ads

Sabtu, 23 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lantaran cinta, nafsu

Posted: 23 Jul 2011 08:45 PM PDT

KONGSI... Baby berkongsi sebahagian ceritanya dengan wartawan Metro Ahad.
KONGSI... Baby berkongsi sebahagian ceritanya dengan wartawan Metro Ahad.

KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu memenuhi tuntutan nafsu dan naluri semasanya selain dorongan teman lelaki yang kononnya sanggup berkongsi hidup sepanjang hayat, seorang lelaki nekad membuang alat kelaminnya di Thailand kira-kira 25 tahun lalu demi cinta terhadap kekasih songsangnya.

Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cinta Mohd Qairun Abidin, 47 (bukan nama sebenar) tersekat di tengah jalan dan kini dia mengalami kecelaruan jantina kerana tidak tahu apa akan berlaku kepadanya, terutama bagaimana dia dikebumikan jika dijemput ajal.


"Tiada kesudahannya. Selepas menanggung derita pembedahan demi kekasih, kita dikecewakan dan akhirnya hilang tujuan hidup yang boleh membuatkan kita hilang pedoman hingga cuba bertindak di luar batas agama kerana ingin bunuh diri.

"Tindakan melakukan pembedahan jantina biasanya berlaku akibat desakan naluri atau pihak ketiga kononnya kerana cinta, tetapi saya percaya dorongan pihak ketiga lebih kuat daripada naluri seseorang individu dan akhirnya individu itu akan menanggung derita sendirian," katanya yang mengubah jantina melalui pembedahan.


Mohd Qairun atau dulunya dikenali sebagai Baby@Katie yang masih mempunyai nama lelaki pada kad pengenalannya mendakwa, pembedahan dilakukannya banyak mengubah cara hidupnya kerana membawa kebahagiaan, namun ia hanya bersifat sementara.


"Mungkin itu yang dikatakan kemewahan dan kesenangan dunia kerana saya akhirnya hanya memperoleh keseronokan sementara... betapa tidak, ketika itu saya menjadi pujaan ramai, malah memiliki teman lelaki yang berjanji sehidup semati.

"Namun bila kita sudah 'berkedut', semua janji tinggal janji dan akhirnya derita hidup ditanggung sendiri. Ketika itu segala sesalan tidak lagi berguna, kepada siapa kita hendak mengadu, kepada keluarga? Mereka juga dicerca masyarakat kerana tindakan saya. Akhirnya, kepada rakan 'sealam' juga saya kembali," katanya.


Menceritakan keperitan hidup selepas menjadi 'isteri', Katie berkata, dia dan teman lelakinya tinggal sebumbung hampir 15 tahun dan sepanjang hidup bersama, kehidupan bersama seorang pengusaha restoran itu bahagia."Saya dibelikan kereta, dibawa berjalan ke luar negara dan diterima oleh sebahagian besar ahli keluarganya, malah dia menanggung pembedahan dan perbelanjaan harian saya.


"Memang ketika itu ada perkhidmatan pembedahan murah berhampiran sempadan Thailand iaitu di Hat Yai, tetapi ia disediakan secara haram.


"Kerana mahu pembedahan secara sah, saya terpaksa melakukannya di Bangkok, Thailand yang lebih murah berbanding di Singapura," katanya.


Menurutnya, hampir setahun dia menderita akibat pembedahan, terutama ketika membuang air, namun semuanya diatasi dengan belaian dan kasih sayang diberi kaum sejenis hinggalah dia benar-benar pulih daripada kesan pembedahan.


"Ketika itu saya tidak menyesali tindakan membuang alat kelamin, malah bangga kerana mampu memiliki insan yang benar-benar menyayangi saya dan menjamin masa depan, namun kami masih menghadapi masalah untuk berkahwin akibat masalah dokumentasi dan konflik agama.


"Pernah kami cuba kahwin di luar negara tetapi dihalang keluarga, menyebabkan kami nekad untuk terus hidup bersama tanpa ikatan, namun panas yang disangka hingga ke petang tidak menjadi apabila teman lelaki mula beralih arah kepada orang lain yang juga pondan.


"Selepas 10 tahun kami bersama dan melakukan apa saja untuknya, saya ditinggalkan begitu saja, mengakibatkan saya terpaksa kembali bergelumang dalam dunia mak nyah jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.


Bagaimanapun, katanya, 'kerjaya' di lorong gelapnya tidak lama apabila dia mula beralih arah ke bidang lain, iaitu bidang perhotelan yang diteruskan sehingga sekarang.


"Mana tahan ketika itu, hampir setiap hari saya ditahan pihak berkuasa, namun ada ketikanya saya terlepas tindakan apabila mengaku sebagai wanita.


"Malah, ada anggota polis meminta maaf kepada saya kerana berkasar kerana menyangka saya wanita, namun ada kalanya saya tertangkap jika kad pengenalan saya diteliti," katanya.

Yamin Hani Rindu Jadi Pengacara

Posted: 23 Jul 2011 08:44 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Yasmin Hani mengakui tiada tawaran dalam bidang pengacaraan menyebabkan dia beralih ke bidang lakonan.

Tambah Yasmin Hani atau lebih mesra dipangil Hani ini berkata dia masih mengharap agar diberi peluang untuk mengendalikan sesebuah rancangan.

"Saya terlibat dalam bidang lakonan pada awalnya hanya sekadar suka-suka dan tidak sangka pula ia menjadi keutamaan saya kini.

"Sekarang tiada sebarang tawaran sebagai pengacara, ya secara jujurnya saya masih merindui untuk berada dalam bidang pegacaraan terutamanya bila peminat menegur dan meminta saya menyebut tagline Wacha!," katanya.

Kata Hani, jika diberi peluang dia mahu sebuah rancangan yan berbentuk perlancongan dan progam bual bicara.

"Saya tidak kisah program apa juga yang penting saya boleh bercakap tapi jika diberi peluang sudah tentu saya mahu program yang lebih matang contohnya program bual bicara seperti The Oprah Winfrey.

"Jika tidak sekalipun menjadi hos untuk program pengembaraan, rekreasi dan perlancongan sebab saya adalah seorang yang lasak dan sukakan aktiviti mencabar," katanya.

Namun begitu, pelakon drama Wasiat yang bakal disiarkan pada 24 Julai ini mengakui terpaksa menumpukan perhatian kepada bidang lakonan sebagai sumber rezekinya.

"Sewaktu jadi pengacara ada yang menasihatkan saya agar tidak terjun dalam bidang lakonan bagi menjaga nilai eksklusif sebagai pengacara tapi saya buat juga.

"Tapi saya bersyukur juga kerana banyak tawaran dalam bidang lakonan yang mencabar diri saya," katanya yang bakal memeggang watak antagonis.

ketika ditanya tentang kesukaran untuk mendapatkan karakter sesuai berikutan wajah pan Asian, Hani menjawab dia bergantung bagaimana mutu lakonan seseorang artis.

"Bagi saya ia bergantung kepada kebolehan seseorang pelakon untuk membawa watak tersebut.

"Dulu ketika saya ditawarkan watak gadis pulau dalam filem Aspalela pada awalnya mereka ragu-ragu juga kerana wajah saya terlalu Pan Asian.

"Tapi saya mampu buktikan bahawa bakat atau kebolehan membawakan watak tersebut dengan baik," ujarnya.

Agnes Monica Tetap Bertenaga Biarpun Sakit

Posted: 23 Jul 2011 08:44 PM PDT

JAKARTA: Biarpun tidak berapa sihat, penyanyi popular Indonesia Agnes Monica tidak mahu mengecewakan peminat yang hadir menyaksikan persembahannya.

Agnes telah memberi sebuah persembahan yang sangat bertenaga ketika di Subcity Luxury Club, Jakarta pada Jumaat lalu.

Dia telah menyampaikan sebanyak lapan buah lagu dengan gerak tarian yang sungguh bertenaga.

Malah dia menganggap tenaganya pada malam tersebut merupakan sebuah keajaiban seperti yang ditulis di laman sembang twitternya.

"Terima kasih kepada kumpulan saya yang membuatkan malam ini seperti malam yang menakjubkan bagi saya... Sayang kamu! semoga esok saya akan sembuh seperti biasa," tulisnya.

10 Fakta Menarik Tentang Daniel Radcliffe

Posted: 23 Jul 2011 08:43 PM PDT

PELAKON Daniel Radcliffe baru sahaja meraikan ulang tahun ke 22 tahun pada Sabtu, 23 Julai lepas.

Aktor yang baru sahaja menyelesaikan sekuel terakhir filem Harry Potter berkata diusia tersebut dia berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi selama ini.

Walaupun telah lama memasuki bidang lakonan, namun nama aktor ini melonjak naik selepas memeggang watak utama dalam sekuel pertama filem Harry Potter.

Sempena ulang tahun kelahirannya 10 fakta menarik tentang pelakon ini.

1. Daniel Radcliffe boleh hingga 360 darjah.

2. Daniel seorang yang ketagih alkohol dan perokok tegar, dia mampu menghabiskan sehingga 20 batang rokok setiap hari.

3. Pada umur 16 tahun, Daniel adalah satu-satunya remaja bukan dari golongan bangsawan yang memiliki potret pribadi di Britain's National Potrait Gallery.

4. Dalam sebuah acara lelong dalam rangka pengumpulan dana Comic Relief, rambutnya telah terjual dengan harga $1.125.

5. Daniel sering menulis puisi dengan nama pena Jacob Gershon. Jacob merupakan nama tengahnya.

6. Wataknya sebagai Harry Potter dalam sekuel filemnya tersebut, Daniel berjaya menduduki carta remaja terkaya di Britain dan mengalahkan artis-artis popular lain seperti Robert Pattinson, Emma Watson dan Keira Knightley.

7. Daniel menderita penyakit kelainan saraf ringan yang bernama dyspraxia.

8. Daniel Radcliffe adalah seorang yang berfahaman ateis.

9. Daniel pernah menerima Hero Award karana telah memainkan watak pemuda lesbian, gay, biseksual, transgender, dan mereka yang bermasalah (LGBTQ) pada tahun 2009.

10. Daniel sangat takut pada labah-labah, ular, dan badut.

Jennifer Lopez Rancang Bercerai Sejak Tahun Lalu

Posted: 23 Jul 2011 08:43 PM PDT

LOS ANGELES: Penyanyi Jennifer Lopez memberitahu bahawa telah merancang untuk bercerai dengan bekas suaminya Marc Anthony sejak tahun lalu.

Seperti dipetik femalefirst, J-Lo bersedia untuk berpisah dengan suaminya sejak Krismas 2010 lalu berikutan pasangan ini sudah tidak sehaluan.

"Jen memberitahu ingin mengakhiri perkahwinan tersebut sejak tahun lalu, namun Marc memohon agar memberi sedikit lagi tempoh untuk mereka memperbaiki hubungan tersebut," ujar seorang sumber.

Seperti khabar angin sebelum ini, J-Lo dan Marc hampir berpisah sejak 2009 berikutan Marc dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan seorang pramugari sebuah syarikat penerbangan.

Pasangan ini talh secara rasmi bercerai pada 15 Julai lalu.

Selena Gomez Bukan Pujaan Lelaki di Sekolah

Posted: 23 Jul 2011 08:41 PM PDT

LOS ANGELES: Bintang Hollywood Selena Gomez mengaku kecantikan dan populariti yang dimilikinya tidak menjadikannya wanita pujaan lelaki di sekolahnya.

Seperti dipetik femalefirst, Selena mengaku bahawa dia sama sekali tidak terkenal dan mempunyai sikap yang pemalu di sekolahnya.

"Saya pergi sekolah dan biasanya duduk di belakang dan saya bukan pelajar yang popular di sekolah," katanya.

Aktres berambut perang ini telah selamat menamatkan persekolahannya selepas penggambaran filem Monte Carlo di Budapest, Hungria.

Dia mengaku gembira selepas selesai menamatkan persekolahan dan mudah untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya.

Sebelum ini, dia terpaksa berkejaran kerana terpaksa melakukan penggambaran di waktu persekolahannya.

Tiba masa Siti

Posted: 23 Jul 2011 08:40 PM PDT

pix_middle

PERNAH beliau dipersendakan gara-gara bahasa Inggeris, kononnya sebutan dan tata bahasa antarabangsa itu tidak betul. Tidak cukup itu, ditokok tambah dengan cerita-cerita yang sengaja untuk dijadikan bahan tawa. Cuma ditelan segala cercaan itu dijadikan azimat memperbaiki mana yang kurang mengukuh mana yang perlu.

Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bukan jenis manusia yang mudah melatah, antara resipi untuknya bertahan hingga ke hari ini. Malah jauh sekali berkecil hati dengan mereka yang cuba memperkecilkan dirinya.

  • Foto

    RAKAMAN...wajah-wajah Siti ketika penggambaran iklan Simplicity di Kajang minggu lalu

  • Foto

    RAKAMAN...wajah-wajah Siti ketika penggambaran iklan Simplicity di Kajang minggu lalu

  • Foto

    RAKAMAN...wajah-wajah Siti ketika penggambaran iklan Simplicity di Kajang minggu lalu

"Siti tidak terkilan langsung, sebaliknya Siti anggap ia sebagai proses pembelajaran. Lagipun Siti bukan dibesarkan di dalam keluarga yang berorientasikan Inggeris, di rumah pun semua adik beradik cakap Melayu," kata penghibur yang baru memperkenalkan single Inggeris pertamanya, Falling In Love.

Single itu dimuatkan di dalam album Inggeris pertama Siti, All Your Love yang bakal dilancarkan pada 9 September nanti. Kehadiran album yang menggunakan 100 peratus bahasa Inggeris itu bukan sekadar memenuhi impian yang disimpan sekian lama, malah sebagai cabaran untuk diri sendiri. Kata isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Jiwa ini, sebagai penyanyi, beliau perlu melangkah ke depan.


Ketika ditemui di lokasi penggambaran iklan Simplicity 'Vogue & Lovely Passion' di Kajang, Ahad lalu, Siti menegaskan yang kemunculan album ini sebagai suatu pencapaian untuk dirinya.


"Album ini sudah lama Siti impikan, sekurang-kurangnya sebuah untuk rekod Siti. Dan ia berlaku secara kebetulan apabila Adib baru menubuhkan sebuah syarikat rakaman, What's Up Entertainment dan mempunyai artisnya sendiri. Dia yang merancang semua ini dan dengan bantuan karyawan naungannya, Bryan B dan Christian Alexander, lahirlah album All Your Love.

"Selain lagu-lagu yang bagus, Siti bersetuju untuk merakam album ini kerana sudah tiba masanya untuk Siti mempunyai album Inggeris. Terus-terang, persetujuan ini juga kerana Siti ingin mencabar kemampuan diri sendiri, bukan untuk menyahut cabaran orang luar atau sesiapa yang mahu melihat dan mendengar cara sebutan Siti menyanyikan lagu Inggeris.

"Ini yang Siti mahukan dan ia berlaku secara kebetulan kerana usaha Adib," katanya yang merujuk kepada Adib Khalid, anak tirinya.

Celah Adib yang turut serta menyaksikan penggambaran iklan itu, ramai yang mempertikaikan sebutan nyanyian Inggeris Siti kerana mereka mahu sebutan itu sempurna. Kebetulan pula, Siti yang begitu dikenali dengan mudah menjadi bahan sasaran mereka yang sentiasa mencari salah orang lain.

"Saya pun tidak faham mengapa boleh jadi begitu, sedangkan kalau kita tengok Celine Dion dan Shakira misalnya, sebutan Inggeris mereka ketika mula-mula menembusi pasaran luar, pun masih tebal dengan slanga masing-masing. Jadi kenapa kita perlu mempersoalkan sebutan itu, rasanya tidak perlu sempurna seperti slanga British atau Amerika Syarikat.

"Saya lebih suka kalau Mak Iti (Siti) kekalkan keaslian sebutan Inggeris dengan lidah Melayu. Saya tidak mahu Mak Iti dipengaruhi slanga Amerika atau British.

"Orang luar tidak kisah pun dengan sebutan, janji apa yang mahu disampaikan itu sampai kepada pendengar dan mereka faham. Ini bukan lidah atau bahasa ibunda kita, biarkanlah," kata Adib yang melaburkan kos yang berganda tingginya untuk All Your Love berbanding album-album Siti sebelum ini kerana proses adunan dan mastering dilakukan di Australia dan Los Angeles.

Album yang memuatkan 10 lagu terbitan Bryan B ini dirakam selama dua minggu dan menawarkan pelbagai rentak termasuk pop, balada, tari dan R&B. Secara rasminya, single Falling In Love sudah dua kali diperdengarkan di depan khalayak ketika Konsert Simplicity di Shah Alam pada 9 Julai dan Anugerah Planet Muzik di Singapura minggu lalu.

Menurut Siti, setakat ini lagu yang ditulis Bryan B dan Christian itu mendapat maklum balas yang cukup baik daripada peminatnya. Sekali gus menambahkan keyakinannya terhadap album ini.

Siti bersemangat bercerita mengenai album ini. Biarpun pengalaman di studio rakaman tiada banyak bezanya dengan pengalamannya sebelum ini, namun cabaran tetap ada. Pun begitu jelas Siti, beliau cuba untuk melunaskan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

"Tiada bezanya ketika di studio rakaman kerana Siti mendapat melodi lebih awal untuk Siti hayati. Hal itu tiada masalah, cuma lirik dan sebutan, Siti perlu tekankan kerana ketika menyanyi, ada bahagian yang perlu disebut cepat dan perlahan. Christian dan Bryan banyak membantu Siti dalam hal ini.

"Dua minggu saja rakaman siap, memang cepat kerana masing-masing cukup profesional. Satu hari Siti boleh siap rakam dua lagu. Pengalaman penerbit dan artis dari Australia itu memudahkan lagi proses rakaman," katanya yang kini berada di Banjarmasin, Indonesia untuk konsert jelajahnya.

Cerita Siti lagi, nuansa All Your Love sedikti berbeza dengan album baladanya dan elemen ini antara yang membuatkan wanita kelahiran Kuala Lipis ini semakin teruja dengan album Inggerisnya.

Temubual sesekali terbantu apabila Siti terpaksa menyambung penggambaran produk kecantikannya itu. Siti tetap memberi kerjasama terbaik untuk mereka yang memerlukannya. Siti berada di lokasi itu sejak jam 4 petang dan rakaman tamat kira-kira jam 3 pagi. Pun begitu, senyuman tidak lekang daripada wajah manisnya, tambahan dengan sokongan suami yang sentiasa berada di lokasi.

Penat katanya tetapi tanggungjawab dan janji harus ditunaikan sebaik mampu.

"Boleh dikatakan penggambaran ini biasa saja sebab ketika rakaman Simplicity Gold Edition dulu, pernah sampai 24 jam. Pengalaman bersama Maybelline dulu banyak mengajar Siti mengenai penggambaran iklan. Dulu Siti diberi kelas 'grooming' sebelum ke lokasi dan sekarang ia cukup membantu.

"Memang agak tertekan tetapi kalau bijak kita uruskan, ia akan membuatkan kita seronok. Tambahan untuk produk sendiri, Siti sudah bersedia mental dan fizikal," katanya mengenai iklan yang akan disiarkan pada 29 Julai ini.

Rugi RM340,000

Posted: 23 Jul 2011 08:38 PM PDT

RAMPAS...Amiruddin (dua dari kiri) menunjukkan kad ATM yang digunakan sindiket penipuan.
RAMPAS...Amiruddin (dua dari kiri) menunjukkan kad ATM yang digunakan sindiket penipuan.

AMPANG: Terpedaya dengan tipu helah sindiket penipuan kad kredit dan akaun bank yang mengaku kononnya pegawai Bank Negara Malaysia (BNM), seorang pengurus syarikat kerugian sehingga RM340,000.

Mangsa berusia 34 tahun dihubungi anggota sindiket berkenaan yang memberitahu maklumat peribadi akaun bank miliknya dicuri pihak tertentu bagi tujuan penipuan.


Akibat panik dengan amaran itu, mangsa kemudian menurut arahan anggota sindiket yang meminta dia membuat pemindahan wang ke dalam akaun lain yang didakwa milik pegawai BNM untuk mengelak wangnya 'hangus'.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, mangsa membuat dua transaksi pada hari sama, masing-masing berjumlah RM79,000 dan RM262,000.


"Sepanjang perbualan, mangsa tidak dibenarkan memutuskan talian atau bercakap dengan sesiapa sehingga transaksi selesai.


"Suspek meminta mangsa menunggu tiga jam sebelum berjanji memindahkan semula wang itu ke dalam akaun milik mangsa. Bagaimanapun, suspek terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, semalam.

Berdasarkan maklumat terbabit, beliau berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 27 tahun dan merampas 27 kad mesin juruwang automatik (ATM), 15 buku bank dan wang tunai sebanyak RM257,000 pada 15 Julai lalu selepas 24 jam mangsa membuat laporan polis.


Sementara itu, dalam kes berasingan, pemeriksaan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ke atas sebuah rumah teres dua tingkat berjaya menemui berbelas bungkusan putih dipercayai dadah jenis ketamin dan syabu seberat 773 gram dianggarkan bernilai RM196,000.

Dalam serbuan di Taman Maju Jaya, jam 10 malam Khamis lalu, seorang jurujual berusia 24 tahun bersama rakannya berusia 21 tahun ditahan dan ujian air kencing mereka disahkan positif dadah.


Menurut Amiruddin, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar Ampang sejak tiga bulan lalu.


Katanya, siasatan polis juga percaya suspek mendapat bekalan dadah berkenaan dari Cheras.


"Polis juga merampas sebuah kereta Suzuki Swift dan dua telefon bimbit jenis Iphone menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM279,000.


"Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 27 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati," katanya.

Rambut paling buruk

Posted: 23 Jul 2011 08:37 PM PDT

KREATIF... cermin mata dan misai  di belakang kepala.
KREATIF... cermin mata dan misai di belakang kepala.

MEREKA mungkin menyangka mereka mencipta gaya baru. Tetapi fesyen rambut mereka itu sebenarnya memalukan dan dianggap sebagai potongan rambut paling buruk di dunia.

Koleksi gaya rambut yang gagal itu termasuk seorang lelaki dengan kepala yang dicukur botak kecuali empat tocang hijau.


Idea seorang wanita jelas begitu hodoh selepas dia membentuk sebuah helikopter, lengkap dengan ekor dan kipas pada tocangnya.

Seorang lelaki bertindak lebih berani dengan gaya rambut yang kelihatan seperti perhiasan kepala yang pernah digunakan Jesus Christ.


Sementara itu, seorang pelajar nakal menghasilkan wajah berjambang di atas kepalanya, mungkin untuk membolehkan dia tidur ketika kuliah.


Fesyen rambut mengejutkan itu disiarkan menerusi laman web Outbrain, tempat pengguna berjenaka mengenai kekurangan fahaman mereka terhadap fesyen.

Seorang lelaki Amerika keturunan Afrika mengambil kesempatan terhadap rambut Afronya, mencukurnya di sebelah atas untuk membentuk topi besbol, mungkin untuk melindunginya daripada cahaya mata hari.


Dalam pada itu seorang punk memeranjatkan rakannya apabila muncul dengan gaya rambut Mohwak gergasi, tegak setinggi lebih setengah meter di atas kepalanya.

Kekal dengan tema menakutkan, seorang pemuda memilih penampilan menyeramkan dengan gaya paku tajam menutup mukanya.


Seorang lelaki yang begitu taksub dengan Michael Jackson pula melakar wajah mendiang Raja Pop itu di belakang kepalanya.


Ia kelihatan rambut berwajah adalah gaya paling popular ketika ini. Seorang lelaki lain menggunting rambutnya dengan gambar sepasang cermin mata dan misai, juga di belakang kepalanya.

Insurans polisi hidup Laila

Posted: 23 Jul 2011 08:36 PM PDT

pix_middle

HARI ini kita sihat walafiat, esok lusa belum pasti. Justeru, membuat tabungan perlindungan diri atau insurans sememangnya dituntut sebelum menempuh detik sukar.

Malang pula kesedaran masyarakat kita, terutama kaum Melayu, terhadap polisi insurans agak tipis sebelum era 1990-an.

  • Foto

    KOMITED...Laila sentiasa memberi komitmen terbaik dalam kerjaya insurans yang diminatinya.

  • Foto

    TERINDAH...meraikan hari graduasi anak keduanya di sebuah universiti di luar negara.

Lain ulu lain parang, lain dulu, lain sekarang. Persekitaran hidup yang kian kompleks kini tanpa disedari menyuntik kesedaran tinggi pada masyarakat kita terhadap insurans.

Selaku Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd, Laila Johari sukar menidakkan saban hari kian ramai masyarakat kita menabung dengan mengambil polisi insurans untuk keluarga, anak pula dalam pendidikan atau insurans simpanan masa depan.


"Ingin saya pesan, jangan ketepikan insurans, sebaliknya dengar dulu penerangan apabila dihubungi ejen insurans. Kita kena ubah tanggapan negatif kerana dulu, jika ada ejen insurans menghubungi seseorang, jawapan diterima seperti belum bersedia, tidak berminat dan sebagainya.


"Memandangkan hari ini ada banyak syarikat insurans, suka saya sarankan, pilih yang profesional demi masa depan anda.

"Walaupun urusan begini nampak remeh, sebaik menandatangani atau membuat bayaran untuk skim perlindungan diri atau simpanan pembelajaran, anda harus meminta nombor polisi selepas dua minggu membuat bayaran. Ia penting demi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Berpengalaman 22 tahun dalam bidang insurans, Laila berkata, ejen insurans harus bertanggungjawab sepenuhnya kepada pelanggan bagi menepis tohmahan negatif masyarakat terhadap mereka, misalnya sukar dihubungi, susah berurusan dan mendapatkan semula simpanan serta pelbagai masalah.

"Sebenarnya, kita tidak hanya menjual insurans semata-mata, sebaliknya perkhidmatan yang didasarkan atas rasa tanggungjawab dan kemanusiaan kerana menjaga sesuatu yang diamanahkan.

"Kita harus prihatin jika pelanggan berdepan situasi gawat atau ditimpa musibah dan berusaha sedaya mungkin untuk menghulurkan bantuan.

"Saya pernah mengendalikan pelanggan dengan sejumlah RM500,000 diinsuranskan bagi menyelenggarakan penyakit jantungnya yang kronik. Ternyata, dengan jumlah itu dia dirawat sepenuhnya tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan.

"Bahkan, untuk rawatan susulan dan keperluan lain selepas itu semuanya ditanggung oleh insurans sehingga dia kini pulih sepenuh­nya," katanya.

Pengalaman tidak mungkin dilupakan Laila sepanjang pembabitannya di bidang insurans, apabila berdepan pemegang polisi insurans yang meninggal dunia. Menurut Laila, hari lelaki itu meninggal dunia sebenarnya adalah hari persaraannya.

Dia meneliti insurans milik lelaki itu dan mendapati insu­ransnya masih aktif lalu berusaha mendapatkan sejumlah wang tabungannya bagi meringankan beban dia sekeluarga.

"Bayangkan jumlah insurans lelaki itu hanya RM10,000 manakala isteri adalah suri rumah sepenuh masa dan mereka mempunyai empat anak yang masih kecil serta hidup susah.

"Dengan rasa terharu, balunya menerima jumlah wang itu dan berkat sikapnya berjimat-cermat membesarkan anak, dia juga berjualan secara kecil-kecilan.

"Berkat kebijaksanaan memanfaatkan jumlah polisi itu walaupun kecil tetapi berhemah, kini semua anaknya berjaya. Yang ingin saya katakan, insurans ini tidak kira kecil atau besar tetapi yang terpenting adalah 'beringat' pada waktu senang supaya meraih kesenangan ketika menempuh zaman sukar," katanya.

Mengenai amalan berjimat-cermat, Laila yang berdarah campuran Melayu-Portugis berkata, Islam menyarankan umatnya sentiasa berhemah dalam berbelanja dan sikap membazir perlu dielak.

Dalam hidup seharian, dia turut menasihati orang ramai supaya bijak mengurus kewangan di samping menghakis sikap boros seperti memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran mewah selain mengawal sikap terlalu obses menggunakan kad kredit.

"Memandangkan harga barang semakin naik, masyarakat harus menabung supaya tidak timbul masalah di kemudian hari demi meningkatkan keharmonian keluarga," katanya yang juga penceramah motivasi yang mengembangkan pengalaman di Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Jerman dan Dubai.

Menurut Laila, selain kerja kuat dan fokus terhadap kerja, aspek yang tidak kurang pentingnya adalah minat mendalam di bidang diceburi.

Dia akur walaupun latar belakang akademiknya sekadar SPM, sikapnya yang tidak pernah jemu mencedok ilmu dalam pelbagai bidang membuatkan dia berada di puncak dengan menapak dari bawah sebagai ejen biasa sebelum meraih kedudukan sekarang.

"Nama saya mula dikenali ketika bergelar pengacara program masakan iaitu 'Kuali' terbitan TV3 sekitar awal 1990-an dan selama lapan tahun mengendalikan program terbitan Sheila Veriah itu, saya akui program masakan itu popular.

"Ia juga sekali gus melonjakkan nama besar dalam bidang masakan seperti Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), Florence Tan, Agnes Chang, Zaidah Mohd Noor dan ramai lagi.

"Pada masa sama, nama besar seperti Datin Seri Habibah Yusof (Bib), Wan Zaleha Radzi dan Ras Adiba Radzi antara pembaca berita yang hebat dan menjadi sebutan ketika itu.

"Namun sebagai pengacara di bidang masakan, pengalaman itu adalah kenangan terindah dalam perjalanan hidup saya. Walaupun terbabit secara sambilan, ia sungguh menyeronokkan," katanya.



PROFIL:

NAMA: Laila Johari
LAHIR: 1 Mac 1960
ASAL: Jasin, Melaka
ADIK-BERADIK: Sulung daripada empat beradik
JAWATAN: Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd
AKADEMIK: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
SUAMI: Mohamad Manmohan Abdullah
ANAK: Sharina Manmohan (26), Shaliza Manmohan (22), Shazwina Manmohan (17)

Celaru di Palau

Posted: 23 Jul 2011 08:35 PM PDT

MENCABAR...aktiviti zipline yang menguji keberanian.
MENCABAR...aktiviti zipline yang menguji keberanian.

HAMPIR semua rakan yang ditemui tidak tahu mengenai kewujudan negara Palau. Seorang rakan media yang turut diundang syarikat Nestle (M) Sdn Bhd pula menyangka Nestle selaku penganjur tersalah eja perkataan 'pulau' ketika menghantar undangan percutian itu, baru-baru ini.

Ramai juga di kalangan kami menyangka Palau yang mempunyai 20,000 penduduk adalah Pulau Palawan iaitu satu daripada wilayah di Filipina.

  • Foto

    PELIK...sistem jalan raya di Palau unik kerana kenderaan dipandu sebelah kanan, tetapi perlu memandu sebelah kiri jalan.

  • Foto

    PEGANG...pengunjung boleh memegang obor-obor kerana ia merupakan spesis yang tidak membahayakan.

  • Foto

    CERIA...bergambar berlatarkan air terjun Hutan Simpan Taki, Ngardmau.

  • Foto

    KECIL...Lapangan Terbang Antarabangsa Palau hanya seperti terminal teksi di Malaysia.

Tidak kenal, maka tidak cinta. Justeru, pencarian di Google dan Wikipedia banyak membantu penulis mendapatkan maklumat mengenai negara kecil dengan penduduk berwajah keMelayuan tetapi fasih berbahasa Inggeris lenggok Amerika itu.

Jika tidak kerana undangan Nestle juga, entah bila agaknya penulis akan sampai ke Palau, negara kepulauan di Lautan Pasifik yang terletak 800 kilometer (km) ke timur Filipina dan 3,200 km ke selatan Jepun.


Republik itu antara negara paling muda di dunia selepas ia mencapai kemerdekaan pada 1 Oktober 1994. Sebelum itu sejak 1947, Palau di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).


Penulis dibawa ke Palau bersama dengan lima pemenang utama peraduan Nestle Drumstick 'Kembara Di Hujung Pelangi' yang ditawarkan hadiah percutian enam hari lima malam di negara itu. Yang pasti, Palau adalah negara cukup asing bagi kebanyakan rakyat negara ini.

Palau dengan keluasan hanya 459 km persegi (lebih kecil dari Perlis) belum tercemar, baik daripada segi alam sekitar mahu pun penduduknya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Palau yang terletak di Airai, dekat Pulau Babeldaob, empat km dari bandar terbesarnya, Koror hanya memiliki tiga lorong untuk pemeriksaan imigresen - dua untuk warga asing dan satu untuk rakyat negara itu.

Tidak ada penerbangan terus dari Malaysia dan jika mahu ke Palau, kita perlu mengambil penerbangan dari Manila, Filipina dengan Continental Airlines atau Tokyo-Narita dengan Delta Air Lines.

Daripada segi pembangunan, Palau agak ketinggalan. Tidak ada bangunan pencakar langit (paling tinggi hanya 10 tingkat) atau pusat beli-belah mega, malah jalan rayanya tidak ada lampu isyarat, apatah lagi persimpangan bertingkat.

Jika terlewat ke tempat kerja, orang Palau tidak boleh beri alasan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerana ia tidak pernah berlaku di negara itu.

Uniknya di Palau ialah sistem jalan rayanya yang boleh dianggap paling pelik di dunia! Sistem jalan raya negara itu direka untuk pemanduan di sebelah kiri (left hand drive) sebagaimana di Amerika Syarikat (AS), tetapi lebih 90 peratus kereta di negara itu yang dibawa masuk dari Jepun adalah pemanduan di sebelah kanan (right hand drive).

Jadi, bayangkan anda memandu di sebelah kanan di atas jalan raya yang menggunakan sistem pemanduan di sebelah kiri? Tidakkah kekok?

"Kami dah biasa. Memang nampak kekok, terutama jika hendak memotong dan keluar dari simpang, tetapi itulah yang berlaku di Palau," kata penduduknya, Kent Giramur.

Kent, 50, yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong berkata, negara itu banyak mengambil sistem yang diamalkan di AS, termasuk sistem jalan raya serta penggunaan mata wang Amerika (USD).

"Namun, dengan purata pendapatan USD500 (RM1,500) sebulan, kami tidak mampu membeli kenderaan yang diimport dari AS. Jadi kereta terpakai dari Jepun dibawa ke sini dan ia lebih murah, menyebabkan berlakunya 'kecelaruan' dalam sistem jalan raya.

"Ada yang berpendapat mengapa tidak diubah sistem jalan raya itu kepada pemanduan di sebelah kanan, malangnya 'orang berkuasa' di sini tidak mahu kerana kebanyakan mereka memandu kereta buatan AS selain memberi alasan kos tinggi," katanya.

Namun, dalam keadaan kekok itu, kadar kemalangan jalan raya di Palau sangat rendah.

Yang pasti, sebagai negara dikelilingi laut, pelancongan adalah aktiviti utama di sini yang turut menyediakan kemudahan bertaraf kelas satu.

Laut membiru, pantai memutih, makanan laut dan aktiviti laut seperti snorkeling, selam scuba dan kayak adalah tarikan utama di Palau.

Bagi yang meminati selam scuba, Palau adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Ada 75 kawasan selam scuba di keliling pulau berkenaan yang menawarkan panorama 'syurga lautan' yang mempesona.

Antara yang terbaik ialah Ulong Channel, Shark City, Peleliu Express dan Ngerchong Outside. Selain dikelilingi kepelbagaian hidupan lautan, pengunjung boleh mencari pengalaman menyelam bersama ikan jerung di beberapa lokasi tertentu di situ.

Selain itu, penyelam scuba boleh menyelam di sekitar kapal perang Jepun yang tenggelam di perairan Palau ketika Perang Dunia Kedua. Sebanyak 24 kapal perang Jepun ditenggelamkan tentera AS dalam pertempuran hebat di Pulau Peleliu di selatan negara itu pada 1944.

Antara lokasi menarik ialah George Bush Wreck sedalam 12 meter iaitu lokasi kapal perang Jepun sepanjang 45 meter yang ditembak dan ditenggelamkan oleh bekas Presiden AS, George Bush pada 25 Julai 1944 ketika beliau bertugas sebagai juruterbang jet pejuang AS.

Jika tidak memiliki lesen selam scuba, anda masih boleh menghayati keindahan dasar laut Palau dengan melakukan aktiviti snorkeling.

Palau menawarkan banyak lokasi snorkeling yang mengagumkan, malah penulis dibawa ke empat lokasi berkenaan yang disifatkan terbaik.

Dua daripadanya adalah lokasi snorkeling yang tidak ada di mana-mana tempat di seluruh dunia iaitu Milky Way dan Jellyfish Lake.

Milky Way yang terletak 30 minit perjalanan dengan bot dari jeti di Koror ialah sebuah teluk dikelilingi pulau batu kapur. Ia dipanggil Milky Way kerana warna airnya seperti susu dan ia terjadi akibat mendapan lumpur batu kapur di dasarnya.

Paling menarik, sebelum melakukan snorkeling, lumpur itu dilumur pada seluruh tubuh kerana difahamkan ia baik untuk penjagaan kulit.

Selain itu, Jellyfish Lake yang terletak di Rock Islands, 45 minit perjalanan bot dari Koror, menawarkan satu-satunya aktiviti di dunia iaitu snorkeling bersama obor-obor.

Jellyfish Lake ialah tasik air masin yang terletak di Pulau Eil Malk, iaitu sebahagian daripada gugusan pulau di Rock Islands.

Bayangkan anda menyelam bersama ribuan obor-obor dari spesies 'Golden Jellyfish' yang bersaiz sebesar syiling lima sen hinggalah sebesar tapak tangan! Anda juga tidak perlu bimbang kerana ia spesies yang tidak berbahaya kepada manusia.

Selain itu, penulis dibawa ke Clam City yang di dasarnya wujud habitat kepah gergasi bersaiz hampir sebesar bantal dan Pulau Nguzz yang menawarkan pemandangan mengasyikkan ribuan hidupan marin.

Bukan setakat laut yang ditawarkan di Palau, malah ia juga kaya dengan flora dan fauna yang belum tercemar.

Palau Eco Theme Park yang terletak di Hutan Simpan Taki, Ngardmau, dekat Pulau Babeldaub menawarkan keindahan alam semula jadi, di samping menyediakan aktiviti lasak seperti zipline (seperti flying fox) dan merentas hutan.

Ada tiga fasa zipline di situ dengan jarak di antara 250 meter (m) hingga 350m dan ketinggian hampir 100m. Jarak keseluruhan yang hampir mencecah satu km menjadikan zipline di Palau yang terpanjang di dunia.

Namun, jika gerun dengan zipline, pengunjung boleh menaiki monorail dengan trek sepanjang 1.3km sambil menikmati keindahan alam semula jadi di situ atau berjalan kaki merentas hutan.

Tarikan utama di situ ialah air terjun setinggi 30 meter sambil mandi manda di sungai di bawahnya.

Yang pasti, Palau menjanjikan pelbagai keseronokan jika anda penggemar aktiviti laut dan pencinta alam semula jadi.

Mahu membeli-belah? Maaf, Palau bukan tempatnya kerana tidak ada apa yang menarik dijual di sini selain barangannya mahal kerana semua transaksi hanya menggunakan USD.

Ibarat mesin pemain berbakat

Posted: 23 Jul 2011 08:34 PM PDT

MENARIK...aksi pemain ketika kejohanan berlangsung.
MENARIK...aksi pemain ketika kejohanan berlangsung.

SEJAK ditubuhkan pada 27 Januari 2006, jasa Kelab Sofbol Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terhadap pembangunan sukan sofbol di Terengganu sangat besar, malah dikenali sebagai 'mesin' pengeluar pemain sofbol berbakat di negeri Pantai Timur itu.

Kelab ini bukan saja cemerlang dalam pembangunan sukan sofbol, malah berjaya mengecapi banyak kejayaan dalam pertandingan disertai, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

  • Foto

    BINCANG...Saiful memberi taklimat kepada pemain.

  • Foto

    PADU...Mohd Haffiz melakukan lontaran jauh.

  • Foto

    PANTAS...pemain PSMZA cuma melakukan larian.

Buat masa ini, kelab berkenaan disertai 180 pelajar. Mereka diterajui jurulatih berpengalaman luas dalam sukan sofbol, Saiful Azizi Abdullah, 37.

Menyentuh lanjut kecemerlangan PSMZA dalam pembangunan sukan itu, Saiful berkata, bagi meningkatkan prestasi pemainnya, pasukan sofbol PSMZA diberi pendedahan dalam pelbagai pertandingan, sama ada di peringkat Institut Pengajian Tinggi PT (politeknik) mahupun negeri.


Antara kejohanan yang pernah mereka sertai ialah pertandingan antara politeknik seluruh Malaysia di Melaka (2006), Johor Bahru (2007), Dungun (2009) sebagai tuan rumah dan Seberang Perai, Pulau Pinang (2008).


"Dalam semua pertandingan itu, kami layak ke peringkat suku akhir. Ketika kejohanan di Politeknik Merlimau Melaka pada 2009, pasukan kami mula menunjukkan peningkatan ketara dan berjaya mendapat tempat keempat," katanya.

Menurut Saiful, pencapaian terbaik pasukan sofbol PSMZA ialah ketika kejohanan sofbol Jemputan IPT di Kuantan dan Kejohanan sofbol di Politeknik Port Dickson. Dalam kejohanan terbabit, mereka berjaya mendapat tempat ketiga.

"Ia prestasi yang memberangsangkan, semua itu hasil komitmen tinggi pemain yang berdisiplin dan gigih ketika berlatih dan bertanding," katanya.

Seorang pemainnya, Mohd Azrie Ismail, 20, berkata dia bangga menjadi sebahagian daripada ahli kelab dan pasukan sofbol PSMZA, selain dipilih mewakili skuad sofbol Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu serta pasukan sofbol kebangsaan.

"Saya meminati sofbol sejak di bangku sekolah, namun waktu itu lebih terarah kepada bola sepak dan olahraga memandangkan ketika itu kurang pendedahan mengenai sukan ini.

"Pembabitan saya dalam sukan ini sebenarnya masih baru, iaitu ketika mula belajar di PSMZA. Saya berterima kasih kepada PSMZA kerana membuka peluang kepada saya bergiat aktif dalam sukan ini," katanya.

Mohd Azrie berkata, potensi dan bakat pemain PSMZA bagus dan mereka mampu pergi jauh jika ada inisiatif dan komitmen tinggi daripada setiap pemain.

"Yang penting untuk saya dan rakan lain adalah terus tekun berlatih dan tunjukkan prestasi terbaik ketika menyertai apa juga pertandingan. Itulah resipi untuk berjaya dalam sukan," katanya.

Rakannya, Mohd Haffiz Mohd Zulkipeli, 20, pula berkata, pemain sofbol memerlukan disiplin dan semangat juang tinggi jika ingin berjaya.

"Pada saya, seseorang yang ingin berjaya dalam sukan ini perlu tekun menjalani latihan selain mematuhi dan mengikuti segala program serta perancangan yang diatur jurulatih.

"Kesungguhan akan membawa kejayaan. Jauhi sikap berputus asa kerana ia mematahkan semangat untuk terus cemerlang," katanya yang turut mewakili pasukan sofbol Tereng­ganu ke Kejohanan SUKMA.

Mengenai pasukan sofbol PSMZA, tahun ini mereka mendapat perhatian pengu­rusan SUKMA Terengganu selepas menjadikan kampus politeknik mereka sebagai pusat kecemerlangan sukan sofbol negeri Terengganu.

Ia sejajar dengan objektif negara yang mahu kegiatan sukan di IPT dipertingkatkan dengan hasrat melahirkan visi 30 peratus atlit negara diwakili pelajar dan siswa.

Pegawai Sukan dan Kokurikulum PSMZA, Amran Mohd Yunus berkata, sambutan pelajar terhadap permainan sofbol sangat baik dan ini satu petanda sukan itu mampu menjadi permainan utama di negara satu hari nanti.

"Di sini kami membuka seluas-luasnya peluang untuk pelajar menceburi sukan sofbol dengan harapan dan matlamat menggilap bakat yang boleh ditampilkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

"Setakat ini Mohd Azrie mewakili pasukan sofbol negara, manakala Mohd Hafiz menyertai skuad SUKMA Terengganu. Kejayaan ini membanggakan kami kerana berjaya mengetengahkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Kini tujuh pemain PSMZA dipilih untuk menyertai kem latihan pusat bagi pasukan Majlis Sukan Politeknik sebagai persediaan ke pertandingan terbuka peringkat kebangsaan yang akan dilangsungkan di Kuantan, Pahang bulan ini.



INFO:

  • Pasukan sofbol Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) ditubuhkan pada 27 Januari 2007.

  • Keahlian pasukan membabitkan 180 pelajar.

  • PSMZA antara pasukan sofbol politeknik terkuat di seluruh negara, dan mendapat tempat ketiga di kejohanan sofbol Jemputan IPT di Kuantan dan Kejohanan sofbol di Politeknik Port Dickson.

  • Dua pemain, Mohd Azrie Ismail dan Mohd Haffiz Mohd Zulkipeli (masing-masing berusia 20 tahun) berjaya mewakili pasukan sofbol bagi pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu.

  • Mohd Azrie turut dipilih mewakili pasukan sofbol negara.
  • Alam pelik penggila buku

    Posted: 23 Jul 2011 08:33 PM PDT


    SEBUAH kedai buku yang dihias dengan penuh kreatif mampu menarik pembaca dari pelbagai golongan dan latar belakang.


    BUKU walau apa pun isi kandungannya sedikit sebanyak ia umpama pengetahuan yang perlu di baca sehingga habis untuk mendapat manfaatnya.

    Walau apa pun genrenya dari novel ke falsafah, agama, ekonomi, sastera dan pelbagai lagi, tidak dinafikan ilmu yang diperolehi begitu besar sehingga ia mampu mengubah dunia. Malah ada yang menggelar buku adalah kuasa.

    Sesungguhnya jasa buku terlalu banyak dalam kehidupan manusia sehinggakan tidak keterlaluan untuk menyatakan kehidupan kita sekarang ini yang jauh lebih baik berbanding 5, 50, 500 atau mungkin 5000 tahun dahulu adalah hasil usaha dari buku-buku yang dihasilkan manusia sendiri.

    Bersesuaian dengan perubahan zaman, kita sendiri boleh menyaksikan bahawa semakin banyak buku yang dihasilkan maka semakin maju tamadun manusia.

    Maka seharusnya semakin maju tamadun itu pastinya semakin bijak atau cerdik manusia itu sendiri. Namun bagaimana manusia itu menggunakan kebijaksanaan itu adalah satu perkara lain kerana kebijaksanaan itu tidak membawa maksud mereka tidak akan lari daripada melakukan kesilapan.

    Bagaimanapun dari satu sudut, terdapat juga buku yang nilainya hanya layak dicampak ke tong sampah kerana isi kandungannya yang keterlaluan sifatnya seperti pengisahan kisah lucah, pornografi, pembohongan dan pelbagai lagi.

    Namun secara umumnya terlalu banyak buku yang mempunyai nilai dan faedah yang tinggi pengetahuannya, yang mampu membuka minda dan kepompong pemikiran kita ke arah yang lebih baik.

    Jadi secara umumnya, manusia itu akan berkelakuan lebih baik dan berhemah jika mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi hasil dari pembacaan buku yang pelbagai.

    Impak

    Namun bagaimana pula maknanya menjadi seorang penggila buku. Sama ada kita sedar atau tidak sejak abad ke 19 dan kini memasuki abad ke 20 terlalu banyak impak yang memberi signifikan nyata melalui ilmu pengetahuan yang diperoleh dari buku-buku yang dihasilkan.

    Seharusnya kita perlu berterima kasih kepada para penggila buku iaitu mereka yang begitu ghairah membaca, mengumpul dan kemudian menghasilkan pelbagai buku yang akhirnya bertanggungjawab membina dunia yang wujud sekarang.

    Alasannya mudah kerana melalui pembacaan selain pembelajaran, maka seseorang akan cuba mencari kebenaran, maka beliau perlu lebih lagi membaca dan akhirnya akan menulis pula buku mengenai kebenaran yang dijumpainya.

    Berkembang

    Sebagai contoh bagi mereka yang gemar membaca buku mengenai perundangan atau ekonomi. Sudah terlalu banyak buku mengenai dua bidang ini ditulis dan ia akan berterusan ditulis mungkin sehingga kiamat.

    Rata-rata mereka yang menulis mengenai perkara ini pernah membaca karya penulis lain dan ia semakin berkembang melalui pemahaman yang diperolehi.

    Namun tidak ada satu pun buku yang boleh kita tafsirkan sebagai paling betul kerana ia akhirnya dinilai berdasarkan kesesuaian dan kehendak. Paling tidak pun ia membantu kita dalam beberapa urusan yang berkaitan namun seperti mana ilmu itu sendiri ia akan senantiasa berkembang tanpa ada batasan.

    Dalam memperihalkan mengenai kaki buku, mereka ini boleh kita katakan antara insan terpilih kerana bukan semua di antara kita mampu untuk menjadi seperti mereka.

    Bayangkan mereka ini umpama perpustakaan bergerak kerana hampir semua persoalan mampu dijawab secara spontan tanpa perlu dirujuk pada mana-mana buku dan orang tertentu terlebih dahulu.

    Bibliomania

    Namun menurut definisi Barat, kaki buku atau digelar sebagai bibliophilia yang maksudnya gemar membaca, mengagumi dan mengumpul buku.

    Namun jangan tersilap antara bibliophilia dan bibliomania kerana maksud perkataan ini lebih kepada penyakit dihidapi seseorang yang begitu menggilai buku secara keterlaluan sehingga mungkin boleh membahayakan diri dan orang lain.

    Walaupun sukar untuk kita menerimanya namun menurut Dr. John Ferriar yang mengkaji bidang ini, secara psikologinya mereka ini tidak merbahaya tetapi mungkin boleh bertindak di luar batasan jika buku yang dimahukan terpaksa direbut dengan orang lain.

    Selain bibliomania terdapat beberapa penyakit lain yang berkaitan dengan gila buku antaranya bibliophagy yang dikaitkan dengan seseorang yang sanggup makan buku, bibliokleptomania iaitu seseorang yang mencuri buku secara kerap dan bibliotaphy yang berkaitan dengan kegilaan seseorang yang sanggup menanam buku.

    Penyakit

    Antara mereka yang pernah dikaitkan dengan penyakit-penyakit di atas adalah Stephen Carrie Blumberg yang pernah ditangkap kerana memiliki buku curi sebanyak 23,600 naskah.

    Lebih hebat lagi buku-buku ini dicuri di lebih 268 muzium dan universiti di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada dan hampir kesemuanya adalah koleksi buku yang sangat jarang dilihat dan begitu berharga.

    Blumberg yang ditahan pada 1990 telah dijatuhkan hukuman penjara 71 bulan dan denda AS$200,000 (RM600,000). Lebih mengagumkan nilai buku yang dicurinya mencecah AS$5.3 juta (RM15.9 juta) dan dianggap sebagai kecurian buku paling besar dalam sejarah dunia.

    Satu lagi contoh bibliomania adalah Sir Thomas Phillipps (1792 - 1872) yang memiliki lebih 160,000 koleksi buku dan manuskrip. Berasal dari keturunan bangsawan namun akhirnya beliau sekeluarga terpaksa hidup berhutang keliling pinggang kerana terlalu gilakan buku-buku lama.

    Termuda

    Dunia pernah dikejutkan apabila seorang wanita berusia 18 tahun telah mencipta sejarah sebagai profesor termuda dunia pada 2008. Alia Sabur yang berasal dari New York dilantik menjadi profesor matematik di Universiti Konkuk di Seoul, Korea Selatan tetapi hanya kekal di sana selama setahun.

    Namun satu perkara menarik tentang beliau adalah kegilaannya membaca sejak dari kecil malah dikatakan mula membaca sejak berusia lapan bulan! Alia mengakui gemar membaca namun lebih meminati bidang matematik sejak kecil. Selain mempunyai wajah yang jelita beliau juga berjaya memperoleh tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri Tae Kwan Do hanya pada usia lapan tahun.

    Kegilaan

    Antara nama-nama besar lain yang dikenali dengan kegilaan mereka terhadap buku adalah bekas Presiden AS seperti Thomas Jefferson, ahli falsafah terkenal Adam Smith, bekas Perdana Menteri United Kingdom William Ewart Gladstone dan pencipta watak James Bond, Ian Fleming, sekadar menyebut beberapa nama.

    Selain itu terdapat juga kelab bagi mereka yang gilakan buku seperti Oxford University Society of Bibliophiles yang ditubuhkan pada 1950, Caxton Club yang diasaskan pada 1895 di Chicago, The Club of Odd Volumes yang diasaskan pada 1887 di Boston dan Grolier Club yang ditubuhkan pada 1884 di New York City.

    Namun bersesuaian dengan zaman, mungkin buku akan hanya tinggal naskah lusuh tetapi mempunyai nilai tinggi dan berharga dengan kehadiran gajet buku canggih seperti eBooks, iPad dan kindle.

    Namun waima apa pun kegilaan terhadap buku ini tidak akan mati tanpa mengira zaman walaupun ia sekadar peralatan canggih yang berfungsi di hujung jari.

    Kaitan cinta Fizan

    Posted: 23 Jul 2011 08:33 PM PDT


    Fizan mempunyai pelbagai koleksi krochet dari perhiasan rumah hingga pakaian dan aksesori kanak-kanak serta bayi.


    IBU muda kepada tiga anak perempuan yang sedang membesar ini tidak perlu risau untuk melihat buah hatinya bergaya. Ketika ibu lain sibuk mencari apa yang sesuai di pusat beli-belah, dia hanya duduk di rumah menyelak majalah atau melayari Internet melihat fesyen terkini.

    Kalau ada yang berkenan, dia pantas mencapai kotak 'sakti' yang mengandungi benang bulu kambing pelbagai warna dan alatan lain.

    Tanpa berlengah, dengan jarum khas, jemarinya ligat mengait dari satu ikatan ke ikatan seterusnya dan hasilnya, satu produk untuk si comel kesayangan sudah berada di depan mata!

    "Saya rasa lebih puas bila tengok anak-anak memakai pakaian, aksesori dan beg yang saya hasilkan sendiri. Malah baju kurung dan pakaian lain juga saya mampu jahit sendiri.

    "Dengan menghasilkan sendiri, saya boleh tentukan saiz, warna dan rekaan mengikut cita rasa peribadi," kata Norhafizan Wan Pani, 32 tahun.

    Membahasakan diri sebagai Fizan, wanita berasal dari Perak itu berkata, bakat menghasilkan krochet sudah diasah sejak zaman kanak-kanak lagi. Seawal usia 11 tahun, dia telah menghasilkan satu alas meja dengan hanya melihat contoh yang disediakan ibu.

    Walaupun ia hanya menggunakan teknik kaitan yang mudah, cubaan itu membuatkan dirinya terus jatuh cinta dengan seni kraftangan tersebut. Tidak cukup dengan bertanyakan ibu dan jiran-jiran yang mahir, dia mempelajari teknik krochet dari buku pula.

    Namun minatnya itu terhenti sementara ketika melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia. Kesibukan mengejar ilmu selama lebih tiga tahun membuatkan dia melupakan seketika hobinya itu.

    Walaubagaimanapun, selepas berumah tangga dan mengikuti suami yang bertugas di Kelantan, Fizan mula tercari-cari hobi bagi mengisi masa lapang.

    "Waktu anak-anak masih kecil, saya tak tahu untuk berbuat apa-apa bila mereka tidur. Jadi saya pun cuba balik bakat yang terpendam lama tu. Saya mengait sepatu bayi (booties), sarung tangan (mitten) dan topi yang berwarna-warni," katanya.

    Selepas dipakaikan kepada anak, ramai pula rakan-rakan yang berminat bertanya dan ingin menempah daripadanya. Promosi dari mulut ke mulut itu tidak disangka mendapat sambutan sehingga membuatkan Fizan membuka blog kepada mereka yang berminat.

    Selain pakaian untuk anak-anak, Fizan juga menghasilkan perhiasan rumah krochet seperti alas meja, alas cawan dan sebagainya.

    Bagi wanita ini, seni itu boleh dijadikan sumber pendapatan terutama kepada mereka yang bergelar suri rumah sepertinya kerana ia mempunyai peminat yang tersendiri.

    Menurutnya, walaupun pelbagai jenis hiasan rumah muncul di pasaran ketika ini, kehalusan seni krochet tetap diminati kerana kualiti dan keunikannya yang tersendiri.

    Tidak menafikan adakalanya ia mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan bergantung kepada jenis material dan rekaan yang diingini, namun tatkala melihat satu produk yang cantik siap di depan mata, Fizan sukar menggambarkan rasa gembira dan puas dengan kata-kata.

    Bila cerai jadi mainan

    Posted: 23 Jul 2011 08:22 PM PDT

    SESIAPA lihat suami saya, Amin tentu jatuh hati kerana baik, lemah lembut, hormat orang tua, muka syurga, dua kali buat umrah dan bergelar haji, kalau saya cakap keburukan perangainya tak akan ada orang yang percaya.

    ''Tetapi dia pantang tengok perempuan berduit dan berharta mulalah dia memancing. Saya perasankan kelakuannya setelah dapat dua anak. Bila terbongkar dia putuskan hubungan, katanya masih sayangkan saya.'' Itu kata Norhidayah ketika kami bertemu Selasa lalu.

    ''Sebelum kahwin saya kurang selidik perangai Amin. Namun saya pilih dia kerana dia baik, rajin solat dan jujur dengan saya. Tolak tepi dia pengawal keselamatan sedangkan saya pegawai lulusan universiti. Tapi saya ikhlas mungkin dah jodoh saya.

    ''Lepas kahwin saya suruh dia belajar, tapi dia bengap, belajar tak sampai ke mana, tapi berkat usaha kami, dia dapat kerja jadi kerani rendah. Sejak kahwin semua urusan keluarga jadi tanggungjawab saya, dari sewa rumah, makan pakai dan susu anak, belanja dapur, tadika, sekolah, segalanya atas tengkuk saya. Dia sentiasa kata gajinya tak cukup.

    ''Amin memang kaki perempuan, lepas satu, satu perempuan jadi mangsa, dan dia putuskan hubungan bila aktivitinya terbongkar konon takutkan saya. Dari awal lagi saya bagi tahu Amin saya tak tegah dia nak kahwin lagi, tetapi ceraikan saya, sebab dia tak mampu.

    ''Walaupun saya menanggung keluarga tetapi saya tak pernah beritahu ibu bapa dan adik beradik saya, sebab ada antara mereka dari awal menasihatkan saya supaya fikir dua kali kahwin dengan Amin kerana perbezaan kedudukan dan gaji kami, tetapi saya redha.

    ''Berkat kesabaran dan pengorbanan saya, Allah memberi saya jalan untuk kumpul duit dan saya dapat beli tiga buah rumah murah. Entah macam mana bodohnya saya, semua rumah tersebut saya gunakan namanya. Cuma terbaru saya beli guna dua nama. Bukan itu saja saya beli tanah juga atas namanya, begitu juga motorsikal dan kereta.

    Rasuah

    ''Saya tak pernah bercerita pada keluarga saya bila Amin digantung kerja oleh majikannya atas tuduhan rasuah. Malah saya keluar duit carikan peguam atas permintaannya. Saya lakukan kerana dia suami saya dan tak mahu anak-anak malu.

    ''Anak-anak yang dah besar pernah tanya saya, 'ayah tu kerja jaga, tapi sana sini bawa laptop?'' Saya tak terfikir pulak. Namun anak-anak lebih bijak, mereka tahu ayahnya ada facebook ada emel dan mereka buka satu persatu. Mereka terjerit panggil saya tengok facebook ayahnya mendakwa dia duda kaya dah duatahun , ingin cari calon isteri, bekerja arkitek ada firma sendiri.

    ''Sedihnya adik-beradik Amin bukan saja menambah masalah, tetapi turut menyusahkan saya. Mereka bukan sahaja kerap datang ke rumah, malah suka minta duit Amin. Mereka juga sesuka hati merancang buat kenduri di rumah saya tanpa berbincang dengan saya dulu.

    ''Sepatutnya ketika Amin tak bekerja mereka bantu saya, bukan menyusahkan saya dengan berhutang kiri kanan. Mereka kata Amin kaya ada rumah sewa. Sedangkan saya tak pernah merasa sesen pun walaupun rumah itu saya beli, Amin yang kutip sewa.

    ''Amin pernah ceraikan saya dua tahun lalu, tapi adik-beradiknya kelam-kabut suruh rujuk semula dan kami rujuk dua minggu kemudian.

    ''Namun Allah Maha Adil, saya terjumpa draf dan dokumen tersebut dalam beg Farid, siap ada surat peguam lagi. Bila rahsia terbongkar adik-beradiknya tuduh saya kurang ajar nak rebut harta Amin. Siapa rebut harta siapa? Bukankah itu duit titik peluh saya, adiknya Pengawal Keselamatan, mana ada duit? Saya pertahankan hak anak-anak saya.

    ''Saya ingin merujuk kembali kes perceraian pertama saya supaya pembaca faham. Saya diceraikan bulan Ramadan dua bulan selepas saya melahirkan anak. Amin lafazkan cerai secara lisan dan menulis surat yang dia tanda tangan sendiri. Sebab dia nak kahwin. Ketika itu saya baru habis solat. Bila saya kemukakan pada hakim, Amin mengaku dia tulis dan tandatangan surat tersebut, tetapi dia enggan mengaku dia ceraikan saya.

    ''Bukti sudah cukup nyata, tetapi kerana Amin tidak mahu ceraikan saya (atas nasihat adik beradik) maka hakim cadangkan Amin angkat sumpah Istizhar bahawa dia tidak ceraikan saya. Amin ikut cakap hakim. Dan hakim tolak bukti yang saya kemukakan.

    ''Masa itulah adik-beradiknya kelam kabut pujuk Amin dan saya rujuk semula. Kerana tak tahu kedudukan saya sama ada sah bercerai atau tidak maka saya terpaksa rujuk takut berdosa. Dalam tempoh sebulan selepas rujuk mereka tukarkan harta saya atas nama Amin kepada nama kakak mereka, seperti saya ceritakan tadi.

    ''Kepada penegak keadilan saya ingin maklumkan kes cerai kali kedua yang suami saya failkan memakan masa hampir setahun dengan 13 sesi perbicaraan, namun keputusan tetap berpihak kepada Amin, walaupun Amin mengaku dia lafazkan cerai. Tetapi hakim tanya Amin mengapa dia failkan cerai? Biarkan isteri yang buat tuntutan cerai?

    ''Dalam kes perceraian kedua ini saya habis lebih RM50,000, untuk peguam tapi Amin menang tanpa peguam bela, namun dia ditolong dan dinasihati oleh hakim yang memihak kepadanya. Adakah kerana Amin ada anak saudara jadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di situ, maka semua takut dan bantu dia? Adakah ini adil?

    ''Hakim meminta saya bawa bukti, takkan saya nak bawa janda kaya dari Johor, pegawai Putrajaya, janda Gombak yang banyak rumah sewa, isteri orang yang kini hamil 5 bulan dan banyak lagi untuk jadi saksi, ataupun anak-anak saya melihat facebook ayahnya, naik mahkamah. Sedangkan saya sudah berjanji tidak akan aibkan mereka.

    ''Tak cukupkah bukti yang saya kemukakan surat Amin ceraikan dan melafazkan cerai pada saya? Terbaru kerana Amin menang kes, dia jadi ego dan terus berzina. Anak-anak sendiri melihat bilik kami bersepah dengan pakaian, pewangi, baju tidur wanita yang tidak sempat disorokkannya ketika kami sampai. Adakah anak-anak saya juga berbohong? Atau ayahnya tidak bermaruah. Sama-samalah anda tolong fikirkan.''

    Itu cerita Norhidayah yang telah 20 tahun berkahwin dan akan memfailkan kes terbarunya untuk mendapatkan keadilan.

    Impak Nora Elena

    Posted: 23 Jul 2011 05:45 PM PDT

    • Foto

    • Foto

    • Foto

    Saleha tak mahu jadi pelakon 'meletup' menerusi kisah kontroversi

    BIARPUN menjalani hidup tanpa seorang ibu sejak kecil, ia bukan bermakna pelakon jelita yang melonjak namanya menerusi drama bersiri, Nora Elena yang disiarkan di kaca TV3, Siti Saleha, 21, boleh berbuat sesuka hati, malah kehidupan peribadinya dikawal ketat bapa dan abangnya.
    Bapanya, Mohd Baharum Abdul Rahman dan ibunya, Aishah Rahman berpisah sejak Saleha berusia 10 tahun. Ibunya, wanita kacukan Inggeris – Belanda pulang ke England selepas bercerai. Saleha dan abangnya, Sam (vokalis kumpulan Bunkface) ditinggalkan bersama bapa, manakala kakak sulungnya, Rosnah Tracy pula dibawa ibunya.
    Bagaimanapun, ada yang beranggapan Saleha, gadis suka bersosial apabila gambarnya berparti dan berpelukan dengan beberapa jejaka mat salih tersebar dalam internet, baru-baru ini. Sedangkan beberapa gambar berkenaan dirakamkan Saleha bersama sanak saudara sebelah ibu dan dicuri daripada laman Facebook miliknya.

    "Walaupun saya tidak mempunyai ibu seperti orang lain, tetapi bapa dan abang menjaga saya dengan baik. Malah, keluarga sebelah bapa yang ramai sentiasa mengambil berat mengenai saya dan Sam. Bapa sentiasa menemani saya ke lokasi penggambaran mahupun uji bakat. Saya tidak dilepaskan sewenang-wenangnya.

    "Hubungan saya dengan ibu baik walaupun kami terpisah jauh. Saya sering mengunjungi ibu dan kakak sulung di England jika mempunyai masa yang terluang. Sam pula seorang abang yang tegas dan sentiasa mengambil berat.

    "Sikapnya berbeza ketika bersama teman-temannya. Saya lihat Sam gila-gila bersama temannya, tetapi tidak ketika di rumah. Saya masih teringat pesanan Sam, jangan buat sesuatu yang memalukan keluarga, tetapi akhirnya saya terperangkap dengan kontroversi apabila gambar bersama sanak saudara sebelah ibu tersebar di internet, baru-baru ini.
    "Gambar itu dirakamkan ketika majlis perkahwinan kawan baik saya di Kuala Lumpur dua tahun lalu. Ketika itu, saya belum bergelar pelakon lagi. Ibu turut berada dalam satu daripada foto yang tersebar itu. Saya rasa dianiaya apabila gambar tersebar ketika nama saya mula meniti di bibir peminat dan drama Nora Elena mendapat rating tinggi ketika disiarkan di kaca TV3.

    "Ia seolah-olah cubaan mahu menjatuhkan nama baik saya. Ramai menuding jari mengatakan saya suka bersosial dan hidup bebas. Bagaimanapun, saya reda mungkin inilah bayaran yang diterima apabila memilih menjadi pelakon. Selepas ini, saya harus berhati-hati dalam apa juga tindakan. Saya masih terlalu mentah untuk memahaminya, tetapi saya tidak mahu diseret dengan kontroversi berpanjangan. Saya akan sentiasa belajar daripada kesilapan," kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

    Saleha juga menjelaskan, dia tidak mahu menjadi pelakon yang `meletup' menerusi kisah kontroversi. Dia tidak kisah namanya meniti populariti dengan perlahan, walaupun sudah bergelar pelakon sejak tiga tahun lalu.

    "Ada yang bertanya kenapa sudah tiga tahun berlakon tetapi nama tidak menginjak popular dan belum berlakon filem? Saya tidak nafikan, saya tidak popular mana, tetapi sejak drama Nora Elena disiarkan, kehadiran saya mula mendapat perhatian. Saya berlakon bukannya mahu mengejar populariti, kalau boleh saya mahu nama saya bersih daripada kontroversi.

    "Tetapi saya sebagai manusia hanya mampu merancang, takdir akan menentukan segala-galanya. Saya tidak nafikan, menerima beberapa tawaran berlakon filem di awal kemunculan, tetapi terpaksa menolak disebabkan saya terikat dengan pelajaran.

    "Selain itu, saya mahu menimba pengalaman menerusi berlakon drama terlebih dulu, saya mahu mempelbagaikan watak. Saya tidak mahu terkejar-kejar, sedangkan lakonan saya masih banyak kelemahan," kata gadis kelahiran Basildon, England itu.

    Gadis yang diperkenalkan menerusi drama bersiri, Kecuali Cintamu yang disiarkan menerusi Astro tiga tahun lalu itu berkata, dia tidak selesa jika dikaitkan dengan abangnya, Sam malah banyak fotografi bersama Sam ditolak secara baik.

    "Saya tahu abang saya popular. Disebabkan itulah, saya dan Sam memilih jalan masing-masing, malah Sam juga tidak pernah mengaitkan saya dalam kerjayanya. Dia juga mahu saya berdiri dengan sendiri dalam membina kerjaya sebagai pelakon. Saya juga tidak mahu dianggap menumpang populariti Sam. Biarlah saya rasa susah seperti Sam merasainya dulu sebelum menempa nama. Bagaimanapun, maaf bukan saya jual mahal untuk bergandingan dengan Sam, sebaliknya saya dan Sam punya prinsip masing-masing," katanya.

    INFO: Siti Saleha
    Nama: Siti Saleha Mohd Baharum
    Usia: 21 Tahun
    Tarikh Lahir: 14 Mac 1990
    Tempat Lahir: Basildon, England
    Drama: 5 Jingga, Kasut Tumit Tinggi, Kecuali Cintamu, Di Bawah Ketiak Isteri, Kapten Boleh, Farah, Zaleha, Puaka Topeng Putih, Hati Batu, Raya Mona, Kau Laksana Bulan, Awan Dania, Habil & Qabil, Ustaz Amirul & Nora Elena
    Iklan: Maxis, Astro, KFC, Celcom, Hotlink, Necafe, Gardinier, Pantene, Honey Soft dan Wrigley's Double Mint.

    Kurang hormon punca uban?

    Posted: 23 Jul 2011 05:44 PM PDT


    MEWARNAKAN RAMBUT SERING DILAKUKAN UNTUK MENUTUP UBAN.


    SAHABAT saya Nuri mengeluh kerana rambutnya nipis dan beruban. ''Kalau tak pergi ke saloon sebulan sekali bagi mewarnakan rambut sudah tentu saya akan kelihatan seperti berusia 70-an,'' katanya. Nuri berasa hairan kerana ibu dan bapanya mempunyai rambut yang hitam dan lebat. Jika dikira faktor keturunan sudah pasti dia dari jenis keturunan berambut lebat tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Usia Nuri baru menginjak empat 4o tahun namun rambut banyak yang beruban. Ini membuatkan Nuri mencuba pelbagai jenis rawatan bagi memulihkan semula rambutnya. Sebut saja jenis rawatan pasti dia telah pun mencuba. Namun hasil yang diperolehi kurang memuaskan.

    "Mengapakah sesetengah orang macam saya cepat beruban? Apakah rawatan terbaik? Adakah harapan bagi saya untuk memiliki rambut hitam dan lebat semula?" tanya Nuri bertalu-talu.

    Menurut kajian seorang profesor anti-penuaan, kekurangan melanocyte stimulating hormone (MSH) boleh menyebabkan rambut cepat beruban. Menurutnya MSH merupakan hormon jenis peptide yang dihasilkan di dalam otak kita. Hormon ini dihasilakan dari satu molekul panjang (pro opiomelanocortin) dan akhirnya berpecah kepada beberapa hormon lain. Kekurangan hormon ini boleh jadi disebabkan faktor kurang protein tertentu dalam darah atau berkaitan dengan faktor hormon adrenal yang kurang.

    Fakta menarik mengenai hormon MSH

    - Penting bagi menstimulasi sel sel melanosit yang mengeluarkan pigmen pada kulit dan rambut kita. Pigmen berwarna ini dinamakan melanin.

    Apabila matahari memancar MSH akan bertindak meningkatkan pengeluaran melanin yang turut menjadi sunblock iaitu sel tabir suria yang penting. Secara tidak langsung ia melindungi diri daripada terkena kanser kulit atau sebarang masalah berkaitan matahari.

    - MSH juga menghalang rambut daripada menjadi beruban. Kajian saintifik menunjukkan kehadiran MSH memulihkan rambut uban menjadikan ia hitam semula. Lebih-lebih lagi apabila rawatan dibuat dengan menggunakan hormon yang saling bertindak secara synergistic keputusan yang didapati adalah memuaskan.

    - MSH mengurangkan selera makan. Seseorang yang kurang MSH didapati mudah menjadi gemuk disebabkan peningkatan ini.

    - MSH turut mengurangkan keradangan kulit dan membantu seseorang yang mengalami ekzema

    - MSH meningkatkan keupayaan seksual menjadikan seseorang itu lebih berminat terhadap hubungan seks. Bagi wanita ia meningkatkan rangsangan seks terhadap sentuhan dan bagi lelaki pula meningkatkan keupayaan seks menjadikan seseorang lelaki itu mampu berereksi lebih lama.

    - MSH mungkin meningkatkan jangka hayat. Seseorang yang berambut hitam dan lebat hidup lebih lama dari seseorang yang tampak tua dan berambut putih.

    Satu lagi kaedah menarik bagi meningkatkan pertumbuhan rambut ialah pengunaan PRP (Platlet rich plasma). PRP merupakan ekstrak daripada darah kita sendiri. Darah diambil daripada tubuh sebanyak 10 hingga 12 cc dan kemudian diproses menggunakan mesin khas. Darah yang diproses diambil patinya di mana ia mengandungi bahan-bahan yang kaya dengan stem sel dan juga hormon tertentu. Ia kemudiannya disuntik pada kulit kepala.

    Di negara-negara maju seperti Korea, Amerika Syarikat dan negara Arab, mereka menggunakan PRP meskipun setelah rawatan tanam rambut dibuat. Ia kerana PRP menjadikan rawatan tanam rambut lebih berjaya dan peratusan rambut tumbuh adalah lebih banyak. Suntikan PRP juga sering digunakan untuk memudakan kulit muka dan hasilnya amat baik sekali. Suntikan PRP pada muka mengurangkan garis halus membuatkan kulit tampak mulus dan lebih baik.

    PRP juga sesuai digunakan bagi menyembuhkan luka kerana ia mempercepatkan pertumbuhan sel baru. Bagi pesakit kencing manis yang mempunyai luka yang sukar untuk sembuh, luka yang sedikit boleh menjadi parah sehingga membawa kepada potong kaki. Maka kaedah sebegini boleh digunakan bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka itu. Biasanya PRP disapukan sahaja pada kawasan luka selepas luka dicuci. Proses ini membuatkan luka cepat sembuh.

    Meskipun Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan belum mencapai taraf negara maju, namun kita tidak ketinggalan dalam bidang perubatan anti penuaan. Selain sikap terbuka kerajaan, sokongan perlu diberikan kepada doktor serta saintis dalam bidang ini bagi membolehkan kita mencapai tahap yang lebih tinggi. Kritikan berasakan pengetahuan yang cetek tanpa memberi ruang kepada penigkatan ilmu dalam bidang ini akhirnya akan merugikan negara kita. Pelancongan perubatan bukan sahaja menyaksikan orang luar datang menjalani pembedahan. Mereka turut mahu meningkatkan penampilan dengan mencuba pelbagai jenis perubatan anti penuaan di negara ini kerana kosnya jauh lebih murah berbanding di negara mereka.

    PENULIS boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

    Wangi belum tentu bersih

    Posted: 23 Jul 2011 05:42 PM PDT

    KALAU air tercemar boleh nampak kekotorannya, namun bagaimana pula dengan udara? Kita mungkin risau dengan keadaan jerebu di luar, lalu dengan penuh keyakinan kita beranggapan tidak perlu keluar dari rumah atau memilih melakukan aktiviti hanya di dalam bangunan.

    Namun, terfikirkah anda mengenai kualiti udara yang kita hirup di dalam bangunan setiap hari?

    "Boleh dikatakan hampir 70 peratus daripada kehidupan dihabiskan dalam bangunan setiap hari bermula dari pejabat hingga ke rumah. Adakah kita yakin udara yang kita sedut di rumah atau dalam bangunan itu selamat kerana kita memang tidak nampak pencemarannya? Perlu ditekankan di sini, udara yang berbau harum belum tentu segar dan bersih," kata Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Datuk Dr. A. Shukri Md. Salleh.

    Menurutnya, udara di kawasan dalam rumah, ruang pejabat, sekolah, hospital dan tempat-tempat awam lain sebenarnya lebih mudah tercemar berikutan aktiviti yang kita lakukan setiap hari kerana ia tertutup. Hal itu katanya turut didorong oleh reka bentuk kediaman hari ini yang mana kebanyakannya tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Ditambah lagi dengan faktor kelembapan tropika menjadikan bakteria dan mikroorganisma yang tidak kelihatan dengan mata kasar mudah membiak.

    "Udara dalam bangunan yang tidak baik memudaratkan kesihatan semua terutama kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai daya tahan penyakit yang rendah," kata Dr. A. Shukri.

    Disebabkan tidak nampak kata beliau, kita biasanya tidak mengambil berat dengan kualiti udara dalaman. Pencemaran katanya boleh berlaku disebabkan asap rokok dan juga gas memasak.

    Itu belum lagi dikira dengan bahan kimia yang kita gunakan untuk membersihkan dan menyegarkan rumah setiap hari. Sebagai contoh katanya, bila kita memasuki sesebuah kediaman, kita dapat menghidu haruman pewangi yang digunakan dan kemudian ia tidak berbau lagi.

    "Ke mana bau itu pergi? soal Dr. A. Shukri.

    Menurutnya, bahan tersebut sebenarnya telah masuk ke pernafasan dan ia boleh memberi kesan sampingan yang boleh memudaratkan sekiranya kandungan kimianya melebihi dari had yang dibenarkan. Begitu juga bangunan yang baru dicat atau lantai yang dicuci dengan pencuci konvensional, bau kimia boleh memudaratkan kesihatan bila mana ia berlaku berulang kali.

    Kesan kesihatan

    Akibat menghidu udara yang tidak sihat dalam bangunan secara berterusan, menurut Dr. Shukri seseorang boleh mengalami masalah di bahagian kulit seperti kegatalan, alahan dan sebagainya. Selain itu, ia juga menyebabkan kegatalan di bahagian mata, sinusitis (resdung), rangsangan asma, pening kepala dan tubuh menjadi lemah.

    "Bayangkan ketika kita tidur (enam hingga lapan jam), hanya dua organ yang sedang berkerja iaitu paru-paru dan jantung. Apa akan berlaku seandainya kita menghirup udara yang tidak bersih?" soalnya.

    Lantaran semalaman menghidu udara tercemar dalam rumah, individu tersebut akan mengalami bersin sehingga mendapat sinusitis dan batuk-batuk. Keadaan bertambah teruk sekiranya seseorang menghisap rokok di dalam bilik tidur atau pun terus ke bilik tidur selepas merokok. Kesan kimia dan bau boleh menjadikan pasangan atau anak-anak kecil terdedah sebagai perokok pasif yang juga berisiko mendapat penyakit paru-paru. Keadaan yang sama boleh berlaku di tempat kerja atau di dalam bangunan komersil seperti hotel.

    Menurut Dr. A Shukri, udara yang tidak sihat juga boleh mengundang masalah asma kerana partikel halus yang terkandung dalam boleh sampai hingga ke cabang paru-paru yang kecil.

    Jika dibiarkan berlarutan, masalah tersebut menyebabkan bronkitis dan masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan paru-paru.

    Jangkitan kuman penyebar melalui udara juga boleh merebak dengan cepat seperti tibi, selesema, Sars, Anthrax dan lain-lain jika pengudaraan serta kotoran biologi tidak dimusnahkan dengan sempurna.

    Apabila salah seorang dari pekerja mendapat tanda-tanda jangkitan virus atau bakteria, tempoh jangkitan kepada orang lain sebenarnya telah berlaku beberapa hari sebelum dari itu. Sekiranya sistem penghawa dingin kotor dan tidak berfungsi dengan baik bagi menapis udara, maka jangkitan bakteria atau virus itu mudah merebak kepada orang lain.

    Masalah kelembapan pada bilik air, dinding rumah, lantai dan siling, menjadi tempat sebaran spora pembawa penyakit seperti Aspergillus dan Penicilium. Allergen atau bahan alergi binatang hadir di dalam udara rumah yang mempunyai binatang peliharaan.

    Tambah beliau lagi, ruang udara pejabat yang tidak bersih juga didapati menjadi punca sick building syndrom (SBS) yang mana ia menurunkan produktiviti pekerja menjadikan mereka mudah mengantuk, lemah dan tidak cergas.

    Kualiti udara dalam bangunan

    Penaksir Kualiti Udara Dalaman, Syazwan Aizat Ismail dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia berkata, pencemaran udara dalam bangunan berpunca daripada empat perkara.

    "Pertama ia disebabkan oleh udara dari luar yang tercemar, kedua bahan yang terkandung dalam binaan bangunan dan perabot.

    "Punca seterusnya adalah individu yang tinggal di dalam bangunan tersebut dan aktiviti yang dilakukannya seperti merokok dan memasak manakala faktor terakhir adalah rekaan bangunan yang tidak menggalakkan pengudaraan yang baik serta penyelenggaraan yang tidak betul," kata beliau.

    Jelasnya, pencemar kimia yang datangnya dari perabot, bahan pencuci, bahan pewangi (air freshener) dan juga cat yang mengandungi wap sebatian organic (VOC), kadmium serta formaldehid.

    Bahan pencemar kimia ini amat berbahaya di dalam rumah jika rumah kurang pengudaraan segar dari luar.

    "Melalui kajian yang kami jalankan, bahan pewangi potpourri terbukti boleh menyebabkan pencemaran udara dalam rumah kerana ia menjadi tempat pembiakan mikroorganisma yang baik," kata beliau.

    Bahan pencemar kimia juga katanya, termasuk partikel terampai yang paling banyak bagi mereka merokok dalam rumah). Partikel terampai ini boleh memasuki sistem respirasi dan mendap didalam tekak, peparu dan menyebabkan tindak balas alahan yang memberi kesan batuk, sakit tekak dan juga lain-lain simptom bangunan sakit. Pencemaran kimia juga hadir dari aktiviti memasak yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang selamat.

    Selain bahan kimia kata Syazwan, faktor biologi juga mempengaruhi pencemaran udara dalam rumah dan bangunan seperti hama, bakteria dan kulat yang boleh membiak dengan pantas dan sekali gus menyebabkan serangan respiratori.

    Katanya, faktor pencemaran biologi merupakan aspek yang paling utama selepas bahan pencemar kimia kerana faktor kelembapan tinggi disebabkan cuaca tropika.

    Selaput fungus kata beliau boleh membiak dan menyebarkan spora ke udara di dalam bangunan dengan pantas. Seterusnya ia masuk ke sistem respirasi dan memberi kesan alahan kepada pesakit lelah (asma) dan juga memberi kesan kegatalan kulit dan mata.

    Selain itu, penggunaan sistem penghawa dingin yang tidak diservis dengan kerap akan menyebabkan pengumpulan bahan pencemar biologi yang akan mengakibatkan kesan alahan teruk dalam tempoh yang panjang.

    Bagaimana untuk menjaga kualiti udara dalam rumah:

    Syazwan menyarankan setiap pemilik kediaman dan juga bangunan memeriksa kualiti udara premis mereka dengan kerap dan berkala.

    "Pemeriksaan setiap lima tahun sekali penting dalam memastikan udara yang kita sedut setiap hari bersih daripada sebarang pencemaran," katanya.

    Bahan pencemar yang ada dirumah katanya perlu diperiksa dan disimpan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.

    Penggunaan bahan pembersih alternatif atau bukan kimia katanya, sangat baik bagi menghilangkan kesan kotoran dan mengurangkan pencemaran kimia.

    "Sebagai contoh kita menggunakan sodium bikarbonat untuk menyental kotoran pada lantai, ia berkesan dan tidak memudaratkan kesihatan. Begitu juga lemon yang boleh dijadikan bahan pencuci alternatif, sekali gus menjadikan kediaman berbau harum," katanya.

    Penggunaan bunga segar dan daun pandan boleh menggantikan haruman potpourri bagi mengharumkan kediaman.

    Selain itu katanya, kini terdapat banyak produk dan cat mesra alam yang boleh didapati di pasaran dalam usaha memelihara alam sekitar.

    Bagi pencemar biologi pula, teknologi ultra lembayung (UV) merupakan antara alat yang paling efisien dalam menghapuskan pencemar biologi.

    "Kalau kita lihat orang dahulu, mereka membina rumah yang mempunyai pengaliran udara dan pencahayaan yang bagus. Selain itu, mereka juga suka menjemur alatan seperti bantal dan tilam, sebenarnya teknik ini mampu membunuh mikroorganisma yang terdapat di dalamnya," kata beliau lagi.

    Syazwan turut menyangkal dakwaan beberapa produk pendingin hawa yang terdapat dipasaran yang dikatakan berupaya menghasilkan udara segar.

    "Memang ia berupaya merencatkan aktiviti mikroorganisma dan bakteria untuk seketika, namun apa berlaku bila pendingin hawa tidak dipasang? Bagaimana pula dengan penyelenggaraan yang tidak dipantau sempurna?" soal beliau lagi.

    Tip udara bersih:

    l Buka tingkap sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari untuk 'mencairkan' udara kediaman yang tercemar.

    l Selenggara pendingin hawa dengan kerap

    l Pastikan susun atur perabot menggalakkan pengudaraan.

    l Gunakan bahan pembersih dan penyegar kediaman semula jadi atau mesra alam.

    l Gunakan alatan yang mampu memerangkap dan membunuh bakteria, kulat dan serta mikroorganisma yang terbukti berkesan secara klinikal.

    Persiapan rapi Anuar Zain

    Posted: 23 Jul 2011 05:41 PM PDT


    Peminat adalah segala-galanya dalam karier penyanyi ini.


    PENYANYI Lelaki Ini punya rancangan tersendiri untuk penambah baik dalam arena nyanyian tempatan. Buat peringkat awal, dia berhasrat untuk menghulurkan pertolongan pembangunan potensi di kalangan generasi muda.

    Bagi Anuar Zain, golongan tersebut banyak mensia-siakan bakat terpendam sedangkan mereka punya banyak keistimewaan yang boleh diketengahkan secara komersial.

    Tidak kira sama ada dalam bidang muzik atau mana-mana lapangan disiplin lain yang menjadi minat utama.

    "Sebenarnya, saya ada merencana untuk menyertai program motivasi buat generasi muda terutama anak Melayu kita. Saya nak bagi ceramah tentang apa yang penting dalam kehidupan. Mahu mereka lebih banyak berfikir dan merancang masa depan mereka sendiri.

    "Perkara ini sudah lama impikan. Perkongsian yang berasaskan kepada pengalaman hidup saya. Saya nak kongsi cerita termasuk dalam soal kerjaya dan kejayaan yang pernah dikecapi sebelum ini.

    "Insya Allah, hasrat saya ini dapat memberi banyak manfaat kepada semua pihak," kata Anuar Zain baru-baru ini.

    Pertemuan dilakukan selepas persembahan Up, Close and Personal With Anuar Zain di Menara Kuala Lumpur.

    Persembahan eksklusif itu merupakan sebahagian daripada acara Festival Kuala Lumpur 2011 yang berlangsung sepanjang bulan Julai lalu.

    Mengajukan persoalan sama ada wujud perbezaan buat dirinya selepas merangkul anugerah khas Oxford Centre for Leadership (Oxcell) di London pada 6 Jun lalu, lelaki ini dilihat tersenyum.

    "Sebenarnya, ada banyak benda personal yang berlaku dalam hidup saya. Tapi saya tak nak cerita bab itu. Apa pun, anugerah yang dikurniakan kepada saya itu sememangnya banyak mengundang rezeki kepada saya.

    "Pendedahan saya dalam bidang ini semakin besar dan tanpa disangka juga, perhatian yang diberikan kepada masyarakat kepada saya juga berubah," dedah lelaki ini tanpa berselindung tentang perasaannya selepas namanya mengharum di peringkat antarabangsa.

    Ditanya adakah Anuar punya rencana lain bersama pihak Oxcell termasuk membentangkan soal masa depan industri hiburan tanah air di peringkat antarabangsa, lelaki ini mengiyakan.

    Katanya, semua rancangan yang disenaraikan itu telah dibincangkan bersama. Sudah pasti juga Anuar teruja untuk melaksanakan tanggungjawab barunya sebagai duta kecil negara.

    Dalam perkembangan berlainan, Anuar menyatakan hasrat untuk membuat konsert andai menemui penaja bersesuaian satu masa nanti.

    Dedahnya, impian tersebut itu seringkali terbantut disebabkan pelbagai faktor. Apabila masih ada pihak yang menyangka dia sengaja meletakkan kos tinggi sama seperti persembahan eksklusifnya itu.

    "Perkiraan untuk membuat konsert berskala besar memang sudah lama dalam agenda hidup saya. Cuma saya masih belum menemui yang bersesuaian sebab kerja untuk meyakinkan pihak penaja bukan perkara mudah.

    "Minta maaf, saya pula bukan jenis yang suka untuk memaklumkan perihal kewangan melibatkan harga pentas saya ini secara terang-terangan. Bagi saya, biarlah dilakukan secara perbincangan empat mata di belakang tabir," katanya jujur.

    Ditanya adakah Anuar akan menurunkan sedikit pembayaran persembahan pentas semata-mata untuk menghiburkan para peminatnya, lelaki berusia 41 tahun ini menyungging senyuman.

    "Sebenarnya memang sukar untuk mengulas perkara ini. Kalau saya turunkan 'harga' saya bermakna hati saya tak ikhlas. Sebab terikat dengan macam-macam komitmen dalam persembahan terutama pasukan ahli muzik saya.

    "Begitu juga dengan soal makanan dan pentas. Saya cukup prihatin. Sebab kalau boleh saya mahukan sesuatu persembahan yang boleh diingati dalam tempoh lima atau enam tahun berikutnya. Kepuasan peminat adalah matlamat saya," dedahnya yang berharap agar penjelasannya itu dapat memuaskan hati semua pihak.

    Di hujung pertemuan tersebut, Anuar turut berkongsi cerita tentang album terbarunya yang bakal memuatkan lapan lagu tidak lama lagi.

    Janji Anuar, produk terbaru berkenaan pasti menjanjikan satu halwa baru buat pendengar kerana menghimpunkan pakar muzik cukup berpengalaman dalam mengadunkan 'bayi' terbarunya itu.

    Ciplak lagu orang

    Posted: 23 Jul 2011 05:40 PM PDT




    BARU-baru ini, kumpulan After School Blue telah dituduh menciplak karya orang lain dan ia boleh dilihat menerusi lagu single mereka yang berjudul Wonder Boy.

    Kumpulan ini dikatakan telah menciplak lagu berjudul Forever Love nyanyian asal Fin.K.L, sebuah kumpulan yang pernah popular awal tahun 90-an satu ketika dahulu.

    Wonder Boy dikatakan mempunyai melodi dan lirik yang sama dengan lagu Forever Love.

    Pun begitu, agensi After School memberi respons bahawa mereka menyedari mengenai persamaan tersebut namun menafikan ianya ditiru bulat-bulat oleh pihak mereka.

    "Memang benar kami hasilkan lagu Wonder Boy berdasarkan lagu Forever Love. Tetapi konsepnya banyak terarah kepada muzik yang lebih santai dan comel. Kami pun bukannya sengaja mahu mencetuskan kontroversi soal plagiat ini.

    "Forever Love mempunyai lirik yang ringan dan muzik yang rancak, yang merupakan faktor kepada populariti lagu tersebut.

    "Namun hakikatnya After School dan Fin.K.L adalah berbeza. Cuba dengar semula lagu tersebut, anda pasti dapat menilainya dengan baik," katanya.

    Dalam pada itu, After School Blue akan membuat kemunculan rasmi di Jepun pada 17 Ogos ini.

    Tidak pergi sekolah lagi

    Posted: 23 Jul 2011 05:39 PM PDT




    SEJAK bergelar penyanyi dan sibuk dengan konsert jelajah, penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber tidak lagi pergi ke sekolah seperti remaja sebaya dengannya.

    Namun, Justin masih lagi menyimpan keinginan untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

    "Kalau pengajian berkaitan dengan karier sudah semestinya saya akan melakukannya. Tetapi ia bukan menjadi fokus saya buat sementara waktu ini.

    "Bagaimanapun saya mempunyai seorang tutor yang mengikuti saya ke mana-mana sahaja. Ada juga beberapa mata pelajaran yang tidak saya sukai seperti matematik, tetapi terpaksa juga belajar kerana ia merupakan ilmu yang harus kita ketahui," katanya.

    Tambah Justin, jika diberi peluang untuk menyambung pelajaran, dia ingin mengambil bidang yang diminatinya iaitu muzik serta ingin belajar bermain alatan muzik untuk menguatkan kariernya sebagai orang seni.

    Juara milik Nor Asma & Nurul Faizatul

    Posted: 23 Jul 2011 05:38 PM PDT


    Nor Asma Che Som, 25, tersenyum bangga dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya kategori b.


    SAMBUTAN yang diterima sepanjang Fiesta Bera 2011 berlangsung dua minggu sudah memang cukup hangat. Namun jangan tak tahu, tempias kemeriahan fiesta juga turut dirasai semua peserta pertandingan Ratu Kebaya Pahang Mak Dara 2011!

    Merupakan lokasi keenam selepas Melaka, pertandingan kali ini telah disertai seramai 25 peserta yang tentunya bukan sahaja dari daerah Bera, tetapi seluruh negeri Pahang.

    Diadakan di Tapak Expo Daerah Bera, pertandingan kali ini telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nurul Faizatul Othman, 24.

    Kemenangan Faizatul dilihat cukup istimewa kerana selain telah bergelar ibu, dia juga telah mengejutkan barisan juri apabila mendedahkan bahawa dia bertugas sebagai seorang anggota polis berpangkat konstabel.

    Juri yang dibarisi oleh pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib dan dua pelakon terkenal iaitu Abby Abadi dan Neelofa ternyata kagum dengan bakat yang ada pada Faizatul meski dia dilihat memiliki ciri-ciri kelembutan dan keayuan seorang wanita Melayu.

    Menurut Faizatul, misi utama dia menyertai pertandingan adalah untuk membuka mata umum bahawa tidak semua wanita yang bertugas sebagai anggota polis tidak boleh menyertai pertandingan ratu sedemikian.

    "Sebagai anggota polis, saya sememangnya dilatih dengan disiplin yang ketat dan diterapkan dengan komitmen yang tinggi terutama ketika menjalankan tugas.

    "Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mempunyai kelembutan sebagai seorang wanita Melayu. Jadi saya mahu buktikan bahawa saya juga boleh lakukannya seperti ratu-ratu cantik yang lain.

    "Lagipun tak salah saya mencuba, " katanya.

    Kemenangan Faizatul sekali gus melayakkan dia pulang dengan gelaran juara Ratu Kebaya Pahang Mak Dara untuk kategori A yang dikhaskan kepada wanita yang mempunyai berat badan 59 kilogram ke bawah.

    Keterujaan tentunya semakin terserlah di wajah Faizatul apabila dia diumumkan turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest' Secret bernilai RM500 serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia.

    Menumpaskan 15 peserta yang lain, kemenangan Faizatul itu turut menyaksikan Fatin Yang Maida Ramli, 24, sebagai naib juara manakala Rosmaliza Rameli, 25, pemenang di tempat ketiga.

    Sementara itu, untuk kategori B (60 ke atas), juri telah sebulat suara memilih Nor Asma Che Som, 25, yang merupakan seorang suri rumah dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.

    Pulang membawa hadiah wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest' Secret (RM500) serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia, Nor Asma ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah bergelar juara.

    Menurut Nor Asma, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut apalagi penyertaan itu pada awalnya disertai secara suka-suka selain berniat mahu mencuba nasib.

    "Tak sangka pula menang. Saya anggap ini rezeki anaklah. Apa yang menyebabkan saya lebih terharu, sebelum saya masuk pertandingan ini, ramai di antara kawan-kawan yang memandang rendah.

    "Iyalah..sebab saya ni montel. Tapi saya tetapkan juga keyakinan bahawa saya boleh lakukannya dan ternyata saya berjaya membuktikannya sekarang," katanya bangga.

    Kemenangan Nor Asma diikuti oleh Hafidah Abdul Malik, 28, meraih tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Rosmawati Rahmat, 29.

    Sementara itu, pencarian Ratu Kebaya di Negeri Sembilan, Johor Bharu dan berikutnya, akan diteruskan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

    Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, sila dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini yang akan dimaklumkan menerusi sisipan Pancaindera dari semasa ke semasa.

    Forteen sedia dikritik

    Posted: 23 Jul 2011 05:38 PM PDT




    BUKAN sesuatu yang pelik apabila anda melihat dunia hiburan tanah air dilanda kemunculan kumpulan-kumpulan yang terarah kepada imej Pop Korea atau K-pop sekarang.

    Apalagi, demam K-pop sudah semakin sebati di kalangan peminat-peminat fanatik genre itu yang kebanyakannya adalah golongan remaja.

    Meski dilihat turut menerima tempias K-pop, namun itu bukanlah objektif utama yang menyeret kumpulan Forteen.

    Lebih-lebih lagi selepas bakat nyanyian mereka telah diintai dan disunting oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim di bawah KRU.

    Dianggotai empat jejaka tampan, One, Ameer, Ariz dan Izzue, Forteen yang baru sahaja memulakan langkah sebagai anak seni sejak empat bulan lalu dilihat amat mustahil mampu menepis kritikan yang pastinya menyamakan mereka dengan fenomena K-pop itu.

    Mengaku mempunyai kelainan berbanding lambakan kumpulan lain, Forteen lebih selesa untuk dikenali dengan imej Melayu Pop atau M-pop.

    Tampil sebagai ketua kumpulan, kata Ariz, genre K-pop mungkin menjadi rujukan sesetengah kumpulan baru lain, namun Forteen punya identiti tersendiri walau tercalit gaya ala Kpop.

    "Bezanya adalah kami lebih fokus pada kumpulan vokal. Kalau K-pop, kebanyakan mereka cenderung menggunakan elemen tarian berbanding vokal.

    "Walaupun K-pop tengah hangat sekarang, namun kami tak jadikan genre itu sebagai rujukan utama.

    "Kalau di Malaysia anda boleh andaikan kami seperti kumpulan Phyne Ballerz, V.E atau X-Factor.

    "Kalau dalam versi barat, imej kami ini lebih cenderung seperti kumpulan Westlife atau Backstreet Boys," katanya.

    Dalam pada itu, kumpulan yang mula mendapat perhatian menerusi single berjudul Berdua Bersatu ini juga tidak menolak bahawa mereka sudah mula merasai bunga-bunga kritikan daripada segelintir pihak yang tersalah faham mengenai imej mereka.

    Hal ini diakui sendiri oleh One, yang dahulunya pernah menempa nama sebagai salah seorang peserta program realiti televisyen, One In A Million (OIAM) musim ketiga.

    Menurut One, sebagai sebuah kumpulan baru, kritikan tentunya akan wujud dan Forteen tidak terkecuali daripada menerima pengalaman sedemikian meski masih baru.

    Namun, kata One, ia bukanlah penghalang buat keempat-

    empat mereka untuk cepat berundur dan berputus asa.

    "Kami tak pernah menganggap kritikan atau kutukan itu sebagai sesuatu yang buruk. Kadang-kadang, ia banyak mendatangkan perkara positif dan rasanya tak perlulah kami buang semua kritikan.

    "Forteen optimistik dan kami akan ambil segala yang mendatangkan kebaikan buat kami terutama komen-komen yang membina. Kami sedia dikritik.

    "Bagaimanapun kami juga tak salahkan peminat kerana mereka berhak menilai dan memberi komen.

    "Jadi apa yang kami perlu lakukan ialah berikan yang terbaik dan puaskan pendengar melalui bakat nyanyian kami," ujarnya.

    Mahu glamor

    Dunia hiburan tentunya penuh dengan warna-warna glamor.

    Tanyalah pada sesiapapun, tidak ada artis di luar sana yang tidak mahu diri mereka disimbah dengan sorotan lampu glamor dan perhatian mata umum.

    Namun, tidak ramai artis di negara ini yang tahu mengenai harga yang wajar untuk 'membeli' tiket glamor terutamanya bagi pelapis baru dalam industri ini.

    Menyedari rupa bukanlah ukuran untuk mencipta nama, Forteen yang diwakili oleh Ameerais pula memberitahu, mereka percaya bakat yang dimiliki mampu membawa mereka ke pentas glamor meski perlu bertatih ke arah itu.

    "Kalau ditanya, ya memang kami mahu dikenali dan glamor sebagai artis. Tapi biarlah sebagai artis yang berbakat dan bukannya dapat perhatian kerana cerita-cerita yang negatif.

    "Kami sedar untuk jadi terkenal, sesebuah kumpulan itu perlu mengekalkan imej yang bersih. Jadi kami akan berusaha ke arah itu," katanya.

    Dalam pada itu, kata Ameerais, dia juga berbangga kerana meskipun masih hijau, namun setakat ini penerimaan peminat terhadap Forteen sangat baik.

    Oleh kerana itu, jelas Ameerais, Forteen akan memastikan mereka terus menghasilkan yang terbaik meskipun satu hari nanti mereka sudah berada di dalam zon selesa.

    Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin mengenali anak buah Edry ini dengan lebih dekat, anda boleh berbuat demikian dengan melayari laman sosial Facebook Forteen.

    Transformers 3 : Kecanggihan teknologi tentera AS

    Posted: 23 Jul 2011 05:37 PM PDT




    SIAPA yang tidak tahu tentang filem aksi sains hebat yang diadaptasi dari siri animasi popular sekitar tahun 80-an ini ? Rata-rata penonton seluruh dunia tidak kira di peringkat umur manapun memang mengetahui tentang kehebatannya.

    Ternyata dua episod terdahulu filem ini memang mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS), namun ke semua negara dari sebelah barat sehinggakan ke benua Asia.

    Filem yang berdurasi dua jam 32 minit ini sememangnya menjadi bualan hangat setiap pengkritik filem yang turut menyatakan ini adalah episod yang terburuk serta yang paling meleret.

    Tidak kisah apa yang hendak dikatakan, namun filem arahan pengarah terkenal Micheal Bay ini sebenarnya mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan matlamat sebenar filem aksi ini perlu dikupas sebaik mungkin bagi memahami intipatinya yang tersembunyi.

    Seperti yang sedia maklum, filem ini adalah mengisahkan berkenaan pertarungan dua kumpulan robot yang ingin merebut kekuasaan sejak zaman lampau lagi, kumpulan tersebut terdiri daripada kumpulan baik yang dikenali Autobot dan kumpulan jahat Decepticon.

    Lebih menarik, kumpulan Autobot telah bekerjasama dengan golongan manusia di bumi bagi menghalang kemaraan kumpulan Decepticon bagi terus menunjukkan kekuasaan mereka.

    Filem yang berlatar belakangkan satu bandar raya terkenal di AS iaitu Chicago, pengarahnya telah berjaya mengubah kawasan bandar yang sibuk itu menjadi satu kawasan peperangan yang amat dahsyat.

    Secara logiknya, kekuasaan dan kehebatan robot-robot tersebut dan ditambah pula dengan ketinggian serta saiznya besar, dengan mata kasar memang kudrat manusia tidak mampu untuk melumpuhkan mereka.

    Namun dalam filem ini, perkara tersebut tidak boleh disangkal lagi apabila, pasukan tentera khas yang dibimbing oleh ketua mereka, Lennox lakonan Josh Duhamel berjaya dengan membantu pasukan Aotobot yang akhirnya memenangi peperangan tersebut.

    Filem ini adalah satu medium yang paling berpengaruh untuk menguatkan lagi tanggapan bahawa pasukan tentera AS adalah salah satu pasukan tentera yang paling hebat di atas muka bumi ini.

    Sebenarnya jika diperhalusi, kekuatan mereka tidaklah sehebat mana seperti yang dipaparkan dalam filem, tetapi teknologi peralatan serta teknik mereka membuatkan umum menyatakan mereka sememangnya hebat.

    Dengan peralatan dan teknologi yang canggih, mereka mampu untuk menumbangkan beberapa robot dari kumpulan Decepticon.

    Dengan pemaparan sut terjun yang boleh mengubah arah dalam filem ini, pasukan tentera AS ini dilihat sebuah pasukan tentera yang sangat hebat tanpa sebarang kecacatan.

    Ditambah pula dengan bantuan dari pasukan bantuan mereka yang dilengkapi dengan jet-jet tempur terbaru, sekali lagi mata penonton seluruh dunia menganggap pasukan tentera AS adalah pasukan tentera yang tidak mampu dilawan oleh mana-mana pasukan tentera yang lain.

    Medium filem adalah satu medium yang paling besar bagi menunjukkan kekuasaan yang diperolehi oleh setiap negara itu, dan medium ini telah diolah oleh pengarah sebaik mungkin bagi menjayakan tujuan asalnya itu.

    Mahu buktikan NASA hebat

    Selain itu juga, filem Transformers: Dark of the Moon ini turut mengupas tentang penyelidikan angkasa lepas dengan memaparkan sejarah kejayaan pihak Agensi Angkasa Lepas AS (NASA) yang berjaya mendaratkan manusia pertama ke bulan pada 20 Julai 1969 lalu melalui kapal angkasa Apollo 11.

    Filem ini memaparkan tentang dua angkasawan terkenal Neil Armstrong dan sahabatnya Edwin Aldrin yang menemui kapal perang rosak yang dimiliki oleh kumpulan Autobot yang menempatkan pejuang mereka yang dikenali Sentinel Prime.

    Penemuan tersebut menjadikan itu adalah satu rahsia kerajaan AS yang paling besar, dan pendedahan tersebut dilakukan setelah rahsia tersebut diketahui oleh Sam Witwicky.

    Sedar atau tidak, perkara ini sebenarnya telah menyangkal sejarah asal yang telah berlaku sebelum ini, sejarah yang tertulis selama ini menyatakan dua angkasawan tersebut hanya berjaya membawa balik pasir dari bulan untuk dijadikan kajian.

    Selain itu juga, filem ini turut memaparkan tentang percanggahan pendapat di antara NASA dan agensi angkasawan Rusia, perkara ini terbukti apabila pihak Rusia dapat merakam gambar dan menjadikan bukti kehadiran kapal angkasa Autobot lebih kukuh berbanding NASA.

    Iman kikis pelat

    Posted: 23 Jul 2011 05:35 PM PDT




    Melihat penampilannya yang ceria pasti ada yang membuat andaian anak muda bernama Sobhan Iman Norman ini baru berusia belasan tahun. Hakikatnya dia sudah mencecah usia 24 tahun.

    Iman juga sudah mula memasuki dunia pekerjaaan dengan membantu bapanya menguruskan sebuah syarikat berkaitan pembinaan selepas tamat pengajian peringkat diploma dalam bidang pembinaan.

    "Saya tak tahu nak kata ia sebagai kelebihan atau kekurangan, tapi bagi saya apa yang membuatkan seseorang dewasa ialah daripada pekerjaannya, pergaulan dan bagaimana berkomunikasi dengan seseorang," kata Iman kepada Pancaindera.

    Dia akui personalitinya kadang-kadang nampak macam suka main-main dan tidak memandang serius satu-satu perkara, namun apabila masuk bab kerja dia melakukan dengan bersungguh-sungguh. Sebab itu rutin hariannya juga kelihatan sibuk.

    Temubual yang dirancang dengannya minggu lalu terpaksa ditangguhkan sebab banyak perkara yang mahu diselesaikannya terlebih dahulu. Iman juga serius dalam bidang seni yang sedang diceburinya.

    Wajah kacukan Melayu Johor sebelah bapa dan Iran sebelah ibunya membuatkan Iman kelihatan berbeza. Semasa ke Iran, dia nampak asing kerana tiada wajah persis anak muda Iran.

    Malah bila balik ke kampung bapanya di Bakri, Muar juga, dia juga nampak berbeza berbanding saudara-mara lain. Namun wajah berbeza itulah yang memberi kelebihan kepadanya bila menyertai bidang peragaan.

    "Sebenarnya wajah saya pernah menghiasi iklan cetak sejak berusia dua tahun lagi. Ibu saya membawa saya apabila ada pihak yang tertarik dengan saya untuk kempen pos laju. Semasa dalam darjah dua saya muncul dalam iklan produk majerin.

    "Tapi selepas itu saya rasa malu pula untuk terlibat dalam peragaan. Ada tawaran tapi saya segan melihat wajah saya dalam iklan. Semasa mula masuk kolej barulah saya kembali berminat.

    "Itupun saya fikir mahu membuat peragaan untuk mendapatkan wang saku sendiri sambil belajar. Sejak kembali dalam peragaan sekitar tahun 2008 sehingga sekarang banyak juga tawaran yang saya terima," kata Iman yang dilihat dalam iklan terbaru restoran makanan segera popular dan banyak iklan lagi.

    Iman juga pernah berlakon teater berjudul Bear In Pawn Shop di KL Pac tahun lalu. Dia belajar teater dengan aktivis teater terkemuka Joe Hasham. Daripada situlah dia berpeluang muncul di pentas teater.

    "Saya memang meminati teater dan saya seronok dapat peluang berlakon teater. Tapi sekarang saya sibuk dengan kerja. Saya harap saya dapat membahagikan masa bekerja dan terlibat dalam bidang seni.

    "Saya ada juga menjalani uji bakat berlakon drama Melayu, tapi saya gagal kerana pertuturan bahasa Melayu saya agak pelat. Saya fasih berbahasa Melayu, tapi bunyinya pelat.

    "Saya akan berusaha memperbaiki pertuturan saya. Saya yakin kalau saya kerap balik kampung di Muar, saya akan dapat memperbaiki pertuturan saya sedikit demi sedikit," kata Iman.

    Dia akui keluarganya banyak bertutur dalam Bahasa Inggeris semasa di rumah. Malah ibu dan bapanya juga berjumpa semasa sama-sama belajar di luar negara.

    "Saya juga boleh bercakap bahasa Parsi sebab semasa kecil pernah membesar di Iran. Malah datuk dan nenek saya juga tinggal di Malaysia sebelum mereka meninggal dunia," jelas Iman.

    Sementara itu Iman ada hasrat untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang pembangunan inviromental. Dia sedang mencari universiti terbaik yang menawarkan kursus sedemikian.

    "Saya sedang mencari tempat untuk menyambung pengajian. Saya nampak negara Skandinavia menawarkan kursus terbaik dalam bidang ini," katanya lagi.

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

    Copyright 2010 All Rights Reserved