ads

Ahad, 31 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ikan keli albino terbesar pernah dipancing

Posted: 31 Jul 2011 09:00 PM PDT

BANGGA...Chris  Grimmer (kiri) bersama dua rakannya menunjukkan ikan keli  albino yang ditangkapnya, semalam.
BANGGA...Chris Grimmer (kiri) bersama dua rakannya menunjukkan ikan keli albino yang ditangkapnya, semalam.

LONDON: Ikan gergasi ini membolehkan seorang pemancing warga Britain mencatatkan rekod baru.

Ikan itu, yang ditangkap oleh Chris Grimmer adalah ikan keli albino paling besar pernah ditangkap oleh seorang pemancing.


Ikan sepanjang 2.44 meter itu dan seberat 88 kilogram adalah satu kilogram lebih berat daripada yang ditangkap oleh wanita buta, Shelia Penfold, tahun lalu.

Chris, 35, menghabiskan masa 30 minit untuk cuba menaikkan ikan keliberkenaan selepas ia memakan umpannya.


Pemancing berasal dari Sheffield itu meraikan kejayaannya mencatatkan rekod baru itu dengan mengadakan jamuan bersama rakannya di tebing Sungai Ebro, berhampiran Barcelona, Sepanyol.


Ikan itu sungguh besar hingga menyebabkan batang pancing Chris bengkok dua apabila haiwan itu memakan umpan palet ikan halibut.

Suasana menjadi riuh di tebing sungai dengan orang ramai bersorak dan bertepuk tangan ketika dia menaikkan ikan berkenaan.


Sheila Penfold dari Wandsworth, selatan London, menangkap ikan keli albino seberat 86 kilogram pada Oktober tahun lalu.

Ikan keli terbesar pernah ditangkap di dunia ialah seberat 292 kilogram, Ikan Gergasi Mekong, yang ditangkap di Thailand pada 2005.

Op Pasir: Pertahanan hadapan negara

Posted: 31 Jul 2011 08:58 PM PDT

Operasi di Sistem Pengawasan Op Pasir atau Joint Regional Command Centre (JRCC) yang berpusat di Markas Angkatan Bersama ATM di Tawau, Sabah.

SEJARAH hitam yang dialami oleh sekumpulan 23 orang termasuk 12 pelancong asing yang diculik oleh Kumpulan Abu Sayaf dari kepulauan Selatan Filipina di Pulau Sipadan pada 23 April 2000 mungkin tidak dapat dilupakan sehingga ke akhir hayat.

Susulan daripada insiden penculikan itu, Kementerian Pertahanan telah melancarkan Operasi (Op) Padan pada 29 April 2000 sebagai satu 'operasi terselindung'.

Namun jejak Kumpulan Abu Sayaf tidak terhenti setakat di Pulau Sipadan apabila penculikan kedua berlaku pada 10 September tahun yang sama di Pulau Pandanan yang terletak kira-kira 38 kilometer ke Timur Laut Semporna.

Ekoran kejadian berulang itu, Jemaah Menteri bermesyuarat pada 13 September 2000 dan mengarahkan Tentara Darat (TD) digerakkan ke semua pulau dan resort di perairan Timur Sabah.

Operasi tersebut dinamakan sebagai Op Pasir bagi menggantikan Op Padan sempena singkatan lokasi insiden kes penculikan iaitu 'Pandanan And Sipadan Island Resort'.

Op Pasir membanteras ancaman luaran iaitu kumpulan bersenjata terutama Kumpulan Abu Sayaff atau lebih dikenali sebagai 'Kidnapping for Ransom'.

Terdapat kumpulan perompak dan lanun melibatkan warga asing dari sempadan dan pendatang asing yang menetap di sekitar perairan Timur Sabah.

Ancaman-ancaman lain adalah aktiviti-aktiviti penyeludupan manusia dan pencerobohan perairan yang berlaku tidak menentu pada bila-bila masa.

Ancaman dalaman pula terdiri daripada kumpulan perompak dan lanun, perompak tempatan warga asing serta warga tempatan yang memberi maklumat sasaran.

Selain itu, terdapat juga ancaman kawasan hidupan marin seperti pengeboman ikan, kerosakan batu karang dan kecurian telur penyu.

Kementerian Pertahanan baru-baru ini menganjurkan Lawatan Editor Kanan dan wartawan Media ke Pangkalan Hadapan Op Pasir di Pulau Siamil dan Pulau Danawan, Sabah.

Difahamkan Op Pasir di Pulau Siamil membabitkan satu seksyen yang terdiri daripada lapan anggota manakala 20 anggota di Pulau Danawan yang diketuai oleh pegawai yang memerintah Batalion Infantri berpangkat Leftenan Kolonel.

Selain demonstrasi Op Pasir, lawatan turut meliputi kunjungan ke Sistem Pengawasan Op Pasir atau Joint Regional Command Centre (JRCC) di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MATB 2).

JRCC bertindak sebagai pusat pemantauan semua maklumat di kawasan tanggungjawab Op Pasir berkeluasan 1,577 kilometer membabitkan 33 penempatan termasuk 11 persisiran pantai dan 22 pulau.

Tidak izin walau ceroboh seinci

Posted: 31 Jul 2011 08:57 PM PDT

Dr Ahmad Zahid Hamidi

DIKATEGORIKAN sebagai kawasan paling sensitif ekoran ancaman Kumpulan Abu Sayyaf yang berlaku di Pulau Pandanan dan Pulau Sipadan sejak lebih sedekad lalu, Pulau Danawan kini diberikan perhatian penuh oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi ATM, kerajaan menyalurkan bantuan tidak kira di bandar, luar bandar atau pulau-pulau termasuk rakyat atau bukan rakyat selagi mereka berada di bumi Malaysia.

"ATM juga akan sentiasa mengawasi perairan ini dan tidak akan mengizinkan walaupun seinci tanah pun diceroboh oleh pihak asing," katanya tegas.

Ahmad Zahid berkata, ia adalah jaminan rasmi Kerajaan kerana selain menjaga keselamatan dan memantapkan benteng pertahanan, kawasan-kawasan yang agak jauh dari bandar perlu diberikan keprihatinan dari segi pembangunan infrastruktur.

"Atas dasar kemanusiaan, kita membantu tanpa mahukan sanjungan atau pujian. Apa yang dilakukan ini tidak disalahtafsirkan. Keprihatinan kami adalah ikhlas.

"Sejak 2005 sehingga kini tiada insiden membabitkan kumpulan bersenjata yang memasuki atau bergerak aktif di sekitar perairan Timur Sabah," katanya.

Jelasnya, para penduduk di kawasan perairan dapat menjalani kehidupan dan aktiviti harian dengan bebas tanpa gangguan yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Sementara itu, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman pula berkata, pulau-pulau di perairan Timur Sabah merupakan aset penting negara.

Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman.

"Amat penting bagi semua kawasan dikawal seketatnya daripada ancaman luaran mahupun dalaman demi menjaga keamanan negara," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata, Op Pasir melibatkan semua aset di bawah Kementerian Pertahanan terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara di bawah Markas Tugas Angkatan Bersama 2 (MTAB2).

"Pendekatan bersama merupakan konsep penggabungan aset daripada ketiga-tiga perkhidmatan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi tersebut.

"Pada masa yang sama, kita mengadakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM)," katanya.

Op Pasir juga meliputi inisiatif konsep rondaan mesra dan program bertanya khabar berikutan kepentingan menjalin hubungan dengan masyarakat setempat.

Selain itu, ATM melaksanakan program khidmat masyarakat atau Program Jiwa Murni bagi membantu masyarakat setempat khususnya di kawasan pedalaman secara berterusan dan konsisten.

Masyarakat tanpa negara

Posted: 31 Jul 2011 08:54 PM PDT

Rumah-rumah di persisiran pantai Pulau Danawan.

HANYA berkeluasan 0.63 kilometer persegi, Pulau Danawan tidak sebesar mana. Kedudukannya jauh dari perairan Semporna di Timur Sabah. Malah ia kelihatan lebih menghampiri Filipina daripada Semporna. Yang pasti, pulau ini bukanlah destinasi pelancongan. Jika hendak melancong sekali pun tidak boleh kerana tidak ada perkhidmatan bot secara komersial atau feri dari tanah besar Sabah menuju ke pulau tersebut. Dan di atas pulau tersebut tidak ada hotel mahu pun rumah tumpangan. Tiada juga jalan mahupun kenderaan. Tidak ada elektrik dan bekalan air yang dirawat apatah lagi pasar raya besar seperti Giant, Carrefour, Tesco atau pusat membeli-belah seperti The Mall, Pavillion, The Curve, Plaza Bukit Bintang atau pawagam.

Antara kedai runcit di Pulau Danawan.

Apakah yang ada di situ? Di pulau itu hanya terdapat dua jenis penempatan sahaja - satu milik Markas Angkatan Tugas Bersama Malaysia dan satu lagi perkampungan nelayan yang didiami oleh sebahagian besarnya kaum dari etnik Bajau Laut dan selebihnya keturunan Melayu Filipina dan Indonesia yang telah berhijrah ke situ sejak turun-temurun lagi. Mereka kini berjumlah lebih kurang 1,400 orang. Dan majoriti mereka tidak bernegara - dalam perkataan yang lain tidak memiliki kerakyatan - sama ada Malaysia, Filipina mahupun Indonesia.

Ada yang berhijrah dari Filipina dan Indonesia, ada yang dilahirkan serta dibesarkan di Pulau Danawan atau Semporna malah ada yang tidak tahu asal-usul keturunan mereka dari mana. Difahamkan, hanya sekitar 300 orang penduduk sahaja yang memiliki kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan Malaysia. Anak-anak mereka inilah yang berpeluang ke sekolah di pulau berkenaan. Sekolah rendah itu adalah satu-satunya sekolah di situ dan memiliki tiga bilik darjah dengan 31 orang murid sepenuh masa sahaja.

Bin Martin sedang memahat kayu untuk dijadikan kerangka perahu.

Jadi bagaimanakah kami boleh berada di pulau terpencil yang terletak di Laut Sulu yang jauhnya adalah lebih kurang tiga jam perjalanan dengan bot dari Semporna? Kami bukanlah pengembara jalanan tetapi adalah tetamu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa sekumpulan pengarang-pengarang kanan dan wartawan media tempatan untuk menyaksikan latihan gabungan tiga cabang - Laut, Udara dan Darat - dari Markas Angkatan Tugas Bersama yang berpangkalan di Tawau, Sabah dalam menangani situasi diancam oleh pengganas. Latihan tersebut dinamakan Op Pasir - iaitu akronim daripada Padanan And Sipadan Island Resort. Kedua-dua pulau tersebut terletak tidak jauh dari Pulau Danawan dan pernah menerima ancaman pengganas pada tahun 2000.

Latihan Op Pasir berlangsung di Pulau Danawan dan kembarnya yang lebih kecil iaitu Pulau Siamil yang terletak hanya kurang lebih 1.6km dari Danawan. Kami juga berpeluang menyaksikan pelaksanaan program apa yang dipanggil 'Jiwa Murni' iaitu program kemasyarakatan kelolaan ATM dalam membantu membaik pulih Balai Raya dan Surau Kampung Danawan dan perkhidmatan rawatan pergigian kelolaan Kor Perubatan ATM.

Mengambil upah mengumpul biji kelapa untuk dikeringkan.

Dari Markas Pertahanan Hadapan ATM yang berpusat di permukaan paling tinggi di Pulau Danawan, kami dibawa menyusuri laluan masuk ke Kampung Danawan yang dipenuhi lalang dan pohon-pohon kelapa di kiri kanan. Menghampiri tepian pantai, kami melihat dari sayup, rumah-rumah yang kesemuanya didirikan di atas laut di persisiran pantai. Ia adalah satu pemandangan yang sangat aneh. Aneh kerana walaupun terdapat kawasan tanah lapang di pulau itu yang boleh didirikan rumah, tetapi tidak ada satu rumah pun yang dibina di atas tanah kecuali balai raya kampung, surau, bangunan sekolah dan kuarters guru juga bangsal-bangsal kecil yang kelihatan seperti kedai kecil minuman dan makanan ringan. Kami tidak menemui walau satu pun restoran atau kedai makan di pulau ini.

Lumrah kehidupan

Menurut salah seorang penduduk bernama Belny Wutu, 52, dia sendiri tidak dapat mengingati bilakah kali pertama dia menjejakkan kaki ke pulau itu bersama isterinya, Pallisa Amsirin, 40.

"Aku tidak ingat. Tapi aku tahu aku masih muda...(sewaktu datang ke sini)," katanya yang tidak fasih berbahasa Melayu. Perbualan dengan kami hanya terhenti setakat itu.

Bagaimanapun, menantu lelakinya, Ahad Linjal, 29, tampil mencelah, "Bapa (mertua) tidak pandai cakap (bahasa) Melayu. Dia boleh cakap bahasa Bajau saja," katanya.

Wajahnya kelihatan bengis namun dia menampakkan sisi dirinya yang ramah apabila meneruskan bicara dan berkongsi cerita satu-persatu kepada penulis.

Permainan bola tampar merupakan aktiviti utama bagi kanak-kanak di Pulau Danawan.

"Saya dan dia (bapa mertua) adalah nelayan. Hampir semua lelaki di Pulau Danawan juga begitu. Tangkap ikan bukan kerja, tapi itu yang kami buat setiap hari.

"Kami bukan tangkap ikan untuk dijual. Kami tangkap untuk makan. Beginilah kehidupan kami. Kalau tidak ada ikan, kami makan nasi atau ubi kayu saja," katanya lagi.

Darmani (kiri) dan isteri Dibinah.

Bagaimanapun Ahad memberitahu, ada juga yang menangkap ikan untuk dijual. Antara ikan-ikan yang sering ditangkap adalah ikan batu, ikan putih, ikan merah dan ikan tambak.

Dia yang mengetahui kunjungan kami ke Pulau Danawan atas jemputan ATM menyambung cerita tentang pengalamannya tinggal di atas laut.

"Dulu saya pernah tinggal di sana (atas laut)," katanya sambil menunjuk ke arah sebuah perkampungan di atas laut tidak jauh dari rumahnya.

Ahad bagaimanapun menjelaskan, walaupun tinggal di atas laut memudahkannya untuk keluar menangkap ikan namun kehidupannya sekeluarga berisiko tinggi.

"Tinggal di atas laut tidak selamat. Kami sekeluarga pernah didatangi perompak pada tahun 2008. Kami diugut dengan pisau. Kami tidak tahu siapa mereka. Semua pakai topeng.

Laluan untuk ke rumah di atas air.

"Mujur tiada yang dicederakan. Selepas itu, kami berpindah ke tepi pantai di pulau ini," kata Ahad yang kini tinggal di rumah papan beratapkan zink bersama ahli keluarganya seramai 10 orang.

Tidak prejudis

Penulis turut menemui pasangan suami isteri, Rini Darmani, 57, dan Dibinah Nurkah, 45, yang menjalankan perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan di Pulau Danawan.

Bagaimanapun, sejak empat bulan lalu mereka mula berjinak-jinak untuk menjual kelapa kering di Pekan Semporna sebagai satu sumber pendapatan sampingan.

Dipanggil Darmani, dia berkata, buah kelapa diperoleh daripada budak-budak kampung yang mengutipnya di sekitar pulau tersebut dengan upah 10 sen sebiji.

"Tempoh mengeringkan biji kelapa antara tiga sehingga lima hari bergantung pada cuaca. Jualan bagi setiap 100 kilogram adalah RM50. Kebiasaannya kelapa kering yang dijual untuk dijadikan bahan ubat-ubatan dan manisan," katanya.

Dalam perjalanan pulang ke jeti, kami turut menyaksikan bagaimana penduduk tempatan menjemur dan mengeringkan gamat atau timun laut untuk dijadikan ubatan tradisional. Kami juga melihat mereka mengumpul cengkerang siput yang sangat besar untuk dijual sebagai bahan perhiasan. Dan kami sempat bertemu dengan Bin Martin, 51, yang ketika itu sedang mengetam kayu untuk dijadikan sebahagian daripada kerangka perahu.

Dia yang menetap di Pulau Danawan sejak 1972 lagi bekerja sebagai nelayan di samping mengambil upah membuat perahu demi menyara keluarganya seramai 10 orang.

Darmani mengasingkan biji-biji kelapa yang sudah dikeringkan.

"Orang luar mengupah saya untuk buat perahu. Dari awal pagi lagi saya sudah keluar rumah untuk tangkap ikan. Saya pulang ke rumah selepas tengah hari dan ambil masa satu sehingga dua jam untuk berehat kemudian menyambung kerja membuat perahu.

"Upah buat perahu secara purata adalah RM250 sebuah. Di Pulau Danawan kena pandai buat macam-macam kerja. Bukan sekadar jadi nelayan saja," katanya.

Begitulah coretan masyarakat di Pulau Danawan sama ada rakyat tempatan atau mereka yang tanpa negara - masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk meneruskan kehidupan di pulau terpencil itu.

Antara rumah di Pulau Danawan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyertai rombongan media ke pulau itu berkata, ATM tidak bersikap prejudis apabila menyentuh tentang soal kemanusiaan dan juga isu keselamatan.

Atas dasar dan semangat inilah katanya, ATM menerusi Kor Pendidikannya akan menyalurkan tenaga pengajar tambahan dari semasa ke semasa ke Pulau Danawan untuk membantu mengajar anak-anak penduduk yang tidak bernegara membaca, mengeja dan mengira sebagai asas untuk mereka membesar kerana mereka tidak dapat mendaftarkan diri sebagai murid sekolah kerana tidak memiliki taraf kewarganegaraan.

Selepas beramah mesra dengan penduduk tempatan, Zahid Hamidi menyertai penduduk kampung untuk makan tengah hari di pekarangan Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Danawan. Masakan disediakan oleh anggota-anggota tentera yang berpangkalan di pulau berkenaan. Selepas itu kami bersama-sama Zahid menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat tempatan di surau Kampung Danawan. Zahid sendiri mengimamkan sembahyang Jumaat di surau berkenaan dan sebelum berlepas pulang menyumbangkan sedikit peruntukan untuk pembinaan tandas di surau itu.

Dan menjelang jam 3.05 petang kami berlepas pulang meninggalkan Pulau Danawan membawa bersama kenangan yang tidak mungkin akan dapat dilupakan sepanjang hayat.

Khazanah Nusantara julang seni Malaysia, Indonesia

Posted: 31 Jul 2011 08:53 PM PDT

RAJA AHMAD AMINULLAH

TERPEGUN melihat karya seni tradisional dan kontemporari yang terpamer di galeri RA Fine Arts milik Raja Abdullah Aminullah yang terletak di Solaris, Dutamas, Kuala Lumpur.

Ketika menerima jemputan menghadiri pameran kali ketiga yang berlangsung di situ, dalam hati terdetik pasti ada yang istimewa ingin ditonjolkan insan berjiwa seni ini.

Nyata Khazanah Nusantara, judul pamerannya kali ini bukan calang-calang pameran kerana telah menghimpunkan hasil kerja karyawan seni tanahair dan Indonesia.

Raja Ahmad menunjukkan lukisan minyak yang dilukis di atas kanvas oleh Dian Anggraini pada 1992.

"Perihal dan karya seni yang kita lihat sekarang mempunyai sejarah dan telah melalui satu perjalanan panjang."Sayang sekali jika hasil kerja yang diiktiraf ini dilupakan dan adalah merugikan jika tidak ditonjolkan kepada masyarakat," kata Raja Ahmad kepada Mingguan mStar.

Berada di bawah bumbung galeri ini tidak sekadar lukisan, sebaliknya menyaksikan himpunan beberapa artifak kebudayaan dan tekstil seni bernilai tinggi.

Di sinilah peluang untuk melihat batik yang dilukis isteri-isteri golongan kolonial ketika negara dijajah, songket benang emas, selendang, sulaman manik dan tekat.

Khazanah Nusantara yang diadakan di galeri RA Fine Arts menghimpunkan koleksi peribadi milik Raja Ahmad dan karya yang dipinjam daripada pemilik asal.

Turut dipamerkan, ciur tiga dan tujuh lapis yang amat popular di Perak suatu ketika dulu dan sering digunakan golongan istana.

"Ada dua helai kebaya lama di sini. Nampak ringkas, namun potongannya jika diamati cukup unik.

"Tekat Melayu juga saya kira amat unik. Membuat sulaman tekat tidak mudah dan mengambil masa lebih kurang satu tahun untuk disiapkan," katanya sambil memberitahu tekat juga dibuat di Palembang dan Jambi.

Koleksi keris di pameran Khazanah Nusantara.

Karya lama dan baru

Himpunan karya seni sedikit pincang tanpa adanya lukisan.

"Sama ada berciri moden atau sebaliknya, dihasilkan pelukis ternama atau baru mencipta nama, yang penting adalah unsur seni yang dicurah pelukis dengan ikhlas dan penuh emosi," katanya yang juga penyair.

Justeru, pameran yang berlangsung dari 20 Jun hingga 20 Julai lalu tidak hanya mempamerkan lukisan lama, tetapi juga karya pelukis muda.

Unik...Manik dijahit pada kain menghasilkan motif penyu.

"Seniman perlu dihargai semasa hayatnya, tidak hanya selepas ketiadaannya. Karya seniman yang telah tiada menjadi memori, tapi lukisan pelukis yang masih ada perlu diberi perhatian," ujarnya.

Antara lukisan yang dipamerkan termasuklah karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, Mustafa Ibrahim, Mohammad Din Mohammad, Zakaria Ali, Ahmad Khalid Yusof, Dian Anggraini, Kartika Affandi.

"Zakaria Ali amat terkenal dengan lukisan siri Mexico-nya yang kini payah sekali ditemui di pasaran," katanya.

Potongan kebaya lama yang ringkas tapi menarik.

Kartika, pelukis dari Indonesia pula telah melukis lukisan menakjubkan bertajuk 'Melaka' pada 2007 dengan teknik pantas.

"Karya Khoo Sui Hoe berjudul 'Hilltop Meditation' yang dihasilkan pada 1981 menjadi antara lukisan paling lama pada pameran ini," katanya.

Koleksi pending, tali pinggan dan gelang.

Koleksi artifak

Keris, tembaga, pending sering digunakan pahlawan dahulu kala dan untuk acara-acara di istana, namun ramai generasi hari ini seakan-akan tidak mengenali artifak ini lagi.

"Ukiran hulu keris, pending, tali pinggang dan gelang tembaga zaman dahulu sangat halus dan berseni. Artifak ini diletakkan dalam almari kaca tetapi pengunjung berpeluang melihat dan membelek ciri seninya apabila berkunjung ke pameran seperti ini," katanya yang merancang mengadakan pameran seumpama ini secara besar-besaran tidak lama lagi.

Keseluruhannya Khazanah Nusantara menghimpunkan 30 lukisan selain tekstil dan artifak Malaysia serta Indonesia.

Sebahagian daripada koleksi yang dipamerkan di galeri persendirian ini merupakan milik Raja Ahmad sendiri dan sebahagian lagi dipinjam daripada pemilik atau ahli keluarga karyawan yang sudah tiada.

Jaipur bandar merah jambu

Posted: 31 Jul 2011 08:48 PM PDT

Istana Maharaja Jaipur.

BANDAR Merah Jambu atau Pink City. Sewaktu dikhabarkan mengenainya, penulis hanya mengerut dahi memikirkan sama ada terdapat maksud tersirat atau sebaliknya.

Namun kunjungan penulis ke ibu negeri yang juga merupakan bandar terbesar di Rajasthan itu memberikan jawapan sebenar tanpa berselindung walau sedikit pun.

Hampir kesemua bangunan dari rumah, kedai, kolej, pejabat sehingga ke istana semuanya dicat dengan warna merah jambu.

Sekumpulan wanita tempatan berpakaian sari menunju ke arah pintu gerbang City Palace Jaipur.

Mujur ia hanya mewarnai sebahagian besar bangunan. Bagaimana agaknya jika jalan raya dan pengangkutan juga 'diwajibkan' diwarnai dengan merah jambu.

Seperti andaian penulis, mungkin perkara itu turut tidak dapat dibayangkan oleh penduduk Jaipur yang kini mencecah lebih 3.9 juta orang.

Seluruh Jaipur diwarnai dengan merah jambu sebagai menyambut kunjungan Putera Wales yang melawat bandar itu sewaktu rejim Sawai Ram Singh pada tahun 1853.

Pintu gerbang pertama untuk ke City Palace Jaipur.

Walaupun kebanyakan bangunan jelas menampakkan usia lebih kurang dua abad namun warna merah jambu itu seolah 'menghidupkan' kembali zaman lampau.

Balang perak gergasi

Sukarnya untuk melihat wanita rakyat tempatan di sepanjang pengembaraan penulis yang mengikuti rombongan media bersama AirAsia X ke India, baru-baru ini.

Sedangkan satu pasar pagi di Agra yang dikatakan sebagai 'Ladies Market' atau Pasar Wanita pun dilihat rata-ratanya adalah peniaga dan pembeli lelaki.

Papan tanda menunjukkan arah ke City Palace Jaipur.

Mungkin segelintir wanita tempatan lebih selesa menjadi suri rumah yang melakukan rutin harian seperti memasak, mencuci baju dan menjaga anak-anak.

Namun hajat penulis seakan dipenuhi apabila beberapa wanita berpakaian tradisional sari beraneka warna dan corak berjalan kaki ke arah satu pintu gerbang besar.

Itulah pintu utama City Palace Jaipur, kompleks istana Maharaja Jaipur yang menghimpunkan Chandra Mahal dan Mubarak Mahal serta beberapa bangunan lain.

City Palace Jaipur dibina oleh Sawai Jai Singh II, Pemerintah Amber salah satu bandar di Rajasthan yang menjumpai bandar Jaipur pada 1727.

'Gangajali' merupakan objek perak terbesar di dunia.

Terdapat satu ruang terbentang luas berhampiran Chandra Mahal dijadikan sebagai tempat keraian di mana aktiviti tarian dan majlis santai turut diadakan.

City Palace Jaipur pernah menjadi menjadi lokasi penggambaran filem epik Jodhaa Akbar pada 2008 oleh Hrithik Roshan dan Aishwarya Rai Bachchan.

Selain dua bintang Bollywood itu, pelakon Salman Khan turut tidak terkecuali menerusi lakonannya dalam filem Veer pada 2010.

Berhampiran dengan Chandra Mahal terdapat satu dewan hadirin Maharaja iaitu Diwan-I-Khas yang mempamerkan dua balang perak gergasi.

Lebih dikenali sebagai 'Gangajali', ia merupakan objek perak terbesar di dunia yang direkodkan dalam Guinness Book of World Records.

Siapa sangka berat sebenar balang gergasi itu adalah 345 kilogram namun apa yang pasti ia mampu mengisi sejumlah 4,091 liter air.

Jalan utama di hadapan Hawa Mahal sentiasa sibuk dengan orang yang membawa penumpang, barang makanan dan bahan tekstil.

Di sini juga terdapat Muzium City Palace Jaipur yang menghimpunkan koleksi lukisan, manuskrip, senjata dan perisai.

Pandangan wanita diraja

Penulis hanya melawatinya pada hari berikutnya sedangkan bangunan setinggi lima tingkat itu dilalui terlebih dahulu sebelum memasuki City Palace Jaipur.

Kesibukan trafik di hadapan bangunan yang diberi nama Hawa Mahal atau 'Palace of Wind' yang menyukarkan bas rombongan untuk berhenti di tepi jalan utama.

Hawa Mahal dibina oleh Maharaja Sawai Pratap Singh pada 1799 dan rekaan oleh Lal Chand Usta itu dikatakan menyerupai seperti bentuk mahkota tuhan Hindu, Krishna.

Pada mulanya ia bertujuan untuk membolehkan wanita diraja melihat keadaan di luar tanpa dilihat oleh orang lain bersesuaian dengan keadaan mereka yang berpurdah.

Walaupun penulis tidak berkesempatan mengunjungi bahagian dalam Hawa Mahal namun dapat dibayangkan pemandangan yang dilihat kaum wanita pada zaman itu.

Tidak kira pagi, tengah hari, petang sehingga melewati senja, jalan utama itu sentiasa sibuk terutama mereka yang membawa penumpang, bahan makanan dan tekstil.

Penulis bagaimanapun tidak sempat menaiki beca di City Palace Jaipur namun berpeluang menaiki jip sehingga ke atas bukit untuk lokasi seterusnya Amber Fort.

Sekarang lebih bahagia

Posted: 31 Jul 2011 08:47 PM PDT

Aishah
Aishah
Aishah reda diceraikan menerusi SMS, anggap dugaan daripada Tuhan

BELUM selesai kes mahkamah disebabkan berkahwin di Narathiwat, Thailand, penyanyi bersuara lunak, Aishah menghadapi ujian sekali lagi apabila perkahwinan yang berusia setahun itu berakhir dengan perceraian.
Bagi mata yang memandang, pasti akan menuding jari ke atas wanita beranak dua ini kerana ini adalah kali ketiga perkahwinan yang dibina atas dasar cinta sama cinta tersungkur di pertengahan jalan.
Namun bagi diri yang menanggung, bukan mudah untuk menggalas gelaran janda. Ke mana pergi, pasti akan ada mata yang memandang dengan penuh sinis seolah-olah mereka yang bergelar janda ini jahat serta seorang wanita yang gagal menjadi seorang isteri yang baik.

Begitulah mudahnya masyarakat membuat penilaian serta menjatuhkan hukum tanpa mengetahui siapa benar dan siapa yang salah. Namun, buat si empunya diri, perceraian dan kembali bergelar janda bukanlah satu dosa atau bebanan buatnya.

Malah tegas penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang ini adalah lebih baik bercerai andai perkara itu sebenarnya lebih membahagiakannya.

"Saya lebih bahagia sekarang. Lebih tenang dan hilang segala tekanan yang selama ini membelenggu hidup saya anak beranak. Sepanjang setahun hidup bersamanya, bahagia yang dikecapi cuma seketika. Namun tak perlulah jelaskan secara terperinci mengapa kami bercerai.
"Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami setakat ini dan jika sudah tiada rasa cinta, lebih baik bawa haluan masing-masing. Saya tidak mahu memburukkan sesiapa kerana walaupun antara kami sudah tiada ikatan, tapi dia pernah menjadi suami saya dan biarlah sebab dan punca perceraian kami hanya saya, dia dan tuhan saja yang tahu," jelas Aishah ketika dihubungi Hip petang Rabu lalu.

Biarpun amat berahsia mengenai punca perpisahannya dengan lelaki bernama Faizal Sazali Zulkifli itu, namun Aishah cukup terbuka apabila mendedahkan perihal perceraiannya itu di laman sosial Facebook miliknya walaupun dengan cara kiasan.

Jelas pemenang kategori Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1990 ini, tujuannya berbuat demikian adalah supaya tidak ada yang tersalah anggap atau keliru jika terlihat dirinya bersama lelaki lain.

"Saya tak mahu nanti apabila ada peminat ternampak saya berjalan dengan orang lain, ada tanggapan yang bukan-bukan. Kenapa saya keluar dengan lelaki lain sedangkan pada sangkaan mereka, saya masih bersuami. Jadi dengan cara itu, mereka tahu apa yang berlaku pada saya," tutur Aishah menjelaskan situasi sebenar.

Jika sebelum ini dia diceraikan dengan lafaz talak, tapi untuk kali ketiga ini, Aishah diceraikan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Memang menyedihkan apabila diri diperlakukan begitu tetapi kata Aishah dia reda kerana percaya ada hikmah di sebaliknya.

"Kami tidak tinggal sebumbung sejak Februari lalu. Dia menceraikan saya menerusi SMS pada 19 Mei baru-baru ini. Selepas merujuk perkara ini kepada abang serta mereka yang bertauliah dan mendapati memang dia mengirimkan SMS itu, barulah saya berani mengesahkan perceraian ini," katanya yang akan ke mahkamah sekali lagi bagi menyelesaikan perkara itu.

Di tanya perasaan anak-anak terhadap musibah yang menimpa ibunya itu, Aishah berkata, dua orang anaknya iaitu Armand Azhari, 17 dan Azhad Ahlami, 11 turut berkongsi rasa yang sama dengannya.

"Mereka menyokong apa saja keputusan yang saya lakukan. Malah anak saya juga ada berkata bahawa mereka lebih rela tiada bapa jika itu lebih membahagiakan kami sekeluarga. Lagipun mereka semua sudah meningkat dewasa, yang sulung itu pun sudah jadi orang bujang dan dia juga ada berkata yang dia akan mempertahankan saya walau dalam apa keadaan sekali pun," katanya.

Mungkin kegagalan berumah tangga apatah lagi sebanyak tiga kali, sedikit sebanyak pastinya menimbulkan perasaan serik dan was-was untuk kembali melangkah ke gerbang perkahwinan. Namun tidak bagi penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan ini.

"Dulu saya pernah berkata yang serik berumah tangga, tapi selepas berkenalan dengan bekas suami, saya mengambil keputusan menamatkan zaman janda dengannya. Jadi saya tak mahu mengatakan serik. Ini adalah soal jodoh dan kerja Tuhan.
"Namun untuk saya mencari, biarlah dulu. Buat masa ini, saya lebih selesa dengan anak-anak," katanya.

Peraturan kemasukan diperketat

Posted: 31 Jul 2011 08:30 PM PDT

TRAGEDI...penolakan dan pandangan skeptikal  terhadap orang luar biar apapun statusnya adalah rentetan daripada pelbagai tragedi yang berlaku sekali gus mewujudkan konflik.
TRAGEDI...penolakan dan pandangan skeptikal terhadap orang luar biar apapun statusnya adalah rentetan daripada pelbagai tragedi yang berlaku sekali gus mewujudkan konflik.

IMPIAN Mariano Cardoso, 23, ketika menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat hanya satu iaitu menuntut ilmu dan membina kerjaya serta masa depan yang baik.

Malah, dia turut menggambarkan penerimaan masyarakat di negara Uncle Sam itu sangat hebat dan terbuka.

  • Foto

    KRISIS...meskipun tidak wujud sebarang krisis yang teruk, jika tidak ditangani mampu mencetuskan perasaan tidak puas hati antara satu sama lain.

  • Foto

    HANYA MENCARI PENGHIDUPAN YANG BAIK...kedatangan ramai pelajar hanyalah ingin mencari ilmu dan membina masa depan baik, malangnya tidak semua masyarakat mampu menerima.

  • Foto

    HARMONI...tidak perlu wujud sebarang prasangka sebaliknya setiap pelajar perlu menjalin hubungan yang baik bagi membuktikan tiada agenda sebaliknya.

  • Foto

    MASA DEPAN...ramai pelajar memilih negara maju untuk melanjutkan pengajian kerana mempunyai banyak institusi bertaraf A sekali gus memberi peluang membina kehidupan yang baik.

Malangnya itu tidak berlaku kerana dia terpaksa menjadi mangsa diskriminasi dan dianggap golongan pendatang yang membawa masalah.

Semuanya gara-gara berasal dari negara asing, ditambah sikap curiga yang semakin bersarang, dia akhirnya menjadi mangsa keadaan.


"Saya datang hanya untuk menuntut ilmu dan membina masa depan yang baik.

Pilihan itu dibuat kerana institusi di negara ini sangat terkenal, ternama dan sering menjadi rujukan peradaban dunia.

"Malangnya bukan semua dapat menerima kehadiran orang luar dengan tangan terbuka. Percaturan itu silap akhirnya memakan diri dan memaksa kami 'bertarung' dengan pandangan serong.

"Sangat menyedihkan mereka apabila menganggap kami sebagai orang luar yang berbahaya padahal kedatangan ke sini hanya untuk belajar. Bagaimana kami ingin meneruskan kehidupan masih samar," katanya.

Bukan dia seorang saja yang menjadi mangsa, malah sebahagian besar turut dicurigai terutama jika mereka datang dari negara yang dianggap sarang pengganas dan mempunyai kadar jenayah tinggi.

Pakar antropologi pendidikan, John Mark, berkata masyarakat negaranya tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana mereka perlu mula berhati-hati membina jurang dalam perhubungan dan kepercayaan akibat tragedi sebelum ini.

Menurutnya, walaupun masyarakat Amerika mengalu-alukan kedatangan orang luar, tidak bermakna mereka sewenang-wenangnya mempercayai kebaikan ditunjukkan kerana takut memakan diri.

"Sebelum ini kami sering mengalu alukan kedatangan tetamu, namun akhirnya ia memakan diri. Reputasi dan keselamatan nyawa kami terancam kerana sikap itu.

"Tidak kiralah sama ada pelajar atau berkeluarga kami mesti berhati-hati kerana bukan semuanya berniat baik. Ini tidak berkaitan dengan skeptikal terhadap bangsa atau agama, yang penting siapakah mereka? Adakah mereka berbahaya atau sebaliknya?," katanya.

Meskipun polisi negara itu masih membuka pintu luar kepada pelajar antarabangsa, namun pelbagai syarat, peraturan dan pemeriksaan ketat perlu diikuti serta dipatuhi.

Biarpun ada berpendapat bukan orang luar sebenarnya banyak membuat onar, tanggapan itu sukar diubah apatah lagi kebanyakan tragedi berlaku membabitkan golongan ekstremis yang dianggap penjenayah.

"Ini dasar dan polisi negara kami, suka atau tidak mereka perlu mengikuti dan mematuhi undang undang sedia ada, jika tidak sila keluar.

"Masyarakat boleh menghentam atau melahirkan kecaman namun apa dilakukan tidak bermaksud untuk menafikan hak namun demi menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat.

"Katalah apa saja, kami tidak mengubah atau berganjak dengan pendirian. Silalah datang, kami mengalu-alukan kedatangan namun perlu ingat, ikutlah segala peraturan serta hormati privasi masyarakat negara ini," katanya.

Amerika antara salah satu negara di dunia yang mempunyai institusi senarai gred A, sering kali menjadi pilihan masyarakat antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.

Mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Kemasukan, Kemanusiaan dan Immigrasi Amerika Syarikat (INS) sejak 1971 hingga 1991, lebih tiga juta orang memasuki negara terbabit atas pelbagai sebab.

Sementara 393,000 pula melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dengan syarat sudah menerima pelepasan INS dalam aspek tertentu seperti program bahasa dan penempatan tetap di institusi.

Menerusi jumlah yang sentiasa meningkat, tidak hairan, apabila negara terbabit terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang dan membendung kadar jenayah daripada terus meningkat.

"Kami takut dengan jumlah peningkatan ini seperti 'memperjudikan' nyawa dan masa depan. Siapa mereka itu, adakah kedatangan ke negara kami memang benar untuk menuntut ilmu atau ada maksud sebaliknya?

"Sudah cukup kami 'menangis' kerana kehilangan orang tersayang, justeru, tolonglah hormatilah kehendak kami yang sangat menyintai kedamaian," kata Mark.

Kenyataan berkenaan ternyata dibidas dan mendapat reaksi kurang senang orang ramai, golongan terpelajar termasuk wakil pelajar antarabangsa yang menganggapnya sebagai tidak adil, berat sebelah dan mencabul hak kebebasan individu.

Penyelidik Kebudayaan Inggeris, Jabatan Persuratan Inggeris, Murcia University, Sepanyol, Jose Saura Sanchez, berkata tindakan itu bukan saja menyebabkan persepsi semakin kritikal, malah mewujudkan jurang perhubungan antarabangsa.

Menurutnya, kehadiran mereka seharusnya diterima dengan tangan terbuka dan diberi sokongan namun disebabkan tindakan segelintir yang dangkal, semuanya terpaksa menanggung beban.

"Mereka datang dengan satu tujuan mulia namun apa diterima sangat membebankan perasaan dan menghiris sensitiviti. Mereka sebenarnya menjadi mangsa keadaan yang dimanipulasi demi memenuhi kepentingan orang lain.

"Ditegaskan, kami tidak mahu menjadi golongan itu, jangan samakan dengan mereka yang ekstrem kerana bukan semua bertindak demikian. Saya percaya lebih ramai yang sukakan kedamaian berbanding permusuhan," katanya.

Beliau juga menggariskan antara faktor menyebabkan timbulnya konflik berkenaan adalah perbezaan budaya, latar belakang, komunikasi dan pandangan.

"Kegagalan untuk mengimbangkan antara keperluan, cara hidup, budaya, persepsi dan komunikasi antara faktor dikenal pasti mewujudkan konflik dalam menjalin hubungan hingga mereka tidak bersalah sebagai mangsa.

"Sebagai orang luar, kami faham segala peraturan dan berusaha menghormati hak tuan rumah, malangnya bukan semua yang mempunyai mentaliti itu. Paling menyedihkan kami juga menerima tempiasnya.

"Konflik itu jika tidak diselesaikan, bukan saja meruncingkan keadaan, malah menjarakkan lagi jurang kepercayaan sedia ada sekali gus menyusahkan semua pihak," katanya.

Ali juara Kilauan Emas

Posted: 31 Jul 2011 08:27 PM PDT

DARI kiri Azhar, Mohd Ali Norpiah, Shamsiah dan Mohamad Razip peserta Pentas Akhir Kilauan Emas Astro.
DARI kiri Azhar, Mohd Ali Norpiah, Shamsiah dan Mohamad Razip peserta Pentas Akhir Kilauan Emas Astro.
Pandai pilih lagu, persembahan memukau, dapat pujian juri

SEPERTI lumrah, semua yang bermula pasti akan berakhir. Begitu juga program realiti Kilauan Emas yang melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu dengan mencipta seorang lagi bintang yang akan menyemarakkan lagi dunia hiburan tanah air.
Di kalangan empat peserta yang masing-masing mempunyai kekuatan dan gaya yang tersendiri, Mohd Ali Norpiah Mohd Johar, 46, berjaya meraih perhatian juri sekali gus mencatat markah tertinggi dengan persembahannya yang menghiburkan.
Tidak hairanlah menjadi juara dalam pertandingan yang diadili sepenuhnya oleh juri profesional ini, peserta berasal dari Kuantan, Pahang ini mencatat markah sebanyak 473, manakala pesaingnya masing-masing memperoleh 459, 457 dan 426 markah.

Menyampaikan dua lagu iaitu Permaidani, nyanyian asal oleh Aris Ariwatan dan Joget Bunga Melati (Halil Chik), sebagai juara, Ali menerima wang tunai RM20,000 serta trofi.

Ditemui selepas program final itu selesai, Ali berkata, sudah tentu dia gembira dengan kemenangan itu dan berterima kasih kepada penganjur kerana mengadakan pertandingan nyanyian untuk golongan umut 45 tahun.

Sementara itu, peserta tunggal wanita yang layak ke peringkat akhir, Shamsiah Mohd Said, 49, dari Kota Tinggi, Johor, pula dipilih oleh juri sebagai naib juara dan membawa pulang wang tunai RM15,000. Sinonim dengan gelaran peserta air mata, Shamsiah menyentuh hati juri dan penonton dengan lagu Hadirlah Kasih (nyanyian asal Hetty Koes Endang) dan Gelombang (Salamiah Hassan).
Manakala tempat ketiga dimenangi Azhar Shariff, 52 yang menyanyikan lagu lagu Ku Impikan Bintang (Sean Ghazi) dan Sesaat Kau Hadir (Utha Likumahua) untuk menerima wang tunai RM10,000. Bukan itu saja peserta wakil Zon Tengah, berasal dari Semenyih, Selangor ini berjaya meraih Anugerah Khas di atas keyakinan diri serta senyuman menawan yang dimilikinya.

Mohamad Razip Kadir, 49, peserta dari Johor ini hanya akur dengan tempat keempat.

Masing-masing hadir dengan kredibiliti tersendiri sebagai penyanyi, kalau tidak masakan mereka ini layak sehingga ke peringkat akhir. Makin tua, makin berisi, seperti kata juri profesional Sohaimi Meor Hassan, keempat-empat peserta yang dipilih adalah hebat belaka dan setiap orang menyampaikan persembahan dengan gaya berlainan namun pada malam akhir tersebut yang paling menonjol adalah Ali Norpiah.

"Kelebihan Ali ada pada lagu pertamanya iaitu Permaidani. Sebagai seorang penyanyi, saya banyak terpengaruh kepada 'X-Factor' seseorang dan disebabkan saya dapat merasai apa yang disampaikan oleh Ali melalui persembahan dan liriknya. Apabila persembahannya dapat dirasa, di situlah nilai tertinggi yang diberi," katanya.

Wan Norafizah Ariffin atau Nora dan Adnan Abu Hassan sebagai juri undangan turut memberi pujian terhadap persembahan pertama Ali.

"Abang Ali memilih lagu yang tepat dan bersesuaian dengan suaranya, secara tidak langsung menghasilkan persembahan tidak mengecewakan," kata Nora.

Seorang lagi juri Kilauan Emas, Adnan Abu Hassan pula berasakan kelunakan suara Ali, tidak ubah seperti suara Jamal Abdillah, memang sedap sangat dan ia ditambah pula dengan persembahannya yang mantap.

Selain empat peserta terbabit, program kemuncak Kilauan Emas turut diserikan dengan persembahan daripada Nora yang menyampaikan dua lagu popularnya iaitu Di Persimpangan Dilema dan Desa Tercinta. Kemudian menyusul persembahan gabungan daripada Sohaimi, Adnan, serta Raja Azura sebagai pengacara pada malam itu, menyampaikan lagu Kalau Berpacaran, menambahkan lagi keriuhan suasana dengan keletah mereka di atas pentas.

Diakhiri pula dengan persembahan penutup dari penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, Ramlah Ram yang turut mendapat sambutan hangat dari penonton Kilauan Emas di Studio Pentas Bunyi, Filem Negara Malaysia ini.

Eksklusif: KWSP cadang tambah aset di London

Posted: 31 Jul 2011 08:21 PM PDT

BANGUNAN 12 St James's Square di London yang bakal dibeli KWSP.
BANGUNAN 12 St James's Square di London yang bakal dibeli KWSP.
Pejabat eksklusif RM725 juta bakal jadi hartanah keempat

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin agresif melabur dalam hartanah di luar negara apabila meninjau peluang membeli sebuah lagi bangunan pejabat premium di United Kingdom (UK), dalam usahanya meningkatkan lagi pulangan.
Sumber berkata, pengurus dana pencen Malaysia itu kini sedang berunding dengan firma pelaburan hartanah terkemuka Ireland yang juga pemiliknya, iaitu D2 Private untuk membeli bangunan pejabat eksklusif di London yang dikenali 12 St James's Square.
Beliau berkata, pembelian yang dilakukan menerusi tender terbuka itu dijangka bakal membabitkan KWSP dengan kos pelaburan £150 juta (RM725 juta).

"Menariknya, bangunan yang bakal dibeli KWSP itu, iaitu 12 St James's Square adalah bangunan pejabat enam tingkat paling eksklusif di London yang mempunyai kadar sewaan paling tinggi di dunia, iaitu £140 (RM677) untuk sekaki persegi.

Tingkat kesedaran IT pelajar luar bandar

Posted: 31 Jul 2011 08:21 PM PDT


SISWA UIAM memberi tunjuk ajar kepada pelajar sekolah dan belia mengenai penggunaan perisian Microsoft Word.


INISIATIF menganjurkan program teknologi maklumat (IT) di kawasan luar bandar merupakan landasan terbaik dalam usaha merapatkan jurang digital antara penduduk kawasan berkenaan dan masyarakat di bandar.

Anak-anak luar bandar pada zaman siber hari ini perlu celik pengetahuan dan menguasai kemahiran IT jika mahu setanding dengan persekitaran global serta mempunyai budaya positif.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini seramai 50 ahli Kelab Penyayang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan program bakti siswa bersama masyarakat bertemakan Ummatic Service 'Temui IT, Menunjukkan Realiti' di Kampung Jelai, Batu Kurau, Perak Darul Ridzuan.

Pengarah Program, Mohd Amirul Salihan Ahmad berkata, program itu membolehkan penduduk luar bandar khususnya di kalangan pelajar dan belia di kampung mendekatkan diri dengan teknologi terkini sekali gus melahirkan lebih ramai insan celik IT.

"Program yang berlandaskan pendekatan siswa turun padang membuka peluang untuk membantu anak-anak muda dan masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka.

"Malah program ini dapat mendedahkan kepada pelajar dan belia mengenai fungsi dan peranan IT yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian,"katanya.

Program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin. Manakala majlis penutupnya pula telah disempurnakan oleh ADUN Larut, Datuk Mohd. Najmuddin Elias.

Selain program IT, pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan turut diadakan antaranya ialah program keluarga angkat; forum perdana dan seminar kesedaran; gotong-royong; mentor-mentee dan pertandingan sukaneka.

Menurut Mohd Amirul, melalui kemajuan IT hari ini, pelajar dan belia luar bandar juga mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui penggunaan dan kemudahan teknologi berkenaan di dalam sektor pertanian.

"Sebagai contoh pada program ini, siswa UIAM membantu dan mendedahkan mereka dengan informasi serta cara-cara untuk mereka mengendalikan laman web sendiri.

"Dengan cara ini, pelajar dan belia kampung dapat mengikuti pembelajaran, kemahiran komputer yang di ajar oleh siswa UIAM dan memberikan manfaat ketika pelajar dan belia ini ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Pelajar LimKokWing gondol RM21,000

Posted: 31 Jul 2011 08:20 PM PDT




TIGA belas pelajar Universiti LimKokWing menggondol hadiah wang tunai RM21,000 dalam Pertandingan Reka Bentuk Etika Billboard 2011 anjuran Etika Insurans dan Takaful baru-baru ini.

Pelajar jurusan kreatif, Riska Tiofoni berjaya memenangi hadiah utama RM8,000 apabila rekaannya terpilih untuk dipaparkan pada papan iklan besar (billboard) milik Etika di seluruh negara.

Pemenang kedua Thato McDonald menerima wang tunai RM5,000 manakala Dedy Andrianto yang menduduki tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000.

Selain itu, sepuluh pelajar universiti berkenaan turut memenangi hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang dan menjadikan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan yang digondol oleh Universiti LimKokWing ialah RM21,000.

Menurut Riska, beliau berterima kasih kepada Etika Insurans dan Takaful kerana memberi peluang kepadanya serta rakan-rakan untuk menyertai pertandingan reka bentuk papan iklan besar itu.

"Saya dapat mengetengahkan idea-idea yang kreatif dan terbaik dalam memenangi pertandingan ini. Malah tidak menduga saya punya rekaan dalam misi membantu masyarakat memenangi hadiah wang tunai RM8,000.

"Dengan hadiah wang kemenangan ini saya akan menggunakannya untuk menampung sebahagian pembelajaran saya di universiti ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Etika Insurans dan Takaful, Barend Van Dam berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti LimKokWing kerana universiti itu mempunyai piawaian pelajar-pelajar yang kreatif dan berinovatif.

"Pertandingan Reka Bentuk Etika Billboard 2011 hanya terbuka kepada pelajar Universiti LimKokWing sahaja.

"Reka bentuk yang dikehendaki dalam pertandingan ini ialah mencerminkan jenama Etika dan imej korporat syarikat," katanya.

Menurut Barend, melalui pertandingan ini, pihaknya dapat membantu menyediakan satu lagi platform yang berguna untuk mahasiswa mengasah dan mempamerkan bakat mereka dalam pertandingan ini.

Tiga model telefon pintar Huawei

Posted: 31 Jul 2011 08:17 PM PDT


ketiga-tiga model telefon pintar Huawei boleh didapati di pasaran.


HUAWEI DEVICE, pembekal perkhidmatan jalur lebar terulung di dunia memperkenalkan pakej peralatan pintar iaitu IDEOS X3, Sonic dan Boulder.

Telefon mudah alih berkenaan direka khas bagi memberikan pengalaman mobiliti yang mudah lagi menyeronokkan bagi mereka yang baru menggunakan telefon pintar.

Rekaan intuitif berkenaan menggabungkan tiga peralatan pintar yang diperkenalkan hari ini dengan falsafah 'Smart Device, Simple World'.

Ini bagi menyampaikan pengalaman mobiliti yang dipertingkatkan pada harga yang mampu dimiliki.

Kaedah yang diperkenalkan tahun lalu, menandakan perlaksanaan perancangan asal syarikat menuju era kehidupan digital dan rangkaian perhubungan mobiliti.

Ketua Pegawai Pemasaran, Huawei Device, Rantau Pasifik Selatan, Alan Wong berkata, Huawei Device membayangkan sebuah masyarakat yang terus berkembang bagi mencapai pengalaman komunikasi maju melalui penggunaan rangkaian jalur lebar yang boleh diperolehi di serata dunia.

"Kita menyaksikan pengeluaran telefon pintar mengatasi pengeluaran komputer peribadi yang bermakna peralihan yang mana pengguna lebih suka rangkaian perhubungan mobiliti yang bersifat peribadi.

"Falsafah Huawei Device adalah mengamalkan kaedah berteraskan pengalaman mobiliti pintar secara bersepadu dan berterusan bagi memudahkan gaya kehidupan pelanggan kami," katanya.

Menurut statistik Q4 2010 International Data Corporation (IDC), produksi global telefon pintar telah mengatasi produksi komputer peribadi untuk pertama kali pada tahun 2010.

Pencapaian berkenaan dijana melalui fakta bahawa telefon pintar bakal mendahului pertumbuhan di dalam segmen peralatan mobiliti bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Ia bakal menjangkau sejumlah 50 billion jaringan peralatan dan enam billion pengguna telefon pintar di seluruh dunia menjelang 2020.

Pertumbuhan pasaran telefon pintar yang berkembang pantas telah memacu Huawei untuk menerima pakai kaedah strategik 'Smart Device, Simple World' dengan memperkenalkan IDEOS™ X3, Sonic dan Boulder di Malaysia.

Tingkat keselamatan pelayan web Apache

Posted: 31 Jul 2011 08:16 PM PDT


PELAYAN web berfungsi meningkatkan keselamatan dan kestabilan operasi sesebuah laman web. - Gambar hiasan


BAGAIMANAKAH cara untuk meningkatkan tahap keselamatan web pelayan (server) Apache yang sedang saya tadbir urus untuk sebuah organisasi?

APLIKASI pelayan web Apache merupakan di antara pelayan web yang paling banyak digunakan di Internet. Ia merupakan perisian berasaskan sumber terbuka dan boleh digunakan secara percuma.Di samping itu, ia merupakan di antara aplikasi pelayan web yang selamat dan stabil digunakan untuk sesebuah laman web. Namun begitu, disebabkan ia percuma dan berasaskan sumber terbuka, para pengguna perlu tahu bagaimana untuk mengendalikannya dengan selamat dan stabil

Jadi, di sini disediakan beberapa panduan yang boleh diambil pakai dalam mentadbir dan mengendalikan aplikasi pelayan web Apache ini secara selamat.

Sembunyikan pemidang atau banner

Perisian Apache akan memaparkan pemidang yang menyatakan ia adalah Apache berserta dengan versinya. Nasib tidak baik, berkemungkinan besar ia akan memaparkan jenis sistem pengoperasian yang digunakan.

Perkara ini tidak baik kerana ia akan membuka jalan pengetahuan kepada penggodam. Mereka akan mengetahui kelemahan aplikasi dan membuat sesuatu yang tidak baik berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pemidang tersebut.

Dengan itu, nyah aktifkan atau off fungsi SecuritySignature dalam Apache. Caranya:

n Buka tetingkap terminal dan buka fail konfigurasi Apache - /etc/apache/apache2.conf (Linux).

n Cari baris yang mengandungi teks SecuritySignature dan setkan ia kepada Off.

n Cari pula teks ServerToken. Setkan ia kepada ProductOnly.

n Restart aplikasi Apache.

Bagi mengujinya pada domain, sila guna baris arahan curl -I http://DOMAIN.

Nafikan kesemua capaian

Bagi memastikan aplikasi Apache ini dicapai dengan selamat, nafikan kesemua capaian terhadapnya oleh sesiapa sahaja. Benarkan capaian hanya kepada pengguna tertentu dan apabila ia perlu sahaja.

Caranya dengan setkan pada kandungan dalam Directory () dengan, (1) Order deny,allow (2) Deny from all. Restart program Apache.

Kenal pasti HTTP Request

HTTP Request ini boleh dimanipulasi keselamatannya dengan serangan secara Cross Site Sripting oleh pihak penggodam.

Kesemua maklumat yang diterima oleh HTTP Request ini akan dikembalikan. Ini akan digunakan untuk menipu perisian Apache dengan maklumat yang ada pada HTTP cookies dan mensabotaj sesi HTTP tersebut.

Jadi, bagi mengurangkan berlakunya risiko ini, sila nyah aktifkan atau Off fungsi TraceEnable dalam fail konfigurasi Apache, apache2.conf.

Nyah aktifkan Directory Indexing

Directory Indexing ini akan memaparkan segala kandungan yang ada dalam direktori pada aplikasi Apache. Jadi, ia boleh dinyah aktifkan dengan memindahkan atau buang fail autoindex.load dan autoindex.conf ke lokasi yang lain.

Dalam kandungan Directory pula sila cari baris seperti Options index FollowSymLinks…. Buang index tersebut. Simpan fail dan restart aplikasi Apache.

Contoh arahan dalam Linux, sudo rm -rf /etc/apache2/mods-enabled/autoindex.load

Nyah aktifkan WebDAV

WebDAV merupakan satu protokol yang digunakan untuk perkongsian data dan membenarkan penggunaan emel berasaskan web.

Sekiranya tidak diperlukan, nyah aktifkan WebDAV dengan membuang fail dav.load, dav_fs.conf, dav_fs.load dan dav_lock.load yang terdapat dalam konfigurasi aplikasi Apache.

Contoh arahan dalam linux, sudo rm /etc/apache2/mods-enabled/dav.load

Gunakan SSL

Gunalah protokol keselamatan SSL untuk keselamatan http bagi aplikasi pelayan Apache anda.

Kemas kini perisian Apache

Sentiasa melakukan kemas kini terhadap aplikasi pelayan web Apache yang digunakan.

Sentiasa melihat fail log.

Terdapat dua fail log yang utama dalam aplikasi Apache iaitu access.log dan error.log. Buatlah pemantauan yang kerap terhadap fail-fail log ini. Dalam Linux, untuk melihat fail-fail ini boleh laksanakan arahan, sudo tail -f /var/log/apache2/access.log.

Bagi perisian Apache yang berasaskan Windows, caranya adalah sama. Anda perlu capai fail konfigurasi yang dinyatakan dan buat perubahan terhadapnya seperti yang dibincangkan.

Semoga ia bermanfaat untuk keselamatan laman web yang dikendalikan dengan aplikasi Apache.

Pelengkap legasi BlackBerry

Posted: 31 Jul 2011 08:15 PM PDT


MAXIS Berhad (Maxis) merupakan syarikat telekomunikasi pertama negara membawa BlackBerry Playbook ke Malaysia menerusi tawaran pakej eksklusif.


SELEPAS fenomena telefon bimbit pintar BlackBerry melanda negara, syarikat elektronik itu memperkenalkan pula peranti komputer tablet BlackBerry Playbook.

Ia dibawakan secara rasmi ke Malaysia oleh penyedia perkhidmatan integrasi komunikasi, Maxis Berhad (Maxis) menerusi tawaran pakej eksklusif.

BlackBerry Playbook tampil bersama kelebihan operasi berprestasi tinggi menawarkan pengguna kelebihan pengalaman pengkomputeran mobiliti unik dan berkuasa.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean Pascal Van Overbeke, Maxis sentiasa berusaha membawa penggunanya menikmati pengalaman komunikasi masa depan secara konsisten.

"Kita telah membangunkan ekosistem telekomunikasi yang bersesuaian seperti peranti dan pelan data menarik, liputan rangkaian serta perkhidmatan pelanggan terbaik bagi melengkapkan keperluan pengguna.

"Kita berbangga kerana menjadi yang pertama membawa peranti berteknologi tinggi ini kepada rakyat Malaysia untuk membantu mereka melancarkan operasi kerja dan personal,'' katanya pada majlis pelancaran BlackBerry Playbook di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BlackBerry Playbook merupakan gajet komputer tablet pertama dunia yang dipacu oleh pemproses berkembar.

Kelebihan itu membolehkannya melaksanakan pelbagai operasi secara serentak selain disokong spesifikasi multimedia berkualiti serta pelayaran web tanpa kompromi.

Untuk keselesaan paparan pula, peranti itu hadir bersama skrin LCD sentuhan pelbagai WSGVA tujuh inci beresolusi 1024 x 600.

Dengan ketebalan hanya 10 milimeter (mm) dan berat 425 gram (g) menjadikannya mudah untuk dibawa dan digunakan secara mudah alih.

Gajet berkenaan disokong oleh sistem operasi QNX yang mesra pengguna dengan binaan RAM satu megabit (MB) selain pilihan memori binaan dalam berkapasiti 16, 32 dan 64 gigabit (GB).

Melihat keupayaan multimedianya, gajet itu menyokong permainan video beresolusi tinggi (HD) 1080p, mempunyai output HDMI serta kamera belakang lima megapiksel dan hadapan tiga megapiksel.

Sesuatu yang menarik, BlackBerry Playbook boleh diintegrasi bersama telefon bimbit pintar BlackBerry untuk mengakses kandungan data seperti emel, BlackBerry Messenger (BBM), kontak dan sebagainya menerusi capaian Bluetooth dengan kadar sekuriti yang tinggi.

Maxis kini menawarkan BlackBerry Playbook pada harga pasaran RM1,599 untuk 16GB, RM1,899 (32GB) dan RM2,199 (64GB).

Bagi pengguna yang telah mempunyai pelan Perkhidmatan Internet BlackBerry (BIS) daripada Maxis pula, mereka berpeluang mendapatkan BlackBerryPlaybook dengan hanya RM990 apabila melanggan pelan data 3GB.

Maklumat lanjut mengenai peranti dan tawaran pakej Maxis, sila layari laman web www.maxis.com.my/playbook.

Memperluas industri stevia

Posted: 31 Jul 2011 08:13 PM PDT


KELEBIHAN pemanis semulajadi stevia mempunyai pelbagai khasiat menjadikan perusahaannya semakin diperluas ke peringkat komersial.


KEHEBATAN pemanis semulajadi pengganti gula, stevia atau nama saintifiknya Stevia rebauidiana memang tidak dapat disangkal lagi.

Selain mempunyai ekstrak rasa manis pada kadar 200 hingga 300 kali ganda berbanding gula biasa, tumbuhan herba daripada keluarga Chrysanthemum itu turut menawarkan pelbagai khasiat lain seperti protein, fiber, karbohidrat, kalsium, natrium, magnesium dan juga zink.

Daripada sudut perubatan, stevia berupaya membantu mencegah penyakit kanser, kencing manis, diabetes selain mengandungi vitamin A, B dan C serta mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.

Rasanya yang terlalu manis pula menjadikan produk gula alternatif itu hanya diperlukan dalam kuantiti sedikit sekali gus memberi penjimatan daripada segi perbelanjaan.

Walaupun menawarkan pelbagai kelebihan, penggunaan stevia di negara ini masih berada di peringkat rendah iaitu sekitar tiga peratus sahaja berbanding 80 peratus di Jepun.

Stevia sebenarnya berasal daripada Paraguay, Amerika Syarikat sesuai di tanam di kawasan beriklim tropika.

Di Malaysia, penanaman pokok stevia masih belum dilaksanakan secara meluas dan jika ada pun, ia hanya dijalankan dalam skala yang kecil.

Bagi tujuan pembangunan pula, beberapa organisasi penyelidikan tempatan kini sedang giat menjalankan kajian mengenai penanaman, pengekstrakan dan pengeluaran produknya.

Melihat peluang tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) telah memulakan aktiviti pertanian dan perniagaan berasaskan stevia.

Mula ditubuhkan sejak tahun 2010, syarikat itu menawarkan program kursus keusahawanan berkaitan penanaman stevia.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, operasi syarikatnya bermatlamat menggalakkan ahli masyarakat menceburi perusahaan penanaman stevia.

''Aktiviti penanaman stevia ini bakal menjana pendapatan ekonomi baru di samping memberi faedah kepada masyarakat kerana ia mempunyai pelbagai khasiat.

''Menerusi program keusahawanan ini, kita bantu para peserta daripada segi penyediaan kemudahan, khidmat nasihat, infrastruktur asas, sokongan teknikal, panduan dan pemasaran.

''Setakat ini, kita telah mempunyai seramai lebih 200 orang peserta. Selain pengeluaran daun, aktiviti penanaman mereka lebih tertumpu kepada pengeluaran anak-anak pokok untuk dijual kepada para peserta baru,'' katanya ketika di temui pada sesi Kursus Keusahawanan Stevia Megaherbs Siri ke-6 di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Zubir memberitahu lagi, ketika mula-mula membuka kursus keusahawanan dahulu, pihaknya menerima permintaan penyertaan yang cukup menggalakkan.

Jadi, beliau terpaksa menjalankan proses temuduga untuk mencari usahawan yang benar-benar berminat dan mempunyai tanah bersesuaian untuk tanaman stevia.

''Menjelang akhir tahun ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya Megaherbs mempunyai seramai 1,000 orang pengusaha stevia terlatih,'' jelasnya.

Ketika ini, Megaherbs sedang dalam usaha sama dengan Unit Bioteknologi, Universiti Teknikal Damansara untuk menjalankan penyelidikan mengenai penanaman stevia secara tisu kultur.

Usahawan kontrak ladang stevia

Posted: 31 Jul 2011 08:13 PM PDT


MEGAHERBS Bioextreme (Megaherbs) menawarkan penanaman stevia secara ladang kontrak kepada usahawan yang berminat.


TIDAK perlu berbelanja besar, mudah ditanam dan tidak memerlukan kawasan luas. Itu yang ditawarkan oleh Program Keusahawan Stevia oleh syarikat pertanian Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) kepada usahawan yang berminat.

Menerusi program itu, syarikat tersebut memperkenalkan konsep penanaman secara perladangan kontrak.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, pengenalan konsep itu bermatlamat mewujudkan kerjasama antara syarikat dengan para pengusaha.

''Ia akan memudahkan kedua-dua pihak dalam urusan pembekalan baja dan anak pokok serta pembelian semula hasil tanaman.

''Biasanya, syarikat akan membeli daun stevia kering dengan harga RM40 hingga RM50 sekilogram mengikut gred dan harga pasaran.

''Kontrak ini akan dijalankan selama dua tahun dan pengusaha boleh memperbaharuinya mengikut kesesuaian,'' jelasnya.

Bagi usahawan yang berminat, pihak Megaherbs telah menyediakan beberapa pakej kursus bermula daripada kos serendah RM3,000 hingga RM90,000.

Selain berurusan dengan para usahawan, Megaherbs turut menjalankan kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi menjalankan aktiviti penanaman stevia dalam skala besar.

Antaranya seperti usaha sama dengan Jabatan Pertanian Terengganu bagi mewujudkan Pusat Latihan Penanaman stevia untuk para petani di seluruh negeri Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, Megaherbs juga sedang dalam proses perbincangan dengan sebuah organisasi dari Sabah untuk membuka ladang stevia di sana.

''Kita juga ada menjalankan latihan penanaman di rumah ibu-ibu tunggal untuk menggalakkan mereka menceburi industri ini di samping mengisi masa lapang.

''Selain itu, kita turut melatih para belia di seluruh Malaysia yang berminat menjalankan perniagaan ini di bawah program Belia 4B,'' jelasnya.

Untuk perancangan tahun 2011, Megaherbs bercadang membuka lebih kurang 1,000 ladang Stevia baru di seluruh negara.

Para usahawan yang berminat dipelawa menyertai program ini dengan mendaftar di laman web www.plantstevia.blogspot.com.

Cara mudah tanam terung telunjuk

Posted: 31 Jul 2011 08:11 PM PDT


SELAIN dibuat sayur dalam masakan, terung telunjuk juga banyak digunakan sebagai sumber ubat-ubatan kerana kaya dengan pelbagai khasiat.


Terung telunjuk (Solanum sp.) dari famili Solanaceae merupakan kumpulan terung yang asli (primitif).

Ia berbentuk lonjong, hijau dengan jalur putih di bahagian bawah, bersaiz dua hingga tiga sentimeter (sm) lebar dan lapan hingga 10 sm panjang sahaja.

Terung ini mula ditemui di India dan seterusnya ke seluruh kawasan tropika.

Tidak ramai yang menggemari terung ini kerana rasanya agak sedikit pahit. Namun jika dilihat dari sudut khasiatnya, pasti ramai yang terpegun.

Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk mata.

Selain dimakan sebagai sayur atau ulam, ia juga boleh dijadikan ubat.

Keseluruhan pokok dari buah, daun hingga ke akar pokok ini boleh digunakan untuk mengubati beberapa jenis penyakit, antaranya ialah asma, sakit gigi, bengkak gusi dan melegakan batuk.

Penanaman

n Semai biji benih terung di dalam talam semaian dengan kadar satu sel atau satu biji benih.

n Kaedah tanam terus tidak digalakkan kerana biji benih terung kecil menyebabkan peratus percambahannya jadi rendah.

n Semaian disimpan di dalam rumah semaian atau di bawah teduhan selama empat minggu. Siram setiap pagi dan petang.

n Sementara biji benih bercambah dan membesar di rumah semaian, batas disediakan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang bergantung pada luas kawasan.

n Tambah kompos dan baja organik (tahi ayam berproses) semasa mengembur tanah.

n Tutup batas dengan plastik silver shine sebagai sungkupan.

n Selepas empat minggu disemai, anak benih boleh diubah ke batas. Jarak antara pokok yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm.

n Bagi yang tidak menggunakan plastik 'silver shine sebagai sungkupan, gantikan dengan jerami padi atau daun-daun kering untuk menutup permukaan batas yang terdedah. Sungkupan boleh mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan

n Tanaman perlu disiram dua kali setiap hari (pagi dan petang) kecuali hari hujan.

n Kaedah pengairan bergantung kepada kemampuan petani sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis, titis dan sebagainya.

n Jika kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang kurang baik, parit perlu dibuat. Ini kerana terung tidak sesuai dengan keadaan tanah yang terlalu lembap.

Pembajaan

n Selepas dua minggu dipindahkan ke batas, baja pertama diberi. Gunakan baja organik yang dibeli atau baja organik buatan sendiri. Jika baja organik jenis granul (pepejal), hanya 50 g diperlukan. Jika baja organik jenis cecair, ikut pada sukatan yang telah disyorkan pada label.

n Baja kedua diberi selepas dua minggu baja pertama. Kadar baja ditambah hingga 100 g setiap pokok.

n Baja ketiga diberi selepas antara tiga dan empat minggu baja kedua. Kadar baja juga ditambah 120 hingga 150 g setiap pokok.

n Kadar baja yang diberi sebenarnya bergantung pada pertumbuhan pokok itu sendiri. Jika pertumbuhan pokok terbantut atau cepat membesar, kadar baja boleh dikurangkan/dilebihkan daripada yang disyorkan.

n Baja ditabur di sekeliling pokok, tetapi elak terkena pada batang pokok. Sebaik-baiknya baja ditutup dengan sedikit tanah atau sungkupan supaya baja boleh tahan lebih lama.

Sokongan

n Pokok terung boleh membesar setinggi 0.5 hingga 1.0 m. Jika ditiup angin, pokok biasanya mudah bengkok dan tumbang.

n Bagi mengelakkan kejadian ini berlaku, sokongan perlu dibuat.

n Gunakan kayu pancang yang berukuran 1.2 sm x 1.2 sm dan panjang 1.5m (bergantung pada ketinggian pokok).

n Cucuk kayu pancang hampir dengan pokok dan ikat batang pokok pada kayu pancang dengan tali rafia. Jika pokok tinggi, ikat pada dua bahagian batang pokok (atas dan bawah) supaya lebih kuat.

Pemangkasan

n Pemangkasan dibuat pada cabang yang tumbuh di bahagian bawah (0.5m dari tanah) selepas sebulan ditanam. Selain daripada cabang, buang juga daun tua di bahagian bawah pokok.

n Pemangkasan bertujuan untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada pokok. bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti buah terung.

n Sebaik-baiknya ada tiga cabang utama sahaja bagi setiap pokok.

Kawalan rumpai

n Rumpai yang tumbuh di atas batas perlu dibuang setiap seminggu sekali untuk mengurangkan persaingan dengan tanaman.

n Bagi rumpai yang tumbuh di luar batas, mesin rumput boleh digunakan untuk memotong rumput. Sekurang-kurangnya dilakukan dua minggu sekali.

n Rumpai perlu dikawal kerana ada sesetengah serangga perosak menjadikan rumpai sebagai perumahnya.

Kawalan perosak dan penyakit

n Antara serangga yang sering menyerang ialah kutu daun (afid), kumbang daun, lalat buah dan ulat pengorek buah.

n Kawalan perosak yang boleh digunakan perangkap feromon atau yellow sticker untuk lalat buah, racun organik untuk serangga perosak yang lain.

n Racun organik boleh didapati di pasaran atau dibuat sendiri menggunakan campuran cili padi, lada hitam, sabun, air dan beberapa jenis repellent (tanaman penghalau serangga) yang dikisar halus.

n Selain itu, penyakit layu bakteria dan layu Fusarium juga selalu ditemui pada terung. Gabungan daun tembakau atau daun sirih, cili padi, bawang merah, air dan kapur yang dikisar halus boleh membantu mengawal penyakit tersebut.

n Sebanyak 30 ml racun organik yang ditambah dengan 10 liter air disembur pada seluruh bahagian pokok.

Penuaian

n Pokok terung mula mengeluarkan hasil selepas enam dan tujuh minggu dipindahkan ke batas. Potong tangkai buah lebih kurang 1sm daripada cabang pokok.

n Tuai buah selang dua tiga kali sekali.

JASA DIKENANG

Posted: 31 Jul 2011 08:11 PM PDT


SULTAN Sharafuddin Idris Shah memberi tabik hormat sewaktu memeriksa perbarisan sempena Hari Pahlawan di Shah Alam, semalam.


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudi mencemar duli menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di Tugu Peringatan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam.

Baginda menyempurnakan istiadat itu kira-kira pukul 8.30 pagi dan diikuti oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Panglima 11 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Md. Azman Rosli dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Exco-Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Selangor, Mohd. Hanafiah Abd. Manaf dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Selangor, Mohd. Din Husnin serta bekas anggota kedua-dua pasukan keselamatan itu.

Cinta Ziela belum padam

Posted: 31 Jul 2011 08:08 PM PDT


KENANGAN... Ziela Jalil bersama arwah suaminya, Megat Junid Megat Ayub sewaktu majlis khatam al-Quran anak sulung mereka, Puteri Julia Nabilah pada tahun 2004.


SEBAIK sahaja melangkah masuk ke rumah mewahnya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, mata terus tertancap kepada koleksi foto yang dibingkai kemas dan cantik di satu sudut.

Meneliti satu persatu gambar-gambar itu memang sudah cukup jelas membuktikan bahawa kasih sayang wanita ini terhadap keluarganya memang cukup tebal.

Apatah lagi, hampir kesemua koleksi gambar itu memuatkan rakaman detik-detik terindah bersama figura yang telah memainkan peranan cukup besar dalam kehidupannya.

Namun, kini semuanya hanya tinggal kenangan apabila lelaki yang cukup tinggi darjatnya di mata wanita ini telah pun menemui pencipta-Nya pada 24 Januari 2008 pada usia 65 tahun kerana kanser prostat.

Biarpun sudah tiga tahun menjadi seorang balu, tetapi, kerinduan Ziela Jalil terhadap Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub masih lagi tebal di benak hatinya.

Lebih-lebih lagi dengan kedatangan Ramadan 1432 Hijrah yang bermula hari ini, sesungguhnya Ziela tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan rindu terhadap arwah suaminya itu.

"Segala kenangan manis dan terindah yang pernah terlakar sepanjang perkahwinan kami masih segar dalam ingatan saya.

"Walaupun sudah tiga tahun arwah meninggal dunia, begitu sukar untuk saya melupakan beliau. Saya harus akui setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, hati ini begitu sayu dan sedih apabila teringatkan arwah," cerita Ziela tenang membuka bicaranya pada petang yang cukup mendamaikan itu.

Ziela dan arwah suaminya itu mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 1991 dan hasil daripada perkahwinan mereka itu telah dikurniakan dengan sepasang cahaya mata, Puteri Julia Nabilah, 18 dan Megat Jufri Nasrullah, 16.

Menyambung perbualan, Ziela memang tidak dapat menafikan bahawa hatinya cukup pantas terusik setiap kali teringatkan kenangan Ramadan yang datang bertandang ke mindanya.

Sebagai seorang isteri selama 16 tahun kata Ziela, arwah suaminya itu memang seorang yang cukup ringkas dalam bab juadah berbuka puasa.

"Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan isterinya dalam menyediakan juadah secara berlebih-lebihan. Biarlah ala kadar tetapi ia mampu membuka seleranya setiap kali duduk di meja makan," jelas Ziela sambil ketawa kecil teringatkan kenangan lalu.

Jarang menjamah nasi ketika berbuka, ujar bekas pelakon popular tahun 80-an dan awal tahun 90-an ini lagi, suaminya itu lebih selesa menikmati kanji yang merupakan hidangan seumpama bubur lambuk.

Sebagai anak jati Perak, jelas Ziela, memang arwah suaminya tidak akan terlepas daripada mahu menikmati santapan wajib daripada negeri kelahirannya.

Kerana itu, dia pasti akan menghidangkan apa sahaja juadah asalkan ia mestilah masak lemak kuning, masak lemak putih mahupun kari.

"Kalau bersahur, dia akan memastikan makanan seperti telur masin, ikan masin dan telur goreng akan terhidang di atas meja.

"Bukan itu sahaja, arwah memang cukup suka menikmati ikan kembung rebus atau goreng selain ikan bilis yang digoreng dengan cili kering, bawang besar bersama air asam jawa. Jika ada itu sahaja, ia sudah cukup membuka seleranya," jelas satu-satunya anak tunggal kepada pasangan Allahyarham Abdul Jalil Ismail dan Fatimah Osman ini panjang lebar.

Kenangan umrah

Cukup sedar akan kedudukannya sebagai isteri kedua kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, Ziela menjelaskan dia akan manfaatkan tiga hari gilirannya itu sebaik mungkin.

Setiap kali di bulan Ramadan, mereka sekeluarga pasti akan menunaikan solat Tarawih berjemaah bersama-sama di rumah selain membaca al-Quran.

Tetapi, kenangan paling indah buat Ziela setiap kali menjelangnya bulan yang penuh rahmat ini adalah apabila berpeluang mengerjakan umrah bersama-sama keluarganya.

"Sepanjang saya berkahwin dengannya, memang sudah banyak tempat yang saya lawati bersama anak-anak biarpun ada ketikanya dia jarang bersama-sama kami kerana sibuk dengan tugasan serta komitmennya dengan madu saya.

"Namun, jauh di sudut hati, saya mahu menunaikan umrah bersamanya dan anak-anak. Apabila saya menyuarakan hasrat kepadanya, dia menerimanya.

"Mungkin berkat kesungguhan dan niat murni saya itu, Allah SWT makbulkan permintaan saya itu dan akhirnya kami dapat menunaikan umrah bersama-sama pada bulan April 2007.

"Walaupun keadaan kesihatannya ketika itu tidak mengizinkan, tetapi Alhamdulillah dia dapat menunaikan umrah dengan sempurna dua hari sebelum kami pulang ke tanah air," ujar Ziela yang memberitahu rombongan itu turut disertai madunya, Puan Sri Faizah Shuaib serta teman-teman mereka yang lain.

Ternyata, arwah suaminya cukup gembira apabila dapat mengejakan ibadah itu bersama keluarganya sehingga dia mahu melakukannya sekali lagi apabila merancang untuk menunaikannya pada bulan Februari 2008.

Namun, kuasa Allah melangkaui segala-galanya apabila beliau meninggal dunia sebulan sebelum itu.

Lalu, apabila Ziela diberi kudrat dan peluang mengerjakan umrah untuk sekian kalinya pada 9 Ogos ini, secara tidak langsung memori yang pernah tercipta itu mula bermain di kotak mindanya.

"Kalau umur arwah masih panjang, sudah pasti beliau juga ternanti-nantikan peluang untuk mengerjakan umrah bersama-sama di bulan Ramadan. Tetapi apakan daya, Allah lebih menyayangi dirinya," ujar pemilik nama penuh Norzilah Abdul Jalil ini yang sudah mengerjakan fardu haji bersama dua anaknya pada penghujung 2006.

Tiada cinta lain

Dalam pertemuan itu juga, pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. ini sempat ditanya tentang keinginannya untuk mencari pengganti arwah suaminya.

Sambil melirik senyum manja yang sudah menjadi identitinya sejak zaman remaja lagi, Ziela menjawabnya dengan penuh terbuka.

Tidak berselindung dalam memberikan hujahnya, jelas Ziela, dia pernah memikirkan ke arah itu (cinta baru).

"Bohong kalau saya kata hati tidak terdetik apabila melihat mana-mana lelaki yang dilihat menarik pada pandangan saya. Tetapi, perasaan itu akan berlalu pergi dalam sekelip mata.

"Sebaliknya, secara automatik jiwa saya akan terus teringatkan arwah suami lalu membuatkan jiwa saya kembali penuh dengan rasa cinta terhadapnya sama seperti perasaan sewaktu kami diijabkabulkan.

"Lebih-lebih lagi kalau saya menziarah kuburnya di mana saya seolah-olah dapat merasakan kehadirannya di sisi saya ketika itu.

"Cinta dan kasih yang begitu dalam terhadap arwah membuatkan saya tidak memikirkan sebarang persoalan cinta," ujar Ziela yang akan menziarah kubur arwah suaminya setiap hari Jumaat bersama anak-anaknya jika tiada hal mustahak.

Kebahagiaan

Bagaimana pula dengan dua orang cahaya matanya? Apakah mereka sendiri sudah bersedia untuk menerima pengganti abah mereka?

Menjawab soalan tersebut, kata Ziela, secara lahiriah, anak-anaknya memang tidak kisah dan reda seandainya dia bertemu jodoh baru.

Tetapi, sebagai seorang ibu yang memiliki naluri yang sangat kuat, Ziela tahu bahawa anak-anaknya masih belum bersedia.

"Jadi, saya lebih selesa untuk terus hidup bertiga dan kebahagiaan saya adalah kerana anak-anak. Lagipun, arwah suami sendiri pun sudah memberitahu bahawa saya perlu mengutamakan anak-anak dalam apa jua hal sekalipun.

"Sekarang ini, tugas saya adalah untuk terus mencari rezeki demi menampung kehidupan kami sekeluarga.

"Soal jodoh biarlah Allah yang tentukan. Seandainya satu hari nanti saya ditemukan dengan seorang lelaki yang dapat menerima saya dan anak-anak serta sebaik arwah suami saya, insya-Allah, saya akan berkahwin juga.

"Walau sekalipun saya sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi kelak, memori saya bersama arwah suami tidak akan terus luput dari ingatan. Ia akan terus bersemadi dan kekal sehingga ke akhir hayat saya," ikrar penerbit drama yang karya terbitannya pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin sebanyak empat kali ini lagi.

FFM24 tetap 'sejuk' di hati karyawan filem

Posted: 31 Jul 2011 08:07 PM PDT


SEBAHAGIAN kecil karyawan filem tanah air yang hadir pada majlis pra-pelancaran FFM24, baru-baru ini.


MAJLIS pra-pelancaran Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) anjuran Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang diadakan di Kompleks Kraftangan Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan dingin daripada para pelakon tanah air.

Majlis tersebut diadakan sebelum berlangsungnya acara kemuncak, Malam Anugerah Gemilang Perdana, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 19 November ini hanya dihadiri pelakon veteran dan beberapa produser tanah air.

Justeru, ramai yang bertanya, mengapa pelakon top seperti Tiz Zaqyah, Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisa Surihani, Siti Saleha, Scha Alyahya, Diana Danielle, Fazura, Remy Ishak dan Fizo Omar (sekadar menyebut beberapa nama) tidak hadir pada malam itu?

Apakah pelakon-pelakon top tidak dijemput untuk memeriahkan majlis?

Bagi menjawab soalan tersebut, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik tampil memberikan jawapan kepada wakil media massa menerusi sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas majlis pra-pelancaran itu tamat.

"Pihak jawatankuasa dan sekretariat festival filem kali ini telah pun menghantar makluman tentang majlis yang diadakan hari ini.

"Malangnya mereka yang dijemput tidak hadir dan kita sendiri tidak tahu apakah sebabnya.

"Tetapi besar kemungkinan masing-masing sibuk dengan penggambaran.

"Kalau nak diikutkan, untuk majlis pada malam ini, kita telah mengundang ramai artis untuk turut serta tetapi kalau yang hadir tidaklah seperti mana yang kita harapkan, maka kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa," kata Harun yang mengakui terkilan kerana majlis itu tidak mendapat sambutan daripada para karyawan filem khususnya pelakon.

Katanya, pihaknya faham sekiranya golongan pelakon tidak sanggup mengorbankan masa demi semata-mata untuk hadir ke majlis pra-pelancaran FFM24.

Akan tetapi, kata Harun, biar apa pun alasan mereka (pelakon), beliau mengharapkan kehadiran artis dalam majlis yang diadakan kerana itu adalah sebagai tanda sokongan mereka terhadap usaha Gafim menganjurkan majlis FFM kali ini.

"Jujur saya katakan di sini, pihak kami memang mengharapkan pelakon-pelakon boleh melakukan sedikit pengorbanan masa.

"Kami juga mengharapkan kerjasama daripada para penerbit untuk melepaskan seketika, pelakon-pelakon yang terlibat dalam penggambaran untuk menghadiri majlis seperti malam ini.

"Malangnya pihak kita tidak mendapat kerjasama seperti mana yang diharapkan daripada penerbit dan pelakon.

"Pihak kita selaku penganjur sebenarnya sudah berusaha untuk menjayakan majlis pra-pelancaran ini termasuk uar-uarkan menerusi media tetapi hasilnya mengecewakan," katanya.

Ujarnya lagi, pihak penganjur masih mengharapkan media massa membantu memberi kesedaran kepada para pelakon dan karyawan tanah air supaya hadir dan memberi sokongan kepada FFM24.

"Kita buat majlis untuk meraikan mereka tetapi apakah mereka tidak mahu dihargai?

"Apa pun, kami mengharapkan pihak media membantu kita untuk menarik para pelakon dan karyawan filem agar hadir pada FFM24 nanti," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Promosi dan Publisiti FFM24, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, beliau sendiri tidak mempunyai jawapan mengapa majlis pra-pelancaran FFM24 tidak mendapat sambutan daripada para pelakon.

"Pihak urus setia terutamanya Pengerusi Jawatankuasa Penjurian & Penyertaan, Nancie Foo sendiri memastikan, pelakon-pelakon dan penerbit dan pengarah dijemput pada malam ini.

"Kalau ikutkan senarai penyertaan, kita ada 88 nama yang telah dijemput tetapi yang hadir, hanya lapan sahaja.

"Saya bukannya nak kata apa tetapi kita anjurkan festival ini untuk mereka dan festival ini pula diadakan setahun sekali.

"Harapan kita, apabila jelajah atau roadtour sempena FFM24 bermula pada 10 dan 12 September nanti di Ipoh, dan diikuti dengan 16 September di Padang Kota, Pulau Pinang, kita mengharapkan ramai artis hadir memberi sokongan," katanya.

Goldkartz cipta lagu Mauja untuk filem Bollywood

Posted: 31 Jul 2011 08:03 PM PDT


Kumpulan Goldkartz dianggotai Manjit Singh (kiri) dan Sukhjit Singh diberi penghormatan menghasilkan lagu untuk filem Bollywood, Office Office.


KUALA LUMPUR 31 Julai — Kumpulan Goldkartz yang melahirkan album Bhangra pertama negara berjudul Loaded kini diberi penghormatan untuk menghasilkan sebuah lagu untuk sebuah filem Bollywood.

Selain album, Loaded, kumpulan Goldkartz dianggotai oleh dua adik-beradik Manjit Singh atau M-Ji, 26, dan adiknya, Sukhjit Singh atau Surj, 22, turut menghasilkan album kedua bertajuk Goldkartz 24 Kaaratz pada awal tahun ini.

M-Ji berkata, mereka mendapat tawaran untuk menghasilkan sebuah lagu yang berjudul Mauja bagi filem Office Office yang menjalankan penggambaran selama dua tahun di Mumbai, India.

"Ini merupakan satu penghormatan terhadap bakat yang kami miliki dalam memperjuangkan irama Bhangra dan bangga lagu Mauja dapat menarik perhatian pengarah muzik filem berjudul Sajid and Wajid," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumpulan Goldkartz ditubuhkan pada 2006 dan dikenali sebagai kumpulan yang memperjuangkan irama moden muzik Bhangra.

Kejutan suami buat Ning

Posted: 31 Jul 2011 08:02 PM PDT



Tahun 2011 menjadi tahun cukup bermakna dan bertuah buat penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura.

Sempena ulang tahun kelahirannya ke-36, Jun lalu, Ning menerima kejutan daripada suaminya, Omar Sharif untuk menonton konsert artis terkenal Celine Dion sambil bercuti di Amerika Syarikat (AS).

Ning berkata, selain menonton konsert Celine Dion, mereka sempat menyaksikan persembahan Beyonce, Cirque de Soleil (persembahan akrobatik ) dan David Copperfield ( ahli silap mata).

"Ketika menerima kejutan itu, saya begitu terharu dengan kesanggupan suami membawa saya bercuti dan berpeluang menyaksikan konsert-konsert hebat dari artis antarabangsa.

"Kesempatan ini saya gunakan juga untuk menimba ilmu mempelajari teknik-teknik pencahayaan serta sistem audio agar dapat diaplikasikan dalam konsert saya pada hujung tahun ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ning berkata, selain menyaksikan semua persembahan hebat itu di Vegas, mereka juga sempat meluangkan masa ke puncak Grand Canyon selama tiga hari.

Menurutnya, dia begitu teruja dan sebak ketika berada di Grand Canyon kerana ia adalah antara tujuh kehebatan sejarah dunia dan semasa di sana mereka sempat mengembara di sekitar Grand Canyon.

"Tapi dek kerana keletihan dan kekurangan air, saya hampir pitam kerana ini pertama kali saya berjalan sejauh 10 batu. Mujur suami mencari bantuan untuk mendapatkan air. Setelah 30 minit berehat, barulah kami dapat meneruskan perjalanan.

"Bayangkan untuk mendaki bukit memakan masa selama lima jam setengah dan turun dua jam. Walaupun penat dan hampir pengsan, ia menjadi kenangan manis yang sukar saya lupakan," katanya.

Kesempatan untuk bercuti ke luar negara itu juga digunakan Ning dan Omar untuk melawat sanak saudara dan dua anak Omar di United Kingdom.

Malah, Ning berkata, mereka juga akan menyambut Ramadan dan beraya di sana untuk pertama kalinya.

Menurutnya, selama tiga tahun mereka berkahwin, ini adalah kali pertama dia dan suami menyambut puasa dan berhari raya di sini, dan dia berasa agak teruja kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga suami.

"Lagipun hanya ketika ini saya berkesempatan meluangkan masa bersama anak tiri kerana mereka masih tinggal bersama ibu mereka. Kami memang jarang dapat berjumpa. Jadi, saya gunakan masa yang ada ini untuk meluangkan masa bersama mereka.

"Ibu saya juga akan menyusul selepas raya nanti untuk bersama kami di sini. Saya harap sambutan puasa dan raya tahun ini akan lebih meriah," akhiri Ning.

Gelanggang Tuk Wali angkat jati diri bangsa Melayu

Posted: 31 Jul 2011 08:01 PM PDT



Hebat promosinya, hebat juga persembahannya. Pengarah teater, Joosaidy Johari akhirnya berjaya mengangkat darjat kisah Gelanggang Tok Wali yang dipentaskan sepanjang tiga hari berturut-turut, bermula 28 hingga 30 Julai, di Lambang Sari, Istana Budaya.

Seni tari dan lakon teater diakui masih punyai peminatnya yang tersendiri dan masih mendapat perhatian ramai penonton yang hadir kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan pementasan Gelanggang Tok Wali.

Joosaidy Joghari berkata, teater yang diangkat daripada teks Komponen Sastera Dalam Pendidikan Dalam Bahasa Melayu (Komsas), ini dikaji secara teliti dan terperinci sebelum dinaiktarafkan menjadi sebuah persembahan teater.

Menurutnya, selepas pertama kali dipentaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, April lalu, Gelanggang Tok Wali masih mengekalkan jalan cerita asal seperti dalam Komsas. Namun harus diringkaskan untuk persembahan teater.

"Walaupun ringkas, teater ini masih menyampaikan kisah sebenar kekentalan semangat juang dan jati diri seorang guru silat bernama Wan Raja Wailudin Raja Raja Agus Salam atau Tok Wali dalam mempertahankan warisan budaya bangsanya pada suatu ketika dulu hingga menjadi kebanggaan setiap generasi.

"Melalui watak Tok Wali, terdapat juga pergolakan masyarakat khususnya golongan muda yang kian melupai akar budaya turut diselitkan, termasuk kebangkitan pelbagai permasalahan sosial," katanya ketika ditemui Zass.

Ketika ditanya soal pemilihan pendukung watak, Johari berkata, beliau tidak memerlukan bintang terkenal untuk menjayakan Gelanggang Tok Wali kerana yakin dengan bakat pelakon yang ada selain kekuatan jalan cerita.



Persembahan mantap pelakon

Sementara, Mazlan Tahir,46, yang diberi tanggungjawab mendukung watak utama, Tok Wali, berjaya menjiwai watak dengan baik. Karakter Tok Wali yang kecewa dengan budaya dan seni silat, serta dipinggirkan anak-anak muda di kampungnya, diterjemahkan dengan berkesan.

"Walaupun perlu membawakan watak Tok Wali yang berumur 75 tahun yang jauh berbeza daripada umur saya. Alhamdulillah saya dapat menjiwainya kerana dulu pun saya seorang guru silat dan hidup dalam suasana kampung.

"Malah, saya juga seorang pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Beberapa pelakon dalam Gelanggang Tok Wali juga pelajar saya. Saya percaya mereka boleh sahut cabaran dalam industri ini," katanya yang berpengalaman dalam bidang teater dan drama sejak tahun 90-an,

Kemuncak lakonan Mazlan apabila Tok Wali kesal dan terpaksa berhadapan dengan cucunya, Piee, yang terjebak dalam kancah dadah. Ketika itu, penonton turut dibuai emosi dan terkesan dengan lakonan mantapnya.

Watak Mak Umi yang dilakonkan Umi Kalsum, juga tidak kurang hebatnya sepanjang pementasan dua jam setengah ini.

Malah, keletah Mak Umi yang mudah melatah tatkala diusik Tok Wali dan dua anak muridnya, Ripin (Syazwan Hashim) dan Mariam (Eiz Omea Anak Wayang) menggamatkan lagi suasana pementasan.

Emosi penonton turut dimanipulasi dengan sikap Siak dan Imam ketika cuba menegur Tok Wali yang masih enggan meninggalkan seni silat walaupun telah berusia.

Sungguhpun kebanyakan watak dalam teater yang sarat dengan pertempuran dan seni persilatan ini didominasi oleh lelaki dan hanya dua pelakon wanita sahaja iaitu Mak Umi dan Mariam, kelantangan suara mereka nyata tidak memberi peluang kepada penonton untuk berasa bosan, sebaliknya lebih tekun menghayati penceritaannya.

Pujian juga harus diberikan kepada bakat-bakat baru seperti Alex Yanz (Imam), Afiq Muiz dan Atrash. Tidak terkecuali, Zakaria Yusof (Siak), Afzan (Halim), Jazlin (Piee), Fizmey (Osman) dan Aeirel (Sudin).

Diselang-selik dengan persembahan silat sekumpulan 20 pelajar SMK Wangsa Melawati, Gelanggang Tok Wali turut dijangka bakal menjelajah seluruh Malaysia bermula tahun hadapan.

Sektor minyak Sabah raih RM13.56 bilion tahun lalu

Posted: 31 Jul 2011 08:00 PM PDT



Sabah meraih pendapatan RM13.56 bilion daripada 5.136 juta tan minyak sawit yang dihasilkan tahun lalu, sekali gus muncul sebagai penggerak pertanian utama dan penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman, yang dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Peter Pang En Yin berkata, sektor minyak sawit yang kukuh dan berdaya tahan, dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

"Oleh itu, kini Sabah lebih menumpukan industri minyak sawit berbanding sektor perkayuan: sebelum ini.

"Dengan jumlah 1.4 juta hektar, Sabah menjadi negeri minyak sawit terbesar di dalam negara dengan menguasai 31 peratus daripada pengeluaran minyak sawit negara," katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Lembaga Minyak Sawit Malaysia-Sabah, di Sabah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved