunakan. Masih menggunakan cara lama, kaset dan sekat penggunaan laman sosial Facebook dan Twitter. Sebab itu artis mereka masih laku bila tiada yang percuma di situ.

"Berlainan di Malaysia. Penyanyi kita buat promosi pun kena menyanyi satu dua lagu. Itu dah dikira seperti mini showcase. Orang tengok benda ini ringan tapi sebenarnya berat.

"Kalau nak tahu, kita adalah negara yang mengamalkan cara 'pakej' macam itu. Negara lain tak pernah buat pun. Sebab itu dah hilang nilai eksklusif bagi seseorang penyanyi itu bila dia muncul di mana-mana tempat," dedahnya yang berharap agar semua pihak mengambil berat isu yang diketengahkan itu.

Jalur Gemilang megah di dasar lautan

Posted: 13 Aug 2011 10:01 PM PDT


Bersama Presiden Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar (tiga dari kiri) dan sebahagian daripada peserta 'Merdeka Dive' di Pulau Bidong, Terengganu.


SEHINGGA hari ini, jelitawan Fauziah Latiff tidak dapat melupakan siri penyelaman 'Merdeka Dive' di Pulau Bidong, Terengganu pada 28 hingga 31 Julai lalu.

Misi perjalanan yang disifatkan cukup berbeza berbanding sebelumnya. Apabila fokus kali ini lebih kepada tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang di Galeri Dasar Laut Pulau Bidong.

Untuk tujuan itu, duta Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia) ini merealisasikan impian tersebut bersama 60 ahli lain termasuk Presidennya, Jamhariah Jaafar.

Mereka menyelam bersama sehingga 15 meter kedalaman sebelum tiba ke lokasi sasaran. Persiapan dan latihan dilakukan pada hari Jumaat (29 Julai) sebelum upacara rasmi pada keesokan harinya.

Menariknya, penghormatan rasmi dilakukan penuh adat dan tertib. Seperti di perhimpunan sekolah ada seorang konduktor di hadapan bertindak mengetuai nyanyian lagu kebangsaan iaitu Negaraku.

Sementara, ahli Coral Malaysia yang lain dikehendaki beratur di hadapannya sebelum upacara naik bendera dilakukan oleh wanita yang mudah disapa Jee ini.

"Biarpun masing-masing tidak mendengar nyanyian Negaraku kerana memakai alat pernafasan, tapi bunyi buih yang keluar dari corong itu sudah memadai.

"Saya yang duduk di hadapan mereka pula sedaya upaya memasang telinga memastikan dendangan Negaraku seiring dengan perbuatan menarik tali Jalur Gemilang," ceritanya sewaktu bertemu di pejabat Broadway Acre yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Seiring dengan itu, gerak badan Jee cukup bersemangat bercerita perincian kenangan penuh makna di lokasi yang turut meletakkan enam replika warisan Terengganu di situ.

Ia terdiri dari replika Gerbang Negeri Terengganu, Batu Bersurat, tepak sirih, tengkolok, keris dan perahu payang selain tambahan lori dan bas.

Pulau Bidong terletak di Timur Laut perairan Terengganu iaitu kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Terengganu. Pulau Bidong juga dikenali sebagai 'syurga bagi penyelam skuba' disebabkan keadaannya yang bebas daripada pembangunan melampau.

Program selama empat hari itu turut mendapat sokongan penuh dari pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia sepanjang berada di sana.

"Kami menyelam semata-mata untuk menyatakan rasa cinta terhadap negara. Tidak kira sama ada di daratan atau lautan. Meskipun tak besar, tapi sudah memadai.

"Sambil menyelam skuba, menjalankan aktiviti pemuliharaan terumbu karang, dapat juga menyatakan rasa bangga menjadi warganegara Malaysia," sambungnya lagi.

Kepuasan diri

Mengulas tentang kepuasan menyelam skuba, wanita ini melemparkan senyuman menawan. Duta produk kecantikan SK-II itu memberitahu dia cukup mementingkan soal pengalaman berbanding kepuasan sendiri.

Banyak perkara yang menyebabkan dia berfikir di kala perseorangan di lautan yang cukup meluas itu.

"Jika anda rasa sudah cukup besar jika di atas darat, cuba rasakan situasi ketika menyelam ke dasar laut. Di situ, anda akan terasa kecil, bersendirian dan tiada sesiapa yang akan menolong andai berlaku kecemasan.

"Begitu juga dengan kehidupan. Buat apa nak berbangga dengan kemewahan dan apa sahaja di bumi. Sebab bila tiba masanya, anda akan pergi berseorangan menghadap-Nya," dedahnya tentang apa yang dialami setiap kali berada di alam marin.

Pada masa yang sama, Jee memberitahu bahawa keinsafan timbul setiap kali dia memulakan aktiviti menyelam sejak tahun 2000.

Perincian tentang kehidupan sebenar meningkatkan tahap kesedaran tentang alam semulajadi seperti mana yang dirasai tatkala ini.

Semua aktiviti Coral Malaysia boleh diketahui menerusi laman web http://coralmalaysia.com.

Mario hampir ditipu agensi

Posted: 13 Aug 2011 10:00 PM PDT


Mario


LEBIH empat tahun lalu, ketika baru tiga hari menjejakkan kaki di Malaysia, pemuda kacak dari Albania, Marioglen Xhumari disapa orang yang tidak dikenali sewaktu dia berjalan-jalan ke KLCC. Seseorang memperkenalkan diri daripada agensi peragaan dan mahu melamarnya.

Sebagai seorang yang asing dia akui terkejut, namun menerima pelawaan dan menjalani sesi ujibakat. Ternyata dia memiliki tuah apabila mendapat tempat mengisi slot sebuah iklan televisyen.

Selepas itu banyak iklan menampilkan wajahnya dapat disaksikan. Malah kempen beli barangan buatan Malaysia yang masih diiklankan di kaca televisyen juga turut menampilkan Marioglen atau lebih mesra disapa Mario.

"Alhamdulillah seronok juga dapat peluang berlakon iklan di sini, dapatlah saya menambah wang saku," katanya yang turut muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Sepanjang tempoh itu, Mario akui pernah melalui pengalaman kurang manis apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Nasib baik dia segera menyedari sedang ditipu lalu mengelak diri.

"Saya diterima berlakon dalam sebuah iklan baru-baru ini. Tawarannya hanya pelakon tambahan sahaja. Tapi saya hairan apabila diminta membawa sehingga lapan persalinan.

"Saya rasa diri saya ditipu dan segera menarik diri," kata Mario yang kini turut diurus oleh Jamal Tommy Talent Agency.

Menyentuh mengenai sambutan Ramadan, Mario yang sedang menyiapkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan mengakui jadual berbuka puasanya tidak menentu memandangkan jadual kuliahnya lebih banyak pada waktu malam.

"Biasanya pelajar Muslim akan berehat sekejap untuk berbuka puasa dan selepas itu menyambung kuliah semula," katanya yang ditemui ketika menjalani ujibakat sebuah iklan yang memerlukan wajah orang putih di studio Jamal Tommy, Selasa lalu.

Menyentuh pasal bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, Mario akui terkenang kemeriahan berpuasa di negaranya. Lazimnya setiap hari ada sahaja keluarga dan kenalan yang mengundang berbuka puasa di rumah mereka.

"Sehingga ke hujung Ramadan ahli keluarga bergilir-gilir mengajak orang berbuka puasa di rumah. Itulah budaya berbuka puasa yang menarik di negara saya.

"Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, saya rasa sama sahaja, semua orang akan mengunjungi rumah orang tua mereka. Kami di Albania juga mengamalkan budaya yang sama. Cuma di sini agendanya lebih sikit apabila ramai orang menganjurkan rumah terbuka.

"Saya pernah diajak ke rumah terbuka seorang kawan, seronok juga dapat pengalaman berbeza di tempat orang," katanya yang hanya akan beraya bersama kawan-kawan sahaja.

Mario juga belum merancang apa yang bakal dilakuklan selepas tamat pengajian nanti. Malah tidak menolak kemungkinan untuk terus menetap di Malaysia sekiranya dapat tawaran kerja yang baik di sini.

"Negara kami kecil sahaja, hanya sekitar sejuta penduduk. Sebaliknya 1.5 juta orang Albania tinggal dan bekerja di luar negara," katanya.

Artis ceriakan anak yatim

Posted: 13 Aug 2011 10:00 PM PDT


Peluang bergambar dengan artis tentunya tidak akan dilepaskan oleh anak-anak yatim yang diraikan pada malam itu.


SUDAH 14 hari umat Islam menyambut Ramadan yang hadirnya cuma sekali saban tahun.

Dalam keberkatan Ramadan ini, selain kita berkongsi rasa kerendahan hati antara satu sama lain, anak-anak yatim tentunya merupakan golongan yang paling banyak mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Walau tidak sebesar mana pemberian dan pertolongan yang diberikan, itu semua bukanlah ukurannya.

Ini kerana apa yang penting adalah keikhlasan yang diselitkan dalam sesuatu pemberian itu yang tentunya dapat memberikan senyuman buat setiap tangan yang menerima.

Pendekatan inilah yang digunapakai oleh pihak Hotel Starpoints Kuala Lumpur (HSKL) melalui penganjuran program Sanubari Bersama Anak-Anak Yatim -1Hati, 1Ramadan, 1Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

Ternyata, ruang legar hotel berkenaan yang bertempat di Jalan Masjid India riuh sekali pada malam itu apalagi peluang untuk berbuka puasa bersama 60 anak yatim bukanlah sesuatu yang seringkali mampu diperolehi.

Kesemua anak-anak yatim yang didatangkan dari Pondok Penyayang Raudhah, Gombak itu diraikan dalam suasana ceria di Restoran Kababish hotel berkenaan.

Menunggu waktu berbuka merupakan saat yang paling dinantikan oleh semua.

Usai beratur mengambil makanan, kesemua mereka yang dipantau oleh penjaga mereka tenang duduk di tempat masing-masing menunggu azan berkumandang.

Sempat juga terlihat beberapa adik kecil mencuit antara satu sama lain dalam gurauan yang mungkin mereka sahaja yang tahu.

Usai berbuka, tanpa disuruh, masing-masing bergegas menuju ke bilik solat yang disediakan. Aduh...sejuk hati mata yang memandang.

Kembali semula ke ruang legar restoran hotel, anak-anak ini kemudiannya dihiburkan oleh sekumpulan artis jemputan.

Antara kelibat artis yang kelihatan pada malam itu termasuk Daus AF, Zain Saidin, Fida Ibrahim, Ery Putra, Mohamad Mentor, Putri Mardiana, Nieyl, Shajiry, Dior, Azizi dan Riot kumpulan Kool.

Tidak ketinggalan, dua artis Singapura, Zenny dan Lin Malik yang turut diundang untuk menghiburkan anak-anak yatim tersebut yang rata-ratanya berusia antara 7 hingga 15 tahun.

Suasana ketika ini cukup meriah. Mana tidaknya, melihat gelagat artis melayan anak-anak ini bagai tidak cukup tangan.

Ada yang sibuk menuangkan air untuk adik-adik kecil yang masih lagi kehausan dek penangan berpuasa, ada juga yang sedari tadi rancak berborak.

Barangkali adik-adik ini mahu mengenali lebih mendalam dengan artis kesayangan mereka.

Tak cukup dengan itu, persembahan demi persembahan juga dijadikan aktiviti selingan tatkala ada yang masih menjamu selera.

Dari lagu yang membuai perasaan sehinggalah yang rancak, seleksi lagu dendangan nampaknya mengena dengan jiwa anak-anak ini yang tak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Keseronokan juga terpancar di wajah masing-masing apabila pengacara majlis mengumumkan saat pemberian sumbangan duit raya dan hamper.

Dalam keterujaan, pantas adik-adik ini beratur dengan tertib.

Sesekali ternampak Fida dan beberapa orang artis lain bertindak ala-ala warden membantu mengaturkan anak-anak ini demi memudahkan kelancaran majlis. Lucu juga!

Kesemua sumbangan itu telah disampaikan oleh Pengurus Besar HSKL, Melvin Mohan.

Ketika ditemubual, jelas sekali Melvin cukup gembira dengan program yang disediakan.

"Kami pihak hotel amat gembira kerana berpeluang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak ini.

"Kami juga harap agar sumbangan yang diberikan ini dapat memberikan kegembiraan buat mereka yang kurang bernasib baik terutama ketika semua umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini.

"Kami juga akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan demi membolehkan kami terus membuat amal kebajikan kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Melvin turut menjemput semua yang berminat untuk sama-sama berbuka puasa di hotel berkenaan yang menawarkan pakej berbuka puasa pada harga yang berpatutan.

Juadah yang disediakan bukan sahaja masakan Melayu, tetapi makanan Pakistan yang disedia dan dimasak oleh chef yang diterbangkan khas dari Pakistan.

Untuk itu, bagi mereka yang berminat, hubungi 03-2698 1866 untuk tempahan awal.

Finie nekad henti berlakon

Posted: 13 Aug 2011 09:59 PM PDT


Gadis berusia 20 tahun ini sudah punya perancangan sendiri untuk masa depannya.


KALAU nak dibandingkan dengan Fimie Don, Shafinie Saedon atau Finie Don ini belum tentu dapat mengejar populariti adiknya itu.

Meski terlebih dahulu menjejak dunia hiburan sebagai seorang pelakon, nama Finie bagaimanapun seakan tidak begitu kuat untuk melekat di hati penonton.

Tidak seperti pelakon remaja seusianya, Finie langsung tenggelam meski punya bakat besar sebagai anak seni.

Entah di mana silapnya, namun kata empunya diri ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini, dia tidak pernah kisah dengan populariti kerana bukan itu yang dicarinya selama ini.

Langsung tidak kisah apabila adiknya lebih popular berbanding dirinya. Kata gadis berusia 20 tahun ini, dia sebenarnya punya sasaran tersendiri sejak melangkah ke dalam bidang lakonan sedari usia 6 tahun.

"Saya tak popular pun tak apa. Mungkin rezeki lebih berpihak kepada adik saya, Fimie Don.

"Tapi itu tak bermaksud tak ada tawaran yang saya dapat dari mana-mana penerbit drama.

"Sejujurnya, saya ni memilih sedikit orangnya. Tak semua tawaran yang datang saya akan ambil begitu saja.

"Biasanya, saya akan tanya minta pandangan ibu dan bapa dan membuat pertimbangan lain sebelum membuat keputusan akhir.

"Saya tak pernah rasa diri ni dibayangi Fimie sebab kami masing-masing punya cara dan gaya tersendiri ketika melakonkan satu-satu watak," katanya.

Melihatkan pada gayanya yang sedikit kekok ketika bergambar, Pancaindera sempat mengusik anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini yang seakan 'malu-malu kucing' setiap kali cahaya lensa kamera dihalakan kepadanya.

Mengaku dirinya lambat mengambil masa untuk menyesuaikan diri di hadapan kamera, kata Finie, kerana itulah dia lebih selesa jika berpeluang bekerja sebagai orang belakang tabir.

Sentiasa mendambakan tugasan sebegitu, kata Finie, inilah faktor utama yang mendorong dirinya untuk menyambung pengajian dalam bidang penyiaran di Universiti Lim Kok Wing.

Baru sahaja memikul gelaran sebagai pelajar di universiti itu pada 25 Julai lalu, kata Finie, bidang itu dirasakan paling mengena dengan jiwanya berbanding lakonan.

"Saya sangat sukakan dunia di belakang tabir terutama bahagian penyuntingan dan sebagainya.

"Kalu ditanya, ya memang saya sebenarnya tak suka berlakon atau berada di depan kamera sebab jiwa saya lain.

"Saya berlakon pun sebab nak cari duit poket. Kebetulan pula, ibu pun turut menggalakkan, jadi saya rasa tak salah untuk mencuba.

"Tapi saya tak pernah rancang menjadikan dunia lakonan ni sebagai karier saya untuk selamanya.

"Saya sebenarnya sudah nekad untuk berhenti berlakon sebab nak tumpukan pada pengajian dan juga perancangan saya seterusnya selepas ini.

"Ia juga menjawab kepada soalan mengapa saya seringkali menolak tawaran berlakon daripada beberapa penerbit drama kebelakangan ini, " katanya.

Menurut Finie dalam celotehnya lagi, dia bagaimanapun mungkin akan mempertimbangkan beberapa tawaran lakonan lain selepas ini sekiranya watak yang diberikan benar-benar mencabar.

Mahu buka produksi

Membuka cerita mengenai perancangannya selepas menamatkan pengajian, kata pelakon siri Kisah Kaisara ini, dia memasang angan untuk membuka sebuah produksi sendiri.

Malah, cerita gadis berbintang Libra ini lagi, saat produksinya itu ditubuhkan, dia juga mahu ia mendapat gabungan usahasama dengan abangnya Fizie Don selain Fimie Don sendiri.

"Ia akan menjadi sebuah perniagaan keluarga, InsyaAllah, kalau ada rezeki, saya akan merealisasikannya apabila saya dah benar-benar bersedia.

"Buat masa ini, saya akan kumpul sebanyak mana pengalaman dan menimba ilmu terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, Finie juga menolak andaian sesetengah pihak bahawa rupa paras merupakan aset penting bagi seseorang pelakon muda sepertinya untuk berjaya.

Kata Finie, meski ada yang gemar memuji kecantikan semulajadi yang dimilikinya, dia bagaimanapun tidak menganggap ia merupakan faktor utama untuk dirinya menjadi seorang pelakon.Apa yang penting adalah bakat.

KL Gangster: perlu episod “origin”

Posted: 13 Aug 2011 09:58 PM PDT




FILEM KL Gangster yang mencecah RM12 juta telah menjadi satu bualan hangat peminat filem tempatan. Ini adalah pungutan tertinggi dan filem ini juga dilihat sebagai sebuah karya yang berjaya menaikkan kembali martabat filem Melayu.

Tidak hanya filem seram sebelum ini, genre aksi telah diketengahkan dengan cemerlangnya oleh pengarah muda, Syamsul Yusof.

Kejayaan demi kejayaan yang diperlihatkan oleh Syamsul menunjukkan dia telah mendapat sentuhan tersendiri bagi menghasilkan filem yang digemarinya.

Khabar terbaru KL Gangster akan mempunyai sekual iaitu KL Gangster 2, mungkin filem ini juga diharapkan akan memberi kesan yang besar kepada industri perfileman tempatan. Namun, jika diperhatikan secara teliti dalam filem pertama ini, banyak persoalan masih belum terjawab.

Secara umumnya, filem ini berjaya diolah oleh pengarah dengan plot penceritaan yang begitu mudah difahami oleh setiap pelusuk penonton.

Hakikatnya, filem aksi ini sebenarnya memerlukan penerangan dengan lebih jelas jika diterbit sebuah lagi "episod awal" atau origin filem ini. Maksudnya kisah terdahulu yang tidak dipaparkan dalam KL Gangster diisi kepada sekuel ini.

Banyak persoalan yang boleh dijawab sekiranya "episod awal" filem ini diterbitkan. Sebagai contoh penonton boleh melihat bagaimana kekuasaan Malik lakonan Aaron Aziz yang dikatakan seorang gangster yang digeruni sebelum dia dipenjarakan.

Mungkin pengaruh Malik serta zaman kegemilangannya boleh diceritakan balik dan mungkin dengan cara ini, penonton serta peminat tidak sabar untuk menunggu dan melihat sendiri di sebalik kehidupan gangster Malik sebelum ini.

Bagaimana cara Malik dan King sebelum ini sama-sama menaikkan kumpulan mereka perlu juga dikupas secara terperinci, episod ini akan menjadi lebih menarik.

Selain itu juga, watak Shark lakonan Syamsul sendiri juga banyak yang perlu dikupas, misalnya bagaimana dia berjaya memusnahkan kuasa Malik sehinggakan Malik dipenjarakan.

Dalam pada itu, ada dalam satu babak filem KL Gangster yang menyatakan watak King lakonan Rizduan Hashim memusnahkan hidup ibu Shark, bagaimana cara King memusnahkan hidup ibu Shark juga perlu dikupas kerana itu adalah satu penyebab besar dendam yang menyebabkan King telah dibunuh.

Walaupun kehadirannya sekejap dalam filem ini, namun watak Fadil lakonan Zizan Raja Lawak begitu dinanti-nanti, sikapnya yang lucu serta sebagai penasihat kepada Malik adalah watak yang perlu ada dalam setiap filem.

Watak tersebut adalah untuk merehatkan fikiran penonton yang telah disajikan dengan adegan aksi yang ganas. Walaupun wataknya tidak terlalu besar, namun persahabatannya dengan Malik sebelum ini perlulah diceritakan kembali.

Dalam pada itu juga, dalam filem KL Gangster ini ada juga menyatakan adik perempuan Malik telah dirosakkan oleh kumpulan gangster lain yang berdendam dengan Malik ketika zaman kegemilangannya.

Segala persoalan serta kisah sebelumnya perlu diceritakan semula dalam episod awal filem KL Gangster ini. Mungkin baik kalau diterbitkan The Origin of KL Gangster dan rekod angka RM12 juta itu akan terpadam dan fenomena kegilaan terhadap filem ini akan terus hebat.

Sudah-sudahlah Jimmy

Posted: 13 Aug 2011 09:58 PM PDT


Suhaila


SAYA sebenarnya cukup kesal dengan apa yang telah berlaku pada rumah tangga Jimmy Shanley dan Suhaila. Kalau iya sekalipun rumah tangga mereka retak menanti belah, apa kata baik mereka kunci mulut dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Memang ramai yang cukup terkejut bila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh isteri Jimmy. Selama ini peminat hanya mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Jimmy sahaja.

Daripada masa isterinya mengandung sampailah sudah dapat anak, Jimmy tak henti-henti mengeluarkan kenyataan, ada yang baik dan sebaliknya. Mungkin itu menjadi salah satu sebab hubungan mereka tak pernah baik dan menimbulkan rasa benci dalam diri Suhaila.

Tak perlu nak tahu siapa betul atau siapa yang tak waras. Bagi saya kedua-dua pasangan ini perlu cari jalan penyelesaian yang tidak mengeruhkan lagi keadaan. Malulah bertelagah laki bini sampai heboh satu Malaysia. Betul tak?

Kulat,

Ampang, Selangor.

Lara Dutta hamil

Posted: 13 Aug 2011 09:56 PM PDT


Lara Dutta


AKTRES terkenal Bollywood, Lara Dutta telah pun mengesahkan kepada pihak umum bahawa ketika ini, dirinya sedang hamil anak pertama yang merupakan hasil perkongsian hidupnya dengan pemain tenis India, Mahesh Bhupathi.

Lara Dutta mengumumkan hal tersebut secara rasmi menerusi sebuah wawancara yang dilakukannya baru-baru ini.

"Ya, Sekarang ini saya sedang mengandung dan saya sangat bahagia," katanya Miss Universe 2000 ini.

Sebelum ini, Lara Dutta hanya mendiamkan diri saja apabila gosipnya hamil mula diperkatakan.

Walaupun begitu, setelah mengumumkan kesahihan berita tersebut, peminat-peminatnya dikatakan telah memberikan reaksi yang cukup positif.

Sejak mendirikan rumah tangga dengan Mahesh Bhupathi pada Februari lalu, kedua-duanya jarang meluangkan masa bersama-sama kerana terhalang oleh jadual kegiatan masing-masing.

Tak mahu kena gam

Posted: 13 Aug 2011 09:56 PM PDT


SISTAR


KES koreografi atau tarian berunsur lucah banyak berlaku di kalangan artis berkumpulan wanita dalam dunia Kpop dan ia dilihat bukanlah satu perkara baru.

Terbaru, kumpulan SISTAR turut terkena tempiasnya.

Ia dilihat menerusi susun tari untuk lagu berjudul So Cool yang dikoreografikan oleh DQ, yang pernah bekerjasama dengan artis Rain, BEAST dan MBLAQ.

Pergerakan tarian SISTAR untuk lagu tersebut dikhuatiri boleh mengundang persepsi kurang senang para peminat memandangkan ia secara terang-terangan menonjolkan keseksian melampau.

Bagaimanapun, kerana tidak mahu isu itu terus diperbesarkan, SISTAR baru-baru ini telah membuat keputusan untuk menukar koreografi lagu tersebut kepada yang lebih bersesuaian.

"SISTAR tak mahu mencari masalah dengan pihak televisyen terutamanya dalam isu gam disebabkan kontroversi ini.

"Adalah lebih baik mereka turut sahaja standard peraturan yang disediakan dengan menampilkan tarian yang lebih sesuai namun dalam masa yang sama menarik," kata wakil agensi, Starship Entertainment.

Jessica Iskandar terbuka hati

Posted: 13 Aug 2011 09:54 PM PDT


Jessica Iskandar


HIDAYAH datangnya hanya daripada Allah, itulah ungkapan tepat untuk menggambarkan tentang penyampai televisyen terkenal Jessica Iskandar apabila hatinya semakin terbuka untuk memeluk agama Islam.

Sejak kebelakangan ini, dirinya semakin dekat untuk terus mempelajari agama suci meskipun sejak kecil lagi berada dalam lingkungan rakan-rakan muslim.

"Saya akui mengenali Islam sejak sekolah lagi, bahkan saya sendiri sering bermain di masjid. Ketika ini juga saya sering ditunjuk ajar oleh teman-teman muslim, mereka sering membaca doa berhampiran saya.

"Saya cuba untuk menghafal beberapa doa sekarang, ternyata saya terbelit lidah ketika sedang menghafalnya," akui Jessica.

"Kepuasan" baru Syafinaz

Posted: 13 Aug 2011 09:53 PM PDT


Syafinaz


TUGASAN mengajar vokal di kalangan orang dewasa memang mudah. Bagaimanapun, 'keperitan' berbeza andai berdepan dengan kumpulan kanak-kanak.

Biarpun punya pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut, namun tidak mampu untuk menangani situasi tatkala berdepan dengan si kecil.

Macam-macam kerenah yang perlu dilayan. Nada suara dan pendekatan juga perlu berbeza. Kalau mengherdik sedikit, pasti ada yang muncung mulut dan merajuk di balik almari.

"Itu yang saya alami sewaktu mengajar 37 kanak-kanak Kumpulan Koir Permata Seni yang digilap menerusi program Permata Seni Negara sejak setahun setengah lalu," dedah penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat.

Baginya mengajar kanak-kanak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Perlu bijak mengambil hati mereka sewaktu belajar.

"Kanak-kanak tak tahu membaca nota. Jadi

saya kena ajar mereka tahap demi tahap. Kalau ada yang tercicir, saya kena ulang semula. Begitulah rutin pengajarannya.

"Kanak-kanak perempuannya pula lebih bersemangat dan rajin mengulangkaji sesudah pembelajaran. Kalau budak lelaki pula, tumpuannya kejap saja. Lebih suka kepada permainan," sambung Syafinaz bercerita tentang perbezaan antara dua jantina itu.

Bagaimanapun, Naib Juara pertandingan Hiburan Minggu Ini (HMI) 1999 ini juga cukup teruja dengan semangat yang dipamerkan oleh kanak-kanak Permata Seni Negara itu.

Apatah lagi sewaktu menyertai World Peace Choral Festival 2011 yang diadakan di Vienna, Austria mulai 25 hingga 28 Julai lalu.

Bertindak sebagai pengarah koir bersama tujuh pembantu mereka terbang ke negara tersebut seawal 19 Julai.

Di situ mereka berkampung hampir dua minggu membuat persiapan rapi. Tambahan pula festival itu adalah acara luar negara yang pertama disertai kumpulan koir tersebut.

"Apa yang membanggakan saya, mereka semua menunjukkan semangat dan berusaha kuat. Jelas kelihatan di wajah masing-masing.

"Kejadian itu secara tak langsung buat saya kembali tersedar bahawa sebenarnya susah nak mencari kanak-kanak yang ada bakat menyanyi, tidak malu untuk ke hadapan dan punya personaliti.

"Jerit perih saya mengajar mereka semacam dah terbalas. Sesuatu rasa yang cukup indah buat seorang cikgu apabila melihat prestasi anak muridnya," imbas wanita ini.

Ditanya kepuasan buat seorang guru koir sepertinya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini ada jawapannya.

"Saya lebih berbesar hati andai dapat mengumpulkan lebih ramai peserta lelaki dalam satu kumpulan muzik. Sebab lelaki punya lontaran suara lebih padu berbanding perempuan," katanya.

Mengulas tentang album barunya, ada nada keriangan di wajahnya. Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini memberitahu bahawa dia sedang dalam proses untuk menyempurnakan lapan lagu dalam albumnya.

"Enam lagu sudah siap sementara dua lagi sedang dalam penyesuaian. Album kali ini lebih istimewa kerana saya yang mengeluarkan semua idea termasuk konsep lagu dan keseluruhannya.

"Saya tak mahu labelkan genre konsepnya sebab ia gabungan pop kontemporari dan klasik barat yang disesuaikan dengan halwa telinga masyarakat tempatan.

"Ada juga seperti bunyi opera yang diolah menjadi sedikit hip hop. Apapun saya berdoa agar pendengar Malaysia boleh terima pembaharuan yang cuba saya ketengahkan," terangnya panjang lebar.

Ayuh Chong Wei

Posted: 13 Aug 2011 09:51 PM PDT


Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia selepas menewaskan lawannya dari China, Chen Jin 21-13, 21-9.


KUALA LUMPUR - Hanya satu lagi halangan perlu ditempuhi Datuk Lee Chong Wei untuk dia mencipta sejarah menjadi pemain badminton Malaysia pertama dinobatkan sebagai juara dunia.

Di Wembley Arena, London semalam, seluruh dunia menyaksikan bagaimana jaguh sanjungan kita itu berada dalam kelas tersendiri dengan mudahnya memusnahkan penyandang juara tahun lalu, Chen Jin dalam straight set 21-13, 21-9.

"Ia satu kemenangan hebat hari ini dan biarpun saya tercicir sedikit pada awal set kedua, saya memang yakin dapat memenanginya.

"Selepas menang set pertama, saya sudah jangka Chen Jin akan tampil dengan permainan menyerang pada set berikutnya, jadi saya cukup bersedia berdepan corak permainannya itu," ujarnya mengenai kemenangannya, semalam.

Kemenangan ke atas Chen Jin yang merupakan pilihan keenam kejohanan itu sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 8-2 memihak Chong Wei sejak 2005.

Lawan Chong Wei di final sama ada juara dunia tiga kali, Lin Dan mahu pun pemain veteran Denmark, Peter Hoeg Gade yang sama seperti Chong Wei, masih mencari-cari gelaran dunia sulungnya.

Tidak kira siapa di antara mereka, perlawanan akhir hari ini pastinya satu pertemuan epik kerana masing-masing merupakan musuh seteru Chong Wei yang sering kali bertarung hebat merebut kejuaraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Tidak perlu dinafikan, ramai menggangap pertembungan Chong Wei-Lin Dan sebagai gandingan terbaik untuk final 'Grand Slam' badminton ini, namun kebolehan Peter Hoeg, biarpun pada usia 34 tahun, langsung tidak boleh dipandang remeh kerana dia sama 'lapar' seperti Chong Wei.

Namun, Chong Wei tanpa teragak-agak meramal Lin Dan, musuh tradisi yang dia amat berdendam selepas pernah dikecewakan pada dua final besar iaitu Olimpik 2008 Beijing dan Sukan Asia 2010 Guangzhou sebagai lawannya hari ini.

"Saya fikir Lin Dan akan mengatasi Peter pada perlawanan lewat petang nanti, namun tidak kira siapa lawan saya, saya sudah bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya.

Kepuasan jelas terpancar pada wajah Chong Wei berikutan kejayaan melangkah ke final buat kali pertama selepas enam kali mencuba.

"Kepada mereka yang meragui keupayaan saya selama ini, saya harap mereka akur yang akhirnya saya berjaya ke final jua.

"Saya akan mencuba sedaya upaya untuk memenangi sesuatu yang selama ini begitu sukar dijangkaui. Percayalah, kejuaraan besar ini adalah sesuatu yang saya nantikan untuk ditambah ke dalam koleksi," tambahnya.

Pada perlawanan semalam, Chong Wei mempamerkan permainan bermutu tinggi dengan variasi pukulan, memaksa Chen Jin bergerak ke setiap sudut gelanggang.

'Cross court smash' dan penguasaan di jaring menjadi senjata utama Chong Wei menyaksikan 23 mata dihasilkan menerusi dua elemen itu.

Meskipun melengkapkan kemenangan set pembukaan dengan mudah dalam masa 14 minit, permulaan gugup Chong Wei sedikit mencemaskan apabila dia satu ketinggalan 4-0, angkara kesilapan sendiri.

Chong Wei yang kebiasaannya lambat panas bangkit dari gaya permainan pasif dan berjaya menyamakan kedudukan kepada 8-8 dan sejak itu tidak menoleh ke belakang lagi.

Dia mengutip sembilan mata berturut-turut untuk menjarakkan diri kepada kedudukan selesa 17-8, sebelum memanfaatkan kesempatan ke atas lawannya yang sudah hilang punca sekali gus melengkapkan kemenangan 21-9.

Osaka destinasi baru AirAsia X

Posted: 13 Aug 2011 09:51 PM PDT



AirAsia X, syarikat penerbangan jarak jauh dan tambang murah AirAsia, mengumumkan perkhidmatannya ke Osaka, destinasi kedua di Jepun selepas Tokyo, mulai 30 November depan.

Laluan antarabangsa dari Kuala Lumpur ke Osaka adalah destinasi penerbangan syarikat itu yang ke-16 setakat ini.

AirAsia X memulakan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka dengan empat perkhidmatan mingguan tanpa henti.

Perkhidmatan Osaka akan menggunakan pesawat Airbus A330-300 dengan konfigurasi 12 kelas tidur premium dan 365 tempat duduk ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman Rani berkata, perkhidmatan Osaka menandakan penglibatan kedua AirAsia X dalam pasaran Jepun.

"Dengan hanya kurang satu tahun sejak memulakan perkhidmatan penerbangan ke Tokyo pada Disember 2010, kami gembira dapat menambah satu lagi penerbangan ke salah satu hab ekonomi dan komersial Jepun dalam mengembangkan lagi jaringan antarabangsa kami." katanya.

Malaysia import terbesar Indonesia

Posted: 13 Aug 2011 09:49 PM PDT



Import produk makanan dan minuman yang diproses ke Indonesia meningkat 15.66 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, dan produk Malaysia menyumbang jumlah terbesar.

Setiausaha Agung Gabungan Pengusaha Makanan dan Minuman Olahan Seluruh Indonesia (Gapmmi), Franky Sibarani berkata, import makanan dan minuman dari Malaysia menyumbang 24.7 peratus, diikuti China (12.9 peratus), Thailand (10.2 peratus) dan Singapura (7.9 peratus).

"Sepanjang Januari hingga Julai lalu, nilai import makanan dan minuman dari Malaysia mencecah ASD33.85 juta, melonjak 65.56 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, yang bernilai ASD20.44 juta," katanya dalam laporan akhbar harian Media Indonesia.

Data Gapmmi juga menunjukkan berlakunya lonjakan import makanan dan minuman melalui Pelabuhan Dumai, di Riau selain di Pelabuhan Tanjung Periok di Jakarta, Pelabuhan Tanjung Perak di Surabaya dan Pelabuhan Belawan di Medan.

Import didapati menurun melalui pintu masuk lain seperti di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya yang turun 95 peratus, Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali (turun 47 peratus), Pelabuhan Soekarno-Hatta, Makassar (turun 60 peratus) serta di Pelabuhan Tanjung Emas, Semarang (turun 12.19 peratus).

Telefon bimbit jadi penyelamat

Posted: 13 Aug 2011 09:48 PM PDT

BEBERAPA orang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat Noredreen Natasya dilarikan di Kuala Besut, Terengganu semalam. Gambar kecil ialah Suhaimi.


BESUT – Tiga pemuda berpakat melarikan seorang gadis sunti berusia 15 tahun merentasi sempadan Terengganu- Kelantan selama lima jam malam kelmarin semata-mata dengan niat untuk memaksa pelajar tingkatan tiga itu mengahwini seorang daripada suspek.

Bagaimanapun, komplot mereka menculik Noredreen Natasya Suhaimi gagal selepas gadis itu sempat menggunakan telefon bimbitnya untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang rakan yang akhirnya berjaya membantu polis menyelamatkannya dan menahan dua suspek.

Insiden itu bermula pukul 9.15 malam kelmarin apabila gadis tersebut berjalan keluar dari sebuah kedai runcit di Alor Peroi di sini sebelum ditarik ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil.

Jeritan mangsa menarik perhatian bapanya, Suhaimi Mustafa (gambar kecil), 36, yang berada di rumah kira-kira 80 meter dari situ. Dia nampak anaknya ditarik ke dalam kereta itu tetapi tidak sempat menolong.

Bimbang keselamatan anaknya, Suhaimi terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.

Noredreen Natasya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya semalam memberitahu, kereta yang dinaikinya dipandu laju sebelum mereka berhenti di sebuah rumah kosong dipercayai milik salah seorang suspek di Kampung Gong Manor, Pasir Puteh, Kelantan, iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat dia dilarikan.

Dia mendakwa mengenali salah seorang penculik itu.

"Lelaki itu selalu kacau saya. Dia kerap telefon dan hantar SMS kepada saya.

"Dia jugalah yang mengajak saya untuk bernikah dengannya ketika saya diculik. Saya cukup takut tapi Alhamdulillah semuanya selamat,'' katanya yang enggan mendedahkan wajahnya untuk diambil gambar.

Anak bunuh bapa berperangai pelik

Posted: 13 Aug 2011 09:47 PM PDT


ANGGOTA polis menjalankan operasi memburu dan menjejaki suspek (gambar kecil) yang dipercayai bersembunyi dalam hutan di Kampung Paya Terap, Kuala Nerang semalam.


ALOR SETAR – Seorang penoreh getah yang melarikan diri setelah dipercayai menetak bapanya sehingga maut dengan sebelah kaki kanannya putus dari atas buku lali di Kampung Pasir Putih, Tualak di sini Khamis lalu berperangai pelik sejak kebelakangan ini.

Menurut adik ipar suspek, Mohd. Nazrin Zainol, 32, abang iparnya itu sering ketawa dan bercakap bersendirian dalam bilik di rumahnya, namun tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dituturkan.

Katanya, dia tidak mengetahui punca abang iparnya berperangai pelik kerana lelaki itu cuba mengelak apabila ditanya perkara tersebut.

Dia berkata demikian ketika ditemui ketika bersama-sama pasukan keselamatan menjejaki suspek di Kampung Paya Terap di sini semalam.

Menurut Mohd. Nazrin, suspek itu dipercayai menuntut satu ilmu, namun tidak diketahui ilmu yang dituntutnya kerana tidak diberitahu kepada anggota keluarga.

"Tiada siapa dalam keluarga yang tahu tentang ilmu yang dia tuntut," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Seman Sirun, 60, diserang anaknya dengan parang menyebabkan kaki kanannya putus dari atas buku lali selain parah di kepala dan tangan.

Tiga maut treler rempuh treler

Posted: 13 Aug 2011 09:46 PM PDT


TRELER (kanan) yang dipandu Mohammad Zu remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai semalam.


KUALA KRAI - Tiga termasuk sepasang suami isteri maut selepas treler yang mereka naiki hilang kawalan sebelum merempuh sebuah treler lain yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, pemandu treler, Mohammad Zu Yusoff, 47, dan isteri, Kamariah Ibrahim, 43, serta kelindan treler terbabit, Nik Mohd. Shahrizan Yaacob, 32, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Ja'apar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah lagi lori yang sehingga petang semalam masih gagal dikesan.

Menurutnya, lori tersebut dikatakan cuba memotong treler yang dipandu Mohammad Zu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit bergesel.

"Pergeselan menyebabkan mangsa (Mohammad Zu) tercampak ke atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang trelernya.

"Treler mangsa kemudian merempuh bahagian belakang sebuah lagi treler yang berhenti di bahu jalan berhampiran lokasi kejadian," katanya di sini semalam.

Tambahnya, rempuhan tersebut menyebabkan Kamariah dan Nik Mohd. Shahrizan tersepit dan mati di tempat kejadian.

Syarikat tawar kad eksklusif PATI diserbu

Posted: 13 Aug 2011 09:46 PM PDT


MASRI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan kad eksklusif untuk PATI yang dirampas di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Tembelang sebuah syarikat yang kononnya mengeluarkan kad eksklusif kepada warga asing tanpa izin (PATI) sebagai jaminan untuk bebas tinggal di negara ini akhirnya terbongkar selepas diserbu sepasukan penguat kuasa Imigresen Johor kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Imigresen berjaya menahan pemilik syarikat itu iaitu seorang wanita tempatan berusia 50-an selain tiga lelaki warga Indonesia yang sedang mengisi borang untuk mendapatkan kad kebal berkenaan.

Ketua Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Abdul berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati syarikat yang sudah beroperasi selama tiga bulan itu menjalankan proses pendaftaran pekerja asing sah tetapi pada masa sama turut menawarkan keahlian kad kebal dengan bayaran di antara RM1,500 hingga RM3,000 seorang.

"Meskipun pendaftaran yang dijalankan sah tetapi mereka turut mengeksploitasi warga asing dengan tawaran kad keahlian yang didakwa membolehkan warga asing terbabit kebal daripada sebarang tindakan undang-undang pihak berkuasa.

Tiket raya ETS masih ada

Posted: 13 Aug 2011 09:45 PM PDT


AMINUDDIN (kiri) dan Azizullah (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim Ipoh kelmarin.


IPOH – Pengguna perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) untuk laluan Ipoh-KL Sentral-Seremban tidak perlu bimbang untuk pulang menyambut Aidilfitri kerana masih banyak tiket perkhidmatan tersebut yang berbaki.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan berkata, pada musim perayaan ini iaitu dari 25 Ogos hingga 6 September ini ETS menawarkan kira-kira 65,500 tempat duduk untuk kedua-dua laluan, Ipoh dan Seremban.

"Setakat ini sebanyak 13,371 tiket untuk kelas Platinum, Emas dan Perak telah dijual. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, kebanyakan pengguna akan membeli tiket ETS pada saat-saat akhir," katanya pada majlis sambutan ulang tahun pertama ETS di Stesen Keretapi Ipoh di sini kelmarin.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved