ads

Khamis, 19 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Marsha belajar solat

Posted: 19 Apr 2012 07:23 PM PDT


MARSHA memberitahu dia akan menolak jika ditawarkan untuk menjadi pengacara lagi kerana mengaku dia tidak pandai mengacara sesebuah program.


PADA tahun lepas, pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh, 27, menjadi tumpuan kerana beberapa kontroversi, antaranya kisah dia dimasukkan ke hospital gara-gara menelan sehingga 30 biji pil pada September lalu.

Bagaimanapun, artis yang berasal dari Tamparuli, Sabah dan kini semakin dikenali sebagai seorang pengacara itu pada tahun ini semakin sunyi pula daripada sebarang cerita sensasi.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Datuk DJ Dave berjudul Nyawaku di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, Marsha memberitahu dia kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya seninya.

Menurut Marsha, dia tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi, sementelah ketika ini dia merupakan pengacara rancangan berbentuk gosip berjudul Propaganza yang disiarkan pada pukul 12 tengah hari setiap Ahad di saluran Astro Ria.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?

MARSHA: Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Pelangi I Love You dan bergandingan dengan pelakon Indonesia iaitu Aiman Ricky. Penggambaran dilakukan di Pulau Pangkor, Perak. Bagaimanapun, pada bulan lepas jadual saya memang terlalu padat apabila terpaksa menjalani penggambaran tiga buah filem dalam tempoh sebulan iaitu filem Qada, Pak Pong dan Dr. K Kahwin Lima.

Boleh ceritakan lebih lanjut tentang ketiga-tiga filem tersebut?

Dalam filem Pak Pong yang diarahkan oleh Fauzi Nawawi, saya cuma muncul secara cameo dan terlibat dalam beberapa babak sahaja, manakala dalam filem Dr. K Kahwin Lima pula, saya membawa watak sebagai isteri keempat kepada Usop Wilcha.

Cuma untuk filem Qada apa yang boleh saya katakan watak yang diberikan kepada saya memang sangat mencabar. Dalam filem tersebut, saya memegang watak sebagai seorang gadis mualaf yang telah berkahwin secara paksa dengan seorang lelaki.


MARSHA perlu memahami tentang solat lima waktu bagi mendalami wataknya dalam filem Qada.


Kenapa anda mengatakan watak yang dibawakan itu sangat mencabar?

Sebelum ini saya pernah juga membawa watak sebagai gadis beragama Islam, cuma dalam filem ini saya perlu tampil dengan gaya muslimah dan perlu memahami tentang solat lima waktu yang menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.

Namun, saya berasa lega kerana kebanyakan rakan-rakan saya memang beragama Islam, termasuk Sharifah Sakinah yang turut berlakon dalam filem itu dan dia memang banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan.

Kenapa anda sanggup menerima tawaran yang banyak dalam tempoh sebulan?

Saya menerimanya kerana ketiga-tiga tawaran tersebut agak menarik dan rasa sayang pula kalau saya tolak. Malah, saya akui sangat penat kerana jadual yang cukup padat, tetapi saya tidak kisah kerana pada tahun ini memang saya mahu memberi fokus kepada kerjaya seni.

Menjadi pengacara untuk rancangan Propaganza, adakah anda kini sedang mencuba untuk bidang pengacaraan pula?

Selama ini tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pengacara. Semasa datang uji bakat dahulu, saya tidak sangka pula mempunyai keserasian dengan Reza dan akhirnya kami berdua telah terpilih. Sebenarnya saya masih lagi mempunyai perasaan takut dan tidak yakin walaupun sudah mengacarakan sebanyak lima episod. Selepas ini mungkin saya tidak akan menerima lagi sebarang tawaran mengacarakan rancangan lain kerana sedar pengacaraan bukan bidang saya.

Bila anda merancang untuk hasilkan album baru?

Sebenarnya saya agak kecewa kerana album saya yang dilancarkan pada tahun lepas berjudul Yang Pertama tidak mendapat sambutan yang baik. Jadi, perancangan untuk menghasilkan album itu belum ada dan saya lebih selesa menghasilkan single. Saya baru sahaja selesai merakamkan single berjudul Kepastian Cinta yang dihasilkan oleh Ajai. Berkemungkinan besar lagu tersebut akan menjadi lagu tema untuk filem Qada.

Salma, Riz, Putri Mardiana terkait gosip

Posted: 19 Apr 2012 07:22 PM PDT



BARANGKALI agak canggung untuk menggandingkan ketiga-tiga selebriti ini iaitu juara Mentor musim kelima, Salma, Riz Amin dan Putri Mardiana untuk satu sesi fotografi yang sama.

Namun, ada sebab mengapa Kosmo! memilih untuk menyatukan mereka pada pagi Isnin lalu. Matlamatnya ingin mendengar komen dan alasan berhubung dakwaan kononnya ketiga-tiga mereka sedang hangat bermain cinta tiga segi.

Tafsiran cinta itu dirujuk kepada keakraban yang terjalin antara pelakon yang terkenal dengan peranan kasanova, Riz Amin dengan pelakon Santau, Putri Mardiana dan juara Mentor 5, Salma.

Riz pernah dilihat keluar bersama Putri Mardiana dan Salma berasingan dalam keadaan yang sangat mesra.

Membidas spekulasi itu, Riz, Salma dan Putri Mardiana tampil menjawab persoalan yang bermain-main di minda peminat mereka.

Riz sudah ada Faz

Pelakon Astana Idaman 3, Riz Amin atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin, 27, mungkin belum cukup aura untuk dikenali ramai. Jika diteliti amat jarang namanya menjadi fokus biarpun sudah lapan tahun berada dalam industri hiburan.

"Saya mengaku kurang publisiti yang diberikan kepada saya sejak bergelar anak seni, bukan mahukan publisiti murahan apatah lagi kontroversi negatif tapi semahunya saya ingin dilihat.

"Insya-Allah selepas ini saya akan lebih fokus kepada karier dan perlu serius melihat masa depan saya," katanya yang kini baru selesai penggambaran telefilem Takdir Yang Tertunda bersama Fouziah Ghous, Ako Mustapha dan Tasha Shilla.

Pelakon dari Changlun, Kedah itu tertawa saat ditebak persoalan mengenai kisah cinta tiga seginya dengan Putri Mardiana dan Salma.

Katanya, karier mereka diuruskan bersama oleh seorang pengurus artis dan adakalanya mereka akan selalu bersama-sama walaupun hanya berdua sama ada dengan Salma mahupun Putri Mardiana.

"Kami berkawan rapat, apabila Nina (Putri Mardiana) sibuk saya akan lepak dengan Salma begitulah sebaliknya. Boleh kata kami bertiga teman tapi mesra.

"Tidak ada isu cinta sesama kami, malah saya juga sudah ada kekasih, namanya Sharifah Fazlina Syed Fuad atau saya panggil dia Faz," ceritanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai buah hatinya itu, ujar Riz, perkenalannya dengan Faz menerusi laman sosial Myspace sudah mencecah usia empat tahun dan kemungkinan besar akan melangsungkan pertunangan pada hujung tahun ini.

Biar pada mulanya Faz sukar menerimanya sebagai seorang selebriti yang sering dipandang orang bahkan selalu terkait gosip, perlahan-lahan hubungan mereka bersimpul rapi dan kian sempurna.


PUTRI MARDIANA, Riz dan Salma masing-masing kini berusaha bagi memahat dan memantapkan nama mereka dalam bidang seni.


"Dia suka buat kejutan untuk saya! Kriteria seorang wanita yang tegas dan berdikari membuatkan makin hari makin sayang saya padanya," ujar Riz.

Terkini, Riz sedang dalam proses penggambaran drama bersiri 26 episod, Skuad Metro dan akan memulakan penggambaran telefilem Hantu Susu 2 bersama Erra Fazira, Amy Mastura dan Marsha Milan Londoh.

Putri Mardiana membidik cinta

Ibu kepada tiga cahaya mata, Alia Wirdani, 9, Amir Firman, 7, dan Airell Zuhair, 6, ini sedang membina kariernya. Setelah mahligai perkahwinan yang dibina pemilik nama penuh Putri Mardiana Zainal Abidin, 31, sebelum ini runtuh, dia tekad untuk memberikan sepenuh tumpuan dalam lakonan.

"Saya akui agak perlahan perjalanan seni saya tapi kini saya akan lebih giat melobi diri, Alhamdulillah rezeki pun semakin bertambah.

"Bagi saya cantik bukan segalanya, yang penting bakat. Kalau orang luar sudah mengiktiraf pencapaian saya kenapa tidak tempat sendiri," kata Putri Mardiana atau lebih dikenali dengan panggilan Nina yang pernah bernaung di bawah payung Metrowealth Sdn. Bhd. sebelum ini.

Bakat yang mula bersinar sejak menjuarai pertandingan World Championship Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2009 itu tambah dikenali melalui peranannya dalam naskhah filem seram, Santau.

Baru usai penggambaran telefilem Perempuan Tanpa Rahim, dia dijadualkan terbang ke Bangkok, Thailand untuk penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Nikkalaya.

Malangnya, pada tahun itu jua rumah tangganya musnah dan setahun kemudian aktres itu berjumpa kembali dengan bekas sahabat karibnya yang terputus hubungan sejak berusia 19 tahun.

Hampir bertunang pada penghujung tahun lalu dengan usahawan itu namun cinta yang bersemi dan dijangka bakal mengikat tapi perkahwinan pada bulan Mei ini putus pada malam sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.

"Kini saya dalam proses memulihkan luka lama. Benar saya sudah ada seseorang di hati tapi kami masih saling mengenali satu sama lain.

"Dia orang sini (Kuala Lumpur), pernah berkahwin sebelum ini dan lebih berusia daripada saya," katanya yang kini berjinak-jinak dalam bidang lumba kuda di Kelab Lumba Kuda Sungai Besi, Kuala Lumpur setiap hari Sabtu.

Pelakon yang berasal dari Sitiawan, Perak, itu pernah didakwa meninggalkan keluarga semata-mata ingin mengejar dunia glamor.

Permata di hati Salma

Ibu kepada Puteri Nurul Huda, 5, ini pernah dahulunya kecoh apabila cuba menyembunyikan statusnya sebagai janda ketika bersama program Mentor 5.

Menjelaskan dia lebih gemar mengunci mulut dan berbicara sekiranya ditanya, Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 22, kini mengakui di hatinya sudah terukir sebaris nama jejaka yang membikinnya jatuh cinta.

"Dia merupakan insan pertama yang saya sangat cintai, cuma orang biasa dan dia sangat merendah diri serta pemalu.

"Biarpun dia lebih tua daripada saya tapi dia menerima saya seadanya dan itu membuatkan saya bertambah sayang," katanya yang berpegang pada prinsip untuk tidak memilih pasangan hidup yang sebaya atau lebih muda daripadanya lagi.

Mungkin serik dengan badai perkahwinannya yang terdahulu, pelantun lagu Aku Permata itu enggan mendedahkan nama individu yang dimaksudkan kerana bimbang diancam gosip yang tidak terduga.

"Sejak bercerai pada tahun 2008, saya serahkan persoalan siapa jodoh saya kepada Allah, insya-Allah andai jodoh kami kali ini berpanjangan saya akan maklumkan kepada semua," ujar penyanyi yang berasal dari Tawau, Sabah.

Sebelum ini dia pernah dituduh menghilangkan diri selepas keluar daripada rancangan Mentor 5, namun membidas kenyataan itu dengan menyatakan bahawa dia menderita sakit terkena buatan orang.

Memaklumkan perkembangan terkini, Salma sedang menunggu waktu yang sesuai untuk berbincang dengan sebuah syarikat rakaman bersama mentornya, Erra Fazira, untuk mengeluarkan album sulungnya.

Nad Zainal tolak label gedik

Posted: 19 Apr 2012 07:21 PM PDT


NAD ZAINAL tidak kisah peminat mahu menilai lakonannya, tetapi bukan menilai kehidupan peribadinya.


MASIH awal untuk melabelkan Farah Nadia Zainal Abidin atau nama komersialnya Nad Zainal sebagai seorang pelakon yang gedik atau mengada-ngada.

Lima tahun bergelar anak seni, namun dia mula serius berlakon pada tahun lalu. Nad, 22, sebelum ini pernah muncul dalam drama rantaian Buaian Kasih yang ditayangkan di TV1, Elly dan Epit di Astro, drama berbahasa Inggeris, Incredible Tales serta filem Jidin Sengal.

Menepis dakwaan bahawa dia seorang pelakon baharu yang gedik, katanya justifikasi itu terlampau luas untuk dia menilai diri sendiri.

"Terlampau ramai yang bercakap pasal saya, lebih-lebih lagi melabelkan saya gedik. Kalau anda tanya saya, tentu saya tidak akan mengatakan diri sendiri gedik.

"Terpulang kepada penonton untuk melabelkan bagaimana saya. Tapi saya harap biarlah mereka menilai saya hanya dalam lakonan, perkara peribadi saya jangan masuk campur," tegas Nad ketika ditemui selepas majlis pratonton media eksklusif Kotex Memberku Hawa di Cathay Cineleisure, e@Curve, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Katanya orang ramai mula menilai dia sebagai seorang pelakon gedik sejak membintangi filem Jidin Sengal selepas membawa watak seorang wanita yang menjengkelkan.

"Memang watak itu untuk dibenci tapi selama saya menjadi anak seni, saya belum dengar lagi orang mengutuk saya," katanya yang sebelum ini pernah menjadi kru produksi belakang tabir sebuah syarikat penerbitan.

Ujarnya, dia mula meminati bidang lakonan sejak di bangku sekolah namun niatnya terpaksa diperlahankan lantaran memasuki aliran sains sewaktu belajar.

Naif

Bagaimanapun selepas tamat sekolah menengah, dia mula mencorak masa hadapan sendiri. Memilih bidang seni, akhirnya dia berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang diploma teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) beberapa bulan lalu.

Anak tunggal dalam keluarga yang berasal dari Kajang, Selangor itu menambah, walaupun dia diberikan watak yang penting dalam drama Memberku Hawa, namun dia masih belum berasa puas sepenuhnya.


DRAMA Memberku Hawa mempertemukan pelakon Faezah Elai (kiri) dan Nad Zainal.


"Watak Kay seorang yang lurus dan sentiasa ceria tapi dia juga gadis yang naif. Dalam drama ini saya merupakan sahabat karib Hawa lakonan Faezah Elai dan kerjaya saya adalah seorang pengurus model dalam dunia fesyen.

"Sedikit sebanyak watak Kay ini tidak jauh daripada diri saya sebenar," ujarnya yang sudah disunting berlakon dalam beberapa buah drama dan filem selepas ini.

Wajah baharu

Selain Nad dan Faezah, Memberku Hawa yang diarahkan Umi Salwana Omar itu turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Christina Suzanne, Sharifah Sofia, Nadia Aqilah dan Mustapha Kamal.

Menyentuh mengenai gandingan pelakon baharu dan lama iaitu Nad dan Faezah, kata Umi: "Saya suka bekerja dengan pelakon baharu dan mereka sebenarnya senang dibentuk. Bukan memilih artis baharu kerana mereka kurang kontroversi, tapi kami dalam masa yang sama ingin membantu pelakon daripada pelbagai peringkat."

Pertama kali mengarah sebuah drama, Umi mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.

"Saya gementar untuk mengarah drama ini tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dan mungkin selepas ini masih banyak perkara yang boleh diperbaiki," katanya yang sebelum ini merupakan seorang pembantu pengarah.

Memberku Hawa turut membariskan Dazrin Kamarudin, Hanis Zalikha, Josiah Hogan, Zainal Alam Kadir, Susan Manen, Lash Mokhtar dan Rafidah Abdullah.

Drama 10 episod ini telah mula menemui penonton pada 15 April lalu dan akan ditayangkan pada setiap hari Ahad pukul 10 malam.

Pemuda Nepal cuba cipta rekod dunia

Posted: 19 Apr 2012 07:21 PM PDT




KATHMANDU, Nepal - Sebiji bola berpusing selama 22.5 saat pada sebatang berus gigi yang dibuat oleh seorang pemuda, Thaneswar Guragai di sini semalam.

Guragai akan menghantar rakaman video yang menunjukkan dia melakukan perbuatan itu kepada pihak pengurusan Guinness World Records untuk mendapatkan pengesahan.

Bola tersebut berpusing semasa mulut Guragai mengenggam berus gigi itu.

Rekod sebelum ini dibuat oleh Thomas Connors apabila bola itu hanya berpusing selama 13.5 saat.

Tubuh Ping dihinggap 331,000 ekor lebah

Posted: 19 Apr 2012 07:20 PM PDT


SEORANG pembantu membantu mengusir lebah supaya ia menghinggap tubuh Ping.


BEIJING, China - Seorang lelaki yang menjadi penternak lebah, She Ping memecahkan rekod dunia apabila tubuhnya dihinggap sebanyak 331,000 ekor lebah di Chongqing kelmarin.

Berat semua serangga itu ialah 33.1 kilogram (kg).

Ping, 32, mencipta rekod baharu itu di Chongqing kelmarin.

Lelaki itu memecahkan rekod yang dibuat oleh seorang penternak lebah dari wilayah Jiangxi, Ruan Liangming pada tahun 2008.

Tubuh Liangming ketika itu dihinggap sejumlah lebah dengan berat keseluruhan serangga tersebut ialah 26.8kg.

Peluru berpandu India boleh sampai ke Beijing

Posted: 19 Apr 2012 07:19 PM PDT


GAMBAR menunjukkan peluru berpandu Agni V dilancarkan dari Pulau Wheeler semalam.


BHUBANESWAR - India berjaya melancarkan sebuah peluru berpandu yang mampu membawa peledak nuklear dan boleh melakukan serangan ke Beijing dan Eropah Timur semalam.

Beberapa gambar menunjukkan peluru berpandu itu, Agni V dilancarkan dari Pulau Wheeler di pantai timur India.

Ia boleh bergerak sejauh 5,000 kilometer.

"Pelancaran hari ini menandakan satu lagi mercu kejayaan dalam usaha kita untuk melakukan persediaan dan melindungi keselamatan negara selain meneroka sempadan sains," kata Perdana Menteri, Manmohan Singh dalam ucapan tahniah beliau kepada kumpulan saintis yang membangunkan peluru berpandu berkenaan.

Pemerintah India menyatakan Agni V yang hanya akan beroperasi selepas dua tahun, dibina bagi melindungi negara itu daripada ancaman jirannya, China.

Sehingga kini, cuma anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu China, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan Britain selain Israel, dipercayai memiliki peluru berpandu jarak jauh.

Dalam perkembangan lain, India menyatakan program senjata nuklear negara berkenaan dibangunkan untuk tujuan pencegahan dan bukan menyerang negara lain.

Selain peluru berpandu, India kini sedang menyiapkan sebuah kapal selam nuklear yang berupaya melancarkan serangan balas jika negara ini diserang.

73 jam terperangkap di bawah runtuhan

Posted: 19 Apr 2012 07:18 PM PDT

NITESH dibawa keluar oleh tiga anggota penyelamat selepas dia terperangkap selama 73 jam di bawah runtuhan bangunan kilang di Jalandhar semalam.


JALANDHAR, India - Seorang remaja berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Nitesh berjaya diselamatkan semalam selepas 73 jam dia terperangkap di bawah runtuhan bangunan kilang di sini.

Dia bekerja di kilang karpet tersebut selepas berhenti sekolah bagi menyara kehidupan keluarganya.

Sekeping gambar menunjukkan dia dibawa keluar oleh beberapa anggota penyelamat dari sebuah lubang.

Menurut Majistret Priyank Bharti, seramai 62 orang telah berjaya diselamatkan termasuk Nitesh manakala 10 mayat telah dikeluarkan.

"Keutamaan kami ialah untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup," katanya.

Kilang tiga tingkat itu runtuh pada Ahad lalu.

Pemilik kilang itu telah ditangkap pada Isnin lalu berhubung kejadian tersebut.

Lebih 100 orang dipercayai terperangkap selepas kilang tersebut runtuh.

Lelaki bogel di lapangan terbang

Posted: 19 Apr 2012 07:17 PM PDT


Brennan berbogel semasa berada di ruang pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada Selasa lalu.


PORTLAND, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penumpang, John E. Brennan berkata, dia hanya berbogel dan tidak berkelakuan lucah di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland di sini pada Selasa lalu.

Brennan, 49, menanggalkan semua pakaiannya semasa dia diperiksa oleh anggota-anggota keselamatan lapangan terbang.

Menurutnya, dia berbogel kerana membantah kaedah pemeriksaan keselamatan yang menggunakan alat pengimbas badan.

"Cara paling baik untuk memberitahu mereka (anggota-anggota keselamatan itu) bahawa saya tidak membawa bom adalah dengan menanggalkan pakaian saya," katanya semasa diwawancara pemberita agensi berita AP.

Ketika kejadian, dia mahu menaiki pesawat ke San Jose, California.

Namun, Brennan ditangkap oleh pihak berkuasa selepas dia enggan memakai semula pakaian selepas diarahkan.

Dia kemudian ditahan di sebuah penjara tetapi dibebaskan pada Selasa lalu.

Lelaki itu didakwa kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dan menunjukkan kelakuan lucah.

Treler hantar bot 85 tan

Posted: 19 Apr 2012 07:16 PM PDT


BEBERAPA orang menyaksikan treler yang mengangkut bot itu.


HELLMONSOEDT, Austria - Sebuah bot seberat 85 tan diangkut sebuah treler panjang melalui sebuah selekoh tajam dan jalan yang sempit di sini kelmarin.

Treler itu membawa bot tersebut dari bandar Linz, Austria ke Empangan Lipno di Republik Czech.

Beberapa papan tanda turut rosak selepas ia bergeser dengan treler tersebut.

Gajet dedah risiko jenayah

Posted: 19 Apr 2012 07:15 PM PDT


KEMUDAHAN Internet Wifi percuma menggalakkan orang ramai duduk di sesebuah restoran atau kafe dalam jangka masa yang lama. - Gambar hiasan


GAJET peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon, iphone, notebook dan sebagainya antara peranti yang memberi kemudahan dalam kehidupan harian pengguna.

Namun gajet-gajet ini juga mempunyai kelemahan. Selain mengehadkan interaksi secara bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi.

Misalnya, apabila seseorang kehilangan gajet berkenaan, mangsa bukan setakat kehilangan gajet malah maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan di dalamnya.

Pemilik gajet berkenaan juga terdedah kepada unsur-unsur jenayah. Apabila data peribadi pemilik gajet diperoleh penjenayah, mereka bukan sahaja boleh mengeluarkan wang pemilik daripada akaun bank atau untuk tujuan ugutan, malah mereka boleh terpacul di depan pintu rumah pemilik gajet.

Gajet mudah alih ini juga mudah jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini jika pemiliknya lalai.

Tambahan pula, kemudahan Internet Wifi percuma yang disediakan di sesetengah restoran, akan menggalakkan orang ramai membawa komputer bimbit masing-masing dan duduk dalam jangka masa yang lama bersama-sama rakan sehingga dinihari.

Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada remaja dan pelajar yang pada mulanya mahu membuat tugasan. Namun, kemudahan Internet secara percuma itu boleh mengundang malapetaka kepada mereka sendiri dan pemilik restoran.

Misalnya, klip video kamera litar tertutup sebuah restoran mamak terkemuka di Shah Alam mendedahkan, rompakan yang berlaku pada tahun lalu itu disebabkan kecuaian pemilik gajet yang menggunakannya di tempat awam.

Ambil mudah

Bukan itu sahaja, sikap sesetengah individu yang suka meletakkan telefon bimbit di atas meja makan di restoran, beg di kedai makan atau di kerusi di hotel ketika majlis berlangsung atau mengambil makanan tanpa perhatian juga mengundang jenayah.

Pengurus projek Vitaldelta Sdn. Bhd., Syahrul Izwan Abdul Wahab ketika mengimbas kembali kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor berkata, rakan-rakannya yang sedang berbual tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda yang tidak dikenali dan memberi salam sebelum melarikan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja.

"Tiada unsur pukau pun tetapi mereka terkejut dengan tindakan pemuda berkenaan dan terpinga-pinga akibat kejadian itu.

"Tetapi sejak kejadian tersebut, saya mengambil langkah berhati-hati dan tidak membawa gajet-gajet seumpamanya ke restoran. Saya akan buat kerja di rumah atau di pejabat sahaja," kata bapa kepada tiga anak itu.


PENJENAYAH sentiasa mengintai peluang jika pengguna lalai.- Gambar hiasan


Tempat letak kereta juga adalah kawasan paling tidak selamat. Namun, masih ramai pemilik kenderaan yang meninggalkan gajet seperti seperti notebook dalam kenderaan.

Sikap ambil mudah dengan meninggalkan barang-barang berharga ataupun beg di dalam kereta perlu diubah. Jika tidak, kita mungkin berdepan dengan cermin tingkap kereta pecah dan terpaksa menggantikannya pada harga sehingga ratusan ringgit.

Seorang rakan penulis mengingatkan supaya tidak meninggalkan alat pengesan kedudukan global atau singkatannya (GPS) dan alat kawalan jauh pagar elektrik di dalam kereta.

Jika kereta anda dicuri, ada kemungkinan penjenayah menggunakan kedua-dua alat itu pulang ke rumah pemilik kenderaan dan kemudian merompak di rumah pula. Sedangkan jiran-jiran tidak perasan bahawa yang pulang ke rumah bukan tuan rumah.

Begitu juga dengan mendaftar nama isteri atau suami dengan gelaran manja seperti sayang atau ayang di dalam telefon bimbit. Seandainya telefon dicuri, ia memberi ruang kepada si penjenayah mengirim khidmat pesanan ringkas kepada suami atau isteri. Lalu mereka meminta kata laluan atau nombor pengenalan diri (PIN) untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM).

Pengurusan risiko

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berpendapat, masyarakat perlu bijak mengurus risiko-risiko ini dengan baik bagi mencegah mereka daripada menjadi mangsa.

Katanya, masyarakat tidak sepatutnya bergantung kepada pihak polis tetapi perlu mengambil inisiatif sendiri.

"Kalau kita mengambil sikap sambil lewa, kita wajar menyalahkan diri sendiri," kata anggota Exco Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memasukkan semua maklumat peribadi di dalam telefon bimbit kerana ia boleh mengundang bahaya sekiranya hilang, tercicir atau dicuri.

"Masalah kita ialah keengganan melihat diri sendiri menjadi mangsa. Ini perlu diperbetulkan. Siapa tahu kelak kita sendiri akan menjadi mangsa, komputer riba kita pula yang dirompak," katanya yang juga anggota Persatuan Kaji Jenayah British dan Persatuan kaji Jenayah Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu melaporkan kepada pihak polis jika ada pihak-pihak yang cuba menjual telefon bimbit, komputer bimbit pada harga yang sangat murah dan sukar diterima akal kerana ada berkemungkinan ia barang curi.

Membeli barang curi adalah satu kesalahan kerana bersubahat, katanya.

Jangan buta sejarah

Posted: 19 Apr 2012 07:14 PM PDT


SEBAHAGIAN daripada buku-buku yang dipamerkan pada Kolokium Sejarah Malaysia yang dianjurkan di Universiti Malaya baru-baru ini.


SEJAK kebelakangan ini, ada sahaja pihak yang tampil membuat kenyataan yang menyimpang daripada fakta sejarah. Terbaharu, ada pihak yang membuat kenyataan mengguriskan perasaan bekas perajurit-perajurit negara dan ahli keluarga mereka. Mereka mendakwa komunis adalah hero negara sebaliknya perajurit-perajurit negara sebagai pengkhianat dan petualang negara.

"Fakta sejarah tidak boleh diubah sebab ia telah direkodkan. Jangan beremosi sehingga menolak fakta sejarah. Jika tidak tahu, carilah sumber yang benar," kata Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Ramlah Adam semasa menjadi panel dalam Kolokium Sejarah Malaysia yang berlangsung di Panggung Eksperimen Universiti Malaya baru-baru ini.

Tambahnya, jika seseorang itu mahu mengetahui sejarah, bacalah buku-buku sejarah yang penghasilannya dilakukan dengan merujuk fail-fail rasmi.

Tidak emosi

"Pada pendapat saya, mereka yang mengiktiraf komunis ini memang tidak tahu sejarah dan buta sejarah. Sudahlah buta sejarah, tidak mahu baca buku sejarah pula. Apabila disuruh baca, dia kata, Ah, itu akademik. Dia main politik pula. Sejarah jangan dijadikan isu politik," tegasnya.

Ramlah memberitahu, sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan, seseorang itu perlu membaca buku sejarah dan rujuk pakar-pakar sejarah yang ada.

"Jangan keluarkan kenyataan berlandaskan emosi semata-mata hingga mengabaikan fakta sejarah," jelasnya.

Dalam pada itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Nordin Hussin memberitahu, fakta-fakta sejarah boleh diperoleh daripada pelbagai sumber seperti sumber lisan, gambar, artifak, fail dan rekod, dokumen dan manuskrip serta penulisan sejarah yang terdiri daripada sumber primer dan sekunder.

"Sumber primer seperti fail dan rekod, dokumen, surat-menyurat, surat persendirian, perjanjian, laporan tahunan, perbahasan parlimen, undang-undang, akta dan peraturan, laporan tentang kes, artifak dan sumber arkib.


JASA para perajurit negara yang sanggup berkorban nyawa membanteras pengganas komunis wajar dikenang dan dihargai generasi kini.


"Sumber sekunder pula terdiri daripada jurnal, buku, artikel, akhbar, sumber lisan dan perpustakaan," ujarnya.

Sumber primer adalah sumber yang kebanyakannya diperoleh daripada arkib yang merupakan sumber utama dan asal, manakala sumber sekunder ialah hasil penemuan dan penulisan yang diperoleh daripada sumber primer atau asal.

Sumber pada umumnya dapat memberi para penyelidik informasi berupa fakta, pendapat mahupun pandangan dan amat penting bagi sejarawan membezakan antara kedua-duanya.

"Sebuah fakta sejarah diketahui sebagai sesuatu yang telah berlaku dan benar berlaku, manakala sebuah pendapat pula merupakan satu kepercayaan yang belum tentu kebenarannya.

"Amat berbahaya jika seseorang penyelidik itu menerima sepenuhnya sebuah pendapat sebagai satu fakta sejarah dan akhirnya mengakibatkan kepada pentafsiran sejarah yang silap tentang masa lampau," ujarnya.

Sesungguhnya, sumber sejarah itu amat penting kerana tanpa sumber sejarah yang sahih, hakikat kebenaran dalam sebuah sejarah sukar diperoleh.

Tanpa sumber sejarah yang sahih, penulisan dan interpretasi sejarah mudah dicabar dan dipertikaikan kebenarannya.

"Fakta dan sumber sejarah yang sahih merupakan tunjang kepada hakikat kebenaran dalam sejarah.

"Memutarbelitkan fakta sejarah daripada hakikat kebenarannya adalah satu jenayah yang tidak dapat dimaafkan," katanya.

Bahasa purba Oman hampir hilang penutur

Posted: 19 Apr 2012 07:12 PM PDT



DIDIAMI 4,000 orang penduduk dan menghadap Selat Hormuz yang strategik di Iran, perkampungan Kumzar memiliki sebuah bahasa berusia ribuan tahun yang tidak mungkin difahami oleh orang lain di muka bumi ini.

Kumzar terletak di hujung paling utara Semenanjung Musandam, Oman dan terlindung dengan gunung-ganang. Kedudukannya menghadap teluk yang dipenuhi kehidupan marin.

Ia merupakan sebuah penempatan nelayan yang ringkas selain menjadi kawasan perlindungan ikan lumba-lumba dan banyak lagi hidupan marin yang lain.

Dengan kedatangan televisyen dan Internet beberapa tahun lalu, penduduknya mula mempunyai kesedaran mengenai dunia luar seperti spekulasi mengenai kehidupan mereka bakal bergoncang disebabkan perang dengan Iran yang terletak kira-kira 50 kilometer sahaja.

Laluan sibuk

Itu merupakan beberapa pengaruh luar yang mengancam kelangsungan bahasa purba Kumzari iaitu bahasa hasil campuran Indo-Eropah dan Arab.

Bahasa Kumzari merupakan satu-satunya bahasa pertuturan bukan Semitik yang diguna pakai di Semenanjung Arab sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Sejak berabad-abad, penduduk Kumzar menjadi orang barisan hadapan dalam pembentukan sejarah. Mereka telah menyaksikan malah turut membantu tentera empayar-empayar hebat di dunia untuk menguasai hak mengawal selat.

Perkampungan tersebut sudah lama menjadi pusat perdagangan global marin dan kini menjadi laluan yang sibuk dengan kapal-kapal pengangkut minyak dunia.

Sekali pandang, Kumzar seperti terputus hubungan dengan dunia luar, tetapi jika diteliti terdapat beberapa ciri-ciri moden di situ sejak sedekad kebelakangan ini.


MUSCAT ibu negara Oman yang diangkat sebagai Kota Kedua Terbaik di Dunia oleh Lonely Planet.


Selain bekalan elektrik dan air bersih, kemudahan asas seperti sekolah, hospital, landasan helikopter, televisyen satelit dan akses Internet juga boleh didapati di Kumzar.

Kemewahan tersebut menjadi titik mula perubahan remaja-remaja kampung itu, tetapi menurut pakar, ia telah menjadi penyebab pupusnya bahasa tidak bertulis itu.

"Bahasa pengantar di sekolah ialah bahasa Arab dan terdapat banyak pengaruh dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.

"Jadi kanak-kanak tidak bertutur bahasa Kumzari yang pernah digunakan oleh datuk dan nenek mereka," kata penyelidik Universiti Leiden, Belanda, Christina van der Wal.

Tambahnya, perkataan Kumzari untuk ketuhar ialah forno. Ia diambil daripada bahasa Portugis yang pernah memerintah wilayah itu pada abad ke-16 dan 17.

Terdapat banyak perbendaharaan kata dari Arab dan juga Parsi yang dijadikan perkataan mereka.

Bagaimanapun, Christina van der Wal memberitahu, perkataan tersebut tidak boleh difahami oleh orang-orang Arab dan Parsi.

Istilah eksklusif

Perkataan batang ialah qetub, ia diambil daripada perkataan asal Arab berbunyi qadib.

Menurut ahli linguistik yang menetap di kampung itu, Erik Anonby, perkataan tersebut langsung tidak dapat difahami oleh bangsa Arab.

Ujarnya, perkataan yang diambil oleh bahasa Inggeris, motor merujuk pada kereta selain raha (radio) dan apsit bagi sedih (upset).

"Banyak istilah marin yang eksklusif dalam bahasa Kumzari," ujarnya sambil menyatakan perkataan tersebut tidak boleh dijumpai dalam bahasa-bahasa lain.

Kedua-dua pakar bahasa itu dalam misi menyelamat bahasa yang sedang nazak itu. Mereka kini dalam pembikinan menyiapkan kamus Kumzari bersama-sama.


SEJAK sekian lama, perkampungan Kumzar menjadi pusat perdagangan global marin.


Anoby mengkaji sistem ejaan, manakala Van der Wal melihat pada susunan tata bahasa.

Sementara itu, televisyen satelit dan World Wide Web (www) membawa masuk sumber hiburan untuk para remaja yang hidup dalam suasana bosan disebabkan cara hidup tidak aktif dan terasing secara geografi.

"Tidak banyak yang boleh dilakukan di sini kecuali mendaki gunung.

"Tetapi sekarang kami boleh menonton televisyen, kami boleh mencari perkara menarik di Internet sambil mendengar muzik dalam talian," kata Jamayel, 15, yang ditemui ketika sedang melalui laluan sempit di kampungnya.

Jamayel juga memberitahu bahawa mendiang Michael Jackson merupakan artis kegemarannya.

Rakan baiknya, Mariam mempunyai impian menjadi seorang arkitek dan mahu mengubahsuai teratak-teratak buruk yang diperbuat daripada batu di kampungnya.

"Kawasan ini ada banyak potensi," katanya.

Dia merancang untuk pulang semula ke Kumzar dan akan membina semula kampung itu sebaik berjaya mendapat ijazah.

Biarpun Kumzar memiliki budaya yang konservatif dan cenderung ke arah Islam, ibu bapa di situ menghantar anak-anak mereka ke ibu negara Oman, Muscat atau ke luar negara bagi mendapatkan pendidikan pada peringkat lebih tinggi.

Seorang penduduk tempatan, Mariam Ahmad, 34, mempunyai tiga orang anak dan salah seorang anak perempuannya sedang belajar dalam bidang sains komputer.

Dia berkahwin pada usia 13 tahun dan tidak lama selepas itu, Mariam melahirkan anak pertama.

"Bagaimanapun, kami tidak lagi mengahwinkan mereka pada usia muda. Tidak guna menghantar mereka ke sekolah selama 12 tahun hanya kerana mahu berkahwin," kata Mariam sambil suaminya mengangguk kepala tanda setuju.

Menurut Van der Wal, orang Kumzari amat berbangga dengan sejarah mereka. Masyarakat luar menyangka mereka berbangsa Arab Oman, tetapi mereka memanggil sebagai bangsa Kumzari. Satu bangsa berketurunan Sheikh yang memerintah Semenanjung (Arab) sejak beberapa ratus tahun lalu.

Separa nomad

Cara hidup mereka separa nomad. Pada musim luruh, sejuk dan bunga, mereka tinggal di Kumzar dan menyara hidup dengan menangkap ikan.

Pada musim panas pula, masyarakat Kumzari berpindah ke bandar pelabuhan berdekatan Khasab untuk menuai buah kurma.

Kehidupan mereka aman damai dan tidak ada orang luar untuk dijadikan musuh atau boleh menimbulkan sebarang konflik.

Terdapat sebuah kem tentera Oman yang terletak di sebuah pulau kecil di selat itu dengan perjalanan pendek menaiki bot dari perkampungan Kamzar.

Seberang jalan air itu pula, ada beberapa pulau yang menempatkan kem tentera Iran. Antara kem-kem tersebut, ada bahagian persisiran menjadi pangkalan peluru berpandu balistik jarak sederhana.

Nelayan-nelayan Kumzari berkongsi laluan air di teluk itu bersama-sama kapal perang dan kapal induk pesawat udara selain bot-bot pengawal milik Oman dan Iran.

"Kami sentiasa berada dalam kawasan serangan dan tembakan yang boleh dilepaskan pada bila-bila masa kerana kami tinggal di selat," kata seorang nelayan yang dikenali sebagai Zeid, 31.

Tetapi dengan tekanan yang semakin meningkat antara Iran dan Barat berkenaan program nuklear Teheran, negara Parsi itu mengugut untuk menutup selat jika diserang. Penduduk kampung pula tidak menunjukkan apa-apa perubahan terhadap konflik tersebut,

"Jika perang meletus di selat, tiada apa yang boleh kami lakukan. Setakat ini, kami teruskan hidup menjadi nelayan kerana tiada apa lagi yang tinggal dengan kami," kata Zeid.

Ops Sikap didik pelajar sekolah

Posted: 19 Apr 2012 07:11 PM PDT



DENGAN wisel di bibir, gaya kanak-kanak berusia 10 tahun itu seolah-olah seperti anggota polis trafik yang sedang bertugas.

Meskipun dibakar terik matahari sambil pen di tangan, dia tidak teragak-agak mengeluarkan saman kepada rakan yang melanggar peraturan lalu lintas.

Setiap kesalahan itu dicatat dan dimaklumkan agar ia tidak diulangi.

Pelbagai aksi dapat dilihat apabila mereka yang melanggar peraturan menerima surat saman. Ada yang menepuk dahi dan ada pula yang hanya mampu tersengih apabila menyedari kesilapan yang dilakukan.

Senario itu mungkin kelihatan sama seperti keadaan sebenar di jalan raya, namun ia hanyalah latihan amali pendidikan keselamatan jalan raya melalui Ops Sikap 2 yang dijalankan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasik, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras baru-baru ini.

Penganjuran Ops Sikap itu bertujuan menguji pemahaman pelajar akan keselamatan jalan raya yang dipelajari dalam subjek Bahasa Melayu.

Ia lanjutan penganjuran Ops Sikap kali pertama yang diadakan pada 2010 yang mencapai objektifnya untuk menyemai minat serta menanam pemahaman pelajar mengenai keselamatan jalan raya.

Kali ini, Ops Sikap 2 SK Seri Tasik melibatkan kira-kira 30 pelajar tahun empat yang terpilih untuk menguji kemahiran dan pengetahuan mereka di jalan raya.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang aspek keselamatan jalan raya bermula dari kanak-kanak. Program ini bertujuan melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah dan berdisiplin serta mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan.

Bermula pada tahun 2008, pendidikan keselamatan jalan raya diajar dalam subjek Bahasa Melayu untuk murid tahun satu hingga enam. Ia kemudiannya dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah bermula tahun ini. Menggunakan tapak tempat letak kereta di luar kawasan sekolah yang diubahsuai menjadi litar jalan raya, pelajar yang menjadi pengguna jalan raya perlu mengikut aturan yang ditetapkan. Ada yang menunggang basikal dan ada sebagai pejalan kaki.


PELAJAR yang menjadi pengguna jalan raya perlu mengikut aturan yang ditetapkan.


Selain guru, Ops Sikap 2 itu juga melibatkan kerjasama anggota dan pegawai dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wilayah Persekutuan yang memantau perjalanan latihan amali yang memakan masa kira-kira setengah jam.

Murid diajar teori dalam kelas sebelum menjalani latihan di lapangan.

Menggunakan buku dan bahan pengajaran yang disediakan oleh JKJR, guru Bahasa Melayu turut diberi latihan secukupnya oleh JKJR tentang setiap topik keselamatan jalan raya bagi memudahkan mereka mengajar.

Terima saman

Kali ini, topik tentang menunggang basikal dibincangkan di dalam kelas sebelum dipraktikkan di lapangan.

Perlu berhati-hati kerana setiap pergerakan akan dinilai. Pelajar juga harus peka dengan papan tanda keselamatan selain tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di simpang jalan, lampu isyarat, bulatan dan lintasan zebra.

Jika tidak, bersiap sedialah untuk menerima saman bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Menjadi antara sekolah yang paling aktif dalam pendidikan keselamatan jalan raya di Wilayah Persekutuan, SK Seri Tasik boleh berbangga dengan kemudahan yang disediakan di sekolah tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar menghayati keselamatan jalan raya dengan lebih berkesan.


PEMAHAMAN yang mendalam mengenai keselamatan jalan raya mampu mengelakkan kemalangan jalan raya yang tidak diduga.


Guru Besar sekolah tersebut, Misman Mostam mengakui terdapat kesan positif daripada pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan para pelajarnya.

"Para pelajar ini sudah kenal papan tanda jalan raya, tahu secara asas aspek keselamatan dan mereka aplikasikan ketika menunggang basikal, turun dari bas dan melintas jalan," katanya aspek keselamatan jalan raya antara perkara yang amat dititikberatkan di sekolah itu kerana kebanyakan pelajar-pelajarnya berjalan kaki dan menggunakan basikal untuk ke sekolah.

Kebanyakan pelajar sekolah terbabit datang daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah serta taraf pendidikan keluarga yang sederhana.

Mereka tinggal di kawasan perumahan flat, pangsapuri, dan kondominium yang memenuhi kawasan di Tasik Permaisuri. Jalan raya di kawasan itu sering berdepan dengan kesesakan lalu lintas, sekali gus meningkatkan risiko terhadap kemalangan.

"Atas faktor-faktor itulah mereka memerlukan lebih pendedahan dan pengetahuan tentang keselamatan jalan raya," katanya.

Aspek keselamatan

Penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya (Kejara) yang aktif di sekolah itu turut memberi pendedahan dan maklumat keselamatan jalan raya terutama di sepanjang ruang pejalan kaki di sekolah.

Mohd. Faheem Haikal Abdul Rahman, murid tahun empat, yang terlibat dalam Ops Sikap 2 berkata, banyak perkara baharu yang dipelajari dan dipraktikkan tentang aspek keselamatan jalan raya dalam kehidupannya.

Sebagai pelajar katanya, penting mempelajari keselamatan di jalan raya dan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Perlu lihat kiri dan kanan sebelum melintas, pastikan basikal berada dalam keadaan baik, mesti ikut peraturan. Jika tidak, boleh bahayakan diri," ujarnya.

Hanya menerima satu saman atas kesalahan tidak berhenti di simpang jalan, Mohd Faheem berkata, latihan ini memudahkannya untuk memahami apa yang dipelajari selama ini.

Bertubuh kecil, Amirul Saifudin Ibrahim, 10, pula menerima lima saman atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan yang dilakukannya ialah melanggar lampu merah, tidak berhenti di persimpangan jalan serta tidak berhenti di petak kuning.

"Saya tidak ingat peraturan, sebab tu saya tak berhenti. Tapi sekarang dah tahu tak boleh berhenti di petak kuning, nak lintas kena tengok kiri kanan dulu," katanya yang seronok mengikuti latihan amali melalui Ops Sikap itu.

Itu merupakan sebahagian daripada realiti yang perlu dipelajari pelajar-pelajar mengenai peraturan di jalan raya.

Dijangka pada tahun 2013, setiap pelajar dari tahun satu hingga tingkatan tiga akan mempelajari pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah.

VIP kecil di kolam renang Drypers

Posted: 19 Apr 2012 07:07 PM PDT


PENGGUNA setia Drypers diraikan dalam satu acara khas di kolam renang The Club Bandar Utama.


SEBAGAI membuka kalendar tahun 2012, jenama lampin bayi, Drypers menganjurkan acara pesta kolam renang untuk si kecil bersama ibu bapa dalam suasana yang penuh meriah.

Berlangsung di The Club, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, acara tersebut dianjurkan sebagai penghargaan kepada para pengguna yang berterusan memberi sokongan terhadap jenama tersebut.

Program itu secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara si kecil dan ibu bapa sekali gus menghargai saat-saat indah bersama anak-anak yang mungkin sering ditinggalkan lantaran tuntutan kerja sehari-hari.

Acara bermula dengan segmen senaman aerobik untuk bayi dan kanak-kanak yang menyaksikan para VIP (orang kenamaan) kecil itu bergaya dengan pelampung dan cermin mata hitam serta topi masing-masing. Ibu bapa pula dikehendaki membantu si manja mereka melakukan rutin pergerakan kaki dan tangan yang mudah.

Kongsi momen si kecil

Selain itu, Drypers telah mengambil peluang memperkenalkan peraduan My Baby Did What? kepada keluarga yang hadir. Peraduan itu merupakan inisiatif Drypers untuk mengiktiraf dan menghargai para pengguna. Untuk menyertainya, ibu bapa perlu merakamkan aksi spontan serta saat-saat istimewa bayi mereka dalam bentuk gambar atau video untuk dimuat naik ke laman Facebook Drypers.


IBU bapa dan si kecil mengisi perut yang berkeroncong selepas penat bermain air di kolam renang.


Mereka juga boleh berkongsi video dan gambar tersebut di Facebook dan meminta rakan-rakan untuk mengundinya bagi meningkatkan peluang mereka memenangi pelbagai hadiah mingguan menarik.

Gambar atau video yang dipilih oleh barisan panel hakim pula akan disiarkan dalam iklan TV pada Jun ini, sekali gus membolehkan si kecil anda bergelar bintang kecil televisyen.

Para peserta juga akan memenangi hadiah dan wang tunai bernilai lebih RM30,000. Justeru, inilah masanya untuk pasangan suami isteri memulakan rutin merakam saat-saat bermakna si manja.

Set kelengkapan baharu

Bagi menambahkan lagi kemeriahan pesta itu, Drypers turut memperkenalkan set kelengkapan penjagaan bayi terbaharu yang terdiri daripada sabun/syampu untuk seluruh badan, bedak talkum bayi dan tisu basah yang diletakkan di semua bilik mandi kelab tersebut.

Produk set kelengkapan penjagaan bayi dicipta khusus untuk menyokong rangkaian lampin Drypers di samping memberi kemudahan kepada ibu bapa.


EVELYN (kiri) menyerahkan hadiah produk barangan bayi kepada salah seorang peserta peraduan My Baby Did What?


Pada pesta itu juga, semua keluarga yang hadir telah menyertai peraduan Make Your Baby Up menggunakan lampin Drypers dan rangkaian produk penjagaan bayi tersebut.

Tiga keluarga terpantas yang menyiapkan bayi mereka dalam tempoh yang singkat berjaya memenangi pek hadiah eksklusif Drypers.

Menikmati hidangan bufet yang lazat seisi keluarga pula merupakan acara kemuncak pesta di kolam renang tersebut.

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran SCA Hygiene Malaysia, Evelyn Chan, tahun 2012 bakal menjadi tahun yang cemerlang untuk Drypers dan para pengguna setianya.

"Dengan tema penjagaan sempurna yang kami ketengahkan, ia mampu menyediakan sokongan emosi dan pendidikan kepada ibu bapa melalui siri interaksi dalam talian dalam laman sosial Facebook dan laman web Drypers.

"Antaranya seperti petua penjagaan bayi serta platform untuk perbincangan serta nasihat berguna kepada para pengguna," jelas Evelyn.

‘Saya tahu batas agama’

Posted: 18 Apr 2012 11:17 PM PDT


FATIN mengaku tidak memilihkawan, namun dia sedar diri. Dia mendakwa sudah mempunyai kekasih dan dia seorang lelaki.


JIKA sebelum ini Erin Malik pernah berdepan kontroversi tindik lidah dan foto-foto liar yang tersebar di Internet, kini giliran rakannya dalam filem Tentang Bulan, Fatin Afifah, 18, dilanda kontroversi.

Menerusi beberapa keping gambar di Internet yang menunjukkan keintiman dan keakraban pemilik nama sebenarFatin Nur Afifah Shamsudin bersama seorang pengkid, dia turut ditohmah mengamalkan kehidupan songsang bersama individu terbabit yang dikenali dengan nama Puteri Sarah atau panggilannya Putt.

Sehubungan itu juga, beberapa keping gambar dia mencacah tatu nama pasangan lesbiannya pada bahagian pinggang sebelah kanan turut tersebar selain terdapat sebuah blog yang menceritakan kisah cintanya bersama Putt.

Kosmo! sempat bersua dengan pelakon filem Tentang Bulan dan Brainscan itu ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini untuk bertanya perkara sebenar yang berlaku.

Kosmo!: Fatin Afifah, nama yang tiba-tiba melonjak naik selepas lama menyepi daripada dunia lakonan. Bagaimana anda melihat situasi yang sedang berlaku sekarang?

FATIN AFIFAH: Saya akui sudah lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir menerusi filem Brainscan. Mungkin ramai yang tidak mahu mengambil saya kerana saya kurang berbakat. Tapi, saya masih di bawah pengurusan Metrowealth Sdn. Bhd. (MIG). Mengenai situasi yang sedang berlaku, saya pun terkejut kerana tiba-tiba nama saya disebut-sebut tapi dengan kontroversi yang menyakitkan hati.

Adakah benar dakwaan yang mengatakan anda lesbian dan mempunyai tatu nama pasangan anda pada bahagian pinggang?

Tidak benar sama sekali! Saya sudah ada teman lelaki dan tidak pernah membuat tatu. Saya masih waras dan tahu pangkal agama saya. Mana mungkin saya melakukan perkara itu (sambil menunjukkan bahagian pinggang yang tidak bertatu).

Jadi, bagaimana anda menyifatkan kontroversi yang terjadi?

Ini semua fitnah dan mengaibkan saya! Saya tak tahu bagaimana perkara ini tiba-tiba tercetus. Mungkin ada yang iri hati dengan saya. Tapi saya tidak menuduh sesiapa, sama ada kenalan atau teman rapat saya yang buat onar.

Anda kenal individu yang didakwa pasangan lesbian anda?

Saya kenal dia dan dia kawan baik saya. Gambar-gambar yang tersebar di Internet diambil bersama kawan-kawan saya yang lain. Cuma yang membuat saya keliru, kenapa pula hanya gambar kami berdua yang disebarkan. Saya berkawan dengan semua orang dan tak pernah memilih kawan.


INILAH gambar yang mencetuskan kontroversi apabila Fatin didakwa menjalin cinta sejenis dengan pasangannya yang bernama Putt.


Bagaimana pula dengan blog yang dikatakan banyak menceritakan kisah percintaan anda?

Saya tidak ada blog dan langsung tidak tahu cara untuk menulis blog. Makin keliru apabila saya dituduh menulis blog untuk menceritakan kisah cinta saya. Ketika membaca blog itu saya sekadar ketawa. Sekarang blog itu sudah dibuang dan tiba-tiba pula saya yang dituduh terlibat membuang blog itu sebab malu.

Bagaimana kontroversi ini memberikan impak kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat anda?

Mula-mula saya menangis sebab tak tahan. Tuduhan ini melampau! Saya banyak mengadu kepada rakan-rakan baik saya. Selebihnya, keluarga saya yang banyak memberi motivasi untuk saya. Saya harus terima ini sebahagian daripada dunia seorang selebriti.

Anda menyesal menjadi seorang artis yang pasti setiap tindakan akan diperhatikan?

Saya pernah menyesal suatu ketika dahulu. Terlintas pada fikiran untuk berpatah balik tapi sudah terlambat kerana saya sudah masuk ke dalam industri.

Adakala, kontroversi sebenarnya menaikkan nama seseorang artis. Apa komen anda?

Saya tidak suka kontroversi sebegini. Isu ini memalukan saya dan yang paling menyedihkan apabila ibu dan ayah saya dipersalahkan kerana perkara ini.

Apa tindakan anda selepas ini?

Saya sudah membuat laporan polis baru-baru ini atas dasar menyebar fitnah dan mengaibkan saya. Saya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya membuang semua gosip yang mengaibkan saya itu. Saya nak buka buku baharu dan tak nak layan gosip murah sebegini. Saya akan fokus kepada dunia lakonan dan nyanyian.

Aida (Gadis Melayu) Tidak Anggap Penyakit Jantung Anak Sebagai Beban

Posted: 18 Apr 2012 11:15 PM PDT

Aida.

PETALING JAYA: Bekas juara rancangan Gadis Melayu, Aida, 26, mengakui agak tertekan dengan masalah penyakit anak sulungnya, Aida Eirdeena Mohd Saiful Nizam, 10 bulan, yang mengalami Truncus Arteriosus Type 1 (jantung kongenital) sejak dilahirkan.

Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaaidah Zali berkata, tekanan itu menjadi semakin kurang apabila dia menganggap perkara itu adalah ujian daripada Tuhan selain bersyukur anaknya semakin pulih sejak menjalani pembedahan pada tahun lalu.

"Tipulah kalau saya tak rasa sedih dan tertekan, namun saya tidak anggap pun penyakit Eirdeena sebagai satu bebanan. Sebaliknya, saya reda dengan ujian.

"Sepatutnya saya perlu lebih bersyukur sekurang-kurangnya Eirdeena ada potensi untuk sembuh jika nak dibandingkan dengan kes-kes kanak-kanak yang mempunyai penyakit yang tidak dapat diubati langsung.

Aida bersama suami, Saiful Nizam yang juga Penyampai Berita TV3 serta anak mereka. Foto: Facebook Aida.

"Saya dan suami (Mohd, Saiful Nizam Ismail) juga bersyukur kerana kami masih lagi mampu untuk menanggung kos perubatan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Aida, walaupun berjaya menjalani pembedahan tersebut, penyakit berkenaan tidak akan sembuh seratus peratus.

"Eirdeena mungkin akan dibedah pada masa akan datang bergantung kepada aliran darah ke paru-paru yang menggunakan tisu homograf semasa pembedahan sebelum ini.

"Apa-apa pun, saya akan memastikan dia diberi ubat mengikut masa yang ditetapkan dan saya mengambil langkah mencari maklumat mengenai penyakit anak saya ini, sekiranya berlaku apa-apa kepadanya. Saya dan suami juga mencuba kaedah perubatan tradisional," ujarnya.

Dalam perkembangan Aida turut menjalankan perniagaan tudung di bawah jenamanya sendiri iaitu CitrAida yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dekat sini yang beroperasi sejak sebulan lalu.

Aida memberitahu dia menjual pelbagai jenis tudung seperti tudung ekspres, tudung Syria, pelbagai jenis selendang dan juga tudung bawal.

Katanya, kebanyakan tudung berkenaan diimport dari China, Indonesia dan Turki yang dijual dengan harga dari RM20 hingga RM100.

"Alhamdulillah apabila memiliki perniagaan sendiri ia lebih memudahkan untuk saya menguruskan masa," ujarnya.

Untuk melihat koleksi tudung yang dijual oleh Aida boleh lawat Facebook miliknya menerusi akaun CitrAida

1 ulasan:

Unknown on 29 November 2015 pada 12:59 PTG berkata...

Nama saya margaret Fredrick dan saya mendasarkan di Texas Amerika Syarikat. "Kehidupan saya kembali !!!
Selepas 1 tahun perkahwinan patah, suami saya meninggalkan saya dengan dua kanak-kanak. Saya
rasa seperti hidup saya adalah kira-kira untuk menamatkan i berani mati hampir komited, i
emosi ke bawah untuk masa yang sangat lama. Terima kasih kepada si penyihir kesan besar
dipanggil Imam Besar Dr oamen yang saya meng talian. Pada suatu hari yang setia,
kerana saya telah melayari internet, saya terjumpa banyak
keterangan mengenai ini ejaan bedak tertentu. Ada yang memberi keterangan
bahawa dia membawa kekasih Ex mereka kembali, ada memberi keterangan bahawa beliau mengembalikan
rahim, kanser mengubati, dan penyakit lain, ada yang memberi keterangan bahawa beliau boleh membuang
ejaan untuk menghentikan perceraian dan sebagainya. saya juga mencari salah satu tertentu
testimoni, ia adalah mengenai seorang wanita bernama mary, dia memberi keterangan mengenai cara
dia dibawa balik kekasih Ex dia dalam masa kurang dari 7 hari, dan pada akhir
keterangannya dia jatuh Alamat emel Imam Besar Dr oamen'S.
Selepas membaca semua ini, saya membuat keputusan untuk mencubanya. Saya menghubungi beliau
melalui e-mel (droamenspellcaster15@outlook.com) dan menjelaskan masalah saya
kepada dia. Hanya dalam 3 hari, suami saya kembali kepada saya. Kami diselesaikan kami
isu-isu, dan kami lebih bahagia daripada sebelum ini. Imam Dr oamen adalah
benar-benar seorang yang berbakat dan saya tidak akan berhenti menerbitkan dia kerana dia adalah
lelaki yang baik ... Jika anda mempunyai sebarang masalah di sini adalah alamat e-mel ke
sampai kepadanya. droamenspellcaster15@outlook.com anda akan senang anda lakukan.

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved