ads

Isnin, 20 Jun 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Zul Ariffin Tidak Lagi Dibayangi Abby Abadi

Posted: 20 Jun 2011 10:06 PM PDT

Zul Ariffin.

PETALING JAYA: Pelakon Zulkifli Ariffin, 25, yang suatu ketika dahulu sering dikaitkan dengan pelakon Abby Abadi kini boleh menarik nafas lega apabila tidak dibayangi dengan pelakon wanita itu lagi.

Kata pemuda yang dikenali dengan nama Zul ini, dia semakin selesa bergerak di dalam industri seni tanpa dipalit dengan gosip cinta sebaliknya berdiri di atas bakat yang ada.

"Alhamdulillah, sekarang ada juga orang yang nampak bakat saya. Tetapi saya masih belum berpuas hati dan akan berusaha lebih gigih selepas ini.

"Daripada awal saya ceburi bidang seni ini, memang saya sudah tanamkan azam untuk menonjolkan bakat dan bukannya naik dengan 'isu' yang tidak boleh menjaminkan apa-apa," katanya kepada mStar Online.

Abby Abadi.

Tambahnya yang sedang menjalani penggambaran drama Hilang untuk TV9: "Saya nak bekerja dan bertahan lebih lama dalam bidang ini, jadi saya perlu tunjukkan kebolehan dan bakat tersendiri serta melakukan yang terbaik.

"Saya akui tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan tetapi tidak nafikan Abby Abadi merupakan antara orang yang banyak menolong dan menyokong saya daripada belakang."

Seperti diketahui, hubungan dia dan Abby bukan lagi menjadi rahsia ramai. Bagaimanapun, dia enggan terlalu menghebohkan tentang hubungan itu kerana masanya akan tiba andai ada jodoh di antara mereka.

"Saya tak nak sorok tentang hubungan kami tetapi kalau boleh tidak semua perkara saya boleh kongsi kerana bimbang orang akan bosan," jawabnya ringkas.

Terkilan lagu jarang diputar

Posted: 20 Jun 2011 10:05 PM PDT

MENYERLAH...watak Keponakan C dalam teater Mak Dara Nyonya satu cabaran buat Misha.
MENYERLAH...watak Keponakan C dalam teater Mak Dara Nyonya satu cabaran buat Misha.

EPISOD duka yang sebelum ini membelit empunya senyuman manis ini, Samihah Omar atau Misha, 29, sudah lama ditinggalkan. Meskipun masih pedih berbekas luka, semua itu ditelan walaupun maruah dan reputasi terpaksa diperdagangkan.

Masak dengan sepak terajang dunia seni yang ada kalanya hanya bijak menghukum daripada memberi ruang buatnya bernafas sendiri, Misha akur dengan segala apa yang tersurat. Jelasnya, hakikat dan realiti sudah tidak relevan lagi kerana kisah peribadinya sudah jauh dijaja.

  • Foto

    JIWA TEATER...pementasan Mak Dara Nyonya sebuah naskhah istimewa buat Misha.

  • Foto

Katanya, biarlah orang yang membawa fitnah itu terus bercerita. Lebih banyak dirinya membuat penjelasan, menafikan serta menjawab seribu satu persoalan, sebanyak itu juga kisah peribadinya terus dijaja.

"Saya hanya mampu pekakkan telinga, pejamkan mata dan memandang ke depan untuk fokus kepada kerjaya semata-mata. Jujurnya, cerita kononnya saya sudah berkahwin atau menyembunyikan suami itu sudah berlalu. Saya sudah tutup buku dan enggan lagi menoleh.


"Tumpuan saya kini untuk album baru, Dia...Misha yang dilancarkan April lepas serta perkembangan lakonan. Saya bersyukur kerana hingga kini ia masih kuat dipasarkan," katanya.Bertemu dengan Misha dalam sesi fotografi bersamanya baru-baru ini, benar-benar membuka ruang buat penyanyi Bunga-Bunga Cinta dan Cinta Adam dan Hawa ini meluahkan rasa. Bersahaja dengan sikapnya yang rendah diri dan begitu mudah menyusun cerita, Misha jelas lebih bahagia dan gembira.


Bagaimanapun, Misha menyimpan rasa terkilan kerana promosi album barunya itu tidaklah sekuat mana. Bagi Misha, peminat yang memang menantikan karya barunya tidak pernah berfikir dua kali bagi membelinya. Malah, paling menggembirakan�nya, reaksi mereka juga positif.

"Namun perlu saya akui, kemelut sama yang selalu menghantui ramai penyanyi turut sama saya rasakan. Lagu daripada album itu masih gagal menembusi beberapa stesen radio. Mereka tidak mahu memutarkan dan memberi alasan yang saya fikir begitu longgar. Tapi itulah hakikat dan sebagai seorang penyanyi, apa lagi yang mampu kita lakukan.

"Bagaimanapun, saya tidak kesal walaupun meletak sepenuh komitmen dan fokus kepada pembikinan album itu kerana semua itu adalah tanggungjawab.

"Mungkin ia tidak dimainkan sekarang namun, jika punya peluang dan rezeki lagu itu diputarkan 10 tahun lagi, pendengar akan mengenal pasti identiti saya dalam merakamkan album. Kualitinya begitu kemas dan saya kagum dengan semua pihak yang terbabit dalam proses pembikinan Dia...Misha itu," katanya.

Sejak anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada 6 Januari 1982 ini mencuri tumpuan selepas menjuarai Bintang RTM 2001, pencapaiannya seimbang, tidak terlalu tinggi diangkat atau meraih populariti, tidak juga jauh ke bawah hingga ada yang terlupa.

Tatkala teman seperjuangan lain dalam program nyanyian yang sama hilang entah ke mana, namanya terus kekal berdiri meskipun puluhan wajah baru tumbuh. Empayar seninya terus diperkasa apabila pemenang pelbagai anugerah dan pengiktirafan ini mula menjengah lapangan lakonan pula.

Dalam diam, anak seni yang selesa dengan tiga album penuh dan satu kompilasi ini sudah membintangi dua filem, puluhan drama dan telefilem serta berpeluang ke pentas teater. Ke mana arah yang ingin dituju Misha sebenarnya?

"Alhamdulillah, itulah yang dinamakan rezeki. Saya terima dengan tangan terbuka dan tidak henti melafazkan syukur dengan apa yang diberikan. Mungkin ramai yang tidak tahu, awalnya percubaan dalam lapangan lakonan bukan kerana minat atau ingin mencuba semua aspek seni sebaliknya ini semua bagai tongkat untuk saya terus berdiri.

"Saya seorang yang komited dan tidak boleh duduk diam. Justeru jika ada kelapangan dan tiada undangan persembahan, saya lebih gemar isikan waktu itu dengan aktiviti seni yang lain.

"Mungkin rezeki buat saya lebih banyak kepada lakonan sekarang, untuk apa saya pejamkan mata sedangkan itu juga satu minat yang ada pada saya.

"Minat saya memang dalam nyanyian. Ia sudah menjadi darah daging dan kekal menjadi keutamaan saya. Lakonan adalah sesuatu yang baru dan bertuah kerana diberi peluang menuntut ilmu di pentas teater sebelum ini. Pengarahan emosi dan pemahaman watak itu begitu penting dan kini menjadi semakin mudah untuk saya rasai.

"Namun sejak dulu hingga kini, saya memang mengimpikan untuk menjadi seorang seniman. Itu adalah kiblat yang ingin saya tempuhi. Menjadi terbaik dalam lapangan nyanyian dan kini cuba menjadi yang terbaik sebagai seorang pelakon teater serta drama pula.

"Seniman itu adalah pengiktirafan paling berharga buat anak seni terutama seseorang yang begitu inginkan sandaran itu seperti saya.

"Insya-Allah jika benar laluan ini adalah tersurat buat saya, dengan komitmen dan kesungguhan, ikhlas serta jujur dengan percaturan sendiri, saya akan terus berada di gelanggang ini," katanya tersenyum.

Menyentuh perkembangan terbaru, anak keempat daripada tujuh beradik ini bakal muncul dengan Mak Dara Nyonya di samping pelakon popular lain termasuk Tania Zainal, Sherry Abdullah, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana. Teater sentuhan Siti Rohayah Atan ini akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 6 hingga 12 Julai.

Jelas Misha, Mak Dara Nyonya adalah sebuah naskhah menarik yang penuh warna pada jalan ceritanya. Mana tidaknya, teater ini menggabungkan dua kisah berbeza, perihal si Nyonya dan perjalanan harian Dara yang penuh drama namun disulam komedi sinis.

"Saya begitu kagum dan tidak sabar untuk kembali ke pentas teater kerana pengalaman menghempas-pulas tenaga menghidupkan perwatakan untuk sebuah naskhah pementasan adalah tersendiri.

"Kepuasannya berbeza dan saya sendiri begitu bersemangat untuk membelek skrip Mak Dara Nyonya pula. Alhamdulillah semua pihak membantu terutamanya produksi dan pengarah sendiri.

"Saya cukup berterima kasih kerana diberi kepercayaan sebesar ini. Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti," katanya yang melakonkan watak �Keponakan C.




PROFIL

NAMA PENUH: Samihah Omar
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982
UMUR: 29 tahun
TEMPAT LAHIR: Kota Bharu, Kelantan
KELUARGA: Anak keempat dari tujuh beradik
PENDIDIKAN: SPM
ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004), Misha Omar (2008) dan Dia...Misha (2011)
FILEM: GK3 The Movie dan Main-main Cinta
DRAMA: Julia Juli
TEATER: Muzikal Gamat, Muzikal Uda dan Dara, Muzikal Tun Mahathir dan Mak Dara Nyonya
PENGACARA: Sehati Sejiwa
PENCAPAIAN: Penyanyi Baru Terbaik Anugerah Era 2003, Anugerah Gold Awards Shanghai (2003), Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2003), Vokal Wanita Terbaik Anugerah Era 2004, Juara Hitz 1 (Pulangkan), Juara Lagu 2003 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Bunga Bunga Cinta), Juara Lagu 2005 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Pulangkan), Tempat Kedua Lagu Terbaik pertandingan Hits 1 (Ku Seru), Anugerah Emas dan Platinum album Misha & Aksara dan pemenang Anugerah Industri Muzik ke-16 menerusi kategori Album Pop Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik.

Amy buat kejutan

Posted: 20 Jun 2011 10:02 PM PDT

pix_gal0
Peminat berasa sangat intim dengan cara persembahan vokalis Search

TERBIAS perbezaan pada penampilan Amy Search ketika menjayakan majlis makan malam sempena Hari Bapa anjuran Palm Garden Hotel & Putrajaya Marriott Hotel & Spa.

Selalunya dia bergaya ringkas bersama jeans dan kemeja T, setiap kali membuat persembahan.
Bagaimanapun kali ini bagi menyesuaikan diri dengan majlis, Amy tampil cukup segak dengan sepasang sut merah lengkap bersama sepatu kulit juga dari rona yang sama.
Majlis bagaimanapun bermula agak lewat. Amy muncul kira-kira jam 9.50 malam iaitu selepas perut peminat yang hadir, kenyang dengan hidangan makan malam cita rasa Barat. Sementara menantikan kemunculan Amy, tetamu terlebih dulu dihiburkan dengan celoteh daripada pelakon komedi Dee yang memikul tugas sebagai pengacara pada malam itu.

Manakala penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Ad Azhar pula diberi kesempatan membuka tirai persembahan pada malam itu.

Jejaka itu menghiburkan penonton dengan empat buah lagu iaitu Sedetik Lebih, Sampai Syurga, Dealova dan Bunga Pujaan.

Tidak muncul dari belakang pentas, penyanyi berusia 53 tahun itu memilih kelainan apabila muncul dari pintu masuk Grand Putrajaya Ballroom. Kehadirannya di tengah-tengah dewan membuatkan tetamu yang hadir terkejut dan menjadi tidak tentu arah.
Mereka tidak menduga Amy akan hadir sebegitu dekat, justeru peluang berkenaan digunakan untuk merakamkan gambar bapa kepada lima cahaya mata dan seorang cucu itu.

Persembahan sedemikian adalah yang pertama buat Amy, sebelum ini dia pernah menjayakan persembahan untuk majlis korporat tetapi tidak membabitkan penjualan tiket. Ini adalah yang pertama buatnya dan apa yang membuatkan dia berasa janggal apabila terpaksa muncul sendirian mendendangkan kira-kira 15 buah lagu di dalam sebuah majlis yang formal.

Bangga berstatus datuk

Apa yang membezakan persembahannya pada malam itu dengan majlis korporat yang pernah dijayakan, kata Amy untuk majlis korporat dia selalunya menyanyi antara tiga hingga empat lagu yang disampaikan dengan muzik minus one.

Tetapi pada acara itu pula, dia diiringi pemuzik iringan yang terdiri daripada Edry Hashim (gitar), Kelly (bass), Ujang (dram), Ujang (Bass) dan Roza (Keyboard), disamping tiga penyanyi latar.

Pada usia yang sudah mencecah setengah abad itu, Amy jelas masih bertenaga. Liuk lentok tubuhnya menari mengikut sesuka hatinya adalah antara tarikan yang menghidupkan persembahannya. Dia seakan-akan naik 'syeh' pada rembang malam Jumaat itu.

Amy juga menyatukan peminat dari pelbagai peringkat umur dan pangkat. Pada malam itu, Amy memperkenalkan kepada penonton, peminat setianya yang sentiasa menyokong walau ke mana saja dia pergi.

Peminat itu akan berada di mana saja Amy berada tidak kira ketika dia membuat persembahan di United Kingdom, malah ketika menunaikan umrah, peminatnya itu juga turut serta.

Pada malam itu, Amy kelihatan cukup bangga dengan statusnya sebagai seorang datuk. Kehadiran cucunya Keisha Laila yang sudah pun berusia setahun cukup memberi makna kepada Amy. Jika tidak, masakan berkali-kali dia asyik menyebut statusnya yang kini berpangkat datuk.

"Rahsia saya tidak tua sebab saya tidak suka marah-marah. Isteri juga tahu saya seorang yang 'cool'. Kadang kala dia selalu bertanya, saya tidak sayangkan dia ke kerana saya tidak pernah menunjukkan rasa cemburu. Mungkin sebab itu saya nampak tidak tua walaupun sudah bercucu," kata Amy berseloroh.

Amy membuka tirai persembahan pada malam itu dengan mendendangkan sedikit bait lagu Teguh, dia juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu Saatku Idamkan, Aku Dah Bosan, Rozana, Tiada lagi, Apa Saja, Gelora, Fantasia Bulan Madu, Kerja Gila, Isabella, Laila Majnun, Kejora dan banyak lagi.

Kaia seiras ibu

Posted: 20 Jun 2011 10:01 PM PDT

ANAK MUDA...Kaia bersiar-siar dengan keluarganya di New York minggu lalu.
ANAK MUDA...Kaia bersiar-siar dengan keluarganya di New York minggu lalu.

SUPERMODEL veteran, Cindy Crawford, minggu lalu muncul dengan penuh bergaya bersama suaminya, Randy Gerber, dan anak mereka, Presley Walker dan Kaia Jordan.

Keluarga bahagia itu hadir bersama-sama untuk menyaksikan malam pembukaan drama muzikal Spider-Man: Turn Off The Dark di New York.

  • Foto

    EKSPERIMEN...walaupun masih kecil, penampilan Kaia sentiasa kemas dan bergaya.

  • Foto

    CEPAT BESAR...Cindy, Gerber bersama dua anak mereka, Walker dan Kaia menghadiri malam pembukaan drama muzikal Spider-Man: Turn Off the Dark di New York.

  • Foto

    BERJALAN MALAM...Cindy membawa Kaia keluar untuk makan malam bersama rakannya di Hollywood.

Namun, di sebalik gaya elegan Cindy, anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, Kaia, lebih memukau orang ramai di malam itu.

Dengan bentuk badan yang seiras dan mata coklat seperti Cindy, Kaia jelas membawa imej menonjol dengan gaya tersendiri.


Pada masa sama, Kaia juga dilihat bermain-main dengan peralatan dalam beg mekap ibunya.Kaia kelihatan mengenakan pewarna pada pipinya, selain pelembap bibir dan penghias mata.


Kecenderungan cita rasa fesyen Kaia juga tidak jauh daripada Cindy - mengenakan jeans ketat, baju merah, kasut tanpa tumit dan jaket hitam.

Awal bulan ini, Kaia juga berpeluang menyertai majlis untuk golongan yang lebih dewasa daripadanya, tetapi pemergiannya itu turut ditemani Cindy.

Pasangan ibu - anak itu menikmati sushi bersama rakan supermodel berkenaan di sebuah restoran eksklusif di Hollywood.

Sementara itu, abang Kaia, Walker, 12, turut dilihat jauh lebih matang berbanding usia sebenarnya.

Berbanding imejnya yang gemar memakai baju tanpa lengan yang menampakkan imej kebudak-budakan sebelum ini, tahun lalu Walker mengubah penampilan untuk menjadi lebih dewasa.

Pada 2009, Cindy dan Gerber pernah diperas ugut kenalan bekas penjaga anak mereka selepas sekeping gambar menunjukkan Kaia diikat tangan dan mulutnya diperoleh.

Edis Kayalar mencuri gambar berkenaan - didakwa diambil sebagai sebahagian daripada permainan Kaia di rumah - dan menuntut lebih RM182,000 daripada Cindy dan Gerber jika mereka tidak mahu ia jatuh ke tangan media.

Gerber kemudian bertemu Kayalar - seorang model Jerman - di sebuah bar dan ditunjukkan salinan gambar berkenaan.

Gerber kemudian menyerahkan hampir RM3,000 dan gambar itu pun bertukar tangan.
Namun, Kayalar terus mengugut keluarga Cindy dan membuat pelbagai tuntutan.
Akhirnya, kes itu dirujuk ke mahkamah dan Kayalar dihukum penjara dua tahun pada tahun lalu.

Iqram Cari Calon Isteri Dalam Masa Dua Bulan

Posted: 20 Jun 2011 09:58 PM PDT

Iqram Dinzley

KUALA LUMPUR: Pelakon Iqram Dinzley sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan memberi tempoh kepada dirinya dalam masa dua bulan untuk mendapatkan calon isteri yang sesuai.

Kata Iqram, sudah tiba masanya untuk dia memberi komitmen membina sebuah keluarga dan jika gagal menemui calon yang sesuai, dia akan menyerahkan tugas 'pencarian' itu kepada ibunya.

"Saya sudah bersedia ke arah itu (berkahwin) dan sepatutnya saya mahu menamatkan zaman bujang di usia 30 tahun yang jatuh pada 29 September depan.

"Kerana itu, saya memberi masa kepada diri saya untuk mencari calon isteri yang sesuai dalam jangka masa dua bulan dan jika tidak, ibu saya pula yang akan tolong carikan. Saya percaya, pilihan ibu adalah yang terbaik kerana rumah tangga saya nanti akan direstuinya," katanya.

Tambah Iqram, dia bukanlah seorang lelaki yang terlalu mementingkan soal kecantikan seseorang wanita untuk dijadikan sebagai calon isteri kerana baginya, seorang wanita itu dinilai daripada hati dan bukannya aspek luaran semata-mata.

Iqram dan Fasha bergandingan dalam drama Dewa Cinta

"Jika masih lagi belum ada calon yang sesuai, saya terpaksa memberi ruang masa sehingga umur 32 tahun untuk berkahwin," nekadnya.

Keputusan itu dibuat berikutan kekecewaannya mengenai cinta yang dipendam terhadap pelakon Fouziah Gous selama ini yang tidak berbalas.

"Saya akui bahawa selama ini kami agak rapat dan berkawan baik. Pada masa yang sama, saya juga menaruh hati kepadanya.

"Tapi nak buat macam mana, mungkin kami hanya ditakdirkan sebagai teman rapat sahaja," tuturnya.

Sementara itu, kisah Iqram dengan Fouziah itu dikatakan lebih kurang sama dengan drama yang dibintanginya bersama pelakon Fasha Sandha berjudul "Dewa Cinta" yang akan ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot Akasia, TV3.

Drama yang penuh konflik itu menampilkan penderitaan pasangan yang bercinta tetapi tidak dapat bersatu kerana masalah lain.

"Drama ini ada sedikit persamaan dengan kehidupan realiti saya menagih cinta yang tidak kesampaian, kebetulan pula saya dapat tawaran lakonan ini.

"Bagaimanapun watak saya sebagai Iqbal dalam cerita ini tidaklah sepenuhnya tentang diri saya sebenar," katanya.

Usop Wilcha mantapkan Hot FM

Posted: 20 Jun 2011 09:56 PM PDT

Usop bersama Fara Fauzana, Faizal dan AG akan menggamatkan segmen Hot FM AM Krew.
Usop bersama Fara Fauzana, Faizal dan AG akan menggamatkan segmen Hot FM AM Krew.
Ungkapan 'kita bako' memeriahkan lagi segmen AM Krew

PENAMPILAN Usop Wilcha atau Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail memantapkan lagi segmen Hot FM AM Krew yang ketika ini membariskan Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.

Bahkan kemunculan Usop yang mula dikenali dengan kemunculannya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan gimiknya ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010) pada April lalu, akan menambahkan sengatan bisa segmen radio Lebih Hangat Daripada Biasa.
Usop bersama-sama Faizal, Fara dan AG sudah mula bersiaran di Hot FM sejak 16 Jun lalu. Ini kerana sebelum kehadiran Usop, Hot FM digegarkan dengan spekulasi yang mengatakan Fara atau Fafau bakal meninggalkan stesen radio itu.
Apa pun, sememangnya populariti pelakon komedi berusia 46 tahun ini tidak dapat disangkal lagi. Malahan tidak keterlaluan Usop sudah pun mengumpul peminat sendiri dari usia kecil hingga dewasa dek telatahnya yang cukup menggamit hati untuk terus ketawa.

Ketika sesi sidang media yang berlangsung secara santai di Sanctuary, The Curve baru-baru ini Usop dan trio Hot FM itu ditampilkan dalam keadaan gimik apabila pelakon itu diarak menaiki kerusi roda sebelum acara berlangsung.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul yang hadir memeriahkan majlis itu berkata, Hot FM sentiasa mencari peluang untuk terus memberikan yang terbaik kepada pendengar radio ini.

"Kehadiran Usop akan memberikan dimensi kepada trio am krew dan juga satu kelainan untuk segmen ini. FBI, Fara, Usop dan AG mempunyai personaliti yang berbeza dan kami yakin kombinasi ini akan membuatkan pagi anda "terbako", katanya.
Beliau berkata, apa jua perubahan yang dilakukan Hot FM, ia adalah semata-mata mahu memenuhi serta menghargai pendengar stesen radio ini dengan memberikan yang terbaik, segar dan kreatif.

Bagaimanapun, Seelan menjelaskan kehadiran empat penyampai tidak akan menjadikan konti sesak dan perbualan mereka berkecamuk.

"Saya tidak rasa ia menjadi masalah . Kehadiran semua penyampai ini pada setiap hari ibarat drama pagi kerana masing-masing mempunyai karakter yang berbeza setiap hari.

"Pihak kita juga akan mencari formula bagi menangani keadaan ini bagi penambahbaikan dan mungkin kita akan bersiaran di tempat yang lebih luas," katanya.

Semengara itu, Faizal atau dikenali juga dengan jolokan FBI pula secara berseloroh, berkata kehadiran Usop seakan-akan 'makhluk asing' bagi menjadikan dunia Hot FM AM Krew tampil lebih ganjil dan berbeza.

"Kehadiran Usop menjadikan dunia AM Krew lebih ganjil lagi. Karakter kami selama ini sudah menyerlah, jadi kehadiran Usop adalah satu suntikan segar," katanya ceria.

Fara pula yang diapit tiga kumbang pula, berpendapat untuk mengendalikan program siaran bersama tiga lelaki dalam satu masa tidak memberi masalah kepadanya.

"Tidak ada masalah untuk bersiaran bersama mereka dalam satu masa kerana kesemuanya profesional. Walaupun kenal Usop dalam masa tiga minggu, setakat ini kami tiada masalah," katanya yang sempat mengusik rakan-rakan seperjuangannya itu.

AG pula menganggap penyatuan mereka dalam mengendalikan program pagi itu adalah sebagai satau tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. "Satu peluang untuk kami bekerjasama," katanya ringkas.

Usop yang sentiasa ramah berjenaka bersama para wartawan dan krew Hot FM yang hadir berkata, dia mahu membuktikan umur bukan penghalang untuk dirinya menambat hati remaja dan umur lanjut ada aura tersendiri.

Katanya, dia juga akan terus menggunakan loghat Perak sebagai bahasa komunikasi ketika bersiaran kerana sudah pakar dalam bahasa itu berbanding bahasa negeri lain.

"Saya perlu jaga sensitiviti masyarakat. Jika saya guna bahasa negeri lain dan salah, ia akan menyakitkan hati mereka. Jadi bagi saya yang mempunyai kepakaran dalam bahasa Perak, saya selesa menggunakan loghat negeri ini," katanya.

Pengorbanan tanpa batasan

Posted: 20 Jun 2011 09:55 PM PDT

IBU TUNGGAL...penerima Anugerah Ibu Tunggal, Fatimah (tengah) bersama anak-anak pada majlis Anugerah Hari Ibu Harian Metro 2011.
IBU TUNGGAL...penerima Anugerah Ibu Tunggal, Fatimah (tengah) bersama anak-anak pada majlis Anugerah Hari Ibu Harian Metro 2011.

MEREKA wanita hebat juga ibu cemerlang. Mempunyai kisah dan cerita menarik untuk diselami yang tentunya memberi inspirasi kepada sesiapa saja.

Seramai 12 peserta dengan empat kategori iaitu Ibu Tunggal, Mithali, Kerjaya dan Amal diraikan dalam majlis gilang-gemilang Anugerah Hari Ibu Harian Metro-Softlan 2011 yang diadakan di Hotel Holiday Villa Subang, kelmarin.

  • Foto

    MASAK...pemenang pertandingan memasak dari kanan, Norashfareena Ibrahim, 14, Nurul Hikmah Abd Wahab,14, dan Khairiyah Amira Kamarusin, 17.

  • Foto

    SAYANG...aksi menarik peserta pertandingan fesyen ibu dan anak yang mendapat perhatian penonton.

  • Foto

    FESYEN...Azian Mazwan Safuan turut menyertai pertandingan fesyen ibu dan anak dan mendapat tempat pertama.

  • Foto

    GUBAH BUNGA...pemenang tempat ketiga Mohd Erwan Othman khusyuk menggubah bunga sambil dibantu isteri Nurdina Samsuri.

  • Foto

    IBU AMAL...Azlina (duduk) bersama keluarga pada majlis Anugerah Hari Ibu Harian Metro 2011.

  • Foto

    IBU KERJAYA...penerima Anugerah Ibu Kerjaya, Seri Dewi (lima dari kiri) bersama keluarganya.

  • Foto

    IBU MITHALI...Esah (tengah) penerima Anugerah Ibu Mithali bersama anak-anaknya.

  • Foto

    BEGINI CARANYA...Shila Lama memberi tunjuk ajar kepada peserta ketika sesi latihan pertunjukan fesyen ibu dan anak.

Setiap kategori diwakili tiga peserta dan setiap peserta mempunyai latar belakang membanggakan dalam bidang masing-masing.

Bagi pemenang kategori Ibu Tunggal, Fatimah Adnan, 76, dia tidak pernah mengharapkan balasan daripada anak-anaknya walaupun semua anaknya seramai 11 orang) berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dan memegang jawatan penting.


Ini kerana walau bagaimana susah payah sekali pun membesarkan anak-anak, semua itu harus dilakukan kerana tekadnya cuma satu ingin melihat anak-anak berjaya di dunia dan akhirat.


Menurut Fatimah, tiada rahsia kejayaan membesarkan anak-anak cuma perlu sabar dan ikhlas kerana Allah. Dia turut mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran ke atas ubun-ubun anaknya pada setiap malam ketika mereka masih kecil dan mendoakan kejayaan mereka dalam pelajaran.

Paling penting setiap pagi sebelum ke sekolah dia akan menepuk-nepuk belakang anak, kemudian berkata, 'pandang wajah ibu, belajar bersungguh-sungguh dan jangan hampakan harapan ibu.'

"Kata-kata ini memang saya lafazkan setiap kali mengiring anak-anak ke sekolah sehinggalah mereka melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

"Malah, walaupun mereka sudah mendirikan rumah tangga saya masih mendoakan kejayaan serta kebahagiaan mereka," katanya yang kematian suami pada 1987.

Walaupun sudah lanjut usia, Fatimah masih kuat ke kebun menoreh getah sekadar ingin mengeluarkan peluh dan mengambil tempahan kuih tradisional serta aktif mengikuti aktiviti kemasyarakatan seperti kumpulan Yasin dan marhaban di kampung.

Esah Daud, 61, pemenang kategori Ibu Mithali mengakui hingga saat ini dia masih terkilan dan terkenangkan saat ketika tidak mampu membelikan sebatang aiskrim untuk anaknya.

Ketika itu hidupnya susah, duit sangat berharga dan hanya digunakan untuk membeli keperluan penting saja.

"Apabila melihat dua anak yang masih kecil hanya mampu memandang kawan-kawan menikmati ais krim saya hampir menitiskan air mata.

"Namun saya pujuk hati dan kuatkan semangat untuk mendidik anak-anak menjadi insan berguna supaya mereka tidak merasa kesusahan seperti mana saya alami dulu," katanya.

Kejayaan mendidik 13 anak sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi adalah kerana dorongan daripada diri sendiri untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

"Walaupun hidup susah, dengan pendapatan suami yang tidak seberapa namun saya tekad mahu anak-anak mengubah nasib keluarga dan menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.

"Saya sentiasa memberi tumpuan pada pelajaran mereka, biar tidak makan, tetapi pelajaran tetap diutamakan," katanya yang dua anak sudah meninggal dunia.

Seri Dewi Mohd Ibrahim, 48, pemenang kategori Ibu Berkerjaya memberitahu bijak membahagikan masa dan mampu membezakan di antara perkara peribadi dan kerjaya adalah prinsip yang diamalkan sehingga dia berjaya bukan saja sebagai ibu mendidik anak-anak, malah guru besar cemerlang.

Buktinya pada 2010 dia mampu menaikkan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 menjadi sekolah contoh di Kelantan kerana mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila 87 muridnya berjaya memperoleh 5A.

"Dalam hal ini saya bertindak mengikut situasi saya boleh menjadi guru yang garang dan tegas, rakan dan ibu kepada pelajar-pelajar di sekolah. Apa yang penting saya sentiasa menerapkan sikap toleransi dengan semua pelajar dan menggunakan pendekatan berhemah," katanya yang menerima Anugerah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Guru Besar Cemerlang pada 28 Februari 2010 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohammad Yassin.

Sebagai ibu dan juga isteri, Seri Dewi mendapat sokongan kuat daripada suami yang banyak membantu terutama dari segi memberi didikan kepada anak-anak.

Dia juga meneruskan kesinambungan ibunya pada 2008 yang pernah menerima Anugerah Ibu Mithali Harian Metro.

Bersyukur dengan setiap kurniaan Allah walaupun cacat namun setiap daripada mereka mempunyai kelebihan masing-masing.

Itulah kata-kata azimat pemenang anugerah kategori Ibu Amal Azlina Mohamed Isa, 45, yang sanggup memberikan kelas tambahan percuma kepada pelajar pekak berbangsa Melayu, Cina dan India di rumahnya.

Bagi Azlina, setiap orang mempunyai potensi diri masing-masing. Sekiranya diberi tunjuk ajar dan bimbingan tidak mustahil mereka mampu mencipta kejayaan tersendiri.

"Saya terkesan apabila melihat golongan istimewa ini yang tentunya memerlukan dorongan daripada orang lain. Dengan pendidikan yang ada saya mahu menghulurkan bakti setakat termampu," katanya yang turut menjalankan khidmat penterjemahan percuma kepada pihak polis bagi kes jenayah seksual membabitkan golongan pekak dan bisu serta membuat penterjemahan percuma untuk kursus bina insan.

Selain pemenang empat kategori utama, turut dipilih Anugerah Khas Softlan Love dimenangi Jamilah Bujang, 40, yang turut tercalon untuk Ibu Amal. Dia baru saja kehilangan anaknya Iqbal Fahreen, 4, akibat penyakit jantung. Sepanjang di Institut Jantung Negara (IJN), Jamilah bukan saja menjaga anaknya malah membantu rakan-rakan lain dengan cara tersendiri.

"Saya memasukkan cerita anak-anak yang kurang bernasib baik di dalam akhbar dan majalah dengan harapan kisah ini mendapat perhatian masyarakat dan kita sama-sama membantu meringankan bebanan mereka," katanya. Acara gilang-gemilang ini dirasmikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Dalam ucapan perasmian Mustapa berkata Anugerah Hari Ibu Harian Metro-Softlan 2011 diadakan sebagai pengiktirafan jasa dan pengorbanan ibu dalam empat kategori iaitu Ibu Tunggal, Mithali, Kerjaya dan Amal yang setiap satunya mempunyai kriteria tertentu.

"Ibu Mithali pemenang dipilih berdasarkan pengorbanan ibu dan pencapaian keseluruhan ahli keluarga, Ibu Kerjaya mengetengahkan wanita berjaya dalam kerjaya yang berjaya menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan keluarga.

"Kategori Ibu Tunggal memberi pengiktirafan kepada wanita yang mampu mendidik anak-anak sehingga berjaya tanpa suami di sisi manakala Ibu Amal memberi pengiktirafan kepada wanita yang banyak menabur jasa dalam melakukan kerja kebajikan demi untuk kepentingan orang lain," katanya.

Mustapa berharap penganugerahan berkenaan menjadi pemangkin kepada semua wanita untuk menjadi yang terbaik kepada keluarga.

Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Sdn Bhd, Chris Pikhonis dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail dan Pengarang Wanita Harian Metro, Rahayu Mohamad Salleh.

Selain pemenang hadiah utama, antara lapan peserta akhir yang turut tercalon ialah Che Su Arifin, 65, yang mewakili Ibu Tunggal berjaya mendidik enam anaknya menjawat jawatan penting dalam syarikat antaranya eksekutif, akauntan, guru dan eksekutif bioteknikal.

Embun Md Chakali, 63, pula yang hanya berbekalkan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjaya membesarkan anaknya walaupun dalam serba kepayahan bergelar ibu tunggal.

Bagi kategori Ibu Mithali, Kudsiah Omar, 70, kesabaran serta semangat adalah kunci utama sehingga dia berjaya membesarkan 14 anak, 10 anak berjaya memegang jawatan penting antaranya jurutera, pensyarah, guru, ustazah manakala seorang masih menuntut dan dua meninggal dunia. Begitu juga dengan Rohana Ibrahim, 55, walaupun tidak berpelajaran namun dia mampu memberi pendidikan sempurna kepada sembilan daripada 12 anaknya sehingga berjaya ke menara gading.

Noriah Bakar, 54, dan Norzita Yunus, 34, mewakili kategori Ibu Berkerjaya turut mempunyai pencapaian hebat dalam kerjaya masing-masing. Noriah Bakar pernah menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia 1999 manakala Norzita bergelar dekan termuda pada usia muda 34 tahun manakala bagi anugerah Ibu Amal diwakili oleh Roslida Che Wail, yang menubuhkan rumah perlindungan Nur Qaseh untuk kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

Pemenang utama bagi setiap kategori menerima wang tunai RM5,000, pakej percutian ke Bali untuk dua orang, barangan elektrik, plak anugerah, hamper barangan Softlan dan jambangan bunga. Selain itu seramai lapan peserta akhir dan Anugerah Khas Softlan Love menerima wang tunai RM1,000 dan barangan elektrik.

Majlis turut diserikan dengan pertandingan fesyen ibu dan anak yang disertai 10 peserta dengan gaya tersendiri.

Pemenang pertama dimenangi Azian Mazwan Safuan dan anaknya Anastasia Zayra, 5, tempat kedua Nurhayati Muhamad dan anaknya Wan Nurazra Marsya, 10, manakala Ramlah Zainal dan anaknya Nur Lovelyana, 5, mendapat tempat ketiga.

Masing-masing menerima hadiah tajaan Avon.

Selain itu, pada sebelah pagi turut diadakan pertandingan memasak anak untuk ayah serta gubahan bunga suami kepada isteri.

Pertandingan memasak dimenangi oleh Norashfareena Ibrahim,14, Nurul Hikmah Abd Wahab,14, dan Khairiyah Amira Kamarusin, 17, yang masing-masing menerima hamper dan dapur gas.

Gubahan bunga suami untuk isteri pula dimenangi oleh Morshidi Madi, Muhammad Hafiz Hussin dan Mohd Erwan Othman. Turut menerima hadiah dua pemenang khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu Rohayu Hamzah dan Norhisham Idris yang menerima pakej percutian ke Australia.

Majlis diserikan dengan nyanyian Nora dan Haiza sebagai pengacara majlis.

KL Gangster Cecah RM10.3 Juta, Yusof Akur Idea Syamsul

Posted: 20 Jun 2011 09:53 PM PDT

Aksi Syamsul dalam KL Gangster sebagai Shark.

PETALING JAYA: Kejayaan KL Gangster sebagai filem Melayu paling tinggi mengutip sebanyak RM10.3 juta selepas 10 hari ditayangkan di 80 buah pawagam seluruh negara sejak 9 Jun lalu amat membuka mata banyak pihak.

Pengarah Urusan Skop Production dan penerbit filem tersebut, Datuk Yusof Haslam, akur dengan idea anaknya Syamsul selaku pengarah filem itu walaupun sebelum ini mereka selalu bertelingkah pendapat.

"Saya kena akur bahawa Syamsul lebih memahami selera penonton hari ini. Saya sudah berusia 57 tahun dan idea saya mungkin agak lama kerana memikirkan filem yang hanya boleh melepasi Lembaga Penapis Filem.

"Bagaimanapun, saya bangga dengan dirinya yang berani membuat pembaharuan dan mahu keluar daripada kepompong. Itu saya katakan dari konteks filem. Tetapi saya rasa filem KL Gangster kurang sesuai untuk dijadikan siri televisyen dan tidak akan membenarkan Syamsul mengadaptasi filem itu kepada drama," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Filem itu menewaskan sebuah lagi filem tentang gengsterisme berjudul Kongsi yang mengutip RM8.4 juta setelah ditayangkan pada bulan lalu.

Yusof yakin kutipan filem itu akan meningkat sehingga RM12 juta jika terus ditayangkan sehingga hujung minggu ini.

Filem ini turut dilakonkan oleh Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan (Raja Lawak), Adam Corrie Lee, Soffi Jikan dan Sheera Iskandar.

Memikirkan tentang perancangan selanjutnya tentang filem ini, Syamsul bakal mengarah filem KL Gangster 2 (Prekuel), iaitu kesinambungan cerita yang akan mengimbas semula di sebalik cerita dan konflik yang berlaku sebelum itu.

Kata Yusof, anaknya sedang dalam proses penyediaan skrip dan perancangan rapi tentang filem aksi itu.

"Setelah mendapat respons positif daripada pengedar filem dari Thailand, kemungkinan filem ini akan dipasarkan ke sana dan bakal menggunakan khidmat pelakon dari negara itu untuk prekuel filem KL Gangster.

"Selain itu, kami akan mencuba mencari pasaran negara lain seperti Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun, semuanya masih di peringkat perbincangan," katanya lagi.

Filem ini turut memecah rekod filem Melayu pertama yang mengutip RM1.5 juta selepas ditayangkan di 80 pawagam tempatan pada hari pertama tayangan.

Kos pembikinan dan promosi filem ini membelanjakan sebanyak RM2 juta.

G-20 kukuh, raih pendapatan RM22.1b

Posted: 20 Jun 2011 09:52 PM PDT

AZMAN (kiri) bersama Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin pada sidang media di The Royale Bintang, The Curve, Mutiara Damansara, semalam.
AZMAN (kiri) bersama Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin pada sidang media di The Royale Bintang, The Curve, Mutiara Damansara, semalam.
Laba dijangka catat peningkatan 27 peratus berbanding RM17.3 bilion diraih tahun lalu

KUMPULAN 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama di bawah Khazanah Nasional Bhd atau dikenali sebagai G-20, berada pada landasan kukuh untuk meraih pendapatan bersih RM22.1 bilion pada tahun kewangan 2011, iaitu peningkatan 27 peratus atau RM4.8 bilion berbanding RM17.3 bilion yang diraih tahun lalu.

Jangkaan peningkatan itu bersandarkan kepada pengukuhan operasi dan prestasi semasa perniagaan G-20 itu sejajar persekitaran positif ekonomi tempatan dan global.
Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) berkata, jangkaan pencapaian G-20 itu turut menggambarkan prestasi korporat tempatan sudah bertambah baik apabila ekonomi kini kembali berada pada landasan kukuh.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd yang juga Ketua Sekretariat PCG, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata perangkaan sehingga hari ini menunjukkan bahawa prestasi G-20 itu adalah menggalakkan seiring dengan pertumbuhan syarikat bukan G-20 yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Berdasarkan pada data analisis dalaman dan ditambah dengan pengukuhan operasi semasa perniagaan Kumpulan G-20, kami yakin unjuran pendapatan bersih sebanyak RM22.1 bilion dalam tahun kewangan 2011 mampu dicapai.

"Meskipun sumbangan kepada peningkatan (pendapatan bersih) itu dijana dalam pelbagai sektor perniagaan, namun kami yakin GLC yang terbabit dalam perniagaan perbankan dan perladangan akan muncul sebagai penjana utama," katanya kepada media sempena pelancaran Hari Terbuka GLC di Kuala Lumpur, semalam.

Antara lain, G-20 terdiri daripada Affin Holdings, Axiata Group, BIMB Holdings, Boustead, CIMB Group, Chemical Company of Malaysia, Penerbangan Malaysia (MAS), Malaysia Airports Bhd, MRCB, Maybank, Proton Holdings Bhd, Sime Darby Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, TH Plantations, UEM Group dan UMW Holdings.
Hingga 3 Jun lalu, nilai modal pasaran G-20 itu melonjak lebih sekali ganda kepada RM355 bilion daripada RM159 bilion sejak program transformasi GLC dilancarkan pada 2004.

Tahun lalu, nilai modal pasaran G-20 adalah RM252 bilion, meningkat 65.8 peratus daripada RM152 bilion yang dicatatkan sebelumnya.

Azman berkata, pengukuhan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi itu turut memberikan pelbagai manfaat ketara kepada pemegang saham, pelanggan, pembekal, kakitangan syarikat serta masyarakat.

"G-20 kini berada dalam landasan pertumbuhan dan menyumbang kepada ekonomi negara. Mereka juga maju ke depan dalam mencapai sasaran untuk muncul sebagai syarikat utama di rantau ini.

"Semua ini bersandarkan kepada fakta yang mana tiga daripada G-20 itu, iaitu CIMB Bank, Maybank dan Axiata sudah berada di posisi untuk muncul sebagai peneraju pasaran di rantau ini," jelasnya.

Nabila Huda Tak Percaya Bomoh

Posted: 20 Jun 2011 09:50 PM PDT

Nabila Huda enggan memikirkan perkara-perkara tahyul

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda menganggap seseorang yang mempercayai bomoh adalah satu perbuatan yang karut.

Nabila berkata, kepercayaan segelintir masyarakat yang menganggap bomoh mampu mengetahui perkara yang berlaku di alam ghaib dan meramalkan sesuatu perkara adalah perkara yang pelik.

"Saya tetap tidak mempercayai bomoh walaupun ada beberapa rakan saya mendakwa terkena 'buatan orang' tetapi saya tetap menganggap ia satu kepercayaan yang karut dan saya tidak mempercayainya. Saya juga enggan mengambil tahu tentang kemahiran seseorang bomoh," katanya.

Tambah Nabila, walaupun begitu anak kepada Amy Search ini masih lagi mempercayai perkara-perkara berkaitan makhluk halus.

"Dalam Islam sudah tertulis bahawa wujudnya makhluk halus dan saya mempercayainya.

Nabila, Azam Pitt dan Wan Sharmila bergandingan dalam drama Si Jundai.

"Tetapi saya tidak mahu memikirkan perkara tersebut kerana ia boleh membuatkan saya berimaginasi benda-benda yang menakutkan" ujarnya.

Walaupun tidak mempercayai khidmat bomoh, hal itu tidak menjejaskan untuk Nabila menghayati watak sebagai seorang pelajar kolej yang mempunyai ilmu dukun menerusi drama baru, "Si Jundai", terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Kata Nabila, dalam drama tersebut dia melakonkan watak sebagai Desi, yang mempunyai jiwa hasad dengki dan dendam yang tebal dan cuba menggunakan ilmu bomoh yang diwarisi daripada keluarganya menghancurkan hidup adiknya sendiri.

"Watak Desi yang memiliki ilmu mengubati pesakit sememangnya mencabar buat saya yang tidak mempercayai perkara tahyul itu.

"Bagaimanapun, saya berjaya melakukannya dan ia merupakan sebuah watak yang sukar untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi saya perlu menghafal beberapa mantera yang bunyinya kedengaran sedikit pelik," selorohnya.

Drama yang bakal disiarkan pada Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang, menerusi slot Legenda itu turut dibarisi pelakon Azam Pitt, Wan Sharmila, Faralyna dan Tasha Shilla.

Wan Sharmila Fobia Kahwin Semula

Posted: 20 Jun 2011 09:49 PM PDT

Wan Sharmila

KUALA LUMPUR: Kegagalan perkahwinan yang dilalui oleh pelakon Wan Sharmila Wan Muhammad, 30, telah memberi kesan yang mendalam apabila dia berasa fobia untuk berkahwin semula.

Menurut Wan Sharmila, penceraiannya dengan bekas suami, Fazli Bahrom pada 23 Oktober 2009 meninggalkan kenangan pahit dan hal tersebut membuatkan dia lebih selesa hidup solo selain mempunyai jadual yang padat.

"Diakui saya sedikit fobia dan belum berani untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang kerana kegagalan rumah tangga yang dibina sebelum ini memberi keraguan untuk saya berkahwin buat kali kedua.

"Sampaikan apabila melihat rakan-rakan yang baru hendak berkahwin membuatkan saya pula yang rasa takut dengan perkahwinan mereka itu," katanya.

Tambah Wan Sharmila, memegang status janda tidaklah berat untuk ditanggung seperti yang diperkatakan ramai kerana sehingga hari ini dia tidak pernah merasakan dirinya pernah berkahwin dan pernah bercerai.

Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk berkahwin semula jika satu hari nanti dia dijodohkan dengan seorang lelaki yang sesuai dengannya.

"Walaupun mempunyai perasaan fobia, sebagai seorang perempuan sudah semestinya saya mahu memiliki seorang suami yang boleh membimbing saya dan pada masa sama saya juga teringin untuk memiliki zuriat.

"Cuma sekarang ini saya belum mempunyai teman lelaki walaupun ada yang cuba datang untuk mendekati saya. Sekarang ini, karier adalah fokus utama," ujarnya yang membintangi drama "Si Jundai" yang disiarkan pada Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang, menerusi slot Legenda, TV3.

Ketika ditanya adakah pelakon itu akan kembali bersama bekas suaminya, pelakon wanita itu memberitahu lebih selesa jika hubungan mereka sekadar berkawan sahaja.

Henti tembak binatang liar

Posted: 20 Jun 2011 09:46 PM PDT

HAIWAN liar seperti anjing dan kucing didakwa dimatikan dengan cara tidak berperikemanusiaan termasuk ditembak.
HAIWAN liar seperti anjing dan kucing didakwa dimatikan dengan cara tidak berperikemanusiaan termasuk ditembak.
Haiwan ditangkap ditahan 7 hari, cara 'mematikan' lebih perikemanusiaan

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tiga bulan lalu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan haiwan, termasuk Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA), menerima banyak aduan orang ramai berhubung cara pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah haiwan liar berkeliaran di Lembah Klang.

Ini kerana, haiwan liar seperti anjing dan kucing didakwa dimatikan dengan cara tidak berperikemanusiaan termasuk ditembak di lokasi haiwan itu ditemui berkeliaran.
Bagaimanapun, masalah itu akan selesai dalam masa terdekat apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan arahan supaya haiwan liar yang ditangkap perlu ditahan selama tujuh hari dan jika tidak dituntut dalam tempoh itu, pihak terbabit boleh 'mematikan' haiwan berkenaan menerusi suntikan maut atau kaedah lain yang berperikemanusiaan.
Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata, beliau akan memberikan arahan bertulis kepada semua PBT untuk mengikuti garis panduan baru itu, sejajar dengan proses pindaan undang-undang kecil bagi pelesenan anjing mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang sedang berjalan.

"Mulai hari ini (semalam), KPKT akan arah dan memaklumkan kepada PBT termasuk di kawasan Lembah Klang supaya lebih bertanggungjawab dalam cara mereka 'mematikan' haiwan liar yang ditangkap," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan NGO pro-haiwan, semalam.

Beliau berkata, pindaan kepada undang-undang kecil itu antara lain menyentuh aspek pelesenan bagi haiwan peliharaan dan kaedah menguruskannya dengan lebih berperikemanusiaan.

Katanya, ada cadangan pemberian lesen yang dikelaskan kepada haiwan yang 'dikembiri' dengan haiwan yang 'tidak dikembiri' bagi mengelak pembiakan populasi haiwan secara tidak terkawal.
Sementara itu, Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin berkata, masalah kekejaman haiwan perlu ditangani secara serius kerana mereka yang mendera haiwan cenderung untuk mendera manusia.

"Penderaan haiwan berlaku lima kali lebih teruk daripada penderaan manusia, malah mereka yang menjadi pendera, bermula dengan mendera haiwan," katanya.

Penasihat Jawatankuasa Penyelaras NGO Menjaga Kebajikan Haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, pihaknya akan menganjurkan kempen menentang kezaliman haiwan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam, terutama pemilik haiwan.

"Kita juga menggesa supaya pindaan Akta Haiwan 1953 bagi mengenakan hukuman berat kepada mereka yang melakukan kekejaman haiwan dipercepatkan," katanya.

Karyawan Sokong SKMM Sekat Laman Web Haram

Posted: 20 Jun 2011 09:46 PM PDT

Freddie Fernandez bersama artis dan pemuzik tanah air.

KUALA LUMPUR: Selepas Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pula tampil bagi menujukan sokongan terhadap tindakan kerajaan menyekat beberapa laman portal yang menawarkan khidmat muat turun kandungan kreatif secara haram.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan membanteras laman web haram bagi membantu perkembangan industri seni tanah air.

"Kami mewakili pelbagai pihak dalam industri ini tidak mahu kerajaan menarik balik tindakan yang telah diambil berikutan beberapa bantahan dan ugutan daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap pengharaman itu.

"Kami sudah terlalu lama menunggu tindakan sewajarnya diambil kepada mereka yang tidak bertanggungjawab yang membunuh masa depan industri seni tanah air ini," ujarnya pada sidang media din sini, Isnin bagi menyokong tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat beberapa laman portal muat turun haram.

Baru-baru ini, SKMM telah mengenakan tapisan Internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail antarabangsa sehingga menyebabkan beberapa laman web kerajaan dan hiburan digodam.

Tambahnya, usaha ini dapat membantu perkembangan industri hiburan tempatan yang semakin kritikal akibat daripada masalah cetak rompak dan muat turun secara haram ini.

"Industri hiburan kita kecil dan dengan adanya lanun-lanun seperti ini lebih memburukkan lagi keadaan.

"Karya yang dibuat oleh pemuzik tempatan dengan sewenang-wenangnya dicuri oleh lanun-lanun ini, malah jika dilihat secara mata kasar pemuzik-pemuzik tempatan sudah tidak mampu untuk berkarya kerana tidak mendatangkan hasil," ujarnya.

Kata Freddie, tindakan ini seharusnya bukan sahaja disokong oleh keseluruhan penggiat seni tanah air malah kesedaran kepada masyarakat awam.

Hadir sama, pada majlis tersebut beberapa artis dan pemuzik tanah air seperti Fazli Zainal, Salwa Adbul Rahman, Izwan Pilus dan Aznan Alias.

Bapa Lindsay Lohan Kemalangan

Posted: 20 Jun 2011 09:45 PM PDT

Micheal Lohan

BAPA penyanyi Lindsay Lohan, Micheal Lohan terlibat dalam sebuah kemalangan pada Jumaat lalu selepas sebuah bas melanggar kereta jenis Jaguar yang dipandunya.

Seperti dipetik TMZ.Com, kejadian tersebut disaksikan sendiri oleh wartawan TMZ, Mike Walters yang ketika itu berada ditempat kejadian.

"Micheal telah berada hampir dengan lampu isyarat dan pada waktu itu datang sebuah bas yang cuba memotongnya namun tidak berhasil. Bas tersebut telah melanggar bahagian sisi kereta bapa penyanyi tersebut," katanya.

Bagaimanapun, bapa bintang Mean Girls itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

JPA sedia temui CUEPACS

Posted: 20 Jun 2011 09:44 PM PDT

pix_gal0
Pelaksanaan penuh PROSPEK berkuat kuasa 1 Januari 2012

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia berbincang dengan CUEPACS sebelum mengeluarkan surat pekeliling berhubung pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, setakat ini enggan mengulas mengenai lima tuntutan baru yang dikemukakan CUEPACS sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Sambil menjelaskan perkara itu perlu diteliti serta dibincangkan dengan pegawainya terlebih dulu, beliau berkata, PROSPEK hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.
Justeru, beliau berkata, JPA kini dalam proses memberikan taklimat dan penerangan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan berhubung PROSPEK, termasuk garis panduan yang sudah ditetapkan.

"Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada Januari lalu adalah berasaskan peperiksaan, tetapi PROSPEK tidak ada peperiksaan, sebaliknya garis panduan.

"Sehubungan itu, JPA memperkenalkannya kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mereka membentuk suatu penilaian berasaskan PROSPEK bersesuaian dengan keperluan skim perkhidmatan masing-masing," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar semalam melaporkan CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JPA mengenai PROSPEK bagi menggantikan PTK berkuat kuasa 1 Julai depan, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Tuntutan utama supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK.

Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai CUEPCAS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan juga isu berkaitan, serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Nuri, Anees, Ahmad ubah personaliti saya - Hazman

Posted: 20 Jun 2011 09:43 PM PDT

Ciuman mesra daripada dua anak gadis Hazman sempena Hari Bapa.

STATUS sebagai bapa tunggal tidak pernah membuatkan Hazman Halid berasa tertekan untuk membesarkan tiga anaknya dengan penuh kasih sayang dan perhatian walaupun menyedari tidak dapat memberikan suasana yang sempurna untuk mereka.

Menganggap itu adalah cabaran paling besar bergelar bapa tunggal, Hazman yang berkahwin pada usia 24 tahun bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran Nuri Isfahana, 15, Anees Enrina, 14 dan Ahmad Arif, 12, sebagai pelengkap hidupnya.

"Sudah tentu banyak cabaran bergelar sebagai seorang bapa tunggal terutamanya apabila mengetahui saya tidak akan dapat memberikan suasana seperti keluarga normal yang lain," katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Menyingkap sejarah ketika mula-mula bergelar bapa, Hazman, 40, yang bertugas sebagai jurutera perisian memberitahu, ketika anak sulungnya dilahirkan usianya baru menjengah 25 tahun dan menganggap ia sebagai kurniaan Tuhan paling terbaik dalam hidupnya.

Pada usia muda, dia mula belajar mengenal rasa tanggungjawab dan kasih kepada anak-anak. Mulai saat itu juga katanya, perhatiannya tentang kehidupan telah berubah dan hanya memikirkan mengenai anak-anak untuk membentuk masa depan mereka.

"Sebelum mendapat cahaya mata sendiri saya tidak biasa dengan kanak-kanak kerana saya adalah anak bongsu dalam keluarga. Namun selepas Nuri dilahirkan dia telah mengubah personaliti diri saya yang sebelum ini agak lasak dan suka menunggang motosikal tanpa memikirkan keselamatan diri saya.

"Hampir setiap tahun saya mengalami kecederaan tetapi kehadiran anak-anak telah mengubah cara saya melihat kehidupan dan lebih berhati-hati demi anak-anak," katanya.

Tidak mengimpikan apa-apa pemberian istimewa daripada Nuri, Anees dan Ahmad sempena Hari Bapa, Hazman cuma berharap hari istimewa itu dapat dikongsi bersama dengan aktiviti seperti makan malam dan bersiar-siar di ibu kota dengan anak-anaknya.

Dan sempena hari itu juga, apa yang paling penting bagi Hazman adalah dia berharap telah melakukan langkah yang betul dalam membesarkan tiga cahaya matanya yang kini telah meningkat remaja.

"Sudah tentu impian setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak-anak menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat," katanya.

Hazman dan anak-anaknya (dari kiri) Nuri, Ahmad dan Anees.

Nuri, Anees dan Ahmad membanggakan

Galak bercerita mengenai tiga cahaya matanya, Hazman memberitahu setiap anaknya mempunyai keistimewaan dan personaliti tersendiri selain berperwatakan seperti remaja yang lain.

Anak sulungnya, Nuri, cemerlang dalam akademik dan keputusan peperiksaan yang keluar baru-baru ini telah membuatkan Hazman bangga dengan anak gadisnya itu.

"Nuri mendapat keputusan terbaik dalam kelas untuk subjek Geografi pada peperiksaan baru-baru ini malah saya sendiri sudah lupa berapa banyak penghargaan yang telah diterimanya," ujarnya yang begitu berbangga dengan pencapaian Nuri.

Manakala anak keduanya, Anees disifatkan sebagai seorang yang berani dan mempunyai sifat yang cekal dan tidak takut pada perkara-perkara yang kebiasaannya ditakuti oleh gadis biasa sepertinya.

Ahmad anak bongsu yang juga anak lelaki tunggal Hazman pula banyak mengikut sifat bapanya dalam pelbagai segi selain gigih dalam sukan badminton.

"Paling membanggakan saya mengenai mereka adalah walaupun dibesarkan di Detroit, Amerika Syarikat mereka masih mengekalkan tatatusila ketimuran dan adat sopan sebagai seorang anak jati Melayu," ujarnya yang turut memberitahu anak-anaknya dapat menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik.

Menurut Hazman dia bertuah kerana anak-anaknya akan bersamanya lebih kurang empat hari dalam seminggu. Masa yang ada itu digunakan sebaik-baiknya untuk bersama mereka dan jika sibuk di pejabat, Hazman akan memastikan dia mencuri masa untuk berkongsi bersama mereka.

Liberal dalam mendidik anak-anak

Berkongsi pandangan mengenai cara dia mendidik anak-anaknya, Hazman berkata dia tidak mahu terlalu menekan anak-anak, sebaliknya lebih bersikap liberal kerana percaya cara itu dapat memupuk mereka supaya mempunyai identiti dan arah tujuan hidup tersendiri.

Bukan tidak menyayangi atau mengambil berat mengenai mereka, tetapi menurut Hazman cara itu dapat mendidik anak-anaknya supaya membiasakan diri untuk berfikir dan menentukan apa yang baik dan buruk.

"Saya sedar saya tidak boleh berada di samping mereka selama-lamanya, sebagai bapa saya hanya menunjukkan arah yang betul dan membimbing serba sedikit kerana akhirnya mereka sendiri yang menentukan apa yang terbaik buat diri mereka," ujarnya.

Kekal aktif demi anak-anak

Posted: 20 Jun 2011 09:43 PM PDT

Thanuja dan bapanya sama-sama gemarkan ais krim.

USIANYA kini mencecah 67 tahun namun masih bersemangat dan aktif. Alasannya mudah, dia mahu kekal sihat untuk terus memberikan sokongan kepada empat cahaya mata yang menjadi nyawanya.

Bapa kepada Miss World Malaysia 2009/2010, Thanuja ini berulang kali memberitahu bahawa dia begitu sayangkan anak-anaknya dan ingin menjaga mereka selagi nyawa dikandung badan.

"Saya sangat sayangkan mereka dan akan terus menyayangi mereka tidak kira semasa susah atau senang dan akan menjaga mereka sebaik mungkin walaupun mereka semua telah besar dan mempunyai kehidupan sendiri," ujar Ananthan ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Teruja dengan temubual pertama bersama anaknya pada hari itu, Ananthan ketika menceritakan rahsia awet mudanya berkata, pengambilan makanan sihat dan senaman secara konsisten adalah dua elemen penting demi mengekalkan kesihatannya.

"Walaupun saya gemar makan aiskrim, tetapi saya mengimbangkan amalan pemakanan secara sihat dengan mengambil banyak sayur-sayuran dan melakukan aktiviti joging setiap hari," ujarnya sambil diperhatikan oleh anaknya, Thanuja.

Pernah menetap di London dan Ireland bersama dua anaknya yang menetap di sana selepas bersara, Ananthan berkata, walaupun seronok dapat bertemu anak-anak tetapi kehidupan menjadi bosan dan dia mengambil keputusan untuk kembali bekerja.

Bertugas sebagai konsultan di sebuah firma di ibu negara, Ananthan berkata, walaupun usianya telah lanjut tetapi bekerja dapat membuatkannya terus aktif dan bersemangat.

Thanuja tidak senang dibuli

Rancak bercerita mengenai Thanuja, Ananthan berkata, anaknya itu dan kembarnya Anu bijak membawa diri sejak kecil, lasak selain tidak mudah dibuli oleh sesiapa dan kualiti itu membuatkannya tidak gusar tentang keselamatan anak-anaknya itu.

Ananthan memberitahu minat Thanuja dalam pertandingan ratu cantik telah bermula sejak dia kecil apabila isterinya sering merakamkan pertandingan itu dan Thanuja akan menontonnya berulang kali.

"Pada asasnya saya tidak pernah menyangka dia serius untuk menyertai pertandingan ratu cantik tetapi apabila dikenangkan zaman kanak-kanaknya tidak ada apa yang perlu dikejutkan," katanya yang pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai bank.

Tambahnya, walaupun pada mulanya sukar untuk menerima hasrat hati anak gadis kesayangannya itu untuk menyertai pertandingan ratu cantik tetapi dia dan isterinya akur dengan kehendak Thanuja.

"Walaupun saya kurang bersetuju tetapi setelah difikirkan tidak salah saya memberikan sokongan kepadanya kerana tidak mahu dia terlepas peluang yang datang sekali seumur hidup dan menyesali kemudian hari," ujarnya yang banyak membantu anaknya ketika menyertai Miss World Malaysia 2009/2011.

Harap anak-anak taat kepada ibu bapa

Ditanya mengenai sambutan Hari Bapa pada tahun ini, Ananthan berkata, dia tidak tahu apakah kejutan yang bakal diberikan oleh Thanuja dan anak-anaknya yang lain namun tidak mengharapkan kejutan luar biasa daripada mereka.

"Mereka taat kepada keluarga dan dapat menjaga diri sendiri dengan baik adalah sudah memadai kepada saya. Pada usia begini, saya hanya mahu mereka sentiasa ada dengan saya dan dekat dengan mereka," katanya penuh harap.

Tidak risau mengenai anak-anaknya kerana kepercayaan yang diberikan kepada mereka sebelum ini tidak pernah disalahguna dan mereka pandai menjaga diri masing-masing.

"Saya sentiasa memberikan nasihat yang baik kepada mereka tentang kehidupan dan menunjukkan contoh yang baik dan bersyukur kerana mereka bijak menggunakan kebebasan yang diberi dan tidak pernah lupa asal usul," katanya sambil memandang ke arah Thanuja penuh makna.

Bapa Ekstrem Utamakan Survival Anak

Posted: 20 Jun 2011 09:42 PM PDT

Aiden, 5, sudah mula berjinak-jinak dengan waterski dengan sokongan bapanya.

LEBIH tiga dekad berkecimpung dalam pembangunan sukan negara, semangat speed demon Hanifah Yoong Yin Fah yang kini mencecah 63 tahun masih lagi membara demi menghangatkan lagi potensi sukan ekstrem tanah air di persada antarabangsa.

Bapa kepada pemangkin sukan lasak negara seperti Alex, Phillipa dan Aaliyah, atlet cilik luncur air bercita-cita tinggi, Hanifah bukan sekadar coach dad biasa malah merupakan contoh bapa paling ikonik menerusi sumbangan dan pengorbanan besar beliau ke arah pembangunan sukan lasak di Malaysia.

Walaupun demikian, Hanifah tidak ingin menonjol glamor sepertimana kehidupannya sewaktu bergiat aktif sebagai pelumba. Beliau mengakui bahawa 'kegemilangan' itu merupakan punca ramai atlet berbakat tidak mampu meningkatkan lagi potensi mereka apabila tenggelam dalam kemasyhuran yang hanya sementara.

Sebagai antara mangsa bencana tsunami 2004 yang terselamat, Hanifah yakin bahawa dunia sedang dilanda pelbagai ancaman seperti wabak penyakit dan bencana alam. Justeru, amat penting bagi generasi seterusnya untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kehilangan keluarga tersayang.

"Saya berpesan kepada anak-anak sejak awal lagi. Hidup kita hanya sementara. Sebagai umat Islam, kita percaya kepada kedatangan Hari Kiamat. Amalan kita di dunia ini yang penting, bukan harta dan pangkat," kata Hanifah di awal temubual eksklusif bersama Mingguan mStar di Pusat Maritim Putrajaya, baru-baru ini.

Semangat kesukanan

Nama Hanifah masih segar di ingatan peminat sukan perlumbaan apabila merangkul 18 kejuaraan dalam Production Cars Races sepanjang 1979 hingga 1994 termasuk pembabitan dalam Motor Rally selama lapan tahun (1981 - 1988) dan dinobatkan sebagai Juara Macau GP (1987, 1988) dan Malaysian Super Saga (1991).

Di bangku sekolah, beliau mula merangkul jolokan atlet negara sekitar lewat 1960-an dan mewakili negara dalam olahraga (acara 400 meter dan 400 meter berpagar) selain aktif bermain ragbi, bola sepak, hoki dan renang.

Justeru, tidak hairanlah disiplin dan etika kesukanan mempengaruhi sebahagian besar kehidupan Hanifah dan juga seluruh ahli keluarganya. Beliau juga tidak keberatan memberitahu bahawa semua anaknya 'dicampak' ke air sebelum berusia setahun untuk menguatkan naluri survival di awal tumbesaran mereka.

Melihatkan Aaliyah, 8, bersama adik-adiknya, Aiden, 5 dan Adam, 3 (hasil perkahwinan dengan Norzeela Sulaiman) mahir dan selesa berenang di tasik, membuatkan penulis memikirkan pendekatan corak didikan yang jauh berbeza di kalangan ibu bapa moden hari ini.

"Alangkah ruginya ibu bapa yang menghalang potensi anak dan menyekat kebebasan mereka sejak kecil lagi. Tidakkah mereka terfikir bahawa menghalang mereka memanjat, berlari dan berenang itu sama seperti menafikan hak mereka untuk belajar?

"Kanak-kanak mempunyai daya saing tinggi, bersemangat dan ikhlas melakukan sesuatu. Seperti Aaliyah, walaupun antara peserta paling kecil dalam kategorinya tetapi dia tidak peduli semua itu," jelas Hanifah sebelum membawa bersama isterinya, Norzeela, Aidan dan Adam ke tengah tasik untuk melakukan latihan bersama Aaliyah.

Hanifah merasakan dirinya amat bertuah kerana dapat menjalani rutin harian bersama-sama Aaliyah lima kali seminggu bukan sekadar untuk mengasah bakatnya dalam sukan luncur air malah melihat kematangan dan ketabahan si puteri kecilnya itu sebelum melangkah ke alam pra-remaja kelak.

"Saya terkilan kerana bapa, seorang lelaki yang hebat, tidak mempunyai masa untuk keluarga. Beliau tiba di sini apabila Jepun sedang menakluki China pada 1933. Bapa terpaksa bekerja keras demi masa depan keluarganya," ujar Hanifah lagi.

Penulis dan jurugambar cukup bernasib baik kerana berpeluang melihat dari dekat keunikan bakat semulajadi Aaliyah yang sedang giat menjalani latihan persediaan sebelum Kejohanan Asian 2011 Oktober ini di Putrajaya dan Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia pada November ini.

Namun detik paling berharga adalah menyaksikan gandingan Hanifah, Aidan dan Aaliyah meluncur laju di atas air sambil si bongsu, Adam melaungkan dari dalam bot laju "Daddy! Me belum!", merengek meminta dibawa meluncur bersama-sama abang dan kakaknya itu.

Daddy jurulatih pilihan saya!

Sementara Aaliyah, dalam mengejar impian merangkul kejuaraan dunia dalam kategori Womens Tricks, juga dilatih oleh kakaknua, Phillipa (hasil perkahwinan Hanifah dengan Joanna) yang juga Ketua Jurulatih MWWF dan atlet luncur air handal negara, di samping abangnya, Alex (bekas pemandu F1).

Pada usia 5 tahun, Aaliyah menunjukkan protes kepada bapanya yang merupakan Pengarah Acara World Cup International Waterski & Wakeboard Federation (IWWF) kerana bersungguh-sungguh mahu meluncur air.

Sedangkan Hanifah sehabis boleh menghalang hasratnya itu disebabkan faktor usia dan fizikalnya yang terlalu kecil berbanding peserta muda lain berusia antara 9 dan 12 tahun.

"Saya tahu saya boleh lakukan lebih baik daripada mereka. Puas saya merayu daddy selama tiga bulan, duduk di dok hanya memerhatikan peserta lain bergembira meluncur air dengan ski dan wakeboard mereka," kata Aaliyah yang meraih kejuaraan pertamanya pada 2009 Malaysian Slalom bagi kategori bawah 10 tahun.

Dalam tempoh dua tahun, murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bandar Seri Putra itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan oleh Phillipa. Menariknya, Aaliyah merasakan kejayaannya itu adalah hasil dorongan bapanya sebagai jurulatih tegas yang penuh kasih sayang.

"Saya tidak pernah merungut tentang panas, penat atau sakit kerana tidak mahu Daddy menyuruh saya berhenti (berlatih). Daddy juga kata saya paling cepat tangkap dan tidak berputus asa. Paling penting bagi saya, luncur air amat mencabar dan menyeronokkan!" kata Aaliyah sebelum mengakhiri temubual.

Hayunan Jean Semakin Bertenaga

Posted: 20 Jun 2011 09:38 PM PDT

Impian untuk beraksi pada Terbuka AS akan direalisasikan awal bulan depan.

SIAPA sangka di sebalik susuk tubuh kecil pemilik nama Chua Tze Jean atau lebih dikenali sebagai Jean Chua, tersimpan semangat yang cukup membara dan keberanian mengapai impiannya untuk bergelar pemain golf profesional.

Ternyata usaha keras dan pengorbanan besar yang dilakukan kerana minat, membuahkan hasil yang dianggap sebagai permulaan terbaik buat dirinya untuk mengorak langkah lebih jauh.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Wake Forest, Utara Carolina, Amerika Syarikat, Jean memutuskan untuk bergelar pemain golf profesional.

Keputusan tersebut hadir tepat pada masanya apabila anak jati Kuala Lumpur itu memenangi kejohanan profesional pertamanya pada Kejohanan LPGA Thailand dua tahun lalu.

Kariernya berada di kemuncak apabila atlet berusia 23 tahun itu mengisi slot ke Kejohanan Golf Wanita Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung di Colorado Springs dari 7 hingga 10 Julai ini.

Impian gadis yang tidak lokek dengan senyuman itu untuk berentap bersama pemain golf terkemuka dunia di kejohanan terulung itu berjaya direalisasikan selepas dirinya menduduki tempat pertama pada pusingan kelayakan Terbuka AS bulan lalu.

Jean menyifatkan kejayaan melangkah ke saingan Terbuka AS ibarat mimpi menjadi kenyataan yang pastinya menjanjikan pelbagai kenangan buat dirinya untuk memperbaiki mutu permainan.

"Saya tidak pernah membayangkan akan berada di peringkat ini. Pengalaman menamatkan permainan di lubang ke-18 untuk menduduki tempat pertama pada kelayakan Terbuka AS sentiasa kekal dalam ingatan," katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Sebagai persediaan awal, Jean kerap berkunjung ke gim untuk meningkatkan tahap kecergasannya. Apatah lagi, beliau mendapat bimbingan jurulatih Ian Triggs yang dilihat berupaya memacu teknik permainannya supaya lebih konsisten dan setanding pemain lain.

"Saya amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ian Triggs yang berjaya melahirkan ramai pemain terkemuka dunia. Saya dapat rasakan corak permainan saya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa," jelas anak bongsu daripada dua beradik ini.

Susulan kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya sejak dua tahun lalu, Jean menerima tajaan berupa pembiayaan yuran penyertaan kejohanan di AS dan khidmat kejurulatihan bertaraf antarabangsa, Ian Triggs bernilai RM180,000 daripada Yayasan Sime Darby (YSD) selama tiga tahun.

Sebelum ini, Jean tidak mempunyai penaja dan kos latihan, tambang penerbangan dan yuran penyertaan dibiayai keluarganya.

Menyentuh mengenai pembabitan awalnya dalam sukan golf, Jean memberitahu minatnya mula hadir ketika berusia 14 tahun selepas mengikuti abangnya Chua Tze Ken berlatih di Kelab Golf dan Country Rahman Putra.

Bekas juara Terbuka Remaja 100 Plus itu sebenarnya terlebih dahulu berjinak-jinak dengan acara gimnastik sebelum beralih angin ke permainan lasak iaitu bola lisut ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas.

"Sebaik saja bermain golf, saya sedari ada persamaan di antara sukan itu dan permainan bola lisut. Saya terus mencuba dan mula meminati golf," jelasnya.

Pada waktu itu, Jean turut aktif dalam kedua-dua sukan berkenaan. Atas nasihat kedua ibu bapanya, gadis yang amat menggemari nasi lemak itu terpaksa meninggalkan permainan bola lisut dan memberikan sepenuh perhatian terhadap sukan golf.

"Keluarga mahu saya fokus pada satu sukan saja...lagipun permainan bola lisut amat merbahaya. Jadi saya buat keputusan untuk menggembangkan karier selepas mendapat biasiswa menyambung pengajian ke Universiti Wake Forest," katanya.

Selain mampu memukau perhatian pihak lawan di lapangan hijau, Jean punya bakat menari tarian ballroom yang dipelajari dari seorang profesor ketika menuntut di Universiti Wake Forest."Saya tidak berlatih secara profesional. Adakalanya saya belajar teknik tarian itu daripada salah seorang profesor sepanjang tempoh pengajian dan pada musim cuti," akhirnya.

Temui Dewa Cinta & SiJundai Hari Ini

Posted: 20 Jun 2011 09:36 PM PDT

Antara konflik keluarga yang berantakkan akibat penggunaan ilmu pengasih dan penderitaan dua insan yang bercinta tetapi tidak dapat disatukan kerana hasutan dan hasad dengki orang lain.

Itulah sedikit plot yang cuba disampaikan oleh dua buah drama bersiri terbaru TV3 yang bakal memulakan siarannya hari ini.

Dewa Cinta lakonan mantap Fasha Sandha dan Iqram DInzly menerusi slot Akasia dan SiJundai, kisah cinta tiga segi di antara Wan Sharmila, Azam Pitt dan Nabila Huda di slot Lagenda.

Menampilkan jalan cerita yang mantap dan menyegarkan, dua drama bersiri ini diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn Bhd.

Dewa Cinta mengisahkan Iqbal, lakonan Iqram Dinzly yang dibesarkan penuh kekecewaan oleh keluarga norhan dan Rohaya. Memori hitam di zaman kanak-kanak akibat sikap ayah kandungnya yang sangat garang dan tegas selepas ibu dan kakaknya menghilangkan diri menyebabkan jiwa Iqbal memberontak, namun sikap panas barannya itu disembunyikan di sebalik penampilannya yang elite.

Takdir menemukan Iqbal dan June (Fasha Sandha), seorang pemuzik dan penyanyi pub jelita yang lebih suka menyendiri, lantas Iqbal jatuh cinta dengan wanita yang lebih berusia daripadanya itu.

Di sisi lain, June masih mengharapkan kepulangan kekasih yang telah lapan tahun bermain muzik di luar negara tanpa khabar berita. Namun, janji setia telah dikhianati oleh kekasihnya yang rupa-rupanya telah pun berkahwin dengan perempuan lain.

Berbeza dengan Dewa Cinta, Sijundai mempertaruhkan nama-nama baru untuk menghidupkan watak-watak rekaan penulis skrip ini.

Mengisahkan sebuah keluarga yang berantakan kerana cinta yang dipengaruhi oleh ilmu pengasih, segalanya bermula apabila Sarah (Wan Sharmila) menyaksikan sendiri bagaimana ibunya dihalau dari rumah sewaktu kecil.

Sarah telah mewarisi bakat ibunya dalam bidang seni tari, namun ayahnya tidak merestuo Sarah meneruskan bakat dan minatnya itu. Akhirnya Sarah berjaya juga melanjutkan pelajaran ke salah sebuah institusi seni.

Di sana, Sarah bertanya dengan Gema (Azam Pitt) seorang pemuda dari Sumatera Barat yang berjaya memikatnya dengan kebolehan bermain alat muzik, namun perjalanan seni dan cinta Sarah tergugat di tengah jalan dengan kehadiran Desi (Nabila Huda), bekas kekasih Gema.

Dihasut denganperasaan denganki dan dendam, Desi menggunakan ilmu sesat untuk memisahkan Sarah dan Gema. Ilmu pengasih Sirompak dan Gasing Tangkurak digunakan untuk menggangg sarah dan dia kemudiannya meletakkan kesalahan tersebut kepada Gema.

Sarah yang terpedaya akhirnya sedar pengkhiatan Desi yang sebelum ini merupakan sahabat karibnya. Mungkinkah Gema, Sarah dan juga Desi sendiri yang akan menjadi mangsa korban dendam dan ilmu sesat yang mengahantui keluarga mereka?

Jangan ketinggalan menyaksikan drama Sijundai di slot lagenda setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4petang.

Mengenai peristiwa Israk dinilai sahih dalam hadis

Posted: 20 Jun 2011 09:35 PM PDT

DI dalam hadis peristiwa Israk yang dinilai begitu sahih, bahkan masyhur, apabila disebutkan tentang apa yang dilakukan oleh para nabi, bersama nabi yang paling mulia dan terpilih, Nabi Muhammad SAW.

Mereka mendirikan solat di belakangnya, berbicara dengan baginda dan mendoakan kebaikan baginya di langit.

Hasilnya, umat Islam beruntung dengan mendapat pengurangan jumlah solat fardu daripada 50 kali, menjadi lima kali dalam sehari semalam dengan berkat syafaat Nabi Muhammad SAW yang memohon kepada Allah berkali-kali.

Itu pun, ia terjadi hanya setelah adanya isyarat daripada kalimullah Nabi Musa ibn Imran a.s kepada Nabi Muhammad SAW.

Dengan ini, jelaslah bahawa maksud hadis tersebut bukan seperti yang sesetengah orang sangkakan, kerana maksud sedemikian terang-terangan adalah batil dan salah sebagaimana yang telah dijelaskan.

Maksud atau tujuan sebenar hadis tersebut adalah sebagai peringatan supaya tidak mudah meminta harta benda orang lain tanpa ada keperluan yang mendesak, atau kerana sifat tamak.

Hadis ini juga menggalakkan supaya bersifat qanaah, merasa puas dengan kebaikan yang dimudahkan oleh Allah baginya sekali pun sedikit, meninggalkan keinginan terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain yang sememangnya tidak diperlukan dan merasa cukup dengan hanya memohon kurniaan daripada Allah.

Sesungguhnya, Dia menyukai orang yang selalu mengulang-ulang doanya, sedangkan manusia pula, adalah sebaliknya. Seorang penyair berkata: "Allah murka jika kamu tidak memohon kepada-Nya sedangkan bani Adam berasa marah jika selalu diminta."

Maksudnya, jika kamu melihat harta di tangan orang lain yang cukup mempersonakan dan kamu pula sangat menginginkannya, janganlah kamu meminta apa yang ada pada orang itu, tetapi memadailah kamu meminta kepada Allah supaya mengurniakan kurniaan-Nya kepada kamu.

Hadis tersebut mengajar dan menunjukkan kepada kita tentang sikap qanaah dan membersihkan diri daripada sikap tamak.

Di manakah persamaan di antara makna tersebut dengan perbuatan memohon kepada Allah melalui para nabi dan wali-Nya atau memohon syafaat kepada para nabi bagi orang-orang yang memohon kepada Allah, yang mana Allah menjadikan melalui syafaat mereka sebagai sebab yang paling efektif untuk mendapatkan kejayaan?

Malangnya, apabila manusia itu menurut hawa nafsu, ia akan mendahulukan sangkaannya dan enggan mengikut fahaman yang benar.

Pintalah kepada Allah

Posted: 20 Jun 2011 09:35 PM PDT


ALLAH suka hambanya yang meminta dan berdoa kepada-Nya.


KITA masih membicarakan maksud sebenar sabda Rasulullah SAW: "Apabila kamu meminta maka pintalah kepada Allah". Yang zahirnya seperti melarang kita meminta pertolongan selain daripada Allah.

Sebenarnya hadis ini tidak mengandungi pegangan atau dalil putus bagi menegah daripada memohon syafaat atau bertawassul. Sesiapa yang memahami dari sudut zahir hadis ini bahawa kita ditegah daripada meminta dan bertawassul kepada selain Allah secara mutlak, maka sesungguhnya dia telah tersilap jalan.

Ini kerana mereka yang menjadikan para nabi dan orang soleh sebagai wasilah mereka kepada Allah untuk mendapatkan kebaikan daripada-Nya atau menolak kemudaratan. Mereka tidaklah meminta melainkan kepada Allah yang Esa agar memudahkan apa yang diminta atau menjauhkannya daripada apa yang dikehendakinya dalam keadaan bertawassul kepada-Nya melalui orang yang diizinkan bertawassul dengan mereka.

Dalam hal ini, dia hanya mengambil sebab musabab yang ditentukan Allah bagi seseorang hamba mencapai hajatnya daripada Allah. Orang yang mengambil atau menggunakan sebab yang sememangnya diperintahkan oleh Allah untuk diikuti bagi mencapai keinginannya, bukanlah meminta kepada sebab tersebut tetapi meminta kepada Pencipta sebab tersebut (Allah).

Maka seseorang yang berkata: "Wahai Rasulullah! Aku mahu tuan mengembalikan mataku semula, atau menghapuskan bala bencana daripadaku, atau menyembuhkan penyakitku," bermaksud meminta perkara-perkara tersebut daripada Allah dengan perantaraan syafaat Rasul-Nya.

Orang tersebut seolah-olah berkata: "Doakanlah untukku supaya terhasil hajat ini, syafaatkanlah untukku dalam perkara ini".

Kedua-dua bentuk ayat di atas tidak ada bezanya, cuma ayat yang kedua lebih jelas maksudnya daripada ayat yang pertama. Sebagai contoh bagi kedua jenis permohonan tersebut ataupun yang lebih jelas ialah perkataan orang yang bertawassul: "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan nabi-Mu supaya memudahkan manfaat ini, atau menolak kejahatan ini".

Maka orang yang bertawassul dengan semua jenis tawassul tersebut tidaklah meminta ditunaikan hajat mereka kecuali kepada Allah SWT.

Dengan ini, kita dapat fahami bahawa menegakkan hujah melarang bertawassul dengan sabda nabi SAW: "Apabila kamu meminta, pintalah kepada Allah," adalah suatu kesilapan yang besar. Ia membatas hadis ini kepada makna zahir yang rosak atau tidak betul, iaitu tidak sah seseorang itu meminta kepada selain Allah dalam apa keadaan sekalipun.

Justeru, sesiapa yang memahami hadis ini dengan makna tersebut, maka dia telah benar-benar tersalah. Sebagai menjelaskan kesalahan tersebut, cukuplah dengan berdalilkan hadis ini juga yang merupakan jawapan kepada soalan Ibnu Abbas r.a perawi hadis selepas Rasulullah SAW merangsangnya supaya bertanya: "Wahai anak muda! Mahukah aku ajarkan kamu beberapa kalimah yang akan membuatkan Allah memberikan manfaat kepada kamu dengannya".

Apakah tarikan untuk bertanya yang lebih indah daripada ini? Ibnu Abbas r.a menjawab: "Ya". Maka Rasulullah SAW menjawab dengan hadis ini.

Jika kita mengikut sangkaan yang salah ini, maka tidak boleh orang yang jahil bertanya kepada orang alim, tidak boleh orang yang ditimpa kemusnahan meminta tolong kepada orang yang dapat menyelamatkannya daripada kesusahannya.

Orang yang berhutang tidak boleh meminta orang yang dapat melunaskan hutangnya melangsaikan hutangnya dan orang yang memerlukan pinjaman meminta pinjaman. Bahkan juga, tidak boleh manusia meminta syafaat kepada para nabi pada hari kiamat.

Begitu juga, tidak boleh Nabi Isa a.s menyuruh mereka meminta syafaat kepada Penghulu para Rasul, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya dalil yang mereka sangkakan bersifat umum akan membawa kepada penafian apa yang kami sebutkan di atas dan hal-hal seumpamanya.

Maka sekiranya mereka berkata: Sesungguhnya yang dilarang adalah memohon kepada para Nabi a.s dan orang soleh daripada ahli kubur yang berada di alam barzakh kerana mereka tidak mempunyai kuasa.

Sangkaan atau pemahaman keliru seperti ini juga telah dijawab secara panjang lebar dalam perbahasan yang lepas. Secara ringkasnya kami katakan: "Sesungguhnya mereka itu hidup, dapat mendengar dan berkuasa untuk memberi syafaat dan mendoakan.

Kehidupan mereka yang berupa kehidupan barzakhiyyah itu sesuai dengan kedudukan mereka; yang dengannya mereka boleh dimanfaatkan untuk berdoa dan memohon keampunan".

Keistimewaan kerajaan Saba'

Posted: 20 Jun 2011 09:34 PM PDT


Empangan ma'arib adalah nadi kehidupan kaum Saba'.


DALAM kisah Nabi Sulaiman a.s, diceritakan bahawa baginda mengajak seorang Ratu (pemerintah) dari sebuah negeri untuk mengikuti agamanya, iaitu hanya menyembah Allah SWT dan bukan yang lain (maksud al-Quran, al-Naml: 10-44).

Negeri itu adalah Saba' dan ratunya bernama Balqis. Kisah tentang negeri Saba' dan penduduknya terdapat di dalam al-Quran, iaitu surah Saba' ayat 15-21. Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 54 ayat.

Dinamakan surah Saba' (perihal penduduk Saba'), kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21. Pada awal surah ini, Allah menegaskan segala puji bagi-Nya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh alam.

Dialah yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada sekalian makhluk-Nya di alam kehidupan ini, dan yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada orang-orang beriman pada hari akhirat.

Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW dan yang tidak percayakan kedatangan hari kiamat, dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan pada nabi-nabi yang telah lalu.

Maka Allah SWT memberi amaran kepada golongan musyrik itu, jika mereka masih berdegil dengan kekufuran, maka mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba' kerana mereka kufur ingkar.

Kemudian Allah menujukan firman-Nya kepada Nabi SAW dan menerangkan bahawa baginda diutus kepada umat manusia seluruhnya sebagai rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang yang ingkar.

Sebagai penutup, digambarkan keadaan orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab seksa yang disediakan untuk mereka.

Semasa mereka diseret untuk menerima balasan, mereka berkata: "Sekarang kami beriman…" tetapi pengakuan mereka yang demikian tidak ada gunanya kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.

Dalam surah tersebut dijelaskan bahawa negeri Saba' dikurniai Allah SWT dengan kemewahan, dengan tanah yang subur sehingga penduduknya hidup dengan aman makmur. Allah SWT berfirman yang bermaksud:… (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun. (Saba': 15).

Namun, kerana ingkar kepada Allah SWT, penduduk Saba' ditimpa azab berupa banjir besar yang menghancurkan negeri mereka. Kisah pengingkaran kaum Saba' dan turunnya azab Allah SWT ini terjadi setelah Ratu Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s.

Sebuah hadis sahih daripada Ibnu Abbas menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya seseorang, yang bermaksud: "Apakah Saba' itu nama negeri atau nama seseorang?" Nabi menjawab, "Dia adalah manusia beranak 10. Enam tinggal di Yaman dan empat di Syam. Yang di Yaman ialah Mudzhij, Kindah, Alazad, Asa'ariyum, Anmar dan Himyar. Yang di Syam adalah Lakham, Judzam, Amilah dan Ghassan".

Nenek moyang mereka dikatakan berasal daripada kabilah-kabilah Arab Yaman. Asal kediaman mereka bernama Saba', kemudian menjadi nama negeri atau kerajaan dengan ibu kota Maarib.

Kerajaan Saba' pernah dipimpin oleh seorang Ratu yang bernama Balqis. Kepimpinan Balqis menunjukkan bahawa seorang wanita boleh terlibat dan berperanan dalam mengelola pemerintahan.

Balqis termasuk seorang Ratu yang bijaksana, suka berunding dan berdamai. Negeri Saba' yang dipimpinnya disebut di dalam al-Quran sebagai negeri yang baik dengan Tuhan Yang Maha Pengampun (Saba': 15), kerana Allah SWT telah mengurniai tanah Saba' dengan ladang-ladang yang amat subur.

Allah melimpahkan rezeki-Nya kepada penduduk Saba' dengan memberi mereka dua kumpulan kebun yang luas lagi amat subur.

Namun kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang diberi, Allah SWT menggantikan pohon-pohon di kebun itu dengan pohon yang berbuah pahit, iaitu pohon Asl dan Sidr.

Asl adalah pohon yang berakar kuat sehingga sukar dicabut. Adapun pohon Sidr adalah pohon yang tidak mengenyangkan untuk dimakan.

Kisah negeri Saba dengan penduduknya merupakan petunjuk, pengajaran dan tanda akan nyatanya kekuasaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: … Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka… (Saba': 15).

Nikmat yang diberikan oleh Allah tidak mereka syukuri, bahkan mereka menganiaya diri mereka sendiri dengan mengingkari seruan Allah sehingga mereka diazab Allah.

Azab berupa banjir dan pohon berbuah pahit menjadi pengajaran berharga bagi kaum Saba.

Ramai sertai solat gerhana bulan

Posted: 20 Jun 2011 09:34 PM PDT


Solat gerhana bulan yang diadakan di Masjid Negara mendapat sambutan masyarakat sekitar.


KHAMIS lalu, sebahagian masyarakat di timur Afrika, Asia Barat, Asia Tenggara, Australia Barat dan Afrika Timur berpeluang menyaksikan gerhana bulan penuh.

Di Malaysia, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Masjid Negara turut mengadakan majlis yang sama di perkarangan Masjid Negara bermula pukul 1 pagi hingga 7 pagi.

Kira-kira 1,000 orang awam mengikuti aktivti yang dijalankan di perkarangan Masjid Negara.

Antara aktiviti tersebut adalah mencerap planet Zuhrah, Musytari dan Marikh, kuiz gerhana, taklimat gerhana dari sudut sains, pameran bulan dan juga menonton tayangan dokumentari sains angkasa.

Turut diadakan solat sunat gerhana bulan (khusuf) dan khutbah gerhana dengan tajuk 'Pengukuhan Iman Melalui Peristiwa Gerhana Bulan'.

Ia diketuai oleh Imam Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan dan Sains Angkasa, Azreena Ahmad.

Memenuhi spektrum berbeza jemaah umrah

Posted: 20 Jun 2011 09:33 PM PDT


Deejay ikim.fm, Zamri Zainul Abidin (dua dari kiri) mempengerusikan forum perdana bersama ahli panel Abdul Rosik Yakub (paling kiri), Syed Ismail Syed Azizan dan Ayub Hassan.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (al-Haj: 27)

*Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah...(al-Baqarah: 196)

* "Apa nak buat ni, tarikh berangkat umrah dah dekat, tapi visa dan tiket masih belum dapat lagi".

*"Menyesal aku pergi dengan syarikat ..... Bayar mahal tetapi perkhidmatannya lembap".

*"Apa la, kena tunggu lama sebelum naik baik dari airport Jeddah ke Madinah".

Ketiga-tiga senario di atas adalah antara rungutan para jemaah umrah. Yang pasti, sebahagian besar rungutan adalah berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat pengendali umrah (PU) di negara kita.

Paling menyedihkan apabila ada pihak yang tergamak mengambil kesempatan menipu bakal jemaah umrah melalui pelbagai cara. Antara yang paling lumrah adalah menawarkan pakej umrah pada harga diskaun yang luar biasa contohnya RM3,000 untuk pakej umrah 12 hari 10 malam.

Sedangkan, akal yang waras akan menolak tawaran tersebut apabila kita mengkaji harga tiket penerbangan dan kos pengendalian darat di Tanah Suci.

Dianggarkan bilangan jemaah umrah Malaysia tahun ini mencecah angka 100,000 orang berbanding 80,000 tahun lalu.

Kemajuan dan pembangunan pesat termasuk di sekitar kawasan Mekah membawa kepada peningkatan permintaan kepada perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada para jemaah.

Namun, bukan semua masalah atau halangan yang wujud itu di dalam bidang kuasa PU. Contohnya, perubahan tempat mendarat dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz ke terminal khas haji. Demikian juga dengan urusan pengeluaran visa yang kuasa mutlaknya adalah pada kerajaan Arab Saudi.

Selain itu, bilangan jemaah umrah dari Malaysia yang meningkat saban tahun memerlukan PU memikirkan aturcara berbeza bagi mereka yang mengerjakan ibadat tersebut lebih daripada sekali.

Hal sebegini adalah antara isu yang mendapat perhatian lebih 300 peserta Seminar Pemantapan Pengurusan Umrah 1432H/2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Seminar bertemakan 'Pengurusan Umrah Gemilang, Umrah Terbilang' itu dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Sebahagian besar peserta adalah dalam kalangan operator PU dan agensi yang berkaitan dari seluruh negara.

Mashitah kemudiannya turut melancarkan i-portal umrah. Ia bagi memberi maklumat kepada bakal jemaah umrah sebagai panduan mereka memilih agensi pengelola yang tepat bagi menguruskan perjalanan umrah mereka.

Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Omar Osman dalam kertas kerjanya mengetengahkan empat perkara dalam usaha memantapkan pengurusan umrah.

Perkara itu adalah strategi pengurusan perniagaan, pemasaran produk, segmentasi pelanggan dan inovasi terhadap proses.

Dalam aspek strategi pengurusan perniagaan, katanya, PU perlu membangunkan polisi, piawaian, prosedur dan rancangan bagi mencapai objektif yang dirangka.

Contohnya, kos penginapan yang melambung terutamanya di sekitar Masjidil Haram sejak kebelakangan ini memerlukan kepada prosedur yang anjal.

Sebabnya, kata beliau, adakalanya perjanjian tempahan bilik hotel tidak dipatuhi oleh ejen hotel atau pihak hotel sehingga berlakunya tempahan bertindan.

"Sebuah syarikat yang mempunyai sistem pengurusan yang baik akan mempunyai polisi, piawaian dan prosedur yang sesuai pada waktu tersebut untuk memastikan imej perkhidmatan berkualiti tinggi yang dibina selama ini boleh dikekalkan," katanya.

Omar membentangkan kertas kerja 'Strategi Pengurusan Perniagaan: Aplikasi inovasi dalam urusan umrah dan hubungan serantau'.

Beliau turut mencadangkan agar PU mewujudkan segmentasi pelanggan untuk memahami kehendak para jemaah seterusnya memenuhi kepuasan mereka di semua segmen yang ditawarkan.

Katanya, ada kemungkinan selepas memecahkan peserta umrah kepada segmen tertentu, syarikat PU memutuskan untuk membuat rombongan yang berlainan bagi setiap segmen pelanggan mereka.

"Contohnya, 'kumpulan masjid' untuk mereka yang hanya mahu berulang-alik ke Masjidil Haram sepanjang di Mekah, 'kumpulan ziarah' bagi yang gemar melawat selain beriktikaf di Masjidil Haram dan 'kumpulan membeli-belah' untuk yang selain ke masjid, juga berminat membeli belah," jelasnya.

Turut diadakan, forum yang disertai oleh tiga ahli panel iaitu Presiden Bumitra, Ayub Hassan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan dan Pengarah Unit Perlindungan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Abdul Rosik Yakub.

1 ulasan:

Oche on 12 Oktober 2015 pada 12:06 PG berkata...

Nama saya Yusri aisyah, saya dari malaysia, dengarlah, beberapa pemberi pinjaman di sini tidak bersedia untuk membantu anda, semua mereka hanya mahu di sini adalah untuk merobek anda wang keras anda yang diperolehi. Saya dan suami saya, mendapatkan pinjaman daripada peminjam yang berbeza dalam talian tetapi pada akhirnya, kita telah ditipu dan ditipu wang kita dengan mendapatkan pinjaman kami dari syarikat-syarikat pinjaman yang berbeza dalam talian.
Kami juga meminjam wang untuk membayar pemberi pinjaman dalam talian ini tetapi pada akhirnya, kami mendapat apa-apa.
Suami saya dan saya berada dalam hutang, dan kami tidak mempunyai sesiapa untuk lari ke tolong, perniagaan keluarga kami telah dimusnahkan dan kita di mana tidak dapat untuk mendapatkan wang untuk memenuhi perbelanjaan harian sehingga kita telah diperkenalkan kepada Puan Glory yang membantu kami dengan menawarkan kami jumlah pinjaman tidak bercagar $ 125,000 tanpa cagaran.
Untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk mencapai Puan Glory atau mengikuti prosedur pinjaman, hubungi saya melalui e-mel saya: aisyahyu7@gmail.com
Atau anda boleh menghantar e-mel kepada Puan Maha Suci: gloryloanfirm@gmail.com

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved