ads

Ahad, 1 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tabuik kebanggaan masyarakat Pariaman

Posted: 01 Apr 2012 10:05 PM PDT

KEHADIRAN ahli Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) yang terlibat dalam Program Pertukaran Belia dan Program Pembelajaran (YES) disambut penuh adat istiadat daripada penduduk Kota Pariaman.


KAMI canggung melihat satu objek setinggi lima meter yang dijulang oleh 10 orang anak muda di Kota Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia. Kami kurang arif dengan maksud yang tersirat. Umpama sebuah 'menara bergerak', ia dihiasi dengan objek haiwan berwarna hitam, di tengah-tengahnya terletak wajah pengantin wanita dan terdapat sembilan batang payung yang dicucuk di beberapa sudut.

Sambil diiringi dengan paluan gendang, anak-anak muda itu berarak membawa objek berkenaan. Kemudian, delegasi kami iaitu para sukarelawan daripada Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) yang terlibat dalam Program Pertukaran Belia dan Program Pembelajaran (YES) disambut dengan persembahan Silat Minang. Ia diakhiri dengan adat memakan sireh sebagai tanda mengalu-alukan tetamu yang datang bertandang.

"Kami menyambut anda dengan tabuik iaitu satu perayaan tempatan yang dilangsungkan hanya pada 10 Muharam. Oleh kerana anda semua adalah tetamu istimewa kami, jadi anda semua diraikan dengan cara paling terhormat," demikian kata Asisten II Kota Pariaman, Yaminurizal Msi. Di Malaysia jawatan Asisten tersebut bersamaan dengan pegawai daerah.

Pereka termuda

Berkesempatan berjumpa dengan pembuat peralatan tabuik memberi ruang kepada penulis mengenali lanjut tabuik atau lebih disebut juga sebagai tabuik piaman.

Alfred Mosaddeq, 33, memberitahu, dia sudah tiga tahun membuat model tabuik untuk masyarakat Kota Pariaman.


KIRI: Tabuik yang setinggi 15 meter perlu diangkat enam hingga lapan orang.


Kata Alfred, tabuik yang berasal dari perkataan tabut dalam bahasa Arab bermaksud mengarak adalah satu upacara memperingati Perang Karbala yang melibatkan cucu Nabi Muhammad SAW, Husain Ali.

Perayaan itu dikatakan adalah ekspresi penduduk Sumatera Barat serta penganut Syiah dari Timur Tengah dalam menunjukkan rasa hormat dan duka di atas kematian cucu Rasulullah yang meninggal dunia pada 10 Muharam.

"Sebenarnya, syarat untuk membuat tabuik mestilah mereka yang berumur 40 tahun ke atas. Tetapi disebabkan ia sudah dijadikan sebagai satu budaya dan tarikan pelancong selain acara itu bukan lagi sebagai acara keagamaan, syarat itu dilonggarkan. Saya kini antara pembuat tabuik yang termuda," jelas Alfred panjang lebar.

Rutin

Ujar Alfred, perayaan tabuik piaman sebenarnya dirayakan selama 10 hari bermula pada 1 Muharam lagi. Setiap hari, ia punya acara tertentu. Antaranya berpuasa, upacara menebang batang pisang dan upacara meratapi kesedihan yang biasanya dilakukan oleh kaum ibu.

"Ibu-ibu tua juga akan melakukan persiapan seperti pelbagai kuih-muih tradisional," katanya.

Membuat sebuah tabuik yang setinggi 15 meter dengan menggunakan elemen rotan bukan mudah. Alfred yang mempunyai bengkel yang bernama Pondok Souvenier Piaman lazimnya akan mengambil tempahan beberapa minggu sebelum hari perayaan.


ANTARA komponen penting dalam membuat tabuik termasuklah sembilan payung yang dikelilingi dengan bunga selapan.


Pada tahun 2009, upah membuat tabuik sekitar RM5,500 tetapi pada tahun berikutnya, bertambah mencecah RM7,000 sebuah.

Buang ke laut

Selaku pembuat tabuik, Alfred berbangga apabila melihat hasil sentuhannya diarak dan disaksikan ratusan ribu pelancong.

"Sejak pukul 6 petang, kota ini sudah dipenuhi manusia. Tabuik akan dijulang pemikul yang mengenakan seragam tradisional bersama dengan kumpulan gendang diarak ke Pantai Gandoriah.

Tabuik tidak boleh disimpan. Sebaliknya ia akan dilempar ke Pantai Gandoriah ketika matahari hendak terbenam.

Ia nampak pelik dan hal ini diakui Alfred. Beritahunya, ada pihak yang menentang upacara itu. Namun, bagi masyarakat Kota Pariaman, ia hanyalah satu kesinambungan budaya yang terus dipertahankan.

"Lagipun, banyak ritual keras sudah tidak dilaksanakan dan kami menganggap tabuik satu budaya yang unik dalam menyatukan masyarakat," ujarnya lagi.

Resepsi bertema rock

Posted: 01 Apr 2012 10:00 PM PDT

HARD Rock Cafe Penang menawarkan dua pakej majlis resepsi iaitu Take My Breath Away dan Time of Your Life pada harga yang RM100 atau RM120 seorang tetamu.


BAKAL pasangan raja sehari yang mengimpikan majlis perkahwinan eksklusif boleh memilih pakej perkahwinan seperti yang disediakan di Hard Rock Cafe Pulau Pinang (Hard Rock Cafe Penang). Lain daripada yang lain, pakej diberi nama Heck Yeah itu menampilkan majlis dalam suasana ala rock, tetapi santai dengan prestij imej Hard Rock Cafe.

Apa yang pasti, majlis berkonsepkan muzik rock yang disertakan dengan persembahan pentas itu pasti mengujakan tetamu.

Dua pakej boleh dipilih pasangan iaitu Take My Breath Away atau Time of Your Life pada harga yang ditawarkan ialah RM100 atau RM120 seorang

Majlis yang berlangsung di dalam Hard Rock Cafe Penang pasti meriah dengan berlatarbelakangkan pentas serta dekorasi eksklusifnya seperti koleksi piring hitam, pakaian, aksesori dan alat muzik.

"Sama ada anda pasangan pengantin yang berjiwa rock atau sekadar meminati muzik, ia satu pilihan yang pasti meninggalkan momen indah," ujar Pengurus Besar Hotel Hard Rock Penang, John Primmer.

Katanya, harga pakej yang ditawarkan itu termasuk hiasan, sistem cahaya dan audio, kad jemputan kahwin eksklusif dengan logo Hard Rock Cafe serta penginapan sehari di Seaview Suite bagi pasangan pengantin.

Bagi berkongsi kegembiraan pengantin, pihaknya turut menghadiahkan sebiji kek serta menyediakan minuman ringan percuma kepada tetamu sepanjang majlis berlangsung. Tidak ketinggalan persembahan pentas oleh artis residen.


SENI dekorasi majlis akan menonjolkan konsep ala rock.


"Apa yang membezakan tanda harga pakej ini ialah menu yang disediakan sahaja iaitu antara 22 hingga 28 jenis hidangan ala Hard Rock.

"Lebih istimewa, pengantin juga layak mendapat potongan 10 peratus untuk membeli barangan kami di kedai Hard Rock Shop," ujarnya pada majlis memperkenalkan pakej perkahwinan itu kepada media baru-baru ini.

Sementara itu, Eksekutif Jualan Hard Rock Cafe Penang, Grace Ramji memberitahu, pasangan pengantin bagaimanapun boleh memilih untuk mengadakan majlis mereka mengikut cara yang dikehendaki.

Katanya, sebagai tambahan, pihaknya juga boleh menganjurkan parti atau majlis yang berasingan dengan kadar caj tertentu.

"Pakej perkahwinan ini sesuai bagi pasangan pengantin yang ingin mengadakan majlis resepsi dengan jumlah tetamu yang sederhana, tetapi inginkan suasana istimewa untuk dikongsi bersama keluarga atau teman-teman rapat.

"Harga yang ditawarkan ini adalah bagi majlis perkahwinan yang berlangsung pada waktu petang dan caj tambahan akan dikenakan bagi majlis yang ingin diadakan pada waktu malam," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai pakej itu boleh diperoleh dengan melayari laman web penang.hardrockhotels.net atau hubungi talian 04-886 8050.

Kena bijak tepis ‘offer’

Posted: 01 Apr 2012 01:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pantang melihat ada artis baru memiliki pakej lengkap sebagai wanita idaman, segelintir orang kenamaan (VIP), pengarah, penerbit dan promoter konsert berlumba-lumba menjerat artis terbabit dengan pelbagai umpan seperti kemewahan dan kejayaan segera dalam industri seni tanah air.

Dasar lelaki hidung belang, mereka tidak mampu menahan naluri seks luar biasa sebaik menyedari kehadiran artis baru berwajah cantik, kulit putih gebu dan badan menggiurkan, sekali gus giat pasang jerat.

Foto

NEELOFA... VIP guna pelbagai helah.

Foto

HANEZ... pengarah cuba raba dan cium.

  •  
  •  
  •  

     

  •  

  •  

  • Foto

    ANI MAYUNI... pintu diketuk bagai nak roboh.

Foto

NAS ADILA... penganjur konsert tarik kasar masuk bilik.

 

Foto

FIZA... penerbit sengaja wujud babak atas katil.

Jika tersilap langkah, boleh tergadai maruah. Itu risiko dihadapi artis wanita, terutama artis baru 'bergetah' yang terdedah dengan gangguan seksual dalam meneruskan karier seni mereka.

Memang ada pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai, namun perkembangan negatif seperti itu sebenarnya tidak harus kekal dalam industri hiburan tanah air yang boleh mencerminkan imej tidak baik pada mata masyarakat.Ikuti pengalaman Neelofa, Hanez Suraya, Nas Adila, Fiza Elite dan Ani Mayuni yang pernah berdepan gangguan seksual sepanjang karier mereka.

Belanja RM3.1j untuk anak

Posted: 01 Apr 2012 01:00 AM PDT

PERCUTIAN KELUARGA... Melinda menundukkan badan untuk bercakap sesuatu dengan anaknya Rory bersama seorang rakan dan suaminya Bill di acara kuda di Florida.
PERCUTIAN KELUARGA... Melinda menundukkan badan untuk bercakap sesuatu dengan anaknya Rory bersama seorang rakan dan suaminya Bill di acara kuda di Florida.

DEMI minat mendalam anak perempuannya dalam sukan berkuda, Bill Gates sanggup membelanjakan AS$1 juta (RM3.1 juta) untuk menyewa sebuah rumah agam yang dekat dengan satu festival ekuestrian.

Jennifer Gates, 15, menunjukkan kemahiran dalam sukan berkuda pada hujung minggu lalu ketika menyertai pertandingan ekuestrian di Palm Beach, Florida.


Bilionair yang mengasaskan Microsoft itu dikatakan menandatangani perjanjian menyewa sebuah rumah yang besar selama enam bulan untuk membolehkan satu-satunya anak perempuannya bertanding dalam sukan itu ketika cuti musim bunga.

  • Foto

    SIAP SEDIA... Jennifer mengambil bahagian dalam pertunjukan ekuestrian di Florida.

  • Foto

    LUAS... Gates diberi pilihan untuk membeli rumah itu selepas tempoh sewa tamat.

  • Foto

    LENGKAP... rumah agam yang serba mewah ini turut dilengkapi kolam renang.

Isteri Gates, Melinda dan anak lelaki mereka Rory, 13, turut berada di acara itu untuk memberi sokongan moral kepada Jennifer.


Mereka menumpukan perhatian terhadap Jennifer ketika mengambil bahagian dalam pesta itu yang berlangsung hingga hari ini.


Kira-kira 5,000 kuda dan 2,800 penunggang daripada 49 negeri seluruh Amerika Syarikat dan 30 negara lain mengambil bahagian dalam pesta itu.Jurucakap Equestrian Sports Production, Jennifer Wood, mengesahkan anak Gates mengambil bahagian dalam acara lompat bahagian kanak-kanak.


Bayaran dikenakan untuk pertandingan itu adalah RM138 untuk setiap bahagian dan hadiah ditawarkan antara RM4,600 dan RM6,130.

Gates, orang paling kaya di Amerika Syarikat, dikatakan menyewa rumah yang mempunyai keluasan 7,300 kaki persegi dan lapan bilik tidur serta kemudahan ekuestrian dengan harga RM1.84 juta. Hartanah yang terletak di Wellington, Florida itu bernilai RM39.5 juta.


Walaupun Candice Cerro daripada move.com tidak dapat mengesahkan kepada wartawan yang keluarga Gates menyewa rumah itu, dia berkata, hartanah itu tidak lagi berada dalam senarai untuk diiklankan.


Gates kemudian menyewa empat kuda untuk acara melompat dengan harga RM53,150 hingga RM230,000 seekor untuk anaknya.


Dia turut membelanjakan RM53,150 untuk kandang kuda dan mengupah pelatih terbaik.


Selain itu, mereka menaiki pesawat persendirian tiga kali untuk ulang alik ke rumah asal mereka di tepi Tasik Washington di Medina.


Menurut Gawker, rumah di Florida itu mempunyai lapan bilik tidur, bangsal, kandang kuda dan tempat melatih kuda serta jalan masuk yang dikawal ketat.


Ia turut mempunyai sebuah tempat letak wain bawah tanah dan bilik media.


Pengasas Microsoft itu dikatakan diberi pilihan jika mahu membeli rumah itu setelah tempoh sewa tamat.


Ketika anak perempuannya bertanding dalam acara berprestij itu, Gates yang juga terkenal kerana sikapnya yang suka menderma dilihat asyik membaca The Quest, sebuah buku mengenai tenaga global dan peranannya dalam dunia ekonomi dan politik.


Festival Ekuestrian Musim Sejuk anjuran FTI Consulting itu diadakan dari 11 Januari hingga 1 April.


Hadiah wang tunai RM18.4 juta ditawarkan kepada peserta kategori 18 tahun ke atas. Acara itu turut mendapat perhatian pelatih Olimpik yang mencari bakat baru.


Menurut Bloomberg, Gates adalah lelaki kedua terkaya dunia dan bernilai RM191.131 bilion selepas hartawan telekomunikasi Mexico, Carlos Slim.


Gates mengahwini Melinda French pada 1 Januari, 1994. Dua tahun kemudian mereka mendapat Jennifer Katharine. Rory John pula dilahirkan pada 1999 manakala anak bongsu mereka, Phoebe Adele lahir pada 2002.

Zawahir ketagih laksana kebajikan

Posted: 01 Apr 2012 12:59 AM PDT

AMAL...program makan malam amal bersama Datuk Sharifah Aini.
AMAL...program makan malam amal bersama Datuk Sharifah Aini.

MENIKMATI pendapatan mencecah lima angka sebulan membolehkan lelaki ini terbang ulang-alik ke utara Semenanjung semata-mata ingin menjamah nasi kandar yang terkenal di Pulau Pinang.

Tatkala mengidam nasi dagang iaitu masakan popular Terengganu, tanpa berlengah masa tiket kapal terbang dibeli sebelum berlepas ke negeri pantai timur dan pulang ke ibu kota sebaik selesai menjamu selera.

  • Foto

    KETAGIH...kebajikan membuatkan Zawahir ketagih.

  • Foto

    PENTING...keluarga menjadi tonggak utama.

  • Foto

    IMPIAN...kompleks kediaman anak yatim menjadi impian Zawahir.

Berasal daripada keluarga sederhana, sememangnya menjadi impian Zawahir Abdullah menjalani kehidupan menyenangkan dewasa kelak, sekali gus dikongsikan bersama ibu bapa tersayang.

Biarpun dikategorikan berjaya, bekas pegawai bank dan pengurus jualan dan pemasaran di sebuah syarikat automotif Bumiputera ini masih tidak puas, selain merasakan kekurangan sesuatu dalam hidupnya.Enggan terus makan gaji, Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) ini memberanikan diri menubuhkan syarikat menjual kereta terpakai, namun perniagaan itu tidak berpanjangan apabila terjejas teruk akibat krisis kewangan pada 1998.


Bangkit daripada kejatuhan itu, lelaki berusia 45 tahun ini menyertai Majlis Kanser Nasional (Makna) selama lima tahun untuk membantu insan yang menghidap kanser.

"Menyertai Makna membuka mata saya terhadap kesusahan masyarakat memerlukan bantuan, terutama yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Selepas meninggalkan Makna, saya ditawarkan jawatan Pengarah Negara, Islamic Relief Malaysia (IRM) selama dua tahun bermula 2008 yang memerlukan saya menjalani sesi temuramah bersama exco tertinggi di Birmingham.

"IRM adalah satu organisasi Arab berpusat di United Kingdom dan kebanyakan misi dijalankan menjurus kepada membantu masyarakat di negara yang mengalami bencana, antaranya tsunami di Aceh.

"Dua tahun menyandang jawatan itu, saya mengambil keputusan meninggalkan IRM dan membuat perancangan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat yang mengalami kesusahan di negara sendiri," katanya ketika ditemui di Taman Serdang Perdana.

Membangunkan satu NGO berasaskan bantuan diakui bukan mudah, apatah lagi ia memerlukan perbelanjaan besar bagi menampung kos pejabat, pencarian sumber
dana serta penyertaan sukarelawan.

Nekad di hati ingin melihat senyuman terukir di wajah insan mengharap, Zawahir ketika itu mengalami kekurangan sumber kewangan IAM sanggup berkorban harta apabila menjual kereta Kenari miliknya.

"Kereta itu adalah kegunaan harian, malah pinjaman bank juga habis dibayar.
Namun saya yakin jika kita berkorban untuk sesuatu yang baik, dengan cara lain Allah akan pulangkan kepada kita.

"Syukur, dengan berbekalkan wang jualan kereta sebanyak RM20,000, saya berjaya memperoleh ruang pejabat kondusif dan penyertaan teman daripada IRM juga menguatkan semangat meneruskan hasrat ini.

"Tanggal 18 Januari 2011, akhirnya IAM ditubuhkan yang berfungsi membantu golongan sasar seperti orang daif, ibu tunggal dan warga emas miskin, anak yatim, mangsa bencana, orang kelainan upaya (OKU) serta masyarakat Orang Asli," katanya.

Berusia menjengah setahun jagung, Zawahir menyatakan rasa gembira apabila IAM kerap menerima sumbangan dan dana daripada individu serta teman rapat yang prihatin. Hampir setiap bulan, kalendar IAM dipenuhi pelbagai program bantuan seluruh Malaysia.

Selain mengharapkan sumbangan orang ramai, IAM menggunakan alternatif lain untuk mengumpul dana, termasuk jualan dan majlis makan malam amal.

Mendengarkan perkataan 'Islam' yang tertera di IAM, mungkin ramai beranggapan golongan fokus hanya menjurus kepada masyarakat Islam, namun badan ini turut membantu seluruh lapisan rakyat tanpa mengira pegangan agama, terutama yang dihimpit kemiskinan.

Seolah-olah ketagih melakukan kebajikan, lelaki ini turut membawa bersama anaknya menyertai program anjuran IAM dengan niat supaya warisnya dapat menyaksikan kesusahan dan kesukaran dialami golongan tidak bernasib baik serta bersyukur atas nikmat diberikan.

"Selesai menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid sekitar Bangi, saya dikerumuni sekumpulan kanak-kanak lelaki memakai serban menghulurkan tangan untuk bersalam. Saya terkejut kerana langsung tidak mengenali mereka, hinggakan ramai orang di masjid itu menyaksikan kejadian berkenaan.

"Kemudian, kanak-kanak itu pulang menaiki sebuah van dan saya dimaklumkan teman bahawa mereka daripada rumah anak yatim yang pernah menerima bantuan IAM.

"Sesungguhnya saya terharu dengan sikap mengenang jasa ditonjolkan mereka," katanya yang berkongsi pengalaman tidak dilupakan.

Perasaan kagum penulis bertambah apabila bapa kepada empat cahaya mata ini meluahkan impiannya ingin mendirikan kompleks kediaman anak yatim serba moden
di atas sebidang tanah seluas tiga hektar di Kubang Pasu, Kedah yang diberikan teman baiknya.

Kompleks yang bakal memuatkan 200 anak yatim itu akan dilengkapi kemudahan sewajarnya, termasuk bilik bagi lima pelajar, ruang tamu untuk mengulang kaji, gelanggang badminton dan tenis serta ruang makan selesa.

Bagi mengelakkan kekurangan dana bagi menampung perbelanjaan penghuni kompleks berkenaan, Zawahir turut merancang membina 'homestay' atau inap desa di kawasan tanah yang tidak digunakan.

Selain berupaya membuahkan pendapatan, homestay berkenaan boleh dijadikan lokasi mempelajari teknik kemahiran hidup, sekali gus memberi pendedahan kepada kanak-kanak terbabit.

Hasrat yang ingin dicapai sebelum menutup mata, Zawahir mengakui penyediaan kompleks serba sempurna itu mampu memberi kesan positif kepada golongan anak kurang bernasib baik mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Zawahir menjangkakan menjelang penghujung tahun ini, projek pembinaan kompleks kediaman anak yatim bakal bermula.



PROFIL:

NAMA: Zawahir Abdullah
JAWATAN: Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM)
LAHIR: 9 Ogos 1967
ASAL: Kok Lanas, Kelantan
ISTERI: Nalia Saadah Abd Munir
ANAK: Amir (18), Adam (17), Azim (12) dan Anas (7)
PENDIDIKAN: Sarjana Pentadbiran Perniagaan, New Zealand Institute of Management (2002)

Sari tarikan utama Belgaum

Posted: 01 Apr 2012 12:57 AM PDT

SESAK...bandar Belgaum bukan pilihan biasa kepada pelancong asing kerana tarikan utamanya ialah perniagaan kain dan pakaian.
SESAK...bandar Belgaum bukan pilihan biasa kepada pelancong asing kerana tarikan utamanya ialah perniagaan kain dan pakaian.

BELGAUM yang terletak dalam negeri Karnataka, 500 kilometer dari ibu kota Bangalore, India, bukan destinasi pilihan pelancong untuk berkunjung, namun ia masih mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri.

Masyarakat tempatan sedia maklum, Belgaum terkenal sebagai penghasil kain sari di India, termasuk buatan tangan. Di merata-rata gedung dan kedai dijual pelbagai kain sari sehingga mata rambang untuk memilih.

  • Foto

    LUAS...Hospital Prabhakar Kore di Universiti KLE.

  • Foto

    DAMAI...tasek untuk beriadah terletak tiga kilometer dari pusat bandar Belgaum.

  • Foto

    INDAH...deretan kain sari berwarna-warni dengan warna mengasyikkan.

  • Foto

    CERAH TAPI NYAMAN...cuaca sejuk membuatkan penduduk tempatan gemar berjalan kaki di bandar.

  • Foto

    BERNIAGA...wanita menjual hasil tanaman sendiri di Khadi Bazar, untuk menampung kehidupan.

  • Foto

    KONTEMPORARI...hiasan dan susun atur moden di restoran di Nucleus Mall, Belgaum.

  • Foto

    LUAS...jalan utama di pusat bandar Belgaum.

  • Foto

    PENGALAMAN BARU...penulis mencuba sari dengan bantuan kakitangan kedai.

Sudahlah begitu, harganya pula murah. Sari buatan tangan yang ditempah mengikut cita rasa individu hanya berharga sekitar RM80 sepanjang enam meter dan boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari saja.

Seandainya tidak berpuas hati dengan ribuan corak sari yang dipamerkan di kedai, pelanggan boleh menempah corak yang diinginkan. Kain dengan kualiti halus sebegini jika dijual di tanah air boleh mencapai harga RM400 hingga RM600.Ketika memilih sari, peniaga menyediakan hamparan tilam untuk pembeli duduk dengan selesa sambil memilih sari, malah membantu memakaikan sari bagi memuaskan hati pelanggan untuk memilihnya, daripada corak kontemporari hinggalah corak klasik India. Semuanya cantik!


Penulis teruja melihat kepelbagaian corak dan susunan sari yang cantik dan layanan pembantu kedai memakaikan sari. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk memakai sari, tetapi cara ditunjukkan pembantu kedai sangat mudah.

Susunan lipatan kain sama seperti mengikat kain baju kurung tradisional yang diikat dan dikemaskan dengan tali pinggang besar.

Bagaimanapun, tidak ramai tahu mengikat kain baju kurung kerana kini dipermudahkan dengan kain berzip. Kain sari ini juga boleh dijadikan baju kurung atau baju kebaya yang potongannya boleh digayakan mengikut latar sari.

Yang unik, penulis perhatikan ketika membeli-belah atau sekadar melihat-lihat di pusat perniagaan di Khade Bazar, setiap kedai menjual corak kain berbeza dan tidak ada persamaan. Begitu kreatif sekali masyarakat di sini menghasilkan sama ada kain ela atau kain sari.

Sari masih menjadi pakaian utama masyarakat di Belgaum dan dijadikan uniform di hospital bagi kakitangan wanita. Wanita tempatan pula memilih pakaian tradisional sebagai pakaian harian untuk bekerja berbanding era moden.

Bagi mereka di tanah air yang suka membeli kain dan pakaian, di sinilah tempatnya. Kain yang cantik dan berkualiti dengan pelbagai corak boleh dibeli dengan harga murah yang tidak dijangka di minda. Misalnya, untuk kain sepasang baju kurung hanya sekitar RM22.

Ini dapat difahamkan kerana India adalah negara pengeluar kapas terbesar di dunia, malah China yang kini menghadapi kekurangan bekalan kapas untuk dijadikan kain, mengimport kapas daripada India.

Selain terkenal dengan pelbagai aneka kain, Belgaum menjurus kepada satu daripada perbandaran pendidikan bagi negeri Karnataka.

Kebanyakan warga asing di sini adalah pelajar, terutama Malaysia yang menghantar ramai pelajar perubatannya melanjutkan pelajaran di universiti di sini.

Dalam kunjungan ke Belgaum baru-baru ini, penulis mendapati beberapa universiti mengkhusus dalam perubatan moden dan alternatif diuruskan sama ada yayasan atau badan kebajikan bukan kerajaan.

Dengan adanya yayasan sebegini, ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyatnya tanpa perlu bergantung kepada kerajaan.

Yayasan juga memberi rawatan percuma di hospital yang dikendalikan mereka bagi golongan berpendapatan rendah seperti di Hospital Prabhakar Kore di Universiti KLE.

Ketika berkunjung, cuaca di Belgaum sejuk dan ini menimbulkan rasa nyaman berjalan di tengah bandar dan penulis mengambil kesempatan berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke tasik, satu-satunya tempat orang tempatan beriadah.

Bukan tidak ada pengangkutan ke tasik, tetapi menjadi amalan biasa penulis di tanah air berjoging setiap pagi.

Pengangkutan di sini sungguh mudah kerana dengan bayaran 20 rupee anda mudah bergerak dengan menaiki auto yang boleh dinaiki tiga penumpang. Ini sungguh menjimatkan. Auto adalah motosikal beroda tiga yang hanya ditemui di India.

Apabila tiba waktu menjamu selera, penulis boleh memilih pelbagai restoran yang sentiasa menanti pengunjung. Makanan di sini juga murah dan penulis memilih restoran vegetarian di sebelah tempat penginapan yang kelihatan bersih dan menyediakan set hidangan makanan tengah hari.

Ia merangkumi dua capati, semangkuk nasi, satu mangkuk kari kacang kuda, satu mangkuk dal, semangkuk sambal, satu mangkuk dadih dan segelas susu segar serta sebiji pisang. Harganya cuma RM3. Murah dan berkhasiat.

Kos makan di restoran dengan hiasan dalaman moden dan cantik juga tidak mahal.
Penulis hanya membayar RM23 untuk hidangan nasi beriani, lauk tambahan dan pencuci mulut bagi dua orang.

Bantu hilang rasa gayat

Posted: 01 Apr 2012 12:55 AM PDT

UNIK...pemilihan tempat kru UMT planking
UNIK...pemilihan tempat kru UMT planking

"TOLONG, ada budak pengsan, cepat bantu angkat!" jerit seorang perempuan separuh umur sebaik melihat sekujur tubuh terbaring berhampiran pintu masuk utama sebuah pasar raya hiper ternama di Kuala Terengganu.

Terlukis di wajahnya penuh kebimbangan sambil tangannya tidak putus-putus menggamit orang di sekitarnya supaya segera menghampiri anak muda terbabit.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Atas rasa prihatin, orang ramai mengelilingi anak muda berusia 20-an itu dalam usaha menghulurkan bantuan. Selang lima minit, anak muda itu tiba-tiba bingkas bangun dan berlalu, seolah-olah tiada apa terjadi. Orang ramai terpaku dan memandang sesama sendiri sambil kelihatan bingung seketika.

Ia bukan omong kosong, tetapi pengalaman sebenar diceritakan kembali oleh kru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Planking, Mohd Ikram Abd Talib ketika menjayakan misi 'planking' di sebuah pasar raya.Bagi pelajar Diploma Perikanan UMT itu, peristiwa disangkakan pengsan oleh orang ramai ketika pertama kali melakukan planking di kawasan tumpuan awam secara sendirian dianggap saat paling mencemaskan, tetapi masih lucu meskipun dikenang berkali-kali.


"Hanya Allah tahu betapa berdebar hati saya ketika itu. Ini cubaan berani mati saya planking secara solo di tempat ramai orang. Bayangkan saya buat planking di tempat laluan utama pintu masuk pasar raya popular di situ, menyebabkan saya menjadi tumpuan.

"Sampaikan ada seorang mak cik panik melihat saya terbaring kerana menyangkakan saya pitam. Bimbangkan keselamatan saya, dia menghampiri sambil memanggil beberapa individu lain untuk turut membantu.

"Saya tambah cemas namun tabahkan hati sambil telinga mendengar isyarat rakan, Nasarudin, mengatakan 'sudah' apabila dia selesai mendapat 'snap' bagus.

"Kami segera beredar untuk menemui rakan lain yang menunggu dengan kereta di luar pasar raya," katanya yang memerlukan masa empat hari untuk hilangkan debaran akibat aktiviti berkenaan.

Mohd Ikram yang berasal daripada Kuala Pilah berkata, peristiwa itu membuatkan dia lebih agresif serta tidak serik memburu tempat awam dengan mencuba 'port' baru dalam usaha melepaskan gian dalam planking bersama kru lain.

"Perasaan dan malu tetap ada, tetapi tidak cukup untuk menahan diri daripada melakukan planking di tempat lebih sesak dengan orang ramai.

"Tambah pula ada rakan serta junior memberi sokongan dengan menempel gambar terbaru dalam wall facebook, membuatkan saya tidak mahu mengalah," katanya yang menghargai usaha rakannya menubuhkan kru UMT Planking bersama tiga rakan lain.

Nasruddin Sulaiman, 21, dianggap dalang utama oleh kru UMT Planking lain berkata, idea penubuhan tercetus sebaik dia melayari laman membabitkan aktiviti itu.

"Saya terpandang satu laman web yang menyatakan kegiatan planking semakin berkembang di Australia. Malah, ia kini melalui proses revolusi dengan memperkenalkan beberapa aksi ekstrem seperti 'owling' mahupun 'batmanning'.

"Ini berlaku meskipun kegiatan ini mempunyai imej negatif kerana aksi planking pernah menjadi tajuk utama akhbar selepas seorang maut sebaik melakukan aksi itu di balkoni di Brisbane, Australia.

"Kami tetap mempromosikan aktiviti ini dengan lebih positif dengan mengambil langkah berjaga-jaga daripada segi keselamatan, sekali gus berjaya menarik rakan lain, termasuk pelajar perempuan, menyertainya," katanya.

Dia turut memberitahu, tempat paling mencabar ketika dia melakukan planking ialah di atas gelung bola keranjang.

"Setakat ini aksi paling rumit pernah saya lakukan ialah di gelung bola keranjang. Ruang sangat terhad serta pada masa sama saya perlu mencari ruang untuk kekal stabil.

"Meskipun bimbang, rakan sedia menanti di bawah sebagai langkah berwaspada.
Namun, perasaan takut dan gayat hilang selepas beberapa saat, membuatkan saya menikmati posisi planking terbaik ketika itu," katanya.

Menurut rakannya, Muhammad Nazrin Arshad,21, tiada kepuasan setanding dengan perasaan sebaik berjaya menghasilkan gambar menarik menerusi planking.

"Selain aktiviti masa lapang bersama rakan, ia boleh dilihat sebagai sukan berseni kerana menerusi posisi planking sempurna tangan lurus rapat di sisi, gambar ditangkap berjaya merakam reaksi orang ramai menonton aksi kami disimpan sebagai kenangan.

"Antara detik tidak boleh dilupakan ialah ketika dalam perjalanan balik ke Kedah, saya berhenti di stesen minyak sambil planking di depan anggota Rela yang berkawal. Mengucap panjang mak cik yang bertugas melihat saya meniarap dengan tiba-tiba.

"Lucu, tetapi pengalaman itu banyak mendorong saya untuk pergi lebih jauh dalam aktiviti planking meskipun mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang pernah terserempak dengan kru UMT Planking," katanya.

Ia turut diperakui rakannya, Muhammad Syazwan Shahril, 21, meskipun kumpulannya pernah dikritik segelintir individu yang merasakan aktiviti dilakukan kru UMT Planking itu sia-sia, mereka hanya membiarkan komen itu seperti angin lalu.

"Memang kami tidak dapat mengelak kritikan pedas individu yang kurang senang dengan kegiatan kami. Namun, saya dan rakan lain sedikit pun tidak ambil hati, malah bangga kerana pembabitan kami mendapat pelbagai reaksi.

"Tidak kurang, masih ada yang menghargai apa yang kami lakukan kerana gambar planking pernah dipilih sebagai pemenang mingguan dalam pertandingan 'Contest.fay.com', dan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat kumpulan kami untuk terus aktif," katanya yang turut mendapat sokongan ibu tercinta, Latifah Sidek,53.

Sementara itu, Muhammad Abdullah Syafiq Jasiman, 21, berkata planking banyak membantunya membentuk keyakinan diri.

"Saya mulakan aktiviti ini secara sendiri. Bermula dengan tempat kurang dikunjungi sehingga kepada tumpuan ramai. Daripada perasaan malu, kini saya tidak kisah melakukannya di mana saja.

"Malah, ia terapi baik kerana sebelum ini saya mudah gayat berjaya tangani ketakutan kepada ketinggian setiap kali mencabar diri. Sememangnya ia terapi terbaik buat mereka yang takutkan ketinggian," katanya.

Dia berkata, pengiktirafan planking tertinggi hanya diperoleh apabila planker (orang yang menjalankan aktiviti planking) memilih tempat sukar dan berjaya meraih perhatian ramai orang.



PROFIL 1:

NAMA: Nasruddin Sulaiman
UMUR: 21 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Perikanan UMT
ASAL: Bukit Baru, Melaka


PROFIL 2:

NAMA: Muhammad Nazrin Arshad
UMUR: 21 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Perikanan UMT
ASAL: Sungai Petani, Kedah


PROFIL 3:

NAMA: Muhammad Syazwan Shahril
UMUR: 21 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Perikanan UMT
ASAL: Merlimau, Melaka


INFO:

  • UMT Planking ialah kumpulan bergerak mempromosikan planking bermula di kalangan warga UMT dan kemudian merebak menerusi laman sosial facebook

  • Kru kumpulan itu membabitkan lima pelajar jurusan Diploma Perikanan UMT

  • Ditubuhkan pada Jun 2011

  • Gambar mereka pernah terpilih sebagai pemenang mingguan dalam 'Contest.fay.com'
  • Demi masa depan lebih cerah

    Posted: 01 Apr 2012 12:34 AM PDT

    WARIS...generasi muda masyarakat Sabah yang lahir di Johor.
    WARIS...generasi muda masyarakat Sabah yang lahir di Johor.

    KEHIDUPAN susah, kurangnya pekerjaan serta tangga gaji rendah antara faktor utama masyarakat Sabah berhijrah, khususnya ke kawasan perindustrian di Semenanjung, termasuk Pasir Gudang.

    Biarpun hanya bekerja kilang atau sebagai pengawal keselamatan, yang mana kerja sebegini bukan pilihan generasi alaf baru, mereka tetap mahukannya memandangkan gaji bulanan jauh lebih tinggi berbanding jika bekerja di negeri asal.

    • Foto

      KOMUNITI...Perumahan Pertanian yang didiami 100 peratus penduduk Sabah di Masai.

    • Foto

      SAMA...suasana di sini hampir sama dengan kehidupan di negeri asal.

    • Foto

      DUA GENERASI...nenek dan cucunya yang kini menetap di Johor.

    Difahamkan, penghijrahan masyarakat Sabah bermula seawal 1990-an lagi sebelum disusuli ahli keluarga lain. Biasanya khabar mengenai pendapatan lumayan atau kemampuan membantu keluarga di kampung menjadi kayu pengukur, sekali gus mendorong rakan-rakan serta penduduk kampung untuk turut berhijrah.

    Selepas lebih 20 tahun dan proses perpindahan yang masih berterusan, kini mereka mampu membentuk komuniti Sabah di sini serta bebas mengamalkan budaya mereka yang diadaptasikan dengan kehidupan Semenanjung.Jainulla Aminulla, 62, misalnya mengambil keputusan untuk terus menetap di Pasir Gudang selepas berpindah ke situ sejak 1998.


    Kesempitan hidupnya sekeluarga di Kampung Sepinong, Sandakan memaksanya mengambil keputusan berhijrah ke Johor.

    "Kampung kami terletak jauh dari bandar Sandakan iaitu hampir 30 minit perjalanan dengan menggunakan bot laju. Oleh itu, kami hanya bekerja sebagai nelayan kerana ia kerja yang biasa dilakukan di situ.

    "Berapa sangat pendapatan nelayan kecil seperti kami. Keperitan hidup semakin terasa apabila pihak berkuasa merobohkan kawasan penempatan kami disebabkan kehadiran ramai pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia yang membuat penempatan di kampung.

    "Kesukaran hidup menyebabkan saya berpindah ke bandar dan bekerja kilang dengan gaji hanya RM9 sehari. Bayangkan, pendapatan kurang RM300 sebulan tidak cukup untuk saya membesarkan enam anak," katanya ketika wartawan berkunjung ke rumahnya di Taman Bunga Raya, Masai, baru-baru ini.

    Disebabkan tidak tahan dengan kesempitan hidup selain memikirkan masa depan keluarga serta anaknya, Jainulla mengambil keputusan pergi ke Semenanjung mencari pekerjaan dengan harapan mendapat gaji lebih besar.

    Walaupun ketika itu sektor pekerjaan terjejas dan banyak syarikat tutup berikutan krisis ekonomi pada 1998, Jainulla membulatkan hati dan nekad mencari pekerjaan di Johor.

    "Saya masih ingat, ketika itu saya datang seorang diri ke sini dan membawa wang untuk perbelanjaan sebulan. Saya tekad mencari kerja demi mengubah nasib kami sekeluarga.

    "Alhamdulillah, tidak sampai sebulan, saya ditawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM700 sebulan. Dengan sewa bilik RM250 sebulan, saya berjimat cermat untuk mengumpul duit bagi membawa anak dan isteri berpindah ke sini," katanya.

    Menurut Jainulla, keputusan tinggal bersama keluarga dan meninggalkan kampung halaman diambil selepas mereka kehilangan rumah di Kampung Sepinong.

    Lebih-lebih lagi, pendapatan kerja kilang sebanyak RM40 sehari di sini berbanding RM9 di Sabah turut mendorong mereka sekeluarga terus bermastautin.

    Bagaimanapun, apabila umur Jainulla mencecah 55 tahun, syarikat lama terpaksa memberhentikannya sebelum dia mencari kerja di tempat baru.

    "Mahu atau tidak, saya perlu bekerja untuk terus menyara hidup kami sekeluarga.
    Anak pula mempunyai tanggungan masing-masing selepas mendirikan rumah tangga.

    "Dengan gaji RM1,000, saya perlu menjelaskan ansuran bulanan rumah hampir RM700 dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan seharian kami," katanya.

    Bagi ibu tunggal, Nuriza Bahari, 50, penghijrahan ke Johor menuntut banyak pengorbanan. Menetap di tempat orang bukan menjanjikan kesenangan dan kebahagiaan sepanjang masa seperti mana tanggapan biasa orang ramai.

    "Banyak dugaan yang orang lain tidak tahu kerana mereka tidak pernah mengalaminya. Susah senang hidup kami tiada siapa tahu kerana hanya golongan seperti kami mengalaminya.

    "Sejak berpindah ke sini lebih 20 tahun lalu, baru sekali kami pulang ke kampung halaman. Perasaan rindu pasti ada, namun disebabkan kewangan terhad kerana menyekolahkan anak, rasa rindu dipendam begitu saja.

    "Bagaimanapun, hubungan kami tidak terputus kerana saya selalu berhubung dengan keluarga di Sabah melalui telefon hinggalah saya pulang ke kampung halaman bersama dua anak untuk melawat ahli keluarga, tahun lalu," katanya.

    Perjalanan hidup Nuriza ke Johor pada awalnya berjalan lancar. Dengan pendapatan mereka suami isteri, Nuriza mampu menyekolahkan anaknya sehingga ada yang berjaya menggenggam ijazah.

    Namun, dugaan mula datang apabila suami tercinta meninggal dunia pada 2005 dan seluruh tanggungjawab membesarkan anak, termasuk mencari rezeki, terletak di bahu Nuriza.

    "Ketika itu, semua anak masih bersekolah dan yang sulung pula melanjutkan pengajian di universiti tempatan. Boleh dikatakan saya hilang arah kerana kesempitan hidup dialami.

    "Pendapatan saya yang tidak menentu serta seorang anak mendapatkan rawatan di hospital ketika itu menyebabkan kami sering kehabisan wang.

    "Saya tidak mampu membayar sewa rumah. Anak sulung pula mahu berhenti belajar kerana tidak sanggup melihat penderitaan keluarga, namun saya dan adiknya tetap mahukan dia meneruskan pengajian sehingga tamat," katanya.

    Bagaimanapun, pengorbanan tetap perlu dilakukan apabila anak ketiga Nuriza mengambil keputusan tidak menyambung pelajaran sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya bekerja kilang bagi membantu menyara keluarga.

    "Mujur jiran di sini faham masalah saya dan sudi menghulurkan bantuan seperti kopi dan beras, selain sedikit wang.

    "Begitu juga tuan rumah yang sanggup membenarkan kami terus tinggal walaupun sewa rumah tertunggak ketika itu," katanya.

    Kini, kehidupan Nuriza mula berubah. Anak sulungnya berjaya menamatkan pengajian dan kini bekerja sebagai guru di kawasan berdekatan, manakala anak kedua menjadi pengurus sebuah kilang di Pasir Gudang.


    Pastikan anak tamat tingkatan lima

    KEBELAKANGAN ini, kebanyakan remaja mahupun kanak-kanak sentiasa mahukan kehendak mereka dipenuhi. Jika ibu bapa gagal berbuat demikian, mereka memberontak, tinggi suara serta ada yang sanggup lari daripada rumah sebagai tanda protes.

    Berbeza pula dengan enam anak Lina Atai, 43, yang berumur antara enam hingga 18 tahun. Tidak seperti remaja lain, anak Lina akur menerima takdir hidup dialami mereka ketika ini.

    "Setiap kali hendak membeli barang sekolah, termasuk membayar yuran atau buku, anak akan bertanya sama ada gaji ayah mencukupi atau tidak untuk perbelanjaan mereka seharian.

    "Jika tidak cukup, anak hanya diam sebelum berlalu dan melakukan kerja rumah atau mengulang kaji mata pelajaran.

    "Hati ibu mana yang sanggup melihat anak belajar dalam keadaan tidak sempurna, tetapi saya tidak berdaya bekerja kerana lumpuh separuh badan akibat penyakit angin ahmar," kata Lina di Bandar Seri Alam, dekat Pasir Gudang, baru-baru ini.

    Suami Lina, Zul Anlis Samidin, 47, pula hanya bekerja secara kontrak dan tiada pendapatan tetap.

    Dia juga buta huruf kerana tidak pernah mendapat pendidikan ketika muda, sekali gus menyukarkan lagi usahanya mencari pekerjaan tetap selain mudah ditipu oleh majikan tidak bertanggungjawab.

    "Memang kehidupan kami sukar, membesarkan anak yang masih kecil, ditambah pula keadaan saya yang tidak sempurna dua tahun lalu.

    "Malah, saya sanggup tidak mendapatkan rawatan bagi penyakit saya semata-mata tidak mahu menambah perbelanjaan keluarga. Biarlah, asalkan kami sekeluarga boleh makan dari sehari ke sehari," kata Lina.

    Kisah hidup Lina di Sabah hampir sama dengan Jainulla dari Sandakan. Rumahnya yang terletak di perkampungan setinggan di Likas, Kota Kinabalu diroboh oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang kebanjiran pendatang tanpa izin.

    Sejak itu, Lina mengambil keputusan berhijrah ke Johor dengan harapan dapat mencari sinar hidup baru untuk anaknya.

    Namun, sinar itu belum ditemuinya. Kehidupan miskin serta pendapatan keluarga belum mencukupi buat menampung hidup mereka sekeluarga.

    Malah, menurut Lina, dia belum menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak gadisnya yang menuntut di sekolah menengah berhampiran walaupun masuk bulan keempat anaknya belajar di tingkatan lima.

    "Memang ada yang berpendapat yuran SPM murah. Lebih-lebih lagi yuran sekolah pula percuma ketika ini, tetapi ia masih mahal bagi kami.

    "Pendapatan suami antara RM1,000 hingga RM1,400 sebulan tidak cukup selepas hampir separuh daripadanya digunakan untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air yang perlu dijelaskan setiap bulan.

    "Selebihnya, perbelanjaan itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian anak ke sekolah dan barangan makanan di rumah selama sebulan," katanya.

    Disebabkan kerja secara kontrak, kadangkala suami Lina tidak bekerja beberapa bulan sementara menunggu kerja baru yang lain.

    "Anak lelaki yang baru menerima keputusan SPM minggu lalu, turut membantu ayahnya dengan bekerja kilang. Sebelum ini dia pernah bekerja sambilan di bengkel, tetapi sering ditipu dan kadangkala tidak mendapat upah.

    "Sedih melihat anak saya bersusah-payah bekerja selepas waktu sekolah, tetapi ada pihak sanggup mengambil kesempatan ke atasnya hanya kerana kami orang miskin," katanya.

    Bagaimanapun, anak kelapan Lina iaitu Zul Amri, 7, mendapat bantuan makanan percuma di sekolahnya dan ini sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung keluarga ini.

    Selain itu, semua anak Lina jarang membeli baju baru kecuali ketika Aidilfitri.
    Ini bermakna, hanya setahun sekali mereka berpeluang membeli baju baru, itupun bergantung pada pendapatan suaminya ketika itu.

    Walaupun menyedihkan dan adakalanya air mata mengalir kerana tidak tahan menanggung kesedihan, itu semua tidak mematahkan semangat Lina untuk melihat anaknya terus mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga tingkatan lima.

    "Bagi saya dan suami, pendidikan anak perlu diutamakan. Suami tidak mahu anak kami buta huruf sepertinya kerana bimbang mereka hidup susah apabila dewasa kelak.

    "Seboleh-bolehnya kami mahu mereka belajar sampai pandai serta mendapat kerja yang jauh lebih baik daripada ayah mereka," katanya.

    Warisan pelik

    Posted: 01 Apr 2012 12:30 AM PDT

    • Foto

    • Foto

    Rasung dan royang lambang status keluarga, seni kian pupus

    JIKA etnik minoriti Karenni atau disebut juga Kayan yang menetap di sempadan Burma-Thailand berbangga dengan keunikan lilitan tembaga di leher mereka, masyarakat Bidayuh di Sarawak juga memiliki perhiasan serupa. Logam yang mereka jadikan perhiasan itu sama, bezanya perhiasan tradisi wanita masyarakat Bidayuh itu dililit di betis dan lengan, sedangkan bagi entik Karenni di Burma, tembaga itu perlu dililit di leher untuk menjadikan leher mereka jinjang.Pada masa lampau, pemakaian lilitan tembaga yang dikenali sebagai rasung pada betis dan royang pada lengan wanita Bidayuh itu dianggap lambang kecantikan. Ketika itu, ramai anak gadis Bidayuh membiasakan diri dengan perhiasan yang beratnya mencecah satu kilogram setiap satu itu.

    Mengikut kepercayaan mereka, pemakaian rasung dan royang akan melengkapkan kecantikan semulajadi pemakai. Malah, pemakaian dua perhiasan itu juga dikatakan lambang kekayaan keluarga pemakai kerana pada zaman lampau, logam seperti tembaga sukar diperoleh penduduk jauh di pedalaman.

    Ketua Unit Penyelidikan Sosial Bidayuh, Majlis Adat Istiadat Sarawak, Bati Julam, berkata hanya anak gadis dari kalangan keluarga berkemampuan saja mampu memakai perhiasan itu.

    "Ada yang beranggapan rasung dan royang akan menambah kecantikan pemakai, namun dari satu sudut lagi, pemakaian perhiasan unik itu sebenarnya lambang kemegahan atau menunjukkan status kekayaan keluarga pemakai.
    "Pada zaman dulu, mereka yang tinggal di pedalaman sukar mendapatkan logam seperti tembaga, sebab itu rasung dan royang dianggap perhiasan mewah ketika itu," katanya kepada Rona.

    Pakar budayawan merangkap Penyandang Kerusi Tun Abd Ghafar Baba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Keling, berkata dalam pelbagai kaum atau masyarakat, pemakaian aksesori pelik dikatakan sekadar perhiasan bagi menggambarkan kecantikan terutama di kalangan wanita.

    Malah, Prof Zainal berkata, pemakaian perhiasan yang dianggap 'menyeksakan' bagi sesetengah masyarakat hanyalah ritual melepasi garis peralihan umur atau alam kehidupan seperti upacara berkhatan dalam masyarakat Melayu.

    "Sepatutnya, warisan turun temurun sesuatu masyarakat itu walaupun dianggap pelik perlu dipelihara susur galur masyarakat seterusnya sebagai tanda menghormati dan mengekalkan kebudayaan," katanya.

    Berdasarkan pemerhatian Prof Zainal di Sarawak, negeri Bumi Kenyalang itu kaya dengan budaya dan adat resam. Sehubungan itu, anggapan segelintir pihak bahawa 'kecantikan' memakai perhiasan royang atau rasung sebagai salah satu cabang kecelaruan budaya yang dilabel sebagai 'Saora disorder' adalah tidak adil dan tidak masuk akal.

    "Ia lambang kedewasaan dan keberanian individu apabila sanggup menahan sakit memakai aksesori terbabit. Lagipun, ia tanda ritual atau upacara kebudayaan sesetengah masyarakat dalam menguji ketahanan golongan belia menghadapi kehidupan.

    "Melepasi upacara melampaui batas garis peralihan dan tahan sakit membuktikan individu itu bersedia menghadapi tahap dan status baru," katanya sambil menegaskan budaya unik seumpama itu tidak diperlekeh masyarakat lain.

    Pada masa sama, Afrika, Asia Tenggara, Kalimantan, Amerika Utara mengalami persamaan budaya berikutan status populasi Austronesia iaitu bahasa pengantar etnik di seluruh kepulauan pasifik merentasi asli Taiwan dan India China.

    Timbalan Dekan (Pasca Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Jawan melihat senario peralihan zaman menyebabkan golongan muda enggan meneruskan ritual kebudayaan ibunda masing-masing.

    "Ia tampak menyusahkan dan tidak praktikal untuk memakai lilitan tembaga pada bahagian badan tertentu seperti leher. Contohnya, wanita Bidayuh dulu hanya tinggal di rumah manakala golongan muda sudah keluar daripada kepompong masyarakat menyebabkan mereka perlu mengutamakan keselamatan diri dari kecederaan.

    "Pandangan masyarakat berbeza menyebabkan golongan muda bakal mengalami kesusahan untuk menyesuaikan diri, malah diterima masyarakat sekiranya berpeluang keluar daripada kaum majoriti masing-masing," katanya yang juga anak Sarawak.

    Prof Jayum berkata, sekitar era 1950-an dan penghujung 1960-an menyaksikan kaum Bidayuh utuh memperkasakan budaya unik mereka berbanding masyarakat hari ini yang kebanyakannya sudah mengalami perkahwinan campur.

    Sementara itu, tinjauan Rona di Sarawak mendapati perubahan zaman menyebabkan perhiasan itu kini berada di ambang kepupusan dan jumlah pemakai kurang daripada 10 orang yang hanya ditemui di dua kampung di pedalaman Padawan berdekatan Kuching, iaitu Kampung Semban dan Kampung Kiding.

    Lima wanita di Kampung Semban masih cergas dan mampu menempuh lima jam perjalanan di hutan untuk keluar dari penempatan mereka bagi memperagakan aksesori unik itu buat tatapan masyarakat luar.

    Keunikan rasung dan royang diperagakan lima warga emas Bidayuh, Jiwa anak Sapa, 54; Singai anak Ningkan, 63; Belok anak Apeh, 63; Jaim anak Jang, 62, dan Tawon anak Batel, 65, pada satu majlis di Bengoh, baru-baru ini.

    Mereka bangga kerana menjadi kumpulan terakhir wanita Bidayuh masih mengekalkan perhiasan tradisi warisan nenek moyang. Malah, Jiwa mengakui teringin melihat generasi muda memakai rasung dan royang kerana ia sebenarnya aksesori kebanggaan masyarakat Bidayuh.

    "Sayangnya, tiada seorang pun anak mahupun cucu saya sanggup memakai perhiasan ini. Mereka anggap pemakaian lilitan tembaga ini menyusahkan pergerakan, sedangkan ia sebenarnya tidak sesukar mana. Saya memakainya setiap hari sama ada ke kebun, mencari kayu api atau mendaki bukit.

    "Kami memakai perhiasan ini sejak berumur enam tahun dan tidak pernah menanggalkannya hingga sekarang. Saya memang bangga kerana dapat memperagakan salah satu perhiasan unik masyarakat kami," katanya.

    Bagi generasi muda Bidayuh, pemakaian perhiasan itu yang menyulitkan pergerakan membuatkan mereka tawar hati untuk meneruskan tradisi yang diwarisi zaman berzaman.

    Goian anak Ali, 39, mengakui tidak mahu mengikut jejak Singai, ibunya yang masih memakai perhiasan itu kerana menyifatkannya amat menyulitkan.

    "Biarlah ibu saja pakai... saya tidak sanggup kerana ia akan menyukarkan pergerakan. Tambahan pula, setiap pemakai perhiasan ini perlu memakainya sejak kecil. Kalau usia seperti saya, tentu sakit jika dililit tembaga ini.

    "Saya juga tidak menggalakkan anak-anak memakai perhiasan ini dan setahu saya, tiada seorang pun generasi muda Bidayuh yang memakai rasung dan royang sekarang," katanya.

    Menyedari persepsi negatif generasi muda terhadap perhiasan tradisi itu, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Dr James Dawos Mamit, mencadangkan rekabentuk baru rasung dan royang diperkenalkan bagi memastikan ia kekal untuk tatapan generasi akan datang.

    "Reka bentuk baru itu biarlah memudahkan pemakai. Mungkin kita ubah jadi seperti gelang, bukan lagi tembaga panjang dililit pada lengan dan betis. Kita tidak mahu perhiasan kebanggaan ini pupus begitu saja. Rasung dan royang memang cukup unik dan dikagumi pelancong asing," katanya.

    Dawos tidak mahu persepsi generasi muda terhadap perhiasan tradisional peninggalan nenek moyang mereka itu melenyapkan rasung dan royang, selepas sembilan wanita yang tegar memakainya sudah tiada lagi suatu hari nanti.

    Baginya, orang ramai termasuk masyarakat Bidayuh sendiri hanya mampu melihat aksesori unik itu dalam gambar termasuk yang disiarkan akhbar saja andai tiada lagi generasi muda sanggup memakainya.

    Pengakuan hijrah Afie

    Posted: 01 Apr 2012 12:29 AM PDT




    APA yang anda fikirkan tentang gadis yang pernah tinggal di Scotland selama enam tahun dan kembali ke Malaysia? Tentu anda membayangkan gadis ini seorang yang lincah atau dengan kata lain 'lepas laku'.

    Justeru menatap Afiqah Mohd. Zin, 22, pasti membuatkan anda terkesima.

    Walau pernah melalui fasa bebas di rantau, didikan serta perhatian ibu bapa sentiasa membataskan perbuatan dan pergaulannya Baginya, usia muda bukan bermakna mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial.

    Itulah yang menjadi pegangan gadis yang mesra disapa Afie sebaik sahaja menyuarakan hasrat untuk hidup berdikari bagi membantu keluarga kira-kira empat tahun lalu.

    "Saya membesar di Scotland selama enam tahun ketika bapa melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan di sana.

    Transformers sumber inspirasi

    Posted: 01 Apr 2012 12:28 AM PDT




    BAGI orang lain, koleksi Transformers merupakan sekadar permainan, tetapi bagi Mohd. Helmy Taib, ia lebih daripada itu apabila imenjadi sumber inspirasi tatkala dia bingung menyelesaikan masalah harian.

    Mungkin ramai yang tidak percaya dengan kenyataan itu memandangkan ia hanyalah permainan daripada animasi kegemaran ramai. Namun cerita anak muda ini, masalahnya terungkai dengan penyelesaian setiap kali dia membelek koleksi Transformers miliknya itu.

    "Saya kagum melihat bagaimana pereka robot Transformers dapat mencipta robot mainan yang bila dilipat-lipat akan membentuk kenderaan tertentu.

    "Ia umpama membuktikan apa saja pasti ada penyelesaiannya walaupun situasi tersebut dilihat amat merumitkan, sama seperti penciptaan Transformers yang kemas buatannya itu.

    Suasana alam Bayan Indah

    Posted: 01 Apr 2012 12:27 AM PDT


    walaupun menampilkan perabot moden, Rohani tetap menggunakan hiasan dinding dengan motif burung dan pokok kecil yang segar.


    TANYALAH kepada sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki di Bayan Indah Kulinari Resort di Sungai Penchala, Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pasti jawapan mereka sama.

    "Susah nak cari tempat ini. Saya sesat. Lebih kurang setengah jam mencari jalan masuk ke sini," cerita salah seorang peserta membuat kuih tradisional Sabtu lalu.

    Rata-rata peserta yang hadir merasai pengalaman sama. Namun rasa penat melilau mencari jalan hilang setibanya di Bayan Indah. Mereka merasai suasana baru.

    Tidak seperti kelas memasak lain, di sini mereka beroleh ketenangan jauh daripada kesibukan kota.

    Dikelilingi pohon hijau, Bayan Indah terpelihara daripada pencemaran alam.

    Selera Korea di Dubu Dubu

    Posted: 01 Apr 2012 12:25 AM PDT


    BULGOGI daging


    GELOMBANG Korea' yang melanda negara ini nampaknya bukan terhad setakat drama dan lagu bahkan apa saja produk negara itu termasuk makanannya.

    Hidangan Korea yang terkenal dengan ramuan asli dan menyihatkan kini semakin diminati. Melihatkan trend itu, pemilik Restoran Dubu Dubu terdorong membuka fraincais pertamanya di Malaysia iaitu di Mid Valley Megamall.

    Dubu Dubu bermaksud tofu iaitu sejenis makanan daripada soya yang cukup digemari di Korea. Di restoran ini, anda dapat menikmati pelbagai hidangan asli Korea dengan harga berpatutan.

    Selain tofu, ramuan utama hidangan Korea seperti pes kacang, cili dan bawang putih disatukan dengan daging, rumpai laut dan sayur segar melengkapkan rasanya yang asli.

    Bagi peminat K-Pop, rasanya tidak lengkap portfolio anda sebagai peminat jika tidak merasa sendiri Soondubu Jigae di Dubu Dubu – sup rebusan tulang ayam atau daging dengan makanan laut dan pastinya tofu.

    Bukan mudah memikat Roseda

    Posted: 01 Apr 2012 12:24 AM PDT


    SIKAP gemar mengusik antara satu sama lain menjadi pengikat kasih sayang Shaharon Anuar dan Roseda Mustafa.


    MENYUSURI detik-detik pertemuan antara pasangan romantis ini ibarat mengimbas kembali kenangan indah mereka kira-kira 26 tahun lalu.

    Meskipun ia sudah melewati suku abad, namun segala detik yang pernah dikongsi bersama masih terpahat kukuh dalam ingatan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif, 50.

    Shaharon Anuar yang terkenal dengan lakonannya dalam filem dan drama Gerak Khas mengakui, bukan mudah untuk menambat hati Roseda Mustafa, wanita yang dikahwininya pada 7 Disember 1985.

    Kedua-duanya bertemu kali pertama di sebuah firma pembangunan hartanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ketika itu, Shaharon Anuar bekerja sebagai penyelia projek, manakala Roseda pula merupakan setiausaha syarikat.

    Hubungan mereka ketika itu bagaimanapun tidak ubah seperti 'kucing dan anjing', sering bertelagah dengan usikan-usikan kasar sehingga tidak memungkinkan bibit cinta berputik antara mereka.

    Masa berlalu, Shaharon Anuar berpindah ke Perak selepas mendapat kerja sebagai pegawai kerani di Felcra Seberang Perak. Selepas lama tidak berhubung, Shaharon Anuar mengutus surat kepada Roseda dan meminta wanita itu menghantar gambar terbaharunya.

    ''Roseda membalas balik surat saya dengan mengepilkan gambar seekor 'chimpanzee' memegang telefon. Ketika itu, saya tersenyum dan sedar bukan mudah untuk memikatnya," kata Shaharon Anuar ketika bercerita detik-detik awal pertemuannya dengan Roseda.

    Masa terus berlalu dan 10 bulan kemudian, Shaharon Anuar mencuba nasib untuk memohon jawatan dalam pasukan polis sebagai Inspektor percubaan dan berjaya.

    Dua bulan pertama 'dikurung' di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, membuatkan Shaharon Anuar dihambat rasa sunyi, lebih-lebih lagi melihat kawan-kawan pelatih dilawati keluarga, isteri atau tunang masing-masing.

    ''Saya rasa mungkin itulah masanya Tuhan hendak mempertemukan saya dengannya. Saya buka balik buku alamat saya yang lama-lama dan jumpa balik nama Roseda sebelum memberanikan diri mengajaknya keluar untuk bertemu janji di Kompleks Dayabumi Kuala Lumpur," katanya.

    Mengimbas peristiwa yang sama, Roseda mencelah: ''Ketika itu, saya rasa hendak cabut lari selepas melihat kelibatnya. Dulu dia berkulit cerah dan berambut 'afro', tapi waktu itu kulitnya gelap dan rambutnya pula botak."

    Pada masa itu, kata Roseda, hatinya belum terbuka, lebih-lebih lagi mengenangkan perangai lama Shaharon Anuar yang suka mengutuknya dengan gurauan-gurauan kasar.

    Meneruskan imbasan diari pertemuan mereka, Shaharon Anuar berkata, segalanya berubah apabila dia mengetahui bakal ditugaskan ke Sabah sebagai pegawai penyiasat jenayah ketika hampir tamat latihan kepolisan.

    Bermula dari situ, hatinya mula berbisik dan dia merasai akan merindui seseorang. Apatah lagi desakan ayahnya, mahu melihat anak sulungnya itu sekurang-kurangnya bertunang, sebelum berhijrah ke negeri orang.

    ''Selepas memikirkan perkara itu semasak-masaknya, saya melamar Roseda dua hari sebelum bertolak ke Sabah. Saya melamarnya di Taman Tasik Titiwangsa.

    ''Ketika itu, berdebar juga tunggu apa reaksinya, takut dia buat perangai seperti kirim gambar 'chimpanzee' kepada saya dulu. Saya sangat lega kerana akhirnya dia setuju," katanya sambil disambut ketawa kecil Roseda.

    Selepas bergelar suami isteri, pasangan ini tidak dapat lari daripada sikap masing-masing yang gemar mengusik antara satu sama lain. Mereka mengakui, perangai itulah yang juga menjadi pengikat kasih sayang antara mereka.

    Shaharon Anuar dan Roseda yang gemar menghabiskan masa bersama dengan berkebun serta membina 'air terjun' dan 'air pancur' di laman rumah berkata, ia merupakan aktiviti santai yang cukup menenangkan jiwa.

    ''Isteri saya amat sukakan kucing, sampaikan masa hari jadinya kira-kira lima tahun lalu, dia sanggup minta izin untuk membelanya walaupun dia tahu saya sebenarnya tidak suka," kata Shaharon Anuar.

    Bagi Roseda pula, di sebalik sikap tegas Shaharon Anuar, suaminya dianugerahkan sikap penyayang dan tidak pernah jemu menghiburkan hatinya dengan kejutan atau gurauan.

    ''Cuma, satu perkara yang saya tidak boleh lupa mengenai suami ialah bunyi bersinnya sangat kuat sehingga boleh didengar walaupun dia berada di luar rumah," katanya sehingga sesi temu bual kami diwarnai gelak ketawa.

    Kini, pasangan ideal tersebut menetap di Taman Metro Pengkalan, Pusing, Perak bertemankan empat anak iaitu Farrah Farhana, 25; Fawwaz Faqrulradzi, 23; Mohd. Farid Effendy, 22, dan Mohd. Danial Rafiq, 17.

    Roda kehidupan Shaharon Anuar dan Roseda bakal menyaksikan satu lagi episod baru apabila Farrah Farhana yang juga anak sulung mereka akan ke jinjang pelamin pada September ini.

    ''Kami hanya berharap sinar kebahagiaan ini terus kekal ke akhir hayat. Kami menyimpan hasrat untuk pergi bersama menunaikan ibadah haji pada suatu hari nanti," kata Shaharon Anuar.

    Masin mulut ibu, isteri saya ada lelaki lain

    Posted: 01 Apr 2012 12:22 AM PDT

    RISAU hati melihat pelbagai masalah timbul dalam kehidupan suami isteri sejak akhir-akhir ini. Isu isteri melayan lelaki lain dan suami juga berbuat perkara yang sama, bukan lagi satu perkara pelik.

    Sudahnya rumah tangga berantakan, selisih faham berlarutan sehingga membawa kepada perceraian.

    Selari dengan mukadimah saya di atas, kisah yang ingin saya ketengahkan minggu ini juga ada kaitannya. Bukan cerita rekaan tetapi kisah benar yang diceritakan sendiri oleh seorang suami yang mahu dikenali sebagai Jefri (bukan nama sebenar).

    Kita ikuti kisah Jefri selanjutnya.

    " Saya berusia 30 tahun, isteri, Maria (bukan nama sebenar) berumur 29 tahun. Rumah tangga kami dibina atas dasar cinta dan direstui keluarga kedua-dua pihak. Saya bekerja sendiri sementara isteri seorang eksekutif di sebuah firma pengiklanan. Kini usia perkahwinan kami sudah menjejak lima tahun.

    "Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada Maria untuk bekerja kerana saya yakin dia tahu menjaga batas sebagai isteri. Tiga tahun berkahwin, hubungan kami amat mesra. Kelahiran cahaya mata sulung tentunya menambah seri rumah tangga kami.

    "Dua tahun selepas kelahiran anak kami, Maria dinaikkan pangkat sebagai eksekutif kanan. Ini bermakna dia perlu selalu ke luar daerah atas urusan kerja. Itu pun saya faham malah tetap memberi sokongan.

    "Anak ditinggalkan bersama ibu saya yang secara kebetulan tinggal bersama kami. Sejak dia naik pangkat, sikap Maria berubah. Balik kerja jauh malam dan dia langsung tidak pedulikan anak. Seratus peratus urusan menjaga anak dan kebajikan saya terletak di tangan ibu saya sendiri.

    "Orang tua, mana boleh tengok menantu sibuk sampai tidak ingat rumah tangga, suami dan anak-anak. Dia menasihatkan saya supaya menegur Maria. Saya juga melihat perubahan Maria terhadap saya. Layanan di tempat tidur amat dingin. Makan dan pakaian saya semuanya sambil lewa. Tapi ibu selalu menjadi penyelamat.

    "Sampai satu tahap saya tidak dapat mengawal perasaan marah saya apabila setiap malam Maria leka dengan iPad dan berSMS sehingga dinihari.

    Ada kalanya saya sudah lena di sebelahnya, tetapi Maria asyik dengan iPad dan telefon bimbitnya. Cara bercakap pula berlainan daripada biasa.

    Apabila saya ada di sebelah, dia cepat-cepat keluar dari bilik. Ada masa pula dia berbual di kerusi rehat di luar rumah.

    "Banyak kali saya tegur tetapi dia buat tidak dengar, malah langsung tidak berubah tetapi semakin menjadi-jadi. Satu hari saya menegur sikap buruknya itu dan meminta dia berubah kerana saya malu dengan ibu saya. Jawapannya menyakitkan hati saya. Katanya, kalau tidak sanggup tengok dia, suruh saja ibu saya pindah dari rumah kami.

    "Bayangkan, seorang menantu sanggup cakap begitu kepada mertuanya, pada hal dia tidak ingat, selama dia bekerja dan ke sana sini, ibu saya yang menjaga anak kami, itu pun dia tidak bersyukur.

    "Hari itu kami bertengkar hebat. Maria mengungkit macam-macam tentang saya dan hubungan kami sebelum itu. Dia juga mencabar saya supaya menceraikan dia jika tidak serasi lagi untuk hidup bersamanya. Katanya saya mengongkong hidupnya.

    "Selepas kejadian itu, Maria keluar dari rumah tanpa memberitahu ibu saya dan meminta izin saya terlebih dulu. Sikapnya amat mengecewakan saya.

    "Lalu saya berazam untuk mencari punca kenapa Maria berubah perangai bersandarkan kata-kata ibu saya, ''mak rasa dia ada orang lain".

    "Secara kebetulan saya ada seorang kawan bekerja sebumbung dengan Maria tetapi Maria tidak kenal kawan saya ini. Kepada kawan ini, saya minta bantuan untuk memberi maklumat tentang pergerakan Maria. Atas bantuan sahabat lama saya itu, akhirnya saya dapat tahu, rupanya Maria sedang menjalin hubungan dengan salah seorang ketuanya yang baru bertukar ke situ.

    "Menurut cerita kawan saya, lelaki itu adalah bekas kekasih Maria yang telah hilang begitu sahaja selepas mereka tamat sekolah menengah. Terkejut juga saya dibuatnya sebab saya tidak pernah tahu masa silam Maria, tetapi saya pujuk hati saya agar bersabar.

    "Seminggu Maria tidak pulang ke rumah. Saya tidak risau sebab saya tahu di mana dia tinggal. Saya hantar SMS dia tidak jawab, saya telefon pun tidak ada respons. Lalu jalan terakhir, saya ke pejabatnya untuk menyelesaikan segala kekusutan yang kami alami.

    "Allah itu Maha Kaya, satu hari ketika sedang makan tengah hari di sebuah hotel bersama seorang klien, saya terkejut apabila terpandang Maria dan lelaki itu juga sedang makan di situ.

    "Kesabaran saya memuncak melihat kemesraan mereka, berpegangan tangan macam pasangan kekasih, pada hal dia masih isteri saya yang sah. Saya tahan perasaan sebab tidak mahu klien saya perasan yang saya sedang ada masalah. Selesai urusan dengan klien itu, saya nekad bersemuka dengan mereka.

    "Kehadiran saya tidak mengejutkan Maria dan pasangannya. Mereka seperti telah bersedia menghadapi apa yang datang, begitu hebatnya mereka. Secara tidak langsung mereka mencabar kejantanan saya. Maria dengan megahnya memperkenalkan 'kekasih'nya itu kepada saya.

    "Belum sempat saya berkata apa-apa Maria berkata, jangan kejar I lagi, lepaskan I. Subahanallah, itukah perkataan yang harus keluar dari mulut seorang isteri kepada suami di hadapan seorang lelaki lain yang belum tentu dapat membahagiakannya.

    "Itulah realiti dunia hari ini. Sikap hormat seorang isteri kepada suami semakin terhakis dan mereka sewenang-wenangnya boleh membawa lelaki yang mereka suka ke mana sahaja tanpa mengira dosa.

    "Hati saya bagaikan terbakar tetapi saya kawal perasaan. Saya akan terima cabarannya. Saya beredar dengan kata-kata, jumpa di mahkamah!.

    Saya tidak tahu kenapa Maria boleh berubah sampai begitu sekali berbeza dengan Maria yang saya kenal dulu. Agaknya betul kata ibu saya, pangkat dan wang ringgit telah mengaburi mata dia.

    "Sekarang saya dalam proses bercerai dengan Maria, Walaupun berat saya perlu bertindak demi maruah saya sebagai suami. Saya tidak menyesal menceraikan dia kerana pada saya dia memang tidak layak untuk terus hidup di samping saya.

    "Ibu menangis mendengar cerita saya. Katanya dia memang sudah boleh meneka apa yang akan berlaku dalam rumah tangga saya dengan keadaan Maria yang begitu. Saya minta ampun kepada ibu kerana isteri saya telah menghinanya.

    Saya sedih sangat-sangat dengan sikap Maria. Saya berdoa supaya anak kami akan diberi kepada saya untuk dijaga, lagipun dia tidak serasi bersama ibunya yang tidak pernah menjaga dan memberi kasih sayang kepadanya.

    "Sekarang saya menunggu takdir hidup saya seterusnya. Semoga Allah kuatkan hati saya menempuh ujian ini. Saya berharap satu hari jika ada jodoh, saya ditemukan dengan seorang wanita yang benar-benar boleh memikul tanggungjawab menjadi isteri dan ibu serta dapat berkongsi kasih sayang dengan saya di dunia dan akhirat.

    Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu dan adik-beradik saya kerana selalu menyokong saya dan berada di sisi saya ketika memerlukan mereka. Semoga Allah memberi ganjarannya kepada mereka,'' Jefri menutup cerita.

    Tidak dinafikan banyak kejadian perceraian sekarang disebabkan oleh sikap isteri yang terlalu ego dengan kedudukan dan kerjaya mereka. Saya bersimpati dengan Jefri, nyata dia seorang suami yang penyabar.

    Apa yang berlaku adalah pengajaran yang berguna untuk dijadikan sandaran dalam mencari erti kebahagiaan sebenarnya. Kita semua ada kelemahan dan melakukan kesilapan. Membaiki diri dan belajar daripada kesilapan itu adalah langkah terbaik untuk melengkapkan diri menjadi manusia sempurna di sisi Allah.

    Jefri harus bersyukur kerana masih ada ibu yang mengambil berat dan mendoakan kesejahteraan hidup anaknya dalam apa juga keadaan. Hargailah pertolongan ibu anda.

    Menamatkan catatan, pesanan saya, jika resah haruslah bersabar dan berdoa, jika tenang, panjatkan doa dengan rasa syukur kerana sabar. Doa dan syukur itu adalah satu perjalanan mencapai bahagia.

    Salam.

    Pereka fesyen tetap cita-cita Fyza Kadir

    Posted: 01 Apr 2012 12:22 AM PDT


    FYZA Kadir enggan bersandar pada wajah cantik semata-mata.


    NAMUN apabila rezeki menyapa di bidang lakonan, Norhafiezzah A. Kadir atau lebih selesa dikenali sebagai Fyza Kadir mula mengorak langkah untuk dikenali sebagai seorang anak seni pula.

    Walaupun tahu keputusan itu bakal mengubah seluruh perjalanan hidupnya namun, dia percaya menjadi pelakon bakal membantu cita-citanya untuk dikenali sebagai seorang pereka fesyen suatu hari nanti.

    "Dari kecil saya sudah meminati bidang rekaan fesyen, melalui majalah-majalah fesyen terkenal saya mula berjinak-jinak melukis rekaan baju saya sendiri.

    "Bagaimanapun apabila ditawarkan syarikat produksi Metrowealth Pictures (MIG) untuk berada di bawah mereka sebagai pelakon, saya mula memikirkan ini langkah permulaan mencipta nama di dalam bidang seni sekali gus membantu saya untuk dikenali sebagai pereka fesyen kelak," kata pelakon yang berasal dari Johor Bharu ini.

    Mempunyai pengalaman bekerja di dalam bidang rekaan fesyen sebelum ini Fyza berkata, dia juga bercita-cita mahu mereka pakaian dengan labelnya sendiri.

    "Saya merupakan pemegang diploma dalam bidang fesyen, di mana melalui pengajian saya banyak didedahkan dengan pelbagai ilmu fesyen semasa.

    "Jika diizinkan suatu hari nanti saya juga mahu mempunyai butik dengan label saya sendiri," katanya.

    Mempunyai darah kacukan Melayu dan Malbari, Fyza turut menyangkal dakwaan mengenai kewujudan artis baru sepertinya yang hanya bersandarkan wajah cantik semata-mata.

    Sebaliknya dia menegaskan bahawa khalayak kini sudah bijak untuk menilai bakat seseorang.

    "Mereka bebas untuk memberi pendapat, bagaimanapun saya percaya dengan kemajuan kini penonton kita juga semakin bijak untuk menilai bakat yang dimiliki saya.

    "Bagaimanapun saya akui bahawa saya masih baru dan masih lagi dalam proses pembelajaran yang memerlukan bimbingan untuk memantapkan tahap lakonan saya," katanya jujur.

    Bakal muncul dengan filem Nongkrong bersama pelakon hebat Shaheizy Sam, Fyza berkata, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang berlakon dalam filem komedi seram itu.

    Malah katanya, walaupun berlakon di samping pelakon terkenal seperti Shaheizy Sam, dia langsung tidak menghadapi masalah.

    "Saya sangat bertuah untuk berada di dalam MIG kerana banyak diberi peluang besar seperti ini.

    "Berlakon di samping pelakon seperti Sam banyak mengajar saya untuk belajar mengenai lakonan dan saya juga sangat bersyukur pelakon lain juga banyak membantu memandangkan saya masih baru," katanya yang akan turut berlakon dalam filem Kisah Paling Gangster.

    Mengharapkan perjalanan kariernya akan disokong peminat, Fyza berkata, dia percaya bakat merupakan penentu karier lakonan seorang pelakon. Oleh itu, untuk terus meraih kedudukan selesa seorang pelakon, dia akan berusaha memperbaiki penyampaian lakonannya.

    "Saya mahu lama di dalam bidang ini dan untuk itu tiada apa yang lebih penting daripada usaha saya di dalam memantapkan bakat lakonan saya.

    "Saya harap penonton di luar sana akan terus memberi sokongan kepada saya menempa nama di dalam dunia hiburan ini," katanya mengharap.

    Gaya musim bunga FCUK

    Posted: 01 Apr 2012 12:21 AM PDT




    ANTARANYA seperti jenama French Connection Time yang telah dikenali di seluruh dunia menerusi siri keluaran FCUK yang cukup popular.

    Menampilkan jam tangan bersaiz sederhana yang mudah dikenakan dengan apa jua fesyen, ia menepati kehendak ramai pada masa kini.

    Kedatangan musim bunga ini disambut meriah dengan koleksi terkini yang bakal menyesuaikan fesyen bergaya sempurna untuk keluar pada waktu malam atau sekadar dipadankan dengan pakaian kerja seharian.

    Sehingga kini, jenama dari FCUK tidak pernah berhenti untuk mewujudkan keserasian peribadi buat wanita mahu pun lelaki.

    Jam tangan French Connection boleh didapati di One Utama Shopping Centre, Isetan (Suria KLCC dan The Gardens Mid Valley), Parkson (Gurney Plaza, Suria KLCC, One Utama, Sunway Piramid, The Mall dan Pavilion), Robinsons (The Gardens Mid Valley), Tangs (Empire Shopping Gallery dan di semua kedai jam tangan City. Chain.

    Koleksi cacac The Secret Garden

    Posted: 01 Apr 2012 12:17 AM PDT


    KOLEKSI ini memperkenalkan pelbagai jenis pakaian koktel, pakaian musim panas, berkain sifon serta smart kasual.


    WANITA kini mempunyai pelbagai pilihan pakaian. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya wanita mementingkan kualiti, jenis kain dan reka bentuk pakaian, memandangkan pakaian menunjukkan perwatakan dan keyakinan diri seseorang wanita.

    Selain memikirkan jenama luar negara, jenama tempatan seperti cacac tidak kurang hebatnya. Ia direka dan diuruskan oleh selebriti antarabangsa dan artis, Lee Sinje yang dilahirkan dan dibesarkan di Kedah, Malaysia. Impiannya adalah untuk menyampaikan fesyen mewah yang mampu milik. Justeru, beliau baru-baru ini melancarkan Koleksi Musim Bunga/Panas bertemakan The Secret Garden di Kuala Lumpur.

    Cacac, dibunyikan sebagai 'kaka' juga bermaksud persaudaraan wanita, seperti yang ditakrifkan dalam perkataan Melayu 'kakak'.

    Koleksi tersebut adalah hasil daripada ilham sebuah cerita klasik, The Secret Garden di mana seorang budak perempuan nyaris kehilangan harapan dalam kehidupannya, tetapi berjaya dipulihkan disebabkan kecantikan alam semula jadi dan persahabatan.

    "Tema The Secret Garden yang diwar-warkan oleh cacac bertepatan dengan pemilihan warna-warna yang bertenaga dan cerah untuk memaparkan elemen harapan serta kemampuan golongan wanita moden yang sering sibuk dalam mengendalikan aktiviti kehidupan harian mereka.

    "Kami telah menggunakan warna-warna seperti ungu, merah fuchsia, hijau mauve, cetakan corak bunga-bungaan, kuning mustard, violet dan biru langit dalam koleksi tersebut," kata Lee Sinje, pereka jenama, pemilik dan pengurus jenama cacac.

    Justeru itu, kain-kain yang berelemen kapas, rayon, sifon, sutera dan sutera organza digunakan untuk menghasilkan tekstur yang romantik dan ringan yang sesuai untuk wanita moden.

    Koleksi tersebut juga berciri 100 peratus hasil buatan tangan termasuk kasut dan beg.

    "Koleksi The Secret Garden ini memperkenalkan pelbagai jenis pakaian koktel, pakaian musim panas, berkain sifon serta smart kasual," kata Lee Sinje.

    Golongan wanita yang berusia antara 25 hingga 40 tahun merupakan sasaran koleksi ini.

    Lee Sinje juga merupakan model untuk koleksi cacac. Beliau telah menggayakan berjenis-jenis pakaian daripada pakaian musim panas, sifon serta smart kasual.

    Sambil menunjukkan wajah yang serius pada sesi temu bual ini, beliau berusaha mencerminkan cabaran wanita moden hari ini.

    "Saya menawarkan harapan baru kepada semua wanita dalam menjalani kehidupan melalui pakaian koleksi musim bunga dan panas ini," katanya.

    Walaupun ramai orang telah memberi nasihat kepadanya bahawa bisnes tersebut berisiko, namun sehingga kini, beliau tidak pernah menyesal kerana pelbagai pengalaman daripada aspek pembelajaran pemasaran, perekaan dan penghasilan telah diperolehnya.

    Beliau menambah: "Saya telah meninggalkan kampung sejak berumur 19 tahun untuk mengejar kerjaya lakonan di Taiwan dan Hong Kong dan sering ingin pulang ke Malaysia, untuk menyumbang sesuatu kepada negara ini.

    "Malaysia masih merupakan kampung saya dan saya berasa amat gembira sekiranya dapat berkongsi hasil kejayaan ini dengan semua pihak. Oleh itu, cacac merupakan satu permulaan yang baik."

    Koleksi baru cacac ini akan berada di Parkson Pavilion, Parkson Gurney Drive dan Sunway Giza, dari April hingga Julai 2012. Harga bermula daripada RM50 hingga RM500. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.mycacac.com.

    Diabetes mellitus punca sakit ginjal

    Posted: 01 Apr 2012 12:15 AM PDT


    PENJAGAAN makanan dari awal merupakan langkah yang terbaik terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai diabetes.


    Diabetes adalah sakit kronik yang terjadi apabila badan tidak dapat menghasilkan atau menggunakan insulin dengan betul, hormon yang diperlukan untuk memproses gula, kanji dan makanan lain kepada tenaga yang diperlukan untuk aktiviti seharian.

    Punca penyakit ini masih menjadi misteri walaupun genetik dan persekitaran dikatakan memainkan peranan dan tiada penawar untuk menyembuhkannya.

    Mungkin ramai yang tidak tahu diabetes antara sebab utama kegagalan buah pinggang atau ginjal di Malaysia dengan kira-kira 52 peratus berada tahap akhir disebabkan olehnya.

    Setiap tahun, 4,000 hingga 5,000 pesakit baru disahkan menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan mereka melakukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

    Sehari di Luxembourg

    Posted: 01 Apr 2012 12:14 AM PDT


    Pemandangan dari anjung tinggi Chemin de la Corniche juga dikenali sebagai Europe most beautiful balcony.


    EROPAH merupakan destinasi popular bagi kebanyakan orang yang ingin melancong. Banyak negara di Eropah yang menawarkan tempat pelancongan menarik.

    Saya sendiri sangat teruja ketika berkunjung ke beberapa negara Eropah.

    Seperti kebanyakan orang lain, setiap tahun, kami sekeluarga pasti akan merancang satu percutian keluarga ke destinasi tertentu.

    Memandangkan kami sekeluarga telah mencapai kata sepakat, maka kami memilih untuk meneroka beberapa negara Eropah sepanjang dua minggu.

    Kalau bercerita tentang Eropah, pastinya kita terbayang kota-kota besar yang popular dan dikenali seperti London, Paris, Amsterdam, Brussels, Zurich dan lain-lain.

    Lahad Datu pekan tarikan pelancongan

    Posted: 01 Apr 2012 12:14 AM PDT


    Norman Raman (kiri) dan Sabaril Lamade sedang menunggu penumpang menaiki 'bas mini' mereka di Lahad Datu, Sabah.


    UCAPKAN selamat tinggal kepada penerbangan belasan jam, pemeriksaan kastam ataupun pemilikan pasport antarabangsa.

    Namun penduduk pekan ini hanya perlu membayar kos 'pakej' serendah RM5 dengan menaiki bas mini untuk sampai ke sana.

    Jangan salah sangka. Paris yang dimaksudkan bukanlah kota fesyen yang terletak 11,500 kilometer (km) jauh, tetapi sebenarnya adalah Kampung Paris yang terletak 70 km dari Lahad Datu.

    Lahad Datu bukanlah sebuah pekan besar, tetapi mempunyai peranan besar ke atas pembangunan negeri Sabah terutama dari segi ekonomi dan pelancongan.

    Di kelilingi industri kelapa sawit, ladang-ladang yang diusahakan secara persendirian mahupun oleh gergasi korporat terbentang luas sejauh mata memandang, sedia untuk memenuhi permintaan minyak sawit untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

    Aktiviti ekonomi lain berasaskan penanaman yang dijalankan di sini termasuklah perusahaan kelapa kering (kopra) bagi menghasilkan minyak goreng, getah serta koko yang menjadi punca rezeki masyarakat tempatan.

    Kedudukannya yang terletak di tepi laut, turut menggalakkan aktiviti perikanan. Selain ikan, perairan di sini kaya dengan udang harimau, udang kertas, ketam bakau dan rumpai laut.

    Menurut laman web pejabat daerah, kaum yang tinggal di sini terdiri daripada suku kaum Kadazan-Dusun, Dusun Subpan, Dusun Bagahak, Suluk, Bajau, Cina, Kokos, Iranun, Bugis, Timor, Tidong, Jawa, Sungai, Idahan dan Kagayan. Laman web yang sama juga menyatakan asal perkataan Lahad Datu adalah daripada bahasa kaum Bajau.

    Perkataan Lahad membawa erti tempat manakala Datu membawa erti orang kenamaan pada zaman dahulu.

    Tempat ini dinamakan sedemikian selepas penghijrahan golongan Datu, yang diketuai oleh Datu Puti, dari kerajaan Suluk. Ini susulan penyerahan kuasa kawasan ini kepada Sultan Suluk oleh Sultan Brunei pada 1879.

    Dikatakan juga nama asalnya sebelum peristiwa ini ialah Kerugau yang bererti batu karang bertompok-tompok di sekitar pantai dari Kunak hingga ke Membatu, yang terletak di Tungku.

    Lokasi pekan ini juga strategik sebagai perantara untuk industri pelancongan. Lembah Danum, Taman Hidupan Liar Tabin dan Muzium Arkeologi Batu Tulug semuanya boleh dilawati dengan menggunakan kenderaan darat.

    Lembah Danum menempatkan Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang kaya dengan spesis yang jarang ditemui seperti Gajah Pygmy Borneo iaitu spesis gajah terkecil di dunia, Badak Borneo Sumatera, Orang Utan, Tembedau dan pelbagai spesis bunga orkid liar.

    Dengan kemewahan flora dan faunanya, tidak hairanlah kawasan ini dikenal pasti sebagai antara kawasan ekosistem paling padat di dunia.

    Taman Hidupan Liar Tabin pula terkenal dengan kawah lumpur yang menjadi sumber mineral haiwan di sini.

    Para pengunjung berpeluang melihat kesan tapak kaki yang masih 'segar'. Di sini juga terdapat Pusat Perlindungan Badak Sumbu Borneo Sumatera yang menempatkan tiga ekor badak sumbu dalam usaha membiakkan spesies yang semakin terancam ini.

    Selesai melawat tempat-tempat berkenaan, pelancong boleh memilih untuk ke Sandakan yang terkenal dengan Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok atau ke Samporna yang menjadi pintu masuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Mabul.

    Kedua-dua pulau ini terkenal dengan kecantikan landskap di darat dan dasar laut, turut mendapat jolokan sebagai syurga dasar laut kepada peminat aktiviti selaman skuba.

    Kemampuan Lahad Datu untuk menyediakan pengalaman lengkap di darat dan laut boleh dijadikan batu loncatan ke arah hab pelancongan jika dipakej dengan betul dan menarik.

    Pekan yang sedang melalui proses pembangunan yang pesat ini adalah nadi buat kehidupan masyarakat baik di Lahad Datu sendiri, mahupun di kawasan sekelilingnya seperti Silabukan, Silam dan Kinabatangan.

    Masyarakat dari luar pekan berduyun-duyun berkunjung ke sini untuk pelbagai urusan, yang kebanyakannya pekerja ladang kelapa sawit.

    Kesempatan inilah yang digunakan oleh masyarakat setempat untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan. Satu daripadanya ialah pengangkutan van yang dikenali sebagai 'bas mini'oleh masyarakat setempat.

    Pengusaha bas mini, Norman Raman, 29, berkata, musim gaji turut dikenali sebagai musim 'bulan muda' biasanya berlaku dari tarikh 26 haribulan hingga 9 haribulan setiap bulan kerana pada waktu inilah ramai yang keluar ke pekan.

    Norman yang sudah mengusahakan bas mini untuk laluan Kampung Paris-Lahad Datu selama lima tahun berkata, walaupun permintaan terhadap perkhidmatan bas mini dipengaruhi faktor musim, namun masih banyak bas mini diperlukan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

    Pelanggan dikenakan tambang berdasarkan jarak laluan yang mereka lalui serendah RM5 seorang. Kos tambang menjadi semakin tinggi sesuai dengan jarak yang dilalui penumpang.

    Caj tambahan juga dikenakan jika penumpang meminta untuk dihantar ke destinasi terpencil.

    Bagi pemandu bas mini, Sabaril Lamade, 30, beliau menyukai kerjanya kerana dapat membina hubungan rapat dengan para penumpang.

    "Bertahun-tahun kita bawa bas, sudah kenal penumpang, mereka senang dengan kita, kita juga senang dengan mereka," ujarnya yang berperwatakan ceria.

    Mengenali labu sayong Kuala Kangsar

    Posted: 01 Apr 2012 12:13 AM PDT


    Antara bengkel labu sayong yang terdapat di Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak,


    MENDAPAT jolokan sebagai Bandar Diraja, Kuala Kangsar sememangnya menjadi lokasi tumpuan ramai pada setiap hujung minggu serta cuti umum. Kaya dengan nilai sejarah serta monumen-monumen indah, tidak hairanlah bandar itu diangkat sebagai antara lokasi penting dalam pembangunan industri pelancongan di Perak.

    Antara keunikan bandar itu yang menjadi tumpuan ialah Masjid Ubudiah, Muzium Diraja Kuala Kangsar, Sungai Perak serta cendol dan laksa Kuala Kangsar yang digilai ramai.

    Sesudah menikmati keindahan bandar dan kelazatan hidangan itu, pastinya seakan tidak lengkap sekiranya tiada barangan yang dibawa pulang untuk dijadikan kenang-kenangan.

    Tentu sekali, barangan paling ideal untuk mengimbau kembali kenangan manis di bandar berkeluasan kira-kira 205 kilometer persegi itu adalah labu sayong yang sememangnya sinonim dengan Kuala Kangsar.

    Ini kerana, seni pembuatan zaman-berzaman itu sehingga kini masih kekal menjadi warisan yang dibanggakan penduduk Kuala Kangsar. Apatah lagi, ia mempunyai kelebihan tersembunyi yang cukup unik.

    Bagi mengenali sejarah pembuatan serta kelebihan yang ada pada labu sayong, wartawan S2, MOHD. RAFIE AZIMI bersama jurugambar AMIN FARIJ HASSAN baru-baru ini ke Kampung Kepala Bendang, Mukim Sayong di Bandar Diraja itu.

    Keenakan Soto Labuan

    Posted: 01 Apr 2012 12:12 AM PDT


    NIK Ahmad Farez Nik Gahazali bersama isterinya, Syarena Mohsin menunjukkan Chicken Chop RSE, salah satu hidangan istimewa di restoran mereka.


    KELANTAN sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis juadah dan masakan yang enak. Justeru itu, bukan mudah untuk memperkenalkan menu baru bagi menembusi pasaran dan selera rakyat di negeri ini.

    Namun seorang ahli perniagaan, Nik Ahmad Farez Nik Ghazali, 41, mencuba sesuatu yang berbeza dengan 'budaya' makanan masyarakat di negeri ini apabila memperkenalkan Soto Labuan dan Soto Brunei sebagai menu utama di Restoran Sauh Emas, Kota Bharu, Kelantan.

    Restoran yang terletak di Taman Uda Murni itu dibuka pada Ogos tahun lalu, serentak dengan umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan. Baginya, 1 Ramadan adalah tarikh yang amat sesuai untuk membuka restoran itu sejajar dengan bulan yang paling mulia di sisi Islam.

    Biarpun tidak sampai setahun dibuka, restoran itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

    Nik Ahmad Farez berkata, percubaan berani memperkenalkan makanan dari Borneo itu dibuat berdasarkan kebolehan isterinya, Syarena Mohsin, 40, yang berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan.

    "Setiap kali mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri dan majlis kesyukuran, isteri saya akan memasak kedua-dua jenis masakan ini dan ia mendapat pujian daripada rakan-rakan.

    "Daripada itu, timbul idea untuk membuka restoran ini, selain faktor keluarga saya yang sememangnya menjalankan bisnes berkaitan makanan," katanya kepada S2.

    Beliau yang sebelum ini terlibat dalam bidang agensi pelancongan terutama membawa jemaah umrah ke tanah suci Mekah telah mengambil keputusan nekad untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap perkembangan restoran tersebut.

    "Saya tekad untuk kembali ke kampung halaman selepas 22 tahun berada di Kuala Lumpur. Soto Labuan dan Soto Brunei adalah keistimewaan restoran kami yang mungkin tidak ada di restoran lain di bandar ini.

    "Setakat ini, alhamdulillah. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan ternyata orang di sini boleh menerima makanan dari negeri-negeri lain," ujarnya gembira.

    Katanya, keistimewaan Soto Labuan adalah ia dihasilkan daripada sup tulang dan menggunakan bihun Labuan yang agak berbeza daripada bihun yang biasa didapati di Kota Bahru.

    Sementara itu, katanya, Soto Brunei pula dihasilkan daripada sup daging dan bihun Labuan.

    "Di samping dua menu istimewa ini, kami juga memperkenalkan makanan barat kepada pelanggan iaitu Chicken Chop RSE yang menggunakan ramuan dan rempah istimewa.

    "Saya amat menitik beratkan kualiti makanan dan cara hidangan. Semua ini adalah hasil pengalaman saya melancong di merata tempat yang saya kutip dan perkenalkan di restoran ini.

    Wajah baru kamar hotel Concorde

    Posted: 01 Apr 2012 12:10 AM PDT


    SUASANA mewah dalam bilik Eksekutif Premier, Hotel Concorde Shah Alam.


    BOLEH dikatakan Hotel Concorde Shah Alam merupakan mercu tanda paling mudah untuk dikenali di bandar raya tersebut.

    Ini kerana lokasi hotel lima bintang itu begitu strategik dan kehadirannya bagaikan sinonim dengan pembangunan pesat bandar raya anggerik itu yang merupakan ibu negeri Selangor. Hotel Concorde menjadi pilihan ramai kerana perkhidmatan kelas pertama yang disediakan kepada setiap tetamu dan pengunjungnya.

    Jika anda memandu dari Kuala Lumpur, perjalanan untuk ke Hotel Concorde Shah Alam hanya mengambil masa kira-kira 30 minit, bergantung kepada keadaan iaitu sekiranya tiada sebarang kesesakan trafik di Lebuh raya Persekutuan, manakala perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hanya mengambil masa kira-kira 45 minit.

    Ketika ini, Hotel Concorde Shah Alam melalui fasa baru apabila bangunannya telah selesai menjalani proses penambahbaikan demi memberi kepuasan berganda kepada pelanggan. Wajahnya juga begitu berseri setelah dicat baru.

    Bukan sahaja penampilan luaran, dengan peruntukan besar mencecah RM3 juta, penambahbaikan dilakukan dengan memberikan kelainan tona warna dalaman hotel tersebut. Ia melibatkan perubahan warna cerah yang lebih ceria di segenap sudut hotel.

    Hotel yang mempunyai 381 bilik dan suite itu dilengkapi perabot dan hiasan dalaman yang menampilkan sentuhan lebih moden, sesuai dengan imej era alaf baru. Bilik-bilik yang mengalami penambahbaikan turut menampilkan pencahayaan lampu yang lebih canggih.

    Bilik yang disediakan merangkumi bilik Superior, Deluxe, Eksekutif Deluxe, Premier, Eksekutif dan Suite, Pangsapuri serta bilik Premier Shah Alam. Antara bilik yang terlibat dengan penambahbaikan dan susun atur eksklusif secara besar-besaran adalah bilik Superior dan Eksekutif Deluxe.

    Segalanya dilakukan demi kepuasan pelanggan yang ingin bersantai dalam suasana penuh limpahan kemewahan dan paling utama keselesaan berganda.

    Terletak di tingkat empat hingga lapan, kerja-kerja ubah suai dan penambahbaikan bilik Superior telah siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

    Para tetamu pasti akan terpesona kerana bilik-bilik tersebut dicat dengan tiga tona warna bumi, dinding yang dicat semula, termasuk lantainya dihiasi permaidani baru yang terbentang indah.

    Segala keselesaan yang diimpikan jauh dari kediaman sendiri tersedia di sini dengan bilik-bilik Superior yang telah diubahsuai itu. Sungguh berbaloi jika dapat menginap di sini, sama ada atas tujuan urusan perniagaan, mahu pun bersantai sendirian atau bersama keluarga.

    Untuk tetamu yang inginkan bilik yang lebih baik, sudah pasti bilik baru Eksekutif Deluxe menjadi pilihan. Bilik jenis terbaru itu diinspirasikan daripada ciri-ciri klasik.

    Kombinasi gaya dan keselesaannya cukup sempurna. Hiasan dalamannya menekankan ciri-ciri tona warna bumi dan reka bentuk inovatif untuk menonjolkan tarikan moden dalam kelasnya yang tersendiri.

    Kesemua bilik Eksekutif Deluxe dilengkapi televisyen LCD skrin lebar, meja tulis dengan reka bentuk moden dan lampu bacaan LED boleh ubah.

    Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seterika dan papan penggosok pakaian, selain perkhidmatan internet tanpa had. Bilik-bilik ini berada di tingkat 12 dan 14 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 90 unit.

    Selain itu, Hotel Concorde mempunyai panorama menarik dan indah. Satu malam menginap di sini akan meninggalkan kenangan manis hingga anda pasti akan bertandang lagi. Pasti anda tidak akan lupakan panorama malam yang indah di sini dengan pemandangan bandar raya Shah Alam dan mercu tandanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ia sudah pasti memberikan ketenangan mendalam, sesuai untuk mereka yang ingin mencari ilham.

    Kunjungan di bandar raya ini dengan memilih Hotel Concorde Shah Alam sebagai tempat menginap menjadi lebih bermakna kerana bandar raya ini mempunyai pelbagai destinasi menarik, antaranya Taman Botani Negara Shah Alam atau dahulu dikenali Taman Pertanian Bukit Cahaya serta Taman Air Wet World Shah Alam.

    Penerokaan ekstrem Gua Batu Maloi

    Posted: 01 Apr 2012 12:09 AM PDT


    PARA peserta berhati-hati melalui laluan lereng batuan yang sempit.


    JIKA dilihat dari sudut geografinya, Gua Batu Maloi terletak di kawasan lembah di pertengahan dua puncak gunung di penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datok dan Gunung Tampin.

    Penulis berpeluang merasai sendiri cabaran penerokaan Gua Batu Maloi menerusi program yang dianjurkan oleh Zainul Fikri Mohd Idris, 33, bersama 28 peserta lain. Sebelum memulakan aktiviti penerokaan gua, kami diberi taklimat ringkas serta panduan oleh penunjuk arah, Nazri Mohd Bellango, 55.

    Kami diminta memasukkan barang berharga ke dalam beg kalis air kerana hampir 80 peratus laluan adalah kawasan berair.

    Sumber air itu adalah dari Gunung Datok yang mengalir turun melalui rekahan batu dan dinding gua.

    Untuk melepasi segala bentuk halangan dan cabaran yang tersedia menanti di dalam gua ini, kami perlu merangkak, mengiring, memanjat serta menuruni batu-batu sungai yang licin. Ada ketikanya kami terpaksa menyelam sambil berjalan selama beberapa saat di dalam air!

    Terdapat 24 check point (CP) di sepanjang laluan yang mengambil masa perjalanan dua hingga tiga jam, bergantung kepada keadaan dan keupayaan peserta.

    Selain itu, terdapat sembilan jenis laluan sepanjang 980 meter di dalam gua ini, bermula dari peringkat santai sehingga ke peringkat paling ekstrem.

    Laluan yang agak mencabar bermula dari CP1 hingga CP12. Selesai taklimat dan bacaan doa, kumpulan kami seramai 28 orang memulakan perjalanan dari CP1. Oleh kerana kebanyakan daripada kami sudah lali dengan aktiviti lasak, maka kami dibawa merentasi gua ini mengikut Laluan 7 yang agak ekstrem.

    Pada mulanya, perjalanan agak mudah. Kami merangkak di bawah bongkah-bongkah batu di kawasan yang sedikit berair menuju ke CP2. Cabaran penerokaan ekstrem bermula di sini apabila kami mula menggunakan tali dan meniti lereng batu licin yang terdapat aliran air agak dalam di bawahnya.

    Nah!, setibanya di CP3, kami berada di dalam air yang kedalamannya pada paras pinggang orang dewasa. Aksi melepasi halangan batuan yang sempit bermula. Ada ketikanya, kami menggunakan tali keselamatan untuk menuruni beberapa bongkah batu yang agak tinggi.

    Lampu suluh (headlamp) mula dipasang apabila cahaya matahari yang masuk dari beberapa lubang di sudut bumbung gua mulai lenyap.

    Pelbagai ragam dan kerenah peserta mula kelihatan. Suasana di dalam gua yang pada mulanya suram mula bertukar menjadi riuh-rendah dek keseronokan meredah laluan sempit sambil mengharungi kesejukan air.

    Di pertengahan laluan antara CP 4 dan CP5, bertemankan cahaya lampu suluh, kami perlu menyelam dan berjalan di dalam air bagi melepasi halangan.

    Ada di kalangan kami termasuk penulis agak panik untuk menempuh halangan ini. Namun dorongan dan bantuan yang dihulurkan oleh penunjuk arah, maka seorang demi seorang berjaya melepasinya.

    Selang beberapa minit kemudian, kami keluar dari kawasan berair menuju ke kawasan yang dihuni oleh beberapa haiwan seperti katak.

    Terdapat juga beberapa koloni kelawar yang tinggal dan bersarang di bumbung gua ini.

    Perjalanan kami diteruskan ke CP6. Terdapat sebuah bongkah batu yang menyerupai bentuk sebuah perahu. Batu ini dikenali sebagai Batu Kapal. Selang beberapa minit perjalanan, kami tiba di kawasan yang agak lapang sedikit. Di sini terdapat akar-akar pokok yang menembusi dinding gua dan ada juga yang terpacak di lantai gua.

    Kami dimaklumkan oleh penunjuk arah bahawa akar-akar itu adalah akar pokok meranti dan cengal.

    Beliau menyatakan kedudukan kami adalah kira-kira 152 meter di bawah tanah. Berhampiran kawasan CP7, terdapat sebuah lagi bongkah batu membentuk ukiran patung Buddha yang kebiasaannya dapat dilihat di dalam kuil. Batu tersebut dipanggil Batu Buddha.

    Kami meneruskan perjalanan sehingga kelihatan aliran air yang agak deras keluar dari celah batu yang agak tinggi dan curam, menghasilkan panorama 'air terjun bawah tanah'.

    Di sini, bermulalah satu lagi cabaran mengharung dan melawan arus air untuk naik ke permukaan batu yang agak licin. Kerjasama dan semangat bantu membantu dapat dilihat antara setiap peserta bagi melepasi halangan ini.

    Setelah mengharungi pelbagai cabaran ekstrem sepanjang laluan dari CP1 hingga CP12, kami dibawa keluar ke permukaan gua untuk berehat dan menikmati udara segar sambil menjamah juadah tengah hari yang dibawa di dalam beg kalis air.

    Setelah setengah jam berehat, kami meneruskan penerokaan ke CP 13 hingga CP 24 dengan mendaki dan menuruni sebuah batu sungai sebelum sekali lagi memasuki gua. Laluan kali ini agak mudah berbanding dengan laluan dari CP1 hingga CP12.

    Kebanyakan laluan di sini paling hampir dengan permukaan bumi dengan laluan merangkak dan sesekali terpaksa melepasi celahan batuan yang agak besar dan licin.

    Deruan air yang menyusup masuk dari dinding sebuah bongkah batu yang membentuk seperti aliran air terjun bawah tanah ini sungguh menyegarkan dan mengasyikkan.

    Kami akhirnya selamat keluar dari Gua Batu Maloi yang berakhir di CP 24. Di situ, terdapat tulisan di atas sebuah bongkah batu iaitu "Tahniah...anda telah berjaya".

    Untuk khidmat penunjuk arah, boleh hubungi hubungi Nazri Mohd Bellango di talian 012-2577137.

    1 ulasan:

    maryan sani on 18 Julai 2016 pada 12:19 PG berkata...

    Hello, Saya Puan Maryan sani pemberi pinjaman pinjaman peribadi. Syarikat kami menyediakan pinjaman pada kadar rendah sebanyak 2% anda memerlukan pinjaman segera untuk membayar hutang anda, atau anda
    memerlukan pinjaman untuk meningkatkan perniagaan anda, membayar bil dan menambah kemudahan syarikat anda? Anda telah ditolak oleh bank-bank dan institusi kewangan lain? perkhidmatan
    Ini akan memberikan kedua-dua individu, syarikat-syarikat, lelaki dan wanita perniagaan peluang untuk meneroka dalam perniagaan varoius mereka dan kami tidak tergesa-gesa costomers kami untuk membayar pinjaman mereka sebaliknya kita memberi mereka lebih masa untuk membayar laon mereka telah yang mereka telah dikumpulkan. Walau bagaimanapun, peluang kewangan di muka pintu anda dan kemajuan anda adalah peroity kami, jadi hubungi kami hari ini melalui e-mel di: maryansaniloancompany@gmail.com

    Catat Ulasan

     

    TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

    Copyright 2010 All Rights Reserved