Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Raja Farah Jaga Adab Selepas Bertudung
- Siti Rohani Tunggu Empat Tahun Jadi Pengacara
- Abot Lancar Album, Novel Selepas Aidilfitri
- Gafim, PFM Kembali Berdamai
- Britney Spears Dilarang Memiliki Telefon Bimbit
- Anak Jolie, Pitt Mula Berlakon
- Anak Lelaki Chef Wan Ingin Lamar Ana Dahlia
- Kontroversi Punca Jodoh Faezah Elai & Heykal
- Shuib Gembira Siti Sarah Mengandung Bayi Lelaki
- Fida & Mamat (Sepah) Mengaku Kawan Rapat
- Ramli MS Mahu Saman Penganjur Konsert Francissca Peter
- Shuhaimi Baba Bimbang Adegan Panas 'Tanda Putera' Dipotong
- Mahkamah Sahkan Joey Bercerai Talak Satu
- Jennifer Lopez, Steven Tyler & Randy Jackson Kekal Juri AI
Raja Farah Jaga Adab Selepas Bertudung Posted: 12 Aug 2011 07:50 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Pelakon "Aku Masih Dara" yang kini sudah memakai tudung mengakui lebih selesa dengan penampilan barunya itu. Tambah Farah, selepas menutup aurat sepenuhnya dia lebih menjaga adap dari segi percakapan dan pergaulan dengan lelaki bukan muhrim. "Saya bertudung sejak dua bulan lalu dan mengakui ia datang daripada hati saya sendiri. Selepas melakukan penghijrahan tersebut saya rasa kelainan yang sangat ketara. "Saya lebih menjaga adap pergaulan terutama untuk bersalam dengan lelaki bukan muhrim, begitu juga dari segi tutur percakapan," ujarnya yang ditemui pada rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Rabu lalu. Menceritakan detik hatinya terbuka untuk memakai tudung, Farah berkata ia bermula selepas membeli beberapa helai tudung di sebuah butik selepas menjalani penggambaran drama Cinta Abang Lori. "Saya sebenarnya sudah lama berhasrat untuk memakai tudung tapi tiada tarikh yang tepat untuk itu, jadi suatu hari selesai penggambaran saya singgah di sebuah butik dan membeli beberapa helai tudung. "Ketika pulang suami saya bertanya mengapa saya membeli tudung tersebut, justeru saya terus mengambil keputusan untuk memakainya," jelasnya. Tambah Farah, dia gembira penghijrahan tersebut mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga kedua belah pihak. "Perkara yang baik sudah tentu keluarga sokong, bila saya katakan mahu bertudung sepenuhnya, mereka sangat gembira dan tidak menolak cadangan ini," tuturnya. Ditanya tentang kerjayanya dalam bidang lakonan, Farah berkata dia bersyukur masih mendapat tawaran berlakon biarpun dia akui watak yang diterimanya agak terhad. "Alhamdulillah, ramai dalam industri ini menerima keputusan saya untuk bertudung dan tawaran berlakon masih sama seperti dahulu cuma watak sahaja yang agak terhad berbanding dahulu. "Ada juga produksi yang meminta saya untuk membuka tudung tetapi saya tetap dengan pendirian saya," ujarnya. Dalam pada itu, ketika ditanya soal cahaya mata selepas sembilan bulan mendirikan rumah tangga dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, Farah mengakui masih lagi berharap. Kata Farah, dia masih terkilan dengan kontroversi yang mengatakan dia telah mengandung sebelum melangsungkan pernikahannya November lalu. "Saya masih berharap untuk mendapatkan anak tapi buat masa ini ia tidak terlalu terdesak. Saya masih kesal dengan tuduhan yang mengatakan saya hamil sebelum bernikah sedangkan sehingga sekarang saya masih lagi belum dikurniakan rezeki tersebut," ujarnya. |
Siti Rohani Tunggu Empat Tahun Jadi Pengacara Posted: 12 Aug 2011 07:49 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Penyampai radio Ikim FM, Siti Rohani Surani, 27, (Siti) berkata penantiannya selama empat tahun untuk menjadi pengacara terbayar selepas ditawarkan sebagai hos program Ustazah Pilihan di saluran Astro Oasis bermula Oktober depan. Akui wanita dari Temerloh, Pahang ini, sudah empat tahun dia mengintai peluang untuk bergelar pengacara program-program di saluran itu sejak ia dilancarkan pada Oktober 2007. "Tawaran sebagai pengacara program UP ini satu peluang yang amat saya hargai selepas empat tahun menunggu. Perasaannya tidak terungkap dengan kata-kata dan hanya Allah saja yang tahu. "Ketika saluran ini dilancarkan ada juga saya berangan-angan untuk mengintai peluang tetapi tidak sangka pula impian itu menjadi kenyataan akhirnya," katanya yang ditemui baru-baru ini. Tambah Siti, keterujaan terhadap bidang pengacaraan televisyen tidak pernah pudar sekalipun beberapa kali ditolak oleh pelbagai stesen televisyen hanya kerana penampilannya yang bertudung. "Sebelum ini saya sering ditolak oleh stesen televisyen apabila menghadiri uji bakat hanya kerana saya bertudung. Namun, impian untuk menjadi pengacara tidak pernah berkubur. "Selepas enam tahun bersama Ikim FM, tidak sangka pula saya berpeluang untuk merealisasikan impian sebagai pengacara semula," katanya yang menganggap peluang itu sebagai ketentuan Tuhan. Walaupun bukan asing dengan dunia penyiaran, Siti tetap merasai debaran dan cabaran yang bakal dihadapinya kerana menyedari jenama dan pengisian program yang julung kali diterbitkan itu. "Saya akui ia bukan tugas yang mudah dan sangat mencabar tetapi tidak mustahil untuk berjaya berkat doa dan keizinan daripada Allah. "Malah, saya juga sudah bersedia mental dan fizikal untuk berdepan sebarang pertikaian, komen atau pandangan orang ramai tidak kiralah yang positif atau sebaliknya," katanya. Selain tanggungjawab barunya sebagai pengacara UP yang bakal bermula Oktober depan, rutin harian Siti terisi dengan tugasan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. |
Abot Lancar Album, Novel Selepas Aidilfitri Posted: 12 Aug 2011 07:49 PM PDT ![]() PETALING JAYA: Setelah lama menyepi, penyanyi alternatif pertama Malaysia, Abot atau nama sebenar Norimah Muhammad akan melancarkan album berserta novel terbarunya berjudul My Happy Tree selepas Hari Raya Aidilfitri. Jelas Abot, album yang memuatkan lima buah lagu baru dan novel tersebut merupakan produk untuk dia kembali semula dalam industri hiburan tanah air. "Sudah terlalu lama saya menyepi dan ramai peminat yang bertanya tentang album dan novel baru. "Album dan novel ini merupakan buah tangan saya untuk kembali semula memeriahkan dunia hiburan tanah air," katanya yang ditemui di rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Rabu. Penyanyi yang terkenal dengan lagu "Kasih Mu" ini berkata album dan novel tersebut merupakan hasil karyanya sepanjang dia menyepikan diri dari industri hiburan. "Novel dan album ini saling berkait ia menceritakan tentang kehidupan, ikatan kekeluargaan, kematian dan persahabatan. "Ia adalah hasil karya saya selama menyepi beberapa tahun ini, saya harap dengan kemunculan album dan novel ini dapat memuaskan hati peminat saya," katanya. Sementara itu, ketika ditanya mengapa terlalu lama hilang dari industri tanpa sebarang lagu baru, Abot berkata dia mempunyai rahsia di sebalik aktiviti tersebut. "Saya bukan sengaja menyepikan diri tetapi ada peristiwa yang berlaku memaksa saya untuk berundur seketika dalam bidang ini. "Insya-Allah, saya akan ceritakan perkara tersebut pada hari pelancaran album dan novel itu nanti," katanya. |
Posted: 12 Aug 2011 07:48 PM PDT ![]() PETALING JAYA: Selepas beberapa kemelut timbul di antara Persatuan penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), kini kedua-dua pihak tersebut mencapai kata sepakat untuk kembali berdamai. Pada 8 Ogos lalu, pihak Gafim dan PFM telah membuat pertemuan damai dan selepas berbincang, kedua-duanya bersetuju untuk memberikan tumpuan dalam menjalinkan kerjasama demi kemajuan industri perfileman tempatan. Gafim dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya juga menghormati keputusan PFM untuk menarik diri daripada gabungan itu yang kini mempunyai sebanyak 11 buah persatuan. "Begitu juga dengan pihak PFM, mereka bersetuju dan menghormati keputusan ahli-ahli gabungan memilih barisan kepimpinan baru Gafim," kata kenyataan itu. Bagaimanapun, Gafim dan PFM akan bekerjasama pada masa akan datang jika memerlukan dua pihak ini bergandingan dalam melakukan projek-projek industri perfileman. Pada 19 Julai lalu, PFM telah menarik diri daripada bernaung di bawah Gafim setelah mendapati ada sesetengah pihak yang dipercayai "membeli undi" untuk memenangi jawatan dalam persatuan tersebut dalam Mesyuarat Agung Tahunan Gafim. Sementara itu, berhubung dengan penganjuran Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24) yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini, pihak PFM membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam pengurusan FFM24. Walaupun begitu ahli-ahli PFM yang telah dilantik menduduki jawatankuasa festival tetap akan bertanggungjawab melunaskan kerja masing-masing. |
Britney Spears Dilarang Memiliki Telefon Bimbit Posted: 12 Aug 2011 07:48 PM PDT ![]() LONDON: Penyanyi Britney Spears, 29, telah dilarang daripada memiliki telefon bimbit sendiri untuk mengawal tingkah lakunya. Larangan tersebut dilihat sebagai salah satu langkah yang diambil oleh individu terdekat dengan penyanyi itu bagi mengelak dia mengulangi kesilapan-kesilapan pelik sebelum ini. "Orang yang paling rapat dengan Britney sentiasa memerhati gerak-gerinya bagi memastikan dia berada pada trek yang sepatutnya. "Salah satu pendekatan yang diambil adalah melarangnya daripada memiliki telefon bimbit kerana ia membantu orang lain untuk mengawal dirinya," kata satu sumber seperti dipetik akhbar Sun. Pada tahun lalu, bekas pengawal peribadinya Fernando Flores, 30, mendakwa penyanyi itu telah mengirimkan beberapa keping gambar bogel yang diambil sendiri menggunakan telefon bimbit. Spears juga dituduh telah menunjukkan alat sulitnya dan melakukan bayaran pendahuluan yang tidak dikehendaki untuk rumahnya di Los Angeles. Bagaimanapun, penyanyi lagu Baby On More Time itu menyangkal semua dakwaan tersebut. Bintang pop itu berada di bawah perlindungan undang-undang dan kerjayanya kini diuruskan oleh bapanya Jamie susulan kekalutan yang melandanya pada 2008. |
Anak Jolie, Pitt Mula Berlakon Posted: 12 Aug 2011 07:46 PM PDT ![]() NAMPAKNYA, anak angkat sulung pasangan Angelina Jolie dan Brad Pitt, Maddox Chivan Jolie-Pitt, akan mengikut jejak langkah ibu bapanya menjadi seorang bintang filem. Maddox yang berusia 10 tahun itu akan membintangi filem penerbitan produksi Pitt dan khabarnya dia ditawarkan melakonkan watak utama. Filem tersebut dijadualkan akan memulakan penggambarannya pada tahun depan. "Filem tersebut telah diadaptasi daripada sebuah novel bergambar mengenai seorang kanak-kanak penggembala meninggalkan rumahnya di puncak gunung untuk bertempur dengan seekor raksasa," kata sumber kepada Daily Star. Tambah sumber itu lagi, kehidupan harian Maddox sebenarnya diisi dengan dunia perfileman selain meminati membaca komik. Kerana itu, Jolie dan Pitt berpendapat Maddox begitu sesuai dengan watak tersebut. Sementara itu, Maddox dan lima adik beradiknya kini berada di England mengikuti Jolie dan Pitt menjalani penggambaran filem World War Z. |
Anak Lelaki Chef Wan Ingin Lamar Ana Dahlia Posted: 11 Aug 2011 11:36 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Anak teruna Datuk Chef Wan iaitu Mohd. Nadzri,30, mengakui sudah bersedia untuk menjadikan pelakon filem Mantera, Ana Dahlia,28, sebagai calon isteri selepas enam bulan berkenalan. Mohd. Nadzri atau lebih mesra dengan panggilan Chef Riz berkata, majlis pertunangan mereka akan diadakan sebelum hujung tahun ini tetapi enggan mendedahkan tarikhnya kerana ia masih dalam perbincangan. "Insya-Allah, saya sudah terbuka untuk menjadikan Ana sebagai calon isteri saya. Hubungan kami mendapat restu kedua orang tua termasuklah ayah saya sendiri iaitu Chef Wan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini, Rabu. Hubungan cinta kedua-dua pasangan tersebut berjaya dihidu apabila mereka hadir dengan memakai pakaian warna biru sedondon pada majlis itu. Riz yang juga pemilik restoran On The Table dan syarikat Culinary Brilliance Sdn. Bhd. di Solaris, Damansara di sini berkata, hatinya terpaut kepada Ana kerana melihat sifat kewanitaan yang menebal dalam diri wanita itu sepanjang hubungan mereka berjalan. ![]() Katanya, Ana juga seorang yang suka menikmati apa juga makanan sementara dia pula gemar memasak. "Dia suka makan, saya suka masak. Bila kami berjumpa, kami selalu berborak mengenai masakan. Bermula dari situlah kami menjadi semakin mesra dan bertambah serasi," katanya. Selain faktor itu kata Riz hatinya terpikat kepada Ana selepas mencuba masakan rendang daging dan kangkung goreng belacan yang dimasak pelakon itu, memenuhi cita rasa seperti air tangan seorang chef. Ditanya mengenai detik percintaan mereka kata Riz, kakaknya iaitu pelakon Serina yang merupakan kawan baik Ana telah menjadi orang tengah mempertemukan mereka. Katanya pada mulanya dia tidak terbuka hati untuk menjadikan Ana sebagai kekasih sehinggalah pada suatu hari mereka membuat keputusan berkenaan selepas melihat keserasian yang ada. "Saya tidak malu untuk berterus terang mengenai hubungan kami kerana saya lebih selesa bersikap jujur. Memang benar saya mencintai dia dan sedang merancang untuk majlis pertunangan sebelum berumah tangga," katanya yang berhasrat bergelar suami secepat mungkin. Mengenai reaksi Chef Wan pula kata Riz, ayahnya tidak menghalang hubungan mereka itu tetapi dia selalu memberi nasihat agar menjaga batas-batas sebagai orang bercinta. Sementara itu Ana yang malu-malu apabila membicarakan mengenai hubungan mereka berkata, sikap Riz yang peramah dan pemurah menyebabkan dia jatuh hati untuk menerimanya sebagai kekasih. Kata Ana, kehebatan seorang lelaki yang boleh memasak adalah faktor berganda yang menyebabkan perasaan sayang itu bertambah menebal. "Seperti yang dia cakaplah. Dia suka masak, saya pula suka makan. Jadi tidak salah saya katakan makanan telah menyatukan hubungan kami," ujarnya. |
Kontroversi Punca Jodoh Faezah Elai & Heykal Posted: 11 Aug 2011 11:33 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Faezah Elai memberitahu kontroversi yang tercetus di antara dia dan pengarah Heykal Hanafiah telah menimbulkan bibit cinta mereka berdua. Jelas Faezah, dia dan Heykal mula rapat apabila sering bertemu bagi menyelesaikan masalah yang mengaitkan mereka. "Saya rapat dengan Heykal selepas kontroversi yang melanda kami, padahal sebelum kontroversi tersebut memang kami tiada sebarang hubungan langsung. "Pada asalnya kami hanya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut dan akhirnya hubungan itu melahirkan satu perasaan lain," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem Tanda Putera, Perbadanan Kemajuan Filem Merdeka (Finas) di sini, Selasa. Kisah Faezah dan Heykal menjadi panas sebelum ini apabila mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa ketika lelaki tersebut mengarahkan sebuah drama lakonan pelakon wanita itu. Akibatnya Faezah dituduh menyebabkan keruntuhan rumah tangga Heykal Bagaimanapun, Faezah menegaskan dia sama sekali tiada kaitan dengan masalah rumah tangga pengarah drama Asmara itu. "Saya rapat dengan dia selepas dia berpisah dengan isterinya, saya tiada kaitan dengan masalah rumah tangga mereka," tuturnya. Pasangan yang memilih tarikh 9 September untuk diijabkabulkan menganggap perkenalan dalam waktu singkat itu bukan penghalang untuk menjalani kebahagiaan dalam rumah tangga. "Biarpun hubungan percintaan kami singkat, namun saya yakin saya mengenali dia. Malah saya juga memahami apa masalah sebenar yang menyebabkan kegagalan rumah tangganya. "Saya yakin apabila hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak, adalah lebih baik perkahwinan kami dijalankan segera," katanya. Ketika ditanya tentang tindakannya sebelum ini yang cuba menyembunyikan identiti bakal suami dan tarikh perkahwinannya, Faezah menjelaskan perkara itu dibuat atas permintaan bakal ibu mertuanya. "Saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini apabila ditanya wartawan, tetapi ia adalah permintaan ibu mertua saya yang tidak mahu ia diumumkan sebelum kad undangan siap dicetak. "Sekarang mungkin masa yang tepat untuk saya mengumumkan majlis tersebut kerana semuanya sedang berjalan dan ibu mertua sudah beri lampu hijau," katanya. |
Shuib Gembira Siti Sarah Mengandung Bayi Lelaki Posted: 11 Aug 2011 11:33 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin memberitahu, suaminya Shahmira Muhahamad atau Shuib amat gembira selepas mengetahui bayi yang di kandungnya merupakan bayi lelaki. Sarah berkata, mereka mendapat berita itu selepas disahkan doktor ketika melakukan pemeriksaan perubatan terhadap kandungan yang berusia enam bulan itu Selasa lalu. "Shuib amat gembira bila dapat tahu saya mengandungkan bayi lelaki. Sebabnya dia memang idamkan anak pertama dalam hidup kami ialah anak lelaki," katanya yang ditemui semasa rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu. Menurut Sarah, sebagai bakal ibu dia tidak kisah mengenai jantina anaknya dan sentiasa memberi nasihat kepada Shuib agar tidak terlalu mengharap untuk memperoleh anak lelaki. Katanya, mungkin terlalu menginginkan zuriat berkenaan, akhirnya Allah memperkenankan doa suaminya itu. "Saya tak kisah nak dapat anak lelaki atau perempuan tetapi Shuib yang begitu menaruh harapan tinggi untuk melihat zuriat pertama kami ialah lelaki. Syukurlah... Allah makbulkan permintaannya dan dia amat gembira," katanya. Sarah yang di jadual bersalin pada awal Disember depan berkata dia tidak menghadapi sebarang masalah atau mengidam perkara yang pelik sepanjang mengandung anak sulungnya itu. Sebaliknya kata Sarah dia tidak boleh menikmati makanan yang sama setiap hari kerana cepat menjadi muak dan termuntah. "Contohnya kalau hari ini saya makan ikan sardin, esok saya dah tak boleh pandang ikan sardin lagi. Kalau tidak, saya akan jadi mual. Itu sahajalah perkara pelik yang saya alami sepanjang kandungan saya berusia enam bulan ini," katanya. Menurut Sarah dia belum bersedia membeli kelengkapan bayi walaupun selepas mengetahui jantina bayinya itu tetapi mahu menunggu kandungannya berusia sembilan bulan. Sementara itu Sarah menambah dalam tempoh mengandung selama enam bulan itu dia berjaya merakamkan lagu duet bersama Shiub dengan tajuk "Cinta Itu Nyawa" yang di jadual diedarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Lagu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh AD Samad itu kata Sarah menceritakan kisah benar mengenai percintaannya dengan Shuib sebelum ini. "Mula-mula perkenalan saya dengan Shuib, saya buat keputusan untuk tidak menerima cintanya tetapi dia tetap berusaha untuk mendapatkan saya sehinggalah terbit kata-kata "cinta itu nyawa" daripada mulut dia," katanya. Menurutnya dia menyanyikan lagu itu dengan penuh perasaan dalam keadaan berbadan dua selepas memikirkan perjalanan cintanya dengan anggota kumpulan Sepah itu. |
Fida & Mamat (Sepah) Mengaku Kawan Rapat Posted: 11 Aug 2011 11:31 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Pelakon Fida Ibrahim dan pelawak Mamat (Sepah) mengaku mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain. Fida ketika ditemui di majlis rakaman program Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akui menyenangi sikap Mamat yang lebih mementingkan keluarga dalam hidupnya. "Saya dan Mamat berkawan rapat hampir enam bulan lalu. Saya suka berkawan dengannya setelah melihat banyak keistimewaan dalam dirinya. "Antara ramai artis lelaki, saya tertarik dengan cara dia menandatangani autograf kepada peminat dengan menggunakan tulisan jawi dan selepas memenangi Maharaja Lawak baru-baru ini, dia terus pulang ke kampung untuk bertemu keluarga berbanding mengutamakan orang lain. "Jadi, kualiti yang ada itu membuatkan saya selesa untuk berkawan dengannya, namun hubungan kami masih baru untuk mengatakan kami bercinta atau tidak," jelas Fida. Menurutnya, hubungan mereka mula mesra selepas kerap kali bertemu untuk menjayakan promosi filem "Man Sewel Datang KL" pada bulan Mac tahun ini. "Saya tak nafikan, sejak dari itu kami pernah keluar bersama-sama tetapi ditemani oleh pembantu peribadi masing-masing. "Kami juga sering berhubung melalui BlackBerry Messenger (BBM). Saya serius berkawan dengannya cuma tentang jodoh kita belum tahu," ujar Fida. Sebelum ini, Fida akui pernah berkawan dengan Zizan (Raja Lawak). Ditanya sama ada kriteria lelaki pilihannya adalah seorang yang kelakar, jelas Fida: "Saya suka pelawak kerana seronok berkawan dengan mereka yang kadangkala berbeza karakter di luar berbanding yang kita tengok di televisyen." |
Ramli MS Mahu Saman Penganjur Konsert Francissca Peter Posted: 11 Aug 2011 11:31 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Pengarah muzik, Datuk Ramli MS akan memfailkan tuntutan saman terhadap dua syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan Konsert Keunggulan Francissca Peter kerana gagal melunaskan bayaran penuh kepadanya termasuk pihak pemuzik. Konsert berkenaan diadakan selama dua hari bermula 5 Februari lalu di Istana Budaya di sini. Ramli berkata, pemuzik yang mengiringi konsert berkenaan hanya mendapat 75 peratus sahaja bayaran manakala upahnya sebagai pemimpin orkestra langsung tidak dibayar. "Pada hari pertama konsert, pihak penganjur terlibat hanya melunaskan bayaran sebanyak 50 peratus sahaja untuk pemuzik-pemuzik saya seramai 45 orang manakala baki 25 peratus lagi telah dilunaskan selepas sepuluh hari. Itu pun apabila peguam saya berhubung dengan pihak mereka untuk menuntut bayaran berkenaan," katanya. Tambahnya, selepas pembayaran berkenaan dibuat, pihak berkenaan terus mendiamkan diri tanpa membuat pembayaran selanjutnya kepada mereka. "Pihak penganjur sebelum ini sudah dimaklumkan mengenai cara saya bekerja iaitu mereka perlu membuat pembayaran keseluruhan kepada saya termasuk pemuzik pengiring sebelum konsert berlangsung. "Malangnya mereka gagal memenuhi syarat itu menyebabkan konsert tersebut lewat 20 minit kerana perbincangan bayaran dengan pihak penganjur terpaksa dilakukan," katanya. Ramli menjelaskan, dia terpaksa meneruskan tugasnya memimpin konsert berkenaan apabila pihak penganjur berjanji untuk menyelesaikan bayaran pada hari kedua konsert tetapi mereka sebenarnya tidak melakukan perkara itu. Katanya, antara alasan yang diberikan oleh kedua-dua pihak ialah mereka tidak mempunyai wang untuk melunaskan baki yang tertunggak Ujarnya, masalah yang timbul itu menyebabkan dia diburu oleh pemuzik yang terlibat dalam konsert berkenaan kerana mereka mahu menuntut bayaran masing-masing sehingga menjejaskan reputasinya dalam bidang seni. "Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku sepanjang pembabitan saya menjadi pengarah muzik. Saya merasakan apabila timbul masalah seperti ini, pada masa akan datang sudah tentu pemuzik yang dipanggil bekerja di bawah saya bimbang untuk melakukan kerjasama lagi," katanya. |
Shuhaimi Baba Bimbang Adegan Panas 'Tanda Putera' Dipotong Posted: 11 Aug 2011 11:29 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Pengarah filem Datin Paduka Shuhaimi Baba mengakui bimbang dengan adegan panas yang terdapat dalam filem "Tanda Putera" tidak melepasi tapisan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). Jelasnya, dia terpaksa mengambil risiko untuk meneruskan beberapa adegan sensitif dalam filem tersebut kerana ia merupakan nadi kepada keseluruhan filem yang mengisahkan perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak. "Ada beberapa adegan dalam filem ini yang saya bimbang tidak lepas LPFM kerana ia menyentuh peristiwa-peristiwa kontroversi pada zaman tersebut. "Contohnya peristiwa 13 Mei yang berlaku dan perbalahan antara kaum yang telah menyebabkan negara menjadi kucar-kacir," katanya pada majlis doa selamat selesai penggambaran filem tersebut di sini, Selasa. Turut hadir pada majlis itu ialah barisan artis seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Norman Hakim, Linda Hashim, dan Riezman Khuzaimie. ![]() Tambah Shuhaimi, biarpun menyedari perkara tersebut agak sensitif dan berkemungkinan besar akan dipotong dia terpaksa melakukannya kerana tidak mahu mencacatkan filem berkenaan. "Saya terpaksa ambil risiko memasukkan juga beberapa adegan yang dianggap sensitif ini kerana jika ia dipotong akan mencacatkan jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan, "Lagi pula, pada saya peristiwa tersebut patut didedahkan kepada umum agar masyarakat faham bagaimana ia boleh berlaku dan tidak mengulanginya lagi," jelasnya. Filem yang latar belakang era 70-an ini menceritakan kisah benar persahabatan antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa 13 Mei 1969. Tambah Shuhaimi, filem tersebut hampir siap penggambaran dan pihaknya akan menyelesaikan babak terakhir di London selepas Hari Raya ini. Filem terbitan Pesona Pictures ini dijangka berada di pawagam awal tahun depan. |
Mahkamah Sahkan Joey Bercerai Talak Satu Posted: 11 Aug 2011 11:28 PM PDT ![]() KAJANG: Ikatan perkahwinan pelakon dan penyanyi, Joey dan isteri, Noraini Mohammad Nasir terlerai pada Khamis, apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan lafaz talak yang dibuat lebih setahun lalu sebagai sah. Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada penghakimannya juga memutuskan bahawa tidak berlaku rujuk antara pasangan tersebut, selepas Joey bersumpah bagi menafikan dakwaan yang dibuat oleh isterinya yang merupakan bekas produser. Percanggahan yang timbul atas isu rujuk, menyebabkan Abdul Halim memutuskan bahawa Noraini selaku pihak yang mendakwa perlu menawarkan kepada Joey untuk bersumpah dan sekiranya lelaki itu tidak bersedia untuk berbuat demikian, beban untuk bersumpah akan kembali kepada wanita terbabit. Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud, 37, bagaimanapun mengakui bahawa dia bersedia untuk bersumpah yang dilakukannya pada pukul 12. 10 tengah hari. "Saya tidak pernah melafazkan rujuk kepada isteri saya pada 8 Jun 2010 atau pada bila-bila masa sekali pun selepas perceraian. Sekiranya saya berdusta dengan sumpah ini, maka laknat Allah akan menimpa ke atas diri saya di dunia dan akhirat," lafaz vokalis kumpulan Exists tersebut. Selepas Joey melafazkan sumpah itu, Abdul Halim memutuskan bahawa pasangan tersebut sah bercerai dengan talak satu kali pertama dan memerintahkan Noraini, 44, untuk beredah selama tiga kali suci bermula lafaz dibuat, iaitu 4 Jun 2010. Memandangkan Joey pernah mengakui dia mahu berkahwin lain, Abdul Halim berkata secara terus kepadanya: "Sila daftarkan perceraian ini ke pejabat agama untuk membolehkan kamu berkahwin lain seperti yang kamu cakap." Pada penghakimannya, Abdul Halim turut menyelitkan nasihat agar umat Islam tidak tergesa-gesa melafazkan cerai kepada isteri mereka meskipun telah berasa amat benci dan seharusnya ia dibawa kepada pengetahuan mahkamah. "Dalam kes ini, plaintif (Noraini) telah melarikan diri (masuk ke dalam rumah) kerana tidak mahu mendengar lafaz cerai itu. Defendan (Joey) telah melafazkan cerai dengan tergesa-gesa hanya kerana minat yang mendalam terhadap seorang wanita lain. "Sepatutnya ia dimajukan kepada mahkamah, terutamanya atas perasaan belas kepada isteri yang telah berpenat lelah berkorban untuk suami," katanya. Berdasarkan permohonan yang difailkan pada 15 Oktober 2010, Noraini mendakwa Joey yang pernah menghasilkan album Beradu Suratan itu melafazkan cerai kerana mempunyai hubungan dengan wanita lain bernama Norwati Sadali atau lebih dikenali sebagai Watie (Elite). Lafaz cerai yang dimulakan dengan bacaan Bismillah itu didakwa Noraini berlaku pada 4 Jun 2010 dan di tempat letak kereta dan hanya didengari oleh seorang rakan bernama 'Acong' yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada dirinya. Wanita bertubuh ramping itu seterusnya mendakwa, Joey ada kembali semula ke rumah pada 8 Jun 2010 dan melafazkan rujuk sambil tangan kanannya memegang dahi isterinya, manakala tangan kiri memegang Al-Quran dan diikuti dengan hubungan suami isteri. Bagaimanapun, Joey menafikan semua dakwaan itu dan berkata, dia hanya kembali ke rumah pada hari tersebut untuk mengambil barang dan menjenguk anak angkat mereka, Zidani yang berusia empat tahun. Pasangan itu berkahwin pada 4 Mei 2005. Sementara itu, Joey yang hadir ke mahkamah dengan seorang rakan apabila ditemui meluahkan rasa syukur kerana permasalahan rumah tangganya telah dapat diselesaikan. "Cuma saya hendak cakap ia tidak melibatkan orang ketiga," katanya dan apabila ditanya bila mahu melangsungkan perkahwinan, secara berseloroh, Joey menjawab, jika boleh hari ini juga. Perkara itu terpulang kepada jodoh dan juga rezeki," tambahnya. Noraini pula memberitahu, dia menerima keputusan mahkamah dan lega kerana Joey sanggup menerima akibat daripada sumpah itu dan akan meneruskan hidup dengan anak mereka. "Saya hanya nak pesan kepada artis-artis wanita, jika banyak lagi lelaki lain, jangan ambil suami orang. Tolong cari yang lain, jangan runtuhkan rumah tangga orang lain dan biarkan anak-anak kecil tanpa bapa," katanya. |
Jennifer Lopez, Steven Tyler & Randy Jackson Kekal Juri AI Posted: 11 Aug 2011 11:22 PM PDT ![]() SELEPAS kejayaan pertandingan realiti American Idol (AI) musim ke-10 tahun ini dengan penglibatan Jennifer Lopez, Steven Tyler dan Randy Jackson membuatkan mereka dikekalkan sebagai juri untuk musim seterusnya yang dijangka bermula tahun depan. Berita itu disampaikan secara langsung oleh Penerbit Eksekutif program itu, Nigel Lythogoe yang tampil dalam rancangan radio kendalian Ryan Seacrest. "Saya ingin berkongsi kegembiraan ini bahawa Jennifer, Steven dan Randy, yang begitu hebat ketika menjadi juri akan menyambung kontrak mereka pada tahun hadapan," kata Nigel. Pada akaun Twitter milik Ryan yang juga merupakan pengacara American Idol, uji bakat rancangan itu akan dimulakan dalam jangka masa beberapa minggu lagi dan program tersebut akan disiarkan bermula Januari depan. Difahamkan, dua juri baru, Jennifer dan Steven menerima bayaran yang lumayan daripada pihak penerbit. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan