Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Telaga garam tidak pernah kering
- Jamilah Warna-warni
- Aksi kung fu isteri bilionair
- Gaya hidup punca mati muda
- Enggan jadi lelaki
- Disakat penunggu hutan
- Lelaki gagal tukar nama kepada perempuan meninggal dunia
- Abby Abadi Sahkan Enggan Hadir Pernikahan Norman, Memey
- 'Kejadian Khalwat Adalah Dugaan' - Norman Hakim
- 'Jejak Rasul 17' Dalam Format HD Bermula Isnin Ini
- Dokumentari Bukan Islam Berpuasa Di TV AlHijrah
- Asyiela Mengaku Popular Kerana 'Upin & Ipin'
- Penyanyi Korea, Kim Hyun Joong Datang KL 20 Ogos
- 'Battleship' Filem Pertama Rihanna
| Telaga garam tidak pernah kering Posted: 30 Jul 2011 06:49 PM PDT ![]() URAT kasar di tangan sasa Tinus Beram, 46, timbul apabila dia mengangkut baldi berisi air masin yang ditimba dari telaga berhampiran. Sebaik sahaja baldi mencecah tanah, Tinus dibantu isterinya, Ramina Tingang, 43, cermat mencurahkan air dari baldi ke dalam tong dram yang telah dibelah dua sekali gus menjadi periuk untuk menjerang air. Menurut pasangan Kelabit ini, untuk menghasilkan garam bukit, air yang diambil daripada telaga air masin perlu dimasak dengan api sederhana besar selama sehari semalam. Air masin yang sudah dimasak selama 24 jam mengalami proses pengkristalan di mana air tadi akan bertukar ke butiran garam halus. Pada fasa ini, proses bertambah rumit kerana air yang dimasak perlu sentiasa dipantau untuk mengelak kristal garam menjadi kering dan hangus. "Api perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh terlalu besar atau terlalu kecil. Ia juga perlu dimasak dalam tempoh yang ditetapkan kerana garam yang kurang masak akan menurun kualitinya. "Kami percaya lebih lama ia dimasak, lebih bagus garam yang dihasilkan kerana ia cukup kering dan tahan lebih lama," ujar Tinus. Pada jam-jam terakhir, air masin tadi akan bertukar menjadi kristal halus garam.
Ketika ini, garam terus dikacau sehingga airnya hampir kering. Selepas itu, ia dipindahkan ke bekas lain untuk disejukkan. Setelah sejuk, dengan menggunakan sudu, garam dimasukkan ke dalam sebatang buluh berukuran 30 sentimeter (sm) dengan diameter 4sm. Rentung ![]() TERDAPAT enam tungku yang diperbuat daripada batu-bata di rumah garam Kampung Pa' Umor. Selepas itu, buluh itu dilubangkan di ruas bawahnya menggunakan paku kecil supaya air lebihan masakan garam tadi dapat ditapis keluar. Selesai garam ditoskan, buluh tersebut dibakar dengan bara api, kaedahnya tidak ubah seperti memasak lemang. Bezanya di sini, lemang garam tersebut dibakar sehingga buluh tersebut rentung dan pecah. "Kami bakar garam dalam buluh untuk mengering dan mengeraskan garam," kata Tinus. Siap sahaja membakar, garam yang sudah mengeras seperti silinder dikeluarkan dari buluh dan dilayurkan pula di atas bara api selama 15 minit. Jelas Tinus, proses tersebut dilakukan untuk mengeluarkan kesan hitam dari buluh yang rentung tadi. Usai melayur, garam yang sudah keras seakan batu itu dibiarkan sejuk. ![]() MENURUT Ramina, walaupun proses penghasilannya sukar, garam bukit Bario menjanjikan pulangan lumayan. Sesudah itu, Ramina akan membelek batang-batang garam tersebut. Jika ada kesan hitam yang masih tertinggal, dia akan membersihkannya dengan mengikis menggunakan pisau. "Garam yang putih bersih ini boleh dijual manakala yang hitam ini kami gunakan untuk masak sayur," kata Ramina. Selepas sejuk, batang-batang garam tadi dibungkus menggunakan daun ilad yang bentuknya seperti daun pokok kipas lebar. Daunnya yang masih hijau dikoyakkan selebar 20sm bagi membalut ketulan silinder garam. Tidak kering
Balutan tersebut dikemaskan lagi dengan ikatan daripada buluh yang telah diraut halus, tidak ubah seperti membalut lepat pulut. Menurut seorang pengusaha garam bukit berpengalaman, Pintanaran Sorok, 60, kalau kena cara menyimpannya, garam bukit boleh tahan sehingga bertahun-tahun. "Warnanya tidak berubah, ia tidak hapak malah kadar kemasinannya tetap sama seperti hari pertama ia disimpan," ujarnya yang telah menghasilkan garam bukit sejak lebih 40 tahun lalu. Menyifatkan telaga air masin itu sebagai lubuk rezeki bagi masyarakat setempat, Pinataran yang juga berketurunan Kelabit memberitahu, air telaga tersebut tidak pernah kering. "Penduduk juga percaya kalau tanah di kawasan ini digali, ia juga akan mengeluarkan air masin," katanya. Di sebalik kerjaya sebagai pengusaha garam bukit, sebenarnya banyak tugas yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas memasak garam. Richard Peter, 37, yang sudah lebih 20 tahun membuat garam di Kampung Pa' Umor mengakui bukan mudah membuat garam bukit. Kurang tidur
"Kerjanya bukan sahaja banyak malah menuntut ketekunan, semangat kerja dan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi. "Dua minggu sebelum masuk ke rumah garam, kami perlu mencari kayu api di hutan dan membawanya ke mari dengan menggunakan kerbau. "Kayu yang biasa digunakan ialah kayu laban dan kayu rhu hutan," jelas Richard. Ketika air masin dimasak , lain pula cabarannya. Biasanya pengusaha garam akan duduk di sini selama dua minggu. "Dalam tempoh itu, kami akan bawa keluarga tinggal bersama. "Di sinilah kami bekerja, rehat, makan dan juga tidur," ujarnya sambil menunjukkan rumah yang hanya terdapat dua pelantar kayu dan enam tungku memasak di dalamnya. "Dalam masa 24 jam, air perlu ditambah sebanyak tiga kali iaitu pada waktu pagi, petang dan tengah malam atau awal pagi. "Selain air, nyalaan api juga perlu sentiasa dipastikan tidak terlalu kecil atau terlalu besar. "Sumber makanan di sini juga terhad dan kami hanya makan sayuran yang dipetik sekitar kawasan rumah garam. Biasanya rebung dan umbut menjadi makanan kami," ceritanya yang masih mengekalkan cara menghasilkan garam bukit mengikut tradisi kaum Kelabit.
Begitupun, dalam tempoh berkenaan, kira-kira 200 hingga 230 batang garam boleh dihasilkan. Setiap sebatang dijual antara RM10 hingga RM15, bergantung pada saiznya. Ini bermakna, pembuat garam boleh memperoleh pendapatan lebih kurang RM2,000 hingga RM2,300 dalam tempoh tersebut. Garam itu dijual di pasaran tempatan terutamaya warga Bario yang majoritinya orang Kelabit dan Penan. Ada juga garam yang dijual hingga ke Miri dan Kuching, namun harganya meningkat dua ke tiga kali ganda. Menjelaskan fenomena pembentukan telaga air masin di kawasan bukit, mantan Ketua Jabatan Geologi , Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mohd. Ali Hasan berkata, ia mungkin berlaku disebabkan oleh kewujudan mineral garam asli yang terdapat di kawasan tersebut. "Telaga air masin di kawasan tanah tinggi kaya dengan iodin dan banyak yang diproses menjadi garam bukit. "Ia memang bagus untuk tubuh bahkan boleh dijadikan asas kepada pelbagai makanan kesihatan lain," katanya. | ||||||||
| Posted: 30 Jul 2011 06:46 PM PDT ![]() PASANGAN Jamilah dan Fakhri bertemu buat pertama kali di Amerika Syarikat, 30 tahun lalu. 'JAMILAH Samian, 49, bukan suri rumah biasa walaupun sudah 23 tahun beliau memegang status itu. Dalam kesibukannya menguruskan rumah tangga, macam-macam kerja dapat dilakukannya. Beliau ialah penterjemah artikel untuk syarikat pengiklanan. Ceramah motivasinya didengar oleh pekerja syarikat gergasi seperti UMW Toyota, Bank Negara Malaysia, dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beberapa tahun kebelakangan, beliau mengusahakan sebuah homestay di Janda Baik, Pahang. Jamilah berasal dari Batu Pahat, Johor. Bapanya bekerja sebagai pemandu bas antara bandar manakala ibunya lebih selesa menguruskan rumah dan membesarkan enam orang anak. Jamilah merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik. Rekod pelajaran Jamilah nyata cemerlang. Beliau ialah pelajar terbaik Malaysia Certificate of Education (MCE) di sekolahnya dan wanita pertama di kampungnya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara iaitu Amerika Syarikat (AS). Menulis Jamilah mengikuti pengajian Sains Komputer dan Matematik di Universiti Indiana. "Ketika belajar di AS itulah saya berjumpa dengan suami saya, pelajar kejuruteraan di Universiti Boston," kata Jamilah. Jamilah sah menjadi isteri Ahmad Fakhri Hamzah, 49, sekembalinya mereka ke Malaysia pada tahun 1984. Kedua-duanya bekerja di tempat yang sama iaitu Sarawak Shell Berhad di Lutong, Miri. Menurut Jamilah, beliau terpaksa berhenti kerja pada tahun 1988 ekoran anak sulungnya sering demam dan menghidap asma. Beliau rela meninggalkan pekerjaan yang bagus di syarikat antarabangsa itu demi seorang anak yang sangat dikasihinya. Namun, menurut Jamilah, keputusan itu menyebabkan kehidupannya menjadi sunyi. "Mungkin sebab saya adalah jenis yang suka bekerja atau melakukan sesuatu walaupun gemar menjaga anak dan menguruskan rumah tangga," katanya. Selepas berpindah ke Port Dickson, Negeri Sembilan, Jamilah menukar garaj rumahnya menjadi pejabat kecil untuk memulakan karier sebagai penulis serta penterjemah iklan dan artikel untuk syarikat korporat dan pengiklanan. "Jamilah suka membaca sejak kecil. Boleh dikatakan sebahagian besar kerjanya melibatkan penulisan. Jadi saya cadangkan dia meneruskan kursus penulisan dan penterjemahan ketika kami di Port Dickson. Pada masa itu, kami sudah dikurniakan lima orang anak," kata si suami, Ahmad Fakhri. Jamilah mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang kewartawanan di Sekolah Kewartawanan London, Britain. Lapan tahun selepas itu, Jamilah mengikuti suaminya yang ditugaskan di Oman, negara Asia Barat yang mempunyai dua juta penduduk. "Di Oman, saya berpeluang menulis artikel untuk pelbagai majalah dan surat khabar antaranya Economic Journal of Oman, majalah Shell Oman dan New Straits Times di tanah air. "Dalam jurnal ekonomi Oman itu, saya menulis tentang ruang pejabat dan susun atur perabotnya yang boleh menimbulkan suasana ceria. Ia sangat menyeronokkan," kata Jamilah. Menurut Jamilah, beliau bukan sahaja dibayar untuk pergi ke sesebuah pejabat, bahkan dapat menulis mengenainya di dalam majalah berkenaan. Beliau meneruskan kerja-kerja penulisan dan penterjemahan sehingga pulang ke tanah air dan menetap di Shah Alam pada tahun 2002. Kini beliau menguruskan sebuah homestay di Janda Baik tetapi dalam masa yang sama telah menghasilkan beberapa judul buku bersama suaminya. Ini termasuk buku Cool Mum Super Dad, Cool Boys Super Sons dan terbaru, The Groovy Guide To Parenting Gen Y And Z. Kesemua buku itu adalah berkaitan dengan kemahiran keibubapaan. Sebagai seorang ibu dan suri rumah, Jamilah gemar memasak. "Selera anak-anak kadang-kadang bergantung pada cara kita memasak. Walaupun masakan itu simple tetapi kalau kita pandai mempelbagaikannya, mereka akan suka. Buku "Saya bukan seorang tukang masak yang hebat. Kebanyakan hidangan adalah resipi turun-temurun khususnya daripada ibu bapa saya, Halimah Abdullah dan Allahyarham Samian Said," katanya. Tambah Jamilah, beliau akan memastikan sebanyak 80 peratus makanan yang dihidangkan di rumahnya dibuat sendiri. "Semasa menikmati makan malam, kami tidak layan sebarang panggilan telefon atau melayari Internet. "Waktu itu bukan sahaja untuk makan bahkan untuk merapatkan hubungan sesama anak dan suami. Saya sangat cerewet tentang perkara itu dan anak-anak sedar mengenai rutin itu setiap hari," ujarnya. Pasangan Jamilah dan Fakhri menganggap cabaran untuk membesarkan anak semakin meningkat. Teknik yang digunakan pada zaman datuk nenek kita mungkin tidak lagi sesuai untuk anak-anak zaman sekarang, ujar mereka. "Untuk memastikan kebahagiaan keluarga, saya dan isteri belajar teknik berfikir, iaitu Six Thinking Hats dengan mengikuti kursus di AS. Teknik itu menghendaki kita melihat semua perspektif sebelum menunaikan kehendak anak-anak," celah Fakhri. Katanya, teknik itu membolehkan anak-anak memberikan pandangan mereka. Jelasnya lagi, teknik itu mula dipakai semasa salah seorang anak beliau minta dibelikan telefon bimbit untuk dibawa ke sekolah. Menurut Fakhri, beliau berbincang mengenai kebaikan dan keburukan menggunakan alat itu di sekolah tanpa memaksa mereka menerima pandangan ibu bapa. "Akhirnya anak saya sendiri mengatakan dia tidak mahu. | ||||||||
| Posted: 30 Jul 2011 06:45 PM PDT ![]() PADA awal perkahwinannya dengan bilionair Rupert Murdoch, Wendi dikatakan hanya mahu mengaut kekayaan lelaki itu. RAMAI yang beranggapan wanita cantik ini rela berkahwin dengan jutawan yang dua kali ganda daripada usianya disebabkan wang. Namun, Wendi Deng membuktikan dia sanggup mempertahankan suaminya, Rupert Murdoch, dengan menyerang balas lelaki yang cuba melempar pai krim ke muka jutawan media itu dengan satu 'aksi kung fu' yang mengejutkan. Kejadian itu berlaku semasa bos News Corporation itu memberi keterangan di hadapan Parlimen Britain, 19 Julai lalu, berhubung skandal penggodaman telefon yang membawa kepada penutupan sebuah akhbar tabloid miliknya, News of the World. Sementara anak lelaki Rupert, James, yang duduk di sebelah bapanya sekadar memandang tindakan lelaki itu, dikenali sebagai Jonnie Marbles, Wendi yang duduk di barisan kedua di belakang suaminya melayangkan badannya sehingga mengenai wanita di hadapannya sebelum menampar muka si penyerang. Wendi kemudian mengambil pinggan pai itu dan melumurkannya ke muka Jonnie. Semasa polis menangkap lelaki itu, Wendi sempat melepaskan beberapa tumbukan lagi sebelum mendapatkan Rupert dan membersihkan jaket suaminya. Tindakan spontan Wendi itu segera menarik perhatian dunia. Ia dikatakan lambang cinta sejati, sikap pelindung seorang isteri, bahkan satu keistimewaan memiliki isteri berketurunan Cina. Wendi, 42, sebelum ini dibayangi cerita yang kurang menyenangkan. Kisah hidupnya bermula apabila satu pasangan Amerika membantunya berhijrah dari Guangzhou, China, ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semasa Wendi berusia 19 tahun. Dia tinggal bersama pasangan itu, tidur di bilik anak pasangan itu yang berusia lima tahun dan mengikuti pengajian di Universiti California. Rupert Segalanya berubah apabila si isteri mendapati Wendi menjalin hubungan sulit dengan suaminya. Pasangan itu bercerai dan Wendi berkahwin dengan lelaki itu, Jake Cherry yang pada masa itu berumur 31 tahun. "Saya menyintai wanita itu," kata Jake kepada The Wall Street Journal." Tidak lama kemudian, mereka berdua juga bercerai. Wendi menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Yale selepas bercerai, sebelum bekerja di Star TV milik News Corporation. Di situ, dia bertemu Rupert dalam satu acara korporat di Hong Kong pada tahun 1997. Rupert telah pun berkahwin dengan Anna Torv selama lebih 30 tahun dan mempunyai tiga orang anak iaitu Elisabeth, kini 42, Lachlan, 40 dan James, 38. Perceraian Rupert-Anna selesai selepas Anna dikatakan ditawarkan wang sebanyak lebih AS$1 bilion (RM3.1 bilion). 17 hari selepas bercerai, Rupert mengahwini Wendi di atas kapal layar Morning Glory dengan berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit New York. Rupert berusia 68 manakala Wendi 30 tahun. Mereka dikurniakan dua orang anak, Grace, 10, dan Chloe, 8. Tahun lalu, dua beradik itu dibaptiskan di tebing sebatang sungai di Jordan dengan kehadiran Permaisuri Rania dan ibu bapa pembaptisan mereka, selebriti Nicole Kidman dan Hugh Jackman. Keluarga Rupert bukan semuanya mengalu-alukan perkahwinan itu. Ibu Rupert, Dame Elisabeth, 102, yang tinggal di Australia dilaporkan masih kecewa. Semasa ditemu bual majalah New York mengenai kemungkinan Wendi dan dua anaknya akan menguasai empayar Rupert tahun lalu, Elisabeth berkata: "Saya harap ia tidak akan berlaku. Anak Rupert, James, lebih layak." China Dilahirkan di wilayah pesisiran pantai China pada tahun 1968, Wendi membesar semasa era berdarah dalam sejarah negaranya. Ibu bapanya, ahli Parti Komunis China, pada mulanya memberikan dia nama Wenge, bermaksud 'revolusi budaya', sebagai refleksi situasi pada masa itu. Namun apabila keadaan semakin baik, namanya ditukar kepada Wendi (pencerahan budaya). Bapanya, seorang pengurus kilang, dan ibunya, seorang jurutera, hanya memperoleh pendapatan sebanyak AS$43 (RM133) sebulan. Walaupun Wendi menggambarkan kehidupannya sangat miskin berdasarkan perkiraan hari ini, pada masa lalu mereka menikmati kehidupan kolar putih. Di China, kebanyakan orang kaya jarang menunjuk-nunjuk kekayaan mereka kerana khuatir tindak balas negatif daripada rakyat. Tetapi Rupert dan Wendi secara terbuka membeli sebuah rumah tradisional yang besar berharga AS$4.4 juta (RM13.6 juta) pada tahun 2004, iaitu yang dianggap paling mahal di Beijing pada masa itu. Ia mempunyai kolam renang bawah tanah, sebuah panggung mini dan sebuah bilik acara yang besar. Di sebalik jurang usia yang memisahkan mereka, rakan-rakannya berkata Wendi dan Rupert mempunyai hubungan yang akrab. Apabila Rupert menghadiri mesyuarat yang penting, Wendi akan bertanya orang yang duduk di sebelah Rupert secara berulang kali sama ada tali leher yang dipakai taikun itu lurus atau tidak. Kedua-duanya juga sangat meminati cerita trivia dalam akhbar. | ||||||||
| Posted: 30 Jul 2011 06:44 PM PDT
PENYANYI retro Britain, Amy Jade Winehouse, yang ditemui mati di apartmennya di London pada Sabtu minggu lalu telah lama bergelut dengan ketagihan dadah dan alkohol. Dia berusia 27 tahun. Selama bertahun-tahun akhbar tabloid negara itu mendedahkan kelakuan membinasakan diri sendiri Winehouse, salah seorang bintang paling berbakat dunia muzik. Kematiannya sekadar memanjangkan senarai 'Kelab 27' bintang pop iaitu seleribiti yang mati pada usia tersebut. Ini termasuk pemain gitar, Jimi Hendrix, yang mati selepas mencampurkan wain dengan pil tidur; penyanyi Janis Joplin yang menderita ketagihan heroin; dan ahli kumpulan Doors, Jim Morrison yang mengalami kegagalan jantung. Epidemik Kehidupan Winehouse sering tergambar dalam lirik lagu-lagunya. Lagu hitnya, Rehab, membayangkan dirinya yang kelam-kabut - "They tried to make me go to rehab; I said no, no, no." Lagu itu mengenai dirinya yang menolak untuk mendapatkan rawatan pemulihan ketagihan alkohol di klinik. Pada tahun 2009, akhbar Daily Mail melaporkan ketagihan dadah dan gaya hidup menyebabkan gigi Winehouse gugur satu demi satu selain menghidap penyakit gusi. "Winehouse sebenarnya telah rongak. Dia mencabut giginya sendiri," kata satu sumber. Gaya hidup kini telah menjadi satu isu global. Di Amerika Syarikat (AS), penyebab utama kematian bukanlah penyakit jantung, kanser, strok atau diabetes sebaliknya gaya hidup rakyat negara itu. Kajian oleh Mathew Reeves, pakar epidemiologi dari Universiti Michigan mendapati cuma tiga peratus orang Amerika memiliki gaya hidup yang sihat. "Saya terkejut melihat angkanya," kata Reeves, pembantu profesor epidemiologi. Penyelidikan itu yang disiarkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine mendapati hanya tiga peratus rakyat memenuhi kriteria gaya hidup sihat iaitu tidak merokok, mempunyai berat badan ideal, makan dengan betul termasuk makan lima biji buah sehari dan bersenam lima kali seminggu selama 30 minit setiap sesi. Serangan jantung tidak hanya menyerang warga emas. Hakikatnya, kematian mengejut dalam kalangan orang muda semakin kerap berlaku. Ini disebabkan perubahan gaya hidup khususnya bagi penduduk bandar. Sebagai contoh, mereka gemar makan makanan segera atau makanan yang tinggi kolesterol, jarang bersenam disebabkan sibuk, merokok dan stres. Jurnal perubatan Hart and Miller pula menyebut, sekurang-kurangnya tiga peratus kes strok yang disebabkan penyekatan peredaran darah ke otak dialami pesakit berumur bawah 30 tahun. Penyelidikan itu diketuai Russell Luepker dari Universiti Minnessota, AS. Kajian juga mendedahkan gaya hidup yang tidak sihat mencetuskan epidemik usia pramatang dengan wanita kelihatan berusia empat tahun lebih tua daripada usia sebenar. Walaupun kebanyakan kita mahu nampak 10 tahun lebih muda, tinjauan terbaharu menunjukkan kita tidak membantu diri sendiri untuk kekal remaja. Berdasarkan kajian ke atas 8,000 orang berumur 25 tahun ke atas di Britain, gaya hidup yang buruk termasuk merokok, minum alkohol, makan makanan ringan dan tidak mementingkan penjagaan kulit membuatkan wanita kelihatan tua sebelum waktunya. Tahun lalu, pelakon berimej bersih, Jennifer Aniston, 41, mendahului carta selebriti yang kelihatan paling bagus pada usia mereka. Winehouse, 27, pula diundi sebagai selebriti paling teruk. Kolagen Dalam kajian itu, walaupun kulit responden tidak dianalisis pakar, kumpulan itu ditanya berapa umur mereka kelihatan sekarang. Berdasarkan soalan itu, satu daripada lima orang tidak menggunakan pelembap kulit, 40 peratus keluar tanpa memakai losen pelindung matahari, dan suku daripada mereka makan makanan ringan sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Secara purata mereka minum 448 gelas alkohol dan menghisap 894 batang rokok setahun. Dr. Ravi Jain dari Klinik Riverbanks di Bedfordshire, England berkata, nasihat yang sering beliau berikan ialah buang semua rokok itu dan pakailah pelindung matahari setiap hari. Beliau juga menggalakkan minum banyak air dan makan buah beri bagi melambatkan proses penuaan. Ravi berkata: "Penghasilan kolagen pada kulit kita beransur perlahan seiring peningkatan usia. Kita kehilangan satu pertiga daripada kolagen semula jadi menjelang usia 45 tahun menyebabkan kulit berkedut. "Bagaimanapun, merokok, minum alkohol, terkena sinaran matahari, diet yang buruk dan kurang bersenam boleh mempercepatkan masalah kolagen sehingga kita tua sebelum waktunya." | ||||||||
| Posted: 30 Jul 2011 06:43 PM PDT ![]() KEDUA-DUA 'wanita' ini memberitahu penulis bahawa mereka sememangnya dilahirkan sebagai lelaki. MAYA dan Tasha tiba dahulu di sebuah kafe di Mont Kiara, Kuala Lumpur untuk sesi temu bual dengan Jurnal baru-baru ini. Dari kejauhan, kecantikan seorang wanita memang menjadi milik mereka. Penampilan Maya dan Tasha tiada cacat celanya. Kedua-duanya berambut lembut melepasi bahu, selain susuk tubuh ramping dan berkulit mulus. Tutur kata dan suara Maya dan Tasha juga lembut lagi tersusun. Cuma Maya yang berfizikal lebih tinggi berbanding Tasha mempunyai suara yang sedikit serak. Namun, di sebalik figura wanita itu, sebenarnya banyak rahsia yang tersimpan. Tanpa mendedahkan identiti, tiada siapa yang menyedari bahawa kedua-dua mereka sebenarnya dilahirkan sebagai seorang lelaki. "Kami memang dilahirkan sebagai seorang lelaki. Namun, naluri kewanitaan yang mendesak kami untuk berubah menjadi seperti seorang wanita," kata Tasha, 30. Menyingkap sejarah lalu, Tasha yang kini bekerja sebagai jurujual di sebuah butik mekap berjenama antarabangsa memberitahu bahawa dia mempunyai naluri seperti seorang perempuan sejak kecil lagi. Tidak pernah terikut-ikut dengan pengaruh lelaki lembut lain, Tasha yang tinggal bersama datuk dan neneknya sejak berusia tiga tahun mengaku bahawa dia memiliki sifat itu secara semula jadi. "Saya tidak meniru sesiapa, sebaliknya saya sendiri yang gemar berperwatakan dan melakukan perkara yang gemar dilakukan oleh seorang perempuan. "Saya juga berasa pelik mengapa saya suka melakukan perkara itu," kata Tasha yang menjadi mangsa perceraian rumah tangga ketika berusia tiga tahun. Biarpun berperwatakan lembut dan hatinya meronta untuk menjadi seorang wanita, Tasha kekal berpakaian lelaki sehingga dia meningkat dewasa. Titik mula Tasha melakukan perubahan drastik dalam hidupnya ialah ketika dia bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Pil hormon Melihat ramai rakan sekerja yang menukar penampilan daripada seorang lelaki kepada wanita, jiwanya yang sebelum ini terperangkap mula berani mengikut hati. "Apabila melihat wanita cantik, jiwa saya meronta-ronta untuk menjadi seperti mereka. Saya tidak dapat menghalang perasaan itu. "Setelah bertekad untuk berpenampilan sepenuhnya sebagai wanita, saya mula mengambil pil hormon wanita (estrogen)," katanya yang tidak pernah putus mengambil pil itu sejak enam tahun lalu. Dia yang mendapatkan pil tersebut di farmasi pada harga sekitar RM11 untuk enam biji, mula menunjukkan perubahan fizikal dalam tempoh sebulan. Di samping memperbanyakkan minum air soya, pinggul Tasha mula menunjukkan bentuk manakala buah dadanya membesar seakan-akan seorang wanita. Tekstur rambut dan kulit Tasha turut berubah setelah dia mengambil pil yang mempunyai fungsi sebagai pil perancang jika diambil oleh seorang wanita tulen itu. Bermulalah episod Tasha sebagai seorang wanita dari segi fizikal dan perasaan. Biarpun gembira dengan kehidupan barunya itu, Tasha bersedia untuk dicemuh. "Ayah saya yang selama ini tidak pernah mengambil berat pada saya memukul saya kerana tidak suka dengan penampilan ini. Bahkan nenek juga sering dikeji orang kampung. "Saya pernah bertanya pada nenek, adakah dia mahu melihat saya gembira begini ataupun rela membiarkan saya berkelakuan liar akibat seksaan perasaan," kata Tasha yang mengaku mempunyai salasilah keluarga yang berperwatakan lembut. Sahabatnya, Maya turut melalui jalan yang sama. Membuat keputusan untuk mengambil pil hormon ketika menuntut di sebuah universiti tempatan, Maya kini gembira dengan pilihannya itu. Maruah Namun, dia tetap berpakaian seperti lelaki ketika menghadiri kuliah. Ingin menangkis stigma masyarakat kepada golongan sepertinya, Maya nekad membuktikan bahawa golongan mak nyah bukan hanya hidup di lorong. "Saya sekarang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta. Bukan semua golongan mak nyah hidup di lorong-lorong gelap sebagai pelacur. "Kami ada maruah. Masyarakat tidak sepatutnya menghentam kami kerana segelintir sahaja yang melakukan perkara keji itu," ujar Maya yang turut menjadi mangsa perceraian ibu bapa. Maya yang mendapat tentangan hebat daripada keluarganya setelah rahsia yang dijaganya terbongkar apabila ramai menyedari perubahan pada susuk tubuhnya itu nekad untuk menjadi seorang mak nyah yang berjaya, bijak dan disegani. Dia kini membuktikan bahawa dia telah membela golongan sepertinya daripada terus dicemuh dan mengetepikan stigma kepada golongan mak nyah. "Kami tidak pernah meminta untuk menjadi begini. Kalau boleh kami ingin menjadi seorang lelaki sejati. "Biarlah masyarakat mencaci kami, asalkan kami bahagia dengan kehidupan begini kerana Tuhan sahaja tahu apa yang kami rasa. "Apa yang penting bukan semua mak nyah akan menghabiskan sisa hidupnya di lorong-lorong," kata Maya. Maya dan Tasha bagaimanapun tidak merancang untuk menjalani pembedahan jantina. Penampilan mereka tidak menjadi penghalang untuk berjaya dalam bidang profesional selagi menjaga nama syarikat tempat mereka bekerja. "Dicemuh menjadi perkara biasa. Tetapi kami tidak menghadapi masalah untuk hidup, cuma ada sedikit kekeliruan bila berurusan dengan beberapa pihak. "Setelah dijelaskan, mereka memahami siapa kami," kata Maya. | ||||||||
| Posted: 30 Jul 2011 06:39 PM PDT
AZFAR kaki hutan. Gelaran yang melekat pada lelaki berusia 35 tahun ini diberi oleh rakan-rakan dan keluarganya yang faham tentang obsesi anak kelahiran Pekan, Pahang, ini terhadap penerokaan hutan. Minat Azfar terhadap hutan terbit sejak usianya tujuh tahun. Bapa kepada tiga anak ini mengaku hubungannya dengan alam mulai rapat apabila bapanya, Abdullah Isa, 67, seorang guru, ditugaskan mengajar di Belaga, Sarawak, sekitar tahun 1980-an. Berpengalaman meneroka hampir kesemua hutan tebal di Malaysia, terutamanya di Sarawak, Azfar turut mahir berburu. Jelasnya, teknik berburu yang diamalkannya kini banyak dipelajari daripada rakan-rakan Penan sewaktu menetap di Belaga dahulu. "Saya masih minat berburu sampai sekarang. Cuma sekarang, saya tidak lagi memburu dengan anak panah, buluh atau senapang patah, sebaliknya memburu menggunakan kamera untuk mendekatkan lagi pelancong hutan dengan haiwan-haiwan di dalamnya," katanya. Biarpun mahir dengan selok-belok hutan, Azfar tidak mendabik dada dengan isi alam. Pemuda ini sedar, hutan bukan sahaja dihuni makhluk nyata tetapi juga makhluk ghaib. "Kalau nak masuk hutan, ingatan supaya menjaga percakapan dan perbuatan memang tidak pernah saya lupakan. "Walaupun bunyinya klise, namun itu ialah peraturan hutan yang perlu dipatuhi kerana ketika berada di dalam hutan, bukan hanya kita, pokok dan haiwan sahaja yang mendiami hutan, tetapi ada juga makhluk halus yang menjadikan hutan sebagai tempat tinggal," katanya. Menceritakan sedikit pengalamannya membawa pelancong meredah hutan pada waktu malam, Azfar akui dia pernah berdepan dengan pelbagai peristiwa mistik. "Dulu, semasa saya masih baru dengan hutan, beberapa kali juga kumpulan yang saya bawa menerima gangguan. Ada yang kaki bengkak sampai tidak boleh jalan dan pernah juga ada yang hilang berjam-jam. Pokok ara "Kalau terlihat kelibat atau lintasan hitam itu dan kena sakat juga sudah biasa," katanya yang nekad berguru dengan rakan-rakannya yang pandai hutan. Menurut Azfar, sebelum masuk hutan, niat atau tujuan perlu baik. Katanya, jangan sekali-kali berfikir hendak buat maksiat atau merosakkannya. "Cakap orang-orang lama ada betulnya. Jangan buang air dan buat khemah sembarangan. "Sebagai pemandu arah, saya juga perlu pastikan tempat berhenti rehat betul-betul selamat dari ancaman binatang buas dan gangguan makhluk halus. "Kalau kawasan itu lapang, tiada kesan tapak kaki Tok Penghulu (harimau) bukan bermakna tempat itu cukup selamat. Mungkin itu perkampungan orang bunian. "Kalau nampak ada pokok yang besar seperti pokok ara, dongak ke langit dan perhatikan pokok dari pucuk hingga ke pangkal pokok. "Jika nampak seperti ada ruang antara daun pokok besar dengan pokok-pokok kecil, cari kesan tapak kaki bintang di sekitar kawasan tersebut. "Andainya ada, maknanya tempat itu selamat. Jika tidak ada, laluan tersebut adalah laluan jin dan seeloknya jangan berhenti atau berkhemah di situ," katanya. Sungguhpun mahir dengan hutan, Azfar akui, ilmu alam memang tidak pernah habis untuk dikaji. Berkongsi cerita tentang pengalaman sesat selama lebih 12 jam di dalam hutan di Temenggor, Perak bersama empat rakan tiga tahun lalu, dia semakin ghairah untuk mengkaji tentang isi alam. "Kami merancang untuk memburu kijang malam itu. Sejak petang lagi, kami sudah membuat ran di perdu pokok berhampiran pokok jerai. "Kami tunggu hingga tengah malam. Anehnya, kelibat seekor kijang pun kami tak jumpa sedangkan kami nampak banyak kesan tapak kaki kijang di kawasan tersebut. "Esok malamnya selepas Isyak, kawan-kawan ajak saya menyuluh kijang. Kira-kira setengah jam berjalan, pandangan kami terarah pada warna hijau kebiruan, tidak jauh dari tempat kami bersembunyi. Sah ada pelanduk di depan kami. "Bila tembakan saya tidak kena, kawan saya pula tembak. Yang peliknya, walaupun leher sudah berasap, pelanduk tersebut tidak tumbang, masih berdiri. Yang saya dengar ketika itu suara orang mengeruh. Pada tembakan kali ketiga, baru pelanduk tersebut jatuh. "Selepas disembelih, kami terus masukkannya ke dalam guni. Sampai di khemah nanti, baru dilapah dan dibuang isi perutnya. "Lebih kurang 15 minit berjalan, kami tidak berjumpa dengan pelanduk atau kijang. Pelik juga kerana kesan tapak kaki yang kami jumpa bukan main banyak lagi. "Hampir sejam berjalan, kawan saya putuskan untuk kembali ke khemah kerana sudah letih. Bagaimanapun, kami tidak temui denai menuju ke khemah kami. "Kami mencari ranting pokok yang kami patahkan untuk menanda jalan, tapi tidak jumpa. Laluan semakin semak, seperti tidak pernah dilalui orang sebelum ini," katanya. Berpusing
Enggan berputus asa, Azfar dan rakan-rakannya terus berjalan hinggalah menjelang Subuh. "Kami bergilir pikul pelanduk. Boleh tahan juga beratnya. Kira-kira pukul 5.30 pagi, kami terjumpa dengan kubang gajah. Sah kami sesat kerana kami tidak melaluinya sebelum ini. "Setengah jam kemudian berjalan, kami sampai ke kubang gajah semula. Rasanya kami berjalan lurus dan tidak melencong, tetapi rupa-rupanya kami berpusing di denai yang sama. "Kawan saya kata, kami mungkin diganggu dengan penunggu hutan. "Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami berjalan semula. Masing-masing mati akal, tak tahu nak buat apa. Pelanduk sudah perlu dilapah dan dibuang perutnya untuk elak busuk, tetapi kami semua sudah keletihan. "Masa itu saya fikir, mungkin ada betulnya kami disakat makhluk yang menunggu di hutan ini. Kami akhirnya sepakat untuk tinggalkan sahaja pelanduk itu di situ. "Saya jerit dalam hutan, aku minta maaf. Ini pulangkan semula kawan kau. Tolong buka jalan, kami nak pulang. "Kami teruskan berjalan. Tak sampai 20 minit, kami terjumpa semula dengan ranting yang sengaja dipatahkan untuk menanda laluan. Tidak sampai setengah jam selepas itu, kami semua sudah sampai ke khemah," cerita Azfar. Walaupun berdepan dengan macam-macam perkara, Azfar tetap berpegang pada prinsip lagi jauh hutan itu diteroka, semakin indah pemandangan yang dapat dilihat dan pengalaman yang ditimba. | ||||||||
| Lelaki gagal tukar nama kepada perempuan meninggal dunia Posted: 30 Jul 2011 01:06 AM PDT
KUALA TERENGGANU 30 Julai – Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi. Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah. Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor. Katanya, beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan. Semalam beliau berkata, doktor mengesahkan anaknya mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau "unstable angina with cardiogenic shock". Katanya, Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu. Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. | ||||||||
| Abby Abadi Sahkan Enggan Hadir Pernikahan Norman, Memey Posted: 30 Jul 2011 12:58 AM PDT ![]() PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi sudah mengesahkan tidak akan hadir ke majlis resepsi persandingan bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September depan di sebuah hotel walaupun menerima kad undangan daripada mereka. Norman dan Memey di jadual bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh, Mersing Johor iaitu rumah pengantin perempuan. Ujar Abby, dia berbuat demikian kerana enggan merosakkan hari bahagia mereka yang digelar sebagai "wedding of the year" itu berikutan menerima tajaan bernilai RM12 juta. "Jujurnya saya tidak akan hadir pada majlis itu. Saya tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat. Mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Jumaat yang melepas dan membebaskan Norman dan Memey atas tuduhan berkhalwat kira-kira tiga tahun lalu, Abby enggan mengulas berhubung perkara itu. Menurut Abby, dia tiada hak untuk memberi komen mengenai kes tersebut memandangkan bekas suaminya itu tiada kena mengena lagi dengannya. "Itu adalah keputusan mahkamah. Jika mereka (Norman dan Memey) disabitkan bersalah, maka salahlah mereka dan jika keputusan berpihak pada mereka, maka mereka berada di pihak yang betul. "Pada pendapat saya, sama ada saya beri komen atau tidak, Norman dan Memey tidak ada kena mengena pun dengan saya," katanya. Tambah ibu tunggal kepada tiga orang anak ini, walau apa pun keputusan mahkamah, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa aktiviti mengenai kehidupan sehariannya. Ditanya adakah Abby sudah berbaik dengan Norman setelah isu tuntutan wang hantaran berjumlah RM11,111.11 terhadap Norman diperkatakan sebelum ini, menurut Abby mereka sekadar bertegur sapa mengenai perihal anak sahaja. "Jujurnya, apabila timbul pertikaian mengenai isu tersebut (hantaran), ia sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan saya. Dan ia dilihat seperti saya yang mahu memanaskan keadaan. "Oleh itu, saya letak tanggungjawab tersebut kepada peguam saya yang rasanya lebih tahu tentang perkara ini. "Saya belajar daripada pengalaman apabila kita cakap sesuatu yang benar, ia akan terkena kepada kita. Jadi cakap pun tak guna dan biarlah orang yang lebih arif sahaja yang uruskan," ujarnya. Dalam pada itu, mengenai hubungannya dengan pelakon Zul Arifin, mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun masing-masing pernah berbincang mengenai hal tersebut. Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Bagaimanapun mereka bercerai pada 18 Disember 2008. | ||||||||
| 'Kejadian Khalwat Adalah Dugaan' - Norman Hakim Posted: 30 Jul 2011 12:57 AM PDT Norman Hakim dan bakal isterinya, Memey SuhaizaKUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim,35, pada Jumaat, tidak pernah menyangka akan menangis apabila mengetahui dirinya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan Memey Suhaiza,23, "Saya tidak pernah menjangkakan akan berada dalam keadaan yang sangat emosional sebegini," katanya yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat sunat syukur selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini tamat. Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon juga menyifatkan apa yang berlaku adalah dugaan buat dirinya dan Memey. Katanya lagi, Allah tidak memilih orang untuk diuji jika tahu dia tidak mampu untuk menghadapinya. "Alhamdulillah dengan didikan orang tua, saya boleh menerima semua dugaan dan cubaan. Ini hanya satu fasa dalam kehidupan saya. "Saya juga tidak akan berdendam dengan sesiapa dalam kes ini, malah saya reda jika ada orang yang dengki dengan saya," katanya. Tambah pelakon drama "Wali" ini, setiap kali rasa dendam itu hadir, dia menyedekahkan Al-Fatihah kepada orang terbabit selepas disarankan untuk berbuat demikian oleh seorang ustaz. Sementara itu, Memey yang hadir di mahkamah bersama Norman, menyifatkan keputusan tersebut sebagai 'hadiah perkahwinan' mereka yang akan berlangsung pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor. "Ini semua berkat kesabaran dan doa kedua-dua belah keluarga. Syukur, sekarang bila saya mahu kahwin, rezeki datang dan segala perkara dimudahkan sampai ada pihak yang mahu menaja sehingga RM12 juta," katanya sebak. Bakal pengantin baru itu hanya tersenyum apabila disoal berhubung perancangan hidupnya selepas bergelar isteri dan menjawab, dia kini sudah bersedia untuk menempuh fasa seterusnya. Pada Jumaat, Hakim Syarie Selamat Yatim melepas dan membebaskan pasangan tersebut daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008.Pendakwaan terhadap Norman dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey dituduh mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama. Mereka yang didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 20 Januari 2009 kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Norman juga sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi dan bercerai pada 18 September 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3. | ||||||||
| 'Jejak Rasul 17' Dalam Format HD Bermula Isnin Ini Posted: 30 Jul 2011 12:56 AM PDT Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar (kiri) bersama Menteri Luar Datuk Seri Anifah Haji Aman pada pelancaran Jejak Rasul 17 di Petaling Jaya, Khamis.PETALING JAYA: Program dokumentari popular TV3, Jejak Rasul (JR) yang kembali untuk tahun ke-17 bermula 1 Ogos depan tampil dengan pembaharuan apabila diterbitkan dalam format definisi tinggi (HD) buat julung kalinya. Dokumentari yang menyingkap paparan Legasi Muhammad S.A.W di Eropah Timur ini akan bersiaran sebanyak 30 episod dengan memaparkan kebangkitan Islam dengan menyelami budaya, kehidupan dan sejarah lampau penduduk Islam berketurunan Slavic, Tatar dan Caucasus di Rusia dan Ukraine. Menurut Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar: "JR sudah sinonim dengan TV3. Setelah 16 musim bersiaran ia menjadi program utama kebanggaan kami dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. "Untuk musim terbaru, kru JR sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya menghasilkan 30 episod untuk menjejaki legasi Nabi Muhammad S.A.W di Eropah Timur. "Kami berasa amat bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan di bumi Russia dan Ukraine walaupun kru dan pihak produksi terpaksa berhadapan dengan masalah cuaca buruk kerana musim salji, masalah komunikasi, penyesuaian diri dan konsep penerbitan yang baru iaitu dalam format HD." Kru produksi JR17 telah memulakan sesi penggambaran di Russia dan Ukraine dari pertengahan Mac hingga pertengahan April lalu dan dikendalikan oleh tiga kumpulan. Kumpulan A yang diketuai oleh Mazlin Nordin selaku penerbit dan pengarah menjalani rakaman di Moscow, Rusia dan Ukraine. Kumpulan B yang dikendalikan oleh Wan Farid Wan Mohamed (penerbit dan wartawan) merakam legasi di St. Petersburg dan Tatarstan, Rusia sementara kumpulan C yang diketuai oleh Mat Nasir Yusof (penerbit dan wartawan) pula di Dagenstan & Chechnya, Rusia. Pengembaraan JR17 bakal memaparkan pengembaraan sepanjang musim sejuk di Moscow, St. Petersburg dan Tatarstan dalam mengesan sejarah kemasukan Islam pada kurun ke 10, penemuan seperti masjid yang dibenarkan beroperasi pada era Komunis dan bagaimana pedagang Islam Tatar mengembangkan Islam ke Utara Rusia. Selain itu, ia turut membawa penonton menikmati keindahan panorama musim bunga di Dagestan, Chechnya, Kiev dan Crimea. Kehidupan masyarakat Islam di pesisir Laut Caspian dan Laut Hitam yang ditemui produksi ini juga akan membongkar sejarah awal Islam memasuki bumi Russia pada kurun ke 8 oleh pejuang Arab. Episod akhir JR Istimewa Hari Raya akan menemui penonton bersempena Hari Raya Aidilfitri pada Hari Raya pertama pukul 7 malam selama 1 jam. JR17 akan disiarkan pada pukul 6.30 petang setiap hari bermula 1 Ogos depan di TV3. | ||||||||
| Dokumentari Bukan Islam Berpuasa Di TV AlHijrah Posted: 30 Jul 2011 12:55 AM PDT ![]() KUALA LUMPUR:Dokumentari One Month Ramadan In Kuala Lumpur merupakan sebuah dokumentari berorientasikan drama yang bakal menukar persepsi orang bukan Islam terhadap ibadah puasa. Ia akan ditayangkan mulai 12 Ogos depan, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV AlHijrah. Menurut penerbitnya, Idris Shiekh Ahmad, program realiti dokumentari ini akan mengikuti perjalanan sebenar seorang wanita bukan Islam dari Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia bagi menyahut cabaran mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan. "Ketika memulakan proses pembikinan dokumentari ini, kami telah mengiklankan tawaran tersebut di sebuah laman Forum Pengembaraan yang mencari seorang bukan Islam untuk merasai pengalaman berpuasa di Kuala Lumpur. "Kami menerima terlalu banyak penyertaan. Selain Malaysia, Indonesia sambutan juga dari negara jiran yang lain. Kami akhirnya telah memilih seorang wanita yang bernama Lydia Perr yang berasal dari New York," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Ramadan TV AlHijrah, di sini, Khamis lalu. Tambah Idris, Lydia mempunyai latar belakang keluarga yang sangat menarik dan datang daripada keluarga berketurunan Yahudi dan ibunya beragama Kristian. "Saya tertarik dengan Lydia dan memilihnya untuk menyertai program ini, ketika itu juga negara jiran Indonesia sibuk digemparkan dengan letupan bom. "Namun dengan rasa ingin tahu, Lydia tidak mengendahkan nasihat keluarganya untuk datang ke Malaysia, walhal dia tidak pernah menjejakkan kaki di sini," tuturnya pengarah urusan MK Direct ini. Tambah Idris, pelbagai peristiwa menarik yang berlaku ketika proses mengenalkan Lydia kepada ibadah puasa yang dapat disaksikan oleh penonton. "Kami tidak memaksa dia untuk berpuasa penuh tapi dengan kerelaan dirinya sendiri Lydia mampu menahan lapar dan dahaga selama sebulan biarpun ketika dia keluar bersama rakan-rakan senegaranya. "Di sini juga kita dapat lihat bagaimana hati Lydia sendiri terbuka untuk melakukan ibadah itu dengan ikhlas tanpa paksaan," katanya. Kata Idris, mesej utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah berkenaan ibadah puasa kepada umat Islam, dan secara tidak langsung juga menukar persepsi masyarakat luar terhadap ibadah tersebut. | ||||||||
| Asyiela Mengaku Popular Kerana 'Upin & Ipin' Posted: 30 Jul 2011 12:53 AM PDT ![]() PETALING JAYA: Bintang cilik, Asyiela Putri Azhar, 9, yang meminjamkan suaranya untuk siri kartun animasi popular Upin &Ipin mengakui mulai popular dan mendapat perhatian di sekolahnya. Dia yang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 9, Putrajaya mengakui siri animasi tersebut merupakan kartun popular yang di minat pelajar-pelajar sekolah tersebut. "Di sekolah ramai yang tahu suara saya digunakan untuk siri Upin&Ipin, ramai juga yang menyuruh saya buat suara itu di sekolah. "Tapi cikgu-cikgu banyak beri sokongan kepada saya dan mereka juga dalam perancangan untuk menjemput Upin&Ipin datang ke sekolah," katanya ketika ditemui pada Majlis Pra Dengar Album Raya Upin&Ipin, di sini, Rabu. Tambah Asyiela, dia perlu membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan tugas tersebut agar tidak tercicir. "Seperti biasa saya akan ke sekolah pada waktu pagi dan sebelah petang akan ke studio untuk proses memasukan suara. ![]() "Bagi rakaman lagu Hari Raya pula saya lakukan pada hujung minggu dan semuanya diuruskan oleh keluarga, jadi tiada masalah," katanya. Dalam pada itu, ketika ditanya tentang nyanyian, Asyiela berkata dia mempunyai minat yang mendalam dalam bidang itu. "Ini kali pertama saya diberi peluang merakamkan lagu tapi saya tidak mahu serius dalam bidang tersebut tetapi jika untuk suka-suka sahaja bolehlah. "Lagu-lagu Hari Raya yang saya nyanyi ini merupakan lagu-lagu yang saya gemari, cuma lagu Selamat Hari Raya yang dipopularkan oleh Datuk Sharifah Aini agak sukar dinyanyikan kerana bernada tinggi," katanya. | ||||||||
| Penyanyi Korea, Kim Hyun Joong Datang KL 20 Ogos Posted: 30 Jul 2011 12:52 AM PDT Kim Hyun JoongPETALING JAYA: Penyanyi yang juga anggota kumpulan K-Pop, SS501 iaitu Kim Hyun Joong, 25, bakal berkunjung ke Kuala Lumpur pada 20 Ogos depan bagi mempromosikan album mini pertamanya iaitu Break Down. Album yang telah berada di pasaran sejak Julai lalu itu mengandungi lagu-lagu seperti Intro (Let Me Go), Please, Kiss Kiss dan Yes I Will. Sejak dipasarkan di Korea pada 8 Jun lalu, album tersebut telah mencatat jualan lebih 100 ribu unit di Hanteo Chart dalam masa 2 minggu. Kim juga telah meraih kemenangan selama dua minggu berturut-turut di program televisyen Music Bank di KBS2 menerusi lagu Break Down. Ketua kumpulan SS501 ini mula mencuri perhatian peminat di seluruh Asia menerusi lakonannya sebagai Yoon Ji Hoo dalam drama bersiri Boys Over Flowers (2009). | ||||||||
| 'Battleship' Filem Pertama Rihanna Posted: 30 Jul 2011 12:49 AM PDT RihannaLONDON: Penyanyi Rihanna dilaporkan telah memberikan komitmen terbaiknya dalam filem pertama lakonannya yang berjudul Battleship di bawah arahan Peter Berg. Menurut laporan portal contactmusic.com, aksi penyanyi itu boleh ditonton dalam "trailer" filem yang turut dibintangi oleh Alexander Skarsgard, Brooklyn Decker dan Liam Neeson itu. Bercerita mengenai wataknya, Rihanna berkata: "Dia (watak) seorang gadis yang lasak dan tegar. Saya perlu menguasai penggunaan senjata dan kemahiran aksi sebaik yang mungkin." Rihanna yang dikatakan menghabiskan masa selama tiga bulan untuk penggambaran di Baton Rouge dan Hawaii turut melakukan beberapa aksi lagak ngeri dalam filem itu. "Dia (Rihanna) terjun ke dalam air, menghempaskan dirinya pada besi pengadang, mencekik pelakon dan mengheretnya ke rakit. "Kemudian dia melihat ke arah saya dan tersenyum puas. Dia melakukan semua aksi itu sendiri. Sememangnya tiada isu tentang keyakinan dirinya sebagai seorang pelakon," kata Berg. Battleship dijangka ditayangkan pada 18 Mei 2012. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!





















0 ulasan:
Catat Ulasan