Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Dugaan, kekuatan & lupakan yang lalu
- Nadia Zainal Tidak Rasa Pelik Sambut Syawal Di Kota
- Rezeki Nyanyian Caroline Dikongsi Dengan Keluarga
- Hati Rita sudah kosong
- Aiman bawa obor di London
- Standard kualiti 100%
- Keseronokan Nex
- Bukan sekadar seronok di puncak
- Fenomena lapisan air tawar dan masin
- Mencari hidangan halal di Taiwan
- Jururawat IPPT berbakti di Darul Hanan
Dugaan, kekuatan & lupakan yang lalu Posted: 24 Aug 2012 05:36 PM PDT SEBALIK lirikan matanya yang sesekali bagai menyembunyikan sesuatu, gadis jelita ini tidak henti memikirkan segala kerja dan komitmennya. Meskipun luarannya tampak penat dengan kelibatnya terkejar-kejar membelek skrip pengacara, menjawab telefon akan tarikh penggambarannya dan kini terpaksa memikirkan soal pelbagai produk yang mengangkatnya sebagai duta, Neelofa hanya mengukir senyum. Celahnya tatkala sibuk menyarungkan busana indah rekaan Jovian Mandagie yang baru dibelinya petang sebelum sesi fotografi itu, letih itu adalah penyuntik semangat buatnya untuk terus bekerja selagi mampu kerana kian entah bila lagi peluang sebegitu diberikan lagi kepadanya. Hakikatnya, gadis berkulit gebu putih berusia 23 tahun ini memang kuat bekerja.
| ||||||||
Nadia Zainal Tidak Rasa Pelik Sambut Syawal Di Kota Posted: 24 Aug 2012 05:35 PM PDT PETALING JAYA: Berhari raya di kota besar mungkin asing bagi sesetengah individu tetapi ia bukan pengalaman pelik buat pelakon Nadia Zainal yang sememangnya berasal dari Kuala Lumpur. Nadia atau lebih mesra dengan sapaan Nad berkata, tiada perbezaan menyambut Syawal di bandar kerana apa yang penting semua ahli keluarga dapat berkumpul untuk bermaaf-maafan dan saling ziarah menziarahi. "Mungkin pada sesetengah orang menganggap berhari raya di bandar tidak seronok tetapi bagi saya, ia tetap disambut meriah. "Bagaimanapun harus saya akui perayaan di kampung lebih terasa kerana suasananya yang berbeza," ujarnya kepada mStar Online. Sempat menceritakan memori hari rayanya bersama keluarga, Nadia memberitahu pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan apabila dia berjaya mengumpul duit raya yang hampir sama nilai dengan gaji ayahnya. "Banyak wang yang saya dapat daripada saudara mara dan saya asyik mengira wang itu kerana saya tidak percaya dengan jumlah yang dikutip," ujarnya yang menjadikan nasi himpit dan kuah kacang sebagai pilihan utama pada hari lebaran. Dalam perkembangan sama, sambutan Aidilfitri bagi Nadia pada tahun ini diraikan agak singkat kerana dia akan kembali ke set penggambaran filem "Kami Histeria" terbitan Red Communications yang turut dibarisi bersama pelakon seperti Sara Ali, Mila Jirin dan Umi Omar. | ||||||||
Rezeki Nyanyian Caroline Dikongsi Dengan Keluarga Posted: 24 Aug 2012 05:33 PM PDT PETALING JAYA: Juara program Mentor musim keenam, Caroline bersyukur rezekinya dalam bidang nyanyian semakin bertambah kerana ia dapat membantu keluarganya di kampung. Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel berkata, sejak awal penglibatannya dalam dunia nyanyian dia berhasrat untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan syukurlah apabila dia dapat membuktikan hasrat itu. "Alhamdulillah saya dapat menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak kepada ibu bapa dan keluarga di kampung. "Walaupun tidak banyak tetapi sebagai permulaan bolehlah membantu meringankan beban mereka," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Caroline berkata, dia mengakui semakin selesa apabila mula dikenali ramai dan menganggap perkara itu sebagai tanda baik untuk peningkatan kerjayanya sebagai penyanyi. Caroline berkata, dia berharap populariti itu tidak akan menghanyutkan dirinya dalam dunia seni yang diterokainya ini. "Mulanya saya agak kekok dengan dunia glamor yang saya tempuhi tetapi apabila semakin ramai orang mengenali dan menegur saya ketika berada di luar, saya mula berasa selesa. "Harap-harap ia akan memberikan petanda baik buat kerjaya saya dan bukannya hanya bersifat sementara," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai keputusannya untuk tinggal bersama mentornya iaitu Ella, Caroline berkata, ia dibuat kerana Ella tidak membenarkan dia tinggal bersendirian atas faktor keselamatan. Caroline memberitahu, Ella yang telah dianggap sebagai kakak itu cukup mengambil berat dan dia sentiasa berterima kasih dengan kebaikan penyanyi itu. "Namun bukanlah selama-lamanya saya akan tinggal dengan Ella kerana dia pun sudah berkahwin, cuma ia hanya sementara waktu. "Saya sendiri takut tinggal sendirian di kota besar dan kalau dah mula biasa dengan keadaan di sini mungkin saya akan berpindah," katanya. Sementara itu, Caroline sedang menunggu single pertamanya yang berjudul Melawan Arus Cintamu dimainkan di stesen radio tempatan dalam masa terdekat. Dia juga tidak sabar untuk melihat reaksi pendengar terhadap lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai itu. | ||||||||
Posted: 24 Aug 2012 05:30 PM PDT
