ads

Rabu, 10 Ogos 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Fizz rimas dengan gosip

Posted: 10 Aug 2011 10:13 PM PDT


Fizz Fairuz tidak menyimpan perasaan dendam pada mana-mana pelakon.


FIZZ Fairuz yang terkenal dengan watak Aidil dalam drama bersiri Nur Kasih tidak kisah apabila namanya kurang menjadi bualan ramai seperti mana adiknya, Adam, lakonan Remy Ishak.

Katanya, setiap orang ada rezeki masing-masing dan sudah menjadi lumrah, benda baru akan menjadi sanjungan dan yang lama akan dilupakan.

Menurut Fizz, setiap orang yang menceburi bidang seni perlu bersedia menghadapi putaran roda kerana ada ketikanya berada di atas dan ada masanya di bawah.

"Mungkin disebabkan saya sudah lama dalam bidang ini, jadi orang tidak beri perhatian. Biasalah setiap kali ada orang baru dan kebetulan drama itu mendapat sambutan dan Remy pelakon utama, sudah tentu namanya diperkatakan.

"Pada saya, biarlah orang nak kata saya popular atau tidak kerana setiap kali berlakon saya sentiasa memberikan yang terbaik tanpa mengira dengan siapa saya digandingkan," katanya jujur.

Fizz yang ditemui pada majlis memperkenalkan Koleksi Rantaian Kasih 2011 Habib Jewels di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia tidak pernah ada perasaan dengki terhadap Remy atau sesiapa yang pernah berlakon dengannya.

Fizz yang turut berlakon sebagai Taufik dalam drama bersiri Stanza Cinta yang disiarkan pukul 9 malam setiap Ahad di TV3 berkata, dia tahu sejauh mana kemampuannya dalam bidang seni.

"Sebagai pelakon, saya sentiasa bersedia menerima kenyataan ada ketikanya nama di atas dan bila sampai waktu, nama di bawah. Itu semua adalah lumrah.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sentiasa mendapat tawaran berlakon," katanya terus terang.

Sementara itu, Fizz turut terpilih bersama Aznil Nawawi, Dynas Mokhtar, Irma Hasmie, Scha Al-Yahya, Julia Ziegler dan Ifa Raziah turut menggayakan koleksi terbaru barang kemas Habib Jewels untuk promosi Koleksi Rantaian Kasih 2011 sempena Ramadan ini.

Lebih 1,000 jenis barangan kemas rekaan baru berkonsepkan tradisional dan kontemporari dikeluarkan khas buat semua golongan, termasuklah kanak-kanak.

Selain mengeluarkan koleksi baru, Habib turut menawarkan perkhidmatan penilaian zakat, membersihkan dan membuat penilaian barangan kemas.

Vokal terbaik pilihan Siti

Posted: 10 Aug 2011 10:10 PM PDT


GANDINGAN mantap Siti Nurhaliza (kiri), Azlan & The Typewriter dan Dayang Nurfaizah sewaktu menyampaikan lagu Jeritan Batinku dan Merisik Khabar mendapat tepukan gemuruh penonton.


JIKA disingkap kembali program hiburan Syawal tahun lalu, nama biduanita muda ini sememangnya berada di takhta teratas.

Mana tidaknya. Hampir semua saluran televisyen di negara ini telah menayangkan program yang melibatkan dirinya sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada segelintir pihak.

Barangkali untuk peminat setia Datuk Siti Nurhaliza, ia tidak menjadi hal kerana pada hari yang istimewa ini sahajalah peluang mereka menonton persembahan artis kesayangan mereka itu.

Bagi stesen televisyen pula, pemilihan Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Siti itu dalam setiap program hiburan mereka tidak lain hanyalah untuk mengejar rating sekali gus menempatkan diri dalam kedudukan tertinggi.

Akibatnya, kredibiliti Siti mula dipersoal sehingga ada yang berkata penyanyi jelita itu tidak lagi menjaga eksklusifnya sebagai penyanyi tersohor negara.

Malah, dengan kekerapan wajahnya di televisyen sepanjang Syawal lalu juga telah membuatkan segelintir pihak tadi melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Kata mereka, industri hiburan tempatan seolah-olah ketandusan penyanyi wanita yang mampu diketengahkan sehingga Siti sahaja yang diberi peluang.

Tetapi mengenali Siti, sepanjang 16 tahun menjadi anak seni, apa sahaja kata orang yang dilemparkan kepadanya bukanlah satu kudis baginya.

Berbeza tahun lalu, nampaknya Syawal kali ini menyaksikan juara Bintang HMI 1995 itu akan mengurangkan kemunculannya di televisyen.

Setakat ini, Siti sudah pun menyelesaikan rakaman program Datuk Siti Nurhaliza bersama IK3 untuk TV9 dan Gegar Raya Kampung Pening Lalat terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk siaran TV1, baru-baru ini.

"Apabila memperkatakan tentang program Raya, saya hanya memenuhi permintaan stesen televisyen. Seandainya tidak bertembung dengan jadual saya, insya-Allah, saya akan melakukannya.

"Selepas TV9 dan RTM, saya akan terlibat dengan sebuah lagi program raya terbitan Global Station untuk siaran Astro yang menampilkan saya, Ramlah Ram dan Ella.

"Saya tidak pasti sama ada dapat memenuhi permintaan TV3 kerana berkemungkinan besar tarikh yang diberikan mereka itu saya berada di Mekah mengerjakan umrah bersama suami," jelas Siti yang ditemui usai rakaman program tersebut yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Idea

Biarpun jam sudah melewati pukul 12.30 tengah malam, namun Siti tetap sudi meluangkan masanya untuk ditemu ramah dan menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.

Mengulas lanjut tentang program Gegar Raya Kampung Pening Lalat, Siti memberitahu ia merupakan idea daripada pihaknya yang mahu memberikan kelainan dari segi kandungannya.

Tidak hanya menampilkan sajian hiburan seperti lazimnya, Gegar Raya Kampung Pening Lalat turut menampilkan sketsa di samping acara permainan dengan melibatkan audiens di auditorium.

Lebih menarik lagi apabila setiap permainan menawarkan hadiah yang tidak kurang hebatnya bagi pemenang dan peserta yang menyertainya.

"Begitu juga dengan pemilihan artis di mana ia merupakan hasil perbincangan pihak kami dan RTM yang kami lihat mampu memberikan impak tersendiri untuk program ini," jelas pemilik vokal lagu Siti Situ Sana Sini dan Ya Maulai ini lagi.

Selain Siti, Gegar Raya Kampung Pening Lalat turut menampilkan pelawak popular, Saiful Azam atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek, kumpulan Sepah serta penampilan istimewa Azlan & The Typewriter dan Dayang Nurfaizah.

Kata Siti lagi, sehubungan dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh pada Hari Raya Kedua tahun ini, senarai lagu yang dipilih turut menyelitkan lagu kemerdekaan seperti Bahtera Merdeka dan 31 Ogos.

"Memandangkan saya juga kini salah seorang askar wataniah, saya selitkan juga elemen-elemen itu dalam program ini bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan itu," kata Siti yang membuat gimik dengan memakai seragam askar dengan diiringi lapan orang askar di awal kemunculannya dalam program itu.

Menghiburkan

Menghadiri rakaman program tersebut sememangnya telah membangkitkan bahang sambutan Aidilfitri walaupun pada ketika itu, Ramadan hanya akan menjengah dua hari lagi.

Dengan rekaan set dan permainan warna yang melatari pentas di auditorium itu, Gegar Raya Kampung Pening Lalat berjaya dihidupkan dalam acuannya sendiri.

Ditambah dengan kehadiran sebilangan audiens yang memakai baju berwarna-warni seolah-olah membuatkan hadirin berada di Kampung Pening Lalat yang sebenar.

Seperti kebiasaannya apabila Siti membuat rakaman di RTM, kehadiran penonton pastinya melimpah-ruah sehingga mereka sanggup duduk di tangga biarpun sedar rakaman mengambil masa berjam-jam lamanya.

Gandingan Saiful Apek dan Sepah ternyata berjaya menambat hati audiens dengan keletah serta gelagat mereka di atas pentas.

Lawak bersahaja dan spontan mereka sudah cukup membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang rakaman berlangsung.

Ternyata sengat Saiful Apek sebagai pelawak kegemaran ramai masih lagi berbisa walaupun bergandingan dengan kumpulan Sepah yang kini sedang dipuja peminat.

Bukan hanya melawak, kedua-dua pelawak itu juga menunjukkan bakat nyanyian mereka apabila menyampaikan lagu-lagu raya malar segar.

Antaranya termasuklah Kepulangan Yang Dinanti nyanyian Saiful Apek, Raya (Sepah) dan rangkaian medley iaitu Pulang Di Hari Raya, Selamat Berhari Raya dan Selamat Hari Raya yang dinyanyikan bersama.

Mantap

Kemunculan Azlan & The Typewriter menyampaikan lagu Cahaya Di Aidilfitri juga tidak kurang hebatnya dan mendapat tepukan gemuruh audiens.

Begitu juga dengan persembahan Dayang Nurfaizah yang menyampaikan lagu Setahun Sekali nyanyian asal Amy Mastura dan lagu terbarunya, Saat Itu.

Sudah pasti kemunculan Siti memang dinanti-nantikan para peminatnya yang tidak lelah menunggu persembahannya dari awal.

Lagu-lagu seperti Balik Kampung, Bahtera Merdeka, Nazam Lebaran dan lagu terbarunya, Falling In Love menjadi pilihan Siti dalam program terbitan Unit Hiburan TV RTM yang diterajui oleh Norkhuzaimah Abdul Aziz itu.

Auditorium Perdana terus digegarkan dengan persembahan istimewa Siti, Dayang dan Azlan & The Typewriter yang bergandingan menyampaikan dua lagu klasik, Jeritan Batinku (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dan Merisik Khabar (Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad).

Tidak syak lagi, gandingan mantap dan jitu daripada tiga penyanyi itu merupakan kemuncak rakaman program tersebut.

Melihatkan kepada sambutan dan tepukan gemuruh audiens, memang sudah tiba masanya untuk ketiga-tiga penyanyi yang memiliki bakat istimewa ini disatukan di pentas yang lebih besar.

Jika Konsert Satu Suara yang menggandingkan Siti, Faizal Tahir dan Aizat di Istana Budaya tahun lalu sukses, tidak mustahil gandingan terbaru ini mampu mencipta kejayaan serupa.

Sambil ketawa kecil saat diajukan cadangan itu, Siti tidak menolak untuk menampilkan Dayang dan Azlan & The Typewriter dalam satu konsert seandainya diberi peluang kelak.

"Saya memang mengagumi bakat kedua-duanya dan lagu yang dipilih ini adalah mengikut kepada kesesuaian vokal kami. Sudah pasti mereka yang memiliki kualiti vokal terbaik akan menjadi pilihan saya," ujar Siti tersenyum.

Rakaman program Gegar Raya Kampung Pening Lalat diakhiri dengan lagu-lagu seperti 31 Ogos, Selamat Hari Raya dan Sesuci Lebaran.

Pastikan anda tidak ketinggalan menonton program istimewa ini yang akan ditayangkan pada 2 September ini pukul 9 malam di TV1.

Bertemu jodoh kali ketiga

Posted: 10 Aug 2011 10:05 PM PDT



Ratu pop etnik, Noraniza Idris,43, yang juga ibu kepada tiga anak ini akhirnya menemui cinta barunya sekali gus bakal menamatkan status solonya.

Pernah gagal dalam dua perkahwinan sebelum ini, penyanyi yang membahasakan dirinya sebagai Kak Ani ini mengakui bahawa perkahwinan ketiganya ini sama sekali tidak diduga.

Biarpun pernah menyatakan tidak mahu lagi berkahwin dan mahu menumpukan kepada kerjaya dan anak-anaknya, namun Kak Ani akur dengan segala ketentuan.

Ternyata kelembutan dan kasih sayang yang ditunjukkan bakal suami seorang warganegara Singapura, Jeffri Hudi (Jeff), 52 tahun, tahun lalu berjaya membuka semula pintu hatinya untuk menerima seorang lelaki yang dianggap istimewa.

"Kami berkenalan setahun yang lalu. Semuanya bermula ketika saya menyerahkan wang kutipan hasil jualan biskut raya di bazar Ramadan untuk didermakan di sebuah masjid di Johor Bahru. Selepas itu, saya kerap menerima SMS daripada abang Jeff.

"Saya akui, memang saya agak rimas dengan SMS yang begitu banyak. Tetapi lama kelamaan perasaan sayang itu timbul apabila saban hari dia mengingatkan saya tentang amal ibadah.

"Tidak lama selepas itu, Jeff meluahkan hasrat hatinya untuk menjalin hubungan serius. Saya berbincang mengenai perkara ini bersama keluarga saya kerana ia bukan masalah kecil. Saya perlu buat keputusan sebaik-baiknya," katanya yang ditemui selepas sidang media pengumuman perkahwinannya kelmarin.

Katanya lagi, hasrat untuk mendirikan rumah tangga itu sudah difikirkan memandangkan kedua-duanya pernah gagal dalam perkahwinan terdahulu.

"Kami mempunyai kisah hidup yang hampir sama. Justeru, kami menerima diri masing-masing seadanya kerana apa yang pernah terjadi, biar ia menjadi kenangan.

"Namun, cinta kami bukan seperti pasangan muda. Hubungan kami adalah atas rasa tanggungjawab, apatah lagi masing-masing sudah ada anak," tambahnya yang bakal menerima kehadiran empat anak bakal suaminya itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dondang Dendang ini menambah, Jeff merupakan seorang lelaki yang sangat pemalu. Namun, dia selesa bersama lelaki itu.

"Saya senang dengannya, kerana dia tidak pernah marah. Jika hendak tegur, dia akan menggunakan cara yang lebih berhemah," katanya yang sentiasa melirik mata ke arah bakal suaminya itu.

Barang kemas terbaharu guna kulit ikan pari

Posted: 10 Aug 2011 10:04 PM PDT


SEORANG model menunjukkan barang kemas terbaharu Suhara Jewel Art di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Suhara Jewel Art, jenama barang kemas tempatan, memperkenalkan koleksi barang kemas terbaharunya, Pari-Pari yang menggunakan kulit ikan pari sebagai bahan utama.

Ia terdiri daripada pelbagai reka bentuk gelang, cincin, subang dan rantai hasil rekaan bekas model terkenal yang juga merupakan Pengasas dan Pengarah Kreatif Suhara Jewel Arts, Suhara Omar Leitenbauer.

Menurut Suhara, kulit ikan pari bukan sahaja mempunyai tekstur yang menarik dan kukuh, malah ia telah digunakan sejak zaman dahulu lagi untuk membuat baju perisai dan alas pemegang pedang.

"Selain itu, ia juga merupakan bahan yang mesra alam yang mana ikan pari juga bukan merupakan spesis yang terancam dan ia ditangkap untuk mendapatkan dagingnya, bukan kulit.

"Dengan membeli kulit ikan pari daripada nelayan, kami turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi golongan tersebut," katanya pada majlis pelancaran Pari-Pari yang diadakan di sini baru-baru ini.

Peniaga Pasar Ramadan dakwa dipermainkan MPAG

Posted: 10 Aug 2011 10:03 PM PDT


PENIAGA Pasar Ramadan di Dataran Keris tetap menjalankan perniagaan seperti biasa walaupun diarahkan berpindah ke lokasi lain di Alor Gajah kelmarin.


MELAKA – Bagaimana kami hendak berniaga kalau asyik kena pindah lokasi!Itulah kekecewaan kira-kira 30 peniaga Pasar Ramadan Alor Gajah berhampiran Dataran Keris di sini yang mendakwa sikap tidak konsisten Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyebabkan mereka teraniaya.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja Kecil cawangan Alor Gajah, Baharuddin Mohd. Tahir berkata, sebelum ini peniaga menjalankan perniagaan di sebelah Mahkamah Syariah Alor Gajah sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, peniaga diarahkan berpindah ke bangunan perniagaan di tengah-tengah pekan dan ia didakwa menganggu urusan orang ramai di kawasan lama.

"Kami mengadakan perbincangan dengan MPAG dan mengusulkan kawasan baharu diberi iaitu di hadapan Dataran Keris melibatkan 130 tapak peniaga.

"Permohonan ini diterima oleh MPAG tetapi setelah seminggu berniaga kami diarahkan berpindah ke tempat lain kerana mengganggu lalu lintas keluar ke bangunan pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah pula.

"Saya hairan mengapa perkara ini tidak diambil pertimbangan oleh MPAG semasa peniaga mengemukakan cadangan dan kini menyusahkan peniaga," ujarnya di sini kelmarin.

Sementara itu, seorang peniaga, Rimah Ros Bajuri, 40, berkata, dia kesal kerana diarahkan berpindah terlalu kerap.

Tak sempat ke Cyprus

Posted: 10 Aug 2011 10:02 PM PDT


AZIS (kanan) melihat sebahagian daripada 25 buah kereta Honda City curi yang dirampas pada sidang akhbar di Pelabuhan Klang semalam.


PELABUHAN KLANG – Usaha keras Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menjejaki baki lima buah kontena yang sarat dengan 25 buah kereta Honda City curi untuk diseludup ke Cyprus melalui Israel membuahkan hasil apabila kesemua kenderaan itu dapat dirampas semula baru-baru ini.

Kesemua kereta bernilai RM2 juta itu tiba di sini melalui Pelabuhan Barat pada pukul 11.30 malam 27 Julai lalu.

Difahamkan, sebelum itu, kesemua kontena tersebut dikesan berada di Haifa, Israel selepas JKDM membongkar penipuan borang kastam yang mengisytiharkan kereta itu sebagai perabot pada 26 Jun lalu.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Azis Yacub berkata, pihaknya yang mendapat kerjasama dengan sebuah syarikat perkapalan telah mengarahkan kontena itu dihantar pulang.

Katanya, seorang lelaki berusia 35 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Siasatan mendapati sindiket merancang untuk mengeksport sebanyak 50 buah kereta curi ke Cyprus tetapi hanya 25 yang berjaya diseludup keluar," katanya.

Tambahnya, kontena berkenaan terlepas untuk diimbas kerana pihaknya melakukannya secara rawak berikutan sebanyak 4,000 kontena tiba di sini setiap hari.

Suresh didakwa sekali lagi

Posted: 10 Aug 2011 09:59 PM PDT


PATHMANABHAN (tiga dari kanan), bersama Matan, Thilaiyangan dan Kathavarayan dikawal polis ketika dibawa melawat lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain di Sungai Arak, Banting semalam.


SHAH ALAM – Pekerja ladang, U. Suresh yang dihukum penjara 20 tahun, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain.

Suresh, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu ketika Timbalan Pendakwa Raya mendakwa tertuduh pertama N. Pathmanabhan, 41, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyangan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Jenayah Lapan di sini di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari, 25 Julai dan 27 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Suresh yang juga saksi pendakwaan ke-29, pada 15 Oktober tahun lalu, bersama seorang lagi, K. Sarawanan dihukum penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM100,000 namun dibantah Peguam, A.S Dhaliwal dan Devinder Kaur yang mewakili tertuduh.

Mohamed Mokhzani kemudian menetapkan wang jaminan RM20,000 dan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

Kerajaan tangani kos hidup rakyat

Posted: 10 Aug 2011 09:58 PM PDT


KENAIKAN harga barangan keperluan telah meningkatkan kos sara hidup majoriti penduduk di negara ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan bekerja keras untuk memastikan masalah rakyat mengenai kos kehidupan tinggi yang dihadapi mereka sekarang dapat diuruskan dalam keadaan global yang mencabar pada masa kini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melakukan yang terbaik dalam menangani kos yang semakin meningkat dan mencari jalan untuk mengurangkan kesannya kepada rakyat.

Beliau berkata, Bajet 2012 akan datang akan memberikan tumpuan kepada pengurusan kos kehidupan rakyat dan kerajaan akan merancang strategi terbaik untuk mengurangkan bebanan rakyat dan pada masa sama menguruskan perkembangan ekonomi negara.

Justeru, katanya, kerajaan telah mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketujuh iaitu menangani kos sara hidup yang kian meningkat tahun ini setelah mengambil kira kenaikan harga makanan dan bahan-bahan keperluan yang berlaku di peringkat global.

Restoran mamak zon bebas rokok

Posted: 10 Aug 2011 09:56 PM PDT


RESTORAN mamak mungkin akan menjadi kawasan zon bebas rokok jika mendapat persetujuan ramai. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA – Selepas mewartakan 26 kawasan larangan merokok, Kementerian Kesihatan kini berhasrat untuk memperluaskan kawasan larangan tersebut terhadap premis makanan pula meliputi restoran-restoran mamak dan kedai-kedai kopi di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, pihaknya kini telah bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan itu sekiranya mendapat reaksi positif daripada semua lapisan masyarakat.

Katanya, orang awam perlu memberi restu kepada pihak kementerian untuk membolehkan kawasan terbabit diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Subperaturan 11(1) - Tempat-tempat Larangan Merokok.

"Kita juga memerlukan maklum balas daripada persatuan-persatuan berkaitan bagi membolehkan pelaksanaan tersebut dijalankan serentak dengan kemahuan orang awam," katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini semalam.

Menurut beliau, berdasarkan peruntukan sedia ada, kementerian sentiasa mengalu-alukan pihak-pihak seperti syarikat dan pemilik kawasan-kawasan persendirian bekerjasama untuk mewujudkan zon larangan merokok.

"Ada banyak syarikat besar mahu penguatkuasaan zon larangan merokok dilaksanakan di tempat atau kawasan mereka dan kita amat mengalu-alukan hasrat syarikat-syarikat ini," katanya.

Raya macam kahwin

Posted: 10 Aug 2011 09:55 PM PDT




FOUZIAH Gous pasti, ini bukan soal sifat keliberalan mutlak individu. Ini adalah soal hidup dan masa depannya. Dia tidak harus mengikut kata kedua-dua ibu bapanya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan mereka semata-mata untuk membalas budi. Dia ada matlamat hidup yang ingin dicapainya. Tetapi, siapalah dia yang mampu menolak semuanya.

Berbekalkan keseluruhan emosi, Fouziah tampil dengan drama lakonan terbaharunya iaitu Tahajjud Cinta. Mengakui watak yang dibawa sangat mencabar, pemilik nama Nor Fouziah Mohd. Gous, 29, itu juga mengaku agak tertekan untuk membawakan watak Seri.

"Terdapat 20 artis popular menjayakan drama ini. Tetapi watak saya yang paling banyak bermain dengan emosi.

"Paling mencabar apabila saya terpaksa berlakon berpurdah dan hanya perlu bermain dengan emosi mata," katanya ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan barisan pelakon-pelakon drama Tahajjud Cinta, di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bahkan, pelakon berdarah campuran Pakistan, Melayu dan Cina itu juga kena menghafal bahasa Arab bagi menjayakan babak ketika di Jordan.

"Agak tertekan apabila kita perlu berpurdah dan menunjukkan emosi hanya melalui mata dan gaya badan. Selain itu, saya juga kena menghafal bahasa Arab on the spot. Nasib baik ada ustaz yang memberi tunjuk ajar ketika di set penggambaran," katanya yang membawa watak utama bernama Seri bersama dengan Nur Fazura sebagai Citra.

Bercerita mengenai watak Seri dalam drama Tahajjud Cinta, dia merupakan seorang anak miskin yang ingin mengejar cita-citanya sebagai peguam syariah dan dalam masa yang sama memperjuangkan hak wanita yang ditindas.

Semasa belajar di Jordan dia bertemu dan jatuh cinta dengan Solohudin, lakonan Remy Ishak.

Namun, cita-citanya dan cintanya tidak kesampaian apabila bapanya, lakonan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar meminta Seri berkahwin dengan lelaki pilihannya atas dasar membalas budi lelaki itu.

Pelakon kegemaran Erma Fatima

Menganggap Eman Manan sebagai idola, Fouziah sememangnya mengimpikan untuk bergandingan dengan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-5 (FFM5), FFM7, FFM10, FFM11, FFM17 dan FFM21 itu.

Namun, saat impiannya itu dikabulkan, Fouziah dikhabarkan sangat tercabar dengan lelaki berasal daripada Kuala Terengganu itu. Kenapa?

"Eman adalah idola saya. Saya sangat teruja dapat berlakon di sampingnya tetapi dalam masa yang sama takut jika tidak dapat memberikan aksi yang terbaik.


DRAMA Tahajjud Cinta menampilkan ramai pelakon-pelakon hebat tanah air.


"Dalam Tahajjud Cinta memang banyak babak saya bersama dia dan dia seorang pelakon yang sangat bagus. Saya akui rasa tercabar berlakon di sampingnya. Sebabnya, saya perlu menjadi bagus seperti dirinya.

"Setiap kali babak kami, saya perlu berfikir kreatif dan tertanya-tanya bagaimana untuk menghasilkan gaya dan mutu lakonan yang bagus dan mantap," katanya yang menganggap Eman seorang pelakon yang sangat profesional.

Dalam Tahajjud Cinta karakter lakonan Eman melakonkan karakter lelaki beristeri empat tetapi menaruh hati terhadap Seri lakonan Fouziah itu.

Setiap babak yang membabitkan Eman bersamanya kata Fouziah, dilakonkannya dengan bersungguh-sungguh. Secara tidak langsung, ia menyebabkan Fouziah tercabar untuk memberikan aksi yang sama baik dengan Eman.

Baru sahaja selesai penggambaran Tahajjud Cinta pada 18 Julai lalu, diri wanita berzodiak Sagittarius ini disunting lagi oleh pengarah Erma Fatima untuk menjayakan telefilem terbaharu, Cinta Dari Kaabah.

Masih mengekalkan konsep kerohanian seperti drama Tahajjud Cinta, Fouziah dipilih sekali lagi untuk membawakan watak utama dalam drama yang bakal menjalani sebahagian penggambarannya di Mekah.

Dijolok soalan sebagai pelakon kegemaran Erma, kata Fouziah tawaran untuk berlakon di bawah arahan Erma sudah menjadi rezeki buat dirinya. Fouziah juga mengaku suka dengan cara Erma bekerja.

"Alhamdulillah saya sekali lagi dipilih Erma. Saya sangat sukakan cara Erma bekerja. Dia go for reality. Bekerja dengan Erma senang cuma kena tahu apa yang dia mahukan," katanya yang tidak menganggap Erma seorang yang serius tetapi berwajah serius.

Selain Fouziah, Fazura dan Emanm Tahajjud Cinta membariskan ramai pelakon hebat termasuk Remy Ishak, Shahz Jaszle, Fazreen, Tiz Zakiah, Aaron Aziz, Datuk Jins Shamsuddin, Norish Karman, Neelofa, Ahmad Tarmimi Siregar, Dira Abu Zahar, Ziela Jalil, Azizah Mahzan, Melissa Saila dan Erma Fatima sendiri.

Drama berunsur kerohanian itu mula bersiaran pada 8 Julai lalu setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di TV3.

Juadah berbuka puasa


FOUZIAH diapit Dira dan Melissa yang turut menjadi sokongan kepada tenaga lakonan Tahajjud Cinta.


Menyentuh tentang bulan Ramadan, kata Fouziah, pada tahun ini aktiviti seninya tidak begitu padat seperti Ramadan tahun-tahun lepas.

"Sepatutnya puasa tahun ini saya terlibat dengan satu projek tapi Alhamdulillah ia ditunda selepas raya. Jadi, saya dapat menyambut puasa dengan tenang tapi sedih tidak dapat mengerjakan umrah," katanya yang kebiasaannya akan mengerjakan umrah setiap kali bulan Ramadan.

Bercerita tentang persiapan puasa tahun ini, Fouziah dan keluarga akan menyambutnya bersama dengan meriah.

Malah, setiap tahun menyambut puasa, dia dan keluarga akan memastikan juadah berbuka penuh di atas meja.

"Walaupun sibuk dengan aktiviti masing-masing, saya dan adik-beradik lain akan meluangkan masa berbuka bersama-sama pada hari pertama mahupun kedua puasa.

"Untuk tahun ini, seramai 12 orang ahli keluarga berkumpul untuk berbuka bersama. Bukan sahaja menu kami nasi tetapi penuh dengan pelbagai jenis kuih-muih. Sehinggakan kakak ipar yang baharu sahaja menyambut puasa bersama tahun ini terkejut dengan menu berbuka kami," ceritanya mengenai puasanya.

Ditanya apakah contoh juadah berbuka puasa tahun ini, kata pelakon berambut panjang mengurai itu, antara menu berbuka mereka terdiri daripada empat jenis air, yong tau fu, tosai, kuih muih, lauk udang masak petai, ayam masak masala, sayur dan kambing bakar.

Tidak menolak jika mendapat jemputan berbuka bersama anak-anak yatim atau menjayakan sesi fotografi, kata Fouziah keluarganya juga akan bersama-sama berbuka puasa di luar paling kurang sekali setiap Ramadan. Fouziah juga tidak kisah jika tidak bersahur kerana dia dapat menahan lapar sehingga berbuka.

"Saya sudah biasa tidak sahur. Tapi Alhamdulillah tak rasa lapar. Sebabnya, saya sudah biasa rasa puasa dalam cuaca panas dan kering di Mekah.


FOUZIAH di samping Shahz Jazle yang merupakan antara pelakon karakter penting dalam Tahajjud Cinta.


"Tetapi, kalau saya terlibat dengan penggambaran pada bulan puasa mak akan pastikan saya bersahur. Sehinggakan dia akan hantar makanan ke dalam bilik saya," katanya yang biasanya beraya di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang kerana tidak mempunyai kampung.

Fouziah yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga pada mulanya bercadang beraya bersama keluarga di kampung kakak iparnya yang baharu di Bandung, tetapi malangnya kata Fouziah, ayah kepada kakak iparnya terpaksa menjalani pembedahan dan keadaan tidak mengizinkan mereka sekeluarga beraya di Bandung.

"Saya tiada kampung jadi pada hari raya kami sekeluarga akan pergi beraya di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang. Untuk tahun ini kami bercadang beraya di rumah kakak ipar baharu di Bandung tetapi tak dapat," katanya.

Menyentuh tentang raya pula, pelakon harapan wanita popular Anugerah Skrin (ASK 2007) menganggap sambutan rayanya seperti majlis kahwin.

Hubungan erat sesama keluarga besan dan sanak saudara menjadikan sambutan raya Fouziah sekeluarga meriah. Apa yang pasti menu utama nasi beriani berlaukkan ayam masak merah pasti menjadi keutamaan mereka sekeluarga.

Fouziah turut menyatakan hasrat untuk membantu ibunya menyediakan hidangan semepena raya nanti.

Berkongsi rahsia makanan kegemarannya setiap kali bulan puasa dan raya, kata Fouziah, setiap kali puasa dirinya tidak lengkap tanpa menjamah kuih kukus manakala bagi masakan raya pula pastinya hidangan sambal menjadi pilihan.

"Setiap kali bulan puasa, Fouziah akan pastikan ada kuih-kuih kukus. Jika hidangan hari raya pula, saya suka masakan berasaskan sambal yang pedas. Sebagai contoh, masakan istimewa mak, ayam masak merah," katanya.

Alleycats kembali ke IB

Posted: 10 Aug 2011 09:54 PM PDT


DAVID dan anak saudaranya, Priyadashini yang bakal turut mendendangkan lagu-lagu popular Alleycats di Istana Budaya.


AURA dan semangat Datuk David Arumugam untuk menyanyikan lagu kepada peminat masih kuat biarpun usianya sudah menjangkau 61 tahun. Peminat-peminatnya juga masih menaruh harapan besar agar vokalis kumpulan Alleycats itu tidak mengundurkan diri dan setia menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka.

Biarpun sudah 40 tahun berada dalam dunia seni, aura Alleycats masih utuh. Lagu-lagu hit mereka masih menjadi siulan sehingga kini.

Untuk itu satu konsert Alleycats bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 September ini. Ia juga merupakan konsert kedua Alleycats di Istana Budaya selepas konsert pada tahun 2008 yang lalu.

Terkenal dengan fesyen rambut afro dari dulu hingga kini, David yang juga merupakan pengasas kumpulan Alleycats itu tidak dapat menyorokkan perasaan terujanya saat dipelawa mengadakan konsert di Istana Budaya.

"Memang gembira bila dapat buat konsert semula di Istana Budaya. Malah, konsert Alleycats kali ini turut disuntik kelainan apabila ia diiringi dengan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mengenai pemilihan lagu untuk konsert itu nanti, David dan pengganti mendiang Datuk Loganathan Arumugam, Glen akan menyanyikan koleksi lagu-lagu popular Alleycats dan juga lagu-lagu popular yang lain.

Abang kepada Loga itu juga akan menyampaikan lagu Cina dan India sempena konsert sambutan Hari Malaysia yang berkonsepkan 1Malaysia itu.

"Berapa banyak lagu yang akan saya sampaikan nanti masih lagi belum tahu. Cuma konsert itu nanti akan berlangsung selama sejam setengah atau dua jam," katanya mengenai konsert anjuran Aktif Mestika Sdn. Bhd. itu.

Ditanya sama ada dia sudah boleh menyesuaikan diri menyanyi tanpa Loga yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada tahun 2007 lalu, pelantun lagu Hingga Akhir Nanti itu mengakui terpaksa mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri tanpa Loga di atas pentas.

"Walaupun sudah empat tahun berlalu, saya masih perlu menyesuaikan diri berada di atas pentas tanpa Loga. Saya tidak putus asa dan masih meneruskan nyanyian tanpa Loga," katanya yang juga terpaksa menyanyikan lagu berpandukan lirik kerana tidak mahu melakukan kesilapan.

Malah, katanya, usianya kini menghalangnya untuk menghafal lirik lagu-lagu yang banyak dan pelbagai.

Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu nanti akan terbahagi kepada tiga segmen. Segmen pertama, David akan menyampaikan lagu-lagu 1Malaysia. Segmen kedua pula bagi mengenang mendiang Loga iaitu Tribute To Loga. Segmen itu nanti turut mengundang anak perempuan Loga, Priyadashini, 24, untuk menyampaikan lagu-lagu bapanya. Bagi segmen ketiga pula, David akan menyanyikan lagu-lagu malar segar Alleycats.

Menurut Priyadashini, dia berasa teruja kerana diberi peluang menyanyikan lagu-lagu mendiang bapanya. Namun, dalam masa yang sama dia juga merasa gementar untuk beraksi di atas pentas Istana Budaya itu nanti.

"Saya akan menyanyikan lagu-lagu mendiang ayah saya seperti Berjuta Batu dan Jika Kau Bercinta Lagi mengikut gaya saya sendiri," katanya yang merahsiakan penampilannya di atas pentas Istana Budaya nanti.

Kontroversi suami Miriam

Posted: 10 Aug 2011 09:53 PM PDT


MIRIAM YEUNG dan suaminya Real Ding,


SUDAH nasib badan menjadi suami artis terkenal, Real Ding terpaksa menerima hakikat itu apabila kunjungannya ke sebuah hospital baru-baru ini telah menyebabkan timbul kontroversi.

Suami bintang tersohor Hong Kong, Miriam Yeung itu telah menjadi bahan spekulasi media di Hong Kong apabila sebuah majalah telah membuat spekulasi terhadap kunjungannya ke sebuah hospital swasta baru-baru ini.

Apa yang menimbulkan kontroversi adalah spekulasi itu mendakwa Real pergi ke hospital itu untuk membuat analisis terhadap spermanya.

Majalah itu juga mendakwa Miriam dan Real yang sudah berkahwin sejak tahun 2009 sukar mendapat zuriat.

Impaknya, ketika menghadiri sebuah acara hiburan di Hong Kong, Miriam terperanjat besar apabila mendapat tahu tentang apa yang ditulis oleh majalah tersebut.

"Dia tidak memberitahu saya apa-apa tentang kontroversi yang timbul itu, mungkin kerana dia tidak mahu mengganggu jadual seni saya," ujarnya.

Tambah Miriam, dia memang mengetahui suaminya itu ke hospital tersebut tetapi untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang biasa.

"Tiada apa yang mahu disembunyikan dan saya tidak rasa kami malu dengan hal itu. Suami saya sememangnya mencadangkan kami berdua pergi ke hospital itu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tetapi saya tidak dapat pergi kerana ada kerja.

"Nasib baik saya tidak pergi sama, kalau tidak macam-macam lagi spekulasi yang direka oleh media," ujarnya.

Miriam mempersoalkan bagaimana majalah itu mendapat maklumat suaminya mengunjungi hospital tersebut. Katanya: "Pemeriksaan tubuh adalah sesuatu yang sangat peribadi dan ia sepatutnya menjadi maklumat sulit dan hanya diketahui oleh pihak hospital sahaja. Pihak hospital itu tidak profesional dalam hal ini kerana mendedahkan maklumat sulit tentang suami saya."

Ditanya tentang dakwaan majalah itu bahawa dia dan Real sukar mendapat zuriat, ujar Miriam: "Macam mana media tahu tentang perkara itu. Itu hal peribadi kami. Kami sebenarnya yang belum bercadang untuk mendapat zuriat lagi.

"Kami merancang untuk menyelesaikan segala urusan kerja (seni) saya dan menjelang Tahun Baru Cina 2012 saya akan berehat dari dunia seni buat sementara."

Miriam, 37, dan Real, 32, berkahwin secara senyap-senyap di Las Vegas pada 2009 sebelum mengumumkan perkahwinan mereka secara rasmi pada majlis resepsi mereka yang berlangsung pada 20 Disember tahun lepas.

Rusuhan merebak di luar London

Posted: 10 Aug 2011 09:51 PM PDT


SEORANG perusuh berjalan meredah api di Liverpool kelmarin.


LONDON - Ribuan anggota polis tambahan yang berkawal di jalan-jalan raya berjaya menyebabkan London tenteram semalam selepas tiga hari berlaku rusuhan dan rompakan oleh sekumpulan golongan muda.

Bandar Manchester dan Liverpool di timur laut dan Birmingham di tengah England berdepan dengan rusuhan selepas London tenteram semalam.

Di Birmingham, polis melancarkan siasatan selepas tiga penganut Islam terbunuh kerana dilanggar sebuah kereta.


KEROSAKAN berlaku di sebuah kedai akibat rusuhan di Manchester semalam.


Seorang rakan tiga lelaki itu memberitahu stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa ketiga-tiga penganut Muslim itu merupakan sebahagian daripada kumpulan keturunan Asia yang melindungi kawasan kediaman mereka daripada menjadi sasaran golongan muda yang merompak.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu dilanggar selepas bersolat di sebuah masjid.

"Kereta itu melencong ke arah mereka dengan tiba-tiba," katanya.

Keadaan di London tenteram semalam selepas rusuhan bermula di Tottenham pada malam Sabtu lalu.

Kira-kira 16,000 anggota polis mengawal jalan-jalan raya di London semalam.


KESAN kerosakan akibat kebakaran dilihat pada sebuah bangunan di Manchester semalam.


Rusuhan itu berlaku akibat perasaan tidak puas hati golongan muda terhadap kematian seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditembak polis pada minggu lalu.

Protes golongan muda itu bertukar menjadi ganas apabila mereka membakar beberapa bangunan, kereta polis dan merompak di Tottenham, utara London.

Perdana Menteri Britain, David Cameron terpaksa menyingkatkan percutiannya di Itali untuk pulang ke London bagi berdepan dengan krisis tersebut.

Cameron akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Krisis dan memanggil parlimen bersidang untuk membincangkan isu berkenaan.

Rusuhan itu merupakan situasi yang paling buruk pernah berlaku di London kurang setahun sebelum bandar raya ini menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012.

Apple jadi syarikat terbesar dunia

Posted: 10 Aug 2011 09:50 PM PDT


SEORANG pelanggan melihat komputer iPad 2 keluaran Apple di syarikat telekomunikasi KT di Seoul semalam.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Gergasi komputer dan telefon bimbit AS, Apple memintas pengeluar minyak global, Exxon Mobil sebagai syarikat terbesar di dunia untuk seketika kelmarin.

Nilai syarikat Apple yang diasaskan oleh Steve Jobs pada 1976 yang mengeluarkan telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad itu ialah AS$341.5 bilion (RM1.027 trilion) kelmarin sekali gus berjaya mengatasi Exxon yang bernilai AS$340 bilion (RM1.023 trilion).

Namun, Exxon kemudian merampas kembali gelaran syarikat terbesar dunia apabila sahamnya mengukuh kepada AS$352.9 bilion (RM1.06 trilion) manakala Apple di tempat kedua dengan nilai saham AS$346.7 bilion (RM1.04 trilion).

"Kreativiti kini mengambil alih kekuatan dan kudrat manusia," kata pengasas laman web Lastminute.com, Brent Hoberman.

Exxon juga dikenali dengan jenama Esso, mendapat pujian aktivis mesra alam manakala Apple dipuji kerana berjaya mengubah kehidupan harian dengan pengenalan gajet seperti iPod, iPad dan iPhone.

Pakar-pakar bagaimanapun, percaya Apple akan menjadi perniagaan pertama melepasi nilai AS$1 trilion (RM3 trilion) pada masa akan datang susulan pertumbuhan pesat syarikat tersebut.

Lelaki 78 isteri dipenjara seumur hidup

Posted: 10 Aug 2011 09:49 PM PDT




SAN ANGELO, Texas - Seorang pemimpin mazhab poligami, yang menjadi tajuk utama akhbar pada tahun 2008 yang ditahan polis dalam satu serbuan, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas dia didapati melakukan serangan seks ke atas dua gadis muda.

Pemimpin itu, Warren Jeffs berusia 55 tahun tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman itu dibacakan oleh pihak juri yang mengambil masa kurang sejam untuk membuat keputusan di sebuah mahkamah kelmarin.

Mazhab yang dibawa Jeffs menjadi tumpuan umum apabila polis Texas menyerbu rumahnya yang berhampiran bandar kecil Eldorado pada 2008 dan membawa keluar lebih 468 budak lelaki dan perempuan ekoran terdapat dakwaan berlaku penderaan seksual dan fizikal yang sistematik.

Namun pihak mahkamah kemudian mengarahkan budak lelaki dan perempuan itu dipulangkan kepada ibu bapa mereka.

Menurut pihak pendakwa raya, Jeffs mempunyai 78 isteri.

Matahari hambur letusan amat kuat

Posted: 10 Aug 2011 09:48 PM PDT


GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan letusan di matahari kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat – Matahari menghamburkan letusan api amat kuat kelmarin sekali gus yang terbesar dalam tempoh hampir lima tahun.

Saintis-saintis memberitahu, impak fenomena berkenaan ke atas sistem satelit dan komunikasi adalah kecil kerana letusan berlaku di permukaan matahari yang membelakangkan Bumi.

Seorang saintis angkasa lepas A, Joe Kunches yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca negeri Colorado berkata, cuma terdapat laporan gangguan gelombang radio pendek di Asia susulan letusan kuat itu.

Matahari kini berada dalam fasa perubahan memasuki kitaran lebih aktif.

Saintis-saintis meramalkan akan berlaku lebih banyak letusan solar dalam masa lima tahun akan datang dengan letusan solar serupa berlaku pada Disember 2006.

Pesawat mendarat kerana kelawar dalam pesawat

Posted: 10 Aug 2011 09:47 PM PDT


SEEKOR kelawar (dalam bulatan) terbang di dalam kabin penumpang sebuah pesawat ke Atlanta, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.


MADISON - Sebuah pesawat penumpang yang dalam perjalanan ke Atlanta terpaksa berpatah balik ke Madison pada Jumaat lalu kerana seekor kelawar berterbangan di dalam kabin penumpang, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang penumpang merakamkan gambar kelawar itu dengan menggunakan telefon bimbit.

Rakaman itu kemudian disiarkan di iReport yang merupakan forum stesen televisyen CNN untuk anggota-anggotanya menyiarkan berita mereka sendiri.

Penumpang lelaki yang merakamkan imej itu menyatakan dia terjaga kerana jeritan penumpang lain.

Selepas terjaga, katanya, dia melihat seekor kelawar berterbangan di atas kepalanya.

Kelawar itu terbang beberapa kali sebelum ia terperangkap di dalam tandas belakang pesawat.

Pesawat itu kemudian dibenarkan terbang selepas satu pemeriksaan dilakukan.

Menurut seorang jurucakap syarikat penerbangan pesawat itu, Jarek Beem, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada haiwan itu ialah burung atau kelawar.

Detik-detik glasier runtuh di Alaska

Posted: 10 Aug 2011 09:46 PM PDT


BEBERAPA pelancong yang menaiki sebuah bot dapat menyaksikan detik-detik runtuhan sebuah glasier di Tracy Arm-Fords Terror Wilderness, Alaska baru-baru ini.


ANCHORAGE, Alaska - Sekumpulan pelancong yang menaiki sebuah bot melihat runtuhan sebuah glasier di Tracy Arm-Fords Terror Wilderness, Alaska, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian itu berlaku beberapa meter dari runtuhan glasier tersebut yang berlaku baru-baru ini.

Seorang penumpang wanita patah kaki selepas dia tercampak di bahagian dek akibat pergerakan air.

Kawasan glasier itu di Teluk Alaska amat popular sebagai destinasi pelancong.

Bapa seni moden Malaysia

Posted: 10 Aug 2011 09:44 PM PDT




TARIKH 30 Julai baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian tokoh terkemuka bidang seni rupa, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal.

Ketika umat Islam sibuk menyambut kedatangan Ramadan, Seniman Negara yang berasal dari Muar, Johor itu meninggal dunia di kediamannya pada pukul 9 malam ketika berusia 82 tahun.

Pemergiannya satu kehilangan besar bagi negara sekaligus memberi kesan kepada institusi seni dan pendokong karya seni di negara ini dan antarabangsa. Ini kerana seni itu telah menjadi darah daging tokoh keramat tersebut sejak 53 tahun lalu.

Beliau satu-satunya tokoh seni terulung sepanjang zaman dalam ruang lingkupnya yang tersendiri.

Allahyarham merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara, malah pernah memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991.


SYED AHMAD JAMAL merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh Seni Negara yang komited dengan dunia seni rupa.


Allahyarham merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya-karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni sehinggalah ke hari ini.

Beliau juga mengadakan pameran solo bagi mempamerkan hasil-hasil karya beliau untuk tatapan umum. Antara termasuklah pameran Antara Langit & Bumi, Ruang dan On & Off King's Road.

Walaupun susuk tubuhnya mungkin tidak dikenali generasi terkini yang tidak meminati seni rupa berbanding seni hiburan, namun allahyarham secara eksklusif mempunyai pendokong dan pengikutnya yang tersendiri.

Malah, tidak salah dikatakan beliau umpama mahaguru seni yang tiada pencabar dan memiliki aura yang tersendiri.

Beliau dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada tahun 1995 dan pelbagai anugerah lain kerana penglibatannya dalam seni rupa.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan SAJ, sangat terkenal dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia dalam setiap perjalanan karya seninya.

Dalam pada itu, allahyarham turut menerima pelbagai tanggapan berikutan lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, perjuangan Palestin, peristiwa politik tahun 1998 dan tsunami pada tahun 2004.

Bagaimanapun, allahyarham secara peribadi enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tetap lantang menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal yang berlaku di persekitarannya.


Wajah SAJ (kanan) turut menjadi subjek yang dirakamkan di atas kanvas oleh pelukis muda sebaris dengan pelukis tersohor lain.


Menyorot pandangan rakan-rakan yang mengenali beliau, Raja Ahmad Aminullah mengakui sangat mengagumi SAJ yang dianggapnya sebagai satu-satunya seniman negara dalam seni rupa (lukisan dan arca) yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Raja Ahmad, SAJ juga merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh seni negara, selain merupakan seorang pendokong seni yang komited dengan dunia seni tanah air sehingga akhir hayatnya.

"Buktinya semasa saya menganjurkan festival seni antarabangsa, Pekan Seni Ipoh pada 1995 hingga 2000, SAJ banyak membantu menjayakan festival tersebut. Malah, sehingga sekarang apa sahaja aktiviti seni yang dianjurkan dia pasti terlibat.

"Beliau merupakan salah seorang jawatan kuasa pengelola festival tersebut banyak memberi idea selain bertungkus-lumus membanting tulang menggerakkan festival berkenaan," kata pemilik galeri seni, R A Fine Arts itu.

Jelas Raja Ahmad lagi, SAJ merupakan seorang seniman yang berjiwa besar dalam menggalakkan kegiatan seni orang muda di negara ini sekaligus mengangkat nilai seni tanah air ke persada yang lebih tinggi setanding dengan Barat.

Pelukis yang banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan sejarah negara ini dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Pusu, Gombak, 31 Julai, 2011.

Mentor seni rupa


Foto SAJ (barisan kedua empat dari kiri) yang dirakamkan dari buku mengenai Allahyarham berjudul Syed Ahmad Jamal: Pelukis.


Allahyarham meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd. Noor, 69 dan dua anak lelaki, Syed Nabi, 39 dan Syed Nurlhaq, 35.

Selain itu, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya, Jailani Abu Hassan, 48, berkata, SAJ merupakan seorang yang boleh dianggap sebagai teman dan mentor seni rupa.

Beliau mula mengenali SAJ sejak menuntut di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM pada tahun 1985 melalui buku sejarah seni Malaysia.

"Saya mula mengenali SAJ dan menjadikan dia sebagai ikon diri saya melalui pembacaan buku sejarah seni Malaysia.

"Namun, secara peribadi saya mengenali peribadi sosok tubuh SAJ bermula pada 1996," katanya.

Pada pandangan Jailani, SAJ merupakan seorang yang berilmu tinggi namun, penuh dengan rasa rendah diri. Allahyarham suka berseloroh dan tidak kering dengan nasihat.

Pengenalan awal dengan SAJ berlaku ketika tokoh seniman negara itu merasmikan pameran seni solo Jailani pada tahun 1996.

"Walaupun saya tidak berapa mengenali SAJ secara peribadi. Namun, beliau sentiasa prihatin dan sering memupuk semangat seni kepada pelukis-pelukis muda seperti saya," kata anak kedua dari lima adik-beradik itu.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM itu mengakui SAJ umpama seorang bapa yang sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak seni yang masih muda ketika ini.

Rasa hormat Jailani dengan SAJ sangat tinggi. Walaupun SAJ berfahaman tradisional dalam ilmu seni lukis, beliau tidak pernah menolak idea-idea baru golongan generasi muda.

Sehingga ke saat ini, semua lukisan-lukisan SAJ yang bergaya tradisional modenis masih menjadi rujukan terutama dalam perbincangan seni modenisme Malaysia.

"Tidak keterlaluan jika pelukis-pelukis kontemporari Malaysia, terus meletakkan beliau sebagai bapa seni moden Malaysia.

"Acap kali bila bertemu saya di acara-acara pameran beliau akan mengusik dengan spontan mendendang korus lagu Keindahan Pantai, 'Jai..Jai..Jai..Jai..'," imbas bapa kepada dua anak itu.

Sementara itu, Datuk Mohd. Yusof Ahmad, yang baru memegang jawatan Ketua Pengarah di Balai Seni Lukis Negara juga sangat mengagumi Syed Ahmad Jamal dan mula mengenali peribadi seniman negara itu dari lukisan dan penceritaan orang lain yang mengenali arwah.


SEMUA karya lukisan Syed Ahmad Jamal menggambarkan perjalanannya sebagai pelukis.


Mohd. Yusof sangat berbesar hati dan merakamkan setinggi penghargaan kepada SAJ di atas sumbangan dan sokongan beliau terhadap program Balai Seni Lukis Negara dan institusi seni negara.

Allahyarham katanya, sentiasa hadir ke setiap program yang dianjurkan Balai Seni Lukis Negara sebelum beliau mula sakit sejak enam bulan lalu.

Kontroversi

Menurut Mohd. Yusof, Balai Seni Lukis Negara menyimpan 27 buah karya lukisannya dari tahun 1989 hingga 2009 yang terlalu tinggi nilainya.

"Semua karya lukisannya yang ada di sini menggambarkan perjalanan dan perkembangan SAJ sebagai pelukis. Berikutan itu, bagi menghargai jasa beliau Balai Seni Lukis bercadang akan mengadakan pameran biografi Syed Ahmad Jamal pada 18 Ogos ini," ujarnya.

Akui beliau, perjuangan dan kecintaan allahyarham dalam bidang itu sangat tinggi.

Buktinya, salah satu karya beliau iaitu sebuah arca awam bertajuk Puncak Purnama (1986) pernah diubah secara fizikal oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan membaikpulih.

Ekoran itu, Syed Ahmad Jamal tidak dapat bersabar lagi lalu bertindak menyaman Datuk Bandar dan DBKL sebanyak RM5 juta sebagai tuntutan bagi teladan dan gantirugi hakcipta. Akhirnya cubaan beliau memartabatkan seni di mata masyarakat dan dunia berjaya.

Beliau berjaya dalam tuntutan tersebut walaupun rayuan kes berkenaan ke mahkamah tinggi sekadar mengurangkan jumlah tuntutan yang dikeluarkan mahkamah rendah.

Kebangkitan semula Kolkata

Posted: 10 Aug 2011 09:43 PM PDT


KOLKATA bakal berubah wajah menjadi metropolitan bertaraf dunia.


SATU ketika dahulu, Kolkata pernah menjadi ibu negara semasa pemerintahan British di India. Baru-baru ini, bandar yang sentiasa sesak dan semakin pudar kegemilangannya itu bakal menjadi London Kedua yang lengkap dengan kehadiran roda gergasi London Eye.

Mamata Banerjee, yang dilantik menjadi Ketua Menteri Bengal Barat yang baharu telah berjanji semasa pilihan raya yang lalu untuk menghidupkan kembali dan menghapuskan tahap kemiskinan di kota metropolitan India itu sekali gus mengubahnya menjadi sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Wanita pembunuh gergasi

Perubahan yang dirancang Banerjee menandakan usaha pembaharuan pertama di bandar berkenaan. Wanita penuh bersemangat itu sebelum ini terkenal dengan jolokan 'pembunuh gergasi' kerana keupayaan mengakhiri pemerintahan komunis selama 34 tahun di Bengal Barat pada Mei lalu.

"Impian saya adalah untuk mengindahkan kawasan pesisir sungai sejauh 10 kilometer di tengah-tengah bandar Kolkata seperti yang terdapat di London," katanya ketika meletakkan batu asas projek itu di Millenium Park, di tebing Sungai Hoogly.

"Jangan sesekali berkata tidak. Kita cuba dahulu untuk kebaikan bandar ini pada kemudian hari. Projek ini tidak akan menghijaukan kawasan sekitarnya tetapi bersifat mesra alam," tambah wanita itu di hadapan tetamu yang hadir.

Kolkata, kota metropolitan sibuk yang dihuni kira-kira 15 juta penduduk, dahulunya dikenali sebagai Calcutta sebelum namanya diubah secara rasmi pada 2001.

Ia bermula daripada beberapa buah perkampungan di tebing timur Sungai Hoogley sebelum berkembang menjadi ibu negara semasa pentadbiran British.

Pada penghujung abad ke-19, ia merupakan salah sebuah daripada bandar-bandar termewah di dunia yang rancak dengan pembangunan peninggalan kemewahan yang ditinggalkan penjajah.

Peninggalan arkitektur yang terdapat beberapa bahagian di bandar raya itu terutama di sekitar Maidan yang diilhamkan daripada Hyde Park, menyerupai model bandar-bandar di Britain.

Sebuah memorial didedikasikan kepada Ratu Victoria masih kekal di tengah-tengah kota itu dan menjadi tarikan pelancong pada hari ini.

Bagaimanapun, selepas berdekad-dekad tanpa sebarang pelaburan dan terabai, kegemilangan bandar lama itu semakin terhakis dan kebanyakan infrastruktur yang ada mulai musnah akibat cuaca panas, kelembapan dan hujan monsun.

Pemerintah British telah mengubah statusnya sebagai ibu negara India ke New Delhi pada 1911.

Kolkata berwajah kolonial

Transformasi yang dilaksanakan Banerjee lebih tertumpu dalam membangunkan kawasan pesisir sungai di sepanjang Hooghly, yang memisahkan Kolkata dengan bandar berkembarnya, Howrah dahulunya dikenali sebagai 'Sheffield di bahagian Timur' merujuk kepada fungsinya sebagai hab pengeluaran British satu ketika dahulu.

Pembinaan Kolkata Eye yang diinspirasikan daripada London Eye yang bakal dibina tidak lama lagi membolehkan pengunjung melihat dari udara keindahan bandar dan sungai-sungainya, kata Datuk Bandar Kolkata, Sovan Chatterjee kepada AFP.

"Kami merancang untuk mengubah kawasan pesisir sungai kepada zon kebudayaan bersejarah sebagai salah satu daripada projek mengindahkan Kolkata seperti yang terdapat di London," katanya.

"Ia merangkumi pembinaan laluan-laluan yang dipenuhi landskap untuk meditasi, gerai makanan, taman-taman dan galeri seni dan muzium."

Kata Chatterjee, pihaknya mensasarkan pembinaan projek itu bakal disiapkan menjelang Januari 2013.

Permukaan jalan akan dihiasi dengan turapan batu-bata dan tiang-tiang lampu sedia ada akan digantikan dengan tiang-tiang lampu yang menyerupai zaman kolonial.

Kerajaan juga telah mengharamkan penggunaan papan iklan di sekitar struktur-struktur bersejarah bagi mengekalkan suasana seperti di zaman kolonial di tengah-tengah bandar itu.

"Impian merealisasikan projek ini merupakan satu cabaran. Namun, kami sedia melaksanakannya dengan sedaya-upaya bagi merealitikannya," tambah Banerjee.

eticketing.my gabungkan 15 operator bas

Posted: 10 Aug 2011 09:43 PM PDT


PEMBELI tiket bas ekspres secara dalam talian dapat membantu menjimatkan masa dan tenaga pengguna.


BAGI yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, pengangkutan awam seperti kapal terbang, kereta api dan bas adalah alternatif untuk perjalanan pulang ke kampung. Namun, atas sebab tiket yang terhad dan harga yang lebih murah, akhirnya perkhidmatan bas sering menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang.

Namun, saban tahun kebanyakan pengguna berdepan dengan masalah yang serupa seperti sukar untuk mendapat tiket untuk pulang beraya, perlu beratur panjang di kaunter malah, lebih menyedihkan ada yang ditipu 'ulat tiket' kerana terdesak mendapatkan tiket.

Senario itu tentu sekali dapat dielak apabila menggunakan sistem pembelian eticketing.my melalui alam maya yang dibangunkan oleh anak syarikat Energetic Point Sdn. Bhd., iaitu E-Transact Technology Sdn. Bhd.

Penggunaan sistem eticketing.my itu dapat membantu pengguna mengetahui dengan mudah sekiranya terdapat tiket diingini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan hanya menekan satu klik sahaja. Pengarah Urusan E-Transact Technology Sdn. Bhd., Shahizam Ibrahim, berkata, sehingga kini sudah terdapat 30 operator bas ekspres yang menggunakan sistem yang dibangunkan syarikat berkenaan.

"Kalau pengguna memasuki laman web kami, mereka boleh memilih daripada 15 operator bas ekspres yang menawarkan tiket perjalanan pulang ke kampung halaman.

"Menariknya tentang sistem eticketing.my ini, pengguna tidak perlu lagi beratur panjang untuk memiliki tiket bas ekspres mereka tetapi, hanya perlu mendaftar dan membuat pembelian," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Daftar percuma


PERKHIDMATAN kios tiket bas ekspres merupakan antara kemudahan baharu yang diusahakan E-Transact Technology.


Shahizam menjelaskan, pengguna hanya perlu mendaftar secara percuma dengan memasukkan butiran peribadi yang mengambil masa tidak kurang daripada 10 minit.

Katanya, selepas memasukkan butiran peribadi, pengguna boleh memilih operator bas dan destinasi perjalanan yang ingin ditujui mereka dengan mudah dan pantas.

"Secara tidak langsung, sistem ini dapat membantu pengguna menjimatkan dan mengurus masa mereka apabila berurusan dalam pembelian tiket bas ekspres kerana ia dapat dilakukan di mana-mana sahaja asalkan mempunyai akses Internet.

"Selain daripada itu, ia juga dapat mengelak kesesakan di kaunter-kaunter operator bas terutamanya pada waktu puncak," ujarnya lagi.

Dia memberitahu, sistem tersebut turut dapat memaparkan sebarang kekosongan tempat duduk kepada pengguna.

Katanya, ia bermakna pemilihan tempat duduk mampu dilakukan dengan lebih berkesan untuk memberi keselesaan kepada mereka.

"Selepas melakukan pembelian tiket melalui eticketing.my, pengguna akan mendapat kod naik bas. Mereka boleh memilih mencetak atau menyalin kod berkenaan untuk dibawa apabila ingin menaiki bas kelak.

"Pengguna hanya perlu menunjukkan kod naik di kaunter untuk mengambil tiket sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman masing-masing bagi memastikan perjalanan menjadi lebih efisien," katanya.

Dalam pada itu, dia memberitahu, sistem tersebut dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa yang ingin membeli tiket kepada anak-anak mereka.

"Sebagai contoh, jika ibu bapa berada di selatan Semenanjung Malaysia dan anak di negeri sebelah utara, tidak mungkin tiket yang dibeli dapat diberikan kepada anak mereka.

"Bagaimanapun, dengan penggunaan sistem eticketing.my ini mereka hanya perlu memberikan kod naik bas ekspres kepada anak-anak," katanya lagi.

Teknologi sistem eticketing.my


SHAHIZAM menunjukkan paparan skrin laman eticketing.com yang dapat memudahkan pembelian tiket bas ekspres.


Sementara itu, Jurutera Kanan Energetic Point Sdn. Bhd., Mohd. Hafiz Ishak memberitahu, sistem eticketing.my menggunakan teknologi SMARTicket atau pun tiket pintar.

"Ia merupakan penyelesaian kepada pengurusan tiket moden hari ini terutamanya operator bas ekspres. Teknologi ini amat mudah digunakan, boleh diubah pada bila-bila masa dan sangat stabil untuk menjual tiket kerana menggunakan konsep laman web," katanya.

Mohd. Hafiz menjelaskan, teknologi itu bermakna pengguna ataupun operator bas dapat menggunakan sistem tersebut di mana-mana mereka berada asalkan mempunyai akses internet.

Katanya lagi, ia juga amat sesuai digunakan dalam pelbagai modul seperti kaunter tiket, perniagaan dalam talian, peranti mudah alih dan banyak lagi.

"Operator bas yang menggunakan sistem ini dapat menguruskan perjalanan, harga tiket dan banyak lagi dengan mudah dan pantas.

"Selain daripada itu, pengurusan operator bas juga dalam melakukan pengurusan pemandu dan bas, penjadualan, perjalanan dan banyak lagi menggunakan sistem ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Korporat dan Kewangan Energetic Point Sdn. Bhd., Muhammad Nazri Baksis, memberitahu, pengguna boleh melakukan pembayaran dengan pelbagai kaedah apabila menggunakan sistem eticketing.my.

"Mereka boleh memilih menggunakan kad kredit, wang tunai dan beberapa kaedah lagi mengikut kesesuaian dan keselesaan," ujarnya lagi.

Muhammad Nazri menambah, pihaknya juga sedang dalam mencari ejen satelit untuk menguruskan penjualan tiket-tiket itu.

Katanya, ejen satelit itu akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tarikan orang ramai untuk menguruskan penjualan tiket dengan lebih mudah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operator-operator bas ekspres yang terlibat dalam sistem eticketing.my. boleh melayari laman web www.eticketing.my.

Cucian lebih sempurna

Posted: 10 Aug 2011 09:42 PM PDT


RANGKAIAN mesin basuh Electrolux menjimatkan dan mesra pengguna.


KEPELBAGAIAN ciri-ciri pintar yang didatangkan bersama mesin basuh tentu sekali dapat melancarkan cucian pakaian apatah lagi, apabila pengguna sering berdepan dengan keterbatasan waktu dalam mengharungi kehidupan seharian.

Produk mesin basuh yang dilengkapi pelbagai ciri-ciri pintar itu akan lebih memberi impak kepada pengguna sekiranya ia mesra pengguna dan tenaga.

Menyedari kepentingan itu, syarikat pengeluar rangkaian peralatan elektrik terkemuka dari Eropah, Electrolux memperkenalkan dua model mesin basuh Refresh baharu dilengkapi pelbagai ciri-ciri pintar dalam membantu mencapai pencucian sempurna di rumah.

Model EWF14821 Vapour dan EWF10831 yang mempunyai kapasiti lapan kilogram (kg) itu didatangkan bersama teknologi pencucian sistem semburan jet.

Ia juga dilengkapi fungsi wap yang dapat membantu menyingkirkan alergen sambil melembutkan kain untuk pakaian yang lebih putih dan bersih.

Fungsi tersebut sekali gus dapat menghilangkan rasa ketidakselesaan pada pakaian setiap kali pencucian dilakukan.

Dalam pada itu, pengguna yang mementingkan masa tidak perlu berasa bimbang kerana produk terbaharu itu mempunyai ciri pintar pengurusan masa.

Dengan adanya ciri tersebut, ia dapat membantu pengguna mengurus masa dengan lebih baik apabila anda membuat jadual pencucian dengan lebih mudah dan berkesan.

Produk terbaharu itu turut menawarkan lapan pilihan pencucian berdasarkan tanda paras kotoran pada pakaian pengguna dalam menjimatkan masa dan tenaga yang digunakan semasa proses pencucian.

Berdasarkan pilihan itu, mesin basuh serba canggih tersebut dapat mengikut kesesuaian setiap pencucian mengikut tahap kotoran, suhu dan bahan dengan memilih masa putaran yang tepat.

Kedua-dua model itu turut mempunyai reka bentuk yang bebas tekanan dan menampilkan motor inverter tanpa berus pintar yang mengurangkan getaran dan bunyi bising sambil menjimatkan penggunaan tenaga.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dua produk terbaharu yang mempunyai kelajuan putaran 1400 putaran per minit (RPM) dan 1000 RPM itu boleh melayari laman web www.electrolux.com.my.

Kecil, pintar dan mempesona

Posted: 10 Aug 2011 09:34 PM PDT


SAMSUNG Galaxy Mini ditawarkan pada harga mampu milik RM599.


FENOMENA telefon pintar bagaikan sudah sebati dengan penggemar teknologi hari ini apabila ia dapat melancarkan lagi tugasan dan hidupan seharian mereka.

Bagaimanapun, tidak semua pengguna telefon mudah alih yang mahir menggunakan telefon pintar itu sehingga terpaksa melupakan hasrat memiliki peranti menjadi trend hari ini.

Bagi memberi peluang kepada semua pengguna merasai pengalaman kecanggihan peranti telefon pintar, Samsung memperkenalkan Samsung Galaxy Mini yang mempunyai pelbagai ciri menarik pada harga berpatutan kepada pengguna.

Model Galaxy Mini mengetengahkan rekaan ergonomik dan menggunakan warna cerah pada kerangka badan yang dapat menyerlahkan lagi personaliti pengguna.

Dengan rekaan ergonomik telefon pintar tersebut juga mudah dipegang dan dikendalikan pengguna apabila berada di mana-mana sahaja apatah lagi, ia hanya seberat 106.6 gram (g).

Walaupun telefon pintar itu kecil, ia tidak menghampakan pengguna kerana anda masih boleh melayari internet dan melakukan pelbagai tugasan harian dengan dijana sistem operasi (OS) Android 2.2 Froyo.

Galaxy mini turut dilengkapi Perkhidmatan Mudah Alih Google yang menawarkan akses ke alam maya dengan mudah.

Antara perkhidmatan yang boleh digunakan melalui perkhidmatan itu termasuk Gmail, GTalk, Google Maps dan banyak lagi.

Selain daripada itu, telefon pintar yang menggunakan OS Android 2.2 itu juga boleh mengakses melebihi ribuan aplikasi melalui Android Market.

Ia sekali gus tidak mengehadkan keupayaan yang dapat dilakukan oleh telefon pintar kecil itu.

Berhubung dengan orang tersayang dan rakan-rakan juga dapat dilakukan dengan mudah apabila hab sosial berada dalam genggaman pengguna.

Mereka boleh melayari pelbagai laman rangkaian sosial dengan mudah dan pantas apatah apabila telefon pintar tersebut dilengkapi Wi-Fi.

Pengguna yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai telefon pintar Samsung Galaxy Mini boleh melayari laman web www.samsung.com/my/.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved