Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- 2,500 Saksikan Konsert Siri Jelajah David Archuleta
- Pengesahan Lafaz Cerai & Rujuk Joey Ogos Depan
- Penyanyi Nora Mahu Dikenali 'Nora J'
- Atlet Malaysia Tiada Kekuatan Minda - Norman (KRU)
- Caca Akui Hilang Populariti Selepas Tamat Raja Lawak
- Pra Pelancaran FFM24 Berjaya Walaupun Kurang Sokongan
- Astro Sumbang RM177,222 Kepada Rumah Anak Yatim Hulu Langat
- Erul Tiru Cara Bintang Korea Untuk Hargai Peminat
- Amy Winehouse Dikebumikan Secara Rahsia
- Cincin Perkahwinan Robbie William Hilang
- Reaksi penonton jadi penentu
- Pelajar hilang 4 hari ditemui mati di Pattaya
- Belum setaraf Mourinho
- 3 permata istimewa
- Jawablah!: Jangan cetuskan kontroversi
- Album nasyid sentuhan A Ali
- Alleycats di IB
- Beli 1985, siap 2012
- "APM2011 Majlis Anugerah Paling Teruk"- Faizal Tahir
- Kaftan eksklusif Oasis Boutique
- Tiga generasi kebaya
- UTP johan debat perpaduan ala Parlimen IPT
- Industri dipelawa sertai MyPhD tingkat teknologi
- Peluru berpandu di kapal peronda TLDM
- Kuasa hebat Nasha Aziz
| 2,500 Saksikan Konsert Siri Jelajah David Archuleta Posted: 26 Jul 2011 10:53 PM PDT Aksi David Archuleta dalam konsertnya yang berjaya menghimpunkan 2,500 peminat di Stadium Negara, malam Selasa.KUALA LUMPUR: Penyanyi David Archuleta berjaya memukau kira-kira 2,500 penonton dalam konsert David Archuleta Live in Malaysia 2011 yang berlangsung di Stadium Negara, di sini, malam Selasa. Kunjungan kali kedua penyanyi berusia 20 tahun itu ke sini adalah bersempena siri jelajah promosi album keduanya, The Other Side of Down. Tampil dalam konsert ringkas yang berdurasi satu jam 10 minit, naib juara program American Idol musim ketujuh itu mendendangkan 17 rangkaian lagu yang terdiri daripada lagu-lagu popularnya dan beberapa lagu nyanyian semula termasuk Crush, Falling Stars, A Little Too Not Over You, Something 'Bout Us, Heaven(nyanyian asal Bryan Adams) dan A Thousand Miles (Vanessa Carlton). Archuleta muncul di pentas pada sekitar pukul 9 malam dengan menyampaikan lagu pembukaan Stomping The Roses yang dipetik daripada album terbarunya. ![]() Sorakan yang gemuruh daripada peminat terus menaikkan "mood" penyanyi berasal dari Utah, Amerika Syarikat untuk meneruskan konsert dengan lagu-lagu seperti The Other Side of Down, A Little Too Not Over You dan Love Don't Hate sebelum berehat untuk beberapa saat. Konsert yang diiringi empat pemuzik itu diteruskan dengan dendangan "single" pertamanya Something 'Bout Love dan sebuah lagu asal kumpulan Tears for Fears Everybody Wants to Rule The World. Seketika kemudian, Archuleta terus mengikat perhatian dengan alunan lagu cinta kegemarannya iaitu My Kind of Perfect sambil memetik piano. Pesona penyanyi yang baru saja menerima plak enam platinum daripada penjualan albumnya di sini itu diteruskan pula dengan lagu rancak Elevator yang juga "single" kedua daripada album terbarunya itu. ![]() Sebelum menyampaikan lagu popular Vanessa Carlton berjudul A Thousand Miles, Archuleta sempat berkongsi luahan dengan peminat bahawa lagu itu menjadi pilihan sebagai pengubat kerinduan kepada ibunya kerana sering berjauhan apabila dia terlibat dengan siri jelajah promosi. Babak kedua konsert tersebut dilanjutkan dengan lagu-lagu seperti Falling Stars, Touch My Hand, Stand By Me (nyanyian asal Ben E. King), "single" kelimanya iaitu Everything And More dan Zero Gravity. Gimik daripada penyanyi itu yang bertindak meninggalkan pentas sejurus lagu Zero Gravity terus mengundang jeritan yang mahukan Archuleta kembali menyambung konsert. ![]() Selang beberapa minit, penyanyi berwajah keanak-anakan itu kembali dengan segmen terakhir menerusi tiga lagu iaitu Heaven (nyanyian asal Bryan Adams), Crazy (nyanyian asal Gnarls Barkley) dan lagu penutup yang telah mempopularkan namanya di pentas muzik iaitu Crush. Archuleta yang hanya mengenakan sepasang kemeja T, jaket dan jeans sepanjang konsert itu telah berjaya membuktikan kemampuannya sebagai penghibur biarpun timbul desas-desus yang mengaitkan namanya dengan era kejatuhan ketika ini. Penyanyi tempatan yang juga naib juara Astro Star Quest 2008 iaitu Hao Ren membuka tirai konsert tersebut. | ||
| Pengesahan Lafaz Cerai & Rujuk Joey Ogos Depan Posted: 26 Jul 2011 07:40 PM PDT Joey dan Watie (Elite)KAJANG: Permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan oleh isteri kepada pelakon dan penyanyi, Joey akan diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 11 Ogos depan. Hakim Syarie, Abd Halim Abdullah menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa plaintif, iaitu Noraini Mohamad Nasir tidak dapat menghadiri prosiding kerana tidak sihat. Menurut peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Noraini, anak guamnya ada menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) pada waktu tengah hari Selasa, memaklumkan dia kini demam panas. "Sebaik sahaja menerima berita itu, saya telah menghubungi plaintif dan meminta dia untuk mengemukakan sijil cuti sakit (MC). "Bagaimanapun, plaintif memberitahu dia masih tidak larat untuk ke hospital dan akan cuba mendapatkan MC daripada hospital di Ampang pada petang ini (Selasa)," katanya. Abd Halim kemudiannya bertanyakan kepada Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud sekiranya dia ada menghubungi isterinya, namun tidak memberitahu bila. Zulkifli: Ya, saya ada menghubunginya. Abd Halim: Kamu tahu keadaan kesihatan dia? Zulkifli: Waktu saya hubungi, dia sihat. Abd Halim kemudiannya memberitahu, beliau mahu supaya Noraini hadir di mahkamah untuk mendengar penghakimannya kerana beban untuk membuktikan kejadian rujuk terletak di bahu plaintif. "Dalam kes ini ada dua isu yang timbul, iaitu isu lafaz cerai dan rujuk. Kamu hanya menafikan dakwaan rujuk. Saya tidak boleh putuskan kes ini tanpa kehadiran plaintif. "Saya tahu saya telah janji untuk memberikan keputusan pada hari ini dan keputusan juga telah berada di tangan saya," ujar beliau. Noraini, 44, memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor pada 15 Oktober 2010 iaitu kira-kira seminggu selepas Joey, 37, dilaporkan bercinta dengan pelakon, Watie Elite. Pada penyataan tuntutannya, Noraini mendakwa Joey atau nama sebenarnyaZulkifli Daud, 37, telah melafazkan cerai pada 4 Jun 2010, yang hanya didengari oleh seorang rakan suaminya bernama Acong. Noraini juga mendakwa, Joey telah melafazkan lafaz rujuk ke atas dirinya empat hari kemudian, iaitu pada 8 Jun 2010 semasa berada di dalam bilik tidur. Pada keterangan Noraini, wanita tersebut memberitahu, semasa melafazkan rujuk, Joey meletakkan tangan kanannya ke dahi manakala tangan kirinya memegang Al-Quran. Bagaimanapun, Joey yang merupakan vokalis kumpulan Exist dan pernah menghasilkan album Beradu Suratan hanya mengakui bahawa dia ada melafazkan cerai dan menafikan dakwaan rujuk. | ||
| Penyanyi Nora Mahu Dikenali 'Nora J' Posted: 26 Jul 2011 07:39 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu popular Desa Tercinta dan Naluri, Nora Ariffin kini mahu dikenali sebagai Nora J. Jelasnya, perkataan J itu diambil sempena nama suaminya, Johan Nawawi. "Biasanya orang selalu tertukar dengan orang yang bernama Nora Ariffin kerana di Singapura juga mempunyai seorang model bernama Nora Ariffin. "Jadi, saya lebih suka menggunakan nama Nora J atau Nora Johan untuk mengelakkan kekeliruan," ujarnya sewaktu majlis pelancaran album Voices of Ummi (VOU) - Erti Al-Fatihah di Saloma Bistro, di sini, Selasa. VOU merupakan kumpulan penyanyi kanak-kanak yang digabungkan kerana suara mereka juga adalah suara watak-watak utama dalam siri animasi muzikal kanak-kanak berjudul Ummi-Ceritalah Pada Kami. Mereka adalah dua anak Nora iaitu Alif Johan (Alif), 12, dan Putri Dahlia (Putri), 7, serta Aiman Abbas (Aiman), 14, Hana Hamdan (Hana), 11, dan Jihad Hamdan (Atan), 8. Selain Nora, artis undangan dalam album itu ialah Bringgo dan Mosyi. Menurut Nora, anak-anaknya itu mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sangat berminat untuk menyertai kumpulan tersebut. "Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan kepada anak-anak saya dan mereka rela melakukan kerja ini tanpa paksaan. "Saya yakin album ini akan mendapat sambutan kerana ia bukan sahaja disasarkan kepada kanak-kanak tetapi golongan remaja dan dewasa dan lagu-lagu seperti ini harus diberi peluang untuk diputarkan di stesen radio," ujarnya. Dalam pada itu, suaminya selaku penerbit album berkenaan memberitahu album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu merupakan album runut bunyi bagi mempromosikan animasi terbitan syarikatnya, Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd. "Album ini menampilkan 13 buah lagu yang akan diedarkan oleh Erama Creative Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd melalui portal www.erama.tv menjelang bulan Ramadan ini. "Animasi Ummi dijangka akan siap pada hujung tahun ini. Jadi, sementara animasi tersebut siap, kami hasilkan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam animasi ini kerana ia akan diselang-seli dengan lagu berkonsep pop kerohanian," ujarnya yang turut bersedia untuk memasuki pasaran muzik Indonesia jika diberi peluang. Nora yang menyambut kelahirannya ke-38 Selasa turut diraikan pada majlis tersebut. | ||
| Atlet Malaysia Tiada Kekuatan Minda - Norman (KRU) Posted: 26 Jul 2011 07:38 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim menganggap kebanyakan atlet Malaysia tiada kekuatan minda apabila menyertai perlawanan sukan walaupun mempunyai persediaan fizikal yang kuat. Menurut Norman, kelemahan tersebut membuatkan atlet negara mudah kalah dan tersungkur apabila berdepan dengan kesukaran ketika sedang berlawan. "Berdasarkan apa yang saya lihat, atlet kita sudah bersedia dari segi kekuatan fizikal. "Tapi sayangnya, bila dah nak kalah, mereka terus hilang fokus sedangkan ketika itu mereka perlu bangkit dan lawan sehabis mungkin walaupun tinggal beberapa minit lagi untuk tamat sesebuah perlawanan yang disertai," katanya pada Seminar Personaliti Unggul untuk para atlet anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, Selasa. Tambah Norman, dia memberikan contoh pasukan bola sepak negara yang kini semakin kuat menentang setiap negara lawan, tetapi terus hilang fokus apabila pihak lawan memberikan jaringan gol. Pada seminar tersebut, Norman bersama pelakon Rosyam Nor telah memberikan petua kepada atlet-atlet negara untuk menaikkan semangat dan menyuntik pemikiran positif dalam persediaan mengharungi Sukan Sea ke-26 yang akan berlangsung di Jakarta pada November depan. Para atlit yang menghadiri seminar anjuran majlis Sukan Negara (MSN).Tambah Norman, para atlet juga perlu diberikan lebih banyak seminar agar dapat menguatkan mental selain fizikal. "Sebenarnya antara atlet sukan dan artis, kerja kami tidak banyak berbeza kerana masing-masing melalui proses tekanan prestasi, harapan yang menggunung daripada rakyat dan persediaan kerja. "Kerana itu, agak mudah untuk saya dan Rosyam berkongsi pengalaman kami mengenai persediaan dalam melalui setiap jatuh bangun kami sebagai selebriti," katanya. Sementara itu, kata Rosyam pula, para atlet juga perlu mempunyai pengetahuan am menerusi pembacaan akhbar agar mudah berkomunikasi dengan pihak luar termasuklah media yang menemu bual mereka. "Saya lihat, atlet di luar negara begitu positif ketika menjawab setiap soalan yang ditanya oleh pihak media manakala atlet kita agak segan dan masih lagi ada perasaan malu ketika bercakap. "Contohilah Datuk Nicole David, kerana dia bijak bermain dengan kata-kata ketika menjawab soalan. Saya harap, di masa akan datang ini, atlet kita lebih yakin berdepan dengan orang ramai kerana ia juga amat penting ketika melalui perlawanan yang dijalankan masing-masing. | ||
| Caca Akui Hilang Populariti Selepas Tamat Raja Lawak Posted: 26 Jul 2011 07:38 PM PDT Walaupun kurang menonjol, Caca tidak berputus asa untuk meneruskan karier seninya.PETALING JAYA: Pelawak Caca atau nama sebenarnya Abdul Halim Abdul Malek,32, akui popularitinya kurang menonjol selepas menyertai program realiti Raja Lawak musim keempat. Namun dia bersyukur apabila pelawak dan pelakon Sathiya menjemputnya untuk memeriahkan program Lawak Minggu Ini yang akan disiarkan bermula 5 Ogos depan pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132). "Saya akui tidak menonjol dalam program Raja Lawak tetapi Sathiya telah memberi ruang kepada saya untuk berkarya dalam industri seni ini. "Saya rasa seronok apabila persembahan kami mendapat sorakan yang hebat. Alhamdulillah, dia telah memberi peluang untuk saya kembali dalam industri," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Lawak Minggu Ini di The Curve, Isnin lalu. Biarpun begitu, dia tidak berputus asa dan masih meneruskan karier seninya dalam bidang pengacaraan dan lakonan. "Saya sedang sibuk menjadi pengacara untuk majlis makan malam seperti program jelajah usahawan di Baling, Kedah. "Selain itu, saya turut berlakon dalam dua buah drama untuk terbitan RTM iaitu Sood Che Yong dan Rakan-Rakan serta Keliru," ujarnya. Tambahnya lagi: "Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Sathiya dan pelakon Farouk Hussein yang tidak melupakan saya untuk mengacara majlis dan kerja di luar. Caca yang telah berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak ini berasal dari Kulim, Kedah. Di Kuala Lumpur, dia menginap di rumah sewa di kawasan Pandan Indah bersama-sama pelawak Alex (Raja Lawak). Memandangkan isteri dan anak-anaknya tinggal di Kulim, dia tidak kisah untuk berulang-alik setiap bulan atau setiap dua minggu untuk menjenguk mereka. "Beginilah kehidupan saya apabila bekerja di sini dan terpaksa berjauhan daripada keluarga. Setakat ini, saya masih cuba mengukuhkan kewangan dan belum merancang untuk membawa mereka pindah ke Kuala Lumpur," ujarnya yang akan berniaga menjual martabak pada bulan Ramadan ini. Atas permintaan yang tinggi, dia dan rakan niaganya, Idlan (Raja Lawak) akan membuat perniagaan itu buat kali kedua di Bazar Ramadan Raub, Pahang bermula hari pertama atau kedua umat Islam berpuasa. | ||
| Pra Pelancaran FFM24 Berjaya Walaupun Kurang Sokongan Posted: 26 Jul 2011 07:36 PM PDT Barisan penggiat seni berbilang bangsa yang hadir pada malam pra pelancaran Festival Filem Malaysia ke-24 di Kompleks Kraf, di sini, malam Isnin.KUALA LUMPUR: Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) selaku pengarah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24), Jurey Latiff Rosli mengakui berpuas hati dengan kejayaan majlis pra pelancaran festival itu walaupun kurang mendapat sokongan pelakon popular tanah air. Kata Jurey Latiff, sebagai penganjur acara besar itu pada tahun ini, kejayaan majlis berkenaan yang menghimpunkan kira-kira 500 hadirin adalah pencapaian awal yang boleh dibanggakan. "Ini adalah kali pertama Gafim anjurkan FFM dan kebetulan pula saya baru tujuh hari memegang jawatan Presiden Gafim. "Sebagai permulaan, saya berasa bangga kerana kami berjaya menghimpunkan kira-kira 500 karyawan, artis dan penaja pada acara ini," katanya yang ditemui pada sidang media pra pelancaran FFM24 di Kompleks Kraf, di sini, malam Isnin. Jurey Latiff RosliTambahnya, walaupun majlis itu agak lesu tanpa kehadiran para pelakon popular tanah air, sokongan daripada artis-artis Cina, India dan sebilangan artis Melayu adalah satu kepelbagaian yang memberikan pembaharuan pada imej FFM. "Saya akui majoriti pelakon popular tidak hadir pada malam ini mungkin kerana mereka terikat dengan jadual seni masing-masing. "Bagaimanapun, kita mendapat sokongan yang baik daripada artis-artis veteran, segelintir pelakon Melayu dan paling membanggakan ramai artis Cina dan India yang hadir. "Majlis ini diadakan untuk meraikan anak seni dan penggiat filem kita. Saya harap mereka akan turun beramai-ramai pada majlis perasmian dan malam festival nanti," katanya. Harun Salim BachikPada itu, Pengerusi FFM24 yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik berkata, walaupun agak kecewa kerana ketiadaan bintang-bintang popular pada majlis tersebut, dia tetap optimis dalam memastikan kejayaan penganjuran tahun ini. "Kalau dilihat pada sambutan dingin artis-artis popular kita pada malam ini, saya tidak nafikan agak kecewa tetapi penganjuran ini mesti diteruskan. "Kami masih ada tempoh tiga bulan lagi untuk menyuntik kesedaran di kalangan penggiat seni dan menggerakkan jentera promosi festival ini," katanya. Jelas Harun lagi, hanya lapan artis popular saja yang muncul pada malam pra perasmian itu walaupun 88 orang telah mengesahkan kehadiran masing-masing sebelum ini. Antara barisan artis veteran yang hadir. (Dari kiri) Jamaludin Mat, Aspalela Abdullah, Sofia Ibrahim, Maimunah Ahmad dan Datuk M Daud Kilau. Selain malam pra pelancaran, beberapa aktiviti lain yang dirancang menjelang festival itu termasuklah majlis berbuka puasa, rumah terbuka Aidilfitri, siri jelajah promosi, karnival "walkathon", pertandingan golf amal, majlis makan malam dan malam penghargaan sekretariat dan penaja FFM24. Sehingga 25 Isnin lalu, pihak sekretariat telah menerima 28 buah filem yang akan bertanding dalam festival kali ini iaitu kurang satu filem berbanding 29 penyertaan pada tahun lalu. Daripada jumlah 28 filem yang diterima, pihak Metrowelth mendahului senarai apabila mencalonkan lima buah filem dalam FFM24. Kemuncak FFM24 yang akan berlangsung pada 19 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang akan disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105). Berikut ini senarai pencalonan yang diterima untuk FFM24 sehingga 25 Julai lalu. Astro Show/Double Vision 1. Sini Ada Hantu Skop Production 1. Khurafat 2. KL Gangster MDAG Marketing 1. Libas Metrowelth 1. Kembar Siang 2. Kongsi 3. 321 Cinta 4. Sekali Lagi 5. Flat 3A KRU Studios 1. Hikayat Merong Mahawangsa 2. Karak Lineclear Motion Picture 1. Ratu The Movie 2. Raya Tak Jadi Tayangan Unggul 1. Cun 2. Tolong Awek Aku Pontianak Tayangan Unggul/Hanmania 1. Seru Cineworks 1. Dilarang Masuk Excellent Picture 1. Senjakala Primeworks Studio 1. Penunggu Istana 2. Nur Kasih The Movie 3. Klip X 3GP Galaksi Seni 1. Momok Jangan Panggil Aku White Merpati Ent. 1. Rasuk Cinematic Picture 1. Karipap-Karipap Cinta Empat Semudra Plantation 1. Al-Hijab Genius Parade 1. Sumpahan Puaka Artistik Picture 1. Toyol Nakal Pengedaran J.A.S 1. ...Dalam Botol | ||
| Astro Sumbang RM177,222 Kepada Rumah Anak Yatim Hulu Langat Posted: 26 Jul 2011 07:36 PM PDT Majlis Penyampaian cek kepada wakil Rumah Anak Yatim Madrasah Al-TaqwaKUALA LUMPUR: Stesen televisyen Astro menerusi program realiti popular Akademi Fantasia Musim 9 (AF9) mengumpul wang tunai berjumlah RM177,222 untuk disalurkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh 21 Mei lalu. Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, pihaknya terpanggil untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada mangsa-mangsa berkenaan bagi mengurangkan beban mereka. "Astro menerusi program AF9 telah pun melahirkan hasrat untuk memberikan sumbangan yang diharapkan dapat meringankan beban mangsa dan keluarga yang terlibat di atas kejadian yang menimpa. "Kami berharap mangsa yang terlibat akan terus tabah mengharungi dugaan ini dan semoga dengan sumbangan ini dapat membakar semangat mereka untuk meneruskan kehidupan kelak," ujarnya ketika ditemui pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Anak Yatim, di sini, Selasa. Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Presiden Bahagian Tanggungjawab Sosial Sosial Korporat Maxis, Salmah Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Data Lanjutan Celcom Axiata Berhad, Afizulazha Abdullah dan Ketua Bahagian Komunikasi DiGi, Joachim Rajaram. Khairul Anwar Salleh Jumlah terkumpul ini merupakan kerjasama dan sumbangan bersama pihak AF9 dengan syarikat telekomunikasi Maxis, Celcom dan Digi yang telah menyumbangkan keseluruhan daripada kutipan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada minggu ketujuh program realiti nyanyian popular tersebut bersiaran. Sumbangan tersebut diterima oleh Yang Dipertua Persatuan Anak Yatim Malaysia, Dr Idris Musa sebagai wakil rumah anak yatim tersebut. | ||
| Erul Tiru Cara Bintang Korea Untuk Hargai Peminat Posted: 26 Jul 2011 07:35 PM PDT ![]() KUALA LUMPUR: Bekas peserta Akademi Fantasia ke 9 (AF9) Erul atau nama sebenar Hairul Najmuddin Abu Samah mengakui sentiasa mengikuti perkembangan muzik negara Korea yang popular dengan K-POP bagi menjadikan dirinya seiring dengan fenomena tersebut. Tambah Erul, mengikuti perkembangan daripada pelbagai aspek termasuklah bagaimana mereka menghargai peminat. "Saya minat muzik K-POP sejak sekolah lagi, setiap lagu mereka saya akan cari makna lirik-liriknya bagi menghayati lagu tersebut. "Malah selepas bergelar artis ini, saya cuba ikut cara artis-artis Korea menghargai peminat mereka iaitu dengan meletakan barang-barang pemberian peminat di satu tempat dalam bilik mereka," katanya yang kini mempunyai Kelab Peminat Sarang He Rul yang baru sahaja di lancarkan pada 9 Julai lalu. Tambah Erul, dia kini dalam proses belajar secara tidak formal untuk menguasai bahasa Korea daripada seorang rakan yang berasal dari negara tersebut. "Saya banyak belajar sendiri bahasa Korea tetapi tidak pandai untuk bercakap dengan satu ayat, jadi saya belajar dengan seorang kawan yang berasal dari Korea, dia berniaga di sebelah butik pakaian saya di Ampang," katanya. Dalam pada itu, Erul juga mengakui tidak pernah terlepas menyaksikan persembahan artis Korea di Malaysia. "Saya bukan minat K-POP sahaja tetapi juga semua muzik dan artis Korea termasuk drama mereka. "Jika saya bersedih saya selalu dengar lagu-lagu Korea kerana bagi saya bahasa mereka sangat menyentuh hati," jelasnya. Ditanya tentang perkembangan kariernya, dia yang baru sahaja muncul dengan "single" berjudul Legasi Cleopatra dan akan keluar dengan "single" kedua tidak lama lagi. "Saya kini sibuk dengan pelbagai program Hari Raya dan dalam proses menyiapkan "single" kedua yang akan muncul tidak lama lagi," katanya. | ||
| Amy Winehouse Dikebumikan Secara Rahsia Posted: 26 Jul 2011 07:34 PM PDT Peminat yang memberi penghormatan terakhir buat penyanyi Amy Winehouse.LONDON: Salah seorang ahli keluarga mendiang Amy Winehouse memberitahu mayat mendiang akan dikebumikan dalam sebuah upacara peribadi. Seperti dipetik portal Femalefirst, penyanyi berusia 27 tahun yang ditemui mati di rumahnya di London Utara pada Sabtu lalu itu akan disemadikan dalam sebuah upacara tertutup khusus untuk keluarga terdekat sahaja. Bagaimanapun, sumber tersebut merahsiakan waktu dan lokasi pengebumian yang akan dilakukan. Mayat Amy telah dibedah siasat di St Pancras Koroner dan sijil kematian sementara telah dikeluarkan bagi memudahkan pengurusan pengebumian dilakukan oleh keluarga mendiang. Sehingga kini polis masih lagi membuat pemeriksaan dan kajian terhadap punca kematian Amy sehingga 26 Oktober ini. Dalam pada itu, penjualan album mendiang berjudul "Black To Black Amy Winehouse" laris 37 kali ganda berbanding sebelum kematiannya. Penerima penghargaan Anugerah Grammy itu telah meraih kedudukan pertama di iTunes seluruh dunia setelah berita kematiannya tersebar. Sementara itu, syarikat perisian komputer Microsoft yang dikatakan telah mengambil kesempatan dengan kematian penyanyi itu apabila menjual album tersebut di Zune, laman web milik syarikat berkenaan telah meminta maaf secara terbuka di laman Twitter. | ||
| Cincin Perkahwinan Robbie William Hilang Posted: 26 Jul 2011 07:33 PM PDT ![]() BUKANNYA tidak menghargai saat-saat indah pernikahannya bersama Ayda Field, tetapi penyanyi Robbie William terlalu cuai sehingga cincin perkahwinannya hilang tanpa dia sedar. Robbie telah melangsungkan perkahwinannya pada Ogos tahun lalu di rumah mereka di Los Angeles dan isterinya juga terkejut apabila mendapat tahu tentang kehilangan cincin tersebut. Bagaimanapun, Robbie sudah merancang untuk menggantikan cincin itu dan ia bukanlah sebentuk cincin yang baru sebaliknya dia ingin melukis tatu huruf 'A' pada jarinya itu. "Saya telah menghilangkan cincin perkahwinan kami dan sebagai ganti, tatu huruf A (Ayda) mungkin sesuai di jari manisku. "Sekurang-kurangnya tatu tersebut tidak akan hilang melainkan saya terkena cedera parah," seloroh Robbie menerusi laman blognya. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:31 PM PDT PEMANIS... Sara, Beto Kusyairi dan Yasmin Hani pada preview drama wasiat dan Hantu Motel, baru-baru ini. SEKALI pandang wajah�nya seolah-olah dikenali ramai sebagai pelakon. Memiliki wajah seperti gadis naif, nama pelakon Sara Ali semakin menjadi bualan selepas penampilan di layar perak. Berbanding nasib pelakon baru lain, Sara dianggap bertuah kerana perjalanan seni dibina bermula di skrin lebar sebelum terjun ke TV. Penampilan awal menerusi filem Nur Kasih The Movie arahan Kabir Bhatia ditayang–kan pada 19 Mei lalu antara lakonan meninggalkan kesan pada penonton.
| ||
| Pelajar hilang 4 hari ditemui mati di Pattaya Posted: 26 Jul 2011 07:26 PM PDT SYAFIQ...terjatuh dari kondominum KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun dan dilaporkan hilang oleh keluarganya selama empat hari akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya beribu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang. Muhammad Syafiq Abu Ani, 25, dari Batu Pahat, Johor ditemui mati akibat terjatuh dari sebuah kondominum di Pattaya, Thailand, 23 Julai lalu.
Butiran tiket menunjukkan mangsa sepatutnya kembali ke Malaysia sehari sebelum penemuan mayatnya.
Berdasarkan laporan itu, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai membunuh diri namun siasatan lanjut akan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok. Sementara itu jurucakap Wisma Putra mengesahkan kematian mangsa. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:23 PM PDT Petr Cech KETIKA Chelsea tiba di Hong Kong kelmarin, Petr Cech mendakwa pengurus kelab sebelum ini dipecat kerana gagal mencapai tahap Jose Mourinho. Bayangan 'The Special One' itu masih menghantui dan Cech menganggap Mourinho sebagai penanda aras bagi Chelsea dan sehingga pencapaian itu diulangi, sesiapa saja yang menggalas tugasnya perlu bergelut untuk mengekalkan jawatan itu untuk jangka panjang.
Selepas Mourinho, Chelsea dikendalikan Avram Grant, Luiz Felipe Scolari, Guus Hiddink sebagai pemangku dan dua tahun bersama Carlo Ancelotti, penilaian Cech dilihat agak kasar terhadap jurulatih Itali yang berjaya membawa dua gelaran sebelum Villas-Boas. Kegagalan merebut sebarang trofi musim lalu, bermakna Ancelotti terpaksa disingkirkan dan Cech bersetuju dengan keadaan di dalam kem Chelsea di mana bekas pengurus itu gagal memperbaiki keadaan secepat mungkin apabila kempen menjadi begitu sukar musim lalu. "Anda terpaksa menukar pengurus apabila anda melihat tiada jalan lain," kata Cech. "Saya fikir itulah falsafah kelab dan berharap ada jalan buat Andre menyambung tugasnya untuk beberapa tahun akan datang. "Tujuh pengurus sudah dilantik sebagai pengurus Chelsea sejak saya menyertai kelab ini dan malangnya, selain Jose yang berada di sini selama tiga setengah tahun, tiada siapa yang mampu bertahan lama. "Anda akan lihat, jika kami mempunyai musim yang bagus, kita akan membina asas yang kukuh untuk pengurus kekal di sini untuk beberapa tahun lagi," katanya. Bagaimanapun, baik Cech mahupun Villas-Boas sedar kejayaan itu perlu hadir secepat mungkin. "Kadangkala anda boleh katakan ia satu musim yang baik dan anda menamatkan musim tanpa sebarang trofi tetapi sukar untuk membayangkan berkata sedemikian dalam kelab ini," kata Cech. Mourinho sendiri pun masih belum menjuarai Liga Juara-Juara dan perkara itu masih menjadi sasaran utamanya. Cech kini berusia 29 tahun dan menggantikan Carlo Cudicini sebagai penjaga gol utama Chelsea di bawah kendalian Mourinho pada awal musim 2004 dan biarpun pemain antarabangsa Republik Czech dibeli pada harga �7 juta (RM33.9 juta) dari kelab Perancis, Rennes, ketika di bawah kendalian Claudio Ranieri tetapi tidak berpeluang beraksi di bawah pengurus Itali itu. Villas-Boas tiba pada masa sama iaitu Julai tahun ini, sebagai kakitangan sokongan Mourinho yang bertindak meninjau skuad lawan dan kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga pada musim pertama. "Sejak Andre berada di sini (sebelum ini) bekerja bersama Jose banyak perkara yang berubah," kata Cech. "Kelab ini sudah berubah. Beliau sudah berubah. Daripada seorang yang bertugas di bahagian teknikal kepada pengurus dan saya fikir setakat ini segala-galanya berjalan lancar dan saya harap ia dapat diteruskan," katanya. Pandangan Cech boleh diterima. Bersama-sama John Terry, Frank Lampard dan Didier Drogba, dia diang�gap sebagai empat pemain utama dari segi karektor dan pandangan dalam skuad Chelsea. Pandangannya mendapat perhatian ramai dan ia termasuk Roman Abramovich, yang pada ketikanya turut menerima pandangannya. Cech adalah sebahagian daripada skuad yang me�nyertai jelajah pra musim di Asia yang sebelum ini bertandang di Malaysia dan Thailand sebelum tiba di Hong Kong di mana mereka akan bertanding dengan Aston Villa, Blackburn Rovers dan pasukan tempatan Kitchee untuk Trofi Liga Perdana Asia. Kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysia diikuti 4-0 ke atas Pasukan Pilihan Thailand di mana Cech diturunkan buat pertama kali, menyifatkan Chelsea tidak cukup menyakinkan. Kepincangan pemain baru agak membimbang�kan segelintir pihak dan wujud perubahan formasi 4-3-3 yang diterapkan Mourinho yang cuba diikuti pemain lain kepada gaya yang lebih menyerang. Ia gaya yang cukup diskuai Villas-Boas. "Dia mempunyai idea sendiri bagaimana kami harus bermain," kata Cech. "Kami mempunyai per�tahanan yangh mantap dan setakat ini kami tidak bolos sebarang gol dalam perlawanan pra musim dan ini satu petanda yang bagus. Apabila anda bekerja keras, tentunya menyeronokkan jika menang perlawanan tanpa bolos dan ia memberikan keyakinan," katanya. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:20 PM PDT CURAH SAYANG...tiada apa lagi yang mampu dilakukan Norzielawati selain daripada memberikan sepenuh kasih sayang kepada ketiga-tiga anaknya. BAHAGIA...(dari kiri) Nurmaya Diyana, Muhamad Danial dan Zurainis (kanan) sentiasa riang dan ceria apabila bersama ibu tercinta. APABILA anak pertama yang dilahirkan 16 tahun lalu disahkan menghidap sindrom Brahme de Lange yang menyebabkan pertumbuhan Nurmaya Diyana Zamaris lambat berbanding kanak-kanak normal lain, Norzielawati Abd Kadir, 37, tabah menghadapinya. Dia reda dan menerimanya dengan hati terbuka. Fikirnya pasrah, mungkin Tuhan mahu menguji ketabahan serta keimanan hamba-Nya. Beberapa bulan selepas melahirkan anak pertama dia diuji lagi, kandungan kedua benar-benar meresahkan jiwanya.
| ||
| Jawablah!: Jangan cetuskan kontroversi Posted: 26 Jul 2011 07:18 PM PDT Puncanya, babak anak perempuan membunuh bapa sendiri yang dipaparkan dalam klip itu disifatkan sebagai melampau dan kurang sesuai sebagai tontonan masyarakat. Sambil menegaskan bahawa apa yang dilakukannya mempunyai maksud mendalam, Faizal juga meminta penonton supaya membuka minda mereka untuk melihat video muzik itu lebih jauh dan bukan sekadar pencetus kontroversi. Hip: Ramai yang mendakwa klip video Karma mempunyai membawa mesej kurang baik dan mengelirukan penonton. Komen Faizal. Faizal: Idea menghasilkan video muzik Karma ini muncul selepas berbincang dengan Audi Mok. Kami bersetuju dengan konsepnya kerana ia jelas memaparkan makna karma itu sendiri. Memang ramai menghubungi saya mengatakan video muzik itu mengelirukan kerana ia bukan menjelaskan mengenai karma tetapi lebih kepada dendam. Bagi saya, apa yang disiarkan menerusi klip video itu tiada apa yang mengelirukan. Malah mesej disampaikan pun jelas iaitu buat jahat di balas jahat. Di penghujung cerita, saya turut paparkan babak anak yang membunuh bapa kandungnya itu dibawa ke muka pengadilan dan bukannya dia terlepas begitu saja. Apa yang saya maksudkan mengenai karma adalah hukuman Tuhan ke atas hambaNya yang melakukan dosa besar. Memang benar, karma adalah hukuman Tuhan kepada manusia, bukannya manusia kepada manusia. Namun harus diingat, hukuman yang diterima oleh pelakon berkenaan dalam video muzik itu datang daripada Tuhan. Cuma Tuhan menyalurkan hukumannya itu menerusi manusia iaitu watak gadis yang dilakonkan Iqa Mentor. Hip: Apakah muzik video ini sengaja dibuat begitu supaya mencetuskan kontroversi sekali gus popular sekelip mata? Faizal: Saya tidak berniat begitu dan sewaktu pembikinannya, saya tidak menyangka video muzik ini menerima maklum balas negatif dan mencetuskan kontroversi. Bagi saya, setiap kali menghasilkan video muzik, saya akan pastikan ia bukan dibuat ala kadar dan tiada jalan cerita. Disebabkan itulah muzik video itu digarap sedemikian rupa. Isu sebenarnya adalah sejauh manakah keterbukaan penonton dalam memahami video ini. Mereka sepatutnya membuka minda supaya melihat video muzik ini dengan lebih meluas. Sistem bunyi APM teruk Hip: Adakah komen negatif seperti ini akan menyekat kreativiti Faizal berkarya pada masa akan datang? Faizal: Saya berterima kasih kerana membangkitkan isu ini. Sekurang-kurangnya saya dapat memberi penjelasan kepada peminat yang keliru dengan video muzik itu. Ia tidak akan menghalang saya menghasilkan video muzik berkualiti dan ada mesej kuat. Kalau anda perasan, saya jarang menghasilkan lagu cinta yang ringan serta video muzik menggambarkan pasangan kekasih berpegangan tangan. Saya tidak akan buat sebegitu. Muzik saya diibaratkan seperti mesej dan sudah tentu ia perlu disertakan dengan video yang mantap untuk menguatkan mesej itu. Hip: Ketika Anugerah Planet Muzik 2011 di Singapura pada 15 Julai lalu, Faizal dilihat tidak bersedia ketika mahu mengambil hadiah. Nyanyian Faizal juga dikatakan sumbang terutama ketika menyampaikan lagu Selamat Malam. Boleh jelaskan? Faizal: Terus terang saya katakan, itu semua salah produksi. Bayangkan tiada siapa yang memberi panduan kepada saya walaupun pengurus pentas mengenai perjalanan acara itu. Bayangkan ketika nama saya diumumkan, saya memang tak perasan sehinggalah terdengar lagu saya dimainkan di atas pentas untuk masa yang lama. Rupa-rupanya nama saya diumumkan sebagai pemenang. Perkara itu berlaku kerana kedudukan bilik menunggu dan pentas utama cukup jauh sehingga saya terpaksa berlari untuk naik ke pentas. Saya bertanya kepada Linda Onn yang menjadi penyampai waktu itu berkenaan kategori apa yang saya menang kerana saya sendiri tidak pasti disebabkan saya dicalonkan untuk tiga kategori. Mengenai nyanyian sumbang, saya akui perkara itu. Tapi itu semua disebabkan sistem bunyi yang teruk. Monitor di atas pentas tidak berfungsi dengan baik, begitu juga monitor di telinga saya. Sudahlah waktu latihan, apa yang saya mahukan, tidak dipenuhi. Saya akui, persembahan malam itu adalah yang paling hancur dalam sejarah kerjaya seni saya. Hip: Masih berminat jika diundang untuk menjayakan persembahan malam kemuncak APM pada masa akan datang? Faizal: Jika mereka masih tidak berubah dan tidak profesional dalam penganjuran, saya rasa ini adalah kali terakhir saya menyertai APM. Cukuplah dengan pengalaman yang saya tempuhi sebelum ini. Saya tak mahu kejadian yang sama berulang kembali kerana tak mahu nama dan karier saya terjejas disebabkan sikap tidak profesional orang lain. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:17 PM PDT A Ali bersama sebahagian kumpulan nasyid sekolah sekitar Johor Bahru pada pelancaran album Dia Yang Teratas Segalanya. Album yang menghimpunkan 11 lagu nasyid cukup syahdu dan alunan muzik yang gemersik, yang bisa meruntun jiwa pendengar yang inginkan ketenangan rohani. Antara lagu yang berjaya menyentuh jiwa pendengar adalah Wawasan Ummah nyanyian Soutul Haq daripada Sekolah Kebangsaan Telok Mas Melaka. Lagu itu juga diiktiraf sebagai lirik dan lagu terbaik peringkat kebangsaan pada tahun 2008. Garapan lirik yang indah disulami dengan vokal syahdu, kumpulan Soutul Haq pasti menambat hati pendengar setia nasyid. Selain itu, alunan merdu suara anak gadis A Ali, Nuazira A Ali yang menyanyikan lagu Keranamu Kekasih turut memperlihatkan album ini cukup istimewa. Percubaan pertama A Ali dalam mengangkat muzik nasyid pada peringkat sekolah dianggap berjaya kerana munculnya bintang baru penyanyi bergenre nasyid sekali gus menyemarakkan lagi industri muzik nasyid yang dilihat semakin suram. Kumpulan nasyid yang turut terbabit dalam album ini ialah kumpulan Dzil Afnan daripada SMK Agama Bandar Penawar Kota Tinggi (Bahana Cinta), Imtiyaaz - SMK Kelapa Sawit Kulai, Johor (Saatnya Akan Tiba), Shoutul Iman - SMK Sultan Abdul Jalil Kluang (Pesanan Buat Remaja), Najhatul Hayat - SMA An-Nur Benut Pontian (Ukhwah Mahabbah), Shoutul Abrar - SMK Tun Ismail, Parit Raja (Memantap Ukhwah Memperkasa Ummah, Al-Ikhwan - SM Arab Darul Falah (An-Nur), Al-Munawwarah - SMK Tun Aminah Batu Pahat (Cahaya) dan Wardatuddiniyyah - SMKA Sharifah Rodziah Telok Mas ( Kembara Cinta Mu Melangkah. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:15 PM PDT Alleycats pada sidang akhbar di Laman Santai, Istana Budaya. BIARPUN ramai artis dan kumpulan baru tumbuh bak cendawan selepas hujan, namun ia tidak sekali-kali menjejaskan nama kumpulan legenda, Alleycats. Kumpulan yang sudah memasuki usia empat dekad itu masih lebat dihujani pelbagai tawaran mengadakan persembahan. Malah ketika ditemui di Laman Santai, anjuran Istana Budaya (IB) Sabtu lalu, mereka tidak dapat duduk lama kerana perlu bergegas memenuhi persembahan di Kelab Taman Perdana Diraja di Taman Tasik Perdana yang akan bermula jam 9.30 malam. Mereka yang tiba di IB jam 8.30 malam hanya dapat duduk seketika memenuhi sesi autograf bersama peminat yang datang menyaksikan pertandingan karaoke lagu-lagu kumpulan terbabit. "Alleycats memang bergantung kepada kerja menyanyi di kelab atau hotel. Sudah lebih setahun juga kami menyanyi di kelab Sparx. Sebelum ini pula kami diundang menjadi artis residen untuk hotel terkemuka. Itu sajalah caranya untuk kami memastikan Alleycats terus wujud. "Kami bersyukur sekalipun banyak kumpulan baru yang wujud, tetapi kami masih diberikan peluang untuk mengadakan persembahan termasuklah konsert kedua kami yang akan diadakan di IB pada September nanti. "Bagaimanapun konsert ini berbeza daripada persembahan pertama kami empat tahun lalu kerana ia lebih bercorak santai. Saya mahu peminat tidak terlalu terikat dengan protokol, sebaliknya saya mahu mereka datang untuk bergembira dan bersantai ketika menyaksikan persembahan kami nanti," katanya. Setakat ini kata David, mereka belum memulakan latihan, sebaliknya kesempatan menyanyi di kelab tempat mereka bekerja boleh dikira sebagai sesi pemanas badan buat mereka. Begitu juga mereka belum memikirkan jumlah lagu yang akan dinyanyikan pada konsert yang dipecahkan kepada tiga segmen itu. Bagaimanapun David berkata mereka mungkin mendendangkan seberapa banyak lagu yang boleh, daripada 30 album yang dimiliki kumpulan terbabit, sejak daripada album pertama diterbitkan pada 1976 berjudul Terima Kasih. Glen ganti Loga TIGA segmen yang akan dimuatkan pada konsert selama tiga hari dari 16 hingga 18 September ialah 1Malaysia, Tribute To Loga dan Sepanjang Zaman. David akan dibantu anggota baru mereka, Glenville Charles Salay atau Glen, yang menggantikan tempat Loga. Glen juga bukanlah insan asing buat kumpulan berkenaan, sebaliknya dia yang menyertai kumpulan itu sejak setahun setengah lalu ialah sepupu isteri mendiang Loga. Glen yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penyampai radio Time Highway Radio selama tiga tahun pada 1994, sebelum berhijrah ke Radio Redifussion atau kini dikenali sebagai Red FM, tidak mempunyai masalah untuk mendendangkan lagu kumpulan itu kerana dia juga antara peminat tegar Alleycats. "Bagi tahu saya siapa yang tidak minat kumpulan ini? Memang sejak dulu lagi saya meminati Alleycats, tetapi tidak sangka satu hari nanti saya akan menyertai mereka. Lagipun sebelum ini saya mempunyai kumpulan sendiri, tetapi selepas Loga meninggal dunia, mereka minta saya menyertai Alleycats. "Saya tidak menolak dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyanyikan lagu mereka. Bagaimanapun untuk konsert itu nanti, saya tetap memerlukan bantuan lirik di atas pentas kerana tidak semua lagu kumpulan ini mampu saya hafal," katanya jujur. Sementara itu, tambah David lagi, bagi memuaskan hati peminat, dia pasti akan menyanyikan lagu hit mereka agar peminat dapat pulang dengan kepuasan. Selain David dan Glen, Alleycats turut dianggotai Boy @ David Gabriel John (dram), Din @ Nasaruddin (gitar), Jimie Loh (bes) dan Mike Pravin (Keyboard). Pada konsert Sampaikan Salam Alleycats, penonton juga berpeluang melihat anak mendiang Loga yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru, Priyadashini, 24, mempamerkan kebolehannya menyanyi. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:12 PM PDT Projek perumahan Taman Desa Mesra yang terbengkalai lebih 20 tahun dijangka siap Ogos tahun depan. KUANTAN: Gembira bercampur sedih. Hanya itu yang mampu diluahkan pembeli rumah Taman Desa Mesra, Kampung Permatang Badak dekat ini, apabila projek yang terbengkalai lebih 20 tahun itu disambung semula pembinaan Jun lalu. Gembira kerana penantian sekian lama kira-kira 22 pembeli rumah dijangka berakhir apabila projek terbengkalai itu dijadualkan siap pada Ogos tahun depan. Rohani Ali, 56, balu kepada seorang pembeli rumah projek itu, Salleh Said yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu terkilan dan sedih kerana arwah suaminya tidak sempat untuk menduduki rumah baru. "Memang sedih kerana arwah sudah tiada tetapi pada masa sama tetap bersyukur kerana akhirnya saya diberitahu rumah dibeli akan siap tidak lama lagi. "Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan berterima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan projek yang terbengkalai," katanya. Ramli Bakar, 62, pula berkata beliau membeli rumah berkenaan pada 1985 ketika masih berkhidmat dengan FELDA. "Seperti saya, kebanyakan rakan yang membeli rumah ini sudah pencen kerana projek ini terbengkalai sejak 1985 tetapi diteruskan semula pada tahun 1997 dan terbengkalai buat kali kedua setahun kemudian," katanya. Seorang lagi pembeli, Amat Nooh Mohd Yaacob, 51, berkata beliau antara percaya dan tidak percaya apabila dimaklumkan projek itu akan diteruskan semula. "Saya beli rumah itu pada 1999, iaitu selepas projek itu 17 tahun itu terbengkalai dan selepas saya beli, ia terbengkalai lagi. "Saya hanya sempat membayar pendahuluan RM2,000 dan terpaksa membatalkan pinjaman kerana tidak lama selepas itu, projek itu terbengkalai lagi," katanya. Beliau bersyukur diberitahu ia akan diteruskan semula dan tawaran rumah itu pada harga asal. Bagaimanapun, katanya, beliau agak rungsing bagi memikirkan bagaimana mahu menjelaskan pinjaman perumahan kerana sudah mencecah usia 50 tahun. Sementara itu, tinjauan edisi Timur mendapati kerja pembinaan rancak dijalankan di Taman Desa Mesra. Papan tanda projek itu dilaksanakan Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan menunjukkan projek itu bermula pada 15 Jun lalu dan dijangka siap pada 15 Ogos tahun depan. | ||
| "APM2011 Majlis Anugerah Paling Teruk"- Faizal Tahir Posted: 26 Jul 2011 07:10 PM PDT
| ||
| Kaftan eksklusif Oasis Boutique Posted: 26 Jul 2011 07:08 PM PDT
APABILA menyebut tentang kaftan jangan jumudkan fikiran dengan membayangkan baju tidur kelawar sahaja. Ini kerana kaftan kini telah dimodenkan menerusi pelbagai potongan serta perincian yang bakal 'membuka' mata sang suami. Kini ia lebih istimewa sebagai persalinan eksklusif untuk majlis formal bagi wanita yang inginkan penampilan sopan dan anggun. Tidak kira sama ada wanita bertudung atau tidak, fesyen kaftan pasti memenuhi kriteria penampilan elegan lagi bergaya. Apatah lagi jika fabrik yang digunakan daripada jenis mewah dan berkualiti tinggi. Jika membeli sehelai kaftan dari Oasis Boutique bermakna hanya anda seorang sahaja yang mempunyai pakaian tersebut - eksklusif sememangnya impian setiap wanita. Justeru tidak hairan wanita yang mampu, sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata memastikan barangan miliknya tidak menyerupai yang dimiliki orang lain. Oasis Boutique diinspirasikan oleh Datin Nik Sarina Luqman Hashim dan telah direalisasikan bersama dua lagi sahabatnya, Datin Zunita Mohamed dan Nor Zariza Zakaria selaku pengurus operasi. Koleksi butik tersebut julung kali menemui penggemar fesyen tempatan dalam peragaan yang berlangsung di Oasis Boutique di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) baru-baru ini. Ia serentak dengan perasmian butik yang disempurnakan oleh Datuk Seri Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Tengku Datuk Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah; Pengarah Urusan Atikah Songket, Noriah Ashari dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof. Oasis Boutique ditubuhkan pada Mac tahun ini dan sudah tentu kerana Nik Sarina sendiri seorang yang mencintai kecantikan dan fesyen. Katanya, daripada minat timbul idea untuk menubuhkan butik yang bukan saja eksklusif bahkan mampu dibeli. Berdasarkan pengalaman sendiri, beliau berpendapat terlalu banyak pakaian berjenama yang begitu mahal. Justeru apabila memiliki butik sendiri, beliau boleh menjual pakaian dengan kualiti yang sama pada harga yang lebih murah. Malah pemilihan fabrik yang dilakukannya juga lebih teliti dan berkualiti. Antara fabrik yang menjadi pilihan Oasis Boutique untuk kaftan seperti lycra, jersey, sutera Thai, sutera dan syifon. Manakala perincian manik dan labuci yang digunakan untuk menaikkan seri kaftan diimport dari Thailand dan beberapa Negara Asia lain. Zunita yang merupakan pereka fesyen yang juga pemilik bersama berkata, kaftan Oasis dizahirkan mengikut ilhamnya sendiri. "Saya senang menghasilkan potongan kaftan yang boleh diperincikan dengan manik dan labuci mengikuti ilham saya sendiri. "Ia seperti satu bakat yang dianugerahkan Ilahi apabila jari jemari saya senang untuk menghasilkan perincian manik yang sesuai dengan fabrik kaftan tersebut," katanya Menceritakan tentang idea menghasilkan jahitan manik, Zunita berkata, sebelum ini beliau menghasilkan perincian manik pada pakaiannya sendiri. "Bila saya pakai ramai kawan-kawan berkenan dan dari situ saya fikir apa salahnya saya menghasilkan sesuatu yang boleh dipakai oleh wanita lain. "Pakaian kaftan ini sebenarnya ideal untuk Muslimah kerana potongannya yang longgar dan tidak begitu menampakkan bentuk badan. "Potongan kaftan di Oasis Boutique sesuai untuk semua saiz badan. "Selain kaftan berpotongan labuh untuk yang tinggi lampai kami juga menawarkan kaftan berpotongan blaus yang boleh digayakan bersama seluar panjang," katanya. Kaftan yang ditawarkan di Oasis Boutique amat sesuai dengan cuaca di negara ini di mana ia tidak panas dan selesa sama ada dikenakan ketika menghadiri majlis eksklusif atau sebaliknya. "Ia juga satu pilihan yang amat ideal untuk pagi raya tahun ini," tambah Nik Sarina. Oasis Boutique terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Bagi wanita yang inginkan khidmat rundingan imej turut disediakan di sana. Untuk maklumat lanjut tentang koleksi Oasis Boutique boleh layari laman web www.oasisboutique.com. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 07:07 PM PDT
YU Lin memang tidak perlu susah payah memikirkan apa perniagaan yang sesuai dengan dirinya kerana dua generasi dalam keluarganya terlibat dalam dunia sulam dan jahitan kebaya Nyonya. Tugas Yu Lin, dia hanya perlu memantapkan lagi 'asas' yang telah dimulakan oleh neneknya sejak lebih 50 tahun dahulu. Perniagaan keluarga yang bermula di sebuah perkampungan kecil di Alor Setar, Kedah itu, memang cukup membuktikan bahawa semangat 1 Malaysia telah lama wujud. "Asalnya, nenek saya membuka sebuah kelas sulaman kebaya nyonya. Kelasnya disertai ramai penduduk kampung terutamanya wanita yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India," ujar Yu Lin yang ditemui ketika majlis pertunjukkan fesyen The Blue Kebaya bertempat di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Untuk memupuk minat bukanlah satu isu bagi Yu Lin kerana darah menjahit memang diperturunkan daripada nenek, kepada ibunya, Lean Ong dan seterusnya kepada dirinya. Justeru seiring dengan zaman, Yu Lin melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen semata-mata untuk mendapatkan tauliah dalam industri tersebut. Label Ang Eng, yang dimulakan oleh nenek Yu Lin terus menjadi jenama yang kini bukan saja dikenali di bandar Alor Setar, malah ke seluruh dunia. Kini Yu Lin dan dua generasi sebelumnya memang boleh berbangga, kerana Ang Eng mempunyai butik eksklusif sendiri di pusat membeli belah Suria KLCC dan juga di The Great Eastern Mall. Ketika ditanya apakah kepuasan dalam perniagaan tradisional itu, Yu Lin berkata, ia terletak kepada nilai sentimental kebaya Nyonya itu sendiri. "Ang Eng menghasilkan kebaya Nyonya yang tidak akan sesekali mengabaikan ciri keaslian menerusi potongan, sulaman dan padanan sarungnya. "Inilah yang mendokong kekuatan jenama ini hingga ke hari ini. Ciri klasik kebaya Nyonya Ang Eng boleh dilihat dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. "Paling istimewa ialah sulaman kebaya Ang Eng yang sentiasa kreatif. Sulaman memang satu elemen yang sangat penting kerana ia akan memberikan refleksi sebenar pada kain sarung sekali gus membuatkan penampilan keseluruhan kebaya menyerlah," jelas Yu Lin. Dia turut menegaskan bahawa Ang Eng tidak akan sesekali menjejaskan keaslian kebayanya kerana ia kini menjadi pilihan bukan sahaja rakyat tempatan malah pelancong asing. "Atas dasar itulah saya tidak mahu mengubahsuai keaslian dari segi potongan dan sulaman kerana ia sememangnya indah serta mempunyai keistimewaan tersendiri. "Keindahan seninya kini dihargai oleh pelancong asing yang membeli dan memakainya ketika majlis rasmi di negara mereka. Fakta itu memang suatu yang membanggakan. "Seperkara lagi tentang kebaya ialah ia pakaian yang amat menyerlahkan ciri kewanitaan seseorang. "Wanita yang menggayakannya bukan saja tampak anggun, malah melambangkan kesopanan dan kekuatan budaya tempat asal mereka tidak mengira usia," ujar Yu Lin yang pernah terlibat dalam beberapa pertunjukkan fesyen sebelum ini. Sementera itu peragaan The Blue Kebaya Showcase anjuran bersama The Weld jenama barangan kemas ternama, Rafflesia, berjaya menghimpunkan 15 pereka tempatan. Kesemua mereka tampil bersama karya kebaya biru masing-masing yang diperagakan oleh para selebriti termasuk pelakon dan model terkenal, Nasha Aziz, Fauziah Ghous, Siti Saleha dan ramai lagi. | ||
| UTP johan debat perpaduan ala Parlimen IPT Posted: 26 Jul 2011 07:07 PM PDT
PARIT 26 Julai - Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2011 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini hari ini. Kemenangan sulung UTP yang bertindak sebagai pihak kerajaan dalam pertandingan debat ala Parlimen itu diraih selepas menundukkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku pihak pembangkang. Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Junnyaruin Barat, Muhammad Imran Muiz Abidin serta Muhammad Syafiq Samsuddin membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, cenderahati beserta sijil penyertaan. Junnyaruin berkata, mereka menjalani latihan intensif debat selama tiga minggu sebelum bermulanya pertandingan di bawah bimbingan seorang pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Shahrina Md. Nordin. "Kumpulan debat ini juga pernah memenangi Pertandingan Debat Alam Sekitar 2010 dan Pertandingan Debat Kemerdekaan 2008/2009 di peringkat IPT. "Kami di sini mempunyai Kelab Debat UTP yang melatih kumpulan pendebat dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, malah kelab kami adalah yang terbaik di UTP untuk tiga tahun berturut-turut," kata ketua pasukan UTP itu kepada pemberita selepas Pertandingan Debat Perpaduan Antara IPT 2011 di Seri Iskandar di sini, hari ini. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim. Sebanyak 34 pasukan debat daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk institut pendidikan guru (IPG) menyertai pertandingan tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula 22 Julai lalu. Sementara itu, pelajar tahun tiga jurusan Kimia Gunaan UiTM, Mastura Arbin pula dipilih sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta cenderahati dan sijil penyertaan. Mastura yang telah menyertainya buat kali ketiga sebelum ini pernah menjuarai pertandingan sama pada tahun 2009. "Pertandingan ini telah bermula sejak 2005 dan UiTM telah muncul sebagai juara terbanyak iaitu sebanyak empat kali sebelum ini," katanya. | ||
| Industri dipelawa sertai MyPhD tingkat teknologi Posted: 26 Jul 2011 07:00 PM PDT
PUTRAJAYA 25 Julai - Syarikat kejuruteraan tempatan digesa menyambar peluang menyertai program ijazah Kedoktoran Falsafah (MyPhD) yang ditawarkan oleh kerajaan. Ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi industri berikutan kurangnya penyelidikan terhadap teknologi baru. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat tersebut akan tercapai jika pihak industri bekerjasama dengan universiti untuk menjalankan penyelidikan di peringkat tinggi dengan menggunapakai aplikasi kejuruteraan. Menurutnya, ia sejajar dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan pekerja yang mempunyai kemahiran khusus untuk keperluan industri melalui kerjasama erat kedua-dua pihak. "Apabila isu dan masalah ini dapat diselesaikan, ia akan menyumbang kepada produktiviti dan membolehkan syarikat tersebut bersaing dengan syarikat lain melalui peningkatan kepakaran dan tahap kecekapan modal insan yang ada. "Ia sekali gus dapat menarik minat syarikat luar untuk melabur di negara ini kerana keupayaan kita dalam industri berasaskan teknologi berat yang semakin relevan dalam menjadi negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi berbanding bersaing dalam industri biasa," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Bagi Program Doktor Kejuruteraan Antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan pihak industri di sini, hari ini. Turut hadir Naib Canselor UTEM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Pengarah Kanan Infineon Technologies (Kulim). Pada majlis itu sebanyak enam syarikat ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Kejuruteraan di UTeM. Enam syarikat tersebut Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd., Infineon Technologies (Kulim), Infineon Technologies (Melaka), Solid Precision Engineering, National Semiconductor (Melaka) dan Rubber Leisure Product Sdn. Bhd. Mohamed Khaled berkata, melalui program itu juga banyak kemudahan disediakan kerajaan kepada pihak industri seperti penyediaan pinjaman pengajian dan tempat di universiti tempatan. "Pekerja industri dapat mengikuti pengajian tanpa perlu ke universiti untuk menghadiri kelas di samping yuran pengajian sebanyak RM50,000 maksimum yang dibayar oleh kerajaan kepada pihak universiti. "Pekerja itu juga akan memperoleh pendapatan seperti biasa kerana mereka akan menyambung pengajian di industri berkenaan tanpa keluar ke tempat lain," katanya. Menjelaskan mengenai perkembangan program MyBrain 15, beliau berkata, sebanyak 672 tempat sudah diisi dalam program MyPhD. Ia melebihi tawaran asal 650 tempat manakala program MyMaster hanya 2,802 tempat yang diisi berbanding 8,000 tempat yang ditawarkan. | ||
| Peluru berpandu di kapal peronda TLDM Posted: 26 Jul 2011 06:59 PM PDT
KUALA LUMPUR 26 Julai - 'Taring' Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka bertambah tajam mulai tahun depan, kerana dipercayai semua enam kapal ronda generasi baru (NGPV) dari jenis KD Kedah, akan dipasang dengan peluru berpandu anti kapal permukaan. Sumber Pertahanan memberitahu Utusan Malaysia, bajet untuk pembelian peluru berpandu itu akan dimasukkan dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi Kementerian Pertahanan, yang akan dibentang kepada Kabinet Oktober ini. Difahamkan, dua jenis berpandu anti kapal sedang dipertimbangkan untuk dipasang iaitu jenis Exocet 40 Blok II, yang mampu memusnahkan kapal musuh sehingga jarak 70 kilometer (km) dan Naval Strike Missile (NSM), yang mempunyai jarak membunuh sejauh 180 km. Namun, dipercayai TLDM telah memilih peluru berpandu NSM untuk dipasang pada kapal tersebut dan jika diluluskan oleh kerajaan, setiap satu kapal KD Kedah akan dilengkapi dengan lapan peluru berpandu anti kapal dari jenis itu, kerana saiznya lebih kecil berbanding Exocet. "Kita memilih untuk memasang semua kapal ini dengan peluru berpandu anti kapal permukaan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan peluru berpandu pertahanan udara. Jika kita memilih untuk memasang kedua-dua jenis persenjataan ini, kosnya terlalu tinggi. "Sebelum ini semua kapal dari jenis KD Kedah walaupun canggih tetapi hanya dilengkapi dengan meriam utama dan sekunder sahaja kerana konsep pembinaannya adalah 'fitted for but not with'. Jadi, kita fikir sudah sampai masanya kapal ini dilengkapkan dengan peluru berpandu. "Keputusan untuk memasang peluru berpandu ini selaras dengan kehendak TLDM. Memandangkan semua kapal ini dipertanggungjawab untuk meronda perairan negara maka, menjadi keperluan untuk aset ini dibekal dengan peluru berpandu," katanya. Kapal ronda dari kelas KD Kedah adalah lambang kepada usaha berdikari industri pertahanan Malaysia, yang dibina berasaskan kapal Meko A-100, hasil kerjasama antara syarikat pertahanan tempatan, Boustead Naval Shipyard dengan syarikat Jerman. Kapal moden tersebut dibina dengan mengaplikasikan konsep modular, menyebabkan ia boleh ditingkat upaya pada bila-bila masa tanpa perlu mengambil masa yang lama. | ||
| Posted: 26 Jul 2011 06:58 PM PDT
AURA dan pesona wanita tinggi lampai ini memang cukup kuat. Walaupun pelakon baru muncul silih berganti, tetapi tiada siapa yang mampu menafikan kuasa yang dimiliki oleh model dan aktres bernama komersial Nasha Aziz ini. Buktinya, pada majlis The Blue Kebaya Showcase anjuran The Weld dengan kerjasama Rafflesia yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini, kehadirannya memang cukup dinantikan. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, semua mata terus memandang kepada figura yang cukup unggul di pentas peragaan ini sehinggakan artis lain yang hadir bagaikan ditenggelamkan oleh karisma Nasha. Tampil anggun menyarungkan kebaya moden biru firus rekaan Iszal dari butik Citra ini, Nasha sememangnya menjadi perhatian pada petang itu. Seperti biasa, model dan aktres ternama ini menjadi tumpuan lensa kamera apabila jurufoto tidak putus-putus merakamkan wajah anggunnya dengan pelbagai gaya yang cukup menarik. Tidak menunggu lama, pihak media yang hadir dengan pantas membawa Nasha ke satu sudut untuk menemuramahnya. Maklumlah, bukan mudah hendak mendapatkan Nasha untuk mengetahui berita terbarunya melainkan hanya dalam acara seperti ini mahupun pelancaran drama atau filem yang ada melibatkan dirinya sahaja. Apatah lagi, wajahnya juga jarang ditonton di kaca televisyen mahupun di layar lebar sehingga penonton dan peminat setianya sendiri tertanya-tanya ke manakah hilangnya jelitawan pujaan ramai ini. Lalu, pada acara yang berlangsung di pusat membeli-belah The Weld, Kuala Lumpur merupakan peluang keemasan untuk bertanyakan perihal terbaru Nasha. Bukan hanya soal kerjaya tetapi juga cerita cintanya bersama Nur Iman Tang Abdullah yang pasti bukan lagi satu rahsia. Namun, mengenali Nasha, dia bukanlah seorang yang gemar menjaja cerita cinta tanpa sebarang sebab. Sambil memberikan justifikasi, jelas Nasha, dia tidak mahu dilabelkan sebagai artis yang hanya mahu menjual kisah peribadi semata-mata untuk tatapan umum. "Bukan saya lokek mahupun tidak selesa apabila mahu berkongsi soal cinta tetapi biarlah cerita itu ada hala tujunya. "Jika hanya menonjolkan kisah cinta dengan tujuan mahu melariskan akhbar, saya tidak setuju. Saya faham apa yang anda (media) mahu dan kalau boleh, janganlah sampai menenggelamkan karier saya," kata pemilik nama penuh Noraishah Abdul Aziz itu dalam nada penuh diplomasi. Ditanya tentang hubungannya dengan jejaka mualaf itu, Nasha memberitahu dia masih lagi berkawan dengan Nur Iman dan hubungan mereka tetap baik seperti biasa. Katanya lagi, hubungan silaturahim sesama insan antara dirinya dan Nur Iman sebagai saudara seagama tidak akan putus sampai bila-bila. "Semuanya masih berjalan dengan baik dan apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, lebih banyak lampu merah daripada lampu hijau apabila memperkatakan tentang soal perkahwinan," cerita wanita berusia 40 tahun ini dengan maksud yang cukup mendalam. Menutup cerita itu dan menghormati permintaannya untuk tidak lagi mengulas lanjut berhubung kisah cintanya itu, perbualan diteruskan tentang perkembangan karier seninya. Dengan pantas, wajahnya terus berseri dan ceria malah cukup rancak berkongsi cerita dengan pihak media pada petang itu. Hakikatnya menurut peragawati unggul ini, dia tidak pernah menghilang. Malah, Nasha menjelaskan dia masih lagi aktif berlakon. "Cuma, kalau tiada cerita yang boleh dikongsi, saya lebih selesa mendiamkan diri. Tetapi, diam saya tidak bermakna saya hanya duduk goyang kaki. "Sebaliknya, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Supermak yang masih berjalan ketika ini. "Dalam masa yang sama, saya sibuk dengan beberapa drama bersiri lain dan itulah fokus saya buat masa ini," kata Nasha yang melupakan seketika dunia peragaan apabila sibuk dengan bidang lakonan. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


























0 ulasan:
Catat Ulasan