PERTEMUAN Kosmo! dengan aktres jelita Rita Rudaini, 36, untuk merakam suasana raya dirinya bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun, berlangsung dalam keadaan cukup tenteram di kediaman Rita di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Cuma sekali-sekala anak-anaknya meragam, mahu dipeluk dan didukung ibunya yang ketika itu sedang sibuk disolek oleh jurusolek Tiar Zainal. Apabila semua sudah bersedia, tanpa disuruh ketiga-tiga mereka beraksi dengan penuh gaya terutama anak sulung Rita, Rayyan yang seperti tidak sabar menyambut raya tatkala disarungkan baju Melayu. Qaqa pula tidak henti-henti berjalan di sekeliling rumah kerana baru sahaja pandai berjalan. Kata Rita: "Macam inilah anak-anak saya, tetapi saya seronok sebab dapat saksikan mereka membesar di depan mata saya sendiri. "Setiap momen istimewa anak-anak seperti gigi pertama tumbuh, langkah pertama serta perkataan pertama yang disebut semuanya terpahat dalam ingatan saya." Sememangnya anak-anak Rita membesar dengan baik, namun jauh di sudut hatinya, Rita tahu anak-anaknya kehilangan sesuatu yang sangat besar iaitu kasih sayang dan belaian seorang ayah. "Sekarang ini, sayalah ibu dan ayah untuk anak-anak saya sejak Aidil meninggalkan rumah tujuh bulan yang lalu. Anak-anak pun jarang bertanya tentang ayah mereka kerana sejak kecil lagi ayah mereka jarang menghabiskan masa bersama. "Sebagai ibu, saya akan melakukan yang terbaik supaya anak-anak saya tidak rasa kekurangan walau sedikitpun berbanding orang lain disebabkan masalah rumah tangga saya dan Aidil," luah Rita penuh serius. Ketika di Malaysia sedang kecoh dengan isu rumah tangganya, sekitar Jun lalu Rita sempat menenangkan diri seketika ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama anak sulungnya. Akui Rita, pemergiannya ke Tanah Suci adalah untuk mengumpul kekuatan bagi menempuh hari-hari yang mendatang. "Saya berdoa, jika perkara yang baik dekatkan dengan saya, jika perkara yang buruk harap dijauhkan selain berdoa yang terbaik untuk keluarga saya," ucap Rita sedikit perlahan. Naik turun mahkamah Cukup panjang sejarah Rita dan suaminya di mahkamah, umpama main tarik tali, pada Oktober 2010, Aidil atau nama penuhnya, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 25, membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka dan permohonan perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban. Kemudian pada 20 Januari lalu, Aidil telah keluar daripada kediaman mereka. Selepas itu, sekitar April lalu, Aidil menghantar permohonan cerai yang kemudiannya ditarik balik dan selepas itu membuat permohonan kembali taat.
Kata Rita: "Saya sendiri pening apatah lagi orang lain yang membaca rentetan kisah rumah tangga kami. Hakim telah menasihat Aidil untuk menyelesaikan kes ini secara baik sempena bulan Ramadan. "Apa yang saya tahu, pada 25 September ini saya akan naik mahkamah sekali lagi berhubung hak penjagaan anak-anak walaupun pada dasarnya kami belum lagi bercerai." Ditebak soalan masih adakah kasih dan cinta buat suaminya itu, dia termenung seketika, mungkin untuk bertanya kepada hatinya sebelum akhirnya dia nekad menggeleng-gelengkan kepalanya. "Jujur, hati saya sudah kosong untuk dia. Air mata saya sudah kering untuk menangis, sudah tidak ada apa lagi," akuinya. Ditanya adakah itu bermakna dia sudah bersedia untuk hidup sendirian sebagai ibu tunggal andai itulah takdir yang tertulis untuknya, Rita mengiakannya. "Saya sudah sangat bersedia untuk segala kemungkinan, diceraikan atau tidak diceraikan. Saya tidak takut untuk menjadi ibu tunggal kerana selama ini pun saya menjalani hidup sendirian dengan anak-anak. "Sebelum ini ya, saya takut. Saya menangis sekarang tidak lagi kerana saya sudah menerima nasib yang menimpa saya. Ketika pertama kali berlaku krisis rumah tangga, keluarga saya menasihatkan saya untuk berbaik semula dengan Aidil. "Namun, apabila kejadian yang sama berulang untuk kali kedua, keluarga menyerahkan segala keputusan kepada saya. Mereka hanya mahu lihat saya bahagia," tutur sambil mendukung anak bongsunya itu. Walaupun apa yang terjadi antara dirinya dengan suami, Rita akur Aidil tetap bapa kepada anak-anaknya dan dia tidak pernah menghalang suaminya itu untuk berjumpa dengan mereka. "Saya tidak mahu dipersalahkan jika anak-anak tidak kenal ayah mereka sendiri, jadi saya tidak pernah halang mereka untuk berjumpa. "Setakat hari ini, Aidil hanya bertanya khabar tentang anak-anak kami menerusi panggilan telefon sahaja. Jika dia ingin datang ke rumah jumpa anak-anak, silakan, saya tidak kisah," tegas Rita. Azam baharu Sudah terbiasa barangkali, ujar Rita, tahun ini merupakan kali kedua dia meraikan Aidilfitri tanpa insan bergelar suami di sisi. Tidak janggal mahupun sunyi, kata Rita, anak-anak serta keluarga sudah cukup untuk membuatkannya bahagia. "Aidil sudah meninggalkan rumah selama tujuh bulan, jadi saya dan anak-anak sudah membiasakan diri tanpa kehadiran dirinya. "Raya mahupun hari-hari lain tidak ada perbezaan buat saya. Apa yang penting, saya mahu beraya sakan tahun ini. Suami ada ataupun tiada, sama sahaja," katanya yang mempunyai empat pasang baju raya tahun ini. Rita yang pulang ke kampungnya di Kangar, Perlis selama seminggu untuk beraya, memberitahu, selama empat tahun berkahwin dengan Aidil, dia lebih banyak menjaga kepentingan hati orang lain daripada diri sendiri. Tidak mahu berterusan meratap kalah kepada dugaan yang diberi kepadanya, Rita mempunyai azam baharu demi masa depan dirinya dan anak-anak. "Memang selama ini saya selalu pentingkan orang lain sehingga tidak menjaga hati dan perasaan sendiri. Tahun ini, saya berazam untuk gembirakan diri sendiri dan anak-anak terlebih dahulu berbanding orang lain," ujarnya yang pada tahun ini memakai busana berwarna ungu sedondon dengan warna baju anak-anaknya di pagi raya. Penggemar laksa dan ketupat palas yang merupakan menu wajibnya di hari raya berkata, dia mempunyai pilihan dalam hidupnya dan kini memilih untuk hidup lebih bahagia walaupun masalahnya setinggi gunung. "Tahun ini saya lebih bahagia dan lebih ceria, orang sekeliling pasti berasa kasihan pada saya tetapi tidak perlu kerana sekarang saya benar-benar bahagia dengan kehidupan saya. "Allah maha adil, apa yang berlaku sekarang pasti ada hikmah pada kemudian hari, jadi apa yang boleh saya lakukan pasrah, berdoa dan hadapi hari-hari mendatang dengan tenang," luahnya. | ||||||||
Posted: 24 Aug 2012 05:28 PM PDT
PETANG itu, suasana di sekitar bandar Nottingham, United Kingdom tampak meriah daripada hari biasa. Di sana sini, kelihatan orang ramai yang entah dari mana mula berkumpul di sepanjang laluan menuju ke arah pusat bandar itu. Masing-masing kelihatan ceria dan teruja. Umpama sedang berpesta, mereka bersorak dan menari tanpa henti, meniup wisel, siren, memukul gendang dan pelbagai bunyi-bunyian lain sekali gus menggamatkan suasana. Ahmad Aiman Asmayatim, 16, hanya memerhatikan pelbagai gelagat manusia di sekelilingnya. Seperti mereka, dia juga agak teruja menantikan acara larian obor Sukan Olimpik 2012 yang sedang berlangsung itu. Selepas 41 hari diarak ke seluruh United Kingdom, api obor itu 'menyala' seketika di Nottingham, sebelum tiba ke destinasi terakhirnya di London pada 27 Julai lalu. Bezanya, kehadiran Ahmad Aiman atau lebih mesra dengan panggilan Aiman, pelajar tingkatan empat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak di situ pada hari itu bukan sebagai penonton, tetapi sebagai pembawa obor. Dia merupakan salah seorang daripada 19 pembawa obor dari Azerbaijan, Brazil, Bangladesh, Mesir, Utopia, Ghana, Jordan, India, Indonesia, Mozambique, Nigeria, Palau, Afrika Selatan, Tanzania, Turki, Trinidad and Tobago, Uganda dan Zambia yang mendapat peluang keemasan itu melalui Program International Inspiration And Young Sports Leaders (II) pada 23 hingga 29 Jun lalu. Tambah Aiman, program anjuran Lembaga Olimpik Malaysia melalui kerjasama antara UK Sport, Dana Kecemasan Pendidikan dan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), British Council dan Jawatankuasa Penganjuran London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik itu membolehkan dia mengenali rakan-rakan baharu yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang. Rasa gementar "Kami banyak berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu. "Di samping itu, rutin kami sepanjang tujuh hari di sana juga padat dengan pelbagai aktiviti dan acara lawatan di samping bertemu pegawai-pegawai tertinggi British Council dan Jawatankuasa Penganjuran London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik. "Kemuncak program ialah ketika kami semua dibawa ke Nottingham untuk menyertai acara larian obor yang diadakan di sana," katanya. Bercerita tentang pengalamannya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia menjadi peserta kedua di dalam kumpulan seramai 10 orang. Biarpun agak gementar pada mulanya, namun semua perasaan itu hilang sebaik sahaja obor yang menjadi simbol temasya sukan paling berprestij di dunia itu berada di tangannya. "Segala-galanya berlaku dengan pantas. Tahu-tahu saja sudah sampai giliran saya. "Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu, bangga, seronok, teruja, semuanya bercampur-baur. Saya tak pernah bayangkan akan menjadi sebahagian daripada sejarah Sukan Olimpik," ceritanya. Ketika memulakan larian, hanya nama Malaysia sahaja yang bermain di fikirannya. "Sorakan dan tepukan gemuruh dan lampu kamera yang tidak putus-putus mengenai wajah membuatkan saya seperti seorang bintang. "Paling mengharukan, di celah wajah-wajah asing di kiri dan kanan jalan, saya sempat memerhatikan beberapa rakyat Malaysia yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang. "Semasa larian tamat, ada antaranya yang datang menghampiri dan memberitahu mereka bangga melihat anak Malaysia yang diberi penghormatan sedemikian," ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang penyiasat suatu hari nanti. Menyusuri perjalanan hidup remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu, dia sememangnya seorang yang aktif dan cemerlang dalam pelajaran sejak di sekolah rendah lagi. Ibunya, Zuriati Ashaari, 49, bangga dengan pencapaian anaknya itu yang sebelum ini merupakan seorang yang agak pendiam dan rendah diri kerana bentuk fizikalnya yang agak gempal. Prestasi cemerlang "Saya selalu menasihatkan dia agar tidak mempedulikan usikan rakan-rakannya itu, sebaliknya cuba mengenali potensi dirinya untuk menjadi seorang insan yang cemerlang dan terbilang. "Alhamdulillah, Aiman berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam peperiksaan. "Pada masa yang sama dia sering mewakili sekolahnya dalam pelbagai acara sukan dan kokurikulum," katanya yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman. Jelas Zuriati, seperti abangnya, Ali Asyraf, 22, Aiman mula menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi yang ada di dalam dirinya termasuk ketika mendapat tawaran di STAR. Pada masa ini, dia merupakan pembahas pasukan Bahasa Melayu, ahli Badan Dakwah dan Rohani, pemain ragbi dan Ahli Kelab Young Sport Leader di sekolahnya. "Saya gembira apabila diberitahu Aiman terpilih untuk mengikuti program di UK baru-baru ini. "Biarpun tidak berpeluang mencipta nama sebagai atlet negara yang berjuang di pentas Olimpik, namun sekurang-kurangnya kejayaannya menjadi peserta tunggal negara ke acara itu kini terpahat di dalam lipatan sejarah," jelasnya. Sementara itu, Penolong Kanan STAR, Dr. Mior Hamdan Ghazali berkata, kejayaan Aiman itu sedikit sebanyak telah berjaya mengharumkan nama sekolah. Beliau tidak menyangka daripada puluhan calon yang telah ditapis dan ditemuduga oleh British Council di Malaysia, pelajar sekolah terpilih mewakili negara ke acara itu. "Sejak program II dilancarkan di sekolah ini kira-kira tiga tahun lalu, ia telah melahirkan ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah mempunyai daya kepimpinan yang dinamik. "Aiman salah seorang daripadanya. Sebelum ini pun, dia pernah mengikuti lawatan ke beberapa buah sekolah di UK dan segala ilmu dan pengalaman yang dikutipnya di situ kini dicurahkan kepada pelajar-pelajar lain di STAR," katanya. Mior Hamdan berkata, jika dahulu STAR lebih dikenali dengan pencapaian akademik semata-mata, kini melalui program itu, pengurusan sekolah bertekad melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu cemerlang di dalam bidang sukan dan kokurikulum. "Ia boleh dilihat melalui kejayaan beberapa pelajar STAR dalam mengendalikan beberapa acara penting di sekolah sebelum ini. Antaranya, pertandingan Mini Marathon, Mini Olimpik, Striking STAR, STAR Garage dan sebagainya," katanya. | ||||||||
Posted: 24 Aug 2012 05:27 PM PDT
DI Malaysia, nama Isuzu mungkin tidak terlalu gah berbanding pengeluar kenderaan dari Jepun yang lain. Di pasaran tempatan, nama Isuzu lebih berkisar kepada segmen trak pikap menerusi model D-Max, biarpun jenama itu turut dijual dalam bentuk kenderaan komersial seperti ELF dan FORWARD. Biarpun begitu, jika dibesarkan skopnya ke skala global, Isuzu sebenarnya satu jenama yang cukup berpengaruh. Isuzu merupakan pengeluar kenderaan komersial nombor satu di Jepun dan berada di tangga kedua di dunia selepas Daimler dengan pengeluaran mencecah 252,000 unit setahun.
Selaku pakar dalam menghasilkan kenderaan komersial dan enjin diesel, produknya boleh dilihat di serata ceruk dunia. Tidak percaya? Pada tahun 2009, Isuzu telah menghasilkan lebih 21 juta enjin diesel. Pelanggannya juga ramai. Ini termasuklah Renault, Nissan dan General Motors (GM). Walaupun ia menghasilkan trak sejak tahun 1919, uniknya Isuzu juga pernah mengeluarkan model sedan dan kereta kompak. Antara model sedan yang sempat dikeluarkannya ialah Hillman (1961) Bellel (1961), Bellett (1963), Florian (1967), 117 Coupe (1968), Gemini (hasil kerjasama dengan GM) dan banyak lagi.
Namun, sambutan terhadap produk itu tidaklah memberangsangkan. Justeru, Isuzu mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada produk utamanya (enjin diesel dan kenderaan komersial) dan tidak lagi mengeluarkan sedan dan kereta kompak. Selari dengan perkembangan dan penerimaan terhadap produknya, kilang pengeluaran Isuzu berada di pasaran-pasaran utama. Tidak terhad di Jepun, Isuzu turut memiliki kilang di Amerika Syarikat (AS), China, Thailand dan Jerman. Kejayaan yang dikecapi Isuzu sekarang banyak dipengaruhi oleh prinsip pengilangannya yang tidak berkompromi terhadap kualiti. Sistem yang dikenali sebagai Pengurusan Pengilangan Isuzu (Isuzu Manufacturing Management, IMM) itu dilaksanakan di semua kilang Isuzu di seluruh dunia, tidak terkecuali kilang utama Isuzu di Jepun, iaitu kilang Fujisawa. Tahukah anda bahawa enjin dan kerangka sebuah kenderaan komersial melibatkan lebih 1,000 komponen? Jadi, demi mengelakkan berlakunya sebarang kecacatan, Isuzu telah mencipta satu sistem pemeriksaan dan kawalan kualiti yang amat ketat bagi memastikan alat-alat ganti yang rosak tidak akan sampai ke proses seterusnya. Proses pengilangan fleksibel Isuzu juga telah menerapkan konsep jaminan kualiti ke dalam diri para pekerjanya. Tidak cukup dengan itu, sekumpulan penyelia atau pemeriksa akan memantau seksyen-seksyen penting untuk menyokong proses pengurusan kualiti tersebut. Kenderaan komersial memiliki pelbagai konfigurasi dan spesifikasi sebagaimana yang dikehendaki oleh setiap pelanggan. Maka, selaku pengeluar yang memiliki pengalaman luas, Isuzu berupaya memenuhi semua keperluan pelanggannya menerusi satu proses pengilangan yang fleksibel. Maksudnya, satu saluran pengeluaran berupaya untuk menghasilkan berpuluh-puluh kenderaan dengan konfigurasi dan spesifikasi berbeza! Sekali fikir memang ia bukan mudah untuk direalisasikan, tetapi itulah yang mampu dilakukan oleh Isuzu. Selaku pengeluar kenderaan komersial dan enjin diesel utama dunia, Isuzu juga amat mengambil berat terhadap alam sekitar. Ini bukan sekadar cakap kosong, tetapi hampir semua kilang Isuzu telah dianugerahkan piawaian ISO 14001. Kilang-kilangnya berjaya mencapai matlamat sifar emisi dan kini sedang giat menjimatkan tenaga dan sumber alam. Buktinya, ketika matlamat jangka panjangnya untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 30 peratus dari tahun 1990 hingga 2010, kilang-kilang Isuzu sudah berjaya mengurangkan emisi kepada 50 peratus pada tahun 2006. Komitmen Isuzu terhadap masalah pemanasan global turut terserlah menerusi kenderaan dan enjin diesel yang mesra alam. Selain enjin diesel yang jimat, bersih dan bercekapan tinggi, Isuzu turut mengeluarkan kenderaan yang dikuasakan oleh gas asli mampat (CNG) dan mengaplikasikan teknologi hibrid. Hasilnya, model ELF dan FORWARD dengan teknologi CNG telah dikeluarkan secara massa dan menguasai pasaran Jepun sebanyak 79 peratus pada tahun 2006. ELF diesel hibrid pula menemui pengguna pada tahun 2005 dan menerima perubahan penuh dua tahun kemudian. Dengan enjin diesel kompak dan ringan, transmisi automatik mekanikal Smother Ex serta penggunaan bateri jenis lithium, jentera itu menawarkan ketahanan sebuah kenderaan komersial serta penjimatan bahan api yang mengagumkan. Apa yang pasti, Isuzu tidak akan berhenti di sini. Ia akan terus menghasilkan kenderaan komersial dan enjin diesel termaju demi kelangsungan jenamanya serta rasa tanggungjawab kepada alam sekitar. | ||||||||
Posted: 24 Aug 2012 04:26 PM PDT
MASIH ingatkah Suzuki V100? Skuter yang mencetuskan keghairahan dalam industri motosikal sehinggakan kehadirannya jelas kelihatan di merata-rata tempat. Itulah skuter pertama diperkenalkan di Malaysia, jika anda tidak mengambil kira model Passola. Nostalgia keseronokan tunggangan V100 yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu kini kembali terasa apabila saya menunggang produk terbaharu Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) iaitu Suzuki Nex. Kali ini, ia pasti lebih baik.
Nex dilengkapi enjin empat lejang sejukan udara bersesaran 113cc yang diadun bersama sistem transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT). Bagi melengkapkannya, sistem karburator jenis Mikumi BS22 dengan Sensor Posisi Pendikit (TPS) dipasang pada enjin berkenaan. Beberapa komponen dipasang pada Nex untuk menjayakan keefisienan penggunaan petrol dan mengekang kehilangan kuasa enjin. Pertama, TPS memainkan tugas membantu penjimatan bahan bakar dan menjadikan penyampaian kuasa lebih berkesan. Kedua, penggunaan roller rocker arm untuk mengurangkan kesan geseran. Inilah skuter pertama di ASEAN yang dilengkapi komponen tersebut. Ketiga, diameter cemat engkol (crank pin) dikecilkan kepada 25.1 milimeter (mm) berbanding 28mm sebelum ini. Kombinasi pembaharuan komponen itu didakwa membolehkan Suzuki Nex mencatat pengunaan petrol dengan jarak 52 kilometer bagi setiap liter (km/l). Mungkin atas sebab itu, Nex dilengkapi tangki petrol yang berkapasiti kecil iaitu 3.5 liter sahaja.
Saya berpeluang menunggang uji Suzuki Nex selama seminggu. Model skuter baharu itu didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu merah jambu, hijau dan putih. Jentera itu sesuai untuk mereka yang mahukan keseronokan tunggangan atau penggunaan di kawasan bandar. Sistem pengoperasiannya mudah. Masukkan kunci, tarik tuli brek pada sebelah kanan atau kiri hendal, tekan butang penghidup enjin dan pulas sahaja pendikit minyak untuk menggerakkannya. Skuter itu agak lincah menyusuri kesesakan jalan raya, apatah lagi ketika mengemudinya ke arah kiri atau kanan jalan. Kelajuan maksimum yang berjaya diperah ialah 100 kilometer sejam (100km/j). Meskipun beratnya hanya 87 kilogram, jentera itu sememangnya memberi kepuasan kepada saya untuk melayan selekoh pada kelajuan 60 hingga 80 km/j. Kestabilan jentera yang dilengkapi rim berukuran 14 inci itu disokong menerusi titik graviti casis yang agak rendah. Ketinggian tempat duduk Nex ialah 735 milimeter (mm). Apa yang kurang menyenangkan saya ialah ruang tempat meletak kaki. Ia agak sempit untuk kaki saya yang agak panjang. Sekiranya anda memiliki saiz kaki yang lebih pendek, ia tidak menjadi satu masalah besar. Tempat duduknya juga sedikit kecil dan membuatkan punggung kurang selesa ketika menunggang lama.
Sistem suspensi hadapan jenis teleskopik dan belakang (jenis tunggal) memainkan tugas dengan baik. Ia tidak terlalu keras atau lembut. Bagi memberhentikan Nex, khidmat brek jenis cakera hadapan dan drum belakang digunakan. Satu tangki penuh petrol membolehkan saya mencapai jarak perjalanan sejauh 110km. Kadar kelajuan tunggangan pula adalah antara 80 hingga 100km/j. Sememangnya jentera itu memberikan penjimatan petrol jika ditunggang secara berhemah. Berhubung aspek pencahayaan sewaktu tunggangan malam, Nex yang ditawarkan pada harga RM4,218 (harga asas tidak termasuk insurans dan caj-caj lain) itu dikategorikan sebagai agak memuaskan. Jika anda mahukan skuter mampu milik dengan prestasi yang munasabah, mungkin Suzuki Nex menepati keperluan itu. Apa yang pasti, produk itu ternyata menggamit semula memori V100. | ||||||||
Bukan sekadar seronok di puncak Posted: 24 Aug 2012 04:25 PM PDT
TERLETAK gah di puncak Bukit Nanas iaitu 90 meter dari aras laut, Menara Kuala Lumpur merupakan salah satu ikon seni bina dan pelancongan di negara ini. Namanya terus tersohor sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia sehingga mampu menarik kira-kira 800,000 pengunjung setiap tahun. Jumlah pengunjung itu tidak termasuk mereka yang sekadar melawat di bahagian sekitar kaki menara. Menyingkap kembali awal pembinaan pada tahun 1991 sehingga dibuka pada 1996, menara tersebut menjadi topik perbualan rakyat tempatan yang tidak sabar untuk 'memanjat' struktur setinggi 421 meter itu. Ketika itu, apabila mendengar cerita daripada kawan-kawan yang telah berkunjung ke menara berkenaan, rasa tidak sabar pula untuk sama-sama menyaksikan kehebatannya. Reka bentuk Pelbagai cerita menarik didengari dan paling utama adalah pengalaman mereka menyaksikan keindahan bandar raya Kuala Lumpur di puncak awan. Pada usia 16 tahun, populariti Menara Kuala Lumpur tidak pernah pudar, malah kini pelbagai tarikan baharu disediakan buat pengunjungnya. Sebuah syarikat tempatan, Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., bertanggungjawab mereka bentuk menara itu yang dipengaruhi seni bina Islam. Ia juga mendapat sentuhan seni bina tempatan, Jerman dan Perancis. Hiasan dalaman menara yang berbentuk tirus dan tinggi itu dipengaruhi seni bina Islam yang bercirikan sentuhan Muqarnas dari Esfarhan, Iran. Menara ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu tapak asas, kaki menara, tiang menara, kepala menara dan menara antena. Seiring usianya, Menara Kuala Lumpur kini turut menerima perubahan termasuk dicat semula dengan warna lebih ceria serta dekorasi baharu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Zuraidah Mohd. Said, pengunjung biasanya meluangkan masa sehingga setengah hari bagi meneroka keunikan menara berkenaan. "Selain menikmati keindahan panorama di sekitar Kuala Lumpur, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti lain. "Menara Kuala Lumpur menawarkan pengunjung lawatan yang berkonsep kebudayaan, alam semula jadi dan aktiviti lasak," katanya. Pengunjung Menara Kuala Lumpur akan disambut dengan persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional dan muzik lagu asli. Pengunjung terutama dari luar negara pasti terpesona dengan keindahan seni tarian dan muzik tempatan. Persembahan itu dilakukan setiap hari tetapi mengikut masa yang telah ditetapkan. Tidak puas dengan persembahan tersebut, di kaki Menara Kuala Lumpur yang berkeluasan 2,029 meter persegi turut terletak Kampung Budaya 1Malaysia yang menawarkan pengalaman menyusuri replika rumah-rumah tradisional Malaysia. Di sini, anda boleh menghayati persembahan tarian dan muzik kebudayaan yang melambangkan keunikan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia, semua di bawah satu bumbung. Setelah puas menikmati tarian atau persembahan kebudayaan, anda boleh menikmati kelazatan makanan tradisional yang dibawakan khas dari negeri yang mengambil bahagian di kampung budaya itu. "Tahun ini, kita telah membawa negeri seperti Terengganu yang turut menawarkan produk keluaran negeri tersebut seperti cenderamata dan makanan tradisional. "Sambutan yang kita terima daripada pengunjung amat positif dan menggalakkan," kata Zuraidah. Alam semula jadi Menara Kuala Lumpur merupakan satu-satunya menara di dunia yang terletak di tengah-tengah kehijauan hutan dara. Pengunjung berpeluang menyusur laluan hutan secara percuma, melihat atau mengkaji keunikan flora dan fauna. Khidmat pemandu pelancong berlesen juga turut disediakan. Pastinya, anda akan terhibur dengan bunyi kicauan burung-burung atau melihat pokok-pokok yang berusia lebih 100 tahun. Jika masih belum puas menikmati kehidupan alam binatang di hutan simpan berkenaan, Zoo Mini di menara berkenaan juga menghimpunkan pelbagai haiwan eksotik seperti ular sawa albino, penyu berkepala dua, monyet Capuchin dan beberapa mamalia serta reptilia lain. Bagi yang membawa anak, menunggang kuda padi atau Pony Ride merupakan satu aktiviti yang popular di Menara Kuala Lumpur. Aktiviti seperti terjunan menara amat dinanti-nantikan penggemar sukan ekstrem itu. Menara Kuala Lumpur adalah satu-satunya menara di dunia yang menganjurkan acara BASE Jump secara sah dan telah menjadi tuan rumah sejak tahun 1999. Pengunjung boleh merasai debaran terjunan itu yang dilakukan di pelantar terbuka di ketinggian 300 meter. Selain itu, para peminat perlumbaan Formula Satu (F1) boleh mengalami sendiri debaran saingan perlumbaan itu menerusi simulator kereta lumba F1 yang terletak di kaki menara. Dengan bunyi dan visual seperti perlumbaan sebenar yang dipaparkan di kaca simulator pastinya aktiviti ini mengujakan kaki-kaki lumba kereta. Menjamu selera Kesemua aktiviti tersebut terutamanya aktiviti lasak pasti membuatkan perut terasa lapar atau sekurang-kurangnya ingin menikmati segelas minuman. Para pelancong tidak perlu bimbang kerana anda boleh merasai pengalaman unik menjamu selera di restoran berputar tertinggi di Malaysia yang bertaraf enam bintang. Rasai hidangan barat dan Malaysia yang enak sambil melihat pemandangan panorama 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur di Restoran Berputar Seri Angkasa dari pukul 11 pagi hingga 2 pagi setiap hari. Pelancong juga boleh menjamu selera di Megaview Banquet Hall yang boleh menampung 350 orang bagi sesuatu masa. Ruangan ini juga sesuai untuk penganjuran majlis perkahwinan, seminar atau pertemuan golongan korporat membuat perbincangan dalam suasana sunyi di puncak angkasa. | ||||||||
Fenomena lapisan air tawar dan masin Posted: 24 Aug 2012 04:24 PM PDT JIKA ada yang beranggapan Pulau Pinang hanya dipenuhi pembangunan hutan batu, mereka ternyata silap. Dari udara masih jelas tersergam rimba nan menghijau umpama permaidani menghampar hampir 70 peratus daripada tanah di bahagian pulau meliputi kawasan landai daerah Timur Laut hingga bukit-bukau ke Barat Daya. Ini kerana kawasan terbina hanyalah di bahagian bucu pulau atau lebih tepatnya bandar George Town serta pekan pesisir pantai dari Jelutong hingga ke Bayan Lepas dan bakinya di Batu Feringghi. Salah satu lokasi percutian kembara yang boleh membuatkan anda jatuh hati di pulau ini sudah pastinya ialah Taman Negara Teluk Bahang (TNTB). Terletak di daerah Barat Daya, pekan Teluk Bahang juga dikenali sebagai pekan paling hujung di pulau walaupun letaknya tidak jauh, cuma 22 kilometer dari bandar George Town. Biarpun kawasan bersebelahannya iaitu Batu Feringghi lebih dikenali, namun Teluk Bahang punya tarikan tersendiri. Perkampungan nelayan di sini misalnya antara yang tertua di Pulau Pinang dan masih kekal dengan ciri-ciri asalnya sejak 100 tahun lalu. TNTB atau juga disebut Taman Negara Pulau Pinang, ditadbir oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri mempunyai keunikan tersendiri. Walaupun merupakan taman negara terkecil, tetapi banyak spesies flora dan fauna termasuk yang jarang ditemui serta hampir pupus ada di sini. Bukan sahaja suasananya mendamaikan, malah rimbunan pokok-pokok di sini menjadikan TNTB sejuk dan cantik selain kebersihannya dijaga. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Pantai Keranchut di TNTB juga merupakan salah satu lokasi persinggahan penyu spesies agar dan penyu lipas yang aktif bertelur sepanjang tahun. Biasanya penyu-penyu jenis itu akan naik ke pantai pada waktu malam untuk mengelak daripada terserempak dengan manusia dan haiwan pemangsa. Di sini juga terletaknya Pusat Penetasan dan Pemuliharaan Penyu di bawah kendalian Jabatan Perikanan bagi membolehkan pelancong termasuk pelajar serta penyelidik mengenali habitat haiwan tersebut secara lebih dekat. Selain itu, di taman berkenaan juga terdapat sebuah tasik yang mengandungi dua lapisan air iaitu air tawar di bahagian atas dan air laut masin di bahagian bawahnya. Diberi nama Tasik Meromiktik, fenomena dua lapisan itu hanya berlaku sekitar bulan April dan Mei setiap tahun iaitu ketika peralihan musim monsun timur laut dan monsun barat daya. Ketika fenomena berkenaan berlaku, air tasik akan dipenuhi pelbagai hidupan marin seperti ikan, udang dan ketam. Tasik itu akan kering semula apabila perubahan musim monsun barat daya kepada monsun timur laut sekitar Oktober. Kesempatan itu digunakan pelancong untuk mandi manda kerana dipercayai air tasik mengandungi khasiat tersendiri, malah tasik sedemikian hanya ada di Pulau Pinang dan Australia. Kemudahan lengkap Sementara itu, Timbalan Penguasa Perhilitan Negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, banyak aktiviti boleh dilakukan di taman tersebut sama ada secara individu atau berkumpulan. Antaranya mendaki bukit, merentas hutan, berenang, memancing dan meninjau hidupan liar. "Kemudahan disediakan juga lengkap termasuk tandas, dewan, surau, bilik mandi, tapak perkhemahan, dapur memasak dan pondok wakaf. "Kita membuka peluang kepada pengunjung melakukan pelbagai aktiviti termasuk memancing, berkhemah dan menikmati pengalaman hidup di kawasan hutan," katanya. Beliau ditemui pada Program Kembara Media bersama Kementerian Sumber dan Asli di TNTB baru-baru ini. Tambah Wan Mat, pengunjung boleh memasuki taman itu sama ada secara berjalan kaki menerusi pintu masuk di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang atau pintu masuk di Jalan Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau. Masuk adalah percuma, tetapi pengunjung perlu mendaftar di Kaunter Penerangan TNTB bagi mendapatkan permit. Di pejabat TNTB juga terdapat sebuah muzium mini yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 5 petang. Jika ingin menghabiskan masa lebih lama di sini, dicadangkan agar pengunjung menginap di Homestay Teluk Bahang yang diusahakan penduduk kampung dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia. | ||||||||
Mencari hidangan halal di Taiwan Posted: 24 Aug 2012 04:24 PM PDT MEMILIKI ratusan tempat pelancongan menarik, khazanah antik tertua dunia, monumen dan seni bina menawan serta budaya yang unik sudah cukup untuk membuka mata pelancong dunia ke Taiwan. Ditambah dengan kedudukan muka buminya yang dikelilingi pulau-pulau indah, Taiwan seringkali menjadi buah mulut pengembara dunia sehingga kelasi Portugis pernah menggelarkan pulau utamanya, Formosa sebagai Ilha Formosa yang bermaksud Pulau Cantik. Taiwan juga terkenal sebagai syurga gastronomi. Di negara kepulauan itu, pengunjung tidak perlu bimbang jika berdepan situasi perut 'berbunyi' kerana di mana-mana sahaja terdapat restoran, kedai mahupun gerai makanan yang beroperasi sehingga larut malam. Kehadiran komuniti Islam sebagai kaum minoriti sejak berdekad-dekad lalu khususnya di beberapa bandar utama seperti Taipei, Taichung, Changhua dan Taoyuan, menyebabkan ia menjadi destinasi pilihan bukan sahaja untuk kaum Cina malah umat Islam dari seluruh dunia. Hari ini dikatakan lebih 150,000 umat Islam bermastautin di Taiwan termasuk penduduk tempatan dan pekerja asing dari 30 negara termasuk Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Bangladesh, Nigeria dan Mali. Faktor itu menyebabkan pelancong Muslim tidak perlu khuatir kerana banyak pilihan restoran halal menawarkan hidangan halal tempatan, ala Thai, India, Pakistan, Turki dan Indonesia. Antara yang terkenal di Taipei ialah restoran yang dikendalikan seorang warga emas tempatan berusia 80-an bernama Yusuf Ai bersama keluarganya. Restoran tersebut menghidangkan mi daging paling berkualiti dan enak. Ia pernah dinobatkan sebagai antara 10 kedai mi daging terbaik di Taipei. Restoran yang berusia hampir 50 tahun itu menjadi tempat kegemaran penduduk tempatan dan pelancong asing tanpa mengira latar bangsa mahupun agama. Masakan India Bagi yang meminati masakan India Utara pula, mereka boleh mengunjungi Ali Baba Indian Kitchen, Aaleja Pakistani & Indian dan Sarena Indian & Pakistani Halal Restaurant. Menawarkan puluhan hidangan ayam, kambing, roti nan dan tandoori berasaskan rempah-ratus asli, pengunjung pasti berpuas hati. Tiga restoran berkenaan dilabel sebagai yang terbaik boleh diperoleh di sekitar bandar raya Taipei. Bagi penggemar hidangan ala Thai yang panas dan pedas, bolehlah berkunjung ke Thai Food House di Jalan Beining. Antara yang boleh dicuba ialah ikan masak lemon, udang bercili, ketam goreng kari yang dihasilkan oleh chef-chef berpengalaman dari selatan Thailand. Restoran yang dimiliki etnik Cina yang berasal dari Thailand itu sememangnya cukup luas dan selesa khususnya bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan. Jika mahu merasai selera dari Asia Barat pula, Turkish Islamic Fine Cuisine adalah jawapannya. Terletak di bandar Taichung yang terkenal dengan keunikan kebudayaan dan keseniannya, restoran itu menjadi satu-satunya restoran yang menawarkan hidangan ala Turki di Taiwan. Di samping hidangan lazat dan menyelerakan, pengunjung juga boleh mencuci mata melihat dekorasi restoran yang indah dengan pelbagai artifak dan hiasan yang dibawa dari Istanbul. Siapa kata di Taiwan tidak ada sate? Cubalah berkunjung ke Warung Sate Muslim yang terletak di Jalan Jianjun, Kaohsiung. Premis itu menjual aneka sate yang diperap dengan rempah-ratus asli di samping pelbagai makanan tradisional dari Indonesia. Pasar malam Pasar malam adalah perniagaan yang menjadi satu kemestian di setiap wilayah iaitu dari skala kecil sehingga besar dengan kesemuanya beroperasi setiap malam. Antara pasar malam yang paling terkenal dan kini telah berkembang francaisnya di Malaysia iaitu Pasar Malam Shilin yang terletak di daerah Shilin di Taipei. Bukan sahaja pengunjung mempunyai variasi pilihan makanan yang dijual peniaga-peniaga di situ, malah harganya juga murah dan berpatutan. Biarpun semuanya tampak enak dan menyelerakan, pastikan anda bertanya terlebih dahulu kepada peniaga-peniaga untuk menentukan status halal barangan yang dijual. Untuk kemudahan pelancong Islam, buku panduan berjudul Melancong di Taiwan untuk Muslim turut menyenaraikan sebilangan restoran yang memiliki sijil pengiktirafan halal. Bagi sesiapa yang bercadang melancong atau mendapatkan maklumat mengenai makanan halal di Taiwan, boleh hubungi pejabat Taiwan Visitors Association Kuala Lumpur atau layari www.welcome2taiwan.net. | ||||||||
Jururawat IPPT berbakti di Darul Hanan Posted: 24 Aug 2012 04:20 PM PDT
BAGI kebanyakan pesakit, jururawat adalah penyembuh kedua selepas ubat-ubatan. Bergelar jururawat, kerjaya mulia ini memerlukan kesabaran, dedikasi dan sentiasa mewujudkan sikap mengutamakan pesakit dengan memberi perkhidmatan yang terbaik. Bagi meraikan Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun, warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memilih program kemasyarakatan untuk berbakti kepada masyarakat. Jika pada hari-hari biasa jururawat IPPT di Kampus Kepala Batas sibuk melayan pesakit di hospital, kali ini mereka memilih Kompleks Warga Emas Darul Hanan Pulau Pinang (Darul Hanan) di Pongsu Seribu, Kepala Batas untuk dikunjungi. Kompleks yang diuruskan bersama Yayasan Bukhary dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu menjadi kediaman kepada 34 penghuni warga emas beragama Islam terdiri daripada 14 lelaki dan 20 wanita
Darul Hanan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kompleks yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu ini mampu menampung sehingga 200 penghuni pada satu-satu masa untuk penempatan dan penjagaan warga emas. Antara prasarana yang disediakan adalan bangunan asrama, perpustakaan, kafetaria, surau, wad, dewan serbaguna dan bengkel. Diketuai Penolong Pengarah Kejururawatannya, Nazlan Awang, kunjungan 40 warga IPPT yang terdiri daripada para jururawat dan staf sokongan itu telah berkampung selama setengah hari di kompleks tersebut. Turut serta ialah Penolong Pengarah Kanan (Akademik) IPPT, Mohd. Yusoff Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam IPPT, Ustaz Mohamad Shukri Osman dan Pegawai Penerangan IPPT, Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid. Kehadiran mereka amat dinanti-nantikan. Menerusi kaunter pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan, penghuni kompleks berpeluang mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penjagaan kesihatan diri. Nilai murni Menerusi program tersebut juga, para jururawat IPPT dapat menambahkan ilmu pengetahuan di samping dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing. Nazlan ketika ditemui memberitahu, kunjungan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial IPPT terutama para jururawat yang wajar dilaksanakan lebih kerap agar golongan warga emas tidak dilupakan. "Seperti juga pesakit, menerusi kunjungan ini kita memberi sokongan emosi secara langsung kepada semua penghuni mengikut kesesuaian di samping dapat mengeratkan hubungan antara IPPT dan Darul Hanan. "Menerusi aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, warga IPPT dapat membantu meningkatkan kesedaran warga emas di sini terhadap penjagaan kesihatan diri masing-masing. "Selain itu, sesi ceramah keagamaan pula dapat memberi sokongan kerohanian bukan sahaja kepada para penghuni kompleks ini malah buat warga IPPT sendiri," ujarnya. Mengakhiri program itu, Nazlan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian kepada penghuni rumah berkenaan. Sementara itu, warga IPPT yang ditemui menyifatkan program yang dirancang ini amat baik kerana memberi pendedahan kepada mereka betapa pentingnya khidmat bakti yang diberikan kepada warga emas. Bagi petugas Mohd. Faisal Jamaludin, ia bukan sekadar kunjungan sebaliknya dapat memupuk nilai saling menghormati antara jururawat dan warga emas yang dilayan umpama ahli keluarga sendiri. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan